Tag Archives: Kawasaki

Modenas Ninja 500 kini dilancarkan di Malaysia – versi standard dan SE, harga dari RM28k

Motosikal & Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), anak syarikat DRB-Hicom, telah melancarkan Modenas Ninja 500 untuk pasaran Malaysia.

Motosikal sport saiz pertengahan itu boleh didapati dua versi iaitu standard dan Special Edition (SE). Versi standard dijual pada harga RM28,100 dan boleh didapati dalam warna hitam sahaja.

Sementara itu, Ninja 500 SE yang berharga RM30,100 ditawarkan dalam dua warna iaitu Lime Green dan hitam/merah.

Tidak kira sama ada dalam versi standard atau SE, Ninja 500 dikuasakan oleh enjin 500 cc dua silinder selari yang menjana 44.8 hp pada 9,000 rpm dan 42.6 Nm pada 6,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan.

Ninja 500 mempunyai ukuran panjang 1,995 mm, lebar 730 mm dan tapak roda 1,375 mm. Ketinggian pelana mencecah 785 mm, manakala kapasiti tangki pula adalah 14 liters, memberikan motosikal ini berat keseluruhan 171 kg.

Sistem suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik 41 mm pada bahagian depan dan penyerap hentak dengan pelarasan pra-muatan pada bahagian belakang.

Untuk brek, Ninja 500 menggunakan cakera tunggal 310 mm bersama angkup dua piston di hadapan dan cakera tunggal 220 mm dengan angkup satu piston di belakang. Turut disertakan adalah ABS dwi saluran.

Selain pilihan warna berbeza, Ninja 500 SE juga didatangkan dengan beberapa ciri tambahan iaitu port USB Type-C, sistem tanpa kunci KIPASS (Kawasaki Intelligent Proximity Activation Start System) dan paparan TFT berwarna penuh.

Kawasaki mahu hidupkan semula enjin dua lejang?

Kawasaki baru-baru ini menggemparkan dunia alam maya dengan memuat naik satu video acah di laman media sosial mereka.

Video berdurasi bawah 10 saat itu dilihat mengumpulkan beberapa komen pengikut media sosial Kawasaki yang menyeru pengeluar itu menghidupkan semula era kegemilangan enjin dua lejang.

Hantaran tersebut kemudian diakhiri dengan tiga perkataan “We Heard You“, memberikan petunjuk Kawasaki mendengar dan mahu merealisasikan permintaan daripada para peminatnya.

 

Tidak banyak informasi yang didedahkan buat masa ini.

Namun, merujuk kepada laman web Visordown, Kawasaki sebelum ini telah mendaftarkan dokumen paten yang diterbitkan pada Julai 2024 yang mendedahkan pengeluar itu sedang membangunkan enjin dua lejang serba baharu.

Selain mengembalikan semula teknologi yang telah lama ‘pupus’ itu, enjin dua lejang baharu Kawasaki akan dilengkapi dengan beberapa teknologi seperti sistem pancitan bahan api, unit pengecas turbo dan injap kemasukan yang dioperasikan oleh aci sesondol.

Dengan adanya penambahbaikan yang disebutkan itu tadi, ia secara jelas boleh meningkatkan tahap kecekapan enjin dan dalam masa yang sama mengekalkan kelebihan yang ada pada enjin dua lejang berbanding enjin empat lejang.

Buat masa ini, pihak Kawasaki belum menentukan sama ada enjin dua lejang baharu ini akan ditawarkan pada motosikal jalanan ataupun dikhaskan untuk kegunaan lain.

Yang pasti, perkembangan terbaharu ini sedikit sebanyak dapat menggembirakan insan yang sebelum ini pernah berpengalaman memiliki motosikal 2T, seperti Yamaha 125Z, Yamaha RX-Z, Modenas Dinamik, serta Kawasaki Ninja 150RR (sekadar menyebut beberapa model terkenal).

MODENAS lancar cruiser Eliminator 500, dari RM30,100

Bersempena dengan penganjuran MotoGP Malaysia, MODENAS turut sama melancarkan model motosikal cruiser terbaharu Modenas Eliminator 500 2025 dengan harga jualan bermula dari RM30,100 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).

Ia merupakan model terbaharu yang dijenamakan semula daripada Kawasaki, selaras dengan pendekatan yang dibuat untuk model motosikal bawah 750 cc terdahulu.

Modenas Eliminator dikuasakan oleh enjin kembar selari 451 cc yang mampu menghasilkan 44.7 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 43 Nm @ 6,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi manual enam-kelajuan yang dipadankan dengan klac assist-slipper.

Modenas Eliminator dilengkapi dengan fork teleskopik hadapan 41 mm diikuti dengan penyerap hentak berkembar yang datang dengan larasan pra-beban, masing-masing menawarkan jarak gerak 120 mm dan 90 mm.

Sementara aspek pemberhentian pula menggunakan khidmat brek cakera berkembar 310 mm dengan angkup dua-omboh di depan, diikuti brek cakera tunggal dan angkup omboh tunggal di belakang. Tidak ketinggalan, ia juga hadir dengan sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran.

Eliminator 500 ini menggunakan rim bersaiz 18 inci dengan balutan tayar 130/70 di depan, serta rim aloi 16 inci dengan balutan tayar 150/80 di belakang.

Ciri lain termasuklah lampu LED depan dan belakang, skrin kluster LCD dengan sokongan aplikasi Rideology, kapasiti tangki bahan api  sebesar 13 liter dan tinggi pelana 735 mm.

 

Kawasaki Z900RS dapat warna baharu di Indonesia

Kawasaki Indonesia telah melancarkan Z900RS dan Z900RS Cafe 2025 yang telah dikemas kini dengan pilihan warna baharu. 

Bagi tahun 2025, kedua-dua varian ini hadir dengan sentuhan warna era 70an dengan Z900RS Cafe datang dengan warna Ebony sementara varian standard dipadankan dengan warna Ino Red. 

Menurut Kawasaki, warna Z900RS ini diinspirasikan dari Kawasaki Z1 900 1975 sementara Z900RS Cafe pula mengambil warna dari KZ900 1976. 

Difahamkan, Indonesia merupakan pasaran dunia pertama yang memperkenalkan pilihan warna baharu ini.

Bagaimanapun, kedua-dua varian ini masih lagi mengekalkan spesifikasi sama termasuk bahagian enjin yang masih lagi bernadikan enjin empat silinder 948cc dengan sistem penyejukan udara yang mampu menjana 111hp dan 98.6Nm. 

Modenas tak rancang perkenal motosikal hibrid dan elektrik dari Kawasaki 

Walaupun rancak dengan pemasangan motosikal Kawasaki di Malaysia namun Modenas tidak bercadang untuk memperkembangkan tawaran dengan memperkenalkan motosikal hibrid di Malaysia dalam masa terdekat. 

Ketika ini, Modenas bertanggungjawab memasang sembilan model Kawasaki untuk pasaran tempatan dan eksport termasuk model baharu, Ninja ZX-6R. 

Senario itu secara langsung membuktikan keupayaan Modenas untuk memasang dan mengedar motosikal Kawasaki di Malaysia. 

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan mengesahkan pihaknya belum ada perancangan untuk memasang atau menawarkan motosikal hibrid dari Kawasaki termasuk Ninja 7 Hybrid dan Z7 Hybrid. 

Pada masa sama, juga tiada perancangan untuk menawrakan motosikal elektrik Kawasaki ekoran kurangnya fasiliti untuk menampung model berkenaan disini. 

Modenas pasang Kawasaki Ninja ZX-6R di Gurun, eksport ke China

Edaran Modenas Sdn Bhd telah mula mengeksport Kawasaki Ninja ZX-6R yang dipasang sepenuhnya di kilang Modenas terletak di Gurun, Kedah. 

Beberapa media tempatan telah pun dijemput ke Gurun bagi menyaksikan sendiri proses pemasangan dan penghantaran ketiga Ninja ZX-6R ke China. Setakat 28 Mei 2024, sebanyak 280 unit telah dieksport ke China dan angka itu dijangka akan bertambah.

Untuk rekod, Ninja ZX-6R merupakan motosikal segmen ‘supersport’ pertama yang dipasang di Malaysia dan senario ini membuktikan Modenas bukan sahaja mempunyai fasiliti malah tenaga kerja yang berkemampuan. 

Dalam pada itu, Modenas turut memaklumkan bahawa Kawasaki Ninja ZX-6R pemasangan tempatan (CKD) itu akan turut diperkenalkan untuk pasaran Malaysia pada awal 2025. 

Memetik laporan rakan media Mekanika, Ninja ZX-6R itu akan dipasarkan sekitar bulan Januari 2025 dengan harga dianggarkan bawah RM70 ribu. 

Pusat pameran Kawasaki All-Star keempat dibuka di Johor Bahru

Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) memperkenalkan pusat pameran All-Star Kawasaki yang keempat di Johor Bahru. 

Menempatkan kesemua model Kawasaki yang ditawarkan di Malaysia, pusat pameran baharu ini juga menawarkan pelbagai perkhidmatan lain termasuk servis selepas jualan dan alat ganti.

 

Juga tidak dilupakan, Kawasaki Johor Bahru ini juga menawarkan pelbagai aksesori tambahan termasuk helmet pelbagai jenama. 

Meraikan majlis pembukaan ini termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan, Ketua Pegawai Pemasaran, George Kashiwagi dan  Pengarah Kawasaki Johor Baharu, Qbee Ng.  

Dalam pada itu, turut memeriahkan majlis adalah acara penyerahan tiga motosikal jenis Kawasaki Ninja ZX-25RR yang baru sahaja diperkenalkan untuk pasaran tempatan. 

Sementara itu, EMOS cadang buka lapan lagi pusat pameran bertaraf All-Star Kawasaki menjelang Disember tahun ini. 

Kawasaki Z900 ABS, SE kini dengan grafik dan warna lebih menarik

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS) baru-baru ini telah memperkenalkan warna dan grafik baharu untuk dua jentera naked Kawasaki iaitu Z900 ABS dan Z900 SE.

Untuk tahun 2024, Z900 ABS memperkenalkan kombinasi warna baharu Candy Persimmon Red/Ebony, manakala Z900 SE pula boleh didapati dalam warna Metallic Spark Black/Metallic Matte Graphenesteel Gray.

Selain daripada itu, tiada sebarang perubahan mekanikal dilakukan. Z900 ABS dan Z900 SE akan terus dikuasakan oleh enjin sejukan cecair 948 cc, empat silinder sebaris yang menghasilkan 125 hp pada 9,500 rpm dan 98.6 Nm pada 7,700 rpm.

Dari segi kelengkapan, kedua-dua model ini menawarkan tiga mod tunggangan iaitu Road, Sport dan Rain, pilihan mod kuasa, tiga tetapan kawalan cengkaman KTRC (Kawasaki Traction Control) dan klac jenis Assist & Slipper.

Untuk tahap tunggangan yang lebih tinggi, Z900 SE menampilkan kelengkapan tambahan berupa fork terbalik berwarna emas di hadapan dan penyerap hentak Öhlins S46 dengan pelaras pra-muatan di belakang.

Harga jualan bermula dari RM44,900 untuk Z900 ABS dan RM55,900 untuk Z900 SE. Setiap pembelian didatangkan dengan waranti selama dua tahun tanpa had perbatuan.

Pusat 4S Kawasaki kini dibuka di Kuching

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat milik penuh Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), baru-baru ini merasmikan pembukaan pusat 4S flagship ketiganya iaitu Kawasaki Kuching yang terletak di Kuching, Sarawak.

Terletak di bawah pengurusan Ghee Hua Co Sdn Bhd, Kawasaki Kuching merupakan pusat pameran bertaraf All-Star yang pertama di Malaysia Timur dan ketiga di Malaysia.

Majlis pelancaran dirasmikan oleh Law Kin Hin, Pengarah Kawasaki Kuching dan Ghee Hua Group, bersama Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas. Ia turut disaksikan oleh YB Dato Sri Abd Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak.

Ghee Hua diasaskan pada 1968 sebagai syarikat menjual basikal sebelum ia berkembang kepada penjualan motosikal pada 1970. Syarikat itu menjalinkan kerjasama dengan Modenas sebagai pengedar sah motosikal jenama itu pada Ogos 2000.

Dengan pembukaan Kawasaki Kuching, EMOS menjangkakan dapat memeriahkan pasaran motosikal dan skuter Kawasaki dan Modenas di Sabah dan Sarawak.

Syarikat itu mensasarkan untuk membuka 10 lagi pusat 4S Kawasaki pada tahun ini dan melantik lima pengedar bertaraf All-Star dalam tahun yang sama.

Menurut EMOS, semua pusat 4S Kawasaki All Star mematuhi piawaian reka bentuk dan pembinaan Kawasaki Plaza di Jepun yang mengutamakan paparan produk dan visual.

Kawasaki dedah prototaip motosikal hidrogen di Jepun

Kawasaki dengan bangganya mendedahkan prototaip motosikal berkuasa hidrogen pertamanya ketika di persidangan Group Vision 2023, 12 Disember lalu. 

Mengguna pakai Ninja H2 SX sebagai asas utama, prototaip tersebut ternyata hadir dengan reka bentuk yang besar. Menariknya, panniers kiri dan kanan yang sebelum ini berfungsi sebagai tempat letak barang telah bertukar menjadi ruang simpanan hidrogen. 

Prototaip diberi nama Kawasaki H2 HYSE (Hydrogen Small Mobility & Engine) ini masih berada di peringkat awal ujian dan kami jangka beberapa perubahan akan dilaksanakan sekiranya akan dibawa ke peringkat pengeluaran kelak. 

Apa pun, berdasarkan video yang Kawasaki kongsikan, jelas menampakkan H2 HYSE ini sememangnya boleh ditunggang walaupun masih berada di peringkat awal. 

Kawasaki juga tidak mendedahkan spepsifikasi model tersebut termasuk penggunaan bahan api dan jarak yang boleh dicapai. Untuk rekod, projek HYSE ini dibangunkan bersama Honda, Yamaha dan Suzuki. 

Kawasaki Ninja ZX-10RR Anniversary Edition 2024 – hanya 40 Unit, tiga warna khas

Kawasaki UK dengan kerjasama Kar Lee Design teal menghasilkan Kawasaki ZX-10RR edisi khas yang menampilkan warna dann grafik unik sempena meraikan ulang tahun ke-40 model itu. 

Menariknya, hanya 40 unit model khas ini akan dihasilkan dengan masing-masing hadir dengan plak khas bagi memberitahu unit nombor pengeluaran. Selain itu, pembeli juga boleh memilih daripada tiga rekaan yang ditawarkan. 

Tidak cukup dengan itu, edisi khas ini juga dibangunkan daripada ZX-10RR edisi berprestasi tinggi bermakna kesemua 40 unit menampilkan ekzos Akrapovic, penutup tempat duduk pilion, penghadang angin berwarna ‘smoke’, dan pad tangki. Juga disertakan adalah ‘paddock stand’, penutup motosikal dan ‘keychain’ istimewa. 

Untuk rekod, Kawasaki Ninja ZX-10RR ini menawarkan 214hp pada 14,000rpm dann 111.8Nm pada 11,700rpm. 

Warna dan grafik baharu untuk Modenas Kawasaki Z250 ABS, Z650, Versys 1000 SE, Ninja 1000 SE, KX250, KX250X

Edaran Modenas Sdn Bhd  mengumumkan warna dan grafik baharu untuk barisan model di Malaysia, iaitu Z250 ABS, Z650, Versys 1000 SE, Ninja 1000 SE, KX250, KX250X.

Z250 ABS

Z250 mendapat warna Metallic Matte Graphenesteel Grey/Ebony Frame Golden Blazed Green, dijual pada harga RM20,600.

Z650 ABS

Bagi Z650 ABS, ia ditawarkan dengan kombinasi warna Candy Persimmon Red/Noble Frame Metallic Red/Wheel Metallic Persimmon Red. Harga adalah RM35,900.

Versys 1000 SE

Versys 1000 SE pula kini hadir dengan warna Phantom Silver/Metallic Diablo Black, berharga RM81,900.

ZX1000 SE

Seterusnya merupakan Ninja ZX1000 SE, yang kini mendapat warna Emerald Blazed Green/Metallic Diablo Black/Metallic Graphite Grey. Superbike ini ditawarkan pada harga RM71,400.

KX250 dan KX250X

Akhir sekali adalah duo KX250 dan KX250X, dimana masing-masing hadir dengan warna Lime Green. KX250 berharga RM35,000 manakala KX250X RM35,500.

Kesemua model dengan warna baharu ini adalah bagi tahun 2024, dan setiap satu mengekalkan kelengkapan serta prestasi yang ditawarkan model semasa. Dengan pengenalan warna-warna baharu ini juga, warna lama akan ditamatkan penawarannya.

Kawasaki ZX-25R kini di Malaysia! Dua warna, RM33,900

INI dia satu motosikal yang dinanti-nanti ramai peminat sportbike, Kawasaki Ninja ZX-25R telah secara rasmi dilancar di Malaysia.

Dibawakan secara rasmi oleh Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), ZX-25R ditawarkan pada harga RM33,900 dan hadir dengan dua warna – Metallic Matte Graphensteel Gray dan Lime Green.

Untuk pasaran tempatan, Ninja ZX-25R akan ditawarkan dalam dua versi iaitu SE dan RR. Sebagai model varian lebih sporty, RR dilengkapi dengan fork jenis Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston) 37mm pada bahagian hadapan dan penyerap hentak monoshock Showa BFRC pada bahagian belakang.

Untuk enjin, kedua-dua versi dikuasakan oleh enjin 249.8cc 4-silinder sebaris yang menghasilkan 47hp pada 15,500 rpm dan 22.9 Nm pada 14,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan dengan Quickshifter dan Assist & Slipper Clutch.

Dari segi dimensi, sportbike ini mempunyai panjang 1,980mm, lebar 750mm, dan tinggi 1,100mm serta jarak roda 1,380mm. Ia mempunyai tinggi tempat duduk 785mm, berat 184kg dan kapasiti tangki bahan api 15 liter.

Selain itu, Ninja ZX25-R juga didatangkan dengan panel instrumen TFT, Kawasaki Traction Control (KTRC), Power Modes, serta brek cakera berukuran 310mm dengan angkup monobloc empat piston di hadapan dan cakera 210mm dengan angkup piston tunggal di belakang.

Modenas Versys-X 250 dijual pada harga bermula RM24,900

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS) telah mengumumkan harga jualan rasmi bagi model Modenas Versys-X 250 iaitu RM24,900.

Boleh didapati dalam warna Metallic Flat Spark Black/CDY Lime Green, Versys-X 250 direka untuk menawarkan pengalaman menunggang, prestasi, dan gaya yang luar biasa dalam segmen kembara.

 

Model ini dikuasakan oleh enjin 249 cc, silinder berkembar selari yang menghasilkan 33 hp pada 11,500 rpm dan 21.7 Nm pada 10,000 rpm.

Enjin berkenaan digandingkan dengan transmisi enam kelajuan yang mempunyai klac jenis Slipper & Assist.

Untuk bahagian casis, Versys-X 250 menggunakan fork teleskopik 41 mm dan suspensi jenis monoshock. Sistem ini dipadankan dengan rim bersaiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.

Selain itu, motosikal ini juga dilengkapi dengan brek cakera bersama ABS dwi-saluran. Tangki bahan apinya berkapasiti 17 liter, manakala ketinggian tempat duduk adalah 815 mm.

Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas berkata, “Kami teruja untuk memperkenalkan Versys-X 250 ke pasaran Malaysia pada harga yang kompetitif. Motosikal ini melambangkan semangat pengembaraan dan sesuai untuk penunggang yang gemar tunggang yang lasak.

Dengan ciri-ciri yang luar biasa dan harga berpatutan, kami percaya ia akan menjadi pengubah segmen jelajah pengembaraan.”

Ini harga rasmi untuk Ninja ZX-25R – Bermula RM33,900, enjin 250cc dengan 51hp/22.9Nm

SELEPAS dibuka untuk tempahan baru-baru ini, Kawasaki Ninja ZX-25R akhirnya rasmi memasuki pasaran Malaysia.

Dibawakan oleh Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), sportbike itu ditawarkan pada harga bermula RM33,900 untuk ZX-25R SE.

Motosikal ini menampilkan nadi empat-silinder 249.8cc dengan output 51hp pada 15,500rpm dan 22.9Nm tork pada 14,000rpm, menjadikannya model paling berkuasa dalam segmennya.

Kuasa dihantar ke roda belakang melalui kotak gear 6-kelajuan dengan quickshifter dan klac slipper & assist sebagai standard.

Selain itu, Ninja ZX-25R juga didatangkan dengan panel instrumen TFT, Kawasaki Traction Control (KTRC), Power Mode, serta brek cakera berukuran 310 mm dengan angkup monobloc empat piston di hadapan dan cakera 210 mm dengan angkup piston tunggal di belakang.

Untuk pasaran Malaysia, Ninja ZX-25R SE ditawarkan dengan dua warna iaitu Lime Green/Ebony dan Metallic Matte Graphenesteel Grey/Ebony.

Belum ada harga untuk ZX-25RR iaitu varian lebih sporty. Ia dilengkapi dengan fork jenis Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston) 37 mm pada bahagian hadapan dan penyerap hentak monoshock Showa BFRC pada bahagian belakang.

Kawasaki Ninja ZX-25R akhirnya dibuka untuk tempahan di Malaysia

PENGEDAR rasmi motosikal Kawasaki di Malaysia iaitu Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) telah mengumumkan bahawa tempahan untuk Kawasaki Ninja ZX-25R telah pun dibuka.

Harga jualan masih belum diumumkan namun menurut laporan media tempatan, model sportbike ini akan dilancarkan secara rasmi pada September tahun ini.

Untuk pasaran tempatan, Ninja ZX-25R akan ditawarkan dalam dua versi iaitu SE dan RR. Sebagai model varian lebih sporty, RR dilengkapi dengan fork jenis Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston) 37 mm pada bahagian hadapan dan penyerap hentak monoshock Showa BFRC pada bahagian belakang.

Untuk enjin, kedua-dua versi dikuasakan oleh enjin 249.8 cc empat silinder sebaris yang menghasilkan 51 PS pada 15,500 rpm dan 22.9 Nm pada 14,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dengan teknologi quickshifter dan klac slipper & assist.

Selain itu, Ninja ZX25-R juga didatangkan dengan panel instrumen TFT, Kawasaki Traction Control (KTRC), Power Modes, serta brek cakera berukuran 310 mm dengan angkup monobloc empat piston di hadapan dan cakera 210 mm dengan angkup piston tunggal di belakang.

Modenas Versys 650 versi 2023 kini di pasaran – harga dari RM38,400

DI samping Ninja 650 dan Z650, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) turut melancarkan Modenas Versys 650 yang telah ditambah baik untuk model tahun 2023.

Motosikal jenis kembara ini boleh didapati dalam dua warna iaitu Metallic Spark Black dan Candy Limegreen/Metallic Flat Spark Black, dengan harga jualan bermula dari RM38,400 hingga RM39,100.

Untuk 2023, Versys 650 tampil dengan rekaan lebih bergaya serta kemudahan dalam bentuk cermin penghadang angin dengan ketinggian boleh laras. Ini meminimumkan rintangan angin, mengoptimumkan aerodinamik, serta meningkatkan keselesaan jarak jauh.

Seperti sebelum ini, Versys 650 dikuasakan oleh enjin silinder kembar selari bersesaran 645 cc dengan kuasa sebanyak 65.7 hp pada 8,500 rpm dan 61 Nm pada 7,000 rpm. Enjin ini dicantumkan dengan transmisi enam kelajuan.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik pada bahagian depan dan penyerap hentak jenis monoshock dengan pelarasan pramuatan pada bahagian belakang. Rim yang digunakan bersaiz 17 inci.

Untuk sistem brek pula, terdapat cakera berkembar berukuran 300 mm pada roda depan dan cakera tunggal 250 mm pada tayar belakang, serta tidak lupakan ABS.

Seperti Ninja 650 dan Z650, model ini juga didatangkan dengan Kawasaki Traction Control (KTRC) yang boleh diakses menerusi paparan TFT berukuran 4.3 inci.

Menerusi paparan tersebut juga, penunggang boleh mengakses telefon pintar menerusi sambungan aplikasi Rideology yang disertakan secara standard.

Versys 650 boleh didapati menerusi rangkaian pengedar sah Kawasaki di seluruh Malaysia mulai akhir bulan Julai.

Modenas Ninja 650, Z650 versi 2023 dilancarkan di Malaysia

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS) hari ini melancarkan Modenas Ninja 650 dan Z650 ke pasaran tempatan. Kedua-duanya merupakan model tahun 2023 yang telah diberikan beberapa penambahbaikan.

Untuk Ninja 650, motosikal jenis sportbike ini tampil dengan reka bentuk yang lebih agresif dan tajam, serta pencahayaan LED. Ia juga mendapat ciri sambungan telefon pintar Rideology oleh Kawasaki yang memberikan penunggang akses kepada maklumat dan data penting.

Sementara itu, Z650 yang merupakan model jenis naked pula mempunyai kerangka yang dierka semula untuk kedudukan yang lebih ergonomik dan selesa untuk semua jenis penunggang.

Ia juga didatangkan dengan meter TFT yang menawarkan paparan yang jelas serta akses kepada tiga mod tunggangan yang disediakan iaitu Sport, Road dan Rain.

Bukan itu sahaja, pengendalian motosikal ini juga dipertingkatkan menerusi penggunaan fork teleskopik pada bahagian belakang dan penyerap hentak horizontal back-link pada bahagian belakang.

Difahamkan, Ninja 650 dan Z650 kini juga dilengkapi dengan ciri Kawasaki Traction Control (KTRC) yang mempunyai tiga mod iaitu Mode 1, Mode 2 dan Off.

Kedua-duanya masih dikuasakan oleh enjin penyejukan cecair DOHC 649 cc dengan dua silinder sebaris yang menghasilkan 68 PS pada 8,000 rpm dan 64 Nm pada 6,700 rpm.

Ninja 650 dijual pada harga RM35,200 untuk warna Metallic Matte Graphenesteel Gray dan RM35,900 untuk warna Lime Green/Ebony.

Z650 pula boleh didapati pada harga RM34,500 untuk Metallic Spark Black dan RM35,200 untuk Metallic Matte Graphenesteel Gray.

Jaminan dua tahun untuk semua model Kawasaki dan Modenas

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), pengedar rasmi Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), mengumumkan pelaksanaan program jaminan dua-tahun tanpa had perbatuan untuk semua model Kawasaki dan Modenas.

Perkara itu berkuatkuasa bermula 1 Julai 2023, untuk semua model dari 250cc hingga 1,000cc. Jaminan ini merupakan penambahan dari sebelum ini yang mengehadkan perbatuan sebanyak 20,000km untuk tempoh dua tahun.

Program jaminan ini akan datang sebagai piawaian standard kilang yang terdiri daripada:

  • Kawasaki menjamin setiap produk baharu bebas daripada kecacatan pembuatan untuk tempoh 24 bulan dari tarikh asal jualan oleh pengedar Kawasaki yang sah.
  • Terma dan syarat yang sama dikenakan kepada pemilik baharu tetapi ambil perhatian bahawa jaminan tamat dalam semua kes selepas tempoh tertentu dari tarikh jualan kepada pembeli asal.
  • Produk Kawasaki berprestasi terbaik dengan penyelenggaraan dan servis biasa, dan setiap model mempunyai jadual penyelenggaraan yang direka untuk memastikan ia beroperasi pada tahap prestasi optimumnya. Kami mengesyorkan kenderaan diservis oleh pengedar Kawasaki yang sah mengikut jadual servis yang diperincikan dalam manual pemilik anda.

Sebagai tambahan, perkhidmatan bantuan 24/7 juga akan disertakan dalam program jaminan baharu ini. Jaminan ini mempunyai terma dan syarat semasa yang sama seperti jaminan pengilang standard dan hendaklah kekal bersama motosikal apabila dijual atau dipindahkan kepada pemilik baru

Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas berkata: “Dengan menghapuskan sekatan jarak daripada jaminan sedia ada, pengguna kami akan dapat menikmati pengalaman tunggangan dengan bebas dan tenang.

“Program ini juga sebagai tanda keyakinan daripada Modenas kepada semua penggunanya di luar sana terhadap kualiti setiap produknya.

“Selain itu, kepada semua pemilik, sila pastikan untuk mengikuti jadual servis di pusat servis atau pengedar Kawasaki/Modenas yang sah anda dengan teliti untuk mengelakkan jaminan terbatal kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati,” katanya.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, anda boleh melayari laman web rasmi KAWASAKI Malaysia di: http://www.kawasaki.com.my/home.

Kawasaki Ninja ZX-6R dapat kemaskini menyeluruh untuk 2024

SEGMEN motosikal supersport mungkin tidak serancak segmen-segmen lain namun ia tidaklah ‘mati’ sepenuhnya. Kawasaki, salah satu pengeluar yang masih bersaing dalam pasaran ini, baru-baru ini telah mengemaskini Ninja ZX-6R bagi model tahun 2024.

Dari segi penampilan, ZX-6R mendapat ‘wajah’ baharu menerusi cowling depan dan lampu LED yang direka semula, serta cermin penghadang angin yang lebih rendah. Tidak seperti sebelum ini, bahagian di sekeliling RAM Air Intake dicat sepenuhnya.

Jentera ini masih lagi dikuasakan oleh enjin DOHC 636 cc empat silinder sebaris cuma cam profile-nya telah dikemas kini untuk mendapatkan prestasi rpm julat rendah yang lebih baik dan membantu mematuhi piawaian emisi yang lebih ketat.

Selain itu, Kawasaki turut menala semula penyuntik untuk pengabusan (atomisation) bahan api yang lebih tepat dan mereka bentuk semula corong kemasukan kotak udara untuk meningkatkan pecutan pada rpm julat pertengahan.

Satu lagi penambahbaikan yang telah dilakukan adalah pada sistem ekzos. Menurut syarikat itu, paip header kini mempunyai susun atur baharu untuk mencapai emisi yang lebih bersih serta meningkatkan respon dari sensor O2.

Sistem suspensi terdiri daripada Showa Separate Function Fork—Big Piston (SFF-BP) pada bahagian depan dan penyerap hentak Showa dengan fungsi pelarasan sepenuhnya pada bahagian belakang.

Untuk kuasa membrek, ZX-6R menggunakan cakera berkembar 310 mm dengan angkup monobloc empat piston pada bahagian depan. Bahagian belakang pula dilengkapi dengan cakera 220 mm dan angkup tunggal. Tayar yang digunakan adalah jenis Pirelli Diablo Rosso IV.

Sistem elektronik juga telah dipertingkatkan menerusi penambahan Kawasaki Intelligent Anti-Lock Brake System (KIBS) dan tiga mod tunggangan iaitu Sport, Road dan Rain. Ciri-ciri seperti Kawasaki TRaction Control (KTRC), Power Mode Selection dan Quickshifter masih tersedia seperti sebelum ini.

Sistem-sistem ini boleh diakses menerusi paparan TFT berwarna 4.3 inci baharu yang turut memuatkan speedometer digital, tachomoter jenis bar, posisi gear, lampu penukaran gear, tolok bahan api, meter perjalanan, kadar penggunaan bahan api dan pelbagai lagi.

Bukan itu sahaja, penunggang kini boleh menyambungkan telefon pintar mereka menerusi Bluetooth dan menggunakan aplikasi Rideology untuk mengakses fungsi-fungsi seperti info kenderaan, log tunggangan dan panggilan.

Di Amerika Syarikat, harga jualan Ninja ZX-6R bermula dari USD11,299 (RM52,173) hingga USD12,299 (RM56,790).