DINAMIKJAYA Motors Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Kia di Malaysia telah mengumumkan harga rasmi Carnival 2022 serba baharu iaitu bermula pada RM196,340.80.
Kia Grand Carnival ini ialah MPV saiz penuh dengan kapasiti 11 penumpang, kini dalam generasi keempat.
Model 2022 ini membawakan gaya hampir menyerupai SUV dengan tiang-A dan hud depan hampir rata. Kemudian dipadankan dengan banyak elemen perincian pada rekaan yang memberikan rupa lebih rugged dan bergaya.
Seperti model-model Kia lain, Carnival 2022 juga mendapat gril ‘Tiger nose’ yang menjadi identiti mereka, dan diapit oleh lampu LED quad projektor serta DRL LED yang memaparkan bentuk lebih menonjol dan unik.
Bahagian tepi menampilkan garisan tunggal dari hud depan hingga ke pembuka pintu hingga rel pintu belakang, selain warna hitam pada tiang-A dan D untuk menampakkan gaya ‘bumbung terapung’.
Di bahagian dalam, Kia Carnival dilengkapi skrin infotainmen 12.3-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, manakala untuk pemandu, kluster instrumen dengan skrin 4.2-inci. Tujuh soket USB dan sambungan Bluetooth juga adalah standard.
11 tempat duduk Carnival ini disusun dengan konfigurasi 4 barisan 2-3-3-3. Tempat duduk tengah barisan kedua dan ketiga adalah lebih kecil dan boleh dilipat untuk memudahkan keluar masuk ke baris keempat.
Untuk dimensi, Kia Carnival ini bersaiz 5,155mm panjang, 1,995mm lebar dan mempunyai jarak roda 3,090mm.
Enjin 2.2-liter turbodiesel dikekalkan dari sebelum ini, cuma kini menggunakan nama Smartstream D2.2. Ia menjana 190hp pada 3,800rpm dan 441Nm tork pada 1,750 hingga 2,750rpm. Kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik 8-kelajuan.
Berminat? Anda sudah boleh menempah Kia Carnival ini dan ia hadir dengan jaminan 5-tahun atau 100,000km.
ADAKAH anda sedang tercari-cari kenderaan untuk seisi keluarga yang selesa, menawan dan berkuasa?
Jika ya, ini merupakan berita baik untuk anda!
Dinamikjaya Motors iaitu pengedar rasmi Kia di Malaysia mengumumkan model Carnival bakal ‘menjengah’ pasaran Malaysia dalam waktu terdekat.
Syarikat itu berkata, pelanggan berminat kini boleh membuat tempahan awal yang mana kenderaan tersebut dijangka diedar seawal Mei tahun depan.
Foto ihsan Kia
Kia Carnival 2022 ini ditawarkan hanya dalam satu varian iaitu 2.2D yang menggunakan enjin diesel turbo empat silinder 2.2 liter.
Ia mempunyai transmisi automatik lapan kelajuan yang dapat menghasilkan kuasa 202 PS pada 3,800 rpm dan 441 Nm tork pada 1,750 hingga 2,750 rpm.
Selain itu, Kia Carnival 2022 kali ini tampil lebih moden dengan beberapa pembaharuan dari segi rekaan luarannya.
Mempunyai gril Tiger Nose lebih besar membuatkan kenderaan ini kelihatan lebih ‘berani’ dan elegan.
Foto ihsan Kia
Ruang lebih luas
Model ini mempunyai 11 tempat duduk dengan catatan panjang 5,155 mm (+40 mm), jarak roda 3,090 mm (+30 mm) dan lebar 1,995 mm (+10 mm).
Bagi menambahkan lagi keselesaan, Kia Carnival 2022 ini turut didatangkan dengan sistem suspensi serba baharu selain tahap bunyi ditambah baik.
Pada masa sama, aspek keselamatan turut dipertingkatkan dengan sistem kawalan stabiliti, pemerhati titik buta dan amaran trafik arah belakang.
Foto ihsan Kia
Ciri-ciri eksklusif
Tidak kurang hebat berbanding produk kenderaan lain, Kia Carnival 2022 tidak ‘sunyi’ daripada pelbagai ciri-ciri khas dalaman yang canggih dan eksklusif.
Ciri-ciri lain terdapat pada model ini adalah skrin sesentuh 12.3 inci, sistem tanpa kunci, kawalan pendingin hawa tiga zon dan tempat duduk larasan kuasa.
Terdapat juga sistem pengecas Qi tanpa wayar, enam pembesar suara, sistem kamera 360 darjah dan pintu gelungsur / but bukaan kuasa.
Bagaimanapun, setakat ini Dinamikjaya Motors belum mengumumkan harga Kia Carnival 2022. Ia dijangka akan didedahkan sebelum Mei tahun depan.
SEDAN segmen-C mungkin didominasi oleh Honda Civic namun ini tidak bermakna pengeluar-pengeluar lain akan hanya mengibarkan bendera putih sebagai tanda menyerah kalah.
Kia, sebagai contoh, telah mengemaskini Forte generasi ketiga (juga dikenali sebagai Cerato dan K3) dengan rekaan lebih segak dan kelengkapan baharu dalam usahanya untuk memberi saingan kepada Civic.
Penampilan Forte diperkemaskan menerusi rekaan lampu dan jeriji hidung harimau yang lebih langsing, bampar hadapan dan belakang yang kelihatan lebih lebar serta trunk spoiler. Rim juga direka semula dan boleh didapati dalam saiz 16- hingga 17-inci, bergantung pada varian.
Pada dua varian teratas iaitu GT Line dan GT, lampu kabus LED diintegrasikan pada lubang kemasukan udara, manakala lampu belakang pula mempunyai grafik LED yang lebih sporti.
Di dalam, varian FE dan LXS didatangkan standard dengan skrin sesentuh berukuran lapan inci dengan Apple CarPlay tanpa-wayar dan Android Auto, manakala GT Line dan GT mendapat paparan 10.25-inci, di samping Smart Key dengan fungsi Remote Start.
Selain itu, kluster LCD TFT 4.2-inci disertakan sebagai ciri standard pada kesemua varian, begitu juga dengan brek parkir elektronik dengan ciri Auto Hold. Pelanggan bagaimanapun boleh memilih untuk mendapatkan port pengecas USB belakang dan upholsteri kulit sintetik Syntex.
Seperti sebelum ini, Forte boleh didapati dengan dua jenis enjin. Untuk varian FE, LXS dan GT Line adalah enjin 2.0-liter MPI empat silinder yang menjana 147hp dan 179Nm. Enjin naturally-aspirated ini digandingkan dengan kotak gear jenis Intelligent Continuously Variable Transmission (IVT).
Sebagai varian tertinggi dalam barisannya, Forte GT tampil dengan enjin turbo 1.6-liter GDI empat silinder yang boleh didapati dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan atau manual 6-kelajuan.
Kuasa yang dihasilkan agak tinggi iaitu 201hp dan 265Nm. Turut disertakan pada varian ini adalah ekzos sport berkembar dan suspensi multi-link.
Akhir sekali, model ini juga mendapat beberapa sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) baharu. Ini termasuklah Lane Following Assist (LFA), Highway Driving Assist (HDA), Navigation Based Smart Cruise Control (NSCC) dan Safe Exit Warning (SEW).
Ia merupakan tambahan kepada ciri-ciri sedia ada yang telah ditambah baik seperti Blind Spot Collision Avoidance Assist (BCA), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Rear Cross-Traffic Collision Avoidance Assist (RCCA) dan pelbagai lagi. Menurut Kia, Forte ditawarkan dengan 15 ciri ADAS kesemuanya, dengan enam daripadanya disertakan standard.
Di Amerika Syarikat, Forte dijual pada harga bermula dari USD19,090 (RM79,414) hingga USD23,490 (RM97,718).
PEMINAT kereta pasti tidak asing dengan nama Hyundai dan Kia.
Ada pelbagai sebab mengapa nama dua syarikat ini begitu popular.
Antara sebab itu adalah, pertama, kenderaan keluaran Hyundai dan Kia berasal dari Korea Selatan yang terkenal dengan K-Pop.
Kedua, kebanyakan produk keluaran Hyundai dan Kia seringkali mengalami susut nilai agak tinggi dalam pasaran kenderaan terpakai.
Bagaimanapun, itu tidak bermakna produk keluaran Korea Selatan tidak berkualiti dan jangan terkejut jika masih ada kenderaan secondhand yang masih ‘mantul’ untuk dibeli.
Nak tahu model mana yang dimaksudkan kami? Jom teruskan membaca!
Kia Cerato 2.0
Menerusi pencarian kami di alam maya, Kia Cerato antara kereta terpakai yang masih berbaloi untuk dimiliki.
Ia bukan sahaja kerana harganya yang rendah tetapi, kondisi kereta itu boleh dikatakan masih berada pada tahap terbaik.
Sebuah Kia Cerato 2.0 buatan tahun 2014 dianggarkan sekitar RM46,800 sahaja.
Kia Cerato. – Foto ihsan Wikipedia
Kia Optima 2.0
Pernahkah anda menonton rancangan Roda Impian?
Jika masih ingat, Kia Optima pernah dijadikan sebagai hadiah utama bagi rancangan itu.
Kia Optima mempunyai pelbagai spesifikasi menarik antaranya infinity sound system, kerusi dibalut dengan material kulit dan panoramic sunroof.
Harga baharu sebuah Kia Optima pernah mencecah RM150,000 dan kini anda boleh memilikinya dengan RM46,800.
Kia Optima. – Foto ihsan Wikipedia
Kia Sportage (2014)
Nama Kia Sportage bukan asing bagi peminat kenderaan utiliti sukan atau SUV.
Ia terkenal kerana mempunyai rekaan menarik selain sangat penggunaan bahan bakar yang menjimatkan.
Pada 2014, Kia Sportage dijual pada harga RM140,000.
Namun, kini anda hanya boleh memiliki model ini pada harga RM45,800!
Kia Sportage. – Foto ihsan Wikipedia
Hyundai Veloster
Hyundai Veloster keluaran tahun 2014 memang unik!
Ramai juga yang confuse sama ada ia merupakan sebuah SUV atau hatchback.
Model ini mempunyai beberapa spesifikasi canggih termasuk rain censor dan killers button.
Harga asal Hyundai Veloster adalah RM132,000 dan kini, cukup sekadar jika anda mempunyai RM45,000!
Cukup berbaloi kawan…
Hyundai Veloster. – Foto ihsan Wikipedia
Hyundai Sonata
Hyundai Sonata 2.0 antara kenderaan Korea Selatan yang boleh didapati dengan harga yang rendah.
Jika dahulu ia dijual sekitar RM139,000 sehingga RM154,000 tetapi kini anda boleh memilikinya pada harga RM47,788!
Hyundai Sonata. – Foto ihsan Wikipedia
Hyundai Starex (Grand Starex 2.5 Royale)
Jika anda mempunyai keluarga besar, kami nasihatkan anda ‘sambar’ model Starex ini.
Starex keluaran tahun 2014 dianggarkan sekitar RM156,000 sehingga RM177,000.
Kini, ia boleh dibeli pada harga RM49,900 sahaja!
Untuk pengetahuan anda, Starex bukan sahaja menjimatkan minyak dan mempunyai 11 tempat duduk.
Lebih penting model ini amat berkuasa dan gagah ‘membelah’ lebuhraya…170 km/j tak ‘goyang’ bro!
Hyundai Starex. – Foto ihsan Wikipedia
Hyundai Tucson 2.0 facelift
Tucson mungkin tidak begitu terkenal di Malaysia tetapi boleh tahan famous di Amerika Syarikat.
Semasa ia mula dilancarkan, sebuah Tucson dijual pada harga RM143,888.
Kini, ia mengalami susut nilai sehingga RM41,500!
Hyundai Tucson. – Foto ihsan Wikipedia
Hyundai Elantra
Sebelum kami mendedahkan harga sebuah Elantra maka, elok kita semak antara beberapa spesifikasi terbaik model ini.
Elantra didatangkan dengan kerusi kulit. Pada masa sama, ia juga mempunyai parking censor dan recerse camera.
Harga sebuah Elantra high spec sekitar RM119,00 dan kini ia boleh dibeli hanya RM44,800!
Hyundai Elantra. – Foto ihsan Wikipedia
Demikian lapan model kereta keluaran Korea Selatan yang berharga RM50,000 ke bawah.
Semua kereta ini bagaimanapun adalah kenderaan terpakai sekurang-kurangnya berusia lebih lima sehingga enam tahun.
Jadi, kepada anda kalau teringin nak memiliki sebuah kereta Korea Selatan boleh buat survey ya!
Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda. Annyeong Higaseyo!
JIKA anda berkira-kira untuk menyambar Kia Stinger, baik berbuat demikian cepat. Ini kerana tiada khabar mengenai Stinger generasi akan datang, mungkin kerana jualannya yang agak ‘suam-suam kuku’.
Menurut laporan media antarabangsa, jangka hayat Stinger mungkin berakhir pada musim bunga tahun depan. Kia telah mendedahkan pelan produksi untuk kilang pengeluarannya di Korea Selatan pada 16 Julai lepas.
Stinger dipasang di kilang itu yang terletak di Sohari Plant, Gwangmyeong, tetapi menurut Korean Car Blog, kilang itu akan diubah untuk persediaan mengeluarkan kenderaan elektrik secara besar-besaran, terutamanya Carnival hibrid.
Ubah suai dan rombakan kilang itu akan bermula awal tahun depan, dan pengeluaran Stinger dijangka berakhir pada separuh masa kedua 2022.
Walaubagaimanapun, Kia ada melancarkan Stinger facelift pada Ogos tahun lepas yang kemudiannya diperkenalkan di pasaran-pasaran eksport awal tahun ini. Jika sedan sports rear-wheel drive ini tidak dihentikan pun, kemungkinan jumlah pengeluarannya akan dikurangkan.
Kia Stinger facelift ditawarkan dengan tiga pilihan enjin petrol, tambahan kepada dua pilihan sebelum ini.
Kesemua enjin digandingkan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan, dengan RWD atau AWD. Stinger turut dilengkapi dengan paparan infotainmen yang dikemaskini, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, serta Bluetooth.
Semasa dilancarkan di Malaysia pada 2018, Kia Stinger berharga RM240k hingga RM310k dan bersaing dengan sedan sports seperti Mercedes-AMG C43 4Matic.
Kami sejujurnya berharap Kia akan terus menawarkan Stinger kepada pasaran kerana ia satu model yang cukup sporti dan berbeza dari model-model lain jenama itu. Ia juga menerima pujian dari penguji-penguji yang telah memandunya.
PENGANALISIS ekonomi percaya Hyundai Motor Co. dan rakan kerjasamanya Kia Corp. bakal mencatatkan keuntungan tinggi pada suku kedua tahun ini.
Ia dipacu permintaan positif bagi kenderaan syarikat terbabit dalam usaha mengimbangi gangguan output kekurangan semikonduktor.
Hyundai serta Kia merupakan pengeluar kenderaan kelima terbesar di dunia dengan penjualan dijangka mencatat keuntungan operasi lebih 1.86 trilion won dan 1.34 trilion won bagi suku berakhir 30 Jun.
Tahun lalu, Hyundai dan Kia mencatat hanya 590 bilion won dan 145 bilion won dalam tempoh yang sama.
Sementara itu, laporan pakar turut melihat kejayaan Hyundai dan Kia susulan penjualan kenderaan mewah yang kukuh di pasaran Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).
“Kombinasi campuran produk yang lebih baik, insentif lebih rendah dan harga jualan purata lebih tinggi di pasaran AS membantu mengimbangi kesan kekurangan cip,” kata penganalisis di Hana Financial Investment Co.
Sejak Januari hingga Jun, Hyundai dan Kia menjual 3.47 juta kenderaan.
Ia meningkat 25 peratus daripada 2.77 juta unit pada tempoh sama tahun lalu.
Tahun ini, dua syarikat gergasi itu membuat unjuran penjualan 7.08 juta kenderaan.
Bagaimanapun, ia sedikit rendah berbanding 7.2 juta unit tahun lalu.
Berdasarkan tinjauan kenderaan utiliti crossover IONIQ 5 milik Hyundai dan model sedan K8 antara mendapat permintaan tinggi pengguna.
Awal tahun 2022, dua model baharu Genesis GV60 SUV dan Kia’s Sportage SUV akan diperkenalkan pula kepada pengguna.