Ini berita baik untuk peminat enjin V8 dan V12 daripada AMG. Dalam persidangan tahunan yang diadakan baru-baru ini, Mercedes-Benz mengumumkan yang ia akan kekal menawarkan enjin-enjin berkenaan.
Bagi enjin V12, pengeluar dari Jerman itu merancang untuk terus menghasilkan enjin tersebut untuk jangka masa panjang namun untuk pasaran tertentu sahaja.
Ini tidak menghairankan kerana pada masa ini, hanya satu model Mercedes yang menggunakan enjin 12 silinder tersebut iaitu Maybach S680. Dengan sesaran 6.0-liter dan dua pengecas turbo, enjin itu menjana 612 PS dan 900 Nm.
Dalam trio jenama mewah Jerman, Mercedes menjadi jenama terakhir yang mengekalkan enjin 12 silinder dalam barisannya. Kali terakhir BMW mempunyai model V12 adalah pada 2022 menerusi M760i, manakala Audi pula keluar dari segmen ini pada 2017 dengan A8 yang dikuasakan enjin W12.
Seterusnya, Mercedes berkata ia sedang membangunkan enjin V8 baharu yang dielektrifikasi untuk model-model yang menggunakan platform AMG.EA. Enjin ini dibangunkan bagi mematuhi piawaian emisi Euro 7 yang lebih ketat.
Tidak pasti sama ada ia akan diberikan kepada C63 generasi seterusnya namun melihat kepada respons hambar terhadap model empat silinder hibrid semasa, ia nampak seperti idea yang bernas.
Syarikat itu tidak menyebut apa-apa tentang enjin enam silinder sebaris yang digunakan oleh S580e dan CLS53, jadi rasanya tidak keterlaluan jika kita anggap yang ia akan dikekalkan.
Untuk enjin empat silinder pula, CLA generasi baharu yang akan diperkenalkan bulan depan akan tampil dengan enjin hibrid 1.5-liter 48v yang dipadankan dengan transmisi DCT lapan kelajuan.
Juara dunia tujuh kali, Sir Lewis Hamilton bakal meninggalkan pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas selepas musim 2024 berakhir.
Terinspirasi dengan kehebatan yang ditunjukkan oleh Sir Lewis Hamilton, sebuah syarikat penala dari Jerman, HOF menghasilkan sebuah G-Wagen kustom dinamakan sebagai “Sir Class”.
Menggunakan G63 AMG sebagai asas, enjin standard kilang bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar itu telah diubah suai dengan komponen berprestasi tinggi seperti rod penyambung, omboh aluminium tempa, unit pengecas turbo, dan kotak udara aluminium.
Dengan talaan semula terhadap ECU, nadi V8 itu kini berupaya menjana kuasa setinggi 1,063 hp dan 1,300 Nm.
Kuasa itu membolehkan kotak ini mencapai kelajuan maksimum 299 km/j.
Selain itu, HOF turut memadankan sistem suspensi gegelung baharu yang merendahkan jarak lega bumi sebanyak 1.2 inci, sekaligus meningkatkan aspek aerodinamik dan pengendalian.
Sistem brek seramik karbon pula digunakan untuk memastikan kotak ini berhenti dengan baik.
Keseluruhan badan SUV petak ini dilayangkan dengan warna yang diinspirasikan daripada jentera Silver Arrrow, diikuti aksen hijau Petronas pada beberapa tempat, dan kit badan gentian karbon yang agak unik.
Untuk ruang kabin, ia turut mendapat kemasan warna aksen hijau Petronas, tempat duduk digantikan dengan unit bucket, penggunaan bahan kulit dan Alcantara, serta ciri “Starry Sky Ceiling”.
Sementara roda stereng pula digantikan dengan unit segi empat seakan stereng jentera F1.
Hanya 11 unit sahaja “Sir Class” akan diproduksikan, setiap satu berharga £540,000 (RM3.05 juta).
Turut dilancarkan di samping G63, SL63, GLE63S dan GLE63 S Coupe adalah dua varian GLC Coupe iaitu GLC350e 4Matic Coupe dan GLC43 4Matic Coupe.
Hadir sebagai pengganti GLC300 4Matic Coupe, GLC350e dijual pada harga RM425,888, manakala GLC43 pula berharga RM498,888.
GLC350e 4Matic Coupe
Model hibrid plug-in (PHEV) ini menampilkan enjin 2.0-liter turbo empat silinder yang menghasilkan 204 PS pada 6,100 rpm dan 320 Nm dari 2,000 hingga 4,000 rpm.
Apabila digandingkan dengan motor elektrik yang menjana 135 PS (100 kW) dan 440 Nm, GLC350e mempunyai kuasa keseluruhan berjumlah 313 PS dan 550 Nm.
Dilengkapi dengan transmisi 9G-Tronic dan sistem pacuan 4Matic, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum 218 km/j.
Motor elektrik berkenaan mendapat bekalan tenaganya daripada bateri voltan tinggi berkapasiti 25.4 kWj yang menawarkan jarak pandu elektrik sejauh 131 km mengikut kitaran WLTP. Bateri tersebut menyokong pengecasan AC 11 kW.
Dari segi kelengkapan, GLC350e menawarkan kelengkapan yang sama dengan GLC300. Ini bermakna ia didatangkan dengan kit badan AMG Line, rim AMG 20 inci, lampu Digital Light dan bumbung suria panoramik.
Di dalam, terdapat upholsteri kulit Artico, kemasan mikrofiber Microcut, skrin sentuh infotainment 11.9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, panel instrumen 12.3 inci, dan sistem audio Burmester 3D.
Tambahan baru pada GLC350e adalah sistem Driving Assistance Package Plus yang merangkumi ciri-ciri seperti Active Distance Assist DISTRONIC, Active Lane Keeping Assist, Active Stop-and-Go Assist, Active Steering Assist, Active Brake Assist, Active Lane Keeping Assist dan Active Blind Spot Assist.
Turut disertakan adalah ciri Parking Package dengan kamera 360 darjah dan Active Parking Assist dengan PARKTRONIC.
GLC43 4Matic Coupe
Seterusnya, GLC43 4Matic Coupe merupakan model Mercedes-AMG kedua yang dipasang di Malaysia selepas C43. Ia dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo empat silinder yang menghasilkan 421 PS dan 500 Nm.
Membantu enjin berkenaan adalah sistem mild hybrid RSG yang memberikan kuasa tambahan sebanyak 10 kW (14 PS) apabila perlu. Selain itu, ia juga membolehkan fungsi coasting dan pemulihan tenaga untuk memaksimumkan kecekapan.
Dengan transmisi AMG Speedshift MCT 9G dan sistem pacuan semua roda 4Matic, GLC43 boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j 4.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
Ia dilengkapi dengan sistem suspensi AMG Ride Control dengan ciri redaman adaptif, kawalan stereng gandar belakang sehingga 2.5 darjah, dan juga program pemanduan Dynamic Select.
Dari segi penampilan, GLC43 boleh dibezakan dengan GLC350e menerusi elemen-elemen tertentu seperti gril radiator Panamericana, rekaan sayap jet dan liang intake yang besar pada apron depan, skirt sisi AMG dan rim AMG Y-spoke berukuran 21 inci.
Ia juga didatangkan dengan lampu Digital Light dan AMG Night Package yang merangkumi elemen-elemen yang dicat dalam warna hitam berkilat.
Seperti bahagian luaran, ruang dalaman GLC43 menampilkan suasana yang sporty menerusi kerusi AMG yang dibalut kulit buatan manusia Artico dan Microcut, stereng flat bottom AMG Performance, paddle shifter aluminium, trim gentian karbon dan tali pinggang Manufaktur berwarna merah.
Tidak cukup dengan itu, sistem infohibur MBUX GLC43 mempunyai fungsi dan paparan spesifik AMG. Ini termasuk paparan Supersport pada skrin sentuh multimedia dan head-up display dan sistem AMG Track Pace untuk digunakan di litar.
Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk sistem audio Burmester 3D, navigasi realiti terimbuh (AR), Keyless-Go Comfort Package, sistem kawalan iklim Thermotronic dan Driving Assistance Package Plus.
Di samping G63 dan SL63, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut memperluaskan barisan GLE menerusi pelancaran dua varian AMG iaitu GLE63S dan GLE63S Coupe.
Harga jualan (OTR tanpa insurans) bermula dari RM1,191,888 untuk GLE63S dan RM1,229,888 untuk GLE63S Coupe.
Seperti yang dijangka, kedua-duanya berkongsi nadi yang sama iaitu enjin 4.0-liter biturbo V8 yang menghasilkan 612 PS dari 5,750 hingga 6,500 rpm dan 850 Nm dari 2,500 hingga 4,500 rpm.
Enjin ini dibantu oleh sistem mild hybrid yang terdiri daripada Integrated Starter Generator (ISG) dan sistem elektrikal 48 volt yang memberikan kuasa tambahan sebanyak 22 PS (16 kW) dan 250 Nm.
Dengan transmisi AMG Speedshift TCT 9G yang memacu roda menerusi sistem 4Matic+, pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam 3.9 saat manakala kelajuan maksimum mencecah 250 km/j.
Jika ini tidak cukup laju, pelanggan boleh mendapatkan AMG Driver’s Package yang membolehkan SUV itu mencapai kelajuan maksimum lebih tinggi iaitu 280 km/j.
Bagi memastikan prestasi yang terkawal pada kelajuan tinggi, kedua-dua GLE63S dan GLE63S Coupe didatangkan dengan sistem suspensi udara AMG Ride Control+ dengan redaman adaptif boleh laras, limited slip differential pada gandar belakang, dan Electronic Stability Program (ESP) yang ditala semula.
Dari segi penampilan, GLE dan GLE Coupe kini tampil dengan lampu Multibeam LED baharu dengan ciri Adaptive Highbeam Assist Plus, dan rim berukuran 22 inci dengan angkup brek AMG berwarna merah.
Di belakang, terdapat lampu LED baharu, sistem ekzos AMG Performance dan spoiler untuk versi Coupe. Turut disertakan adalah AMG Night Package yang menampilkan elemen-elemen hitam berkilat dan krom gelap.
Ruang dalaman yang mewah diserlahkan lagi dengan upholsteri kulit Nappa berwarna hitam yang dipadankan dengan trim gentian karbon, serta stereng gentian karbon AMG Performance.
Antara kelengkapan yang tersedia termasuk sistem MBUX generasi terkini, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem navigasi realiti terimbux (AR), port pengecas USB 100W, dan sistem audio Burmester 3D dengan 13 pembesar suara.
Sebagai model berprestasi tinggi, GLE63S dan GLE63S Coupe juga didatangkan dengan sistem AMG Track Pace yang memaparkan maklumat seperti lap, sektor, masa pecutan dan data telemetri bagi membantu pemandu meningkatkan kemahiran memandu mereka di litar.
Tahun lalu, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun melancarkan Mercedes-AMG SL43. Kini, syarikat itu membawakan pula varian yang lebih padu iaitu SL63 4Matic+.
Harga jualan (OTR tanpa insurans) adalah RM1,898,888, iaitu RM899,000 lebih mahal berbanding SL43.
Tidak seperti SL43 yang mempunyai enjin 2.0-liter empat silinder yang kecil dengan pacuan roda belakang, jentera ini dikuasakan oleh enjin 4.0-liter biturbo V8 yang dipadankan dengan transmisi AMG Speedshift MCT 93. Kuasa disalurkan ke menerusi sistem 4Matic+.
Bercakap tentang kuasa, enjin buatan tangan itu menghamburkan 585 PS dan 800 Nm, membolehkan roadster ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 315 km/j.
Prestasi dinamik SL63 diperkuatkan lagi dengan pakej AMG Dynamic Plus yang merangkumi locking differential gandar belakang, cagak enjin AMG, dan program tambahan yang dikenali sebagai Race.
Untuk sistem suspensi, ia dilengkapi dengan AMG Active Ride Control dengan penstabil anti-oleng aktif. Turut disertakan adalah kawalan stereng gandar belakang.
Dari segi bahagian luaran, SL63 dilengkapi dengan AMG Night Package II, AMG Exterior Carbon Package, lampu Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, rim 21 inci dan angkup berwarna kuning.
Jika model generasi sebelum ini didatangkan dengan bumbung hardtop, SL generasi R232 ini mempunyai bumbung jenis soft top yang boleh dibuka/ditutup dalam 15 saat, pada kelajuan sehingga 60 km/j.
Di dalam, terdapat kerusi AMG Performance yang dibalut kulit Nappa, pelapik bumbung Manufaktur berwarna hitam, Microcut microfibre, trim karbon dan stereng AMG Performance.
Sistem infohibur terdiri daripada skrin berukuran 11.9 inci, sistem MBUX Interior Assistant dan sistem audio Burmester. Driving Assistance Package turut tersedia.
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan enam model baharu ke pasaran tempatan, dan yang paling utama adalah Godfather of SUV iaitu Mercedes-AMG G63.
Dari segi reka bentuk, anda mungkin menyangka tiada sebarang perubahan namun jika diperhatikan dengan lebih teliti, G63 kini mendapat bampar depan baru dengan bilah menegak pada lubang intake.
Rupanya yang gagah itu dilengkapkan lagi dengan pakej AMG Night yang membawakan elemen hitam atau krom gelap, rim AMG berukuran 22 inci dan angkup brek AMG berwarna merah.
Di dalam, rekaan kekal sama, diadun dengan ciri-ciri seperti pakej Superior Line, bumbung panoramik, kulit Nappa, tempat duduk dengan fungsi urut dan kawalan iklim, serta trim gentian karbon pada pintu dan papan pemuka.
Dari segi kelengkapan, terdapat dua skrin masing-masing berukuran 12.3 inci, sistem infohibur Mercedes-Benz User Experience (MBUX), sistem audio Burmester 3D, sepasang skrin untuk penumpang belakang, stereng AMG Performance dan pencahayaan ambien.
Kuasa dibekalkan oleh enjin 4.0-liter biturbo V8 yang dipadankan dengan Integrated Starter-Generator (ISG) dan teknologi 48-volt, menjadikannya model mild hybrid. Gandingan ini menghasilkan 585 PS pada 6,000 rpm dan 850 Nm dari 2,500 hingga 3,500 rpm.
Dengan transmisi AMG Speedshift TCT 9G yang memacu keempat-empat roda, G63 boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.4 saat, dan mencapai kelajuan maksimum 220 km/j.
Berita baik, mereka yang inginkan lebih kelajuan boleh mendapatkan pakej AMG Performance yang meningkatkan kelajuan maksimum kepada 240 km/j.
Untuk sistem suspensi, model ini menggunakan sistem suspensi AMG Active Ride Control dengan penstabil olengan hidraulik aktif dan redaman adaptif boleh laras.
Sistem keselamatan terdiri daripada Parking Assist Parktronic, Active Parking Assist, Active Lane Keeping Assist, sistem Pre-Safe, Blind Spot Assist, Active Distance Assist Distronic, Active Steering Assist dan pelbagai lagi.
Harga jualan bermula dari RM1,948,888 on-the-road tanpa insurans.
Tidak pernah penulis terfikir yang sebuah roadster seperti Mercedes SL boleh dijelmakan semula sebuah menjadi shooting brake namun nampaknya tidak ada yang mustahil dengan Brabus.
Ya, percaya atau tidak, jentera yang dikenali sebagai Rocket GTS ini asalnya adalah sebuah Mercedes-AMG SL63 S E Performance.
Anda mungkin tidak mengenalinya kerana bumbung soft top convertible-nya telah digantikan dengan bumbung tetap, cermin yang condong dan tailgate.
Apa yang lebih mengagumkan, keseluruhan badan, ini termasuk hud, bampar, dapra, tiang dan bumbung, diperbuat dari gentian karbon.
Tidak cukup dengan itu, apron depan, diffuser belakang, bilah aero pada rim Monoblock P Platinum Edition, serta muncung ekzos juga dihasilkan dari bahan ringan itu demi menjaga berat.
Bercakap tentang berat, Brabus tidak menyatakan berat keseluruhannya namun tekaan kami ia jauh lebih ringan berbanding kereta asal yang mempunyai berat sekitar 2,195 kg.
Menurut syarikat itu lagi, Rocket GTS telah menjalani ujian terowong angin bagi memastikan ia kekal stabil pada kelajuan 300 km/j dan ke atas.
Apron depan bertindak untuk mengurangkan daya angkat, manakala bumbung yang rata, spoiler ekor itik dan rekaan diffuser belakang yang agresif membantu meningkatkan downforce pada kelajuan tinggi.
Corong pengambilan udara yang besar pula membantu menghalakan aliran udara ke arah radiator dan brek depan bagi membantu penyejukan.
Seperti SL 63, bahagian dalaman Rocket GTS masih mampu memuatkan empat penumpang dengan konfigurasi 2+2.
Bukan itu sahaja, dengan membuang mekanisma bumbung convertible, Brabus berjaya menghasilkan ruang kargo yang lebih besar di belakang ruang kabin.
Seperti kebanyakan rekaan Brabus yang lain, bahagian kokpit dinaik taraf dengan kemasan gentian karbon, upholsteri Alcantara dan kulit lembut, serta logo Brabus.
Sesuai dengan namanya, Rocket GTS dipacu oleh enjin hibrid twin-turbo V8 SL 63 yang telah diperbesarkan dari 4.0 liter kepada 4.5 liter. Apabila digabungkan dengan motor elektrik pada gandar belakang, jentera ini mempunyai 1,000 PS dan 1,820 Nm!
Namun bagi menjaga transmisi, Brabus mengambil keputusan untuk mengurangkan jumlah tork kepada 1,620 Nm ‘sahaja’.
Walaupun begitu, kereta ini masih mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.6 saat, 0 hingga 200 km/j dalam 9.5 saat dan 0 hingga 300 km/j dalam 23.6 saat. Kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik 317 km/j – adakah ini bermakna ia boleh pergi lebih laju?
Setakat ini, harga serta jumlah yang akan dihasilkan tidak diketahui.
Setelah dua tahun berlalu, Mercedes-AMG kembali ke Litar Neraka Hijau untuk memecahkan rekod sendiri di dalam kategori kenderaan produksi terpantas.
Mercedes-AMG One yang dipandu oleh pelumba DTM Maro Engel berjaya mencatatkan rekod pusingan sepantas 6 minit 29.090 saat, atau lebih pantas lima saat berbanding rekod terdahulu (6:35.183).
Pencapaian ini sekaligus meletakkan Mercedes-AMG One sebagai kenderaan produksi pertama yang berjaya memecahkan halangan 6:30 minit dalam litar yang terkenal itu.
Cubaan memecahkan rekod tersebut dibuat pada 23 September yang lalu, di mana pada ketika itu Litar Nurburgring mencatatkan suhu serendah 15 darjah Celcius, serta suhu aspal 20 darjah Celcius.
Hypercar bernadikan enjin F1 itu dilengkapi dengan tayar standard Michelin Pilot Sport Cup 2 R MO yang direka khas untuk AMG One.
Dalam cubaan yang dibuat, pemandu uji AMG One itu menggunakan mod pemanduan Race Plus yang merendahkan ketinggian gandar hadapan sebanyak 37 mm dan gandar belakang sebanyak 30 mm.
Selain itu, jentera AMG One tersebut telah ditala dengan nilai camber maksimum yang dibenarkan, selain memanfaatkan sistem pengurangan seretan (DRS) dan sistem bateri hibrid dengan lebih cekap berdasarkan ujian simulasi yang telah dibuat sebelum ini.
Mercedes-AMG One dilengkapi dengan enjin F1 1.6 liter bentangan V6, digandingkan dengan empat motor elektrik dan kuasa keseluruhan yang mampu mencecah 1,049 hp.
MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan ketibaan model edisi terhad Mercedes-AMG A45 S 4Matic+ Limited Edition ke pasaran tempatan.
Oleh kerana ia model edisi terhad, hanya 10 unit yang akan ditawarkan di Malaysia, dengan setiap satu dijual pada harga RM558,888. Tempahan boleh dibuat menerusi bilik pameran dalam talian Mercedes-Benz Store.
Pertama sekali, A45 S Limited Edition boleh dibezakan dengan versi standard menerusi warna AMG Green Hell Magno yang diperkenalkan buat pertama kali pada 2018 menerusi Mercedes-AMG GT R.
Warna itu dipadankan dengan jalur berwarna kuning pada bahagian badan dan rim, serta logo AMG pada bonet dan ’45 S’ pada pintu. Ia menggunakan rim aloi AMG tujuh jejari berukuran 19 inci yang ditawarkan khas untuk model Limited Edition.
Tersorok di sebalik rim itu adalah angkup brek AMG High Performance dalam warna hitam berkilat dengan logo AMG berwarna putih.
Turut disertakan adalah penutup tangki bahan api dengan logo AMG dan lampu selamat datang yang akan memancarkan logo AMG ke tanah apabila pintu dibuka.
Selain itu, ia didatangkan dengan tiga pakej iaitu AMG Night Package, AMG Night Package II dan AMG Aerodynamics Package.
AMG Night Package merangkumi elemen berwarna hitam dan hitam berkilat seperti splitter depan, cermin sisi dan beltline, manakala AMG Night Package II pula membawakan kemasan hitam pada radiator, trim krom hitam pada fender depan, tailgate, logo bintang Mercedes, pemegang pintu dan rim.
AMG Aerodynamics Package, seperti namanya, merangkumi komponen aerodinamik termasuk spoiler belakang AMG.
Di dalam, anda akan menemui tempat duduk AMG Performance yang dibalut upholsteri kulit Artico dan mikrofiber Microcut. Seperti bahagian luaran, jalur kuning turut digunakan untuk menghiasi kerusi, panel pintu dan panel instrumen.
Selain itu, terdapat juga stereng AMG Performance dengan balutan kulit nappa/Microcut, label ’45 S’ pada perehat kepala, trim aluminium dengan corak AMG dan tulisan ‘AMG’ berwarna kuning, karpet AMG dan logo AMG bercahaya pada bendul pintu.
A45 S Limited Edition dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 421 hp pada 6,750 rpm dan 500 Nm dari 5,000 hingga 5,250 rpm.
Dengan transmisi automatik klac berkembar lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic+, ia boleh memecut dari 0 higgga 100 km/j dalam 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 270 km/j.
BARISAN Mercedes-AMG GT generasi kedua kini semakin berkembang dengan kehadiran varian baharu yang dikenali sebagai GT 63 Pro 4Matic+.
Ditala khas untuk mereka yang gemar menyertai track day, GT 63 Pro boleh dibezakan menerusi lubang ambilan udara yang lebih besar dan pemesong udara pada bahagian hadapan.
Seperti Mercedes-AMG One, kereta ini juga mempunyai pemesong udara pada bahagian bawah badan bagi mempercepatkan lagi aliran udara.
Digabungkan dengan sistem kawalan udara aktif Airpanel pada apron depan dan spoiler tetap, Mercedes berjaya mengurangkan 30 kg daya angkat (lift) pada gandar depan dan menambah 15 kg daya turun (downforce) pada gandar belakang.
Ia juga didatangkan sekali dengan pakej gentian karbon dan rim AMG Performance 21 inci yang dibalut tayar Michelin Pilot Sport 5 berukuran 295/30 di depan dan 305/30 di belakang. Pelanggan boleh mendapatkan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2R tanpa sebarang bayaran tambahan.
Sebahagian besar ruang kabin dikekalkan standard namun untuk Pro, Mercedes menambah tempat duduk AMG Performance dan stereng AMG Performance yang dibalut kulit Nappa dan mikfrofiber Microcut.
Enjin 4.0-liter twin-turbo V8 kini menghasilkan 612 PS dan 850 Nm, menunjukkan peningkatan sebanyak 27 PS dan 50 Nm berbanding GT 63 bukan Pro.
Dengan transmisi AMG Speedshift sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic+, ia hanya memerlukan 3.2 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dan boleh mencapai kelajuan maksimum 312 km/j.
Untuk memastikan ia boleh beraksi di litar tanpa sebarang masalah, Mercedes meletakkan dua radiator tambahan pada bahagian kiri dan kanan dapra untuk membantu menyejukkan trenkuasa.
Selain itu, terdapat juga sistem penyejukan aktif untuk differential depan dan belakang, dan plat pelindung brek yang direka semula untuk mengalirkan lebih banyak udara ke bahagian brek.
Bercakap tentang brek, GT 63 Pro dilengkapi dengan cakera seramik berukuran 420 mm pada gandar depan, iaitu cakera seramik paling besar yang ditawarkan oleh Mercedes-AMG. Ia digandingkan dengan angkup enam piston di depan dan angkup piston tunggal di belakang.
Mercedes-Benz Malaysia hari ini melancarkan tiga model berprestasi tinggi AMG untuk pasaran tempatan, iaitu Mercedes-AMG C 63 S E Performance F1 Edition, Mercedes-AMG GLA 45 S 4MATIC+ dan Mercedes-AMG GLB 35 4MATIC.
Ketiga-tiga model baharu ini kini boleh dilihat dengan lebih dekat di acara Mercedes-Benz World yang dianjurkan di KL Base, Sungai Besi bermula 5-7 Julai ini.
Berikut merupakan spesifikasi ringkas tiga model AMG yang dilancarkan sebentar tadi:
Mercedes-AMG C 63 S E Performance F1 Edition (RM958,888)
Pencabar kepada BMW M3 ini dibekalkan dengan nadi empat silinder sebaris 2.0 liter turbo yang dipadankan dengan motor elektrik 201 hp, menghasilkan kuasa keseluruhan 680 hp dan 1,020 Nm.
Dengan output 238 hp per liter, ia menjadikan sedan C 63 S E Performance ini sebagai sebuah pengubah permainan dalam sejarah 55 tahun AMG.
Edisi F1 yang dibawakan ini menampilkan ciri-ciri unik seperti kemasan warna kelabu alpine MANUFAKTUR, logo AMG yang besar, garis trim merah, diikuti dengan lencana eksklusif, alas lantai F1 Edition dan logo F1.
Mercedes-AMG C 63 S E Performance F1 Edition dijual pada harga bermula dari RM958,888 atas jalan tanpa insurans.
Mercedes-AMG GLA 45 S 4MATIC+
Crossover pantas GLA 45 S 4MATIC+ ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 2.0 liter 421 hp dan 500 Nm, membolehkannya memecut sepantas 4.3 saat dari 0-100 km/j.
Seperti yang telah dilancarkan di peringkat global tahun ini, GLA 45 S 4MATIC+ membawakan perubahan kosmetik bersifat minima, seperti apron hadapan bentuk baharu, logo AMG pada bonet, unit pencahayaan MULTIBEAM LED baharu, serta perubahan kecil pada lampu belakang LED.
Ruang kabin pula menampilkan skrin berkembar 10.25 inci dengan paparan spesifik AMG, roda stereng AMG Performance balutan Nappa/mikrofiber MICROCUT, serta sistem infohibur MBUX yang lebih berkuasa.
Harga jualan bermula dari RM539,888.
Mercedes-AMG GLB 35 4MATIC
Mereka yang mahukan jentera AMG yang lebih praktikal boleh mendapatkan model crossover wagon Mercedes-AMG GLB 35 4MATIC.
Nadi empat silinder sebaris 2.0 liter turbo berkuasa 306 hp itu kini dipadankan dengan sistem penjana pemula pacuan tali sawat (RSG) 48 voltan yang membekalkan kuasa tambahan 13 hp.
Dengan bantuan sistem pacuan semua roda dan transmisi AMG Speedshift DCT lapan kelajuan, GLB 35 4MATIC ini mampu memecut sepantas 5.5 saat dari 0-100 km/j sebelum mencapai kelajuan tertinggi 250 km/j.
Antara perubahan yang dibawakan termasuklah rekaan apron hadapan baharu, unit pencahayaan MULTIBEAM LED dengan bantuan Adaptive Highbeam Assist Plus, serta grafik lampu belakang yang direka semula.
Sementara ruang kabin pula membawakan rekaan roda stereng AMG Performance baharu balutan kulit Nappa, butang fungsi AMG, sistem infohibur MBUX generasi terkini, seta tidak ketinggalan paparan spesifik AMG.
Harga jualan Mercedes-AMG GLB 35 4MATIC bermula dari RM418,888.
Acara pameran Mercedes-Benz World dibuka kepada umum dari jam 10 pagi hingga 6 petang, di mana Mercedes-Benz Malaysia menampilkan kesemua 30 model dari pelbagai segmen kenderaan termasuklah Mercedes-Benz C 350 e, Mercedes-AMG C 43 4MATIC, Mercedes-Benz EQE 350+ dan Mercedes-Benz EQE 350+ SUV.
Turut dipamerkan ialah kereta pertama di dunia, Benz Patent Motor Car yang muncul pada tahun 1886 dan dikuasakan oleh enjin satu liter menghasilkan kuasa sekitar 0.6 hp sahaja.
SIGNIFY (Euronext: Light), syarikat terkemuka dunia dalam pencahayaan telah memeterai kerjasama baharu dengan Mercedes-AMG Petronas F1 Team. Kedua-dua pihak itu mahu bekerjasama menjadi antara pasukan sukan paling lestari di dunia.
“Kami bangga bekerjasama dengan Mercedes-AMG Petronas F1, sebuah pasukan yang tekad di dalam litar dan luar litar. Kami berkongsi minat untuk inovasi memacu kemajuan dalam industri kami dan selebihnya,” kata CEO Signify, Eric Rondolat.
“Kami teruja dengan peluang menyokong objektif kemenangan Mercedes-AMG Petronas F1, menyediakan inovasi pencahayaan berfokus kepada manusia yang boleh meningkatkan prestasi pasukan.”
Sementara itu, CEO dan Prinsipal Pasukan Mercedes-AMG Petronas F1 berkata: “Inovasi dan prestasi ialah nadi kepada apa yang kami lakukan. Kami juga sedar akan tanggungjawab sosial kami maka kami mengambil inisiatif lestari dalam setiap langkah.”
Signify telah mempelopori transformasi dan dekarbonisasi dalam sektor pencahayaan. Mereka baru-baru ini mengumumkan 2040 Climate Transition Plan mereka dan telah menurunkan emisi CHG mereka sebanyak 50 peratus sejak 2019.
Dengan kerjasama bersama Mercedes-AMG Petronas F1, ianya selari dengan Climate Transition Plan mereka.
SELEPAS menyedari matlamat elektrifikasi mereka mungkin terlalu tinggi, Mercedes kini memperuntukkan sejumlah besar bajet mereka untuk enjin-enjin pembakaran.
Menurut satu temu bual dengan media Jerman Wirtschaftswoche, CEO Mercedes, Ola Källenius berkata teknologi ICE (enjin pembakaran dalaman) “akan bertahan sehingga selepas 2030”. Bagi memastikan enjin-enjin ini terus mematuhi piawaian yang semakin ketat, pelaburan besar diperlukan.
Källenius berkata S-Class dan faceliftnya dijangka pada 2026 nanti: “Kami telah melabur jauh lebih banyak untuk kemas kini model S-Class dengan enjin pembakaran lebih dari apa yang kami biasa buat untuk facelift.”
Matlamat Mercedes ialah untuk memastikan enjin konensional mereka “pada tahap tertinggi teknologi”. Tanpa berbelanja besar untuk enjin petrol dan diesel, jenama mewah itu “akan menghentikan dengan mengejut jualan enjin pembakaran menjelang 2027 atau 2028”.
Mercedes menyedari mereka perlu menerima hakikat peralihan kepada EV tidak berjalan seperti yang dirancang. Tiga tahun lalu, mereka berkata kenderaan PHEV dan EV akan mewakili kira-kira 50 peratus jualan tahunan menjelang 2025.
Walaubagaimanapun, ia nampaknya tidak akan berlaku. Pada satu tahap, Mercedes pernah berkata mereka akan menjadi elektrik sepenuhnya menjelang 2030 di beberapa negara “bila keadaan pasaran mengizinkan”.
Kini, matlamat baharu mereka ialah supaya PHEV dan EV mewakili separuh dari jualan menjelang hujung dekad ini (2030). Tetapi menurut Källenius, objektif untuk neutral karbon menjelang 2040 belum berubah.
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini memperkenalkan versi paling berkuasa setakat ini untuk C-Class iaitu Mercedes-AMG C43 4Matic. Ia dipasang di kilang pemasangan MBM di Pekan dan ditawarkan pada harga RM443,888.
Tidak seperti generasi sebelum ini yang mempunyai enjin V6 biturbo, C43 2024 dipacu oleh enjin M139I 2.0-liter turbo yang tetap berkuasa, dengan output 408hp pada 6,750rpm dan 500Nm tork pada 5,000rpm.
Enjin 4-silinder yang dipasang secara longitudinal ini merupakan enjin produksi pertama dengan turbo yang menggunakan pengecas gas ekzos elektrik. Teknologi yang diambil dari dunia Formula 1 ini direka untuk respon pantas pada semua rpm.
Mercedes-AMG C43 4Matic ini juga mempunyai motor elektrik berkuasa 10kW dan 150Nm. Dipadankan dengan sistem pacuan semua-roda 4Matic dan kotak gear AMG Speedshift MCT 9G 9-kelajuan, membolehkan sedan ini memecut ke 100km/j dalam 4.6 saat sahaja. Kelajuan maksima ialah 250km/j.
Ciri lain pada casis C43 baharu ini termasuklah Dynamic Body Control dengan Adaptive Damping System, dan rim AMG 19-inci 5-bilah.
Ia juga mendapat perkakasan AMG lain seperti paparan khas, tempat duduk, roda stereng, butang-butang khas, kemasan kulit Nappa, dan sistem brek sports berwarna perak dengan tulisan “AMG” hitam, dan sistem ekzos khas.
Kemasan luar terdiri dari gril AMG dengan bilah menegak, lip depan AMG, ruang udara sporti, diffuser, dan ekzos quad. C43 juga didatangkan dengan bumbung panoramik dengan teknologi Digital Light.
Mod pemanduan AMG Dynamic Select juga didatangkan standard. AMG Track Pace pula merupakan sistem data logger untuk kegunaan litar yang mampu merakam lebih 80 parameter kereta seperti kelajuan, pecutan, sudut stereng, input brek, kesemuanya boleh digunakan untuk analisis (jika anda mahu rasa seperti pemandu lumba).
Teknologi pada C43 4Matic 2024 termasuklah sistem MBUX terkini, pengesan cap jari, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta lampu ambien.
Ciri keselamatan pula merangkumi Driving Assistance Package Plus, Active Parking Assist dengan Parktronic, kamera 360 darjah, dan Guard 360.
Ini ialah model pertama Mercedes-AMG yang dilancarkan dalam siri “Mythos”, iaitu Mercedes-AMG PureSpeed.
Ia merupakan sebuah speedster jenis open-top dengan rekaan yang diinspirasikan daripada jentera lumba vintaj ikonik Mercedes serta kereta lumba Formula Satu (F1).
Apa yang menarik pasal Mercedes-AMG PureSpeed ini?
1. Guna asas Mercedes-AMG SL Convertible
Jika dilihat sekali imbas, anda sebenarnya dapat meneka asas jentera PureSpeed ini, iaitu convertible Mercedes SL berdasarkan unit lampu depan dan belakang.
Namun begitu, rekaan bampar tradisional Panamericana telah ditolak ke tepi dan digantikan dengan muncung jerung yang lebih bersih.
Bukaan pada bampar yang agresif itu pula telah dicat dengan logo AMG berwarna putih.
2. Tiada cermin penghadang angin
Untuk disesuaikan dengan imej yang diinspirasikan daripada jentera 300 SLR yang dipandu oleh Stirling Moss dan Denis Jenkinson, Mercedes-AMG membuat keputusan untuk membuang terus cermin penghadang angin.
Ia telah digantikan dengan struktur bar halo seperti yang anda biasa lihat pada jentera F1.
3. Aspek aerodinamik banyak dipelajari daripada Mercedes-AMG One
Untuk aspek aerodinamik, Mercedes banyak mengambil pengajaran semasa pembangunan hypercar Mercedes-AMG One untuk dicurahkan pada jentera ini.
Seperti contoh, terdapat komponen aero gentian karbon pada seksyen bawah, diikuti pelindung rim (juga daripada gentian karbon) untuk kecekapan aerodinamik, selain mengoptimasikan aliran udara di sekitar tayar dan menambah baik aspek penyejukan brek.
4. Tiada perincian trenkuasa didedahkan
Mercedes-AMG nampaknya tidak memperincikan aspek rangkaian kuasa yang digunakan pada PureSpeed.
Besar kemungkinan ia meminjam nadi bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar daripada model SL 63, berkuasa antara 577 hp untuk versi standard atau sehingga 805 hp dalam trim hibrid E Performance.
5. Produksi 250 unit sahaja
Roadster PureSpeed akan dihasilkan sebanyak 250 unit sahaja, di mana Mercedes-AMG akan mengehadkan model ini untuk golongan peminat dan pengumpul tegar yang berdedikasi terhadap jenama itu.
Harga jualan juga masih lagi dirahsiakan. Apa jua nombor yang bakal diumumkan kelak, sudah pasti ia tidak akan memberikan sebarang masalah kepada golongan pembeli yang berpotensi.
Tahun lepas Mercedes-Benz pernah berdepan kesukaran untuk menjual model sedan berprestasi tinggi plug-in hybrid (PHEV) Mercedes-AMG C 63 S E Performance di pasaran Eropah disebabkan oleh ketiadaan nadi V8.
Ini kerana kebanyakan pembeli tradisional AMG tidak begitu menggemari sistem rangkaian kuasa E Performance PHEV yang menggandingkan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter dan motor elektrik pada gandar belakang, walaupun atas kertas enjin tersebut jauh lebih bertenaga berbanding pesaingnya BMW M3.
Spyshot Mercedes-AMG CLE 63 oleh Autocar
Pengeluar itu nampaknya sudah mula sedar akan pentingnya nadi tersebut, di mana penawaran nadi V8 4.0 liter petrol M177 dengan teknologi hibrid ringan itu akan dikembalikan semula pada model Mercedes-AMG CLE 63 akan datang.
Menurut laporan Autocar lagi, model CLE 63 itu akan diposisikan sebagai model tertinggi di atas model CLE 53 Coupe & Cabriolet, di mana kedua-dua model itu dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris 3.0 liter berkuasa 442 hp.
Mercedes-AMG C 63 S E Performance PHEV
Sumber Mercedes-Benz memberitahu, keputusan untuk mengembalikan semula enjin V8 itu bukan sahaja disebabkan oleh respons pembeli terhadap model GLC 63 dan C 63 PHEV, akan tetapi ia juga berdasarkan maklum balas daripada jaringan pengedar di seluruh dunia.
Berdasarkan respons daripada pengedar, tindakan Mercedes memposisikan model AMG 63 dengan enjin empat silinder di atas model berenjin enam silinder dikatakan mampu untuk mengelirukan golongan pelanggan berpotensi pada masa akan datang.
Mengikut spesifikasi, Mercedes-AMG C 63 S E Performance (versi sedan dan wagon) dibekalkan dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo dan motor elektrik pada gandar belakang, dengan kuasa keseluruhan mencecah 671 hp dan 1,020 Nm.
Cuma bezanya, nadi inline-4 itu tidak mempunyai karakteristik bunyi yang lebih mengujakan berbanding enjin V8.
Biarpun genre kenderaan coupe dua pintu makin mengecil, ia tidak pernah menghalang Mercedes-Benz daripada terus memperkenalkan model terbaharu yang mampu memenuhi keperluan pasaran niche tersebut.
Berita baik, model grand tourer CLE AMG kini boleh didapati dalam versi bumbung yang boleh dilipat, iaitu Mercedes-AMG CLE 53 4MATIC+ Cabriolet sebagai pelengkap kepada model hardtop yang diperkenalkan tahun lepas.
Perinciannya adalah seperti berikut:
1. Nadi enam silinder sebaris + sistem hibrid ringan
CLE 53 AMG versi cabriolet ini dikuasakan oleh nadi enam silinder sebaris 3.0 liter turbo berkembar yang dibantu dengan sistem hibrid ringan (mild-hybrid).
Secara keseluruhan, nadi tersebut mampu menjana kuasa setinggi 443 hp dan daya kilas sehingga 600 Nm dengan menggunakan fungsi Overboost.
Sistem starter-generator 48V pula menyumbang kuasa tambahan sebanyak 22 hp dan 205 Nm, sekaligus menambah baik aspek kecekapan rangkaian kuasa pada CLE AMG ini.
Kuasa itu tadi disalurkan kepada sistem pacuan semua roda 4MATIC menerusi transmisi 9G Speedshift.
2. Pecutan sepantas 4.2 saat
Secara standard, CLE 53 Cabriolet ini mampu memecut sepantas 4.4 saat dari 0-100 km/j, atau sepantas 4.2 saat menggunakan fungsi Race Start
Sesudah itu, anda boleh memandu CLE 53 Cabriolet ini pada kelajuan sehingga 250 km/j yang dihadkan secara elektronik, atau sehingga 270 km/j yang boleh dinyahkunci dengan tambahan bayaran.
3. Kelengkapan standard
Daripada kilang, Mercedes-AMG melengkapkan model CLE 53 Cabriolet ini dengan ciri seperti sistem suspensi adaptif AMG Ride Control, stereng tiga fasa AMG Parameter, sistem brek berprestasi tinggi, diikuti dengan sistem stereng gandar belakang.
Selain daripada itu, coupe grand tourer cabriolet ini juga dipadankan dengan kit badan penuh AMG, rim bersaiz 19 inci (atau 20 inci).
Terdapat pilihan untuk memadankan pakej tambahan seperti pakej aerodinamik AMG Styling, AMG Night dan juga Carbon.
4. Ruang kabin yang luas melangit
Terima kasih kepada sistem bumbung fabrik yang boleh dilipat dalam masa 20 saat (boleh dibuka dan dipasang kembali pada had kelajuan 60 km/j), pembeli boleh menikmati ruang kabin yang sangat luas, serta ruang kepala yang infiniti.
Susun atur ruang kabin adalah hampir sama sahaja dengan model CLE versi hardtop, termasuklah skrin kluster digital 12.3 inci, skrin infohibur 11.9 inci dengan fungsi larasan sudut bagi mengurangkan kesan silau, salutan khas pada upholsteri kulit bagi mengelakkannya terlampau panas dalam cuaca bahang, serta sistem pencahayaan ambien.
5. Aspek keselesaan ditambah baik
Untuk memastikan penumpang berasa selesa walaupun dalam keadaan bumbung terbuka, Mercedes telah menambah beberapa fungsi yang berguna.
Seperti contoh, pemesong angin berkuasa elektrik Aircap, serta sistem aliran dan pemanas leher Airscarf.
Bukan itu sahaja, Mercedes turut memperkukuhkan lagi struktur casis termasuklah sistem perlindungan gulingan (rollover), tiang yang lebih tegar, serta penambahan beg udara untuk memastikan keselamatan penumpang dalam situasi yang tidak diingini.
WALAUPUN Mercedes-AMG GT63 S E Performance ini sebuah kereta sports hibrid, ianya merupakan model terpantas pernah dikeluarkan.
Perkenalkan coupe dua-pintu prestasi terbaharu dari Mercedes-Benz, dan ia membuatkan hibrid tidak menjadi suatu yang membosankan. Sebaliknya, hibrid menjadi penyumbang kepada prestasi kereta ini.
Klu hibrid dapat dilihat pada perkataan E Performance pada nama kereta ini. Nadi kepada Mercedes-AMG GT63 S adalah unit 4.0-liter V8 twin-turbo, digandingkan dengan motor elektrik.
Enjin V8 itu sahaja sudah menjana 603hp, tetapi kombinasinya dengan motor elektrik memberikan output keseluruhan 805hp. Lebih menarik lagi ialah tork gabungan iaitu 1,420Nm!
Ini dengan mudah memberikan prestasi pecutan 0-100km/j dalam hanya 2.7 saat, menjadikannya model AMG paling pantas pernah dihasilkan.
Sistem elektrik pada GT63 S E Performance ini mempunyai kapasiti 6.1kWh, dan boleh dicas dengan cara PHEV (plug-in hybrid). GT63S ini boleh dipandu dalam mod EV untuk jarak terhad, tetapi sistem elektrik padanya tetap memfokus kepada prestasi.
Kotak gear adalah dwi-klac 9-kelajuan, menyalurkan kuasa ke semua roda melalui sistem 4Matic+. Dalam pemanduan biasa, motor elektrik hanya menghantar kuasa ke roda belakang, tetapi bila terdapat gelinciran, ia boleh dipindahkan ke depan.
Mercedes-AMG GT63 S E Performance turut dilengkapi dengan sistem stereng roda-belakang, suspensi AMG Active Ride Control, brek karbon seramik dengan angkup 6-piston, dan rim 20-inci sebagai standard. Anda juga boleh pilih rim bersaiz 21-inci.
Dari segi rupa, sukar untuk membezakan versi E Performance dari AMG GT63 biasa. Terdapat lencana khas di belakang, serta penutup tempat pengecasan.
Selain itu, pakej aerodinamik juga diperbaharui, khas untuk sistem janaan kuasa hibrid. Kokpit dan kabin pula mendapat kemasan Mercedes-AMG standard.
Harga belum diumumkan, dan Mercedes-AMG terpantas ini bakal mula dijual hujung tahun 2024.
Tidak banyak kereta yang boleh dipandu secara halal di atas jalan raya yang dilengkapi dengan enjin Formula Satu yang sebenar.
Jika anda kebetulan sedang mencari sebuah jentera berenjin F1 untuk diletakkan dalam garaj idaman, laman bidaan SBX Cars ada jawapannya.
Mercedes-AMG One merupakan jentera prestasi tinggi terunggul yang dihasilkan oleh Mercedes-AMG dengan binaan yang agak terhad, sekitar 275 unit sahaja.
Menurut info daripada SBX Cars, unit Mercedes-AMG One ini memiliki perbatuan sekitar 88.5 km, dan ketika artikel ini sedang ditulis nilai bidaan kini sudah mencecah 600,000 AED (RM779,406).
Harus anda tahu, Mercedes-AMG One dipadankan dengan enjin V6 Formula Satu bersesaran 1.6 liter yang mempunyai putaran melahu 1,200 rpm, berbanding putaran melahu standard 5,000 rpm.
Dipadankan dengan empat motor elektrik, Mercedes-AMG One secara standard mampu menjana kuasa setinggi 1,049 hp, dan tidak menghairankan apabila AMG One merupakan salah satu kereta produksi paling pantas di Litar Nurburgring.
Mungkin sekali sebab sebenar pemilik asal ini mahu menjual terus Mercedes-AMG One kerana tidak mahu pening kepala memikirkan jangka hayat enjin F1 yang sangat pendek berbanding enjin kereta produksi yang lain.
Ya, untuk makluman enjin F1 yang duduk di dalam Mercedes-AMG One ini sebenarnya hanya mampu bertahan sehingga jarak perbatuan 50,000 km sahaja, dan sesudah itu ia perlu dihantar kembali ke Mercedes untuk dibaik pulih.
TURUT dilancarkan bersama empat kereta Dream Cars Collection Mercedes-Benz Malaysia adalah Mercedes-AMG GT63S E Performance F1 Edition yang didatangkan dengan ciri-ciri eksklusif bagi meraikan pasukan Formula 1 jenama itu.
Bermula dengan bahagian luaran, model F1 Edition boleh dibezakan melalui cat Manufaktur Alpine Grey serta gradien warna hitam dan kelabu bersama logo AMG pada bahagian sisi.
Seperti yang boleh dilihat, gabungan warna itu dipadankan dengan aksen merah yang menghiasi keliling bahagian bawah kenderaan dan rim aloi AMG berukuran 21 inci.
Melengkapkan penampilan agresif jentera ini adalah AMG Night Package Exterior dan AMG Night Package II yang menyaksikan splitter hadapan, cermin sisi dan bingkai tingkap dicat dalam warna hitam.
Turut disertakan adalah pakej AMG Exterior Carbon-Fibre dan AMG Dynamics Plus yang menggabungkan komponen-komponen berprestasi tinggi.
Tema hitam dan merah diteruskan pada bahagian dalaman menerusi upholsteri kulit Nappa berwarna hitam yang membaluti kerusi AMG Performance, serta jahitan, tali pinggang keledar dan trim gentian karbon berwarna merah.
Selain itu, terdapat juga stereng prestasi AMG dengan balutan kulit Nappa dan mikrofiber Microcut, pelapik pintu AMG dan karpet lantai AMG. Apa yang menarik, setiap pelanggan juga akan mendapat kain penutup kereta AMG dengan logo F1.
Tiada perubahan dari segi kuasa. Seperti versi standard, GT63S E Performance F1 Edition mempunyai ‘nadi’ 4.0-liter biturbo V8 yang digandingkan dengan sistem hibrid plug-in bagi menghasilkan 843 PS dan 1,470 Nm.
Dengan bantuan transmisi AMG Speedshift MCT sembilan kelajuan, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 316 km/j.
Untuk pengendalian, ia menggunakan sistem suspensi udara AMG Ride Control+ dan stereng gandar belakang, manakala tugas membrek pula diserahkan kepada cakera komposit seramik AMG.
Harga jualan GT63S E Performance F1 Edition bermula dari RM2,118,888 (OTR tidak termasuk insurans).