Tag Archives: pandu uji

BYD Seal sedia bersaing dengan Model 3 – Pandu Uji

RASANYA adil jika dikatakan bahawa setahun yang lalu, tidak ramai orang Malaysia yang pernah mendengar nama BYD.

Namun selepas pelancaran Atto 3 pada Disember 2022, pengeluar kenderaan dari China itu semakin menjadi sebutan ramai terutamanya dalam kalangan peminat kenderaan elektrik (EV).

Berikutan sambutan yang begitu menggalakkan, BYD memperkembangkan portfolionya menerusi pelancaran model EV yang kedua iaitu Dolphin.

Jika anda fikir yang dua model sudah cukup untuk sebuah jenama yang baru hendak mula bertapak, sangkaan anda sebenarnya salah.

Melihat pasaran EV negara ini yang sedang rancak berkembang, BYD berniat untuk mengambil langkah ofensif dengan membawa masuk satu lagi model yang menarik.

Kali ini, ia adalah sebuah sedan dengan perwatakan sporty yang akan memberi saingan secara terus kepada Tesla Model 3 iaitu Seal.

Walaupun masih belum diumumkan secara rasmi, Seal dijangka akan memasuki pasaran Malaysia dalam suku pertama 2024.

Dan sementara menunggu ketibaannya, baru-baru ini kami telah dijemput ke Zhuhai, China untuk melihat dengan lebih dekat Seal dan menguji kehebatan sedan elektrik itu di Litar Antarabangsa Zhuhai.

Bagi yang anda belum tahu, Seal merupakan salah satu model Ocean Series yang juga termasuk Dolphin. Seperti hatchback kecil itu, ia juga dibina menggunakan e-platform 3.0 namun seperti yang boleh dilihat, rekaannya jauh lebih menggoda.

Bagi mereka yang sudah bosan dengan SUV dan crossover, Seal pastinya menarik perhatian kerana ia sebuah sedan empat pintu yang mempunyai elemen reka bentuk yang selalunya terdapat kereta berjenama mewah.

Ini termasuk bumbung ala coupe, pemegang pintu tersembunyi, batang cermin sisi yang nipis dan sirip diffuser yang menonjol. Tidak dilupakan signatur lampu LED depan dan belakang yang begitu menyerlah.

Jika dibandingkan dengan Atto 3 dan Dolphin, ruang dalaman model ini kelihatan lebih serius dan matang dengan tema warna gelap dan rekaan papan pemuka yang lebih konvensional.

Ia juga terasa lebih premium berbanding dua model tersebut, dengan gabungan kulit berkualiti tinggi dan material ala suede, dan tombol gear seperti kristal pada konsol tengah.

Dari segi kelengkapan, kereta ini mempunyai segalanya yang diperlukan oleh pengguna masa kini seperti panel instrument digital, skrin sentuh berputar, Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Dynaudio, dua pengecas wayarles, bumbung panoramik, NFC dan pendingin hawa dua zon.

Kereta ini juga cemerlang dari segi keselesaan dan praktikaliti. Walaupun mempunyai garisan bumbung yang agak rendah, ruang kepala dirasakan cukup luas. Ruang kaki juga agak besar, lebih-lebih lagi dengan ketiadaan terowong tengah pada bahagian belakang.

Kapasiti ruang but tidaklah begitu besar iaitu 400 liter namun sekiranya ini tidak mencukupi, terdapat ruang storan tambahan di bawah lantai but dan frunk sebesar 53 liter di depan.

“Sporty”, “pecutan” dan “prestasi tinggi” adalah antara perkataan-perkataan yang sering digunakan oleh BYD untuk menggambarkan Seal, jadi Litar Antarabangsa Zhuhai dilihat sebagai lokasi yang paling tepat untuk menguji kemampuan sedan ini.

Sesi pandu uji pada hari itu dibahagikan kepada empat sesi iaitu pecutan, slalom, S-curve dan pemanduan trek penuh. Hujan yang dibawa oleh taufan sedikit sebanyak menjejaskan aktiviti pada hari itu namun secara keseluruhannya, objektif kami dengan Seal tercapai.

Untuk ujian pecutan, kami diberikan varian Performance AWD yang mempunyai 530 PS dan 670 Nm yang dibekalkan oleh sepasang motor elektrik. Atas kertas, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.8 saat, 0.4 lebih pantas berbanding Model 3 Long Range Dual Motor.

Angka tersebut bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk sebuah EV dengan dua motor elektrik namun agak mengagumkan yang ia berjaya melakukannya beberapa kali walaupun dalam keadaan permukaan basah, dengan tayar biasa.

Dalam mod Sport, tindak balas yang ditunjukkan oleh pendikit sangat memuaskan dan apa yang paling penting, stereng kekal dalam keadaan lurus dan terkawal dari mula pedal ditekan hinggalah ia dilepaskan.

Sesi slalom dan S-curve memberi peluang kepada saya untuk merasai kelebihan Seal dari segi pengendalian namun kedua-dua sesi itu tidak begitu mengujakan jika dibandingkan dengan sesi pemanduan penuh di litar.

Ini kerana Litar Antarabangsa Zhuhai mempunyai beberapa selekoh berkelajuan tinggi dan laluan lurus sepanjang 900 meter – elemen yang sangat sesuai untuk menguji kuasa dan juga casis Seal.

Seperti yang dikatakan, Seal boleh memecut seperti sebuah kereta sport sebenar namun apa yang lebih mengagumkan adalah talaan casis dan suspensi yang telah dilakukan oleh BYD.

Dengan pek bateri yang agak besar, Seal sebenarnya agak berat dengan berat keseluruhan mencecah 2,185 kg namun pergerakan badannya ketika mula memasuki selekoh boleh dikatakan agak responsif dan tepat dengan input stereng.

Bercakap tentang stereng, talaannya agak seimbang atau dalam erti kata lain, tidak terlalu ringan dan tidak terlalu berat. Mungkin bukan yang terbaik untuk pemanduan agresif di litar namun di jalan raya, rasanya ia sudah cukup memadai.

Namun dengan tork yang agak tinggi, Seal dirasakan agak cenderung untuk ‘membuang’ terutamanya jika pendikit ditekan semasa stereng sedang membelok. Bagaimanapun, harus diingat bahawa tayar yang digunakan bukan jenis UHP dan permukaan litar basah ketika itu.

Sesi pandu uji di Zhuhai ini agak pendek tetapi sudah cukup untuk saya mendapat sedikit idea mengenai apa yang boleh ditawarkan oleh Seal. Dari segi reka bentuk, kelengkapan dan prestasi, ia sudah cukup bersedia untuk menandingi pesaing terdekatnya.

Untuk faktor-faktor lain seperti kebolehgunaan, terutamanya dari segi jarak pandu dan pengecasan, kita perlu menunggu pelancarannya untuk pandu uji yang lebih komprehensif.

Bolehkah Seal menyaingi Model 3 yang mendapat sambutan hangat di sini? Ia bukan satu misi mustahil namun Sime Darby Motors selaku pengedar rasmi BYD perlu menetapkan harga yang kompetitif kerana pada pendapat saya, hargalah yang akan menjadi faktor penentu terbesar untuk kejayaan Seal di Malaysia.

Kia Sorento 2.2D 6-Seater AWD untuk yang tak pernah suka SUV! – Pandu uji

SELEPAS meluangkan masa dengan Kia Sorento ini beberapa hari, penulis yakin ia sebuah SUV untuk mereka yang tak pernah suka SUV. Dengar macam ayat penutup, bukan? Tetapi inilah mukadimah untuk laporan pandu uji Kia Sorento 2.2D 6-Seater AWD ini.

Seperti yang kita dapat lihat sekarang, ramai yang semakin sukakan SUV untuk pelbagai sebab sama ada untuk gaya hidup aktif (kononnya), untuk lebih praktikal, atau semata-mata mengikut trend. Tiada yang salah.

Tetapi masih ramai yang masih suka dengan kereta tradisional untuk kenderaan keluarga peribadi, seperti sedan atau hatchback. Mungkin belum bersedia untuk SUV kerana rasa saiznya terlalu besar, kos penyelenggaraan lebih tinggi, atau tidak sukakan bentuk terlalu ‘aktif’ atau rugged.

Dengan Kia Sorento baharu ini, penulis yang bukan kaki SUV pun dah jadi minat. Bahkan bila ditunjukkan pada keluarga dan rakan terdekat, rata-rata mereka suka dengan rupa dan konfigurasi unik Sorento 2.2 6-Seater ini.

“Eh tak tahu pula ada SUV gempak macam ni dalam Malaysia, dah lama masuk ke?” Begitulah kata salah sorang rakan penulis.

Sudut, lekuk, dan krom

Reka bentuk model-model Kia (dan Hyundai) masa kini adalah antara yang paling berani dan menyerlah. Lihat sahaja bagaimana rupa Hyundai Elantra dan Kia Carnival, begitu lain dari kebiasaan yang kita jumpa.

Begitu juga dengan Sorento ini, sejak dilancarkan tahun lepas, penulis terus jatuh hati dengan reka bentuknya. Di depan terdapat gril Tiger Nose yang menjadi identiti Kia, kemudian permainan-permainan krom di lampu, di bahagian sisi, dan tingkap. Segalanya cukup-cukup rasa, tidak keterlaluan.

Di belakang pula dengan lampu petak, ia nampak begitu sesuai di jalan raya Amerika Syarikat bersama kenderaan-kenderaan Ford dan GMC. Tetapi masih diselitkan ‘perisa’ Korea, cukup bergaya.

Keseluruhan reka bentuk Sorento ini menampakkan ia sebuah SUV yang lebar, tegap, dan macho. Penulis belum jumpa sesiapa yang kata Sorento ini buruk. Ada tak?

Konfigurasi unik

Kia Sorento generasi ini ditawarkan dengan tiga varian di Malaysia, terdiri dari pilihan enjin 2.5-liter petrol dan 2.2-liter diesel, bersama kombinasi tujuh atau enam tempat duduk.

Unit pandu uji ini merupakan 2.2D 6-Seater, varian tertinggi, dan seperti anda faham, enam tempat duduk adalah versi lebih mewah.

Dari sudut praktikaliti, mungkin versi ini terhad sedikit kerana ia tidak akan boleh memuatkan lebih dari enam penumpang termasuk pemandu. Tetapi jika keluarga anda tidak terlalu besar, boleh sahaja pilih versi ini.

Penulis pun rasa agak istimewa dengan konfigurasi 2-2-2 ini, dan baris ketiga boleh diakses dengan mudah melalui ruang antara dua tempat duduk baris tengah terutamanya bagi penumpang kanak-kanak.

Tempat duduk baris kedua sudah tentu selesa dengan kerusi ala kapten, siap dengan perehat tangan di bahagian tengah. Di baris ketiga juga masih sangat selesa walaupun untuk penumpang dewasa, tiada masalah walaupun perjalanan kira-kira sejam.

Kelengkapan di baris ketiga tidak kekurangan, dimana anda akan dapat soket 12 volt, panel kawalan pendingin hawa sendiri, dan ruang simpanan serta peletak cawan. Terdapat juga butang untuk melipat tempat duduk ini secara automatik.

Kita ke depan pula, kabin Sorento ini cukup kemas. Walaupun banyak butang dan tuil kawalan, segalanya diatur dengan kemas, tidaklah sehingga membuatkan anda berserabut atau risau memandunya. Lebih kepada rasa dalam kokpit pesawat peribadi. Canggih dan elegan.

Rasa hebat pula bila mengemudinya.

Kelebaran Sorento ini juga boleh terasa bila anda lihat jarak antara dua tempat duduk depan ini. Tetapi semua butang penting boleh dicapai dengan mudah, malah senang difahami.

Di belakang tombol gear, selain butang kawalan Auto Hold dan brek parkir automatik, anda juga dapat satu tombol rotary dengan dwi-fungsi iaitu Mode (pemanduan) dan Terrain.

Untuk mod pemanduan, anda boleh pilih Comfort, Eco, Sport, dan Smart, seperti biasa. Tetapi untuk Terrain, terdapat mod Snow, Mud, dan Sand. Ini pastinya sangat relevan memandangkan SUV ini mendapat pacuan AWD.

 

Mungkin tidaklah mampu off-road hardcore seperti Land Rover Defender atau Toyota Hilux, tetapi cukup untuk melalui kawasan sedikit berliku. Mana tahu anda mahu bawa keluarga ke pantai atau tapak glamping, bolehlah gunakan mod Mud atau Sand, sistem akan melaras respon enjin dan kotak gear untuk disesuaikan dengan permukaan ini.

Seperti di luar, kemasan krom juga terdapat di dalam, menaikkan seri warna kelabu pada papan pemuka. Krom diberikan sedikit pada stereng, corong pendingin hawa, tombol gear, konsol tengah, dan pedal.

Memang sebuah kabin yang sedap dan selesa diduduki walaupun untuk perjalanan jauh. Ya, Kia Sorento memang direka untuk perjalanan jauh, bukan?

Powertrain lazat

Memandu Kia Sorento ini, karakternya sepadan dengan rupanya yang lebar, tegap dan macho. Pergerakan badan Sorento ini terasa berat dan selesa, digerakkan oleh nadi berkuasa.

Tetapi secara fizikalnya, memang Kia Sorento ini berat dan berkuasa. Ia mempunyai jisim lebih 1,800kg, dan dikuasai oleh enjin 2.2-liter diesel dengan output 199hp dan 440Nm tork.

Maka tidak hairanlah pemanduan Sorento ini mirip kereta-kereta Continental seperti S-Class atau Range Rover yang besar dan berat, tetapi enjin yang berkuasa dengan tork menggunung ‘menipu’ fizik, membuatkan ia memecut dengan bersahaja.

Walaupun dengan penumpang dan muatan, Sorento ini mampu menambah kelajuannya semasa mendaki di Bukit Tinggi dari Karak ke Genting Sempah sambil kereta-kereta di depan beralih ke lorong kiri untuk memberi laluan.

Kotak gear dwi-klac 8-kelajuan pula membantu enjin bekerja dengan lebih cekap. Ia terus menerus memberikan gear lebih tinggi bagi memastikan rpm berada dalam julat kuasa semasa memecut. Tetapi bila sudah meluncur di kelajuan malar, Sorento ini kekal senyap walaupun di kelajuan lebuh raya.

Padanan enjin diesel, kotak gear 8-kelajuan, badan besar, semuanya satu resepi untuk kereta long distance idaman. Ahli keluarga anda pasti gembira sepanjang perjalanan. Anda sebagai pemandu pun tidak penat walaupun lebih dua jam memandu.

Pada masa yang sama, ia masih agak menjimatkan dengan penggunaan bahan api sekitar 12 hingga 13km per liter dengan mudah.

Harus diingat, walaupun berkuasa, Sorento ini masih sebuah kenderaan yang besar dan berat, jadi ia tidaklah selincah sedan ketika di selekoh. Ia mampu mengambil selekoh dengan kelajuan tinggi, anda harus lancar dengan input anda, cuma ia tidak begitu gembira untuk pertukaran arah yang laju atau agresif.

@engear.tv #Kia #Sorento 2.2D Buat Aku #Bingung 😶‍🌫️ #suv #diesel #engeartv #malaysia #fyp #carsoftiktok #tiktokmalaysia ♬ original sound – Engear TV

Kesimpulan

Sukar untuk mencari kelemahan Kia Sorento 2.2D ini sebenarnya. Ia segak, luas, terasa premium, sedap dipandu, dan selesa. Jika orang yang tidak sukakan SUV terpaksa memilih SUV, pasti dia tidak keberatan memilih Sorento ini.

Mungkin satu kelemahan yang ingin penulis kongsi ialah dari segi tetapan keselamatan. Ya, Sorento baharu ini padat dengan pelbagai sistem terkini seperti Blind Spot Collision Warning, Lane Keeping Assist, dan Forward Collision-Avoidance Assist.

Cuma jika kita padamkan kebanyakan sistem untuk lebih mudah dipandu dalam bandar yang sibuk, kereta ini tidak menyimpan tetapan ini. Semua sistem akan aktif semua secara sendiri jika anda matikan enjin dan hidupkan semula. Jadi, agak leceh untuk memadamkan semula barisan sistem keselamatan aktif tadi setiap kali.

Ini kerana ada pengeluar lain yang kekal dengan tetapan keselamatan dipilih pemandu walaupun enjin dimatikan dan dihidupkan semula.

Akhir sekali, harganya melebihi RM250,000. Pada tahap ini, mungkin anda dah boleh lihat kereta premium Jerman, tetapi jangan lupakan Sorento jika anda betul-betul perlukan kenderaan keluarga yang besar dan praktikal. Jangan lalai.

Spesifikasi Kia Sorento 2.2D 6-Seater AWD

Harga: RM255,228
Enjin: 2.2-liter diesel turbo
Kotak gear: Automatik dwi-klac 8-kelajuan
Kuasa: 199hp @ 3,800rpm
Tork: 440Nm @ 1,750rpm

Mercedes A200 Progressive Line: Boleh jadi kereta premium pertama? – Pandu uji

BAYANGKAN anda mula bekerja dalam sesebuah syarikat dengan jawatan eksekutif, setelah lebih enam atau tujuh tahun, kini memegang jawatan pengurus muda. Wahh.

Untuk menghadiahkan diri sendiri atau ‘reward’ diri atas kerja keras, anda pun mula mencari kereta premium pertama untuk dimiliki. Bila cakap premium, mestilah Mercedes, bukannya ‘hitam itu premium’. Kan?

Jadi dalam rangkaian Mercedes-Benz di Malaysia, ada banyak model ikut selera dan ketebalan poket anda. Sedan klasik Mercedes paling kecil tentunya C-Class, dengan bentuk elegan, rear-wheel drive.

Tapi jika anda belum bersedia masuk ‘terlalu dalam’, nak cuba dulu, pastinya anda akan nampak A-Class. Untuk masa sekarang, tiada lagi A-Class hatchback (kecuali AMG A45), hanya sedan ditawarkan.

Tetapi barisan A-Class yang terkini telah ditambah baik menjadikannya model yang boleh membuatkan anda tergugat. Kuat iman? Teruskan membaca.

Pakej lebih baik

Walaupun sebuah A-Class dianggap sebagai model permulaan atau entry level, anda tidaklah terasa kekurangan seperti generasi ketiga W176 sebelum ini. Terasa seperti hatchback atau sedan kecil yang ditepek logo Mercedes.

Dengan generasi keempat W177 ini, A-Class hatchback dan sedan lebih ‘matang’ dan aspek keselesaan terutamanya mendapat peningkatan banyak. Kereta lebih senyap dan selesa.

Unit pandu uji ini merupakan varian paling mampu milik iaitu A200 Progressive Line dengan harga RM238,888. Tetapi untuk facelift ini, semua varian mendapat sistem infotainmen Mercedes Benz User Experience (MBUX) NTG7 generasi baharu yang canggih dan lebih seronok digunakan.

Ia boleh diakses dari skrin melintang yang mempunyai dua skrin – instrumen untuk pemandu di sebelah kanan, dan infotainmen di sebelah kiri.

Anda boleh kustom paparan instrumen dengan mod Classic, Sporty, Discreet, Understated, ikut mood anda pada masa itu. Penulis biarkan dalam mod Classic kerana terasa betul feel Mercedes. Kalau mod Sporty seperti tidak berapa kena.

Di bahagian kiri, ia penuh dengan pelbagai kandungan dan paparan seperti navigasi, media, sambungan telefon pintar, sistem kenderaan, dan banyak lagi. Mercedes mahu menjadikan kabin ini minimalis, ‘sorok’ terus apa yang tidak diperlukan.

Tetapi untuk benda seperti kemasan papan pemuka dan corong pendingin hawa, Mercedes menjadikannya cukup cantik untuk kita lihat dan pegang.

Papan pemuka ada bahagian lembut dan keras, lengkap dengan lampu ambien 64 warna sama seperti model yang lebih besar. Anda tak rasa kekurangan, bukan? Corong pendingin hawa pula seperti diperbuat dari sejenis logam kerana ia menjadi sejuk bila pendingin hawa dihidupkan.

Kabin Mercedes A200 ini cukup luas, selesa, dan paling penting terasa moden. Anda lihat permukaan, bahan, dan paparan skrin, seakan sepadan dengan iPhone 14 yang anda gunakan. Seperti satu tema.

Oh ya, bercakap mengenai iPhone, A200 ini didatangkan dengan sambungan telefon pintar Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Masuk kereta, terus disambung secara auto, dan mulakan perjalanan. Mudah. Paling penting, tiada wayar berselirat.

Terdapat juga beberapa soket pengecas tetapi pastinya USB-C, sudah menjadi kelaziman kereta-kereta premium.

Tempat duduk belakang sangat selesa untuk sebuah sedan kompak, paling sesuai diduduki dua orang dewasa dan satu kanak-kanak. Tiga dewasa tidak berapa selesa untuk perjalanan jauh.

Cuma pintu belakang terasa sedikit ‘kosong’ bila ditutup. Untuk kita kaki kereta yang faham kejuruteraan dan proses pembuatan, tiada masalah. Tetapi untuk rakyat Malaysia dengan mentaliti 90-an, mungkin mereka risau kereta ini tidak cukup selamat.

Aduh kemonlah…. Ini dah 2023. Ini kereta Jerman kot. F1 yang komponen badan harga berjuta pun ringan dan terasa kosong.

Pemanduan semakin mantap

Semasa penulis mula memandu A200 hatcback sebelum facelift beberapa tahun lepas, satu masalah paling ketara yang dirasakan adalah suspensi belakang yang kurang selesa. Seakan keras atau tidak sesuai dengan permukaan jalan raya Malaysia.

A200 menggunakan suspensi belakang torsion beam, manakala A250 diberikan suspensi independent. Mungkin salah jalan raya Malaysia turap tak ikut standard, atau mungkin salah kereta… Tapi di luar negara sana elok je mereka pakai A200 ni kan.

Tetapi untuk A200 Progressive Line 2023 ini, penulis rasa seperti keseluruhan suspensinya jauh lebih baik walaupun masih menggunakan torsion beam di belakang. Boleh jadi faktor sedan yang mempunyai berat lebih di belakang untuk memberikan kesan suspensi lebih padu.

Atau boleh jadi juga jurutera Mercedes telah menala semula spring dan penyerap hentak belakang A200 ini. Yang penting, penulis lebih berani menyarankan A200 kali ini untuk sesiapa yang mahu berjinak-jinak dengan kereta premium. Jika sebelum ini, penulis mungkin hanya akan menyarankan A250 terus.

Kesenyapan kabin juga cukup mantap, penulis sempat memandu A200 ini dari Kuala Lumpur ke Kuantan dan sepanjang perjalanan jauh, penulis langsung tidak berasa penat. Ini biasanya disumbangkan oleh kabin yang senyap dan kualiti ‘ride’ yang baik.

Enjin pula, tidak seperti A250 yang dipacu enjin 2.0-liter turbo, A200 sebaliknya dikuasakan oleh enjin 1.33-liter turbo sahaja. Dan tahukah anda, enjin 1.33-liter ini enjin Renault, bukannya Mercedes sendiri?

Tetapi jangan terpedaya dengan angka kapasiti, sudah tentu Myvi 1.5 takkan dapat tapau Mercedes A200 ini, kerana enjin 1.33-liter ini menghasilkan 163hp dan 270Nm tork.

Nadi ini digandingkan pula dengan kota gear automatik dwi-klac 7-kelajuan, maka pecutan 0-100 oleh dibuat dalam masa 8.3 saat sahaja.

Sama seperti A200 sebelum facelift dulu, yang penulis suka mengenai enjin ini ialah ia cukup berkuasa untuk kegunaan harian tetapi pada masa yang sama begitu efisyen.

Sepanjang memandu Mercedes A200 ini, penulis dengan mudah mendapat 13 hingga 14km per liter, walaupun ada memandu laju. Ini dikira laju macam Mercedes, tapi jimat macam Myvi! Inilah pentingnya teknologi pada enjin canggih.

Kawalan badan A200 ini juga cukup baik semasa melalui selekoh-selekoh panjang di Lebuhraya Karak, tetapi ia tetap memberikan keselesaan apabila melalui kawasan bandar dan perumahan dalam seharian. Penulis boleh katakan Mercedes A200 Progressive Line ini senang dan mudah digunakan.

Kira jadi?

Kereta ini sememangnya boleh jadi calon sesuai untuk anda masukkan dalam senarai pendek “Kereta Premium Pertama Saya”. Wajib pandu uji walaupun tidak jadi meneruskan pembelian.

Ia tidak rasa seperti terlalu menunjuk, kerana rupa luarannya yang relaks dan bersahaja, tetapi anda masih boleh mendapatkan kualiti pemanduan premium dan sebuah kabin yang cantik serta selesa untuk diduduki.

Mercedes A200 ini padat dengan teknologi dan ciri terkini, jika digunakan lebih lima tahun pun anda masih akan rasa ia relevan dalam pasaran, walaupun pada masa itu anda sudah menggunakan iPhone 19.

Spesifikasi Mercedes A200 Progressive Line

Harga: RM238,888
Enjin: 1.33-liter turbo petrol
Kotak gear: Automatik dwi-klac 7-kelajuan
Kuasa: 161hp @ 5,500rpm
Tork: 270Nm @ 2,000rpm

Audi e-tron GT tiada masalah beraksi di litar – Pandu Uji

Jika anda seorang yang kaya dan ingin memiliki kenderaan elektrik (EV), anda sebenarnya mempunyai banyak pilihan yang akan menarik perhatian anda namun berani penulis katakan bahawa tidak ada satu pun yang boleh menangkap jiwa anda seperti Audi e-tron GT.

Sekali pandang sahaja, anda tahu bawa e-tron GT adalah sebuah EV yang direka khusus untuk individu yang bergaya dan berjaya seperti anda.

Ya, mungkin akan ada orang di sekeliling anda yang akan berkata “Baik beli Porsche Taycan, lagi laju”. Benar, atas kertas, kembarnya dari Zuffenhausen itu lebih pantas tetapi ia tidak akan membuatkan anda terasa seperti Tony Stark.

Sebagai sebuah sedan empat pintu dengan jarak pandu sejauh 458 km dengan satu cas penuh, e-tron GT boleh dijadikan sebagai kereta untuk rutian harian, tidak kira jika anda masih bujang atau pun sudah berkeluarga.

Namun, anda juga perlu tahu bahawa kereta ini juga sentiasa bersedia untuk beraksi di litar. Baru-baru ini, penulis dijemput oleh Audi Malaysia untuk merasai sendiri kehebatan e-tron GT quattro dan RS e-tron GT di Litar Antarabangsa Sepang.

Untuk pengetahuan, acara Audi Driving Experience itu dijalankan di bahagian selatan litar (South Paddock) sahaja. Aktiviti pemanduan terbahagi kepada dua bahagian iaitu sesi pandu uji di litar dan ujian pecutan di laluan lurus selepas selekoh 14.

Untuk pusingan pertama, penulis diberikan e-tron GT quattro, varian entry-level yang dilengkapi dengan dua motor elektrik yang menghasilkan output keseluruhan sebanyak 476 PS dan 630 Nm.

Sebaik sahaja keluar dari pit, tujahan keras pada pedal pendikit membuatkan kereta ini terus ‘hidup’ dan memecut bagai tiada hari esok. Kepala tertolak sedikit ke belakang dan tangan mula menggenggam stereng dengan lebih kuat, menandakan kuasa pecutan yang tinggi.

Berdasarkan spesifikasi, model ini hanya memerlukan 4.5 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j dari keadaan pegun namun apabila memecut ketika sedang bergerak, ia boleh mencapai kelajuan 150 km/j sebelum penulis sempat menghembuskan nafas.

Salah satu kelebihan memandu EV adalah tork sentiasa tersedia. Di litar berkelajuan tinggi seperti Sepang, ini amat berguna kerana ia membolehkan anda keluar dari selekoh sepantas kilat. Dan apa yang mengagumkan, ini boleh dilakukan berulang kali.

Bukan itu sahaja, sistem pacuan semua roda quattro yang merupakan trademark Audi juga memainkan peranan penting dalam memberikan cengkaman tinggi, terutamanya ketika menghadapi chicane di selekoh 12 dan 13.

Seterusnya, penulis berpeluang mencuba RS e-tron GT yang secara asasnya merupakan varian yang lebih berkuasa dan mempunyai tahap kelengkapan yang lebih tinggi.

Seperti versi asas, ia juga mempunyai sebuah motor elektrik pada setiap gandar namun kuasa yang dihasilkan lebih tinggi iaitu 598 PS dan 830 Nm. Perbezaan kuasa ini memang boleh dirasakan dengan jelas dan bagi penulis, varian ini terasa lebih ‘liar’ ketika beraksi.

Walau bagaimanapun, ia didatangkan dengan beberapa kelengkapan tambahan yang membuatkan ia lebih hebat berbanding versi asas dari segi dinamik.

Yang pertama adalah sistem suspensi udara. Dengan peredam adaptif pada gandar hadapan dan belakang, sistem ini boleh mengurangkan ketinggian sebanyak 10 mm pada kelajuan 90 km/j dan 12 mm lagi ketika kereta bergerak pada kelajuan 180 km/j ke atas.

Bukan itu sahaja, RS e-tron GT juga dilengkapi dengan sistem stereng roda belakang (rear-wheel steering). Pada kelajuan sekitar 50 km/j, sistem ini akan memusingkan roda belakang berlawanan arah dengan roda hadapan bagi memberikan radius putaran yang lebih kecil.

Pada kelajuan 80 km/j pula, roda belakang akan dipusing mengikut arah roda hadapan. Ini secara tidak langsung akan menjadikan kereta lebih stabil terutamanya ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Satu lagi kelebihan versi RS adalah differential lock pada gandar belakang. Dalam konteks pemanduan di litar, komponen ini menggunakan pemvektoran tork untuk menjadikan kereta lebih lincah ketika memasuki selekoh tajam dan meningkatkan cengkaman ketika keluar.

Untuk sesi ujian pecutan, penulis melakukannya dengan RS e-tron GT sahaja. Di sini, fungsi overboost memainkan peranan penting kerana ia akan meningkatkan kuasa kepada 646 PS untuk sementara waktu bagi membolehkan kereta memecut sepantas yang boleh.

Atas kertas, model RS ini hanya memerlukan 3.3 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j namun penulis berjaya melakukannya dalam masa 3.2 saat, berdasarkan pengukur pecutan yang terpapar pada panel instrumen.

Malah, ada pihak media yang berjaya melakukan pecutan tersebut dalam masa 3.1 saat sahaja. Ini menunjukkan bahawa dalam keadaan tertentu, RS e-tron GT sebenarnya lebih pantas dari yang diperkatakan.

Konklusi

Sejujurnya, penulis tidak rasa bahawa ingin memandu di litar adalah sebab utama kenapa orang membeli EV. Apa yang penulis ingin sampaikan di sini adalah, Audi e-tron GT dan RS e-tron GT adalah EV yang cukup versatil dan sekiranya suatu hari anda ingin melepas gian untuk memandu laju, ia boleh melakukannya tanpa sebarang isu.

Anda mungkin tertanya-tanya jika jarak pandu akan menjadi penghalang untuk pemanduan di litar lumba. Untuk sebuah EV yang boleh dipandu sejauh lebih 400 km dengan satu cas penuh, penulis tidak rasa ada sebarang masalah kerana jika diambil kira jarak Litar Antarabangsa Sepang iaitu 5.543 km, anda sebenarnya boleh memandu e-tron GT berpuluh-puluh pusingan sebelum kuasa bateri turun ke tahap yang boleh dianggap ‘membimbangkan’.

Spesifikasi Audi e-tron GT quattro

Harga: RM588,790
Kuasa: 476 PS (530 PS dengan overboost)
Tork: 630 Nm (64o Nm dengan overboost)
Bateri: 93.4 kWj

Spesifikasi Audi RS e-tron GT

Harga: RM793,790
Kuasa: 598 PS (646 PS dengan overboost)
Tork: 830 Nm
Bateri: 93.4 kWj

iX3 sebuah EV BMW ‘tradisional’ kerana ia RWD – Pandu uji

BMW merupakan antara pengeluar di Malaysia yang banyak menawarkan model elektrik (EV), antaranya i4, i7, iX1, iX3, dan iX. Kali ini, Engear diberi peluang oleh BMW Malaysia untuk meluangkan hujung minggu bersama iX3.

Ada satu rahsia, walaupun iX3 ialah model EV yang boleh dikatakan sebagai baharu, futuristik dan terkini, ia mempunyai sifat sebuah BMW tradisional. Kenapa? Kerana ianya sebuah jentera RWD sejati.

Ya, BMW M3 pun kini sudah pacuan semua-roda dengan sistem xDrive, tetapi iX3 sebuah SUV EV pula RWD. Memang dunia yang pelik kita hidup sekarang.

Konfigurasi RWD

BMW iX3 mempunyai konfigurasi RWD kerana ia dipacu motor elektrik tunggal yang dipasang di gandar belakang, dengan output 282hp dan 400Nm tork. Motor ini mendapat kuasanya dari bateri 73.8kWh yang mampu memberikan iX3 jarak pemanduan sehingga 453km.

 

Kami beriya-iya cakap mengenai RWD, apa yang penting sangat? Mungkin kebanyakan pemandu tidak kisah pun. Ia satu fakta menarik kerana apabila tayar depan tidak perlu menghantar kuasa dan hanya menggalas tugas membelok, ia akan menyebabkan stereng rasa begitu telus dan tepat.

Jadi adakah ia bermakna kereta ini laju? Tidak semestinya. Ini cuma bermakna iX3 mempunyai ‘feel’ atau rasa seperti kereta sports sejati; kuasa 100 peratus di tayar belakang, stereng 100 peratus oleh tayar depan. Bila kali terakhir anda pandu kereta sebegini?

Tetapi nak kata BMW iX3 ini perlahan, tidak juga. Prestasi masih mantap. Walaupun mempunyai berat 2,200kg, ia masih mampu memecut ke 100km/j dalam masa 6.8 saat, lebih pantas dari kebanyakan kereta. Cuma kelajuan maksima dihadkan kepada 180km/j ‘sahaja’, biasalah EV.

Tetapi memang benar, sepanjang penulis pandu BMW iX3 ini, pengendalian di selekoh cukup seimbang dan memuaskan. Beratnya tertumpu di tengah, stereng yang banyak maklum balas, dan tork 400Nm boleh diakses kebanyakan masa.

Pemanduan waktu malam ditemani dengan lampu BMW Laser Light yang bukan sahaja nampak canggih, tetapi memberikan penglihatan mantap untuk pemandu. Secara tidak langsung, ini juga menambahkan aspek keselamatan.

Mewah dan praktikal untuk kegunaan seharian

 

BMW iX3 yang kami pandu merupakan varian M Sport Impressive, jadi ia mendapat kemasan badan yang sporti walaupun terdapat klu EV dari elemen-elemen biru.

Elemen biru dapat dilihat pada gril bertutup, kemasukan udara di bampar depan, dan diffuser belakang. Tetapi elemen sporti mendominasi rekaan luar iX3 M Sport ini, seperti rim 20-inci, bampar sisi yang agresif, dan rekaan diffuser belakang yang menyerlah, selain spoiler bumbung.

Profil sisi BMW iX3 ini masih klasik SUV, dan mirip X3. Menunjukkan aspek kekeluargaannya dengan model-model lain. Harus diketahui juga lantai bawah iX3 ini hampir rata seperti kereta sports, dan ia berfungsi bersama diffuser belakang.

Cuma bahagian kabin secara keseluruhan terasa biasa dan tidak terlalu istimewa. Papan pemukanya menampilkan rekaan yang sudah kita kenali, tidaklah buruk, cuma mungkin agak berusia.

Walaubagaimanapun, jika anda rajin ‘mengorek’ ke dalam skrin tengahnya, terdapat banyak kandungan yang khas pada model elektrik. Antarnya adalah menu-menu agihan kuasa, mod regenerative, dan perancangan untuk mengecas.

Penulis cukup suka dengan sistem audio Harman Kardon 464 watt pada iX3 ini yang mampu membuatkan anda rajin memandu kereta ini kerana dapat memainkan lagu kegemaran dengan alunan cukup enak. Isteri suruh beli gula sepaket pun anda akan rajin memandu BMW iX3 ini walaupun jarak dekat.

Keluasan tiada masalah untuk iX3, cukup lapang dengan kelegaan kaki dan kepala yang lebih dari mencukupi untuk lima orang dewasa.

Data perjalanan

Baik, sekarang kita jangan lupa hakikat bahawa BMW iX3 ini sebuah EV, jadi macam mana prestasi dan praktikaliti penggunaan hariannya? Cukup 453km? Sebenarnya, jujur cakap, semasa kami dapat kereta ini, baterinya pada tahap 95 peratus dengan hanya 313km jarak pemanduan. Aduh! Macam mana tu?

Harus diketahui bacaan jarak kereta EV dikira berdasarkan cara pemanduan sebelumnya. Mungkin pemandu sebelum itu melenjan iX3 ini tidak ingat dunia, seronok dengan tork 400Nm yang dibekalkan.

Dari pengalaman penulis pula, walaupun jarak dipaparkan 313km, penulis dapat pandu lebih dari 350km dengan baki 25km semasa memulangkan iX3 ini. Bagaimana?

Penulis banyak memandu dalam bandar dengan kelajuan kurang 120km/j, banyak melakukan stop and go. Jadi berat kereta 2.2 tan itu memberikan momentum untuk sistem regenerative mengembalikan semula tenaga ke dalam bateri setiap kali penulis memperlahankan kereta.

Boleh dikatakan 90 peratus situasi pemanduan penulis tidak menekan pedal brek, cukup sekadar mengangkat kaki dari pedal ‘minyak’, dan iX3 menggunakan regen untuk berhenti, bukannya brek cakera.

Sistem regen padanya juga boleh dilaras pada beberapa tahap, mengikut keadaan dan kesesuaian. Dari pengalaman penulis, anda boleh gunakan regen maksima dalam bandar dan pemanduan perlahan, manakala regen minima untuk pemanduan lebih laju seperti di lebuh raya.

Jadi, penulis tidak sempat menghabiskan bateri sepanjang beberapa hari memandu iX3 di sekitar Kuala Lumpur, satu perkara yang bagus juga lah kan?

Tetapi untuk pengetahuan anda, iX3 akan memerlukan tujuh jam setengah untuk cas penuh jika menggunakan AC. Jika menggunakan pengecasan pantas DC, ia menyokong sehingga 150kW, bermakna 80 peratus bateri dapat dicapai dalam hanya 32 minit.

Boleh beli?

Pasaran EV di Malaysia sememangnya ‘dikacau’ oleh kehadiran Tesla yang menawarkan model dengan jarak pemanduan lebih 500km pada harga bawah RM200,000.

Jadi, bagaimana dengan BMW iX3? Varian M Sport Inspiring bermula pada RM307,160 manakala varian M Sport Impressive yang kami uji ini berharga RM328,160.

Pada pendapat penulis, peminat kereta sejati tidak kisah akan semua itu, terutamanya peminat BMW. iX3 sesuai untuk pemilik BMW yang mahu teknologi EV setelah mereka ada sebuah 5-Series atau X3 di rumah.

iX3 akan menjadi EV yang praktikal untuk kegunaan bandar, di samping mengekalkan imej sporti dan ‘petrolhead’. Malah, ia juga tidak terus nampak seperti sebuah EV sekali lihat, jika itu yang anda gemarkan.

@engear.tv 3 Rahsia Pasal SUV BMW iX3 #engeartv #rahsia #bmw #ix3 #bmwix3 #suv #tiktokmalaysia #malaysia #review #fyp #reels ♬ original sound – Engear TV

Spesifikasi BMW iX3 M Sport Impressive

Harga: RM328,160
Bateri: 73.8kWh
Kuasa: 282hp
Tork: 400Nm

Honda WR-V laris walaupun mahal – Pandu Uji

KETIBAAN Honda WR-V ke pasaran Malaysia pada Julai lalu bukan sahaja sebagai pengganti BR-V tetapi juga sebagai model pertama Honda yang akan menggegarkan segmen SUV kompak.

Pesaing utamanya tidak lain tidak bukan tentulah Perodua Ativa yang terus-menerus mendapat sambutan hangat sejak ia dilancarkan ke pasaran tempatan pada 2021.

Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana dengan harga bermula dari RM62,500 hingga RM73,400, Ativa dilihat sebagai pilihan yang ‘mesra poket’ terutamanya untuk mereka yang ingin beralih ke segmen SUV.

Kehadiran WR-V dijangka akan memberi saingan sengit kepada Ativa namun dengan julat harga yang jauh lebih tinggi iaitu RM89,900 hingga RM107,900, penulis merasakan yang impaknya mungkin tidak sehebat SUV keluaran Perodua itu.

Ini kerana, selain agak mahal, pelanggan sebenarnya boleh memilih untuk mendapatkan kereta yang lebih besar seperti Honda City atau Proton X50 dengan bajet yang sama.

Bagaimanapun, sangkaan penulis mengenai penerimaan WR-V salah sama sekali apabila Honda Malaysia mendedahkan bahawa mereka telah menerima hampir 7,300 tempahan untuk model itu setakat awal September 2023.

Daripada jumlah tersebut, hampir 3,300 unit telah diserahkan kepada pelanggan dan daripada jumlah itu, 62 peratus daripadanya merangkumi varian RS. Ya, walaupun harganya agak tinggi, WR-V tetap laris. Kenapa agaknya?

Semasa sesi uji media yang diadakan di Langkawi baru-baru ini, penulis berpeluang mencungkil beberapa ‘rahsia’ WR-V dan merasai sendiri kelebihan yang dimiliki oleh model itu.

Pertama sekali, reka bentuk. Rasanya tidak keterlaluan jika penulis katakan yang ada segelintir pembeli kenderaan di negara ini yang meletakkan rupa sebagai faktor utama.

Oleh itu jika ada pemilik WR-V yang mengatakan dia membeli kereta ini sebab rupanya semata-mata, penulis tidak akan berasa hairan.

Ini kerana WR-V memang sebuah SUV yang menarik – badannya kecil molek tetapi ia mempunyai wajah yang garang dengan lampu yang tajam, gril yang lebar dan bukaan bampar yang luas.

Dari sisi, garisan karakter yang ‘ditarik’ dari hadapan hingga ke belakang, bumbung yang tidak terlalu tinggi, sert.a rim dua tona berukuran 17 inci (varian RS sahaja) memberikan WR-V imej sporty yang digemari golongan muda

Penulis paling suka melihat SUV ini dari sudut belakang kerana fender yang lebar membuatkan ia kelihatan tegap terutamanya ketika menyusur di jalan raya.

Bagaimanapun, rasa teruja tadi mula berkurangan sebaik sahaja melihat rekaan ruang kabinnya yang tidak semewah model-model keluaran Honda yang lain.

Penggunaan plastik keras pada bahagian atas papan pemuka dan panel pintu, serta kewujudan tuil brek parkir membuatkan model ini rasa dan nampak murah.

Namun begitu, kehadiran upholsteri kulit pada tempat duduk, papan pemuka sebelah penumpang dan perehat tangan, stereng multifungsi dengan balutan kulit serta trim hitam berkilat dilihat menaikkan seri kabin WR-V.

Tidak cukup dengan itu, varian RS yang penulis pandu uji ini nampak lebih garang dengan jahitan kontras berwarna merah pada tempat duduk, papan pemuka dan stereng.

Varian ini juga mempunyai jarum speedometer dan tachometer berwarna merah dan ‘welcome screen’ RS yang akan muncul pada panel TFT 4.2 inci pada kluster instrument setiap kali anda masuk ke dalam kereta.

Dari luar, memang WR-V nampak kecil namun ruang kabinnya tidak terasa sempit. Ruang kaki hadapan dan belakang agak luas untuk sebuah kereta kompak, manakala ruang kepala juga mencukupi walaupun garis bumbungnya kelihatan rendah.

Kusyen pada kerusi pemandu dan penumpang hadapan tidak dinafikan terasa agak pendek dan ini sedikit sebanyak menjejaskan sokongan peha, terutamanya untuk mereka yang tinggi lampai.

Berbeza pula dengan kerusi belakang – kusyennya lebih panjang, lebar dan selesa dan penyandarnya juga tidak terlalu condong. Walaupun tidak mempunyai fungsi ULTRA seperti City Hatchback, ia boleh dilipat secara 60:40.

Dengan kapasiti mencecah 380 liter, ruang but WR-V agak luas dan boleh memuatkan sekurang-kurangnya empat bagasi bersaiz sederhana tanpa sebarang masalah. Menariknya, ketiadaan penutup tonneau membolehkan penumpang belakang mengambil barang dari ruang but dengan lebih mudah.

Dari segi prestasi, ketiadaan pengecas turbo bukanlah satu kelemahan untuk WR-V. Enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC empat silinder yang dibekalkan sudah ternyata cukup untuk SUV kompak ini namun gaya pemanduan haruslah bersesuaian.

Maksud penulis, jika pedal ditekan dengan agresif sudah tentu enjin dan CVT akan ‘mengaum’ namun pecutannya tidaklah begitu dirasakan sehinggalah jarum tachometer mencecah takat 4,000 rpm.

Sebaliknya, jika dipedal ditekan dalam gaya yang lebih progresif, gabungan trenkuasa itu akan memberikan prestasi pecutan yang lebih cepat dan lancar, sekali gus menjadikan pengalaman pemanduan lebih seronok.

Langkawi bukanlah lokasi yang paling sesuai untuk memandu uji kereta pada kelajuan tinggi namun penulis sempat mencecah kelajuan 110 km/j beberapa kali. Pada kelajuan itu, WR-V masih terasa stabil namun bunyi dari tayar dan angin mula meresap ke dalam kabin.

Bagaimanapun, pulau peranginan itu mempunyai banyak jalan kampung dan jalan lama yang bersimpang siur dan beralun, jadi ia cukup sesuai untuk ujian pengendalian.

Untuk mereka yang sekali-sekala gemar ‘melayan’ selekoh, WR-V tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian namun jika terlalu dipaksa, olengan badan akan mula terasa.

Harus diingat yang ia bukanlah kereta sport sebenar dan dengan jarak lega tanah 220 mm, SUV ini sebenarnya agak tinggi. Stereng responsif namun sedikit ringan – bagus untuk pemanduan di dalam bandar tetapi kurang meyakinkan untuk pemanduan agresif.

Penulis diberitahu bahawa varian RS mempunyai talaan yang berbeza untuk penyerap hentak, CVT dan stereng kerana tidak seperti varian S, E dan V yang menggunakan rim 16 inci, varian ini dilengkapi dengan rim 17 inci.

Menurut ketua projek WR-V yang berasal dari Thailand, talaan spesifik ini perlu bagi mendapatkan tahap keselesaan yang sama dengan varian-varian lain. Tidak pasti jika tahap keselesaan sistem suspensi WR-V RS sama dengan varian-varian lain namun ia terbukti boleh menyerap hentakan dengan begitu baik.

Setelah hampir dua hari memandu WR-V, penulis akhirnya faham bagaimana SUV kompak ini boleh mendapat sambutan yang begitu menggalakkan walaupun dijual pada harga yang agak tinggi.

Ia mempunyai semua ciri yang dicari oleh pembeli dalam segmen ini yang rata-ratanya adalah golongan muda. Ini termasuk reka bentuk luaran yang tampan dan ruang kabin yang praktikal, walaupun secara jujurnya kelihatan agak outdated.

Tahap kelengkapannya juga tidak mengecewakan, dengan ciri-ciri penting seperti skrin sentuh bersama Apple CarPlay/Android Auto dan Honda LaneWatch disertakan secara standard pada semua varian. Honda Sensing pula tersedia dari varian E dan ke atas.

Selain itu, WR-V juga mampu memberikan pemanduan yang agak mengujakan, hasil daripada proses R&D dan ujian yang ekstensif.

Akhir sekali, penulis merasakan yang lambang ‘H’ kegilaan ramai itu turut menjadi faktor yang mempengaruhi proses membuat keputusan di kalangan pembeli model ini.

Spesifikasi Honda WR-V

Harga: RM89,900-RM107,900
Enjin: 1.5-liter DOHC i-VTEC empat silinder
Kotak gear: CVT
Kuasa: 121 PS @ 6,600 rpm
Tork: 145 Nm @ 4,300 rpm

Kami bina sendiri Lego Technic Yamaha MT-10 SP skala 1:5 ini! – Pasang Engear

KAMI di Engear sama juga seperti anda, sukakan jentera-jentera seperti kereta dan motosikal. Jadi bila dapat tawaran dari pihak Lego Malaysia untuk mengalami sendiri pengalaman memasang model terbaharu mereka iaitu Yamaha MT-10 SP, kami cukup teruja.

Oleh itu, video dan artikel reviu kali ini menggunakan subjek sedikit berbeza dari kebiasaan, iaitu sebuah motosikal dalam skala 1:5.

Lego mempunyai banyak barisan produk seperti Classic, City, Creators, dan DC Comic Super Heroes, meliputi pelbagai peringkat umur. Lego Technic ialah siri yang lebih kompleks, realistik, teknikal, dan sesuai untuk mereka yang berumur mungkin 14 tahun ke atas.

Set Lego Technic Yamaha MT-10 SP terdiri dari 1,478 keping Lego dan apabila siap, akan mempunyai ukuran 25cm tinggi, 44cm panjang, dan 15cm lebar.

Ia menampilkan ciri utama dari motosikal Hyper Naked itu yang sebenar seperti enjin 4-silinder dan kotak gear yang berfungsi. Komponen kotak gear seperti dram penukar, fork, gegelung, dan racet semuanya dihasilkan dengan realistik dan teliti.

Buka kotak

Di dalam kotak set ini terdapat sampul berisi manual dan pelekat, serta bungkusan plastik berisi blok-blok dan komponen Lego.

Manualnya seperti biasa dari buku tebal jenis kertas berkilat, dan sudah tentu berwarna. Buku ini menampilkan gambar-gambar motosikal sebenar, model siap, dan cara pemasangan. Ia juga berbaloi disimpan dijadikan koleksi atau untuk diletakkan di meja kopi.

Bungkusan plastik agak banyak, dan setiap satu dikumpulkan dalam enam kumpulan. Jadi setiap kumpulan dari satu hingga enam ini menunjukkan segmen dan langkah pemasangan. Sebagai contoh beberapa beg 1 untuk komponen rangka, dan beberapa beg 3 untuk enjin.

Mari ‘main’ Lego

Kami pun memulakan proses pemasangan, melalui kesemua 307 muka surat dari buku manual. Beg-beg berlabel nombor 1 paling panjang prosesnya, iaitu 89 muka surat.

Selebihnya adalah beg 2 hingga 6. Dan kami mengambil masa lebih kurang lapan jam keseluruhan, gabungan dari dua hari penggambaran.

Hasilnya, sebuah replika Yamaha MT-10 SP dalam skala 1:5 yang cukup cantik. Ia juga nampak realistik, yang mana kami rasa jika tiada logo Yamaha pun, peminat motosikal pasti boleh cam model ini.

Ciri paling menarik pada Lego Technic Yamaha MT-10 SP bagi penulis ialah enjin dan kotak gear 3-kelajuan yang berfungsi. Anda boleh masuk gear 1, neutral, 2, dan 3 dengan menekan penukar gear seperti motosikal sebenar. Cuma Lego tidak buatlah kotak gear 6-kelajuan, nanti tak muat pula. Cukup 3-kelajuan untuk kita nampak asas binaan transmisi itu.

Ia disambungkan kepada rantai yang menggerakkan roda belakang. Anda dapat lihat empat silinder dalam enjin bergerak jika anda dalam gear dan memusingkan roda belakang, dan begitu juga sebaliknya.

Terdapat juga perincian komponen lain seperti suspensi depan dan belakang yang berfungsi, cermin sisi yang boleh digerakkan, hos brek depan dan belakang, serta hos radiator.

Susah? Berbaloi?

Susah atau senang untuk bina model ini, bergantung kepada pengalaman anda. Macam penulis sendiri, tidak pernah memasang sebarang model Lego Technic bersaiz besar, dan sebarang model motosikal. Tetapi penulis pernah memasang banyak set Lego sebelum ini.

Anda perlu membiasakan diri dan mengenal blok serta komponen yang banyak digunakan di awal pembinaan, kemudian bila masuk beg 2 dan seterusnya, jadi lebih lancar.

Anda perlu teliti di beg 2 dan 3 kerana di sini kita membina blok enjin dan kotak gear. Semua komponen perlu betul, termasuklah jajaran drum penukar gear. Betul semua ini, maka kotak gear anda berfungsi dengan sempurna.

Bagi penulis, set ini sememangnya berbaloi dibeli kerana anda dapat sebuah build yang memuaskan. Anda dapat belajar banyak mengenai mekanikal dan kejuruteraan motosikal khasnya Yamaha MT-10 SP ini. Bila siap, model ini juga pasti gah menghiasi ruang tamu atau ruang pejabat anda. Jangan biarkan anak buah yang masih kecil sentuh!

Oh ya, set Lego Technic ini juga datang dengan fungsi AR (augmented reality) dimana anda boleh muat turun aplikasinya dan berinteraksi dengan model ini dengan cara unik di telefon pintar anda.

Jemput tonton video kami berseronok memasang model ini di bawah. Jika anda berminat membelinya, boleh terus ke pautan ini.

Mazda CX-30 2.0G High+ bukan untuk semua – Pandu uji

SEMASA Mazda CX-30 mula menerjah ke pasaran Malaysia pada penghujung 2019, rata-rata kami para media amat menggemarinya. Bukan sahaja ia nampak cantik dan seksi dengan lekuk dan garisan seperti SUV Itali, CX-30 juga sedap dipandu.

Jika anda suka memandu dan seorang pemandu tegar, CX-30 akan cepat serasi dengan anda. Masalahnya, harga CX-30 pada masa itu agak ‘keras’, membuatkan kebanyakan orang risau untuk meminangnya. Lantas menjadikan jualannya sedikit sendu.

Namun tahun lepas, Mazda Malaysia telah memperkenalkan varian CKD (pemasangan tempatan) untuk SUV kompak segmen-B ini, menjadikan harganya lebih sedap didengar.

CX-30 2.0G bermula pada RM131,000 hingga 2.0G High+ Premium pada RM159,000. Ini kira-kira RM13,000 ‘diskaun’ berbanding 2.0G model 2019 dulu.

Cuma untuk CKD kali ini kesemua empat varian menggunakan enjin 2.0-liter petrol sahaja, tiada lagi pilihan 1.8-liter diesel SkyActive-D seperti dulu yang berharga lebih RM170,000.

Jadi, baru-baru ini kami memandu uji varian pertengahan tinggi, iaitu CX-30 2.0G High+ yang berharga RM149,000. Adakah ia berbaloi dibandingkan dengan model seperti Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross? Dan untuk siapakah CX-30 ini?

Seperti satu kelas lebih atas

Mazda CX-30 apabila diteliti dengan lebih dekat, anda akan rasa ia seperti dalam satu kelas lebih atas dari model-model lain dalam segmennya.

Sebagai contoh, bilah krom di bawah gril depan yang bersambung hingga ke lampu depan kiri dan kanan sebenarnya mahal untuk dihasilkan kerana ia komponen krom nipis yang besar.

Kemudian permukaan panel badan di fender, pintu, hingga belakang kereta tidak mempunyai garisan yang jelas, sebaliknya berlekuk dan membentuk permainan cahaya yang cukup menarik. Ia beralun dan memberikan imej CX-30 ini seperti seekor makhluk, bukannya sebuah jentera atau benda.

Permukaan organik sebegini memerlukan tahap penjagaan kualiti yang tinggi dan lebih teliti berbanding garisan konvensional.

Rekaan belakang juga cukup penulis suka kerana nampak elegan dan sporti seperti SUV Itali yang jauh lebih mahal. Untuk anda yang tidak tahu, penulis maksudkan Alfa Romeo Stelvio.

Di dalam, anda lihat sahaja pedal minyak jenis organ pada CX-30 ini, iaitu jenis engsel di lantai. Automatik membuatkan SUV ini rasa lebih mahal berbanding model lain yang menggunakan pedal minyak jenis gantung.

Begitu juga dengan paparan meter rpm dan speedometer. Hanya paparan rpm yang merupakan meter fizikal, sementara speedometer sebenarnya paparan digital. Tetapi Mazda berjaya memberikan penelitian hingga kedua-dua ini nampak begitu serupa. Bila padamkan enjin baru anda perasan bahawa meter kelajuan ialah skrin.

Perkara-perkara sebegini kita tidak dapat lihat dalam risalah atau spesifikasi atas kertas. Jadi, normal untuk kita susah untuk menjustifikasikan harga Mazda CX-30 yang lebih mahal ini. Tetapi setelah pandu uji atau meluangkan masa beberapa hari, barulah kita boleh faham.

Pengorbanan ‘sports car’

Di bawah hud depan Mazda CX-30 kali ini – seperti disebut tadi – ialah enjin 2.0-liter SkyActiv-G petrol naturally-aspirated, cukup untuk menjana 162hp dan 213Nm tork.

Walaupun angkanya biasa-biasa sahaja dan tidak begitu mengujakan, Mazda mengajar kita bahawa sporti bukan bermakna output kuasa tinggi semata-mata. Ya, Mazda CX-30 ialah antara SUV paling sporti dalam kelasnya, jika tidak paling sporti.

Angka bukanlah segala-galanya untuk menjadi sporti, sebaliknya cara enjin SkyActiv ini menaikkan rev-nya, respon, serta bunyi memberikan anda rasa terhubung rapat dengan kereta ini.

Dari respon ultra-cepat bila anda sentuh pedal minyak, kemudian bila jarum rpm naik dengan lancar hingga ke redline 6,800rpm dalam mod manual, menyerlahkan sifat sporti Mazda CX-30 ini. Kemudian kotak gear SkyActiv-Drive yang digunakan ialah 6-kelajuan sebenar, bukan kelajuan maya dari CVT seperti kebanyakan pesaingnya (kecuali X50 yang menggunakan dwi-klac).

Ini bermakna sensasi pertukaran gear adalah ‘real’ dan benar sebenar benarnya, bukanlah gear acah-acah. Pertukaran tidak perlu terlalu cepat, yang penting responnya memadai dan anda rasa rapat dan akrab dengan powertrain CX-30 ini.

Bila rev menghampiri redline, degupan jantung anda semakin kencang, ditemani bunyi merdu yang selesa pada rev tinggi, dan bila upshift, degupan jantung anda turun sedikit. Kemudian meningkat lagi bila memecut dalam gear seterusnya.

Downshift juga seperti jentera sport sebenar. Sama ada mod automatik atau manual, anda dapat rasakan klacnya dipisahkan, enjin blip untuk rev match, dan klac disambung semula dengan lancar, tetapi sporti.

Tidak percaya bahawa output bukan penentu rasa sporti? Baik, ambil contoh Lotus Elise dengan 217hp dari enjin 1.8-supercaj, bandingkan dengan 255hp dalam Mercedes C300 bersama enjin 2.0-liter turbo. Yang mana lebih sporti?

Ya, sebab itu penulis tekankan ‘cara’ enjin itu menghantar kuasa atau karakternya lebih penting, bukan nombor yang kita boleh Google sahaja.

Cuma bila memandu kenderaan sporti, anda mungkin akan buat sedikit ‘pengorbanan’ dari segi ruang dan pratikaliti. Untuk Mazda CX-30 ini terus terang penulis katakan, bukan paling luas dalam segmennya. Ditambah lagi dengan warna hitam-coklat pada kabin, tidak membantu bab ini.

Duduk memang selesa dan suportif, tetapi bila penulis bawa seorang penumpang berbadan gempal duduk di sebelah, dan seorang penumpang agak tinggi di belakang, boleh dirasa sedikit sendat dalam kabin.

Dan jika anda duduk dengan posisi memandu rendah, agak sukar untuk lihat ke luar bahagian kiri dan bucu belakang kereta.

Panel papan pemuka dan segala suis serta tombol mudah dicapai, ini bagus kerana memberikan kita rasa yakin dan kereta ini memfokus terhadap pemandu.

Bukan untuk semua

Jadi senang cerita, Mazda CX-30 ini bukan untuk semua. Ia sedap dipandu, menghargai pemandu tegar dan berjiwa sporti, tetapi mungkin kurang ‘ngam’ dengan kebanyakan orang.

Jika sebelum ini anda pandu Mazda MX-5 semasa bujang, CX-30 sangat sesuai untuk digunakan untuk bina keluarga kecil sebelum anda beralih ke kenderaan lebih besar bila mempunyai lebih dari tiga anak.

Bagi penulis, penulis sangat suka memandu Mazda CX-30 ini kerana saiznya ideal untuk kegunaan harian, selain aspek responsif dan ‘feel’ pemanduan jitu yang ditawarkan oleh konsep Jinba Ittai. Bentuk CX-30 ini juga masih elegan dan evergreen walaupun hampir memasuki empat tahun dan Mazda dengan selamba belum memberikan sebarang kemaskini visual.

Tetapi memang tidak perlu pun. CX-30 masih nampak baharu dan segar dalam pasaran.

Untuk menjawab persoalan awal tadi, Mazda CX-30 nampak tidak berbaloi jika dibandingkan dengan kereta biasa dalam segmennya, tetapi anda akan nampak nilai lebih baik bila dibandingkan dengan model seperti MINI Countryman, Lexus UX atau Mercedes A-Class hatchback.

Spesifikasi Mazda CX-30 2.0L High+

Harga: RM149,000
Enjin: 2.0-liter SkyActiv-G 4-silinder naturally-aspirated
Kotak gear: Automatik 6-kelajuan SkyActiv-Drive
Kuasa: 162hp @ 6,000rpm
Tork: 213Nm @ 4,000rpm

BMW 330i M Sport untuk mereka yang gemar memandu – Pandu Uji

SETIAP kali berbual tentang kereta jenis sport sedan, rasanya tiada model lain yang sering menjadi sebutan melainkan BMW 3 Series. Sudah tentu, orang akan bercakap tentang versi yang paling berkuasa dan yang paling popular iaitu M3 namun ketahuilah tidak semua mahu memandu kereta yang hardcore setiap hari.

Untuk golongan ini, varian pertengahan iaitu 330i M Sport adalah yang paling sesuai. Ia masih mempunyai sisi agresifnya tetapi pada masa yang sama, ia masih selesa untuk dijadikan sebagai kereta harian dan boleh juga digunakan untuk membawa seisi keluarga. Pendek kata, ia sebuah kereta all-rounder.

Model yang saya berpeluang pandu uji tempoh hari merupakan model facelift atau LCI (Life Cycle Impulse) dalam bahasa BMW. Dilancarkan ke pasaran Malaysia awal tahun ini, ia tampil dengan rekaan yang lebih segar dan kemas kini dari segi kelengkapan.

Untuk model ini, BMW tidak memberikan 3 Series ‘lubang hidung’ yang terlebih besar seperti M3 dan M4 namun jika diperhatikan dengan teliti, anda akan perasan yang bentuknya lain sedikit berbanding sebelum ini.

Selain itu, rekaan lampu hadapan telah diperkemaskan – ia bukan sahaja lebih tajam dan langsing, malah lekuk pada bahagian bawah juga telah dibuang. Untuk bampar, lampu kabus sudah tiada dan digantikan dengan trim berbentuk J berwarna hitam berkilat.

Dari sisi, tiada perubahan ketara melainkan penggunaan rim aloi lima jejari M Style 848 berukuran 18 inci, manakala di belakang, bahagian bampar didominasi oleh apron berwarna hitam yang menjadi perumah kepada paip ekzos berkembar.

Masuk ke dalam, perubahan paling besar terdapat pada papan pemuka iaitu paparan melengkung BMW Curved Display yang merangkumi kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci dan skrin sentuh sistem infohibur 14.9 inci.

Kedua-dua paparan menggunakan sistem operasi terkini iaitu BMW Operating System 8 yang memberikan kadar segar semula (refresh rate) yang pantas dan grafik yang menarik. Cuma, saya masih kurang berkenan dengan grafik pada kluster instrumen digital yang bagi saya agak berserabut.

Satu lagi perubahan adalah penggunaan suis penukar gear yang kecil molek bagi menggantikan tombol gear konvesional pada model pra-facelift. Tiada masalah pun cuma tombol gear tersebut lebih sedap digunakan berbanding suis baharu ini.

Dari segi kelengkapan, saya berpendapat 330i M Sport LCI mampu memenuhi keperluan pelanggannya. Antara ciri yang disertakan termasuk Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, paparan head-up, pengecas wayarles dan paddle shifter.

Di belakang, terdapat corong pendingin hawa dan dua port USB. Penumpang belakang tidak perlu gusar tentang keselesaan kerana tempat duduk tidak terlalu tegak dan menawarkan sokongan peha yang baik. Cuma, ruang kaki mungkin sedikit sempit untuk mereka yang tinggi.

Untuk sistem keselamatan pula, 330i M Sport didatangkan standard dengan pakej Driving Assistant yang merangkumi ciri-ciri seperti Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Front & Rear Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert, Speed Limit Info, Parking Assistant dengan Lateral Parking Aid.

Adaptive Cruise Control masih tidak ada namun tidak mengapa kerana saya rasakan kebanyakan daripada mereka yang membeli kereta ini lebih gemar menekan pedal pendikit sendiri daripada mengharapkan bantuan komputer.

Kenapa? Secara ringkasnya, 330i M Sport memang seronok dipandu. Penyumbang utama kepada keseronokan ini sudah tentulah enjinnya. Sama seperti model pra-facelift, 330i mempunyai ‘jantung’ 2.0-liter empat silinder turbo dengan 258 PS dan 400 Nm, serta transmisi Stepronic Sport lapan kelajuan.

Lupakan sebentar angka itu kerana kereta ini terasa seperti ia mempunyai kuasa yang lebih tinggi daripada yang dikatakan. Walaupun hanya dalam mod Comfort, gabungan enjin dan kotak gear tersebut memberikan prestasi yang sudah cukup untuk membuatkan bulu roma saya tegak berdiri kerana ia memecut bagai tiada hari esok.

Dalam mod Sport atau Sport Plus, karakter jentera ini bertukar menjadi lebih agresif dan secara jujurnya, sedikit menakutkan. Pedal pendikit lebih cepat bertindak balas terhadap input daripada kaki, manakala bunyi yang masuk ke dalam ruang kabin menjadi lebih jelas. Kereta ini seolah-olah menghasut saya untuk pergi lebih laju.

Namun apa yang betul-betul suka mengenai trenkuasa ini adalah sifatnya yang versatil. Ia cukup lancar untuk situasi pemanduan harian dan pada masa yang sama, ia juga cukup berkuasa serta boleh memuaskan nafsu serakah anda tanpa sebarang masalah.

Namun harus saya ingatkan bahawa kekuatan kereta ini tidak terletak pada kelajuan semata-mata. Satu  aspek yang telah menaikkan nama 3 Series sejak dahulu lagi adalah pengendalian.

Untuk pengetahuan anda, unit yang dipandu ini dilengkapi dengan sistem suspensi M Sport. Pada Mac 2023, BMW Malaysia telah mengemas kini model dengan sistem suspensi adaptif dengan harga tambahan sebanyak RM2,000.

Anda mungkin sedia maklum bahawa suspensi M Sport agak keras dan tidak boleh dilaras seperti sistem suspensi adaptif. Ini membuatkan ia agak kurang selesa untuk pemanduan harian di kawasan bandar namun di jalan-jalan berselekoh, suspensi ini memang cemerlang.

Ini kerana ia mampu mengurangkan olengan badan walaupun dipandu pada kelajuan yang agak tinggi. Digandingkan pula dengan stereng yang responsif, bahagian hadapan kereta ini boleh dihalakan ke arah yang dikehendaki dengan mudah dan tepat, dan ini secara tidak langsung membuatkan saya lebih yakin sama ada ketika masuk atau keluar dari selekoh.

Soal cengkaman juga tidak menjadi isu kerana tidak ada sekali pun sedan Jerman ini terasa seperti ia akan hilang keseimbangannya. Jelas sekali ini adalah kelebihan menggunakan tayar Michelin Pilot Sport 4 dalam saiz berbeza iaitu 225/45 di hadapan dan 255/40 di belakang.

Sebagai konklusi, saya boleh katakan yang 330i M Sport masih sebuah sport sedan yang sejati dengan reka bentuk yang maskulin dan trenkuasa yang mengujakan. Untuk mereka yang gemar memandu tetapi masih mahukan sedikit kemewahan, praktikaliti dan keselesaan, ini mungkin pilihan yang paling tepat.

Spesifikasi BMW 330i M Sport

Harga: RM317,800
Enjin: 2.0-liter empat silinder turbo
Kotak gear: Steptronic Sport lapan kelajuan
Kuasa: 258 PS @ 5,000 rpm
Tork: 400 Nm @ 1,550 rpm

MINI Electric Resolute Edition yang terpaling go-kart – Pandu uji

TANYA sesiapa sahaja yang memiliki atau pernah memandu kereta MINI, pasti akan berkata pengendaliannya seperti go-kart. Atau go-kart dengan bumbung, cermin, pendingin hawa, lampu, dan nombor plat.

Walaupun MINI sekarang tidak begitu ‘mini’ lagi, jika kita tengok model Countryman atau Clubman pun sudah agak besar, sama saiz dengan BMW X1, Mercedes GLA atau Proton X50 sebagai perbandingan. Kita tak panggil Proton X50 sebagai kereta yang ‘mini’ atau kompak, bukan?

Tetapi talaan suspensi, stereng, dan cara penghantaran kuasa dapat menjadikan MINI yang besar ini masih mempunyai pengendalian lincah.

Untuk hari ini, kita akan lihatkan MINI Electric dan kami ingin katakan, inilah MINI yang terpaling go-kart, terpaling, bak kata budak-budak muda sekarang. Mengapa? Jom.

Elektrik, pantas, lincah

Baik, jadi jika anda buka hud depan, tiada enjin, sebaliknya di bawah penutup plastik itu terdapat motor elektrik yang dikuasakan oleh bateri 28.9kWh. Motor elektrik ini memberikan 181hp dan 270Nm tork, angka yang okey untuk hatchback seberat 1,440kg ini.

Menariknya, pecutan dan pemanduan MINI Electric ini terasa seperti ia lebih berkuasa, mungkin seperti kereta petrol dengan output 250hp dan 350Nm. Boleh dibandingkan seperti MINI atau BMW dengan enjin 2.0-liter 4-silinder turbo.

Memandangkan ini sebuah EV, kuasa dan tork maksima dapat diakses sebaik kereta mula bergerak. Tekan sahaja pedal selepas lampu isyarat bertukar hijau, anda terus dapat kuasa penuh.

Anda ingat lagi kereta Tamiya atau kereta kawalan radio (RC)? Tekan ON sahaja, terus motor berpusing laju, begitulah pecutan MINI Electric ini. Dipadankan dengan respon stereng yang laju dan tepat serta suspensi sporti, inilah MINI yang terpaling go-kart.

Malah, penulis terfikir go-kart hari ini pun sudah banyak beralih dari enjin dua-lejang dan empat-lejang kepada go-kart jenis elektrik untuk litar indoor (dalaman), jadi ini menjadikan kedua-dua jenis jentera (MINI Electric dan go-kart elektrik) lebih serupa.

MINI Electric juga tiada gear, jadi motor terus sahaja memecut dan ‘menarik’ kereta ini ke kelajuan maksima dalam satu pecutan terus-menerus, hingga ke kelajuan maksima 150km/j. Tak cukup laju? Bergantung.

Dalam kebanyakan keadaan, pemanduan dalam bandar, anda mungkin tidak akan memandu melebihi 130km/j pun. Yang penting berapa cepat untuk sampai ke kelajuan tiga angka. 100km/j boleh dicapai dalam 7.3 saat sahaja, lebih pantas dari kebanyakan sedan atau SUV segmen-B.

Talaan suspensi juga cukup seimbang, tidak terlalu keras yang anda jangkakan. Ia berada dalam ‘sweet spot’ antara sporti dan keselesaan. Semasa penulis bawa penumpang di tempat duduk belakang juga, mereka tidak merungut kata tidak selesa, sebaliknya sama seronok dan teruja dengan pemanduan EV ini.

Serius, anda pasti tidak lekang dengan senyuman bila pandu MINI Electric ini. Penulis juga rasakan MINI Electric antara kereta paling menyeronokkan penulis pandu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Anda juga akan dahagakan selekoh. Selepas pecut, anda mahu cari selekoh untuk brek menggunakan regenerative braking, masuk selekoh dengan tepat dan lancar, ‘pegang’ di situ, kemudian berdesup tekan semula pedal kanan sebaik jalan mulai melurus. Dan ulang lagi di selekoh seterusnya.

150km je, cukup?

Tetapi masalah terbesar MINI Electric ini ialah jarak pemanduannya. Jika dilihat pada risalah rasmi, ia mempunyai jarak 232km setiap cas penuh, menurut kitaran WLTP. Ya betul, 232km sahaja.

Dalam dunia sebenar, ia jauh lebih rendah dari ini. Semasa kami ambil kereta ini dengan bateri melebihi 95 peratus, jarak pemanduannya hanya sekitar 160km. Masa untuk panik?

Jangan panik dulu. Sebenarnya ia tidak seteruk yang disangkakan. Jika anda tidak tekan pedal ‘minyak’ lebih dari separuh sepanjang masa – yang sebenarnya cara pemanduan harian – anda boleh dapat lebih dari 160km.

Tetapi jika anda ‘nakal’ dan nak berseronok, sebenarnya motor elektrik MINI ini masih agak cekap. Jaraknya tidak turun terlalu mendadak, melainkan anda pandu di lebuhraya pada kelajuan melebihi 130km/j secara berterusan.

Meluncur pada 110-120km/j, jaraknya berkurang dengan kadar yang sama dengan pergerakan anda.

MINI Electric ini juga sentiasa menggunakan regenerative braking, dengan dua tetapan; kuat atau sederhana. Jadi ini juga membantu mengembalikan sedikit tenaga kinetik kembali ke bateri semasa anda memperlahankan kereta.

Dalam pemanduan bandar pasti berpuluh kali anda membrek dan memperlahankan kereta sama ada untuk melalui bonggol, masuk simpang, atau berhenti di lampu isyarat. Bila tenaga disalurkan dan dikumpul ke bateri, anda boleh guna semula semasa memecut nanti.

Inilah situasi paling ideal untuk MINI Electric; ke sana ke sini dalam bandar melakukan tugas harian. Sudah tentu paling bagus adalah bila anda mempunyai pengecas di rumah, balik petang terus cas beberapa jam hingga malam. Esoknya bateri penuh, dengan jarak 150-160km.

Kebanyakan kita tidak pandu melebihi 100km sehari, bukan?

Tak boleh dipandu jauh? Jujur kata, anda tak mahu cuba pandu ke luar negeri dengan MINI Electric ini. Ianya praktikal dan sempurna untuk pemanduan dalam bandar, tetapi lebih seronok dari kereta lain.

Boleh sahaja MINI sumbat bateri lebih besar pada kereta ini untuk berikan lebih jarak, tetapi ada faktor berat. Bila terlalu berat, kereta tidak akan seronok dipandu, defeat the purpose, bak kata orang putih.

Gaya mesti ada!

Sebagai sebuah MINI, gaya mesti ada! Ia masih mendapat bentuk ikonik hatchback British, bumbung putih untuk warna dwi-tona, lampu belakang LED dengan nyalaan grafik Union Jack, dan beberapa kemasan untuk menunjukkan ianya bukan MINI biasa.

Anda lihat rim empat-bilah, bentuk unik seperti soket elektrik pada penutup ‘tangki minyak’, dan warna kuning-hijau fluorescent pada tulisan-tulisan dan lencana sekeliling kereta, anda akan tahu ini sebuah MINI EV.

Dan dengan Resolute Edition, ia memberikan kemasan lebih unik pada kereta ini, seperti warna khas Resolute Bronze pada gril, lampu belakang, dan hendal pintu. Kemudian bingkai gril, logo dan lencana model pula berwarna hitam.

Paling penulis suka ialah tempat duduk dengan balutan fabrik/kulit Black Pearl Light Chequered, seperti tikar atau kain pelikat. Cukup cantik, trendy, dan sesuai dengan imej serta jiwa MINI ini. Kalau anda berusia 45 tahun, automatik terasa 10 tahun lebih muda dengan MINI Electric Resolute Edition ini.

Ciri lain adalah standard seperti kluster instrumen digital, sambungan Apple Carplay, pengecas tanpa-wayar, sistem audio Harman Kardon, dan paparan Head Up Display, kesemuanya anda dapat pada MINI lain yang terkini.

Secara keseluruhan, MINI Electric Resolute Edition ini sesuai untuk anda yang mencari kereta kedua atau ketiga dalam rumah.

Anda mahu sebuah EV untuk kegunaan harian, ada pengecas di rumah, dan mahukan sesuatu yang menyeronokkan untuk dipandu mengharungi trafik sesak atau selekoh lebuh raya DASH, ini kereta yang boleh dilihat. Paling penting, ia boleh menjadi sebahagian dari outfit anda sekiranya anda jenis yang mementingkan gaya.

Spesifikasi MINI Electric Resolute Edition

Harga: RM211,164
Bateri: 28.9kWh
Kuasa: 181hp
Tork: 250Nm

Mercedes-Benz GLC 300 4Matic AMG Line mahal tapi cukup mewah – Pandu Uji

MENURUT Mercedes-Benz Malaysia, GLC merupakan SUV paling laris buat jenama itu dengan lebih 12,000 unit terjual di negara ini sejak ia dilancarkan pada 2016.

Jika anda tinggal di Lembah Klang, setiap hari anda pasti akan ternampak kelibat GLC. Pendek kata, ke mana sahaja anda pergi, di situ pasti ada GLC. Tidak syak lagi SUV saiz pertengahan ini memang sangat popular dalam kalangan golongan kaya.

Selepas tujuh tahun, akhirnya model generasi kedua (X254) tiba ke pasaran tempatan. Buat masa ini, terdapat satu varian sahaja yang ditawarkan iaitu GLC 300 4Matic AMG Line. Ia memang nampak lebih segak dan bergaya namun ada satu isu yang tidak boleh diendahkan: sebagai model CBU, harga jualannya bermula dari RM429,888.

Ini menunjukkan perbezaan antara RM70,000 hingga RM80,000 jika dibandingkan dengan GLC 300 generasi terdahulu dan BMW X3 xDrive30i M Sport. Walaupun dalam pasaran premium, perbezaan harga ini boleh dikatakan agak besar. Adakah keadaan ini akan memaksa pelanggan beralih ke jenama lain?

Masih terlalu awal untuk dikatakan namun dalam artikel pandu uji ini, saya akan kupaskan kelebihan-kelebihan GLC yang mungkin boleh membuatkan pelanggan berfikir dua kali sebelum mereka mengunjungi bilik pameran pesaing-pesaing terdekatnya.

Mari bermula dengan bahagian luaran terlebih dahulu. Ya, rekaan adalah subjektif tetapi rasanya tidak keterlaluan jika saya katakan yang GLC nampak lebih bergaya dan mewah jika dibandingkan dengan BMW X3 dan Volvo XC60.

Pada bahagian hadapan, terdapat sepasang lampu yang agak tajam dan langsing. Ia dilengkapi dengan teknologi Digital Light yang mampu menghasilkan pancaran beresolusi tinggi mengikut kondisi pemanduan tanpa menjejaskan pengguna jalan raya yang lain.

Lampu tersebut tersebut bersambung dengan gril trapezoid yang dihiasi dengan bingkai hitam berkilat dan kemasan bermotifkan bintang berbucu tiga. Bampar AMG Line pula memberikan SUV ini ekspresi wajah yang sedikit garang.

Dari sisi, kegagahan GLC terserlah dengan overhang hadapan dan belakang yang pendek, serta rim berukuran 20 inci. Kemasan plastik hitam masih ada pada bahagian bampar dan skirting tetapi untuk gerbang roda, ia digantikan dengan cat mengikut warna badan.

Bahagian belakangnya nampak lebar dan sporty, dan seperti yang anda lihat pada gril, lampu belakang dihiasi dengan motif bintang berbucu tiga. Cuma sedikit mengecewakan kerana terdapat terlalu banyak krom pada bahagian bampar dan muncung ekzos pula adalah palsu.

Kita sedia maklum yang Mercedes-Benz memang juara dalam bab ruang dalaman. Dengan GLC, statusnya sebagai raja interior diperkukuhkan lagi dengan rekaan yang teratur, serta penggunaan material berkualiti tinggi di segenap sudut.

Seperti yang boleh dilihat, konsol tengah nampak kemas dan bersih. Ini kerana semua fungsi-fungsi berkaitan sistem infohibur dan pendingin hawa telah dimasukkan ke dalam skrin sentuh potret 11.9 inci. Anda mungkin tidak perasan namun skrin ini sebenarnya dihalakan sedikit ke arah pemandu untuk memudahkan penggunaan.

Tipikal bagi Mercedes-Benz, grafik dan warna sistem infohibur sangat tajam dan menyerlah, dan operasinya juga amat lancar. Apple CarPlay dan Android Auto boleh digunakan secara wayarles, begitu juga dengan pengecasan telefon. Sebagai alternatif, terdapat dua port pengecas USB Type C di dalam ruang simpanan konsol tengah.

Untuk kawalan sistem pendingin hawa, saya memang lebih suka menggunakan tombol fizikal namun dengan GLC, ia agak mudah kerana panel kawalan digital pada skrin sentuh tersebut agak besar dan jelas. Bukan itu sahaja, ia akan sentiasa terpapar walaupun skrin dipadamkan.

Satu lagi fungsi yang agak berguna adalah Traffic Light View. Setiap kali anda berhenti di persimpangan lampu isyarat, suapan dari kamera hadapan akan dipaparkan pada skrin untuk membolehkan anda memerhatikan keadaan trafik dan membantu anda untuk sedia bergerak sekiranya lampu bertukar hijau.

Sudah tentu, terdapat sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna menjadikan suasana lebih santai dan tenang terutamanya pada waktu malam. Sistem audio Burmester 3D yang digunakan juga menghasilkan bunyi yang sangat terperinci dan berkualiti, sesuai untuk mereka yang gemar mendengar muzik sambil memandu.

Namun sehebat mana pun ruang kabin ini, tetap ada kekurangannya. Sebagai contoh, ruang kaki hadapan terasa agak sempit. Selain itu, panel sentuhan pada stereng terlalu kecil dan ketiadaan port pengecas USB untuk penumpang belakang adalah ‘jenayah’ untuk kereta yang berharga lebih RM400,000.

Untuk aspek praktikaliti, saya tiada rungutan. Ya, seperti yang diperkatan, ruang kaki hadapan agak sempit namun ruang kaki dan kepala penumpang belakang boleh dikatakan cukup luas. Untuk makluman anda, ini kerana jarak antara roda GLC generasi kedua telah bertambah sebanyak 15 mm.

Selain itu, kapasiti ruang but juga lebih besar sebanyak 70 liter, menjadi 620 liter iaitu 70 liter lebih besar berbanding but X3 dan 115 liter lebih besar berbanding XC60. Di bawah lantai but, terdapat kit pembaikan tayar dan juga bakul yang boleh dilipat.

Seperti sebelum ini, GLC 300 dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo empat silinder namun kali ini, ia dibantu dengan sistem mild-hybrid 48 volt yang menggunakan Integrated Starter Generator (ISG). Kehadiran sistem ini tidak begitu dirasai namun ia sebenarnya membantu kereta ini memecut pada julat RPM rendah dan menjadikan sistem start stop lebih lancar.

Dari segi prestasi, 258 PS dan 400 Nm yang dibekalkan oleh enjin tersebut cukup untuk membolehkan kenderaan ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.2 saat. Bagi saya, ini sudah memadai untuk situasi pemanduan seharian kerana biarpun tidak bersifat agresif, kereta ini boleh memecut melebihi kelajuan yang dibenarkan tanpa disedari.

Masuk ke bab ride and handling, saya rasakan talaan sistem suspensi Agility Control yang digunakan lebih sesuai untuk pemanduan yang lebih santai. Jangan salah anggap kerana ia masih boleh melayan selekoh-selekoh tajam namun jika terlalu dipaksa, ia akan mula bergelut. Mungkin disebabkan faktor saiz dan beratnya yang hampir mencecah dua tan.

Biarpun begitu, sistem suspensi tersebut boleh menyerap hentakan dengan cemerlang serta meminimumkan gegaran di dalam kabin. Ditambah pula dengan kedapan bunyi yang amat baik, ruang kabin GLC sangat selesa sama ada untuk perjalanan jarak dekat atau jarak jauh.

Adakah semua ini cukup untuk menjustifikasikan harganya? Bagi saya belum cukup kerana ada satu aspek yang masih boleh ditambah baik iaitu sistem bantuan pemandu. Jangan terkejut kerana kereta yang mempunyai harga setara dengan seunit rumah ini tidak didatangkan dengan Adaptive Cruise Control mahupun Lane Keep Assist.

Bagi mereka yang mementingkan keselamatan dan mahukan pengalaman pemanduan yang lebih moden, ketiadaan dua ciri tersebut adalah satu kerugian besar, lebih-lebih lagi apabila ia ditawarkan pada model-model SUV lain yang jauh lebih murah.

Konklusinya di sini, GLC mampu memenuhi jangkaan mereka yang mahukan sebuah SUV yang premium dan mewah tetapi ada aspek yang boleh diperbaiki lagi terutamanya kelengkapan. Adakah ia lebih baik berbanding X3 dan XC60? Itu terpulang kepada pembeli memandangkan setiap individu mempunyai keperluan dan keinginan yang berbeza.

Apa pun, saya berharap versi pemasangan tempatan (CKD) akan tampil dengan pakej yang lebih lengkap dan sepadan dengan harganya bagi memastikan model ini kekal laris di pasaran.

Spesifikasi Mercedes-Benz GLC 300 4Matic AMG Line

Harga: RM429,888
Enjin: 2.0-liter empat silinder turbo mild-hybrid
Kotak gear: 9G-Tronic sembilan kelajuan
Kuasa: 258 PS @ 5,800 rpm
Tork: 400 Nm @ 2,000-3,200 rpm

Toyota Vios 1.5 G makin moden, sedap lenjan, berbaloi? – Pandu uji

SEGMEN-B sedan merupakan satu kategori cukup kritikal di negara kita kerana kereta-kereta ini dikira mampu milik dan menjadi kenderaan utama banyak keluarga.

Jadi, penting untuk pengeluar bersikap sensitif dengan pengguna kerana sedikit ‘kelainan’ boleh mengundang kritikan. Tetapi letakkan ciri-ciri premium atau baharu dalam segmen ini, dan pengeluar boleh mendapat pujian melangit selama beberapa minggu, selagi berita pelancaran itu hangat.

Toyota Vios 2023 yang dilancarkan pada Mac lepas merupakan generasi baharu sepenuhnya, serba-serbi dan luar dalam baharu. Mantap? Ini kita akan bincangkan kemudian.

Tiga masalah besar

Tetapi jika anda mencari atau membuat kajian mengenai kereta dalam segmen ini, anda akan ketahui bahawa Toyota Vios baharu mempunyai dua masalah besar – tempat duduk belakang tidak boleh dilipat, dan tiada tayar ganti.

Mengapa? Baik, untuk tempat duduk belakang tidak boleh dilipat, pasukan pembangunan Toyota Vios berkongsi kepada media bahawa menurut kajian pasaran mereka, kebanyakan pengguna tidak menggunakan fungsi ini.

KEBANYAKAN. Adakah anda termasuk dalam golongan ini, atau anda golongan minoriti yang akan merungut? Jadi untuk itu, mereka tidak masukkan fungsi ini, dan hasilnya kereta 10kg lebih ringan kerana tiada mekanisma lipatan.

Untuk tayar ganti pula, mereka berkata ianya bagi memberikan ruang simpanan lebih besar. Jika anda lihat di bawah lantai but, terdapat ruang simpanan Styrofoam untuk barangan-barangan kecil. Ketiadaan tayar ganti juga mengurangkan lagi berat kereta.

Secara keseluruhan, Vios generasi baharu ini kira-kira 110kg lebih ringan dari model sebelumnya. Varian 1.5 G kali ini hanya seberat 1,035kg.

Sebenarnya ada masalah ketiga iaitu kuasa enjin yang lebih rendah. Berbanding Vios dahulu yang mempunyai 105hp dan 140Nm dari enjin 1.5-liter 2NR-FE, Vios baharu dipacu oleh enjin 2NR-VE dengan output 104hp dan 138Nm tork.

Angka ini menurun sebanyak 1hp dan 2Nm, secara jujurnya kita takkan dapat rasakan perbezaan. Tetapi memandangkan anda tidak boleh lupa akan fakta ini, ketahuilah juga dengan berat yang lebih ringan seperti dinyatakan tadi, Vios baharu sebenarnya mempunyai nisbah kuasa-kepada-berat yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Jadi, secara keseluruhan dan secara teori juga, Vios baharu pasti lebih menjimatkan. Menurut Toyota, Vios mempunyai kecekapan sehingga 5.2 liter per 100km atau 19.2km per liter.

Untuk isu besar seperti tempat duduk tidak boleh dilipat dan ketiadaan tayar ganti, kita harus lihat begini: Toyota mungkin berada dalam dilemma memilih sama ada menghadap ramai orang merungut minyak tidak jimat, atau beberapa orang merungut tempat duduk tidak boleh dilipat dan tiada tayar ganti.

Kami juga rasa kecekapan penggunaan bahan api lebih penting untuk kereta sebegini. Maka, marilah kita ke bab seterusnya.

Makin upmarket

Satu aspek penting bagi kereta sedan segmen-B ialah gaya dan penampilan. Untuk ini, Toyota Vios baharu tidak mengecewakan.

Rupa keseluruhannya boleh dikatakan semakin ‘atas’ atau upmarket. Muka depan kini seperti sedan Toyota lebih besar (Toyota dan Corolla), rim lebih besar 17-inci (varian G), dan rekaan bumbung belakang ala fastback yang memang menjadi trend sekarang.

Rupa depan dengan lampu LED sepet masih sukar untuk penulis hadam, tetapi yang penting bagi penulis ia memberikan imej segar, jauh berbeza dari sebelum ini. Rim lebih besar pula bukan sahaja sepadan dengan bentuk keseluruhan, tetapi juga membawa impak positif kepada pengendalian.

Rasa upmarket ini dibawa ke dalam, dimana binaan papan pemuka Vios kini tampak moden dan tidak murah. Jika sebelum ini penuh dengan plastik keras kelabu, Vios 2023 ini mempunyai sentuhan-sentuhan lembut, tona warna berbeza yang memberikan tekstur.

Pada masa yang sama, susunan butang dan suis juga masih kemas, mudah dicapai, dan lebih sedap dipegang. Selain itu, paparan instrumen kini digital sepenuhnya, dan brek parkir elektronik hadir secara standard.

Satu sentuhan menarik bagi penulis ialah permukaan terletaknya suis tingkap di panel pintu kiri dan kanan. Ia berwarna hitam glos seperti kebanyakan kereta, tetapi ia tidak kosong, sebaliknya terdapat tekstur berlian dan permukaan ini senget sedikit ke dalam.

Ini solusi yang mudah dilakukan dan tidak memerlukan kos mahal, tetapi efektif dalam menambah rasa premium dan mahal dalam Vios. Perkara ini penting kerana banyak pembeli kereta sebegini baru menaik taraf dari kereta bajet.

Anda sudah pandu Myvi sejak mula bekerja dan kini sudah berkeluarga serta dinaikkan pangkat, jadi anda naik taraf kepada Vios. Contoh situasi biasa, bukan?

Oh ya, kami tahu disebabkan Vios dibina dari pelantar DNGA (Daihatsu New Global Architecture) ia berkongsi papan pemuka dengan model seperti Axia dan Alza. Jadi salah satu cara meletakkan Vios di posisi lebih atas ialah kelengkapan Android Auto dan Apple Carplay tanpa-wayar.

Rupa padu, pemanduan padu?

Untuk pemanduan, mungkin tidak ramai antara pembeli Vios yang menitik beratkan aspek ini walaupun UMW Toyota telah menggunakan kereta ini untuk acara Vios Challenge selama beberapa tahun.

Pun begitu, hakikatnya Toyota Vios serba baharu ini telah mengalami peningkatan dari segi dinamik pemanduan, sama ada anda perlu atau tidak. Perkara pertama penulis rasai ialah stereng yang lebih tepat talaannya, dan lebih banyak ‘feel’ serta maklum balas.

Ia tidak terasa berat yang tidak perlu, tetapi cukup-cukup sahaja untuk rasa semula jadi. Ini membuatkan Vios baharu ini lebih seronok dikemudi sama ada pandu perlahan dalam bandar atau mengambil selekoh dengan kelajuan tiga angka.

Profil tayar 205/50 dan rim 17-inci ini juga menyumbang kepada rasa stereng lebih baik, ia bukan sekadar nampak cantik. Cuma pastinya kos penggantian tayar akan meningkat, jadi ini satu perkara yang anda harus ingat. Kira-kira RM380 hingga RM400 juga untuk sebiji tayar saiz ini.

Nak kereta sedap, kena la labur sikit, bukan? Paling penting, ‘kesedapan’ ini datang dari R&D kilang sendiri, bukannya kaki kereta ‘buat pandai’.

Casis juga kini lebih tegar dan mantap, hasil penggunaan DNGA. Semasa mengambil selekoh S sambil membrek turun dari Genting Highlands, dapat dirasakan suspensi dan tayar bekerja dengan lebih konsisten dan jelas, hasil casis kereta yang tegar.

Kuasa cukup? 104hp dan 138Nm tork lebih dari cukup walaupun naik ke puncak Genting Highlands. Kotak gear D-CVT baharu dengan gabungan gear fizikal dan tali sawat membantu keseluruhan kuasa sampai ke roda depan dengan cekap. Anda rasa kereta betul-betul ada 104hp, seperti tiada pembaziran kuasa.

Bunyi enjin akan tetap masuk ke dalam kabin apabila diperah melebih 4,000rpm, ini perkara biasa. Tetapi bila rpm sudah duduk stabil dan anda meluncur di kelajuan tetap, Vios ini cukup senyap, malah selesa dipandu jauh.

Malah bila disesah lagi, kita akan mula sampai kepada had enjin, tayar, dan kotak gear. Tayar yang dibekalkan ialah Continental PremiumContact 7, bukanlah tayar prestasi, jadi ia mula menyerah kalah bila anda tidak cukup lancar dengan input belokan. Ini bukan bermakna tayar ini tidak bagus, ianya tayar sempurna dengan kegunaan harian Vios.

Enjin dan kotak gear juga bekerja keras mengikut rentak penulis memecut dan mendaki, kemudian brek masuk selekoh, kemudian pecut semula. TCU cuba memberikan nisbah gear terbaik mengikut kelajuan, rpm, dan input kaki kanan. Tetapi tiada masalah dari segi casis.

Maklumat tambahan, Toyota sudah mempunyai unit untuk kegunaan Vios Challenge berdasarkan platform baharu ini. Sudah tentu ia menggunakan tayar semi-slick dan transmisi manual, jadi mungkin musim depan kita akan dapat lihat bagaimana prestasi Vios generasi baharu ini dalam perlumbaan sebenar.

Bukan perlumbaan di Litar Antarabangsa Genting ya. Sentiasa berhati-hati di jalan raya awam!

Tidak dilupakan juga ciri keselamatan, Vios kini datang standard dengan Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi sistem seperti Pre-Collision System, Lane Departure Warning, dan Front Departure Alert.

Varian G ini mendapat tambahan Lane Keeping Control, Auto High Beam, dan Adaptive Cruise Control. Bagi penulis, anda ambil sahaja Vios varian G ini kerana tiga ciri di atas sangat berguna dalam pemanduan seharian. Harga juga tidak jauh berbeza jika dibahagikan dalam ansuran bulanan.

Kesimpulannya, Toyota Vios 2023 sememangnya satu anjakan besar dalam segenap segi berbanding kereta yang digantikannya. Ia kini lebih moden dan dinamik untuk dipandu, dan paling penting membuatkan anda rasa ia mempunyai nilai lebih baik untuk wang.

Spesifikasi Toyota Vios 1.5 G

Harga: RM95,500
Enjin: 1.5-liter 4-silinder 2NR-VE
Kotak gear: D-CVT dengan 7-kelajuan maya
Kuasa: 104hp @ 6,000rpm
Tork: 138Nm @ 4,200rpm

BYD Dolphin bakal laku keras di pasaran? – Pandangan Awal

SEBELUM ini, nama BYD mungkin tidak pernah didengari oleh rakyat Malaysia. Namun sejak pelancaran Atto 3 pada Disember 2022, pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China itu semakin lama semakin dikenali terutamanya dalam kalangan peminat dan pembeli EV.

Ketibaan BYD ke negara ini bermula dengan amat positif apabila pengedar rasminya iaitu Sime Darby Motors berjaya menyerahkan sebanyak 1,000 unit Atto 3 dalam tempoh 100 hari pelancaran.

Kini, BYD ingin meneruskan momentum mereka dengan penawaran EV kedua yang dikenali sebagai Dolphin. Ia merupakan model hatchback segmen B yang ditawarkan pada harga bermula dari RM100,530 untuk varian Dynamic Standard Range dan RM125,530 untuk Premium Extended range.

Sebelum anda bertanya kenapa, model ini menggunakan nama hidupan laut kerana ia merupakan sebahagian daripada barisan Ocean Series. Satu lagi model daripada siri ini adalah Seal yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Dari segi reka bentuk, sejujurnya saya merasakan Dolphin tidak memberikan sebarang impak yang signifikan. Tidak dinafikan, grafik lampu belakang dan permukaan bertekstur pada tiang C dan gril memang cantik tetapi selain daripada itu, tiada apa yang benar-benar menarik perhatian saya.

Jika anda memilih varian Extended Range, anda akan mendapat warna dua tona dan rim berukuran 17 inci, juga dalam warna dua tona yang sama dengan badan. Lampu LED depan dan belakang disertakan secara standard pada kedua-dua varian.

Ruang dalamannya begitu mempesonakan, dengan rekaan papan pemuka seakan sayap dan corong berbentuk bulat yang mengingatkan saya terhadap jenama dari Jerman. Oh ya, segenap ruang juga dihiasi warna dua tona seperti bahagian luaran.

Apa yang lebih penting, ruang kabin Dolphin bukan sahaja cantik malah antara yang paling selesa dalam segmennya. Ia terasa cukup luas dan tempat duduk hadapan pula terasa begitu lembut, selain mempunyai sokongan yang secukupnya pada bahagian abdomen dan peha.

Material yang digunakan juga sangat memuaskan terutamanya pada bahagian papan pemuka, kerusi dan pintu. Cuma, butang-butang fizikal pada konsol tengah terasa agak longgar apabila digunakan. Ia mungkin akan terasa lebih longgar apabila digunakan secara kerap dalam tempoh masa yang lama.

Dari segi kelengkapan, Dolphin didatangkan standard dengan panel instrumen digital lima inci dan skrin sentuh 12.8 inci yang boleh dipusingkan. Turut disertakan adalah sistem navigasi satelit, Apple CarPlay serta port USB Type A dan Type C.

Aspek praktikaliti juga agak memuaskan. Terdapat beberapa ruang penyimpanan barang pada bahagian konsol tengah dan setiap panel pintu. But belakang juga agak luas dengan kapasiti 345 liter, manakala tempat duduk belakang boleh dilipat sepenuhnya untuk memuatkan kargo panjang.

Semasa sesi pandu uji media tempoh hari, saya berpeluang memandu varian Standard Range dari Kuala Lumpur ke Putrajaya. Varian ini mempunyai 95 PS dan 180 Nm, dan boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 12.3 saat.

Angka ini memang tidak mengagumkan jika dibandingkan dengan kereta-kereta segmen B dengan enjin pembakaran dalaman yang lain namun bagi saya, prestasi pecutan yang ditunjukkan sudah memadai untuk pemanduan di dalam bandar.

Sudah tentu, anda boleh menekan pedal dengan lebih agresif atau menggunakan mod Sport namun ini pastinya akan menjejaskan jarak pandu. Dan berdasarkan pengalaman saya memandu dalam keadaan trafik yang normal, mod Sport sebenarnya tidak diperlukan pun.

Bercakap tentang jarak pandu, varian Standard Range menggunakan bateri jenis Blade berkapasiti 44.9 kWk yang boleh memberikan jarak pandu sehingga 410 km mengikut kitaran NEDC. Dengan gaya pemanduan bercampur, saya hanya menggunakan kira-kira 15 hingga 20 peratus kuasa bateri dari Kuala Lumpur ke Putrajaya.

Dalam perjalanan pulang, saya berkesempatan memandu varian Extended Range yang mempunyai 204 PS dan 310 Nm. Perbezaan kuasa dan tork antara kedua-dua varian ini boleh dirasakan dengan begitu jelas, di mana varian ini memecut laju seperti sebuah kereta hot hatch yang sebenar.

Manakan tidaknya, menurut BYD, Dolphin Extended Range hanya memerlukan 7.0 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j, hanya 0.6 saat lebih perlahan berbanding Volkswagen Golf GTI Mk8.

Untuk jarak gerak, varian ini dikatakan boleh dipandu sejauh 490 km dengan satu cas penuh dari bateri berkapasiti 60.48 kWj. Sama seperti varian Standard Range tadi, saya menggunakan tidak lebih 20 peratus kuasa bateri untuk perjalanan sepanjang kira-kira 50 km. Itu pun dengan gaya pemanduan yang agak agresif di lebuh raya.

Satu lagi perkara yang membuatkan saya suka dengan Dolphin adalah keselesaannya. Selain tempat duduk yang empuk tadi, saya merasakan sistem suspensinya cukup lembut dan seimbang, serta sesuai untuk mereka yang lebih suka memandu secara santai.

Untuk pengetahuan anda, kedua-dua varian menggunakan topang MacPherson pada bahagian hadapan, namun untuk suspensi belakang, Standard Range mendapat torsion beam manakala Extended Range menggunakan multi-link.

Apa yang menarik tentang kereta ini, ia akan mengeluarkan bunyi lembut seakan lori atau motosikal aiskrim. Sekiranya radio atau muzik tidak dimainkan, bunyi ini boleh didengari dengan agak jelas dari dalam kabin namun tidaklah sehingga mengganggu tumpuan.

Untuk pengetahuan anda, bunyi ini dianggap sebagai salah satu ciri keselamatan kerana ia berfungsi untuk memberi amaran kepada jalan kaki dan penunggang basikal.

Jika anda mementingkan ciri bantuan pemandu, jangan risau untuk membuat pilihan kerana kedua-dua varian Dolphin dilengkapi dengan Adaptive Cruise Control, Automatic Emergency Braking, Lane Departure Warning, Lane Keeping Support, Predictive Collision Warning, Blind Spot Detection, Rear Cross Traffic Alert dan sebagainya.

Adakah Dolphin akan mendapat sambutan yang sama seperti Atto 3? Tidak mustahil model ini boleh laku keras kerana ia mempunyai segalanya untuk menarik minat pembeli terutamanya mereka yang ingin beralih ke arah EV. Harganya cukup kompetitif, manakala senarai kelengkapan dan prestasinya amat memuaskan. Sejujurnya, saya gagal menahan diri daripada impressed dengan Dolphin.

Spesifikasi BYD Dolphin Dynamic Standard Range

Harga: RM100,530
Bateri: BYD Blade 44.9 kWj
Kuasa: 95 PS
Tork: 180 Nm

Spesifikasi BYD Dolphin Premium Extended Range

Harga: RM125,530
Bateri: BYD Blade 60.48 kWj
Kuasa: 204 PS
Tork: 310 Nm

Susah untuk benci Volkswagen Arteon R-Line 4Motion – Pandu uji

BILA kami di Engear mendapat sesuatu unit kereta pandu uji, biasanya kami berbalah kerana ada yang suka padanya, dan ada yang tidak sependapat. Namun tidak dengan Volkswagen Arteon, kami di sini aman kerana semua ahli pasukan Engear menyukainya.

Tetapi adakah ini terus bermakna anda harus beli Volkswagen Arteon? Nanti dulu. Artikel ini akan menerangkan kenapa begitu mudah Arteon disukai.

Dari segi kedudukan dalam pasaran, Volkswagen Arteon R-Line 4Motion berharga RM299,990 dan ini meletakkannya sebagai pesaing kepada model seperti BMW 3-Series (G20), Mercedes C-Class (W206), dan Volvo S60 T8.

BMW dan Mercedes merupakan sedan klasik RWD, Volvo FWD (atau AWD bergantung kepada mod), dan Arteon AWD. Penulis akan ulas sedikit bab ini di bahagian pemanduan nanti.

Meletakkan R dalam Racing

Rekabentuk Arteon itu sendiri sudah sporti memandangkan ia mempunyai silhouette sedan-coupe. Tetapi dengan kit badan R-Line, Arteon kini tampil lebih menyerlah.

Nyalaan lampu DRL LED kini ‘ditarik’ hingga ke tengah dalam gril, dan gril pula mempunyai bilah yang lebih lebar. Kesemua ini membuatkan Arteon nampak lebih lebar, lebih rendah, dan pastinya semakin garang sama ada waktu siang atau bila hari mulai gelap.

Kit R-Line juga memberikan rekaan luar bampar depan berbeza dengan elemen seperti bilah canards pesawat, lebih dinamik berbanding rekaan standard segi empat.

Memandangkan Passat tidak lagi dikeluarkan buat masa ini (sayangnya), sedan besar yang anda boleh beli dari Volkswagen hanyalah Arteon. Dan memang sebuah sedan cukup sporti, tidak lupa juga rekaan pintu tanpa bingkai. Fuh penulis rasa terlebih hensem bila keluar dari kereta ini.

Warna Pyrite Silver ini pula tidak seperti warna lazim sedan premium. Ia (sekali lagi) nampak sporti, ranggi, dan begitu sesuai dengan karakter Arteon.

Apa bukti Volkswagen Arteon ini sporti? Untuk hidup dengannya, anda perlu lakukan beberapa ‘pengorbanan’ yang biasa dibuat oleh pemilik kereta sports.

Antaranya bentuk pintu depan yang agak dramatik, kadang-kala boleh terkena badan bila membuka atau menutupnya. Cermin tanpa bingkai juga boleh membuatkan anda bergaduh dengan pasangan sekiranya dia tidak berhati-hati dan menutup pintu dengan menolak cermin. Oops.

Rim 19-inci Montevideo pula nampak begitu garang dan padan dengan Arteon, tetapi sukar dicuci. Hantar car wash sahajalah. Dan bila memandu sedan sporti, sudah tentu tempat duduknya rendah dari SUV-SUV yang anda sudah biasa. Keluar masuk sedikit sukar. Itulah yang dinamakan pengorbanan…

Pemanduan kereta besar rasa ‘kecil’

Bila memandu Volkswagen Arteon, anda tidak dapat nafikan ianya terasa besar, lebih-lebih lagi bila hendak masuk parkir. Ditambah pula dengan bentuk tingkap coupe di tiang-C, mengehadkan sedikit pemandangan luar.

Mujurlah ada kamera undur dan 360-darjah yang boleh membantu anda memposisikan kereta dengan tepat.

Tetapi yang menariknya, kelincahan Arteon ini seolah-olah ‘mengecilkan’ saiznya di jalan raya. Semakin anda pandu laju di jalan berselekoh, semakin anda rasa kereta ini kecil.

Volkswagen Arteon dikuasakan oleh enjin EA888 yang tidak asing lagi. Unit 2.0-liter turbo 4-silinder ini pada Arteon ditala untuk menghamburkan 276hp dan 350Nm tork, menghantar kuasa dengan linear dan senyap. Tork hadir di awal rpm, dan ‘disambut’ oleh kuasa puncak di hujung rpm.

 

Digandingkan pula dengan kotak gear DSG dwi-klac 7-kelajuan yang pantas dan sistem pacuan semua-roda 4Motion, pecutan pantas bukan satu masalah bagi Arteon. Malah ia mampu mencapai ke 100km/j dalam hanya 5.6 saat, lebih pantas dari Honda Civic Type R FK8.

Sterengnya juga tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan, sesedap rasa. Yang penting ia tepat, dan ini menambahkan rasa lincah Arteon ini. Kiranya tidak segan untuk ‘bermain’ bersama hot hatch seperti Volkswagen Golf sendiri di jalan-jalan seperti Genting Highlands atau Kuala Kubu Bharu.

Di jalan lurus atau meluncur di lebuh raya, Arteon kekal stabil dan senyap. Sempurna untuk bawa keluarga bercuti hujung minggu mencari pantai di Kuantan atau makan char kuey teow di Pulau Pinang. Butnya sangat besar dan menarik untuk kita lihat bukaan jenis fastback.

Tidak dilupakan juga walaupun dengan prestasi sebegini, Arteon masih sebuah sedan dan seperti kebiasaan Volkswagen, ruang belakang sangat luas. Ruang kaki tiada masalah langsung, setanding sedan seperti Toyota Camry dan Honda Accord. Malah ruang kepala pun okey walaupun bumbung menurun cara sporti.

IQ.Drive

Volkswagen Arteon padat dengan teknologi di dalamnya seperti paparan instrumen digital sepenuhnya dan sistem Discover Pro untuk infotainmen. Paparan-paparan ini cukup jelas, cantik, senang dibaca dan mempunyai resolusi tinggi.

Kemas kini terbaharu pada Arteon (dan model-model lain bawah Volkswagen Passenger Cars Malaysia) ialah IQ.Drive iaitu pakej sistem keselamatan maju seperti:

  • Front Assist (Autonomous Emergency Braking)
  • Adaptive Cruise Control
  • Side Assist, dan
  • Rear Cross Traffic Alert

Penulis tidaklah begitu memerlukan ciri sebegini untuk kereta sporti, tetapi atas permintaan kebanyakan pelanggan, VPCM tetap memberikannya (dengan sedikit penambahan harga). Pada masa yang sama, ini menjadikan anda dapat lebih nilai dengan Arteon.

Patut beli?

Untuk siapa Volkswagen Arteon R-Line 4Motion ini? Jika anda bukan jenis degil mahu kereta premium RWD klasik, tetapi pada masa yang sama masih mementingkan prestasi, kepuasan pemanduan tanpa kompromi ruang praktikal, Arteon ini sangat sesuai.

Penggunaan bahan api tidaklah semantap Passat yang merupakan sedan FWD lebih ‘skema’, harus diingat Arteon dipacu dengan AWD 4Motion untuk cengkaman dan ‘gigitan’ optima pada jalan setiap masa.

Sememangnya Volkswagen Arteon ini antara kereta yang penulis keberatan untuk pulangkan.

Spesifikasi Volkswagen Arteon R-Line 4Motion

Harga: RM299,990
Enjin: 2.0-liter 4-silinder turbo
Kotak gear: Automatik 7-kelajuan DSG
Kuasa: 276hp @ 5,100rpm
Tork: 350Nm @ 1,700rpm

Proton X90 cukup bagus tetapi belum sempurna – Pandangan Awal

SEPERTI model-model keluaran Proton yang lain, X90 mencetuskan hype yang boleh dikatakan agak luar biasa. Manakan tidaknya, selain menjadi model SUV ketiga pengeluar kenderaan nasional itu, ia juga hadir sebagai Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pertamanya.

Bukan itu sahaja, dengan harga jualan bermula dari RM123,800 hingga RM152,800, X90 merupakan model keluaran Proton yang paling mahal setakat ini. Jadi, sudah tentulah ia menjadi buah mulut orang.

Baru-baru ini, saya berpeluang untuk memandu uji X90 dari ibu pejabat Proton di Shah Alam, Selangor ke Gambang, Pahang. Jadi untuk artikel kali ini, saya akan kongsikan perkara-perkara bagus dan kurang bagus yang anda patut tahu mengenai model ini.

Lebih suka meluncur dari memecut

Semasa memandu di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, saya mendapati gabungan enjin turbo 1.5-liter tiga silinder dan sistem mild-hybrid 48V ini kurang ‘umph’ dari segi pecutan di atas jalan yang landai dan juga ketika mendaki.

Ya, ia adalah sebuah SUV yang besar dengan berat kira-kira 1.7 tan (tidak termasuk kami berempat dan barangan yang dibawa) namun kehadiran sistem mild-hybrid tersebut, yang dikatakan dapat membantu pecutan dari keadaan pegun dan ketika bergerak, tidak begitu dirasakan.

Saya juga berasa agak hairan dengan keengganan kotak gear klac berkembar (DCT) menurunkan gear ketika pendikit ditekan kuat semasa mendaki. Setahu saya, DCT sepatutnya boleh memilih gear yang sesuai sama ada untuk mendaki atau menuruni bukit.

Sudah tentu, mod Sport boleh dipilih untuk menyelesaikan masalah ini namun saya secara peribadi tidak  suka beralih dari satu mod ke satu mod lain dengan terlalu kerap ketika sedang memandu.

Tetapi sebaik sahaja memasuki Lebuhraya Pantai Timur, trenkuasa ini tidak lagi bergelut. Tindak balasnya terasa lebih lancar terutamanya pada kelajuan cruising sekitar 110 km/j dengan jarum rpm bermain-main pada takat 2,000.

Ketika ini, saya dapat rasakan dengan jelas yang X90 bukanlah sebuah SUV yang anda ingin pandu secara agresif. Karakternya boleh diibaratkan sebagai seorang yang banyak makan asam garam – tenang, bersahaja dan tidak terburu-buru.

Sistem Smart Glide bantu jimat bahan api?

Satu lagi kelebihan sistem mild-hybrid berkenaan adalah ciri Smart Glide yang bertindak untuk mematikan enjin dan memisahkan transmisi supaya kereta boleh meluncur tanpa menggunakan setitis pun bahan api.

Tidak dinafikan ciri ini memang bagus tetapi ia hanya akan diaktifkan apabila bateri litium-ion mempunyai tenaga yang cukup. Ini boleh dilihat menerusi logo ‘A’ pada panel instrumen. Warna hijau menandakan tenaga yang mencukupi, warna kuning pula sebaliknya.

Saya sempat mengaktifkan sistem ini beberapa kali namun berdasarkan pengalaman, ia hanya aktif dalam tempoh seminit dua sahaja. Tidak pasti berapa banyak penjimatan yang dapat tetapi bagi saya, ciri seperti ini lebih baik ada daripada tiada langsung.

Bercakap tentang penggunaan bahan api, unit yang saya pandu menunjukkan bacaan sekitar 12 liter/100 km. Jauh berbeza dengan angka yang disebut oleh Proton iaitu 6.8 liter/100 km namun gaya pemanduan saya dan media lain pada hari itu agak agresif.

Suspensi terima sentuhan ajaib Proton

Dari aspek keselesaan pula, X90 ada kelebihan dan kekurangannya. Pertama sekali, ingin saya berikan pujian kepada Proton kerana berjaya mendapatkan tuning suspensi yang paling sesuai untuk keadaan permukaan jalan raya di negara kita.

Untuk pengetahuan anda, X90 menggunakan sistem suspensi jenis multi-link pada gandar belakang, berlainan dengan Geely Haoyue dan Okavango yang dilengkapi dengan jenis torsion beam.

Menurut Proton, mereka diberi kepercayaan untuk menggunakan sistem berkenaan serta talaan sendiri untuk X90. Hasil kepakaran orang kita memang boleh dirasakan dengan jelas terutamanya di LPT di mana segala permukaan beralun dan tidak rata diserap dengan begitu baik sekali.

Ya, body roll masih ada ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi manakala tindak balas stereng bukanlah yang terbaik dalam kelasnya namun untuk sebuh kereta keluarga dengan tiga barisan tempat duduk, keselesaannya boleh dikatakan mengagumkan.

Bukan itu sahaja, penumpang pada barisan kedua dan ketiga juga tidak perlu risau kerana setiap barisan tempat duduk mempunyai corong pendingin sendiri dan port pengecas USB.

Kekurangan yang boleh dirasakan

Cuma, apa yang mengecewakan di sini adalah kerusi. Walaupun dibalut material kulit Nappa yang berkualiti, kerusi X90 tidak memberikan sokongan yang secukupnya. Bolster pada penyandar tidak cukup besar, manakala tempat duduknya agak pendek, membuatkan peha sedikit tergantung.

Rungutan ini sebenarnya bukan untuk kerusi pemandu dan penumpang hadapan sahaja, malah juga untuk kerusi barisan kedua, sama ada kerusi jenis bangku pada varian Premium atau kerusi kapten pada varian Flagship.

Tidak perlu diperkatakan lagi, kerusi barisan ketiga hanya sesuai untuk mereka yang bersaiz sederhana dan kecil, dan untuk perjalanan jarak dekat.

Canggih tetapi menjengkelkan

Satu lagi perkara yang bagi saya boleh menjejaskan pengalaman pemanduan adalah sistem ADAS yang agak sensitif, terutamanya Lane Keep Assist yang akan berbunyi walaupun tayar belum lagi menyentuh garisan. Sistem Foward Collision Warning pula mengeluarkan bunyi amaran walaupun kereta di hadapan masih agak jauh. Canggih sangat pun susah juga, kan?

Tetapi saya suka dengan ciri Rear Collision Warning yang bertindak menyalakan lampu hazard sebagai amaran kepada kereta di belakang sekiranya ia mengekori terlalu rapat. Ciri Traffic Sign Information pula boleh mengimbas pelbagai jenis papan tanda dan memaparkannya pada panel instrumen untuk perhatian anda.

Untuk sistem infohibur, ketiadaan Apple CarPlay dan Android Auto memang boleh dianggap sebagai satu kekurangan tetapi sistem Atlas OS yang digunakan oleh X90 tidak kurang hebatnya.

Warna dan fon yang digunakan terang dan mudah dilihat, manakala operasinya boleh dikatakan lancar tanpa lag yang menyakitkan hati. Sistem navigasinya juga mudah digunakan dan mampu menunjuk arah dengan baik.

Seperti X70 dan X50, kualiti kamera undur dan kamera 360 darjah pada model ini sangat-sangat memuaskan. Malah, jauh lebih baik berbanding kenderaan dari dua jenama Jepun tersohor itu.

Konklusi

Secara keseluruhannya, saya boleh katakan yang Proton X90 adalah sebuah MPV keluarga yang cukup bagus dan mampu memenuhi permintaan pelanggan dalam segmennya menerusi ciri-ciri yang ditawarkan.

Ia bukanlah sebuah kenderaan yang sempurna tetapi dengan harga yang lebih murah berbanding pesaing-pesaing terdekatnya iaitu Chery Tiggo 8 Pro dan Mazda CX-8, rasanya ramai pembeli yang boleh ‘tutup mata’ dan terima sahaja kekurangannya.

Spesifikasi Proton X90

Harga: RM123,800-RM152,800
Enjin: 1.5-liter, tiga silinder turbo, mild-hybrid 48V
Kotak gear: DCT tujuh kelajuan
Kuasa: 190 PS
Tork: 300 Nm

Mercedes C300 AMG Line pandai bermain dengan emosi – Pandu uji

SEBENARNYA tanpa disedari, banyak keputusan pembelian kita dipengaruhi emosi. Kita beli kasut Adidas berharga RM560 hanya kerana lebih sukakannya walaupun ada Puma yang hampir serupa berharga RM380.

Atau kita beli kemeja-T kosong berwarna hitam di Uniqlo berharga RM50 walaupun ada baju yang hampir sama di Factory Outlet Store (FOS) berharga RM39, hanya kerana kita lebih sukakan jenama yang lebih mahal itu.

Perkara ini juga boleh terjadi semasa membeli kereta terutamanya untuk segmen premium. Terdapat isu seperti brand loyalty (ketaatan terhadap jenama, bunyi pelik dalam Bahasa Malaysia) yang menyebabkan kita tidak mudah menukar jenama.

Hal ini berbeza untuk kereta segmen bawah RM100,000 kerana faktor harga lebih sensitif. Jadi untuk bab ini, kita simpankan perbincangan di hari lain, ya.

Untuk kali ini, penulis ingin berkongsikan mengenai Mercedes C300 AMG Line dan bagaimana ia bermain dengan emosi penulis untuk sangat sukakannya walaupun ia bukan jenis kereta yang biasa penulis suka.

W206 ‘buatan Malaysia’

Mercedes C300 AMG Line merupakan antara penawaran C-Class generasi W206 terkini yang kini dipasang secara CKD sejak Ogos tahun lepas. Pemasangan tempatan ini menurunkan harganya kepada RM327,888 berbanding kira-kira RM333,888 semasa baru dilancarkan.

Masih suatu harga yang tidak murah untuk sebuah sedan kecil premium. Sedan permulaan untuk mereka yang baru melangkah masuk ke segmen ini. Tetapi dengan C-Class W206 ini, Mercedes pandai memikat hati pemandu dan sesiapa yang pernah menaiki kereta ini.

Pertamanya, ia tampil cukup premium dan nampak mahal tanpa perlu terlalu mencuba. Elemen krom cukup-cukup sahaja di keliling tingkap dan gril depan, tidak perlu silaukan mata orang sekeliling. Bentuk badannya masih klasik kereta Jerman RWD dengan bonet depan panjang dan kabin yang lebih rapat ke tayar belakang.

Mungkin inilah definisi elegan.

Kemudian gaya elegan ini ‘disuntik’ dengan elemen sporti dari pakej AMG Line, seperti anda dapat lihat pada bentuk gril berbeza dari C200 Avantgarde, rim 19-inci yang nampak sukar dicuci, dan bentuk bampar serta skirt sisi yang lebih agresif.

Sebenarnya bukan mudah untuk mencampurkan kit badan sporti pada kereta yang elegan dan mewah tanpa menjadikannya nampak janggal.

Di bahagian dalam anda akan rasa sangat istimewa dengan Mercedes C300 ini kerana rekabentuk kabinnya begitu menawan, nampak berkualiti tinggi, dan rasa premium. Tidak hairanlah jika Mercedes sentiasa nombor satu untuk bab rekaan kabin.

Di depan stereng terdapat skrin 12.3-inci untuk paparan instrumen manakala di tengah terletaknya skrin infotainmen 11.9-inci. Kedua-duanya cukup besar dan memaparkan segala macam maklumat dengan jelas melalui resolusinya yang tinggi.

Penulis paling suka khasnya setup skrin berasingan pada C-Class generasi baharu ini berbanding sekeping skrin panjang melintang untuk dua fungsi berbeza pada model sebelumnya.

Selain itu, anda boleh rasakan pereka dan jurutera memberikan usaha lebih untuk anda sukakan Mercedes C-Class ini seperti boleh dilihat pada corong pendingin hawa, kemasan gentian karbon (AMG Line sahaja), panel pelaras tempat duduk di pintu, dan segala tuil dan butang.

Segalanya terasa sedap dipegang dan digunakan, sebagai contoh tuil penukar gear di sebelah kanan dan suis lampu isyarat di sebelah kiri. Terdapat juga panel-panel sesentuh yang anda boleh sentuh dan gosokkan untuk mengawal skrin infotainmen di depan dan skrin tengah.

Secara keseluruhan, kabin ini terasa selesa untuk anda pandu jauh, mudah digunakan seharian, dan membuatkan anda rasa istimewa – penting untuk kereta segmen begini.

Oh ya, tidak cukup dengan itu, paling anda rasa C-Class ini mahal ialah bila melaras tempat duduk dan bumbung panoramiknya. Anda dapat ketahui yang ia menggunakan motor lebih mahal, bukan motor biasa kerana pelarasannya cukup-cukup lembut, boleh digerakkan sedikit dengan tepat, dan motor ini seolah-olah ‘membrek’ sebelum berhenti.

Ia tidak bergerak dan berhenti dengan mendadak. Ini antara perkara yang anda tidak dapat lihat atas kertas atau risalah. Kena cuba sendiri baru faham. Silap-silap anda cuba dalam bilik pameran pun anda terus sedia untuk tandatangan dokumen, tanpa perlu pandu uji.

Pengendalian ‘kena pandai ejas’

Untuk pemanduan pula, C300 masih berpegang teguh dengan prinsip klasik Mercedes untuk mempunyai pengendalian lembut, lancar, selesa dan elegan walaupun model ini mendapat pakej AMG Line.

Dengan Dynamic Select dan suspensi adaptif Agility Control, kereta ini versatil untuk pelbagai situasi pemanduan. 95 peratus keadaan Mercedes C300 AMG Line ini lembut di selekoh walaupun menggunakan Goodyear Eegle F1 iaitu tayar sport menawarkan had cengkaman tinggi.

Tetapi jika anda sudah biasa dengan karakternya, Mercedes C300 ini mampu ‘tapau’ pesaingnya dari negara sama walaupun jenama itu lebih sinonim dengan ciri sporti. Asalkan anda “kena pandai ejas”.

Anda faham cara C300 AMG Line ini mengambil rentak di selekoh dan jalan tidak rata, anda tahu had tayar, kereta ini boleh menjadi sebuah sedan eksekutif yang lincah di jalan seperti Lebuh Raya DASH. Ia mampu menggalas tugas diperlukan pengurus muda yang ingin bergegas ke mesyuarat.

Enjin C300 merupakan unit 2.0-liter berkuasa 255hp dan 400Nm tork, lebih tinggi dari 1.5-liter yang dibekalkan pada C200.

Enjin ini disambungkan dengan kotak gear automatik 9-kelajuan 9G-Tronic dan gandar belakang, serta mendapat bantuan mild hybrid ISG (integrated starter generator) yang memberikan output tambahan 20hp dan 200Nm.

Dari angka yang diberikan, ia sebenarnya lebih dari mencukupi untuk kegunaan seharian. Mampu membawa sedan ini ke kelajuan tiga digit tanpa perlu mengaum lebih, terima kasih kepada tork 400Nm seawal 2,000rpm dan kotak gear 9-kelajuan.

Dan menariknya, sistem mild hybrid pada C300 sangat efektif dalam memberikan penjimatan. Jika anda pandu biasa-biasa sahaja, anda mampu pergi sejauh 700 hingga 750km dengan mudah setiap tangki.

Kesimpulan

Penulis jarang sukakan Mercedes sedan dan biasanya tidak meletakkan harapan tinggi pada C-Class selain AMG dua digit (C43, C63).

Tetapi dengan C300 AMG Line kali ini, cukup untuk penulis meletakkan kereta ini dalam senarai pendek untuk dibeli selepas bersara. Untuk pandu santai ke masjid dan pasar, dan sesekali ke Ipoh untuk minum white coffee.

Senang cerita, agak keberatan juga memulangkan kereta ini kepada Mercedes-Benz Malaysia.

Spesifikasi Mercedes C300 AMG Line

Harga: RM327,888
Enjin: 2.0-liter 4-silinder turbo
Kotak gear: Automatik 9-kelajuan 9G-Tronic
Kuasa: 255hp @ 5,800rpm
Tork: 400Nm @ 2,000-3,200rpm

Kia EV6 GT-Line AWD memang hebat, bukan sekadar hype – Pandu Uji

RASANYA anda semua sudah sedia maklum bahawa jenama Kia sudah jauh ke hadapan dalam industri automotif. Jenama itu yang dahulunya sering dipandang rendah kerana menghasilkan kereta yang buruk dan tidak berkualiti, kini mempunyai barisan produk yang mampu bersaing dengan pengeluar-pengeluar dari Eropah.

Malah, Kia telah mula mengorak langkah dalam segmen kenderaan elektrik (EV) sejak 2016 dengan Niro EV. Pada 2021, Kia memperkenalkan model EV kedua mereka iaitu EV6. Rata-rata reaksi yang diberikan adalah sangat positif dan kemuncaknya, ia merangkul dua gelaran berprestij iaitu European Car of the Year dan Car of the Year.

Kira-kira setahun selepas pelancarannya di peringkat global, EV6 akhirnya tiba di Malaysia menerusi Dinamikjaya Motors selaku pengedar rasmi Kia di negara ini. Saya akhirnya berpeluang untuk mencuba model ini dan menyiasat sama ada ia benar-benar mengagumkan atau sekadar hype.

Untuk pasaran Malaysia, EV6 ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu GT-Line AWD, pada harga RM300,668 (on-the-road tidak termasuk insurans). Ya, memang mahal namun saya boleh katakan pada harga ini, anda sebenarnya mendapat sebuah EV bertaraf premium dari segi reka bentuk, kelengkapan dan prestasi.

Apa yang anda perlu tahu, EV6 dibangunkan menggunakan platform E-GMP (Electric-Global Modular Platform) yang dibangunkan khusus untuk EV. Ini bermakna tidak ada model Kia berenjin petrol atau diesel yang dibina di atas platform yang sama.

Platform ini turut digunakan oleh Hyundai Ioniq 5 namun tidak seperti model itu yang tampil dengan tema retro futuristik, EV6 mempunyai reka bentuk yang 100 peratus moden dan futuristik. Saya secara peribadi merasakan ia adalah model Kia yang paling menarik pernah dihasilkan setakat ini.

Buat pengetahuan anda, Ioniq 5 dan EV6 kedua-duanya adalah crossover namun EV6 kelihatan lebih sleek kerana ukurannya 97 mm lebih pendek dan 55 mm lebih rendah berbanding Ioniq 5. Tapak rodanya juga lebih pendek dengan perbezaan sebanyak 10 mm.

Dari sisi, imej EV6 diserlahkan lagi menerusi rim berukuran 20 inci, manakala dari belakang pula rekaan lampu yang merentangi sepanjang bahagian tailgate dan fender membuatkan ia tampak lebar seperti sebuah kereta sport yang sebenar.

Berbeza dengan bahagian luarannya, saya mendapati ruang dalaman EV6 kekurangan ‘faktor wow’ – mungkin kerana penggunaan warna hitam dengan sedikit perincian berwarna putih pada tempat duduk dan stereng terasa agak basic untuk sebuah EV yang berharga RM300,000.

Walau bagaimanapun, setelah diamati dan disentuh, setiap permukaan terasa begitu kemas dan berkualiti tinggi. Lebih penting lagi, tiada bunyi menjengkelkan kedengaran apabila panel-panel ditekan. Tempat duduk pula dibalut dengan upholsteri suede yang terasa begitu lembut pada sentuhan.

Dari segi kelengkapan, sebenarnya banyak yang anda dapat. Ada dua skrin berukuran 12.3 inci, satu sebagai panel instrumen digital dan satu lagi sebagai skrin infohibur, Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Meridian dengan 14 pembesar suara, pengecas wayarles, empat port USB-C dan dua soket 12 volt.

Satu lagi ciri yang bagi saya cukup berguna adalah Vehicle-to-Load (V2L) yang secara asasnya menjadikan EV6 sebuah power bank gergasi yang boleh digunakan untuk mengecas pelbagai perkakasan elektrik menerusi penyambung tiga poin yang disediakan.

Anda juga tidak perlu risau jika anjung kereta di rumah anda sempit kerana EV6 juga mempunyai ciri Remote Smart Parking Assist yang membolehkan anda menggerakkannya ke hadapan atau belakang dengan menggunakan kunci, tanpa perlu berada di dalam.

Ciri bantuan pemandu yang disertakan juga cukup lengkap. Selain ciri-ciri seperti Forward Collision-Avoidance Assist, High Beam Assist, Blind Spot Monitor dan sebagainya, EV6 turut didatangkan dengan Smart Cruise Control dengan Stop & Go, Lane Following Assist dan Lane Keeping Assist yang membolehkan ia dipandu secara separa autonomi.

Aspek keselesaan tidak dilupakan, dengan adanya ciri-ciri seperti sistem pendingin hawa dua zon lengkap dengan corong udara belakang, pencahayaan ambien, stereng tilt dan teleskopik serta perehat tangan. Lebih menarik lagi, tempat duduk hadapan mempunyai ciri Premium Relaxation yang membolehkan ia dibaringkan dengan sekali tekan sahaja.

Dari segi ruang dan praktikaliti, EV6 boleh memuatkan sehingga empat penumpang dewasa dengan cukup selesa. Ruang kaki belakang cukup luas tetapi ruang kepala mungkin agak terhad untuk mereka yang tinggi. Namun sekurang-sekurangnya penyandar belakang tidak terlalu tegak, bermakna perjalanan jauh selesa dan tidak memenatkan.

Memuatkan bagasi untuk trip hujung minggu tidak akan menjadi masalah kerana EV6 menyediakan ruang but sebesar 520 liter serta ruang storan tambahan sebesar 20 liter di bawah penutup bonet. Kereta ini juga sesuai untuk membawa muatan panjang kerana kerusi belakang boleh dilipat sepenuhnya.

‘AWD’ pada namanya bermakna EV6 GT-Line ini mempunyai dua motor elektrik iaitu satu pada setiap gandar. Dengan kuasa keseluruhan mencecah 325 PS dan 605 Nm, EV6 tidak syak lagi memang sebuah EV yang pantas walaupun mempunyai berat sekitar dua tan. Malah, kepala saya ditolak ke belakang setiap kali memecut dari persimpangan lampu isyarat.

Sudah tentu, setiap kali berbicara tentang EV, jarak gerak lebih penting dari prestasi pecutan. Dengan bateri Long Range berkapasiti 77.4 kWj, model ini sepatutnya boleh dipandu sejauh 506 km dengan satu cas penuh. Namun anda perlu tahu bahawa angka tersebut dicapai menerusi ujian yang dilakukan dalam persekitaran yang paling ideal.

Dalam dunia sebenar, saya boleh katakan memang mustahil untuk mendapatkan jarak seperti yang dikatakan oleh pengeluar. Ini kerana ia bergantung kepada beberapa faktor termasuk gaya pemanduan. Dalam erti kata lain, lebih agresif pedal ditekan, lebih pendek jarak yang anda akan dapat.

Namun sebagai pemandu, anda boleh memaksimumkan jarak gerak dengan memandu secara lebih ekonomik. Dengan EV6, anda juga boleh memanfaatkan teknologi brek janaan semula yang berfungsi untuk menyalur semula tenaga ke bateri setiap kali pedal brek ditekan. Terdapat tiga tahap kekuatan janaan semula yang boleh dipilih menerusi paddle shifter.

Sistem suspensi EV6 terasa sedikit keras. Ini sudah tentu memberikannya kelebihan dari segi kestabilan terutamanya ketika di selekoh. Dan dengan kuasa pecutan yang hebat, ia mampu keluar dari selekoh dengan pantas tanpa sebarang masalah.

Namun, ini secara tidak langsung menjejaskan aspek keselesaannya. Setiap lubang kecil serta bonggol boleh dirasakan dengan jelas di dalam kabin. Malah, kereta ini juga terasa melantun jika dipandu di atas jalan yang beralun.

Secara ringkasnya, saya amat berpuas hati dengan apa yang ditawarkan oleh EV6. Ia mempunyai rupa yang sangat menarik, ruang dalamannya cukup luas dan lengkap dengan segala teknologi yang sepatutnya ada, dan jarak gerak yang ditawarkan juga cukup memuaskan. Jika anda mencari sebuah EV untuk pemanduan harian dengan bajet RM300,000, ini adalah pilihan yang tepat.

Benar, harganya diakui memang tidak murah tetapi seperti yang saya katakan, anda mendapat sebuah EV yang premium. Malah, saya juga berani katakan yang EV6 lebih baik dari segala aspek dari pesaing terdekatnya dari Jerman iaitu Mercedes-Benz EQA.

Spesifikasi Kia EV6 GT-Line AWD

Harga: RM300,668
Motor elektrik: Dua, Permanent Magnet Synchronous Motor (PMSM)
Kuasa: 325 PS
Tork: 605 Nm
Bateri: 77.4 kWj

Hyundai Kona Electric Max: Yang tahu je tahu! – Pandu uji

DALAM memilih barang berjenama contohnya baju, ada terbahagi kepada dua jenis golongan. Yang pertama; mahu logo jenama besar-besar ditulis pada baju, biar semua orang tahu.

Yang kedua; mahu sorok sedikit jenama, biar ditulis kecil-kecil sahaja. Ibaratnya, hanya yang tahu je tahu!

Hyundai Kona Electric ini boleh dikatakan ibarat golongan kedua. Ini kerana rupa dan rekabentuknya yang sangat serupa dengan versi petrol menampakkannya begitu ‘normal’. Hanya sedikit perbezaan tidak begitu ketara yang membolehkan anda mengenal pasti ianya versi Electric.

Kami telah pandu uji Hyundai Kona 2.0 petrol dan 1.6 turbo sebelum ini, dan untuk versi terkini, kami cuba pula Kona Electric Max. Ia ditawarkan pada harga bermula RM149,888 untuk Kona Electric Lite, RM169,888 untuk Plus, dan RM199,888 untuk Max.

Dah macam nama telefon pintar, bukan?

Hyundai Kona Electric Max mendapat pakej bateri terbesar dan jarak pemanduan paling jauh. Ia dibekalkan dengan bateri 64kWh dengan output 204hp dan 395Nm tork, serta jarak maksima 484km.

Sebagai konteks, kuasanya boleh dikatakan lebih kurang kereta berenjin 2.0-liter NA, manakala torknya boleh dibandingkan dengan kereta 2.5-liter petrol turbo. Tetapi memandangkan ini sebuah EV, ia lebih dari sekadar angka.

Rupa ‘fly under the radar’

Jika dilihat pada rupa luaran, perbezaan pada Kona EV ini tidak banyak. Antaranya tempat mengecas di kawasan bampar depan (ke kiri sedikit) dan bampar yang kelihatan kosong kerana tiada gril.

Logo Hyundai di depan ini juga seperti ‘mendongak’ di bahagian atas bampar, tidak seperti versi petrol dimana logonya di dalam gril. Akhir sekali adalah lencana “electric” di pintu but belakang. Dari jauh, nampak seperti Hyundai Kona biasa.

Bab ini, pilihan masing-masing. Ada orang mahu kereta EV mereka nampak futuristik dan menyerlah, biar semua tahu dia pandu EV. Tetapi yang memilih Hyundai Kona, mereka mahu ‘fly under the radar’.

Perkara sama dapat dilihat di bahagian kabin, dimana binaannya 97 peratus serupa dengan versi petrol. Stereng, rekaan papan pemuka, susunan butang, skrin, semuanya sama. Dan tiada salah pun, kerana Hyundai secara umumnya mempunyai kabin yang kemas dan terasa berkualiti.

Satu perbezaan untuk Kona Electric ialah ketiadaan tombol gear, tetapi diganti dengan butang-butang P, R, N, D. Sebenarnya ada Hyundai lain yang bukan EV juga menggunakan gear butang sebegini, contohnya Sonata dan Staria.

Oh ya, sebelum penulis terlupa, dimensi luar Hyundai Kona Electric ini memang sama dengan versi petrol, tetapi lantainya lebih rendah kerana terdapat penutup bateri yang terletak di bawah kabin.

Pemanduan EV harian

Baik, seperti yang dinyatakan di atas, Kona Electric ini mampu pergi sejauh lebih 480km setiap cas, dan jarak ini pastinya bergantung kepada cara pemanduan kita. Sebagai contoh dalam satu situasi, penulis telah memandu 120km tetapi baki pada skrin instrumen bertulis 320km.

Jadi dengan cara pemanduan itu, penulis hanya akan dapat 440km. Alah, sama juga dengan kereta petrol.

Sebagai contoh Perodua Bezza diiklankan mampu mencatat lebih 20km/liter, dan kapasiti tangki petrolnya kira-kira 36 liter. Berapa ramai antara kita yang dapat lebih 700km setangki? Rata-rata mungkin mendapat 14km hingga 15km seliter, bersamaan antara 490km hingga 520km setangki.

Menariknya, segala sistem dalam kereta ini reaktif terus dengan jarak pemanduan. Sebagai contoh bila anda menurunkan suhu pendingin hawa untuk lebih sejuk, anda akan nampak baki jarak pemanduan sedikit berkurang. Begitu juga bila melaras mod pemanduan, jarak boleh bertambah bila anda tukar dari Sport kepada Normal atau Eco.

Ini secara tidak langsung memberikan rasa canggih dan sofistikated terdahap Kona Electric ini. Anda dapat rasa yang semua sistemnya bersepadu dengan baik, dan bukanlah sekadar cabut enjin petrol dan sumbat motor elektrik.

Bercakap mengenai motor elektrik, memandu Hyundai Kona EV ini tidaklah terlalu luar biasa. Jika anda ada kereta petrol lain di rumah, bila selalu bertukar-tukar kenderaan, anda akan mudah menyesuaikan diri dengan Kona Electric.

Ini kerana segala butang kawalan, panel-panel, dan suis mirip dengan Kona petrol. Jadi kereta ini sesuai untuk anda yang mahu sebuah kenderaan yang tidak terlalu ‘alien’ di jalan raya.

Hyundai Kona Electric ini juga mempunyai paddle-shifter di belakang stereng, tetapi memandangkan ini sebuah EV yang tiada kotak gear, ianya tidak digunakan untuk menukar gear. Sebaliknya paddle-shifter ini digunakan untuk melaras tahap regenerative braking.

Semakin kuat regenerative braking yang digunakan, semakin mudah untuk anda amalkan one-pedal driving. Sebaliknya jika tiada regenerative braking, ia akan rasa seperti kereta petrol yang meluncur.

Pengendalian mantap

Satu perkara umum mengenai EV ialah pengendalian mereka hampir sama kerana konfigurasi serupa digunakan iaitu bateri yang berat dan leper di bawah kabin. Berat tertumpu di tengah, dan pengendalian menjadi neutral.

Yang bagusnya, neutral ini bermakna kereta EV lincah dan stabil. Tetapi yang kurang bagusnya, ia membuatkan EV agak bosan dan terlalu mudah dijangka. Yang paling memberikan beza mungkin hanya dari segi pacuan sama ada FWD, RWD atau AWD.

Hyundai Kona mendapat output dari motor yang dihantar ke roda depan, dan jumlah kuasa adalah lebih dari mencukupi untuk pemanduan harian. Tetapi dengan tork hampir 400Nm, anda dapat baki kuasa lebih untuk kegunaan ketika memotong, keluar simpang, atau susur masuk ke lebuh raya.

Aspek stereng dan brek rata-ratanya adalah natural dan ditala dengan baik agar menyerupai kereta biasa.

Ok ke pakai Hyundai Kona Electric?

Inilah soalan yang kami dapat bila kami muat naik gambar kereta EV di media sosial Engear dan penulis sendiri. “Ok ke pakai EV?”, atau “Macam mana cas?”.

Secara umumnya, ok sangat kerana produk EV itu sendiri sudah dikira cukup matang. Satu isu ialah kemudahan mengecas. Jika anda tinggal di rumah banglo atau teres (landed), mudah untuk anda mengecas menggunakan AC setiap hari.

Tetapi jika anda tinggal di apartmen atau kondominium, mungkin menjadi halangan. Begitu juga bab pengecasan semasa jarak jauh, fasiliti DC masih terhad buat masa ini. Tetapi sama-sama kita lihat berapa banyak pertambahannya dalam masa beberapa tahun akan datang.

Hyundai Kona Electric menjadi satu calon yang sesuai jika anda mencari EV pada harga bawah RM200,000 yang penulis rasa akan menjadi satu segmen hangat tidak lama lagi.

Spesifikasi Hyundai Kona Electric Max

Harga: RM199,888
Bateri: 64kWh
Kuasa: 204hp
Tork: 395Nm

Mercedes-AMG GLA35: Pau kari yang panas dan pedas – Pandu uji

JUJUR cakap, penulis tak pernah sukakan bentuk Mercedes GLA generasi H247 terbaharu ini. GLA kini dalam generasi kedua, menggantikan generasi X156 sebelum ini.

Bagi penulis, Mercedes GLA yang dulu lebih unik dan berkarakter, dengan rekaan lebih menarik. Cuma ramai yang merungut ruangan dalam kurang memuaskan terutamanya bahagian belakang, selain kualiti ride yang agak ‘keras’ bagi sebuah Mercedes.

Jadi secara dasarnya Mercedes GLA terbaharu akan menyelesaikan masalah itu dengan kabin lebih besar serta pemanduan lebih selesa. Cuma pengorbanannya ialah rekabentuk lebih bulat yang lebih feminine.

Tetapi unit pandu uji yang kami ingin ceritakan ini bukanlah GLA biasa, sebaliknya Mercedes-AMG GLA35 4Matic. Ia merupakan versi paling berkuasa untuk model pasaran Malaysia dengan 302hp dan 400Nm serta kemampuan memecut dari pegun ke 100km/j dalam 5.2 saat.

Anda tidak salah baca. Ya, sebuah crossover keluarga kini mempunyai pecutan lebih pantas dari Honda Civic Type-R FK8 yang merupakan hatchback sports yang begitu fokus.

Pau kari yang panas dan pedas

Penulis kata Mercedes-AMG GLA35 ini ibarat pau kari yang panas dan pedas kerana bentuknya bulat seperti pau, tetapi sangat berkuasa; maka ia panas dan pedas. Boleh terima?

Dari sudut prestasi, GLA35 ini cukup berkebolehan dan hardcore dari segala segi. Ia mempunyai enjin M260 4-silinder yang berkapasiti 2.0-liter. Dengan twin-scroll turbocharger, enjin ini berjaya memerah sehingga 302hp seperti yang disebut tadi.

Malah, enjin ini penulis rasakan bertekanan tinggi jadi ia agak panas, boleh dirasa semasa kereta duduk melahu atau idling. Ia panas seolah-olah harimau yang sedang bernafas, sedia menerkam mangsanya.

Enjin sebegini juga adalah jenis sensitif dengan segala tekanan dan minyak serta bendalir, jadi anda tidak mahu culas bab penyelenggaraan. Tetapi jika dijaga rapi, ia akan ‘menghadiahkan’ anda dengan ledakan kuasa yang mampu membuatkan penumpang anda cemas semasa memecut.

Ia pantas, dan ditemani dengan bunyi garang identiti AMG berserta letupan kecil setiap kali transmisi Speedshift dwi-klac 8-kelajuan naik dari satu gear kepada gear seterusnya. Ia terus menerus melontarkan anda ke depan sehingga anda sampai selekoh atau sehingga anda rasa tidak mahu menambah angka di speedometer.

Mercedes-AMG GLA35 4Matic ini juga seperti pada namanya (4Matic) mempunyai sistem pacuan semua-roda AWD bagi memastikan output dari enjin dapat disampaikan sebaiknya ke permukaan jalan.

Sistem ini secara aktif mengagih kuasa dari depan ke belakang atau kiri ke kanan mengikut situasi pemanduan sama ada anda memecut selepas lampu isyarat bertukar hijau atau memecut keluar selekoh walaupun stereng belum lurus sepenuhnya.

Seterusnya jika anda lihat tayar Continental SportContact 6 dengan profil gemuk 255/40 yang membaluti rim 20-inci serta rupa cakera breknya pun, anda akan tahu bahawa prestasi SUV ini ‘bukan biasha-biasha’.

Beberapa perincian luaran lain yang menampakkan bahawa GLA35 ini jentera istimewa ialah gril depan dengan bilah menegak, rim 20-inci berwarna gelap, ekzos berkembar, dan spoiler kecil dengan sudut agresif di hujung bumbung belakang.

Nampak mahal dan banyak benda tersorok

Baik, Mercedes-AMG GLA35 ini boleh menjadi milik anda dengan harga RM345,048 dan sebenarnya agak sukar untuk menjusifikasikan jentera ini tanpa anda membeleknya dengan teliti. Atau mencuba pandu uji sendiri.

Bila anda lihat GLA35 ini dengan lebih dekat, satu per satu detik anda akan perasan kemana duit anda pergi.

Bahan-bahan yang digunakan pada keseluruhan kereta ini terasa premium dan berkualiti tinggi, walaupun GLA merupakan antara model entry level dalam Mercedes. Tetapi langsung tiada mana-mana bahagian terasa murah. Dan ini juga pasti jauh lebih baik daripada GLA lama.

Duduk sahaja di tempat pemandu, fuh, hampir seperti dalam jentera lumba Mercedes-AMG GT3. Dengan stereng balutan kulit siap dengan penanda merah di jam 12, dan turut menambah rasa premium adalah bahagian paddle shifter dan bilah stereng yang diperbuat dari bahan seperti machined aluminium.

Bila terkena udara pendingin hawa, anda boleh rasa bahagian ini sejuk. Ini memberikan kontra yang menarik untuk stereng kulit AMG Performance itu.

Stereng ini juga mempunyai butang kawalan dan panel sesentuh seperti Mercedes biasa, tetapi khas untuk model AMG ialah butang rotary di bucu kanan bawah stereng untuk penukaran mod-mod pemanduan. Butang ini juga merupakan satu skrin yang memaparkan mod yang anda pilih.

Perincian yang nampak mahal.

Kemudian di bucu kiri pula terdapat lagi beberapa butang kecil untuk tetapan casis dan suspensi, dengan ikon spring. Bolehlah untuk kita acah-acah sedang melaras tetapan jentera lumba GT3.

Seterusnya anda akan perasan bahawa tema kokpit GLA35 ini adalah hitam dan merah. Hitam pada balutan kulit dan sebahagian kecil plastik, kemudian jahitan merah, termasuk warna tali pinggang keledar. Mengingatkan anda ianya jentera yang serius, tetapi masih mewah.

Penulis juga cukup suka dengan beberapa kemasan sporti seperti gentian karbon pada papan pemuka dan tempat duduk balutan Dinamico yang seperti Alcantara. Kemudian seperti Mercedes lain, GLA35 turut mendapat gugusan corong pendingin hawa yang cantik dan skrin melintang yang moden.

Masih ada juga pencahayaan ambien dengan 64 warna, dan skrin melintang tadi mampu memaparkan pelbagai maklumat relevan kepada jentera AMG GLA35 ini seperti peratusan kuasa dan boost turbo, meter tekanan G, suhu minyak enjin, suhu kotak gear, tekanan tayar, dan banyak lagi kandungan di bawah menu AMG Performance.

Dari sini anda semakin sedar tentang justifikasi harga premium tadi.

Berbaloi?

Untuk pembelian jentera prestasi tinggi sebegini, kita tidak perlu alasan berbaloi untuk wang. Ia bukan seperti membeli sedan segmen-B bawah RM100,000.

Sebaliknya, kita nilaikan perasaan kita memandu dan duduk di dalam Mercedes-AMG GLA35 ini. Dan walaupun ia bukan AMG 63 dengan 4.0 V8, GLA35 masih AMG sebenar yang mampu memberi debaran dan senyuman bila diperlukan.

Suspensi adaptif padanya dan pelbagai pilihan mod membolehkannya dipandu dengan selesa untuk ke kedai runcit, tetapi 80 peratus darinya anda mahu pandu ia dalam mod Sport. Ia akan sentiasa ringan, bertenaga, bersedia untuk pergi. Ia menjadi sensitif dan memprovokasi anda untuk menambah kelajuan.

Dan dari situ, ia meninggalkan kesan dan memori tentang prestasi yang mampu ditawarkan, jadi semua itu sahaja cukup untuk membuatkan anda mengorek tabung simpanan untuk menyambar jentera ini.

Spesifikasi Mercedes-AMG GLA35 4Matic

Harga: RM345,048
Enjin: 2.0-liter turbo 4-silinder
Kotak gear: AMG Speedshift 8G dwi-klac 8-kelajuan
Kuasa: 302hp @ 5,800rpm
Tork: 400Nm @ 3,000

Michelin PS5 bukti tayar lebih tahan, tapi prestasi boleh dikekalkan

DALAM penghasilan tayar, anda harus berkompromi antara prestasi dan ketahanan. Anda mahu tayar berprestasi tinggi, gunakan kompaun lebih lembut, maka ia akan cepat habis. Dan begitulah sebaliknya.

Namun, Michelin membuktikan mereka mampu menambah ketahanan tayar tetapi masih mengekalkan prestasi tinggi tayar itu. Sudah tentulah dengan penggunaan teknologi.

Jadi, baru-baru ini mereka telah menganjurkan acara Michelin Brand Experience 2023 di Litar Antarabangsa Sepang dan kami para pengamal media telah dijemput merasai sendiri prestasi dan teknologi yang ditawarkan oleh produk terbaharu mereka.

Dua tayar yang diuji dalam sesi ini adalah Michelin Pilot Sport 5 dan Primacy SUV+.

Michelin PS5 – Performance Made to Last

Performance made to last, atau prestasi yang direka tahan lama. Jadi dengan kereta rasmi Mercedes-Benz pelbagai model (C300, E200, A-Class dan GLA-Class) serta tayar Michelin PS5 baharu, kami dibawakan untuk beberapa aktiviti dan eksesais.

Aktiviti-aktiviti ini direka untuk menonjolkan ciri dan prestasi yang ditawarkan oleh PS5. Antara aktiviti tersebut adalah gymkhana course dimana terdapat slalom, pusingan-U, pecutan, dan brek sambil menukar lorong.

Di sini kami memandu Mercedes E200 yang dipasang dengan tayar Michelin PS5 dan tayar pesaing. Di slalom, jelas terasa respon PS5 lebih tangkas dan tepat. Malah di ujian brek kecemasan sambil menukar lorong juga jelas PS5 membrek dengan jarak lebih pendek setiap kali.

Aktiviti kedua ialah brek di permukaan basah. Di sini, kami membrek dengan tayar keadaan baharu dan botak, untuk Michelin PS5 dan tayar pesaing. Jadi ada empat pusingan kesemuanya, menggunakan model-model Mercedes A-Class sedan dan GLA.

Anda boleh lihat sendiri keputusan dalam gambar di bawah, iaitu purata dari data-data yang dikutip dari setiap pemandu iaitu para media.

Secara kesimpulan, Michelin PS5 membrek dengan jarak lebih pendek di permukaan basah berbanding tayar pesaingnya. Lebih mengagumkan lagi, PS5 dengan keadaan baharu dan botak adalah lebih konsisten jaraknya, berbanding tayar pesaing yang memerlukan jarak lebih ketara jauhnya berbanding dalam keadaan baharu.

Aktiviti terakhir bagi Michelin PS5 ialah sesi ujian di litar, dengan memandu C300 di North Circuit. Di kawasan seperti Turn 2, dapat dirasakan PS5 lebih tangkas menukar arah dimana pemandu perlu ‘membalas’ cepat dari selekoh kanan masuk ke kiri.

Kemudian di Turn 5 dan Turn 6 yang merupakan selekoh S berkelajuan tinggi, dirasakan Michelin PS5 memberikan lebih kestabilan dan ‘feel’, berbeza dengan tayar pesaingnya yang terasa ‘lembut’ bila diasak di selekoh pada kelajuan tinggi beberapa saat.

Michelin Primacy SUV+

Para media juga dijemput merasai sendiri tayar Michelin Primacy SUV+ untuk dibandingkan dengan tayar pesaing. Untuk ini, kami memandu Toyota Fortuner di jalan raya sekitar kawasan luar Litar Sepang, dimana ianya merupakan jalan awam dengan permukaan sebenar.

Sebaik masuk ke dalam Toyota Fortuner yang dipasang dengan Primacy SUV+, terus jelas terasa beza kesenyapan kabin, walaupun baru mula memandu pada kelajuan perlahan. Perbezaan ini cukup ketara dan dipersetujui oleh juruvideo kami.

Ini juga dibuktikan apabila kadar bunyi direkodkan oleh alat khas, dimana Michelin Primacy SUV+ merekodkan bacaan lebih rendah berbanding tayar pesaing walaupun dipandu pada jalan yang sama dan kelajuan yang sama.

Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Singapura dan Brunei, Prichapakorn Dangrojana berkongsi: “Menerusi acara Michelin Brand Experience 2023, kami ingin menonjolkan dua komponen yang menunjangi DNA Michelin – inovasi dan kelestarian, seperti yang dicerminkan oleh produk-produk tayar baharu kami, Pilot Sport 5 dan Primacy SUV+ yang hadir dengan jangka hayat serta prestasi maksimum.”

“Sesungguhnya, nilai-nilai teras Michelin yang membezakan jenama ini dalam industri tayar global, sedang kami menujukan untuk meminimumkan impak ke atas planet ini dan memaksimumkan nilai buat para pelanggan menerusi setiap produk, perkhidmatan dan inisiatif yang kami tawarkan,” ujar Dangrojana.