Tag Archives: SUV

Model elektrik Honda bakal ke AS, Prologue nama diberi

HONDA buat julung kali mengumumkan nama bagi kenderaan elektrik pertamanya.

Model dikenali sebagai Prologue dijangka akan memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS) pada awal tahun 2024.

Selain itu, Honda turut bercadang akan membawa masuk kenderaan elektrik pertamanya itu ke Amerika Utara di bawah jenama Acura.

Pembangunan kenderaan elektrik ini adalah hasil kerjasama strategic antara Honda dan General Motors (GM).

Setakat ini, Honda hanya mendedahkan nama model tersebut namun, masih belum memperkenalkan perincian lain terutama membabitkan bahagian enjin dan reka bentuk.

Model Prologue bakal menemui pengguna di Amerika Syarikat (AS) tidak lama lagi. – Foto ihsan Facebook/Oleole Live

Honda x GM

Kerjasama Honda dan GM meliputi dua komponen iaitu bahagian enjin dan interior dalaman.

Memetik laporan media, GM bertanggungjawab membangunkan platform EV modular dan akan menggunakan teknologi bateri ultium.

Bagaimanapun, rekaan luaran dan dalaman dibangunkan oleh Honda.

Menerusi satu kenyataan, Honda menjangkakan akan terus memperkukuh sistem hibrid dalam usaha menarik minat pelanggan untuk mendapatkan kenderaan elektrik keluaran mereka.

Sebelum ini, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda memaklumkan syarikat itu merancang meningkatkan pengeluaran model AV.

Toshihiro Mibe yang berkata demikian pada April lalu turut memaklumkan Honda serius untuk meneroka lebih luas pasaran kenderaan elektrik di AS dan China menjelang 2030.

Jelasnya, menjelang tahun 2040, Honda berharap mampu mengeluarkan 100 peratus kenderaan jenis elektrik di seluruh dunia.

Kenali SUV terpantas di dunia, Cayenne Turbo S Coupe!

PEMINAT kenderaan utiliti sukan (SUV) boleh bersiap sedia menanti kemunculan model terbaharu jenis itu di pasaran tidak lama lagi.

Cayenne Turbo S Coupe bakal menemui pengguna dalam tempoh terdekat selepas maklumat mengenai model itu didedahkan di internet baru-baru ini.

Porsche secara ringkas memaklumkan varian baharu ini adalah diasaskan daripada model Cayenne Turbo Coupe.

Ia dilengkapi rim 22 inci yang didatangkan dengan tayar Pirelli P Zero Corsa.

Cayenne Turbo S Coupe dijana oleh enjin V8 4.0 liter dengan dua pengecas turbo berkuasa 640 PS (631 hp) dan tork maksima 850 Nm.

Selain itu, varian ini juga dilengkapi kotak gear automatik lapan kelajuan dan kuasa dialirkan ke ke semua roda.

Cayenne Turbo S Coupe memiliki reka bentuk menawan yang mampu ‘mencairkan’ hati setiap penggemar automotif. – Foto oleh Porsche

Kelebihan Cayenne Turbo S Coupe

Ujian kepantasan keatas model Cayenne Turbo S Coupe di litar ‘The Green Hell’ Nürburgring Nordschleife ternyata membuahkan hasil mengagumkan.

Menerusi ujian itu, Cayenne Turbo S Coupe mencatat masa 7 minit 38.925 saat untuk satu lap pusingan.

Catatan masa itu menyaksikan Cayenne Turbo S Coupe sebagai kenderaan SUV terpantas di dunia.

Ini sekaligus memadam rekod dicatatkan Audi RS Q8 di litar sama dengan keseluruhan masa 7 minit 42.253 saat.

Apa yang lebih mengagumkan, Cayenne Turbo S Coupe turut mencatatkan masa hampir sama dengan sedan BMW Porsche 911 Turbo.

Ruang dalaman yang mewah dan canggih untuk keselesaan pemandu dan penumpang. – Foto oleh Porsche

Pengalaman pandu Cayenne Turbo S Coupe

Pemandu rasmi Porsche, Lars Kern mengakui pengendalian memandu model ini sangat luar biasa terutama dengan kuasa kelajuan dihasilkan.

Jelasnya, model itu antara SUV yang paling stabil pernah dipandu terutama ketika mengambil selekoh tajam.

“Kenderaan ini mampu mengubah haluan dengan cepat. Saya tidak merasakan ada gegaran kuat dan pada masa mampu mengawal dengan baik.

“Saya yakin fenomena understeer pasti sukar atau tidak mungkin berlaku kepada kenderaan SUV ini,” katanya.

Setakat ini, Porsche belum mengumumkan tarikh pelancaran model Cayenne Turbo S Coupe dan harganya juga masih menjadi ‘rahsia’.

Aruz 2021: Perodua tampil warna baharu, lebih menawan

MODEL PERODUA Aruz 2021 secara rasmi diperkenalkan pada semalam.

Varian X dijual pada harga RM68,526 sementara AV sekitar RM73,226.

Apa yang menarik harga ditawarkan sedikit murah dengan perbezaan sekitar RM4,374 sehingga RM4,674.

Harga tersebut adalah termasuk pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun ini.

Apa kelainan dibawa oleh Perodua kali ini?

Tidak terdapat banyak pembaharuan bagi model Aruz 2021 ini memandangkan ia masih menggunakan enjin sama iaitu 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder.

Namun, Perodua memperkenalkan warna baharu untuk model kali ini iaitu Passion Red bagi varian 1.5 AV.

Selain itu, empat warna lain termasuk Electric Blue, Glittering Silver, Ivory White dan Granite Grey.

Antara sistem keselamatan terdapat pada Aruz 2021 pula adalah fungsi auto-lock yang akan diaktif pada kelajuan melebihi 20km/j.

Perodua Aruz merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) paling laris pada 2019 dan 2020.

Sejak diperkenalkan, model Aruz versi pertama telah terjual lebih 60,000 unit.

Syabas Perodua!

SUV paling selamat, Volvo XC40 Recharge terima penarafan TSP+

KENDERAAN elektrik Volvo XC40 Recharge diiktiraf sebagai Top Safety Pick+ (TSP+) daripada Institut Insurans untuk Keselamatan Lebuh Raya Amerika Syarikat (IIHS).

Ini menjadikan Volvo XC40 Recharge sebagai model tunggal mencapai TSP+ dalam kelasnya tersendiri.

Volvo XC40 Recharge juga merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik pertama diiktiraf TSP+ sejak penarafan itu diperkenalkan pada 2013.

Tahun ini sahaja, Volvo telah menerima 15 TSP+ bagi produknya yang lain iaitu pada Februari, Mac dan April.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Volvo Car USA Anders Gustafsson berkata, kejayaan diperoleh syarikat itu adalah disebabkan kecanggihan teknologi keselamatannya.

“Volvo mempunyai sistem keselamatan yang canggih dalam memastikan tahap keselamatan tinggi apabila berdepan kemalangan.

“Kami bangga kerana banyak produk menerima pengiktirafan IIHS memandangkan kejayaan ini tidak diperoleh mana-mana syarikat pengeluar kenderaan lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikut antara model Volvo lain yang telah menerima penarafan TSP+:

    • Volvo S90 Recharge
    • Volvo V90
    • Volvo V90 Cross Country
    • Volvo V60 Cross Country
    • Volvo S60
    • Volvo S60 Recharge
    • Volvo V60
    • Volvo V60 Recharge
    • Volvo XC40
    • Volvo XC60
    • Volvo XC60 Recharge
    • Volvo XC90
    • Volvo XC90 Recharge

Honda BRV Facelift 2020 ‘letih’ daki jalan berbukit?

SEJAK diperkenalkan hampir empat tahun lalu, nama Honda BRV bukan suatu yang asing lagi di Malaysia.

Setiap hari, kenderaan utiliti sukan (SUV) ini dapat dilihat menyusur di jalan raya seluruh negara.

Namun, penulis hanya berpeluang memandu uji kenderaan itu baru-baru ini.

Melihat kepada reka bentuk luaran penulis dapat simpulkan secara ringkas Honda BRV sebagai sebuah kenderaan yang unik.

Tergolong dalam kategori SUV, ia menjadi ‘buruan’ bagi golongan bergelar “ibu” atau “bapa”.

Maka, tidak hairan ia antara model SUV Honda terlaris di Malaysia.

Nafas baharu BRV 2020

Honda BRV 2020 menerima beberapa suntikan pembaharuan terutama membabitkan rekaan luaran dan dalaman.

Pada pendapat penulis, sentuhan facelift untuk bumper hadapan dan bumper belakang cukup sekadar sedap mata memandang.

Namun, kewujudan ‘sirip’ antena radio serta kit badan dan rim baharu berjaya menaikkan ‘seri’ SUV ini.

Untuk bahagian dalaman, BRV memiliki sentuhan premium tersendiri yang ditampilkan kemas.

Prestasi i-Vtec BRV

Saat ditunggu telah tiba yang mana penulis ingin memberi beberapa pandangan mengenai kuasa ditampilkan Honda BRV.

Jika anda seorang ‘kaki lumba’ jangan mengharap untuk mendengar ‘ngauman’ Vtec daripada kenderaan ini.

Bagaimanapun, tidak dinafikan ia menjanjikan satu pemanduan yang selesa dengan kawalan memuaskan.

Penulis juga menguji kenderaan ini melalui jalan berbukit dengan membawa tujuh penumpang.

Agak mengecewakan memandangkan kenderaan ini dirasai sedikit ‘letih’ untuk mendaki, mungkin situasi ini tidak berlaku jika bilangan penumpang dikurangkan.

Dalam fikiran penulis BRV boleh diandaikan sebuah kenderaan yang mempunyai gabungan DNA Jazz, City dan Civic (FD).

Justeru, selepas beberapa hari bersama BRV penulis dapat simpulkan ia sebagai sebuah kenderaan yang sangat praktikal untuk keluarga.

Tidak terlalu ‘power’ tetapi sepadan dengan harga ditawarkan sekaligus mampu dimiliki kebanyakan individu.

Tidak hairan setakat artikel ini ditulis, Honda BRV menjadi SUV jenama import terlaris di pasaran selepas Toyota Avanza.

[thb_image_slider thb_equal_height=”true” images=”472253,472250,472251,472249,472248,472247,472244,472252″]

Volkswagen Tiguan R-Line, SUV ‘boy racer’ berkeluarga

VOLKSWAGEN Tiguan berada dalam pasaran automotif Malaysia sejak tahun 2008.

Ketika itu, Tiguan generasi pertama gagal menarik perhatian saya. Reka bentuk model ini boleh dikatakan langsung tidak menyerlahkan ia sebagai sebuah jentera yang ‘segak’.

Lapan tahun berlalu, Volkswagen memperkenalkan pula Tiguan MK2 di Malaysia.

Sedikit ‘bergaya’ namun, masih kelihatan seperti sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) tipikal yang hanya sesuai untuk individu berkeluarga.

Disebabkan itu juga, Tiguan masih gagal menarik perhatian ramai orang terutama golongan muda.

Bagaimanapun, usaha Volkswagen untuk melakukan penambahbaikan terhadap model Tiguan tidak terus terhenti.

Terbaharu, jenama itu memperkenalkan Tiguan Allspace R-Line yang kelihatan semakin ‘garang’.

Tiguan Allspace R-Line juga sesuai untuk kegunaan 'santai'. - Foto oleh EnGear

Tiguan Allspace R-Line lebih padu, jitu

Pada asalnya, enjin 1.4 Tsi yang dipadankan pada Volkswagen Tiguan ini sudah cukup memadai.

Namun, setelah memandu kereta ini untuk beberapa hari barulah saya faham tujuan variasi R-Line ini dipadankan dengan enjin 2.0 Tsi.

Pertama sekali, rupa luaran Tiguan R-Line ini sememangnya sangat ‘menawan’ apatah lagi dipadankan dengan bodykit lebih ‘garang’.

Lampu belakang jenis diod pemancar cahaya (LED) menyerlahkan lambang kemegahan selain turut memiliki rim bersaiz 19 inci.

Bahagian dalam pula, kenderaan asal Jerman ini sememangnya kelihatan kemas dengan odometer digital serta mempunyai skrin sesentuh yang besar.

Selain itu, pemasangan Apple CarPlay turut memudahkan pemandu menggunakan sistem navigasi dan lain lain fungsi.

Tiguan Allspace R-Line juga lebih ‘panjang’ sekaligus memberi keselesaan kepada pamandu dan penumpang.

Jadi, perlukah Volkswagen mengeluarkan enjin 2.0 ini memandangkan enjin 1.4 sudah memadai?

Saya yakin, jawapannya “perlu”.

Ini kerana Tiguan R-Line ini mempunyai satu ruang khas yang dinantikan oleh kebanyakan peminat Volkswagen.

Istilah 'Allspace' membuktikan kenderaan ini memiliki ruang dalaman sangat luas.

Ruang dalaman Tiguan Allspace R-Line

Bayangkan jika pengguna Volkswagen Golf GTI sudah terbiasa dengan kelajuan kenderaan itu.

Pastinya, individu itu ingin memiliki kuasa yang sama pada Tiguan R-Line.

Tanpa ragu-ragu, saya yakin Tiguan R-Line layak menjadi pengganti kepada Golf GTI bagi mereka yang berkeluarga.

Apabila anda memandu kereta ini, ia sangat selesa dan langsung tidak merasakan ia sebuah SUV.

Kotak gear DSG 7 kelajuan turut membantu pecutan dan kelancaran penukaran gear.

Berdasarkan pengalaman saya, Tiguan R-Line amat berbaloi untuk dimiliki.

Renault Koleos 2021 lebih premium, menawan!

BERITA baik kepada anda yang sedang tercari-cari kenderaan jenis utiliti sukan (SUV).

Pengedar sah Renault, TC Euro Cars (TCEC) hari ini mengumumkan satu lagi siri SUV terbaharu keluaran syarikat itu berada di pasaran Malaysia.

Model terbaharu Renault Koleos 2021 kali ini ditampilkan lebih elegan selain mengutamakan ciri-ciri kekemasan dalaman untuk keselesaan pemandu dan para penumpang.

Jadi, apa yang menarik dengan SUV Renault Koleos 2021 yang ditampilkan kali ini?

Tidak perlu menggunakan tangan bagi membuka pintu bonet belakang. Cukup sekadar meletakkan kaki di bawah kenderaan.

Renault Koleos 2021 dilengkapi dengan enjin petrol 2.5 liter mampu memberikan 171PS dengan capaian tork maksimum 226Nm.

Enjin yang digabungkan dengan transmisi automatik X-Tronic CVT juga memberikan keseimbangan prestasi selain kecekapan pengendalian pemanduan.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan ruang kabin yang luas selain sistem navigasi canggih menerusi skrin layar sentuh potret bersaiz 8.7 inci.

Saiz monitor yang besar memudahkan pemandu menggunakan sistem navigasi.

Terdapat tiga jenis varian yang ditawarkan iaitu Koleos, Koleos Signature dan Koleoes Signature Plus.

Varian Signature dan Signature Plus dilengkapi dengan sunroof panoramik elektrik sekaligus menambahkan sentuhan premium.

Apa yang menarik, varian Signature dan Signature Plus juga dilengkapi ciri-ciri mewah lain termasuk tempat duduk depan berventilasi dengan penyesuaian panjang kusyen dan sandaran kepala lebih lebar.

Pemandu pada masa sama turut memiliki kelebihan dengan kerusi yang dilengkapi fungsi urutan!

Setakat ini, terdapat lima warna yang ditawarkan iaitu putih, merah, hitam, perak dan hitam amethyst.

Harga yang ditawarkan bagi varian Koleos di Semenanjung Malaysia adalah RM181,885.68, Koleos Signature (RM201,086.84) dan Koleos Signature Plus (RM206,886.84).

Harga ditawarkan adalah bagi pembeli individu dan tidak termasuk insuran.

Fisker Automative terima lebih 14,000 tempahan bagi SUV elektrik Fisker Ocean

FISKER Automative yang merupakan antara syarikat pengeluar kenderaan elektrik terbesar dunia memaklumkan telah menerima lebih 14,000 tempahan bagi model SUV, Fisker Ocean.

Syarikat asal Amerika Syarikat (AS) itu memaklumkan, terdapat lebih 80 peratus tempahan datangnya dari negara Uncle Sam sementara baki selebihnya adalah daripada pelanggan menetap di Kanada dan Eropah.

Mula dikenali sejak muncul kali pertama di Pameran Auto Antarabangsa Amerika Utara pada 2008, Fisker Automative hanya berjaya melakukan penghantaran pertama kepada pelanggan tiga tahun kemudian.

Bagaimanapun, syarikat itu kini semakin melebar sayap dalam pembuatan kenderaan elektrik selain menjadi ‘buruan’ kepada mereka yang berduit.

Jadi, tidak hairan jika Fisker Automotive terkenal sebagai jenama mewah dalam penghasilan jentera elektrik berkuasa penuh.

Mazda CX-5, buruan pencinta SUV!

Memperkatakan mengenai segmen SUV, Mazda antara syarikat pengeluar kenderaan yang tampil kompetetif dengan model CX-5.

Gaya moden dan sporty menjadikan Mazda CX-5 sentiasa ‘diburu’ oleh kebanyakan peminat kenderaan segmen SUV.

Jadi, apakah kelebihan yang terdapat pada Mazda CX-5?

Mazda CX-5 didatangkan dengan pelbagai ciri menarik termasuk Monitor LCD 7.0 inci, sunvisor, Dual Climate Control Air, panel instrumen illuminasi, cruise control dan banyak lagi.

Kerusi ruang hadapan pula cukup selesa untuk pemanduan memandangkan ia menyokong badan di bahagian pinggang untuk lebih keselesaan. Selain itu, Ia juga dilengkapi dengan stereng boleh laras untuk sudut dan capaian supaya lebih selesa selain memberi penguasaan menyeluruh kepada pemandu.

Reka bentuk luaran Mazda CX-5 juga agak ringkas yang secara tidak langsung menampakkan ia lebih eksklusif. Pada masa sama, rekaan ini turut digunakan pada beberapa model Mazda lain yang boleh dianggap sebagai satu ‘konsep rekaan keluarga.’

Sementara itu, CX-5 adalah satu-satunya model yang menggunakan rekaan seperti jaring pada bahagian dalam gril berwarna hitam sekaligus membuatkan logonya kelihatan seperti terapung!

Sejauh mana keselesaan pemanduan Mazda CX-5?

Berdasarkan pemerhatian ramai, Mazda CX-5 tidak hanya mengutamakan keselesaan semasa memandu tetapi turut mengutamakan ciri-ciri keselamatan.

Ini dibuktikan dengan ciri-ciri keselamatan seperti:-

  • 6 SRS (Supplementary Restraint System)
  • Airbags
  • 3-point seatbelts & headrests on all seats
  • Antilock Brake System (ABS)
  • Electric Brakeforce Distribution (EBC)
  • Emergency Brake Assist (EBA)
  • Dynamic Stability Control (DSC)
  • Traction Control System (TCS)
  • Tire Pressure Monitoring (TPM) System
  • Lane-keep Assist system (LAS)
  • Idling stop system Mazda (i-STOP)
  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Lane Departure Warning System
  • Blind Spot Monitoring System (BSM)
  • Smart City Brake Support (SCBS)

 

 

Ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada model Mazda CX-5 amat mengagumkan selain mampu memberi keselesaan menyeluruh kepada pemandu dan penumpang. — Foto ihsan Facebook/Mazda CX-5 Malaysia

Mazda sememangnya serius mengenai tahap keselamatan, ini dapat dilihat dengan teknologi keselamatan lanjutan i-ActivSense yang membantu pemandu untuk mengelak kemungkinan bahaya dan meminimumkan kerosakan akibat kesan pelanggaran.

Sistem SCBS pula dapat memantau kedudukan kenderaan di bahagian hadapan bagi mengelak kemungkinan pelanggaran. Sekiranya risiko tinggi dikesan, ia memberi amaran bunyi ‘bip’ untuk respon yang lebih cepat. Sekiranya pemandu tidak memberi sebarang respon, SCBS akan diaktifkan secara automatik.

Driver Attention Alert (DAA) pula berfungsi untuk mengurangkan kemalangan yang disebabkan oleh keletihan pemandu dan BSM memberi amaran kehadiran kenderaan dari arah belakang dan atau bersebelahan.

Beralih kepada pengendalian, Mazda CX-5 didatangkan dengan sistem Electric Power Steering Assist (EPSA) yang dapat memberi maklum balas setara dengan Hydraulic Power Steering (HPS). Sistem ini membuatkan stereng menjadi ringan dan boleh dikendalikan hanya dengan menggunakan hujung jari sahaja!

Justeru, tidak dapat disangkal Mazda CX-5 adalah sebuah SUV yang berbaloi untuk dimiliki.

Jika anda seorang pencinta SUV, Mazda CX-5 seharusnya berada dalam check list memandangkan rating yang diberikan adalah 7.25/10.

Kepada pencinta SUV…selamat ‘memburu!’