Sehingga kini, Ford sudah pun mempunyai beberapa buah model kenderaan elektrik yang dijual di pasaran tertentu, antaranya ialah Ford Mustang Mach-E dan Ford F-150 Lightning.
Biarpun kedua-dua model tersebut merupakan antara kenderaan yang mahal harganya di kalangan produk Ford, namun harga jualan yang tinggi tidak semestinya menjamin pulangan keuntungan yang tinggi kepada syarikat tersebut.
Ini kerana menurut laporan, sepanjang tahun 2023 Ford mengalami kerugian bernilai $4.7 bilion (RM22.39 bilion) daripada perniagaan EV mereka (Model e), termasuklah $1.57 bilion (RM7.48 bilion) sepanjang suku keempat tahun yang sama.
Untuk mengelakkan kerugian yang berpanjangan, Ford perlu menyemak semula strategi EV yang bakal digunakan kelak.
CEO-nya, Jim Farley mendedahkan satu pasukan rahsia telah dibentuk untuk membangunkan platform EV kos rendah yang lebih kecil, dan boleh digunakan untuk pelbagai jenis kenderaan.
Platform baharu ini direka bertujuan untuk memberikan saingan secara terus kepada kereta-kereta elektrik Tesla dan syarikat automotif China yang lebih mampu milik di dalam pasaran.
Jim Farley masih percaya pasaran EV akan terus berkembang, namun penggunaan yang lebih meluas bagi pengguna pasaran massa tidak akan terjadi selagi kos EV tidak sama paras dengan kenderaan tradisional.
Jika anda seorang pemilik kereta elektrik Tesla, dan tinggal di kawasan yang mempunyai akses fasiliti pengecasan yang mencukupi, hidup anda tidak akan berdepan dengan masalah.
Namun, sekiranya anda bermati-matian mahu menjadi seorang pemilik Tesla yang duduk di kawasan luar bandar, ini merupakan satu solusi yang mungkin berkesan.
Seorang pemilik Tesla Model Y yang juga pemilik syarikat DartSolar di Amerika Syarikat sedang membangunkan panel solar untuk dipasangkan pada model EVnya.
Terdapat sehingga sembilan panel solar 175 watt yang dipasangkan pada bahagian atas bumbung, dengan keluasan menyamai saiz tipikal petak parkir di USA.
Setiap panel solar itu dihubungkan menerusi tiub teleskopik gentian karbon, dan boleh dilipat kembali apabila tidak digunakan.
Menurut laporan, dengan berjemur di bawah sinar matahari selama lima jam mampu menambah jarak gerak sejauh 32 km, dengan berat keseluruhan tetapan tersebut tidak mencapai 75 kg.
DartSolar juga kini sedang membangunkan unit prototaip kedua yang menggantikan peranan komponen kayu kepada gentian karbon, dengan kos sekitar $4,000 (~RM18,870) apabila sedia untuk diproduksikan.
Pihak berkuasa China mengarahkan Tesla untuk memanggil semula kira-kira 1.6 juta kenderaan elektrik di negara tersebut.
Tindakan panggil semula itu bertujuan untuk mengemaskini semula fungsi berkaitan bantuan pemanduan Autopilot bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Ini kerana sistem Autosteer yang terdapat dalam fungsi Autopilot mudah untuk disalahguna oleh kebanyakan pemandu Tesla.
Penyelesaiannya ialah dengan menambah amaran berbentuk audio dan visual sewaktu fungsi tersebut diaktifkan atau dimatikan.
Menurut laporan Reuters, kempen panggil semula itu melibatkan semua model Tesla yang dijual di China, termasuklah Tesla Model S, Model X, Model 3 dan Model Y.
Fungsi Autopilot itu akan ditambah baik menerusi kemaskini over-the-air (OTA), di mana pemilik tidak perlu menghantar kereta masing-masing ke pusat servis Tesla.
Sementara itu, Tesla turut mengemaskini perisian penguncian pintu melibatkan 7,538 unit Model S dan Model X di China, disebabkan kebimbangan pintu yang boleh terbuka secara automatik sewaktu kemalangan.
Sementara Tesla mengekalkan kedudukannya sebagai pengeluar kenderaan elektrik (EV) terbesar di dunia tahun 2023, pesaingnya BYD mencatatkan rekod baharu sebagai pengeluar kenderaan tenaga baharu di peringkat global.
Sepanjang tahun 2023, BYD berjaya mengedarkan kira-kira 3,024,417 unit kenderaan tenaga baharu, merangkumi EV, hibrid dan kenderaan berkuasa hidrogen.
Pencapaian ini sekaligus meletakkan BYD di dalam senarai 10 pengeluar kenderaan terbesar di dunia.
Daripada jumlah tersebut, 1.57 juta unit terdiri daripada kenderaan elektrik (sebagai perbandingan, Tesla menjual 1.8 juta unit), manakala 1.4 juta lagi terdiri daripada kenderaan plug-in hybrid (PHEV).
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, BYD secara konsisten merapatkan jurang yang ditinggalkan oleh Tesla.
Pada tahun 2022, angka jualan BYD kurang 400,000 unit berbanding Tesla, di mana perbezaan antara BYD dan Tesla berjaya dikurangkan lagi menjadi hampir separuh pada tahun 2023.
Malah pada suku keempat tahun 2023, BYD berjaya memintas Tesla dari segi jualan EV, memberikan petanda cabaran besar bakal menanti pengeluar EV dari Amerika Syarikat itu untuk terus menjadi peneraju pada tahun ini.
TESLA baru menyiarkan laporan angka pengeluaran dan penghantaran kenderaan bagi 2023. Untuk suku keempat 2023, mereka mengeluarkan 494,989 kenderaan dan menyerahkan 484,507 kenderaan kepada pelanggan.
Ini menjadikan pengeluaran keseluruhan Tesla bagi 2023 sebanyak 1,845,985 kenderaan manakala penghantaran sebanyak 1,808,581 unit.
Kilang pemasangan Tesla. Gambar oleh: CNBC
Pada 2022, pengeluar kenderaan elektrik (EV) itu melaporkan pengeluaran sebanyak 1.37 juta kenderaan dan penyerahan 1.31 juta unit kenderaan.
Jadi, angka baharu 2023 tadi menunjukkan peningkatan pengeluaran sebanyak 35 peratus dan penyerahan sebanyak 38 peratus berbanding tahun ke tahun.
Dalam satu laporan pada Oktober 2023 eksekutif Tesla telah memberi jangkaan bahawa syarikat itu akan membuat sekurang-kurangnya 1.8 juta kenderaan untuk sepanjang tahun. Tetapi angka ini merupakan perubahan dari 2 juta yang dijangka sebelumnya.
Tesla mengeluarkan 476,777 unit Model 3 dan Model Y pada suku keempat dan melaporkan 461,538 penyerahan untuk model-model ini.
Mereka tidak mendedahkan angka bagi Model S dan X, tetapi mengkategorikannya dalam “other models”.
Pada suku keempat 2023 juga, Tesla menjual versi diperbaharui untuk Model 3 sedan iaitu Highland, di beberapa pasaran. Kemudian pada Disember mereka juga telah memulakan penghantaran EV terbaharu, iaitu Cybertruck di Amerika Syarikat (AS).
Juga tiada angka didedahkan bagi Cybertruck dan Semi, iaitu lori komersial heavy-duty yang dihasilkan dalam jumlah yang kecil di kilang bateri berdekatan Reno.
Pesaing terdekat Tesla di peringkat global ialah BYD, yang menjual 3.02 juta unit kenderaan tenaga baharu pada 2023. 1.6 juta adalah kenderaan BEV dan 1.4 juta adalah HEV.
TESLA mengalu-alukan mereka yang telah menempah Cybertruck untuk memilih Foundation Series, yang bermula pada USD120,000 (RM599,920) hingga USD135,000 (RM629,910). Jika anda pilih konfigurasi Foundation Series ini, anda mungkin dapat sebelum hujung bulan ini.
Foundation Series hanya terhad kepada 1,000 unit. Perincian tidak begitu banyak pada masa ini, tetapi ada beberapa ciapan di X (dahulunya Twitter) yang berkongsi maklumat lanjut. Tetapi sebelum itu, kita akan lihatkan berkenaan nama Foundation Series.
Foundation Series ialah sebuah buku sains fiksyen yang ditulis oleh Isaac Asimov. Musk pernah berkata siri ini antara kegemarannya untuk dibaca dan beliau juga menjadi peminat Asimov.
Buku-buku Foundation Series menceritakan berkenaan galaksi yang akan berlanggar. Seorang individu cuba menghalang perkara ini dari berlaku. Mungkin Musk meminati siri ini kerana beranggapan dirinya menjadi penyelamat dalam Foundation Series ini.
Menurut maklumat yang ditemui dari ciapan, forum, Facebook dan sebagainya, Tesla mula memberikan undangan untuk mereka yang menempah supaya memilih Foundation Series. Undangan itu bertulis:
“Sebagai pemegang tempahan awal, anda diundang menempah Cybertruck Foundation Series anda, dengan spesifikasi penuh dan mempunyai lencana ditempa laser edisi terhad, aksesori premium, alatan mengecas dengan Powershare, tayar all-terrain, Full-Self Driving, dan macam-macam lagi.”
Tesla menambah yang penghantaran telah bermula di California dan Texas dan mereka akan meneruskan lagi di “lebih banyak negeri pada 2024”. Hanya dua negeri buat masa ini, kedua-duanya dengan kilang Tesla.
Harga bagi Cybertruck Foundation Series ini ialah USD122,135 dan jika anda mahu ciri-ciri lain seperti range extender, perlu tambah lagi.
Cybertruck telah mula diserahkan dalam satu acara baru-baru ini dan kesemua 12 unit tersebut adalah Foundation Series. Jadi ada baki 988 unit.
TOYOTA merangkul gelaran jenama automotif paling bernilai di dunia 2023, untuk tahun kedua berturut-turut. Perkara ini disiarkan dalam laporan oleh Interbrand’s Best Global Brands 2023.
Pengeluar Jepun itu menduduki tangga keenam dari keseluruhan 100 jenama global. Hanya tiga jenama berada dalam kedudukan 10 teratas, dua lagi adalah Mercedes-Benz dan BMW.
Di luar kedudukan 10 teratas, jenama automotif yang turut tersenarai adalah Tesla, Honda, Hyundai, Audi, Porsche, Volkswagen, Ford, Nissan, Ferrari, dan Kia. Secara keseluruhan, 13 jenama automotif masuk dalam senarai bagi 2023, menurun berbanding 15 jenama pada 2022.
Menurut Interbrand, setiap jenama dinilai dari tiga perkara utama: prestasi kewangan produk atau perkhidmatan, peranan dalam keputusan pembelian, serta kekuatan jenama untuk membuatkan pelanggan kekal dengannya.
Dengan nilai jenama USD64.5 bilion (RM301.4 bilion), Toyota kekal di tangga teratas bagi segmen automotif. Ini diikuti dengan Mercedes-Benz (USD61.4 bilion bersamaan RM286.92 bilion).
Sementara itu, nilai jenama BMW sebanyak USD51.2 bilion (RM239.26 bilion) cukup untuk menempatkannya di tangga ketiga, dan juga memotong Tesla dengan nilai USD49.9 bilion (RM233.18 bilion).
Honda kekal di tangga kelima, diikuti dengan Hyundai dan Audi. Porsche merupakan satu lagi jenama Jerman yang mencatatkan penambahbaikan dalam nilai jenama dengan memotong Volkswagen dan Ford untuk duduk di tempat kelapan.
SEJAK diumumkan buat pertama kali pada November 2019, Tesla Cybertruck terus menarik perhatian pemerhati dan pemain industri bukan sahaja dengan rekaannya yang pelik tetapi juga dengan angka-angka luar biasa.
Kini, trak pikap EV itu telah dilancarkan secara rasmi ke pasaran bersama-sama dengan spesifikasi lengkapnya. Berikut adalah apa yang anda perlu tahu mengenai Cybertruck:
Ada 3 varian untuk dipilih
Cybertruck akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Rear-Wheel Drive, All-Wheel Drive dan Cyberbeast.
Jumlah kuasa varian Rear-Wheel Drive tidak didedahkan, namun menurut Tesla varian ini boleh memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 6.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 180 km/j. Jarak pandu adalah sekitar 402 km.
Varian All-Wheel Drive mempunyai motor elektrik berkembar yang menjana 608 PS dan 10,080 Nm. Pecutan 0-96 km/j dilakukan dalam 4.1 saat manakala kelajuan maksimum adalah sama. Jarak pandu adalah 547 km atau 756 km dengan range extender.
Cyberbeast pula dilengkapi dengan tiga motor elektrik iaitu satu pada gandar hadapan dan selebihnya pada gandar belakang. Dengan 857 PS dan 13,959 Nm, ia memerlukan 2.6 saat untuk mencapai kelajuan 96 km/j dan boleh memecut sehingga 209 km/j. Jarak pandu adalah 515 km atau 708 km dengan range extender.
Jarak pandu tak cukup jauh? Range extender kan ada…
Ramai menyangkakan bahawa Tesla akan menggunakan enjin pembakaran dalaman sebagai pemanjang jarak namun sebenarnya range extender yang dimaksudkan adalah bateri pak tambahan sebesar kotak alat yang diletakkan pada bahagian belakang trak.
Ia ditawarkan sebagai aksesori tambahan namun hanya untuk varian AWD dan Cyberbeast.
Boleh tahan besar Cybertruck ni
Untuk pengetahuan anda, Cybertruck mempunyai ukuran panjang 5,682 mm, lebar 2,413 mm, tinggi 1,790 mm dan jarak roda 3,810 mm.
Bahagian bed pula berukuran 1,829 mm panjang dan 1,219 mm lebar, serta mempunyai ruang storan berkapasiti 1,897 liter.
Kapasiti muatan dan tunda
Ketiga-tiga varian Cybertruck boleh menampung berat muatan sehingga 1,134 kg. Bagaimanapun, kapasiti menunda berbeza mengikut varian iaitu 3,402 kg untuk varian RWD dan 4,990 kg untuk varian AWD dan Cyberbeast.
Walaupun nampak mengagumkan, angka-angka ini sebenarnya lebih rendah berbanding apa yang dijanjikan oleh Tesla sebelum ini.
Badan kalis peluru
Cybertruck sesuai untuk dimiliki oleh golongan elit dan bangsawan yang mempunyai banyak musuh kerana trak ini mempunyai badan exoskeleton dengan panel keluli tahan karat yang kalis peluru.
Ini bukan ‘syok sendiri’ kerana dakwaan itu telah pun dibuktikan dalam satu demonstrasi di mana badan Cybertruck ditembak bertubi-tubi dengan senapang Thompson.
Bukan itu sahaja, cermin Cybertruck (yang pecah selepas dibaling bola besi semasa demonstrasi pada 2019) boleh menahan impak bola besbol pada kelajuan 113 km/j.
Radius putaran lebih kecil dari Model S
Cybertruck menggunakan sistem steer-by-wire yang boleh mengubah nisbah stereng berdasarkan kelajuan kenderaan dan faktor-faktor lain.
Selain itu, ia juga didatangkan dengan kawalan stereng roda belakang dan pemvektoran tork. Ini membantu memberi Cybertruck radius putaran yang lebih kecil berbanding Model S.
Harga
Di Amerika Syarikat, harga jualan Cybertruck bermula dari USD60,990 (RM285,036) untuk varian RWD, USD79,990 (RM373,833) untuk varian AWD dan USD99,990 (RM467,303) untuk Cyberbeast.
Di Malaysia, kita sudah pun mempunyai jaringan pengecasan Tesla Supercharger V3.
Di beberapa tempat di negara Amerika Syarikat seperti Nevada, Alabama dan Oregon, pengguna dan pemilik Tesla kini disediakan dengan kemudahan Supercharger V4 yang lebih terkini, dan membawakan rekaan badan yang lebih solid.
Berbeza dengan Supercharger V3, Supercharger V4 kini menyediakan penyesuai CCS-1 (Magic Dock), pembaca kad kredit digital, skrin paparan yang kompak, serta kabel pengecas sepanjang 3 meter.
Kemudahan penyesuai Magic Dock ini kelak membolehkan pemilik EV bukan berjenama Tesla boleh mengecas kenderaan elektrik mereka.
Berdasarkan video demonstrasi oleh YouTuber Kim Java, Supercharger V4 ini mampu mengecas bateri Tesla Model 3 dari SoC 20 hingga 60 peratus dalam tempoh masa 10 minit sahaja.
Buat masa ini, Supercharger V4 masih lagi menarik kuasa daripada kabinet V3, namun terdapat potensi untuk pengecasan yang lebih pantas pada masa akan datang.
Ini kerana secara teorinya, Supercharger V4 mempunyai keupayaan pengecasan setinggi 615 kW berdasarkan pelekat spesifikasi yang terdapat pada badan pengecas tersebut.
SYARIKAT solar kediaman terkemuka, Verdant Solar telah mengumumkan pemberian hadiah berupa sebuah Tesla Model Y bernilai RM204,000 untuk rakyat Malaysia yang memasang panel solar di kediaman mereka.
Menurut syarikat itu, pemberian hadiah tersebut adalah bertujuan untuk menggalakkan lagi penggunaan tenaga solar PV di peringkat kediaman.
Sehingga 2023, Verdant Solar telah memasang panel solar melebihi 18 megawatt puncak (MWp), jumlah yang boleh menguasakan 2,000 isi rumah.
Pencapai mengagumkan ini menyumbang kepada pengurangan karbon dioksida sebanyak 15,700 tan setahun dan penjimatan kos elektrik melebihi RM12 juta.
Berikut adalah langkah-langkah penyertaan untuk pengguna baharu:
SEDAN elektrik yang menjadi bualan ramai di Malaysia sejak beberapa bulan yang lalu iaitu Tesla Model 3 akhirnya dilancarkan ke pasaran tempatan secara rasmi.
Versi facelift yang juga dikenali sebagai Highland ini boleh didapati dalam dua varian iaitu Standard Range Rear Wheel Drive (RWD) yang dijual pada harga RM189,000 dan Long Range All-Wheel Drive (AWD) yang berharga RM218,000.
Kedua-dua varian didatangkan dengan waranti asas kenderaan selama 4 tahun/80,000 km. Waranti bateri dan unit pacuan pula adalah 8 tahun/160,000 km untuk varian Standard dan 8 tahun/192,000 km untuk Long Range.
Model 3 Standard Range dilengkapi dengan motor elektrik tunggal pada gandar belakang dan boleh dipandu sejauh 513 km dengan satu cas penuh berdasarkan kitaran WLTP.
Dari segi prestasi, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 201 km/j.
Sementara itu, varian Long Range mempunyai pek bateri lebih besar yang menawarkan jarak pandu yang lebih jauh iaitu 629 km.
Dengan motor elektrik berkembar yang secara langsung memberikan ia pacuan AWD, varian ini hanya memerlukan 4.4 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j. Bagaimanapun, kelajuan maksimum sama dengan Standard Range iaitu 201 km/j.
Untuk pengecasan, Model 3 Standard Range menyokong pengecasan pantas DC sehingga 170 kW manakala varian Long Range boleh menampung sehingga 250 kW.
Menurut Tesla, stesen pengecas Supercharger boleh memberikan jarak pandu sejauh 282 km dalam masa 15 minit sahaja.
Dari segi penampilan, Model 3 mendapat rekaan yang lebih aerodinamik dengan kadar pekali seretan serendah 0.219 Cd. Rekaan lampu hadapan lebih langsing, manakala lampu belakang menampilkan bentuk C yang lebih menonjol.
Varian Standard Range didatangkan dengan rim Photon 18 inci, manakala varian Long Range pula mendapat rim Nova 19 inci yang boleh didapati dengan harga tambahan sebanyak RM7,500.
Warna Pearl White ditawarkan secara standard tanpa sebarang bayaran tambahan, manakala warna Solid Black dan Deep Blue Metallic memerlukan tambahan sebanyak RM5,000.
Untuk warna Stealth Grey, pelanggan perlu membayar RM7,500 manakala warna Ultra Red pula berharga RM11,000.
Di dalam, upholsteri kulit berwarna hitam didatangkan secara standard, manakala upholsteri hitam dan putih boleh dipesan pada harga RM5,000.
Selain skrin sentuh berukuran 15.4 inci pada bahagian hadapan, Model 3 kini didatangkan dengan skrin sentuh lapan inci untuk penumpang belakang.
Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk dua pengecas wayarles, pencahayaan ambien, fungsi pemanas pada tempat duduk hadapan, belakang dan stereng, sistem audio dengan 17 pembesar suara, dua subwoofer dan dua amplifier, serta kaca akustik 360 darjah.
Sistem Basic Autopilot disertakan secara standard, manakala Enhanced Autopilot dengan Auto Lane Change dan Autopark ditawarkan pada harga RM16,000.
Mereka yang inginkan sistem Enhanced Autopilot dengan keupayaan Full Self Driving boleh mendapatkannya pada harga RM32,000.
TESLA dijangkakan akan memperkenalkan Model Y facelift pada tahun hadapan. Diberi kod nama Juniper, ia bakal tampil dengan reka bentuk lebih segar serta beberapa ciri lain seperti yang diperkenalkan menerusi Model 3 ‘Highland’.
Namun sebelum versi facelift itu muncul, Tesla nampaknya telah memberikan sedikit kemaskini terhadap Model Y untuk pasaran China.
Kemaskini ini mungkin tidak signifikan seperti Juniper, namun ia boleh dikatakan agak penting kerana ia memberikan peningkatan dari segi prestasi dan jarak pandu.
Untuk Model Y RWD, jarak pandunya kini meningkat kepada 554 km (ujian CLTC), iaitu 9 km atau 1.7 peratus lebih jauh berbanding sebelum ini.
Versi Long Range AWD pula mempunyai jarak pandu sejauh 688 km, menunjukkan kenaikan sebanyak 28 km atau 4.2 peratus. Jarak pandu Performance pula tidak berubah.
Bukan itu sahaja, versi RWD juga boleh melakukan pecutan 0-100 km/j lebih pantas dengan catatan masa 5.9 saat, kurang 1 saat berbanding sebelum ini.
Dari segi penampilan, bahagian luaran Model Y ini boleh dicam menerusi rim Gemini 19 inci berwarna hitam yang menggantikan warna perak pada model terdahulu.
Ruang dalaman pula tampil lebih meriah dan kemas menerusi kehadiran sistem pencahayaan RGB dan material tekstil pada papan pemuka.
Apa yang lebih menarik, harga jualan Model Y yang dikemaskini ini tidak berubah iaitu 269,900 yuan (RM176,818) untuk RWD, 299,900 yuan (RM196,472) untuk Long Range AWD dan 349,900 yuan (RM229,229) untuk Performance.
BYD dijangka mengatasi Tesla sebagai pengeluar kenderaan elektrik (EV) terbesar di dunia, memandangkan jualan pengeluar China itu semakin meningkat.
Ia kebetulan pula dengan sedikit isu di Tesla dimana penutupan sementara kilang menjurus kepada penurunan pengeluaran syarikat itu, kali pertama dalam masa lebih setahun.
Foto: carspiritpk.com
BYD menjual 431,603 kenderaan elektrik sepenuhnya dalam suku ketiga berakhir 30 September, peningkatan 23 peratus dari suku kedua.
Tesla pula mengeksport 435,059 kenderaan di seluruh dunia dalam suku ketiga – dengan perbezaan 3,456 unit antara kedua-dua pengeluar, paling dekat setakat ini.
Walaupun dikenali dengan menjual kenderan mampu milik kepada pasaran, BYD juga mempunyai dua jenama EV mewah, Yangwang dan Fang Cheng Bao. Model paling mampu milik iaitu Seagull dan Dolphin berjaya menyaingi pesaing-pesaingnya.
BYD kini di dalam landasan mencapai angka jualan tiga juta unit untuk tahun ini.
Tesla pula ketinggalan pengeluarannya sebanyak kira-kira 20,000 unit, kerana kilang-kilangnya dalam persediaan mengeluarkan Model 3 yang dikemas kini dan Cybertruck. Elon Musk masih yakin Tesla mampu mencapai sasaran 1.8 juta unit mereka untuk tahun ini.
LOGO Tesla dilihat sudah dinaikkan dan dipasang di depan bangunan ibu pejabat serantau mereka di Cyberjaya. Gambar itu dikongsi oleh Richard Ker di Facebook miliknya.
Terdapat gambar waktu siang dan malam menunjukkan kerja-kerja pemasangan dan menaikkan logo besar berbentuk huruf T dan tulisan “TESLA” tersebut.
Tesla pada Julai mengumumkan akan menubuhkan ibu pejabat dan pusat perkhidmatannya yang tercanggih di Cyberjaya, Selangor.
Pejabat itu akan digunakan untuk semua operasi korporat, pemasaran, latihan, aktiviti sokongan pelanggan dan perkhidmatan kenderaan, dilengkapi dengan alat diagnostik termaju dan kakitangan dengan juruteknik Tesla yang terlatih.
Ia juga akan menubuhkan pusat pengalaman di kawasan metropolitan utama di seluruh Malaysia, memberikan pelanggan pengalaman secara langsung memandu model EV terkini.
Dalam laporan pada Julai itu juga, Tesla bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia berkata, langkah itu adalah tindak balas langsung kepada inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Memandangkan Tesla berazam untuk memenuhi pelbagai keperluan dan pilihan rakyat Malaysia, lebih banyak modelnya akan diperkenalkan pada masa hadapan.
“Pelanggan Malaysia kini boleh mengakses laman sesawang rasmi Tesla untuk membuat pesanan mereka,” katanya.
Tesla pada masa ini telah melancarkan dua model di Malaysia dalam masa beberapa bulan, bermula dengan Model Y dan terkini, Model 3.
BULAN lepas, Tesla Malaysia mengumumkan supercharger mereka di Pavilion Kuala Lumpur telah diaktifkan, dengan ikon dalam peta rangkaian di laman web menyala merah.
Tesla berkata semasa pelancaran bahawa mereka mempunyai 12 supercharger di negara ini. Kini mereka telah menambah dua lagi lokasi baharu, iaitu di Petaling Jaya, Selangor dan Alor Gajah, Melaka.
Supercharger di Petaling Jaya menjadi yang kedua di bandar raya itu. Supercharger di Alor Gajah pula sesuatu yang penting, ia bermakna pemilik-pemilik boleh memandu ke selatan tanah air dengan lebih mudah.
Belum ada maklumat terperinci mengenai lokasi-lokasi lain, tetapi pertambahan rangkain pengecas mereka setakat ini nampak menjanjikan dan agak cepat.
Seperti disebut, lokasi pengecas Tesla Supercharger di Pavilion Kuala Lumpur merupakan satu-satunya yang telah diaktifkan, dengan lapan ruang pengecas yang mampu menyokong sehingga 250kW.
Kadar pengecasan ialah RM1.25/kWh, dan terdapat juga bayaran idle (menunggu) sebanyak RM4 per minit.
TESLA Malaysia nampaknya semakin giat menapakkan diri mereka ke negara ini. Dalam perkembangan terbaharu, Model 3 pula menjadi model kedua bakal diperkenalkan, dan ia kini sudah boleh mula ditempah!
Tesla Model 3 boleh menjadi milik anda pada harga bermula RM189,000 untuk RWD, dan bermula RM218,000 bagi AWD (Long Range).
Tesla Model 3 Rear Wheel Drive
Bateri: Standard Range
Jarak pemanduan: Sehingga 513km
Pecutan 0-100: 6.1 saat
Pacuan: Roda belakang
Berat: 1,765kg
Spesifikasi lain: Lima tempat duduk, paparan skrin tengah 15.4-inci, skrin belakang 8-inci, rim 18- atau 19-inci, jarak kelegaan tanah 138mm.
Tesla Model 3 Dual Motor AWD (Long Range)
Bateri: Long Range
Jarak pemanduan: sehingga 629km
Pecutan 0-100: 4.4 saat
Pacuan: Dual Motor All-Wheel Drive
Berat: 1,828kg
Spesifikasi lain: Lima tempat duduk, paparan skrin tengah 15.4-inci, skrin belakang 8-inci, rim 18- atau 19-inci, jarak kelegaan tanah 138mm.
Sama seperti Tesla Model Y yang dilancarkan baru-baru ini, Model 3 juga pastinya hadir dengan lambakan pilihan yang kita boleh tambah. Kami jangkakan pelancaran Tesla Model 3 bakal dibuat tidak lama lagi, dalam suku keempat tahun ini juga.
Kami akan laporkan lagi perkembangan seterusnya sebaik kami mendapat maklumat. Apa pendapat anda dengan langkah agresif Tesla di Malaysia ini?
PEMINAT Tesla mempunyai banyak pilihan untuk meletakkan logo jenama kegemaran mereka. Kebanyakan orang mungkin pilih barangan seperti topi atau kemeja-T, tetapi e-shop rasmi Tesla di China mempunyai produk unik iaitu kotak pasir untuk kucing!
Menariknya, kotak pasir yang biasa digunakan untuk kucing membuang najis mereka ini mempunyai bentuk Cybertruck. Mungkin ini boleh dikatakan Tesla Cybertruck untuk kucing?
Kotak pasir Cybertruck ini diperbuat dari kadbod sepenuhnya dengan bentuk bersegi dan permukaan rata diinspirasikan dari trak pikap EV tersebut.
Kadbod tebal dengan lima lapisan itu kalis lembapan dan sesuai untuk si bulus anda mencakar atau menggaru. Sementara itu bahagian badan terbuka dengan tiga lapisan cukup kukuh untuk kucing anda duduk berehat di atasnya.
Kotak pasir Cybertruck ini mempunyai kapasiti 15kg (33 pound), dikira lebih dari mencukupi untuk menutupi bau-bau kurang menyenangkan dari sisa kucing.
Kotak pasir Tesla Cybertruck ini dijual pada harga RM56.67 dan memerlukan sedikit kerja untuk memasangnya.
Di laman e-shop yang sama di China juga, terdapat barangan lain seperti batang besi dengan logo Tesla yang boleh digunakan untuk dipanaskan dan dicop pada kayu atau daging burger.
TESLA Malaysia mengumumkan mereka yang membuat pembelian kenderaan akan mendapat Tesla Wall Connector bernilai RM2,800 secara percuma, tetapi tempahan perlu dibuat sebelum 31 Oktober 2023.
Tesla Wall Connector merupakan pengecas AC berjenama Tesla. Ia hadir dengan kabel sepanjang 7.3 meter dengan pengecas Type 2. Ia juga menyokong WiFi untuk pemantauan jarak jauh dan kemas kini perisian.
Terdapat terma dan syarat untuk tawaran ini. Pertamanya, Tesla Wall Connector mesti dipasang di alamat dalam boring tempahan kenderaan yang diberikan oleh Tesla Approved Installer. Ia juga tidak boleh dijual jika anda sudah mempunyai pengecas AC di rumah, kecuali anda mahu ‘mencabutnya’ dahulu.
Selain itu, untuk melayakkan anda mendapat Tesla Wall Connector itu, pemasangan mesti dibuat dalam masa tiga bulan selepas penyerahan kenderaan.
Kos pemasangan bernilai RM2,200 (RM2,500 di Sabah dan Sarawak) mesti ditanggung oleh pelanggan. Ini merangkumi peralatan seperti suis, pemutus litar, RCD, dan kotak pengagih.
Untuk kabel, ia berharga RM36 semeter bagi pendawaian standard, dan RM60 semeter untuk wayar bertutup.
Tesla Wall Connector di bawah program promosi ini hadir dengan jaminan 12 bulan oleh Tesla, selain jaminan tempoh sama untuk kerja-kerja pemasangan.
Jika pelanggan memohon Tesla Wall Connector tambahan untuk beberapa lokasi pula, mereka boleh membeli sehingga dua unit tambahan dari Tesla Store.
VIN (nombor identifikasi kenderaan) mesti diberikan semasa membeli pengecas ini, dan tidak boleh dibeli oleh orang yang bukan pelanggan.
TESLA Cybertruck baru dimulakan pengeluarannya dan hingga kini, terdapat lebih 1.9 juta tempahan. Memandangkan Tesla merancang untuk mengeluarkan sehingga 375,000 unit Cybertruck setiap tahun, ini bermakna tempoh menunggu kini mencapai lima tahun.
Tetapi mungkin ada juga antara mereka yang membuat tempahan akan membatalkan pembelian memandangkan bayaran tempahan cuma USD100 (RM456).
Cybertruck kini dikeluarkan di kilang Giga Texas dan mungkin akan dipasang juga di Giga Mexico apabila kilang itu siap dalam tempoh beberapa tahun lagi.
Menarik juga untuk dilihatkan sama ada Tesla Cybertruck akan ditawarkan di pasaran luar selain Amerika Syarikat (AS). Buat masa ini, anda yang berada di Eropah dan Asia boleh membuat pra-tempahan trak EV itu.
Cuma isunya ialah saiz Cybertruck yang besar dan berat itu akan menimbulkan beberapa masalah. Contohnya, sesetengah negara Eropah akan terpaksa mengklasifikasikan trak itu sebagai kenderaan komersil atau semi.
Dalam satu temu bual bersama Earnings Call, Elon Musk memetik akan ciri inovatif pada Cybertruck, dimana ianya tidak seperti kenderaan lain yang ada di jalan raya sekarang.
“Saya ingin tekankan bahawa Cybertruck mempunyai banyak teknologi baharu padanya, memang banyak. Ia tidak nampak seperti kenderaan biasa kerana ia memang bukan kereta biasa,” katanya.
Cybertruck mencatat satu juta pra-tempahan pada Mei 2021, bermakna tempahan meningkat hampir sekali ganda dalam tempoh dua tahun.