All posts by Amirul Hazmi

Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.

Diskaun 20 peratus untuk alat ganti Ford sempena Tahun Baharu Cina

ANDA pengguna kenderaan Ford dan akan memandu jauh untuk musim cuti akan datang? Berita baik, kerana Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) kini mengadakan promosi hujung tahun dan Tahun Baharu Cina bermula 1 Disember 2022 hingga 21 Januari 2023 depan.

Jika anda membuat temu janji servis sepanjang tempoh promosi ini, anda layak mendapat diskaun 20 peratus untuk komponen seperti penyerap hentak, pelapik brek, cecair brek, bateri, bilah penggilap cermin, hos radiator, dan cecair radiator.

Promosi ini sah untuk model-model terpilih sahaja. Ianya tidak merangkumi model Ranger, Raptor, dan Everest terkini.

Sebagai tambahan, semua pemilik Ford boleh mendapatkan pemeriksaan kenderaan 27-poin secara percuma bagi memastikan kereta anda berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

Ford juga berkata setiap alat ganti yang dibekalkan adalah asli dan datang dengan jaminan 12 bulan atau 20,000km (yang mana dahulu).

“Percutian dalam negara telah meningkat pasca pandemik ini. Dengan Krismas, Tahun Baharu dan Tahun Baharu Cina yang akan datang, lebih ramai yang akan bercuti. Diharapkan promosi ini dapat memastikan pelanggan kami sentiasa selamat di samping mendapat lebih penjimatan,” kata Turse Zuhair, Pengarah Urusan SDAC-Ford.

Anda boleh membuat temu janji servis dan penyelenggaraan di mana-mana pusat servis sah Ford seluruh negara iaitu Ara Damansara, Petaling Jaya, Juru, Butterworth, dan Kuching.

Tempahan temu janji juga boleh dibuat secara online dengan melawat laman web www.sdacford.com.my.

Modenas Z250 dan Ninja 250 ABS terima 5-bintang dari MIROS

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat MODENAS menerima penarafan lima bintang daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi model Ninja 250 ABS dan Z250 ABS.

Penarafan itu diberikan selepas kedua-dua motosikal itu menjalani ujian di bawah Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP).

Selain Anti-lock Braking System (ABS), kedua-dua model tersebut berkongsi teknologi keselamatan tambahan seperti klac ‘assist and slipper’, penunjuk tunggangan ekonomi serta Argo Fit bagi pengurusan casis ringan yang lebih efektif.

Dengan itu, MyMAP secara rasmi memberi penarafan lima bintang kepada kedua-dua model ini sejurus proses penilaian dan audit yang telah dilalui MODENAS pada Oktober 2022 lalu.

Program MyMAP merupakan sebuah usaha terus kerajaan untuk menaik taraf tahap keselamatan motosikal di Malaysia dengan mengintegerasi teknologi dan fungsi keselamatan baharu pada motosikal berkapasiti rendah.

Dan dalam masa yang sama, untuk mendidik pengguna untuk mempraktikan tunggangan selamat sebagai pencegahan kemalangan.

Program MyMAP ini dibentuk berlandaskan pengalaman MIROS dalam membangunkan Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) yang turut mempunyai sistem penilaian yang sama seperti NCAP.

Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS berkata, “Kami di MODENAS amat berbangga dengan pengiktirafan yang telah dianugerahkan pada kedua-dua model Modenas Ninja 250 dan Modenas Z250 versi ABS.

“Kedua-dua model ini merupakan motosikal pertama yang menerima penarafan 5 bintang MyMAP bagi segmen Naked Bike dan Sports Bike bersasaran 250cc.

“Dengan itu, kami amat berharap para pembeli akan lebih cakna dalam membuat keputusan ketika membeli motosikal dana lebih mementingkan teknologi keselamatan yang ditawarkan pada setiap motosikal mereka.”

Pasca PRU15: Anthony Loke kembali sebagai Menteri Pengangkutan

ANTHONY Loke hari ini kembali dipilih sebagai Menteri Pengangkutan di bawah Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media pengumuman Kabinet di Putrajaya.

Anthony Loke. Gambar oleh: Malay Mail

Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP itu pernah memegang jawatan sama di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

De Tomaso P900 guna enjin V12 ‘mesra alam’, 888hp, rev sehingga 12,300rpm

PENGELUAR Itali, De Tomaso telah P900 – sebuah hypercar untuk kegunaan litar sahaja, keluaran terhad, berharga 2.5 juta Pound (RM13.45 juta), dan dipacu oleh enjin V12 dengan rev sehingga 12,300rpm.

Hanya 18 unit akan dikeluarkan, De Tomaso P900 menghasilkan 888hp, dan mempunyai berat serendah 900kg. Ini adalah hasil dari tab karbon ringan, serta rekaan luar yang direka untuk menambah baik prestasi aerodinamik.

Enjin V12 pada hypercar dua tempat duduk ini tidak mempunyai sebarang teknologi elektrifikasi (hibrid atau EV), tetapi ia boleh menggunakan bahan api sintetik sepenuhnya. De Tomaso berkata, “Ianya enjin V12 bebas karbon pertama di dunia.”

Syarikat itu juga mendakwa V12 pada P900 ini merupakan yang paling ringan dan pendek di dunia, dengan berat hanya 220kg. De Tomaso berharap ianya akan “menetapkan standard” untuk pengeluar lain memanjangkan jangka hayat enjin pembakaran dalaman (ICE).

“Sebagai seorang peminat automotif, sukar untuk saya menerima masa depan dengan EV yang senyap,” kata Norman Choi, CEO De Tomaso.

“Kami percaya yang alternatif memang wujud, dan pembangunan untuk platform baharu, penggunaan bahan api sintetik, dan solusi ini memanjangkan hayat enjin pembakaran dalaman.

P900 direka sebagai peringatan kepada P70, dengan beberapa teknologi dari sukan permotoran termasuk sistem DRS aktif yang diintegrasikan dari spoiler belakang.

Aspek lain seperti kebanyakan komponen gentian karbon direka oleh Capricon, yang terlibat dalam pembangunan Porsche 919 Evo Le Mans, dan juga giat dalam Formula 1.

Anda berminat? De Tomaso berkata masih ada unit yang belum terjual. Untuk angka prestasi pula, mereka hanya akan mendedahkannya kepada para pemilik buat masa ini.

Pemilik yang membeli P900 akan mendapat latihan perlumbaan oleh De Tomaso dan mereka akan membekalkan sepasukan mekanik dan jurutera bagi setiap kereta semasa di litar.

Kereta sports NISMO hibrid bakal muncul? Tetapi bukan pengganti Nissan GT-R R35

REKABENTUK Nissan GT-R generasi terkini boleh dikatakan sudah berusia 21 tahun jika mengambil kira bahawa konsepnya mula dipertontonkan pada Tokyo Motor Show 2001. Model produksi pula menyusul di acara sama enam tahun kemudian, jadi R35 memang sebuah model yang sudah berusia.

Mujurlah, bahagian prestasi dan sukan permotoran Nissan, NISMO menjanjikan produk menarik yang akan muncul nanti. CEO, Takao Katagiri mengesahkan “sebuah model sangat mengujakan” dengan lencana NISMO sedang dirancang.

Dalam satu temu bual dengan Autocar, beliau berkata kereta itu akan dijual di Jepun dan juga Eropah, Amerika Syarikat, dan UK. Majalah British juga menegaskan bahawa model itu bukanlah pengganti terus kepada GT-R.

Awal tahun ini, “Godzilla” telah dihentikan pengeluarannya di Eropah disebabkan piawaian pelepasan yang semakin ketat yang juga menyebabkan pengeluar itu tidak dapat menjual Z baharu di sana.

Jentera NISMO nanti dikatakan bakal mendapat janaan kuasa hibrid, dan bukanlah EV sepenuhnya. Syarikat itu berkata jentera EV prestasi tinggi akan memerlukan bateri solid state, dan ia belum sedia dihasilkan dalam masa terdekat.

Walaubagaimanapun, pesaing Nissan, Toyota telah menjanjikan untuk melancarkan kenderaan produksi hibrid dengan bateri solid state menjelang 2025.

Katagiri berkata kepada Autocar: “Terdapat visi yang sangat penting untuk Nissan di Eropah. Ianya dibawa bersama dengan kereta baharu ini.

“Rantau ini (Eropah) sangat penting buat kami, terutamanya untuk kereta prestasi. Jadi, satu perkara yang saya boleh katakan ialah sila tunggu.

“Kami akan memperkenalkan model yang sangat mengujakan untuk pasaran UK di bawah jenama NISMO,” tambahnya.

Dalam pada itu, ura-ura berkata Nissan dan NISMO sedang bekerjasama untuk satu versi terakhir GT-R R35 sebagai selamat jalan kepada legenda itu.

Airbus teroka teknologi hibrid yang boleh dicaj semasa penerbangan dengan DisruptiveLab

AIRBUS semasa persidangan tahunan mereka telah mendedahkan DisruptiveLab, sebuah pelantar dan makmal terbang baharu. Ianya direka bagi menguji teknologi untuk menambahbaik prestasi pesawat dan mengurangkan pelepasan karbon dari helikopter.

DisruptiveLab juga sebenarnya sebuah prototaip helikopter. Ia akan menilai binaan aerodinamik baharu untuk mengurangkan penggunaan bahan api selain menuju ke arah pacuan hibrid yang boleh dicaj semasa penerbangan.

Demonstrator ini akan memulakan penerbangan sebelum hujung 2022 untuk ujian dan membangunan teknologi-teknologi baharu tersebut.

“DisruptiveLab pergi lebih jauh dalam strategi Airbus Helicopters untuk mengurangkan kesan helikopter terhadap alam sekitar dan untuk mempelopori industri penerbangan yang mapan,” kata Bruno Even, CEO Airbus Helicopters.

“Binaan inovatif dan jana kuasa hibrid baharu ini hanya boleh diuji dengan demonstrator baharu bagi mengesahkan impak keseluruhan dalam pengurangan pelepasan karbon, iaitu sehingga 50 peratus,” tambahnya.

Pesawat demonstrator itu dibina dengan badan aliminium dan komposit yang aerodinamik, direka khas untuk mengurangkan seretan (drag) lantas mengurangkan penggunaan bahan api.

Bilahnya disepadukan dengan rotor agar keseluruhan struktur ini lebih kompak, mengurangkan seretan udara, dan menambahbaik kecekapan tenaga di samping mengurangkan tahap bunyi. Bahagian ekornya lebih ringan, menampilkan rekaan rotor Fenestron yang lebih senyap dan mempunyai prestasi lebih baik.

Demonstrator FlightLab yang diuji bermula 2020.

Syarikat penerbangan Perancis ini telah mula menggunakan demonstrator terbang mereka sejak 2020 dengan Flightlab. Ia menggunakan platform H130 sedia ada untuk menguji teknologi berkenaan autonomi. DisruptiveLab yang baharu ini lebih memfokus kepada prestasi dan alam sekitar.

Gambar oleh: Airbus

Pertama di ASEAN! Thailand lancar Toyota GR Corolla, harga setengah juta Ringgit

SELEPAS pendedahan global April lepas, Toyota GR Corolla kini telah tiba di ASEAN, lebih tepat lagi di Thailand. Ini bertepatan dengan laporan pada Oktober lepas bahawa negara itu akan menjadi yang pertama di ASEAN menerima hot hatch AWD terbaharu Toyota itu.

Pelancaran GR Corolla di Thailand International Motor Expo 2022 itu juga dibuat bersempena meraikan ulang tahun ke-60 Toyota Motor Thailand.

Baik, berapa harga GR Corolla di sana, anda tertanya-tanya?

Menurut Headlightmag, Toyota GR Corolla dijual pada 3.949 juta Baht (RM500,352) dan unit sangat terhad. Dilaporkan hanya sembilan unit akan ditawarkan untuk pasaran itu.

Berapa pula harganya di Malaysia nanti? Baik, mari kita buat anggaran berdasarkan harga GR Yaris. Semasa dilancarkan di Thailand, GR Yaris dijual pada harga 2.69 juta Baht (RM341k).

Sebagai perbandingan, GR Yaris semasa diperkenalkan di Malaysia mempunyai tanda harga RM299,000. Mengikut perkiraan ringkas, harga kereta ini di Thailand adalah 14 peratus lebih tinggi berbanding di Malaysia.

Jika menggunakan anggaran sama, Toyota GR Corolla akan dijual pada harga sekitar RM438,596 di Malaysia. Masuk akal dan berbaloi?

Sebelum anda kecam, harus ketahui dulu apakah GR Corolla dan apa yang membuatkan ia istimewa.

Toyota GR Corolla ialah sebuah hatchback berprestasi tinggi dengan pacuan semua-roda (AWD) dan dipacu enjin 3-silinder paling berkuasa di dunia.

Nadi 1.6-liter turbo petrol itu berupaya menjana 304hp dan 370Nm tork, dan hanya satu kotak gear ditawarkan iaitu manual 6-kelajuan. Sistem AWD GR-Four padanya juga unik untuk GR Corolla dan GR Yaris sahaja.

Terdapat mod pemanduan Normal, Sport, dan Track yang masing-masing memberikan agihan kuasa depan ke belakang 60:40, 30:70, dan 50:50.

Perbezaan ketara antara kedua-dua model ini semestinya badannya dimana GR Corolla merupakan kereta 5-pintu berbanding GR Yaris (3-pintu).

Rasa belum cukup istimewa? Jemput tonton aksi Toyota GR Corolla ini bila dipandu oleh pemandu lumba sebenar.

Kutipan tol Lebuhraya DASH bermula hari ini, RM2.30 untuk kereta penumpang

KUTIPAN tol di Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dimulakan hari ini (1 Disember 2022) dengan kadar sama dikenakan kepada pengguna yang melalui Plaza Tol Denai Alam, Plaza Tol RRIM (Kwasa Damansara) dan Plaza Tol Kota Damansara mengikut kelas kenderaan.

Kelas kenderaan satu iaitu kereta dicaj RM2.30, lori iaitu kelas dua (RM4.60), treler iaitu kelas tiga (RM6.90), kelas empat iaitu kereta jenis teksi (RM1.20) dan bas iaitu kelas lima dicaj RM2.30.

Gambar oleh: Prolintas

Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn. Bhd. (Prolintas) dalam satu kenyataan memaklumkan, kutipan tol dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch ‘N Go, SmartTAG dan RFID.

“Pengguna disaran memastikan baki kad Touch ‘N Go dan e-wallet mencukupi sebelum memasuki Lebuhraya DASH,” katanya.

Menurut kenyataan itu, bahagian Operasi Lebuhraya DASH sentiasa memantau kelancaran sistem kutipan tol di ketiga-tiga plaza tol tersebut selain menempatkan petugas di lorong plaza tol kedua-dua arah lebuh raya terutama pada waktu puncak bagi membantu pengguna yang menghadapi kesulitan.

Katanya, pengguna juga dinasihatkan mematuhi peraturan keselamatan jalan raya dan papan tanda arah yang disediakan semasa melalui plaza tol bagi memastikan perjalanan yang lancar ke destinasi dituju.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian hotline DASH 1300885522.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan lebuh raya sepanjang 20.1 kilometer itu dibuka kepada pengguna secara percuma selama 48 hari bermula 14 Oktober lepas.

Perodua Kelisa ini dipandu ke 20 negara, kos melebihi 10 buah kereta sama!

SEBUAH Kelisa dengan kebolehan Perodua Kembara. Itulah yang kami terfikir bila melihat gambar-gambar oleh Aimpro Samudra yang memandu Perodua Kelisa miliknya ke 20 negara seluruh dunia.

Samudra yang merupakan anak kelahiran Tampin melakukan pengembaraan itu berdua bersama anak lelakinya dengan Perodua Kelisa yang diberi nama timangan “Wheely”.

Menurut Samudra yang berkongsi kepada Waupost, Kelisa itu dibeli pada 2004. Hanya sedikit persediaan dilakukan pada kereta itu sebelum memulakan kembara mereka.

“Dimana kami berhenti, di situlah kami berkhemah untuk bermalam,” katanya.

Walaubagaimanapun, ada beberapa tempat dengan cuaca ekstrem menghalang mereka untuk memasang khemah, jadi Samudra dan anaknya akan tidur di dalam kereta sahaja.

Perjalanan Samudra bermula pada 4 November 2019 dimana mereka telah mula memandu dari Malaysia ke Thailand, seterusnya ke Myanmar, India, Pakistan, Iran, Turki, Bulgaria, dan Hungary. Perjalanan seterusnya membawa mereka ke Croatia, Jerman, Belanda, Denmark, Sweden, Norway, Belgium, Perancis, Itali, Switzerland, dan Greece.

Mereka telah diarahkan untuk meninggalkan mereka di Turki dan kembali ke Malaysia semasa kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) disebabkan pandemik Covid-19.

Mereka menyambung perjalanan pada 15 September lepas, terbang ke Turki untuk membawa pulang Wheely yang mempunyai masalah kotak gear. Hasil bantuan kenalan dari Turki dan mekanik dari Melaysia dan panggilan video, Kelisa itu dapat dipandu semula.

Dalam perjalanan pulang, Samudra dan anaknya sempat memandu di Karakoram Highway, iaitu jalan raya tertinggi di dunia berdekatan sempadan China.

Tetapi perjalanan terpaksa ditangguhkan kerana jalan raya berada dalam keadaan tidak berapa baik disamping salji.

Samudra sempat pulang ke Malaysia kira-kira sehari sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) pada 19 November lepas.

Menurut Samudra, beliau gembira dapat melakukan sesuatu yang berbeza dalam kehidupan sambil meluangkan masa dengan anak sulungnya.

“Sebagai seorang manusia, kita mempunyai komitmen jadi kita akan melakukan perkara sama setiap hari.

“Jadi untuk memenuhi impian, kita perlu sedikit ‘gila’ untuk mempunyai kebebasan hidup,” tambahnya.

Samudra juga berkongsi di tulisan Facebook miliknya berkenaan belanja yang dihabiskan untuk kembara itu.

“Bab harga kos keseluruhan cukuplah kalau saya nyatakan boleh beli lebih dari 10 buah kereta yang sama. Tetapi kepuasan dan kenikmatan yang saya dan anaknda perolehi tidak ternilai harganya,” terangnya.

“Tiada apa yang perlu dibanggakan, ini semua dengan keizinan dari-Nya dan berkat doa semua,” kata Samudra.

Anda boleh ikuti perjalanan dan perkembangan lanjutan kembara ini di Facebook Aimpro Samudra. Walaupun mereka telah pulang ke Malaysia, beliau dikatakan akan terus menulis mengenai pengalaman yang mereka perolehi.

Syabas! Semoga lebih ramai rakyat Malaysia mendapat inspirasi dari pengembaraan ini.

Sumber gambar: Facebook Aimpro Samudra

Toyota Aqua GR Sport dapat talaan lebih sporti, pasaran Jepun sahaja, RM84k

KITA yang berada di luar Jepun mungkin tertanya-tanya apa itu Toyota Aqua? Generasi pertama model ini dilancarkan pada 2011 dan dijual sebagai Prius C yang di-rebadge untuk pasaran selain JDM.

Kini penggantinya didedahkan tahun lepas sebagai hatchback kecil dan berkongsi platform dengan Yaris. Ianya lebih panjang sedikit dari model itu, dan kini untuk 2023, ia mendapat varian GR Sport.

Tetapi GR Sport ialah trim asas dan bukan varian sukan permotoran sepenuhnya seperti GR atau GRMN, jadi Aqua ini hanya mendapat penambahan kosmetik.

Tetapi walaubagaimanpun, terdapat juga perubahan teknikal seperti stereng berkuasa elektrik yang ditala semula untuk pengendalian lebih tajam. Suspensi belakang masih kekal dengan torsion beam, tetapi kesemua sistem suspensi telah dikeraskan.

Jurutera Gazoo Racing juga telah menambah bar penguat tambahan di bawah lantai dan mengukuhkan lagi bampar belakang untuk lebih kestabilan semasa selekoh di kelajuan tinggi. Mod Power+ memberikan respon stereng lebih baik untuk menjadikan Aqua lebih lincah.

Kit badannya yang lebih agresif ditemani dengan rim 17-inci khas dan dibaluti Bridgestone Potenza bersaiz 205/45. Di dalam, Aqua mendapat tempat duduk sports GR, pedal aluminium, stereng tiga-spoke, dan kemasan berwarna gelap.

Aqua GR Sport dikuasakan oleh enjin 1.5-liter 3-silinder NA dengan 91hp dan 120Nm tork, menghantar kuasa ke roda depan. Tiada pilihan pacuan semua-roda (AWD) untuk varian ini.

Hatchback ini merupakan model keenam dalam barisan GR Sport di Jepun, selain Copen, Yaris, C-HR, Hilux, dan Land Cruiser.

Aqua GR Sport dijual pada harga 2,595,000 Yen (RM83,670) di Jepun.

Bilik pameran BMW Seong Heo Premium Motors diperbaharui, kini turut bawa jenama MINI

SEONG Hoe Premium Motors, wakil pengedar BMW bertauliah yang paling lama memberi khidmat di Melaka, yakni sejak 1979, telah melancarkan bilik pamerannya yang diperbaharui.

Ia kini bakal memuatkan kenderaan daripada jenama BMW (BMW M, BMW i dan banyak lagi), dan akan turut membawakan kenderaan MINI. Bilik pameran baharu ini akan menampilkan aneka khidmat serta fasiliti premium yang dinaik taraf.

Fasiliti ini dibina di atas ruang seluas 7,100 kaki persegi, mampu mempamerkan sepuluh kenderaan BMW dan tiga kenderaan MINI dalam satu masa. Ruang ini juga didatangkan dengan bilik pameran MINI yang eksklusif di aras mezanin.

Sementara itu, para pelanggan yang berminat dan ingin melihat kenderaan BMW Premium Selection yang disediakan oleh Seong Hoe Premium Motors, mereka boleh mengunjungi fasiliti baharu yang terletak berhampiran pusat pengedaran ini.

Beroperasi bersama 50 orang kakitangan, Seong Hoe Premium Motors akan membekalkan pelbagai perkhidmatan yang meliputi Servis BMW, Gaya Hidup BMW, Alat Ganti Tulen dan Aksesori, Perkhidmatan Kewangan dan Insurans BMW, Servis Segera, Perkhidmatan Ambil dan Hantar, serta Bantuan Tepi Jalan.

Penawaran Servis, Gaya Hidup dan Aksesori bagi jenama MINI turut disediakan. Pusat pengedaran ini juga menampilkan Balai Singgah Penyerahan Kereta, Isetta Bar, ruang RATC (resepsi di kereta) dan sebuah stesen pengecasan AC/DC BMW, selain akses internet percuma.

Seong Hoe Premium Motors Sdn Bhd kini dibuka dari jam 8:30 pagi hingga 5:30 petang setiap hari dari Isnin hingga Sabtu dan dari jam 10 pagi hingga 3 petang pada hari Ahad serta cuti umum.

Alamat: Lot 2020, Jalan Semabok, Taman Sinn Semabok, 75050 Melaka.

Yamaha 125Z mendunia! Lelaki ini import masuk ke Amerika Syarikat

YAMAHA 125Z seperti yang kita semua tahu ialah sebuah model kapcai dua lejang yang sudah dihentikan pengeluarannya di Malaysia.

125Z dijual di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura, Vietnam dan difahamkan turut dijual di Grece. Ia tidak pernah dijual di negara-negara barat seperti di Eropah atau Amerika kerana 125Z ini pastinya tidak akan melepasi piawaian pelepasan karbon yang ketat di sana.

Tetapi menariknya, seorang lelaki di Amerika Syarikat (AS) telah mengimport masuk sebuah Yamaha 125Z. Lã Trần Quân melalui laman Instagram miliknya telah memuat naik dua video berkenaan kapcai dua lejang tersebut.

“Yamaha 125Z R, motosikal impian jejaka Asia,” tulisnya dalam kapsyen video pertama yang kini telah mendapat lebih 56,000 Like dan hampir 1,000 komen.

Lã Trần Quân menunggang motosikal itu di sekitar taman perumahannya, cukup unik melihat 125Z itu di persekitaran AS, dengan kereta-kereta besar di sana.

Walaupun beliau di AS, sudah tentunya komen di video itu kebanyakannya datang dari pengguna Instagram di Malaysia.

Video kedua pula menunjukkan klip-klip terperinci pada badan 125Z itu seperti badan, enjin, suspensi belakang, tayar, dan panel meter. “Saya baru tahu motosikal ini dipanggil ‘tupai’ di negara kelahirannya,” tulis beliau di kapsyen.

‘Tupai’ merujuk kepada sebutan segelintir rakyat Malaysia dari singkatan ‘one-two-five’, cumanya Malaysia bukanlah negara kelahiran 125Z ini. Cuma mungkin kapcai ini sangat popular di negara kita.

Kami masih tidak pasti bagaimana Lã Trần Quân mengimport Yamaha 125Z itu ke sana kerana beliau tidak berkongsi mengenai perkara itu.

Lã Trần Quân merupakan sorang peminat serta pengumpul motosikal dan kereta. Beliau sering memuat naik gambar dan video mengenai jentera-jentera unik dalam koleksinya. Menarik untuk melihat 125Z menjadi salah satu dari koleksinya.

Yamaha 125Z mula dikeluarkan pada 1998 sebagai pengganti Yamaha Y110SS, model 125Z ini boleh dikatakan mencapai status legenda di negara ini dan boleh mencapai harga gila jika dijual terutamanya dalam keadaan NOS (new old stock).

GWM Ora Good Cat rasmi dilancar – Dari RM140k, jaminan bateri 8 tahun

SETELAH sesi preview dan pandu uji media bulan lepas, Great Wall Motors (GWM) hari ini melancarkan Ora Good Cat secara rasmi. Hatchback EV (elektrik) ini ditawarkan dalam empat varian dengan harga seperti berikut:

Ora Good Cat 400 Pro: RM139,800
Ora Good Cat 500 Ultra: RM169,800

Kedua-dua varian hadir dengan pengecaj mudah-alih dan pengecaj rumah, jaminan kenderaan 5-tahun/150,000km, jaminan bateri 8-tahun/180,000km, dan lima servis penyelenggaraan percuma.

Bergantung kepada varian, Ora Good Cat mempunyai dua pakej janaan kuasa. Yang pertama ialah bateri 48kWh dengan jarak pemanduan 400km, manakala versi lebih tinggi mendapat bateri 63kWh dengan jarak pemandua hingga 500km.

Output dan prestasi walaubagaiamanapun adalah sama, iaitu 143hp dan 210Nm tork, dihantar ke roda depan.

Dari segi pengecasan, varian asas Ora Good Cat akan menyokong sistem AC dan DC. Untuk AC, ia akan mengambil masa antara enam hingga lapan jam untuk caj penuh dengan 6.6kW. Sementara itu, pengecasan menggunakan DC hanya akan memerlukan 46 minit untuk 0 hingga 80 peratus.

Bagi varian Ultra dan Ultra G, ia mengambil masa 10 jam jika dicaj menggunakan AC, dan sepantas 40 minit untuk mencapai 80 peratus dengan pengecaj DC.

Ora Good Cat menampilkan rekaan retro moden yang memberikannya imej seperti MINI atau Beetle. Bergantung kepada varian, ia dilengkapi lampu LED sepenuhnya dengan DRL LED, keyless entry, kemasan kulit, panel skrin berkembar 10-inci untuk infotainmen dan 7-inci untuk instrumen, serta penghawa dingin dengan penapis PM2.5.

Kelengkapan keselamatan aktif juga agak banyak, antaranya Adaptive Cruise Control, Automatic Emergency Braking dengan Intersection Support, Front Collision Warning, Wisdom Dodge System, Lane Departure Warning, dan Lane Keeping Assist.

Apa pendapat anda mengenai ‘kucing baik’ atau Ora Good Cat setakat ini? Berbaloi dijadikan EV pertama?

Lewis Hamilton lenjan Nissan Skyline R34 di Jepun, sampai berasap tombol gear!

2022 bukanlah suatu musim yang begitu menggembirakan buat Lewis Hamilton. Ini merupakan musim pertama juara dunia tujuh kali itu tanpa menang satu perlumbaan pun.

Kini musim dengan jentera W13 telah berakhir, pemandu berusia 37 tahun itu sempat berseronok seketika dan melupakan sementara segala tentang kerjanya.

Dalam satu video terkini di Instagram miliknya, Hamilton dilihat ‘menikmati’ sebuah Skyline GT-R. Dia berseronok melenjan Skyline R34 itu di jalan raya sekitar Jepun di waktu malam, malah dia sempat membuat ‘donut’ dan ‘burnout’ sehingga asap memasuki ruang kabin melalui kawasan tombol gear.

Ini bukanlah petanda yang baik, mungkin klacnya dan kotak gearnya terlebih panas, tetapi Hamilton dan teman di sebelah yang merakam video itu hanya mampu tergelak.

Nissan Skyline R34 GT-R dikuasakan oleh enjin 2.6-liter turbo 6-silinder dengan kuasa sekitar 276hp dan 391Nm tork, dengan kotak gear 5-kelajuan manual dan sistem pacuan semua-roda.

Video Lewis Hamilton itu kini telah mendapat lebih 1.7 juta Like dan hampir 16,000 komen semasa artikel ini ditulis.

Hamilton sebelum ini berseronok di Jepun dengan bermain kereta kawalan radio (RC) Tamiya Lunchbox, yang difahamkan pernah dimilikinya semasa beliau masih kecil.

Modenas Ninja 250 kini dengan Ohlins Edition – RM20,500, terhad 180 unit

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat kepada MODENAS hari ini membawakan Ninja 250, tetapi dengan Ohlins Edition.

Seperti pada namanya, Ninja 250 ini hadir dilengkapi dengan suspensi Ohlins, menjadikannya satu-satunya model dalam segmen 250cc di negara ini dengan ciri tersebut.

Suspensi Ohlins ini walaubagaimanapun hanya di belakang, dan menurut MODENAS, mampu memberikan kestabilan lebih baik.

“Motosikal akan lebih stabil terutamanya ketika memasuki selekoh. Walaupun penunggang memulas pendikit minyak atau brek mengejut semasa selekoh di kawasan yang tidak rata, motosikal itu tetap stabil,” kata Roslan Roskan Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS.

Suspensi Ohlins KA 744, STX 36 Supersport pada Ninja ini merupakan unit boleh-laras dan menerima jaminan penuh dari kilang selama dua tahun atau 20,000km (yang mana dahulu).

Ianya unit tiub tunggal berdiameter 36mm dan dengan gas berketekanan tinggi. Ia menampilkan ciri pelarasan untuk rebound dan compression, dengan panjang keseluruhan 320mm.

Tiada perubahan lain pada sportbike ini, ia berasaskan model Ninja 250 ABS yang dikuasakan oleh enjin 249cc dua-silinder sebaris dengan output 37hp pada 12,500rpm dan 23Nm tork pada 10,000rpm.

Ia boleh didapati dengan satu warna khas iaitu Metallic Carbon Gray, dan dijual pada harga RM20,500. Model ini juga terhad kepada 180 unit sahaja.

Toyota Vios dominasi perlumbaan Sepang 1000KM

TOYOTA kembali ke perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM dengan prestasi mengagumkan, memperoleh kemenangan tempat pertama dan kedua dalam perlumbaan sembilan jam itu.

Tiga Toyota menamatkan perlumbaan dalam lima kelompok teratas keseluruhan dalam kelas Malaysian Touring Car (MTC).

Di tempat pertama ialah jenteraToyota Gazoo Racing Malaysia #37 dipandu oleh duta TGR, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel dan juara Sporting Class, Naquib Azlan.

Mereka menamatkan perlumbaan 181 pusingan itu 6.2 saat di depan pesaing terdekat mereka, Yaris #39 pasukan Wing Hin Motorsports yang dipandu Hayden Haikal dan Jwan Hii.

Tempat ketiga diduduki oleh Hi Rev Dream Chaser (Mitchell Cheah dan Brendan Paul Anthony), manakala tempat keempat ialah Yaris #38 Wing Hin Motorsports (Boy Wong dan Dannies Ng).

Melengkapkan tempat lima teratas ialah Honda City dari R Engineering HMRT, dipandu oleh Lee Wee Sing dan Leon Khoo Beng Koon.

“2021 adalah mengenai pembelajaran dan memberikan pendedahan litar untuk membangunkan Vios dan Yaris bagi bersaing dalam cabaran 1000KM ini,” kata Ravindran K, Presiden UMW Toyota Motor.

“Kami telah mempunyai program menyeluruh dan hampir memenangi perlumbaan tetapi terpaksa menerima penalti yang menyebabkan kami tamat di tempat ketiga dalam MTC Class.

“Memenangi perlumbaan tahun ini dan melakukannya bukan sahaja menamatkan perlumbaan, tetapi juga dengan tiga kereta dalam tempat lima teratas lebih dari mencukupi untuk menggantikan ‘kekurangan’ tadi,” tambahnya.

Sebanyak 77 kereta bersaing dalam perlumbaan Sepang 1000KM edisi ke-14 yang berlangsung selama lebih sembilan jam dan 180 pusingan.

BMW 3.0 CSL dengan enjin 6-silinder paling berkuasa, manual 6-kelajuan

TAHUN ini nampaknya BMW meraikan ulangtahun jenama M yang ke-50 dengan beberapa model ikonik seperti M4 CSL dan M2 baharu.

Dan yang terakhir mungkin sebagai penutup, BMW M memperkenalkan pula 3.0 CSL. Ia sebagai penghormatan kepada CSL (atau nama penuhnya Coupe Sport Lightweight) asal dari 1970an, dan dikatakan sebagai “model istimewa paling eksklusif” dalam sejarah M.

Gril kidney yang unik diambil dari konsep 3.0 CSL Hommage 2015, tetapi diolah semula dengan corak berlian, dan lingkaran luarannya menerima kemasan satin aluminium.

Terdapat ruang kemasukan udara yang besar di bampar depan untuk penyejukan enjin dan brek. Kemudian corong udara di atas hud pula mirip model CSL 1970.

BMW 3.0 CLS 2023 ini mendapat lampu depan laser dari M4 CSL dengan kemasan kuning yang sama, inspirasi dari jentera lumba GT3. Di bahagian sisi, paling menyerlah ialah fender kembung yang menjadi identity CSL, serta rim bersaiz 20-inci di depandan 21-inci di belakang, dengan centerlock.

Rim bercorak Y ini dibaluti oleh tayar Michelin dengan tulisan “50” untuk menandakan ulangtahun jenama itu. Dan pelengkap gaya luaran ini ialah spoiler besar seperti Batmobile, yang juga diinspirasikan dari model klasik yang asal.

BMW 3.0 CSL ini hadir dengan warna khas Alpine White Uni dengan grafik M tradisional. Ia dikuasakan oleh enjin 3.0-liter 6-silinder paling berkuasa pernah dikeluarkan oleh Bavaria.

Enjin ini menghasilkan 553hp dan 550Nm tork, dan output disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear manual 6-kelajuan dan differential M.

Ciri lain termasuklah brek karbon-seramik, suspensi adaptif M, penyerap hentak kawalan elektronik, tempat duduk bucket karbon, trim pintu CFRP, dan tombol gear berwarna putih.

Hanya 50 unit 3.0 CSL ini akan dikeluarkan, dan setiap unit mendapat nombor siri khas. Menurut BMW, cat putih pada kereta ini memerlukan proses khas manakala komponen CFRP pula dihasilkan dengan tangan.

Pasca PRU15: DS Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri Malaysia ke-10

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Anwar Ibrahim dijangka mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 hari ini.

Gambar oleh: Malay Mail

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, “Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhomat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.”

Menurut kenyataan itu lagi, ia selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lepas, PH memenangi 82 kerusi, sementara Perikatan Nasional (PN) memenangi 73 kerusi, dan Barisan Nasional (BN) memenangi 30 kerusi.

Mazda Vision Study Concept – Adakah kamu MX-5 generasi baharu?

MAZDA mengemaskini agenda mereka dengan membentangkan perancangan ke arah elektrifikasi untuk beberapa tahun akan datang. Ini mirip dengan hala tuju pengeluar-pengeluar lain, tetapi ada sesuatu yang menarik perhatian di sini.

Walaupun tidak disebut dalam siaran media, terdapat satu video menunjukkan sebuah coupe sports misteri. Apakah ia? Sebuah “Vision Study Model” buat masa ini.

Dalam video berdurasi 36 minit di saluran Youtube rasmi Mazda Japan, Presiden dan CEO iaitu Akira Marumoto berkata mengenai langkah-langkah jenama itu untuk karbon sifar menjelang 2050.

Lima minit terakhir menampilkan “visi Mazda untuk masa depan”, dan benda pertama anda akan lihat ialah MX-5 ND. Model-model MX-5 generasi sebelumnya juga membuat penampilan sebelum sebuah coupe berwarna putih muncul.

Ia mungkin gambaran awal MX-5 generasi kelima, atau mungkin kami salah. Tapi bagaimana jika ia memang MX-5 generasi baharu?

Model coupe itu menampilkan bumbung keras dan bukan bumbung convertible lembut seperti biasa. Tetapi model MX-5 hardtop bukanlah benda baharu, generasi NB sebelum ini pernah dihasilkan dalam versi sebegini di Jepun, hanya 179 unit pernah dibina.

Kemudian konsep coupe dalam video itu juga memaparkan pintu butterfly, tetapi sudah tentu versi produksi tidak akan menggunakan pintu sebegini.

Selain itu, ia memang mempunyai bentuk sebuah kenderaan pacuan roda-belakang melihatkan kepada bonet depan yang panjang dan di belakang yang pendek.

Pengeluar Jepun ini pernah ‘berjanji’ untuk memastikan formula RWD dan ICE (enjin pembakaran dalaman) dikekalkan untuk Miata generasi akan datang. Walaubagaimanapun, sedikit elektrifikasi mungkin dimasukkan untuk menepati piawaian emisi yang semakin ketat.

Ia juga sesuai sebagai ‘persediaan’ sebelum MX-5 menjadi model EV sepenuhnya jika perlu.

Pasca PRU15: Polis adakan sekatan jalan raya seluruh negara

BERMULA malam tadi (22 November), Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di lokasi strategik setiap daerah di seluruh negara dengan penugasan secara 24 jam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata langkah mengadakan sekatan jalan raya ini adalah sebahagian daripada usaha PDRM mencegah jenayah melalui peningkatan ‘omnipresence’ atau kehadiran polis.

Sumber: Facebook Polis Diraja Malaysia

“Langkah ini bagi menjamin tahap keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan.

“Demi keselesaan pengguna jalan raya dan kelancaran lalu lintas, tiada halangan lalu lintas atau sekatan pada waktu puncak dan siang hari,” tambahnya.

Beliau berkata orang ramai diminta memberikan kerjasama dalam mematuhi arahan yang diberikan ketika melalui sekatan jalan raya terutama di waktu puncak.

“Masyarakat tidak perlu bimbang untuk melakukan aktiviti harian kerana PDRM memberi jaminan tahap keselamatan di seluruh negara adalah terkawal,” katanya.

SJR itu akan dilaksanakan sehingga satu masa yang ditetapkan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah semalam dilihat di perkarangan Istana Negara memandu Hyundai Palisade.

Dalam perkembangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga semalam, Yang di-Pertuan Agong mencadangkan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan perpaduan.

Walaubagaimanapun, Pengerusi PN, Muhyiddin menolak cadangan itu kerana mendakwa ia bertentangan dengan pendirian gabungan itu.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah semalam menitahkan 30 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) menghadap Seri Paduka di Istana Negara secara individu pada pagi ini (23 November).