MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke berkata kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk mewajibkan pemasangan dashcam atau kamera papan pemuka bagi semua kenderaan di negara ini.
Tambah Loke, walaupun kementerian ada menerima beberapa cadangan mengenainya, pihaknya perlu mempertimbangkan pelbagai aspek termasuk kos yang perlu ditanggung rakyat sekiranya ia diwajibkan.
“Akan tetapi, kita menggalakkan pemasangan dashcam terutama pada kenderaan-kenderaan daripada pengilang.
“Kalau mereka boleh pasang (dashcam) bersekali dengan kereta baharu, itu amat kita galakkan tetapi setakat ini kita belum mewajibkan lagi,” katanya.
Selain itu, Loke turut menggalakkan syarikat pengusaha bas untuk memasang peranti tersebut agar dapat merakam dan dijadikan bahan bukti sekiranya terlibat kemalangan jalan raya.
Sumber gambar: Twitter @redzuanNewsMPB
“Pemasangan dashcam ini satu bukti sekiranya berlaku kemalangan untuk mengetahui siapa yang bersalah atau yang patut bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Loke berkata statistik kemalangan jalan raya pada tahun lepas mencatatkan sebanyak 600,000 kemalangan manakala jumlah kematian adalah sebanyak lebih 6,500 orang.
“Kalau kita lihat statistik, puratanya adalah 15 hingga 17 orang meninggal setiap hari dan jumlah ini satu angka yang besar.
“Setiap orang yang meninggal, bagi kita (kementerian) ini adalah satu tragedi yang tidak perlu berlaku kerana kemalangan jalan raya ini boleh dielakkan jika setiap pemandu mengambil sikap berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.
Justeru itu, Loke berharap orang ramai dapat menjadi pemandu berhemah, sentiasa peka dan berhati-hati bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.
APA yang anda lihat ini bukanlah hasil kerja bengkel West Coast Customs daripada rancangan realiti Pimp My Ride. Ia sebenarnya sebuah BMW XM istimewa yang diinspirasikan dari Naomi Campbell yang dihasilkan sempena Festival Filem Cannes.
Dikenali sebagai Mystique Allure, ia merupakan kenderaan pertama dalam sejarah BMW yang direka menggunakan material dari industri fesyen mewah (high fashion), memberikannya penampilan lain dari yang lain.
Hampir keseluruhan badan XM Mystique Allure dibalut material baldu dalam warna kegemaran supermodel Britain itu iaitu ultramarine. Tidak cukup dengan itu, bahagian bawah SUV itu dihiasi dengan labuci metalik yang berkilauan.
Ruang dalamannya tidak kurang mewah dengan upholsteri baldu berwarna ungu menghiasi segenap sudut termasuk bumbung, panel pintu dan M Lounge di belakang.
Kami tidak pasti jika Naomi Campbell gemarkan kelajuan tetapi jika jawapannya ya, dia tidak akan kecewa dengan XM kerana SUV plug-in hybrid itu merupakan model siri produksi BMW yang paling berkuasa.
Menggunakan varian Label Red sebagai asas, XM Mystique Allure dikuasakan oleh enjin 4.4-liter twin-turbo V8 dan sebuah motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 748 PS dan 1,000 Nm.
Ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.8 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 290 km/j jika dilengkapi dengan M Driver’s Package.
Walaupun trenkuasa ini tidak diberikan sebarang penambahbaikan, ia mempunyai runut bunyi akustik unik untuk mod pemanduan elektrik yang digubah oleh komposer terkenal iaitu Hans Zimmer.
Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut BMW dilantik sebagai rakan automotif rasmi Festival Filem Cannes. Untuk acara tahun ini, syarikat itu menyediakan perkhidmatan ulang-alik menggunakan lebih 200 kenderaan yang terdiri daripada i7, iX, i5 dan XM.
Nio, pengeluar kenderaan elektrik yang berpangkalan di Shanghai, China, telah melancarkan sub-jenama untuk EV pintarnya yang dikenali sebagai Onvo.
Nama Onvo merupakan singkatan kepada ‘On Voyage’. Produk pertamanya yang akan memasuki pasaran adalah L60, SUV elektrik yang dibangunkan untuk bersaing dengan Tesla Model Y.
Tempahan untuk L60 telah dibuka di China, dengan harga bermula dari RMB219,900 (RM142,670). Penghantaran dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.
Untuk perbandingan, harga jualan Model Y di Malaysia bermula dari RM191,000 untuk varian Rear-Wheel Drive hingga RM280,000 untuk Performance.
Menurut Onvo, L60 dibina menggunakan seni bina 900V yang dikatakan lebih cekap tenaga. Ia mempunyai kadar kecekapan tenaga 92.3% (kitaran CLTC) dan pekali seretan paling rendah dalam segmen SUV iaitu 0.229 Cd.
Hasilnya, syarikat itu mendakwa SUV elektrik itu mampu mencapai kadar penggunaan tenaga serendah 12.1 kWj bagi setiap 100 km.
Dalam konfigurasi Standard Range, L60 boleh dipandu sejauh 555 km sekali cas manakala konfigurasi Long Range pula menawarkan jarak sehingga 730 km. Dengan bateri Ultra Long Range, ia mampu memberikan jarak pandu sejauh lebih 1,000 km.
Apa yang lebih menarik, L60 berkongsi teknologi penukaran bateri dengan Nio. Ini membolehkan pemandu menukar bateri EV mereka dalam hanya tiga minit di lebih 1,000 stesen penukaran bateri di seluruh China.
Bukan itu sahaja, pelanggan juga mempunyai pilihan untuk membeli L60 tanpa bateri. Ia dijual pada harga yang lebih murah iaitu RMB170,000 (RM110,558) namun pelanggan perlu membayar langganan bulanan untuk bateri di bawah perkhidmatan BaaS (Battery as a Service) yang disediakan.
Selepas China, Onvo dilaporkan merancang untuk memasarkan L60 di pasaran global termasuk Eropah menjelang akhir tahun ini.
ASIA Nikkei melaporkan bahawa Malaysia telah memintas Thailand untuk menjadi pasaran automotif kedua terbesar di Asia Tenggara, selepas Indonesia.
Data jualan terkumpul yang dikeluarkan oleh kumpulan industri dari ketiga-tiga negara itu termasuk Filipina dan Vietnam menunjukkan angka jualan Malaysia mengatasi Thailand untuk tiga suku berturut-turut hingga Januari-Mac 2024.
Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan kereta meningkat dari 5% pada suku pertama daripada tahun sebelumnya kepada 202,245 kenderaan. Ini berikutan peningkatan sebanyak 11% pada 2023 kepada rekod 799,731 kenderaan.
Pengecualian cukai tempatan untuk kenderaan yang dipasang secara tempatan, yang merupakan sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi kerajaan, banyak membantu Perodua dan Proton yang memegang sekitar 60% bahagian pasaran.
Menurut MAA, pengecualian cukai bermula semasa pandemik 2020 dan walaupun ia dihentikan pada pertengahan 2022, tempahan bebas cukai terus melonjakkan angka jualan pada 2023.
“Banyak pelancaran model baharu termasuk kenderaan elektrik dengan harga yang sangat kompetitif membantu merangsang jualan,” kata organisasi itu dalam satu kenyataan.
Ivan Khoo, ejen jualan Toyota di Kuala Lumpur, memberitahu Nikkei Asia yang jualan dalam dua bulan pertama 2024 lebih baik dari jangkaan. Vios merupakan model paling popular memandangkan ia berharga kurang RM100,000.
“Saya melihat kedua-dua segmen, untuk ICE (enjin pembakaran dalaman) Toyota dan kereta hibrid, akan terus berjaya,” kata Khoo.
Sementara itu di Thailand, jualan kereta merudum. Negara yang diberi jolokan “Detroit Asia” itu telah lama menduduki tempat kedua, sehinggalah jualan jatuh sebanyak 25% pada suku pertama berbanding tahun sebelumnya.
Jualan kereta bulanan negara itu merosot tahun ke tahun bermula Jun tahun lalu disebabkan oleh peningkatan pinjaman kereta tidak berbayar dan penggunaan umum yang tidak berubah. Bagaimanapun, bahagian pasaran EV menunjukkan pertumbuhan dengan kemasukan pengeluar dari China.
Tambah Nikkei Asia lagi, pasaran Indonesia juga kekurangan momentum. Jualan kereta pada suku pertama jatuh 24% daripada tahun sebelumnya disebabkan peningkatan kadar faedah, sekali gus menyebabkan penggunan menahan daripada membuat pembelian.
Jualan pada 2023 hanya melebihi 1 juta kenderaan, turun 4% daripada 2022 dan 30,000 lebih sedikit jika dibandingkan dengan 2019. Angka itu juga 1.05 juta kurang daripada sasaran yang ditetapkan oleh Persatuan Industri Automotif Indonesia (Gaikindo).
EDARAN Otomobil Nasional Berhad (EON), anak syarikat milik penuh DRB-Hicom, telah melancarkan pusat 3S Proton EON yang telah dinaik taraf di Banting.
Pusat itu, yang sebelum ini hanya beroperasi sebagai bilik pameran, kini menawarkan perkhidmatan jualan, servis dan alat ganti.
Dengan pelaburan bernilai RM6 juta untuk kerja ubah suai dan naik taraf, pusat 3S Proton EON Banting menawarkan pengalaman yang dipertingkatkan kepada pelanggan menerusi perkhidmatan jualan dan selepas jualan digital di dalam bilik pameran yang luas dan moden.
Ketua Pegawai Eksekutif EON yang juga merupakan Ketua Pengedaran Automotif DRB-Hicom, Akkbar Danial berkata,”Bilik pameran yang diubah suai ini akan membolehkan kami meningkatkan pengalaman pelanggan, manakala lokasi strategiknya akan menjadikannya sangat mudah untuk penduduk Banting dan kawasan sekitar mengakses pusat 3S kami.”
Bilik pameran berkenaan mempunyai keluasan 18,775 kaki persegi dan boleh memuatkan sehingga lapan buah kenderaan Proton pada satu-satu masa.
Selain itu, pusat baharu ini juga mempunyai pusat servis canggih berkeluasan 12,347 kaki persegi. Ia dilengkapi dengan 10 ruang servis dengan teknologi terkini untuk menyelenggara pebagai model Proton.
Pelanggan juga mendapat manfaat daripada usaha pendigitalan EON menerusi pengenalan platform Workforce Management (WFM) yang membolehkan mereka membuat janji temu servis secara dalam talian serta mendapatkan kemas kini servis pada masa nyata.
Mereka yang sedang mencari kereta baharu boleh membuat tempahan secara dalam talian di laman web www.eon.com.my.
Bilik pameran pusat 3S Proton EON Banting dibuka dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang dari Isnin hingga Sabtu dan dari 10 pagi hingga 4 petang pada Ahad dan cuti umum.
Pusat servisnya pula beroperasi dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang dari Isnin hingga Sabut, dan dari 8.30 pagi hingga 1 petang pada Sabtu. Ia ditutup setiap Ahad dan cuti umum.
AWAL tahun ini, Ketua Operasi Amerika Syarikat Alfa Romeo, Larry Dominique mengesahkan bahawa jualan Giulia Quadrifoglio dan Stelvio Quadrifoglio akan dihentikan di negara itu pada April 2024.
Tambah Dominique, produksi model-model Quadrifoglio untuk pasaran AS dan Kanada akan dihentikan pada Jun depan. Kedua-dua model biturbo V6 itu dipasang di kilang milik Stellantis di Cassino, Itali.
Namun sebagai tanda ucap selamat tinggal, Alfa Romeo telah melancarkan model edisi khas yang dikenali sebagai Super Sport. Nama ini diambil sempena kereta lumba 6C 1500 Super Sport yang menjuarai perlumbaan Mille Miglia pada 1928.
Untuk pasaran global, pengeluaran model Super Sport akan dihadkan kepada 275 unit untuk Giulia dan 175 untuk Stelvio. Daripada jumlah tersebut, 72 unit Giulia dan 52 unit Stelvio diperuntukkan khusus untuk AS.
Harga jualan bermula dari $86,770 (RM408,067) untuk Giulia Quadrifoglio Super Sport dan $94,370 (RM443,809) untuk Stelvio Quadrifoglio Super Sport.
Model-model Quadrifoglio Supersport ini boleh dibezakan menerusi beberapa elemen reka bentuk. Yang pertama adalah logo Quadrifoglio baharu yang mempunyai latar belakang berwarna hitam berbanding putih sebelum ini.
Selain itu, terdapat juga bahagian-bahagian yang diperbuat daripada gentian karbon seperti bumbung (ditawarkan sebagai opsyen kepada Giulia sahaja), pelindung gril dan cermin sisi.
Ia dipadankan pula dengan rim lima lubang berwarna hitam berukuran 19 inci untuk Giulia dan 21 inci untuk Stelvio, serta angkup brek Brembo dalam warna yang sama.
Terdapat tiga warna untuk dipilih iaitu Rosso Etna, Nero Vulcano metalik dan Bianco Alfa, yang ditawarkan pada Giulia sahaja.
Ruang dalaman pula diserlahkan lagi menerusi trim gentian karbon 3D berwarna merah pada keseluruhan papan pemuka, konsol tengah dan panel pintu. Stereng dibalut kulit dan Alcantara, serta dihiasi gentian karbon.
Pada bahagian perehat kepala, terdapat sulaman logo “Super Sport” berwarna merah dan nombor siri kenderaan berwarna hitam.
Kedua-dua model dikuasakan oleh enjin 2.9-liter biturbo V6 yang diperbuat daripada aluminium sepenuhnya. Ia mampu menghamburkan 505 hp dan 600 Nm, yang disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan kelajuan dan LSD mekanikal dari Giulia GTA.
RATA-rata peminat Suzuki Jimny tahu bahawa SUV kecil itu mempunyai sejarah panjang yang bermula sejak era 1970an lagi.
Bagi meraikannya, Suzuki telah memperkenalkan model edisi terhad bagi Jimny XL (Jimny 5-pintu) yang dikenali sebagai Heritage. Hanya 500 unit akan dihasilkan dan semuanya untuk pasaran Australia.
Apa yang membuatkan Jimny XL Heritage lebih menonjol?
Seperti yang boleh dilihat, model ini mempunyai grafik ala retro berwarna oren dan merah pada bahagian sisi dan belakang. Ini digabungkan dengan logo badak sumbu dan mudflap berwarna merah.
Untuk warna badan, terdapat lima pilihan iaitu White, Chiffon Ivory + Bluish Black Pearl, Jungle Green, Bluish Black Pearl dan Granite Grey Metallic.
Selain itu, model Heritage ini sama sahaja seperti model standard. Di bawah bonet masih lagi enjin NA 1.5-liter empat silinder yang menjana 101 hp dan 130 Nm.
Jimny XL biasanya boleh didapati dengan transmisi automatik atau manual namun untuk Heritage, Suzuki hanya menawarkan transmisi manual lima kelajuan.
Sudah tentu, sistem pacuan empat roda AllGrip Pro membantu menyalurkan kuasa ke roda.
Kelengkapan lain yang turut disertakan termasuk skrin sentuh sistem multimedia berukuran sembilan inci, Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, serta pelapik kargo.
Harga jualan Jimny XL Heritage bermula dari AUD36,490, (RM114,047) kira-kira AUD1,500 (RM4,688) lebih mahal berbanding versi standard.
Untuk pengetahuan, tahun lalu Suzuki Australia pernah melancarkan versi Heritage untuk Jimny tiga pintu. Kesemua 300 unit yang diperuntukkan habis dijual dalam masa dua hari sahaja.
Orang ramai yang ingin melihat lebih dekat model eksklusif ini boleh berbuat demikian di One Utama Luxe dari 30 Mei hingga 2 Jun 2024.
Sebarang perincian mengenai Ranger edisi terhad tidak diberitahu namun dalam kenyatan media yang dikeluarkan, SDAC berkata model itu “dilengkapi ciri-ciri mewah untuk memantapkan keupayaan dan sifat serba gunanya”, selain “direka untuk menambah baik pengalaman kembara luar”.
Jumlah yang akan ditawarkan juga tidak diketahui namun menurut SDAC, setiap pelanggan yang membuat tempahan di dalam talian akan menerima jaket windbreaker Ford Ranger edisi terhad semasa sesi penyerahan kenderaan.
BYD secara rasminya memperkenalkan trak pikap pertamanya iaitu Shark di Mexico. Menurut CEO BYD Americas, Stella Li, Mexico dipilih kerana ada peningkatan dalam permintaan untuk trak pikap di negara itu.
Apa yang menarik, Shark dilancarkan beberapa jam selepas Joe Biden mengumumkan peningkatan tarif ke atas kenderaan elektrik dari China daripada 25% kepada 100%.
Reuters melaporkan bahawa BYD tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memasarkan Shark di Amerika Syarikat.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Shark menggunakan trenkuasa hibrid plug-in baharu yang dikenali sebagai DMO (Dual-Mode Off-Road).
Trenkuasa PHEV itu menampilkan gabungan enjin turbo petrol 1.5-liter dan dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 430 hp, cukup untuk membolehkan Shark memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.7 saat.
Spesifikasi bateri tidak dinyatakan namun trak ini menawarkan jarak pandu elektrik sejauh 100 km (kitaran NEDC) dan jarak pandu keseluruhan sejauh 840 km. Kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 7.5 liter untuk setiap 100 km.
Seperti Leapord 5, Shark dibina menggunakan casis ladder frame. Ia mempunyai ukuran panjang 5,457 mm, lebar 1,971 mm, tinggi 1,925 mm dan jarak roda 3,260 mm. Ini menjadikannya lebih besar berbanding Ford Ranger dan Toyota Hilux.
Casis digabungkan dengan sistem gantungan bebas pada bahagian depan dan belakang yang dikatakan menawarkan keseimbangan dari segi pengendalian dan keselesaan.
Sebagai sebuah trak pikap, Shark mempunyai kapasiti tunda maksimum mencecah 2,500 kg. Bahagian bed pula menawarkan ruang kargo sebesar 1,450 liter dengan had muatan 835 kg. Untuk pemanduan off-road, terdapat tiga mod yang boleh dipilih iaitu Sand, Mud dan Snow.
Masuk ke dalam, anda akan menemui beberapa elemen yang sinonim dengan jenama BYD termasuk skrin sentuh sistem infohibur berukuran 12.8 inci yang boleh berpusing dan kluster instrumen digital 10.25 inci.
Selain itu, terdapat juga Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, sistem arahan suara “Hi BYD”, fungsi karaoke (mikrofon dijual berasingan), pengecas wayarles 50W dan paparan head-up 12 inci.
Sistem keselamatan pula merangkumi enam beg udara dan sistem ADAS dengan ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Intelligent Navigation System (ICC), Forward Collision Warning (FCW), Rear Collision Warning (RCW), Rear Cross Collision Warning (RCTA), Rear Cross Collision Braking (RCTB) dan bermacam lagi.
Di Mexico, Shark boleh didapati dalam dua varian iaitu GL dan GS. Harga jualan bermula dari 899,980 peso (RM250,356) untuk GL dan 969,800 peso (RM269,777) untuk GS.
SELEPAS dikemaskini pada Februari tahun lalu, Isuzu D-Max generasi ketiga kini diberikan facelift yang menyaksikan ia tampil dengan rekaan lebih segar dan lebih banyak kelengkapan.
Tiada sebarang perubahan dari segi pilihan varian dalam barisan D-Max. Seperti sebelum ini, terdapat lima varian yang ditawarkan seperti berikut:
X-Terrain 3.0L 4X4 AT
Premium 1.9L 4X4 AT & 3.0L 4X4 AT
Auto Plus 1.9L 4X2 AT
Standard 1.9L 4X4 MT & 1.9L 4X4 AT
Single Cab 1.9L 4X4 MT & 3.0L 4X4 AT
Harga jualan bermula dari RM98,949.20 untuk Single Cab 1.9L hingga RM157,938.49 untuk X-Terrain.
Perubahan reka bentuk yang paling ketara boleh dilihat pada bahagian hadapan di mana D-Max mendapat lampu Bi-LED yang lebih tajam, gril honeycomb yang lebih besar dan perumah lampu kabus dengan liang aliran udara.
Untuk model ini, lampu isyarat membelok dintegrasikan bersama dengan lampu nyalaan siang LED pada lampu utama.
Di belakang, selain lampu LED, pintu tailgate turut direka semula dan kini menampilkan pemegang baharu dengan lubang kunci bagi membolehkan tailgate dikunci jika pemilik memasang kanopi atau penutup.
Rim didatangkan dalam saiz 18 inci dalam rekaan baharu Tough Style untuk X-Terrain dan Sporty Style untuk Premium. Tayar yang digunakan adalah bersaiz 265/60 R18.
Warna Valencia Orange yang ditawarkan sebelum ini kini digantikan dengan warna baharu yang digelar sebagai Namibu Orange Mica. Selain itu, warna Islay Grey, Onyx Black dan Dolomite White Pearl masih lagi ditawarkan.
Untuk bahagian dalam, varian X-Terrain ini tampil dengan beberapa kelengkapan baharu yang biasanya terdapat pada SUV mahal.
Sebagai contoh, pemandu akan disambut oleh lampu selamat datang (welcome light), serta lampu ambang pintu dan ruang kaki ketika membuka pintu.
Rasa mewah ini ditingkatkan lagi dengan upholsteri kulit pada tempat duduk dan stereng, serta corak Miura pada panel pintu. Menurut Isuzu, corak paralellogram ini diinspirasikan daripada rekaan origami klasik Jepun.
Dari segi kelengkapan, D-Max kini dilengkapi dengan skrin sentuh 10 inci (satu inci lebih besar berbanding sebelum ini) yang menawarkan Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, kamera undur dan Around View Monitor.
Turut disertakan adalah panel instrumen e-Lumax dengan paparan multi-info berukuran tujuh inci, port pengecas USB-C, pengecas wayarles dan sistem audio kelilin dengan lapan pembesar suara.
Sistem keselamatan telah dikemaskini menerusi penggunaan kamera stereo generasi keempat yang mempunyai sudut pandangan yang lebih lebar iaitu 120 darjah, berbanding 40 darjah sebelum ini. Jarak pengesanan juga bertambah dari 120 meter kepada 150 meter.
Satu lagi penambahan adalah Rear Cross Traffic Brake. Apabila kenderaan mengesan ada kenderaan datang ketika mengundur, ia akan memberikan isyarat audio dan visual. Jika ia menjangka akan berlaku perlanggaran, sistem akan mengenakan brek.
Di samping itu, pemanduan off-road kini menjadi lebih mudah dengan adanya Rough Terrain Mode untuk semua model Double Cab 4X4.
Apabila diaktifkan, sistem ini akan mengesan tahap cengkaman setiap roda dan menyalurkan kuasa ke roda yang mempunyai lebih banyak cengkaman. Ia boleh digunakan dalam semua mod transmisi iaitu 2H, 4H dan 4L.
Tiada sebarang perubahan pada enjin. Enjin turbodiesel 3.0-liter empat silinder sebaris 4JJ3-TCX masih menghasilkan 190 PS dan 450 Nm, manakala enjin 1.9-liter empat silinder RZ4E-TC mempunyai 150 PS dan 350 Nm.
ADA tiga perkara yang boleh menjadikan sebuah BMW lebih cool. Yang pertama adalah bentuk badan wagon (atau Touring). Yang kedua adalah transmisi manual dan yang ketiga, sentuhan Alpina.
Alpina B3 Touring ini mempunyai ketiga-tiganya. Ia sedang dibuka untuk bidaan menerusi laman web ‘Bring a Trailer’ dan ketika artikel ini ditulis, bidaan terkini adalah $20,250 (RM95,985).
Hanya 89 unit B3 Touring pernah dikeluarkan dan unit ini merupakan yang ke-23. Dibina pada September 1996, ia pada mulanya diserahkan kepada Nicole Racing Japan sebelum dieksport ke Netherlands pada 2017. Pada 2022, ia diimport ke Amerika Syarikat.
Kereta ini masih menggunakan cat biru metalik yang asal, berserta kit badan Alpina dan rim aloi multispoke berukuran 17 inci. Menjadikan ia lebih menonjol adalah grafik Alpina berwarna emas pada bahagian sisi dan belakang.
Di dalam, tempat duduk dan panel pintu dibalut upholsteri fabrik berwarna hitam dengan jalur hijau dan biru, manakala bahagian lantai dilindungi oleh karpet Alpina. Stereng dibalut kulit dengan jahitan dwi tona dan menampilkan logo Alpina pada bahagian tengah.
Di bawah bonet adalah enjin 3.2-liter enam silinder sebaris yang menghasilkan 265 hp dan 329 Nm. Beberapa penambahbaikan telah dilakukan pada 2023, antaranya termasuk membina semula sistem Vanos dan menggantikan gasket kepala silinder, regulator tekanan bahan api, penyuntik bahan api, sensor oksigen dan pelbagai lagi. Perbatuan hampir mencecah 176,000 km.
Unit bernombor 23 ini asalnya dilengkapi dengan transmisi automatik namun ia telah dikeluarkan bagi memberi ruang kepada transmisi manual enam kelajuan Getrag 420G yang diambil dari M3 E46. Ia baru sahaja dipasang pada tahun ini bersama dengan Limited-Slip Differential (LSD).
Apa yang menarik, pembeli juga akan mendapat transmisi automatik yang asal, berserta alat ganti tambahan dan model skala.
KIA telah menyiarkan gambar teaser bagi kenderaan elektrik (EV) mereka yang seterusnya iaitu EV3. Ia akan didedahkan sepenuhnya pada 23 Mei depan sebagai SUV elektrik bersaiz kompak yang akan diposisikan di bawah EV5.
Untuk pengetahuan, EV3 pernah dipertontonkan menerusi model konsep Concept EV3 pada Oktober tahun lalu. Gambar-gambar teaser dari Kia menunjukkan ia akan mengekalkan sebahagian besar rekaan luarannya untuk produksi.
Kia Concept EV3
Seperti EV9, Kia mengaplikasikan falsafah ‘Opposites United’ untuk mereka bentuk EV3 dan ini boleh dilihat dengan jelas menerusi fender dan pintu tailgate yang berkotak.
EV3 juga boleh dilihat menampilkan signatur lampu Star Map pada bahagian depan dan belakang, serta tiang C yang dicat warna hitam bagi memberikan efek seperti bumbung terapung.
Gambar ruang dalaman masih belum disiarkan namun begitu, kami menjangkakan rekaan dan susun atur yang tidak jauh berbeza dengan model-model EV Kia yang sedia ada.
Perincian teknikal juga masih menjadi tanda tanya namun mengikut laporan, EV3 menggunakan platform E-GMP dengan seni bina 400V dan bukannya 800V seperti EV6 dan EV9.
HANYA beberapa bulan selepas ia diperkenalkan di peringkat global, Aston Martin Vantage 2024 kini dilancarkan untuk pasaran Malaysia dengan harga bermula dari RM2.37 juta tidak termasuk aksesori tambahan dan personalisasi.
Seperti model terdahulu, Vantage baharu dikuasakan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8 keluaran Mercedes-AMG namun dengan pelbagai naik taraf, kuasa meningkat kepada 665 PS dan 800 Nm.
Peningkatan sebanyak 155 PS dan 115 Nm itu dicapai menerusi penggunaan cam profile yang dimodifikasi, nisbah mampatan optimum, pengecas turbo lebih besar dan sistem penyejukan yang lebih baik.
Transmisi automatik lapan kelajuan keluaran ZF membantu jentera sport ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.4 saat, sebelum ia mencapai kelajuan maksimum 325 km/j.
Casis aluminium Vantage kini lebih keras menerusi pemasangan komponen tambahan pada bahagian bawah badan, serta penambahbaikan pada bahagian depan dan belakang struktur.
Vantage dilengkapi dengan peredam adaptif pintar yang dikatakan boleh memberi kawalan dengan tindak balas yang lebih baik.
Rim pula bersaiz 21 inci di hadapan dan belakang tetapi dengan tayar berlainan saiz iaitu 275/35 di depan dan 325/30 di belakang.
Tersembunyi di sebalik rim adalah brek cakera besi tuang (cast iron) berukuran 400 mm di depan dan 360 mm di belakang. Pelanggan boleh menaik taraf kepada cakera karbon seramik (CCB) yang lebih ringan sebanyak 27 kg.
Di dalam, ruang kabin telah direka semula sepenuhnya. Antara kelengkapan yang disertakan termasuk kluster instrumen digital, skrin sentuh 10.25 inci dengan Apple CarPlay wayarles, serta sistem audio standard 390W dengan 11 pembesar suara.
Mereka yang gemar mendengar muzik boleh mendapatkan sistem audio Bowers & Wilkins berkuasa 1,170W yang mempunyai 15 pembesar suara termasuk pembesar suara 3D dan subwoofer.
Menurut Aston Martin Kuala Lumpur, harga runcit termasuk waranti pengeluar untuk tiga tahun yang boleh dinaik taraf sehingga 20 tahun.
BARISAN BMW M4 generasi G82 kini lengkap dengan kehadiran varian terbaru iaitu Competition Sport atau lebih dikenali sebagai CS.
Diposisikan antara M4 Competition dan M4 CSL yang ekstrem, M4 CS tampil dengan talaan spesifik bagi menjadikan ia seimbang untuk kegunaan harian dan pemanduan di litar.
Dalam erti kata lain, ia tidak ubah seperti M3 CS G80 yang diperkenalkan pada 2023. Jentera ini dikuasakan oleh enjin 3.0-liter twin-turbo inline-six yang sama yang menghasilkan 550 PS dan 650 Nm.
Dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan yang memacu semua roda menerusi sistem M xDrive, M4 CS boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum 302 km/j.
Selain enjin, prestasi hebat kereta ini turut disumbangkan oleh pengurangan berat yang telah dilakukan oleh BMW.
Antara langkah yang dilakukan adalah menggunakan CFRP yang ringan untuk bumbung, bonet, splitter depan, air intake depan, cermin sisi, diffuser belakang dan spoiler.
Di dalam, bahan ringan itu turut digunakan secara meluas dan boleh dilihat pada konsol tengah, paddle shifter dan kerusi bucket M Carbon.
Bukan itu sahaja, M4 CS juga dilengkapi dengan penyenyap titanium yang dikatakan 4 kg lebih ringan berbanding sistem ekzos standard.
Secara keseluruhannya, BMW berjaya menjadikan M4 CS 20 kg lebih ringan berbanding M4 Competition M xDrive.
Jentera ini didatangkan standard dengan sistem gantungan adaptif M dan stereng elektromekanikal M Servotronic, namun untuk pengendalian yang lebih mantap, pelanggan boleh mendapatkan strut brace depan yang ditawarkan secara berasingan.
Untuk brek pula, ia menggunakan cakera M Compound yang boleh dinaik taraf kepada cakera karbon seramik. Rim aloi tempaan didatangkan dalam saiz berlainan iaitu 19 inci di depan dan 20 inci di belakang, bersama tayar litar secara standard.
Pelanggan boleh mendapatkan tayar ultra litar atau tayar prestasi yang lebih sesuai untuk kegunaan harian tanpa sebarang bayaran tambahan.
VOLKSWAGEN Commercial Vehicles secara rasminya memperkenalkan California generasi ketujuh untuk pasaran Eropah.
Ia dibina berasaskan Multivan versi long wheelbase dan akan ditawarkan dalam lima versi iaitu Beach, Beach Tour, Beach Camper, Coast dan Ocean apabila dilancarkan pada Jun depan.
Menurut Volkswagen, mereka telah mereka semula semua aspek California bagi menjadikan ia lebih luas, pintar, versatil dan lestari berbanding model terdahulu.
Sebagai contoh, van camper itu kini didatangkan secara standard dengan pintu gelongsor pada bahagian kiri dan kanan, serta bumbung pop-up.
Apabila bumbung tersebut ditutup, ruang dalaman mempunyai ketinggian 1,297 mm dan apabila ia dibuka, ketinggian bertambah kepada 2,108 mm.
Pelanggan juga boleh mendapatkan sengkuap (awning) yang boleh dipasang pada sebelah kiri dan kanan kenderaan sebagai perlindungan daripada cahaya matahari atau hujan.
Di dalam, kerusi belakang jenis bangku telah digantikan dengan tempat duduk individu yang boleh ditanggalkan. Ini membolehkan pelanggan menyimpan basikal mereka di dalam van.
Jangan risau kerana seperti kerusi sebelum ini, tempat duduk berkenaan boleh dibaringkan untuk dijadikan sebagai katil.
Tidak cukup dengan itu, setiap tempat duduk termasuk pemandu dan penumpang hadapan didatangkan dengan laci sendiri yang praktikal. Beberapa port pengecas USB-C 45 watt turut dipasang di dalam ruang kabin.
Versi Beach Camper dilengkapi dengan dapur mini dengan dua laci untuk menyimpan tong gas dan perkakasan, sementara Coast dan Ocean mempunyai dapur yang lebih fleksibel, berserta peti sejuk.
California dibina di atas platform MQB dan akan ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin termasuk TDI empat silinder dengan 150 PS dan TSI empat silinder dengan 204 PS, kedua-duany pacuan roda hadapan.
Selain itu, ia juga boleh didapati dengan trenkuasa hibrid plug-in eHybrid dengan pacuan 4Motion yang menawarkan kuasa keseluruhan sebanyak 245 PS.
Sistem bantuan pemandu seperti Travel Assist turut disertakan bagi memberikan pengalaman pemanduan jarak jauh yang lebih selamat dan selesa.
HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan bahawa Yamaha MT-25 telah mendapat dua pilihan warna baharu untuk tahun 2024 iaitu Midnight Black dan Midnight Cyan.
Menurut HLYM, MT-25 kini dijual pada harga RM23,998, iaitu RM1,000 lebih tinggi berbanding harga jualan sebelum ini.
Tiada sebarang perubahan dari segi spesifikasi, bermakna motosikal ini masih dikuasakan oleh enjin DOHC dua silinder selari bersesaran 249 cc yang menghasilkan 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 22.6 Nm pada 10,000 rpm.
Ia dilengkapi dengan sistem suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik terbalik di depan dan lengan ayun di belakang.
Sistem brek pula merangkumi cakera depan dan belakang, manakala tayar yang digunakan adalah bersaiz 110/70 di depan dan 140/40 di belakang.
Untuk pengetahuan, MT-25 mempunyai dimensi 2,090 mm panjang, 755 mm lebar, dan 1,070 mm tinggi. Tempat duduknya pula setinggi 780 mm, manakala kelegaan tanah adalah 160 mm.
Ia juga mempunyai tangki bahan api berkapasiti 14 liter, dengan berat keseluruhan sekitar 167 kg termasuk cecair.
PRO-NET, pengedar rasmi kenderaan smart di Malaysia, telah mengembangkan lagi rangkaian infrastruktur pengecasannya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap Kenderaan Tenaga Baharu (NEV).
Sejak memperkenalkan pengecas DC di ibu pejabat Proton pada Oktober tahun lalu, Pro-Net telah mengambil langkah proaktif dalam memperluas infrastruktur pengecasannya KE seluruh pengedar Proton Edar.
Dengan kerjasama Gentari, syarikat itu telah berjaya membuka enam pengecas DC, dengan jumlah keseluruhan 12 ruang pengecas dengan setiap satunya dilengkapi dengan dua nozel. Ia melibatkan unit pengecas 50 kW, 100 kW, dan 120 kW, serta tiga unit pengecas 60 kW.
Sementara itu, pemasangan lima pengecas DC dan 13 pengecas AC telah meningkatkan jumlah keseluruhan pengecas kepada 22 ruang pengecas.
Pro-Net juga bersedia meluaskan kehadirannya dalam perancangan yang akan datang untuk memperkenalkan infrastruktur pengecasan tambahan sebagai sebahagian daripada rangkaian pembangunan pengedar di Sabah.
Pada masa kini, lebih 70% daripada stesen pengecasan awam boleh diakses melalui Aplikasi Hello smart, hasil usaha kerjasama strategik dengan chargEV, JomCharge, dan Gentari.
Aplikasi Hello smart mengakses pengguna ke rangkaian stesen, termasuk status penggunaan stesen dan dapat memulakan sesi pengecasan dengan mudah.
Sime Darby Auto Hyundai memperluaskan lagi kehadirannya di Lembah Klang dengan pembukaan bilik pameran baharu di Balakong bagi memenuhi keperluan pelanggan di sekitar kawasan itu dan Cheras.
Outlet itu mempunyai 2.5 tingkat (termasuk mezzanine) dan dibina di atas kawasan berkeluasan 7,200 kaki persegi. Ia merangkumi pejabat di tingkat atas, serta bilik pameran, lounge dan ruang rundingan di tingkat bawah.
Bukan itu sahaja, premis itu juga dilengkapi dengan pengecas AC berkapasiti 11 kW untuk kemudahan pemilik kenderaan elektrik (EV).
Joey Lin, Pengarah Urusan Hyundai-Sime Darby Motors berkata cawangan baharu itu memenuhi satu peranan penting dalam mengukuhkan liputan syarikat itu di Lembah Klang.
“Kami komited untuk melayani pelanggan tempatan dengan standard profesionalisme tertinggi, perhatian dan penjagaan peribadi, dan untuk mempamerkan mobiliti bertaraf dunia terbaik yang ditawarkan oleh Hyundai,” tambah beliau.
Sime Darby Auto Hyundai Balakong terletak di 47 Jalan Tengah, Cheras Selatan 118, Cheras. Ia beroperasi dari 8.30 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Sabtu, dan dari 10 pagi hingga 6 petang pada Ahad dan cuti umum.
MERCEDES-Benz Malaysia telah mengumumkan harga jualan rasmi bagi Mercedes-Benz C350e yang dipertontonkan buat pertama kali pada Februari lalu.
Dipasang secara tempatan di Pekan, Pahang, C350e dijual pada harga RM338,888 atas jalan tidak termasuk insuran. Ia lebih rendah berbanding harga anggaran yang dilaporkan sebelum ini iaitu RM355,000.
Untuk pengetahuan, model ini menggantikan C300 AMG Line yang dilancarkan bersama dengan C200 Avantgarde pada 2022.
Ia dikuasakan oleh enjin petrol 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 204 hp pada 6,100 rpm dan 320 Nm dari 2,000 hingga 4,000 rpm.
Enjin itu dibantu oleh sebuah motor elektrik yang menjana 95 kW dan 440 Nm, memberikan sedan ini kuasa keseluruhan sebanyak 313 hp dan 550 Nm.
Dengan transmisi 9G-Tronic yang memacu roda belakang, C350e boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 245 km/j.
Bateri berkapasiti 25.4 kWj yang dibangunkan sendiri oleh Mercedes-Benz membolehkan sedan ini dipandu sejauh 117 km dan mencapai kelajuan maksimum 140 km/j dengan kuasa elektrik sahaja. Bateri berkenaan mengambil masa dua jam untuk penuh menggunakan pengecas AC berkapasiti 11 kW.
Untuk bahagian luaran, C350e menampilkan pakej penggayaan AMG Line, rim aloi AMG berukuran 18 inci dan Night Package yang mengandungi elemen-elemen hitam berkilat seperti apron hadapan, bingkai tingkap dan cermin sisi.
Varian ini didatangkan standard dengan lampu Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, bumbung suria panoramik dan sistem pencahayaan ambien.
Di dalam, anda akan menemui trim AMG Line, stereng sport yang dibalut kulit Nappa, karpet kaki AMG, dan tempat duduk sport yang dibalut upholsteri kulit Artico dalam warna hitam.
Sistem infohibur MBUX terdiri daripada panel instrumen digital berukuran 12.3 inci, skrin sentuh 11.9 inci yang dihalakan 6 darjah ke arah pemandu dan pengecas wayarles.
Sistem keselamatan pula terdiri daripada kamera 360 darjah, Blind Spot Assist, Active Brake Assist, Active Parking Assist dengan Parktronic, Guard 360° dan Pedestrian Protection.
SHELL dilaporkan sedang dalam perbincangan dengan Saudi Aramco untuk menjual rangkaian stesen minyaknya di Malaysia.
Reuters yang memetik empat sumber industri berkata ia melibatkan perjanjian bernilai kira-kira empat hingga lima bilion ringgit.
Shell enggan mengulas mengenai rundingan itu tetapi berkata Malaysia adalah negara penting kepada syarikat itu. Saudi Aramco juga enggan mengulas.
Shell yang berpangkalan di London memiliki sekitar 950 stesen minyak di seluruh Malaysia, menjadikan ia syarikat petroleum dengan rangkaian kedua terbesar di negara ini selepas Petronas.
Rundingan bermula pada akhir 2023 dan perjanjian mungkin dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang, kata satu sumber.
Dua sumber yang diberi taklimat mengenai perkara itu meletakkan potensi saiz urus niaga pada kira-kira empat bilion hingga lima bilion ringgit ($844 juta hingga $1.06 bilion).
Di samping stesen minyak, Shell turut menjual pelincir industri, mengeluarkan minyak mentah dan gas asli di luar pesisir negeri Sarawak dan Sabah, dan merupakan rakan usaha sama dalam dua usaha niaga gas asli cecair (LNG).
Penjualan itu adalah sebahagian daripada usaha Ketua Pegawai Eksekutif, Wael Sawan untuk memfokuskan operasi syarikat kepada perniagaan yang paling menguntungkan.
Shell berkata ia akan berusaha untuk melepaskan 500 stesen minyak tahun ini dan seterusnya. Syarikat itu juga sedang dalam proses menjual kilang penapisan dan petrokimia Singapura.
Satu sumber turut berkata bahawa usaha Shell untuk menjual stesen minyaknya di Malaysia konsisten dengan langkahnya untuk menjual loji penapisannya di Pulau Bukom di Singapura, yang merupakan pembekal rangkaian itu.
Saudi Aramco, yang dimiliki oleh kerajaan Arab Saudi, tidak mempunyai stesen minyak di Malaysia namun memiliki 50% daripada 300,000 tong sehari (bpd) loji penapisan Pengerang dalam satu usaha sama dengan Petronas.
Aramco mengendalikan stesen minyak di Arab Saudi dan juga mengendalikan stesen minyak di tempat lain dalam usaha sama dengan TotalEnergies di Perancis dan S-Oil Corp di Korea Selatan.