All posts by Amirul Mukminin

Kadar sewa Litar Antarabangsa Sepang naik bermula 1 April

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) mengesahkan mereka akan menaikkan kadar sewa litar tersebut sebanyak 45 peratus berkuat kuasa 1 April.

Dengan kadar baharu itu, sewaan trek pada hari biasa untuk sesi siang akan meningkat 27 peratus daripada RM55,000 kepada RM70,000, manakala hari hujung minggu naik 32 peratus daripada RM60,500 kepada RM80,000.

Untuk sesi malam pula, kadar sewa pada hari biasa meningkat 41 peratus daripada RM55,000 kepada RM78,000, manakala hari hujung minggu naik 45 peratus daripada RM60,500 kepada RM88,000.

Harga-harga yang disebutkan termasuk bantuan pegawai teknikal dan perubatan, ambulans dan kenderaan pemadam kebakaran, pencuci dan kakitangan keselamatan serta akses kepada kemudahan yang berkaitan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, kenaikan harga itu adalah bagi memastikan litar bertaraf gred satu FIA itu terus beroperasi dengan “standard tertinggi”.

“Sebagai sebahagian daripada komitmen SIC untuk mengekalkan standard tertinggi dalam kemudahan dan perkhidmatan, kami telah mengumumkan pelarasan harga sewa litar dan kemudahan kami yang akan berkuat kuasa pada 1 April 2024,” kata Shafriman.

“Keputusan ini adalah penting untuk mempertahankan kualiti kemudahan kami, meningkatkan perkhidmatan dan memudahkan penambahbaikan berterusan yang akan menyumbang kepada pengalaman pelanggan yang lebih baik,” tambah beliau.

Kenaikan harga ini sudah dijangka sejak Januari tahun lalu apabila Shafriman menyatakan bahawa ia tidak dapat dielakan berikutan peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan. SIC tidak pernah menaikkan harga sewaannya sejak 2013.

Autozam AZ-1 boleh jadi Ferrari F40 dengan bantuan Liberty Walk

SEBUT sahaja nama Liberty Walk, pasti anda akan terbayang kereta-kereta seperti Lamborghini Aventador, Nissan GT-R dan McLaren 650S dengan kit badan yang ‘gila gila’.

Bagaimanapun, untuk rekaan terbarunya, tuner terkemuka dari Jepun itu memilih untuk membangunkan kit badan untuk sebuah model yang lebih kecil tetapi tetap ikonik iaitu Autozam AZ-1.

AZ-1 merupakan kereta sport kei dengan konfigurasi enjin tengah-belakang yang dihasilkan oleh Mazda di bawah jenama Autozam pada awal 90-an. Dan kit badan terbaru daripada Liberty Walk ini boleh menukarkannya menjadi Ferrari F40.

Disebabkan saiznya yang kecil model, orang akan tahu yang ini bukanlah sebuah F40 yang sebenar. Namun tidak boleh dinafikan yang ‘wajah’ depannya kelihatan tidak ubah seperti supercar Itali itu.

Tidak cukup dengan itu, kit badan ini turut merangkumi canard, splitter depan dan sudah tentu, dapra depan dan belakang yang lebih lebar. Malah, lekuk pada bahagian kiri dan kanan dibuat seperti bentuk saluran NACA seperti F40.

Bahagian belakang pula menampilkan spoiler yang tinggi dan diffuser dengan sirip-sirip yang panjang untuk efek aerodinamik. Seperti F40, AZ-1 Liberty Walk ini juga mempunyai tiga muncung ekzos yang disusun pada bahagian tengah.

Menurut laman web syarikat itu, pakej kit badan ini dijual pada harga bermula dari 2,226,000 yen (RM71,405) namun lampu depan dan belakang tidak termasuk.

Selain itu, pelanggan juga boleh melengkapkan penampilan AZ-1 mereka dengan rim tempaan berukuran 16 inci di depan, 17 inci di belakang yang berharga 1,430,000 yen (RM45,871).

Honda HR-V rosak selepas 2 minggu diguna, punca masalah tidak dapat dikesan

MINGGU lalu, tular kisah mengenai seorang wanita yang kurang bernasib baik apabila Perodua Bezza yang dibelinya tidak boleh dipandu akibat rosak hanya 8 jam selepas dibeli.

Kali ini, seorang pengguna media sosial, Noriya Mamat mengalami nasib yang hampir serupa apabila Honda HR-V yang dibelinya pada Ogos tahun lalu rosak selepas hanya dua minggu digunakan.

Dalam satu hantaran di Facebook, Noriya berkata, SUV tersebut mengalami masalah selepas dihantar ke pusat servis Honda di Gong Badak, Terengganu pada 2 September lalu untuk servis 1,000 km.

Dua hari selepas itu, kereta beliau mengalami beberapa kerosakan termasukan lampu depan tidak boleh dilaras, lampu penunjuk berkelip-kelip dan lampu kecemasan menyala.

Dakwa Noriya, keadaan lebih memilukan apabila pusat servis Honda itu memberikan alasan bahawa mereka tidak dapat mengesan punca masalah berkenaan.

Susulan itu, Noriya bertindak untuk menghantar semula keretanya itu ke pusat servis selama seminggu. Bagaimanapun, dia berkata, masalah bersama berulang kembali dan terpaksa menghantar sekali lagi SUV itu untuk diservis.

“Saya terpaksa berulang-alik ke pusat servis dalam keadaan saya sarat mengandung pada ketika itu,” ujar Noriya.

Masalah ini berlanjutan sehingga Disember, di mana ketika itu Noriya telah diberitahu bahawa pegawai teknikal dari ibu pejabat Honda akan datang ke Terengganu untuk melihat masalah kenderaan itu.

Pada 10 Januari lalu, ibu pejabat Honda telah menghubungi Noriya dan memaklumkan bahawa masalah SUV itu tidak dapat diselesaikan.

“Setelah empat bulan berada di pusat servis, kali ini mereka maklumkan bahawa kenderaan akan dibawa ke Honda HQ Kuala Lumpur untuk dipantau lebih lanjut dan tempoh sebulan mencari penyelesaian.

“Berapa lama lagi saya perlu menunggu? Setiap bulan saya perlu membayar RM1,500 untuk SUV yang tidak saya gunakan.

“Mengapa pihak Honda mengambil masa yang lama untuk kes seperti ini. Di mana khidmat lepas jualan yang terbaik seperti dijanjikan Honda?” soalnya.

Chery Malaysia, Carsome jalin kerjasama revolusikan tukar-beli kenderaan

CHERY Malaysia telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Carsome dan Akademi Carsome semasa taklimat tahunan perniagaannya pada Rabu, 10 Jan.

Fokus utama kerjasama ini adalah untuk merevolusi tukar-beli (trade-in) kenderaan dan meningkatkan kemahiran insaniah dalam rangkaian wakil jualan Chery.

Kerjasama dengan Carsome memudahkan proses bagi pelanggan Chery yang mengunjungi pusat pameran mereka. Dengan memilih untuk tukar-beli, pelanggan boleh meminta Carsome untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan di lokasi pilihan mereka.

Selesai pemeriksaan, Carsome akan membuat tawaran harga bagi kenderaan yang hendak ditukar-beli. Apabila tawaran diterima, pelanggan boleh menyerahkan kereta lama mereka sebelum atau semasa mengambil kereta Chery yang baru.

Carsome juga menjalankan kempen istimewa untuk pengedar Chery dengan menawarkan tambahan RM500 di atas harga tawaran pertukaran untuk pelanggan mereka yang menukar kereta dari 15 Januari hingga 15 Februari 2024.

Sementara itu, MoU kedua bertujuan untuk memperkukuhkan kemahiran insaniah dalam rangkaian wakil jualan Chery.

Perjanjian di antara Chery Auto Malaysia dan Akademi Carsome akan memberi tumpuan kepada empat aspek iaitu Peningkatan Kemahiran Tenaga Kerja, Program Pemeriksaan Kenderaan Peneraju Skil, Latihan & Penempatan serta Inisiatif Pemasaran.

“Kerjasama dengan Carsome akan memberi manfaat dan penting bagi pengedar kenderaan Chery kami, terutama dengan peningkatan pelanggan yang ingin menukar kereta lama mereka dengan kereta Chery yang baru,” katanya Naib Presiden Chery Auto Malaysia, Lee Wen Hsiang.

Selain itu, dengan rancangan untuk memperluaskan pusat pameran kepada 48 cawangan menjelang akhir 2024, akan melihat peningkatan dalam tenaga kerja, termasuk wakil jualan dan pengurus jualan.

Oleh itu, memastikan kepentingan perkhidmatan pelanggan Chery menjadi langkah penting untuk kejayaan jenama itu pada masa hadapan.

EQB terbakar: syarikat pengendali stesen pengecas beroperasi tanpa lesen

SURUHANJAYA Tenaga (ST) dalam satu kenyataan mendedahkan syarikat pengendali stesen pengecas kenderaan elektrik (EVCS) di Johor yang terbakar pada 31 Disember lalu didapati beroperasi tanpa lesen.

Dalam kenyataan itu, ST memaklumkan Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 memperuntukkan bahawa aktiviti pembekalan tenaga daripada mana-mana pepasangan hendaklah dilaksanakan dengan lesen yang sah daripada ST.

Dalam kejadian itu, sebuah Mercedes-Benz EQB hangus terbakar ketika sedang dicas di sebuah bangunan bilik pameran kenderaan di Tampoi.

Selain itu, kira-kira lima peratus daripada premis berkeluasan 256 meter persegi itu terbakar, dengan 20 peratus daripada kemudahan pengecas EV itu turut musnah.

Setakat ini, tiada laporan kecederaan mangsa atau pasukan bomba dan penyelamat dalam kejadian tersebut.

Menurut suruhanjaya itu lagi, pihaknya sedang menyiasat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Pihak bertanggungjawab dan syarikat terlibat juga akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Pada 16 Disember 2022, ST dilaporkan menyarankan pengendali titik pengecasan (CPO) yang terlibat dalam pembangunan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik (EV) agar segera mendapatkan lesen pengagihan awam yang sah bagi pepasangan EVCS di negara ini termasuk yang telah beroperasi, selewat-selewatnya pada 31 Mac 2023.

Pusat 3S Mitsubishi Motors kini dibuka di Nilai, N9

MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM) bersama pengedar sah Ban Lee Heng Motor (Nilai) Sdn Bhd baru-baru ini melancarkan pusat 3S Mitsubishi Motors pertama di Nilai.

Outlet baharu ini beralamat di Lot 27447, Jalan BBN 5/1a, Bandar Nilai Utama, Nilai. Dengan pembukaannya, MMM kini mempunyai 59 bilik pameran di seluruh negara.

Outlet baharu ini mempunyai keluasan 6,400 kaki persegi, dengan kemudahan seperti ruang rehat pelanggan, ruang bermain kanak-kanak dan di pusat servisnya pula, terdapat tiga ruang servis.

Selain itu, pusat 3S ini juga membawa identiti jenama Mitsubishi Motors dengan mesej global ‘Drive Your Ambition’.

“Selaras dengan rancangan perniagaan Mitsubishi Motors dan sambil kami berusaha secara progresif untuk memperkenalkan model Mitsubishi Motors baharu di Malaysia, kami akan terus mengembangkan rangkaian pengedar untuk meningkatkan pengalaman pelanggan kami,

“Melalui langkah strategik ini, kami menyasarkan untuk meliputi lokasi yang belum diterokai dan mengembangkan jualan dan perkhidmatan kami bagi memenuhi keperluang pelanggan jenama Mitsubishi yang semakin meningkat,” kata Shinya Ikeda, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.

Menurut Ikeda, Ban Lee Heng Motor sudah berada dalam perniagaan automotif sejak 1976 dan sangat berpengalaman di dalam industri.

Honda CR-V e:HEV RS – harga rasmi diumumkan, RM195,900

HONDA Malaysia hari ini mengumumkan harga rasmi Honda CR-V e:HEV RS serba baharu iaitu RM195,900.

Model flagship ini diperkenalkan pada Disember lalu bersama tiga lagi varian iaitu 1.5L S (RM159,900), 1.5L E (RM169,900) dan 1.5L V (RM181,900).

Tidak seperti varian-varian lain, CR-V e:HEV RS menampilkan enjin 2.0-liter empat silinder kitaran Atkinson yang boleh menghasilkan 148 PS pada 6,100 rpm dan 190 Nm pada 4,500 rpm.

Penggerak utama trenkuasa hibird ini merupakan motor elektrik yang menjana 184 PS dan 335 Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi e:CVT.

Dari segi penampilan, varian RS ini boleh dibezakan menerusi lencana RS pada gril dan tailgate, Active Shutter Grille, rel bumbung, kemasan hitam pada antena dan cermin sisi, serta rim aloi 18 inci dalam warna Berlina Black.

Bukan itu sahaja, bahagian bawah bampar depan dan belakangnya juga dicat sama dengan warna badan. Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk lampu LED depan dan belakang, lampu membelok berjujukan LED, Active Cornering Light dan kemasan krom pada ekzos.

Bahagian dalaman pula menampilkan upholsteri kulit dengan jahitan merah, pelarasan lapan hala dan fungsi memori pada tempat duduk pemandu, head-up display, pengecas wayarles dan dua port USB.

Sistem infohibur merangkumi panel instrumen TFT 10.2 inci, skrin sentuh 9.0 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio Bose yang mempunyai 12 pembesar suara.

Ciri-ciri keselamatan pula terdiri daripada Honda Sensing dengan sembilan ciri, dua beg udara, Honda LaneWatch dan kamera 360 darjah. Turut disertakan adalah Honda Connect.

CFMoto 1250 TR-G masuk pasaran Malaysia – RM88,888

PASARAN motosikal grand tourer tempatan kini menerima pesaing baharu dari jenama CFMoto iaitu 1250 TR-G.

Ia ditawarkan pada harga bermula dari RM88,888 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) dan boleh didapati di mana-mana pengedar sah CFMOTO di seluruh Malaysia bermula minggu depan.

Bakal bersaing dengan model-model seperti BMW 1250 RT dan Benelli 1250 GT, jentera ini dipacu oleh enjin V-twin KTM bersesaran 1,279 cc yang mampu menghasilkan 140 hp pada 8,500 rpm dan 120 Nm pada 7,000 rpm.

Enjin tersebut digandingkan dengan transmisi enam kelajuan dengan klac slipper dan pacuan akhir jenis rantai. Kapasiti tangki bahan api motosikal ini adalah 22.7 liter manakala beratnya mencecah 304 kg.

1250 TR-G dilengkapi dengan penyerap hentak Marzocchi boleh laras, serta sistem brek dwi-cakera berukuran 320 mm di depan dan cakera tunggal 270 mm di belakang. Kedua-duanya dicengkam oleh angkup Brembo, selain dibantu ABS dwi-saluran.

Senarai kelengkapan yang disertakan pada motosikal berharga di bawah RM90,000 ini boleh tahan panjang. Antaranya termasuklah pendikit elektronik, tiga mod tunggangan (Sport, Comfort dan Rain), Cruise Control, Quickshifter dan Tyre Pressure Monitoring System.

Selain itu, ia juga didatangkan standard dengan lampu LED depan dan belakang, lampu nyalaan siang (DRL), dan skrin sentuh berukuran 12.3 inci dengan sambungan Bluetooth dan Apple CarPlay. Sistem audio JBL turut disertakan.

Untuk pasaran Malaysia, CFMoto 1250 TR-G boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Nebula White dan Twilight Blue.

Chery Malaysia jual 4,501 unit kenderaan dari September hingga Disember 2023

CHERY Malaysia mengumumkan ia berjaya menjual sebanyak 4,501 unit kenderaan pada 2023, satu pencapaian yang dianggap luar biasa memandangkan syarikat itu hanya mula menyerahkan Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro pada September.

Menurut Naib Presiden Chery Auto Malaysia, Lee Wen Hsiang, lebih 80 peratus daripada jumlah tersebut disumbangkan oleh Omoda 5.

Bukan itu sahaja, Lee berkata mereka juga menjalankan tinjauan kepuasan jualan di mana lebih 1,000 pelanggan jenama itu telah memberikan markah 94 daripada 100.

Tambah Lee lagi, walaupun mendapat banyak ulasan ketika mula memasuki pasaran Malaysia, Chery Malaysia akan mengekalkan tumpuan mereka untuk terus menyelesaikan isu pelanggan.

Antara usaha yang dilakukan untuk mencapai sasaran itu adalah menerusi perluasan rangkaiannya di seluruh negara.

Pengarah Pembangunan Rangkaian Chery Auto Malaysia, Soon Boon Ping berkata setakat ini syarikat itu mempunyai 32 outlet yang beroperasi di seluruh negara dengan tenaga kerja seramai 550 kakitangan.

“Menjelang akhir 2024, kami berharap untuk mempunyai sekurang-kurangnya 48 cawangan beroperasi dan ini juga akan menyumbang kepada peningkatan 70 peratus dalam pusat 3S dan 4S kami,” katanya.

Mengenai produk, Pengarah Produk Chery Auto Malaysia, Michael Chew mengesahkan bahawa syarikat itu akan memperkenalkan empat model baharu pada 2024.

Ia akan bermula dengan Omoda E5 pada Mac, diikuti dengan Tiggo 7 Pro pada suku kedua dan dua lagi model pada suku keempat.

Apa yang menarik, salah satu daripada dua model tersebut merupakan model mampu milik yang akan membantu Chery Malaysia mencapai volum lebih tinggi. Adakah ia Tiggo 4 Pro yang dipratonton pada Oktober 2022?

Chery Tiggo 7 Pro sah akan dilancarkan pada suku kedua 2024

SEMASA pembentangan taklimat perniagaannya di Kuala Lumpur awal hari ini, Chery Malaysia mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan Tiggo 7 Pro ke pasaran tempatan pada suku kedua tahun ini.

SUV lima tempat duduk itu akan menjadi model keempat Chery yang diperkenalkan di Malaysia selepas Omoda 5, Tiggo 8 Pro dan Omoda E5. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Omoda E5 akan dilancarkan pada Mac depan.

Di samping mengesahkan kemasukan Tiggo 7 Pro, Chery Malaysia turut mengambil kesempatan untuk mendedahkan spesifikasi awal untuk model berkenaan.

Tidak seperti Indonesia, di mana Tiggo 7 Pro ditawarkan dengan enjin 1.5-liter turbo, kita akan mendapat enjin 1.6-liter empat silinder turbo yang menghasilkan 197 hp dan 290 Nm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.3 saat.

Selain itu, Tiggo 7 Pro juga didatangkan dengan rim aloi 18 inci, bumbung suria panoramik dan penyejuk tempat duduk depan. Menariknya, gambar yang digunakan dalam slaid pembentangan menunjukkan rekaan bampar hadapan yang berbeza dengan unit yang dipratonton tahun lalu.

Sistem infohibur pula merangkumi skrin berkembar berukuran 24.6 inci, Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, serta sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara.

Dari segi keselamatan pula, model tersebut dilengkapi dengan 17 ciri ADAS, iaitu lima ciri lebih banyak berbanding Tiggo 8 Pro. Turut disertakan adalah kamera 540 darjah.

Harga masih belum diumumkan, namun kami menjangkakan Tiggo 7 Pro akan diposisikan betul-betul di antara Omoda 5 (RM108,800 hingga RM118,800) dan Tiggo 8 Pro (RM159,800). Kemungkinan besar ia juga akan dipasang secara tempatan di Kulim, Kedah bersama-sama dengan dua model tersebut.

Tindakan lebih tegas jika salah guna laluan khas bas – Anthony Loke

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke berkata kementeriannya akan melaksanakan penguatkuasaan lebih ketat terhadap pengguna jalan raya yang menyalahgunakan laluan khas bas.

Beliau menjelaskan, penguatkuasaan itu bagi memastikan laluan khas bas berkenaan tidak dieksploitasi oleh pengguna jalan raya yang lain.

Langkah itu juga sebahagian daripada usaha kerajaan bagi memastikan pengangkutan awam khususnya perkhidmatan bas, menjadi antara pilihan utama dalam kalangan rakyat.

“Pendekatan saya ialah carrot and stick (ganjaran dan hukuman). Jika carrot (manfaat) tidak menarik mereka, kita akan gunakan stick (penguatkuasaan).

“Orang ramai tidak berminat menaiki bas kerana terdapat kemungkinan mereka tersangkut dalam kesesakan jalan raya kerana kekerapan bas sukar dijangka. Itulah sebabnya kita berusaha keras memperkenalkan laluan bas.

“Kita ada dua laluan pada masa ini iaitu di Jalan Ampang dan Jalan Genting Klang. Jika dua koridor ini berjaya, kita bercadang untuk menambah laluan bas ini,” katanya.

Volkswagen Golf GTI facelift didedahkan – rupa lebih garang, butang fizikal dikembalikan

VOLKSWAGEN Golf GTI generasi kelapan (Mk8) kini sudah berusia hampir empat tahun selepas ia diperkenalkan buat pertama kali pada Februari 2020.

Justeru itu, hot hatch kegemaran ramai itu telah diberikan facelift, dengan pembaharuan bukan sahaja pada reka bentuk, malah turut merangkumi aspek kelengkapan dan teknologi.

Walaupun masih memakai pelekat penyamaran, Golf GTI facelift boleh dilihat menampilkan lampu depan dan belakang yang direka semula, serta elemen berbentuk ‘J’ pada sudut kiri dan kanan bampar depan.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan spoiler belakang yang kelihatan sama seperti spoiler Clubsport, dan rim Estoril berukuran 19 inci seperti yang dilihat pada Golf R.

Untuk ruang dalaman, perubahan paling besar adalah butang fizikal pada stereng, yang dikembalikan semula bagi menggantikan panel sesentuhan yang mendapat banyak kritikan daripada pengguna.

Satu lagi penambahan adalah paparan ala tablet yang menonjol di atas papan pemuka. Paparan ini bukannya baru kerana ia telah disertakan pada beberapa model sedia ada Volkswagen seperti ID.7, ID.4, serta Passat dan Tiguan pasaran Eropah.

Bukan itu sahaja, Golf GTI facelift juga akan menjadi antara model Volkswagen pertama yang menampilkan integrasi chatbot berasaskan AI iaitu ChatGPT pada sistem arahan suara IDA yang sedia ada.

Dengan integrasi ini, fungsi arahan suara IDA boleh digunakan untuk mengawal sistem infohibur, navigasi dan pendingin hawa, serta menjawab soalan pengetahuan am.

Pada masa depan, ChatGPT akan menambah lebih banyak informasi bagi membolehkan ia menjawab lebih banyak soalan, berinteraksi dalam bahasa intuitif, menerima maklumat spesifik kenderaan dan banyak lagi.

Pengguna tidak perlu membuat akaun baharu atau memuat turun aplikasi untuk mengaktifkan ChatGPT. Sebaliknya mereka hanya perlu berkata “Hello IDA” atau menekan butang pada stereng untuk menggunakan ciri ini.

Jangan risau kerana chatbot AI itu tidak mempunyai akses kepada sebarang data. Menurut Volkswagen, soalan dan jawapan akan terus dipadamkan bagi memastikan tahap perlindungan data yang tertinggi.

Untuk enjin pula, model ini dijangka mengekalkan ‘jantung’ EA888 2.0-liter turbo empat silinder yang sedia ada. Dalam model pra-facelift, enjin berkenaan menghasilkan 245 PS dan 370 Nm, yang disalurkan ke roda depan menerusi transmisi DSG tujuh kelajuan.

RM749 setiap meter persegi kos pasang garisan jalan ‘glow in the dark’

MEMANG ada keperluan untuk memasang garisan jalan glow in the dark di Lebuh Raya Timur-Barat (Jeli-Gerik) namun kosnya hampir 20 kali ganda lebih tinggi berbanding kaedah konvensional.

Perkara itu diakui sendiri oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Beliau turut menambah bahawa pihaknya memang sudah melakukan kajian berhubung perkara itu.

“Saya sendiri sudah melakukan lawatan ke Hulu Langat, November lalu, dan ia (garisan jalan bercahaya dalam gelap) nampak bagus, selain maklum balas daripada pengguna juga positif.

“Namun, kosnya sangat mahal berbanding kaedah yang kita gunakan sekarang. Kos pemasangan garisan jalan bercahaya dalam gelap adalah RM749 bagi setiap meter persegi berbanding kaedah konvensional menggunakan cat yang hanya RM40 bagi setiap meter persegi,” katanya.

Alexander menjelaskan, pihaknya perlu melakukan kajian lanjut secara menyeluruh terlebih dahulu, selain meneliti dari aspek kewangan.

“Memang ada keperluan di lebuh raya berkenaan, namun perlu melihat dari segi kewangan juga. Jika menggunakan kaedah yang memerlukan kos tinggi, mungkin hanya boleh membabitkan jarak yang dekat dan ia masih mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya,” jelasnya.

Volkswagen lancar kempen Tahun Baru Cina, penjimatan sehingga RM18,888

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) baru-baru ini melancarkan kempen Tahun Baru Cina yang membawakan pelbagai tawaran menarik untuk keseluruhan barisan modelnya.

Berlangsung sehingga 29 Februari, kempen tersebut menawarkan penjimatan berjumlah sehingga RM18,888 untuk model-model Volkswagen, termasuk Golf GTI, Tiguan Allspace dan Arteon R-Line.

Butiran penjimatan bagi setiap model adalah seperti berikut:

Model Penjimatan RRP dengan penjimatan
Tiguan Allspace Life (IQ.Drive) RM2,888 RM174,012
Tiguan Allspace Elegance (IQ.Drive) RM8,888 RM197,012
Tiguan Allspace R-Line (IQ.Drive) RM8,888 RM250,012
Arteon R-Line (IQ.Drive) RM18,888 RM281,012
Golf GTI (IQ.Drive) RM3,888 RM249,012

Bukan itu sahaja, semua model Volkswagen juga didatangkan dengan pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun, waranti tanpa had perbatuan selama lima tahun dan pakej bantuan tepi jalan selama lima tahun.

Tempahan dan janji temu sesi pandu uji boleh dibuat di semua wakil pengedar bertauliah Volkswagen di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, layari volkswagen.com.my.

Sisma Auto Hub Sungai Besi dibuka sebagai pusat 3S pelbagai jenama

SISMA Auto baru-baru ini melancarkan Sisma Auto Hub Sungai Besi, sebuah pusat 3S premium yang menawarkan perkhidmatan membeli, menjual dan servis untuk sebarang jenama kereta mewah.

Terletak di Wisma Sisma Auto di Lebuhraya Sungai Besi, ia merupakan cawangan Sisma Auto Hub kedua yang dibuka berikutan cawangan Glenmarie yang dilancarkan pada Februari 2022.

Pengarah Urusan Kumpulan bagi SISMA Auto, Syed Khalil Syed Ibrahim berkata, Sisma Auto Hub Sungai Besi mempunyai saiz yang lebih besar dan kemudahan yang lebih baik untuk memenuhi keperluan pelanggan yang semakin bertambah.

“Kejayaan operasi cawangan Glenmarie kami menunjukkan bahawa terdapat permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan unik yang kami tawarkan. Kami berbesar hati kerana dapat membuka cawangan kedua Sisma Auto Hub di aras dua dan tiga Wisma Sisma Auto di Sungai Besi untuk memenuhi permintaan ini,” katanya.

Pelanggan yang ingin membeli kereta mewah terpakai boleh memilih daripada rangkaian kereta terpilih yang diperakui, yang dipilih berdasarkan perbatuan dan keadaannya. Setiap kereta perlu menjalani pemeriksaan yang teliti dan dibaik pulih supaya ia berada dalam keadaan yang terbaik.

Selain itu, pelanggan yang berhasrat menjual kereta mewah mereka juga boleh melakukannya di Sisma Auto Hub. Kakitangan profesional yang berpengalaman akan membuat penilaian yang wajar dan membantu melancarkan proses jualan.

Sementara itu, pusat servis SISMA Auto Hub dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan dan peralatan diagnostik terkini untuk menyelenggara semua kereta buatan jenama Eropah.

Perkhidmatan disediakan untuk semua jenama kereta mewah sama ada ia dibeli menerusi import selari atau yang telah tamat waranti daripada pengeluar.

Pasukan Sisma Auto Hub terdiri daripada mekanik terlatih yang mampu menjalankan kerja-kerja servis, penyenggaraan dan pembaikan, termasuklah kerja pembaikan besar.

Perkhidmatan lain yang turut disediakan adalah servis tayar, penjajaran dan pengimbangan roda, servis penyaman udara dan penukaran cermin depan.

Bukan itu sahaja, kakitangan pusat ini juga boleh membantu dalam proses tuntutan insurans bagi kes-kes kemalangan. Sisma Auto Hub merupakan pembaik panel bagi penyedia waranti kenderaan terkemuka, Warranty Smart.

Sisma Auto Hub Sungai Besi terletak di Wisma Sisma di 855, Lebuhraya Sungai Besi, Sungai Besi, 57100 Kuala Lumpur. Waktu operasi adalah dari 9.00 pagi hingga 7.00 malam dari Isnin hingga Jumaat, dan dari 10.00 pagi hingga 5.00 petang bagi Sabtu dan Ahad.

Pemandu Perodua Kembara halang ambulans dikenakan tindakan

Baru-baru ini tular satu video berdurasi 53 saat yang memaparkan seorang pemandu Perodua Kembara sedang menghalang laluan sebuah ambulans di Sri Aman, Sarawak.

Menerusi kenyataan dalam video berkenaan, seorang pesakit meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital gara-gara sikap pentingkan diri pemandu tersebut.

Polis Daerah Sri Aman, Sarawak dalam satu kenyataan berkata, tindakan telah diambil terhadap pemandu Kembara itu kerana menghalang sebuah ambulans di Kilometer 6, Jalan Kuching-Sri Aman dekat Jalan Kampung Entulang Bungkang.

Menurut Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Suprintendan Mathew Manggie, pemandu itu dikenakan tindakan mengikut Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Lalulintas 166/59 iaitu Kesalahan Tidak Beri Laluan kepada ambulans.

“Pada Jumaat lalu sekitar jam 3 petang, tular sebuah kenderaan di media sosial yang tidak memberi laluan kepada sebuah ambulans yang membawa pesakit ke Hospital Sri Aman.

“Sehari selepas kejadian itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman mengambil tindakan mengesan kenderaan itu dan pemandunya,” katanya.

UMW Toyota Motor catat jualan keseluruhan 108,107 unit bagi 2023

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan ia berjaya menjual 10,402 unit kenderaan pada Disember 2023. Daripada angka tersebut, 10,079 unit adalah kenderaan Toyota manakala 323 unit adalah Lexus.

Dengan ini, jumlah jualan keseluruhan UMWT bagi tahun 2023 mencecah 108,107 unit, iaitu tujuh peratus lebih tinggi berbanding 101,035 unit yang direkodkan pada 2022.

Menurut UMWT, tahun lalu turut menyaksikan seramai 1,342,130 pelanggan kembali ke pusat servis bertauliahnya bagi mendapatkan perkhidmatan selepas jualan.

“Dengan rasa terima kasih yang tulus kepada semua pelanggan kami untuk sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi, akhir tahun ini, UMWT memperbaharui komitmen kami terhadap “Move Your World,” kata Datuk Ravindran K., Presiden UMWT.

“Kami akan terus berusaha untuk menawarkan pengalaman mobiliti yang diperkaya menerusi kereta-kereta Toyota kami dan meluaskan akses kepada pemilikan untuk bakal pelanggan.

“Komitmen kami untuk mencapai kecemerlangan dan memupuk inovasi dalam automotif industri kekal tidak berbelah bahagi, memastikan tawaran terbaik untuk pemandu dan pihak berkepentingan kami,” tambahnya.

Menurut Ravindran lagi, UMWT merancang untuk memperkenalkan lebih banyak model terutamanya yang dilengkapi dengan teknologi xEV bagi memperkukuhkan komitmennya untuk menyokong sasaran Malaysia untuk mencapai sifar pelepasan gas rumah hijau menjelang 2050.

Perodua setuju beli balik Bezza rosak lepas 8 jam dibeli

KEMELUT seorang pemilik Perodua Bezza yang rosak selepas 8 jam dibeli akhirnya berakhir apabila Perodua bersetuju untuk membeli semula kereta berkenaan dengan harga penuh.

Perkara itu dikongsikan pemilik kenderaan berkenaan, Nagakanni Subramaniam menerusi satu hantaran pada akaun Facebook miliknya pada Jumaat.

“Dengan keputusan ini, saya tak perlu lagi bayar bulan-bulan untuk kereta lama, dan semua bayaran sebelum ni pun saya akan dapat semula pemulangan wang,” tulisnya.

Tambah Nagakanni, Perodua juga menawarkan kepadanya untuk membeli kereta kedua dengan kadar pinjaman bulanan yang sama atau menolak tawaran tersebut dan membeli kereta lain.

“Saya perlu buat keputusan ni dalam tujuh hari. Terima kasih Perodua atas keputusan ini.

“Perjuangan menuntut hak daripada syarikat gergasi bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya seorang kerani yang hanya semut ni.

“Tapi saya belajar sesuatu. Walaupun kita kecil seperti semut, kalau kita bersatu tanpa kira warna dan kaum, kita akan berjaya. Akhirnya, kerana gula, semut bersatu,” katanya dalam hantaran tersebut.

Xiaomi SU7 diperkenalkan secara rasmi – 673 PS, 0-100 km/j dalam 2.78s, jarak pandu 800 km

ANDA mungkin tahu bahawa ada beberapa pengeluar telefon pintar yang sedang merancang untuk menceburkan diri dalam perniagaan EV.

Salah satunya adalah Xiaomi, yang baru sahaja memperkenalkan EV pertamanya iaitu SU7. Ia digelar sebagai “sedan eko-teknologi berprestasi tinggi bersaiz penuh”.

Bercakap tentang saiz, ukuran dimensi SU7 adalah 4,997 mm panjang, 1,963 mm lebar, 1,440 mm tinggi dan 3,000 mm untuk jarak roda. Ini menjadikannya sedikit lebih besar berbanding Porsche Taycan dan Tesla Model S.

Model ini dibina berdasarkan platform Modena yang menawarkan senibina 400 volt dan 800 volt, dengan tiga pilihan motor elektrik iaitu HyperEngine V6, V6s dan V8s.

Untuk rekaan bahagian luaran SU7, Xiaomi menggunakan khidmat bekas pereka BMW, Chris Bangle yang bertindak sebagai perunding bagi projek ini.

Hasilnya, EV tersebut mempunyai kadar pekali seretan 0.195, menjadikannya antara kereta yang paling aerodinamik dalam pasaran.

Di dalam, pengeluar telefon pintar dari China itu menggunakan kepakarannya dalam bidang teknologi untuk melengkapkan SU7 dengan gajet terkini.

Ini termasuk skrin sentuh tengah berukuran 16.1 inci dan sistem pemanduan autonomi pintar yang merangkumi satu LiDAR, 11 kamera, tiga radar dan 12 radar ultrasonik.

SU7 akan ditawarkan dalam dua varian iaitu asas dan Max. Varian asas dikuasakan oleh HyperEngine V6 dengan 299 PS dan 400 Nm yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.28 saat dan mencapai kelajuan maksimum 210 km/j.

Varian ini dilengkapi dengan bateri berkapasiti 73.6 kWj yang menawarkan jarak pandu sehingga 668 km.

Sementara itu, SU7 Max mempunyai HyperEngine V8s dengan sepasang motor elektrik yang menjana 673 PS dan 838 Nm. Ia memerlukan hanya 2.78 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j dan boleh memecut sehingga 265 km/j.

Dengan bateri 101 kWj, ia boleh dipandu sejauh 800 km dengan satu cas penuh. Oleh kerana varian ini menggunakan senibina 800 volt, ia boleh mendapatkan semula jarak pandu 220 km dalam hanya lima minit atau 390 km dalam 10 minit.

Topi keledar Gracshaw DC Super Heroes dilancarkan – RM460

JENAMA topi keledar tempatan, Gracshaw telah melancarkan barisan topi keledar edisi terhad DC Super Heroes yang menampilkan enam rekaan istimewa.

Rekaan-rekaan tersebut adalah berdasarkan watak popular dari DC iaitu Batman, Superman, Wonder Woman, The Flash, Aquaman dan The Joker.

Menurut Gracshaw, topi keledar ini merupakan produk tulen dan asli yang direka dengan kerjasama DC.

Tambah syarikat itu lagi, hanya 1,500 unit akan dihasilkan untuk rekaan Batman, Superman, The Flash dan The Joker, manakala Aquaman dan Wonder Woman masing-masing terhad kepada 500 unit.

Ini bagi memastikan status topi keledar ini sebagai barangan pengumpul yang jarang ditemui dan berharga.

Topi keledar Gracshaw DC Super Heroes menggunakan model Gennex sebagai asas. Selain mempunyai pensijilan SIRIM, ia juga menawarkan ciri-ciri seperti pengunci cincin D berganda, sistem pengudaraan berganda dan pelapik dalaman yang boleh ditanggalkan.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan visor yang boleh didapati dalam lapan warna menarik.

Topi keledar Gracshaw DC Super Heroes boleh didapati dalam saiz M hingga XXXL, dengan harga RM460 seunit. Setiap pembelian didatangkan kotak khas yang mengandungi beg, sijil ketulenan dan pelekat unik.

Topi keledar ini boleh didapati di 30 pengedar terpilih Gracshaw bermula 10 Januari 2024.