IA bukanlah satu rahsia bahawa Lotus sedang menjalani proses transformasi untuk menjadi jenama elektrik sepenuhnya menjelang 2028.
Walaupun masih ada lebih kurang empat tahun untuk mencapai sasaran itu, Lotus sudah mempunyai dua model elektrik dalam barisannya iaitu Eletre dan Emeya. Ia masih menjual model ICE iaitu Emira namun ia akan menjadi yang terakhir.
Bagi mengatasi masalah kebimbangan mengenai jarak dan kemudahan pengecasan, Lotus telah membangunkan rangkaian pengecasannya sendiri yang merangkumi pengecas pantas DC, kabinet kuasa dan unit modular yang membolehkan empat EV dicas serentak.
Menggunakan teknologi penyejukan cecair, pengecas DC tersebut menawarkan pengecasan dengan kapasiti sehingga 450 kW. Sebagai contoh, Eletre R boleh mendapat jarak gerak sejauh 142 km dengan pengecasan selama lima minit.
Untuk perbandingan, rangkaian pengecasan Tesla Supercharger V3 boleh memberikan jarak gerak sejauh 120 km dalam tempoh masa yang sama.
Pada kapasiti 450 kW, pengecasan dari 10 hingga 80 peratus boleh dicapai dalam masa 20 minit manakala pada kapasiti 350 kW, pengecasan selama lima minit akan menambah jarak gerak sebanyak 120 km.
Kabinet kuasa modular pula sesuai untuk diletakkan di lokasi-lokasi yang memerlukan yang memerlukan jumlah tenaga yang tinggi untuk mengurangkan masa pengecasan, seperti di lebuh raya.
Sementara itu, unit pengecasan, yang juga dilengkapi dengan teknologi penyejukan cecair, membolehkan empat kenderaan dicas secara serentak.
Menurut Lotus, kemudahan pengecasan pantasnya telah pun dipasang di China dan dijangka akan mula dilancarkan di negara-negara utama Eropah dan Timur Tengah pada suku kedua 2024.
RASANYA ramai yang menunggu sedan terbaharu Proton, apatah lagi apabila kali terakhir pengeluar kenderaan nasional itu melancarkan model sedan adalah menerusi Persona pada 2016.
Nampaknya penantian mereka berakhir hari ini dengan pelancaran rasmi Proton S70 ke pasaran tempatan. Ia merupakan keempat yang terlahir dari kerjasama antara Proton dan Geely selepas X70, X50 dan X90.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, S70 boleh didapati dalam empat varian iaitu Executive, Premium, Flagship dan Flagship X.
Keeempat-empat varian menampilkan gabungan enjin 1.5-liter turbo tiga silinder dan kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan yang menghasilkan 150 PS dan 226 Nm.
Untuk pengetahuan, ini merupakan enjin port injection dan transmisi yang sama seperti yang digunakan oleh X50 Standard, Executive dan Premium.
Enjin 1.5-liter turbo TGDi dengan 177 PS dan 255 Nm yang terdapat pada X50 Flagship dan X70 baharu tidak ditawarkan pada S70, sekurang-kurangnya buat masa ini.
Dibina menggunakan platform B-Segment Modular Achitecture (BMA), S70 mempunyai ukuran panjang 4,602 mm, lebar 1,809 mm, tinggi 1,466 mm dan jarak roda 2,637 mm, sedikit lebih kecil berbanding Geely Emgrand.
Dari segi kelengkapan, varian paling basic iaitu Executive dilengkapi dengan enam beg udara, Lane Change Assist, brek parkir elektronik, rim aloi 16 inci, tempat duduk fabrik dan skrin infotainment lapan inci.
Premium menambah lampu depan LED, bar lampu belakang, upholsteri leatherette, pendingin hawa automatik dan kamera undur.
Flagship mendapat lebih banyak ciri tambahan termasuk ADAS, sistem pemantauan tekanan tayar, rim aloi 17 inci, kluster instrumen digital 10.3 inci, pelarasan kuasa tempat duduk pemandu, skrin infotainment 12.3 inci, pengecas wayarles dan kamera 360 darjah dengan paparan 3D.
Flagship X yang merupakan varian tertinggi dalam barisan S70 mendapat hanya satu ciri tambahan iaitu bumbung suria.
Varian Flagship dan Flagship X didatangkan dengan sistem bantuan pemandu (ADAS) yang membawakan 13 sistem keselamatan seperti berikut:
Autonomous Emergency Braking
Forward Collision Warning
Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go
Intelligent Cruise Control
Lane Departure Warning
Lane Departure Prevention
Lane Centering Control
Traffic Sign Information
Intelligent High Beam Control
Lane Change Assist
Door Opening Warning
Rear Collision Warning
Rear Cross Traffic Alert
Untuk warna, terdapat tujuh pilihan semuanya. Snow White dan Space Grey tersedia untuk keempat-empat varian S70, manakala Armour Silver dan Passion Red hanya ditawarkan untuk Premium dan Flagship.
Marine Blue dan Teal Bayou Green pula hanya untuk Flagship dan Flagship X manakala Quartz Black adalah eksklusif untuk Flagship X sahaja.
Harga jualan bermula dari RM73,800 untuk Executive, RM79,800 untuk Premium, RM89,800 untuk Flagship dan RM94,800 untuk Flagship X.
Pakej standard untuk S70 merangkumi lima perkara iaitu waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan, pakej data 1GB sebulan untuk lima tahun, kos buruh percuma sebanyak enam kali, kadar faedah pembiayaan dari 2.34 peratus dan program insurans Proton.
Bukan itu sahaja, 3,000 pemilik pertama yang mendaftarkan kereta mereka sebelum 29 Februari 2024 akan mendapat kit badan aero bernilai RM3,130 (Flagship X sahaja), servis baucar RM500 (Premium dan Flagship sahaja) dan program insurans Proton yang dinaik taraf.
TRAK pikap Toyota IMV 0 yang dipertontonkan dalam bentuk konsep di Thailand pada Disember tahun lalu, kini telah secara rasminya dilancarkan di pasaran Thailand sebagai Hilux Champ.
Toyota Motor Thailand menawarkan lapan gred Hilux Champ untuk memenuhi pelbagai jenis gaya penggunaan dan keperluan perniagaan.
Kesemua lapan gred didatangkan dalam bentuk single cab dengan dua pintu dan dua tempat duduk. Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan jarak roda pendek atau panjang, dengan ukuran panjang dari 4,970 mm hingga 5,300 mm.
Apa yang menarik, dek Hilux Champ mempunyai lubang bolt bagi membolehkan pemilik memasang aksesori kustom dengan mudah.
Toyota Motor Thailand berkata terdapat lebih 100 pengeluar aksesori yang boleh memenuhi keperluan pelanggan yang ingin mengubahsuai trak mereka.
Dari segi reka bentuk, Hilux Champ mengekalkan reka bentuk trak pikap bajet IMV 0 dengan bahagian hadapan ala Land Cruiser, rim kompang berwarna hitam dan lampu halogen (lampu LED ditawarkan sebagai opsyen).
Ruang dalamannya pula ringkas, dengan sistem pendingin hawa, dua pemegang cawan, outlet kuasa dan beberapa ruang storan. Paparan infohibur dan sistem multimedia tidak disediakan.
Untuk pasaran negara itu, Hilux Champ boleh didapati dengan tiga pilihan enjin iaitu petrol 1TR-FE 2.0-liter dengan 137 hp/183 Nm, petrol 2TR-FE 2.7-liter dengan 164 hp/245 Nm dan turbodiesel 2GD-FTV 2.4-liter dengan 148 hp/343 Nm.
Enjin 1TR-FE hanya ditawarkan dengan transmisi manual lima kelajuan, manakala dua enjin lagi boleh didapati dengan transmisi automatik enam kelajuan. Ketiga-tiga enjin adalah pacuan roda belakang, tiada varian 4WD ditawarkan buat masa ini.
Harga jualan Hilux Champ bermula dari 459,000 baht (RM61,285) hingga 577,000 baht (RM77,040). Model ini dipasang di kilang pengeluaran Toyota di Rayong.
KERAJAAN mengumumkan ia akan mula melaksanakan program subsidi bersasar RON95 pada 2024 sebagai langkah untuk mengoptimumkan sumbernya kepada golongan yang paling memerlukannya.
Perkara ini disahkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang berkata sebuah negara apabila T20 menerima 53 peratus daripada subsidi bahan api yang menyeluruh bukan satu model yang mampan dan juga bukan sebuah model yang saksama.
“Usaha ini sejajar dengan kedudukan kerajaan dalam meluaskan paradigma fiskal. Berdasarkan kewangan awam kita yang mengalami defisit fiskal lebih 5.0 peratus selama tiga tahun berturut-turut, kita perlu mencari kaedah baharu untuk menggerakkan sumber kita dan mengurangkan pembaziran dalam sistem,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Persidangan Prospek Ekonomi Negara (NEOC) di Kuala Lumpur hari ini.
Tambah beliau lagi, melaksanakan program penyasaran semula subsidi pada akhir 2024 akan segera membawa kepada kedudukan fiskal yang lebih baik untuk negara.
Adakah anda berfikir tentang membeli kereta baharu?
Jika anda sering membawa keluarga pulang ke kampung atau bercuti, kereta itu harus mempunyai ciri-ciri tertentu bagi memastikan seisi sekeluarga sentiasa selesa sepanjang perjalanan.
Berikut adalah tip-tip penting yang anda perlu ambil perhatian sebelum menjenguk showroom terdekat.
Sistem navigasi
Yang pertama, pastikan kereta tersebut mempunyai sistem navigasi GPS. Ia boleh menjadikan perjalanan anda lebih lancar, terutamanya jika menuju ke tempat yang belum pernah dikunjungi.
Selain itu, GPS boleh memberikan anda maklumat terkini mengenai keadaan trafik dan laluan perjalanan terpantas.
Tempat duduk yang selesa
Jika mampu, dapatkan kereta yang mempunyai kerusi ergonomik dan sokongan lumbar.
Untuk tempat duduk penumpang belakang, pastikan kerusi mereka tidak terlalu tegak. Sokongan peha yang cukup juga sangat dihargai!
Sistem hiburan
Untuk perjalanan yang aman, anda juga memerlukan sumber hiburan. Ada model kereta yang mempunyai skrin belakang untuk menonton video atau disambungkan ke permainan.
Selain itu, sistem audio yang bagus boleh membuatkan anda terhibur sepanjang perjalanan. Carilah kenderaan yang mempunyai port USB pada setiap barisan tempat duduk.
Teknologi canggih (tip bonus untuk perokok dewasa sahaja)
Jika anda merokok, jangan sesekali nyalakan rokok di dalam kereta. Bau asap rokok sudah tentu akan ‘merosakkan’ mood penumpang, lebih lagi kalau bini duduk di sebelah!
Alternatif tanpa asap seperti peranti pemanas tembakau IQOS ILUMA mungkin jawapannya.
Dengan menggunakan teknologi SMARTCORE INDUCTION SYSTEM™, peranti IQOS ILUMA memanaskan tembakau sehingga 365°C tanpa membakarnya. Anda masih menikmati kepuasan rasa tembakau sebenar – tanpa sebarang asap dan abu.
Sudah tentu, anda harus menggunakan IQOS ILUMA semasa berehat di R&R, dan bukan semasa memandu.
Oleh kerana IOQS tidak membakar tembakau, anda tidak perlu bimbang tentang bau rokok mengganggu sesiapa sahaja di sekeliling anda.
Bukan itu sahaja, IQOS ILUMA juga tidak menghasilkan abu atau sebarang sisa tembakau, jadi pengguna tidak lagi perlu membersihkan peranti setiap kali ia digunakan.
Jika dibandingkan dengan peranti IQOS generasi terdahulu dan lil, IQOS ILUMA menampilkan rekaan tanpa bilah, jadi pengguna tidak lagi perlu menghadapi masalah bilah patah.
Ciri-ciri yang di atas adalah penting untuk menjadikan kereta anda selesa untuk pemandu dan penumpang sekalian, terutamanya bagi perjalanan jarak jauh. Selamat jalan!
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang IQOS ILUMA, sila layari laman web rasmi mereka.
—
IQOS ILUMA™ direka khas untuk digunakan bersama SMARTCORE STICKS™ sahaja. Sila pastikan bahawa IQOS ILUMA™ dan SMARTCORE STICKS™ tidak digunakan dengan IQOS generasi terdahulu atau mana-mana peranti lil kerana ianya boleh menyebabkan kerosakan pada peranti anda. Maklumat lanjut di iqos.com.
Produk ini bukan bebas risiko dan memberikan nikotin yang menyebabkan ketagihan. Hanya untuk kegunaan orang dewasa yang masih ingin terus merokok atau menggunakan produk nikotin yang lain.
SEORANG bayi disahkan rentung selepas kenderaan dinaiki bersama ibu-bapanya melanggar tiang lampu sebelum terbakar di Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada awal pagi ini.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohd Fadzil bin Musa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.04 pagi dan pasukan bomba daripada BBP Kuala Krai dan BBP Sungai Durian telah digegaskan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Honda Jazz yang telah terbabas dan melanggar tiang lampu. Lebih malang lagi, akibat daripada kejadian itu, kereta tersebut turut terbakar.
“Terdapat tiga orang mangsa iaitu seorang lelaki dewasa yang melecur seluruh tubuh, seorang perempuan mengalami cedera ringan dan seorang lagi mangsa adalah bayi lelaki. Bagaimanapun, bayi tersebut dijumpai rentung di dalam kereta itu akibat terperangkap,” katanya.
Mayat bayi tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, manakala kedua-dua mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk menerima rawatan lanjut.
BYD mengumumkan bahawa ia telah berjaya mencipta pencapaian bersejarah apabila mengeluarkan kenderaan tenaga baharu (NEV) yang ke 6-juta pada 24 November lalu.
Pada Ogos lalu, gergasi automotif dari China itu mengumumkan bahawa pengeluaran kenderaan NEV-nya telah mencapai angka 5 juta. Ini bermakna mereka mengambil masa tiga bulan sahaja untuk menghasilkan satu juta unit kenderaan NEV.
Kenderaan yang ke 6-juta itu merupakan SUV hibrid dikenali sebagai Bao 5 dari sub-jenama BYD iaitu Fang Cheng Bao. Juga dikenali sebagai Leopard 5, ia boleh didapati dalam tiga versi pada harga bermula dari RMB 289,800 hingga RMB 352,800 (RM189,512 hingga RM230,711).
Selain Fang Cheng Bao, BYD mempunyai beberapa lagi sub jenama termasuk siri model Dynasty dan Ocean, Denza dan Yangwang. Pada Oktober lalu, syarikat itu mencipta rekod jualan bulanan dengan jualan NEV melebihi 300,000 unit.
Sejak 2010, BYD secara aktif mengembangkan kehadirannya di peringkat global menerusi pengenalan bas dan teksi NEV untuk mengelektrifikasi pengangkutan awam. Solusi pengangkutan awam elektrik BYD kini beroperasi di lebih 400 bandar di lebih 70 buah negara.
Bukan itu sahaja, BYD juga mengambil pendekatan eksport dan pengeluaran tempatan untuk terus memperkukuhkan kedudukannya dalam pasaran NEV peringkat global.
Buat masa ini, BYD telah memasuki 58 negara dan melepasi jualan terkumpul sebanyak 200,000 unit bagi kenderaan penumpang, dengan pencapaian luar biasa dalam pasaran NEV di Thailand, Brazil dan beberapa lokasi lain.
BYD juga merupakan antara peneraju kemajuan teknologi, dengan inovasi seperti bateri Blade, DM-i Super Hybrid System, e-Platform 3.0, teknologi Cell-to-Body (CTB), e4 Platform, BYD DiSus Intelligent Body Control System dan Dual Mod Off-Road Super Hybrid System.
STELLANTIS dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa ia akan menubuhkan Syarikat Jualan Nasional (NSC) baharu di Malaysia pada suku pertama 2024.
Perubahan dalam strategi perniagaan itu adalah sebahagian daripada cita-cita pertumbuhan Stellantis di rantau ASEAN, selaras dengan rancangan elektrifikasinya serta strategi Global Dare Forward 2030 Stellantis.
Sejajar dengan peralihan strategik ini, Bermaz Auto Alliance (BAA), anak syarikat 55 peratus milik Bermaz Auto dan pengedar semasa jenama Peugeot di Malaysia, akan terus bekerjasama dengan Stellantis bagi penjualan kenderaan menerusi rangkaian pengedarnya.
“Kami berbesar hati untuk mengumumkan strategi perniagaan baharu bagi menyediakan pasaran Malaysia lebih banyak produk dan perkhidmatan di bawah pembentukan NSC. Ini termasuk pengenalan jenama baharu pada masa hadapan di Malaysia di bawah portfolio Stellantis,” kata Daniel Gonzalez, Ketua Pegawai Operasi dan Pengedar Am Stellantis bagi ASEAN.
Gonzalez turut menyatakan penghargaan kepada Bermaz Auto, dengan memberi penekanan terhadap peranan pentingnya dalam mewujudkan kehadiran kukuh jenama Peugeot di Malaysia dalam tempoh tiga tahun lalu.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Dato’ Sri Ben Yeoh, Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto, dan asukannya di atas segala apa yang telah dilaksanakan Bermaz Auto dalam membangun jenama Peugeot seperti yang dicapai ketika ini,” tambah Gonzalez.
NSC di Malaysia akan diketuai oleh Jamie Francis Morais, Ketua Selepas Jualan semasa bagi operasi ASEAN & Pengedar Am untuk Stellantis.
Morais mempunyai pengalaman selama 19 tahun dalam industri automotif bersama Toyota, BMW, Nissan dan Proton. Latar belakang kepimpinannya yang luas merangkumi operasi yang berbeza termasuk selepas jualan, rangkaian, perkhidmatan pelanggan, kualiti, jualan dan latihan.
BAA akan terus bekerjasama dengan Stellantis dalam tempoh peralihan terbabit, dengan kedua-dua syarikat kekal komited untuk terus berkhidmat kepada pelanggan Peugeot dengan menawarkan servis tanpa gangguan, alat ganti, waranti dan perkhidmatan selepas jualan di Malaysia.
Hala tuju dan strategi baharu Stellantis untuk rantau ASEAN termasuk cita-cita elektrifikasinya, dan menilai potensi kilang di Gurun, Kedah sebagai hab pembuatan serantau kenderaan elektrik berasaskan bateri (BEV) untuk pasaran domestik dan eksport di ASEAN, selain memacu penggunaan BEV di rantau ini.
Stellantis melabur lebih RM2 bilion (€400 juta) untuk memperkenalkan platform STLA Medium ke rantau ASEAN. Platform modular-by-design ini membolehkan Stellantis menghasilkan kenderaan berbilang tenaga (BEV, ICE, MHEV) dan mewujudkan pemasangan tempatan dari jenama Stellantis seperti Jeep dan Citroën.
SELEPAS melancarkan Repsol Edition pada Oktober, Boon Siew Honda kini memperkenalkan dua lagi pilihan warna baharu untuk Honda RS-X iaitu Trico White Edition dan Radiate Gray Metallic.
Walaupun tampil lebih segar dengan skema warna baharu, aspek mekanikal RS-X kekal buat masa ini. Ia masih dikuasakan oleh enjin 150 cc DOHC bertaraf Euro 4 yang memberikan kuasa maksimum 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm pada 7,000 rpm.
RS-X menggunakan kerangka tiub berkembar yang dipadankan dengan fork teleskopik di hadapan dan lengan ayun di belakang.
Kapcai ini didatangkan dengan rim 17 inci bersama tayar tanpa tiub bersaiz 90/80 di depan dan 120/70 di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera hidraulik pada bahagian depan dan belakang, berserta ABS.
Selain itu, RS-X juga dilengkapi dengan lampu LED, panel meter digital dan tangki bahan api 4.5 liter. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 122 kg.
RS-X dalam dua warna baharu akan tersedia di semua pengedar sah Honda di seluruh negara mulai hari ini (24 November 2023), pada harga RM9,748 bagi Trico White Edition dan RM9,698 bagi Radiate Gray Metallic.
JENAMA audio mewah dari Modena, Itali iaitu iXoost telah mengumumkan kemasukannya ke pasaran Malaysia dengan penawaran rangkaian pembesar suara eksklusif dalam reka bentuk automotif.
Setiap sistem audio iXoost adalah sebuah karya seni buatan tangan yang sangat teliti untuk memberikan pengalaman audio dengan kejelasan yang tinggi.
Portfolio produk iXoost untuk pasaran tempatan terdiri daripada lapan model pembesar suara seperti berikut:
ESAVOX Automobili Lamborghini
Sistem bunyi mewah yang dihasilkan daripada ekzos tulen Lamborghini, Esavox menampilkan casis monocoque karbon, sistem penyerap getaran pasif dan subwoofer 10 inci.
Ia mempunyai tiga amplifiers 400 watt yang disepadukan bersama teknologi Bluetooth 5.0 Apt-X. Ia boleh didapati dalam beberapa kombinasi warna ikonik Lamborghini iaitu Green Gea, Grey Keres Matte, Orange Anthaeus, Red Epona, Blue Uranus dan White Siderale.
AVALÁN Automobili Lamborghini
Menggandingkan ekzos Lamborghini Huracán Tecnica dengan jeriji heksagon untuk audio berkualiti tinggi.
Ia menampilkan amplifier kelas D 80 watt menjanakan dua tweeter masing-masing berukuran satu inci dan dua pemacu lima inci. Boleh didapati dalam warna Viper Green Shiny – Contrast Bianco Isi Shiny, Blu Aegeus Matt – Contrast Blu Astraeus Matt dan Bianco Asopo Shiny – Contrast Viper Green Shiny.
AMG Performance Luxury Audio
Diinspirasikan daripada AMG GT Black Series, ia dilengkapi dengan casis monocoque gentian karbon, jeriji aluminium, rekaan ekzos AMG GT serta dua rangkaian dinamik dua woofer, empat tweeter dan dua pantulan bass.
Pirelli P ZERO™ Sound
Dihasilkan dengan kerjasama Pirelli, sistem ini menampilkan mid-woofer 130 mm, tweeter sutera 25 mm dalam tayar F1 yang sebenar.
Untuk mereka yang lebih menggemari dimensi yang lebih kecil, terdapat model skala tayar terowong angin rekaan Pirelli Design. Ia tersedia dalam tiga warna berbeza iaitu kuning, merah dan putih.
XiLO
XiLO menampilkan casis kayu dan aluminium, dilengkapi dengan pancarongga ekzos buatan tangan serta dikuasakan oleh amplifier 2X100 + 1X200 Watt.
Pengguna boleh menstrim fail muzik daripada telefon pintar, tablet dan komputer menggunakan Bluetooth aptX, yang mampu menukarkan bunyi secara serta merta untuk menghasilkan semula audio asalnya.
Radial 6
Bertemakan dunia aeronautik, sistem ini menampilkan gabungan unik tweeter, mid-range dan woofer. Apa yang menarik, pembesar suaranya sedikit condong ke belakang untuk mengedarkan bunyi secara seragam.
Disokong dengan kedudukan tweeter yang bersebelahan, audio yang dihasilkan lebih seimbang dengan efek stereofonik yang optimum.
KUBO Abarth 595 dan KUBO Abarth 695
Eksklusif untuk peminat Abart, sistem hi-fi ini menggabungkan pembesar suara Bluetooth yang disambungkan ke replika ekzos Record Monza yang direka untuk meraikan rekod kelajuan Carlo Abarth di litar bersejarah Itali.
Varian edisi terhad 695 didedikasikan sempena ulang tahun ke-70 Scorpion. Ia dilengkapi dengan tweeter kubah mikrofiber dan satu pembesar suara mid-range, semuanya dikuasakan oleh amplifier 1×100 watt.
Bluetooth Speaker Helmets
Sistem audio ini menyepadukan komponen canggih dalam topi keledar yang unik dan boleh diperibadikan. Produk pertama dalam siri ini adalah Dovi #04 Sound, pembesar suara Bluetooth yang diperbuat daripada topi keledar SR-GP keluaran Suomy untuk Andrea Dovizioso.
Dalam kerjasama berasingan bersama Bell Helmets dan dengan kebenaran keluarga Hunt, iXoost turut mencipta pembesar suara Bluetooth dalam topi keledar juara dunia Formula 1 1976, James Hunt.
Rangkaian penuh produk iXOOST dikonfigurasi mengikut pesanan untuk memastikan pengalaman eksklusif untuk setiap pelanggan, dan boleh ditempah mulai hari ini.
Setiap pesanan dijangka mengambil masa selama tiga hingga empat bulan untuk disiapkan. Harga berbeza mengikut model individu, antara RM80,000 hingga RM240,000.
MICHELIN Malaysia baru-baru ini melancarkan rangkaian tayar basikal premium untuk pasaran Malaysia.
Menerusi kerjasama dengan rakan pengedar tempatannya yang dikenali ramai, Cyclistic Malaysia, syarikat tayar itu berhasrat untuk merevolusi pengalaman penunggang basikal di negara ini.
Rangkaian tayar basikal Michelin merangkumi produk-produk seperti berikut:
Michelin Power Cup Competition Line – sesuai untuk sesi perlumbaan dan latihan dengan prestasi yang diilhamkan oleh teknologi MotoGP. Ia ringan dan lasak, dan mempunyai teknologi Aramid Shield dan selongsong 3×120 TPI. Paduan Michelin Gum-X juga menjamin pengendalian dan kestabilan yang efisien dalam kondisi basah dan kering.
Michelin Wild Enduro Front Racing Line – Dirumus untuk penunggang menguasai semua jenis permukaan. Ia dikhaskan untuk dipasang di roda hadapan, tapi juga boleh dimuatkan di roda belakang untuk menambah cengkaman. Kombinasi antara bunga tayar, Magi-X DH dan Down Hill Shield memberikan cengkaman maksimum dan anti-kebocoran untuk pengendalian yang baik walaupun dengan tekanan angin rendah.
Michelin Wild Am Performance Line – Diperkuatkan dengan Bead To Bead Protection dan mempunyai bunga tayar yang direka khusus untuk meningkatkan cengkaman terutamanya di hadapan. Selongsong Trail Shield menjamin tahap keselamatan dan prestasi berpanjangan dengan struktur binaan 4×60 TPI.
Tayar basikal Michelin di tujuh outlet Cyclistic dan lokasi-lokasi pengedar di sekitar kawasan Lembah Klang. Mulai 1 Disember 2023, pelanggan boleh mendapatkan produk tayar Michelin di outlet utama Cyclistic di Taman Shamelin Perkasa, Cheras.
Harga runcit yang disarankan bagi tayar-tayar basikal Michelin bermula dari RM240 hingga RM315 untuk tayar Power Cup Competition Line dan RM105 hingga RM290 untuk Wild Enduro Front Racing Line Wild Am Performance Line.
SEDAN berprestasi tinggi dari Korea iaitu Hyundai Elantra N telah dikemas kini untuk model tahun 2024.
Menurut Hyundai, penambahbaikan ini adalah hasil dari penglibatan mereka dalam sukan permotoran bagi menjadikan model itu lebih mantap di litar lumba.
Rekaan berinspirasikan ‘motorsport’
Elantra N kini tampil dengan lampu projektor LED yang lebih langsing dan rekaan gril depan baharu dengan jalur merah dan lubang air intake yang lebih besar.
Logo ‘H’ pada bahagian atas bampar kini berwarna hitam, manakala rim aloi tempaan baharu berukuran 19 inci menyumbang kepada pengurangan berat sebanyak 14.9 kg.
Pengendalian ditala semula
Untuk casis, Hyundai menggunakan membran tapak enjin yang diperkuatkan untuk mengurangkan gegaran, G-bushing baharu untuk kawalan stereng yang lebih tepat dan penebat S/ABS baharu pada suspensi belakang untuk redaman yang lebih baik.
Selain itu, suspensi kawalan elektrok (ECS) mendapat kemas kini perisian khusus untuk penambahbaikan ini. Stereng pula dikatakan dapat memberikan maklum balas yang lebih tepat.
Apa yang menarik, Hyundai turut menaikkan tekanan tayar hadapan dan belakang untuk menampung beban yang lebih tinggi pada gandar hadapan sambil mengekalkan keseimbangan pengendalian.
Lebih banyak udara untuk penyejukan
Elantra N menerima sistem penyejukan yang lebih baik tanpa menjejaskan kecekapan aerodinamik. Untuk penyejukan maksimum, terdapat air guard yang akan mengalirkan udara secara lebih efisien ke radiator dan air guide pada bampar hadapan yang ditugaskan untuk menyejukkan brek.
Bukan itu sahaja, sistem brek juga diktambah baik dengan perisian Electronic Stability Control (ESC) baharu dan elemen perlindungan termal pada jalur brek hadapan.
Ruang dalaman yang familiar
Kabin Elantra N mengekalkan elemen-elemen N seperti yang dilihat sebelum ini iaitu jahitan kontras biru pada gear, stereng dan tempat duduk, butang-butang Mode N berwarna biru pada stereng dan kerusi sport.
Selain itu, terdapat juga paparan skrin berkembar (masing-masing berukuran 10.3 inci) yang mempunyai paparan yang spesifik kepada model-model N.
Tiada kuasa tambahan untuk enjin
Elantra N baharu masih dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder dengan 276 hp dan 392 Nm. Pelanggan boleh memilih untuk mendapat transmisi manual enam kelajuan atau klac berkembar (DCT) lapan kelajuan.
Melihat kepada angka prestasi untuk model terdahulu, Elantra N dengan transmisi DCT mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.3 saat.
BYD dan Sime Darby Motors telah melancarkan kempen ‘Explore Shenzhen with BYD’ di mana pelanggan BYD di Malaysia berpeuang untuk memenangi lawatan eksklusif ke ibu pejabat pengeluar EV itu di Shenzhen, China.
Kempen ini menyediakan peluang kepada pemilik BYD untuk mengalami sendiri kemajuan teknologi dan menyelami perjalanan inovatif syarikat itu.
Pelanggan yang telah membeli kereta BYD dan menerima kereta mereka dalam tempoh peraduan akan layak secara automatik untuk kempen ini.
Pemilihan pemenang akan dibahagikan kepada dua tempoh bulanan seperti berikut:
Tempoh 1: 1 November 2023 hingga 30 November 2023
Tempoh 2: 1 Disember 2023 hingga 31 Disember 2023
Tiga pemenang bertuah akan dipilih secara rawak bagi setiap tempoh bulanan dan pemenang akan dimaklumkan menerusi panggilan telefon dan/atau e-mel pada bulan berikutnya.
Setiap pemenang akan mendapat pakej lawatan berbayar sepenuhnya untuk dua orang ke ibu pejabat BYD di Shenzhen bernilai sehingga RM15,000.
SERENTAK dengan pelancaran Ferrari Purosangue dan Roma Spider, Ital Auto Malaysia Sdn Bhd turut sempat merasmikan pembukaan bilik pameran pertamanya di negara ini.
Terletak di Four Seasons Place Kuala Lumpur, bilik pameran baharu itu direka untuk memenuhi keperluan pelanggan baharu dan sedia ada Ferrari di rantau ini, selaras dengan konsep Ferrari Showroom Experience.
Kemudahan berkeluasan 3,826 kaki persegi itu mempunyai ruang pameran yang boleh menempatkan sehingga dua buah kenderaan pada satu-satu masa.
Selain itu, terdapat juga ruang pelanggan yang dihiasi mengikut identiti korporat (CI) terkini Ferrari dan ruang Heritage Library yang menyediakan pelbagai bahan bacaan khusus untuk peminat setia jenama Prancing Horse itu.
Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat mengenai sejarah dan penglibatan Ferrari dalam sukan permotoran menerusi paparan aktif dan ruang video yang disediakan.
Satu lagi kemudahan yang disediakan adalah Ferrari Atelier, di mana pelanggan boleh memilih warna, kelengkapan dan bahan yang boleh digabungkan dengan kemudahan personalisasi Ferrari Tailor Made untuk menghasilkan Ferrari yang lebih unik mengikut citarasa tersendiri.
Bilik pameran Ferrari ini dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 7 malam pada hari minggu dan dari 10 pagi hingga 4 petang pada hujung minggu.
Untuk perkhidmatan selepas jualan, pemilik Ferrari di negara ini boleh mengunjung pusat servis Ital Auto Malaysia yang terletak di Glenmarie, Shah Alam.
Pusat tersebut dilengkapi sepenuhnya dengan alat ganti tulen dan kelengkapan diagnostik Ferrari yang dioperasikan oleh juruteknik bertauliah dengan pengalaman lebih 10 tahun.
AVETA Malaysia Sdn Bhd telah melancarkan motosikal cub kembara pertama di negara ini iaitu Ranger Max Explorer.
Boleh didapati dalam warna Sierra Yellow dan Forest Green, model ini direka untuk kegunaan di jalan raya dan laluan lasak.
Ia dikuasakan oleh enjin 127 cc SOHC empat lejang dengan teknologi sejukan udara yang menghasilkan 10 hp pada 8,000 rpm dan 10.5 Nm pada 5,500 rpm.
Apa yang menarik, enjin berkenaan boleh dihidupkan menggunakan penghidup elektrik atau pemula tendang (kick starter). Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi empat kelajuan.
Ranger Max Explorer mempunyai rangka jenis T-Bone dengan reka bentuk yang dipantenkan. Rangka ini dipadankan dengan fork teleskopik di hadapan dan penyerap hentak berkembar dengan tabung gas di belakang.
Ia menggunakan tayar jenis off-road bersama rim lidi berukuran 18 inci di hadapan dan 16 inci di belakang. Sistem brek pula merangkumi cakera tunggal di hadapan dan gelendong di belakang.
Sebagai motosikal pelbagai guna, Ranger Max Explorer didatangkan dengan bar hendal tinggi, tempat duduk rendah pada ketinggian 760 mm, jarak lega tanah 180 mm dan pemijak kaki yang diposisikan khusus untuk keselesaan semasa menunggang secara duduk atau berdiri.
Selain itu, motosikal ini juga mempunyai tangki bahan api berkapasiti 8.5 liter, pelindung enjin, meter digital, rak pada bahagian hadapan, tengah dan belakang serta port pengecas USB.
Aveta Ranger Max Explorer dijual pada harga bermula dari RM6,988 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Ia didatangkan dengan jaminan waranti untuk dua tahun atau 20,000 km.
Ia akan berada adi semua wakil pengedar sah Aveta mulai 11 Disember 2023. 500 pelanggan pertama akan menerima kemeja-T Ranger Max Explorer yang eksklusif.
SELAIN Ferrari Purosangue, Ital Auto Malaysia Sdn Bhd turut melancarkan satu lagi model Ferrari iaitu Roma Spider. Secara asasnya, ia merupakan versi convertible kepada Roma yang diperkenalkan di Malaysia pada Jun 2020.
Dari segi penampilan, Roma Spider masih mengekalkan bentuk asas versi coupe namun bumbung ala fastback itu telah digantikan dengan bumbung fabrik soft top.
Menurut Ferrari, bumbung berkenaan diperbuat menggunakan bahan fabrik baharu yang dikatakan lebih sofistikated. Ia boleh dibuka dan ditutup dalam masa 13.5 saat, ketika kereta bergerak pada kelajuan sehingga 60 km/j.
Apabila dilipat, bumbung tersebut hanya menggunakan ruang setinggi 220 mm di dalam but. Kapasiti ruang but adalah 255 liter apabila bumbung ditutup.
Bagi mengurangkan pergolakan udara dan bunyi di dalam kabin apabila bumbung dibuka, Roma Spider didatangkan dengan nolder 5 mm yang terletak pada rel cermin hadapan dan pemesong angin automatik yang boleh diaktifkan ketika kereta sedang bergerak.
Satu lagi ciri inovatif yang terdapat pada Roma Spider adalah spoiler aktif pada bahagian belakang. Ia boleh digunakan dalam tiga posisi berbeza iaitu Low Drag (LD), Medium Downforce (MD) dan High Downforce (HD).
Dalam kedudukan yang paling tinggi iaitu HD, spoiler tersebut boleh menjana downforce sehingga 95 kg pada kelajuan 250 km/j.
Ruang kabin Roma Spider membawakan susun atur kokpit berkembar yang sama dengan Roma. Ciri-ciri yang ada juga sama iaitu kluster instrumen digital 16 inci, skrin infohibur 8.4 inci dan stereng SF90 Stradale dengan pad sentuh yang ditambah baik.
Dari segi kuasa, Roma Spider menggunakan enjin yang sama dengan versi coupe iaitu enjin 3.9-liter twin-turbo V8 dengan 620 PS dari 5,750 hingga 7,500 rpm dan 760 Nm dari 3,000 hingga 5,750 rpm.
Enjin tersebut digandingkan dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan yang memacu roda belakang. Ini membolehkan Roma Spider melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.4 saat dan 0-200 km/j dalam 9.7 saat. Kelajuan maksimum adalah melebihi 320 km/j.
Apa yang menarik, angka prestasi ini tidak jauh berbeza dengan Roma walaupun versi Spider ini 85 kg lebih berat, dengan berat keseluruhan 1,556 kg.
Harga jualan Ferrari Roma Spider bermula dari RM3.2 juta termasuk duti dan cukai. Seperti Purosangue, ia didatangkan dengan program jaminan lanjutan selama tujuh tahun.
ITAL Auto Malaysia Sdn Bhd, pengimport dan pengedar rasmi Ferrari di Malaysia, secara rasmi telah melancarkan Ferrari Purosangue di bilik pamerannya yang terletak di Kuala Lumpur.
Bukan setakat SUV pertama Ferrari, Purosangue juga merupakan kereta empat pintu dan empat tempat duduk pertama bagi jenama supercar dari Itali itu.
Ia dibina menggunakan casis serba baharu dengan struktur bawah yang diperbuat sepenuhnya daripada aluminium aloi. Menurut Ferrari, casis ini lebih ringan dan tegar berbanding casis empat tempat duduk sebelum ini, sekali gus membantu meningkatkan aspek NVH.
Selain itu, ia mempunyai bumbung gentian karbon untuk merendahkan pusat graviti dan pintu belakang welcome doors untuk memudahkan penumpang masuk dan keluar.
Pintu tailgate yang diperbuat daripada aluminium mempunyai bukaan sehingga 73 darjah bagi membolehkan penumpang mengakses ruang but berkapasiti 473 liter dengan mudah.
Purosangue mempunyai susun atur transaxle dengan enjin tengah-depan dan kotak gear pada bahagian belakang. Enjin berkenaan dipadankan dengan Power Transfer Unit (PTU) untuk memberikan kereta ini pacuan semua roda (AWD) serta nisbah pengagihan berat 49:51%.
Dengan sesaran 6.5 liter dan 12 silinder yang disusun dalam bentuk V, enjin tersebut menghasilkan 725 PS pada 7,750 rpm dan 716 Nm pada 6,250 rpm.
Dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan dan AWD, jentera ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.3 saat dan 0 hingga 200 km/j dalam 10.6 saat. Kelajuan maksimum dikatakan melebihi 310 km/j.
Purosangue dilengkapi dengan sistem suspensi aktif dengan peredam adaptif True Active Spool Valve (TASV) System, serta pelbagai lagi ciri elektronik seperti Side Slip Control (SSC) 8.0 dan Chassis Dynamic Sensor enam hala (6w-CDS).
Di dalam, anda akan menemui empat tempat duduk individu, masing-masing dengan pelarasan elektrik, paparan berukuran 10.2 inci, pengecas wayarles dan sistem audio Burmester 3D.
Apa yang menarik, 85 peratus daripada trim di dalam kabin Purosangue diperbuat daripada bahan lestari. Sebagai contoh, pelapik bumbung diperbuat daripada polyester kitar semula, sementara karpet pula daripada poliamida yang dikitar semula daripada pukat nelayan.
Bukan itu sahaja, balutan Alcantara juga diperbuat daripada polyester kitar semula. Malah, Purosangue merupakan kereta pertama di dunia yang menggunakan versi ini.
Sistem keselamatan Purosangue terdiri daripada ciri-ciri bantuan pemandu ADAS seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Automatic Emergency Brake System (AEB), Auto High Beam (HBA/HBAM), Lane Departure Warning (LDW), Lane Keeping Assist (LKA), Blind Spot Detection (BSD), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan pelbagai lagi.
Harga jualan Ferrari Purosangue bermula dari RM5 juta termasuk duti dan cukai. Ia didatangkan dengan program jaminan lanjutan selama tujuh tahun.
TAHUN 2023 menyaksikan Rimac mencatat 23 rekod dunia, termasuk pecutan 0-400-0 km/j terpantas pada Mei lalu. Bagaimanapun, rekod itu tidak bertahan lama apabila ia dirampas oleh Koenigsegg Regera sebulan selepas itu.
Kini, pengeluar kenderaan elektrik itu kembali dengan satu lagi rekod yang secara tidak langsung menempa nama mereka dalam Guinness World Record.
Rekod terbaru ini boleh dikatakan agak unik kerana secara asasnya ia masih melibatkan prestasi pecutan namun dalam keadaan mengundur.
Ya, percaya atau tidak, Rimac Nevera kini muncul sebagai pemegang rekod kelajuan mengundur tertinggi dunia dengan catatan 275.74 km/j! Pencapaian luar biasa ini dilakukan di litar ujian Automotive Testing Papenburg di Jerman.
Tidak seperti kereta biasa atau sesetengah kereta elektrik, trenkuasa Nevera tidak mempunyai sebarang gear. Jentera ini dilengkapi dengan empat motor individual yang akan memusingkan roda ke hadapan atau belakang.
Ini bermakna trenkuasa yang membolehkan Nevera memecut dari 0-100 bsj (160 km/j) dalam 3.21 saat atau 0-200 bsj (321 km/j) dalam kurang 11 saat ke hadapan, boleh melakukan perkara yang sama dalam keadaan mengundur.
Untuk makluman, Nevera mempunyai kuasa keseluruhan berjumlah 1,914 PS dan 2,360 Nm tork.
Matija Renic, ketua jurutera di Rimac Bugatti berkata semasa proses pembangunan Nevera, mereka menyedari bahawa kereta itu boleh menjadi kereta terpantas dalam keadaan mengundur, namun hanya mentertawakannya.
“Lagi pun, aerodinamik, penyejukan dan kestabilan Nevera tidak direka untuk bergerak secara mengundur pada kelajuan tinggi. Namun kemudian, kami berfikir bahawa ia seronok untuk dicuba.
“Simulasi menunjukkan bahawa kami boleh mencapai lebih daripada 150 bsj (241 km/j) tetapi kami tidak tahu betapa stabilnya ia – kami memasuki wilayah yang belum diterokai,” katanya.
BOON Siew Honda baru-baru ini mengumumkan pilihan warna baharu bagi dua model kelas pertengahan yang ditawarkannya iaitu Honda CB650R dan CBR650R.
Bermula bulan ini, CB650R boleh didapati dalam tiga warna menarik iaitu Mat Jeans Blue Metallic, Candy Chromosphere Red dan Mat Gunpowder Black Metallic.
Ketiga-tiga warna berkenaan dipadankan dengan perincian berwarna hitam pada pelindung cam, fork, pelindung sisi, tuil dan pemijak kaki.
Sementara itu, CBR650R pula tampil dengan dua skema warna dan grafik baharu iaitu Grand Prix Red dan Mat Gunpowder Black Metallic, kedua-duanya dengan spring berwarna merah.
Warna Grand Prix Red menampilkan mudguard hitam pada bahagian hadapan belly pan dalam warna yang sama, manakala Mat Gunpowder Black Metallic pula dihiasi dengan perincian berwarna biru pada tangki, ekor dan badan.
Tiada sebarang perubahan mekanikal, di mana kedua-dua CB650R dan CBR650R dipacu enjin 649 cc, DOHC empat silinder yang menghasilkan 93.8 hp pada 12,000 rpm dan 64 Nm pada 8,500 rpm.
Sistem suspensi juga sama iaitu fork terbalik Showa Separate Function-Big Piston (SSF-BP) 41 mm pada bahagian hadapan dan lengan ayun aluminium pada bahagian belakang.
Turut disertakan adalah Honda Selectable Torque Control (HSTC), ABS dwi saluran dan port pengecas USB Type-C di bawah pelana.
Harga jualan CB650R bermula dari RM44,499 sementara CBR650R pula bermula dari RM46,499. Kedua-dua model ini didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.
Bagi peminat Mercedes-Benz, 190E Evo II merupakan antara kereta paling legend pernah dihasilkan jenama itu. Namun dengan hanya kira-kira 502 unit dihasilkan, ia juga sangat rare dan jarang kelihatan di jalan raya. Mereka yang ternampak kelibat kereta ini boleh dikatakan seperti dapat melihat unicorn.
Bagi mereka yang telah lama berhajat untuk memiliki kereta ini, impian anda mungkin akan tercapai kerana sebuah syarikat kejuruteraan dan sukan permotoran dari Affalterbach iaitu HWA AG telah mengumumkan bahawa mereka akan memulakan projek restomod 190 Evo II.
Gambar oleh RM Sotheby’s
Dikenali sebagai HWA EVO, projek restomod ini sudah tentulah bukan unit asli yang dihasilkan dan dibina oleh Mercedes-Benz sendiri namun inilah benda terdekat kepada 190E Evo II sebenar yang anda boleh dapat.
Menurut HWA, mereka akan menggunakan model-model W201 sebagai asas untuk projek ini. Untuk menggunakan 190E Evo II yang asli adalah mustahil kerana seperti yang diperkatakan, ia sangat rare dan jika ada pun, harganya terlalu tinggi.
Lakaran teaser menunjukkan rekaan badan yang tidak jauh berbeza dengan kereta yang sebenar dengan dapra yang lebar dan spoiler gergasi pada bahagian belakang.
Bagaimanapun, HWA berkata mereka akan menggunakan teknologi terkini untuk membangunkan trenkuasa, casis, brek, aerodinamik dan yang paling penting, ciri keselamatan.
Apa yang menarik, HWA EVO akan menjadi lebih sukar didapati berbanding 190E Evo II kerana hanya 100 unit akan dihasilkan dengan harga bermula dari 714,000 euro (RM3.6 juta) setiap satu. Unit-unit terawal dijangka akan diserahkan kepada pelanggan menjelang akhir 2025.
Untuk makluman, 190E Evo II dikuasakan oleh enjin Cosworth 2.5-liter empat silinder yang menghasilkan 232 hp pada 7,200 rpm dan 245 Nm dari 5,000 hingga 6,000 rpm, menjadikan ia model 190E yang paling berkuasa.