All posts by Amirul Mukminin

Volkswagen Golf R “20 Years” jadi model R terpantas di Nurburgring

DIPERKENALKAN buat pertama kali pada Jun lalu, Volkswagen Golf R “20 Years” kini dinobat model Volkswagen R terpantas di litar Nurburgring-Nordschleife dengan catatan masa 7 minit 47.31 saat, empat saat lebih pantas berbanding model standard.

Jentera yang dibangunkan bagi menyambut ulang tahun ke-20 Golf R32 ini dipandu oleh pelumba dan pemandu pembangunan Volkswagen R iaitu Benjamin Leuchter. Menurut Volkswagen, ia berjaya mencapai kelajuan 265 km/j pada bahagian Döttinger Höhe di litar itu.

“Dengan kereta ini, saya boleh memandu di di Nürburgring dan perhentian seterusnya ialah kedai roti atau kedai DIY. Ia benar-benar kenderaan serba boleh yang boleh melakukan segala-galanya,” kata Leuchter.

Golf R “20 Years” dikuasakan oleh enjin TSI 2.0-liter empat silinder yang telah ditala bagi menghasilkan 333 PS, 13 PS lebih tinggi berbanding apa yang terdapat pada Golf R standard. Ini menjadikannya model produksi Golf paling berkuasa pernah dihasilkan.

Di samping enjin lebih berkuasa, transmisi DSG tujuh kelajuannya juga diberikan pemetaan baharu untuk penukaran gear yang lebih agresif terutamanya ketika dalam mod S atau S+. Dengan sistem pacuan semua roda 4Motion, model ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 270 km/j.

Selain itu, Golf R “20 Years” juga didatangkan dengan Driving Dynamics Manager, R-Performance Torque Vectoring dan pakej R-Performance yang merangkumi dua mod tambahan yang dibangunkan dengan kerjasama Leuchter sendiri iaitu Special dan Drift.

Untuk percubaan catatan masa ini, Leuchter menggunakan mod Special yang dibangunkan khusus untuk litar Nurburgring. Apa yang menarik, mod ini melaraskan suspensi supaya menjadi lebih lembut dan selesa bagi membolehkan ia menampung beban yang tinggi ketika memandu di atas litar yang beralun itu.

Toyota Sienta 2022 dilancarkan di Jepun – platform TNGA, enjin Dynamic Force

MASIH ingatkah anda pada Toyota Sienta? Ya, MPV kompak yang dilancarkan di Malaysia pada 2016 itu telah pun memasuki generasi ketiga dan kini ia tampil dengan platform, enjin dan pelbagai teknologi baharu.

Sienta serba baharu dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture versi GA-B seperti Yaris (model pasaran Eropah) dan Yaris Cross, namun ia lebih panjang dan tinggi dengan ukuran panjang 4,260 mm, lebar 1,695 mm, tinggi 1,715 mm dan tapak roda 2,750 mm.

Menurut Toyota, ukuran tinggi Sienta bertambah sebanyak 20 mm jika dibandingkan dengan model generasi kedua, sekaligus menjadikan ruang kabin lebih luas dan selesa untuk penumpang.

Reka bentuk luaran Sienta dilihat lebih moden dan cantik berbanding sebelum ini, dengan motif-motif berbentuk bulat dan petak bergelar ‘Shikakumaru’ menghasilkan penampilan yang kompak serta membuatkan ia kelihatan lincah di jalan raya.

Sementara itu, papan pemuka pula memperlihatkan reka bentuk yang praktikal menerusi ruang penyimpanan yang besar di sebelah tombol gear dan depan penumpang, serta pemegang cawan pada bahagian kiri dan kanan. Bahagian atas papan pemuka dihiasi dengan upholsteri fabrik.

Bergantung kepada varian, Sienta dilengkapi dengan panel instrumen digital dan sistem Display Audio yang menyediakan ciri-ciri seperti navigasi, arahan suara dan hotspot WiFi. Turut disertakan adalah outlet AC100 V/1,500 W yang bukan sahaja boleh digunakan untuk perkakasan elektrik, malah sebagai penjana kuasa sandaran sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.

Memasuki kabin kini lebih mudah kerana Sienta mempunyai lantai serendah 330 mm dan pintu gelongsor elektrik pada bahagian kiri dan kanan yang boleh dibuka dengan gerakan kaki. Bukan itu sahaja, bukaan pintu berkenaan telah bertambah sebanyak 60 mm berbanding sebelum ini.

Selain itu, tinggi bukaan pintu hatch belakang dan ruang bonet masing-masing bertambah sebanyak 15 mm dan 50 mm. Ini membolehkan pengguna memuatkan sebuah basikal dengan tayar berukuran 27 inci tanpa sebarang masalah.

Untuk enjin pula, terdapat dua pilihan iaitu petrol dan petrol hibrid. Versi petrol menampilkan enjin Dynamic Force 1.5-liter M15A-FKS yang dipadankan dengan Direct-Shift CVT, manakala versi hibrid pula dikuasakan oleh enjin 1.5-liter M15A-FXE dengan eCVT dan sebuah motor elektrik yang dikatakan mampu memberikan bacaan bahan api sehingga 28.8 km per liter.

Seperti Yaris Cross, versi hibrid ini juga boleh didapati dalam versi E-Four yang secara langsung menjadikan ia model All-Wheel-Drive dengan adanya motor elektrik kedua pada gandar belakang.

Sistem keselamatan pula didahului oleh Toyota Safety Sense yang merangkumi ciri-ciri seperti Pre-collision Safety System, Proactive Driving Assist dan Advanced Park. Selain kereta, sistem Pre-Collision berupaya mengesan motosikal, pejalan kaki dan penunggang basikal, manakala Proactive Driving Assist pula membantu pemandu dari segi kawalan stereng dan pendikit.

Untuk pasaran Jepun, Sienta ditawarkan dalam konfigurasi lima atau tujuh tempat duduk, dengan tiga varian (X, G dan Z) masing-masing untuk versi petrol, hibrid pacuan roda depan dan hibrid E-Four. Harga bermula dari 1,950,000 yen (RM64,020) hingga 3,108,000 yen (RM102,040).

Polis Detroit berkas 3 kanak-kanak cuba curi Charger dan Challenger Hellcat

KES kecurian kenderaan sedang meningkat dengan mendadak di sekitar bandaraya Detroit dan lebih malang lagi, ada di antaranya melibatkan kanak-kanak.

Dalam kes terbaru, pasukan polis Detroit berkata mereka telah menahan tiga kanak-kanak berusia antara 11 hingga 14 tahun yang dipercayai terbabit dalam percubaan mencuri kereta pada 22 Ogos.

Mereka diberkas ketika sedang cuba mencuri Dodge Charger Hellcat dan Challenger Hellcat di tempat penyimpanan kereta di kilang Jefferson North Assembly Plant yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Detroit.

Sumber gambar: Fox 2 Detroit

Selain Charger dan Challenger Hellcat, tempat itu juga dijadikan lot penyimpanan untuk model-model lain di bawah payung Stellantis seperti Dodge Durango dan Jeep Grand Cherokee.

Polis Detroit berkata kes kecurian kenderaan di bandaraya itu menyaksikan peningkatan sebanyak 40 peratus berbanding tahun lalu namun pihak polis sedang berusaha keras untuk membanteras aktiviti itu.

Menurut ketua unit kecurian auto komersial, Clive Stewart, ini merupakan pesalah paling muda yang terlibat dalam kes seperti ini. Baru-baru ini, mereka berjaya memberkas seorang pencuri kereta berusia 14 tahun yang juga merupakan pesalah berulang yang baru sahaja tamat hukuman pada Mei lalu.

Polis Detroit mengesyaki bahawa terdapat kemungkinan yang pesalah-pesalah juvana ini terlibat dalam sindiket curi kenderaan yang diketuai oleh orang lebih dewasa.

 

Lamborghini Urus Performante – 666 PS, 0-100 km/j dalam 3.3 saat sahaja

DIPERKENALKAN empat tahun yang lalu, Lamborghini Urus mungkin sedang mendominasi segmen SUV berprestasi tinggi mewah buat masa ini namun dengan kehadiran model-model seperti Aston Martin DBX 707 dan Ferrari Purosangue, pengeluar supercar dari Itali itu tidak lagi boleh berdiam diri.

Oleh itu, Lamborghini telah memperkenalkan versi yang lebih berkuasa dan ringan yang dikenali sebagai Urus Performante. Kemampuannya telah pun terbukti apabila ia mencatat rekod baharu dalam kategori SUV produksi dalam Pikes Peak International Hill Climb Road dengan catatan masa 10:32.064.

Apakah rahsia kehebatan jentera ini? Pertama sekali, enjin 4.0-liter twin-turbo V8 telah dinaik taraf bagi menghasilkan 666 PS pada 6,000 rpm, iaitu 16 PS lebih tinggi berbanding Urus standard. Jumlah tork kekal pada 850 Nm, namun pengagihannya ditambah baik dengan adanya differential baharu.

Dengan peningkatan kuasa ini, masa pecutan 0-100 km/j berjaya dipendekkan dari 3.6 saat kepada 3.3 saat, manakala pecutan 0-200 km/j pula berkurang dari 12.8 saat kepada 11.5 saat. Kelajuan maksimum meningkat sebanyak 1 km/j kepada 306 km/j.

Selain itu, Urus Performante juga telah mengalami pengurangan berat sebanyak 47 kg, sekaligus memberikannya nisbah kuasa-ke-berat yang terbaik dalam kelasnya. Ini dicapai menerusi penggunaan komponen-komponen gentian karbon dan juga sistem ekzos titanium keluaran Akrapovic.

Lamborghini turut mengemas kini casis SUV ini dengan menggunakan set spring keluli baharu yang membuatkan ia 20 mm lebih rendah, serta melebarkan jarak track sebanyak 16 mm. Ia didatangkan standard dengan rim berukuran 22 inci yang dibalut tayar Pirelli P Zero yang dibangunkan khusus. Pelanggan bagaimanapun boleh juga mendapatkan rim 23 inci.

Dari segi elektronik pula, sistem mod pemanduan Tamburo kini mempunyai mod baharu iaitu Rally yang ditala khusus untuk pemanduan di atas litar off-road dengan kecenderungan untuk oversteer.

 

Menurut Lamborghini, penyerahan pertama Urus Performante dijangka akan dilakukan pada akhir tahun ini. Harga bermula dari 218,487 euro (RM973,333).

Mercedes-Benz C-Class W206 kini dipasang secara tempatan – harga dari RM287,888

MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) hari ini secara rasmi melancarkan Mercedes-Benz C-Class generasi kelima dalam versi pemasangan tempatan atau CKD.

Seperti versi import CBU yang memasuki pasaran pada Februari lalu, sedan eksekutif kompak yang dipasang di Pekan, Pahang ini ditawarkan dalam dua varian iaitu C200 Avantagarde Line dan C300 AMG Line, dengan harga masing-masing bermula dari RM287,888 dan RM327,888.

Melihat kepada spesifikasi yang diberikan, C-Class CKD mempunyai kelengkapan yang sama seperti versi CBU, cuma ia telah dikemas kini dengan penambahan Keyless-Go Comfort Package, Hands-Free Access dan juga sistem keselamatan Pre-Safe.

Dari segi penampilan, C200 boleh dibezakan dengan C300 menerusi kit badan Avantgarde Line dan rim aloi berukuran 18 inci. C300 pula menggayakan kit badan AMG Line yang lebih agresif, rim aloi AMG berukuran 19 inci dan bumbung panoramik.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan lampu utama LED High Performance dengan ciri Adaptive Highbeam Assist, cermin sisi boleh lipat dan juga perlindunan bawah badan.

Ruang dalaman pula menampilkan sistem infohibur Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang merangkumi kluster instrumen digital 12.3 inci dan skrin tengah 11.9 inci. Turut disertakan adalah sistem navigasi, modul komunikasi LTE untuk perkhidmatan Mercedes me, Apple CarPlay dan Android Auto.

C200 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter dengan 204 hp dan 300 Nm, manakala C300 pula hadir dengan enjin 2.0-liter yang mampu menjana 258 hp dan 400 Nm. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic dan Integrated Starter Generator yang membekalkan kuasa tambahan sebanyak 15 kW dan 200 Nm.

Selain itu, C200 dan C300 juga berkongsi suspensi Agility Control dengan sistem peredam selektif, serta sistem Dynamic Select.

Mitsubishi Motors Malaysia buka pusat 3S di Rawang

MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM), bersama wakil pengedar rasmi Lofty Ambition (Rawang) Sdn Bhd, baru-baru ini telah melancarkan pusat 3S Mitsubishi Motors baharu yang terletak di Rawang.

Ia merupakan cawangan Mitsubishi Motors keempat yang dikendalikan oleh Lofty Ambition, selepas cawangan Ipoh, Taiping dan Sitiawan. Ia juga merupakan cawangan Mitsubishi Motors yang ke-16 di Lembah Klang.

Beralamat di Jalan Millenium, Pusat Perniagaan Rawang Millenium, cawangan baharu ini ditempatkan di tiga lot kedai dan kawasan berkeluasan 4,000 kaki persegi. Ia menampilkan identiti jenama Mitsubishi Motors yang selaras dengan slogan global ‘Drive Your Ambition’.

Di samping sebuah pusat servis yang serba lengkap dengan peralatan terkini, cawangan ini juga mempunyai ruang rehat dengan sambungan Wifi bagi memastikan keselesaan pelanggan. Waktu operasi adalah dari Isnin hingga Sabtu dari 9 pagi hingga 6 petang dan Ahad dari 11 pagi hingga 4 petang.

“Mitsubishi Motors dan Lofty Ambition telah menjadi rakan kongsi perniagaan sejak 2014 dan dalam tempoh lapan tahun ini, Lofty Ambition telah menubuhkan empat bilik pameran Mitsubishi. Ini menunjukkan keyakinan syarikat terhadap jenama Mitsubishi, dan komitmen untuk mengukuhkan lagi kehadiran Mitsubishi di Malaysia,” kata Shinya Ikeda, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.

Beliau menambah, “Bilik pameran baharu ini adalah untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan di Lembah Klang kerana kami melihat potensi besar untuk pertumbuhan perniagaan, terutamanya bagi trak pikap Triton dan crossover tujuh tempat duduk Xpander.”

Mengenai prestasi jualan syarikat, Shinya berkata sepanjang separuh pertama 2022, MMM berjaya menjual sebanyak 12,261 kenderaan, menunjukkan peningkatan sebanyak 63 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Perkongsian pasaran MMM ketika ini adalah 4 peratus, membolehkan syarikat itu mengekalkan kedudukan di tangga tiga teratas bagi jenama bukan nasional di Malaysia.

Bugatti W16 Mistral – jentera W16 terakhir, 99 unit habis terjual

SETELAH hampir 20 tahun, Bugatti akhirnya mengambil keputusan untuk menghentikan penjualan enjin W16 bagi membolehkannya melangkah ke era hibrid dan elektrifikasi bersama Rimac. Namun sebelum itu, syarikat itu akan menawarkan model terakhir yang dikuasakan oleh enjin quad turbo berkenaan. Memperkenalkan, Bugatti W16 Mistral.

Menurut Bugatti, W16 Mistral dinamakan sempena angin yang bertiup di lembah Rhone River. Unit berwarna hitam hangat dengan sedikit perincian coklat truffle dan aksen kuning diinspirasikan oleh Type 57 Roadster Grand Raid keluaran tahun 1934 yang kini dipamerkan di Muzium Louwman di Den Haag.

Namun seperti yang boleh dilihat, bentuk badan roadster ini membawakan elemen-elemen daripada beberapa model semasa Bugatti. Sebagai contoh, lampu belakang yang berbentuk X adalah daripada Bolide, manakala rekaan lampu depan pula adalah gabungan antara Divo dan La Vouitre Noire.

Ruang dalamannya tidak jauh berbeza dengan Chiron, namun untuk W16 Mistral, jurureka menggunakan tombol gear yang diperbuat daripada blok aluminium yang dihiasi dengan kemasan kayu dan amber. Panel pintu pula dihiasi dengan upholsteri kulit yang ditenun.

Sudah tentu, ‘nadi’ jentera ini adalah enjin 8.0-liter W16 dengan 1,600 PS. Ia merupakan versi enjin yang sama seperti pada Chiron Super Sport 300+ yang mencapai kelajuan 304.773 bsj (490.484 km/j) pada 2019. Bugatti berhasrat untuk menjadikan W16 Mistral kereta roadster terpantas di dunia bagi mengalahkan pemegang rekod semasa iaitu Hennessey Venom GT Spyder.

Pengeluaran W16 Mistral akan dihadkan kepada 99 unit sahaja dan setiap satu dijual pada harga 5 juta euro (kira-kira RM22.5 juta). Jangan terkejut kerana semuanya telah habis terjual!

Honda CBR250R kini dengan fork terbalik Showa – harga dari RM23,999

SELEPAS tiga tahun ‘terbiar’, Honda CBR250R akhirnya menerima kemaskini yang menyaksikan model itu hadir dengan sistem suspensi dan kelengkapan baharu.

Bagi model tahun 2022, jentera yang diberi jolokan ‘Neo Sports Cafe’ ini dijual pada harga RM23,999 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Boon Siew Honda selaku pengedar rasmi menawarkan waranti selama dua tahun atau 20,000 km.

Ia boleh didapati dalam dua pilihan warna, iaitu Matte Gun Powder Black Metallic dan Candy Chromosphere Red.

CBR250R kini dilengkapi dengan fork depan terbalik Separate Function Big Piston (SFF-BP) keluaran Showa bersaiz 41 mm. Peredam pemisahan tekanan di dalam satu tabung fork dan mekanisme spring di dalam tabung satu lagi menawarkan prestasi redaman yang lebih tinggi.

Sementara itu, suspensi jenis monoshock pada bahagian belakang pula mempunyai lima tahap pelarasan untuk pra-muat spring.

Seperti sebelum ini, CBR250R dikuasakan oleh enjin silinder tunggal DOHC bersesaran 250 cc dengan output 27.2 hp pada 9,500 rpm dan 23.4 Nm pada 7,750 rpm. Enjin sejukan cecair itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan klac Assist/Slipper untuk penukaran gear yang lebih lancar.

Selain itu, model ini juga didatangkan dengan ABS dwi-saluran yang diuruskan secara dinamik oleh sistem Internatial Measurement Unit (IMU) bagi memastikan daya brek diagihkan sama rata antara roda depan dan belakang.

Ciri ini juga berupaya untuk meminimumkan lonjakan roda belakang, sekaligus menjadikan penunggang lebih yakin di jalan raya.

Satu lagi ciri baharu adalah paparan meter LCD yang menampilkan grafik lebih moden dengan penunjuk kedudukan gear yang lebih jelas dan mudah dilihat. Turut disertakan adalah lampu LED pada bahagian depan dan belakang.

Proton akan melabur untuk bangunkan jaringan pengecasan awam dan domestik

SEPERTI yang dilaporkan semalam, Proton telah menandatangani Perjanjian Pengedaran Am bersama smart Automobile Company yang akan menyaksikan syarikat itu menjual kenderaan elektrik (EV) smart #1 di Malaysia dan Thailand bermula tahun depan.

Selaras dengan perjanjian itu, Proton merancang untuk melabur dalam rangkaian pengecasan dengan kerjasama pembekal pengecasan tempatan, di samping menyediakan unit domestik untuk pelanggan yang berhasrat untuk mengecas kenderaan mereka di rumah.

Dalam satu sidang media yang diadakan selepas majlis tandatangan tersebut, Pengarah Kanan Strategi Proton, Yusri Yusuf berkata pihaknya kini sedang dalam perbincangan dengan tujuh hingga lapan operator infrastruktur EV.

Tambah beliau, Proton melihat dari dua sisi iaitu pengecasan di rumah dan pengecasan awam. Bagi pengecasan awam, syarikat itu akan menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan bagi menentukan status terkini perancangan tersebut.

Secara umumnya, rangkaian pengecasan awam itu akan meliputi laluan-laluan yang sering digunakan atau popular di kalangan pengguna jalan raya, serta kawasan-kawasan luar bandar.

Selain itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata beliau telah menubuhkan pasukan untuk mengkaji kebolehlaksanaan stesen pengecasan mudah alih bagi mengurangkan masalah kebimbangan jarak (range anxiety) di kalangan pelanggannya.

Dibangunkan bersama oleh Mercedes-Benz dan Geely, smart #1 (disebut ‘hashtag one’) akan memasuki pasaran Malaysia pada awal suku keempat tahun 2023, diikuti dengan Thailand pada separuh kedua 2024.

Menariknya, Malaysia akan menjadi negara ASEAN pertama yang menerima model itu dalam versi pemanduan sebelah kanan.

Jualan kenderaan meningkat 552% kepada 48,922 unit pada Julai 2022

JUALAN kenderaan baharu di Malaysia melonjak lebih enam kali ganda kepada 48,922 unit pada Julai 2022 berbanding 7,499 unit pada Julai 2021.

Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan 63,366 unit yang direkodkan pada Jun 2022, angka tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 22.8 peratus.

Jumlah jualan kenderaan penumpang adalah sebanyak 43,594 unit manakala kenderaan komersil pula sebanyak 5,328 unit bulan lalu.

Persatuan Automotif Malaysia dalam satu kenyataan bulanan berkata secara kumulatif bagi tujuh bulan pertama 2022, jualan kenderaan meningkat 48.3 peratus kepada 380,595 unit dari 256,677 unit yang dicatat setahun lalu.

Menurut kenyataan itu, jumlah keseluruhan industri (TIV) yang tinggi pada Jun 2022 disebabkan oleh pemenuhan tempahan oleh syarikat-syarikat kenderaan yang menerima banyak tempahan sebelum 30 Jun 2022, iaitu hari terakhir insentif pengecualian cukai jualan.

Bagi pengeluaran pula, sebanyak 52,061 kenderaan dikeluarkan pada Julai berbanding 2,775 unit pada bulan yang sama tahun lalu.

Setakat ini, jumlah pengeluaran kenderaan naik kepada 369,994 unit berbanding 244,063 setahun lalu.

Mengenai unjuran untuk bulan Ogos, MAA berkata jualan dijangka kekal sama pada paras Julai 2022.

Proton akan mula jual EV jenama smart pada suku keempat 2023

KERJASAMA antara Proton dan smart Automobile Company dimuktamadkan hari ini dalam satu majlis tandatangan Perjanjian Pengedaran Am yang diadakan di Proton Centre of Excellence.

Menerusi perjanjian ini, Proton akan bertindak selaku pengimport dan pengedar rasmi kenderaan elektrik (EV) premium keluaran smart di pasaran Malaysia dan Thailand. Model smart pertama yang akan dijual oleh Proton iaitu smart #1 akan dilancarkan di Malaysia pada awal suku keempat tahun 2023, diikuti dengan Thailand pada separuh kedua 2024.

“Fasa pertama perniagaan dengan smart bukan hanya tertumpu kepada penjualan semata-mata, tetapi juga mengambil pengetahuan dan pengalaman yang berharga bukan sahaja dari cara pengendalian servis dan pengecasan EV tetapi juga mengubah cara kami berinteraksi dengan pelanggan,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

Selain menjual dan menyediakan perkhidmatan selepas jualan untuk kenderaan smart, Proton turut berhasrat untuk melabur dalam rangkaian pengecasan dengan kerjasama pembekal pengecasan tempatan. Ia juga akan menyediakan unit domestik untuk pelanggan yang ingin mengecas EV mereka di kediaman.

Proton merancang untuk memodelkan operasi jualan untuk smart seperti yang dilakukan oleh syarikat tersebut di pasaran lain. Penekanan akan diberikan terhadap integrasi gaya hidup digital dan penyelesaian digital yang merangkumi perancangan perjalanan, ketersediaan pengecas dan pertimbangan pembelian.

Selain itu, Proton juga sedang menerokai peluang untuk menarik bakat muda. Pengeluar kereta nasional itu akan melaksanakan rancangan jangka masa panjang untuk pelestarian dan kecekapan tenaga serta meningkatkan skor ESG-nya bagi menarik minat pekerja industri automotif generasi akan datang.

“Peralihan ke dalam segmen pasaran ini juga akan membantu memacu Proton ke arah menjadi lebih mesra alam dalam semua aspek operasi di samping berusaha untuk membantu Malaysia mencapai sasaran neutraliti karbon menjelang 2050,” tambah Dr Li.

Porsche 911 GT3 RS baharu dibina semata-mata untuk prestasi

DALAM hierarki Porsche, mana-mana model yang memakai lencana ‘GT’ adalah yang paling hardcore dan berprestasi dalam barisannya. Contohnya 911 GT3 RS yang baru sahaja diperkenalkan ini.

Untuk model generasi 992, 911 GT3 RS tampil dengan pelbagai penambahbaikan yang diinspirasikan dari sukan permotoran termasuk kit aerodinamik dari Formula 1, komponen suspensi baharu, casis yang dipertingkatkan serta enjin yang lebih berkuasa.

Mari kita mulakan dengan penampilannya dahulu. Jika dibandingkan dengan 911 GT3, versi RS ini kelihatan lebih serius dan mengancam terima kasih kepada kit badannya yang agresif. Ia merangkumi splitter depan, skirt sisi, sirip fender dan sudah tentu, spoiler belakang.

Menurut Porsche, spoiler berkenaan mempunyai Drag Reduction System (DRS) yang boleh diaktifkan menerusi butang pada stereng. Selain membolehkan kereta memecut lebih laju, ia juga didatangkan dengan fungsi airbrake sebagai sokongan kepada brek cakera ketika membrek pada kelajuan tinggi.

Apa yang lebih menarik, spoiler 911 GT3 RS ini lebih tinggi berbanding bumbungnya dan ini merupakan yang pertama bagi model produksi Porsche!

Model baharu ini mempunyai ukuran trek (jarak antara titik tengah roda kiri dan kanan) yang lebih lebar sebanyak 29 mm berbanding GT3. Para jurutera Porsche turut memberikan profil berbentuk teardrop pada komponen double-wishbone depan bagi meningkatkan downforce sebanyak 40 kg pada kelajuan maksimum.

Selain itu, kadar spring pada sistem multi-link belakang telah diperbaharui, manakala sistem bantuan pemandu dan stereng gandar belakang mempunyai tetapan yang lebih dinamik.

911 GT3 RS dikuasakan oleh enjin naturally-aspirated 4.0-liter enam silinder yang sama seperti GT3, namun dengan camshaft dan cam profile baharu, kuasanya meningkatkan dari 510 PS kepada 525 PS. Transmisi PDK tujuh kelajuan yang memacu roda belakang membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 296 km/j.

Menerusi penggunaan bahan-bahan ringan seperti CFRP pada pintu, sayap depan, bumbung, bonet serta tempat duduk bucket antara lainnya, berat jentera ini hanya 1,450 kg walaupun mempunyai komponen-komponen yang lebih besar.

Pelanggan boleh menaik taraf 911 GT3 RS menerusi pakej Clubsport secara percuma. Pakej ini didatangkan dengan rollover bar, tali pinggang keledar enam poin dan juga pemadam api.

Untuk mereka yang lebih serius dengan prestasi, Porsche turut menawarkan pakej Weissach yang merangkumi kemasan gentian karbon, lebih banyak komponen CFRP dan teknologi magnet pada paddle shifter. Pelanggan yang membeli pakej ini juga boleh memilih untuk mendapatkan rim magnesium yang 8 kg lebih ringan berbanding rim standard.

Land Rover Defender 90 Trophy Edition – 250 unit untuk pasaran Amerika Utara sahaja

SELEPAS memperkenalkan Defender 110 Trophy Edition setahun yang lalu, Land Rover kini kembali dengan penawaran edisi terhad yang sama namun untuk Defender 90 pula.

Seperti sebelum ini, para pembeli berpeluang untuk menyertai pertandingan North American Defender Trophy yang akan diadakan di Manchester, Vermont pada November. Pemenang akan dibawa bertanding dalam peringkat akhir di United Kingdom pada 2023.

Land Rover akan menawarkan sebanyak 250 unit Defender 90 Trophy Edition di Amerika Syarikat dan Kanada, 30 unit lebih banyak berbanding Defender 110 Trophy Edition. Harga jualannya bermula dari $95,000 (RM424,223).

Dibina berasaskan Defender 90 P400 X-Dynamic SE, model Trophy Edition hadir dengan balutan berwarna kuning yang diinspirasikan oleh jentera pertandingan Camel Trophy, Extended Black Exterior Pack, cangkuk tunda, sistem suspensi udara, Cold Climate Pack dan Off-Road Pack.

Selain itu, ia juga mendapat pelbagai kelengkapan tambahan untuk pengembaraan off-road termasuk rak bumbung ekspedisi, tangga, takal elektronik dan kit pemasangan, madgad, pemampat angin terbina dan juga alas getah.

Tiada perubahan trenkuasa bagi model ini, bermakna ia masih dikuasakan oleh enjin petrol turbo 3.0-liter enam silinder dengan sistem mild-hybrid (MHEV) yang menghasilkan 400 PS. Kuasa disalurkan menerusi transmisi automatik lapan kelajuan.

Atas kertas, SUV ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.0 saat namun seperti yang kita tahu, kekuatan sebenarnya terletak pada kemampuannya untuk meneroka permukaan yang ekstrem dan mencabar.

 

Chery buka tempahan Tiggo 7 Pro, Tiggo 8 Pro di Indonesia

CHERY secara rasminya telah membuka tempahan untuk dua modelnya iaitu Tiggo 7 Pro dan Tiggo 8 Pro di Indonesia. Model-model tersebut ditawarkan dengan waranti kenderaan selama enam tahun atau 150,000 km, serta waranti enjin selama 10 tahun atau 1 juta km.

Perkara ini diumumkan pada acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2022 yang sedang berlangsung dari 11 hingga 21 Ogos.

Tiggo 8 Pro merupakan SUV tujuh tempat duduk dengan ciri-ciri premium seperti gril ‘geometric matrix diamond’ dan lampu depan LED yang direka berdasarkan falsafah ‘Life in Motion 3.0’.

Di dalam, terdapat tiga skrin iaitu panel instrumen 12.3 inci, skrin sistem infohibur dan skrin kawalan sistem pendingin hawa berukuran lapan inci. Turut disertakan adalah sistem audio dengan lapan pembesar suara jenama Sony, pencahayaan ambien pelbagai warna, bumbung panoramik dan upholsteri dwi-tona.

Tersembunyi di bawah bonet adalah enjin siri ACTECO generasi ketiga 1.6-liter TGDI yang menghasilkan 192 PS dan 290 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang menggerakkan roda depan. Transmisi yang dibangunkan oleh Chery itu dikatakan mempunyai kecekapan sehingga 96 peratus.

Tiggo 8 Pro juga didatangkan dengan sistem ADAS yang merangkumi 12 fungsi termasuk Adaptive Cruise Control (ACC), Autonomous Emergency Braking (AEB) dan Forward Collision Warning (FCW). Kamera 360 darjah turut disertakan.

Sementara itu, Tiggo 7 Pro pula merupakan ‘adik’ kepada Tiggo 8 Pro yang mempunyai lima tempat duduk. Ia didatangkan dengan gril yang lebih tajam, lampu matriks LED pintar, serta tiang C berwarna hitam yang menimbulkan efek bumbung terapung.

Di samping ciri-ciri yang ada pada 8 Pro, model ini mendapat beberapa ciri canggih seperti pintu belakang elektrik induktif, pengecasan peranti mudah alih tanpa wayar, gearshift elektronik dan fungsi arahan suara.

Ruang dalaman Tiggo 7 Pro

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan 10 fungsi ADAS termasuk Lane Keeping, Adaptive Cruise Control dan Emergency Braking. Enam beg udara dan Stability Control keluaran Bosch disertakan secara standard pada kedua-dua varian.

Seperti OMODA 5, Tiggo 8 Pro dan 7 Pro turut dirancang untuk dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Chery sedang bekerjasama rapat dengan rakan-rakan niaga tempatan ke arah mewujudkan operasi pemasangan tempatan serta pembaharuan jenamanya.

Suzuki GSX-S1000 GT masuk pasaran Malaysia pada harga RM85,700

DALAM satu hantaran menerusi laman Facebook rasminya hari ini, Suzuki Malaysia mengumumkan bahawa Suzuki GSX-S1000 GT telah pun dilancarkan untuk pasaran tempatan.

Menurut Suzuki Malaysia, model sport tourer itu dijual pada harga RM85,700 tidak termasuk insurans, pendaftaran dan cukai jalan. Apa yang lebih menarik, ia didatangkan standard dengan kotak barangan sisi (side pannier).

Untuk pasaran Malaysia, GSX-S1000 GT ditawarkan dalam dua warna menarik iaitu Metallic Triton Blue dan Metallic Reflective Blue. Model ini tersedia menerusi rangkaian pengedar Suzuki Big Bike World di seluruh Malaysia.

Jentera ini tampil dengan enjin empat silinder sebaris DOHC bersesaran 999 cc yang mampu menjana 152 PS pada 11,000 rpm, 2 PS lebih tinggi berbanding output pada model terdahulu iaitu GSX-S1000 F.

Seperti GSX-R1000, kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi enam kelajuan dengan nisbah rapat. Ia dipadankan dengan Suzuki Clutch Assist System (SCAS) yang bertindak sebagai klac slipper untuk melancarkan tindak balas enjin.

GSX-S1000 GT dibina berasaskan kerangka aluminium twin-spar yang digandingkan dengan fork terbalik KYB berukuran 43 mm dan lengan ayun aluminium-aloi yang diambil terus dari GSX-R1000. Kadar spring dan daya redaman sistem suspensi ditala secara spesifik untuk model ini.

Kapasiti tangki bahan api adalah 19 liter, manakala berat keseluruhannya mencecah 226 kg. Sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar berukuran 310 mm serta angkup Brembo Monobloc.

Untuk sistem elektronik, Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) menyediakan tiga mod dengan respon pendikit dan karakteristik tork yang berbeza iaitu Active, Basic dan Comfort. Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuklah pendikit Ride-by-Wire, Traction Control, Quickshifter dan Cruise Control.

Semua sistem berkenaan boleh diakses menerusi paparan TFT-LCD berukuran 6.5 inci. Paparan ini juga boleh disambungkan dengan telefon pintar untuk memaparkan peta, panggilan telefon dan pemain muzik.

Dodge Durango SRT Hellcat kembali untuk 2023 – 710 hp, 0-96 km/j dalam 3.5 saat!

KETIKA Durango SRT Hellcat diperkenalkan buat pertama kali pada Julai 2020, Dodge hanya merancang untuk menghasilkannya selama enam bulan dan dalam bilangan yang terhad.

Kemudian pada April 2020, Dodge mengumumkan yang ia akan melanjutkan lagi pengeluaran model itu bagi memenuhi permintaan pelanggan. Kini, syarikat itu telah mengesahkan yang SUV berprestasi tinggi itu akan kembali bagi model tahun 2023.

Seperti sebelum ini, Durango SRT Hellcat dikuasakan oleh enjin supercharger HEMI 6.2-liter V8 yang telah ditala bagi menghasilkan 710 hp dan 875 Nm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan TorqueFlite 8HP95, ia mampu memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam hanya 3.5 saat.

Sebagai jentera yang dibangunkan khas untuk drag, ia juga boleh melengkapkan pecutan suku batu dalam 11.5 saat. Masa ini diiktiraf oleh National Hot Rod Association (NHRA). Kelajuan maksimum pula adalah 290 km/j.

Melihat kepada spesifikasinya, tiada sebarang pembaharuan yang akan dibawakan oleh model 2023 ini. Ia masih kekal dengan kit badan agresif, spoiler belakang yang boleh menjana downforce sebanyak 64.5 kg pada kelajuan maksimum, dan lencana SRT Hellcat pada bahagian fender.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan mod pemanduan Street (Auto), Sport, Track dan Custom, Launch Control, Launch Assist serta sistem brek Brembo yang merangkumi angkup enam dan empat piston, dan cakera berukuran 15.75 inci di depan dan 13.8 inci di belakang.

Durango SRT Hellcat akan dibuka untuk tempahan bermula bulan depan. Harga tidak diberitahu namun sebagai rujukan, model tahun 2021 dijual pada harga $82,000 (RM366,171) sebelum tambahan opsyen.

Porsche 911 Sally Special – model one-off berdasarkan watak dari animasi Cars

SIAPA yang pernah menonton filem animasi Cars pasti mengenali Sally Carrera, sebuah Porsche 911 Carrera berwarna biru muda yang merupakan teman wanita kepada watak utama iaitu Lightning McQueen.

Porsche, dengan kerjasama Pixar Animation Studios, telah ‘menghidupkan’ watak itu menerusi sebuah model one-off yang dikenali sebagai 911 Sally Special. Berasaskan model 911 GTS generasi 992, kereta ini akan dilelong oleh RM Sotheby’s pada acara Monterey Car Week di California pada 20 Ogos depan.

Sebahagian daripada keuntungan yang diperoleh akan diagihkan ke dua badan amal iaitu Girls Inc., sebuah organisasi yang memperkasakan wanita, dan juga UNCHR, sebuah organisasi yang menyokong pelarian dari Ukraine.

Menurut Porsche, projek istimewa ini bermula pada November 2021 dan melibatkan sepasukan individu yang bertanggungjawab menghasilkan filem Cars, termasuk Jay Ward, pengarah kreatif francais Pixar Animation Studios dan Bob Pauley, pereka produksi. Mereka bekerjasama rapat dengan ahli-ahli program Sonderwunsch dari Porsche Exclusive Manufaktur di Stuttgart dan para pereka dari Style Porsche di Weissach.

Seperti yang boleh dilihat, hasilnya adalah sesuatu yang sangat unik dan tidak sama dengan mana-mana 911 Carrera GTS yang pernah keluar dari barisan produksi kilang Zuffenhausen.

Warna biru muda yang digunakan ini digelar Sally Blue Metallic dan ia diformulasikan khas bagi memastikan 911 Sally Special kelihatan sama seperti watak kartun itu – begitu juga dengan tatu pada bahagian belakang. Bagi melengkapkan imej luarannya, Porsche menggunakan rim berukuran 20 dan 21 inci dengan rekaan lima batang yang tidak ubah seperti rim Turbo yang dipakai oleh Sally Carrera.

Rona biru metalik yang sama turut menghiasi ruang kabin model ini, iaitu pada bahagian papan pemuka, konsol tengah dan trim pintu. Selain itu, terdapat juga upholsteri fabrik Pepita, upholsteri kulit dan jahitan kontras berwarna Speed Blue.

Apa yang menarik, 911 Sally Special didatangkan sekali dengan seutas jam tangan edisi khas dari Porsche Design, penutup kain Porsche Tequipment, rak tayar berserta set roda Carrera Exclusive Design, buku khas dan lakaran-lakaran asal model oleh Shuichi Yamashita dan Bob Pauley.

Polisi pengurusan kenderaan akhir hayat bakal dilaksanakan menjelang 2025

MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba mengesahkan bahawa Malaysia sedang dalam proses mengkaji pendekatan sesuai bagi melaksanakan polisi pengurusan kenderaan akhir hayat atau ‘end-of-life vehicle policy’ (ELV) menjelang 2025.

Menurut beliau, pembangunan polisi berkenaan adalah penting bagi memastikan komponen dan bahan yang masih boleh digunakan dari kenderaan lama boleh dimanfaatkan dan tidak dibuang begitu sahaja.

“Lambakan kenderaan usang sehingga menjadi punca wabak denggi, dipercayai berlaku kerana masih belum ada polisi yang membolehkan tindakan sewajarnya diambil dengan penekanan diberikan kepada kaedah pelupusan yang tepat,” kata Dr Adham.

Sumber foto: Malay Mail

Beliau berkata demikian ketika sedang berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mewakili Konsortium Penyelidikan ELV dan Malaysia Automotive Recyclers Association (MAARA).

Tambah Dr Adham lagi, Malaysia melihat kepada Singapura dan Jepun yang mempunyai kepakaran dalam pengitaran semula ELV. 70 peratus barang yang dileraikan dari ELV boleh dieksport ke negara lain dan industri ini berpotensi mencecah RM10 bilion.

Berdasarkan data Kementerian Pengangkutan, setakat Mei 2022, terdapat sejumlah 33 juta kenderaan berdaftar di Malaysia, dengan 19 juta daripadanya berusia sekurang-kurangnya sedekad.

Mengenai MoU yang ditandatangani, Dr Adham berkata konsortium itu melibatkan tiga universiti iaitu UTM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Mereka akan bekerjasama dengan MAARA untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan ELV melalui kitar semula atau olah semula.

MoU itu bertujuan untuk mengumpul data dan maklumat mengenai pembuatan semula dan kitar semula, serta memupuk kerjasama antara ahli industri dan konsortium melalui program penyelidikan dan latihan. Selain itu, ia juga untuk membangunkan pelan pembuatan semula dan kitar semula untuk menyokong Dasar Automotif Negara 2020.

Sementara itu, Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail dalam ucapannya berkata 99 peratus daripada komponen kenderaan yang layak dilupus, dapat digunakan semula.

Presiden MAARA, Datuk Khan Mohd Akram Khan pula berkata MAARA kini mempunyai 200 ahli terdiri daripada pemain dalam industri ELV yang bersedia mengeksport bahagian yang boleh dikitar semula dari kenderaan yang sudah tamat hayat.

Mitsubishi Xpander Cross facelift tampil dengan imej lebih lasak di GIIAS

Acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2022 yang sedang berlangsung di Jakarta menyaksikan kemunculan Mitsubishi Xpander Cross versi facelift. Ia tampil dengan perubahan yang sama seperti yang dibawakan oleh Xpander facelift, namun dengan perwatakan lebih agresif.

Pada bahagian depan, rekaan Dynamic Shield menampilkan gabungan gril besar dengan motif trapezoid dan bampar berbentuk guard-bar bagi memberikan Xpander Cross penampilan SUV yang lasak.

Lampu depannya didatangkan dalam bentuk T yang menyerlah, manakala lampu isyarat membelok kini diintegrasikan ke dalam lampu posisi bagi meningkatkan keterlihatan. Selain itu, overhang depan dan belakang dipanjangkan sebanyak 95 mm, dan bonet juga dijadikan lebih tebal.

Di belakang, tailgate diberikan rekaan tiga dimensi yang lebih menonjol dan dipadankan dengan lampu LED berbentuk T. Melengkapkan imej rugged MPV tujuh tempat duduk ini adalah rim aloi berukuran 17 inci dengan kemasan dwi-tona.

Selain pilihan warna yang sedia ada seperti Quartz White Pearl, Blade Silver Metallic, Graphite Gray Metallic dan Jet Black Mica, Xpander Cross facelift juga boleh didapati dalam warna baharu iaitu Green Bronze Metallic.

Jika dibandingkan dengan model pra-facelift, reka bentuk papan pemuka Xpander Cross facelift direka berdasarkan konsep Horizontal Axis yang memberikannya penampilan yang lebih mendatar. Menurut Mitsubishi, ini bagi membuatkan ruang kabin terasa lebih luas.

Apa yang baharu di sini adalah stereng multifungsi empat batang, skrin LCD berukuran lapan inci yang diposisikan di atas corong pendingin hawa tengah, kluster instrumen digital dan pengecas wayarles. Tiga tombol kawalan pendingin hawa juga telah ditukarkan dengan panel kawalan digital.

Spesifikasi trenkuasa tidak berubah namun untuk sistem keselamatan, Xpander Cross facelift mendapat Active Yaw Control (AYC) yang menggunakan data seperti sudut stereng, daya G, tekanan brek dan kelajuan untuk mempertingkatkan prestasi pengendalian di selekoh.

Contohnya, apabila membelok di permukaan jalan yang lincin, AYC akan mengenakan brek pada roda di bahagian dalam selekoh untuk mengurangkan kesan understeer. Sistem ini bekerja dengan Anti-lock Braking System (ABS) dan Active Stability Control (ASC).

Bukan itu sahaja, Mitsubishi turut mempertingkatkan ketegaran tapak topang depan, memperbesarkan saiz penyerap hentak belakang serta menggunakan injap berprestasi tinggi bagi memberikan pemanduan yang selesa walaupun di atas permukaan jalan yang kasar.

Untuk pasaran Indonesia, Xpander Cross facelift ditawarkan dalam dua varian iaitu CVT Premium Package yang berharga 333.75 juta rupiah (RM101,173) dan Manual yang berharga 309.95 juta rupiah (RM93,958).

Daihatsu Ayla EV muncul di Indonesia, bakal jadi Axia EV?

PT Astra Daihatsu Motor (ADM) menyertai pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2022 dengan membawakan sembilan model menarik. Salah satu daripadanya adalah model kompak elektrik sepenuhnya iaitu Ayla EV.

Ya, kembar kepada Perodua Axia yang juga dikategorikan sebagai Low Cost Green Car (LCGC) di Indonesia itu kini mempunyai trenkuasa elektrik. Menurut otomotif.kompas.com, ia dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan ADM sejak 2020.

 

Bagaimanapun, jangan terlalu teruja kerana Ayla EV masih lagi dalam peringkat konsep dan ADM juga masih belum mengumumkan sebarang perancangan untuk menjadikannya model produksi.

Untuk projek ini, ‘nadi’ asal Ayla iaitu petrol enjin 1.2-liter tiga silinder telah dikeluarkan dan digantikan dengan sebuah motor elektrik yang mampu menjana 80.5 hp dan pek bateri berkapasiti 32 kWj. Perincian lain seperti jarak pemanduan, kelajuan maksimum dan pengecasan tidak didedahkan.

Modifikasi turut dilakukan pada bahagian casis, di mana Ayla EV dipasangkan dengan sistem suspensi yang lebih kukuh bagi menampung berat tambahan daripada bateri. Selain itu, bahagian bawah badan kereta konsep ini turut diubah suai, kemungkinan besar untuk meningkatkan aspek aerodinamik.

Dari segi penampilan, Ayla EV tampil jauh lebih bergaya berbanding versi standard dengan jalur LED yang merentasi bahagian depan ala Volkswagen Golf Mk8, rekaan bampar tertutup sepenuhnya dan warna dwi-tona yang dikontraskan dengan perincian berwarna kuning.

Gambar ruang dalaman pula menampakkan sepasang skrin kecil yang memaparkan suapan (feed) dari kamera cermin sisi, tombol rotary untuk pemilihan gear, kluster instrumen digital serta perincian kuning pada corong pendingin hawa dan butang mula/henti.

Untuk mengatakan yang kemunculan Ayla EV ini akan membuka jalan kepada pembangunan Perodua Axia versi elektrik masih lagi terlalu awal, namun ia setidak-tidaknya menunjukkan yang Daihatsu mempunyai kepakaran untuk menghasilkan EV dan bersedia untuk menceburi segmen itu apabila tiba masanya.

Sumber foto: otomotif.kompas.com