All posts by Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

Suzuki Malaysia lancar kempen keselamatan, tema “Kongsi Jalanraya, Tunggang Berhemah”

Suzuki Malaysia Sdn Bhd semalam (14 Januari) melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya AMI-Suzuki 2025 di Dataran Ilmu, Stadium Selayang.

Kempen tersebut dilancarkan dengan kerjasama Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA) dan disempurnakan oleh YB Datuk Haji Hasbi Haji Habibollah selaku Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia.

Kempen bertemakan “Kongsi Jalanraya, Tunggang Berhemah” ini dianjurkan buat kali ke-2 oleh pihak Suzuki Malaysia, dan kali ke-8 oleh AFY Mobility Industries (AMI).

Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya di kalangan penunggang motosikal, pemandu kenderaan dan masyarakat umum.

Selain itu, kempen ini diharap dapat menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan selain membentuk budaya jalan raya yang lebih selamat.

Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang disediakan kepada pengunjung, termasuklah pemeriksaan motosikal 16 poin secara percuma, penukaran topi keledar baharu (400 unit), pemberian topi keledar kanak-kanak, serta pameran motosikal dan aksesori keselamatan.

 

Isuzu Malaysia buka tempahan untuk trak pikap D-Max Low-Ride 4×2 MT, harga dari RM92k

Isuzu Malaysia kini membuka tempahan bagi model trak pikap rendah kos penggunaan, Isuzu D-Max Low-Ride 4×2 MT untuk pasaran Malaysia.

Isuzu D-Max Low-Ride ini disasarkan kepada pengguna yang memerlukan sebuah kenderaan perniagaan yang cekap kos dan boleh dipercayai, dan dalam masa yang sama menawarkan ruang yang luas.

D-Max Low-Ride ini berkongsi enjin 1.9 liter RZ4E-TC yang sama digunakan pada D-Max 1.9 liter Single Cab, menghasilkan kuasa 150 PS @ 3,600 rpm dan daya kilas 350 Nm @ 1,800-2,600 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan yang mampu memastikan kos pemilikan dan penggunaan yang lebih rendah.

Antara ciri unik yang wujud pada model ini ialah ketinggian ruang kargo hanya 78 cm sahaja daripada permukaan tanah yang mampu memudahkan urusan pengguna memuat naik atau menurunkan barangan.

Selain daripada mampu memuatkan lima orang penumpang pada satu-satu masa, ruang kabin D-Max Low-Ride ini dilengkapi dengan tempat duduk balutan fabrik, sistem hiburan DIN tunggal, stereng dengan larasan tilt & teleskopik, sistem kunci sentral dan cermin sisi larasan elektronik.

Aspek keselamatan juga menjadi keutamaan di mana model ini dilengkapi dengan sistem seperti brek anti-kunci (ABS), pengagihan daya brek elektronik (EBD), bantuan brek (BA), kawalan kestabilan elektronik (ESC), kawalan cengkaman (TCS), bantuan mula mendaki (HSA) dan kawalan menurun cerun (HDC), selain dua beg udara, Brake Override System (BOS), lampu berhenti kecemasan dan penderia undur.

Tempahan untuk trak pikap Isuzu D-Max Low-Ride ini telah pun dibuka menerusi semua pengedar sah Isuzu di seluruh negara.

Hanya ada satu warna sahaja ditawarkan, iaitu Splash White dengan harga jualan bermula dari RM92,199.20 atas jalan tanpa insurans.

Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan selama lima tahun atau had perbatuan 150,000 km.

 

Toyota sumbat enjin baharu G20E dalam GR Yaris M Concept

Sebagai sebuah pengeluar automotif terbesar, Toyota jarang sekali mengecewakan para peminatnya setiap kali acara pameran Tokyo Auto Salon berlangsung.

Untuk Tokyo Auto Salon 2025, Toyota mendedahkan sebuah prototaip hot hatch yang digelar sebagai GR Yaris M Concept.

Tidak seperti GR Yaris standard, GR Yaris M Concept ini dipadankan dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter (kod nama G20E) bagi menggantikan enjin tiga silinder G16E-GTS sedia ada.

Lebih mengejutkan apabila enjin baharu itu tidak diposisikan di hadapan, sebaliknya diletakkan di bahagian tengah (mid-ship).

Menurut Toyota, perubahan yang dibuat pada ini adalah untuk meneroka potensi yang wujud pada hot hatch GR Yaris, malah mereka juga merancang untuk berlumba di dalam Super Taikyu menggunakan jentera ini.

Unit prototaip ini akan diuji sepenuhnya di dalam medan perlumbaan selain mendapat input yang bermanfaat daripada para pelumba professional termasuklah Morizo (Akio Toyoda).

Kewujudan GR Yaris M Concept ini menerbitkan satu persoalan – adakah ia satu petunjuk besar tentang kehadiran model baharu MR2 akan datang?

Mitsubishi Malaysia anjur festival “Drive Your Ambition” di Miri pada 18-19 Januari ini

Berita baik buat para peminat Mitsubishi di Miri, Sarawak.

Ini kerana Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan penganjuran festival “Drive Your Ambition” yang akan berlangsung pada 18-19 Januari 2025 bertempat di ParkCity Eastwood, Miri bermula jam 10.00 pagi hingga 6 petang.

Pengunjung boleh merasai sendiri kehebatan sistem Super Select 4WD-II dan tujuh mod pemanduan yang ada pada Triton menerusi sesi pandu uji menempuh pelbagai jenis laluan lasak berhalangan termasuklah side traverse, harungan air, pendakian bukit, laluan berlumpur serta laluan artikulasi.

Untuk peminat trak pikap kabin tunggal, terdapat Triton Single Cab yang sarat dengan muatan satu tan kelapa sawit yang boleh dipandu uji menempuh laluan berhalangan yang disediakan.

MMM masih lagi menawarkan promosi menarik untuk model Triton seperti Diesel Rewards dan pakej servis percuma 2-tahun.

Pengunjung yang menempah trak pikap Triton serba baharu di lokasi festival akan menerima kotak penyejuk Naturehike bernilai RM150, manakala mereka yang menyertai sesi pandu uji berhalangan Triton akan mendapat barangan menarik seperti bangku Naturehike dan beg tote Triton.

Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti menarik yang disusun untuk seisi keluarga, serta persembahan artis tempatan seperti Dabra Sia pada 18 Januari dan Azam Pitt pada hari berikutnya.

Pakej Power Pack, rebat RM4,000 Proton e.MAS 7 kini dilanjutkan kepada 3,000 pelanggan tambahan

Proton menerusi anak syarikat Pro-Net melanjutkan pakej Power Pack yang ditawarkan untuk SUV elektrik Proton e.MAS 7 kepada 3,000 pelanggan seterusnya, bersama-sama dengan rebat RM4,000.

Untuk makluman, pakej pelancaran Power Pack tersebut terdiri daripada:
• Power Home: Pengecas 7kW Home Charger Percuma bernilai RM 1,500
• Power Plus: V2L Adaptor Percuma bernilai RM 500
• Power Online: 5-Tahun Data Internet Tanpa Had bernilai RM 1,800
• Power Thru: Jaminan Kenderaan Jarak Tanpa Had selama 6 tahun, dan jaminan Bateri dan Komponen Bervoltan Tinggi 8-Tahun / 160,000km
• Power Exchange: Rebat Eksklusif Proton Owner Trade-In bernilai RM 1,200

Dilancarkan secara rasmi pada pertengahan Disember yang lalu, Proton e.MAS 7 dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 215 hp dan 320 Nm, dengan jarak gerak yang mampu mencecah sehingga 345 km untuk varian Prime, atau sehingga 410 km untuk varian Premium.

Harga jualan Proton e.MAS 7 bermula dari RM105,800.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, “Disebabkan permintaan luar biasa, kami dengan gembira melanjutkan tawaran ini supaya lebih ramai rakyat Malaysia dapat merasai Proton e.MAS 7 dan manfaat memiliki EV.”

“Pencapaian ini menunjukkan kepercayaan pelanggan terhadap kami serta kesungguhan mereka untuk bergerak ke arah masa depan yang lebih hijau.”

Mitsubishi Xpander 2025 edisi terhad kini dengan tiga aksesori tambahan, 200 unit sahaja

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) selaku pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia mengumumkan penawaran tiga aksesori tambahan untuk model MPV popular Xpander 2025.

Dihadkan kepada 200 unit sahaja, Xpander 2025 kini dilengkapi dengan sistem kamera pemantauan keliling (ARM), kamera perakam pemanduan (DVR) depan dan belakang, serta kemasan balutan leatherette untuk tempat duduk.

Kesemua penambahan yang disebutkan tadi merupakan pilihan yang ideal untuk mereka yang mahukan kenderaan bergaya dan dalam masa yang sama memberikan nilai yang lebih baik.

Mitsubishi Xpander 2025 facelift dilancarkan pada September 2024 dengan membawakan perubahan rupa paras yang lebih moden, diikuti dengan ciri yang ditambah baik untuk ruang kabin.

Ia masih lagi kekal dengan enjin 1.5 liter aspirasi semula jadi berkuasa 105 PS dan 141 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik empat kelajuan.

Mitsubishi Xpander 2025 dijual pada harga RM104,980 atas jalan tanpa insurans.

Mitsubishi Xpander 2024 facelift, 5 perkara yang perlu anda tahu – Pandu Uji Ringkas

Rebat khas RM21,500, Peugeot 2008 kini berharga RM111,888

Peugeot Malaysia mengumumkan rebat khas bernilai RM21,500 untuk crossover segmen B Peugeot 2008, menjadikan harga jualan kini serendah RM111,888.

Harga baharu ini turut merangkumi pakej jaminan menyeluruh selama tujuh tahun untuk ketenangan minda pemilik.

Selain itu, pelanggan juga diberikan pilihan untuk mendapatkan pakej servis inklusif lima tahun bernilai RM10,000 yang akan menampung segala kos alat ganti termasuklah kos buruh untuk 10 kali servis.

Peugeot 2008 didatangkan dengan enjin PureTech 1.2 liter turbo berkuasa 130 hp dan 230 Nm, rekaan bergaya lengkap dengan lampu LED dan rim 17 inci, serta sistem i-Cockpit 3D untuk ruang kabin.

Maklumat lanjut berkenaan Peugeot 2008 ini boleh didapati menerusi laman web https://www.peugeot.com.my atau dengan berkunjung ke pusat pameran Peugeot yang berhampiran.

 

 

APAC Predator League 2025: Pasukan Dota 2 Malaysia muncul juara!

Dua pasukan e-sports telah dinobatkan sebagai juara di dalam acara Asia Pacific Predator League 2025 yang baharu sahaja melabuhkan tirainya pada 11 dan 12 Januari yang lalu.

Pasukan Alter Ego (Acer Indonesia) meraih kedudukan pertama pada pertandingan VALORANT yang berlangsung pada hari pertama dengan mengalahkan pasukan ZOL Esports (Acer Filipina), sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai US$65,000 (RM287,462).

Sementara pasukan Malaysia yang diwakili oleh Xipto Esport berpuas hati di tempat ketiga/keempat dengan membawa pulang hadiah bernilai US$7,500 (RM33,169).

Hari kedua berlangsungnya pertandingan Dota 2 di mana pasukan Malaysia Myth Avenue Gaming menunjukkan kehebatan mereka menjadi juara dengan mengalahkan Team Helios (Acer Indonesia).

Dengan kemenangan ini, pasukan MAG turut membawa pulang hadiah wang tunai US$65,000.

APAC Predator League 2025 turut menyediakan sehingga 10 anugerah istimewa dengan jumlah hadiah terkumpul US$20,000 (RM88,450) bagi kedua-dua VALORANT dan Dota 2, di mana orang ramai boleh mengundi pemain kegemaran berdasarkan peranan masing-masing.

Tidak ketinggalan, dua orang pemain daripada pasukan Alter Ego dan MAG telah dinobatkan sebagai Intel MVP berdasarkan prestasi masing-masing di dalam pertandingan, dan setiap seorang membawa pulang hadiah bernilai US$10,000 (RM44,225).

Selain daripada menjadi platform pertandingan yang sengit, APAC Predator League menyediakan beberapa aktiviti menarik termasuklah pertandingan cosplay serta persembahan nyanyian oleh Sandara Park dan Minzy (kumpulan K-pop 2NE1), G22 (Filipina), serta artis tempatan Aina Abdul dan Hael Husaini.

Acer turut mengumumkan edisi seterusnya Predator League 2026 akan dianjurkan oleh pejabat Acer India, menekankan komitmen berterusan mereka dalam memupuk ekosistem permainan e-sports dan PC.

Nissan minta bantuan daripada pakar trak untuk projek pembangunan GT-R R35

Nissan GT-R (generasi R35) muncul di persada dunia pada tahun 2007 dan disifatkan sebagai sebuah supercar “untuk sesiapa sahaja, di mana jua, tanpa mengira waktu”.

Namun tahukah anda, Nissan tidaklah bersendirian di dalam projek pembangunan model pengganti Skyline GT-R R34 ini.

Sebaliknya, menurut satu sumber dalaman, Nissan bergantung kepada individu yang mempunyai kepakaran menghasilkan trak untuk membangunkan R35!

Seperti yang dipetik daripada pengguna laman mikroblog X @trucknakanohito, 80 peratus daripada pasukan pembangun Nissan GT-R datangnya daripada para jurutera Isuzu.

Tanpa sumber yang sah, sukar untuk kita mempercayai info sebegini.

Namun, secara pantas persoalan tersebut dijawab sendiri oleh Kazutoshi Mizuno, ketua jurutera R35 atau lebih tepat lagi Mr. GT-R.

Dalam satu ciapan balasan, Mizuno menjelaskan bahawa pada mulanya kesemua jurutera Isuzu tidak mempunyai pengalaman di dalam membangunkan supercar, memandangkan mereka bermula di dalam divisyen trak.

“Walau bagaimanapun, dengan semangat berpasukan yang kuat, dan keazaman yang tinggi untuk mencapai matlamat, serta latihan dan praktis berdasarkan keputusan sistem pengukuran kenderaan yang komprehensif, kesemua ahli pasukan berjaya menjadi jurutera kelas dunia dalam masa 1.5 tahun sahaja,” ujarnya.

 

Toyota muat naik video bunyi enjin Lexus LFA, durasi 3 jam!

Pada saat dan ketika artikel ini ditulis, dunia telah dihidangkan dengan barisan supercar dan hypercar yang menawarkan prestasi yang tidak terjangkau dek akal.

Namun, penulis berpendapat tiada satu pun daripada model tersebut yang dapat mengalahkan enjin V10 Lexus LFA dari segi bunyi.

Ya, walaupun model tersebut telah pun lama dihentikan produksi sejak 2012, kualiti runut bunyi enjin dan ekzos yang terhasil seakan jentera F1 itu masih lagi sukar untuk ditandingi.

Jika anda merasakan bunyi hingar putih (white noise) tidak cukup membantu anda tidur dengan nyenyak, mungkin sekali boleh cuba satu cara yang sangat sesuai digunakan oleh golongan petrolhead – dengar bunyi enjin Lexus LFA!

Toyota menerusi laman YouTube Toyota Times secara senyap memuat naik video berdurasi tiga jam tanpa sebarang gangguan bunyi asing, hanya bunyi bising tulen Lexus LFA semata-mata.

Untuk makluman golongan pembaca, Lexus LFA dikuasakan oleh enjin 1LR-GUE bentangan V10 5.2 liter yang mampu menjana kuasa setinggi 552 hp dan 480 Nm yang dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan automatik.

Lexus LFA Nürburgring Edition pula dilancarkan dengan enjin yang telah ditala supaya menghamburkan kuasa setinggi 563 hp, penukaran gear 0.05 saat lebih pantas, serta pakej aerodinamik yang lebih sesuai digunakan di dalam litar.

Dalam masa yang sama, Lexus turut meminta bantuan Yamaha untuk menala kembali enjin, ekzos, dan sistem kemasukan dan hasilnya – alunan runut bunyi yang sukar untuk ditiru oleh mana-mana pengeluar.

Sebagai seorang yang meminati ‘muzik’ genre unik ini, kami berharap pihak Toyota mampu menawarkan variasi bunyi enjin hebat yang pernah dihasilkan suatu ketika dahulu untuk didengari, seperti enjin enam silinder 2JZ-GTE, satu-satunya enjin V12 1GZ-FE yang digunakan oleh Toyota Century generasi kedua, dan tidak ketinggalan enjin lagenda 4A-GE.

Bonus: Runut bunyi Lexus LFA mengaum di dalam litar ujian

Kia EV9 menang anugerah Electric Car of the Year

Kia EV9 berjaya merangkul dua anugerah di dalam Star Carsifu Editors’ Choice Awards 2024 yang dianjurkan baru-baru ini.

SUV elektrik dengan tiga baris tempat duduk itu meraih anugerah Kereta Electric Terbaik (Electric Car of the Year) serta Kenderaan 3-baris tempat duduk Elektrik Terbaik (Best Electric Luxury 3-row seating Vehicle).

Menurut Pengarah Urusan Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, Dato Wong Kin Foo berkata, “kami akan terus komited untuk bekerjasama rapat dengan Kia dalam memilih model yang paling sesuai untuk pasaran Malaysia.”

Kia EV9 membuat kemunculan rasmi di pasaran Malaysia pada Mei 2024, dengan membawakan ciri seperti tetapan dua motor elektrik berkuasa 380 hp dan 700 Nm, serta pek bateri 99.8 kWh yang menawarkan jarak gerak sejauh 505 km.

SUV elektrik ini dibina berdasarkan pelantar Electric Global Modular Platform (E-GMP), selain membawakan falsafah rekaan Opposites United yang menggandingkan elemen seperti Digital Tiger Face, Digital Pattern Lighting Grille, unit lampu menegak serta sistem pencahayaan LED Star Map.

Ruang kabin Kia EV9 menyediakan konfigurasi enam atau tujuh tempat duduk yang luas dan selesa, diikuti dengan susun atur papan pemuka minimalis yang menampilkan skrin sentuh berkembar 12.3 inci dan penggunaan bahan yang lestari.

Harga jualan Kia EV9 bermula dari RM368,888 untuk versi 7-tempat duduk dan RM373,888 untuk varian 6-tempat duduk.

Skuter ADV Zontes 368G terima lebih 1,300 tempahan

Dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia pada awal tahun 2025, ternyata skuter adventure Zontes 368G menjadi pilihan yang popular di kalangan rakyat Malaysia.

Menurut pihak Zontes Malaysia, skuter 368G tersebut kini menerima tempahan lebih daripada 1,300 unit.

Dengan harga jualan bermula dari RM28,800, skuter ADV yang dipasang di kilang CKD Jitra, Kedah ini menawarkan kelebihan yang tersendiri.

Antaranya ialah enjin silinder tunggal 368 cc berkuasa 38 hp dan 40 Nm, tangki bahan api sebesar 17.5 liter untuk perjalanan yang lebih jauh, skrin paparan TFT LCD bersaiz 8 inci yang boleh disambung kepada peranti pintar, ruang storan sebesar 52 liter, serta tayar dual-purpose yang sesuai untuk tunggangan dalam bandar dan meredah laluan yang tidak bertar.

Selain itu, Zontes 368G turut dilengkapi dengan ciri keselamatan seperti sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), kawalan cengkaman (TCS), brek anti-kunci (ABS), sistem brek J.Juan dan paling penting ada sistem rakaman tunggangan HD depan dan belakang.

Untuk menyemarakkan lagi sambutan terhadap skuter ini, Zontes Malaysia akan menganjurkan jelajah jerayawara bermula 3 Januari sehingga 6 April 2025 di lokasi berikut:

• 3-5 Januari 2025: Amanjaya Hall, Kedah
• 10-12 Januari 2025: Toppen Mall, Johor
• 17-19 Januari 2025: Autocity, Pulau Pinang
• 23-26 Januari 2025: Palm Mall, Negeri Sembilan
• 6-9 Februari 2025: Ipoh Parade, Perak
• 13-16 Februari 2025: Mahkota Parade, Melaka
• 20-22 Februari 2025: KB Mall, Kelantan
• 27 Februari-2 Mac: MyTown, Kuala Lumpur
• 12-16 Mac 2025: 1Utama Shopping Centre, PJ
• 4-6 April 2025: (akan diberitahu kelak)

Kamera AwAS ditambah baik, tidak lagi guna kaedah statik

Pelaksanaan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) akan ditambah baik dengan melaksanakan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik yang dilaksanakan sebelum ini, lapor Astro Awani.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, ia membolehkan pemantauan kelajuan kenderaan dilakukan secara lebih menyeluruh dengan mengukur kelajuan purata kenderaan antara dua titik kamera berdasarkan jarak dan masa perjalanan.

Menurutnya, pelaksanaan kamera AwAS ketika ini yang diletakkan di satu lokasi secara statik dilihat tidak mencapai objektif untuk mengurangkan kelajuan kenderaan seterusnya mengurangkan risiko kemalangan.

sumber gambar: Bernama

“Apa yang kita nak menjurus kepada pendekatan baharu ialah kita sudah ada teknologi baharu, kita akan lihat antara dua titik checkpoints.

“Kita tidak mahu pemandu memperlahankan kenderaan hanya di depan kamera itu, tetapi (perlahan) dalam satu jarak yang tertentu.

“Katakan antara titik A dengan titik B, kita ingin tahu pemandu menggunakan masa berapa lama.

“Kalau dia menggunakan kurang daripada masa yang sepatutnya, maksudnya dia pecut dan akan dikenakan tindakan (saman),” katanya dalam sidang media, di sini, pada Isnin.

sumber gambar: Utusan

Sebagai permulaan katanya, pelaksanaan ini akan dilakukan di kawasan berbahaya dan berisiko tinggi seperti kawasan berbukit di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di Genting Sempah dan Terowong Menora, Ipoh.

“Objektif kita adalah untuk memastikan kenderaan itu perlahan terutamanya bas dan sebagainya supaya pemandu tidak memecut semasa mereka turun bukit.

“Kaedah sekarang kurang berkesan walaupun kita pasang kamera, kenderaan hanya perlahan di tempat itu dan selepas itu dia pecut semula,” katanya.

Beliau berharap, melalui penambahbaikan sistem AwAS dengan mekanisme point-to-point, ia menyumbang kepada penurunan kadar kemalangan jalan raya serta meningkatkan kesedaran dan disiplin pemandu di seluruh negara.

2024: UMW Toyota lepasi paras jualan 100,000 unit untuk tahun ketiga berturut-turut

UMW Toyota Motor mengakhiri tahun 2024 dengan momentum jualan melepasi paras 100,000 unit untuk tahun ketiga berturut-turut.

Sepanjang bulan Disember 2024, UMWT mencatatkan angka jualan melebihi 12,800 unit yang disumbangkan oleh model popular seperti Hilux, Vios dan juga Corolla Cross.

Ini menjadikan jumlah jualan tahunan Toyota Malaysia secara keseluruhan mencecah lebih 102,300 unit.

Untuk tahun yang sama, UMWT merekodkan 1.42 juta pelanggan untuk khidmat selepas jualan.

Prestasi memberangsangkan ini mengukuhkan lagi kedudukan Toyota di dalam pasaran Malaysia yang didorong oleh permintaan pelanggan terhadap kenderaan yang menawarkan kecekapan, kebolehpercayaan dan ciri keselamatan termaju.

Sebagai jenama yang telah menjadi sebahagian di dalam landskap automotif Malaysia sejak berdekad lamanya, Toyota terus memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem mobiliti negara menerusi pendekatan pelbagai laluan (Multi-Pathway Approach).

Dengan menawarkan barisan kenderaan yang pelbagai, Toyota memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang dan dalam masa yang sama menyokong peralihan negara ke arah mobiliti mampan.

 

Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé 2025 rasmi, 519 PS/750 Nm, unit CKD, dari RM728,000

Porsche Malaysia menerusi Sime Darby Auto Performance melancarkan varian terbaharu SUV Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé 2025 untuk pasaran tempatan.

Selaku model pemasangan tempatan (CKD), ia juga merupakan model kedua yang dipasang di sini, dan model pemasangan pertama untuk eksport serantau.

Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé ini dikuasakan oleh enjin 3.0 liter bentangan V6 turbo, menghasilkan kuasa 519 PS/750 Nm atau 49 PS lebih berkuasa berbanding model Cayenne E-Hybrid.

Pecutan 0-100 km/j mengambil masa 4.7 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 263 km/j.

Pek bateri 26 kWh pula membenarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 90 km tanpa menggunakan setitik petrol.

Antara kelengkapan standard pada Cayenne S E-Hybrid Coupé termasuklah sistem gantungan udara adaptif lengkap dengan Porsche Active Suspension Management (PASM), unit lampu LED Matriks HD, rim bersaiz 20 inci serta pilihan warna istimewa Carrara White Metallic, Chromite Black Metallic dan Dolomite Silver Metallic tanpa kos tambahan.

Untuk ruang kabin, model ini dilengkapi dengan roda stereng GT Sports, pakej Sport Chrono berserta jam Porsche Design, sistem audio Bose Surround Sound, sistem pengion udara kabin, tempat duduk dengan larasan 14 tahap yang lengkap dengan fungsi memori, serta penghadang cahaya matahari untuk tingkap belakang.

Terdapat juga skrin kluster melengkung sebesar 12.6 inci baharu, skrin infohibur 12.3 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sementara tuil penukaran gear kini diposisikan di bahagian kiri stereng pada papan pemuka.

Selain itu, pembeli juga boleh memilih upholsteri kulit dalaman dengan warna hitam atau Bordeaux Red, dan memasang Rear Seat Entertainment yang lengkap dengan dua unit skrin tambahan untuk penumpang belakang.

Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé sudah boleh ditempah menerusi Porsche Centre berhampiran (Ara Damansara, Sungai Besi, Pulau Pinang dan Johor Bahru), dengan harga jualan bermula dari RM728,000.

Menurut Christopher Hunter selaku CEO Sime Darby Auto Performance, “sejak penubuhan fasiliti pemasangan tempatan di Malaysia pada tahun 2022, Porsche telah mencapai beberapa peristiwa penting yang menonjolkan kepentingan dalam pasaran ini.

“Dalam tempoh satu tahun, lebih daripada 1,000 unit Cayenne pemasangan tempatan telah dihantar kepada pelanggan di Malaysia, menunjukkan permintaan dan kepercayaan yang kukuh terhadap jenama Porsche.

“Pada tahun 2024, kami menandakan satu lagi pencapaian penting menerusi pelancaran model Cayenne pemasangan serantau pertama untuk pasaran Thailand, mengukuhkan lagi komitmen kami untuk menjadi rakan pemasangan Porsche di rantau ini,” ujarnya lagi.

 

SUV mewah Lynk & Co 900 debut dengan pilihan enjin 1.5L, 2.0L PHEV, kuasa cecah 845 hp

Lynk & Co 900 merupakan sebuah SUV mewah dengan konfigurasi enam tempat duduk yang bakal memasuki pasaran China pada bulan Mac ini.

Dibina menggunakan platform SPA Evo, 900 membawakan ukuran sepanjang 5,240 mm, lebar 1,999 mm, tinggi 1,810 mm dengan jarak antara roda melebihi tiga meter (3,160 mm).

Secara luarannya, SUV ini berkongsi elemen rekaan yang wujud pada mana-mana model Lynk & Co (serta Zeekr).

Seperti contoh, unit lampu nyalaan siang LED yang tajam, diikuti dengan unit lampu utama yang diposisikan rendah pada bahagian bampar.

Daripada sudut pandang sisi, Lynk & Co 900 menerapkan elemen yang diinspirasikan daripada Range Rover, sementara bahagian belakang pula tampil dengan unit pencahayaan yang lebih ringkas.

Terdapat tiga pilihan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) yang ditawarkan kepada pembeli.

Varian asas Lynk & Co 900 ini hadir dengan enjin 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan dua motor elektrik (215 hp depan/308 hp belakang), menghasilkan kuasa keseluruhan 710 hp.

Terdapat juga pilihan enjin 2.0 liter turbo, di mana versi pertama dipadankan dengan motor elektrik 165 hp di depan, diikuti dengan motor elektrik 308 hp pada gandar belakang, dengan jumlah kuasa keseluruhan mencecah 724 hp.

Versi paling bertenaga pula dibekalkan dengan tiga motor elektrik, terdiri daripada motor hadapan 165 hp dan sepasang motor elektrik berkuasa 215 hp untuk gandar belakang, menghasilkan kuasa 845 hp!

Varian paling bertenaga itu dikatakan mampu memecut sepantas empat saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j.

Ruang kabin Lynk & Co 900 ini membawakan susun atur papan pemuka yang agak unik.

Untuk pemandu disediakan skrin kluster digital 12.66 inci yang agak kecil, namun untuk penumpang hadapan disediakan skrin terapung sebesar 30 inci dengan resolusi paparan 6K.

Selain itu, terdapat dua slot pengecasan tanpa wayar, sistem pencahayaan ambien, serta perehat tangan terapung pada panel
pintu.

Untuk penumpang baris kedua disediakan skrin kecil pada konsol tengah, dan skrin paparan 6K sebesar 30 inci yang boleh disembunyikan pada bahagian alas bumbung.

Buat masa ini, harga jualan bagi model SUV Lynk & Co 900 ini masih belum diumumkan.

Honda Wave Alpha 2025 tampil dengan empat warna baharu, dari RM5,259

Boon Siew Honda mengumumkan empat warna baharu tersedia untuk motosikal kapcai Honda Wave Alpha 2025, iaitu perak, biru, merah dan juga hitam.

Honda Wave Alpha 2025 ini boleh didapati di semua pengedar Impian X serta pengedar Honda yang sah di seluruh negara bermula 6 Januari 2025.

Harga jualan bermula dari RM5,309 untuk varian berwarna perak, biru dan merah, serta RM5,259 untuk varian berwarna hitam.

Dari segi spesifikasi, Wave Alpha kekal dengan enjin silinder tunggal sejukan udara 109.2 cc berkuasa 8.7 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 8.7 Nm @ 5,500 rpm, dipadankan dengan transmisi 4-kelajuan.

Motosikal ini menggunakan fork hadapan teleskopik, diikuti dengan penyerap hentak berkembar di belakang, sementara sistem brek pula terdiri daripada brek cakera hadapan dan brek dram mekanikal di belakang.

Ia menawarkan tangki bahan api sebesar 4.0 liter, dengan ruang barangan bawah pelana sebesar 7.3 liter, tinggi pelana sekitar 768 mm dan tempat duduk yang lebih lebar.

 

Volvo EX30 versi CKD sudah boleh ditempah, dari RM209k

Volvo Car Malaysia membuka tempahan bagi model SUV elektrik Volvo EX30 versi pemasangan tempatan (CKD).

Untuk model tahun 2025, Volvo EX30 kini tersedia dalam dua varian, iaitu Ultra (RM208,888) dan Ultra Twin Performance (RM228,888) dengan tiga pilihan warna iaitu Cloud Blue, Vapour Grey dan Crystal White.

Penghantaran unit pertama dijangka akan dibuat pada minggu kedua bulan Januari 2025.

Dari segi spesifikasi, Volvo EX30 Ultra dikuasakan motor elektrik tunggal 272 PS/343 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat.

Sementara Volvo EX30 Ultra Twin Performance pula didatangkan tetapan motor elektrik berkembar berkuasa 428 PS dan 543 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.6 saat sahaja.

Kedua-dua varian datang dengan pek bateri NMC 69 kWh, dengan jarak gerak sejauh 450 km untuk versi Ultra Twin Performance, dan mampu mencecah 476 km untuk versi Ultra.

Pengecasan pantas DC 175 kW membolehkan pek bateri dicas 10-80 peratus dalam masa 28 minit sahaja.

Setiap Volvo EX30 disokong dengan jaminan kenderaan selama lima tahun/tanpa had perbatuan, serta jaminan bateri bervoltan tinggi selama 8 tahun/160,000 km.

Volvo Car Malaysia juga menyediakan Pelan Servis Volvo (VSP) meliputi perkhidmatan penting seperti penggantian penapis udara kabin, pemeriksaan bendalir brek, bilah pengelap cermin, kemas kini perisian sehingga lima tahun/100,000 km, termasuk komponen seperti pelapik brek dan cakera brek untuk ketenangan minda pemilik.

Pelanggan juga akan dilindungi di bawah program bantuan tepi jalan 24 jam selama lima tahun, memastikan perkhidmatan tunda ke pusat servis Volvo yang sah terdekat.

 

Cubaan seminggu bercinta dengan Jaecoo J7 – Pandu Uji

Dengan pakej harga dan rupa paras yang sangat mencuri tumpuan (ada pihak yang berpendapat macam Range Rover), Jaecoo J7 berjaya mencipta fenomena yang tersendiri di pasaran Malaysia.

Model Jaecoo J7 ini mula dipertontonkan pada awal tahun 2024, sebelum ia dilancarkan secara rasmi beberapa bulan berikutnya dengan membawakan tanda harga bermula dari RM138,800 untuk versi pacuan dua roda, dan RM148,800 untuk versi AWD.

Semenjak pelancaran rasmi, kita sendiri dapat melihat kelibat model SUV ini di mana-mana, cukup popular bak pisang goreng panas sehinggakan model jenama tempatan tenggelam seketika.

Mungkin ramai yang tertarik dengan rupa luaran yang cukup elegan itu, tidak kurang juga yang mahukan keupayaan pemanduan off-road yang ditawarkan pada Jaecoo J7.

Untuk menyiasat apakah punca sebenar populariti SUV ini, kami berjaya mendapatkan unit ujian Jaecoo J7 untuk dipandu uji selama satu minggu, dan ini merupakan pendapat kami:

 

1. Harga bawah RM150,000 untuk sebuah ‘Range Rover’, siapa taknak?

Kami akui setelah melihat Jaecoo J7 dengan lebih dekat, ia sememangnya mempunyai aura yang membuatkan ramai menganggapnya sebagai model Range Rover versi ‘marhaen’.

Terutama apabila dilihat dari sudut sisi.

Dengan pakej rupa yang nampak mewah, Jaecoo J7 dilihat dapat memenuhi idaman sesetengah pihak yang mahukan sebuah SUV dengan imej yang premium tanpa mengorbankan akaun bank.

 

2. Jaecoo J7 versi 2WD, cukup ke?

Kami diberikan unit Jaecoo J7 varian pacuan dua roda (2WD) hadapan untuk dipandu uji.

Dua perbezaan yang ketara antara model ini dengan model varian AWD sudah pasti sistem pacuan dan mod pemanduan yang disertakan.

Jaecoo J7 2WD hanya disediakan tiga mod pemanduan sahaja, iaitu Eco, Normal dan Sport, berbanding sehingga tujuh mod pemanduan untuk varian AWD (tambahan Sand, Mud, Off-road & Snow).

Namun begitu, keupayaan kedua-dua varian masih lagi sama, seperti jarak kelegaan tanah setinggi 200 mm serta boleh meredah air sedalam 600 mm.

Bagi mereka yang tidak mementingkan sangat keupayaan pemanduan off-road, versi 2WD sudah lebih daripada memadai.

Kami sendiri berpeluang untuk menguji kemampuan SUV ini meredah banjir kilat di kawasan Klang, dan ia masih lagi mampu bergerak dengan cemerlang melintasi beberapa buah kereta yang tidak berani yang sedang menunggu air surut.

Talaan suspensi Jaecoo J7 juga tidak mengecewakan apabila sekali sekala pemandu membawa SUV ini meredah jalan kampung yang tidak bertar, di mana ia masih lagi boleh dikawal dengan baik dan dalam masa yang sama mengekalkan aspek keselesaan yang tersendiri.

 

3. Enjin bertenaga

Menggerakkan SUV ini ialah nadi empat silinder sebaris 1.6 liter turbo menghasilkan kuasa setinggi 194 hp dan daya kilas 290 Nm.

Dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan Getrag, Jaecoo J7 boleh memecut sepantas 9.2 saat dari 0-100 km/j.

Dari segi pemanduan, Jaecoo J7 tidak memberikan masalah besar untuk meluncur laju dan dalam masa yang sama menawarkan pemanduan yang stabil dan selesa pada kelajuan yang tinggi.

Cuma, secara lalainya Jaecoo J7 akan bermula dengan mod pemanduan Eco setiap kali punat pandu mula ditekan, dan anda harus menukarkannya kepada mod Normal untuk pemanduan mula yang lebih lancar.

Ini kerana di dalam mod Eco, kami dapat rasakan pemanduan permulaan yang tidak begitu enak, dan ada kalanya rasa macam ia seakan malas untuk pergi.

 

4. Kabin minimalis

Pendekatan yang ringkas pada bahagian luar turut diteruskan untuk rekaan ruang kabin yang lebih minimalis namun dalam masa yang sama membawakan atmosfera yang ‘rasa’ premium.

Skrin tengah bersaiz 13.2 inci itu menempatkan segala macam fungsi dan tetapan termasuklah kawalan pendingin hawa dan segala macam fungsi keselamatan yang boleh diubah.

Berita baiknya, untuk menaikkan atau menurunkan suhu kabin anda hanya perlu menekan butang yang terdapat pada konsol tengah untuk membuka menu kawalan pendingin hawa, tanpa perlu tercari-cari menu tersebut terutama setelah menu Apple CarPlay/Android Auto terpapar.

Walaupun tempat duduk hadapan tidak ditawarkan dengan fungsi larasan yang lebih menyeluruh, tapi kami amat hargai kerana ia menyediakan dimensi kusyen yang mampu menyokong bahagian bawah kaki.

Jadi, sepanjang perjalanan kami tidak rasa terlalu penat.

Menemani sepanjang pemanduan ialah alunan bunyi yang cukup sedap dan mengasyikkan memasuki gegendang telinga yang terhasil daripada lapan unit pembesar suara buatan Sony.

Ada beberapa perkara lagi yang kami suka, terutama skrin kluster digital yang masih mempunyai pilihan paparan grafik meter analog, skrin paparan head-up yang jelas dan mudah untuk dibaca, serta pemilihan kemasan upholsteri yang ada rasa premium.

Untuk tempat duduk belakang pula disediakan dua larasan sudut sandaran.

5. Pemanduan

Selain daripada rupa paras yang cukup hensem itu, Jaecoo J7 sebenarnya amat seronok untuk dipandu.

Bukan sahaja disebabkan ia mampu menarik perhatian umum, akan tetapi aspek kawalan pengendalian dan keselesaan yang ditawarkan.

Tetapan suspensi jenis topang MacPherson di hadapan dan tetapan Multi-Link di belakang sedikit sebanyak menyumbang kepada pengendalian yang baik di laluan yang berselekoh, dibantu dengan respons stereng yang cukup rasa dan perisa.

Lebih penting, aspek NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) dirasakan pada tahap yang minimum, membuatkan penumpang di sebelah boleh lelap dengan tenang tanpa gangguan yang ketara.

Dari sudut pandang pemandu, cermin hadapan Jaecoo J7 ini menawarkan medan penglihatan yang luas, dibantu dengan cermin sisi yang lebih praktikal untuk sebuah SUV bersaiz besar ini.

Jadi kebanyakan masa, penulis lebih gemar bergantung sepenuhnya kepada ciri fizikal ini, dan hanya menggunakan paparan kamera keliling untuk memastikan tiada sebarang objek di sekeliling kenderaan semasa memposisikan kereta di dalam kotak parkir.

 

6. Praktikaliti

Selain daripada kabin yang menawarkan ruang kaki dan kepala yang cukup luas untuk penumpang hadapan dan belakang, Jaecoo J7 menyediakan ruang kargo yang cukup besar.

Ruang sebesar 412 liter itu sudah cukup memadai untuk memuatkan apa jua barangan keperluan, dan boleh dibesarkan sehingga 1,349 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Tidak cukup dengan itu, Jaecoo J7 juga masih lagi mempunyai ruang untuk memuatkan tayar simpanan saiz penuh!

 

7. Ciri keselamatan menyeluruh

Dari segi keselamatan pula, Jaecoo J7 tidak lokek dengan bermacam fungsi termasuklah sistem brek kecemasan autonomi, amaran pelanggaran hadapan, amaran keluar lorong, pengelakan keluar lorong, sistem amaran pergerakan kenderaan hadapan, serta kawalan jelajah adaptif.

Terdapat juga amaran pelanggaran belakang, amaran lintasan trafik belakang, sistem pemantauan titik buta, serta tidak ketinggalan sistem pemantauan keliling dengan sudut sehingga 540 darjah.

Untuk memastikan pemanduan anda sentiasa selamat, Jaecoo J7 dilengkapi dengan peringatan had kelajuan, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) yang sangat berguna itu.

Secara kesimpulannya, Jaecoo J7 boleh menjadi satu alternatif kenderaan pemanduan seharian jika anda sudah bosan dengan penawaran SUV yang ada di pasaran, dan mahukan sebuah kereta dengan imej premium yang boleh menarik perhatian ramai umat.

Harganya juga tidaklah begitu keras sehingga mampu membuatkan poket anda rasa kosong setiap bulan.

Tidak salah rasanya untuk berubah fikiran dan memandu pulang model ini, apatah lagi dengan pakej rupa dan spesifikasi lengkap yang ditawarkan untuk pasaran kita.

 

Spesifikasi Jaecoo J7 2WD (RM138,800)
Enjin: Empat silinder sebaris 1.6 liter turbo
Kuasa: 194 hp, 290 Nm
Transmisi: klac berkembar automatik, tujuh-kelajuan
Pacuan: Roda hadapan
Pecutan: 9.2 saat (0-100 km/j)

Hyundai Santa Fe Hybrid, pilihan SUV keluarga ideal yang kerap dilupakan – Pandu Uji

Sebagai seorang ketua keluarga yang mahu mencari sebuah kereta/SUV yang selesa dan sarat dengan bermacam kelengkapan moden, sudah pasti beberapa model buatan Jepun dan China sudah tersenarai untuk dipertimbangkan.

Selain daripada SUV daripada jenama Jepun yang cukup terkenal dengan tahap kebolehpercayaan yang baik, kita juga kini mempunyai pilihan SUV keluarga buatan China yang jauh lebih murah dan menawarkan spesifikasi keselamatan yang lebih moden.

Namun, mungkin ramai yang terlupa kita juga sebenarnya mempunyai sebuah lagi model SUV keluarga yang datang daripada jenama negara Korea Selatan – Hyundai Santa Fe Hybrid.

Diperkenalkan secara rasmi (dan senyap) pada bulan September tahun lepas, Hyundai Santa Fe Hybrid versi facelift boleh diposisikan sebagai satu alternatif untuk mereka yang mahukan kelainan dan lari daripada kebiasaan pilihan pengguna di Malaysia.

Dengan harga jualan RM215,800, adakah Hyundai Santa Fe Hybrid ini jauh lebih baik berbanding model pesaing? Berikut merupakan ulasan pemanduan ringkas kami setelah memandunya untuk tempoh yang singkat:

 

1. Facelift – bukan sekadar perubahan rupa paras

Untuk makluman, Santa Fe Hybrid ‘baru’ yang dilancarkan beberapa bulan lepas bukanlah sebuah model generasi baharu.

Ia berstatus model facelift, dengan rupa hadapan yang telah dikemaskini dengan struktur jeriji yang lebih lebar, serta unit lampu LED seakan grafik tukul besi yang sinonim dengan model Volvo yang mampu membuatkan banyak kepala tertoleh setelah melihat kelibat model ini di atas jalan raya.

Di bahagian belakang, unit lampu LED diberikan nafas baharu dengan corak geometri yang lebih elegan, diikuti dengan kehadiran bar LED melintang yang menghubungkan kedua-dua perumah lampu itu tadi.

Ya, Santa Fe ini merupakan sebuah model facelift, namun perubahan besar sebenarnya tersembunyi di sebalik rupa paras yang elegan itu, di mana ia menggunakan platform serba baharu yang telah dipertingkatkan aspek keselamatan, pengendalian, penggunaan bahan api, serta NVH yang jauh lebih baik.

Sangat jarang ya untuk sesebuah model facelift hadir dengan platform baharu sepenuhnya.

 

2. Kelengkapan ruang kabin

Salah satu perkara penting yang amat diperlukan untuk sebuah kereta keluarga yang selesa ialah ruang kabin yang luas dan selesa.

Santa Fe Hybrid ini mampu memenuhi keperluan dengan penawaran tempat duduk yang selesa untuk baris kedua dan ketiga, serta ruang kargo yang boleh dimaksimumkan kapasitinya untuk pelbagai jenis kegunaan.

Ciri yang paling kami suka ialah tempat duduk baris ketiga yang boleh dilipat dengan hanya menekan butang fungsi yang disediakan, serta kehadiran corong pendingin hawa berasingan untuk memastikan penumpang baris belakang kekal selesa sepanjang perjalanan.

Bukan itu sahaja, terdapat juga kemudahan port pengecasan USB serta soket kuasa yang boleh digunakan untuk mengecas perkakasan elektronik serta peranti pintar.

Untuk pemandu pula, Santa Fe Hybrid menyediakan skrin kluster digital dengan pilihan paparan grafik meter analog yang mudah untuk dibaca, serta skrin infohibur sebesar lapan inci yang lengkap dengan sokongan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar.

Konsol tengah pula telah ditinggikan supaya ia boleh berfungsi sebagai tempat rehat tangan yang lebih selesa selain menyediakan ruang barangan tersembunyi di bahagian kaki.

Selain itu, penggunaan butang PRND yang lebih ringkas bagi menggantikan tombol penukaran gear transmisi menjadikan ruang kokpit nampak lebih lapang.

Gugusan butang fungsi bersaiz besar pula memudahkan urusan untuk mengubah tetapan seperti sistem pendingin hawa, mod pemanduan, atau sekadar memastikan penumpang hadapan tidur dengan lebih selesa dengan adanya fungsi pemanas dan pengudaraan terbina untuk tempat duduk.

Ya, susun atur kabin Santa Fe tidaklah seminimalis kereta-kereta moden yang lebih muda usianya, namun ia tidak membuatkan kami untuk merungut dengan lebih panjang terutama ketika sedang mencari atau mengubah fungsi yang diinginkan.

 

3. Enjin hibrid yang sangat jimat minyak

Santa Fe Hybrid yang kami pandu uji ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris Smartstream G1.6 T-GDI menghasilkan 180 PS @ 5,500 rpm dan daya kilas 265 Nm @ 1,500-4,400 rpm.

Enjin ini dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 60 PS dan 264 Nm, menjadikan kuasa keseluruhan mencecah 230 PS dan 350 Nm.

Bukanlah SUV yang paling berkuasa macam kereta sports, akan tetapi ia sudah cukup baik untuk menggerakkan badannya yang agak besar ini.

Dari segi pemanduan, Santa Fe Hybrid menawarkan pecutan awal yang cukup bertenaga untuk memalukan kereta acah sports di sebelah, dan dalam masa yang sama turut memberikan pulangan bacaan penggunaan bahan api yang cukup jimat.

Kami tidak sempat untuk menghabiskan satu tangki penuh 67 liter RON95 Santa Fe Hybrid ini disebabkan oleh kekangan masa yang terlalu singkat, namun menurut Hyundai SUV ini boleh bergerak sejauh 1,000 km sebelum perlu membuat pengisian semula.

Pemanduan singkat kami hampir mencecah jarak 300 km, tapi jarum tolok minyak hanya turun sedikit sahaja.

 

4. Pemanduan dan keselesaan

Salah satu kelebihan yang wujud pada Santa Fe Hybrid ialah keupayaan untuk bergerak di dalam mod pemanduan elektrik pada kelajuan yang rendah, dan untuk jumlah jarak yang agak jauh juga sebenarnya.

Ini merupakan salah satu faktor di mana SUV ini sangat menjimatkan bahan api, di mana kebanyakan masa di dalam bandar hanya motor elektrik sahaja yang bekerja dan sekali sekala enjin 1.6 liter turbo itu beroperasi hanya untuk memastikan bateri 1.49 kWh itu mempunyai tenaga yang mencukupi.

Selain itu, di dalam mod EV Santa Fe Hybrid ini tidak bergerak dalam keadaan senyap sepenuhnya, di mana ia menghasilkan satu bunyi amaran yang futuristik untuk memberitahu pejalan kaki tentang kewujudannya di atas jalan raya.

Apa yang kami boleh puji pada SUV hibrid ini ialah aspek pemanduan dan pengendalian yang jauh lebih baik berbanding SUV buatan China.

Kenapa kerap kami tekankan tentang talaan sistem stereng dan suspensi yang baik? Semuanya ini akan memberikan kesan kepada keselesaan pemandu dan juga penumpang.

Dengan sistem stereng yang cukup responsif dan tidak terlalu palsu operasinya, pemandu tidak akan rasa terlalu penat setelah menempuh jarak perjalanan yang jauh.

Talaan suspensi yang sedikit keras menjadikan pengendalian di selekoh lebih meyakinkan, namun dalam masa yang sama ia masih lagi bekerja dengan baik untuk ‘menapis’ segala kekasaran yang wujud di jalan raya Malaysia yang tercinta ini. Hasilnya, perjalanan yang cukup selesa tanpa mengira apa jua kualiti jalan yang ditempuh.

Yang paling ketara ialah aspek NVH, di mana sukar untuk kami rasakan sebarang kekasaran, gegaran serta bunyi bising yang wujud di dalam ruang kabin.

Walaupun enjin turbo itu beroperasi sekali sekala terutama ketika kaki kanan menekan rapat ke lantai, bunyi enjin tersebut tidaklah ketara memasuki ruang kabin. Penukaran antara operasi enjin dan motor elektrik juga sangat lancar, dan ada kalanya sukar untuk kami mengesannya.

 

5. Ciri keselamatan

Secara standard, Hyundai Santa Fe Hybrid dilengkapi dengan sistem bantuan keselamatan termaju (ADAS) Hyundai SmartSense Tahap 2, menawarkan sokongan pemanduan semi-autonomi untuk memastikan pemanduan yang lebih selamat dan meyakinkan.

Ciri unik yang kami suka pada Hyundai Santa Fe Hybrid ini sudah pasti paparan informasi titik buta (BVM), di mana paparan titik buta sebelah kiri atau kanan akan dipaparkan pada skrin kluster digital untuk membantu membuat penukaran lorong dengan selamat.

Apa yang kami hargai sangat tentang fungsi ini ialah ia hanya memberikan paparan informasi yang diperlukan oleh pemandu untuk mengesan kehadiran objek dari arah belakang dan bukannya pandangan perspektif mata burung yang sangat tidak membantu.

Satu lagi ciri penting yang wujud untuk pengguna yang berkeluarga ialah Rear Occupant Alert untuk memastikan anda tidak terlupa anak-anak yang kecil duduk di belakang sewaktu hendak meninggalkan kenderaan di tempat parkir, terutama di bawah keadaan cuaca yang panas terik.

 

6. Harga yang mungkin di luar bajet

Biarpun hadir dengan bermacam-macam kelebihan berbanding model pesaing, satu kelemahan ketara yang ada pada Santa Fe Hybrid ini ialah harga jualannya yang mungkin di luar kemampuan sesetengah pihak.

Dengan harga RM215,800, tidak ramai yang fikir ia satu pembelian yang kena dengan bajet semasa.

Bahkan dengan harga yang lebih murah, anda sebenarnya boleh mendapatkan model SUV tiga baris tempat duduk bukan hibrid seperti Mazda CX-8 atau Chery Tiggo 8 Pro, ataupun SUV hibrid ringan seperti Proton X90.

Untuk mereka yang mempunyai ahli keluarga yang kecil, masih lagi wujud pilihan SUV hibrid dengan konfigurasi lima tempat duduk seperti Toyota Corolla Cross HEV, Haval H6 HEV ataupun Honda CR-V e:HEV.

Namun untuk mereka yang berkeupayaan dan mahukan kelainan, Hyundai Santa Fe Hybrid ini masih lagi mampu menjadi satu pembelian yang boleh buatkan anda tersenyum, dan dihargai oleh seisi keluarga.

 

Spesifikasi Hyundai Santa Fe Hybrid
Enjin: Smartstream G1.6 T-GDI
Kuasa: 180 PS @ 5,500 rpm, 265 Nm @ 1,500-4,400 rpm
Motor elektrik: 60 PS, 264 Nm
Kuasa keseluruhan: 230 PS, 350 Nm
Transmisi: Automatik 6-kelajuan