All posts by Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

Vanace ubah penampilan Toyota Hiace jadi seakan VW Transporter T3

Biarpun Toyota Hiace sudah pun memasuki generasi baharu sejak tahun 2019, generasi kelima Hiace versi cab-over masih lagi kekal popular dan terus ditawarkan di beberapa pasaran.

Jika anda sudah rasa bosan dengan penampilan standard Hiace, syarikat penala Auto Motive Japan (AMJ) kini menawarkan pakej kosmetik Vanace yang diinspirasikan daripada van enjin belakang Volkswagen Transporter T3 (1979-1992).

Terdapat tiga pilihan rekaan muka hadapan yang boleh dipadankan, iaitu Type 1 (unit lampu bulat) yang sama seperti spesifikasi T3 pasaran Eropah dan Jepun; Type 2 (lampu bulat berkembar) yang diinspirasikan daripada model pasaran Afrika Selatan; serta Type 3 (unit lampu petak) yang mirip spesifikasi pasaran Amerika Utara.

Selain daripada unit lampu utama halogen, kit Vanace turut merangkumi lampu membelok berwarna kuning, rekaan hud yang rata, unit fender hadapan yang direka semula serta penutup hab roda berwarna krom sekaligus memberikan imej retro pada Hiace.

Pembeli juga boleh memilih sehingga 10 opsyen cat yang disediakan termasuklah pilihan warna gunmetal, beige dan dua tona.

Untuk ruang kabin, pihak AMJ menyediakan pelindung tempat duduk retro (pilihan warna biru, hijau atau beige), roda stereng stail vintaj dan tombol gear yang diperbuat daripada kayu.

Kemasan kayu juga turut ditawarkan sebagai satu opsyen pada bahagian lantai dan siling kargo, diikuti dengan sistem pencahayaan LED yang sangat sesuai untuk mereka yang mahu mengubah Hiace menjadi sebuah van pekhemah (campervan).

Berdasarkan semakan di laman web AMJ, harga jualan untuk kit Vanace bermula dari ¥3.75 juta hingga ¥4.64 juta (RM105k-RM130k), bergantung kepada unit van penderma dan juga tahap penyesuaian yang ditetapkan oleh pelanggan.

Selain AMJ, pemilik Hiace juga boleh mendapatkan kit badan retro yang diinspirasikan daripada Land Rover Defender, iaitu Deface yang dihasilkan oleh sebuah lagi penala Jepun – DAMD.

Mitsubishi tidak akan sertai pakatan Honda-Nissan – laporan

Laman berita Japan Today melaporkan Mitsubishi Motors Corp tidak akan menyertai syarikat gabungan yang terbentuk antara Nissan Motor Co dan Honda Motor Co.

Sebaliknya, syarikat itu akan memberikan fokus kepada memperkukuhkan kerjasama dengan dua syarikat tersebut, menurut sumber yang rapat dengan perkara itu pada Jumaat lalu.

Perkembangan terbaharu ini dilihat mencerminkan kebimbangan Mitsubishi terhadap risiko kehilangan kawalan pengurusan sekiranya mereka menyertai gabungan Honda-Nissan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat lepas, Mitsubishi sedang mempertimbangkan pelbagai kemungkinan dan belum memutuskan hala tuju yang spesifik.

CEO Mitsubishi, Takao Kata memberitahu wartawan di Tokyo, “Tiada apa-apa yang telah diputuskan.”

Honda dan Nissan, pengeluar automotif kedua dan ketiga terbesar di Jepun pada tahun lepas mengumumkan langkah penggabungan di bawah syarikat baharu yang akan membentuk kumpulan automotif ketiga terbesar di dunia untuk melawan saingan yang diberikan oleh pengeluar kenderaan elektrik Amerika Syarikat dan China.

Pada ketika itu, Mitsubishi Motors belum bersedia dan hanya akan mengumumkan keputusan untuk menyertai pakata baharu itu akan dibuat pada akhir Januari 2025.

Sepanjang tahun 2023, jumlah jualan Honda, Nissan dan Mitsubishi mencecah lapan juta unit, itu pun masih belum dapat mengatasi angka jualan Toyota (11.23 juta unit) dan Volkswagen AG (9.24 juta unit).

Honda dan Nissan mahu memuktamadkan segala perbincangan penggabungan pada Jun 2025.

Moda Sporter S, ini ulasan dan pandangan awal kami – Tunggang Uji

Bulan ini sahaja, kita sudah dihidangkan dengan beberapa buah model skuter yang agak menarik untuk pasaran tempatan.

Salah satu daripadanya ialah Moda Sporter S, sebuah skuter yang membawakan penampilan yang diinspirasikan daripada superbike ternama.

Berharga RM17,888, Moda Sporter S ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 250 cc menghasilkan 24.8 hp dan 22.5 Nm.

Pertengahan bulan Januari yang lalu, kami telah dijemput oleh pihak Moda Malaysia untuk merasai sendiri tunggangan skuter maxi Moda Sporter S.

Laluan sepanjang lebih 30 km di sekitar Litar Antarabangsa Sepang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu menyediakan lokasi yang mencukupi untuk kami menilai sendiri prestasi skuter buatan anak tempatan.

Adakah ia berbaloi untuk dibeli dan dimiliki?

Dari sudut pandang pertama, Moda Sporter S sememangnya membawakan penampilan yang lebih sporti berbanding pesaing yang ada di pasaran, ditambah pula dengan elemen yang diinspirasikan daripada superbike idaman jenama Itali.

Lihat saja pada lampu hadapan berkembar LED, diikuti dengan brek cakera berkembar pada roda hadapan, liveri perlumbaan yang agresif, diikuti dengan bentuk ekor belakang yang nampak tajam itu.

Ia didatangkan dengan skrin paparan TFT 6.2 inci yang mudah untuk dibaca di bawah sinaran matahari yang terik, sementara pelana pula diberikan kusyen yang agak empuk.

Penghadang angin juga boleh dilaras ketinggiannya secara manual.

Memulakan perjalanan, enjin 250 cc silinder tunggal itu tidak memberikan sebarang masalah untuk menghamburkan kuasanya mengikut pulasan hendal di mana respons yang diberikan cukup baik terutama untuk geng pulas habis.

Posisi tunggangan juga cukup selesa, di mana ruang kaki yang disediakan agak luas, memudahkan penunggang melaraskan kedudukan kaki mengikut keperluan.

Ada beberapa rakan media mengadu balutan bahan pada pelana itu sedikit licin, namun penulis tidak berdepan dengan masalah tersebut, mungkin sekali fabrik seluar yang digunakan itu tidak mudah menyebabkan penunggang rasa tergelincir.

Selain tayar yang mencengkam, talaan suspensinya juga cukup baik untuk membolehkan kami menikmati tunggangan yang lebih agresif terutama di kawasan berselekoh.

Cuma, anda perlu bersabar sekiranya terpaksa menempuh laluan yang ada banyak lubang dan jalan yang tidak rata, disebabkan talaan suspensinya yang agak sporti itu.

Ada di kalangan rakan media melaporkan mereka berjaya mencapai kelajuan purata melebihi had laju kebangsaan, dan penulis sememangnya mengakui perkara tersebut.

Yang penulis risaukan ialah bar hendal yang dirasakan agak ringan dan tunggangan dirasakan tidak stabil apabila mencapai kelajuan tiga angka, walaupun skuter ini sebenarnya agak berat.

Pada kelajuan yang tinggi itu juga, cermin sisi dilihat bergegar dengan agak kuat, jadi sukar untuk kami yang pentingkan keselamatan ini untuk melihat kehadiran kenderaan dari arah belakang.

Satu perkara positif yang harus penulis tekankan ialah operasi sistem brek hadapan cakera berkembar yang cukup padu untuk memastikan skuter ini berhenti dengan selamat.

Selain itu, skuter ini didatangkan dengan ciri keselamatan seperti sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran dan kawalan cengkaman (TCS) secara standard.

Ulasan tunggang uji yang lebih mendalam akan kami kongsikan sekiranya diberikan peluang untuk membawa pulang skuter ini untuk tempoh masa yang lebih panjang.

 

Tiga benda kami kurang suka pada Hyundai Santa Fe Hybrid

Dilancarkan secara rasmi beberapa bulan lepas, nyata tidak ramai netizen yang perasan kita juga sebenarnya mempunyai sebuah alternatif SUV keluarga yang tidak kurang hebatnya, iaitu Hyundai Santa Fe Hybrid.

Kami telah pun diberikan peluang untuk memandu uji SUV hibrid ini pada penghujung tahun yang lepas, dan amat berpuas hati dengan pakej yang ditawarkan untuk para pengguna di Malaysia.

Cuma, terdapat beberapa perkara yang kurang digemari wujud pada Santa Fe Hybrid yang dilihat dapat mempengaruhi pemikiran pengguna untuk membuat keputusan memilikinya.

 

1. Penggayaan luaran yang terlalu berani untuk sesetengah pihak

Kebanyakan SUV keluarga yang wujud di dalam pasaran mempunyai pendekatan rekaan yang lebih selamat dan tidak terlalu menonjol.

Namun tidak bagi Santa Fe Hybrid, di mana versi facelift yang diperkenalkan ini mempunyai muka hadapan yang agak berani, dan mungkin sekali terlalu garang.

Kanak-kanak yang suka berimaginasi mungkin akan menganggap Santa Fe Hybrid ini sebagai sebuah ikan gergasi yang sedang menunggu masa untuk membaham mangsanya.

 

2. Posisi lampu membelok yang agak rendah di belakang

Penulis amat menggemari rekaan unit lampu belakang yang nampak lebih moden dan ringkas itu.

Cuma, adalah lebih baik sekiranya unit lampu membelok disekalikan sahaja fungsinya pada perumah lampu utama.

Kedudukannya yang agak rendah itu mungkin membuatkan sesetengah pengguna jalan raya tidak perasan niat pemandu untuk menukar lorong, walaupun lampu itu sudah dinyalakan selama beberapa saat.

Ini sangat berbeza dengan apa yang dapat diperhatikan dari sudut hadapan di mana lampu membelok seakan grafik tukul itu boleh dilihat dengan terang dan jelas.

 

3. Rekaan ruang kabin yang nampak berusia

Kebanyakan pengeluar masa kini sudah mula menggunakan pendekatan rekaan yang lebih ringkas dan minimalis untuk ruang kabin.

Namun tidak bagi Hyundai Santa Fe Hybrid ini, di mana anda dapat merasai rekaannya yang sudah agak ketinggalan beberapa tahun berbanding model pesaing.

Perkara ini adalah disebabkan oleh Hyundai Santa Fe Hybrid ini masih lagi bergantung kepada satu generasi di belakang, iaitu generasi keempat yang mula diperkenalkan di pasaran global pada tahun 2018.

Sedangkan beberapa pasaran di dunia, terutama ASEAN seperti Indonesia, Filipina dan Singapura sudah pun mula menawarkan Hyundai Santa Fe generasi kelima yang jauh lebih sofistikated dan nampak lebih moden berbanding Santa Fe Hybrid yang ada di Malaysia.

Deepal S07 dipertontonkan di Malaysia oleh Bermaz, bakal dilancarkan tahun ini?

Selain daripada MPV Xpeng X9, Bermaz Auto turut memperlihatkan sebuah lagi model crossover elektrik, iaitu Deepal S07.

Di pasaran China, Deepal merupakan sebuah syarikat subsidiari yang dimiliki oleh Changan Automobile, di mana model S07 ini dibangunkan menerusi kerjasama dengan Huawei dan CATL.

Dari segi dimensi, Deepal S07 membawakan ukuran sepanjang 4,750 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,625 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,900 mm.

Ini menjadikan saiz Deepal S07 menyamai crossover elektrik Xpeng G6 yang turut sama dijual oleh Bermaz.

Di pasaran China, Deepal S07 ditawarkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 218 hp atau 258 hp.

Terdapat dua pilihan pek bateri NMC, iaitu 66.8 kWh dengan jarak gerak 520 km atau 79.97 kWh dengan jarak gerak cecah 620 km (data CLTC).

Rupa luaran Deepal S07 membawakan imej yang agresif, dengan bampar hadapan yang sporti, unit lampu dengan corak tiga kelopak bunga pada depan dan belakang, rekaan bumbung terapung dan rim 20 inci.

Ruang kabin pula menempatkan skrin tunggal 15.6 inci di bahagian tengah papan pemuka yang minimalis, roda stereng dua jejari, konsol tengah yang tinggi, serta kawalan sistem pendingin hawa berasingan untuk penumpang baris kedua.

Sama seperti Xpeng X9, pihak Bermaz masih belum mendedahkan perincian spesifikasi, tarikh pelancaran serta tanda harga yang bakal diletakkan pada Deepal S07 ini.

Bermaz pertonton MPV elektrik Xpeng X9, pesaing Denza D9, Zeekr 009

Bermaz Auto semalam memperlihatkan model kenderaan elektrik (EV) baharu yang bakal dilancarkan pada tahun ini, iaitu Xpeng X9.

Model EV kedua selepas Xpeng G6 itu merupakan sebuah minivan berkuasa elektrik yang menawarkan konfigurasi tiga baris tempat duduk, dan bakal beri saingan kepada MPV elektrik seperti Denza D9 dan Zeekr 009.

Dari segi dimensi, Xpeng X9 membawakan ukuran sepanjang 5,293 mm, lebar 1,988 mm, tinggi 1,785 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,160 mm.

Buat masa ini, Bermaz masih belum menentukan spesifikasi yang bakal ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

Namun secara asasnya, Xpeng X9 boleh didapati dalam versi pacuan roda depan berkuasa 315 hp, atau versi pacuan semua roda (AWD) berkuasa 500 hp.

Terdapat dua pilihan pek bateri iaitu lithium iron phosphate (LFP) 84.5 kWh dengan jarak gerak sejauh 610 km (data CLTC), atau bateri nickel manganese cobalt (NMC) 101.5 kWh dengan jarak pandu mencecah 702 km.

Platform Xpeng X9 ini turut menyokong pengecasan pantas 800V di mana jarak sejauh 300 km boleh ditambah dalam masa 10 minit pengecasan sahaja.

Kelengkapan ruang kabin termasuklah skrin kluster digital 12.3 inci, skrin infohibur 17.3 inci, skrin untuk penumpang belakang sebesar 21.4 inci, serta tempat duduk penumpang belakang yang dilengkapi dengan teknologi graviti sifar, fungsi pemanas, ventilasi dan juga urut.

Di bahagian luar, MPV elektrik ini membawakan penggayaan yang agak unik, di mana bahagian belakang menampilkan bentuk yang lebih bersegi dan tajam berbanding kebanyakan MPV yang ada di pasaran.

GWM pamer teknologi PHEV baharu, lancar inisiatif off-road di Changbaishan

Jika kita berbicara soal pemanduan off-road, sudah pasti terlintas dalam fikiran beberapa jenama serta model kenderaan yang lebih sesuai digunakan untuk tujuan itu.

Namun, anda harus tahu pengeluar automotif China kini tidak lagi ketinggalan jauh di belakang seperti suatu ketika dahulu.

Malah dengan kehadiran pelbagai teknologi baharu yang lebih moden dan lasak, mereka juga mampu berdiri sama baris dengan jenama-jenama terkemuka di luar sana.

Bertempat di kawasan pergunungan Changbai, wilayah Jilin pada 9-15 Januari yang lepas, GWM menganjurkan acara yang dinamakan sebagai Ice & Snow Festival.

Di sana, kami diberikan peluang untuk menguji sendiri keupayaan barisan kenderaan off-road Haval, Tank dan Poer meredah laluan ekstrem yang dipenuhi ais dan salji pada suhu mencecah negatif 30 darjah Celcius.

Biarpun hadir dengan spesifikasi standard kilang tanpa sebarang ubahsuai, kesemua kenderaan off-road tersebut membuktikan keupayaan sebenar dengan menghabiskan perjalanan meredah pelbagai bentuk muka bumi di sekitar Huamei Resort.

Antara sorotan utama acara Ice & Snow Festival itu ialah sistem plug-in hybrid (PHEV) baharu menerusi model Tank 500 Hi4-Z.

Berbanding sistem hibrid Hi4-T yang lebih ‘hardcore’, sistem Hi4-Z tidak lagi menampilkan aci pemacu yang menghubungkan enjin dengan gandar belakang.

Sebaliknya, roda belakang kini digerakkan oleh motor elektrik.

Disebabkan itu juga, GWM boleh memuatkan pek bateri yang lebih besar kapasitinya (59.05 kWh) untuk jarak gerak sifar emisi sejauh 200 km!

Dengan padanan enjin 2.0 liter turbo (248 hp/380 Nm) dan dua motor elektrik, sistem Hi4-Z ini mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 852 hp dan daya kilas 1,195 Nm.

Ini membolehkan Tank 500 Hi4-Z memecut sepantas 4.6 saat dari 0-100 km/j sahaja.

Selain daripada itu, GWM juga melancarkan inisiatif GWM Off-Road Alliance.

Inisiatif terbaharu ini bertujuan untuk mengukuhkan komuniti off-road di peringkat global dengan menawarkan pelbagai aktiviti seperti latihan teknik pemanduan off-road, serta mengoptimasikan prestasi kenderaan untuk pelbagai jenis bentuk muka bumi.

GWM turut memperkenalkan sistem penggredan laluan off-road (skala 1 hingga 10) yang boleh memberikan satu kerangka kerja yang lebih jelas untuk menangani keadaan bentuk muka bumi yang berbeza.

Untuk pemandu di Malaysia, sistem gred ini boleh digunakan sebagai rujukan dan persiapan menghadapi pelbagai cabaran seperti kawasan berpasir di persisiran pantai, laluan ladang berlumpur serta jalan pergunungan yang curam.

Semua ini untuk memastikan komuniti off-road dapat menikmati perjalanan mencabar dengan lebih selamat dan dalam masa yang sama menikmati pengalaman yang menyeronokkan.

Lotus Eletre raih dua kategori dalam anugerah Malaysia Car of the Year 2024

Tahun 2024 merupakan satu tempoh yang cukup bermakna buat Lotus Cars Malaysia.

Sepanjang tempoh 12 bulan tersebut, Lotus Malaysia telah berjaya menjual sebanyak lebih 200 unit SUV elektrik Lotus Eletre, diikuti 20 unit kereta sports Lotus Emira.

Bukan itu sahaja, Lotus Eletre juga berjaya mengungguli bukan satu, tapi dua kategori dalam anugerah Malaysia Car of The Year 2024 (MCOTY), iaitu SUV of The Year (atas RM500k) dan xEV of the Year 2024 (atas RM300k).

Dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia pada tahun 2023, Lotus Eletre merupakan SUV elektrik pertama jenama Lotus yang membawakan kuasa setinggi 905 hp dan 985 Nm.

Dengan padanan pek bateri 112 kWh, Lotus Eletre mampu mencapai jarak pemanduan sejauh 600 km atau 490 km untuk Eletre R.

Tiga pemilik bertuah Peugeot 408 terbang ke Paris Mac ini

Peugeot Malaysia mengumumkan tiga orang pemenang bertuah kempen Beli dan Menang yang dianjurkan bermula 9 Julai hingga 31 Oktober tahun lalu.

Dalam kempen tersebut, pelanggan yang menempah dan mendaftarkan pembelian Peugeot 408 berpeluang untuk memenangi pakej percutian Kelas Perniagaan ke Paris selama tiga hari dua malam dan menyertai acara berprestij Paris Fashion Week 2025.

Tiga orang pemenang yang dimaksudkan ialah Nurfhatiah Zulkarnaini dari Seremban yang membeli sebuah Peugeot 408 GT, Mohamad Faris bin Harun dari Ipoh yang membeli sebuah 408 Premium dan Muhammad Izzul Aiman bin Zahir dari Pulau Pinang yang membeli 408 Allure.

Ketiga-tiga orang pemenang ini akan terbang ke Paris bersama pasangan masing-masing dari 8 hingga 10 Mac ini.

Kesemua pemenang menzahirkan rasa keterujaan mereka dan menyifatkan kemenangan tersebut sebagai peluang sekali dalam seumur hidup.

Sebagai sebahagian daripada persediaan ke Paris Fashion Week 2025, kesemua pemenang dan pasangan masing-masing akan menghadiri sesi penggayaan peribadi yang akan dihoskan oleh pengasas KL Fashion Week.

Mercedes-Benz Malaysia tawar pemindahan terminal persendirian guna sedan EQS, S-Class di KLIA

Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan kerjasama strategik dengan Malaysia Aviation Group (MAG), pemilik syarikat penerbangan Malaysia Airlines untuk menawarkan khidmat pemindahan terminal persendirian mewah di KLIA.

Bermula 16 Januari, perkhidmatan ini akan ditawarkan kepada pemegang tiket yang layak menggunakan dua sedan mewah Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC dan S 580 e Plug-in Hybrid.

Perkhidmatan 24-jam setiap hari ini akan memudahkan lagi urusan pelanggan untuk bergerak dari Terminal 1 KLIA ke bangunan satelit di sekitarnya.

Selain daripada itu, kerjasama ini turut menawarkan ganjaran istimewa #MyMercedesRewards untuk model elektrik dan PHEV terpilih kepada ahli-ahli Enrich Platinum dan Gold, selain berpeluang untuk menyertai percutian ke Jerman untuk menikmati pengalaman unik dunia Mercedes-Benz.

Ahli Enrich Platinum dan Gold juga akan menikmati akses ke acara-acara eksklusif Mercedes-Benz Malaysia, sementara pelanggan Mercedes-Benz juga berpeluang untuk menyertai acara eksklusif Malaysia Airlines Enrich.

Bermula 1 Mac 2025, pelanggan yang membeli kenderaan Mercedes-Benz akan menikmati perkhidmatan pemindahan terminal persendirian percuma selama satu tahun sekiranya terbang dengan Malaysia Airlines.

Menurut Amanda Zhang selaku CEO dan Presiden MBM berkata, di Mercedes-Benz, misi kami adalah untuk mencipta pengalaman yang luar biasa – apa yang kami gelar sebagai Mercedes Moments – di mana teknologi canggih digandingkan dengan keanggunan abadi untuk menjadikan setiap perjalanan tidak dapat dilupakan.

“Menerusi kerjasama dengan MAG membenarkan kami untuk meningkatkan pengalaman perjalanan mewah kepada para pelanggan kami serta ahli-ahli Enrich, meletakkan satu tanda aras baharu di dalam eksklusiviti dan kecanggihan.”

Seksyen 2 WCE mula dibuka hari ini, hubungkan Banting terus ke Shah Alam, Klang

Seksyen 2 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) kini dibuka kepada pengguna lebuh raya bermula 22 Januari 2025 jam 12.01 tengah malam tadi.

Dengan pembukaan jajaran sepanjang 7.2 km ini, pengguna kini mempunyai laluan alternatif dari Banting menuju ke Shah Alam, Klang, Kajang, Putrajaya, Kajang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau sebaliknya.

Selain itu, ia juga menawarkan sambungan terus ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS).

Pembukaan jajaran baharu ini akan melengkapkan lagi jajaran Persimpangan Bertingkat Banting ke Persimpangan Bertingkat SKVE yang telah dibuka pada 31 Ogos 2024, dan mempercepatkan tempoh perjalanan berbanding jalan sedia ada.

Bersempena dengan pembukaan jajaran baharu ini, bayaran tol tidak akan dikenakan untuk pengguna yang memasuki Lebuhraya WCE dari Plaza Tol SAE ke Persimpangan Bertingkat SKVE (WCE) atau sebaliknya, bermula 22 Januari hingga 21 Februari 2025.

Jajaran terbaharu ini merupakan sebahagian daripada Lebuhraya WCE sepanjang 314.5 km yang akan menghubungkan Banting di Selangor hingga ke Taiping, Perak.

Honda akui projek Civic Type R EV bukan mudah

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sudah terdengar khabar di mana Civic Type R FL5 akan menjadi model hot hatch berenjin pembakaran (ICE) tulen terakhir daripada Honda.

Apakah nasib Civic Type R seterusnya? Adakah ia akan menjadi sebuah hot hatch berkuasa elektrik?

Berita kurang enak, Honda sememangnya sedang meneroka proses untuk menghasilkan sebuah EV Type R.

Namun, proses tersebut bukanlah mudah seperti yang diakui sendiri oleh Toshihiro Akiwa, ketua unit pembangunan BEV Honda ketika mendedahkan dua prototaip 0 Series di CES Las Vegas bulan ini.

“Sebuah motor elektrik dan bateri mempunyai karakteristik yang berbeza, jadi kami tidak dapat menghasilkan sesuatu yang sama seperti sebelum ini.

“Sebagai sebuah EV, bagaimana kami dapat menawarkan keseronokan memandu? Sudah tentu kami belum berputus asa, akan tetapi ia bukanlah sekadar kuasa yang dihamburkan. Ia adalah tentang bunyi, gegaran, pecutan dan pengalaman manusia.

“Ini semua adalah keseronokan dalam pemanduan,” ujarnya lagi.

Ketika memperlihatkan model prototaip sedan saiz besar dan SUV saiz pertengahan tersebut, Honda tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menawarkan EV 0 Series biarpun tetapan motor elektrik itu mampu mencecah kuasa sekitar 480 hp.

Sebagai perbandingan, Honda Civic Type R FL5 merupakan sebuah hot hatch ICE tulen dengan enjin 2.0 liter turbo yang mampu menjana kuasa setinggi 329 hp.

ETCM umum Nissan Kicks e-Power akan dihantar dalam tempoh beberapa minggu

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengumumkan crossover baharu Nissan Kicks e-Power akan dihantar kepada para pelanggannya dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Menurut Khoo Cheng Pah, Ketua Pegawai Eksekutif Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd berkata, “kami teruja untuk berkongsi bahawa Nissan Kicks e-Power kini berada di landasan untuk penghantaran dalam beberapa minggu akan datang.

“Pasukan kami komited mempercepatkan proses ini untuk memastikan pelanggan kami dapat merasai teknologi e-Power secepat mungkin.”

Dilancarkan secara rasmi di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024, Nissan Kicks e-Power ini dilengkapi dengan sistem e-Power generasi kedua yang menawarkan penggunaan bahan api yang lebih cekap (21.7 km/liter), serta jarak pemanduan sejauh 900 km untuk setangki penuh.

Sistem e-Power itu terdiri daripada motor elektrik 129 PS/280 Nm, enjin 1.2 liter HR12DE (82 PS/103 Nm) yang bertindak sebagai unit penjana kuasa dan pek bateri 2.06 kWh.

Nissan Kicks e-Power serba baharu ini sudah boleh ditempah dalam dua varian, iaitu VL dan VLT dengan harga jualan bermula dari RM113,800 sahaja.

Nissan Kicks e-Power mampu pacu kebangkitan Tan Chong? – Pandu uji ringkas

Tiga kelemahan yang wujud pada Jaecoo J7

Jaecoo J7 sudah dilancarkan kira-kira enam bulan yang lepas, dan kita masih lagi boleh melihat kelibat SUV ini di atas jalan raya, membuktikan popularitinya di kalangan rakyat Malaysia.

Bukan sekadar rupa paras yang dipertaruhkan, Jaecoo J7 turut menawarkan ciri dan fungsi yang praktikal dan sesuai untuk kegunaan seharian.

Di pasaran Malaysia, kita boleh mendapatkan J7 dengan varian pacuan dua roda (2WD) atau varian pacuan semua roda (AWD) dengan harga jualan bermula dari RM138,800.

Tidak banyak perbezaan ketara yang wujud antara kedua-dua model tersebut, malah varian 2WD dan AWD dilengkapi dengan ciri keselamatan yang hampir menyeluruh untuk menjamin pemanduan yang lebih selamat.

Nampak macam sebuah SUV yang sempurna, namun Jaecoo J7 ada kelemahan yang tersendiri.

 

1. Rupa ala Range Rover – bukan untuk semua orang

Seperti yang anda lihat, Jaecoo J7 menawarkan pakej rupa paras yang unik, dan nampak premium untuk sebuah SUV bawah julat RM150,000.

Namun begitu, rupa paras tersebut adalah satu perkara yang subjektif, di mana ada pihak yang mungkin tidak begitu menggemari rupanya seakan sebuah Range Rover itu.

Seperkara yang kami harapkan ialah struktur unit lampu belakang yang boleh dibesarkan supaya rekaan keseluruhan bahagian tersebut tidak nampak terlalu kosong.

 

2. Terlalu bergantung kepada skrin

Seperti mana-mana kereta moden, Jaecoo J7 juga tidak dapat lari daripada mengikuti trend menyumbat segala macam fungsi ke dalam skrin infohibur.

Ia bukanlah satu perkara yang negatif, sekiranya sesebuah pengeluar itu tahu untuk meletakkan fungsi yang sepatutnya untuk memudahkan urusan pemandu terutama ketika memandu seorang diri.

Ya, arahan berbentuk suara juga turut tersedia, namun tidak semua gemar melontarkan arahan berbentuk suara untuk fungsi yang selama ini boleh diubah sendiri – seperti menetapkan suhu dan kelajuan tiupan pendingin hawa.

Mujur juga terdapat butang khas AC di konsol tengah untuk memudahkan pemandu meneroka menu kawalan pendingin hawa yang tersorok di dalam skrin tengah itu.

 

3. Sistem keselamatan yang boleh ditambah baik

Secara keseluruhan, penulis amat berpuas hati dengan kecekapan sistem keselamatan yang wujud pada Jaecoo J7.

Cuma, mungkin lebih baik sekiranya sistem pengelakan keluar lorong (dan pembetulan stereng) itu ditala dengan lebih baik supaya pemandu tidak rasa ‘terputus hubungan’ dengan jalan.

Ia bukanlah satu perkara yang baik sekiranya pemandu tidak mendapat respons yang sepatutnya daripada jalan raya gara-gara sistem pembetulan stereng yang masuk campur selama beberapa saat sebelum menyerahkan semula kawalan kepada pemandu.

Ulasan penuh pandu uji Jaecoo J7 anda boleh baca pada pautan di bawah:

Cubaan seminggu bercinta dengan Jaecoo J7 – Pandu Uji

 

Empat skuter menarik yang sudah mendarat di Malaysia

Belum pun sempat bulan Januari melabuhkan tirainya, pasaran Malaysia kini sudah dibanjiri dengan beberapa buah model skuter yang cukup mencuri perhatian netizen.

Dengan spesifikasi yang lebih menyeluruh serta harga yang mampu milik, ia akan membuatkan golongan pembeli berpotensi pening kepala seketika untuk memilih mana satu yang terbaik.

Tanpa membuang masa, ini adalah senarai skuter baharu yang telah dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan ini:

 

1. Zontes 368G ADV

Zontes 368G ADV ini membawakan spesifikasi yang mampu memalukan pesaing dari Jepun.

Selain daripada enjin 368 cc berkuasa 38 hp/40 Nm, fork hadapan USD, dan sistem brek J.Juan, 368G ADV turut didatangkan dengan pelbagai ciri standard termasuklah crash bar, kamera perakam tunggangan, sistem pemantauan tekanan tayar dan pemanas bar hendal!

Harga: RM28,800

 

2. MODA Sporter S

Jenama motosikal tempatan baharu membuat kemunculan pada awal tahun ini dengan skuter maxi Sporter S.

Skuter 250 cc ini mampu menjana kuasa setinggi 24.8 hp, selain memiliki rupa paras agak sporti yang mampu membuatkan ramai tertoleh di atas jalan raya.

Harga: RM17,888

 

3. SYM Husky ADV 300

MForce membawakan skuter terbaharu SYM Husky ADV 300, dengan enjin 278 cc menghasilkan 25.8 hp dan 26 Nm, tidak ketinggalan rekaan badan yang agresif.

Ciri menarik termasuklah skrin paparan digital, sistem kunci pintar, pelindung tangan, serta kehadiran port pengecasan USB-A dan USB-C.

Harga: RM23,888

 

4. Aveta Vanguard 250

Mahukan yang lebih mampu milik? Aveta baru sahaja melancarkan skuter kembara Vanguard 250 dengan membawakan ciri-ciri yang tidak kurang hebatnya.

Selain enjin 244 cc berkuasa 24.8 hp dan 22.5 Nm, Vanguard 250 hadir dengan ciri seperti penghadang angin boleh laras, bar hendal boleh laras, kamera perakam tunggangan, serta skrin paparan digital TFT.

Harga: RM14,888

 

Kotak tisu Toyota AE86 ini sesuai untuk kaki anime Initial D

Populariti animasi Initial D berjaya membuatkan harga kereta sports terpakai era 80-an dan 90-an menjadi semakin tidak masuk akal dan di luar kemampuan – baik yang versi skala penuh mahupun model diecast.

Berita baik, anda kini boleh mendapatkan sebuah Toyota Corolla AE86 Sprinter Trueno kedai tofu serba baharu pada harga yang lebih masuk akal dan tidak mencederakan poket (dan akaun bank).

Lebih tepat lagi, ia sebuah model kereta bersaiz 270 mm dan boleh memuatkan tisu kering dan juga tisu basah yang sesuai dijadikan hiasan atas meja kerja.

Dihasilkan oleh Toyota dan Kodansha (pemilik Initial D), kotak tisu AE86 ini boleh dibeli secara rasmi di kedai Camshop Jepun.

Walaupun berstatus sebagai kotak tisu, model skala ini memiliki perincian seperti unit lampu depan dan belakang lengkap dengan lampu kabus kuning, paip ekzos serta unit roda yang boleh berpusing sepenuhnya.

Sebuah kotak tisu kedai tofu drift ini berharga sekitar ¥7,700 (RM222) dan akan mula dijual seawal Februari 2025.

Selain daripada kotak tisu, laman Camshop Jepun itu turut menjual beberapa barangan bertemakan anime Initial D termasuklah tetikus tanpa wayar.

Shell Malaysia, Visa tambah baik kemudahan pembayaran Shell Recharge di Lembah Klang

Shell Malaysia dan ParkEasy mengumumkan kerjasama baharu dengan Visa untuk menambah baik kemudahan pembayaran di fasiliti Shell Recharge di sekitar Lembah Klang.

Kerjasama baharu ini bertujuan untuk menyediakan platform pembayaran yang lebih lancar dan memudahkan semua pemilik kenderaan elektrik untuk membuat pembayaran menggunakan kad kredit atau debit.

Untuk info, ParkEasy merupakan penyedia penyelesaian parkir inovatif yang dimiliki sepenuhnya oleh Shell yang mengendalikan fasiliti Shell Recharge di Malaysia.

Terminal kad kini tersedia di empat lokasi Shell Recharge, iaitu di Pavilion Kuala Lumpur, Hotel Pavilion Kuala Lumpur, Pavilion Bukit Jalil dan Pavilion Damansara Heights untuk kedua-dua pengecasan arus ulang alik (AC) dan arus terus (DC).

Pemilik EV boleh meletakkan kenderaan di tempat pengecasan yang dipilih, dan perlu memasukkan nombor tempat di terminal sebelum membuat pembayaran. Caj pra-pengesahan sebanyak RM150 akan dikenakan untuk setiap sesi pengecasan.

Bersempena dengan kolaborasi terbaharu ini, pemilik EV boleh menikmati pulangan tunai 10 peratus sekiranya membuat pembayaran menggunakan kad Visa bermula 15 Januari hingga 30 Jun 2025, dihadkan kepada RM5 untuk setiap sesi.

Selain itu, terdapat juga rebat kredit 10 peratus ditawarkan apabila pemilik membuat tambah nilai 50 kredit ke dalam akaun ParkEasy menggunakan kad Visa, terhad 5 kredit untuk setiap rebat.

Dua pilihan rebat bernilai RM10,000 untuk Leapmotor C10 sempena CNY

Leapmotor Malaysia mengumumkan promosi istimewa bersempena dengan sambutan perayaan Tahun Baru Cina untuk rakyat Malaysia yang ingin memiliki model Leapmotor C10.

Untuk tempoh terhad sehingga 28 Februari 2025, pelanggan Leapmotor akan diberikan dua pilihan rebat bernilai RM10,000 seperti berikut:
Pilihan 1
-Pengecas dinding (RM3,000)
-Kredit pengecasan (RM2,000)
-Sokongan insurans (RM5,000)

Pilihan 2
-Rebat tunai RM10,000

Selain itu, Leapmotor Malaysia turut menggalakkan orang ramai untuk berkunjung ke pusat pameran bermula 17 Januari hingga 9 Februari 2025 untuk memandu uji dan menempah SUV elektrik C10, selain menikmati pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun.

Leapmotor C10 dikuasakan oleh motor elektrik 214 hp yang dipadankan dengan pek bateri LFP 69.9 kWh untuk jarak gerak sejauh 424 km (data WLTP).

Selain ruang kabin yang cukup luas, Leapmotor C10 menampilkan penggunaan bahan upholsteri OEKO-Tex yang premium dan lebih mesra bayi, serta ciri keselamatan yang melayakkan SUV ini mendapat penarafan lima bintang Euro NCAP.

Leapmotor C10 dijual pada harga RM159,000, lengkap dengan jaminan menyeluruh selama enam tahun atau had perbatuan 150,000 km, serta jaminan lapan tahun atau had perbatuan 160,000 km untuk komponen bateri.

Proton X50 Sport Edition dilancarkan, 1000 unit sahaja, harga RM98k

Setelah dipertontonkan pada acara Kuala Lumpur International Mobility Show 2024 (KLIMS 2024), Proton akhirnya secara rasmi melancarkan SUV edisi terhad Proton X50 Sport Edition.

Menggunakan asas daripada varian X50 Premium, X50 Sport Edition diberikan penampilan luaran yang lebih sporti terima kasih kepada aerokit Sport Edition, warna hitam Quartz Black, aksen merah pada splitter depan, skirt sisi dan bampar belakang, rim 10 jejari bersaiz 18 inci, serta jeriji hitam berkilat.

Selain itu, SUV ini juga dilengkapi dengan pelekat badan berwarna merah, diikuti dengan emblem Sport Edition

Masuk ke dalam kabin, terdapat plet pada ambang pintu, alas kaki Sport Edition, serta kemasan warna merah pada tempat duduk, panel pintu dan perehat tangan hadapan.

Dari segi kuasa, ia mengekalkan enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter turbo berkuasa 150 PS dan daya kilas 226 Nm yang dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan.

Hanya 1,000 unit sahaja X50 Sport Edition yang akan ditawarkan, setiap satu berharga RM98,300 selepas rebat RM7,000 yang ditawarkan sepanjang bulan Januari ini.

Subaru Crosstrek Hybrid 2026 kini dengan nadi hibrid generasi baharu, 194 hp

Subaru Crosstrek 2026 generasi ketiga kini tampil dengan varian yang dilengkapi dengan unit rangkaian kuasa hibrid generasi baharu.

Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, Crosstrek Hybrid 2026 didatangkan dengan unit hibrid yang terdiri daripada enjin boxer 2.5 liter (158 hp, 209 Nm), dua motor elektrik dan pek bateri lithium-ion berkapasiti 1.1 kWh, menghasilkan kuasa keseluruhan 194 hp.

Menariknya, Crosstrek Hybrid masih lagi kekal dengan sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical AWD yang tulen, bermakna kehadiran sistem hibrid itu tidak langsung mengorbankan keupayaan pemanduan atas jalan mahupun off-road yang responsif.

Dari sudut luaran, tidak banyak perbezaan yang dibawakan pada model hibrid ini jika dibandingkan dengan model standard, kecuali dengan emblem Hybrid yang membawakan logo enjin bentangan mendatar serta rim aloi kelabu gelap bersaiz 18 inci.

Jarak kelegaan tanah Subaru Crosstrek Hybrid masih lagi kekal pada angka 220 mm.

Untuk ruang kabin, crossover ini dilengkapi dengan skrin kluster digital 12.3 inci, diikuti dengan skrin infohibur tengah sebesar 11.6 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar.

Kesemua varian Subaru Crosstrek Hybrid 2026 akan dilengkapi dengan ciri keselamatan termaju EyeSight yang menawarkan fungsi seperti sistem pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal dan kawalan jelajah adaptif termaju serta ciri keselamatan aktif lain seperti sistem brek mengundur automatik, pengesanan titik buta, dan amaran lintasan trafik belakang.

Terdapat dua warna baharu untuk Subaru Crosstrek Hybrid, iaitu Sand Dune Pearl dan Citron Yellow Pearl.

Lebih banyak perincian bakal diumumkan menjelang pelancaran rasmi yang dijadualkan berlangsung pada musim luruh tahun ini.