All posts by Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

Nissan LEAF kini EV terpakai dengan susut nilai paling tinggi di US

Era pandemik menyaksikan harga kenderaan melonjak naik, bukan sahaja kereta baharu malah kereta terpakai disebabkan oleh permintaan yang tinggi.

Dalam masa yang sama, pihak pengeluar masih lagi bergelut dengan masalah kekurangan bekalan cip semikonduktor.

Tatkala harga pasaran kereta terpakai kini kian beransur pulih, lain pula ceritanya dengan pasaran kenderaan elektrik (EV) terpakai di Amerika Syarikat.

 

Berdasarkan laporan Carscoops, nilai harga purata untuk sebuah kereta terpakai berusia bawah lima tahun menurun 5.1 peratuss pada Oktober 2023.

Namun begitu, harga untuk EV terpakai pula didapati menurun agak ketara, dengan purata sekitar 33.7 peratus pada tahun 2023 berbanding tahun 2022.

Rekod iSeeCars menunjukkan harga jualan Nissan LEAF terpakai turun bawah paras $20,000 pada Oktober 2023, berbanding $28,304 pada Oktober 2022.

Malah, empat lagi model EV turut mengalami penurunan harga jualan yang ketara, iaitu Tesla Model 3, Chevrolet Bolt EV, Tesla Model X dan Tesla Model S.

Walaupun Tesla kini menjadi pendahulu di dalam segmen EV di Amerika, pengeluar tersebut secara konsisten menurunkan harga bagi kenderaan baharu pada tahun ini, di mana langkah tersebut turut mengakibatkan penurunan harga jualan bagi model-model kereta terpakainya.

 

Ada Merc 280SL? Ubah jadi EV, kos cuma RM630 ribu!

Anda ada sebuah roadster klasik Mercedes 280SL dan mahu mengubahnya menjadi sebuah kereta elektrik yang tidak mencemarkan alam?

Sebuah syarikat dari Austin, Amerika Syarikat, iaitu The Moment Motor Company kini menawarkan khidmat untuk menjalankan restomod (restorasi + modifikasi) 280SL EV dalam unit binaan yang terhad.

 

Setiap satu unit 280SL EV itu akan dibekalkan dengan sistem senibina elektrik 400 voltan yang terdiri daripada motor elektrik magnet kekal tiga fasa berkuasa 300 hp/502 Nm dan pek bateri 62.0 kWh.

Dengan sistem pacuan baharu itu, 280SL EV dianggarkan mampu bergerak sejauh 282 km untuk setiap pengecasan penuh.

 

Pihak bengkel cuba sedaya upaya untuk mengekalkan tahap estetika 280SL ini, dan dalam masa yang sama membawakan ciri moden seperti sistem stereng berkuasa, brek, sistem penyejukan dan pemanasan, panel meter dalam unit kW serta skrin digital yang memaparkan informasi penting termasuklah kapasiti bateri dan anggaran jarak pemanduan.

Difahamkan, pihak Moment mengenakan caj sebanyak $135,000 (RM630,855) untuk proses penukaran sistem pacuan, itu pun jika anda sudah mempunyai sebuah 280SL untuk ‘dikorbankan’.

Toyota jual pegangan dalam Denso untuk dana pembangunan EV

Toyota dan dua syarikat subsidiarinya (Toyota Industries dan Aisin) akan menjual pegangan bernilai 700 bilion yen dalam syarikat pembekal komponen automotif Denso.

Berkemungkinan besar langkah tersebut dibuat bertujuan untuk membiayai pembangunan kenderaan elektrik (EV).

Secara keseluruhan, penjualan ini merangkumi 10 peratus pegangan di dalam Denso, di mana kira-kira separuh daripadanya datang daripada Toyota.

Dalam masa yang sama, Denso juga merancang untuk membeli semula sebahagian daripada pegangan yang telah dijual sebagai langkah untuk mengelakkan harga saham menjunam terlalu rendah, menurut laporan Reuters.

Sehingga September, Toyota memegang 24.2 peratus pegangan dalam Denso.

Walaupun selepas penjualan saham dibuat, Toyota masih lagi kekal sebagai pemegang kepentingan terbesar di dalam Denso.

Toyota sebelum ini mengumumkan strategi untuk meningkatkan produksi EV dengan menggunakan teknologi gigapress yang sama digunakan oleh Tesla, selain menghasilkan EV dengan jarak gerak lebih jauh menggunakan teknologi bateri jenis pejal.

Selain daripada itu, Toyota juga merancang untuk meneruskan pengeluaran kenderaan hibrid dan hidrogen.

 

EV tidak boleh diharap berbanding kereta ICE – kajian Consumer Reports

Kajian terbaharu oleh Consumer Reports’ 2024 mendapati kenderaan elektrik (EV) adalah kurang dipercayai jika dibandingkan dengan kereta berenjin pembakaran dalaman (ICE).

Consumer Reports mengumpulkan data daripada lebih 330,000 unit kenderaan dari tahun 2000 hingga 2024, menunjukkan secara purata EV 79 peratus tidak boleh diharap berbanding kereta ICE, walaupun memiliki rekaan sistem pacuan yang lebih ringkas.

Kereta plug-in hybrid (PHEV) pula mempunyai 146 peratus lebih banyak masalah jika dibandingkan dengan kereta ICE.

Menariknya, kereta hibrid biasa mencatatkan 26 peratus kurang bermasalah berbanding kereta ICE.

Menurut CR, kebanyakan pembeli terawal perlu berdepan dengan pelbagai masalah disebabkan oleh penggunaan teknologi baharu sehinggalah masalah tersebut diselesaikan.

Merujuk perkara yang sama, Jake Fisher selaku Pengarah Kanan bahagian Auto Testing CR turut mencadangkan pembeli supaya mendapatkan Tesla Model 3 yang terkini berbanding Cybertruck.

Ini kerana disebabkan Tesla Model 3 sudah diproduksikan bertahun-tahun lamanya, kebanyakan kelemahan pengeluaran telah pun diperbaiki dan diselesaikan.

Sebaliknya, Cybertruck merupakan sebuah kenderaan serba baharu, bermakna ia akan banyak ‘menimbulkan masalah’ saat ia mula dijual kelak.

Tesla mula kenakan caj kesesakan di stesen Supercharger di Amerika

Semakin hari semakin banyak jumlah kereta elektrik berada di atas jalan raya.

Ada di antara pengguna EV terutama pemilik Tesla mungkin kini terpaksa berdepan dengan situasi stesen pengecasan yang sesak, di mana waktu menunggu menjadi lebih lama.

Di Amerika Syarikat, Tesla dilapor akan mula mengenakan caj kesesakan di sesetengah stesen Supercharger yang mempunyai kadar trafik yang tinggi.

Langkah mengenakan caj $1/minit itu bertujuan untuk menggalakkan para pelanggan supaya tidak mengecas EV mereka sehingga 100 peratus, sebaliknya hanya mengecas mengikut keperluan pemanduan semasa.

Ia sekaligus dapat mengurangkan waktu menunggu di kalangan pengguna yang memerlukan, terutama pada waktu sibuk.

Secara efektifnya, caj kesesakan ini akan menggantikan caj menunggu (idle fee) secara terus, dan ia akan dikenakan saat SoC bateri sesebuah EV mencecah 90 peratus.

Buat masa sekarang, para pemilik EV akan dikenakan caj idle $0.50/minit sekiranya kadar SoC mencecah 100 peratus, dan ia akan digandakan apabila setiap pam pengecas digunakan.

Buat masa ini, tidak dapat dipastikan sama ada caj yang sama akan turut dikenakan untuk para pemilik Tesla di Malaysia.

 

Restomod Aston Martin DB6 EV ini guna bahan kemasan daripada kulit telur

Syarikat aftermarket Britain Lunaz memperlihatkan projek restomod menggunakan asas daripada Aston Martin DB6, dengan menyifatkannya sebagai “Aston Martin yang paling lestari” pernah dihasilkan.

Sebagai makluman, Aston Martin DB6 hanya diproduksikan sebanyak 1,788 unit sahaja sepanjang tahun 1965 hingga 1970.

Untuk projek restomod ini, enjin asal 4.0 liter berkuasa 282 hp itu telah dibuang daerah, dan digantikan dengan motor elektrik berkuasa 375 hp.

 

Tiada sebarang info berhubung kapasiti pek bateri yang digunakan, namun Lunaz ada menawarkan pilihan pek bateri 80 hingga 120 kWh dengan jarak gerak mampu cecah 410 km serta sokongan pengecasan pantas.

Apa yang membuatkan projek restomod DB6 ini lebih istimewa ialah penggunaan bahan lestari pada ruang kabin.

Seperti contoh, panel papan pemuka, tombol gear dan pemegang kaca tingkap suku diperbuat daripada bahan berasaskan kulit telur dan kacang, serta fabrik poliurethane berasaskan tumbuhan untuk panel pintu.

 

Selain itu, upholsteri DB6 elektrik ini juga menggunakan bahan gandingan kapas, poliester, rayon dan nilon kitar semula tanpa bahan kimia yang berbahaya.

Sementara hasil sampingan daripada penghasilan cuka, jus dan bahan minuman digunakan untuk lapisan kulit pada tempat duduk, panel pintu dan alas bumbung.

Menurut laporan, projek restomod Aston Martin DB6 EV ini menelan belanja sekitar £650,000 (RM3.8 juta).

HWE Electro Puzzle – van kargo elektrik dari Jepun, jarak gerak 201 km

Sebuah syarikat Jepun, HW Electro memperlihatkan sebuah model van komersial Puzzle yang bakal masuk pasaran Amerika Utara kelak.

Membawakan muka yang agak comel, HWE Electro Puzzle ini mempunyai ukuran sepanjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,920 mm dengan jarak antara roda 2,480 mm.


Dengan ukuran kurang dari empat meter, van elektrik Puzzle ini sebenarnya mampu bersaing secara terus dengan model-model kei car komersial dari Jepun.

Ditambah pula dengan bentuk badan yang hampir petak sepenuhnya, ia secara tidak langsung menyumbang kepada ruang kargo yang lebih luas.


Secara standard, Puzzle membawakan konfigurasi dua tempat duduk dengan rekaan panel pemuka dan pintu seakan papan kenyataan yang boleh diubahsuai mengikut keperluan.

Skrin tengah pula menempatkan teknologi ketersambungan dan aplikasi MyHWE yang menggunakan kepintaran buatan (AI) untuk optimasi penghantaran, pengurusan kargo dan sokongan bencana alam.

Menurut HWE, Puzzle ini mampu menampung beban seberat 350 kg, dan dilengkapi pek bateri lithium ion phosphate yang mampu membenarkan jarak gerak sejauh 201 km untuk sekali cas penuh.

Callum Skye, buggy elektrik 2+2, pecutan 0-100 km/j bawah 4 saat!

Syarikat Callum yang diasaskan oleh Ian Callum (bekas pereka Jaguar) kini tampil dengan sebuah model buggy berkuasa elektrik, Callum Skye.

Buggy sepanjang empat meter ini menawarkan konfigurasi tempat duduk 2+2 dengan rekaan kabin tertutup sepenuhnya, diikuti rekaan luaran yang lebih moden tidak seperti buggy bogel yang ada di pasaran.


Skye juga turut menjanjikan keupayaan pemanduan off-road yang lebih baik biarpun dengan rupa parasnya tampak agak moden.

Tiada sebarang butiran spesifikasi teknikal didedahkan, namun Callum Skye dikatakan menggunakan casis space frame yang tahan lasak, serta tetapan suspensi untuk cabaran off-road, dengan berat kering sekitar 1,150 kg.

Output kuasa motor elektrik juga masih dirahsiakan buat masa ini, yang pasti ia mampu memecut 0-96 km/j dalam tempoh bawah empat saat.


Pek bateri berkapasiti 42 kWh pula cukup untuk membenarkan jarak pemanduan sejauh 274 km untuk sekali cas penuh, dan pengecasan penuh dalam masa bawah 10 minit sahaja.

Menurut Ian Callum, “buggy Callum Skye ini telah direka untuk melebihi jangkaan: jisim minimum, keupayaan maksimum, mudah digunakan dan keseronokan mutlak untuk dipandu.

Tiada sebarang info berkenaan harga dan bilakah model tersebut sedia dijual kepada umum.

Tesla Supercharger V4, cas bateri 40 peratus dalam 10 minit!

Di Malaysia, kita sudah pun mempunyai jaringan pengecasan Tesla Supercharger V3.

Di beberapa tempat di negara Amerika Syarikat seperti Nevada, Alabama dan Oregon, pengguna dan pemilik Tesla kini disediakan dengan kemudahan Supercharger V4 yang lebih terkini, dan membawakan rekaan badan yang lebih solid.

Berbeza dengan Supercharger V3, Supercharger V4 kini menyediakan penyesuai CCS-1 (Magic Dock), pembaca kad kredit digital, skrin paparan yang kompak, serta kabel pengecas sepanjang 3 meter.

 

Kemudahan penyesuai Magic Dock ini kelak membolehkan pemilik EV bukan berjenama Tesla boleh mengecas kenderaan elektrik mereka.

Berdasarkan video demonstrasi oleh YouTuber Kim Java, Supercharger V4 ini mampu mengecas bateri Tesla Model 3 dari SoC 20 hingga 60 peratus dalam tempoh masa 10 minit sahaja.

Buat masa ini, Supercharger V4 masih lagi menarik kuasa daripada kabinet V3, namun terdapat potensi untuk pengecasan yang lebih pantas pada masa akan datang.

Ini kerana secara teorinya, Supercharger V4 mempunyai keupayaan pengecasan setinggi 615 kW berdasarkan pelekat spesifikasi yang terdapat pada badan pengecas tersebut.

Tesla Supercharger V3

Xpeng X9 2024, minivan mewah, kuasa sehingga 496 hp

Bertempat di acara Guangzhou Auto Show, Xpeng telah melancarkan model minivan mewah pertama mereka, iaitu Xpeng X9 2024.

Minivan dengan tujuh tempat duduk itu ditawarkan pada harga bermula dari 388,000 yuan (~RM252,579) dan bakal memberikan saingan terus kepada sebuah lagi model minivan berkuasa elektrik di China, iaitu Li Mega.


Dari segi dimensi, Xpeng X9 ini berukuran sepanjang 5,293 mm, lebar 1,988 mm, tinggi 1,785 mm dengan jarak antara roda melebihi tiga meter (3,160 mm).

Untuk permulaan, Xpeng X9 ini boleh didapati dalam konfigurasi motor elektrik tunggal (315 hp), atau motor elektrik berkembar (496 hp).

Selain itu, X9 juga didatangkan dengan dua pilihan kapasiti pek bateri, iaitu pek bateri lithium iron phosphate 84.5 kWh dengan jarak gerak 610 km, atau versi Li-ion ternary 101.5 kWh dengan jarak gerak sejauh 702 km (640 km untuk versi motor elektrik berkembar).


Antara ciri unik yang wujud pada X9 ialah ruang kargo sebesar 2,554 liter, sistem suspensi udara, serta sistem stereng gandar belakang yang membolehkan minivan ini mencapai diameter putaran sekecil 10.8 meter – terkecil di dalam kelasnya.

Papan pemuka X9 tampil dengan rekaan yang minimalis, di mana terdapat skrin kluster digital yang kecil, diikuti dengan skrin infohibur jenis terapung di bahagian tengah, serta kehadiran slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar.

Penumpang baris kedua pula boleh menikmati tempat duduk graviti sifar, serta paparan media menerusi skrin sebesar 21.4 inci, diikuti dengan peti sejuk yang mampu ditetapkan suhu antara 0-50 darjah Celcius.

EV: Toyota banyak belajar dari BYD

Tidak seperti kebanyakan pengeluar utama, Toyota masih lagi disifatkan agak ketinggalan di dalam medan permainan kenderaan elektrik (EV).

Cuma pada tahun ini, Toyota dilihat bangkit dengan beberapa pengumuman besar seperti pengenalan teknik produksi giga casting, bateri dengan jarak gerak yang lebih jauh, serta 10 buah EV yang bakal muncul pada tahun 2026.

Kesemua ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa kerjasama erat antara Toyota dan pengeluar EV dari China – BYD.

Dalam satu temubual oleh Toyota Times, presiden kilang BEV Toyota Takero Kato menjelaskan beliau terkejut dengan apa yang berlaku dalam industri automotif China sewaktu melakukan trip perniagaan ke sana.


“Untuk pertama kali, saya melihat sendiri tahap persaingan di China. Di sana, mereka tidak sekadar belajar dan menggunakan teknologi, malah turut pantas mengubah teknik pengeluaran.

“Setelah melihat peralatan pengeluaran yang saya tidak pernah lihat di Jepun serta teknik pembuatan yang canggih, saya berfikir ‘Kita dalam masalah!'”

Panggilan ‘wake-up‘ itu muncul apabila Toyota mula menjalankan kerjasama dengan BYD untuk sedan elektrik bZ3 yang menggunakan platform e-TNGA dan bateri Blade daripada BYD.

Pembangunan sedan elektrik bZ3 juga turut membuka mata Kato terhadap budaya yang diamalkan dalam BYD.


“Untuk model terdahulu, spesifikasi kenderaan akan dimuktamadkan sebelum pembangunan bermula.

“Namun untuk bZ3, kami telah membuat 13 perubahan besar dan banyak perubahan kecil selepas pembangunan dimulakan.

“Perubahan paling besar ialah kami terpaksa merendahkan tinggi sebanyak 25 mm dan mengubah kembali jarak antara roda, jadi struktur keseluruhan bawah badan perlu dibangunkan semula. Di Jepun, keadaan ini boleh menghentikan proses pembangunan sepenuhnya.

“Namun begitu, semua pihak bersetuju dengan perubahan tersebut, disebabkan kami komited untuk menghasilkan sebuah produk yang boleh membuatkan pelanggan gembira.

GAC Aion Hyper HT 2024, pintu ala Model X, jarak gerak 770 km

Tesla Model X mungkin sekali SUV elektrik canggih idaman ramai yang sukar untuk dimiliki kebanyakan orang, disebabkan harga jualan yang agak mahal.

Namun, pengguna di China kini boleh mendapatkan model alternatif pada harga yang jauh lebih murah.

GAC Aion Hyper HT 2024 yang anda lihat ini merupakan pendatang baharu di dalam segmen EV, dihasilkan oleh GAC Aion.


Di China, terdapat enam varian ditawarkan, masing-masing dengan nama yang sangat panjang.

Varian asas dimulakan dengan model RWD Technology Version, di mana ia mempunyai motor elektrik tunggal pacuan belakang berkuasa 241 hp dan 355 Nm, dan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat.

Pek bateri 72.7 kWh membolehkan SUV ini bergerak sejauh 600 km.

Sebuah lagi varian RWD menyokong fungsi penukaran bateri, di mana ia hanya dilengkapi dengan pek bateri yang lebih kecil (70 kWh), dengan jarak gerak maksimum 550 km.


Tiga varian pertengahan (RWD High-Voltage Version, RWD High-Voltage NDA Version, dan RWD Gull-Wing Doors High-Voltage NDA Version) mendapat kelengkapan yang lebih berkuasa – pek bateri 80 kWh dengan jarak gerak 670 km, dan motor elektrik 340 hp dan 440 Nm.

Varian tertinggi RWD Gull-Wing Doors High-Voltage Max Version pula mengekalkan motor elektrik 340 hp dan pecutan 0-100 km/j dalam 5.8 saat.

Cuma ia dibekalkan dengan pek bateri 93 kWh yang mampu membenarkan jarak gerak sejauh 770 km untuk sekali cas penuh.

Harga jualan Hyper HT ini bermula dari 213,900 yuan (RM138,253) untuk versi asas, sehinggalah 329,900 yuan (RM213,229) untuk varian tertinggi.

Renault Twingo Prototype – EV mampu milik, mula dijual 2026

RENAULT baru-baru ini memperlihatkan sebuah model serba baharu Twingo Prototype yang dijangka akan mula dijual pada tahun 2026.

Twingo baharu ini akan menjadi sebuah kereta elektrik mampu milik, dengan rekaan dan rupa paras yang diinspirasikan daripada model asal Twingo era 90-an.


Selain berkongsi bentuk yang hampir serupa, muka hadapan Twingo EV ini merupakan pendekatan yang lebih moden terhadap muka asal Twingo yang sememangnya sangat comel itu.

Malah, struktur tiga liang ventilasi yang wujud pada hud enjin model ori turut disertakan pada model baharu ini, dengan rekaan yang lebih garang.

Buat masa ini, spesifikasi penuh Renault Twingo EV masih lagi dirahsiakan, namun Renault menjanjikan angka kecekapan sekitar 10 km/kWh, jauh lebih cekap berbanding Ioniq 6 (6.8 km/kWh).

Menurut Renault, Twingo EV ini akan dijual tahun 2026 dengan tanda harga bermula bawah €20,000 (~RM102k), menjadikannya salah satu pesaing kepada EV jenama China yang semakin meningkat banyak masa kini.