Porsche Malaysia menerusi Sime Darby Auto Performance melancarkan varian terbaharu SUV Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé 2025 untuk pasaran tempatan.
Selaku model pemasangan tempatan (CKD), ia juga merupakan model kedua yang dipasang di sini, dan model pemasangan pertama untuk eksport serantau.
Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé ini dikuasakan oleh enjin 3.0 liter bentangan V6 turbo, menghasilkan kuasa 519 PS/750 Nm atau 49 PS lebih berkuasa berbanding model Cayenne E-Hybrid.
Pecutan 0-100 km/j mengambil masa 4.7 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 263 km/j.
Pek bateri 26 kWh pula membenarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 90 km tanpa menggunakan setitik petrol.
Antara kelengkapan standard pada Cayenne S E-Hybrid Coupé termasuklah sistem gantungan udara adaptif lengkap dengan Porsche Active Suspension Management (PASM), unit lampu LED Matriks HD, rim bersaiz 20 inci serta pilihan warna istimewa Carrara White Metallic, Chromite Black Metallic dan Dolomite Silver Metallic tanpa kos tambahan.
Untuk ruang kabin, model ini dilengkapi dengan roda stereng GT Sports, pakej Sport Chrono berserta jam Porsche Design, sistem audio Bose Surround Sound, sistem pengion udara kabin, tempat duduk dengan larasan 14 tahap yang lengkap dengan fungsi memori, serta penghadang cahaya matahari untuk tingkap belakang.
Terdapat juga skrin kluster melengkung sebesar 12.6 inci baharu, skrin infohibur 12.3 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sementara tuil penukaran gear kini diposisikan di bahagian kiri stereng pada papan pemuka.
Selain itu, pembeli juga boleh memilih upholsteri kulit dalaman dengan warna hitam atau Bordeaux Red, dan memasang Rear Seat Entertainment yang lengkap dengan dua unit skrin tambahan untuk penumpang belakang.
Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé sudah boleh ditempah menerusi Porsche Centre berhampiran (Ara Damansara, Sungai Besi, Pulau Pinang dan Johor Bahru), dengan harga jualan bermula dari RM728,000.
Menurut Christopher Hunter selaku CEO Sime Darby Auto Performance, “sejak penubuhan fasiliti pemasangan tempatan di Malaysia pada tahun 2022, Porsche telah mencapai beberapa peristiwa penting yang menonjolkan kepentingan dalam pasaran ini.
“Dalam tempoh satu tahun, lebih daripada 1,000 unit Cayenne pemasangan tempatan telah dihantar kepada pelanggan di Malaysia, menunjukkan permintaan dan kepercayaan yang kukuh terhadap jenama Porsche.
“Pada tahun 2024, kami menandakan satu lagi pencapaian penting menerusi pelancaran model Cayenne pemasangan serantau pertama untuk pasaran Thailand, mengukuhkan lagi komitmen kami untuk menjadi rakan pemasangan Porsche di rantau ini,” ujarnya lagi.
Lynk & Co 900 merupakan sebuah SUV mewah dengan konfigurasi enam tempat duduk yang bakal memasuki pasaran China pada bulan Mac ini.
Dibina menggunakan platform SPA Evo, 900 membawakan ukuran sepanjang 5,240 mm, lebar 1,999 mm, tinggi 1,810 mm dengan jarak antara roda melebihi tiga meter (3,160 mm).
Secara luarannya, SUV ini berkongsi elemen rekaan yang wujud pada mana-mana model Lynk & Co (serta Zeekr).
Seperti contoh, unit lampu nyalaan siang LED yang tajam, diikuti dengan unit lampu utama yang diposisikan rendah pada bahagian bampar.
Daripada sudut pandang sisi, Lynk & Co 900 menerapkan elemen yang diinspirasikan daripada Range Rover, sementara bahagian belakang pula tampil dengan unit pencahayaan yang lebih ringkas.
Terdapat tiga pilihan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) yang ditawarkan kepada pembeli.
Varian asas Lynk & Co 900 ini hadir dengan enjin 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan dua motor elektrik (215 hp depan/308 hp belakang), menghasilkan kuasa keseluruhan 710 hp.
Terdapat juga pilihan enjin 2.0 liter turbo, di mana versi pertama dipadankan dengan motor elektrik 165 hp di depan, diikuti dengan motor elektrik 308 hp pada gandar belakang, dengan jumlah kuasa keseluruhan mencecah 724 hp.
Versi paling bertenaga pula dibekalkan dengan tiga motor elektrik, terdiri daripada motor hadapan 165 hp dan sepasang motor elektrik berkuasa 215 hp untuk gandar belakang, menghasilkan kuasa 845 hp!
Varian paling bertenaga itu dikatakan mampu memecut sepantas empat saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j.
Ruang kabin Lynk & Co 900 ini membawakan susun atur papan pemuka yang agak unik.
Untuk pemandu disediakan skrin kluster digital 12.66 inci yang agak kecil, namun untuk penumpang hadapan disediakan skrin terapung sebesar 30 inci dengan resolusi paparan 6K.
Selain itu, terdapat dua slot pengecasan tanpa wayar, sistem pencahayaan ambien, serta perehat tangan terapung pada panel
pintu.
Untuk penumpang baris kedua disediakan skrin kecil pada konsol tengah, dan skrin paparan 6K sebesar 30 inci yang boleh disembunyikan pada bahagian alas bumbung.
Buat masa ini, harga jualan bagi model SUV Lynk & Co 900 ini masih belum diumumkan.
Boon Siew Honda mengumumkan empat warna baharu tersedia untuk motosikal kapcai Honda Wave Alpha 2025, iaitu perak, biru, merah dan juga hitam.
Honda Wave Alpha 2025 ini boleh didapati di semua pengedar Impian X serta pengedar Honda yang sah di seluruh negara bermula 6 Januari 2025.
Harga jualan bermula dari RM5,309 untuk varian berwarna perak, biru dan merah, serta RM5,259 untuk varian berwarna hitam.
Dari segi spesifikasi, Wave Alpha kekal dengan enjin silinder tunggal sejukan udara 109.2 cc berkuasa 8.7 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 8.7 Nm @ 5,500 rpm, dipadankan dengan transmisi 4-kelajuan.
Motosikal ini menggunakan fork hadapan teleskopik, diikuti dengan penyerap hentak berkembar di belakang, sementara sistem brek pula terdiri daripada brek cakera hadapan dan brek dram mekanikal di belakang.
Ia menawarkan tangki bahan api sebesar 4.0 liter, dengan ruang barangan bawah pelana sebesar 7.3 liter, tinggi pelana sekitar 768 mm dan tempat duduk yang lebih lebar.
Volvo Car Malaysia membuka tempahan bagi model SUV elektrik Volvo EX30 versi pemasangan tempatan (CKD).
Untuk model tahun 2025, Volvo EX30 kini tersedia dalam dua varian, iaitu Ultra (RM208,888) dan Ultra Twin Performance (RM228,888) dengan tiga pilihan warna iaitu Cloud Blue, Vapour Grey dan Crystal White.
Penghantaran unit pertama dijangka akan dibuat pada minggu kedua bulan Januari 2025.
Dari segi spesifikasi, Volvo EX30 Ultra dikuasakan motor elektrik tunggal 272 PS/343 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat.
Sementara Volvo EX30 Ultra Twin Performance pula didatangkan tetapan motor elektrik berkembar berkuasa 428 PS dan 543 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.6 saat sahaja.
Kedua-dua varian datang dengan pek bateri NMC 69 kWh, dengan jarak gerak sejauh 450 km untuk versi Ultra Twin Performance, dan mampu mencecah 476 km untuk versi Ultra.
Pengecasan pantas DC 175 kW membolehkan pek bateri dicas 10-80 peratus dalam masa 28 minit sahaja.
Setiap Volvo EX30 disokong dengan jaminan kenderaan selama lima tahun/tanpa had perbatuan, serta jaminan bateri bervoltan tinggi selama 8 tahun/160,000 km.
Volvo Car Malaysia juga menyediakan Pelan Servis Volvo (VSP) meliputi perkhidmatan penting seperti penggantian penapis udara kabin, pemeriksaan bendalir brek, bilah pengelap cermin, kemas kini perisian sehingga lima tahun/100,000 km, termasuk komponen seperti pelapik brek dan cakera brek untuk ketenangan minda pemilik.
Pelanggan juga akan dilindungi di bawah program bantuan tepi jalan 24 jam selama lima tahun, memastikan perkhidmatan tunda ke pusat servis Volvo yang sah terdekat.
Dengan pakej harga dan rupa paras yang sangat mencuri tumpuan (ada pihak yang berpendapat macam Range Rover), Jaecoo J7 berjaya mencipta fenomena yang tersendiri di pasaran Malaysia.
Model Jaecoo J7 ini mula dipertontonkan pada awal tahun 2024, sebelum ia dilancarkan secara rasmi beberapa bulan berikutnya dengan membawakan tanda harga bermula dari RM138,800 untuk versi pacuan dua roda, dan RM148,800 untuk versi AWD.
Semenjak pelancaran rasmi, kita sendiri dapat melihat kelibat model SUV ini di mana-mana, cukup popular bak pisang goreng panas sehinggakan model jenama tempatan tenggelam seketika.
Mungkin ramai yang tertarik dengan rupa luaran yang cukup elegan itu, tidak kurang juga yang mahukan keupayaan pemanduan off-road yang ditawarkan pada Jaecoo J7.
Untuk menyiasat apakah punca sebenar populariti SUV ini, kami berjaya mendapatkan unit ujian Jaecoo J7 untuk dipandu uji selama satu minggu, dan ini merupakan pendapat kami:
1. Harga bawah RM150,000 untuk sebuah ‘Range Rover’, siapa taknak?
Kami akui setelah melihat Jaecoo J7 dengan lebih dekat, ia sememangnya mempunyai aura yang membuatkan ramai menganggapnya sebagai model Range Rover versi ‘marhaen’.
Terutama apabila dilihat dari sudut sisi.
Dengan pakej rupa yang nampak mewah, Jaecoo J7 dilihat dapat memenuhi idaman sesetengah pihak yang mahukan sebuah SUV dengan imej yang premium tanpa mengorbankan akaun bank.
2. Jaecoo J7 versi 2WD, cukup ke?
Kami diberikan unit Jaecoo J7 varian pacuan dua roda (2WD) hadapan untuk dipandu uji.
Dua perbezaan yang ketara antara model ini dengan model varian AWD sudah pasti sistem pacuan dan mod pemanduan yang disertakan.
Jaecoo J7 2WD hanya disediakan tiga mod pemanduan sahaja, iaitu Eco, Normal dan Sport, berbanding sehingga tujuh mod pemanduan untuk varian AWD (tambahan Sand, Mud, Off-road & Snow).
Namun begitu, keupayaan kedua-dua varian masih lagi sama, seperti jarak kelegaan tanah setinggi 200 mm serta boleh meredah air sedalam 600 mm.
Bagi mereka yang tidak mementingkan sangat keupayaan pemanduan off-road, versi 2WD sudah lebih daripada memadai.
Kami sendiri berpeluang untuk menguji kemampuan SUV ini meredah banjir kilat di kawasan Klang, dan ia masih lagi mampu bergerak dengan cemerlang melintasi beberapa buah kereta yang tidak berani yang sedang menunggu air surut.
Talaan suspensi Jaecoo J7 juga tidak mengecewakan apabila sekali sekala pemandu membawa SUV ini meredah jalan kampung yang tidak bertar, di mana ia masih lagi boleh dikawal dengan baik dan dalam masa yang sama mengekalkan aspek keselesaan yang tersendiri.
3. Enjin bertenaga
Menggerakkan SUV ini ialah nadi empat silinder sebaris 1.6 liter turbo menghasilkan kuasa setinggi 194 hp dan daya kilas 290 Nm.
Dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan Getrag, Jaecoo J7 boleh memecut sepantas 9.2 saat dari 0-100 km/j.
Dari segi pemanduan, Jaecoo J7 tidak memberikan masalah besar untuk meluncur laju dan dalam masa yang sama menawarkan pemanduan yang stabil dan selesa pada kelajuan yang tinggi.
Cuma, secara lalainya Jaecoo J7 akan bermula dengan mod pemanduan Eco setiap kali punat pandu mula ditekan, dan anda harus menukarkannya kepada mod Normal untuk pemanduan mula yang lebih lancar.
Ini kerana di dalam mod Eco, kami dapat rasakan pemanduan permulaan yang tidak begitu enak, dan ada kalanya rasa macam ia seakan malas untuk pergi.
4. Kabin minimalis
Pendekatan yang ringkas pada bahagian luar turut diteruskan untuk rekaan ruang kabin yang lebih minimalis namun dalam masa yang sama membawakan atmosfera yang ‘rasa’ premium.
Skrin tengah bersaiz 13.2 inci itu menempatkan segala macam fungsi dan tetapan termasuklah kawalan pendingin hawa dan segala macam fungsi keselamatan yang boleh diubah.
Berita baiknya, untuk menaikkan atau menurunkan suhu kabin anda hanya perlu menekan butang yang terdapat pada konsol tengah untuk membuka menu kawalan pendingin hawa, tanpa perlu tercari-cari menu tersebut terutama setelah menu Apple CarPlay/Android Auto terpapar.
Walaupun tempat duduk hadapan tidak ditawarkan dengan fungsi larasan yang lebih menyeluruh, tapi kami amat hargai kerana ia menyediakan dimensi kusyen yang mampu menyokong bahagian bawah kaki.
Jadi, sepanjang perjalanan kami tidak rasa terlalu penat.
Menemani sepanjang pemanduan ialah alunan bunyi yang cukup sedap dan mengasyikkan memasuki gegendang telinga yang terhasil daripada lapan unit pembesar suara buatan Sony.
Ada beberapa perkara lagi yang kami suka, terutama skrin kluster digital yang masih mempunyai pilihan paparan grafik meter analog, skrin paparan head-up yang jelas dan mudah untuk dibaca, serta pemilihan kemasan upholsteri yang ada rasa premium.
Untuk tempat duduk belakang pula disediakan dua larasan sudut sandaran.
5. Pemanduan
Selain daripada rupa paras yang cukup hensem itu, Jaecoo J7 sebenarnya amat seronok untuk dipandu.
Bukan sahaja disebabkan ia mampu menarik perhatian umum, akan tetapi aspek kawalan pengendalian dan keselesaan yang ditawarkan.
Tetapan suspensi jenis topang MacPherson di hadapan dan tetapan Multi-Link di belakang sedikit sebanyak menyumbang kepada pengendalian yang baik di laluan yang berselekoh, dibantu dengan respons stereng yang cukup rasa dan perisa.
Lebih penting, aspek NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) dirasakan pada tahap yang minimum, membuatkan penumpang di sebelah boleh lelap dengan tenang tanpa gangguan yang ketara.
Dari sudut pandang pemandu, cermin hadapan Jaecoo J7 ini menawarkan medan penglihatan yang luas, dibantu dengan cermin sisi yang lebih praktikal untuk sebuah SUV bersaiz besar ini.
Jadi kebanyakan masa, penulis lebih gemar bergantung sepenuhnya kepada ciri fizikal ini, dan hanya menggunakan paparan kamera keliling untuk memastikan tiada sebarang objek di sekeliling kenderaan semasa memposisikan kereta di dalam kotak parkir.
6. Praktikaliti
Selain daripada kabin yang menawarkan ruang kaki dan kepala yang cukup luas untuk penumpang hadapan dan belakang, Jaecoo J7 menyediakan ruang kargo yang cukup besar.
Ruang sebesar 412 liter itu sudah cukup memadai untuk memuatkan apa jua barangan keperluan, dan boleh dibesarkan sehingga 1,349 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Tidak cukup dengan itu, Jaecoo J7 juga masih lagi mempunyai ruang untuk memuatkan tayar simpanan saiz penuh!
7. Ciri keselamatan menyeluruh
Dari segi keselamatan pula, Jaecoo J7 tidak lokek dengan bermacam fungsi termasuklah sistem brek kecemasan autonomi, amaran pelanggaran hadapan, amaran keluar lorong, pengelakan keluar lorong, sistem amaran pergerakan kenderaan hadapan, serta kawalan jelajah adaptif.
Terdapat juga amaran pelanggaran belakang, amaran lintasan trafik belakang, sistem pemantauan titik buta, serta tidak ketinggalan sistem pemantauan keliling dengan sudut sehingga 540 darjah.
Untuk memastikan pemanduan anda sentiasa selamat, Jaecoo J7 dilengkapi dengan peringatan had kelajuan, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) yang sangat berguna itu.
Secara kesimpulannya, Jaecoo J7 boleh menjadi satu alternatif kenderaan pemanduan seharian jika anda sudah bosan dengan penawaran SUV yang ada di pasaran, dan mahukan sebuah kereta dengan imej premium yang boleh menarik perhatian ramai umat.
Harganya juga tidaklah begitu keras sehingga mampu membuatkan poket anda rasa kosong setiap bulan.
Tidak salah rasanya untuk berubah fikiran dan memandu pulang model ini, apatah lagi dengan pakej rupa dan spesifikasi lengkap yang ditawarkan untuk pasaran kita.
Spesifikasi Jaecoo J7 2WD (RM138,800)
Enjin: Empat silinder sebaris 1.6 liter turbo
Kuasa: 194 hp, 290 Nm
Transmisi: klac berkembar automatik, tujuh-kelajuan
Pacuan: Roda hadapan
Pecutan: 9.2 saat (0-100 km/j)
Sebagai seorang ketua keluarga yang mahu mencari sebuah kereta/SUV yang selesa dan sarat dengan bermacam kelengkapan moden, sudah pasti beberapa model buatan Jepun dan China sudah tersenarai untuk dipertimbangkan.
Selain daripada SUV daripada jenama Jepun yang cukup terkenal dengan tahap kebolehpercayaan yang baik, kita juga kini mempunyai pilihan SUV keluarga buatan China yang jauh lebih murah dan menawarkan spesifikasi keselamatan yang lebih moden.
Namun, mungkin ramai yang terlupa kita juga sebenarnya mempunyai sebuah lagi model SUV keluarga yang datang daripada jenama negara Korea Selatan – Hyundai Santa Fe Hybrid.
Diperkenalkan secara rasmi (dan senyap) pada bulan September tahun lepas, Hyundai Santa Fe Hybrid versi facelift boleh diposisikan sebagai satu alternatif untuk mereka yang mahukan kelainan dan lari daripada kebiasaan pilihan pengguna di Malaysia.
Dengan harga jualan RM215,800, adakah Hyundai Santa Fe Hybrid ini jauh lebih baik berbanding model pesaing? Berikut merupakan ulasan pemanduan ringkas kami setelah memandunya untuk tempoh yang singkat:
1. Facelift – bukan sekadar perubahan rupa paras
Untuk makluman, Santa Fe Hybrid ‘baru’ yang dilancarkan beberapa bulan lepas bukanlah sebuah model generasi baharu.
Ia berstatus model facelift, dengan rupa hadapan yang telah dikemaskini dengan struktur jeriji yang lebih lebar, serta unit lampu LED seakan grafik tukul besi yang sinonim dengan model Volvo yang mampu membuatkan banyak kepala tertoleh setelah melihat kelibat model ini di atas jalan raya.
Di bahagian belakang, unit lampu LED diberikan nafas baharu dengan corak geometri yang lebih elegan, diikuti dengan kehadiran bar LED melintang yang menghubungkan kedua-dua perumah lampu itu tadi.
Ya, Santa Fe ini merupakan sebuah model facelift, namun perubahan besar sebenarnya tersembunyi di sebalik rupa paras yang elegan itu, di mana ia menggunakan platform serba baharu yang telah dipertingkatkan aspek keselamatan, pengendalian, penggunaan bahan api, serta NVH yang jauh lebih baik.
Sangat jarang ya untuk sesebuah model facelift hadir dengan platform baharu sepenuhnya.
2. Kelengkapan ruang kabin
Salah satu perkara penting yang amat diperlukan untuk sebuah kereta keluarga yang selesa ialah ruang kabin yang luas dan selesa.
Santa Fe Hybrid ini mampu memenuhi keperluan dengan penawaran tempat duduk yang selesa untuk baris kedua dan ketiga, serta ruang kargo yang boleh dimaksimumkan kapasitinya untuk pelbagai jenis kegunaan.
Ciri yang paling kami suka ialah tempat duduk baris ketiga yang boleh dilipat dengan hanya menekan butang fungsi yang disediakan, serta kehadiran corong pendingin hawa berasingan untuk memastikan penumpang baris belakang kekal selesa sepanjang perjalanan.
Bukan itu sahaja, terdapat juga kemudahan port pengecasan USB serta soket kuasa yang boleh digunakan untuk mengecas perkakasan elektronik serta peranti pintar.
Untuk pemandu pula, Santa Fe Hybrid menyediakan skrin kluster digital dengan pilihan paparan grafik meter analog yang mudah untuk dibaca, serta skrin infohibur sebesar lapan inci yang lengkap dengan sokongan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar.
Konsol tengah pula telah ditinggikan supaya ia boleh berfungsi sebagai tempat rehat tangan yang lebih selesa selain menyediakan ruang barangan tersembunyi di bahagian kaki.
Selain itu, penggunaan butang PRND yang lebih ringkas bagi menggantikan tombol penukaran gear transmisi menjadikan ruang kokpit nampak lebih lapang.
Gugusan butang fungsi bersaiz besar pula memudahkan urusan untuk mengubah tetapan seperti sistem pendingin hawa, mod pemanduan, atau sekadar memastikan penumpang hadapan tidur dengan lebih selesa dengan adanya fungsi pemanas dan pengudaraan terbina untuk tempat duduk.
Ya, susun atur kabin Santa Fe tidaklah seminimalis kereta-kereta moden yang lebih muda usianya, namun ia tidak membuatkan kami untuk merungut dengan lebih panjang terutama ketika sedang mencari atau mengubah fungsi yang diinginkan.
3. Enjin hibrid yang sangat jimat minyak
Santa Fe Hybrid yang kami pandu uji ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris Smartstream G1.6 T-GDI menghasilkan 180 PS @ 5,500 rpm dan daya kilas 265 Nm @ 1,500-4,400 rpm.
Enjin ini dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 60 PS dan 264 Nm, menjadikan kuasa keseluruhan mencecah 230 PS dan 350 Nm.
Bukanlah SUV yang paling berkuasa macam kereta sports, akan tetapi ia sudah cukup baik untuk menggerakkan badannya yang agak besar ini.
Dari segi pemanduan, Santa Fe Hybrid menawarkan pecutan awal yang cukup bertenaga untuk memalukan kereta acah sports di sebelah, dan dalam masa yang sama turut memberikan pulangan bacaan penggunaan bahan api yang cukup jimat.
Kami tidak sempat untuk menghabiskan satu tangki penuh 67 liter RON95 Santa Fe Hybrid ini disebabkan oleh kekangan masa yang terlalu singkat, namun menurut Hyundai SUV ini boleh bergerak sejauh 1,000 km sebelum perlu membuat pengisian semula.
Pemanduan singkat kami hampir mencecah jarak 300 km, tapi jarum tolok minyak hanya turun sedikit sahaja.
4. Pemanduan dan keselesaan
Salah satu kelebihan yang wujud pada Santa Fe Hybrid ialah keupayaan untuk bergerak di dalam mod pemanduan elektrik pada kelajuan yang rendah, dan untuk jumlah jarak yang agak jauh juga sebenarnya.
Ini merupakan salah satu faktor di mana SUV ini sangat menjimatkan bahan api, di mana kebanyakan masa di dalam bandar hanya motor elektrik sahaja yang bekerja dan sekali sekala enjin 1.6 liter turbo itu beroperasi hanya untuk memastikan bateri 1.49 kWh itu mempunyai tenaga yang mencukupi.
Selain itu, di dalam mod EV Santa Fe Hybrid ini tidak bergerak dalam keadaan senyap sepenuhnya, di mana ia menghasilkan satu bunyi amaran yang futuristik untuk memberitahu pejalan kaki tentang kewujudannya di atas jalan raya.
Apa yang kami boleh puji pada SUV hibrid ini ialah aspek pemanduan dan pengendalian yang jauh lebih baik berbanding SUV buatan China.
Kenapa kerap kami tekankan tentang talaan sistem stereng dan suspensi yang baik? Semuanya ini akan memberikan kesan kepada keselesaan pemandu dan juga penumpang.
Dengan sistem stereng yang cukup responsif dan tidak terlalu palsu operasinya, pemandu tidak akan rasa terlalu penat setelah menempuh jarak perjalanan yang jauh.
Talaan suspensi yang sedikit keras menjadikan pengendalian di selekoh lebih meyakinkan, namun dalam masa yang sama ia masih lagi bekerja dengan baik untuk ‘menapis’ segala kekasaran yang wujud di jalan raya Malaysia yang tercinta ini. Hasilnya, perjalanan yang cukup selesa tanpa mengira apa jua kualiti jalan yang ditempuh.
Yang paling ketara ialah aspek NVH, di mana sukar untuk kami rasakan sebarang kekasaran, gegaran serta bunyi bising yang wujud di dalam ruang kabin.
Walaupun enjin turbo itu beroperasi sekali sekala terutama ketika kaki kanan menekan rapat ke lantai, bunyi enjin tersebut tidaklah ketara memasuki ruang kabin. Penukaran antara operasi enjin dan motor elektrik juga sangat lancar, dan ada kalanya sukar untuk kami mengesannya.
5. Ciri keselamatan
Secara standard, Hyundai Santa Fe Hybrid dilengkapi dengan sistem bantuan keselamatan termaju (ADAS) Hyundai SmartSense Tahap 2, menawarkan sokongan pemanduan semi-autonomi untuk memastikan pemanduan yang lebih selamat dan meyakinkan.
Ciri unik yang kami suka pada Hyundai Santa Fe Hybrid ini sudah pasti paparan informasi titik buta (BVM), di mana paparan titik buta sebelah kiri atau kanan akan dipaparkan pada skrin kluster digital untuk membantu membuat penukaran lorong dengan selamat.
Apa yang kami hargai sangat tentang fungsi ini ialah ia hanya memberikan paparan informasi yang diperlukan oleh pemandu untuk mengesan kehadiran objek dari arah belakang dan bukannya pandangan perspektif mata burung yang sangat tidak membantu.
Satu lagi ciri penting yang wujud untuk pengguna yang berkeluarga ialah Rear Occupant Alert untuk memastikan anda tidak terlupa anak-anak yang kecil duduk di belakang sewaktu hendak meninggalkan kenderaan di tempat parkir, terutama di bawah keadaan cuaca yang panas terik.
6. Harga yang mungkin di luar bajet
Biarpun hadir dengan bermacam-macam kelebihan berbanding model pesaing, satu kelemahan ketara yang ada pada Santa Fe Hybrid ini ialah harga jualannya yang mungkin di luar kemampuan sesetengah pihak.
Dengan harga RM215,800, tidak ramai yang fikir ia satu pembelian yang kena dengan bajet semasa.
Bahkan dengan harga yang lebih murah, anda sebenarnya boleh mendapatkan model SUV tiga baris tempat duduk bukan hibrid seperti Mazda CX-8 atau Chery Tiggo 8 Pro, ataupun SUV hibrid ringan seperti Proton X90.
Untuk mereka yang mempunyai ahli keluarga yang kecil, masih lagi wujud pilihan SUV hibrid dengan konfigurasi lima tempat duduk seperti Toyota Corolla Cross HEV, Haval H6 HEV ataupun Honda CR-V e:HEV.
Namun untuk mereka yang berkeupayaan dan mahukan kelainan, Hyundai Santa Fe Hybrid ini masih lagi mampu menjadi satu pembelian yang boleh buatkan anda tersenyum, dan dihargai oleh seisi keluarga.
Spesifikasi Hyundai Santa Fe Hybrid
Enjin: Smartstream G1.6 T-GDI
Kuasa: 180 PS @ 5,500 rpm, 265 Nm @ 1,500-4,400 rpm
Motor elektrik: 60 PS, 264 Nm
Kuasa keseluruhan: 230 PS, 350 Nm
Transmisi: Automatik 6-kelajuan
Bersempena dengan penganjuran majlis penutup Toyota Gazoo Racing musim ketujuh, UMW Toyota Motor melancarkan tiga model berprestasi tinggi untuk pasaran Malaysia, iaitu GR Yaris 2025, GR Corolla 2025 dan sedan Corolla GR Sport 2025.
Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, “Pemanduan bukan sekadar bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain, tetapi satu pengalaman penuh emosi yang menghubungkan jiwa dengan jalan raya, dan menghidupkan rasa gembira dalam setiap perjalanan.
“Dengan pelancaran model GR dan GR Sport, Toyota meneruskan legasinya dengan mengangkat pengalaman memandu ke tahap yang luar biasa. Dibangunkan dengan semangat prestasi, model ini direka khas untuk memberi inspirasi dan keterujaan kepada setiap rakyat Malaysia.”
Toyota GR Yaris 2025 facelift
Hot hatch yang lahir dari penglibatan Toyota di dalam sukan WRC ini masih lagi dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris 1.6 liter turbo yang mampu menjana kuasa 300 PS dan 400 Nm.
Untuk pasaran Malaysia, ia masih lagi ditawarkan dalam versi manual enam nisbah kelajuan serta sistem pacuan semua roda GR-Four.
Prestasi enjin ditambah baik dengan kehadiran sub-radiator dan sistem semburan intercooler untuk operasi optimum di bawah tekanan ekstrem.
Difahamkan, GR Yaris versi transmisi automatik lapan nisbah kelajuan (DAT) dijangka akan menyusul kemudian.
Perubahan pada bahagian luaran melibatkan struktur bampar hadapan serba baharu lengkap dengan jeriji Functional Matrix Ver. 2 yang mampu memaksimumkan aliran udara dan penyejukan, diikuti dengan unit lampu belakang baharu, sistem ekzos serta diffuser.
Sementara untuk ruang kabin, susun atur papan pemuka diberikan nafas baharu sepenuhnya yang menerapkan eleman daripada sukan perlumbaan rali dan Super Taikyu Series.
Berbanding GR Yaris yang terdahulu, panel kawalan dan skrin paparan telah diposisikan pada sudut 15 darjah yang mampu memudahkan pemandu mencapai fungsi yang diinginkan.
Bukan itu sahaja, posisi pemanduan telah ditambah baik, di mana pemandu kini duduk 25 mm lebih rendah serta cermin pandang belakang telah ditinggikan.
Selain itu, terdapat juga skrin kluster digital penuh TFT bersaiz 12.3 inci.
GR Yaris 2025 facelift dijual pada harga RM315,600.
Toyota GR Corolla 2025 facelift
Sama seperti hot hatch GR Yaris, GR Corolla facelift juga dikuasakan oleh enjin tiga silinder G16E-GTS menghasilkan kuasa 300 PS dan 400 Nm, dipadankan dengan kotak gear manual 6-kelajuan dan sistem pacuan semua roda GR-Four.
Aspek pemanduan GR Corolla dipertingkatkan dengan sistem gantungan yang telah dinaiktaraf – memberikan manfaat dari segi kadar cengkaman, ketangkasan dan kestabilan yang lebih baik.
Dari segi aerodinamik pula, GR Corolla telah diberikan rekaan bampar serba baharu untuk aliran udara yang lebih optimum, sementara gerbang roda juga dilebarkan untuk imej yang lebih berani.
Imej hot hatch yang diinspirasikan daripada sukan rali ini disempurnakan dengan kemasan dalaman yang turut dikemas kini dengan tempat duduk khusus untuk pemanduan berprestasi, kemasan gun-metallic, skrin paparan tengah 9 inci, serta skrin kluster digital 12.3 inci.
Terdapat beberapa pilihan warna menarik seperti Platinum White Pearl Mica, Precious Black, Precious Metal dan Emotional Red 2.
Toyota GR Corolla 2025 dijual pada harga bermula RM367,000.
Toyota Corolla GR Sport 2025
Sebuah lagi model yang dilancarkan ialah sedan Corolla GR Sport 2025, pilihan yang lebih praktikal dan sporti dalam masa yang sama.
Sedan segmen C ini masih lagi dikuasakan oleh enjin 1.8 liter menghasilkan 139 PS dan 172 Nm, namun dengan transmisi CVT Sport Sequential Shiftmatic 10-kelajuan maya.
Dari segi penampilan, Corolla GR Sport membawakan skema warna dua tona, diikuti dengan jeriji khas GR Sport berserta corak heksagon, aksen aerodinamik pada bampar, rim aloi GR Sport 18 inci, diikuti dengan spoiler belakang.
Masuk ke dalam ruang kabin, Corolla GR Sport membawakan tempat duduk balutan suede dan kulit premium, roda stereng GR, skrin tengah bersaiz 10 inci lengkap dengan Apple CarPlay dan Android Auto.
Sedan ini tersedia dalam beberapa pilihan warna dua tona termasuklah Platinum White Pearl Mica, Red Mica Metallic dan Attitude Black Mica.
Toyota Corolla GR Sport 2025 dijual pada harga bermula RM149,800.
Sedar ataupun tidak, Vios Challenge musim ketujuh yang dianjurkan oleh Toyota Gazoo Racing kini semakin menghampiri penghujungnya pada akhir minggu ini.
Perlumbaan Vios Challenge musim ketujuh ini dilihat lebih mencabar dan sukar untuk diduga dengan pengenalan jentera lumba Vios generasi keempat yang dipandu oleh 34 orang pelumba dari tiga kategori berbeza: Super Sporting, Sporting dan Rookie.
Bermula pada Ogos tahun lepas, Vios Challenge musim ketujuh menampilkan tiga pusingan dan enam perlumbaan individu yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM630,000.
Kelas Super Sporting bakal menyaksikan pertempuran antara pelumba hebat seperti Naquib Azlan (Axle Sport), juara bertahan Mitchel Cheah (Prima TD Racing), Freddie Ang (Telagamas), Amer Harris (Laser Motor Racing) dan Hayden Haikal (TD Racing).
Juara keseluruhan bakal membawa pulang hadiah RM80,000, diikuti RM60,000 di tempat kedua dan RM40,000 di tempat ketiga.
Dalam Kelas Sporting, terdapat beberapa calon yang bakal dinobatkan sebagai juara termasuklah Elson Lew (BAE Racing by ES Young), Kenneth Koh (PCM Group Racing), serta Shafiq Samsudin (Race Rally KL).
Kategori ini menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM60,000, RM40,000 dan RM20,000 kepada juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga.
Sementara itu, Kelas Rookie yang menampilkan pemandu muda di bawah program GAZOO Racing Young Talent Development turut menyaksikan persaingan hebat antara Adam Mikail (18 tahun) yang mencatatkan tiga kemenangan, diikuti Brandon Ho (22 tahun) yang meraih empat kedudukan podium, serta Raja Amirul Syauqat (21 tahun) yang berjaya menduduki tempat kedua dan ketiga dalam dua perlumbaan terakhir.
Acara perlumbaan akhir Vios Challenge musim ketujuh akan berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang akan menjadi acara tertutup namun ia bakal disiarkan secara langsung di semua platform media sosial UMW Toyota Motor.
Selain acara perlumbaan, Toyota Malaysia juga bakal memperkenalkan tiga model berprestasi tinggi, iaitu GR Corolla facelift, Corolla GR Sport serta GR Yaris facelift.
Laman berita Bernama melaporkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan selama enam bulan bermula esok, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata ia melibatkan tiga jenis notis saman JPJ iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).
“Ketiga-tiganya biasanya kadar kompaunnya ialah RM300. Jadi kita memberikan satu kadar kompaun khas bermula esok 3 Jan untuk selama enam bulan supaya mereka menyelesaikan kompaun ini.
“Sebab saman AwAS ada dua juta saman yang tertunggak… dan memang ada sekatan kepada mereka yang tidak menyelesaikan saman AwAS, sekiranya mereka tidak menyelesaikan saman itu mereka tidak boleh memperbaharui lesen memandu ataupun lesen kenderaan motor mereka,” katanya.
Loke berkata pembayaran boleh dilakukan melalui pelbagai saluran antaranya di kaunter JPJ, portal awam, kios JPJ, kaunter mobile JPJ serta aplikasi myJPJ.
Pembayaran kompaun khas itu katanya tidak boleh dilakukan melalui saluran MyEG dan di Pos Malaysia.
Sementara itu, beliau berkata pengumpulan mata demerit akan dihentikan sementara mulai esok hingga 30 Jun depan.
Loke berkata dalam tempoh itu, Bahagian Penguat Kuasa JPJ akan menjalankan kajian semula terhadap kaedah pelaksanaan Sistem Mata Demerit.
Tahukah anda, mana-mana kereta berperisai yang dibina khas untuk presiden Amerika Syarikat tidak pernah ditawarkan atau dijual kepada umum.
Namun, sekiranya berminat, anda boleh membida sendiri salah sebuah daripada tiga unit sedan Cadillac Fleetwood Brougham tahun 1996 yang asalnya dibina untuk kegunaan rasmi Presiden Bill Clinton menerusi laman web Mecum Auctions.
Tidak seperti model Fleetwood untuk kegunaan awam, Fleetwood Brougham ini telah dipanjangkan dimensinya kepada 6,858 mm dengan jarak antara roda sepanjang 4,255 mm.
Selain itu, ia juga mempunyai dimensi bumbung 76 mm lebih tinggi berbanding model produksi massa, bertujuan untuk memaksimumkan ruang kaca supaya orang awam dapat melihat kelibat presiden semasa upacara perarakan.
Untuk keselamatan presiden, sedan panjang ini telah dilengkapi dengan tingkap kaca setebal 76 mm, serta perlindungan perisai tahap B6 yang mampu bertahan di bawah serangan raifal R1 dan senapang AK47.
Selain itu, ia juga turut mempunyai sistem bekalan oksigen, kawalan iklim berasingan untuk ruang depan dan belakang, sistem pemadam kebakaran serta sistem komunikasi yang disediakan khas untuk kegunaan presiden.
Dengan segala macam perkakasan termasuklah pemain VHS, monitor tiub katod (!) serta perlindungan perisai yang telah dipasang, sedan ini mempunyai berat badan mencecah 4.1 tan, jauh lebih berat berbanding sebuah sedan Fleetwood Brougham standard (2 tan).
Untuk menggerakkan sedan yang sangat berat ini, pihak GM telah memadankan enjin bentangan V8 7.8 liter yang dibina oleh Jack Roush, menghasilkan kuasa sekitar 450 hp.
Dengan jarak perbatuan sejauh 849 km sahaja, sudah pasti sedan ini jarang sekali digunakan untuk kegunaan rasmi presiden Amerika berbanding dua lagi sedan yang kini disimpan rapi di muzium.
Tiada sebarang tanda harga didedahkan buat masa ini, namun apa yang pasti anda perlu menyediakan duit pengeras yang agak tinggi untuk sebuah sedan yang sudah berusia tiga dekad ini.
Menurut keterangan di laman Mecum Auctions, kos pembinaan bagi ketiga-tiga sedan ini mencecah US$6,000,000 (RM26.9 juta), nilai yang dicatatkan pada tahun sedan ini dibina (1996).
Hyundai India bakal melancarkan sebuah SUV berkuasa elektrik iaitu Creta Electric untuk pasaran tersebut.
Dari segi rupa paras, Creta Electric 2025 ini menampilkan rupa paras yang berlainan berbanding model bernama serupa yang dilengkapi dengan enjin pembakaran dalaman (ICE).
Perubahan yang ketara dibawakan ialah pada bahagian muka hadapan, dengan rekaan jeriji berlapis yang dihiasi corak piksel, lampu nyalaan siang LED yang lebih stailo, serta lampu utama di bahagian hujung bampar.
Untuk bahagian belakang, ia tidak lagi membawakan rekaan lampu yang berlapis, sebaliknya digantikan dengan susun atur pencahayaan yang lebih moden.
Profil sisi Creta Electric ini nampaknya mengekalkan apa yang wujud pada Creta berenjin pembakaran dalaman, namun dengan rekaan rim 17 inci serba baharu yang lebih aerodinamik.
Untuk ruang kabin, Creta Electric dibekalkan dengan roda stereng baharu, tuil penukaran gear yang diambil daripada model Ioniq 5, tombol penukaran mod pemanduan (Eco, Normal, Sport), serta panel skrin digital berkembar, masing-masing sebesar 10.25 inci.
Creta Electric juga turut menyokong fungsi V2L di mana terdapat soket kuasa yang boleh digunakan untuk pengecasan peranti elektronik yang terdapat pada bahagian bawah bangku belakang.
Selain ruang storan sedia ada, pemilik juga boleh menyimpan kabel pengecasan di ruang frunk.
Hyundai tidak mendedahkan perincian spesifikasi motor elektrik SUV ini, namun mengesahkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat.
Terdapat dua pilihan kapasiti pek bateri, iaitu 42 kWh dengan jarak gerak sejauh 390 km, atau 51.4 kWh yang menawarkan jarak pandu sejauh 473 km (data kitaran ARAI).
Creta Electric turut menyokong pengecasan AC 11 kW di mana pengecasan penuh mengambil masa sekitar empat jam, serta pengecasan pantas DC yang membolehkan bateri dicas 10-80 peratus dalam tempoh 58 minit.
Hyundai Creta Electric akan dilancarkan secara rasmi di Bharat Mobility Show pada 17 Januari ini.
Zontes Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan skuter kembara Zontes 368G ADV untuk pasaran Malaysia.
Mengikut spesifikasi, Zontes 368G ADV ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan cecair SOHC berkuasa 38 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 40 Nm @ 6,000 rpm, dengan dua mod tersedia iaitu Eco dan juga Sport.
Aspek tunggangan dibantu dengan penggunaan suspensi fork hadapan jenis terbalik (USD) 41 mm dengan larasan mampatan/lantunan, penyerap hentak berkembar di belakang dengan larasan pra-bebanan, dan sistem brek J.Juan.
Ia juga turut dilengkapi sistem ABS dua saluran, kawalan cengkaman serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) sebagai ciri standard.
Skuter ADV ini mendapat tangki sebesar 17.5 liter yang mampu menawarkan jarak tunggangan sejauh 500 km dan kadar penggunaan bahan api sekitar 3.5 liter untuk setiap 100 km.
Tidak cukup dengan itu, terdapat storan bawah pelana sebesar 52 liter yang boleh memuatkan dua helmet full-face, penghadang angin boleh laras lima tahap, serta tinggi pelana 795 mm (atau 770 mm untuk versi lebih rendah).
Segala info penting serta tetapan fungsi-fungsi tambahan anda boleh akses menerusi skrin paparan TFT bersaiz lapan inci yang boleh dihubungkan dengan peranti pintar menerusi aplikasi Zontes Intelligent App.
Menariknya, pihak Zontes turut menawarkan beberapa aksesori standard untuk model 368G ADV ini.
Seperti contoh, terdapat crash bar dan pelindung tangan pada bar hendal, serta lampu kabus dengan beberapa tetapan suluhan tersedia bagi melengkapkan imej skuter ADV yang sangat bergaya.
Untuk keselesaan penunggang, 368G ini turut dipasangkan dengan fungsi pemanas grip bar hendal yang sangat berguna semasa membuat perjalanan pada musim sejuk/hujan.
Akhir sekali, terdapat kamera perakam tunggangan (dashcam) untuk bahagian depan dan belakang menggunakan penderia Sony Starvis yang mampu merakam video HD 1080p dan storan sebesar 128 GB.
Harga jualan Zontes 368G ADV ini bermula dari RM28,800 atas jalan, tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Terdapat tiga warna menarik iaitu Iron Grey/Blue, White/Gold, dan Golden Stone Green.
Honda Amerika Syarikat mula menawarkan jentera peronda dua roda Honda NT1100 Police untuk kegunaan pasukan penguatkuasa dan sudah boleh ditempah menerusi program Powersports Fleet/Government Purchase yang disediakan.
Dibina berdasarkan model sports touring NT1100 yang turut ditawarkan di pasaran Eropah, Honda NT1100 Police hadir dengan kelengkapan yang serupa seperti reraup pelindung, cermin penghadang angin boleh laras, tempat duduk yang selesa, serta sistem pencahayaan LED.
NT1100 Police juga boleh dilengkapi dengan bermacam jenis aksesori untuk tugas-tugas kepolisan yang boleh didapati menerusi vendor-vendor yang diiktiraf.
Antaranya ialah beg pannier, sistem pendawaian khas, kotak dokumen serta penutup tempat duduk belakang.
Honda NT1100 Police dilengkapi dengan enjin dua silinder selari 1,084 cc yang sama digunakan oleh model Africa Twin, namun telah diubahsuai supaya mampu mencecah kelajuan sehingga 200 km/j.
Kuasa 101 hp @ 8,500 rpm dan 104 Nm @ 6,000 rpm itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi manual enam-kelajuan.
Sistem gantungan terdiri daripada fork teleskopik Showa 43 mm jenis terbalik, diikuti dengan penyerap hentak tunggal Pro-Link Showa, masing-masing menawarkan jarak pergerakan roda sejauh 139.7 mm.
Aspek pemberhentian pula menggunakan angkup dua omboh dan rotor berkembar bersaiz 310 mm di hadapan, serta angkup omboh tunggal dan rotor bersaiz 256 mm di belakang yang dibantu dengan sistem brek ABS dua saluran.
Dengan berat sekitar 256.7 kg, NT1100 Police ini mempunyai kapasiti tangki sebesar 20.4 liter dan ketinggian pelana sekitar 820 mm.
Laman Harian Metro melaporkan sekumpulan remaja dipercayai bawah umur didenda ketuk ketampi oleh anggota polis trafik di ibu kota, baru-baru ini.
Berdasarkan rakaman yang tular, kelihatan lebih 20 remaja lelaki diarahkan melakukan hukuman tersebut selepas ditahan kerana menunggang basikal lajak.
Tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian tersebut berlaku, namun dipercayai berlaku di ibu kota berdasarkan latar belakang dalam rakaman video tersebut.
Turut kelihatan barisan basikal lajak yang disusun di belakang remaja yang didenda itu.
Rakaman video tersebut turut mencuit hati netizen, di mana rata-rata pengguna memberikan komen menyokong tindakan pihak berkuasa mendenda kumpulan remaja tersebut.
Jika anda merasakan Toyota Land Cruiser (dan Prado) terlalu besar untuk dimuatkan dalam garaj, usah risau kerana ESB Style kini membawakan elemen SUV off-road tersebut untuk minivan Toyota Roomy.
Pakej yang digelar sebagai ‘Landc Roomy’ itu meminjam beberapa elemen rekaan Land Cruiser, seperti contoh struktur jeriji yang besar dan lebar lengkap dengan bampar yang agresif.
Disebabkan limitasi ruang, agak sukar untuk memuatkan kesemua elemen Land Cruiser pada minivan ini.
Jadi, ESB Style hanya mengehadkan perubahan tersebut pada bahagian hadapan, namun untuk bampar belakang tetap diberikan sentuhan yang sporti, diikuti dengan rim keluli berwarna putih yang dibaluti tayar Toyo Open Country R/T.
Tidak ketinggalan, sistem gantungan telah ditinggikan 30 mm bagi membolehkan ‘Landc Roomy’ ini meredah laluan off-road ringan dengan lebih mudah.
Untuk ruang kabin pula, ESB Style menawarkan aksesori seperti “Fox Mat” boleh lipat di mana ia boleh mengubah ruang kabin Roomy menjadi sebuah van pekhemah.
Berikut merupakan senarai harga aksesori yang ditawarkan oleh ESB Style untuk panduan:
• Bampar hadapan – ¥100,000 (RM2,848)
• Bampar belakang – ¥60,000 (RM1,709)
• Kit suspensi – ¥50,000 (RM1,424)
• Set rim keluli – ¥60,000 (RM1,709)
• Fox Mat – ¥25,000 (RM712)
Di Jepun, Toyota Roomy bukanlah sebuah kei van, memandangkan ia didatangkan dengan dimensi yang lebih besar, dan dikuasakan pula oleh enjin tiga silinder sebaris 996 cc yang mampu menjana kuasa setinggi 98 PS.
Versi aspirasi semula jadi pula hanya mampu menghasilkan kuasa setinggi 69 PS, namun anda boleh mendapatkan Toyota Roomy (atau Daihatsu Thor/Subaru Justy) dengan pilihan pacuan roda depan atau pacuan semua roda (AWD).
Sekali imbas, ini mungkin sekali model kei van terbaharu yang datang dari pasaran Jepun.
Namun, usah tertipu kerana logo yang terpampang itu menyatakan segalanya – ia adalah kenderaan komersial ringan (LCV) yang dihasilkan oleh SAIC-GM-Wuling.
Memfokuskan kepada praktikaliti dan pakej yang mampu milik, Sunshine EV sememangnya mengambil inspirasi daripada barisan model kei van buatan Jepun, dengan rekaan hidung pendek, roda yang kecil, pintu gelangsar kiri dan kanan, serta dimensi badan yang tinggi.
Jika dibandingkan ukuran dimensi, Sunshine EV mempunyai saiz yang besar sedikit berbanding kei van buatan Jepun, dengan ukuran sepanjang 3,685 mm, lebar 1,530 mm, tinggi 1,750 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,600 mm.
Dalam konfigurasi lima tempat duduk, Sunshine EV mampu menawarkan ruang kargo sebesar 527 liter, atau sehingga 1,117 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.
Untuk ruang kabin, ia membawakan kelengkapan yang serba asas, namun mementingkan aspek praktikaliti dan versatiliti untuk pelbagai jenis kegunaan.
Berdasarkan gambar yang dibekalkan, van kecil ini boleh diubah menjadi pelbagai jenis kedai bergerak, atau digunakan sebagai van pekhemah, atau dijadikan sebagai bengkel mini yang lengkap dengan perkakasan professional.
Dari segi kuasa, EV ini mendapat motor elektrik tunggal 40 hp dengan kelajuan tertinggi sekitar 100 km/j.
Pembeli boleh mendapatkan pilihan pek bateri berkapasiti 17.6 kWh, atau pilihan kapasiti 26.5 kWh yang boleh ditukar menerusi jaringan penukaran bateri CATL.
Sunshine EV akan dilancarkan di pasaran China seawal tahun 2025, dengan harga jualan bermula sekitar 50,000 yuan (RM30,580).
Jika krisis identiti merupakan jawapan yang anda cari, usah risau kerana syarikat penala dari Jepun yang satu ini sememangnya pakar dalam mengubah rupa paras model standard menjadi sesuatu yang lebih berbeza.
DAMD bakal membawakan beberapa model yang menarik pada acara pameran Tokyo Auto Salon 2025.
Salah satu daripadanya ialah Reverb, sebuah Honda WR-V (atau nama lainnya Honda Elevate) yang telah diberikan rupa paras seakan Jeep Cherokee XJ.
Bahagian hadapan Honda WR-V telah diubah sepenuhnya menampilkan unit lampu berbentuk segi empat serta jeriji enam-slot yang mengingatkan kita pada model klasik Cherokee.
Selain itu, bahagian sisi SUV ini telah diberikan decal seakan panel kayu yang wujud pada model station wagon vintaj Amerika, diikuti dengan panel plastik gerbang roda yang tidak bercat.
Melengkapi imej yang ranggi itu ialah set rim keluli berwarna hitam yang dibaluti tayar mud-terrain BFGoodrich.
Selain daripada WR-V, DAMD turut membawakan model-model berikut:
1. Stuart – Toyota Sienta dengan imej hadapan Mini Cooper
2. Rodney – Honda N-Box Custom yang tampil lebih sporti
3. Lucy – Daihatsu Taft dengan imej Daihatsu Rocky F300 90-an
Apa akan jadi bila supercar yang paling cantik di dunia diberikan sentuhan magis oleh Liberty Walk?
Anda tidak perlu pun untuk membayangkan hasilnya, ini kerana penala terkenal Jepun itu sudah pun mendedahkan imej janaan komputer hasil kerja terbaharu mereka pada Lamborghini Miura.
Bakal didedahkan secara rasmi di Tokyo Auto Salon 2025, LB-Silhouette Works GT Lamborghini Miura itu tampil dengan rupa paras yang lebih agresif dan berani dalam masa yang sama.
Anda boleh melihat padanan kit badan agresif berserta dengan fender flare yang serba lebar, serta set rim aftermarket pada keempat-empat sudut gerbang roda.
Tidak ketinggalan, sayap bersaiz besar dan diffuser yang agresif pada bahagian belakang sebelum jentera ini dilayangkan dengan warna putih yang lengkap dengan liveri penaja serta logo Liberty Walk berwarna merah di bahagian sisi.
Buat masa ini, Liberty Walk tidak mendedahkan sebarang naik taraf yang dibuat pada enjin asal bentangan V12 4.0 liter berkuasa 345 hp/355 Nm pada Miura ini.
Kit badan yang khas untuk Lamborghini Miura ini akan mula dijual secara rasmi pada tahun hadapan, yang pasti harganya tidaklah semurah yang anda sangka.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 5,306 notis kesalahan terhadap kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam dalam Operasi Khas Gempur Teknikal bagi tempoh lima hari bermula 25 Dis lepas, lapor Bernama.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Jana Santhiran Muniayan berkata notis itu termasuk penahanan kenderaan, arah periksa dan temu siasat susulan pemeriksaan ke atas 17,729 kenderaan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,787 kenderaan diambil tindakan dengan 16 kenderaan disita membabitkan 15 kenderaan perdagangan dan bakinya kenderaan perkhidmatan awam.
“JPJ bukan hendak cari kesalahan dengan mengeluarkan notis, cuma mahu memastikan jalan raya dalam keadaan terbaik selain pengguna juga dalam keadaan selamat,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Khas Gempur Teknikal di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah Selatan di sini semalam (29 Disember).
Jana Santhiran berkata penggunaan tayar tidak sepatutnya atau tayar celup merupakan antara kesalahan yang dikenal pasti banyak dilakukan oleh kenderaan perdagangan termasuk lori dan treler.
Beliau berkata perkara itu antara yang difokuskan dalam operasi berkenaan selain memastikan brek berada dalam keadaan sempurna dengan tindakan termasuk menahan kenderaan daripada meneruskan perjalanan akan diambil sekiranya kesalahan terbabit dikesan.
“Dalam pemeriksaan tadi, kita tengok ada yang menggunakan tayar celup, nak tercabut dah lapisan luar, jika ia tertanggal pastinya mengakibatkan bahaya kepada pengguna jalan raya, itu yang kita tidak mahu,” katanya.
Dalam pada itu, Jana Santhiran berkata JPJ kini menggerakkan lebih 1,500 anggotanya di seluruh negara bagi menumpukan penguatkuasaan terhadap kesalahan perdagangan termasuk lebih muatan, teknikal, dokumentasi dan lalu lintas terutama pada musim perayaan.
“Kita tingkatkan bilangan, kalau dulu (jumlahnya) kurang daripada 1,000 anggota yang kita kerah berada di jalan raya termasuk di lebuh raya, jalan perbandaran dan sebagainya terutama pada musim perayaan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menasihati semua pemandu kenderaan berat untuk meletakkan kon atau halangan jalan raya sekiranya kenderaan mereka terpaksa dihentikan di laluan kecemasan akibat kerosakan bagi memberi isyarat kepada pengguna jalan raya yang lain.
“Sebab baru-baru ini, beberapa kemalangan berpunca daripada pemandu lori tidak meletakkan kon di belakang untuk menunjukkan kenderaan mereka dalam kecemasan dan terpaksa dihentikan, saya harap semua pihak beri perhatian penuh kepada peraturan jalan raya,” katanya.
Pro-Net mengumumkan EV Proton e.MAS 7 kini mencatatkan lebih 2,500 unit tempahan sejak tempahan terhadap SUV segmen C elektrik tersebut dibuka akhir Oktober lalu.
Menurut Zhang Qiang selaku Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net berkata, “kesungguhan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia terhadap Proton e.MAS 7 mencermin kan kesediaan mereka untuk menerima mobilili lestari.
“Dengan gabungan ciri inovatif dan nilai luar biasa, Proton e.MAS 7 direka untuk menjadi pilihan ideal bagi mereka yang ingin beralih ke kenderaan elektrik.
Proton e.MAS 7 ditawarkan dalam dua varian utama, iaitu Prime dengan bateri berkapasiti 49.52 kWh yang menawarkan jarak gerak 345 km, serta varian Premium dengan pek bateri 60.22 kWh yang menawarkan jarak pandu sehingga 410 km.
Istimewa untuk 3,000 pelanggan pertama, Proton menawarkan rebat bernilai RM4,000, serta pakej istimewa yang merangkumi perkara berikut:
• Power Home: Pengecas rumah 7 kW (bernilai RM1,500)
• Power Plus: Penyesuai V2L (bernilai RM500)
• Power Online: Pakej data internet 5-tahun (bernilai RM1,800)
• Power Thru: Jaminan kenderaan tanpa had 6 tahun, serta jaminan bateri & komponen bervoltan tinggi 8-tahun/160,000 km
• Power Financing: Kadar faedah 1.98 peratus daripada Proton Commerce (sehingga RM3,000)
• Power Exchange: Rebat eksklusif untuk program tukar milik bernilai RM1,200 untuk pemilik Proton sedia ada.
Rakyat Malaysia yang duduk di sekitar Shah Alam dan berminat untuk melihat sendiri Proton e.MAS 7 ini boleh berkunjung ke bilik pameran Proton e.MAS yang terletak di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam.
Dikendalikan oleh SG Cars Sdn Bhd, ia merupakan pusat pengedaran Proton e.MAS yang pertama bagi jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) Proton.
Difahamkan, sebanyak 37 pengedar telah dilantik di seluruh negara, dengan 30 dijangka akan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
Usaha pengembangan ini diperkukuhkan lagi dengan lawatan pengetahuan R&D ke Institut Penyelidikan Geely di Hangzhou, China yang disertai oleh lebih 40 prinsipal pengedar dan eksekutif, baru-baru ini.
Dalam lawatan tersebut, para peserta diperkenalkan dengan teknologi terkini Geely dan memperoleh pandangan yang amat berharga mengenai penjagaan EV premium, latihan staf, strategi jualan dan kecemerlangan operasi.
Pro-Net juga kini sedang mencari rakan kongsi yang berminat untuk menyertai rangkaian pengedar Proton e.MAS yang sedang berkembang.