All posts by Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

Naik taraf LMM Kelas B: Pemohon perlu bebas senarai hitam, lesen aktif lebih 10 tahun

Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) Motosikal Kelas B1 dan B2 yang aktif lebih 10 tahun boleh memohon LMM Kelas B bermula 1 Oktober depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemegang LMM Kelas B1 dan B2 yang berminat boleh mendapatkan LMM Kelas B dengan kos yuran hanya RM160 sahaja berbanding RM900 sebelum ini.

Beliau berkata, mereka yang berminat perlu menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian kenderaan motosikal berkuasa 500cc ke atas selama dua jam di Institut Memandu (IM) melibatkan program amali penunggangan dan informasi pemanduan selamat.

“Syarat lain ditetapkan adalah pemohon hendaklah bebas daripada sebarang senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat atau sebarang perkara belum selesai di bawah Akta 333.

“Malah, pemohon juga perlu melakukan pengesahan sihat tubuh badan, fizikal, minda secara deklarasi kendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perhimpunan bulanan kementerian di sini.

Katanya, kerajaan pada dasarnya bersetuju dengan program khas peralihan itu namun, ia bukan dilaksanakan secara automatik sebaliknya perlu melepasi syarat-syarat ditetapkan.

Tips memandu pada waktu malam

Keadaan cuaca siang yang agak membahang, dan trafik yang sesak membuatkan segelintir kita lebih gemar untuk memandu pada waktu malam.

Cuma, memandu pada waktu malam tidak serupa dengan keadaan memandu pada waktu siang.

Ada banyak faktor yang mampu mengehadkan tahap penglihatan kita, sekaligus meninggikan risiko terdedah kepada kemalangan.

Jika anda mahu memandu pada waktu malam, berikut ada beberapa tips yang boleh diamalkan:

 

1. Pastikan tubuh badan cukup rehat

Faktor pencahayaan akan membuatkan anda lebih menumpukan perhatian kepada apa yang datang dari arah hadapan.

Kesannya, otak akan menjadi lebih penat, dan keadaan bakal menjadi buruk sekiranya anda tidak sedar anda sebenarnya mengalami keadaan tidur mikro.

Apa yang penulis amalkan, tidur lebih awal untuk mendapatkan rehat yang cukup sebelum membuat perjalanan pada waktu tengah malam.

 

2. Pastikan lampu depan berfungsi dengan baik

Kebanyakan masa, kita akan bergantung kepada lampu hadapan untuk menentukan jarak dan objek yang ada di depan.

Jika lampu tidak berada dalam keadaan baik atau posisi suluhan terlalu rendah, ia mampu mengehadkan medan penglihatan yang jelas.

Posisi lampu yang tinggi juga boleh membahayakan pemandu yang datang dari arah hadapan disebabkan masalah silau yang melampau, apatah lagi lampu kereta moden rata-rata menggunakan LED.

 

3. Pastikan cermin hadapan & cermin sisi bersih daripada kotoran

Cermin hadapan yang bersih akan menyediakan medan penglihatan yang lebih jelas, dan lebih selamat terutama pada waktu malam.

Jika cermin hadapan kotor atau berminyak, keadaan ini akan membuatkan cahaya berserakan, sekaligus memburukkan lagi kesan silau lampu kereta dari arah hadapan.

Cari surat khabar lama yang tidak digunakan untuk mengelap bahagian tersebut.

 

4. Elakkan lampu ambien yang mampu mengganggu pemanduan

Kereta-kereta moden kini sudah dilengkapi dengan sistem pencahayaan ambien ala kedai tomyam tepi jalan.

Ada yang menawarkan grafik pencahayaan yang cantik, ada yang mampu mengganggu pemanduan pada waktu malam.

Jika perkara tersebut berlaku, cuba laraskan kembali kecerahan lampu ambien kabin pada tahap minimum, atau padamkan sahaja. Tiada orang mahu melihat kondisi kedai tomyam kereta anda dari luar pun.

 

5. Pandu pada kelajuan yang boleh dikawal

Antara kelebihan pemanduan pada waktu malam ialah keadaan jalan yang tenang, namun ia bukanlah lesen untuk anda memandu melebihi had laju yang telah ditetapkan.

Memandu dengan lebih berhati-hati adalah cara yang terbaik bagi memastikan anda mempunyai masa yang secukupnya untuk bereaksi dengan apa jua situasi yang tidak dijangka.

Seperti contoh binatang yang melintas di hadapan, kereta terbabas, atau penghujung jalan yang langsung tidak mempunyai sistem pencahayaan yang sempurna.

Masih ingat lagi peraturan jarak yang diajar di sekolah memandu? Amalkan.

Satu petua yang biasa penulis amalkan ketika memandu pada waktu malam ialah memasang aplikasi navigasi pemetaan sepanjang masa terutama ketika memandu di laluan yang kita tidak biasa, supaya kita dapat mengagak struktur jalan yang ditempuh dan mengetahui laporan insiden jalan rosak/kemalangan yang dimuat naik oleh pengguna lain.

 

6. Elakkan memandu melebihi tempoh tertentu

Memandu pada waktu malam akan membuatkan badan anda lebih penat daripada biasa.

Jadi, anda dinasihatkan supaya berhenti rehat setiap satu atau dua jam di tempat yang selamat untuk mendapatkan udara segar, selain melakukan senaman regangan badan yang ringkas, atau menghirup kopi panas untuk menyegarkan kembali otak.

Kalau dah mengantuk sangat, tidur sebentar, namun pastikan tingkap kereta anda tidak tertutup dengan rapat bagi mengurangkan risiko keracunan gas monoksida.

Suzuki V-Strom 250 SX 2024 rasmi, 26.1 hp, 22.2 Nm, harga RM17,800

Suzuki Malaysia baharu sahaja melancarkan jentera adventure 250 cc, iaitu Suzuki V-Strom 250 SX 2024 untuk pasaran tempatan setelah diperlihatkan buat kali pertama di KL Bike Show tahun lepas.

Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 249 cc SOHC yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 26.1 hp @ 9,300 rpm dan daya kilas 22.2 Nm @ 7,300 rpm, dibantu dengan sistem sejukan minyak SOCS (Suzuki Oil Cooling System) dan Suzuki Easy Start System.

Ciri yang dimuatkan pada jentera ini termasuklah fork hadapan teleskopik, penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-bebanan tujuh tahap, dan rim bersaiz 19 dan 17 inci berserta balutan tayar MRF jenis semi-block.

Sistem ABS dua saluran dibekalkan sebagai ciri standard sebagai pelengkap kepada sistem brek cakera yang terdiri daripada rotor 310 mm depan dan 240 mm belakang.

Selain daripada itu, Suzuki V-Strom 250 SX turut menampilkan unit pencahayaan LED depan dan belakang, grafik sporti, peredam ekzos muncung berkembar, penghadang angin, pelindung bar hendal, dan rak belakang aluminium.

Segala info penting boleh dibaca menerusi skrin paparan LCD negatif, lengkap dengan lampu indikasi rpm yang boleh ditetapkan oleh penunggang, serta slot USB untuk pengecasan peranti pintar.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 12 liter, diikuti dengan jarak kelegaan tanah setinggi 205 mm sementara tinggi pelana pula sekitar 835 mm.

Terdapat juga pelbagai aksesori yang tersedia termasuklah bar pelindung, kotak simpanan 27 liter, pemanas bar hendal, pelapik tangki bahan api, decal roda serta pilihan tempat duduk 25 mm lebih rendah.

Suzuki V-Strom 250 SX 2024 boleh didapati dalam tiga warna, iaitu Champion Yellow No. 2, Pearl Blaze Orange, dan Glass Sparkle Black.

Harga jualan untuk pasaran Malaysia bermula dari RM17,800.

GR GT Cup 2024, Taj Aiman muncul juara kali keempat!

Pusingan akhir pertandingan perlumbaan simulasi GR GT Cup Malaysia yang berlangsung di Sunway University Campus tempoh hari menyaksikan Taj Izrin Aiman Taj Madira merangkul gelaran juara buat kali keempat berturut-turut.

Remaja berusia 26 tahun itu kini menjadi pelumba simulasi yang paling berjaya dalam siri GR GT Cup Malaysia dengan jumlah mata terkumpul sebanyak 59 poin meninggalkan Chong Kai Chang di tempat kedua dan juara 2022 Muhammad Iqbal Suji di tempat ketiga.

Dengan jumlah hadiah terkumpul bernilai RM120,500, GR GT Cup Malaysia merupakan siri perlumbaan simulasi yang paling lumayan pernah dianjurkan di dalam negara.

Menurut Taj Izrin Aiman, beliau membuat keputusan untuk tidak menukar tayar sewaktu hujan mulai turun selepas dua pusingan, di mana pertaruhan besar itu membolehkannya mendahului pelumba-pelumba lain.

Chong berpuas hati kerana berjaya memperbaiki kedudukan daripada tempat ketiga tahun lalu kepada tempat kedua pada tahun ini.

Beliau yang membawa pulang hadiah RM15,000 itu kerap berlatih bersama rakan-rakannya menggunakan pelbagai strategi perlumbaan disebabkan oleh kemas kini besar yang diterima oleh Gran Turismo 7 melibatkan fizik permainan beberapa hari sebelum acara akhir berlangsung.

Tempat ketiga pula disandang oleh Muhammad Iqbal dengan membawa pulang wang tunai RM12,000.

Menurut presiden UMW Toyota Datuk Ravindran K berkata, “sepanjang tujuh musim penganjuran GR GT Cup Malaysia, persaingan yang diterima semakin sengit, dan setiap tahun piawaian pemanduan dan tahap seni perlumbaan yang dipertunjukkan oleh finalis berada pada aras yang lebih tinggi.

“Ini adalah apa yang kami di Toyota mahu capai, dan saya amat gembira kerana kami dapat memberikan impak terhadap sukan permotoran Malaysia, baik dalam dunia maya atau menerusi litar lumba seperti GR Vios Challenge dan GR Young Driver Development Program.”

GR GT Cup Malaysia 2024 turut menampilkan perlumbaan melibatkan 10 orang finalis yang dipilih daripada GR GT Cup Malaysia Campus Tour.

Antara yang mencuri tumpuan ialah kehadiran pelumba muda berusia 14 tahun, Ethen Low daripada St Michael’s Institution yang berjaya meraih tempat kedua.

Sementara Raja Amirul Syauqat pula telah terpilih untuk menyertai GAZOO Racing Young Driver Development Program, dan dijangka akan membuat kemunculan di dalam Vios Challenge menerusi Kelas Rookie.

Selain itu, terdapat juga perlumbaan khas yang dianjurkan untuk pelumba rookie Toyota GAZOO Racing serta para pengamal media, selain Kejohanan Pasukan di mana finalis daripada GR GT Cup digabungkan dengan peserta Campus Tour dengan objektif untuk mencari bakat baru yang bakal dibimbing oleh pelumba professional.

Toyota GR Corolla 2025 kini tersedia dengan transmisi auto!

Berita baik buat mereka yang mahu mencari sebuah jentera GR yang praktikal untuk kegunaan seharian.

Ini kerana Toyota baru sahaja mengemaskini hot hatch lima pintu GR Corolla untuk model tahun 2025 dengan membawakan penawaran kotak gear automatik sebagai opsyen kepada varian bertransmisi manual enam-kelajuan.

Untuk makluman, kotak gear Direct Automatic Transmission (DAT) tersebut telah membuat kemunculan rasmi menerusi model hot hatch GR Yaris awal tahun yang lalu.

Berbeza dengan transmisi auto yang wujud pada GR Supra dan GR86 yang akan membuat penukaran gear berdasarkan kelajuan dan daya G, kotak gear GR Corolla menggunakan input daripada pedal brek dan pendikit untuk menjangkakan masa optimum untuk membuat penukaran gear.

Selain daripada itu, Toyota turut menala kembali transmisi automatik itu supaya ia mampu menawarkan nisbah gear yang hampir sama dengan transmisi manual, selain datang dengan sistem penyejuk transmisi secara standard.

Enjin tiga silinder G16E-GTS 1.6 liter turbo itu berupaya menjana kuasa setinggi 300 hp, namun angka daya kilas dipertingkatkan daripada 370 Nm kepada 400 Nm.

Semua varian GR Corolla 2025 kini didatangkan standard dengan pembeza gelincir terhad (LSD) Torsen depan dan belakang, diikuti sistem gantungan yang telah ditala semula untuk pemanduan yang lebih sporti.

Untuk model tahun 2025, sedikit perubahan telah dibawakan pada bampar hadapan di mana GR Corolla kini mempunyai liang penyejukan brek yang telah ditambah baik, serta tirai udara yang mampu mengurangkan kesan gelora sekitar tayar.

Toyota juga turut menawarkan sub-radiator untuk penyejukan ekstra sebagai standard untuk model Premium Plus, atau sebagai opsyen untuk model Premium.

Tidak banyak perubahan dibawakan pada ruang kabin, melainkan dengan penambahan paddle shifter pada bahagian roda stereng, diikuti dengan sistem Launch Control yang standard untuk model DAT.

Maklumat berkenaan spesifikasi tambahan serta harga jualan hanya akan diumumkan apabila GR Corolla 2025 menerjah pusat pengedar pada musim sejuk akan datang.

 

Trend logo ringkas dalam industri automotif

Jika anda perasan, beberapa tahun yang lepas wujudnya trend di kalangan pengeluar automotif di mana mereka berlumba-lumba untuk menunjukkan logo yang lebih ringkas dan minimalis.

Beberapa jenama arus perdana seperti Hyundai, Nissan, Peugeot, Renault, dan yang terbaharu Honda dan juga Mazda telah mengubah logo mereka menjadi lebih ringkas.

Malah, trend minimalis ini juga turut diikuti oleh jenama yang lebih mewah seperti Aston Martin, Mercedes-Benz, BMW, Lexus dan juga Rolls-Royce.

Ini adalah berlawanan dengan apa yang diamalkan sejak berdekad-dekad lamanya, di mana kebanyakan pengeluar suatu ketika dahulu lebih gemar menampilkan logo yang kompleks, bertekstur, penampilan tiga dimensi, rupa yang berkilat dan bermacam-macam pendekatan lagi yang diguna pakai.

Berikut kami senaraikan beberapa jenama automotif dengan penampilan logo korporat yang lebih ringkas:

1. Audi

2. BMW

3. Citroen

4. General Motors

5. Honda

6. Jaguar Land Rover

7. Kia

8. Mazda

9. Mini

10. Nissan

11. Renault

12. Volkswagen

13. Volvo

10 model kereta dengan tempoh produksi paling panjang

Toyota Corolla mungkin sekali satu nama yang sudah diketahui umum sebagai model kereta penumpang yang paling laris terjual atas muka bumi.

Model Paten-Motorwagen yang muncul pada tahun 1885 pula diiktiraf sebagai perintis kelahiran kereta-kereta moden.

Namun tahukah anda, model kenderaan manakah yang mempunyai tempoh produksi yang panjang? Adakah ia sebuah Toyota?

Berikut merupakan senarai 10 kenderaan yang mempunyai tempoh produksi yang paling lama dalam dunia.

 

1. Chevrolet Suburban – 90 tahun

Mula dihasilkan sejak tahun 1934, Chevrolet Suburban diiktiraf sebagai plet nama automobil yang paling lama digunakan dalam dunia, merentasi 12 generasi sehingga kini.

Ia juga salah satu kereta yang ikonik, sehinggakan diiktiraf di Hollywood Star of Fame untuk peranan yang dimainkannya dalam budaya pop.

 

2. Ford F-Series – 76 tahun

Model trak yang paling popular di Amerika Syarikat ini juga sebenarnya model trak yang paling lama diproduksikan.

Ia juga dinobatkan sebagai trak yang paling laris terjual di US sejak tahun 1981.

 

3. VW Transporter – 74 tahun

Dengan lebih 12 juta unit, VW Transporter merupakan van yang paling laris terjual.

Transporter mempunyai beberapa varian termasuklah van, minibus, minivan, campervan dan pikap!

 

4. Land Cruiser – 73 tahun

Diproduksikan sejak tahun 1951 sehingga kini, Land Cruiser merupakan model Toyota yang paling lama diproduksikan, dengan jumlah jualan melebihi 10 juta unit di seluruh dunia.

Walaupun sudah masuk generasi baharu, Land Cruiser 70 Series yang mula diproduksikan sejak tahun 1984 sebenarnya masih lagi ditawarkan sebagai model baharu untuk tahun 2024.

 

5. Chevrolet Corvette – 71 tahun

Kereta sports ikonik Amerika Syarikat ini telah berada di dalam produksi sejak 1953 lagi, dan kini sudah masuk generasi kelapan.

Corvette ZR1 2025 yang dilancarkan baru-baru ini merupakan model Corvette yang paling berkuasa pernah dihasilkan, 1,064 hp dan 1,123 Nm!

6. Mercedes-Benz S-Class – 70 tahun

Lebih dikenali dengan nama Sonderklasse, S-Class merupakan sedan mewah saiz penuh yang telah dihasilkan dalam beberapa generasi.

Biarpun telah diproduksikan sejak tahun 1954, nama S-Class hanya digunakan secara rasmi pada tahun 1972 untuk model generasi W116 selepas generasi W108 ditamatkan.

 

7. Toyota Crown – 69 tahun

Toyota Crown dipasarkan sebagai sedan mewah saiz pertengahan sebagai alternatif kepada pesaing seperti Nissan Cedric, Honda Legend, Mazda Luce, Isuzu Bellel dan Mitsubishi Debonair.

Selain popular digunakan sebagai kereta pegawai kerajaan, Toyota Crown juga turut digunakan sebagai kereta polis peronda dan teksi di Jepun.

 

8. Nissan Skyline – 67 tahun

Pada tahun kemerdekaan Tanah Melayu, satu nama ikonik dilahirkan oleh Prince Motor Company, iaitu Skyline.

Sehingga kini, sebanyak 13 generasi Skyline telah pun wujud atas muka bumi, termasuklah beberapa generasi berprestasi tinggi GT-R. Untuk makluman, R35 bukanlah tergolong dalam keluarga Skyline.

 

9. Mini – 65 tahun

Direka oleh Sir Alec Issigonis, Mini merupakan kereta kecil yang diproduksikan oleh British Motor Company (BMC) kesan daripada krisis kekurangan bekalan bahan api yang dialami di UK pada tahun 1956.

Dengan menggunakan paltform yang sama, Mini asli ini telah dihasilkan dari tahun 1959 sehinggalah tahun 2000 yang boleh didapati dalam bentuk hatchback, wagon dan convertible.

 

10. Porsche 911 – 60 tahun

Kereta sports enjin belakang pacuan roda belakang ini mula dihasilkan sejak September 1964, dengan enjin asal sejukan udara sebelum bertukar kepada enjin sejukan cecair pada tahun 1998.

Porsche telah mencapai angka produksi 911 satu juta unit pada tahun 2017, di mana model itu kini dipamerkan di Porsche Museum di Stuttgart.

 

Bridgestone Malaysia bawakan pengalaman lumba simulasi kepada pelajar universiti

Bridgestone Tyre Malaysia merancakkan lagi arena e-sports Malaysia dengan menganjurkan “Bridgestone Rivals: Race to the Top” pada 26 Jun hingga 5 Julai yang lepas.

Kejohanan perlumbaan simulasi itu telah diadakan di beberapa pusat pengajian tinggi termasuklah Segi University Kota Damansara, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Sungai Long dan Asia Pasific University (APU), TPM Bukit Jalil, di mana ia berjaya menarik lebih 2,000 orang pengunjung, dengan kehadiran lebih 530 orang peserta untuk memeriahkan suasana.

Bridgestone merupakan pengeluar tayar pertama untuk bekerjasama dengan Forza Motorsport, salah satu platform perlumbaan simulasi terkemuka di mana peserta diberikan peluang berlumba menggunakan Lamborghini Huracan STO di dalam litar Hakone Grand Prix.

Pusingan akhir kejohanan berlangsung di APU pada 5 Julai lepas, di mana ia menampilkan 45 orang pelajar yang berjaya mencatatkan pusingan masa terbaik.

Ia turut menampilkan sesi khas untuk para pengamal media serta Kejohanan Kumpulan Terbuka untuk 20 orang peserta awam terbaik.

Michael Chung, Pengarah Urusan Bridgestone Tyre Sales (Malaysia) berkata, “kami amat teruja untuk membawakan keseronokan perlumbaan simulasi kepada para pelajar universiti dan peminat sukan permotoran.

“Pertandingan ini bukan sahaja menghubungkan jurang antara alam fizikal dan digital, malah memberikan inspirasi dan menghubungkan orang ramai menerusi minat bersama untuk sukan permotoran.

Dalam cabaran tersebut, tiga orang pelajar iaitu Brandon Ho, Chuo Chung Zhi, dan Bryan Wong muncul sebagai tiga pelumba terbaik dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, RM800 dan RM500 berserta trofi dan barangan Bridgestone.

Suzuki Gixxer 250, jentera ringkas untuk berseronok – Tunggang Uji

Pemilihan jentera streetfighter mampu milik yang bertepatan dengan jiwa merupakan satu perkara yang tidak boleh dipandang enteng.

Silap haribulan, anda mungkin terpaksa menjual kembali motosikal tersebut disebabkan ia tidak menetapi cita rasa peribadi.

Untungnya bagi para pemegang lesen B2 di Malaysia, kita disajikan dengan bermacam-macam jenis model motosikal di bawah sesaran 250 cc, baik dari negara Jepun, Sweden, India malah motosikal buatan China pun ada!

Suzuki Gixxer 250 telah pun memasuki pasaran Malaysia pada penghujung tahun lepas, dengan tag harga yang agak mencuri tumpuan – sekitar RM14,500.

Mungkin ketibaannya agak lewat, namun penulis berpendapat Suzuki Gixxer 250 mampu menjadi pencabar sengit kepada model-model 250 cc yang ada di luar sana.

Berikut merupakan ulasan ringkas kami setelah beberapa hari bercinta dengan jentera Suzuki Gixxer 250 ini:

 

1. Gaya streetfighter yang.. biasa-biasa je

Jika dibandingkan dengan pesaing lain dalam pasaran, Gixxer 250 tidaklah mempunyai rupa paras yang agresif.

Lampu utama LED berbentuk oval dengan pencahayaan tiga lapis itu memang nampak moden, cuma ia tidak diseimbangkan dengan lampu membelok LED, hanya guna mentol sahaja.

Samalah juga halnya dengan bahagian belakang.

Namun begitu, aspek pencahayaan motosikal ini cukup cemerlang ketika ditunggang pada waktu malam.

 

2. Posisi tunggangan yang lebih asli

Satu perkara yang penulis gemar pada mana-mana motosikal naked ialah posisi tunggangan yang lebih mesra tulang belakang.

Almaklumlah, usia dah masuk 30 siri, jadi posisi tunggangan yang sporti bukanlah satu pilihan untuk perjalanan merentas daerah dan negeri.

Jadi dengan Gixxer 250, ia menawarkan postur tunggangan yang lebih natural terima kasih kepada bar hendal yang lebih tegak, ditambah pula dengan tinggi pelana 795 mm yang lebih mesra individu kurang inci dan dimensi kusyen yang agak lebar.

Kesannya, lebih selesa untuk tunggangan jarak jauh.

Posisi tempat pemijak kaki juga memuaskan, cuma kedudukannya yang hampir dengan topang sisi membuatkan kaki kiri rasa terganggu saat mahu mengeluarkan topang sisi.

 

3. Kuasa kuda yang seronok untuk diperah

Secara standard, Suzuki Gixxer 250 dibekalkan dengan enjin 249 cc silinder tunggal yang mampu menjana kuasa 26.7 hp @ 9,300 rpm dan daya kilas 22.2 Nm @ 7,300 rpm.

Bunyi dia mungkin tidak seagresif pesaing-pesaing lain, namun berdasarkan pengalaman, Gixxer 250 ini mampu menawarkan tunggangan yang agak lincah dan bertenaga, terutama apabila memasuki julat pertengahan putaran enjin.

Untuk kegunaan dalam bandar memang tidak menjadi sebarang masalah, malah penulis juga seronok menunggang jentera ini merentas daerah untuk menghirup angin Selat Melaka.

Kotak gear enam nisbah kelajuan itu sayang sekali tidak diberikan ciri klac assist & slipper, namun usah risau kerana setiap penukaran gear dirasakan begitu lancar sepanjang perjalanan.

Gixxer 250 juga didatangkan dengan lampu indikasi penukaran gear yang akan memberikan peringatan kepada penunggang.

 

4. Jentera mesra selekoh

Tidak tergerak di hati untuk menguji kelajuan tertinggi jentera ini, memandangkan Gixxer 250 ini sebenarnya lebih seronok ditunggang di laluan-laluan yang jauh dari lebuh raya.

Walaupun datang dengan tetapan standard fork teleskopik konvensional dan penyerap hentak tunggal, akan tetapi tetapan inilah yang membuatkan Gixxer 250 sesuai dengan keadaan jalan raya di Malaysia.

Segala gegaran dan ketidakrataan jalan diserap dengan baik, dan masih lagi mampu mengekalkan kestabilan pergerakan sewaktu melayan selekoh-selekoh.

Tayar standard saiz 110/70 depan dan 150/60 di belakang juga sedikit sebanyak membantu Gixxer 250 ini melekat baik pada lapisan aspal jalan, diikuti dengan sistem brek ABS dua saluran yang membantu aspek pemberhentian jentera ini dengan lebih berkesan.

Atas kertas memang boleh nampak kekurangan yang wujud pada jentera ini, namun tidak saat anda membawanya keluar dari garaj untuk menikmati laluan yang sebenar.

 

5. Selesa? Ya!

Salah satu perkara yang membuatkan penulis berpuas hati dengan Gixxer 250 ialah keberkesanan sistem penyejukan enjin itu sendiri.

Secara standard, Gixxer 250 datang dengan sistem sejukan minyak/udara Suzuki Oil Cooling System (SOCS) untuk memastikan kaki kiri dan kanan kekal rasa selesa sepanjang perjalanan.

Sangat berbeza dengan sebuah lagi jentera 250 cc yang penulis pernah tunggang uji sebelum ini, di mana tenaga haba yang terhasil itu boleh membuatkan kaki rasa terbakar walaupun sekadar menempuh perjalanan jarak dekat.

Tapi tidak pada Gixxer 250, di mana penulis dapat membuat perjalanan yang lebih jauh berbanding kebiasaan tanpa perlu berhenti dengan kerap semata-mata untuk menyejukkan kaki.

 

6. Tidak banyak jajan tambahan

Dengan harga jualan sekitar RM14,500, Suzuki Gixxer 250 memang mempunyai beberapa kekurangan yang nyata.

Ciri yang anda mahukan seperti fork hadapan jenis terbalik, ciri penukaran gear pantas, lampu membelok LED, skrin paparan TFT berwarna dan sistem mula tanpa kunci memang tiada langsung dalam senarai spesifikasi jentera ini.

Apa yang anda akan dapat ialah sebuah jentera 250 cc mesra lesen B2 yang agak ringkas, namun masih lagi boleh digunakan untuk berseronok ketika ulang alik ke tempat kerja, atau menikmati oksigen segar bersama rakan-rakan di hujung minggu menuju ke kedai Lemang To’ Ki.

Dengan tangki bahan api sebesar 12 liter, ia sudah mencukupi untuk memastikan anda mencapai jarak tunggangan sejauh 400 km sebelum perlu singgah ke stesen minyak berikutnya.

Kesimpulannya, Suzuki Gixxer 250 mampu menawarkan pengalaman tunggangan dan pengendalian yang baik, dan dalam masa yang sama mengekalkan aspek keselesaan pada julat harga yang lebih mampu milik.

Baik beli motor lain? Itu terpulang kepada pendapat peribadi. Yang pasti, ini antara jentera 250 cc yang sangat seronok untuk ditunggang.

 

Spesifikasi ringkas Suzuki Gixxer 250

Enjin: silinder tunggal 249 cc sejukan udara/minyak
Kuasa: 26.7 hp @ 9,300 rpm
Daya kilas: 22.2 Nm @ 7,300 rpm
Transmisi: Enam nisbah kelajuan
Tangki bahan api: 12 liter
Tinggi pelana: 795 mm

 

Cycle & Carriage jadi pengedar rasmi kenderaan Peugeot di Malaysia

Cycle & Carriage, salah satu jenama automotif terkenal dengan legasi selama 125 tahun itu mengumumkan kerjasama dengan Stellantis Malaysia untuk menambah jenama Peugeot di bawah portfolio produknya.

Untuk permulaan, dua bilik pameran Cycle & Carriage sedia ada yang terletak di Cheras dan Batu Caves akan digunakan untuk mempamerkan kenderaan jenama Peugeot di bawah satu bumbung dengan kehadiran khidmat jualan dan selepas jualan menjelang suku keempat tahun ini (Q4 2024).

Kerjasama dengan Cycle & Carriage ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengembangkan lagi jaringan pengedar Stellantis Malaysia.

Ia bukan sahaja bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan dalam negara, malah untuk mengenal pasti lokasi penting dalam menawarkan perkhidmatan yang berkualiti dan mudah dicapai kepada pelanggan di dalam komuniti.

Selain itu, terdapat juga perancangan untuk memperkenalkan lebih banyak jenama di bawah Stellantis Malaysia, selain mengembangkan jaringan ke utara dan selatan Semenanjung Malaysia bermula tahun 2025.

Menurut Thomas Tok selaku CEO Cycle & Carriage berkata, “kami amat teruja untuk memulakan lembaran baru dengan Stellantis Malaysia, untuk menawarkan barisan produk yang lebih meluas, dibantu dengan kepakaran Cycle & Carriage dalam industri ini selama 125 tahun.

“Ini adalah sejajar dengan strategi kami untuk menawarkan pengalaman yang luar biasa kepada pangkalan pelanggan yang lebih meluas, mengembangkan capaian pasaran dan memacu nilai pemegang kepentingan. Kami percaya pelanggan sedia ada dan pelanggan baru akan mendapat manfaat daripada kerjasama ini,” ujarnya lagi.

Jamie Morais, Pengarah Urusan Stellantis Malaysia berkata, “hari ini menandakan satu pencapaian penting buat Stellantis Malaysia, dan kami teruja untuk mengalu-alukan kehadiran rakan pengedar baharu kami ke dalam jaringan pengedar yang sedang berkembang.

“Reputasi Cycle & Carriage untuk kecemerlangan adalah selari dengan nilai kami, dan kami berharap agar dapat menetapkan piawaian baharu di dalam industri dalam menawarkan pengalaman pelanggan yang tiada tandingannya.

 

Porsche Malaysia tarik minat golongan muda ceburi perlumbaan simulasi

Porsche Malaysia menerusi Sime Darby Auto Performance (SDAP) baru-baru ini menganjurkan kejohanan perlumbaan simulasi Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2024 bersempena dengan penganjuran Porsche Carrera Cup Asia (PCCA) yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada bulan depan.

Kejohanan tersebut terbuka kepada semua rakyat Malaysia bertujuan untuk mencari 10 pelumba simulasi terpantas menerusi format perlumbaan catatan masa terpantas.

Terdapat sehingga tiga kategori umur yang dipertandingkan, iaitu 10-14 tahun, 15-17 tahun, serta 18 tahun dan ke atas, di mana setiap peserta diberikan peluang mengendalikan jentera lumba 911 GT3 Cup generasi 992 menerusi platform Assetto Corsa.

Pusingan kelayakan pertama telah dianjurkan sebelum ini di mana hanya 30 pelumba terpantas akan dipilih berdasarkan format time-trial lima pusingan di Litar Buriram.

Pusingan kelayakan kedua pula baharu sahaja berlangsung di Porsche Centre Ara Damansara pada 27-28 Julai yang lalu, di mana setiap peserta diberikan kelas bimbingan perlumbaan khas, diikuti sesi latihan selama 20 minit di Litar Suzuka.

10 orang finalis dengan catatan masa pusingan terpantas akan mara ke peringkat akhir bertempat di Litar Antarabangsa Sepang pada 9-11 Ogos ini, serentak dengan perlumbaan PCCA 2024 yang akan berlangsung pada tarikh yang sama.

Di sana, kesemua peserta akan diberikan peluang untuk membiasakan diri dengan Litar Sepang ketika sesi latihan bebas selama 30 minit, sebelum cubaan untuk merebut petak pertama dalam sesi kelayakan 15 minit dan berpeluang untuk menambah 10 mata perlumbaan untuk kedudukan keseluruhan.

Kami di Engear.tv turut berkesempatan untuk menyertai sendiri sesi kelayakan kedua yang dianjurkan baru-baru ini di Porsche Centre Ara Damansara.

Sebelum dibenarkan ‘memandu’, kami dibawa menyertai satu kelas bimbingan perlumbaan simulasi oleh pelumba muda Mika Hakimi, merangkumi teknik-teknik pemanduan yang perlu diamalkan semasa di Litar Suzuka.

Selain itu, peserta juga diajar cara untuk menyerang setiap selekoh yang wujud di dalam litar tersebut, bermula dari T1 hinggalah ke selekoh terakhir T18.

Kami juga turut diberikan peluang untuk merasai sendiri berlumba menggunakan rig perlumbaan simulasi taraf T20 yang disediakan di Porsche Centre Ara Damansara.

Biarpun tidak berjaya merekodkan catatan masa yang lebih pantas, pengalaman berharga yang diperoleh sepanjang seharian berkampung di sana tidak akan dapat dilupakan.

Puas hati juga bila dapat mencuba sendiri setup rig simulasi perlumbaan yang jauh lebih mahal berbanding apa yang penulis ada di rumah. Diharapkan lebih banyak acara sebegini dapat dianjurkan pada masa hadapan demi merancakkan lagi arena e-sports Malaysia pada masa akan datang.

 

Pengeluar tempat duduk Recaro Automotive fail kebankrapan

Pengeluar tempat duduk Recaro Automotive dilapor telah memfailkan kebankrapan pada 29 Julai yang lepas.

Menurut media tempatan Heise Online, hampir 1,000 orang pekerja syarikat tersebut tidak menyedari perkembangan terbaharu ini.

Berita ini turut mengejutkan kira-kira 215 pekerja dalam kesatuan IG Metall yang bekerja di kilang Kircheim unter Teck, dekat Stuttgart, Jerman.

Menurut bos IG Metall Alessandro Lieb memberitahu outlet berita Süddeutsche Zeitung, “kami tidak dimaklumkan tentang langkah ini, dan hanya mengetahui hal ini menerusi intranet.”

Recaro Automotive telah menjadi pembekal tempat duduk kepada pelbagai syarikat automotif seperti Aston Martin, Ford, Mitsubishi, Porsche, Volkswagen dan banyak lagi sejak beberapa dekad yang lepas.

Mungkin tidak ramai yang tahu, Recaro sebenarnya bermula sebagai sebuah syarikat pembina koc automotif yang dinamakan sebagai Reuterr Carosserie sejak 1906 lagi, dengan membekalkan binaan badan kereta kepada syarikat seperti Porsche dan Volkswagen.

Pemfailan kebankrapan di Mahkamah Daerah Esslingen ini akan membolehkan operasi Recaro diteruskan di bawah pengawasan pentadbir.

Buat masa ini, pemfailan kebankrapan hanya terpakai untuk Recaro Automotive, manakala syarikat lain yang bertanggungjawab mengeluarkan tempat duduk kanak-kanak, tempat duduk kapal terbang, kerusi gaming dan tempat duduk stadium tidak terjejas.

 

Tayar kereta pecah tiba-tiba, apa nak buat?

Memandu di atas jalan raya Malaysia yang tercinta ini merupakan satu bentuk perjudian yang sangat berisiko.

Nasib baik, anda mungkin akan sampai ke destinasi dengan selamat. Nasib kurang baik, anda mungkin sangkut di pertengahan jalan/lebuh raya disebabkan oleh tayar pancit atau pecah.

Masalah tersebut boleh terjadi akibat beberapa faktor seperti contoh tercucuk bendasing yang tajam, dinding sisi yang mungkin terkoyak akibat impak pelanggaran jalan kawah bulan atau mungkin sekali masalah kebocoran pada struktur injap itu sendiri.

 

Sekiranya masalah ini terjadi, anda mungkin sekali akan berdepan dengan situasi seperti respons stereng yang semakin berat, kesukaran untuk mula bergerak, serta bunyi tayar yang semakin bising.

Kereta anda juga mungkin cenderung untuk melencong ke kiri atau ke kanan, atau hilang kawalan walaupun sedang melalui jalan yang lurus.

Sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini (seperti tayar pecah), usah panik dan cuba ikuti lima langkah yang perlu anda buat:

 

1. Kawal daya brek

Menekan brek secara mengejut mungkin akan membuatkan kenderaan anda hilang kawalan dan mampu membahayakan bukan sahaja nyawa diri sendiri, malah nyawa pengguna lain atas jalan.

Jadi perkara pertama yang perlu anda buat ialah dengan menekan dan mengepam pedal brek dengan perlahan sehingga kenderaan berada pada kelajuan yang boleh dikawal.

Untuk pemilik kereta non-ABS, masa inilah anda merealisasikan ABS – Aku Brek Sendiri!

 

2. Kawal arah stereng dengan lembut

Dalam situasi kecemasan, anda mungkin dapat rasa kereta cenderung untuk ditarik ke kiri atau ke kanan bergantung kepada kedudukan tayar mana yang pecah.

Sama halnya dengan brek, roda stereng juga perlu dikawal dengan baik dan lembut berlawanan dengan arah kecenderungan kereta, dan paling penting pastikan kereta berada dalam laluan yang sepatutnya.

Memulas roda stereng dengan agresif akan membuatkan kereta anda berpusing dan hilang kawalan.

 

3. Gunakan gear rendah

Salah satu cara yang boleh dibuat untuk memperlahankan pergerakan kereta adalah dengan menggunakan teknik brek enjin (engine braking).

Pemilik kereta bertransmisi manual pasti sudah arif dengan teknik ini – tukar sahaja kepada posisi gear yang lebih rendah.

 

4. Nyalakan lampu kecemasan

Pastikan lampu kecemasan dihidupkan semasa dalam proses mengawal dan memberhentikan kereta bagi memberikan amaran kepada pengguna jalan raya yang lain.

Kereta-kereta moden masa kini sudah pun mempunyai ciri nyalaan lampu kecemasan automatik saat berlakunya situasi yang mencemaskan.

Jika anda tergolong dalam kategori pemilik kereta yang olskool, usah risau dan panik kerana lampu kecemasan kereta anda juga boleh diaktifkan secara manual. Anda hanya perlu tahu di mana letaknya butang lampu kecemasan itu pada kereta anda.

Yang anda perlu risau ialah golongan pemandu yang sengaja menyalakan lampu kecemasan sewaktu memandu dalam hujan.

 

5. Segi tiga amaran – mana nak letak?

Semasa berhenti di lorong kecemasan, pastikan anda meletakkan segi tiga amaran pada jarak 45 meter dari belakang kereta yang rosak.

Kebanyakan kereta baharu kini sudah pun dilengkapi dengan kit kecemasan ini, jadi ia bukanlah satu alasan untuk anda mengabaikan aspek keselamatan sewaktu menunggu bantuan tiba.

 

10 kereta produksi paling berkuasa di dunia (Bahagian 2)

Dalam artikel yang terdahulu, kami telah pun menyenaraikan 10 buah kereta produksi dengan angka kuasa kuda paling tinggi di dunia.

Berikut merupakan senarai 10 lagi kereta produksi baharu dengan angka kuasa kuda yang paling tinggi dalam dunia.

 

1. Lucid Air Sapphire

Lucid Air Sapphire merupakan sebuah sedan empat pintu yang direka untuk bersaing dengan Tesla Model S dan Porsche Taycan.

Varian Air Sapphire menggandingkan tiga motor elektrik dengan output keseluruhan 1,234 hp dan 1,939 Nm, menjadikan pecutan 0-96 km/j sepantas 1.9 saat sahaja.

Untuk sekali cas penuh, Air Sapphire boleh bergerak sejauh 687 km.

 

2. Aston Martin Valkyrie

Kereta sports hibrid produksi terhad ini merupakan hasil kerjasama antara Aston Martin dan juga Red Bull.

Dikuasakan oleh enjin V12 aspirasi semula jadi 6.5 liter yang dibina oleh Cosworth yang dipadankan dengan sistem hibrid, Valkyrie mampu menghasilkan kuasa 1,160 hp dan daya kilas 900 Nm.

0-100 km/j? 2.6 saat sahaja!

 

3. Chevrolet Corvette ZR1

Chevrolet baru sahaja mendedahkan model terbaharu Corvette ZR1 yang dibekalkan dengan nadi bentangan V8 flat-plane berkapasiti 5.5 liter turbo berkembar.

Enjin V8 yang paling berkuasa pernah diproduksikan di Amerika itu mampu menjana kuasa setinggi 1,064 hp dan 1,121 Nm yang memacu roda belakang sahaja!

 

4. Mercedes-AMG One

Mercedes-AMG One boleh disifatkan sebagai kereta F1 yang boleh dipandu secara halal atas jalan raya, dengan angka produksi dihadkan sebanyak 275 unit sahaja.

Ia menampilkan enjin F1 bentangan V6 1.6 liter dengan empat motor elektrik, dimana kuasa keseluruhan mampu mencecah 1,049 hp.

Sayang sekali, enjin tersebut hanya mampu bertahan sejauh 50,000 km sebelum ia perlu dibina semula.

Antara pemilik AMG One ini termasuklah Lewis Hamilton, Nico Rosberg, David Coulthard dan Valtteri Bottas.

 

5. Rivian R1T

Trak pikap elektrik tugas ringan Rivian R1T boleh didapati dalam tiga tetapan trenkuasa, di mana konfigurasi paling berkuasa dengan empat motor elektrik mampu menjana sehingga 1,025 hp dan 1,624 Nm, jauh lebih berkuasa berbanding angka 835 hp dan 1,231 Nm yang terdahulu.

Tidak seperti casis ladder frame yang digunakan oleh kebanyakan trak pikap, Rivian R1T menggunakan casis papan selaju yang menggandingkan bateri, sistem penyejukan, suspensi dan brek dalam satu struktur tunggal.

 

6. Tesla Model S Plaid

Walaupun Model S merupakan antara kereta yang tertua dalam senarai ini, namun varian Plaid telah diperkenalkan pada tahun 2021, sembilan tahun selepas Model S dilancarkan.

Dengan tiga motor elektrik, Tesla Model S Plaid mampu menghamburkan kuasa setinggi 1,020 hp dan 1,420 Nm, dengan pecutan 0-96 km/j dalam masa 2.07 saat diikuti kelajuan tertinggi 320 km/j.

 

7. Lamborghini Revuelto

Ini ialah supercar pertama Lamborghini yang mengguna pakai sistem pacuan plug-in hybrid (PHEV) berbanding model seperti Sian FKP 37 dan Countach LPI 800-4 yang dilengkapi dengan sistem hibrid ringan.

Nadi V12 6.5 liter NA (814 hp/725 Nm) digandingkan dengan tiga motor elektrik (187 hp/336 Nm) dengan kuasa keseluruhan 1,001 hp dan 1,062 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 2.5 saat, sementara kelajuan tertinggi pula melebihi 350 km/j.

 

8. GMC Hummer EV Edition 1

GMC Hummer EV merupakan kenderaan elektrik bateri dengan berat yang mampu mencecah 4,500 kg.

Varian Edition 1 didatangkan dengan tiga motor elektrik berkuasa 1,000 hp, jarak gerak sejauh 529 km, pakej Extreme Off-Road, dan ciri pergerakan Crab Walk.

Selain daripada versi trak pikap, GMC Hummer EV juga boleh didapati dalam versi SUV lima pintu.

 

9. Ferrari SF90

Ferrari SF90 dilengkapi dengan enjin bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar, tiga motor elektrik, dan pek bateri berkapasiti 7.9 kWh yang membenarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 26 km.

Kuasa keseluruhan mampu mencecah 986 hp dan daya kilas maksimum 800 Nm.

Menariknya, SF90 tidak mempunyai gear undur, di mana operasi tersebut diambil alih oleh dua motor elektrik yang duduk pada gandar hadapan.

 

10. Tesla Cybertruck Cyberbeast

Model trak pikap elektrik yang paling banyak menimbulkan kontroversi untuk tahun 2024 ini turut mempunyai varian yang paling berkuasa – Cyberbeast.

Varian tiga motor elektrik itu berupaya menghasilkan 845 hp dan daya kilas 1,396 Nm, di mana pecutan 0-96 km/j adalah sepantas 2.6 saat sahaja.

Dengan opsyen penambah jarak, Cyberbeast boleh bergerak sejauh 710 km.

Masalah utama yang melanda para pemilik Cybertruck ialah kualiti binaan yang kurang memuaskan, serta kemasan luaran keluli tahan karat yang cenderung untuk berkarat.

Mitsubishi mahu sertai pakatan Honda-Nissan

Mitsubishi Motors dilapor akan menyertai pakatan automotif Honda-Nissan dalam usaha untuk meningkatkan daya saing dan bertahan dalam pasaran yang sangat kompetitif.

Perkembangan terbaharu ini dilihat akan membahagikan industri automotif Jepun kepada dua kumpulan besar, iaitu Toyota Motor Group serta pakatan Honda-Nissan-Mitsubishi.

Menurut laporan Nikkei, Mitsubishi Motors telah menandatangani perjanjian yang tidak boleh didedahkan (NDA) dengan pengeluar kedua dan ketiga terbesar di Jepun itu.

Untuk tahun fiskal berakhir Mac 2024, Honda mencatatkan jualan sebanyak 4.1 juta unit di peringkat global, diikuti dengan Nissan sebanyak 3.44 juta unit. Dengan jumlah jualan Mitsubishi sekitar 810,000 unit, pakatan tersebut akan mempunyai jumlah jualan sebanyak 8.35 juta unit.

Sebagai perbandingan, Toyota selaku pengeluar automotif terbesar telah membentuk pakatan dengan pengeluar seperti Daihatsu, Suzuki, Subaru, Mazda dan Hino Motors, menjadikan jumlah jualan kenderaan secara keseluruhan mencecah 16 juta unit.

Butiran khusus berkenaan perjanjian antara Mitsubishi dan Honda-Nissan akan dimuktamadkan kelak.

Namun menurut laporan itu lagi, ketiga-tiga jenama itu berhasrat untuk menyeragamkan perisian dalam kenderaan, selain melengkapkan barisan kenderaan masing-masing terutama berkaitan elektrifikasi rangkaian kuasa dan segmen kenderaan mini.

 

Royal Enfield Himalayan 2024 rasmi, dari RM30,600

Didi Group selaku pengimport dan pengedar tunggal motosikal jenama Royal Enfield di Malaysia telah pun selesai melancarkan model Himalayan bertempat di Art Of Speed 2024 baru-baru ini.

Ia dikuasakan oleh enjin Sherpa 452 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 40 PS @ 8,000 rpm dan daya kilas maksimum 40 Nm @ 5,500 rpm.

Dengan jarak lega bumi yang agak tinggi (230 mm), Royal Enfield Himalayan turut mempunyai suspensi jenis long travel terdiri daripada fork hadapan Showa 43 mm jenis terbalik dan penyerap hentak tunggal belakang untuk memudahkan urusan menawan pelbagai bentuk muka bumi.

Royal Enfield Himalayan mengekalkan kombinasi rim aloi aluminium bersaiz 21 inci depan/17 inci belakang, dengan saiz tayar belakang 140/80 yang lebih lebar untuk memberikan lebih cengkaman.

Tangki bahan api sebesar 17 liter itu telah direka semula untuk memberikan keselesaan kepada penunggang, diikuti dengan pilihan tinggi pelana bermula serendah 805 mm dan boleh diubah kepada 845 mm bergantung kepada ketinggian penunggang.

Segala info penting boleh dibaca menerusi skrin paparan berbentuk bulat TripperDash yang turut menawarkan fungsi navigasi pemetaan menggunakan Google Maps Platform, dan bimbingan audio lebih daripada 130 bahasa dunia.

Penunggang boleh memilih untuk menetapkan mod tunggangan Performance atau Eco menerusi tetapan pendikit ride-by-wire, serta mematikan fungsi ABS roda belakang untuk pengalaman tunggangan off-road yang lebih mengujakan.

Royal Enfield Malaysia turut menawarkan lebih daripada 30 pilihan aksesori asli untuk Himalayan, termasuklah kotak storan aluminium, penghadang angin yang lebih tinggi, lampu kabus LED, mudguard, pelana rali, beg lembut dan bermacam-macam lagi.

Terdapat tiga varian ditawarkan, iaitu Base (warna Kaza Brown), Pass (Slate Himalayan Salt atau Slate Poppy Blue), serta Summit (Hanle Black atau Kamet White) dengan harga jualan bermula dari RM30,600 hingga RM32,200.

 

10 kereta produksi paling berkuasa dalam dunia (Bahagian 1)

Suatu ketika dahulu, kereta produksi sebenar dengan kuasa melebihi 1,000 hp agak sukar untuk ditemukan.

Namun dengan kemajuan teknologi semasa, ia kini sudah menjadi satu kelaziman di mana tiap pengeluar berlumba-lumba untuk menghasilkan kereta yang mampu menghamburkan sehingga dua ribu kuasa kuda, baik kereta berenjin pembakaran dalaman atau kereta berkuasa elektrik.

Selagi wujudnya teknologi yang lebih maju, perlumbaan mengejar kuasa kuda tertinggi ini tidak akan padam.

Berikut merupakan senarai kereta produksi baharu yang paling berkuasa wujud di atas muka bumi ini:

 

1. Koenigsegg Gemera

Koenigsegg Gemera merupakan sebuah grand tourer empat tempat duduk, dan dibekalkan dengan nadi V8 hibrid 5.0 liter yang mampu menjana kuasa setinggi 2,300 hp dan daya kilas 2,750 Nm.

Mahukan versi yang kurang berkuasa? Boleh dapatkan varian berenjin tiga silinder sebaris 2.0 liter hibrid, dengan output keseluruhan 1,400 hp dan 1,800 Nm.

Itu pun mungkin tidak akan dihasilkan oleh Koeniggsegg dalam masa terdekat memandangkan majoriti pemilik Gemera lebih menggemari nadi V8.

 

2. Lotus Evija

Lotus yang sangat terkenal dengan kereta-kereta ringan kini mula menceburkan diri dalam penghasilan kereta sports/supercar elektrik.

Evija yang diperkenalkan pada tahun 2019 mempunyai tetapan empat motor elektrik, setiap satu menjana kuasa 503 PS dengan kuasa keseluruhan 2,011 hp dan 1,704 Nm.

Kereta sports produksi terhad ini mampu bergerak sejauh 346 km, terima kasih kepada pek bateri 93 kWh.

 

3. Aspark Owl

Nama tak macam kereta Jepun, tapi Aspark Owl sebenarnya merupakan sebuah kereta sports elektrik yang dibangunkan oleh firma kejuruteraan Aspark yang berasal dari Negara Matahari Terbit.

Dengan tetapan empat motor elektrik (satu untuk setiap roda), Aspark Owl mampu menghasilkan kuasa 1,984 hp dan tork 2,000 Nm.

Pek bateri 69 kWh membolehkan ia bergerak sejauh 451 km untuk sekali cas penuh.

 

4. Pininfarina Battista

Sebuah lagi kereta pantas berkuasa elektrik yang wujud dalam senarai yang dihasilkan oleh Automobili Pininfarina GmbH.

Ia turut dikuasakan oleh empat motor elektrik dengan output keseluruhan mencecah 1,900 hp dan tork 2,300 Nm.

Pengecasan penuh bateri membolehkan kereta ini bergerak sejauh 450 km.

 

5. Rimac Nevera

Supercar buatan Rimac ini lahir dalam kilang sama yang turut digunakan untuk memasang Pininfarina Battista.

Rimac Nevera dipasangkan dengan empat motor elektrik yang menggerakkan setiap roda, menghasilkan kuasa 1,888 hp dan 2,360 Nm, dan kelajuan tertinggi mencecah 412 km/j – antara EV paling pantas dalam dunia.

 

6. Hennessey Venom F5

Hennessey Special Vehicles mula menghasilkan kereta sports Venom F5 sejak tahun 2020 di mana terdapat beberapa variasi yang ditawarkan kepada pelanggannya.

Tanpa mengira versi yang telah habis dijual atau versi Roadster yang sedang diproduksikan, setiap satu unit datang dengan nadi bentangan V8 6.6 liter turbo berkembar, menjana kuasa setinggi 1,817 hp dan daya kilas 1,617 Nm.

Kelajuan maksimum? Lebih 500 km/j!

 

7. Bugatti Tourbillon

Ini ialah kereta sports hibrid yang bakal diproduksikan bermula tahun 2026, Bugatti Tourbillon.

Dihadkan sebanyak 250 unit sahaja, Bugatti Tourbillon membawakan enjin bentangan V16 bersesaran 8,355 cc yang dipadankan dengan tiga motor elektrik.

Enjin itu sahaja berupaya menjana 986 hp/900 Nm, namun dengan bantuan motor elektrik, Tourbillon mampu menghasilkan kuasa setinggi 1,775 hp dan 3,000 Nm.

0-100 km/j adalah sepantas 2.0 saat, diikuti 0-200 km/j bawah lima saat, sementara 0-400 km/j pula di bawah tempoh 25 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 380 km/j.

 

8. Koenigsegg CC850

Dibina sebagai satu penghormatan kepada model CC8S, Koenigsegg CC850 merupakan kereta produksi terhad sebagai sambutan ulang tahun kelahiran pengasasnya Christian von Koenigsegg yang ke-50.

CC850 meminjam enjin bentangan V8 5.0 liter turbo berkembar daripada model Jesko, dengan output 1,385 hp dan 1,385 Nm, atau 1,185 dengan menggunakan bahan api biasa.

 

9. SSC Tuatara

SSC Tuatara pada asalnya dikuasakan enjin bentangan V8 6.9 liter turbo berkembar, namun kapasiti enjin telah diturunkan kepada 5.9 liter bagi membolehkan ia mencapai garis merah yang lebih tinggi (8,800 rpm).

Menurut SSC, Tuatara berupaya menghasilkan kuasa setinggi 1,350 hp/1,735 Nm, atau sehingga 1,750 hp dengan menggunakan bahan api E85.

 

10. Czinger 21C VMax

Kereta dalam senarai terakhir ini dihasilkan oleh pengeluar automotif Amerika, Czinger Vehicles.

21C secara asasnya merupakan kereta sports hibrid dengan enjin V8 2.88 liter yang dipadankan dengan tiga motor elektrik, berkuasa 1,250 hp dan 1,830 Nm.

Pecutan 0-96 km/j hanyalah sepantas 1.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 407 km/j!

Lexus RZ 450e Luxury 2024 – Galeri Gambar & Ulasan Pandu Uji Ringkas

Lexus Malaysia telah pun selesai melancarkan SUV elektrik pertama jenama itu, Lexus RZ 450e 2024 untuk pasaran tempatan.

Ditawarkan dalam unit yang terhad, Lexus RZ450e hadir dengan spesifikasi tunggal Luxury, di mana ia didatangkan standard dengan tetapan motor elektrik berkembar.

Motor hadapan mampu menjana kuasa 204 hp/266 Nm, sementara motor gandar belakang pula 109 hp/169 Nm.

Secara keseluruhan, Lexus RZ 450e mampu menghasilkan kuasa setinggi 308 hp yang memacu sistem pacuan semua roda DIRECT4.

Pek bateri berkapasiti 71.4 kWh pula membenarkan jarak pemanduan sejauh 440 km untuk sekali cas penuh, selain menyokong pengecasan AC 11 kW dengan tempoh pengecasan penuh 6.5 jam, atau pengecasan pantas DC sehingga 150 kW (tempoh dipendekkan kepada 30 minit).

Antara ciri yang dimuatkan pada Lexus RZ 450e termasuklah sistem gantungan topang MacPherson/Double Wishbone, sistem stereng berkuasa elektronik (EPS), rim aluminium bersaiz 20 inci, lampu projektor Bi-AHS LED dengan fungsi suluhan tinggi adaptif, lampu belakang rekaan L-Bar, pemegang pintu e-Latch luar dan dalam, serta ‘jeriji hadapan’ Lexus Spindle Body.


Ruang kabin pula mendapat kelengkapan skrin kluster instrumen tujuh inci TFT, skrin infohibur sebesar 14 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk balutan Ultrasuede dengan larasan lapan tahap untuk pemandu dan penumpang, roda stereng balutan kulit sintetik, sistem pendingin hawa tiga zon, serta tombol penukaran gear jenis shift-by-wire.

Tidak ketinggalan, sepanjang perjalanan anda akan ditemani dengan alunan muzik daripada sistem bunyi keliling Mark Levinson Premium dengan 13 pembesar suara tersedia.

Selain daripada ciri keselamatan pasif seperti 7 beg udara, ABS, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TCS) dan bermacam-macam lagi, Lexus RZ 450e turut dilengkapi dengan Lexus Safety System+ yang merangkumi ciri berikut:
• Sistem Pra-Pelanggaran Hadapan (PCS)
• Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC) dengan fungsi Stop & Go dan Curve Speed Reduction
• Sistem Pengekalan Lorong (LKS) dengan fungsi Bantuan Pengesanan Lorong (LTA) dan Amaran Keluar Lorong (LDA)
• Bantuan Suluhan Tinggi Adaptif (AHS)

Terdapat juga dua ciri yang khusus untuk kenderaan Lexus, iaitu Lexus Parking Assist Monitor serta Lexus Teammate Advanced Park yang dibantu dengan fungsi kamera pemantauan keliling panorama (PVM).

Harga jualan Lexus RZ 450e 2024 bermula dari RM429,888.

 

Ulasan Pandu Uji Ringkas


Serentak dengan sesi pandu uji yang disediakan untuk Lexus LBX 2024 tempoh hari, kami turut diberikan peluang untuk merasai sendiri pemanduan SUV elektrik ini dalam perjalanan pulang dari Janda Baik ke Lexus Mutiara Damansara.

Impresi pertama kami, Lexus RZ 450e boleh dipertimbangkan sebagai satu alternatif jika anda tidak berminat untuk mendapatkan SUV elektrik buatan Jerman yang turut dijual dalam julat harga yang sama.

Prestasi pecutan yang ditawarkan oleh Lexus RZ 450e juga adalah apa yang anda harapkan daripada sebuah SUV dengan konfigurasi dua motor elektrik.

Ia tidaklah seagresif kereta elektrik yang memang ditala untuk prestasi, tapi memadai dan cukup untuk anda memalukan mana-mana kereta yang masih menggunakan bahan bakar fosil di persimpangan lampu isyarat.

Berdasarkan pemanduan di lebuh raya, anda boleh merasakan tahap NVH Lexus RZ 450e berada pada tahap yang selesa.

Cuma, kuasa 308 hp yang dihamburkan itu tidak diseimbangkan dengan talaan suspensi yang bersesuaian untuk laluan berliku, dan anda boleh rasa sendiri olengan badan SUV seberat 2 tan ini yang agak ketara bila mana Lexus RZ 450e ini dibawa dengan agresif.

Penulis faham, Lexus RZ 450e bukanlah sebuah SUV berprestasi tinggi bertaraf F-Sport, jadi kelemahan ini boleh dimaafkan memandangkan perasaan yang sama turut dialami ketika penulis pernah memandu uji sebuah SUV elektrik buatan Jerman yang bukan versi prestasi tinggi.

Untuk ruang kabin pula, pendekatan konsep Tazuna yang diterapkan itu sememangnya sangat membantu pemandu dalam menumpukan perhatian penuh pada pemanduan atas jalan. Gugusan butang operasi diminimumkan, di mana hanya butang penting sahaja yang masih dikekalkan.

Cuma, penulis rasa sedikit ralat kerana mana-mana kereta baharu Lexus kini (termasuklah RZ 450e ini) tidak lagi disertakan dengan jam analog di bahagian tengah.

Tidak banyak yang boleh dikongsikan buat masa ini memandangkan tempoh masa pandu uji yang sangat singkat. Mungkin lebih banyak info bakal kami ulas sekiranya ada peluang untuk memandu uji Lexus RZ 450e ini pada masa hadapan.

 

Lima Perkara Enak & Kurang Enak Pada Mercedes-Benz GLE 450 CKD – Pandu Uji

Selagi penulis belum dapat merasai sendiri pemanduan di dalam model GLS atau G-wagen, GLE 450 kekal menjadi SUV yang paling besar pernah penulis pandu dalam sejarah hidup.

SUV mewah dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk ini telah pun dikemas kini untuk model tahun 2024 beberapa bulan yang lepas.

Ia menampilkan beberapa perubahan bersifat kosmetik di bahagian luar, diikuti kemaskini pada ruang kabin serta naik taraf kuasa pada unit rangkaian kuasa sedia ada.

Jika anda lihat SUV ini sekali imbas di atas jalan, mungkin agak sukar untuk membezakannya dengan versi terdahulu.

Namun setelah memandu ujinya selama beberapa hari, ada beberapa perkara yang membuatkan penulis rasa GLE 450 CKD ini sukar untuk dipertimbangkan pembeliannya.

 

1. Unit pencahayaan lebih ringkas dan minimalis

Percaya atau tidak, lampu sebenarnya memainkan peranan penting dalam memastikan penampilan SUV ini lebih elegan di atas jalan raya.

Jika unit GLE terdahulu datang dengan grafik DRL berbentuk boomerang, kali ini GLE 450 datang dengan grafik yang lebih ringkas.

Samalah juga halnya dengan lampu belakang, di mana grafik LED menjadi lebih nipis.

Masih lagi nampak segak dan elegan di atas jalan, namun imejnya mungkin tenggelam jika duduk sebelah dengan GLE 450 yang lama.

 

2. Rupa masih sama

Jika sebelum ini anda mengharapkan GLE 450 membawakan perubahan yang lebih dramatik, lupakan saja niat itu, kerana GLE 450 tahun 2024 masih mengekalkan imej luaran yang hampir serupa.

Ya, anda boleh lihat bampar hadapan kini tampil lebih agresif, struktur jeriji hadapan juga yang lebih kemas, namun itu sahaja perubahan yang wujud.

Rekaan rim bersaiz 21 inci AMG itu masih lagi sama diguna pakai daripada model terdahulu, malah susun atur papan pemuka juga kekal tidak berubah.

 

3. Roda stereng kini mesra habuk, cap jari

Antara perkara yang penulis kurang gemar pada GLE 450 selain daripada dua poin yang disebutkan di atas ialah rekaan roda stereng.

Roda stereng GLE 450 kini lebih sporti dan canggih dengan operasi berasaskan sentuhan, namun ia bukanlah poin utama yang cuba diketengahkan.

Penulis cuma berharap agar Mercedes-Benz global dapat mengembalikan semula kemasan yang lebih premium pada roda stereng mana-mana model bagi menggantikan penggunaan plastik hitam.

Ini kerana apa yang penulis perasan plastik hitam tersebut lebih gemar memerangkap habuk dan cap jari, di mana pemilik/pemandu nampaknya perlu kerap mengelap bahagian tersebut dengan kain.

 

4. Enjin berkuasa, tapi transmisi ‘potong stim’

Mercedes-Benz GLE 450 masih lagi mengekalkan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo, namun dengan peningkatan kuasa kepada 375 hp @ 5,800 rpm dan daya kilas 500 Nm @ 1,800-5,000 rpm.

Ia juga turut mendapat sistem hibrid ringan 48 voltan, menampilkan sistem ISG generasi kedua yang mampu memberikan kuasa ekstra 20 hp dan 200 Nm.

Atas kertas, ia nampak mengujakan, namun ada kalanya transmisi automatik 9GTronic itu sedikit mengecewakan saat lampu merah bertukar hijau.

Bermula dengan gear pertama, ia tidak memberikan masalah untuk menggerakkan anak gajah seberat 2 tan ini, namun pemanduan dirasakan tidak begitu lancar dan sedikit tersengguk apabila sistem kotak gear mahu membuat penukaran gear yang berikutnya (dari gear satu ke gear dua).

 

5. Harga lebih mahal, walaupun status CKD

Apa yang pasti, Mercedes-Benz GLE 450 CKD ini tidak datang dengan harga yang lebih murah.

Model SUV yang dipasang di Pekan, Pahang ini dijual pada harga bermula dari RM528,888 atas jalan tanpa insurans, atau RM13 ribu lebih mahal berbanding model terdahulu.

Jika anda boleh berkompromi dengan lima perkara di atas, lima perkara berikutnya ini mungkin sekali akan membuatkan anda rasa ini sebuah SUV famili yang patut dipertimbangkan.

 

1. SUV yang selesa untuk seisi keluarga

 

GLE 450 membawakan kelebihan yang sukar untuk ditandingi – aspek keselesaan untuk seisi keluarga, terutama bila duduk di baris kedua.

Ini kerana GLE 450 menawarkan fungsi keselesaan yang hampir sama dengan penumpang hadapan, seperti corong pendingin hawa kiri, tengah dan kanan, kawalan iklim berasingan, tempat duduk yang boleh dilaras sudut sandarannya, serta ruang kepala dan kaki yang boleh tahan luasnya!

Bumbung panorama yang cukup besar membolehkan penumpang belakang menikmati pemandangan persekitaran yang cantik apabila pulang ke kampung halaman.

Tidak ketinggalan, terdapat slot pengecasan USB-C disediakan untuk kegunaan mengecas peranti pintar sepanjang perjalanan.

 

2. Berat, tapi lincah

Harus diingat, Mercedes-Benz GLE 450 sejak azali merupakan sebuah SUV dengan berat melebihi dua tan.

Memang berat, akan tetapi dengan sistem enjin dan pacuan semua roda yang cekap, sepanjang masa anda mungkin terlupa ia sebuah SUV yang berat.

Dengan kuasa enjin 381 hp dan 500 Nm, pecutan 0-100 km/j hanya memakan masa 5.6 saat sahaja, menjadikan ia sebuah SUV yang agak lincah terutama apabila dibelasah di laluan yang berselekoh.

Tayar Continental SportContact6 yang dibekalkan standard dari kilang juga sedikit sebanyak membantu memastikan SUV ini melekat dengan baik di atas pelbagai keadaan permukaan jalan.

Berdasarkan data, penulis berjaya mencapai kadar penggunaan bahan api serendah 9.0 liter/100 km.

 

3. Suspensi boleh laras tinggi rendah

Secara standard, Mercedes GLE 450 dibekalkan dengan sistem gantungan udara Airmatic yang dibantu dengan sistem peredam adaptif ADS+.

Bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih, sistem ini akan menaikkan atau merendahkan tetapan ketinggian jarak lega bumi, selain memudahkan anda untuk memuat naik barangan di ruang kargo sebesar 630 liter itu.

Sepanjang masa, penulis lebih gemar mengekalkan mod Comfort yang lebih sesuai dengan keadaan jalan raya Malaysia yang tidak sempurna ini, ia cukup selesa dan mampu menyerap segala ketidakrataan jalan tanpa memberikan efek negatif kepada pemandu dan penumpang.

Namun, anda juga boleh menetapkan mod pemanduan tersendiri dengan mengubah tetapan respons enjin, ESP dan suspensi supaya menjadi lebih sporti.

 

4. Mod pemanduan Off-road

Seperkara yang membuatkan GLE 450 unik ialah kehadiran mod pemanduan baharu Off-road.

Selain dengan tetapan suspensi yang lebih tinggi dan pemanduan yang mementingkan aspek cengkaman yang lebih optimum, ia turut memberikan amaran kepada pengguna supaya tidak menggunakan mod ini di atas jalan raya umum, dengan kelajuan dihadkan kepada 110 km/j sahaja.

Mod Off-road ini turut menyediakan paparan bawah kenderaan supaya pemandu dapat memeriksa kewujudan benda yang mampu menghalang pemanduan di hadapan, tapi terlindung di sebalik badan yang gedabak ini. Kucing contohnya.

 

5. Dari sudut pandang pemandu

Secara keseluruhannya, pemanduan GLE 450 model tahun 2024 ini tidak banyak membawakan perubahan yang ketara.

Ia menawarkan tempat duduk yang cukup selesa dan mampu memegang erat tubuh pemandu sepanjang perjalanan, dengan respons stereng yang memadai – tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan.

Aspek NVH juga cukup baik untuk sebuah Mercedes-Benz, di mana bunyi bising yang datang dari luar berjaya ditepis dan ditapis dengan berkesan.

Bunyi bising enjin hanya akan kedengaran apabila ia dikerah dengan kasar, namun tidaklah sampai boleh mengganggu pendengaran, samalah juga halnya dengan bunyi bising angin.

Berbanding dengan model-model SUV Mercedes lain yang menggunakan tetapan dua panel iPad yang serupa, penulis paling suka rekaan papan pemuka yang digunakan pada GLE 450, nampak seperti papan pemuka yang lebih konvensional.

GLE 450 juga masih lagi mengekalkan kewujudan butang fungsi fizikal yang diperlukan pada papan pemuka dan konsol tengah, dibantu dengan kehadiran pad sesentuh bagi memudahkan urusan mencari menu di dalam skrin tanpa perlu menekan skrin sentuh.

Untuk tidak memeningkan kepala, Mercedes-Benz Malaysia hanya menawarkan varian tunggal sahaja untuk GLE-Class, jadi anda hanya perlu berfikir dengan lebih panjang sebelum membuat keputusan untuk melabur wang bernilai lebih setengah juta untuk mendapatkan SUV yang selesa untuk kegunaan keluarga.

 

Spesifikasi ringkas Mercedes-Benz GLE 450 4MATIC 2024 CKD


Enjin: Enam silinder sebaris 3.0 liter turbo
Kuasa: 381 hp, 500 Nm
Elektrifikasi: Sistem hibrid ringan 48V, 20 hp/200 Nm
Transmisi: 9GTronic Automatik
Pacuan: Semua roda 4MATIC
Pecutan: 0-100 km/j 5.6 saat
Kelajuan Tertinggi: 250 km/j
Harga: RM528,888

 

Pusingan akhir GR GT Cup musim 7 berlangsung di Sunway University 27-28 Julai ini

UMW Toyota Motor menjemput rakyat Malaysia yang berminat dengan perlumbaan simulasi Gran Turismo 7 untuk menyaksikan sendiri pusingan akhir Toyota Gazoo Racing GT Cup 2024 musim ketujuh yang akan berlangsung di Sunway University Campus 27 hingga 28 Julai ini.

Acara selama dua hari itu terbuka kepada umum, di mana pusingan separuh akhir akan berlangsung pada 27 Julai untuk memilih pelumba simulasi terpantas akan akan bertempur pada 28 Julai untuk merebut hadiah terkumpul bernilai RM120,500.

Peringkat separuh akhir bakal menyaksikan 20 pelumba memandu Toyota GR Corolla MORIZO Edition di litar Alsace, Perancis, serta Toyota GR Supra RZ di litar Deep Forest Raceway, Switzerland.

10 peserta terpantas akan mara ke peringkat akhir untuk mengendalikan jentera prototaip GR010 di Litar Monza, Itali dan jentera lumba GR Supra Racing Concept di litar Circuit De La Sarthe Le Mans, Perancis.

Antara yang bakal mencuri tumpuan umum pada tahun ini ialah Taj Izrin Aiman Taj Madira yang sedang memburu gelaran juara untuk kali keempat menentang naib juara tahun lalu Danesh Wigneswaran dan Chong Kai Chang, serta Muhammad Iqbal selaku juara tahun 2022.

Pusingan akhir GR GT Cup ini juga bakal menampilkan perlumbaan khas melibatkan TGR Rookies, para pengamal media, serta 10 pelumba terpantas dari GR Tour yang terdiri daripada pelajar Sunway University, USM Nibong Tebal, MMU, UKM dan UiTM Pasir Gudang.

Orang ramai juga dijemput untuk mencabar kemahiran diri berlumba dan berpeluang membawa pulang hadiah istimewa.

Terdapat juga pameran model kenderaan diecast Tomica serta barangan eksklusif Gazoo Racing untuk dibeli, serta pameran kenderaan-kenderaan terkini Toyota.

Menurut Presiden UMW Toyota, Datuk Ravindran K berkata, “perlumbaan simulasi terus berkembang di peringkat global, dan kini diiktiraf sebagai langkah penting untuk mana-mana individu yang berhasrat untuk beralih kepada perlumbaan sebenar.

“Ia juga turut menjadi pra-syarat penting dalam pemilihan dan latihan calon yang mahu menyertai Program Pembangunan Pelumba Muda Gazoo Racing untuk peluang bertempur sebagai seorang Rookie dalam GR Vios Challenge,” ujarnya lagi.