All posts by Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

Gachaco buka perkhidmatan perkongsian bateri skuter elektrik di Jepun kepada umum

Syarikat Big Four Jepun (Kawasaki, Suzuki, Yamaha dan Honda) serta syarikat tenaga Eneos telah membentuk Gachaco – perkhidmatan penukaran bateri skuter elektrik di pasaran Jepun.

Pada mulanya, Gachaco hanya disasarkan untuk kegunaan perniagaan dan penghantaran barangan sahaja dan hanya boleh digunakan untuk sesetengah model skuter elektrik Honda, seperti Benly e:, Gyro e:, Gyro Canopy e: dan EM1 e:.

 

 

Hanya EM1 e: sahaja satu-satunya model yang boleh dijual kepada umum di mana individu yang berminat boleh mendapatkan pelan langganan penukaran bateri yang ditawarkan oleh Gachaco.

Dengan mengubah status bateri sebagai sebuah perkhidmatan dan mengecualikannya daripada harga jualan, pelanggan Honda boleh mendapatkan skuter EM1 e: tersebut pada harga yang lebih rendah, sekitar 97,200 yen (RM3,167).

 

 

Apa yang mereka perlu buat adalah dengan melanggan perkhidmatan penukaran bateri Gachaco bergantung kepada penggunaan semasa.

Seperti contoh, pelan aras mula hanyalah sekitar 1,078 yen/bulan (RM35/bulan), sementara pelan standard berharga 2,805 yen/bulan (RM91.39/bulan).

 

 

Gachaco juga turut menawarkan opsyen pembayaran untuk setiap penggunaan (pay-per-use) dengan kos 180 yen untuk setiap kWh (RM5.86/kWh).

Buat masa ini, perkhidmatan penukaran bateri Gachaco yang menggunakan unit bateri Honda Mobile Power Pack e: itu hanya boleh didapati di Jepun sahaja.

BYD bakal pintas Tesla sebagai pengeluar EV terbesar dunia – laporan

Setelah sekian lama Tesla memegang gelaran sebagai pengeluar EV terbesar dunia, keadaan tersebut mungkin akan berubah sedikit masa lagi.

Ini kerana menurut laporan Bloomberg, syarikat China BYD dijangka akan memintas Tesla dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Berbanding Tesla, BYD mempunyai kelebihan dari segi penawaran model yang lebih inovatif pada harga yang lebih mampu milik, membolehkan mereka menjual kenderaan dalam volum yang lebih tinggi.

 

Di China sendiri, BYD kekal mendominasi carta jualan kenderaan tenaga baharu untuk tempoh 18-24 Disember 2023 dengan mengalahkan Tesla di tempat kedua.

Sepanjang tempoh tersebut, BYD telah mendaftarkan sebanyak 63,900 unit kenderaan, peningkatan sebanyak 23.6 peratus berbanding minggu terdahulu, diikuti Tesla (18,500 unit EV) dengan peningkatan sebanyak 1.09 peratus.

Untuk tempoh antara 1 hingga 24 Disember, BYD telah berjaya menjual sebanyak 180,000 unit EV di China, sementara Tesla pula mencatatkan jumlah jualan sebanyak 60,200 unit EV untuk tempoh yang sama.

 

 

Kerjasama Huawei-Seres lancar SUV elektrik Aito M9, saiz BMW X7, jarak gerak 630 km

Disebabkan saiz pasaran China yang agak besar, tidak menghairankan apabila wujudnya pelbagai syarikat kerjasama antara nama-nama besar seperti Geely-Baidu, serta beberapa pengeluar peranti pintar terkemuka, seperti Huawei.

Syarikat kerjasama Huawei-Seres baharu sahaja melancarkan SUV flagship enam tempat duduk Aito M9 yang menampilkan teknologi Huawei yang terkini.

 

 

Ia membawakan ukuran yang lebih besar berbanding BMW X7, dengan dimensi sepanjang 5,230 mm, lebar 1,999 mm, tinggi 1,800 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,110 mm, selain angka pekali seretan serendah 0.264 Cd sahaja!

Terdapat dua pilihan trenkuasa ditawarkan untuk M9.

Versi elektrik penuh menampilkan dua motor elektrik berkuasa 523 hp, dan pek bateri CATL 97.7 kWh yang menawarkan jarak gerak sejauh 630 km untuk sekali cas penuh.

 

 

Sementara versi range extender pula mempunyai nadi 1.5 liter turbo yang bertindak sebagai unit penjana kuasa untuk dua motor elektrik 490 hp dan pek bateri CATL dengan pilihan kapasiti 42 atau 52 kWh.

Tetapan range extender itu membolehkan M9 bergerak sejauh 1,362 hingga 1,402 km untuk gandingan bateri cas penuh dan tangki bahan api penuh.

Ciri unik yang wujud pada model M9 ini ialah projektor terbina pada bahagian hadapan yang dapat mengubah mana-mana permukaan rata menjadi paparan sebesar 100 inci, diikuti projektor laser pada ruang kabin dengan panel sebesar 32 inci yang boleh disimpan.

 

 

Papan pemuka M9 menjadi perumah kepada tiga skrin, terdiri daripada skrin kluster digital 12.3 inci, skrin tengah 15.6 inci dan skrin depan penumpang bersaiz 16 inci, diikuti dengan skrin paparan head-up 75 inci dan sistem audio 2,080 watt dengan 25 pembesar suara serta teknologi pengurangan bunyi aktif.

Terdapat empat lagi tambahan tablet paparan untuk penumpang baris belakang, di mana kesemuanya dijalankan dengan sistem operasi HarmonyOS 4 Huawei.

Kesemua enam tempat duduk dalam ruang kabin M9 mempunyai larasan berkuasa elektrik sehingga 14 tahap, fungsi pemanasan dan pengudaraan, serta boleh dikonfigurasikan mengikut keperluan.

 

 

Dari segi keselamatan, Aito M9 dilengkapi dengan sistem Huawei ADS 2.0 dan 27 unit penderia.

Di pasaran China, Aito M9 sudah boleh ditempah pada harga bermula dari 469,800 yuan hingga 569,800 yuan (RM304,481-RM369,292).

Jiyue 07 – sedan elektrik kerjasama Geely dan Baidu, platform SEA, pesaing Tesla Model 3

Geely nampaknya sangat serius untuk bersaing dengan Tesla di pasaran China.

Selepas pengenalan model Jiyue 01 sebagai pesaing terus kepada Tesla Model Y, pasaran China kini menerima kehadiran model baharu Jiyue 07, sebuah sedan fastback berkuasa elektrik yang bakal memberikan cabaran kepada Tesla Model 3.

 

Jiyue 07 berkongsi platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang sama digunakan pada Volvo EX90, EX30, Polestar 4, dan kebanyakan model Zeekr.

Secara standard, varian asas 07 dilengkapi dengan motor elektrik 268 hp dan pel bateri 71.4 kWh, sementara versi pacuan semua roda pula hadir dengan motor elektrik berkembar 536 hp dan pek bateri 100 kWh.

 

Rekaan luaran 07 ini banyak berkongsi dengan SUV 01 yang telah diperlihatkan sebelum ini, di mana ia mendapat sepasang lampu utama yang agresif, bar LED melengkung, diikuti unit lampu belakang yang hampir sama.

Berdasarkan imej teaser yang dibekalkan sebelum ini, ruang kabin 07 pula menampilkan susun atur yang minimalis, bermula dengan skrin tunggal yang memanjang, diikuti dengan rekaan roda stereng jenis yoke.

Decathlon hasilkan e-bike dengan kerangka aluminium, jarak gerak 160 km

Siapa yang tidak kenal dengan jenama Decathlon?

Bermacam jenis barangan sukan dan aktiviti riadah anda boleh dapatkan di kedai tersebut, dengan harga jualan yang lebih mampu milik.

 

Jangan tak tahu, Decathlon juga kini mula menawarkan produk berbentuk basikal berkuasa elektrik menerusi jenama Van Rysel.

Basikal yang digelar sebagai Van Rysel E-EDR AF Apex ini merupakan percubaan pertama Decathlon di dalam segmen basikal jalanan elektrik ultra-ringan di mana ia menggunakan kerangka aluminium dengan berat sekitar 14 kg sahaja.


Bukan itu sahaja, selain daripada aluminium basikal ini menggunakan komponen fork hadapan yang diperbuat daripada bahan karbon, bertujuan untuk memberikan pengendalian yang lebih lincah.

Ia menggunakan motor elektrik Mahle X35 berkuasa 250W (0.34 hp) dan daya kilas 250 Nm dengan tiga tetapan bantuan, diikuti dengan sistem gear Sram APEX 12 nisbah kelajuan, dibantu dengan sistem brek hidraulik Sram APEX.


Pek bateri 250Wh 36 voltan itu membenarkan jarak sejauh 160 km untuk sekali cas penuh.

Menurut Decathlon, e-bike baharu ini telah menjalani ujian menyeluruh dalam dunia sebenar untuk tempoh enam bulan.

Decathlon meletakkan tanda harga jualan Van Rysel E-EDR AF Apex ini bermula dari 2,800 euro (RM14,318).

Pra-produksi sedan elektrik Volvo ES90 bermula, lancar Mei 2024?

Penerbitan Sweden, Teknikens Värld melaporkan Volvo kini sudah pun memulakan pra-produksi sedan elektrik pertama mereka.

Ini adalah berdasarkan gambar rahsia yang berjaya diperoleh dari kilang Cixi, Wilayah Zhejiang berserta memo dalaman yang turut merangkumi spesifikasi awalan sedan elektrik tersebut.

EV dengan kod nama dalaman V551 itu bakal menggunakan nama rasmi ES90, selain berkongsi platform SPA2 yang sama dengan model SUV EX90.

Volvo ES90 itu membawakan ukuran sepanjang 4,990 mm, lebar 1,945 mm, tinggi 1,547 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,102 mm.

Ini menjadikan Volvo ES90 bersaing secara terus dengan sedan elektrik di dalam segmennya seperti BMW i5, Mercedes-Benz EQE dan Audi A6 e-tron.

Selain itu, sedan elektrik itu juga mempunyai berat sekitar 2,600 kg untuk versi dua motor elektrik AWD, dan 2,500 kg untuk versi motor elektrik tunggal pacuan roda belakang (RWD).

Pek bateri besar berkapasiti 111 kWh pula menawarkan jarak gerak sejauh 600 km untuk versi motor elektrik tunggal.

Menurut laporan itu lagi, produksi bersiri sedan elektrik tersebut akan bermula pada Mei 2024.

 

Volkswagen Golf GTI elektrik muncul tahun 2026

Ketua unit rekaan Volkswagen dalam satu hantaran di laman Instagram mendedahkan pengeluar automotif itu akan melancarkan sebuah hot hatch berkuasa elektrik pada tahun 2026.

Andreas Mindt turut berkongsi di laman media sosialnya lakaran sebuah Golf GTI yang asal sekali dengan lakaran model konsep ID. GTI yang telah pun diperlihatkan secara rasmi beberapa bulan lepas.

 

Lakaran tersebut mencadangkan VW akan menggunakan nama ‘Golf’ untuk model produksi ID. GTI.

Volkswagen Golf GTI pertama kali muncul pada acara Frankfurt Motor Show 1975 dengan angka produksi sebanyak 5,000 unit sahaja.

Sehingga kini, Volkswagen telah menjual lebih daripada 2.8 juta unit Golf GTI.

Beberapa bulan lepas, Volkswagen telah mendedahkan model konsep ID. GTI, gambaran kepada model hot hatch berkuasa elektrik yang bakal dilancarkan kelak.

Ia membawakan rupa luaran yang lebih sporti, rim yang diinspirasikan daripada GTI Mk1, perumah lampu yang sengaja digelapkan, trim merah, serta rekaan kokpit yang retro moden.

Kanada mahukan semua kereta baharu sifar emisi tahun 2030

Kerajaan Kanada mengumumkan pelaksanaan undang-undang Electric Vehicle Availability Standard pada minggu ini, di mana ia turut merangkumi langkah untuk mengharamkan penjualan kenderaan baharu yang menghasilkan emisi pada tahun 2035.

Pendek kata, negara itu mahu semua kereta baharu terdiri daripada kenderaan sifar emisi, termasuklah EV dan kereta hidrogen.

Pelaksanaan peraturan baharu itu juga tidaklah terus mengharamkan penjualan kenderaan yang dilengkapi enjin pembakaran dalaman.

Selain daripada kenderaan sifar emisi yang disebutkan tadi, kenderaan plug-in hybrid (PHEV) juga boleh dikategorikan dalam kumpulan yang sama selagi ia dilengkapi dengan mod pemanduan EV untuk jarak minimum yang telah ditetapkan.

Kanada menyasarkan tahun 2026 di mana 20 peratus daripada kereta baharu mestilah terdiri daripada kenderaan sifar emisi (ZEV), di mana sasaran itu akan meningkat kepada 60 peratus pada tahun 2030.

 

Jangan tertipu dengan rupa luaran Porsche 911 Everrati ini

Golongan ‘purist’ berkemungkinan besar tidak akan menggemari idea restomod kereta-kereta klasik menjadi sebuah kereta elektrik.

Namun, itu semua tidak menghalang syarikat Everrati untuk menjalankan projek mereka yang seterusnya, sebuah Porsche 911 yang kelima berkuasa elektrik.

Lebih menarik lagi, ia bukanlah sebuah 911 yang biasa-biasa, sebaliknya Everrati telah mengubah salah satu daripada 51 buah Porsche 911 (964) RSR 3.8 menjadi sebuah EV!

 

 

Kereta sports berwarna kuning ini didatangkan lengkap dengan badan gentian karbon yang lebar, rim HRE three-piece 18 inci, penggunaan bahan kulit Bridge of Weir, serta sangkar keselamatan untuk melindungi penumpang.

Enjin asal ICE RSR ini telah pun dibuang jauh-jauh, dan digantikan dengan motor elektrik dengan pecutan 0-96 km/j dalam masa 3.7 saat.

Pek bateri 63 kWh pula membolehkan 911 RSR ini bergerak sejauh 322 km selain menyokong pengecasan AC dan DC.

Jika anda salah seorang daripada pemilik 911 yang ‘rare’, mahukah anda korbankan kereta tersebut menjadi sebuah jentera yang lebih mesra alam?

Nio bakal lancar jenama baharu Alps, Firefly yang lebih mampu milik

Selain daripada menawarkan harga jualan yang lebih rendah berbanding pesaing, salah satu strategi yang turut digunakan oleh kebanyakan pengeluar automotif China ialah dengan memperkenalkan jenama baharu untuk menarik perhatian pembeli baharu.

Nio seperti contoh dilapor akan melancarkan sub-jenama Firefly (bukan syarikat penerbangan) di Eropah pada tahun 2025.

 

Berdasarkan beberapa laporan terdahulu, syarikat baharu Firefly ini akan melancarkan kenderaan dengan julat harga antara 100,000 yuan hingga 200,000 yuan (RM65k-RM131k).

Tidak terhenti setakat Firefly, Nio juga mahu memperkenalkan sebuah lagi sub-jenama Alps dengan model kenderaan berharga antara 200,000 yuan hingga 300,000 yuan (RM131k-RM197k).

 

Laporan Reuters menyebut, presiden Nio Lihong Qin mengesahkan jenama Firefly itu akan mendarat di Eropah pada tahun 2025.

Jenama Nio telah pun bertapak di beberapa buah negara di Eropah, dengan julat harga jualan bermula antara €50,000 hingga €91,000 (RM256k-RM465k).

Harga jualan yang agak mahal menjadikan Nio sukar untuk menjual model kenderaan mereka dalam unit yang besar.

Namun, dengan pelancaran jenama baharu Alps dan Firefly dijangka mampu mengubah keadaan tersebut pada masa akan datang.

 

Alfa Romeo janji kekalkan penawaran sedan dalam era EV

Berita baik buat para peminat jenama Alfa Romeo, di mana pengeluar itu dijangka akan mengekalkan penawaran bentuk badan sedan klasik bagi model Giulia yang dijangka muncul tahun 2026.

Giulia EV merupakan satu daripada dua kereta segmen D Alfa Romeo yang bakal dilancarkan kelak, sebuah lagi merupakan pengganti kepada Stelvio.

Bercakap kepada Autocar sewaktu acara pratonton crossover baharu Milano, CEO-nya Jean Philippe Imparato menegaskan pengganti Giulia akan tetap mengekalkan bentuk sedan tradisional, biarpun mengetahui segmen tersebut semakin mengecil.

Beliau berkata, “bentuk badan (sedan) akan membuat kemunculan semula. Saya tidak mahu Alfa Romeo menjadi sebuah jenama SUV.”

 

Giulia EV juga berkemungkinan besar akan membawakan profil yang menggandingkan elemen sedan dan wagon, sama seperti model shooting brake Genesis G70 dan Mercedes CLA.

“Saya tidak mahu berputus asa dalam pasaran sedan. Ia adalah DNA Alfa untuk mempunyai sebuah sedan sporti. Namun saya juga mengakui terdapat cadangan untuk menghasilkan Giulia versi station wagon (estate).”

Alfa Romeo juga turut memberikan bayangan kemunculan semula model ikonik GTV dan Duetto dalam era EV.

“Langkah seterusnya yang sedang kami lakukan ialah: apakah jawapan untuk model GTV, dan apakah jawapan untuk model Duetto? Namun ia belum muktamad, dan saya tidak mahu mengulas tentangnya.

 

EV pertama Xiaomi mampu gerak sejauh 800 km!

Pengeluar peranti pintar China, Xiaomi dijangka akan melancarkan model kereta elektrik pertama SU7 dalam masa terdekat.

Berdasarkan info daripada laman CNEVPost, sedan coupe itu dikatakan mempunyai jarak gerak sejauh 800 km.

Xiaomi SU7 boleh didapati dengan dua saiz pek bateri, iaitu 73.6 kWh (BYD) dengan dua pilihan jarak pemanduan, iaitu sejauh 628 km dan 668 km, serta kapasiti 101 kWh (CATL) yang menawarkan jarak gerak 750 km dan 800 km.

Dari segi ukuran, Xiaomi SU7 merupakan sebuah model sedan saiz pertengahan dengan dimensi sepanjang 4,997 mm, lebar 1,963 mm, tinggi, 1440 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,000 mm.

Di pasaran China, saiz SU7 adalah jauh lebih besar berbanding sedan Tesla Model 3 dan Nio ET5.

Difahamkan terdapat tiga varian utama yang bakal ditawarkan kepada pengguna, iaitu SU7, SU7 Pro dan SU7 Max.


Varian asas SU7 akan dilengkapi dengan pek bateri lithium-ion phosphate yang dibekalkan oleh BYD, serta menampilkan motor elektrik tunggal.

Sementara dua lagi varian (SU7 Pro & Max) pula mendapat bateri lithium ternary-ion daripada CATL, di mana kedua-dua varian tersebut bakal menerima tetapan dua motor elektrik.

Dalam laporan yang sama, Xiaomi bakal melancarkan dua model tambahan menjelang tahun hadapan, selepas pelancaran SU7 yang lebih dikenali dengan kod dalaman Modenat.

Model kedua (kod dalaman Lemang) pula merupakan sebuah kenderaan elektrik bateri (BEV) yang sama seperti Modenat, sementara model ketiga (kod Kunlun) merupakan sebuah kenderaan hibrid.

 

Masalah Autopilot, Tesla panggil semula lebih 2 juta unit kereta

Disebabkan oleh kekurangan kawalan yang terdapat pada fungsi Autopilot, Tesla perlu memanggil semula (recall) hampir kesemua kenderaan yang dijual di pasaran Amerika Syarikat.

Kempen terbaharu ini melibatkan lebih dua juta unit kenderaan termasuklah Tesla Model S, Tesla Model X, Tesla Model 3 dan Tesla Model Y.

Agensi National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) telah melakukan penyiasatan terhadap teknologi Autopilot sejak tahun 2021 lagi, dan mendapati sistem tersebut tidak mempunyai kawalan mencukupi bagi mengelakkan ia daripada disalahguna oleh pemandu Tesla.

Menerusi kemaskini perisian, sistem Autopilot akan didatangkan dengan kawalan tambahan untuk memastikan pemandu sentiasa bersedia di belakang stereng, selain meringkaskan lagi fungsi Autosteer.

Kemaskini terbaharu itu juga akan turut merangkumi fungsi nyahaktif Autosteer sekiranya sistem mengesan pemandu yang gagal menumpukan perhatian sepanjang sistem tersebut diaktifkan.

 

Pengeluar London Taxi bakal tawarkan minivan elektrik, inspirasi daripada Airbus A380

Anda mungkin sekali pernah dengar salah satu jenama yang kini dimiliki oleh Geely, iaitu London Electric Vehicle Company (LEVC).

Ya, ia sebenarnya merupakan syarikat sama yang menghasilkan teksi London LEVC TX dengan spesifikasi yang lebih moden, dan dikuasakan oleh trenkuasa penambah jarak (range extender).

 

 

Kelak, LEVC bakal memperluaskan lagi perniagaan mereka dengan menawarkan produk baharu berbentuk sebuah minivan elektrik yang diinspirasikan daripada Airbus A380.

LEVC L380 (nama pun dah hampir serupa) membawakan rekaan luaran yang minimalis, di mana unit lampu utama terletak pada bahagian bampar depan, jalur LED nipis, rekaan pemegang pintu tertanam serta perumah kaca yang tinggi.

Ia dibina berdasarkan platform Space Oriented Architecture (SOA) Geely, dengan keupayaan untuk membawa enam hingga lapan orang pada satu-satu masa.

 

 

LEVC L380 akan dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 268 hp yang dipadankan dengan pek bateri nickel-cobalt-manganese (NMC), besar kemungkinan berkapasiti antara 73 hingga 120 kWh.

Difahamkan, LEVC L380 akan memasuki pasaran China pada tahun hadapan sebagai pesaing kepada minivan daripada Denza, Zeekr, Trumpchi, Toyota dan juga Volvo.

 

Honda e tidak lagi dijual di Eropah

Berita sedih untuk para peminat Honda, di mana pengeluar itu mengesahkan mereka tidak lagi akan menawarkan hatchback comel Honda e untuk pasaran UK dan Eropah.

Bercakap kepada laman TopGear.com, Honda tidak lagi akan menerima tempahan bagi model tersebut memandangkan ia telah mencapai misi yang disasarkan.

Menurut Honda, model e telah banyak menarik golongan pelanggan baharu dengan rekaan, teknologi termaju, serta dinamik pemanduan Honda yang tersendiri.

Antara punca ia kurang mendapat sambutan ialah harga jualan yang agak tinggi (bermula dari £37 ribu atau RM218 ribu) untuk sebuah EV dengan jarak gerak sejauh 220 km sahaja.

Honda e akan digantikan secara terus oleh model crossover elektrik e:NY1.

 

Volkswagen mahu kerjasama Renault bangunkan EV mampu milik, atasi saingan EV dari China

Volkswagen kini sedang merancang untuk membangunkan kereta elektrik yang lebih murah untuk berdepan dengan saingan daripada pengeluar China.

Menurut laporan Automotive News Europe, Volkswagen dikhabarkan telah berhubung dengan Renault untuk perbincangan peringkat awal, dan salah satu sasaran yang ditetapkan ialah untuk mencapai produksi tahunan berjumlah 200,000 hingga 250,000 unit.

Wakil jurucakap Renault menghubungi Automotive News dan menyebut, “kami sedang dalam perbincangan yang berbeza, tetapi tiada sebarang keputusan dimuktamadkan.

Volkswagen pula enggan mengulas lanjut.

 

 

Renault sebelum ini telah memperlihatkan sebuah model konsep Twingo yang bakal diposisikan sebagai kereta elektrik aras mula, dan akan dijual seawal tahun 2026.

Selain Twingo, Renault akan menggunakan senibina Ampr Small (sebelum ini dikenali sebagai CMF-BEV) untuk model seperti R5 dan juga R4, di mana hampir 70 peratus komponen datang daripada platform CMF-B sedia ada untuk mengurangkan kos pembangunan.

Volkswagen pula sebelum ini mendedahkan sebuah model ID.2all dengan kos kurang dari €25,000 (RM126,063), sebelum disusuli dengan sebuah lagi EV yang lebih mampu milik dengan julat harga dibawah €20,000 (RM100k).

Kerjasama antara kedua-dua belah pihak itu dilihat mampu untuk mempercepatkan proses pembangunan, selain dapat mengurangkan penguasaan pasaran EV daripada pesaing jenama automotif China yang kian berkembang di pasaran tersebut.

BYD kuasai pasaran China sepanjang November 2023, diikuti VW, Toyota

Syarikat pengeluar kereta BYD terus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu di pasaran China untuk tempoh 10 bulan berturut-turut dengan jumlah jualan kenderaan sebanyak 250,115 unit pada November 2023, dengan penguasaan pasaran sebanyak 12.02 peratus.

Di tempat kedua pula dikuasai oleh jenama Volkswagen yang turut mengekalkan kedudukan dengan jumlah jualan 207,423 unit, peningkatan sebanyak 31.2 peratus dan penguasaan pasaran 9.97 peratus.

Sementara Toyota pula kekal di kedudukan ketiga dengan jumlah jualan 141,746 unit kenderaan, di mana pengeluar Jepun itu menguasai 6.81 peratus pasaran.

Tempat keempat dan kelima pula masing-masing jatuh kepada Geely dan Honda, dengan Geely menguasai 5.17 peratus manakala Honda pula 5.11 peratus.

 

 

BYD juga menunjukkan kekuatannnya di dalam segmen kenderaan elektrik tulen dengan jumlah jualan sebanyak 133,785 unit, dan penguasaan pasaran sekitar 27.03 peratus.

Pengenalan Model 3 facelift ternyata mampu meletakkan Tesla di tempat kedua dengan jumlah jualan sebanyak 65,504 unit.

Tempat ketiga, keempat dan kelima dalam carta jualan EV masing-masing dikuasai oleh Wuling, Aion dan Volkswagen.

Laman CarNewsChina turut menyenaraikan tiga model dengan jumlah jualan yang tertinggi sepanjang bulan November, diketuai oleh Tesla Model Y (49,877 unit), diikuti BYD Seagull (40,594 unit) dan Nissan Sylphy (39,105 unit).

 

Stellantis, Ample lancar perkhidmatan kongsi EV, bateri mudah tukar dalam lima minit

Stellantis telah bekerjasama dengan sebuah syarikat pemula dari California, Ample untuk melancarkan armada perkongsian kereta yang dilengkapi dengan teknologi penukaran bateri.

Untuk permulaan, sebanyak 100 buah unit kereta elektrik (EV) Fiat 500e akan diletakkan di bawah perkhidmatan perkongsian kenderaan Stellantis Free2move, di mana setiap satu akan dilengkapi dengan teknologi penukaran bateri modular yang boleh ditukar dalam masa lima minit.

Ia bakal dilancarkan buat pertama kali di Madrid, Sepanyol pada tahun 2024 di mana Ample sudah pun bertapak di situ.

Apa yang menarik berkenaan program ini ialah keupayaan untuk disesuaikan mengikut keperluan pemandu, sama ada untuk pemanduan jarak dekat atau jarak jauh.

Ini bermakna, jika pemandu mahu bergerak di dalam bandar sahaja, modul bateri berkapasiti kecil akan dipasang pada kereta tersebut, dan sebaliknya untuk pemanduan jarak jauh pada hujung minggu.

Teknologi penukaran bateri Ample ini membuat kemunculan pada tahun 2021 di California, di mana tempoh penukaran bateri yang telah siap dicas sepenuhnya memakan masa kira-kira 10 minit.

Namun begitu, Ample telah menambahbaik teknologi sedia ada pada tahun ini, di mana tempoh menunggu berjaya disingkatkan kepada lima minit.

Morgan XP-1, jentera tiga roda berkuasa elektrik, boleh gerak 241 km, berat bawah 700 kg!

Untuk sebuah syarikat yang sudah terkenal dengan penghasilan jentera yang ringan seperti Lotus, membina sebuah kenderaan berkuasa elektrik yang ringan mungkin sekali satu perkara yang sukar.

Ini kerana, komponen elektrik seperti pek bateri dan motor itu sendiri mampu menyumbang kepada penambahan berat badan yang ketara.

 

 

Menerusi model XP-1, Morgan ternyata mampu menunjukkan mereka berjaya menghasilkan sebuah EV yang ‘ringan’ dengan meminimumkan penambahan berat badan.

Dibina menggunakan model Super 3 sebagai asas, XP-1 dibekalkan dengan unit pacuan kuasa elektrik yang dibangunkan secara dalaman oleh Morgan.

Untuk meminimumkan kos pembangunan, para jurutera Morgan telah menempatkan motor elektrik berkuasa 134 hp di dalam terowong transmisi sedia ada.

 

 

Pek bateri kecil berkapasiti 33 kWh pula mampu membenarkan jarak gerak sejauh 241 km untuk sekali cas penuh, selain menyokong pengecasan pantas dan keupayaan pengecasan dua arah.

Walaupun dengan penambahan motor elektrik dan pek bateri, Morgan XP-1 mencatatkan jisim seberat 700 kg, atau 60 kg lebih berat berbanding model Super 3.

Talaan yang dibuat pada beberapa bahagian seperti bawah badan, roda dan muka hadapan menjadikan angka pekali seretan XP-1 menurun kepada 0.42, berbanding 0.65 pada model asal.

 

 

Aspek pemanduan dibantu dengan sistem gantungan boleh laras Nitron, diikuti dengan empat mod pemanduan yang digambarkan menggunakan simbol cili pada skrin paparan digital.

Buat masa ini, Morgan tidak mendedahkan harga jualan sebenar bagi model XP-1, namun sekadar perbandingan Morgan Super 3 dijual pada harga bermula dari $53,938 (RM252,052) di pasaran Amerika Syarikat.

 

Tesla hasilkan Cybertruck untuk kanak-kanak, boleh dipandu sejauh 19 km!

Setelah sekian lama, Tesla akhirnya melancarkan trak pikap bersegi Cybertruck, dengan harga jualan yang lebih mahal berbanding jangkaan asal, dan jarak gerak menurun kepada 515 km sahaja.

Usah risau jika harga sebenar Tesla Cybertruck ini jauh di luar kemampuan, kerana Tesla sebenarnya ada menawarkan model yang lebih mampu milik untuk dibawa pulang, sekitar $1,500 (RM6,995).

Cuma kekurangannya, ia hanya mampu memuatkan dua orang kanak-kanak sahaja.

Memperkenalkan Cybertruck for Kid, dengan kos sekitar $1,050 sahaja dan masih lagi membawakan elemen penggayaan rekaan sesiku L yang sama seperti Cybertruck sebenar, diikuti mod undur, dan penggunaan tayar getah.

Cybertruck for Kids ini direka untuk kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun, dengan berat sekitar 72 kg dan mampu menampung had berat maksimum 68 kg sahaja.

 

Ia digerakkan oleh motor elektrik berkuasa 500 watt (0.7 hp) yang memacu roda belakang, dengan kelajuan tertinggi 16 km/j yang boleh dihadkan kepada 8 km/j sahaja.

Pek bateri lithium-ion pula membenarkan jarak gerak sejauh 19 km untuk sekali cas penuh.

Buat masa ini, ia hanya dipasarkan untuk Amerika Syarikat terlebih dahulu.