SEMAKAN audit mendapati prestasi perolehan dan penerimaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) dan RMKe-12 adalah rendah berbanding sasaran yang ditetapkan.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 menyatakan TLDM hanya menerima empat kapal sahaja berbanding 18 yang dirancang, iaitu sebanyak 22.2 peratus berbanding sasaran.
“TLDM sepatutnya membuat perolehan 10 kapal misi pesisir (LMS) di bawah RMKe-11 dan RMKe-12, namun hanya empat kapal LMS telah selesai dibuat perolehan dan diterima setakat 31 Disember 2022,” kata laporan itu.
“TLDM juga sepatutnya menerima dua kapal Multi Role Support Ship (MRSS) di bawah RMKe-12, tetapi perolehan hanya akan dilaksanakan di bawah RMKe-13 kerana kekangan peruntukan.”
Tambahnya lagi, keadaan ini menyebabkan TLDM masih menggunakan kapal yang melebihi usia guna bagi tujuan operasi.
Selain itu, faktor yang mempengaruhi ketidakcapaian sasaran pegangan kapal ialah kelewatan penyiapan lima Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Kapal tersebut sepatutnya disiapkan dan diterima pada tahun 2019 hingga 2022, namun sehingga Disember 2022, kapal tersebut masih belum diterima.
Justeru itu, berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 April 2022, kerajaan telah memutuskan untuk mengurangkan perolehan kapal LCS sebanyak satu unit sahaja.
Menurut LKAN yang dikeluarkan semalam, 18 buah kapal yang sepatutnya diterima TLDM adalah terdiri daripada 10 buah kapal LMS, 6 kapal LCS dan dua kapal MRSS.
Mercedes-Benz Malaysia hari ini melancarkan tiga model berprestasi tinggi AMG untuk pasaran tempatan, iaitu Mercedes-AMG C 63 S E Performance F1 Edition, Mercedes-AMG GLA 45 S 4MATIC+ dan Mercedes-AMG GLB 35 4MATIC.
Ketiga-tiga model baharu ini kini boleh dilihat dengan lebih dekat di acara Mercedes-Benz World yang dianjurkan di KL Base, Sungai Besi bermula 5-7 Julai ini.
Berikut merupakan spesifikasi ringkas tiga model AMG yang dilancarkan sebentar tadi:
Mercedes-AMG C 63 S E Performance F1 Edition (RM958,888)
Pencabar kepada BMW M3 ini dibekalkan dengan nadi empat silinder sebaris 2.0 liter turbo yang dipadankan dengan motor elektrik 201 hp, menghasilkan kuasa keseluruhan 680 hp dan 1,020 Nm.
Dengan output 238 hp per liter, ia menjadikan sedan C 63 S E Performance ini sebagai sebuah pengubah permainan dalam sejarah 55 tahun AMG.
Edisi F1 yang dibawakan ini menampilkan ciri-ciri unik seperti kemasan warna kelabu alpine MANUFAKTUR, logo AMG yang besar, garis trim merah, diikuti dengan lencana eksklusif, alas lantai F1 Edition dan logo F1.
Mercedes-AMG C 63 S E Performance F1 Edition dijual pada harga bermula dari RM958,888 atas jalan tanpa insurans.
Mercedes-AMG GLA 45 S 4MATIC+
Crossover pantas GLA 45 S 4MATIC+ ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 2.0 liter 421 hp dan 500 Nm, membolehkannya memecut sepantas 4.3 saat dari 0-100 km/j.
Seperti yang telah dilancarkan di peringkat global tahun ini, GLA 45 S 4MATIC+ membawakan perubahan kosmetik bersifat minima, seperti apron hadapan bentuk baharu, logo AMG pada bonet, unit pencahayaan MULTIBEAM LED baharu, serta perubahan kecil pada lampu belakang LED.
Ruang kabin pula menampilkan skrin berkembar 10.25 inci dengan paparan spesifik AMG, roda stereng AMG Performance balutan Nappa/mikrofiber MICROCUT, serta sistem infohibur MBUX yang lebih berkuasa.
Harga jualan bermula dari RM539,888.
Mercedes-AMG GLB 35 4MATIC
Mereka yang mahukan jentera AMG yang lebih praktikal boleh mendapatkan model crossover wagon Mercedes-AMG GLB 35 4MATIC.
Nadi empat silinder sebaris 2.0 liter turbo berkuasa 306 hp itu kini dipadankan dengan sistem penjana pemula pacuan tali sawat (RSG) 48 voltan yang membekalkan kuasa tambahan 13 hp.
Dengan bantuan sistem pacuan semua roda dan transmisi AMG Speedshift DCT lapan kelajuan, GLB 35 4MATIC ini mampu memecut sepantas 5.5 saat dari 0-100 km/j sebelum mencapai kelajuan tertinggi 250 km/j.
Antara perubahan yang dibawakan termasuklah rekaan apron hadapan baharu, unit pencahayaan MULTIBEAM LED dengan bantuan Adaptive Highbeam Assist Plus, serta grafik lampu belakang yang direka semula.
Sementara ruang kabin pula membawakan rekaan roda stereng AMG Performance baharu balutan kulit Nappa, butang fungsi AMG, sistem infohibur MBUX generasi terkini, seta tidak ketinggalan paparan spesifik AMG.
Harga jualan Mercedes-AMG GLB 35 4MATIC bermula dari RM418,888.
Acara pameran Mercedes-Benz World dibuka kepada umum dari jam 10 pagi hingga 6 petang, di mana Mercedes-Benz Malaysia menampilkan kesemua 30 model dari pelbagai segmen kenderaan termasuklah Mercedes-Benz C 350 e, Mercedes-AMG C 43 4MATIC, Mercedes-Benz EQE 350+ dan Mercedes-Benz EQE 350+ SUV.
Turut dipamerkan ialah kereta pertama di dunia, Benz Patent Motor Car yang muncul pada tahun 1886 dan dikuasakan oleh enjin satu liter menghasilkan kuasa sekitar 0.6 hp sahaja.
Selain smart, anak syarikat Proton iaitu Pro-Net akan menguruskan satu lagi jenama EV iaitu Proton e.MAS.
Dalam satu kenyataan rasmi, Pro-Net berkata ia telah diberikan tanggungjawab untuk membangunkan jenama e.MAS bagi mengukuhkan pasaran serta menjalankan persiapan untuk pelancaran produk yang akan datang.
Pro-Net akan merekrut sebuah pasukan yang berdedikasi, menubuhkan rangkaian pengedar yang kukuh serta menjalinkan kerjasama dengan syarikat pengecas bagi memastikan ekosistem EV berjalan dengan lebih lancar.
Melihat rekod prestasi daripada pelancaran smart #1 yang kini menjadi pesaing utama dalam segmen SUV premium dan juga pengenalan smart #3 yang akan datang, Pro-Net telah bersiap sedia untuk menerajui jenama Proton e.MAS.
Tambah Pro-Net, ia akan memanfaatkan rangkaiannya yang kukuh, berserta pengembangan platform digitalnya dan juga kakitangan yang pakar dalam teknologi EV bagi memastikan e.MAS bukan sahaja dapat menyaingi tetapi juga melangkaui kejayaan yang dinikmati oleh smart.
Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, menyatakan keyakinannya terhadap keupayaan Pro-Net.
“Kepakaran yang telah dibangunkan oleh Pro-Net sepanjang dua tahun lepas meletakkan kami pada kedudukan yang unik bagi mengangkat jenama Proton e.MAS ke barisan hadapan dalam industri EV di Malaysia.
Bakal pelanggan kami bukan sahaja akan mendapat manfaat daripada rangkaian perkhidmatan yang menyeluruh, malah, melebihi jangkaan mereka, sama seperti pemilikan pengalaman premium yang disediakan kepada pemilik kenderaan smart,” kata Dr. Li.
Pemenang peraduan teka jenama baharu
Keterujaan terhadap jenama e.MAS jelas dilihat apabila lebih dari 25,000 peserta telah menyertai peraduan meneka jenama baru tersebut. Berikut adalah senarai pemenang:
Hadiah Utama RM5,000 – Puteri Hanna Batrisha binti Ibrahim
Hadiah Naib Johan RM1,500 – Noor Hidayah Binti Mohd Rodzi
Hadiah Ketiga RM1,000 – Ahmad Norrizzuan Bin Noor Azhar
Selain itu, Pro-Net mengumumkan bahawa akaun media sosial rasmi Proton e.MAS kini aktif dengan nama pengguna “Proton e.MAS Cars” di Facebook dan Xiaohongshu, dan “@protonemasofficial” di Instagram dan TikTok.
Goodyear Malaysia mengumumkan pelancaran kempen “Win A Car” bermula hari ini sehingga 31 Oktober 2024.
Kempen eksklusif ini menawarkan peluang membawa pulang sebuah kereta mewah berjenama Mercedes-Benz, serta hadiah peranti pintar iPhone 15 untuk dimenangi setiap dua minggu dengan setiap pembelian dua atau lebih tayar bersaiz 17 inci dan ke atas.
Untuk mengambil bahagian, pelanggan boleh mengikuti langkah-langkah mudah seperti berikut:
Langkah 1: Beli dua atau lebih biji tayar Goodyear berukuran 17” dan ke atas dari mana-mana kedai Goodyear yang mengambil bahagian atau Kedai Rasmi Goodyear Malaysia di Lazada, Shopee atau baucar Goodyear Grab (SNPL).
Langkah 2: Daftar dan sertai melalui pautan pendaftaran goodyear2024.co
Dengan pembelian mana-mana tayar Goodyear, setiap pelanggan layak untuk mendapatkan pakej jaminan komprehensif Worry Free Assurance (WFA) dengan jaminan perlindungan daripada bahaya jalan raya (road hazard) selama satu tahun.
Pelanggan juga akan mendapat pemeriksaan keselamatan tayar secara percuma sebanyak dua kali, serta jaminan lima tahun untuk sebarang ketidaksempurnaan tayar yang dibeli.
Menurut Hugh Yun, Pengarah Urusan Goodyear Malaysia, tujuan utama kempen ini adalah untuk memberi kembali kepada pelanggan atas sokongan mereka yang telah menjadikan Goodyear sebagai peneraju industri.
“Kami teruja untuk membawa promosi ini kepada pelanggan setia kami. Kempen ini adalah peluang untuk kami mengesahkan kedudukan Goodyear sebagai peneraju dalam industri tayar di Malaysia. Kami komited untuk terus memperkenalkan produk yang inovatif unutk memastikan pelanggan kami dapat menikmati perjalanan yang selamat dan menyeronokkan ke mana sahaja mereka pergi.”
“Kempen ’Win a Car’ menunjukkan komitmen kami untuk menyediakan tayar premium terunggul yang memenuhi keperluan pengguna. Kami juga ingin meyakinkan rakyat Malaysia bahawa Goodyear kekal sebagai jenama tayar yang paling boleh dipercayai dan mereka boleh terus bergantung pada Goodyear untuk menikmati prestasi tayar berkualiti premium,” kata Hugh Yun
PROTON mengumumkan bahawa untuk bulan Jun 2024, ia berjaya menjual sebanyak 10,999 unit kenderaan bagi pasaran domestik dan eksport. Pencapaian itu membolehkan pengeluar kereta nasional itu mengekalkan kedudukan kedua dalam carta jualan automotif.
Jumlah jualan Jun dilihat sedikit lebih rendah berbanding Mei di mana Proton merekodkan jualan sebanyak 12,522 unit. Menurut Proton, jualan untuk bulan lepas terganggu akibat penutupan kilang selama seminggu yang dirancang untuk peningkatan operasi berjadual.
Bagaimanapun, secara keseluruhan syarikat itu mencapai pegangan pegangan pasaran sebanyak 19.1% untuk bulan lalu, sama dengan angka pegangan pasaran tahun sehingga kini (YTD). Jumlah jualan untuk separuh pertama tahun 2024 ditutup pada 73,696 unit.
Menurut syarikat itu lagi, jumlah volum industri (TIV) untuk Jun dijangka terendah untuk mana-mana bulan tahun ini. Sebanyak 57,700 unit dianggarkan terjual bulan lepas, lebih rendah daripada April yang sebelum ini digelar sebagai bulan terendah akibat cuti perayaan yang panjang.
Walau bagaimanapun, angka TIV untuk enam bulan pertama tahun 2024 dianggarkan sebagai 386,600 unit, hampir 20,000 unit lebih daripada tempoh yang sama pada tahun 2023 ketika TIV mencapai rekod tertinggi yang baru.
Jun merupakan bulan yang sibuk bagi Proton. Selain daripada melancarkan jenama EV e.MAS, ia juga meraikan pelancaran kenderaan ke-5 juta dari barisan pengeluarannya dan melancarkan Proton X50 baharu.
Hasilnya adalah peningkatan serta-merta dalam volum jualan X50 dimana ia kembali ke tangga teratas kelas SUV segmen B dengan 1,711 unit terjual, prestasi terbaiknya dalam tiga bulan.
Satu lagi model yang menjadi peneraju segmennya adalah S70 dengan 1,440 unit dijual pada bulan lalu. Model baharu itu mendahului jualan sedan segmen C setiap bulan pada tahun 2024.
Saga pula mencatatkan jualan sebanyak 5,441 unit, menjadikan jumlah jualan YTD kepada 34,838 unit. Secara purata, lebih daripada 5,800 unit telah dijual setiap bulan, menjadikannya salah satu kenderaan yang terlaris di negara.
“Enam bulan pertama tahun 2024 adalah tempoh konsolidasi bagi Proton kerana kami melabur dalam langkah- langkah strategik yang akan memanfaatkan masa depan kami.
“Jadi, walaupun penutupan kilang memberi kesan jangka pendek terhadap jumlah jualan kami, kecekapan yang diperoleh hasil daripada kerja yang dilakukan akan membantu kami mengejar volum pada separuh kedua tahun ini,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.
BARISAN Land Rover Defender 110 kini diperluaskan lagi dengan kehadiran varian baharu yang dikenali sebagai Defender Octa.
Menurut Land Rover, Octa merupakan Defender yang paling berkuasa pernah dihasilkan. Ia dikuasakan oleh enjin mild-hybrid 4.4-liter twin-turbo V8 dari BMW yang menghasilkan 635 PS dan 750 Nm.
Jumlah tork akan ditingkatkan kepada 800 Nm dengan Dynamic Launch Mode, membolehkan SUV ini memecut dari 0 hingga 100 km/j 4.0 saat dengan bantuan transmisi automatik lapan kelajuan.
Kelebihan Defender Octa tidak terhad kepada trenkuasa sahaja kerana casis turut diberi dipertingkatkan secara menyeluruh menerusi sistem yang digelar sebagai 6D Dynamics.
Menggunakan peredam separa-aktif, sistem itu bertindak untuk mengurangkan pitch dan body roll, serta memaksimumkan artikulasi suspensi bagi membolehkan ia mengharungi bentuk muka bumi yang lebih ekstrem.
Jika dibandingkan dengan varian lain, ketinggian Defender Octa turut dinaikkan sebanyak 28 mm, manakala trek rodadilebarkan sebanyak 68 mm.
Digabungkan dengan tayar berukuran 33 inci, ini secara tidak langsung menambah baik sudut pendekatan dan pelepasan, selain membolehkan Octa meredah air pada kedalaman sehingga satu meter.
Selain itu, model ini juga mempunyai wishbone yang lebih panjang dan tegar, cakera brek depan berukuran 400 mm dengan angkup Brembo, serta nisbah stereng paling pantas bagi mana-mana varian Defender untuk pengendalian yang lebih tepat.
Di samping mod Comfort dan Dynamic, Defender Octa didatangkan dengan mod pemanduan Octa yang ditala khas untuk pemanduan off-road pada kelajuan tinggi.
Sudah tentu, sistem Terrain Response dengan mod Sand, Mud and Ruts, Grass, Gravel, Snow dan Rock Crawl turut disertakan bersama-sama dengan ClearSight Ground View.
Penampilan luaran Defender Octa boleh dibezakan menerusi bampar yang dioptimumkan untuk off-road, gril unik untuk aliran udara yang lebih tinggi, dapra lebih lebar dan empat muncung ekzos.
Ia juga mempunyai perlindungan bawah badan termasuk perisai aluminium aloi pada bahagian bawah bampar depan, dan recovery point berwarna Phosphor Bronze pada bahagian depan dan belakang.
Bahagian dalaman pula menampilkan tempat duduk Performance dengan teknologi audio Body and Soul terintegrasi yang bukan sahaja membolehkan pemandu dan penumpang depan mendengar muzik, malah ‘merasai’ setiap rentak.
Tempahan untuk Defender Octa akan dibuka tidak lama lagi, dengan harga bermula dari £145,300 (RM869k) di United Kingdom.
BELUM ada kertas dasar dibawa ke kabinet bagi tujuan rasionalisasi subsidi dilaksanakan ke atas petrol RON95.
Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Katanya, penyasaran semula subsidi bagi tujuan itu tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen
“Belum ada kertas dasar yang boleh membawa kita untuk melaksanakannya (rasionalisasi subsidi RON95) dengan cepat. Ada kajian dari dulu, tetapi kita fikir lebih baik lihat dulu langkah (penyasaran) ke atas elektrik dan diesel.
“Lihat dulu kesannya dan bagaimana reaksi rakyat. Barulah (selepas itu) kita sedia berunding apakah (ada) keperluannya,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95.
Foto oleh Miera Zulyana/MalayMail
Anwar bagaimanapun berkata, pada hematnya, penyasaran semula subsidi petrol RON95 wajar dilaksanakan sejak dulu lagi, namun beliau sedar terdapat pelbagai kekangan yang menyukarkan pelaksanaan semula subsidi bagi bahan api itu.
“Kalau tanya saya, (penyasaran semula) subsidi RON95 patut sudah dilaksanakan lama dulu. Tetapi ini tak mudah, masalah kita hadapi adalah 3.8 juta orang asing guna minyak ini, begitu juga orang kaya, ini yang mesti dan amat penting untuk kita hentikan.
Beliau turut membidas kenyataan pembangkang yang terus ‘memanipulasi’ isu penyasaran semula subsidi diesel, kononnya ia membebankan rakyat.
“Sehingga kini, masih ada yang ‘menunggang’ isu itu dengan pelbagai tuduhan kerajaan zalim dan mendakwa subsidi ditarik sepenuhnya.
“Apakah penyasaran semula subsidi ini keputusan bijak untuk ekonomi? Semua (Ahli Parlimen) setuju walaupun dalam kempen menyatakan tidak bersetuju.
“Ketika (kerajaan terdahulu) berkuasa pun mereka kata (penyasaran subsidi diesel) perlu, tetapi kerana tahu kesannya suhu politik yang akan dihangatkan (maka ia tidak dilaksanakan).
“Cuma, saya sedar daripada aspek pelaksanaannya boleh dipertikai. Ini saya terima, tetapi yang kita dengar sekarang hanyalah (dakwaan) kerajaan zalim, buang subsidi dan ulangi kempen (dulu), hari ini perintah, esok minyak turun,” katanya.
Art of Speed Malaysia (AOSM) mengumumkan penganjuran acara tahunan Art of Speed edisi ke-13 yang akan berlangsung di MAEPS, Serdang pada 27-28 Julai ini.
Penganjuran Art of Speed 2024 akan membawakan tema “Stop the Violence” di mana pihak AOS akan berkolaborasi dengan Selangor FC (SFC) untuk menyebar luas perasaan “cinta tanpa benci, perpaduan tanpa sempadan” dalam arena automotif tempatan.
Berbeza dengan penganjuran terdahulu, acara Kustom & Counter Culture terulung ini mengambil ruang tertutup seluas 452,084 kaki persegi serta ruang luar 8.6 ekar yang jauh lebih luas, dan menampilkan lebih banyak aktiviti untuk memuaskan hati peminat dan pengunjung.
Antaranya ialah Outdoor ThunderCircus “Brotherhood Rally” yang dikhususkan untuk peminat motosikal, pameran kereta ubahsuai NEAT Fest, pameran gaya hidup Off The Grid, Show & Shine, pameran fesyen jalanan, serta forum Kustom & Koffee Talk.
Selain itu, AOS 2024 turut menyediakan aktiviti tambahan seperti Roda Rumble 2024 oleh Retro Mania, persembahan La Cultura, aktiviti jual beli motosikal bawah 500 cc Moto4sale, bazar vintaj automobil, kawasan foodtruck, serta zon tunggang uji motosikal seperti Royal Enfield, Vespa, Aprilia, Lambretta, Harley-Davidson dan lain-lain.
Acara AOS Invitational Build-Off juga membuat kemunculan semula pada tahun ini dengan 10 orang pembina khas mempamerkan hasil kerja masing-masing dan berpeluang untuk menghantar motosikal kustom mereka ke acara The 32nd Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun.
Antara yang terlibat termasuklah Abah & Sons (Padin Musa), Nodie Cycles, Acid Welding, Zuhalfast, RGF, Flying Loser, Chaos Customs, FNG Works dan Son of Abdul.
Buat para peminat kereta tiga inci, acara Hot Wheels Collectors Convention Malaysia kembali lagi pada tahun ini selepas mendapat sambutan hangat pada tahun lepas.
Untuk tahun ini, pengunjung dapat menikmati lebih banyak aktiviti Hot Wheels termasuklah pameran Hot Wheels Rare & Collectibles, Hot Wheels Skate School, Swap Buy and Sell, pertandingan kustom, serta majlis makan malam khas yang bertempat di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.
Dalam acara makan malam itu, AOS 2024 akan melancarkan model die-cast eksklusif konvensyen pertama untuk Malaysia yang akan turut dihadiri oleh Pengurus Pereka Kenderaan Hot Wheels, Dwayne Vance.
AOS 2024 turut mengumumkan senarai tetamu jemputan komuniti kustom dari Jepun seperti Shige Suganuma, Shinotsuka “NATQQ” Michihisa & Hey Murakami dari MOONEYES, Katie’s Custom, STOOP Motorcycles, dan juga EVILACT yang merupakan pakar kustom motosikal Harley-Davidson.
Selain itu, Nigel Petrie dari Engineered to Slide Australia yang sangat terkenal dengan rekaan jentera drift space frame Toyota Hilux juga akan membuat kemunculan, diikuti dengan beberapa nama terkemuka dari negara jiran Thailand dan juga Indonesia.
AOS 2024 bakal menyaksikan kemunculan dua bintang drift terkemuka, iaitu Daigo Saito yang juga terkenal dengan kedai Fat Five Racing, serta The Prince of Drift Malaysia, Tengku Djan Ley bin Tengku Mahaleel.
Tidak ketinggalan, acara konsert SoundCircus yang bakal mengambil alih Dewan A dengan barisan artis terkenal seperti Spider, Gerhana Ska Cinta, Salam Musik, Jemson X Forcesparkbois, Slatan, 53 Universe dan ramai lagi.
AOS 2024 turut mengumumkan kolaborasi bersama empat jenama pada tahun ini, iaitu Zippo, Von Dutch, Selangor FC dan MOONEYES dengan pelbagai barangan menarik seperti t-shirt, topi, lanyard dan banyak lagi barangan eksklusif yang boleh direbut oleh pengunjung.
Hadiah cabutan bertuah pada tahun ini merupakan kolaborasi antara AOS dan QARTEL TV di mana pemegang tiket bertuah akan membawa pulang sebuah kereta Honda yang telah diubahsuai.
Pas masuk hujung minggu AOS 2024 boleh dibeli pada harga serendah RM35.00 manakala kanak-kanak bawah 12 tahun dan OKU tidak akan dikenakan sebarang bayaran.
Pengunjung juga boleh mendapatkan tiker parkir valet VIP dengan bayaran RM30.00 di mana mereka boleh meletakkan kereta di aras bawah Dewan D, sah untuk kemasukan sehari.
“Kami amat bersyukur kerana dapat menganjurkan Art of Speed Malaysia selama 13 tahun. Ia bukan sahaja untuk merealisasikan sebuah impian tetapi juga untuk kekal dengan cita-cita asal kami iaitu mengadakan acara yang mengumpulkan peminat-peminat di bawah satu bumbung untuk meraikan segala yang berkaitan dengan seni, gaya hidup, budaya dan permotoran,” kata Encik Asep Ahmad Iskandar, Pengarah Festival, Art of Speed Malaysia (AOSM).
“Kami dengan sedaya upaya telah mencipta acara kami dengan dasar dan cara yang betul untuk diikuti, yaitu menyediakan ruang yang selamat, selesa dan inklusif, kandungan untuk semua deria manusia, aspirasi yang berpatutan, persaudaraan, dan sentiasa meraikan masa yang baik. Kesimpulannya, Art of Speed adalah untuk semua orang; sentiasa ada dan akan sentiasa ada. Terima kasih kerana bersama dengan kami sekali lagi untuk tahun 2024 dan jom kita sama-sama nanti meraikan AOS 2024!”
OPERASI bersepadu bas pelancongan dan ekspres yang dijalankan di Stesen Penguatkuasa JPJ Gombak hari ini menyaksikan dua pemandu dikesan tidak memiliki lesen manakala seorang didapati positif ganja.
Menurut Pengarah Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, pihaknya memeriksa sebanyak 22 bas persiaran dalam operasi bermula 6 pagi itu.
Setakat 9 pagi tadi, Kifli berkata pihaknya menahan dua pemandu bas persiaran kerana tiada lesen memandu dan Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).
“Kesalahan ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya syarikat dan pemandu bertanggungjawab ke atas kenderaan masing-masing.
“Kita mengambil tindakan menyita bas itu sehingga syarikat menggantikan pemandu dengan lesen yang sah,” katanya.
Operasi bersepadu berkenaan dijalankan dengan kerjasama polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).
AADK menjalankan ujian air kencing ke atas kesemua 22 pemandu di mana seorang daripada mereka didapati positif dadah.
“Pemandu berusia 30-an itu didapati positif menggunakan ganja dan tindakan lanjut akan diambil,” katanya.
Menurutnya, pihaknya juga mengesan beberapa kesalahan lain termasuk kenderaan asing tidak mempunyai Permit Peredaran Dalaman (ICP) dan tidak mempunyai pemandu pelancong.
Beliau turut memberi amaran kepada pengusaha bas pelancongan dan bas ekspres supaya mematuhi undang-undang jalan raya.
“Kami tidak akan berkompromi dengan kesalahan dilakukan demi keselamatan penumpang,” katanya.
KERAJAAN Pahang sedang meneliti usaha untuk membangunkan semula litar drag Pekan Speedway Circuit yang terletak berhampiran Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan yang sudah tidak beroperasi sejak beberapa tahun lalu.
Hasrat itu dinyatakan bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Gambar oleh: Pahang Media
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, usaha ini adalah selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menyediakan platform kepada peminat aktiviti permotoran khususnya di kalangan anak muda di Pahang.
“InsyaaAllah Kerajaan Negeri Pahang bersama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk MAM, Pejabat Daerah Pekan, Majlis Perbandaran Pekan (MPP) dan juga KBS untuk memastikan hasrat ini tercapai.
“Ini hasrat Kerajaan Negeri untuk menyokong minat anak muda dalam sukan permotoran itu sendiri dan daripada ‘survey’ (tinjauan) yang kita buat minat ini semakin bersemarak sebenarnya di kalangan anak muda jadi sudah sampai masa Kerajaan Negeri sediakan lokasi yang sesuai untuk menyokong minat anak muda ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan ke tapak litar drag di Pekan Speedway Circuit di Pekan.
Pekan Speedway Circuit yang telah menelan belanja RM3 juta itu mula dibina pada tahun 2014 hingga 2017 dengan keluasan tapak 400 meter panjang dan 40 meter lebar.
Justeru, satu perbincangan telah dilakukan bagi memanjangkan litar tersebut untuk meningkatkan kriteria keselamatan pengguna.
Jelasnya, usaha bersepadu amat diperlukan bagi memastikan Pekan Speedway Circuit dapat memulakan operasi semula sekaligus menjadi tarikan kepada anak muda yang meminati sukan permotoran.
Pekan Speedway Circuit juga mempunyai satu lagi litar yang lebih kompleks dan teknikal lengkap dengan struktur grandstand.
Litar ini pernah digunakan untuk sukan Cub Prix, perlumbaan karting, acara drift, dan beberapa acara permotoran lain.
Diharapkan kerajaan Pahang akan menilai untuk turut membangunkan semula litar ini yang sudah lama terbiar.
KERAJAAN pusat bercadang mengeluarkan permintaan untuk cadangan (RFP) sebagai pendekatan alternatif bagi projek Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) bernilai RM3.46 bilion, lapor The Edge.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah ini bertujuan untuk mengurangkan kos projek itu. Tambah beliau lagi, kementerian telah pun mengumumkan hasratnya untuk mengeluarkan RFP.
“Kami telah mengumumkan bahawa kami akan mengeluarkan RFP sebagai ‘Pelan B’. Pada masa yang sama, kami memberi masa sehingga Disember untuk syarikat yang terlibat dalam projek cadangan MLFF,” kata Ahmad.
Belia berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Roslan Hashim (Perikatan Nasional-Kulim Bandar Baru), yang ingin tahu status terkini projek MLFF.
MLFF merupakan sistem tanpa palang yang direka untuk menggantikan sistem kutipan tol berpalang sedia ada. Sistem berkenaan menggunakan gantri yang dilengkapi dengan peranti pengenalan frekuensi radio (RFID) dan sistem pengecaman plat nombor automatik (ANPR) untuk membuat kutipan tol.
Sistem MLFF yang dicadangkan dianggarkan menelan belanja RM3.46 bilion untuk 33 lebuh raya di Malaysia.
Tahun lalu, sebanyak 32 syarikat konsesi tol lebuh raya menentang langkah kerajaan melantik sebuah syarikat berkaitan YTL Holdings Bhd untuk membangunkan sistem tanpa palang itu kerana kekurangan rekod prestasi entiti swasta itu.
Bukan itu sahaja, syarikat-syarikat itu juga bimbang pengambilalihan kutipan tol oleh pihak ketiga akan mengakibatkan ketirisan.
Minggu lalu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyatakan bahawa rundingan untuk sistem MLFF sedang berjalan, dengan beberapa peringkat masih belum dimuktamadkan sebelum keputusan dicapai.
UNIT jualan Great Wall Motor (GWM) Tank 300 kini sudah tiba di Port Klang, mungkin ada antara anda yang sudah menempah akan mendapat kereta awal?
Gambar-gambar ini disiarkan oleh GWM Malaysia. Menurut mereka, SUV Tank 300 ini bakal dilancarkan pada pertengahan bulan ini dan penyerahan akan dibuat tidak lama lagi.
Kami juga sudah melihat dengan lebih dekat GWM Tank 300 dalam beberapa sesi pratonton termasuklah semasa Malaysia Autoshow 2024 baru-baru ini.
GWM Tank 300 ialah sebuah SUV dengan rupa rugged, kabin dalam premium, dan harga anggaran sekitar RM250,000.
Seperti dinyatakan sebelum ini, GWM Tank 300 untuk pasaran Malaysia berkemungkinan dikuasakan enjin 2.0-liter turbo petrol 4-silinder dengan output 217hp dan 380Nm tork.
Enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda separuh masa dengan fungsi 2H, 4H, dan 4L. Sistem ini juga lengkap dengan pengunci pembeda (differential) depan dan belakang.
Menariknya, GWM Tank 300 ini mempunyai fungsi ‘tank turn’. Bila diaktifkan, ia akan mengunci tayar belakang belah dalam untuk membolehkan SUV ini membelok rapat di kawasan sempit. Pergerakan ini adalah mirip jentera berantai seperti kereta kebal dan jengkaut (excavator).
Seperti dapat dilihat, SUV ini membawakan rupa 4×4 klasik dengan rekaan berkotak dan cladding sisi tebal. Muka depannya mendapat lampu LED bulat manakala lampu kabus pula diintegrasikan dalam bampar.
Di belakang pula, terdapat tayar ganti di luar pintu but yang dibuka ke tepi, betul-betul seperti Jeep klasik. Tank 300 dilengkapi dengan rim 18-inci dan tayar Michelin Primacy SUV.
Bahagian dalam, anda akan perasan yang kelengkapannya agak premium, mungkin diinspirasikan dari Mercedes G-Class. Dengan papan pemuka menegak, corong udara turbin, pemegang di depan penumpang, dan sepasang skrin bersaiz 12.3-inci setiap satu.
Menurut GWM, 300 pembeli pertama SUVini akan mendapat pakej penyelenggaraan percuma lima tahun ATAU 100,000km.
Pemilik pertama juga akan menerima jaminan enjin dan kotak gear sepanjang hayat, tanpa had perbatuan.
Penganjuran ‘Panigale Kingdom Mega Gathering’ 2024 bukan sahaja berjaya menempah nama dalam Malaysia Books of Record malah turut mencatat rekod dunia.
Ini kerana perhimpunan terbesar motosikal Ducati Panigale itu Sabtu lalu berjaya mengumpulkan 310 motosikal Panigale bertempat di Ducati Kuala Lumpur.
Perhimpunan lebih 300 motosikal Panigale itu juga yang paling banyak pernah dicatatkan bukan sahaja di Malaysia malah di serata dunia.
“Panigale Kingdom Mega Gathering bukan setakat acara memecah rekod tetapi turut mencerminkan semangat Malaysia Boleh!,” jelas Ketua Pegawai Operasi Ducati Malaysia, Dennis Michael.
Acara tersebut turut menyaksikan kesemua pemilik Ducati Panigale berkonvoi beramai-ramai sambil diiringi beberapa motosikal berkuasa tinggi dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).
HONDA Malaysia telah memperkenalkan Honda Insurance Plus (HiP) yang dinaik taraf, menawarkan pelan insurans automotif dengan nilai terbaik khas untuk pemilik Honda.
Pakej HiP yang dinaik taraf ini menawarkan gabungan tiga faedah termasuk khidmat menunda tanpa had perbatuan, 100% pembayaran sehingga 15 tahun, dan 100% perlindungan ke atas pembaikan kemalangan (tanpa betterment) sehingga 13 tahun.
Pakej HiP ini memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu Penyelamatan, Perlindungan dan Penjimatan.
Penyelamatan
Pelanggan akan mendapat faedah tambahan termasuk khidmat tunda tanpa had perbatuan untuk kemalangan, kerosakan dan banjir, manakala perkhidmatan pembaikan tepi jalan menawarkan kos buruh percuma sehingga RM200, tidak termasuk alat ganti.
Pelanggan boleh menghubungi Bantuan Kecemasan HiP 24/7 Honda Malaysia di 1-800-18-1177 untuk perkhidmatan bantuan kerosakan dan kemalangan. Pasukan penyelamat akan bersedia untuk membantu pelanggan dengan insiden yang tidak diduga termasuk tayar pancit.
Perlindungan
Ahli HiP yang keretanya dibaik pulih di pusat Badan & Cat bertauliah Honda akan mendapat manfaat pra-kelulusan tuntutan yang pantas untuk tuntutan bawah RM30,000.
Pelanggan diberi jaminan bahawa semua kerja pembaikan dijalankan menggunakan alat ganti tulen Honda dengan waranti selama enam bulan atau 10,000 km.
Pelanggan juga layak mendapat Perlindungan Kemalangan Diri sehingga RM15,000 sekiranya berlaku Kematian Akibat Kemalangan atau Hilang Upaya Kekal dalam kemalangan kereta yang dinamakan.
Penjimatan
Sekiranya kenderaan dicuri atau tidak boleh dibaiki selepas kemalangan, pelan HiP yang dinaik taraf menjamin pembayaran insurans 100% berdasarkan nilai kereta yang dipersetujui sehingga 15 tahun dari tarikh pendaftaran (sebelum ini 13 tahun).
Selain itu, kenderaan yang dilindungi oleh pelan ini layak menikmati perlindungan 100% selama 13 tahun tanpa yuran betterment, membolehkan penggantian alat ganti lama kenderaan Honda yang rosak akibat kemalangan dengan alat ganti baru dan tulen.
HiP yang dinaik taraf akan dilancarkan bermula 1 Julai 2024, dan semua pelanggan Honda sedia ada dan baru dialu-alukan untuk memperbaharui atau memohon pakej HiP mereka di mana-mana wakil pengedar sah Honda.
LALUAN B66 Jalan Batang Kali-Genting Highlands yang ditutup susulan tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 31 nyawa pada Disember 2022, akan dibuka semula, hari ini.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Selangor memaklumkan, laluan itu akan dibuka kepada semua pengguna jalan raya pada jam 3 petang.
Pada Disember 2022, Kementerian Kerja Raya memaklumkan, Jalan Batang Kali-Genting Highlands dijangka ditutup selama setahun bagi membolehkan pelaksanaan kerja membaiki cerun dan jalan di kawasan insiden tanah runtuh berkenaan.
April lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilaporkan berkata projek pembaikan yang membabitkan kos kira-kira RM19 juta itu sudah mencapai 86 peratus dengan kerja-kerja yang bakal disiapkan termasuk rel adang dan binaan dinding.
TENTERA Darat Malaysia (TDM) mengesahkan sebuah helikopter Agusta A109 LOH (M81-11) melakukan pendaratan cemas di Landasan Terbang Kluang, Kem Mahkota Kluang, Johor, awal pagi tadi.
TDM dalam satu kenyataan hari ini berkata, kejadian berlaku ketika sesi latihan penerbangan membabitkan tiga anak kapal yang dikenal pasti mengalami kecederaan.
Contoh helikopter Agusta A-109 LOH milik Tentera Darat Malaysia. Gambar oleh: Orbats
“TDM mengesahkan sebuah pesawat M81-11 (Agusta L109H) melakukan pendaratan kecemasan di mana kejadian berlaku ketika sesi Latihan Penerbangan Malam, Kursus Army Aviation Basic Officer Course di Landasan Terbang Kluang, Rejimen 881 Pasukan Udara Tentera Darat (Rej 881 PUTD), Kem Mahkota Kluang, Johor jam 1.35 pagi hari ini.
“Insiden ini melibatkan tiga anak kapal, terdiri daripada jurulatih helikopter, penuntut kursus dan krew kuatermaster,” katanya.
Menurut TDM, kesemua krew yang terbabit dalam insiden itu dalam keadaan sedar.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan awal mengesan beberapa kecederaan dialami pegawai dan dua lagi anggota iaitu patah tulang belakang dan luka di beberapa bahagian anggota badan.
“Kesemua anak kapal dalam keadaan stabil dan sudah dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor bagi rawatan lanjut.
“Tindakan TDM adalah ‘Henti Terbang Sementara’ (temporary grounded) bagi helikopter berkenaan,” katanya.
Pada masa sama, TDM memberitahu proses ratifikasi dan pemeriksaan akan dilakukan bagi mengembalikan status terbang pesawat dengan segera.
Selain itu TDM dalam kenyataannya, turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu dengan Lembaga Siasatan akan bersidang bagi mengenal pasti punca kejadian.
Ducati DesertX kini mempunyai varian baharu yang dikenali sebagai DesertX Discovery. Secara asasnya, ia diberikan pelbagai aksesori tambahan yang menjadikannya lebih rugged dan lasak berbanding versi standard.
Bagaimanapun, ini bukanlah versi paling hardcore dalam barisan DesertX. Gelaran itu masih dipegang oleh DesertX Rally, bermakna Discovery diposisikan di antara versi standard dan Rally.
Pertama sekali, DesertX Discovery boleh dibezakan menerusi skema warna Thrilling Black/Ducati Red yang cukup menonjol.
Tidak cukup dengan itu, ia juga didatangkan standard dengan pelindung tangan, pelindung enjin, gril radiator, perlindungan pam air dan bash plate yang lebih tebal berbanding Desert X.
Selain itu, ia juga mempunyai tongkat tengah, manakala penambahan penghadang angin lebih tinggi dan pemanas pemegang menambah keselesaan semasa menunggang di dalam cuaca sejuk.
Ciri-ciri lain yang terdapat pada jentera ini termasuk sistem multimedia Ducati berserta sistem navigasi yang boleh diakses menerusi aplikasi Ducati Link. Kotak barangan aluminium pula ditawarkan sebagai opsyen.
Tiada sebarang perubahan untuk casis. Sama seperti DesertX standard, versi Discovery mempunyai rangka tiub keluli yang digandingkan dengan sistem suspensi KYB, dan rim 21 inci (depan) dan 18 inci (belakang) yang dibalut tayar Pirelli Scorpion Rally STR.
Ketinggian tempat duduk adalah 875 mm dalam konfigurasi standard. Pelanggan bagaimanapun boleh memilih tempat duduk tinggi (890 mm), tempat duduk rendah (865 mm) dan tempat duduk rendah dengan kit suspensi rendah (845 mm).
Kuasa membrek dibekalkan oleh angkup monobloc Brembo M50 dengan cakera 320 mm di depan, dan angkup dua piston dengan cakera 265 mm di belakang.
Enjin juga tidak disentuh, bermakna unit Testastretta 11° silinder L-berkembar bersesaran 937 cc itu masih menghasilkan 110 hp pada 9,250 rpm dan 92 Nm pada 6,500 rpm.
Untuk kelengkapan elektronik pula, DesertX Discovery dilengkapi dengan skrin TFT-LCD berukuran lima inci, serta pelbagai sistem bantuan penunggang seperti Traction Control, Wheelie Control dan Cornering ABS.
Boon Siew Honda (BSH) telah mengemas kini kapcai popular Dash 125 bagi pasaran tempatan dengan pilihan warna baharu bagi tahun 2024.
Menurut BSH, Dash 125 kinihadir dengan tiga warna baharu; Red, Blue dan Silver dengan model 2024 ini boleh didapati di semua rangkaian pengedar Impian X bermula 28 Jun 2024.
Selain grafik baharu, Honda Dash 125 ini masih lagi dikuasakan enjin satu silinder 124cc SOHC dengan sistem penyejuk udara yang berupaya menjana 9.8hp pada 8,000rpm dan 9.54Nm pada 6,500rpm.
Antara ciri lain ditawarkan termasuk:
tangki 4L
berat 105kg
fork teleskopik depan
penyerap hentak berkembar belakang
rim 17-inci
cakera brek depan dan belakang
Bagi pasaran tempatan, Honda Dash 125 yang dikemas kini ini dijual pada harga RM6,599 dan disertakan dengan waranti dua tahun atau 20,000km.
HYUNDAI telah memperkenalkan Inster, kenderaan elektrik (EV) subkompak yang akan bersaing dalam pasaran segmen A.
Dibangunkan berasaskan model Casper, Inster akan ditawarkan dalam dua versi iaitu Standard dan Long Range.
Versi Standard menampilkan motor elektrik tunggal dengan 97 PS dan 147 Nm, serta pek bateri 42 kWj yang menjanjikan jarak gerak sejauh 300 km dengan satu cas penuh berdasarkan kitaran WLTP.
Sementara itu, versi Long Range juga mempunyai satu motor elektrik namun dengan kuasa yang lebih tinggi iaitu 115 PS. Kapasiti baterinya juga lebih besar iaitu 49 kWh, membolehkan Inster dipandu sejauh 355 km.
Hyundai berkata pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam 11.7 saat untuk Standard dan 10.6 saat untuk Long Range. Kelajuan maksimum masing-masing pula dihadkan pada 140 km/j dan 150 km/j.
Walaupun bersaiz kecil, Inster menyokong pengecasan pantas DC dengan kapasiti sehingga 120 kW yang memerlukan 30 minit untuk memulihkan kuasa bateri dari 10 hingga 80%.
Ia juga didatangkan dengan pengecasan AC 11 kW yang boleh mengecas bateri sehingga penuh dalam masa 4 jam untuk Standard dan 4 jam 35 minit untuk Long Range. Turut disertakan adalah ciri Vehicle-to-Load (V2L).
Dari segi saiz, Inster mempunyai ukuran panjang 3,825 mm, lebar 1,610 mm, tinggi 1,575 mm dan tapak roda 2,580 mm.
Reka bentuk luarannya tidak jauh berbeza dengan Casper namun seperti yang boleh dilihat, model ini mempunyai lampu nyalaan siang LED yang lebih unik dengan grafik piksel pada lampu isyarat membelok dan lampu belakang. Rim didatangkan dalam saiz 15 inci (keluli biasa atau aloi) atau 17 inci (aloi), bergantung kepada spesifikasi.
Pilihan warna yang ditawarkan agak meluas, termasuk Atlas White, Tomboy Khaki, Bijarim Khaki Matte, Unbleached Ivory, Sienna Orange Metallic, Aero Silver Matte, Dusk Blue Matte, Buttercream Yellow Pearl, dan Abyss Black Pearl.
Di dalam, Inster memfokuskan kepada teknologi dan kemudahan menerusi kluster digital 10.25 inci, skrin sistem infotainmen 10.25 inci dan pengecas tanpa wayar pada konsol tengah. Pelanggan boleh memilih warna hitam, Khaki Brown atau Newtro Beige dua tona dengan trim fabrik.
Apa yang menarik, semua tempat duduk termasuk tempat duduk pemandu boleh dilipat rata. Tempat duduk belakang pula dibahagikan secara 50:50 dan boleh digelongsor. Kapasiti ruang but adalah 280 liter, boleh dibesarkan lagi sehingga 351 liter dengan menolak kerusi belakang ke depan.
Menurut Hyundai, bahagian luaran dan dalaman Inster menggunakan bahan mampan. Sebagai contoh, kemasan hitam berkilat pada bahagian badan dicat menggunakan cat kitar semula, manakala untuk ruang kabin, Hyundai menggunakan botol PET yang dikitar semula dan bio-polipropilena.
Sistem keselamatan pula merangkumi ciri-ciri ADAS seperti Surround View Monitor, Parking Collision-Avoidance Assist Rear,Blind-spot View Monitor, Forward Collision-Avoidance Assist 1.5, Lane Keeping Assist (LKA),Blind-Spot Collision-Avoidance Assist, Smart Cruise Control dengan Stop & Go, Safety Exit Warning, Highway Driving Assist 1.5 dan pelbagai lagi.
Tidak seperti Casper yang hanya boleh didapati di Korea Selatan, Inster akan memasuki pasaran Eropah, Timur Tengah dan juga Asia Pasifik.
TOKYO Auto Salon Kuala Lumpur (TAS KL) kembali untuk tahun kedua, bakal menemui anda pada 8 hingga 11 November 2024 nanti. Ia akan diadakan di lokasi yang sama iaitu Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC).
Jualan tiket kini dibuka dan pembeli terawal bakal mendapat diskaun menarik.
TAS KL ialah satu-satunya acara permotoran jenama itu yang dibuat di luar Jepun. Anjurannya adalah di bawah lesen dan diinspirasikan dari acara berprestij Tokyo Auto Salon di Negara Matahari Terbit itu.
Lebih 19,000 pengunjung dilaporkan hadir ke acara TAS KL tahun lepas. Antara pempamer yang mengambil bahagian adalah Top Secret, Spoon, HKS, dan GReddy. Pameran tahun ini dijangka membawakan skala lebih besar.
“Sama seperti acara asal di Jepun, pelbagai usaha diberikan bagi memastikan acara kali ini melepasi jangkaan para peminat,” kata Pengarah dan CEO Element X Strategies, Jason Yap.
Harga tiket ialah RM60 pada hari acara, dan RM120 untuk pas tiga hari. Walaubagaimanapun pembeli terawal mendapat harga early birds berharga RM50 sahaja.
Tiket untuk kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun pula ialah RM25 untuk early bird, RM30 pada harga acara, dan RM60 untuk pas tiga hari. Kanak-kanak bawah enam tahun masuk percuma.
Untuk lebih eksklusif, anda boleh mendapatkan Black Tag pada harga RM1,500. Dengan pas ini, anda mampunyai keistimewaan seperti: