Category Archives: MALAYSIA

Vespa X Disney Mickey Mouse Edition dirasmikan – RM22,900

Berita baik buat peminat Disney Mickey Mouse apabila model istimewa, Vespa X Disney Mickey Mouse kini tiba di pasaran Malaysia menerusi pengedar rasmi, Didi Group.

Watak popular dari Disney itu kini diabadikan dalam bentuk Vespa Primavera 150 yang hadir dalam warna gabungan hitam, merah, putih dan kuning. Menurut Didi Group, Vespa X Disney Mickey Mouse Edition itu boleh dimiliki dengan harga RM22,900.

Menariknya, setiap pembelian model istimewa itu akan turut disertakan dengan helmet khas.

Selain warna, Vespa X Disney Mickey Mouse Edition ini juga hadir dengan reka corak Mickey di bahagian panel depan dan sisi termasuk tanda tangan Mickey Mouse.

Untuk rekod, Vespa X Disney Mickey Edition ini dipacu enjin iGet satu silinder 154.8cc yang berupaya menjana 12.9hp dan 12.8Nm.

KTM Malaysia buka tempahan KTM 890 SMT – RM10X,800

KTM 890 SMT bakal tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi selepas pengumuman pembukaan tempahan telah pun dibuka baru-baru ini. 

Apa yang mencuri perhatian kami, hanya lapan unit – model CBU Austria – yang akan dipasarkan disini buat masa ini. 

Untuk rekod, KTM 890 SMT dipacu enjin parallel-twin 889cc LC8c yang sama diguna pakai pada KTM 890 Adventure. Meskipun begitu, 890 SMT lebih berkuasa dengan 105hp dan 100Nm.

KTM juga mereka semula bahagian tangki agar kedudukan penunggang lebih agresif sesuai dengan perwatakan 890 SMT. 

Selain itu, perbezaan utama dengan 890 Adventure adalah penghadang angin lebih rendah selain kehadiran ‘splash guard’ di depan. Seperti kebiasaan, pakej suspens merangkumi fork WP APEX yang dipadankan bersama rim 17”.

Menariknya, model ini hadir dengan mod khas termasuk untuk penggunaan di litar lumba. Juga disertakan adalah Cornering Motorcycle Traction Control (MTC) selain dari panel meter TFT. 

Tol percuma sempena Krismas pada 23 dan 26 Disember 2023

KERAJAAN bersetuju untuk memberikan tol percuma selama dua hari di seluruh lebuh raya di Malaysia bersempena sambutan perayaan Krismas 25 Disember nanti.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tol percuma tersebut akan berkuatkuasa pada 23 dan 26 Disember 2023 bagi semua jenis kenderaan.

“Keputusan tersebut telah dibuat selepas mesyuarat jemaah menteri yang berlangsung pada 6 Disember lalu sempena sambutan Krimas tahun ini.

“Pengecualian tersebut diberikan untuk semua jenis kenderaan di semua lebuh raya dalam negara kecuali dua plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar dan Plaza Tol Tanjung Kupang,” jelasnya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Nak bercuti di Korea Selatan? Jom pam minyak di Petron

Kempen Pam dan Menang Jom Jalan-Jalan anjuran Petron Malaysia kini kembali lagi, kali ini dengan kerjasama Organisasi Pelancongan Korea (KTO) Malaysia serta ONE TV Asia.

Menerusi kempen ini yang bermula 1 Disember 2023 hingga 29 Februari 2024, pelanggan Petron Miles (P-Miles) berpeluang memenangi percutian percuma ke Korea Selatan dan menyaksikan K-Pop atau K-Drama.

Menurut Petron Malaysia, mereka menyasarkan untuk menganugerahkan 62 pemenang bertuah dengan hadiah menarik yang bernilai lebih RM250,000 dalam tempoh masa sepanjang tiga bulan.

“Kerjasama kami dengan KTO dan ONE TV Asia adalah tepat pada masanya kerana kami berhasrat untuk memberi ganjaran kepada pelanggan kami menerusi pendedahan kepada pengalaman budaya yang memperkaya, lawatan ke lokasi pelancongan yang menarik, hidangan kulinari terbaik ataupun lawatan eksklusif ke studio TV,” kata Shaliza Mohd Sidek, Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia.

Kempen ini terbuka kepada semua pemegang kad P-Miles dan boleh disertai di lebih 770 stesen minyak Petron di seluruh negara. Dengan pembelian petrol minimum RM50, pemegang kad P-Miles akan mendapat satu penyertaan, manakala pengguna aplikasi mudah alih P-Miles akan mendapat penyertaan lima kali ganda.

Bukan itu sahaja, Petron juga bekerjasama dengan Malaysian Airlines untuk menyediakan dua penyertaan bagi setiap penukaran mata ganjaran Enrich Miles sepanjang tempoh kempen.

Kempen Jom Jalan-Jalan pertama dilancarkan pada tahun 2021 dengan kerjasama Tourism Malaysia, untuk menawarkan pelanggan setia Petron pakej percutian menarik di Malaysia selepas pergerakan terbatas akibat pandemik.

Kemudian, ianya diteruskan melalui kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Türkiye pada tahun 2022, di mana pelanggan berpeluang memenangi pakej percutian ke Türkiye melalui Turkish Airlines.

Perodua Kembara jelmaan Daihatsu Terios turbo 4WD

KEBIASAANNYA kita lihat jentera kompak yang menjadi ‘jentera permainan’ rakyat Malaysia masa kini adalah Perodua Myvi, Axia, atau Kelisa yang rata-ratanya dimodifikasi menyerupai kembar masing-masing dari Jepun.

Namun, berapa banyak Perodua Kembara yang dapat kita lihat menjadi jentera hobi hari ini? Nak jumpa Perodua Kembara pun semakin susah sekarang, bukan?

Kali ini kami ingin tampilkan sebuah Kembara yang dijelmakan menjadi Daihatsu Terios. Segala ramuan adalah cukup, terutamanya enjin 1.3-liter K3-VET turbo dengan kotak gear automatik dan sistem pacuan 4WD.

Ia diberikan warna badan keemasan, lengkap dengan kit badan Terios, trim krom, dan rim Volk Racing TE37 bersaiz 17-inci. Di sebalik rim ini pula adalah brek Endless 6-pot. Overkill? Mungkin, tapi sebab boleh, dik.

Bahagian dalam juga dapat kita lihat lebih banyak komponen Daihatsu Terios seperti papan pemuka. Selain itu, terdapat beberapa kemasan gentian karbon dan ‘jajan’ seperti meter Defi dengan shift light, serta turbo timer Apexi.

Satu naik taraf paling utama bagi penulis adalah sistem suspensi GT Series dari FTuned Racing Suspension yang pastinya menjadikan pemanduan Kembara ini jauh lebih mantap dari asal.

Buat mereka yang tertanya-tanya, Daihatsu Terios jelmaan ini dibina oleh Two Pro Garage Kuantan. Ia menelan kos lebih RM75,000 dan mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan.

Berikut adalah senarai spesifikasi dan naik taraf yang telah dibuat:

Enjin

➢ K3-VET (1300cc turbo 4wd)

➢ Auto Transmission

Luaran

➢ Bodypart Terios J102G Aerodown

➢ Door Lining Terios – Catalogue Item

➢ Frame Plate Condom – Catalogue Item

➢ Parking Mark / Pole Terios – Catalogue Item

➢ Door Garnish Chrome Terios – Catalogue Item

➢ Tailgate Visor Terios – Catalogue Item

➢ Bornet Scoop Chrome Terios

➢ Head Lamp Cover Terios (Cermin Mata)

➢ Sunroof Terios

➢ Toshiba Twin Blade Antenna

Naik taraf enjin

➢ HKS Ssqv Blow-Off

➢ Bumper Step Terios – Catalogue Item

➢ Door Lining Terios – Catalogue Item

➢ Frame Plate Condom – Catalogue Item

➢ Parking Mark / Pole Terios – Catalogue Item

➢ Door Garnish Chrome Terios – Catalogue Item

Tayar dan rim

➢ TE37 17inch Complete with center Cap Type B

➢ Yokohama Advan Fleva

Suspensi

➢ F-Tuned Adjustable – front & rear

Dalaman

➢ Terios J102G

➢ Fullset Door & Trimming (Carbon Fiber)

➢ Defi Cluster (Amber Red) Complete with Shift Lamp

➢ Defi Oled Link Meter Display

➢ Ultra Shift Indicator (Red)

➢ Half Cover Lace Daihatsu – Catalogue Item

➢ Door Step Terios – Catalogue Item

➢ Daihatsu Break Glass & Seatbelt Cutter

➢ Alarm System (Ketupat)

➢ Apexi Turbo Timer

➢ Auto Light

➢ Tiffana House Snowboard Mirror (Ibu + Anak)

Sistem audio

➢ Head Unit Pioneer

➢ Speaker System Black Series

➢ Tweeter TS-C1010A Complete with Crossover

➢ Speaker Alien CS-MY1 4 Nos.

➢ Speaker Bawal Hitam TS-STX900

➢ Speaker Pisang TS-STH1100

➢ Centre Speaker (Speaker Nipis) TS-CH700A

➢ Underseat Woofer

➢ Dashcam ND-DVR10

Brek

➢ Endless Brake Set (6 pot) Japan front

➢ Endless Brake Steel Braided – front

Ekzos

➢ Kakimotor Gtbox 06&s Japan

Teks & Gambar: Raziman Sipico

Skandal keselamatan Daihatsu: Perodua buat penilaian terperinci, berhubung dengan pihak berkuasa

MERUJUK kepada pengumuman Daihatsu Motor Co., Ltd. (DMC) yang dikeluarkan pada hari ini mengenai penggantungan model-modelnya disebabkan oleh “ketidakaturan prosedur”, Perodua turut mengeluarkan kenyataannya sebagai maklumbalas kepada laporan jawatankuasa audit bebas.

“Ketidakaturan prosedur” tersebut dilakukan oleh DMC semasa menjalankan ujian keselamatan kenderaan terhadap beberapa pengeluar kenderaan (OEM), yang diumumkan awal pagi ini.

Laporan jawatankuasa audit bebas sepertimana yang diumumkan oleh DMC menyebut: “Pemeriksaan dan ujian ini mengesahkan bahawa kesemua 174 ketidakaturan yang dikenalpasti oleh jawatankuasa audit bebas memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan”.

Perodua sedang melakukan penilaian terperinci mengenai isu tersebut dan sedang dalam perbincangan bersama pihak berkuasa Malaysia tentang kesan perkembangan ini terhadap kenderaan keluarannya.

Pada 28 April 2023, DMC telah mengumumkan berlakunya “ketidakaturan prosedur” semasa menjalankan ujian keselamatan ke atas  kenderaan di Jepun. Berikutan pengumuman itu, DMC telah menubuhkan jawatankuasa audit bebas yang terdiri daripada peguam dan tenaga kerja teknikal.

“Kami memohon maaf kepada para pelanggan yang kami hargai serta orang awam di atas keresahan yang timbul daripada pengumuman ini,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Perodua hari ini.

“Niat kami adalah untuk memberi jaminan kepada para pelanggan yang kami hargai.

“Kami akan berkongsi hasil perbincangan ini dengan semua pelanggan kami dalam masa terdekat.”

Polis sita 247 motosikal di KL, 82 tiada brek belakang

Sebanyak 247 motosikal telah disita dalam satu operasi khas yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Ahad. 

Lebih mengejutkan, daripada jumlah tersebut, 82 daripanya didapati tidak mempunyai brek belakang.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, tindakan itu kini menjadi trend dikalangan anak muda yang menunggang motosikal terutamanya yang terlibat dengan aktiviti lumba haram.

“Kami telah mengesan pelumba remaja yang berlumba dengan mencabut brek belakang. Tindakan itu sangat membahayakan dan mampu mengundang kemalangan maut,” jelasnya. 

Memetik laporan The Star, sebanyak 625 saman telah dikeluarkan ketika operasi tersebut berlangsung. 

Asian Compact Sedan Design Challenge 2023 yang pertama terima penyertaan tujuh negara

PERTANDINGAN reka bentuk kereta, “Asian Compact Sedan Design Challenge 2023” (ACSDC 2023) yang pertama kali diadakan di Malaysia telah menyaksikan 93 penyertaan dari tujuh buah negara bagi program sulungnya.

ACSDC 2023 ialah pertandingan reka bentuk kereta sedan yang terbuka kepada pereka profesional dan pelajar rekaan di Asia yang dianjurkan bersama Perodua dan Majlis Reka Bentuk Malaysia (MRM).

“Jumlah penyertaan dari negara-negara lain di dalam Asia adalah menggalakkan kerana pendedahan terhadap jenama Perodua dan MRM di luar Malaysia adalah terhad,” kata Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua.

Sebanyak 93 penyertaan yang diterima adalah dari Indonesia, Jepun, Filipina, Singapura, Iran, Jepun, India dan Malaysia.

Bagi kategori profesional, Kenny Chan dari Malaysia dinobatkan sebagai juara pertandingan ACSDC 2023 dengan kereta rekaannya yang berkonsepkan “Payung”.

Menurut ketua juri, Muhamad Zamuren Musa: Reka bentuk kereta yang dinamik dengan siluet ala ‘fastback’ dan karakter badan kenderaan yang kukuh serta stabil menjadikan kereta tersebut lebih seimbang. Selain itu, perincian yang ketara serta elemen gaya kreatif menjadi faktor lain yang membolehkan kereta itu dipilih sebagai yang terbaik di kalangan semua peserta.

Sementara itu, Philip Samuel Tandio dari Indonesia pula muncul sebagai naib juara dengan konsep “Out Ride”, manakala Muhammad Izhar Che Shukarno berada di tempat yang ketiga dengan konsep “Fastback”.

Bagi kategori pelajar rekaan, Bryan Teh Yea Quan dari Universiti Asia Pasifik (APU), Malaysia dinobatkan sebagai juara dengan tafsiran uniknya tentang sebuah sedan yang ‘sporty’.

Manakala Alfred Han Wen Hao dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Malaysia sebagai naib juara dan Muhammad Amin Othman dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Malaysia berada di tempat yang ketiga.

“Bagi Perodua, pertandingan ini memberikan gambaran mengenai sedan kerana definisi dan persepsi kenderaan jenis itu adalah berbeza dari satu negara ke negara yang lain.

“Rakyat Malaysia melihatnya sebagai kenderaan yang praktikal manakala negara lain mungkin melihatnya lebih sebagai simbol status dan dengan menganjurkan pertandingan ini, kita dapat melihat di mana kita boleh menggabungkan kedua-dua idea itu menjadi satu,” kata Dato’ Sri Zainal.

“Pertandingan ini bukan sahaja menggalakkan pereka untuk menguji bakat mereka tetapi juga mendedahkan mereka kepada falsafah reka bentuk yang berbeza dari negara lain di dunia,” kata Pengarah MRM, Husaini Ismail.

Treler bawa kereta lumba terbakar di Kulai, Civic Type R FK8, Jazz, City antara yang musnah

BERTABAHLAH buat pemilik kereta-kereta ini, treler yang membawanya terbakar dalam kejadian di Kilometer 38.1, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Kulai, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 4:52 pagi.

Beliau berkata, sepasukan 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Skudai dan Tebrau telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Fauzi Che Deris berkata, bomba tiba di lokasi kejadian dan mendapati kebakaran melibatkan tujuh buah kereta.

Menurut Fauzi lagi, kenderaan yang terlibat adalah lima buah kereta Honda (Civic Type-R FK8, City sedan, Jazz, Civic FD2, Civic EG), sebuah Toyota (GR) Yaris dan sebuah Proton Saga.

Jelasnya, kebakaran terbabit telah memusnahkan kenderaan lebih 70 peratus dan tidak melibatkan mangsa. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Menurut perkongsian di Facebook oleh pengguna bernama Suhaimi Avantech, kesemua kereta adalah milik R Engineering, salah satu nama terkenal dalam sukan permotoran di negara ini. Difahamkan juga ada kereta yang baru menamatkan perlumbaan dalam acara S1k tempoh hari.

Suspek langgar pelajar sekolah akan didakwa di bawah Seksyen 302 hari ini

SEMALAM media melaporkan pegawai kanan polis yang disyaki melanggar pelajar tingkatan lima akan dituduh di bawah Seksyen 302, di Mahkamah Majistret Ipoh, esok (hari ini, Isnin, 18 Disember 2023).

Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya mendapati terdapat keterangan mencukupi bagi suatu kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap suspek langgar pelajar dalam kejadian yang berlaku di Ipoh, Jumaat lalu.

Menurutnya, ia diputuskan selepas pihaknya membuat penelitian terhadap hasil siasatan dan keterangan yang dikemukakan dalam kertas siasatan.

“Jabatan ini mendapati bahawa terdapat keterangan yang mencukupi bagi suatu kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap suspek.

“Justeru, suspek akan dituduh secara tentatif di bawah Seksyen 302 di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak pada 18 Disember 2023 (hari ini).

“Mahkamah Majistret kemudiannya akan menetapkan tarikh untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Ipoh untuk tujuan perbicaraan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan, di sini tadi.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan itu sebagai merujuk kepada kes kemalangan jalan raya yang berlaku Jumaat lalu berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh, Perak.

Kemalangan itu melibatkan sebuah kereta dipandu seorang pegawai kanan polis dengan sebuah motosikal ditunggang mangsa yang berusia 17 tahun hingga menyebabkan kematian.

Susulan itu, keluarga mangsa yang maut dilanggar dan diseret sejauh lebih lima meter menuntut keadilan di atas kejadian yang menimpa mangsa.

Aveta Service Corner pertama dibuka di Klang, 29 lagi bakal menyusul

DALAM usahanya untuk memberikan ketenangan fikiran kepada semua pelanggan mereka, Aveta Motorcycles Malaysia baru-baru ini telah melancarkan Aveta Service Corner (ASC).

Menurut syarikat itu, ASC merupakan satu sudut khusus di pusat penjualan Aveta yang dilengkapi dengan peralatan khas untuk juruteknik bekerja pada motosikal Aveta.

“Kami mahu pelanggan mempunyai pengalaman pemilikan yang bagus dengan motosikal Aveta, dan ASC ini adalah untuk itu. Kami bekerjasama dengan peniaga dan pusat servis yang komited yang mempunyai pengetahuan untuk bekerja pada motosikal Aveta,” jelas Steven Lim, Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Motorcycles Malaysia.

Tambah beliau lagi, selain pengetahuan, alat yang betul juga penting untuk seorang juruteknik. Justeri tu, ASC mempunyai semua kelengkapan yang sesuai untuk kerja penyelenggaraan dan pembaikan motosikal Aveta.

Bagi memastikan juruteknik sentiasa berprestasi pada tahap tertinggi dan mempunyai set kemahiran yang betul, Aveta telah menyediakan latihan untuk semua model sedia ada.

Selain daripada latihan, semua juruteknik juga akan diberikan baju T, manakala ASC turut menyediakan lift motosikal dan laci alat.

ASC pertama dilancarkan dengan kerjasama Ann Chuan Motor, pengedar Aveta di Klang. Ia merupakan yang pertama daripada 30 ASC yang akan dilancarkan di seluruh Malaysia pada tahun 2024.

ASC merupakan salah satu daripada tiga inisiatif Penjagaan Pelanggan, di mana dua lagi adalah Mobile Service Fleet yang sudah beroperasi dan pelantikan stokis yang komited yang dijadualkan pada tahun 2024.

Honda Civic e:HEV RS dinobat Malaysia Car Of The Year 2023

MALAYSIA Car Of The Year (MCOTY) 2023 baru berakhir dan anugerah utama dirangkul oleh Honda Civic e:HEV RS Hybrid. Anugerah tahunan ini menjadi medan untuk wakil dan pakar automotif mengiktiraf dan meraikan kereta-kereta baharu di Malaysia.

Barisan juri memilih Honda Civic e:HEV RS Hybrid kerana teknologinya yang cekap, dan menawarkan pengurusan tenaga hibrid yang mantap dalam kalangan pesaing-pesaingnya.

Sebanyak 121 kereta baharu dinilai untuk tahun ini, dengan saingan sengit dari pelbagai jenis kenderaan. Panel juri terdiri dari 10 wartawan permotoran dan dua profesional dari bidang perundangan dan perubatan.

Juri-juri ini menilai kenderaan dari kriteria tertentu seperti reka bentuk, teknologi, keselamatan, dan nilai untuk wang. Hasil analisis mereka mengagihkan 121 kereta kepada tujuh kategori utama, dengan 13 pemenang dari segmen masing-masing.

Satu aspek menarik MCOTY ialah anugerah People’s Choice atau Pilihan Rakyat, dimana ia dipilih dari undian online melalui telefon pintar bagi memastikan seorang pengundi memilih satu kereta.

Anugerah People’s Choice tahun ini dinobatkan kepada Perodua Axia E bagi kategori marhaen, manakala BMW iX1 xDrive30 M Sport menang bagi kategori premium. Menarik juga kerana rakyat Malaysia memilih sebuah EV sebagai pemenang untuk pasaran premium.

Selain itu, terdapatjuga Honourable Mentions untuk tiga kereta yang tetap sangat bagus. Pertama ialah Ford Ranger Raptor 3.0 V6 petrol untuk prestasinya, dianggap seperti supercar dengan rupa trak pikap.

Kedua ialah Perodua Axia E 1.0 E manual kerana harganya yang sangat mampu milik, dengan hanya RM22,000, menjadikannya antara kereta dengan nilai untuk wang terbaik dalam dunia! Walaupun dikritik kerana standard keselamatannya, ia tetap jauh lebih selamat dari motosikal.

Akhir sekali ialah Chery Omoda 5 kerana jaminan yang ditawarkan. Ia dilancarkan dengan jaminan 1,000,000km untuk 3,000 pembeli pertama. Inisiatif membina keyakinan terhadap jenama ini menarik perhatian para juri.

Anugerah MCOTY kembali selepas ‘berehat’ tiga tahun disebabkan pandemik yang melanda dunia. Pada 2019, kurang dari lima model EV dalam pasaran, tetapi pada tahun ini, sebanyak 29 EV dilancarkan.

Berikut adalah senarai penuh anugerah dan pemenangnya:

A. Sedan dan hatchback terbaik

Kurang RM110,000: Toyota Vios 1.5G

RM111,000 hingga RM249,000: Honda Civic e:HEV RS Hybrid

Lebih RM250,000: Mercedes-Benz C300 AMG Line

B. Crossover terbaik

Kurang RM200,000: Toyota Corolla Cross Hybrid 1.8

Lebih RM200,000: Mazda CX-8 2.2D 2WD

C. Kereta elektrik (EV)

Kurang RM200,000: BYD Dolphin Premium Extended

Lebih RM200,000: Volvo C40

D. Hibrid

Kurang RM250,000: Toyota Corolla Cross Hybrid 1.8

Lebih RM250,000: Volvo XC90 Recharge T8 Ultimate

E. SUV

Kurang RM250,000: Kia Sorento 2.2 Diesel AWD

Lebih RM250,000: Lexus RX350 Luxury 2.4 T

F. Trak pikap

Ford Ranger XLT Plus Double Cab 4×4 WildTrak

G. MPV

Kia Carnival 2.2 Diesel 11-seater

H. Pemenang keseluruhan

Honda Civic e:HEV RS Hybrid

I. People’s Choice

Marhaen: Perodua Axia E

Premium: BMW iX1 xDrive30 M Sport

J. Honourable Mentions

Prestasi: Ford Ranger Raptor 3.0 V6 petrol

Mampu milik: Perodua Axia 1.0 E

Jaminan: Chery Omoda 5

K. CPO (operator tempat pengecas) terbaik

Gentari

L. Individu Tahunan

Ahmad Hadri Haris

 

Honda CR-V generasi ke-6 dilancarkan – harga dari RM159,900

HONDA CR-V generasi keenam secara rasminya telah dilancarkan ke pasaran Malaysia hari ini, sebulan selepas ia dibuka untuk tempahan.

Menurut Honda Malaysia, SUV itu telah menerima lebih 2,000 tempahan dalam tempoh tersebut. Syarikat itu mensasarkan untuk menjual 1,000 unit CR-V sebulan.

CR-V ditawarkan dalam empat varian, dengan harga jualan seperti berikut:

  • 1.5L S – RM159,900
  • 1.5L E – RM169,900
  • 1.5L V – RM181,900
  • 2.0L e:HEV RS – harga akan diumumkan kemudian

Varian tertinggi iaitu e:HEV RS hanya akan dilancarkan pada awal tahun hadapan, jadi harganya akan diumumkan lebih dekat dengan tarikh pelancaran.

Sempena dengan ulang tahun Honda yang ke-75 dan 20 tahun CR-V sebagai model pengeluaran pertama dari kilang Honda Malaysia di Melaka, syarikat itu menawarkan harga istimewa RM157,900 untuk CR-V 1.5L S untuk 750 pelanggan terawal.

Jika dibandingkan dengan versi terdahulu, model baharu ini mempunyai ukuran saiz yang lebih besar dengan ukuran panjang 4,691 mm, lebar 1,866 mm, tinggi 1,681 mm dan jarak roda 2,701 mm.

Varian e:HEV RS dikuasakan oleh gabungan enjin 2.0-liter empat silinder dan motor hibrid (Hybrid Traction Motor) yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 184 PS dan 335 Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi e:CVT.

Tiga varian lagi menampilkan 1.5 liter VTEC Turbo dengan 193 PS dan 243 Nm tork, serta transmisi jenis CVT. Varian S dan E adalah pacuan roda hadapan (2WD), manakala varian V menggunakan sistem pacuan semua roda Real Time AWD.

Dari segi kelengkapan, semua varian CR-V didatangkan standard dengan lampu hadapan dan belakang LED, dan lampu isyarat membelok berjujukan. Lampu kabus LED pula hanya tersedia dari E ke atas.

Saiz rim aloi pula bermula dari 17 inci untuk S, hingga 18 inci untuk E, V dan RS. Sebagai varian paling sporty, rim RS didatangkan dalam warna hitam.

Di dalam, CR-V (kecuali varian S) didatangkan dengan upholsteri kulit, fungsi memori kerusi pemandu, pelarasan kuasa lapan hala untuk pemandu dan empat hala untuk penumpang, tambahan port USB Type C, pengecas wayarles 15W, paparan audio sembilan inci dan paddle shifter.

Varian V menambah pencahayaan ambien, manakala varian RS pula mendapat kad kunci pintar, meter digital 10.2 inci, Head-Up Display, suis mod pemanduan, Active Sound Control dan sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara.

Dari segi keselamatan, Honda Sensing kini tersedia pada semua varian. Ia merangkumi sembilan ciri iaitu:

  • Adaptive Cruise Control
  • Forward Collision Warning
  • Lane Departure Warning
  • Road Departure Mitigation
  • Lane Keep Assist System
  • Collision Mitigation Braking System
  • Lead Car Departure Notification System
  • Low Speed Follow
  • Adaptive Driving Beam (RS sahaja)

Sementara itu, Honda LaneWatch tersedia pada E, V dan RS, manakala kamera 360 darjah tersedia pada V dan RS sahaja.

CR-V boleh didapati dalam lima warna iaitu Canyon River Blue, Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic, Meteroid Gray Metallic dan Ignite Red Metallic.

Pusat pameran 3S Vespa dan skuter Aprilia dibuka di Melaka

Berita baik buat peminat jenama Vespa dan skuter Aprilia sekitar Melaka kerana pusat pameran 3S baru sahaja dirasmikan hujung minggu lalu di Klebang, Melaka. 

Pusat pameran 3S itu menempatkan tawaran serba lengkap termasuk servis, jualan dan alat ganti dan dikendalikan sepenuhnya Zen Sports Sdn Bhd. 

Sementara itu, Pengerusi Didi Group (selaku pengedar rasmi jenama Vespa dan Aprilia di Malaysia) turut gembira dengan pembukaan pusat 3S terbaru itu yang merupakan pertama di Melaka. 

Bagi pelanggan yang hadir, mereka akan disajikan dengan identiti korporat Piaggio yang menjaminkan pengalaman yang terbaik dan efisien. 

Menurut Didi Group, pusat 3S terbaru itu menawarkan rangkain model Vespa serba lengkap termasuk Vespa Sprint 150 dan GTV terbaru serta model skuter Aprilia SR GT 200. 

Inisiatif Kecemerlangan Operasi Proton sasar tingkatkan kepuasan pelanggan

PROTON telah melancarkan inisiatif Kecemerlangan Operasi Proton (POE) dalam usahanya untuk meningkatkan prestasi pusat perkhidmatannya di seluruh negara.

Menurut pengeluar kereta nasional itu, inisiatif tersebut akan dimulakan di 13 cawangan perintis dan akan disepadukan secara progresif ke semua cawangan 3S dan 4S di seluruh negara.

Pendekatan berperingkat ini menekankan komitmen Proton terhadap pelaksanaan yang sistematik, memastikan kecemerlangan operasi di setiap titik sentuh pelanggan.

Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata pihaknya berdedikasi untuk memberikan tahap perkhidmatan premium kepada semua pelanggan dari mereka mula melangkah masuk ke premis.

POE melambangkan inisiatif asas, mencerminkan dedikasi Proton terhadap kecekapan operasi dan kualiti perkhidmatan selepas jualan.

Bidang tumpuan termasuk pematuhan kepada proses perkhidmatan berkualiti tinggi, kecekapan juruteknik, integrasi Sistem Pengurusan Pengedar (DMS) yang bakal dilancarkan, dan memupuk kepercayaan terhadap jenama.

Strategi termasuk mendapatkan tarikh servis pilihan dan menyelaraskan proses perkhidmatan dengan keperluan pelanggan.

Inisiatif ini juga menekankan pembangunan juruteknik dengan melengkapkan mereka dengan pengetahuan lanjutan untuk penyelesaian isu yang efisien.

Mengenai ketersediaan alat ganti, Roslan berkata peningkatkan kapsiti gudang telah mengurangkan masa penghantaran dengan ketara iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus.

Ini membolehkan mereka menyimpan lebih banyak alat ganti, serta menyelaraskan pemprosesan pesanan, mengendalikan penghantaran ke luar negara, dan mengekalkan stok barangan kritikal yang lebih besar.

“Kami telah membuka dua gudang baharu secara strategik di Semenanjung Malaysia, bersama dengan gudang baharu di Malaysia Timur, Kuching dan tidak lama lagi akan dilancarkan di Kota Kinabalu untuk memenuhi permintaan dan bekalan alat ganti di wilayah itu, “katanya.

Di sebalik penambahbaikan operasi, Proton memberi penekanan yang kuat untuk membina dan mengukuhkan
kepercayaan dan keyakinan terhadap jenama dan perkhidmatannya.

Memperkasakan rangkaian peniaga, saluran komunikasi terbuka, usaha kolaboratif, sesi bimbingan satu sama satu, dan berkongsi amalan terbaik di kalangan pengedar untuk mengukuhkan rangkaian.

Skim Ganjaran & Pengiktirafan pula mengiktiraf pengedar atas perkhidmatan pelanggan yang cemerlang dan meraikan peristiwa penting di mana pengedar melebihi jangkaan.

Chery buka pusat servis 4S terbesar di Malaysia di Johor Bahru

SELEPAS kejayaan membuka bilik pameran 4S di Kuantan hujung minggu lepas, Chery Malaysia kini merasmikan satu lagi pusat 4S di negara ini.

Terletak di Johor Bahru, pusat 4S Gagner Auto Sdn Bhd di Medini itu merupakan yang terbesar seumpamanya di Malaysia.

Pembukaan itu dirasmikan oleh Yang Mulia Tunku Abu Bakar Ibni Al-Marhum Tunku Bendahara Abdul Rahman dan Yang Mulia Tunku Abdul Samad Bin Tunku Mohd Archibald, serta beberapa individu dari rakan industri dan wakil Chery Auto Malaysia.

Pusat 4S Chery terbaharu ini menempatkan fasiliti ruang jualan, servis, alat ganti, dan juga badan dan cat. Ia menampilkan ciri-ciri rekaan mesra alam dan mengamalkan penggunaan tenaga yang cekap.

Pembukaan pusat 4S ini juga menjadi platform untuk pratonton model EV pertama Chery, Omoda E5 di wilayah selatan.

Wakil Gagner Auto Sdn Bhd, Janessa Kuek berkata: “Kami sangat berbangga menjadi cawangan pertama di rantau selatan untuk membuat pratonton pertama untuk model yang akan dilancarkan tidak lama lagi di Malaysia, iaitu Omoda E5.”

“Ini menandakan satu detik bermakna dalam komitmen kami membawakan inovasi kenderaan canggih bagi para pelanggan kami,” katanya.

JPJ tidak akan beri diskaun saman kepada orang ramai

ANDA sedang menunggu diskaun pengurangan saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)? Anda boleh lupakan hasrat itu kerana jabatan itu tidak lagi akan memberi diskaun kepada orang ramai.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, kementeriannya telah mengamalkan dasar tiada pemberian diskaun saman kepada pengguna jalan raya sejak beliau menjawat jawatan berkenaan pada 2018.

Tambah Anthony lagi, ketika itu beliau juga telah membatalkan lebih RM4 juta saman kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), dan perkara itu disambut baik orang ramai.

“Kami hendak beri satu mesej kepada orang ramai bahawa saman itu adalah untuk mendidik. Jika kami bagi diskaun, ia tidak adil kepada orang lain yang bayar saman pada masa yang ditetapkan,” katanya.

Loke berkata JPJ sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab menjaga keselamatan jalan raya tidak akan berkompromi dalam hal ini. Perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki kerana isu kesalahan-kesalahan jalan raya mesti dipandang serius.

Walaupun tiada pemberian diskaun saman JPJ, Kementerian Pengangkutan turut mengadakan program lain seperti pemberian 5,000 topi keledar secara percuma sempena program Setahun Bersama Kerajaan MADANI.

Industri automotif tempatan terjejas jika import kereta CBU cc rendah dibenarkan

ANDA mungkin tertanya-tanya kenapa kerajaan tidak membenarkan kemasukan kereta diimport sepenuhnya (CBU) dengan enjin berkapasiti kecil ke negara ini.

Menurut Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, perkara itu akan mendorong kepada lambakan dalam pasaran serta menjejaskan matlamat kerajaan bagi membangunkan industri automotif tempatan.

Tambah beliau lagi, kemasukan kereta CBU dengan enjin berkapasiti kecil akan turut menjejaskan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 sekiranya syarikat-syarikat Pengilang Peralatan Tulen (OEM) beralih daripada aktiviti pengeluaran kereta tempatan kepada pengimportan CBU.

“Pada masa sama, ia akan menjejaskan perancangan pelaburan jangka masa panjang pengeluaran tempatan oleh syarikat-syarikat OEM dan kedua-dua syarikat pengeluar kereta nasional.

“Malah, ini seterusnya akan menjejaskan usaha ke arah pembangunan vendor tempatan, termasuk kehilangan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan pada masa depan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara, pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Senator Seruandi Saad mengenai kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan permit import bagi kemasukan kenderaan berkuasa kuda (cc) rendah seperti 660 cc.

Mengulas selanjutnya, Liew berkata, tumpuan hala tuju industri automotif tempatan adalah menggalakkan aktiviti pemasangan tempatan oleh syarikat pengeluar kereta nasional dan syarikat-syarikat OEM tanpa mengira jenama serta kapasiti enjin kenderaan.

“Kapasiti enjin yang kecil tidak semestinya memberi gambaran bahawa sesuatu kenderaan tersebut dijual pada harga rendah kerana import masih tertakluk kepada cukai import, cukai eksais dan cukai jualan,” katanya.

Dua unit Jaecoo J7 tiba di Malaysia! Pelancaran tidak lama lagi?

INI satu berita hangat, tuan-tuan dan puan-puan, kerana jenama Jaecoo telah tiba di Malaysia. Malah, dua unit Jaecoo J7 AWD kini berada di negara ini untuk ujian jalan raya dan piawaian.

Untuk yang belum tahu, Jaecoo ialah salah satu jenama di bawah payung Chery, seperti Omoda. Kami pun telah membuat sedikit laporan dan pengenalan mengenai Jaecoo semasa di China beberapa bulan lepas.

Jaecoo Malaysia kini giat menjalankan pratonton eksklusif kepada wakil pengedar sah dan pelabur berpotensi menjelang pembukaan bilik pameran. Ia bakal diperkenalkan ke pasaran Malaysia tahun depan.

Selain itu, laman rasmi Facebook Jaecoo Malaysia juga telah ditubuhkan, jadi anda boleh lawatinya untuk sebarang maklumat dan kemas kini dari jenama itu. Mungkin group dan forum Jaecoo juga akan tumbuh bagai cendawan tak lama lagi.

Laman web rasmi pula dijangka siap pada Januari 2024. Sementara itu, anda boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web global Jaecoo.

Jaecoo J7 ialah model segmen-C lima tempat duduk, dengan panjang 4,500mm. Ia akan berada dalam segmen yang sama dengan model seperti Mazda CX-5 dan Honda CR-V.

Tidak seperti unit yang kami lihat di Wuhu, China yang merupakan model pacuan roda-depan, unit yang tiba di Malaysia kedua-duanya adalah model AWD.

Belum ada perincian enjin, tetapi menurut laman web rasmi Jaecoo, model J7 AWD dikuasakan enjin 1.6-liter turbo dengan 194hp dan 290Nm tork, dan kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear dwi-klac 7-kelajuan.

Prestasi 0-100km/j adalah dalam 8 saat, manakala kecekapan penggunaan bahan api adalah sekitar 7.48L/100km.

Ciri lain pada Jaecoo J7 termasuklah lampu LED, skrin infotainmen menegak 14.8-inci, bumbung panoramik, sistem audio Sony, 10 beg udara, dan fungsi ADAS Level 2.5+.

Apa pendapat anda mengenai Jaecoo J7 dan jenama ini secara amnya? Teruja untuk ia dilancarkan?

Hino Total Support Contest buru pengoperasi lori terbaik negara untuk 2023

HINO Motor Sales (Malaysia) Sdn Bhd baru-baru ini menganjurkan Hino Total Support (TS) Contest. Acara tahunan edisi kesembilan itu diadakan di ibu pejabat Hino di Petaling Jaya, melibatkan 95 peserta dari 15 syarikat pengedar Hino bertauliah seluruh negara.

Hino Total Support Contest 2023 memfokuskan kepada dua nilai utama iaitu memaksimakan uptime kenderaan dan meminimakan kos jangka hayat.

Sepanjang peraduan, peserta diuji melalui aspek-aspek seperti Sales, Service, Spare Parts, Customer Success Operation (SCO), dan Best In Town, iaitu satu kategori baharu tahun ini.

Pemenang hadiah utama membawa pulang Challenge Trophy, wang tunai RM3,000, dan tiket pelancongan ke Thailand untuk enam peserta. Pemenang di tempat kedua dan ketiga pula masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 dan RM1,000.

Juara bagi setiap kategori pula (Sales, Service, Spare Parts, dan CSO) menerima wang tunai RM1,000 dan tiket ke Thailand pada 2024. Pemenang tempat kedua dan ketiga setiap kategori pula membawa pulang wang tunai RM500 dan RM200 setiap seorang.

Hino TS Contest bukan sahaja mencari mereka yang berkemahiran dalam industri, malah turut menjadi platform menghargai dan mengiktiraf para pengedar.