Category Archives: MALAYSIA

BYD Atto 3 Ultra tampil dengan lebih banyak kelengkapan, harga lebih murah

BYD Sime Motors telah melancarkan Atto 3 Ultra yang tampil dengan spesifikasi dinaik taraf dan harga yang lebih mampu milik.

Versi terbaru ini dijual pada harga RM123,800, yang bersamaan dengan pengurangan sebanyak RM26,000 berbanding model tahun 2024.

Tidak cukup dengan itu, BYD Sime Motors turut menawarkan pakej eksklusif untuk 1,000 pelanggan pertama Atto 3 Ultra. Ia merangkumi:

  • Rebat tunai RM5,000
  • Pakej servis lapan tahun (bernilai RM4,888)
  • Pengecas dinding 7 kW (bernilai RM3,699)
  • Alat penyesuai V2L (bernilai RM988)
  • Kabel Type 2 (bernilai RM1,796)
  • Internet tanpa had selama dua tahun

Atto 3 Ultra didatangkan dengan pakej waranti komprehensif yang merangkumi waranti kenderaan selama enam tahun/150,000 km, waranti bateri voltan tinggi selama lapan tahun/160,000 km dan waranti unit pacuan selama lapan tahun/150,000 km.

Jadi apa yang baru untuk Atto 3 Ultra? Untuk bahagian luaran, walaupun ia nampak serupa dengan model sedia, Atto 3 Ultra tampil dengan rekaan rim baharu. Terdapat tiga warna yang boleh dipilih iaitu Ski White, Harbour Grey dan Cosmos Black.

Ruang dalaman pula menampilkan upholsteri serba hitam yang diserlahkan lagi dengan jahitan kontras berwarna kuning yang menggantikan warna merah yang terdahulu.

Dari segi kelengkapan, Atto 3 Ultra mendapat dua ciri baharu iaitu kunci digital (NFC) yang membolehkan pemandu membuka kunci pintu dan menghidupkan kenderaan menerusi telefon pintar, dan ciri penyejuk pada tempat duduk hadapan.

Tiada perubahan dari segi trenkuasa. Seperti sebelum ini, Atto 3 Ultra mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menghasilkan 204 PS (150 kW) dan 310 Nm, dan pek bateri 60.48 kWj yang menawarkan jarak gerak sehingga 480 km (NEDC).

Honda CBR150R 2025 tiba di Malaysia dengan warna baharu Honda Tricolor – RM13,399

Boon Siew Honda mengumumkan penawaran CBR150R dengan warna baharu Honda Tricolor yang diinspirasikan daripada DNA Honda Racing yang wujud pada CBR1000RR-R, CBR650R dan CBR250RR.

Selain daripada Honda Tricolor, CBR150R juga boleh didapati dalam pilihan warna Silver yang dikemaskan dengan aksen warna kuning terang.

Dari segi spesifikasi, Honda CBR150R dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 149.2 cc, menghasilkan kuasa 16 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 13.7 Nm @ 7,000 rpm yang digandingkan dengan transmisi enam-kelajuan dan klac assist & slipper.

Ia juga masih mengekalkan tetapan suspensi fork hadapan jenis terbalik, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang, rim 17 inci, brek cakera depan dan belakang, sistem ABS dua saluran, panel meter digital dan lampu LED.

Ciri lain termasuklah tangki bahan api sebesar 12 liter, serta tinggi pelana 788 mm.

Honda CBR150R 2025 boleh didapati bermula 19 Mac di semua pengedar sah Honda dan IMPIAN X di seluruh negara, dengan tanda harga RM13,399 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran).

 

Perodua meterai MoU dengan MyDigital ID bagi dapatkan akses pengesahan pengguna

Perodua menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan MyDigital ID untuk mendapatkan akses pengesahan pengguna dalam usahanya untuk menambahbaik perjalanannya ke arah transaksi tanpa tunai.

MyDigital ID adalah inisiatif Identiti Digital Nasional yang selamat dan dipercayai. Ia dibangunkan bertujuan untuk membolehkan rakyat Malaysia mendapat akses yang selamat dan lancar bagi perkhidmatan digital kerajaan serta swasta.

Dengan tumpuan kepada keselamatan dan privasi, MyDigital ID menetapkan penanda aras baharu untuk kepercayaan dan perlindungan dalam dunia mobiliti yang semakin berkembang pesat.

“Kerjasama ini adalah yang pertama seumpamanya bagi industri automotif di negara ini. Memandangkan MyDigital ID bertindak sebagai ‘gatekeeper’ bagi pengesahan transaksi di negara ini, ia membolehkan kami mempelbagaikan lagi perkhidmatan kepada para pelanggan kami khususnya, dan kepada semua rakyat Malaysia secara amnya,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Beliau berkata proses pengesahan yang dijalankan adalah titik permulaan yang selamat bagi memastikan semua pengguna dilindungi oleh pakar keselamatan siber di negara ini.

“Sejak enam bulan lalu, kami telah menjalin kerjasama strategik dengan beberapa syarikat, antaranya PETRONAS, Tenaga Nasional Bhd dan Telekom Malaysia Bhd bagi menambahkan lagi pengalaman rakyat Malaysia secara keseluruhan.

“Semua kerjasama ini akan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kepada bakal pelanggan kami dan kami mahu pelanggan kami berada dalam keadaan selamat,” kata Dato’ Sri Zainal.

“Sebagai tambahan, kami juga menyokong seruan kerajaan ke arah komuniti tanpa tunai di samping memanfaatkan ciri keselamatan siber yang kukuh yang disediakan oleh MyDigital ID,” katanya.

“Kerjasama strategik dengan Perodua menunjukkan kepentingan peranan identiti digital untuk memacu pembaharuan digital di dalam industri automotif,” kata Ketua Pegawai Operasi MyDigital ID, Mohd Azuddin Parman.

“Kuncinya adalah memastikan pengesahan identiti digital yang dipercayai di samping menjadikan interaksi digital lebih selamat dan mudah. Ia memperkasakan industri seperti automotif untuk menawarkan pengalaman selamat dan mesra pengguna kepada setiap pelanggan. Pada masa yang sama, kami juga menyumbang kepada kemajuan ekonomi digital Malaysia,” kata Mohd Azuddin.

Honda NSS250 2025 rasmi di Malaysia dengan skrin TFT lima inci – harga RM25,888

Boon Siew Honda mengumumkan kehadiran model skuter bersesaran 250 cc yang telah dikemas kini, iaitu Honda NSS250 2025 untuk memeriahkan lagi pasaran skuter tempatan.

Tidak seperti penawaran terdahulu, NSS250 2025 kini dilengkapi dengan skrin paparan TFT berwarna sebesar lima inci yang boleh dikawal menerusi suis bercahaya.

Dengan integrasi Honda RoadSync, penunggang boleh mengakses fungsi navigasi, panggilan suara, serta muzik menerusi sambungan Bluetooth.

Honda NSS250 2025 dikuasakan oleh enjin 249.5 cc yang mampu menjana kuasa 23 hp @ 7,750 rpm dan daya kilas 24 Nm @ 6,250 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT automatik.

Casis kerangka keluli tubular NSS250 ini digandingkan dengan fork teleskopik hadapan 33 mm dan penyerap hentak berkembar di belakang untuk tunggangan yang lebih lincah di dalam laluan urban.

Ciri lain termasuklah skrin penghadang angin boleh laras elektronik (julat 180 mm), unit lampu utama LED, sistem Smart Key, ruang storan yang luas di bawah pelana, serta ruang glovebox berkembar di hadapan.

Selain daripada sistem ABS dua saluran, NSS250 ini turut mendapat ciri Emergency Stop Signal, dan juga Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang boleh dinyahaktif.

Lima warna baharu yang ditawarkan untuk NSS250 termasuklah Pearl Smoky Gray, Matte Gun Powder Black Metallic, Candy Rosy Red, Pearl Jubilee White dan Pearl Shining Black.

Harga jualan Honda NSS250 2025 bermula dari RM25,888.

Honda X-ADV 2025 V3 rasmi di Malaysia – dari RM69,999

Boon Siew Honda mengumumkan ketibaan generasi baharu skuter kembara Honda X-ADV 750 2025 untuk pasaran tempatan.

Jentera kegemaran ramai ini dilihat masih lagi mengekalkan enjin parallel-twin 745 cc SOHC yang mampu menjana kuasa 58 hp @ 6,750 rpm dan daya kilas 69 Nm @ 4,750 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan sistem DCT (klac berkembar) yang telah dinaik taraf untuk pengedaran kuasa yang lebih lancar, lengkap dengan mod manual atau automatik serta fungsi rev-match automatik semasa downshift.

Berbeza dengan model terdahulu, X-ADV 750 baharu ini membawakan rupa paras yang lebih agresif, terima kasih kepada unit lampu nyalaan siang (DRL) yang mengintegrasikan fungsi lampu membelok.

Perumah lampu utama projektor LED sengaja digelapkan untuk efek yang lebih menonjol.

Dari segi praktikaliti, X-ADV menampilkan skrin penghadang angin yang boleh dilaras tiga tahap menggunakan satu tangan, slot pengecas USB-C, ruang glovebox, serta sistem kunci pintar.

Ruang storan bawah pelana adalah sebesar 22 liter, lengkap dengan sistem pencahayaan LED dan pembahagi ruang untuk mengelakkan barangan daripada bergerak sewaktu tunggangan.

Terdapat skrin paparan TFT lima inci berwarna penuh dengan integrasi peranti pintar menerusi Honda RoadSync untuk kawalan navigasi dan muzik dengan menggunakan sambungan Bluetooth.

Melengkapi penawaran X-ADV ialah sistem Throttle-by-Wire, Automatic Turn Signal Canceller, ABS dua saluran, serta sistem kawalan jelajah berasaskan Human Machine Interface (HMI) untuk mengurangkan kepenatan sewaktu perjalanan jauh.

Ciri lain termasuklah fork hadapan terbalik 41 mm SFF-CA, penyerap hentak tunggal di belakang, rotor brek berkembar 296 mm berserta angkup empat omboh di depan, rotor brek tunggal 240 mm berserta angkup omboh tunggal di belakang, tangki bahan api sebesar 13.2 liter serta tinggi pelana 790 mm.

Terdapat tiga warna pilihan, iaitu Matte Deep Mud Gray, Pearl Glare White dan Graphite Black yang boleh dibeli pada harga RM69,999, serta warna istimewa Matte Goldfinch Yellow pada harga RM70,999.

Tiket Tokyo Auto Salon KL 2025 sudah mula dijual pada harga lebih rendah

Berita baik buat para peminat acara pameran tahunan kereta-kereta ubahsuai dari Jepun.

Ini kerana tiket kemasukan untuk Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2025 (TASKL 2025) sudah mula dijual sejak semalam (19 Mac) dengan harga yang lebih berpatutan.

Ini merupakan salah satu cara untuk menarik lebih ramai pengunjung terutama peminat dan penggemar untuk menikmati pameran kereta kustom dan berprestasi yang paling mengujakan di Malaysia.

Harga tiket adalah seperti berikut:
• Dewasa: RM48 (pas sehari), RM120 (pas tiga hari)
• Kanak-kanak: RM30 (pas sehari), percuma untuk kanak-kanak berumur 5 tahun dan ke bawah
• OKU: Diskaun 50 peratus
• Pakej kombo: RM120 (dua dewasa dan dua kanak-kanak)

1,000 orang pembeli tiket pertama berhak menerima lanyard edisi terhad “First at TASKL 2025”.

Menurut Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Element X Strategies, Jason Yap berkata, “Harga tiket kini lebih rendah, lebih menarik untuk memberikan akses kepada semua orang supaya dapat menikmati pelbagai aktiviti dan pameran tahun ini.

“Dengan lebih daripada 90,000 orang pengunjung setiap hujung minggu dalam tempoh dua tahun pertama, harga tiket yang lebih rendah ini merupakan tanda penghargaan kepada para peminat dan peserta pameran atas sokongan yang menggalakkan,” ujarnya lagi.

TASKL merupakan satu-satunya pameran yang dianjurkan di luar Jepun yang berpaksikan kepada acara tahunan Tokyo Auto Salon yang terkenal di seluruh dunia.

Selain daripada pameran lebih 300 buah kenderaan ubah suai, TASKL 2025 juga bakal menyaksikan pelancaran model skala 1:64 edisi terhad, pertemuan kelab kereta, cabaran simulasi perlumbaan, serta pertemuan “Four Heavenly Kings” yang bakal diumumkan kelak.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web www.tokyoautosalonkl.com atau platform media sosial Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur di Facebook, Instagram, dan TikTok.

Runner dikesan jual slot tempahan RM3.50 pada harga RM750 – CEO PUSPAKOM

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman mendedahkan terdapat orang tengah (runner) yang mengaut keuntungan hampir RM750 bagi jualan slot tempahan janji temu berganda di premis tersebut.

Menurut beliau, antara taktik digunakan adalah menggunakan nombor casis sama tetapi nombor pendaftaran kenderaan adalah berbeza untuk slot tempahan yang banyak.

“Satu slot janji temu hanya berharga RM3.50 namun ada yang menjual sehingga RM750. Siasatan masih dilakukan dengan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Kita sedang teliti, siapa dan mengapa melakukannya dan kita akan panggil (runner terlibat),” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata PUSPAKOM tidak lagi akan membenarkan tempahan slot pemeriksaan berganda bagi nombor pendaftaran yang sama susulan mengesan penjualan slot oleh orang tengah kepada pihak lain dengan harga lebih tinggi.

Langkah itu diambil bagi mengelakkan penyalahgunaan oleh orang tengah yang didapati menjual slot pemeriksaan kepada pihak lain untuk keuntungan berlebihan.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli menegaskan, pihaknya sedang mendapatkan bantuan agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimana tindakan boleh diambil kepada runner yang terlibat itu.

“Kita cuba dapatkan runner tersebut, tetapi buat masa sekarang semua saluran kita ada, tidak dapat hubungi. Jadi kita dapatkan kaedah lain untuk dapatkan runner tersebut,” katanya.

Vespa GTS 300 Classic dilancarkan di Malaysia pada harga RM31,900

Didi Group, pengedar rasmi jenama Vespa di Malaysia, secara rasminya melancarkan Vespa GTS 300 Classic. Ini merupakan model GTS 300 ketiga yang ditawarkan dalam pasaran tempatan selepas SuperSport dan SuperTech.

Menurut syarikat itu, model terbaru ini dijual pada harga RM31,900 namun 50 pelanggan pertama akan menikmati harga pengenalan istimewa iaitu RM29,900.

GTS 300 Classic dikuasakan oleh enjin HPE (High Performance Engine) 278 cc silinder tunggal yang mampu menghasilkan 23.5 hp (17.5 kW) pada 8,250 rpm dan 26 Nm pada 5,250 rpm.  Kuasa disalurkan ke roda belakang oleh transmisi jenis CVT.

Untuk sistem suspensi, ia menggunakan link arm tunggal pada bahagian hadapan dan penyerap hentak hidraulik berkembar dengan pelarasan pra-beban empat peringkat pada bahagian belakang.

Sistem brek merangkumi cakera tunggal berukuran 220 mm dengan ABS dwi saluran, manakala rim yang digunakan adalah bersaiz 12 inci yang dipadankan dengan tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang.

GTS 300 Classic mempunyai tangki bahan api berkapasiti 8.5 liter dan tempat duduk berketinggian 795 mm.

Untuk pasaran Malaysia, terdapat tiga warna yang boleh dipilih iaitu Beige Sabbia Q02, Black Vulcano ND dan Green Relax V11.

Jaecoo Malaysia mula hantar J7 PHEV ke seluruh negara

Jaecoo Malaysia mengumumkan bahawa model terbarunya iaitu Jaecoo J7 PHEV kini sudah mula dihantar ke cawangan pengedarnya di seluruh negara.

Menurut syarikat itu, penghantaran kelompok pertama SUV itu dalam suku pertama tahun ini adalah seperti yang dijadualkan sebelum ini.

“Ketibaan unit pertama Jaecoo J7 PHEV di pusat pengedaran di seluruh negara menandakan peristiwa penting bagi Jaecoo Malaysia dan menunjukkan komitmen kami kepada pelanggan. Kami teruja untuk rakyat Malaysia mengalami sendiri inovasi dan kecanggihan J7 PHEV,” kata Emily Lek, Naib Presiden Jaecoo Malaysia.

Dilancarkan pada 28 Februari, J7 PHEV dijual pada harga RM158,800 dan dipasang secara tempatan di kilang pengeluaran Chery Malaysia di Shah Alam bersama-sama dengan J7.

Setiap pembelian J7 PHEV disertakan dengan waranti enjin tujuh tahun atau sehingga jarak 150,000 km dan waranti lapan tahun atau sehingga jarak 160,000 km bagi bateri, motor kuasa dan unit pengawal motor kuasa.

Waranti lapan tahun menawarkan pertukaran 1 dengan 1 apabila keadaan hayat (SOH) bateri jatuh di bawah 70% dalam tempoh jaminan.

J7 PHEV boleh didapati dalam tiga warna, iaitu Khaki White, Carbon Crystal Black dan Moonlight Silver. Khaki White ialah edisi terhad dengan hanya 100 unit ditawarkan. Selepas itu, Jaecoo akan memperkenalkan pilihan warna Olive Grey.

Royal Enfield Classic 350 2025 dikemas kini untuk pasaran Malaysia – harga RM23,700

Selain daripada pelancaran model baharu Guerilla 450, Royal Enfield Malaysia turut sama mengemas kini penawaran model Classic 350 untuk tahun 2025.

Untuk pasaran tempatan, Classic 350 boleh didapati dalam empat varian, iaitu:
• Heritage Premium (warna Medallion Bronze)
• Signal (warna Commando Sand)
• Dark (warna Gun Grey dan Stealth Black)
• Chrome (warna Emerald)

Selain itu, ia turut mendapat perubahan seperti lampu LED, penunjuk posisi gear pada meter kluster, serta kehadiran slot pengecasan jenis USB-C.

Varian tertinggi Emerald dan Dark akan ditawarkan dengan sistem navigasi Tripper secara standard, tuil brek dan klac boleh laras dan lampu membelok jenis LED.

Dari segi kuasa, Classic 350 dijana dengan enjin silinder tunggal sejukan udara-minyak bersesaran 349 cc, menghasilkan 20.2 hp @ 6,100 rpm dan daya kilas 27 Nm @ 4,000 rpm.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik 41 mm dengan jarak pergerakan roda 130 mm, diikuti penyerap hentak berkembar dengan larasan pra-beban enam tahap dan jarak pergerakan roda 90 mm.

Classic 350 dibekalkan dengan brek cakera 300 mm dan angkup omboh berkembar jenis terapung pada roda depan, serta rotor 270 mm dan angkup omboh tunggal.

Ciri lain termasuklah sistem ABS dua saluran, tangki bahan api sebesar 13 liter, rim bersaiz 19 inci depan dan 18 inci belakang, serta tinggi pelana 805 mm.

Harga jualan Royal Enfield Classic 350 bermula dari RM23,700.

Kenderaan berat dilarang guna lorong kanan lebuh raya

Kementerian Pengangkutan (MOT) bakal melaksanakan peraturan yang lebih ketat membabitkan kenderaan perdagangan iaitu bas dan juga lori, lapor Berita Harian.

Lima penambahbaikan yang bakal dikuatkuasakan termasuklah larangan penggunaan lorong kanan di lebuh raya, mewajibkan pemasangan alat kawalan kelajuan, pemasangan alat GPS, pemasangan alat pengesan muatan High Speed-Weigh in Motion (HS-WIM) di 11 lokasi dan penambahan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan berkata, peraturan larangan bas dan lori di lorong kanan sudah diwartakan sejak 2015 lagi, namun masih belum dikuatkuasakan.

“Di bawah peraturan ini, lori atau bas mesti kekal di lorong kiri dan tidak boleh dipandu laju. Jika ingin memotong, ia dibolehkan bertukar ke lorong kedua dan kembali semula ke kiri.

“Namun, mereka sama sekali tidak boleh berada di lorong ketiga pada bila-bila masa. Justeru, kita akan usulkan semula perkara ini kepada menteri supaya dapat dikuatkuasakan membabitkan kenderaan berat di lebuh raya,” katanya kepada Berita Harian.

Buat masa ini, pemasangan alat kawalan had laju diwajibkan kepada semua lori baharu, manakala kenderaan lama diberikan kebebasan untuk memasangnya sendiri.

Peraturan pemasangan alat GPS pula dijangka akan bermula bulan ini bagi membolehkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memantau dan mengambil tindakan secara terus.

Menurut Jana Santhiran, pemeriksaan setiap enam bulan akan dibuat di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi memastikan pihak yang terbabit mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk alat kawalan kelajuan dan GPS.

Permit syarikat lori atau bas boleh digantung atau dibatalkan sekiranya berlaku sebarang perlanggaran peraturan jalan raya.

Sementara itu, pemasangan sistem HS-WIM di 11 lokasi lebuh raya dijangka siap sepenuhnya menjelang suku pertama tahun hadapan.

Malaysia Airlines larang guna bank kuasa dalam penerbangan bermula 1 April ini

Minggu ini, syarikat Malaysia Airlines mengemas kini peraturan berhubung penggunaan pengecas mudah alih (bank kuasa) bagi penumpang penerbangan Malaysia Airlines, Firefly dan juga MASwings untuk menjamin keselamatan bersama.

Bermula 1 April 2025, setiap bank kuasa perlu disimpan dengan penumpang sepanjang masa, sama ada di dalam beg carry-on yang diletakkan di bawah tempat duduk, atau poket tempat duduk di hadapan.

Penumpang dilarang menyimpan bank kuasa atau bateri ganti lithium-ion di dalam beg bagasi atau beg kabin yang diletakkan di dalam ruang penyimpanan atas kepala.

sekadar hiasan

Penggunaan atau pengecasan bank kuasa tidak dibenarkan ketika taxi, berlepas atau ketika lampu peringatan tali pinggang keledar dihidupkan.

Akhir sekali, setiap penumpang hanya dibenarkan membawa dua unit bank kuasa, dengan kapasiti 100-160 Wh.

Selain Malaysia Airlines, beberapa syarikat penerbangan lain turut sama mengumumkan peringatan yang serupa, seperti Batik Airlines dan juga Singapore Airlines.

Volvo EX90, XC90 kini boleh ditempah di Malaysia – harga dari RM450k

Volvo Car Malaysia mengumumkan bahawa ia telah membuka tempahan untuk dua SUV tujuh tempat duduknya yang akan dilancarkan tidak lama lagi iaitu Volvo EX90 dan XC90.

Harga rasmi kedua-dua model ini belum didedahkan namun menurut Volvo, EX90 dan XC90 dijangka dijual pada harga sekitar RM450,000.

Perincian mengenai varian dan spesifikasi namun bagi EX90, Volvo Car Malaysia berkemungkinan besar akan menawarkan varian Twin Motor Performance. Ini berdasarkan unit yang dipratonton kepada media pada minggu lalu.

Dengan sepasang motor elektrik (satu pada setiap gandar) yang menjana 517 PS dan 910 Nm, EX90 Twin Motor Performance mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.9 saat sahaja.

Varian Twin Motor juga mempunyai dua motor elektrik, namun dengan kuasa lebih rendah iaitu 408 PS dan 770 Nm. Oleh itu, masa pecutan 0-100 km/j juga lebih lama iaitu 5.9 saat.

Untuk bateri, EX90 didatangkan dengan bateri jenis NMC berkapasiti 111 kWj yang menawarkan jarak sehingga 600 km bagi Twin Motor dan 590 km bagi Twin Motor Performance. Pengecasan dari 10 hingga 80 peratus mengambil masa kira-kira 30 minit menerusi pengecas pantas DC.

Dibina menggunakan platform SPA2 (berlainan dengan XC90 yang menggunakan platform SPA), EX90 mempunyai ukuran panjang 5,037 mm, lebar 1,964 mm dan tinggi 1,747 mm, bermakna ia lebih panjang, lebar dan rendah jika dibandingkan dengan XC90. Ukuran tapak rodanya adalah 2,985 mm, hanya 1 mm lebih panjang berbanding XC90.

Seperti yang boleh dilihat, reka bentuk luarannya tidak ubah seperti EX30 dengan logo Iron Mark pada bahagian hadapan, lampu nyalaan siang LED piksel berbentuk tukul Thor dan lampu LED belakang berbentuk C. Anda tidak akan nampak lampu utama (kecuali apabila ia dipasang) kerana ia ‘disorokkan’ di sebalik barisan lampu piksel tersebut.

Di dalam, EX90 menampilkan tema minimalis yang sudah cukup sinonim dengan jenama dari Sweden itu. Antara kelengkapan utama adalah skrin sentuh berukuran 14.5 inci yang dikuasakan oleh perisian Android Automotive OS, panel instrumen digital 9.0 inci, sistem audio Bowers & Wilkins dan bumbung kaca panoramik.

Volvo X90 facelift

Untuk XC90 pula, versi facelift ini dijangka akan terus ditawarkan dalam versi PHEV yang dikenali sebagai T8. Ia dikuasakan oleh gabungan enjin 2.0-liter empat silinder dan motor elektrik pada gandar belakang yang menghasilkan 455 PS dan 709 Nm.

Chris Wailes, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia berkata, “Dengan pelancaran Volvo EX90 dan XC90 baharu dalam masa tedekat ini, kami akan terus maju ke arah sasaran global untuk mencapai 90 hingga 100 peratus jualan kenderaan elektrifikasi sebelum akhir dekad ini. Tahun lalu, model BEV dan PHEV kami sudah pun mewakili lebih 80 peratus daripada jumlah jualan.”

Royal Enfield Guerilla 450 2025 rasmi masuk pasaran Malaysia dengan harga RM28,700

Royal Enfield Malaysia secara rasmi melancarkan model roadster Guerilla 450 serba baharu.

Jentera ini dibangun menggunakan asas platform yang sama dengan model touring Himalayan 450, namun dengan tetapan yang berbeza.

Seperti contoh, ia mendapat suspensi fork teleskopik hadapan 43 mm (jarak pergerakan roda 140 mm) dan penyerap hentak tunggal belakang (jarak pergerakan roda 150 mm).

Tetapan ini menjadikan tinggi pelana Guerilla 450 menjadi lebih rendah, iaitu sekitar 780 mm sahaja berbanding Himalayan 450 (825 mm).

Selain itu, Guerilla 450 didatangkan dengan rekaan panel badan yang berbeza termasuklah struktur tangki bahan api sebesar 11 liter dan bar hendal, diikuti dengan rim 17 inci yang dibaluti getah bersaiz 120/70 depan dan 160/60 belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada rotor tunggal 310 mm di depan dan angkup dua omboh, diikuti rotor tunggal 270 mm di belakang, dibantu dengan sistem brek ABS dua saluran.

Namun dari segi kuasa, Guerilla 450 mengekalkan tetapan enjin Sherpa 452 cc DOHC sejukan cecair yang mampu menjana kuasa 40 PS @ 8,000 rpm dan daya kilas 40 Nm @ 5,500 rpm.

Terdapat dua mod tunggangan disediakan, iaitu Eco dan Performance.

Ciri lain termasuklah skrin paparan TFT berbentuk bulat Tripper Dash yang boleh dihubungkan kepada peranti pintar, selain menyokong sistem navigasi pemetaan.

Untuk pasaran Malaysia, harga jualan Royal Enfield Guerilla 450 bermula dari RM28,700.

Batik Air larang guna bank kuasa di dalam pesawat

Sebagai respons kepada kebimbangan keselamatan mengenai bank kuasa, Batik Air telah memperkenalkan polisi terkini untuk mengukuhkan lagi langkah-langkah keselamatan di dalam pesawat.

Bermula serta-merta, penumpang dibenarkan membawa maksimum dua bank kuasa, yang mesti sentiasa disimpan pada diri mereka dan tidak boleh diletakkan dalam barang bawaan (carry-on). Bank kuasa adalah dilarang sama sekali dalam bagasi berdaftar (checked baggage) pada semua penerbangan Batik Air.

Walau bagaimanapun, untuk keselamatan yang lebih baik, penggunaan bank kuasa di dalam kabin adalah dilarang sama sekali.

Penumpang juga dinasihatkan untuk berhati-hati ketika membawa bank kuasa jenis auto-magnet charge, kerana ini mungkin menimbulkan risiko tambahan.

Mengikut Peraturan Barangan Berbahaya Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), bank kuasa yang dibawa ke dalam pesawat tidak boleh melebihi 100 Wh atau 20,000 mAh.

“Peringatan keselamatan akan dipaparkan dengan jelas di kaunter daftar masuk dan ditambah dengan pengumuman sebelum berlepas serta taklimat dalam penerbangan untuk memastikan pelaksanaan yang lancar.

“Kakitangan daftar masuk juga akan memeriksa bank kuasa sebelum menaiki pesawat untuk mengesahkan bahawa ia dalam keadaan baik dan memenuhi had Wh yang ditetapkan,” kata Batik Air dalam satu kenyataan.

Denza D9 – 200 unit pertama diserahkan kepada pelanggan di Malaysia

Denza, sub-jenama premium BYD, telah menyerahkan 200 unit pertama Denza D9 dalam acara ‘Denza and BYD Electrifying Experience’ yang diadakan di Plaza Arkadia, Desa Parkcity pada hujung minggu lalu.

Acara tersebut menyambut pelanggan awal yang membeli MPV elektrik premium itu semasa fasa pelancarannya pada bulan lalu.

Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia berkata penyerahan 200 unit pertama Denza D9 itu menandakan satu peristiwa penting buat Denza di Malaysia.

“Sambutan luar biasa ini mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrik premium dan menegaskan dedikasi kami terhadap inovasi, ketukangan, dan pengalaman pelanggan.

“Kami komited untuk membentuk masa depan EV mewah dan tidak sabar untuk menyerahkan lebih banyak kenderaan yang luar biasa kepada pelanggan kami di Malaysia,” katanya.

Dilancarkan pada 20 Februari, D9 dijual pada harga bermula dari RM259,000 untuk varian Advanced FWD dan RM309,000 untuk Premium AWD.

Varian Advanced FWD dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menjana 308 hp dan 360 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.5 saat.

Sementara itu, Premium AWD pula mempunyai dua motor elektrik yang memberikan 369 hp dan 470 Nm, sekali gus mengurangkan masa pecutan 0-100 km/j kepada 6.9 saat.

Kedua-dua varian mendapat bateri Blade LFP berkapasiti 103 kWj yang menawarkan jarak gerak (kitaran NEDC) sejauh 600 km bagi Advanced FWD dan 580 km bagi Premium AWD.

Mereka yang membeli D9 di acara tersebut atau di mana-mana cawangan Denza Malaysia sebelum 16 Mac menerima pakej pelancaran eksklusif yang merangkumi wall box percuma berserta kad pemasangan dan pakej servis percuma selama enam tahun.

adidas & pasukan F1 Mercedes-AMG PETRONAS lancar koleksi pertama untuk atlet dan peminat

Jenama barangan sukan terkemuka adidas dengan kerjasama pasukan F1 Mercedes-AMG PETRONAS melancarkan koleksi pertama yang menampilkan rangkaian serba lengkap yang dihasilkan untuk atlet dan peminat, membawakan gaya segar yang menggabungkan elemen sukan dan budaya F1.

Pelancaran koleksi ini menzahirkan komitmen adidas selama 75 tahun dalam memahami keperluan atlet sukan permotoran.

Dengan mengimaginasikan semula rekaan fesyen dan gaya hidup sukan, pakaian pasukan baharu ini direka dengan potongan spesifik, teknologi prestasi, fungsi, serta padanan warna ikonik pasukan F1 Mercedes-AMG PETRONAS.

Selain daripada pakaian yang dihasilkan khas untuk pelumba George Russel dan Kimi Antonelli, mekanik dan jurutera, peminat juga boleh mendapatkan koleksi adidas ini yang terdiri daripada pakaian lounge, hoodie, baju, t-shirt, serta pakaian edisi pelumba yang akan dilancarkan pada hujung tahun ini.

Koleksi ini menggabungkan elemen gaya serta fungsi yang mengutamakan prestasi dalam setiap pakaian, kasut, dan aksesorinya, menampilkan rangkaian yang serba lengkap untuk salah satu pasukan terkemuka dalam sukan permotoran, termasuk: –

Untuk menyempurnakan koleksi terbaharu ini, adidas menawarkan kasut sukan edisi khas Ultraboost 5 dan Supernova, kasut sneaker adiracer dan Feroza, serta pilihan topi gaya hidup dan teknikal.

Ketua Produk adidas, Bianca Mast berkata, “Koleksi ini adalah hasil usaha gigih serta komitmen pasukan pereka kami dalam menghasilkan koleksi yang menyokong prestasi kesukanan keseluruhan pasukan dalam setiap peranan mereka. Peminat juga boleh menggayakan koleksi ini dengan bangga, sama ada di jalanan mahupun di litar perlumbaan.”

“Kami percaya bahawa sukan permotoran adalah untuk semua orang, tanpa mengira peringkat, sama seperti mana-mana sukan yang lain. Kerjasama dengan Pasukan F1 Mercedes-AMG PETRONAS membuka peluang untuk membawa sukan ini kepada peminat baharu, sesuatu yang benar-benar mengujakan bagi kami. Kami tidak sabar untuk melihat logo tiga jalur ikonik kami di padok pada musim perlumbaan kali ini.”

Koleksi terbaharu adidas x F1 Mercedes-AMG PETRONAS ini boleh didapati di Pusat Jenama adidas terpilih, atau secara dalam talian di laman web www.adidas.com.my/motorsport.

Hong Leong Yamaha lancar kempen keselamatan jalan raya bertemakan ‘Terang Dalam Gelap’

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan kerjasama Persatuan Pengedar Motosikal & Skuter Malaysia (MMSDA) melancarkan kempen keselamatan tahunan bertemakan ‘Terang Dalam Gelap’ bertempat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, baru-baru ini.

Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan menunggang pada waktu malam, selain menawarkan inisiatif keselamatan termasuklah program penukaran helmet, pemeriksaan keselamatan motosikal dan aktiviti interaktif awam.

HLYM menggunakan pendekatan baharu dengan mengadakan kempen pada waktu petang, selari dengan aktiviti komuniti tempatan dan kawasan bazar yang sibuk.

 

Selain daripada itu, ia juga menggunakan pendekatan cerita yang kreatif menggunakan watak bergambar dan penglibatan digital yang interaktif untuk mengukuhkan mesej keselamatan jalan raya.

Dengan cara ini, HLYM berharap kempen yang dilaksanakan ini dapat memberikan impak yang lebih berkesan, selain memastikan motosikal untuk perjalanan balik kampung yang lebih selamat dan lancar.

Menurut Dato’ Professor Dr. Jim Khor, Pengarah Urusan Kumpulan, Hong Leong Industries Berhad berkata, “Di HLYM, peranan kami lebih dari sekadar membekalkan motosikal, kami prihatin terhadap keselamatan penunggang kami.

“‘Terang Dalam Gelap’ lebih dari sekadar kempen, ia adalah cara kami menjaga komuniti dan membekalkan mereka dengan pengetahuan serta alat yang betul untuk menunggang dengan selamat,” ujarnya.

HLYM turut meneruskan inisiatif kempen keselamatan ini dengan menganjurkan Kempen Pemeriksaan Motosikal Percuma di semua pengedar Yamaha yang sah di seluruh negara bermula 20 hingga 27 Mac 2025.

Penunggang motosikal yang menyertai kempen ini akan menerima pemeriksaan motosikal secara percuma dan berpeluang memenangi hadiah menarik yang ditaja oleh Genblu Reward.

Toyota Hilux GR Sport: trak pikap versatil untuk rakyat Malaysia

Dilancarkan di Malaysia pada 2023, Toyota Hilux GR Sport bukanlah Hilux yang biasa anda lihat. Ia menggabungkan versatiliti dan kejuruteraan berteraskan prestasi untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih meyakinkan. Dengan adanya sistem suspensi sport dengan monotube damper serta paddle shifter, ia sentiasa bersedia menakluk permukaan bumi mencabar apabila diperlukan.

Sama ada anda seorang pemilik ladang atau eksekutif pemasaran di ibu kota, Toyota Hilux GR Sport adalah trak pikap untuk anda. Ia boleh didapati di semua bilik pameran Toyota bertauliah di seluruh negara pada harga bermula dari RM173,280.

Chery Malaysia buka empat bilik pameran baharu di Sabah dan Sarawak

Chery Malaysia terus memperluaskan perniagaannya dengan pembukaan empat bilik pameran baharu di Sabah dan Sarawak.

Selain memperkukuhkan kehadiran jenama Chery, pencapaian ini juga menandakan komitmen syarikat itu untuk menyediakan akses dan perkhidmatan yang lebih kepada pelanggan yang semakin bertambah di Malaysia Timur.

Chery kini mengendalikan empat bilik pameran dan dua pusat servis di Sabah, sementara di Sarawak pula terdapat dua bilik pameran dan dua pusat servis yang beroperasi serta satu outlet badan dan cat untuk setiap negeri.

Sehingga tahun 2024, Chery mempunyai 56 bilik pameran di seluruh Malaysia. Syarikat itu merancang untuk mengembangkan rangkaiannya kepada 65 cawangan pada tahun ini.

Chery Sandakan

Kemudahan bertaraf 1S ini dimiliki dan dikendalikan oleh rakan pengedar Universal Chery Sdn Bhd. Ia terletak di Tingkat Bawah, Lot No 1, Taman Wemin, Batu 5, Jalan Labuk, 90000 Sandakan, Sabah.

Bilik pameran dibuka setiap hari – dari 8 pagi hingga 6 petang (Isnin – Jumaat), dari 8 pagi hingga 4 petang (Sabtu) dan dari 10 pagi hingga 3 petang (Ahad dan cuti umum).

Chery Tawau

Pusat 3S ini juga dimiliki dan dikendalikan oleh Universal Chery Sdn Bhd. Terletak di TB4005, Taman Berkeley, Batu 1, Jalan Apas, pusat berkeluasan 682 meter persegi ini menawarkan kemudahan lengkap yang merangkumi bilik pameran, pusat perkhidmatan pelanggan dan pusat servis yang dilengkapi dengan empat ruang servis.

Bilik pameran dibuka setiap hari – dari 8.30 pagi hingga 6 petang (Isnin – Jumaat), dari 8 pagi hingga 4 petang (Sabtu) dan dari 10 pagi hingga 3 petang (Ahad dan cuti umum). Pusat servis dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang (Isnin – Jumaat) dan dari 8 pagi hingga 3 petang (Sabtu); tutup pada Ahad dan cuti umum.

Chery Miri

Pusat 3S yang dimiliki dan dikendalikan oleh MP Advanced Automotive Sdn Bhd ini beralamat di Lot 8363-8366, Tingkat Bawah, Blok 1, Daerah Tanah Lambir, Jalan Miri By Pass, Miri, Sarawak.

Di samping bilik pameran dan pusat perkhidmatan pelanggan, pusat berkeluasan 892 meter persegi ini juga mempunyai pusat servis dengan empat ruang servis yang dikendalikan juruteknik terlatih.

Bilik pameran dibuka setiap hari – dari 8 pagi hingga 5 petang (Isnin – Sabtu), dan dari 9 pagi hingga 3 petang (Ahad dan cuti umum). Pusat servis dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang (Isnin – Sabtu); tutup pada Ahad dan cuti umum.

Chery Imago Mall Kota Kinabalu

Dalam usahanya untuk memudahkan pelanggan membeli kenderaan baharu, Chery telah membuka bilik pameran di Lot G-74-1, Tingkat Bawah pusat membeli-belah Imago Mall Kota Kinabalu. Selain dapat melihat kenderaan Chery dengan lebih dekat, pelanggan juga boleh memandu uji dan membuat tempahan di cawangan ini.