Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), anak syarikat DRB-Hicom, telah mengumumkan pelancaran kempen ‘Mai Servis Motor Sambut Raya’ yang berlangsung dari 14 hingga 28 Mac 2025.
Inisiatif yang tersedia di semua pusat servis Modenas di seluruh negara ini dijalankan bagi memastikan motosikal pelanggan berada dalam keadaan optimum menjelang musim perayaan yang bakal tiba.
Antara manfaat eksklusif yang ditawarkan menerusi kempen ini termasuk:
caj upah kerja percuma untuk servis motosikal biasa
diskaun istimewa untuk servis dan penyelenggaraan motosikal
diskaun tambahan eksklusif untuk ahli E-Keahlian Modenas
konsultasi percuma dari mekanik bertauliah Modenas mengenai penjagaan dan penyelenggaraan motosikal
Pelanggan boleh mengunjungi mana-mana pusat servis Modenas sepanjang tempoh kempen dari Isnin hingga Jumaat (8:30 pagi – 4:30 petang) dan Sabtu (8:30 pagi – 1:00 petang) untuk menikmati tawaran ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan dalam satu kenyataan menekankan komitmen syarikat terhadap keselamatan jalan raya dan kesejahteraan komuniti.
“Melalui kempen ini, kami ingin memberi kembali kepada komuniti dengan memastikan motosikal mereka diselenggara dengan baik, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan atau kemalangan.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami terhadap tanggungjawab sosial korporat yang berterusan, menjadikan mobiliti yang selamat dan boleh dipercayai dapat diakses oleh semua,” katanya.
Motosikal & Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), anak syarikat DRB-Hicom, telah melancarkan Modenas Ninja 500 untuk pasaran Malaysia.
Motosikal sport saiz pertengahan itu boleh didapati dua versi iaitu standard dan Special Edition (SE). Versi standard dijual pada harga RM28,100 dan boleh didapati dalam warna hitam sahaja.
Sementara itu, Ninja 500 SE yang berharga RM30,100 ditawarkan dalam dua warna iaitu Lime Green dan hitam/merah.
Tidak kira sama ada dalam versi standard atau SE, Ninja 500 dikuasakan oleh enjin 500 cc dua silinder selari yang menjana 44.8 hp pada 9,000 rpm dan 42.6 Nm pada 6,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan.
Ninja 500 mempunyai ukuran panjang 1,995 mm, lebar 730 mm dan tapak roda 1,375 mm. Ketinggian pelana mencecah 785 mm, manakala kapasiti tangki pula adalah 14 liters, memberikan motosikal ini berat keseluruhan 171 kg.
Sistem suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik 41 mm pada bahagian depan dan penyerap hentak dengan pelarasan pra-muatan pada bahagian belakang.
Untuk brek, Ninja 500 menggunakan cakera tunggal 310 mm bersama angkup dua piston di hadapan dan cakera tunggal 220 mm dengan angkup satu piston di belakang. Turut disertakan adalah ABS dwi saluran.
Selain pilihan warna berbeza, Ninja 500 SE juga didatangkan dengan beberapa ciri tambahan iaitu port USB Type-C, sistem tanpa kunci KIPASS (Kawasaki Intelligent Proximity Activation Start System) dan paparan TFT berwarna penuh.
Denza, sub-jenama premium milik BYD, akan mengadakan acara ‘Denza and BYD Electrifying Experience’ pada hujung minggu ini di Plaza Arkadia, Desa Parkcity.
Acara istimewa itu akan menampilkan MPV premium Denza D9 serta penyerahan kepada kelompok pertama pemilik terawal.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, sebanyak 800 unit D9 berjaya dijual dalam tempoh seminggu ia dilancarkan.
D9 dilancarkan ke pasaran tempatan pada 20 Februari lalu pada harga RM259,000 untuk varian Advanced FWD dan RM309,000 untuk Premium AWD.
Kedua-dua varian menggunakan bateri Blade LFP berkapasiti 103 kWj, dengan jarak gerak NEDC sehingga 600 km bagi Advanced FWD dan 580 km bagi Premium AWD.
Acara ‘Denza and BYD Electrifying Experience’ akan diadakan selama tiga hari dari 14 hingga 16 Mac 2025, dari 10 pagi hingga 10 malam.
Orang ramai dijemput hadir untuk memandu uji Denza D9, serta merasai pengalaman audio dan lounge, pameran teknologi Denza serta pelbagai aktiviti mesra keluarga.
Bukan itu sahaja, acara itu juga akan menampilkan pratonton dan pembentangan eksklusif Denza Z9 GT setiap dua jam.
Pelanggan yang membeli Denza D9 pada acara ini atau di mana-mana cawangan pengedar Denza sehingga 16 Mac ini mendapat wallbox percuma berserta kad pemasangan dan pakej servis percuma selama enam tahun.
Pengguna Lebuhraya Pantai Timur yang mahu menuju ke Kelantan dan Terengganu, terutama pemilik EV kini boleh menggunakan stesen pengecasan berprestasi tinggi (HPC) Shell Recharge di dua lokasi baharu di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
Lokasi HPC yang dimaksudkan itu ialah di Shell R&R Paka (kedua-dua arah Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu).
Dengan kemudahan pengecasan pantas sehingga 180 kW, ia mampu menjadikan perjalanan ke Pantai Timur yang lebih lancar dan boleh mengurangkan isu kebimbangan jarak untuk komuniti EV yang semakin berkembang.
Buat masa ini, pihak Shell masih lagi berusaha untuk menyiapkan stesen pengecasan di Shell R&R Temerloh (Arah KL), Lebuhraya Pantai Timur 1.
Apabila stesen ini siap kelak, ia bakal melengkapkan lagi rangkaian stesen HPC yang terdiri daripada 13 buah stesen di Semenanjung Malaysia, membolehkan EV yang serasi dicas 0-80 peratus dalam tempoh 30 minit.
Selain infrastruktur pengecasan, Shell juga mahu memastikan pemilik dan pemandu EV mempunyai akses kepada kemudahan penting seperti ruang rehat, kedai serbaneka, serta pilihan makanan dan minuman di Shell Café untuk perjalanan yang lebih menyenangkan.
Bersempena dengan musim perayaan Aidilfitri, Shell menawarkan rebat kredit eksklusif untuk pemilik EV yang menggunakan Shell Recharge di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur.
Bermula 24 Mac hingga 4 April, pemandu EV yang menggunakan aplikasi ParkEasy di lokasi HPC akan menerima ganjaran seperti berikut:
• Rebat kredit 100 peratus untuk ahli Platinum
• Rebat kredit 50 peratus untuk ahli Gold dan Standard (pay-per-use)
Rebat tersebut akan dikreditkan dalam tempoh tujuh hari selepas kempen berakhir, tertakluk kepada terma dan syarat.
Berikut merupakan senarai stesen pengecasan HPC Shell Recharge di seluruh negara:
Dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, Stellantis Malaysia baru-baru ini melancarkan pembukaan bilik pameran dan pusat servis, masing-masing terletak di Desa Park City dan Subang.
Kemudahan terbaharu ini akan menjadi sebahagian daripada rangkaian pengedar untuk kawasan Subang Jaya, Jalan Klang Lama dan Desa Park City.
Bilik pameran Desa Park City dikendalikan oleh Allure Auto terletak di lokasi strategik, dengan menawarkan pengalaman menarik menerusi pameran kenderaan jenama Peugeot dan Leapmotor.
Ia juga mempunyai ruang rehat moden yang lengkap dengan TV dan konfigurasi interaktif, serta kemudahan lain seperti minuman dan kopi untuk kunjungan pelanggan yang menyenangkan.
Bilik pameran Allure Auto ini beroperasi setiap hari dari 9.00 pagi hingga 6 petang.
Pusat servis Subang pula mempunyai keluasan 5,702 kaki persegi yang menyediakan enam ruang servis kereta dan dua tempat penyerahan.
Ia menawarkan kemudahan penyelenggaraan kenderaan elektrik bervoltan dan berteknologi tinggi di bawah satu bumbung.
Pelanggan boleh memanfaatkan penyelesaian selepas jualan yang menyeluruh seperti alat ganti, servis dan sokongan jaminan yang disediakan oleh lima orang juruteknik serta penasihat servis bertauliah daripada Stellantis.
Talian bantuan 24/7 juga turut disediakan bagi memastikan pelanggan mendapat sokongan bantuan teknikal yang pantas.
Isaac Yeo, Pengarah Urusan Interim ASEAN, Stellantis berkata, “Di Stellantis, kami komited untuk menetapkan penanda aras baharu dalam kecemerlangan automotif.
“Menerusi kerjasama dengan Allure Auto, kami telah membangunkan satu hub bertaraf dunia yang menunjukkan kesungguhan kami dalam meningkatkan pengalaman pelanggan dan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik.
“Dengan empat outlet di dalam portfolio mereka, pengembangan ini membuktikan semangat inovatif dan dedikasi kami untuk memberikan pengalaman yang dinamik dan fokus kepada pelanggan,” jelasnya.
Puspakom tidak lagi akan membenarkan pelanggan membuat tempahan slot berganda dalam usahanya untuk menutup ruang salah guna oleh orang tengah atau runner untuk mengaut keuntungan.
Perkara ini disahkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang berkata langkah ini perlu diambil memandangkan sebelum ini ada orang tengah atau runner didapati menjual slot pemeriksaan yang ditempah kepada pihak lain demi keuntungan berlebihan.
Beliau memberi contoh, sekiranya kenderaan dengan nombor pendaftaran ABC123 membuat empat tempahan slot pemeriksaan pada tarikh sama, hanya satu slot sahaja akan dibenarkan.
“Untuk itu, Puspakom akan menambah baik sistem tempahan dengan membekukan slot pemeriksaan asal sekiranya ia ditunda ke tarikh lain.
“Ia bagi mengelakkan slot asal daripada disalahgunakan atau dijual kepada pihak lain,” katanya.
Foto: Puspakom
Loke berkata langkah berkenaan antara yang dimuktamadkan ketika beliau mempengerusikan mesyuarat antara kementeriannya bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Puspakom dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) semalam.
Antara langkah lain yang akan diambil bagi menangani isu kesesakan termasuk menambah kapasiti pemeriksaan kenderaan kepada 15,500 kenderaan sehari berbanding hanya 13,500 sebelum ini.
Selain itu, MOT juga akan memperkenalkan konsep deklarasi kendiri terhadap beberapa bahan pemeriksaan yang tidak membabitkan aspek keselamatan.
“Lima bahan dikenal pasti bagi kelonggaran pemeriksaan mandatori termasuklah tanda badan pada kenderaan atau ‘body lettering’, tanda had laju, kit bantuan kecemasan, nombor pendaftaran serta keadaan tempat duduk penumpang bagi kenderaan perkhidmatan awam.
“Bahan pemeriksaan ini akan dikeluarkan daripada senarai mandatori bagi kelulusan pemeriksaan Puspakom. Bagaimanapun pemilik kenderaan perlu membuat deklarasi kendiri bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan ini,” katanya.
Polis Bentong berkata ia telah membuka kertas siasatan berhubung video tular yang memaparkan sekumpulan individu yang memandu secara berbahaya di Jalan Genting Highlands.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar, pihaknya terkesan rakaman video berkenaan yang dikongsi orang awam melalui mesej peribadi di Facebook Polis Bentong.
“Hasil siasatan, klip video berkenaan dimuat naik di laman sosial.
“Terdapat beberapa rakaman memaparkan aktiviti dipercayai dilakukan sekumpulan pemilik kenderaan yang memandu secara berbahaya di selekoh Jalan Genting Highlands sehingga menimbulkan kegusaran dan kebimbangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Berikutan itu, Zaiham berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahaya kepada orang awam.
Beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian dan mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan polis.
Katanya, polis akan mengambil tindakan tegas dan menjalankan operasi bersepadu sekitar lokasi berkenaan khusus pada hujung minggu dan cuti umum yang dipercayai menjadi tumpuan pemilik kenderaan melakukan aktiviti mengganggu ketenteraman pengguna lain.
Acara perlumbaan Autobacs Super GT 2025 yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Jun ini bakal menyajikan sesuatu yang istimewa, khusus buat para peminat budaya Jepun.
Menerusi kerjasama dengan acara tahunan Nihon Matsuri, Autobacs Super GT 2025 di Malaysia bukan sahaja mempamerkan aksi perlumbaan, bahkan menampilkan festival kebudayaan dan makanan Jepun.
Menariknya, hujung minggu tersebut bakal menyaksikan pusingan pertama perlumbaan GR86 Cup Series Malaysia 2025 melibatkan 30 buah jentera lumba GR86.
Menurut Fahrizal Hasan selaku Rakan Pengurusan HARO Sports & Entertainment berkata, “Super GT terus dikenali kerana atmosfera seperti karnival. Ia merupakan salah satu acara antarabangsa yang membolehkan peminat mendekati pelumba, pasukan dan jentera kegemaran.
“Tahun ini, Super GT Malaysia Festival 2025 akan menyaksikan sambutan menarik bertemakan kebudayaan Jepun.”
Pelbagai aktiviti yang telah disusun untuk para pengunjung termasuklah sesi pit terbuka, pit walk, safari litar, serta pameran pelbagai jenis reruai dan jualan cenderahati.
Tiket masuk ke Autobacs Super GT 2025 pusingan Malaysia sudah mula dijual sejak 27 Februari yang lepas.
Untuk tempoh masa terhad, pembeli boleh mendapatkan tiket bernilai RM80 untuk K1 Grandstand, RM200 untuk Main Grandstand, dan RM2,000 untuk lounge GT Club Paddock Hospitality di laman web www.supergtmalaysia.com.
Pusingan pembukaan Super GT 2025 akan berlangsung di Okayama International Circuit pada 13 April lalu, diikuti pusingan kedua di Fuji Speedway (4 Mei), dan pusingan ketiga di Malaysia (27-28 Jun).
Pusingan kelima pula mengambil tempat di Litar Suzuka pada 24 Ogos, diikuti Sportsland Sugo (21 September), Autopolis International Racing Course (19 Oktober) dan pusingan akhir di Mobility Resort Montegi (2 November).
Super GT menampilkan barisan pelumba dan pengeluar dari Jepun (Nissan, Lexus, Toyota, Honda dan Subaru) bertempur di dalam kelas GT500 dan GT300, serta tidak ketinggalan pengeluar jenama Continental seperti Aston Martin, Lamborghini, Mercedes-Benz, Ferrari dan BMW.
Malaysia kekal menjadi satu-satunya lokasi perlumbaan di luar Jepun untuk musim perlumbaan 2025 selepas kali terakhir Super GT dianjurkan di negara Thailand pada tahun 2019.
Michelin Malaysia baru-baru ini melancarkan tayar Michelin Primacy 5 yang direka untuk kenderaan penumpang dan crossover, sama ada dikuasakan oleh enjin ICE atau motor elektrik.
Menggantikan model terdahulu iaitu Primacy 4, tayar baharu ini menjanjikan prestasi lebih hebat serta kesan terhadap alam sekitar yang lebih rendah.
Berikut adalah antara kelebihan Michelin Primacy 5:
Corak bunga tayar baharu dengan teknologi Michelin Silent Rib Gen-3 yang mengurangkan gegaran dan bunyi dengan signifikan untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih lancar, senyap, selesa, dan santai.
24% lebih jarak perjalanan berbanding jenama premium lain hasil daripada peningkatan 10% nisbah lowong (void ratio) berbanding model sebelumnya.
Tepi alur sisi juga dioptimumkan bagi membantu mengekalkan prestasi cengkaman lebih lama di permukaan jalan basah.
Ciri-ciri tersebut digabungkan pula dengan teknologi MaxTouch, yang memaksimumkan sentuhan dengan jalan raya dan mengagihkan daya pecutan, brek, dan selekoh secara sekata.
Jarak brek 8% lebih pendek ketika baharu dan 13% lebih pendek apabila haus berbanding jenama premium lain. Ini dicapai melalui Functional Elastomers 3.0 yang digabungkan dengan teknologi Michelin EverGrip dan Michelin EverTread untuk mengoptimumkan penyaliran air.
Serasi dengan EV kerana menggunakan sebatian getah bunga tayar berprestasi tinggi yang mengurangkan rintangan gelinciran sebanyak 13% untuk meningkatkan kecekapan tenaga.
Selain menawarkan peningkatan dari segi prestasi, keselamatan dan keselesaan, tayar Michelin Primacy 5 juga lebih mesra alam. Rintangan gelinciran ditambah baik 5%, manakala jangka hayatnya meningkat 18%, membolehkan tayar digunakan sehingga mencapai had minimum kedalaman bunga tayar yang ditetapkan. Daripada segi reka bentuk, kesan alam sekitar tayar ini telah dikurangkan sebanyak 6%.
Di Malaysia, Michelin Primacy 5 boleh didapati menerusi rangkaian pengedar sah Michelin. Ia ditawarkan dalam 25 saiz (daripada 16 hingga 19 inci), dengan harga bermula daripada RM477 hingga RM1,026. Semua tayar bersaiz 18 inci dan ke atas dilengkapi dengan reka bentuk dinding sisi estetika yang menonjol, dengan kemasan lingkaran penuh jalur baldu.
Proton telah mengumumkan prestasi jualannya bagi bulan Februari 2025, di mana ia berjaya menjual 11,232 unit kenderaan. Jumlah ini merangkumi pasaran domestik dan eksport, serta kenderaan elektrik jenama Proton eMAS dan smart.
Angka berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 13.2% berbanding rekod Januari. Menurut syarikat itu, ia menganggarkan bahagian pasaran sebanyak 17.2% daripada ramalan jumlah volum industri (TIV) sebanyak 65,276 unit.
Tambah Proton lagi, tiga modelnya mendahului segmen masing-masing untuk jualan tahun hingga kini (YTD). S70 kekal sebagai sedan segmen-C terlaris di Malaysia dengan jualan sebanyak 2,340 unit untuk dua bulan pertama tahun ini.
X90 terus mendominasi jualan SUV segmen-D dengan 746 unit terjual pada bulan lalu, manakala angka jualan SUV segmen-B paling laris iaitu X50 pula mencecah 1,824 unit.
Untuk eMAS 7 pula, Proton berkata populariti EV itu sedang melonjak dengan lebih 4,500 tempahan diterima sejak pelancarannya. Bulan Februari menyaksikan 580 unit eMAS 7 diserahkan kepada pelanggan, menjadikan jumlah keseluruhan penghantaran kini melebihi 1,000 unit.
Selain daripada jualan domestik, eMAS 7 juga bersedia untuk mencipta pengaruh di pasaran eksport. Sebanyak 50 unit telah dieksport ke Nepal pada bulan Februari sebagai persiapan untuk pelancaran akan datang, sementara sejumlah kecil unit turut dihantar ke Singapura dan Trinidad & Tobago untuk tujuan penilaian.
Seiring dengan peningkatan jualan, bulan Februari juga membawa perkembangan baru kepada operasi eksport Proton menerusi pengeluaran Proton Saga CKD pemanduan kiri (LHD) di kilang Ezz Elarab Elsewedy Automotive Factories (ESAF) di Mesir. Kemudahan baru ini dibina dengan pelaburan sebanyak USD50 juta, dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 40,000 kenderaan.
“Jualan Proton telah menunjukkan pemulihan pada bulan Februari setelah permulaan tahun 2025 yang
kurang memberangsangkan. Masih ada sedikit ketidakpastian tentang kemampuan pembeli tetapi buat masa
sekarang, jumlah jualan kami sedang menambah.
“Maka, Proton secara keseluruhan terus fokus untuk meningkatkan volum jualan bagi rangkaian produk ICE kami, dan pada masa yang sama, menetapkan rentak di pasaran EV. Dengan Proton eMAS 7 yang telah terbukti berjaya di peringkat awal, cabaran kami kini adalah untuk memastikan ia terus menjadi tumpuan sambil merancang dengan agresif untuk pengenalan model-model kami yang lain pada akhir tahun ini,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.
Harley-Davidson Malaysia mengumumkan kempen promosi istimewa untuk para peminat jenama gaya hidup tersebut.
Bermula sekarang sehingga 31 Mac 2025, pelanggan Harley-Davidson berpeluang untuk menikmati tawaran ekseklusif berupa penjimatan sehingga RM19,000 untuk model Softail tahun 2024 yang terpilih.
Untuk model Breakout 117, pembeli boleh menikmati penjimatan sehingga RM19,000 manakala model Low Rider ST 117 pula sehingga RM15,000.
Selain daripada itu, Harley-Davidson Malaysia juga akan menganjurkan Harley Night 2025 pada 14 Mac ini, mempamerkan model edisi pengumpul 2024 termasuklah:
• Softail Standard
• Fat Bob 114
• Sport Glide
Bersempena dengan Harley Night 2025, pihak Harley-Davidson Malaysia akan membuat pengumuman istimewa selain meraikan model ikonik Fat Boy 114.
Harley Night 2025 akan berlangsung serentak di semua pengedar Harley-Davidson yang terletak di Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu.
Bila sebut pasal cruiser bersesaran tinggi dan jenama gaya hidup Amerika Syarikat, semua orang akan ingat dengan jenama Harley-Davidson.
Namun, tahukah anda, terdapat satu lagi jenama baharu yang bakal berikan saingan kepada Harley-Davidson untuk pasaran Malaysia, iaitu X-Wedge.
Untuk makluman, X-Wedge merupakan jenama motosikal baharu yang berasal di negara China di bawah naungan Hisun Motors.
Hisun Motors pada asalnya merupakan syarikat yang bertanggungjawab menghasilkan produk powersports termasuklah kenderaan tugas utiliti (UTV) dan kenderaan all-terrain (ATV).
Namun untuk X-Wedge, ia lebih tertumpu kepada penghasilan model-model cruiser bersesasan besar yang lebih mirip kepada jenama Harley-Davidson.
Menariknya, KISKA Design bertanggungjawab menghasilkan reka bentuk dan penggayaan barisan model X-Wedge – syarikat yang sama membangunkan rekaan motosikal GasGas, Husqvarna dan KTM.
Di pusat pameran X-Wedge yang terletak di Chongqing, kami berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat barisan model bersesaran 1,000 hingga 2,000 cc yang dipamerkan, seperti:
• Ranger RX2000
• Rover RL2000
• Voyager VS2000
• Vanguard VT2000
• Walker WR1000
Ranger RX2000
Rover RL2000
Voyager VS2000
Vanguard VT2000
Walker WR1000
Majoriti model X-Wedge berkongsi enjin V-Twin yang sama bersesaran 1,976 cc yang mampu menghasilkan 102 hp @ 5,000 rpm dan daya kilas 158 Nm @ 3,000 rpm.
Sementara model Walker WR1000 pula menggunakan enjin V-Twin 975 cc sejukan cecair dengan kuasa 80 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 80 Nm @ 5,500 rpm.
Selain daripada barisan motosikal bersesaran besar, X-Wedge juga turut menghasilkan pelbagai produk gaya hidup termasuklah helmet, jaket kulit, kasut but, serta tidak ketinggalan aksesori dan perkhidmatan penyesuaian penampilan motosikal.
Jenama premium ini dijangka akan membuat kemunculan di pasaran Malaysia sekitar Julai atau Ogos ini menerusi pihak MForce Bike Holdings.
Kami difahamkan, pihak MForce sedang berusaha untuk menyiapkan empat buah pusat pameran X-Wedge yang terletak di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan juga di Sabah.
Pengedar sah jenama Kamax, KTNS Holdings Sdn Bhd dijangka akan menawarkan sebuah lagi model kapcai untuk pasaran Malaysia, iaitu KAMAX Cub X 150.
Perkara tersebut diumumkan sewaktu lawatan media automotif Malaysia ke pusat pameran KAMAX yang terletak di Jiulongpo, Chongqing, baru-baru ini.
Berbeza dengan kapcai Super Pro yang telah dilancarkan sebelum ini, Cub X membawakan enjin dengan sesaran 150 cc menghasilkan kuasa 9.1 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 10.5 Nm @ 5,000 rpm.
Untuk sebuah jentera cubcross, Cub X ini membawakan spesifikasi yang lebih agresif, seperti tayar off-road tanpa tiub, rim lidi 17 inci, tempat duduk tunggal balutan kulit serta rak barang menggantikan tempat duduk pembonceng.
Sistem suspensi Cub X terdiri daripada fork teleskopik 26 mm di depan, diikuti dengan penyerap hentak berkembar di belakang, masing-masing menawarkan jarak pergerakan tayar 88.9 mm dan 91.4 mm.
Antara ciri lain termasuklah:
-sistem pencahayaan LED
-skrin kluster LCD
-tangki bahan api sebesar 3.8 liter
-cermin sisi krom
-pelindung enjin
-sistem ABS dua saluran
-tinggi pelana 790 mm
-sistem kunci pintar
Menurut pihak KTNS, model ini dijangka masuk pasaran Malaysia sekitar bulan Ogos atau September, membawakan tanda harga bawah RM10,000.
Ini menjadikan KAMAX Cub X mampu memberikan saingan kepada model-model di dalam kelasnya, seperti Yamaha PG-1 dan Aveta Ranger Max 130.
Setelah dipertontonkan pada Oktober tahun lalu, trak pikap saiz pertengahan JAC T9 akhirnya dilancarkan ke pasaran Malaysia menerusi Evolvelectric Motors selaku pengedar rasmi kenderaan JAC Motors.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, T9 ditawarkan dalam dua varian iaitu T9 Grand-ES yang dikuasakan oleh enjin turbodiesel dan T9 Grand-BEV yang merupakan versi elektrik.
Harga jualan bermula dari RM119,888 untuk T9 Grand-ES, manakala T9 Grand-BEV pula berharga RM199,888. Model diesel itu didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, manakala model elektrik pula hadir dengan jaminan pengeluar selama enam tahun atau had perbatuan 200,000 km.
T9 Grand-ES menampilkan enjin 2.0 liter empat silinder yang menghasilkan 167 hp pada 3,600 rpm dan 410 Nm dari 1,500 hingga 2,500 rpm. Kuasa disalurkan ke roda menerusi sistem pacuan empat roda (4WD) dan transmisi automatik ZF lapan kelajuan.
T9 Grand-BEV pula menampilkan dua motor elektrik, dengan janaan 94 hp/176 Nm pada gandar hadapan dan 215 hp/342 Nm pada gandar belakang. Ini memberikannya daya kilas keseluruhan sebanyak 516 Nm.
Kuasa untuk kedua-dua motor elektrik tersebut dibekalkan oleh bateri LFP buatan CATL berkapasiti 88 kWj yang menjanjikan jarak gerak sejauh 340 km, berdasarkan kitaran WLTP.
Untuk pengecasan, ia menyokong pengecasan AC 11 kW yang memerlukan 6 jam 50 minit untuk mengecas bateri dari 15% hingga penuh.
Sebagai alternatif, pemilik juga boleh menggunakan pengecasan pantas DC 88 kW yang boleh memulihkan tenaga bateri dari 30% hingga 80% dalam tempoh 35 minit.
Tidak kira varian apa yang anda pilih, T9 mempunyai ukuran panjang 5,330 mm, lebar 1,965 mm, tinggi 1,920 mm dan tapak roda sepanjang 3,110 mm.
JAC T9 BEV
Ia adalah trak pikap yang sebenar, menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 210 mm, sudut pendekatan 27 darjah, sudut pelepasan 23 darjah dan keupayaan meranduk air sedalam 800 mm, 100 mm lebih dalam berbanding Hilux Rogue.
Dari segi kelengkapan, T9 didatangkan dengan lampu LED hadapan dan belakang, lampu DRL LED, pemijak sisi, sports bar belakang, serta rel bumbung.
Di dalam, terdapat kluster instrumen digital tujuh inci, skrin tengah 10.4 inci dengan sokongan Apple CarPlay/Android Auto, pencahayaan ambien, pengecas tanpa wayar dan enam pembesar suara.
Turut disertakan adalah pelarasan enam tahap untuk tempat duduk hadapan, corong pendingin hawa barisan kedua, port USB tambahan dan soket kuasa.
Sistem keselamatan pula terdiri daripada tujuh beg udara, kamera 360 darjah, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), brek kecemasan autonomi (AEB), amaran keluar lorong (LDW), bantuan kekal lorong (LKS), kawalan jelajah adaptif (ACC) dan sistem pengecaman papan tanda trafik (TSRS).
Bersempena dengan sambutan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang, Proton memperkenalkan promosi ‘Buka Lembaran Baharu’ yang menawarkan rebat tunai sehingga RM10,000 untuk pelanggan yang membeli kereta baharu.
Menurut Proton, ganjaran itu boleh ditambah lagi dengan pakej sokongan overtrade daripada bahagian pengurusan kereta terpakai Proton di cawangan yang tertentu.
Promosi Buka Lembaran Baharu merangkumi semua model Proton. Untuk X50 dan X70 2025, pembeli akan menerima rebat sehingga RM9,000, dan sokongan tukar beli sehingga RM2,000, menjadikan jumlah keseluruhan RM11,000.
X90 pula mempunyai rebat bernilai sehingga RM10,000 dan sokongan tukar beli bernilai RM5,000. Ini bermakna pakej yang ditawarkan bernilai RM15,000.
Sementara itu, Saga, Iriz dan Persona menawarkan rebat tunai sebanyak RM1,000 serta sokongan tukar beli bernilai diantara RM800 sehingga RM1,000. Ini bermakna pembeli dapat menikmati jumlah penjimatan sehingga RM2,000 untuk kenderaan baharu mereka.
Untuk S70, Proton menawarkan rebat tunai sehingga RM8,000 dan sokongan tukar beli bernilai RM2,000. Bukan itu sahaja, mereka yang membeli varian Flagship X juga akan menerima Aerokit bernilai RM3,130.
“Promosi Buka Lembaran Baharu Proton adalah usaha syarikat untuk menambah baik pengalaman jenama untuk pelanggan dengan membuatkan ia lebih mudah untuk memiliki kenderaan Proton baharu,” kata Roslan Abdullah, Timbalai Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.
MForce Bike Holdings bakal melancarkan sebuah jentera scrambler retro moden RE600 sebagai pelengkap kepada model-model yang telah disebutkan pada artikel terdahulu (RT3E, RX650 & RA600).
Sama seperti model RA600, RE600 turut mendapat enjin parallel-twin 550.4 cc berkuasa 58 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 55 Nm @ 6,500 rpm.
Jentera ini mampu mencapai kelajuan tertinggi 170 km/j.
Sistem suspensi RE600 terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik (USD) diikuti dengan penyerap hentak tunggal di belakang.
Aspek pemberhentian pula diserahkan kepada rotor brek berkembar di hadapan, serta rotor brek tunggal di belakang, dibantu dengan sistem ABS dan sistem kawalan cengkaman (TCS).
Imej retro jentera ini disumbangkan dengan unit pencahayaan LED bulat depan, lampu belakang LED nipis, lampu membelok jenis LED, dan skrin penghadang angin yang kecil.
Segala info penting boleh dibaca menerusi skrin paparan TFT berwarna penuh.
Ciri lain termasuklah rim 17 inci, tangki bahan api sebesar 20 liter, dan tinggi pelana 800 mm.
Harga jualan Cyclone RE600 adalah sekitar RM25,888 apabila ia dilancarkan pada pertengahan tahun kelak.
Melengkapkan lagi penawaran jenama Cyclone untuk pasaran Malaysia tahun ini ialah jentera cruiser RA600, membawakan tanda harga RM25,888.
Cyclone RA600 dikuasakan oleh enjin parallel-twin 550.4 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 58 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 55 Nm @ 6,500 rpm.
Kuasa itu tadi disalurkan kepada roda belakang menerusi sistem pacuan tali sawat.
Aspek gantungan jentera ini terdiri daripada fork teleskopik hadapan, serta penyerap hentak tunggal di belakang.
Membawakan penampilan yang agresif, cruiser ini didatangkan dengan sistem lampu LED depan dan belakang, sistem ekzos berkembar, bar hendal terdedah, dan panel skrin digital LCD berbentuk bulat yang agak ringkas.
Ciri lain termasuklah rim 16 inci, cermin sisi pada penghujung bar hendal, tangki bahan api sebesar 14.5 liter dan tinggi pelana 725 mm.
Pihak MForce mengumumkan harga jualan RA600 sekitar RM25,888 apabila ia dilancarkan menjelang pertengahan tahun ini.
Selain daripada Cyclone RT3E, pihak MForce turut mengambil kesempatan memperlihatkan jentera adventure touring 650 cc Cyclone RX650 yang bakal masuk pasaran Malaysia kelak.
Dari segi kuasa, RX650 dijana dengan enjin parallel-twin 650 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 70 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 62 Nm @ 7,000 rpm.
RX650 dilengkapi dengan fork teleskopik hadapan jenis terbalik (USD), diikuti penyerap hentak tunggal di belakang.
Sistem brek terdiri daripada rotor berkembar di hadapan, rotor tunggal di belakang, dibantu dengan sistem brek ABS dan kawalan cengkaman (TCS).
Selain itu, RX650 mendapat teknologi seperti sistem pencahayaan LED, Cornering ABS, sistem penukaran gear pantas (quickshifter), kawalan jelajah, radar pengesan titik buta dan sistem kamera perakam tunggangan depan dan belakang.
Ciri lain termasuklah tangki bahan api sebesar 20 liter, rim 17 inci, tinggi pelana 820 mm, skrin penghadang angin boleh laras, serta skrin paparan TFT berwarna penuh.
Kami difahamkan harga jualan Cyclone RX650 bermula bawah RM30,000 apabila model ini masuk pasaran Malaysia secara rasmi menjelang pertengahan tahun ini.
Mforce Bike Holdings Sdn Bhd dalam satu sesi lawatan ke kilang Zoshen di Chongqing, China bersama para pengamal media Malaysia memperlihatkan beberapa buah model motosikal jenama Cyclone yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Salah satu daripadanya ialah Cyclone RT3E yang membawakan imej skuter klasik seakan Vespa.
Dari segi kuasa, RT3E didatangkan dengan enjin silinder tunggal 247 cc menghasilkan kuasa 26.15 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 24.5 Nm @ 6,500 rpm.
Skuter ini dilengkapi dengan sistem brek cakera depan dan belakang, dibantu dengan sistem ABS dan kawalan cengkaman (TCS).
Ciri lain termasuklah tangki bahan api sebesar 10 liter, tinggi pelana 750 mm, panel meter digital, lampu LED, skrin penghadang angin, crash bar kiri dan kanan, rak hadapan, serta tayar klasik dinding putih.
Untuk pasaran Malaysia, Cyclone RT3E bakal dijual pada harga RM12,888.
Bermaz Xpeng Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Xpeng di Malaysia, telah melancarkan model keduanya iaitu X9.
Digelar sebagai “Ultra Smart Large Seven-seater,” MPV elektrik ini bakal memberi saingan model-model seperti Zeekr 009 dan Denza D9.
Ia kini sudah boleh ditempah, dengan harga dan varian seperti berikut:
X9 Standard Range 2WD Pro – RM269,888
X9 Long Range 2WD Pro – RM287,888
X9 Long Range 2WD Pro Plus – RM299,888
Bermaz menawarkan waranti pengeluar selama lima tahun/120,000 km, dan pakej servis percuma selama lima tahun/100,000 km. Turut disertakan adalah waranti bateri voltan tinggi untuk lapan tahun/160,000 km.
Ketiga-tiga varian didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menghasilkan 315 hp dan 450 Nm. Pecutan 0 hingga 100 km/j mengambil masa 7.7 saat, manakala kelajuan maksimum boleh mencecah 200 km/j.
Apa yang menarik, X9 boleh didapati dengan dua jenis bateri. Varian Standard Range 2WD Pro didatangkan dengan bateri LFP 84.5 kWj yang menawarkan jarak gerak 500 km (WLTP), manakala varian-varian Long Range mendapat bateri NMC 101.5 kWj dengan jarak gerak 590 km.
X9 menyokong pengecasan pantas DC dengan kapasiti sehingga 317 kW, yang membolehkan bateri dicas dari 10% hingga 80% dalam masa 20 minit.
Menurut Xpeng, X9 merupakan MPV 7 tempat duduk BEV pertama di dunia yang menampilkan struktur badan aluminium tuangan pada bahagian hadapan dan belakang bagi tujuan meningkatkan keselamatan dan ketahanan.
Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan sistem stereng roda belakang aktif yang dipadankan dengan sistem suspensi udara dual chamber, memberikannya radius pusingan 5.4 meter.
Masuk ke dalam, anda akan disapa oleh kokpit yang diinspirasikan daripada kapal angkasa lepas. Varian Standard Range 2WD Pro dan Long Range 2WD Pro didatangkan dengan upholsteri leatherette, manakala Long Range 2WD Pro Plus pula diberikan kerusi Zero Gravity yang dibaluti upholsteri kulit Nappa.
Tarikan utama di sini adalah skrin infohibur berukuran 21.3 inci, sistem audio X-Opera dengan 23 pembesar suara yang memberikan kualiti audio setanding konsert, serta sistem penulenan udara maju.
X9 didatangkan dengan konfigurasi tujuh tempat duduk namun ia boleh ditukarkan kepada empat tempat duduk dengan menekan satu butang sahaja. Tempat duduk barisan ketiga akan dilipat, sekaligus memperluaskan kapasiti ruang but dari 755 liter kepada 2,554 liter.
Untuk lebih keselesaan, ciri-ciri seperti sistem pelarasan kerusi barisan ketiga, fungsi urut dan peti sejuk pintar turut disertakan.
Untuk keselamatan pula, terdapat sistem XPilot 2.5 yang merangkumi ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Stop & Go, Lane Centering Control (LCC), Adaptive Turning Cruise (ATC), Intelligent Speed Limit Assist (SAS), dan Active Lane Change (ALC).
Parkir juga menjadi lebih mudah dengan adanya Enhanced Auto Parking Assist (EAP 2.0), Auto Exit Parking Assist (AEP), dan Straight Summon yang boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih XPeng.
Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk enam beg udara, Forward Collision Warning (FCW), Autonomous Emergency Braking (AEB), Blind-Spot Detection (BSD), Lane Keeping Assist (LKA), dan Rear Cross-Traffic Alert (RCTA).
X9 diimport sepenuhnya (CBU) dari China dan boleh didapati dalam tiga warna iaitu Nebula White, Crescent Silver dan Dark Night Black. Untuk bahagian dalam pula, terdapat dua pilihan warna iaitu Starry Night Black dan Moon Shadow Brown.