Category Archives: MALAYSIA

Hyundai Staria 10 tempat duduk akan dilancarkan di Malaysia suku keempat 2022

HYUNDAI-Sime Darby Motors (HSDM) mengumumkan bahawa ia akan melancarkan Hyundai Staria versi 10 tempat duduk pada suku keempat tahun ini.

MPV dengan rekaan ala kapal angkasa lepas itu akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Lite, Plus dan Max, dengan harga jualan yang dijangka bermula dari RM17X,XXX.

Ia kini sudah boleh ditempah di mana-mana bilik pameran Hyundai atau secara dalam talian menerusi platform Cl!ck to Buy dengan yuran tempahan sebanyak RM1,000.

Untuk perbandingan, varian tujuh tempat duduk boleh didapati dalam satu varian sahaja iaitu Premium dan dijual pada harga bermula dari RM358,888.

Menurut Low Yuan Lung, Pengarah Urusan HSDM, Staria 10 tempat duduk merupakan model MPV yang ditunggu-tunggu selepas pengenalan varian tujuh tempat duduk pada Oktober tahun lalu.

“Kami mendapat pertanyaan mengenai varian 10 tempat duduk kerana terdapat jangkaan bahawa ia akan menggantikan Starex. Seperti Starex, varian ini sesuai untuk keluarga besar, pengendali pelancongan dan perniagaan namun dengan lebih banyak peningkatan dan kefungsian dalam setiap aspek berbanding Starex,” kata beliau.

Secara umumnya, Staria 10 tempat duduk ini tidak ubah seperti varian tujuh tempat duduk cuma ia mempunyai empat barisan tempat duduk yang dibentangkan dalam konfigurasi 2-3-2-3.

Barisan belakang boleh dilipat rata sepenuhnya (full-flat), menjadikan model ini sesuai untuk aktiviti-aktiviti yang memerlukan banyak ruang dan fleksibiliti seperti perkhemahan, serta untuk mengangkut barangan.

Selain itu, ia juga dikuasakan oleh enjin turbodiesel 2.2-liter CRDi yang menghasilkan 177 PS dan 431 Nm. Kuasa disalurkan ke roda depan menerusi transmisi automatik lapan kelajuan.

BMW M850i xDrive Coupe MY Edition diperbaharui untuk tahun 2022 – RM1.1 juta

BMW Malaysia hari ini mengumumkan beberapa penambahbaikan pada BMW M850i xDrive Coupe, kira-kira empat tahun selepas ia dilancarkan di pasaran Malaysia.

Kini digelar sebagai M850i xDrive Coupe MY Edition, model itu mendapat pencahayaan ‘Iconic Glow’ yang merangkumi unit-unit LED pada bilah gril kidney. Menurut BMW, ciri baharu ini menawarkan teknik pencahayaan umpama air yang mengalir.

Profil sisi jentera ini diserlahkan lagi menerusi rim aloi ringan M berukuran 20 inci yang didatangkan dengan kemasan 895 M Bicolour. Sebagai penyudah, pakej M Performance, M Lights Shadowline dan M Shadowline turut disertakan.

Untuk bahagian dalaman pula, M850i xDrive Coupe MY Edition kini dilengkapi dengan paparan kawalan beresolusi tinggi yang lebih besar berukuran 12.3 inci. Kerusi M Sport untuk pemandu dan penumpang depan juga disertakan secara standard, begitu juga dengan kemasan Carbon Fibre M dan kawalan electroplated pada keempat-empat pintu.

Untuk kemudahan, model ini hadir dengan penyaman udara automatik dwi zon, manakala elemen hiburan  dibekalkan oleh sistem bunyi keliling Bower & Wilkins Diamond. Bukan itu sahaja, sistem penggera turut disediakan bagi meningkatkan ciri keselamatan di dalam kenderaan.

Penawaran warna luaran untuk M850i xDrive Coupe MY Edition termasuklah BMW Individual Frozen Pure Grey Metallic dan BMW Individual Frozen Tanzanite Blue Metallic.

Sementara itu, upholsteri ruang dalaman pula BMW Individual Extended Leather Trim Merino, dengan pilihan warna seperti Black, Cognac, Ivory White, Night Blue, Tartufo dan Fiona Red.

Harga jualan, dengan Inklusif Servis dan Pembaikan BMW serta cukai jualan dan perkhidmatan, adalah RM1,102,800.

Setiap pemilik juga akan mendapat pakej waranti tanpa had perbatuan bertempoh lima tahun, program servis berjadual percuma, pakej bantuan tepi jalan dan talian kemalangan BMW, aplikasi mudah alih BMW Group Loyalty+, kad keistimewaan BMW dan servis dalam talian.

Toyota Gazoo Racing Festival 24-25 September ini – perlumbaan malam, konsert ‘rooftop’ di Sepang

ACARA finale Toyota Gazoo Racing Festival musim kelima yang akan berlangsung pada 24 dan 25 September di Litar Antarabangsa Sepang bakal menyaksikan kemunculan tarikan baharu iaitu festival di atas bumbung paddock.

Seperti sebelum ini, acara Toyota Gazoo Racing Festival dan siri perlumbaan Vios Challenge dibuka kepada umum namun kemasukan ke festival atas bumbung tersebut akan dihadkan kepada 2,000 pengunjung pertama yang mendaftar secara atas talian.

Antara acara menarik yang menanti 2,000 pengunjung tersebut adalah sesi ‘meet and greet’, pameran dan jualan cenderahati Gazoo Racing dan Toyota, dua konsert utama, cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti keluarga.

Konsert tersebut akan menampilkan dua selebriti yang menyertai Vios Challenge iaitu Wany Hasrita dan Nabila Razali, serta persembahan rap daripada K-Clique pada hari Sabtu. Pada hari Ahad pula, pengunjung akan dihiburkan oleh barisan artis hebat seperti Khai Bahar, Ella dan kumpulan Dolla.

Sementara itu, acara cabutan bertuah menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk empat buah iPhone 13 Mini, dua iPad dan dua jam tangan Apple Watch Series 7. Turut akan diadakan adalah aktiviti di atas litar termasuk ‘track day’ untuk kelab-kelab pemilik Toyota yang terpilih.

Untuk maklumat lanjut mengenai tiket, layari pautan berikut: https://toyota.com.my/tgrmalaysia/tgr-%20festival-vios-challenge/season-%205/round-3-contest/.

Vios Challenge

Untuk pusingan akhir musim kelima, Vios Challenge akan diadakan pada waktu malam. Gelaran juara untuk kelas Promotional sudah tentu akan menjadi rebutan antara Zizan Razak dan Shukri Yahaya selaku juara bertahan.

Sementara itu, kelas Rookie pula akan menyaksikan pertarungan hebat antara dua pelumba simulator muda iaitu Nabil Azlan dan Muhammad Hamdany Abdul Hamid.

Dalam kelas Sporting, Naquib Azlan dari Axle Motorsports, yang merupakan juara keseluruhan kelas Rookie tahun lalu, berharap kelebihan yang dimiliknya selepas memenangi tiga perlumbaan sebelum ini cukup untuk memberikan gelaran juara kedua berturut-turut.

Saingan dalam kelas Super Sporting tidak kurang hebatnya, dengan empat pemandu masih lagi berpeluang untuk merampas takhta juara. Mereka adalah Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel, Mark Darwin, Eddie Liew dan Freddie Ang.

Harga rasmi Mercedes-Benz EQB 350 dan EQC 400 diumumkan

MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan harga rasmi bagi dua model elektrik di bawah payung Mercedes-EQ iaitu EQB 350 4Matic dan EQC 400. Kedua-dua model ini diperkenalkan buat pertama kali bersama dengan EQS 450+ pada 22 Julai lalu.

EQB 350 4Matic dijual pada harga bermula dari RM328,888 manakala EQC 400 pula berharga RM388,888. Harga-harga yang disebutkan adalah harga atas jalan (on-the-road) tidak termasuk insurans.

Merupakan EV mewah pertama di Malaysia yang menawarkan tujuh tempat duduk, EQB 350 4Matic tampil dengan kemasan luaran  Electric Art, rim aloi berukuran 19 inci, rel bumbung aluminium dan lampu depan LED High Performance.

Bahagian dalaman pula dihiasi dengan upholsteri kulit Artico dan fabrik Cupertino dalam warna dwi tona Rose Gold dan Titanium Grey Pearl, serta balutan kulit nappa pada stereng. Antara kelengkapan yang disertakan termasuklah Keyless-Go Comfort Package, Hands-Free Access, pendingin hawa Thermotronic dan Easy-Pack Tailgate.

Untuk trenkuasa pula, model ini dilengkapi dengan bateri berkapasiti 66.5 kWh yang membolehkannya dipandu sejauh 423 km dengan satu cas penuh. Pengecasan dari 10% hingga 80% kuasa bateri mengambil masa kira-kira 6 jam 15 minit dengan pengecas AC 11 kW atau 32 minit dengan pengecas pantas DC berkapasiti 100 kW.

Sementara EQC 400 pula tampil agresif dengan kit badan AMG Line, rim AMG multi-spoke berukuran 20 inci dan pemijak sisi aluminium. Turut disertakan secara standard adalah lampu depan Multibeam LED dan pengelap cermin automatik dengan sensor hujan.

Ruang dalaman mengekalkan tema sporty AMG menerusi paddle shifter Direct Select, stereng sport multifungsi, karpet AMG dan upholsteri kulit nappa berwarna hitam pada papan pemuka. Bagi menambah lagi keselesaan, ia juga mendapat cermin akustik, pelarasan elektrik dan fungsi memori pada tempat duduk depan serta sokongan lumbar empat hala.

EQC 400 didatangkan dengan bateri berkapasiti 80.0 kWh yang dikatakan cukup untuk memberikan jarak pemanduan antara 373 km hingga 437 km. Dari segi prestasi, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 5.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 180 km/j.

Pemilik Mitsubishi Triton ke-100,000 dapat diesel percuma bernilai RM27,000

MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM) baru-baru ini meraikan kejayaan mencatat jualan yang ke-100,000 unit bagi Mitsubishi Triton di pasaran Malaysia.

Sejak penubuhan syarikat pada 2005, trak pikap Triton telah menjadi asas bagi perniagaan Mitsubishi Motors dan memberikan manfaat kepada pelanggan dari segi pengendalian, prestasi, keselamatan dan harga jualan kompetitif bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza.

Tahun lalu, Triton mengekalkan pegangan pasarannya sebanyak 22 peratus walaupun berdepan pandemik dan saingan sengit daripada pesaing-pesaingnya. Jualan trak pikap itu mencecah 9,268 unit pada 2021, menunjukkan peningkatan sebanyak 34 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bagi meraikan kejayaan bermakna ini, MMM menghadiahkan diesel percuma untuk 100,000 km bernilai RM27,000 kepada pemilik Triton yang ke-100,000 iaitu Muhammad Faerus.

Bersempena dengan sambutan ini juga, Mitsubishi Motors akan mengadakan peraduan ‘100,000 Triton Ambitions’ bermula 14 September ini yang terbuka kepada semua pemilik Triton.

Mereka yang berminat hanya perlu mengisi borang kaji selidik peraduan dan menghantar sekeping gambar untuk salah satu atau keempat-empat kategori berikut:

  • The Stylo King – aktiviti riadah yang paling tidak dapat dilupakan dengan Triton
  • Tough Champ – pengalaman paling sukar dengan Triton
  • Extreme Adventurer – perjalanan jarak jauh yang paling tidak dapat dilupakan dengan Triton
  • Mod Hero – Triton yang dimodifikasi yang paling cool

Pemenang dari setiap kategori akan membawa pulang diesel untuk 25,000 km bernilai RM7,000 setiap satu.

Helikopter terhempas: juruterbang disahkan maut

JURUTERBANG helikopter yang dilaporkan hilang di Bidor selepas terputus hubungan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Mangsa dikenali sebagai Kapten Zee Khin Richard Chan, berusia 58 tahun dan merupakan warga negara Hong Kong. Mangsa ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira pukul 9.30 pagi di Hutan Simpan Chikus.

Gambar BERNAMA

Menurut Bernama, mayat dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat selepas diterbangkan dari lokasi kejadian menggunakan sebuah helikopter.

Awal hari ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata bahawa juruterbang tersebut ditemui selamat di lokasi nahas sekitar Bidor, pada jam 8.20 pagi.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, Ka Siong berkata pasukan penyelamat sedang berusaha untuk membawa juruterbang tersebut ke Hospital Ipoh untuk menerima rawatan.

Sumber gambar: Media sosial

Semalam Wee dilaporkan berkata pesawat jenis Eurocopter milik persendirian itu terputus hubungan dengan KLATCC pada 12.16 tengah hari sebelum ia dilaporkan hilang oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Lokasi terakhir pesawat itu yang diketahui ialah kawasan hutan berhampiran Bidor.

Ia berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada 11.37 pagi semalam dan sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak pada 12.37 tengah hari.

Volvo buka fasiliti pembaikan badan dan cat pertama di Glenmarie dan Ara Damansara

VOLVO Car Malaysia baru-baru ini memperkenalkan fasiliti pembaikan badan dan cat pertamanya menerusi pelancaran pusat Volvo Certified Damage Repair (VCDR) di Federal Auto Cars, Glenmarie dan Sime Darby Swedish Auto, Ara Damansara.

Nick Connor, Ketua Volvo Cars APEC berkata, “Kami amat gembira dapat menyaksikan pencapaian Volvo Car Malaysia setakat ini. Dari pelaksanaan strategi elektrifikasi global hingga menjual XC40 Recharge Pure Electric, hari ini kami melancarkan VCDR untuk merealisasikan visi kami dalam menawarkan standard tertinggi dalam perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan kami.”

Nick Connor

Tambah beliau lagi, Malaysia merupakan negara kedua di rantau ini yang melancarkan VCDR.

VCDR meningkatkan lagi pengalaman selepas jualan pelanggan dengan memfokuskan kepada penyediaan perkhidmatan pembaikan badan dan cat yang cepat dan efisien. Pembaikan berkualiti dilakukan menggunakan peralatan canggih serta menerusi pematuhan ketat kepada standard Volvo.

“Kami mahu pelanggan kami membawa peluang sebuah kereta Volvo dengan ketenangan minda kerana mengetahui bahawa kami bersedia untuk memberikan penjagaan standard antarabangsa Volvo untuk kenderaan mereka,” kata Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.

VCDR mengintegrasikan teknologi mampan dalam perkhidmatan pembaikan badan dan cat mereka, seperti sistem pengudaraan bertekanan rendah dengan kawalan automatik yang dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida, pelapasan zarah mikroskopik serta penggunaan tenaga.

Charles Frump

Selain itu, mesin-mesin juga menggunakan tenaga bateri untuk memanaskan sistem elektrik dan lebih 80 peratus daripada udara akan disedut menerusi sistem penapisan yang mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan gas rumah hijau.

Penggunaan Volatile Organic Compounds (VOC) dalam cat pula telah digantikan dengan cat berasaskan air bagi mengurangkan pendedahan pekerja kepada bahan kimia berbahaya.

Dilengkapi dengan teknologi terkini dan juruteknik terlatih, Federal Auto Cars Glenmarie dan Sime Darby Motors Centralised Body and Paint Centre merupakan dua pusat servis Volvo pertama di Malaysia yang mematuhi piawaian VCDR. Dengan keluasan 11,133 kaki persegi, setiap fasiliti ini boleh menampung sehingga 1,260 buah kenderaan setahun.

Proton tubuh PRO-NET untuk penjualan, pengedaran EV jenama smart

SELEPAS menandatangani perjanjian pengedaran am bersama smart pada 18 Ogos lalu, Proton kini mengumumkan penubuhan syarikat baharu iaitu Proton New Energy Technology (PRO-NET) untuk menguruskan jualan dan pengedaran kenderaan smart serta kenderaan tenaga baru (NEV) jenama sendiri.

Merupakan anak syarikat milik penuh Proton, PRO-NET akan dikendalikan oleh pasukan pengurusan yang berasingan manakala kakitangan operasi akan terdiri daripada pekerja luar daripada pelbagai industri.

Ia diketuai oleh Zhang Qiang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Beliau telah lama berkecimpung dalam industri automotif di China dan telah bekerja di Proton selama lima tahun di bahagian jualan dan pembangunan rangkaian.

Dari kiri: Sua Chek Hoong, Zhang Qiang dan Salawati Mohd Yusoff

Ahli pasukan pengurusan yang lain termasuk Salawati binti Mohd Yusoff sebagai Ketua Pegawai Jenama (CBO) dan Sua Chek Hoong sebagai Ketua Pegawai Informasi.

Pasukan pengurusan ini bertanggungjawab kepada lembaga pengarah yang diketuai oleh Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, dan disokong oleh Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Wang Huaibing, Ketua Pegawai Kewangan Proton, dan Amran Mohd Tomin, Naib Presiden Modal Insan & Pentadbiran Proton.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, jualan kenderaan elektrik smart dijadualkan bermula pada awal suku keempat 2023. Model pertama yang akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia ialah smart #1 dan PRO-NET kini membuat persediaan untuk pemasarannya. Keutamaan syarikat adalah penyelesaian isu pengecasan untuk pelanggan dan rancangan semasa adalah untuk menggunakan rangkaian pengecasan berasaskan rumah dan awam.

“Kajian kami menunjukkan penghalang kepada pengguna untuk membeli kenderaan tenaga baharu terikat dengan kebimbangan mereka tentang ketersediaan rangkaian pengecasan. PRO-NET berhasrat untuk menangani isu ini dengan gabungan pemasangan dan penyelenggaraan pengecas di rumah dengan rangkaian awam komprehensif yang dibina bersama rakan kongsi yang pakar dalam pembangunan dan pengendalian stesen pengecasan,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

Tambah beliau lagi, PRO-NET juga sedang mempertimbangkan penyelesaian mudah alih untuk meluaskan liputan stesen pengecasan mereka, sekaligus memastikan ia boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada.

“Kami masih berada di titik permulaan perjalanan tenaga baharu tetapi dengan pengumuman rasmi hari ini mengenai PRO-NET, rancangan ini akan mendapat momentum yang membawa kepada lebih banyak perkembangan pada bulan dan tahun akan datang,” kata Dr Li Chunrong.

Ford Ranger 2022 lebih kuasa dan kemampuan untuk semua kegunaan

“SAMA ada penjimatan minyak atau keselesaan yang menjadi keutamaan pelanggan, sistem janaan kuasa pada Ford Ranger generasi baharu akan memberi kebolehan dan prestasi terbaik kepada pemiliknya,” ujar Pengurus Program Ranger dan Everest Global, Pritika Maharaj.

Sistem janaan kuasa untuk kerja, keluarga dan riadah

Ranger generasi baharu akan terus menawarkan pilihan enjin turbo tunggal dan bi-turbo, kedua-duanya dengan kapasiti 2.0 diesel empat-silinder yang telah terbukti.

Versi turbo tunggal menawarkan sebanyak 170ps pada 3,500rpm dan 405Nm dari 1,750 hingga 2,500rpm.

Enjin 2.0-liter bi-turbo pula menawarkan 210hp pada 3,750rpm dan 500Nm tork antara 1,750 hingga 2,000rpm. Enjin ini juga memiliki sistem pintasan pintar yang akan menentukan mod operasi paling optimum dalam satu-satu keadaan.

Ini bermakna, pengecas turbo boleh beroperasi secara bersiri (pada rpm rendah bagi meningkatkan tork dan respons) atau turbo lebih kecil boleh dipintas untuk membolehkan pengecas turbo lebih besar menghasilkan kuasa maksima.

Sedia untuk berdepan jalan mencabar

Penambahan 50mm kelegaan tanah dan jarak antara roda bagi Ranger generasi baharu ini telah meningkatkan lagi kestabilannya di jalan raya mahupun ketika off-road.

Sudut menghampiri (approach angle) juga ditingkatkan kepada 30-darjah (dari 28.5-darjah pada model sebelumnya) manakala sudut melepasi (departure angle) ditingkatkan kepada 23-darjah (berbanding 21-darjah).

Selain itu, penyerap hentak belakang telah dialihkan sedikit ke luar gegelung suspensi, meningkatkan kestabilan sama ada muatan penuh atau kosong.

Ford menawarkan dua sistem pacuan empat roda untuk Ranger generasi baharu. Pacuan empat roda asas adalah sistem ‘separuh masa’ dengan kotak pindah shift-on-the-fly elektronik dua-kelajuan dengan mod operasi 2H, 4H dan 4L.

Terdapat tambahan sistem pacuan empat roda on-demand (2H, 4A, 4H dan 4L) yang membolehkan Ranger dipandu dengan pacuan empat roda di permukaan dengan cengkaman lebih kuat menerusi mod 4A (automatik).

Apabila suatu sistem dipilih, ia secara berterusan mengagihkan kuasa antara gandar depan dan belakang untuk prestasi optimum, tanpa mengira keadaan jalan raya.

Ranger generasi baharu ini kekal menawarkan differential lock belakang (untuk varian WildTrak dan XLT Plus), yang boleh diaktifkan menerusi skrin SYNC4A®. Differential lock membolehkan kedua-dua

roda pada mana-mana gandar untuk berpusing dengan kelajuan sama, memberikan cengkaman tambahan ketika pemanduan off-road.

Pilihan mod pemanduan bagi meningkatkan keyakinan

Sebelum ini, hanya Ranger Raptor yang menawarkan pilihan mod pemanduan. Namun kini Ranger generasi baharu sudah dilengkapi dengan enam mod pemanduan, bergantung kepada varian.

Mod yang ditawarkan termasuklah Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sand. Mod-mod ini mengubah parameter seperti penukaran gear, respons pendikit, Traction Control, Stability Control, ABS, dan sebagainya.

Selain itu, Ranger generasi baharu juga memiliki skrin off-road khusus dalam sistem infotainmen SYNC4A®. Dengan hanya menekan satu butang, anda boleh mengakses skrin off-road SYNC4A® yang menunjukkan tetapan differential lock dan kofigurasi pacuan, sudut kemudi roda, sudut roll and pitch, serta kamera depan dengan garis panduan.

Diperkukuh untuk lebih ketahanan

Untuk melindungi komponen penting ketika pemanduan off-road, Ranger generasi baharu menyediakan ‘perisai’ pelindung di bahagian dalam untuk stereng, takungan pelincir, kotak pindah dan transmisi. Perisai ini dibuat daripada keluli yang dipotong dan ditempa dengan laser.

Selain itu, bolt pelindung berkenaan turut dilindungi daripada kerosakan dan senang dikeluarkan untuk diservis. Memandangkan pelindung dipasang secara terus pada casis, ia meningkatkan lagi ketahanan struktur jentera pacuan empat roda ini.

Bumbung Ranger generasi baharu juga sedia dengan bumbung yang dapat menampung berat sehingga 350kg (statik) dan sehingga 85kg (dinamik).

Kemudahan pengurusan kargo di ruang muatan pula menjadikannya sebagai kenderaan versatil, dengan barisan aksesori lepas jualan seperti pasak boleh ubah di setiap sisi dan talam barangan boleh alih, ruang pengapit di pintu but serta ruang muatan dengan enam titik cangkuk berstruktur.

Bergantung kepada varian dan pasaran, kapasiti penuh bebanan Ranger generasi baharu mencecah sehingga 1,000kg (1 tan). Ford Ranger generasi baharu juga menawarkan kemampuan mengharung air sedalam 800mm pada kelajuan 7km/j.

Pengenalan eksklusif Ranger generasi terbaharu di Kuching dan Kota Kinabalu

Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, akan mempertontonkan Ranger generasi terbaharu ini di Kuching pada 7-11 September di Vivacity Megamall, dan Suria Sabah Shopping Centre, Kota Kinabalu pada 5-9 Oktober.

Berkunjunglah ke Vivacity Megamall di Kuching hari ini untuk mengalami sendiri pengenalan eksklusif Ranger generasi baharu.

Jangan ketinggalan untuk mengikuti acara pra-tonton dalam siri jelajah Ranger generasi baharu ini.

Daftar di laman “Register” ini untuk mendapatkan jemputan eksklusif ke lokasi berdekatan anda.

Untuk maklumat lanjut tentang Ranger generasi baharu, SDAC dan Ford, ikuti Ford Malaysia di FacebookInstagramTwitter dan YouTube channel atau layari www.sdacford.com.my.

Melaka rancang bina laluan terus hubungkan Malaysia dengan Indonesia, ambil masa 20 tahun

SATU laluan dirancang untuk dibina menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sumatera, Indonesia melalui Masjid Tanah-Dumai melibatkan jarak kira-kira 120km.

Terowong atau jambatan itu bakal dibangunkan dengan kerjasama syarikat swasta dan dijangka mengambil masa 20 tahun.

Gambar sekadar lakaran.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia sekali gus memberi impak kepada perkembangan ekonomi kedua-dua negara dalam pelbagai sektor khususnya perindustrian dan pelaburan.

“Cadangan pembinaan laluan ini telah dikemukakan pihak swasta dan menerusi kajian yang dilakukan, jarak antara pesisir pantai di Dumai, Indonesia ke Telok Gong, Masjid Tanah di sini hanya sejauh 47 km.

“Secara dasarnya kedua-dua negara telah bersetuju untuk perkara ini diperincikan dan langkah awal di peringkat kerajaan negeri Melaka, kita telah membawa semua agensi kerajaan melihat kawasan yang akan dibina jajaran baharu ini semalam,” katanya kepada pemberita selepas sesi temu bual dalam Program Apa Khabar YB bersama Melakafm semalam.

Beliau berkata, laluan berkonsepkan ‘Satu Jalur Satu Jalan’ itu akan menjadi ikon baharu kedua-dua negara dan pelbagai prasarana akan turut dibangunkan termasuk kawasan penyuraian trafik dan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Ab Rauf berkata, selain itu, kawasan perindustrian baharu yang menempatkan pelbagai kegiatan perindustrian seperti semikonduktor dan automotif akan dibangunkan secara berperingkat di Masjid Tanah melibatkan keluasan kira-kira 2,023 hektar.

Katanya perancangan pembangunan kawasan perindustrian itu akan dilakukan menerusi Melaka Corporation sekali gus dijangka turut menyumbang kepada pembukaan bandar baharu di Masjid Tanah.

Toyota Veloz – 5,200 tempahan diterima, pelancaran tidak lama lagi

UMW Toyota Motor  (UMWT) mengumumkan bahawa mereka telah menerima 5,200 tempahan untuk Toyota Veloz. Jika anda masih ingat, MPV tujuh tempat duduk itu dibuka untuk tempahan pada 24 Jun lalu.

Tarikh pelancaran Veloz masih belum diumumkan, namun menurut UMWT, kembar kepada Perodua Alza itu akan membuat kemunculan rasminya di pasaran Malaysia “tidak lama lagi”.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata, “Pengenalan Toyota Veloz akan menjadi detik penting bagi kami dan kami yakin ia akan menjadi popular di kalangan rakyat Malaysia dengan tawaran premium bernilai untuk wang, ciri-ciri canggih dan sudah tentu, kualiti dan kebolehpercayaan Toyota yang terkenal.”

Seperti Alza, Veloz dibina menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dan dikuasakan oleh enjin 1.5-liter 4-silinder 2NR-VE dengan Dual VVT-i. Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi D-CVT yang memacu roda depan.

Ditawarkan dalam varian tunggal dengan harga jangkaan sekitar RM95,000, ia didatangkan standard dengan lampu LED, rel bumbung, brek parkir elektronik, paparan multi-info berukuran tujuh inci, paparan audio sembilan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto serta sistem keselamatan Toyota Safety Sense.

Prestasi jualan Ogos

Dalam pada itu, UMWT turut mengumumkan prestasi jualannya bagi bulan Ogos 2022, di mana mereka berjaya menjual sebanyak 8,961 unit kenderaan Toyota dan 130 unit kenderaan Lexus, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 9,091 unit. Angka ini menunjukkan peningkatan berbanding 6,637 unit yang direkodkan pada Julai 2022.

Sementara itu, jumlah jualan keseluruhan untuk tahun ini setakat Ogos adalah sebanyak 61,639 unit bagi jenama Toyota dan Lexus, naik 62 peratus berbanding 38,085 unit yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Fortuner, Hilux dan Innova baharu

UMWT juga akan memperkenalkan model siri Innovative International Multi-Purpose Vehicle (IMV) yang dipertingkatkan iaitu Fortuner dan Hilux pada September, dan Innova pada Oktober. Tempahan untuk model-model siri IMV itu telah pun dibuka pada 1 September lalu.

5 motosikal ini boleh pecut 96 km/j dalam kurang 3 saat – Sembang Engear

WALAUPUN mempunyai enjin yang lebih kecil, sesetengah motosikal mempunyai kuasa pecutan yang setanding atau lebih hebat berbanding supercar dengan enjin lapan, 10 atau 12 silinder. Ini kerana motosikal mempunyai badan yang kecil dan ringan, sekaligus memberikannya kelebihan dari segi nisbah kuasa-berat.

Dalam video Sembang Engear ini, hos Shamshul Yunos membincangkan lima model motosikal ‘road legal’ yang boleh memecut dari 0 hingga 60 bsj (0-96 km/j) dalam masa kurang dari tiga saat. Jika diikutkan, ada kira-kira 20 model namun kami memilih lima model yang terhebat yang dijual di pasaran Malaysia.

Suzuki Hayabusa (2002)

Nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia dua roda, Suzuki Hayabusa keluaran tahun 2002 boleh mencapai kelajuan 96 km/j dalam hanya 2.47 saat dan kelajuan maksimum 312 km/j.

Kawasaki Z1000 (2014)

Satu-satunya model ‘naked’ dalam senarai ini, Kawasaki Z1000 hanya memerlukan 2.5 saat untuk memecut dari 0 hingga 96 km/j walaupun tidak dilengkapi dengan fairing.

BMW S1000RR (2016)

S1000RR pada asalnya dibangunkan oleh BMW pada 2009 bagi memenuhi syarat homologasi Kejohanan Superbike Dunia (WSBK). Dengan nadi empat silinder bersesaran 1,000 cc yang mampu mencapai redline 14,200 rpm, pe

Ducati 1199 Panigale (2014)

Diperkenalkan di Pertunjukan Motosikal Milan (EICMA) 2011, Ducati 1199 Panigale hanya sempat berada di pasaran selama empat tahun sebelum digantikan oleh 1299 Panigale. Walaupun begitu, ia memastikan namanya sentiasa diingati dengan prestasi pecutan 0-96 km/j dalam hanya 2.6 saat.

Honda CBR1000RR-SP (2013)

Lebih mesra dengan jolokan Fireblade, jentera keluaran Honda ini membuktikan yang ia sama hebat dengan pesaing-pesaingnya dari Itali dan Jerman dengan pecutan 0-96 km/j dalam 2.6 saat.

Royal Enfield Scram 411 dilancar di Malaysia, tiga varian, harga bermula RM26,900

ROYAL Enfield Scram 411 dilancarkan di pasaran Malaysia hari ini oleh pengedar rasminya di negara ini, Didi Group.

Rewi Hamid Bugo, pengerusi Didi Group berkata, “Scram 411 ialah model baharu sepenuhnya yang direka untuk tunggangan pelbagai fungsi untuk off-road dan bandar.

“Menggabungkan gaya dan genetik motosikal scrambler serta adventure, Scram 411 akan menawarkan pengalaman baharu kepada peminat.”

Seperti pada Namanya, Royal Enfield Scram 411 dipacu oleh enjin 411cc 4-lejang dengan suntikan bahan api. Enjin silinder tunggal dengan sejukan cecair ini mampu menjana 24.3hp pada 6,500rpm dan 32Nm tork dari 4,000 hingga 4,500rpm.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear 5-kelajuan.

Sistem suspensi disokong oleh unit teleskopik 41mm dengan pergerakan 190mm di depan, manakala 180mm pergerakan di belakang. Kombinasi ini memberikan Scram 411 jarak kelegaan tanah sebanyak 200mm.

Scram 411 mendapat roda bersaiz 19-inci di depan dan 17-inci di belakang. Sistem brek pula terdiri dari cakera di depan dan belakang dengan ABS dwi-saluran.

Jentera ini ditawarkan dalam tiga varian dengan harga seperti berikut:

Base – RM26,900
Mid – RM27,100
Premium – RM27,400

Ketiga-tiga varian ini hanya berbeza dari segi pilihan warna. Base menawarkan warna Graphite Yellow, Graphite Red, dan Graphite Blue dengan tangki kelabu.

Sementara itu Mid boleh didapati dengan warna Skyline Blue dan Blazing Black, digandingkan dengan stripe Royal Enfield.

Akhir sekali, varian tertinggi Premium ditawarkan dengan warna White Flame dan Silver Spirit.

Petron, Malaysia Airlines serah hadiah pemenang kempen TENtu Happy Ohsem Treats

PETRON dan Malaysia Airlines hari ini mengadakan majlis penyampaian hadiah untuk 20 pemenang pertama kempen TENtu Happy Ohsem Treats yang dilancarkan pada Jun lalu.

Bagi memastikan setiap wilayah mempunyai set pemenang sendiri, pemenang TENtu Happy diambil dari Utara, Selatan, Tengah, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

Semua pemegang kad Petron Miles layak untuk mendapat kemasukan automatik dengan setiap pembelian bahan api bernilai sekurang-kurangnya RM50. Untuk mengambil bahagian, pelanggan hanya perlu meleratkan kad Petron Miles mereka semasa membuat pembelian bahan api.

Untuk mendapatkan peluang kemenangan yang lebih tinggi, pelanggan juga boleh menukarkan mata ganjaran Petron Miles mereka kepada mata ganjaran Enrich.

Kempen TENtu Happy Ohsem Treats: Spend and Win diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-10 kerjasama antara petron Malaysia dan Enrich, program perjalanan dan gaya hidup Malaysia Airlines.

Kempen yang berlangsung selama lima bulan hingga November 2022 itu menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada 500 pemenang bertuah, termasyk 10 pemenang utama yang akan dipilih setiap bulan.

Setiap pemenang hadiah utama akan menerima 50,000 mata ganjaran Enrich yang boleh ditebus untuk tiket penerbangan dan penginapan hotel, serta hadiah wang tunai sebanyak RM500.

Selain itu, 90 pemenang juga akan dipilih setiap bulan untuk membawa pulang pakej penginapan, 22,000 mata ganjaran Enrich dan mata ganjaran Petron Miles bernilai RM500, pakej kecantikan kereta dari Trapo, beg bagasi Condotti dan minyak enjin Petron.

Shaliza Mohd Sidek

Ketua Perniagaan Runcit Petron, Shaliza Mohd Sidek berkata, “TENtu Happy ialah penghargaan kami kepada pelanggan kami yang setia dan sentiasa menyokong kami. Bersama Malaysia Airlines, kami ingin memberi pelanggan kami kemudahan perjalanan yang terbaik sambil mencipta kenangan manis bersama orang tersayang.”

Selain menjadi pembekal bahan api untuk pesawat Malaysia Airlines, Petrol telah bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan itu untuk menyokong pemulihan ekonomi, mempromosikan sektor pelancongan dan memberi nilai yang tinggi kepada pelanggan.

Pelitup muka masih diwajibkan di fasiliti kesihatan dan pengangkutan awam

PEMAKAIAN pelitup muka kini tidak lagi diwajibkan di tempat tertutup, menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang membuat pengumuman berkenaan hari ini.

Walaubagaimanapun, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan di fasiliti kesihatan dan beberapa tempat lain di negara ini seperti dalam pengangkutan awam, katanya.

Gambar oleh: Malay Mail

Beliau berkata, selain itu pelitup muka wajib dipakai sekiranya positif Covid 19 atau bergejala, menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang serta bas, van pekerja dan van sekolah.

“Pemakaian pelitup muka juga diwajibkan ketika berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, rumah penjagaan, pusat hemodialisis dan yang setara dengannya,” kata Khairy.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Persatuan Perubatan Biosimilar dan Generik Antarabangsa (IGBA) – Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI).

Toyota Hilux Rogue terima kemas kini mekanikal untuk 2023

SETELAH dua tahun diperkenalkan, Toyota Hilux Rogue kini hadir dalam versi yang dikemas kini untuk model tahun 2023.

Trak pikap popular itu akan memasuki pasaran Australia bermula Oktober depan dengan harga OTR bermula dari $70,200 (RM211,993). Ini bermakna semua naik taraf mekanikal yang terdapat pada model itu ditawarkan kepada pelanggan tanpa sebarang kenaikan harga.

Menurut Toyota Australia, trek (jarak antara titik tengah roda kiri dan kanan) depan dan belakang Hilux Rogue kini bertambah sebanyak 140 mm, manakala ketinggian turut dinaikkan sebanyak kira-kira 20 mm.

Selaras dengan perubahan pada track dan ketinggian tersebut, lengan suspensi dan bar penstabil depan telah dipanjangkan lagi. Sudut penyerap hentak depan turut diubah suai bagi mendapatkan tahap kecekapan yang lebih baik.

Selain itu, Hilux Rogue 2023 juga dilengkapi dengan gandar belakang yang lebih panjang dan ini menyebabkan penyerap hentak belakang diposisikan semula ke arah luar.

Buat pertama kalinya juga bagi Hilux, bar penstabil belakang dipasang bagi meningkatkan ketegaran sebanyak 20 peratus serta memperbaiki tindak balas stereng ketika membelok.

Turut dinaik taraf adalah sistem brek, di mana ia kini didatangkan dengan brek cakera belakang bagi menggantikan brek gelendong pada model sebelum ini.

Dari segi reka bentuk pula, Hilux Rogue baharu tampil lebih ganas dengan overfender dan mudguard yang lebih lebar. Jika versi terdahulu hadir dengan rim 17 inci, model 2023 ini mendapat rim aloi berukuran 18 inci dengan kemasan warna lebih gelap.

Bagi pasaran Australia, ia boleh didapati dalam sembilan warna iaitu Glacier White, Frosted White, Silver Sky, Graphite, Eclipse Black, Nebula Blue, Feverish Red, Saturn Blue dan Oxide Bronze.

Hilux Rogue akan kekal dengan enjin 1G-FTV 2.8-liter turbodiesel empat silinder yang menghasilkan 204 PS dan 500 Nm, serta transmisi automatik enam kelajuan. Buat pengetahuan anda, Hilux Rogue pasaran Malaysia juga dikuasakan oleh gandingan enjin dan transmisi yang sama.

Kenderaan tidak berhenti walaupun lampu pejalan kaki hijau, inilah Malaysia!

BANDAR raya seperti Kuala Lumpur pastinya sibuk dengan kenderaan dan pejalan kaki, terutamanya pada waktu puncak.

Baru-baru ini seorang lelaki meluahkan rasa kecewa apabila pengguna jalan raya di bandar raya ini tidak memberhentikan kenderaan walaupun lampu isyarat bertukar warna merah dan lampu lintasan pejalan kaki berwarna hijau.

Hijaz Ridzwan berkongsi satu video pendek berdurasi 15 saat di akaun Facebook miliknya tentang hal ini. Katanya, dia dan keluarga sedang berjalan dari hotel ke KLCC.

“Apabila sampai pedestrian crossing (lintasan pejalan kaki), alangkah terkejutnya kami apabila tidak ada satu pun kereta berhenti walaupun lampu mereka dah merah,” tulisnya.

“Nasib baik anak-anak tak terus lari lintas jalan. Selamat datang ke KL.”

Dia turut menambah dalam nota tambahan bahawa mereka melihat dengan mata sendiri bahawa lampu isyarat untuk kereta bertukar merah, bukannya isu lampu rosak.

Perkongsian itu telah mendapat lebih 3,400 Like, 1,800 komen dan 4,000 Share semasa artikel ini ditulis.

Ia mendapat pelbagai respon dari warganet yang rata-ratanya mengecam tindakan pengguna jalan raya yang tidak menghiraukan lampu isyarat dan tidak meghormati pejalan kaki.

Kami memang bersetuju dengan komen warganet kerana pengguna jalan raya patut peka dengan sebarang isyarat, halangan atau papan tanda di depan. Kita semua belajar benda yang sama semasa mengambil lesen memandu, bukan?

Tetapi kita juga boleh mengambil kira faktor-faktor lain seperti papan tanda sebelum lintasan pejalan kaki, adakah ia jelas memaparkan maklumat, adakah ia dalam keadaan baik dan tidak dilindungi pokok dan sebagainya.

Mungkin juga faktor lintasan pejalan kaki yang kadang-kadang tidak konsisten, ada di tempat yang tidak disangka. Kebiasaannya, lintasan pejalan kaki diletakkan di simpang-simpang dengan lampu isyarat.

Jika diletakkan di jalan lurus yang panjang, terdapat kemungkinan pengguna jalan raya tidak perasan atau terpaksa brek mengejut di saat-saat akhir.

Apa pun, pandu dan tunggang dengan selamat semua, dan sama-sama kita hormati pejalan kaki.

EP Blueshark dapat kelulusan JPJ untuk pasang EV dua roda di Malaysia

EP Manufacturing Bhd (EPMB) mengumumkan bahawa mereka telah mendapat kelulusan daripada kerajaan Malaysia untuk mendaftar dan melesenkan kenderaan elektrik (EV) dua roda pertamanya.

Dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia, EPMB berkata jawatankuasa kebangsaan bagi kelulusan jenis kenderaan (VTA) dan homologasi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah meluluskan VTA untuk model Blueshark SG3000DT atau Blueshark R1 di bawah Akta Pengangkutan Jalan Malaysia 1987.

Sijil untuk VTA telah dikeluarkan kepada EP Blueshark Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh EPMB, katanya. VTA ini membolehkan Blueshark R1 didaftarkan dan dilesenkan oleh JPJ.

Pengerusi Eksekutif Hamidon Abdullah berkata dengan kelulusan VTA ini, syarikat itu selangkah lebih dekat untuk memenuhi unjuran permintaan untuk EV dua roda di Malaysia.

“Pada masa yang sama, rakan-rakan kongsi kami di negara-negara ASEAN lain seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam juga telah memohon VTA untuk Blueshark R1 di negara masing-masing, dan ini akan melengkapkan aktiviti-aktiviti pengeluaran EPMB.

“Penerokaan kami ke dalam perniagaan EV disokong oleh pengetahuan teknikal Sharkgulf Technologies Group Limited yang berpangkalan di China. Ini bersempena dengan asas pendanaan yang kukuh daripada pelabur antarabangsa yang menumpukan pada ESG. Ini sepatutnya meletakkan kita pada laluan pertumbuhan yang mampan untuk bergerak ke hadapan,” kata beliau.

Di samping kilang pengeluaran dan pusat jualan dan pengedaran di Malaysia, EPMB juga akan mewujudkan sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang akan berkongsi pengetahuan teknikal dan sumber kepada Gigafactory Sharkgulf di Wilayah Baru Pantai Barat Qingdao.

Tambah Hamidon lagi, pangkalan pengeluaran dengan usaha sama R&D di Malaysia akan menangani struktur kos bagi menjadikan EV roda EMPB kos efektif.

Pada 25 Julai, EP Blueshark menerima kelulusan bersyarat daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas permohonannya untuk memasang motosikal elektrik di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 [Akta 156].

Ini tertakluk kepada syarat yang perlu dipenuhi oleh EP Blueshark dalam tempoh enam bulan dari surat kelulusan.

Himpunan BMW M terbesar sempena Hari Malaysia pada 16 September ini

BMW Group Malaysia dan Kelab Pemilik M Malaysia bakal meraikan Hari Malaysia dengan himpunan BMW M terbesar di negara ini yang juga sempena 50 Jahre M.

Mencerminkan semangat sejati M, BMW Group Malaysia bakal meraikan Hari Malaysia ke-59 dan “50 Jahre M” – menyatukan komuniti pemilik dan peminat BMW M bagi perhimpunan kenderaan prestasi BMW M yang terbesar di dalam negara.

Konvoi kenderaan BMW M dari pelbagai generasi akan membuat kemunculan di pusat bandar Kuala Lumpur pada Hari Kebangsaan tahun ini untuk menzahirkan minat mereka terhadap ///M di Malaysia dan sukan permotoran.

Dibuka kepada umum, perhimpunan ini akan menampilkan lebih daripada 150 buah kenderaan prestasi BMW M, termasuk pameran model-model BMW M yang tertua di dalam negara, tidak lupa juga persembahan muzik dan barangan eksklusif yang sedia untuk dimenangi.

Himpunan ini akan bertempat di LaLaport Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur dari 10 pagi hingga 4 petang. Dan semestinya pada Jumaat depan, iaitu 16 September 2022.

Untuk maklumat lanjut mengenai Perhimpunan BMW M Terbesar pada Hari Malaysia, anda boleh layari laman Instagram rasmi komuniti pemilik M Malaysia di sini.

Setel kini dengan fungsi pengisian satu ketik ‘One-Tap Fuelling’

BAGI menaik taraf pengalaman mengisi petrol, Setel telah memperkenalkan fungsi ‘One-Tap Fuelling’ yang membolehkan pengguna mengaktifkan pam petrol dengan satu ketik sahaja di mana-mana stesen Petronas seluruh negara.

Solusi yang pertama seumpamanya ini disediakan sekarang untuk 1,000 pengguna Setel pertama yang berdaftar di seluruh negara, dan ketersediaannya akan diperluaskan secara berperingkat sepanjang dua bulan yang akan datang.

Mazlin Erawati Ab Manan, Ketua Pegawai Eksekutif Setel berkongsi, “Sejak empat tahun yang lalu, para pengguna setia kami telah menikmati pengalaman mengisi petrol yang lebih memudahkan di stesen-stesen Petronas. Dan kini, pengguna yang biasanya harus membuat beberapa ketikan sebelum dapat mengisi minyak, boleh berbuat demikian dengan satu ketik sahaja menerusi aplikasi Setel.”

 

Pengguna Setel yang berminat juga boleh mendapatkan akses awal dengan memuat naik halaman “Dah Setel So Far” masing-masing dalam bentuk Instagram Story atau Tweet dengan kapsyen: “I want One-Tap Fuelling now”, di samping men-tag @setel dan sertakan tanda pagar #SetelOneTapFuelling.

Mulai hari ini hingga 4 Oktober 2022, pengguna Setel juga berpeluang memenangi kotak hadiah edisi terhad oleh Setel apabila mereka memuat naik video mereka yang paling kreatif di Instagram atau Twitter yang menunjukkan pengalaman mereka menggunakan fungsi ‘One-Tap Fuelling’, berserta dengan tag @setel dan tanda pagar yang sama.

Melalui fungsi tersebut, pengguna Setel dapat menetapkan kuantiti petrol yang ingin diisi – mengikut liter atau tangki penuh, di laman ‘Keutamaan’ semasa mengkonfigurasi fungsi ‘One-Tap Fuelling’.

Pengguna juga boleh menetapkan kaedah pembayaran pilihan masing-masing termasuk CardTerus untuk pembayaran terus atau melalui kad debit atau kredit, serta Setel Share, iaitu kemudahan yang membolehkan pengguna berkongsi Setel Wallet atau CardTerus mereka dengan dua individu lain bagi membuat bayaran sambil bersama-sama meraih mata ganjaran Mesra.