Category Archives: PANDU

Peugeot 408 GT, sang singa untuk sang pemberani – Pandu Uji

Satu fakta perit yang perlu kita hadam pada masa kini ialah semua orang sekarang mahukan kereta spesifikasi redah banjir.

SUV. Crossover. Atau apa jua akronim tiga huruf yang diperkenalkan oleh setiap pengeluar bagi membezakan produk mereka dengan produk lain.

Disebabkan itu, kita sekarang boleh lihat pelbagai jenis model crossover SUV yang wujud di pasaran tempatan, dan yang menjadi mangsa, sudah tentu model sedan.

Peugeot 408 terbaharu yang ada di pasaran Malaysia ini tidak terkecuali daripada menjadi mangsa peng-SUV-an ini.

Adakah ia satu model yang terbaik untuk dibeli? Jemput baca ulasan ringkas kami sampai habis.

 

Reka bentuk luaran

Jika dua generasi terdahulu menampilkan bentuk badan sedan, generasi baharu Peugeot 408 kini merupakan sebuah kereta rojak moden yang dibina untuk mereka yang rasa berani untuk memandunya atas jalan.

Secara asasnya 408 masih lagi mengekalkan bentuk badan sedan, namun dengan rekaan belakang jenis liftback sebelum diserikan dengan elemen crossover keliling badan.

Ia bukanlah satu perkara yang baharu, memandangkan beberapa pengeluar lain juga menggunakan format rekaan yang sama, seperti contoh Citroen dengan C3X, serta Toyota menerusi model Crown Crossover.

Tidak semua orang suka akan format sebegini, namun ia boleh jadi satu model yang sesuai untuk mereka yang inginkan kelainan.

Atas jalan, Peugeot 408 GT memang nampak agresif dengan rekaan lampu utama berbentuk taring singa, lampu belakang dengan grafik kuku singa, serta rim 20 inci Monolithe berwarna hitam dengan rekaan yang sedikit.. aneh.

Dengan dimensi yang sedikit tinggi berbanding sedan dalam segmennya, diikuti dengan jarak kelegaan tanah 189 mm, susah untuk mengklasifikasikan Peugeot 408 ini sebagai sebuah crossover SUV. Penulis lebih senang menggelarkannya sebagai crossover sedan.

Seperti yang telah ditekankan, rekaan yang dibawakan oleh Peugeot 408 ini memang bukan untuk semua orang, hanya untuk sang pemberani sahaja.

 

Kabin serba moden, tapi…

Peugeot 408 GT membawakan susun atur Peugeot i-Cockpit tiga dimensi yang jauh lebih moden berbanding 408 yang terdahulu.

Terdapat roda stereng jenis atas dan bawah rata, skrin kluster digital 10 inci dengan paparan grafik tiga dimensi, skrin infohibur sebesar 10 inci, serta skrin i-Toggles di mana pemandu boleh menetapkan sehingga lima fungsi pintas yang berbeza mengikut keperluan peribadi.

Secara standard, varian Peugeot 408 GT yang kami pandu uji ini turut dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit Nappa yang telah mendapat pengiktirafan daripada badan bebas Aktion Gesunder Rücken (AGR) yang mempromosikan kesihatan tulang belakang.

Ada juga fungsi urut terbina dengan beberapa mod yang diinspirasikan oleh haiwan seperti kucing dan ular yang tersedia untuk pemandu dan penumpang hadapan.

Dengan ciri moden yang disebutkan itu tadi, aspek keselesaan sememangnya bukanlah satu masalah utama.

Biarpun dengan kehadiran panel butang fungsi pintas yang boleh dikustom, penulis tetap berpendapat fungsi-fungsi yang kerap digunakan seperti kawalan iklim tidak perlu disumbatkan ke dalam skrin utama.

Skrin infohibur yang dibekalkan dari kilang itu menawarkan paparan grafik yang agak jelas dan tajam, cuma boleh ditambahbaik dengan pergerakan grafik yang lebih cepat dan lancar.

Agak menjengkelkan apabila kita mahu cepat untuk menurunkan suhu kabin, akan tetapi anda perlu menunggu dalam masa beberapa saat sehingga grafik ‘loading’ tersebut habis dimainkan.

Mujur juga Peugeot 408 datang standard dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar, jadi kebanyakan masa mata hanya perlu memerhati paparan peta nagivasi serta pemilihan muzik yang bersesuaian dialunkan oleh sistem Audio Focal dengan 10 pembesar suara itu.

 

Enjin bertenaga

Untuk pasaran Malaysia, Peugeot 408 hanya didatangkan dengan satu pilihan enjin sahaja, iaitu nadi empat silinder sebaris 1.6 liter turbo PureTech.

Ia mampu menghamburkan kuasa setinggi 218 hp @ 5,750 rpm dan daya kilas 300 Nm @ 2,000 rpm yang disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan.

Pecutan di persimpangan lampu isyarat bukanlah satu kelemahan bagi crossover sedan ini, malah atas lebuh raya Peugeot 408 ini mampu untuk memalukan mana-mana sedan berenjin aspirasi semula jadi.

Untuk setangki penuh, penulis berjaya mencatatkan angka perbatuan sejauh 510 km.

 

Pemanduan

Dari tempat duduk pemandu, penulis sebenarnya perlu mengambil masa untuk membiasakan diri dengan susun atur i-Cockpit 3D Peugeot 408 GT ini.

Ini kerana berbanding kereta-kereta lain, anda perlu membaca skrin kluster digital daripada atas roda stereng. Jika ditetapkan terlalu tinggi posisinya, anda mungkin sukar melihat panel meter tersebut.

Sama seperti skrin infohibur, skrin kluster digital ini juga memaparkan pergerakan grafik yang agak lambat untuk sebuah kereta moden.

Ia masih lagi menawarkan paparan meter stail analog, namun dengan antara muka yang lebih ringkas.

Biarpun datang dengan rekaan roda stereng yang tidak simetri, Peugeot 408 masih lagi menawarkan respons pengendalian yang secukup rasa, tidaklah terlalu sporti namun masih lagi sedap untuk dinikmati terutama apabila bertembung dengan selekoh.

Aspek gantungan Peugeot 408 yang terdiri daripada topang MacPherson dan multilink di belakang itu memadai apabila kereta ini dipandu pada permukaan jalan yang mahal buatannya di mana olengan badan dirasakan pada tahap yang boleh diterima. Almaklumlah, kereta tinggi.

Musuh utama Peugeot 408 ialah permukaan jalan raya yang tidak rata, terutama apabila bertembung dengan lubang jalan serta tahi simen.

Lebih menjengkelkan apabila kita sedang sedap layan selekoh, ada lubang atau tahi simen bertompok di atas jalan di mana sedan ini amat senang untuk meloncat dan ‘keluar dari landasan’ yang ditetapkan oleh pemandu.

Tidak semua perkara negatif dirasakan pada Peugeot 408 ini.

Yang paling dihargai ialah aspek NVH ruang kabin yang agak baik, di mana sebarang kekasaran dan bunyi bising enjin berjaya ditapis dengan baik supaya tidak mengganggu ketenteraman pemandu dan penumpang sepanjang perjalanan.

 

Praktikal

Peugeot 408 GT masih lagi menawarkan ruang kabin yang praktikal untuk seisi keluarga, biarpun kini dengan bentuk badan crossover sedan yang agak berani itu.

Seperti contoh pada konsol tengah, terdapat slot khas untuk pengecasan peranti pintar tanpa wayar, diikuti ruang di bawah untuk meletakkan peranti pintar lain dan ada lubang khas yang boleh digunakan untuk meletakkan peranti SmartTag.

Tuil transmisi yang comel itu turut menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas.

Terdapat juga ruang storan di bawah tempat merehatkan tangan di tengah dengan bukaan terpisah, sementara untuk keselesaan penumpang belakang terdapat corong pendingin hawa baris kedua disediakan.

Walaupun dari luar nampak macam sempit, ruang kabin Peugeot 408 sebenarnya menyediakan ruang kepala dan ruang kaki yang cukup selesa untuk penumpang dewasa.

Cuma, struktur cermin belakang yang agak kecil itu menyukarkan mana-mana pemandu olskool untuk memandang ke belakang sewaktu meletakkan kereta dalam kotak parkir.

Mujur juga Peugeot 408 ini ada kamera keliling 360 darjah yang cukup jelas untuk kita memerhatikan kehadiran bendasing yang wujud di persekitaran.

Tidak cukup dengan itu, Peugeot 408 menawarkan kapasiti ruang kargo sebesar 536 liter, dan boleh mencapai sehingga 1,538 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

 

Harga yang… agak mahal

Disebalik rupa paras yang berani dan ciri-ciri yang serba moden disebutkan tadi, seperkara yang membuatkan Peugeot 408 ini nampak tidak menyelerakan ialah tanda harga yang ditetapkan.

Untuk pasaran Malaysia, anda boleh dapatkan Peugeot 408 versi asas Allure dengan harga jualan bermula dari RM146,055.

Kedengaran munasabah bukan?

Cuma, untuk varian GT yang dilengkapi dengan tambahan ciri yang lebih premium, harga jualan yang ditetapkan ialah bermula dari RM196,055.

Geng baik beli mungkin akan mencadangkan supaya lebih baik tambah duit sikit dan beli sedan segmen D yang jauh lebih besar dan selesa.

Sebab itu penulis lebih gemar untuk mengulangi hujah yang disebutkan di awal penulisan, “Peugeot 408: Sebuah ‘Singa Perancis’ untuk Sang Pemberani”.

 

Spesifikasi Peugeot 408 GT

Enjin: empat silinder sebaris 1.6 liter turbo
Kuasa: 218 hp @ 5,750 rpm, 300 Nm @ 2,000 rpm
Transmisi: Automatik 8-kelajuan
Pacuan: Roda depan
Suspensi: Topang MacPherson/Multilink
Saiz tayar: 245/40 R20
Harga: RM196,555 OTR

4 benda yang tak syok tentang Range Rover Evoque facelift

SEJAK memasuki pasaran buat pertama kali pada 2011, Range Rover Evoque telah diangkat menjadi ikon SUV premium terutamanya dalam kalangan pemandu wanita.

Jika anda fikirkan, Evoque boleh dikatakan tidak ubah seperti sebuah beg tangan mewah. Ia bukan sahaja cantik dan menarik perhatian, tetapi juga praktikal dan mempunyai banyak kegunaan. Mungkin faktor ini yang menjadikannya cukup popular dalam pasaran.

Evoque kini berada dalam generasi keduanya dengan casis, reka bentuk dan teknologi yang lebih baik. Versi facelift yang dilancarkan di Malaysia awal tahun ini membawakan penampilan yang lebih tajam serta ruang kabin yang lebih minimalis.

Dalam erti kata lain, ia kini menjadi penawaran yang lebih menggoda berbanding sebelum ini. Namun bagi penulis, SUV ini masih mempunyai beberapa kelemahan kecil:

Ruang kabin

Evoque merupakan sebuah SUV bersaiz kompak dan ini boleh dilihat dengan jelas pada ruang dalamannya yang agak kecil terutamanya pada bahagian belakang. Untuk dua orang penumpang dewasa masih lagi selesa namun untuk tiga orang, anda akan mula terasa sempit.

Untuk ruang but pula, 591 liter memang kedengaran besar tetapi di dalam Evoque, ia tidak terasa begitu luas. Jelas, ia bukan kenderaan yang sesuai untuk mereka yang mempunyai keluarga besar.

Sistem infohibur Pivi Pro

Selain rekaan ruang dalaman yang lebih ringkas dan minimalis, kemas kini pada awal tahun ini memberikan Evoque skrin sentuh baharu berukuran 11.4 inci.

Ia memberikan pengguna akses kepada sistem infohibur Pivi Pro yang kelihatan cukup cantik pada pandangan mata tetapi sayangnya operasinya tidaklah begitu lancar. Jika dibandingkan dengan sistem infohibur daripada jenama-jenama Jerman, ia agak mengecewakan.

Selain itu, pengguna juga perlu mengawal suhu dan kelajuan kipas sistem pendingin hawa menerusi skrin sentuh berkenaan. Ini sudah tentu akan mengganggu tumpuan pemandu.

Enjin Ingenium petrol

‘Nadi’ Evoque adalah enjin Ingenium 2.0-liter empat silinder turbo yang dipadankan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda.

Enjin tersebut menjana 249 PS pada 5,500 rpm dan 365 Nm tork dari 1,300 hingga 4,500 rpm. Angka ini sebenarnya tidaklah terlalu tinggi tetapi tidak juga rendah namun sepanjang memandu Evoque, penulis dapat merasakan ia kurang responsif dan hanya bertindak balas dengan kadar segera sekiranya pedal pendikit dipijak dengan agresif.

Tahap penggunaan bahan api

Dengan pemanduan yang agak agresif untuk ‘menggerakkan’ Evoque, enjin Ingenium itu menunjukkan kadar penggunaan bahan api yang agak tinggi untuk penggunaan di bandar dan lebuhraya.

Sepanjang beberapa hari memandunya, penulis hanya mampu mencapai bacaan sekitar 10.3 hingga 10.5 liter bagi setiap 100 km. Boleh tahan tinggi juga tetapi perlu diingat yang Evoque mempunyai berat sekitar 1.8 tan dan pacuan AWD.

MINI Countryman S Electric 2024 lebih moden dan mesra alam, kekal bergaya dan sporti

JIKA anda seorang yang mementingkan gaya dan mencari sebuah kereta sebagai ekspresi diri anda, maka MINI antara kenderaan sesuai yang boleh dipertimbangkan.

Ini kerana warisan MINI sejak dahulu lagi terkenal dengan gaya yang ranggi, selain pemanduan sporti yang sepadan dengan imej yang dibawa.

Elemen ini dibawakan dalam barisan model-model terkini MINI seperti Countryman S Electric ini. Ia kekal ranggi dan mempunyai pemanduan sporti seperti go-kart, tetapi dikemaskini menjadi lebih moden.

Bahan mesra alam

Menariknya untuk generasi terbaharu, MINI Countryman S Electric menampilkan fabrik dari bahan-bahan kitar semula yang berkualiti tinggi, seperti boleh dilihat pada papan pemuka dan panel pintu. Fabrik ini juga dijahit dengan teknik 2D yang unik.

Hasilnya, permukaan fabrik ini tampil berbeza, tetapi bergaya, dengan rasa yang unik bila disentuh. Kesemua ini menyumbang kepada pengalaman tersendiri bila berada dalam MINI Countryman.

Bercakap mengenai pengalaman, permukaan fabrik di papan pemuka juga menjadi ‘kanvas’ untuk nyalaan lampu berbeza apabila anda menukar MINI Experience Modes yang berbeza.

Jika anda rasa fabrik bergaya ini susah dijaga, jangan risau kerana menurut MINI, bahan ini mudah dicuci. Jadi, anda tidak perlu risau membawa penumpang kanak-kanak bersama MINI Countryman.

Teknologi moden dengan rupa klasik

MINI Countryman S Electric telah dimodenkan dengan paparan OLED Display bulat yang pertama dalam mana-mana kereta.

Skrin resolusi tinggi ini bukan sahaja berfungsi memaparkan pelbagai maklumat dan informasi dengan jelas, tetapi penampilannya merupakan gandingan sempurna untuk gaya ranggi keseluruhan MINI.

Selain itu, paparan OLED ini mengandungi MINI Experience Modes yang terdiri dari pelbagai tema seperti Vivid, Core, Go-Kart, Timeless, Balance, Trail, dan Personal. Setiap tema ini memberikan anda suasana dan pemanduan berbeza untuk disesuaikan dengan mood anda.

Sebagai contoh jika anda penat balik bekerja, anda masuk mod Balance untuk merelakskan diri. Atau bila anda mahu feeling vintaj dan retro, anda boleh guna mod Timeless dan terdapat paparan meter dari MINI Cooper klasik zaman Mr. Bean. Malah, terdapat juga bunyi MINI klasik itu dikeluarkan dari sistem audio!

Lincah seperti go-kart

Tidak sah untuk sebuah MINI jika tidak mempunyai pengendalian dan rasa stereng seperti go-kart. Begitu juga dengan MINI Countryman S Electric baharu ini, walaupun ia lebih besar dari model sebelumnya, malah merupakan model MINI paling besar pernah dihasilkan, ciri pemanduan go-kart tidak dilupakan.

Sistem suspensi dan stereng telah dikalibrasi untuk memberikan respon yang lincah dan tepat. Dipadankan dengan rim stereng yang tebal, seolah-olah mengajak anda untuk memandu Countryman S ini.

Ditambah pula dengan output 313PS dan 494Nm tork dari dua motor elektrik (satu di gandar depan, dan satu di belakang), pacuan semua roda ALL4 menjanjikan pecutan serta-merta dan mengujakan. Prestasi 0-100 boleh dicapai dalam 5.6 saat sahaja, membuatkan anda tersenyum setiap kali memecut dari lampu isyarat atau plaza tol.

Secara keseluruhan, pecutan super-responsif dari sistem janakuasa elektrik dan talaan stereng serta suspensi menjadikan MINI Countryman S seperti sebuah go-kart lima tempat duduk yang anda boleh kongsikan dengan keluarga dan rakan-rakan.

Anda tidak sabar untuk mencari selekoh untuk memastikan sistem regenerative memperlahankan kenderaan kemudian menikmati pengendalian sporti, sebelum memecut semula keluar selekoh dengan bersahaja.

Seperti kenderaan elektrik lain, pek bateri 66.5kWh pada Countryman S Electric ini terletak di bawah casis, jadi ini merendahkan pusat graviti seterusnya menambahkan kestabilannya dalam semua situasi pemanduan.

Bergaya, seronok dipandu, dari RM2,777 sahaja sebulan

Secara keseluruhan, penulis memang senang hati meluangkan masa memandu uji MINi Countryman S Electric baharu ini. Ia bergaya dan menarik perhatian, kemudian senang pula dipandu sama ada dalam kesesakan trafik atau di lebuh raya.

Oh ya, mahu masuk ke tapak perkhemahan atau pantai pun tiada masalah, memandangkan Countryman mempunyai jarak kelegaan tanah lebih tinggi selain gaya rugged di bampar dan skirt sisi.

Countryman juga mampu menjadi sebuah kenderaan yang menambahkan keceriaan dan kegembiraan anda dalam kehidupan seharian. Memandu tidak semestinya membosankan dan memenatkan.

Dengan bahan-bahan lestari dalam kabin dan sistem kuasa elektrik yang mampu pergi sehingga 433km setiap cas, anda tahu bahawa anda membantu menjaga alam sekitar secara tidak langsung.

Berminat memandu uji MINI Countryman S Electric baharu? Anda boleh lawati mana-mana bilik pameran MINI seluruh negara. Countryman ini boleh menjadi milik anda dengan Easy Drive Financing dari RM2,777 sahaja sebulan. Untuk masa terhad, anda juga layak mendapat pengecas Wallbox percuma.

MINI Cooper Electric juga boleh dimiliki dengan Easy Drive Financing dari RM2,021 sebulan berserta pemasangan Wallbox percuma.

Sebarang maklumat lanjut mengenai MINI di Malaysia, anda boleh ikuti laman sosial mereka seperti berikut:

Instagram: mini_malaysia
FB: https://www.facebook.com/MINImalaysia
Youtube: https://www.youtube.com/@minimalaysia/featured

Tekan di sini untuk tempah sesi pandu uji anda sekarang.

3 benda kurang ngam dengan Honda WR-V RS – Pandu uji

HONDA WR-V bukanlah model yang baharu, malah sudah hampir dua tahun dalam pasaran Malaysia. Ia menjadi pengganti Honda BR-V walaupun bukan model dalam segmen yang sama.

Tetapi dari barisan Honda Malaysia, selepas ketiadaan BR-V yang merupakan crossover/MPV tujuh tempat duduk, slot ini diisi oleh WR-V yang merupakan crossover kompak lima tempat duduk. Ini sekaligus meletakkan Honda sebagai pesaing kepada Perodua Ativa.

Kami telah pun memandu uji WR-V RS sebelum ini, tetapi artikel kali ini lebih kepada menyenaraikan perkara yang kami kurang sukai mengenainya. Jom lihatkan tiga perkara utama kurang ngam berkenaan WR-V RS.

1. Kabin potong ‘stim’

Jika dilihat dari rupa luaran Honda WR-V ini, nampak sporti dan premium terutamanya dengan varian RS. Tetapi bila mula-mula masuk ke dalam, rasa sedikit kecewa. Entah kenapa, tapi kabinnya seperti ‘kosong’.

Bila diteliti balik, sebenarnya okay sahaja untuk harga ini. Cuma mungkin penulis terbawa-bawa dengan kecantikan badan luaran, jadi penulis dapat harapan tinggi untuk bahagian dalaman.

Banyak plastik keras pada papan pemuka dan panel pintu, tetapi terdapat elemen hitam glos dan merah dengan balutan kulit lembut di papan pemuka bahagian kiri, sedikit sebanyak menyerikan pemandangan.

Jelas kabin WR-V ini setaraf dengan City walaupun tidak serupa sepenuhnya. Jika dibandingkan, kabin HR-V lebih mempunyai rasa ‘wow’, setaraf dengan Civic. Tetapi harga pun dah jauh berbeza, bukan.

2. Pemanduan tak sepadan nama RS

Apa yang anda bayangkan bila terlihat nama RS pada sesebuah kereta? Racing? Sporti? Ya, penulis pun sama.

Tetapi pemanduan Honda WR-V ini tidak menggambarkan lencana RS yang dipakainya. Bukanlah penulis mengharapkan pemanduan seperti Civic Type R, cuma mungkin boleh tala suspensi dan sterengnya untuk lebih tepat dan jitu.

Atau mungkin maksud RS bagi Honda Malaysia berbeza untuk WR-V ini, bukannya ke arah mutorseport… Jika dilihat pada rupa paras dan kemasan, boleh dikira sepadan dengan nama RS.

Malah, kami juga faham kepada siapa WR-V RS ini disasarkan. Lebih kepada keluarga kecil yang mahukan kenderaan praktikal dan selesa, tetapi disulami elemen dan imej sporti.

Enjin 1.5-liter i-VTEC membekalkan 119hp dan 145Nm tork, lebih dari mencukupi untuk kegunaan harian. Kotak gear CVT pula cukup cekap dan responsif, masih antara yang terbaik dalam segmennya.

Kombinasi enjin 1.5 i-VTEC dengan CVT ini memberikan penjimatan bahan api yang cukup baik, sekitar 13.5km per liter mengikut ujian penulis.

3. Skrin infotainment jimat kos

Yang ketiga dan terakhir ialah skrin infotainment Honda WR-V RS ini yang seperti jimat kos. Entah mengapa, penulis rasa pada harga antara RM89,999 hingga RM107,900 untuk RS ini, skrinnya patut mempunyai resolusi dan paparan lebih baik.

Penulis tidak pasti apa sebenarnya yang perlu ditambah baik, penulis bukannya jurutera bahagian ini. Tetapi seolah-olah kurang nilai di sini. Sebagai contoh, paparan undur sekadar cukup-cukup sahaja, hanya dengan garisan statik untuk panduan.

Tiada masalah dari segi saiz skrin, boleh dikatakan memadai. Kelengkapan juga cukup baik, ia didatangkan dengan sambungan Apple Carplay dan Android Auto, dua soket USB, dan barisan ciri keselamatan Honda Sensing.

Baiklah, cukup rasanya tiga perkara utama berkenaan Honda WR-V RS ini. Jika kita senaraikan lebih-lebih perkara tidak disukai, nanti marah pula geng-geng H di sini.

Di bahagian lain, banyak lagi perkara yang WR-V ini cemerlang seperti kabin yang luas untuk segmen ini dan kelengkapan keselamatan yang cukup lengkap. Pakej pada WR-V menunjukkan Honda Malaysia sangat memahami pasaran dan keperluan pasaran negara ini.

Anda boleh baca laporan penuh pandu uji kami di sini.

Ini 5 benda kami tak suka tentang BYD Seal

Pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia semakin lama semakin hangat dengan kehadiran pelbagai model menarik dari serata dunia.

Pada pengamatan penulis, dua jenama EV yang sering menjadi topik bualan ketika ini adalah Tesla dan BYD. Tesla menandakan kemasukannya ke pasaran tempatan menerusi pelancaran Model 3 facelift pada Oktober tahun lalu.

Sementara itu, BYD pula telah membawa masuk tiga model EV setakat ini, dengan Seal sebagai penawaran terbaru yang akan bersaing secara terus dengan Model 3 yang cukup popular itu.

Ketika memandu ujinya tempoh hari, penulis mendapati Seal mempunyai ramuan yang tepat untuk memberikan saingan sengit kepada lawannya itu namun seperti kebanyakan kereta lain, ia masih mempunyai beberapa kelemahan.

Berikut adalah lima perkara yang penulis tidak suka tentang Seal:

Terlalu banyak lencana

Rasanya tidak keterlaluan jika penulis katakan yang Seal adalah kereta yang paling segak dalam segmennya, dengan bentuk sedan empat pintu sporty yang diserlahkan lagi dengan garisan karakter yang kuat, rim 19 inci dan diffuser belakang.

Bagaimanapun, mungkin kerana inginkan orang tahu yang kereta ini adalah buatan BYD, syarikat itu meletakkan dua tulisan ‘BYD’ pada tailgate. Bukan itu sahaja, terdapat juga tulisan ‘3.8s’ di bawah ‘BYD Seal’, iaitu masa yang diambil untuk pecutan 0-100 km/j. Ini sebenarnya tidak perlu kerana entah bagaimana ia membuatkan Seal nampak murah.

Bumbung panoramik besar tapi…

Seal didatangkan standard dengan bumbung suria panoramik yang besar. Ia memberikan pemandangan yang cantik pada waktu malam namun pada waktu siang ketika matahari berada tegak di atas kepala, ruang kabin boleh menjadi agak panas. Terasa seperti tiada sebarang perlindungan UV atau filem penebat haba langsung.

Lebih pelik lagi, kereta ini tidak mempunyai penghadang cahaya matahari automatik seperti kebanyakan kereta yang mempunyai sunroof. Sebaliknya, BYD memberikan dua pelapik yang perlu dipasang secara manual. Untuk kereta yang berharga hampir RM200,000, ini sesuatu yang menjengkelkan.

Canggih sangat pun susah juga

Penulis faham, bagi menghasilkan rekaan ruang kabin yang kemas dan teratur, pengeluar cuba untuk mengurangkan bilangan butang dan tombol fizikal sebanyak mungkin, dan mengintegrasikan fungsi-fungsi tersebut ke dalam sistem infotainmen.

Namun pengeluar perlu tahu bahawa tidak semua benda perlu didigitalkan. Sebagai contoh, sistem pendingin hawa. Di dalam Seal, bukan suhu dan kelajuan kipas sahaja yang perlu dikawal menerusi skrin sentuh, malah corong juga perlu dilaras menggunakan kaedah yang sama.

Pengecasan tak cukup pantas

Seal dibangunkan menggunakan seni bina 800V yang biasa digunakan pada model-model EV mewah namun entah mengapa ia hanya mendapat pengecas pantas sehingga 150 kW sahaja.

Untuk pengecasan AC pula, ia hanya mampu menyokong sehingga 7 kW yang mengambil masa kira-kira 15 jam untuk pengecasan penuh. Sedangkan di Eropah model ini didatangkan dengan pengecas AC 11 kW.

Ruang but yang agak kecil

Seal mempunyai ukuran yang lebih panjang dan lebar berbanding kebanyakan sedan segmen C namun ruang butnya agak kecil iaitu 400 liter sahaja. Ada ruang simpanan tambahan sebesar 53 liter pada bahagian depan namun ia tidaklah seluas mana.

Untuk perbandingan, ruang but Model 3 adalah sebesar 682 liter manakala sedan segmen B iaitu Honda City pula mempunyai but sebesar 519 liter.

Toyota Corolla 1.8G, teman balik kampung yang ‘sempurna’ – Pandu Uji

Sebagai seorang yang tidak begitu menggemari bentuk badan SUV (kecuali beberapa model), penulis rasa bersyukur kerana rata-rata pengeluar automotif utama di Malaysia masih lagi cuba mengekalkan penjualan model sedan, biarpun popularitinya semakin menurun di peringkat global.

Di sini, kita mempunyai beberapa pilihan model sedan, bermula dari harga yang mampu milik, hinggalah kepada model sedan mewah berprestasi tinggi dengan harga yang mampu didengari.

Namun sayang sekali, persaingan model-model sedan tidaklah sekuat beberapa puluh tahun lepas.

Seperti contoh dalam segmen C, pengguna hanya disajikan dengan beberapa model sahaja, seperti contoh Proton S70, Mazda3, Honda Civic dan nama yang sangat popular di luar sana – Toyota Corolla Altis.

Corolla memang tidak perlu diperkenalkan pun, kecuali jika anda memang lahir dalam era Covid dan hanya lebih kenal dengan barisan kereta-kereta elektrik yang tidak berjiwa itu.

Toyota Corolla 1.8G yang kami pandu uji ini merupakan model facelift yang dilancarkan pada tahun lepas.

Nama je facelift, tapi jika anda mengimpikan sesuatu yang ‘wow’, Corolla 1.8G ini mungkin akan mengecewakan harapan tersebut.

Ini kerana, tidak banyak aspek yang diubah pada luaran model Corolla sedan ini, melainkan jeriji bampar dengan rekaan yang unik, diikuti rekaan rim 17 inci baharu yang dibaluti tayar profil 225/45.

Reka bentuk lampu utama depan projektor LED dan lampu belakang juga masih lagi sama. Mungkin sudah sempurna rekaannya, jadi tidak perlu pun aspek tersebut diubah.

Cuma, anda perlu masuk ke dalam ruang kabin untuk menikmati perubahan yang dibawakan oleh Toyota pada model ini.

Tempat duduk hadapan telah direka semula untuk aspek keselesaan, selain memegang erat pemandu sewaktu leka melayan selekoh.

Perubahan yang lebih besar ialah kehadiran skrin kluster digital 12.3 inci, membawakan antaramuka yang ringkas, dan paling penting masih lagi menyediakan grafik meter analog yang klasik.

Selain sokongan Apple CarPlay secara nirwayar, Corolla juga menyediakan slot pengecasan jenis USB-C pada konsol tengah, serta klip untuk memegang peranti pintar pada slot pengecasan tanpa wayar.

Selain daripada itu, spesifikasi asas masih lagi sama, seperti ruang kargo sebesar 470 liter, suspensi topang MacPherson dan double wishbone, sistem stereng kuasa elektrik, diikuti sistem brek cakera depan dan belakang.

Penulis berkesempatan menguji Corolla ini dengan lebih jauh semasa bercuti ke Pantai Timur beberapa minggu yang lepas.

Satu perkara utama yang penulis perasan ialah kadar NVH yang dirasakan lebih senyap berbanding Corolla pra-facelit.

Kuasa 137 hp dan daya kilas 172 Nm yang dihamburkan oleh enjin 1.8 liter itu cukup memadai untuk menggerakkan badan seberat 1.3 tan ini.

Lincah, dan tiada momen kurang bertenaga dirasakan sepanjang perjalanan.

Mungkin sekali disebabkan oleh mind set pemandu yang beranggapan Corolla ini bukan sebuah kereta sports, jadi pemanduan dibuat dengan relaks dan bersahaja.

Cuma, anda perlu menikmati magis platform TNGA ini apabila keluar dari laluan lebuh raya dan masuk ke jalan-jalan persekutuan yang berselekoh dan berliku.

Di situ, anda akan mendapati tetapan gantungan MacPherson/Double Wishbone pada Corolla ini beraksi dengan cemerlang dengan pengendalian stabil setiap kali ia berjumpa dengan selekoh.

Olengan badan masih lagi terasa, namun pada tahap yang boleh dikawal walaupun sedan ini tidak dilengkapi dengan talaan suspensi yang lebih sporti macam varian GR Sport.

Selain itu, talaan sistem stereng berkuasa elektrik juga turut membantu pemandu mengendalikan sedan ini dengan tepat tanpa perlu bersilat sepanjang masa.

Apa yang diarahkan oleh pemandu, itulah yang direalisasikan oleh Corolla ini.

Cubaan untuk lari dari lebuh raya yang kadang kala ada kamera perangkap kelajuan itu nampaknya berjaya membuatkan penulis jatuh cinta pada satu laluan yang jarang digunakan orang ramai, menerusi pemanduan Corolla ini.

Yang pasti, suasana dalam kabin tidak terganggu oleh deruman bunyi enjin dan desingan bunyi angin, malah bunyi bising getah Dunlop SP Sport Maxx juga ditapis dengan baik.

Untuk sebuah sedan standard kilang, penulis nyata menikmati pemanduan yang lebih menyeronokkan daripada sebuah Corolla, berbanding Honda Civic dan Proton S70.

Tempat duduk standard itu juga cukup selesa untuk menemani kami sepanjang perjalanan.

Walaupun ada kalanya sedan ini perlu menempuh jalan tar dengan kualiti seumpama permukaan planet Marikh, penumpang di sebelah masih tidur nyenyak.

Ruang kargo sebesar 470 liter itu sudah memadai untuk memuatkan barangan keperluan semasa merentas negeri.

Tidak seperti Vios, anda boleh lipat tempat duduk baris kedua untuk menyediakan ruang yang lebih besar.

Kadar penggunaan bahan api juga memuaskan, di mana penulis berjaya mencapai angka serendah 8.1 liter untuk setiap 100 km, atau kira-kira 680 km untuk sekali isian penuh.

Aspek keselamatan tidak perlu dirisaukan, kerana secara standard Corolla ini lengkap dengan Toyota Safety Sense.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah sistem pra-pelanggaran (PCS), amaran keluar lorong (LDA), bantuan suluhan tinggi (AHB), pemantauan titik buta (BSM), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), serta kawalan jelajah radar dinamik (DRCC) yang sangat berguna semasa di atas lebuh raya.

Selain itu, terdapat juga tujuh beg udara SRS, amaran peringatan tali pinggang keledar, serta cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak di belakang.

Di penghujung hari, apa yang boleh penulis simpulkan ialah Toyota Corolla 1.8G ini boleh jadi satu pilihan sedan keluarga yang berbaloi untuk dimiliki dan dipertimbangkan.

Toyota Corolla facelift ini menawarkan satu pakej lengkap untuk mereka yang mementingkan aspek praktikaliti dan keselesaan tanpa mengorbankan soal pemanduan yang menyeronokkan.

Dengan harga jualan bermula dari RM147,800 untuk varian 1.8G, tidak salah untuk anda lari dari kebiasaan masyarakat yang begitu menggemari logo H untuk sebuah peneman balik kampung yang cukup sempurna ini.

 

Spesifikasi Toyota Corolla 1.8G
Enjin: empat silinder sebaris 1.8 liter (2ZR-FE)
Kuasa: 137 hp @ 6,400 rpm
Daya kilas: 172 Nm @ 4,000 rpm
Transmisi: CVT 7-kelajuan
Suspensi: MacPherson/Double Wishbone
Rim: 17 inci
Kargo: 470 liter

 

BMW iX2 xDrive30 M Sport ranggi dan mengujakan – Pandu Uji

Seperti seteru utamanya dari Stuttgart, BMW secara aktifnya telah meluaskan penawaran kenderaan elektrik di Malaysia.

Selepas melancarkan model-model seperti i5, i7 dan ix1, BMW Malaysia pada Mei lalu memperkenalkan ahli terbaru barisan i iaitu iX2. Ia ditawarkan dalam varian tunggal xDrive30 M Sport pada harga RM297,000.

Apakah sebenarnya iX2?

Seperti mana iX1 adalah versi elektrik kepada X1, iX2 secara asasnya adalah X2 yang dipacu oleh elektrik. Perbezaan utama antara iX1 dan iX2 terletak pada reka bentuk, di mana iX2 tampil lebih ranggi dengan rekaan lebih bersegi dan bumbung ala coupe.

Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai gril bercahaya Iconic Glow, rim lebih besar (20 vs 19 inci inci) dan pakej M High-Gloss Shadowline dengan extended content yang membawakan kemasan hitam pada gril radiator, logo tailgate dan cermin sisi.

Namun di sebalik imej luaran yang lebih menonjol itu, iX2 xDrive30 mempunyai trenkuasa elektrik dengan motor berkembar yang sama dengan iX1 xDrive30 yang menjana output keseluruhan sebanyak 313 PS (dengan fungsi boost) dan 494 Nm.

Di atas kertas, prestasi kedua-dua model ini tidak jauh berbeza di mana iX2 memerlukan 5.6 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j, manakala iX1 pula mengikut di belakang dengan masa 5.7 saat.

Walaupun menggunakan bateri 66.5 kWj yang sama, iX2 menawarkan jarak gerak WLTP yang lebih jauh iaitu 449 km berbanding 438 km oleh iX1. 11 km mungkin tidak kedengaran banyak namun ia boleh memberikan perbezaan besar terutamanya ketika hampir kehabisan bateri.

Jadi, untuk perbezaan harga sebanyak hampir RM12,000, anda mendapat sebuah EV yang lebih bergaya dan jarak gerak yang lebih jauh. Berbaloi atau tidak untuk berbelanja lebih untuk iX2?

Bagi penulis, ia bergantung kepada citarasa individu itu sendiri. Mereka yang lebih konvensional dan bukan jenis yang mengambil risiko akan memilih iX1, manakala mereka yang suka menonjol akan lebih tertarik kepada iX2.

Mereka yang memilih iX2 bukan sahaja akan menggemari rekaan luarannya, malah juga akan berpuas hati dengan ruang kabinnya yang nampak dan rasa moden serta canggih. Hampir setiap inci permukaan yang boleh disentuh terasa mewah dan premium.

Benda pertama yang menarik perhatian adalah paparan melengkung besar yang memuatkan dua paparan iaitu kluster instrument digital 10.25 inci dan skrin sentuh sistem infohibur 10.7 inci.

Sistem operasi BMW OS 9 memberikan grafik yang terang dan jalas serta antaramuka yang intuitif dan lebih mesra pengguna, namun ada beberapa fungsi yang perlu ‘dikorek’ dari menu untuk diakses. Ia layak dipuji namun penulis secara peribadi lebih menggemari MBUX.

Dari segi keselesaan dan praktikaliti, ruang kabin Sport Activity Coupe cukup selesa untuk empat penumpang. Kerusi depan boleh dilaras dan mempunyai sokongan peha, manakala tempat duduk belakang tidak terlalu tegak dan menawarkan ruang kepala dan kaki yang cukup luas.

Ada ruang untuk penumpang kelima namun dia tidak akan berasa begitu selesa terutamanya ketika perjalanan jauh kerana kerusi tengah agak kecil.

Ruang storan boleh tahan banyak. Setiap pintu mempunyai ruang storan dan pemegang gelas yang cukup besar, manakala di bawah konsol tengah terdapat satu lagi ruang di mana anda boleh menyimpan barang seperti dompet.

Di bawah perehat tangan juga ada ruang simpanan tetapi ia tidak cukup dalam, bermakna ia hanya sesuai untuk objek leper seperti kad.

Selain menerusi port pengecas USB Type C yang disediakan, telefon boleh dicas di atas pad pengecas tanpa wayar yang mempunyai seakan bar pengapit untuk menahan telefon daripada bergerak.

Di belakang, iX2 menawarkan ruang but yang lebih besar berbanding iX1 dengan kapasiti 525 liter, namun disebabkan rekaan bumbung coupe-nya, memuatkan barangan yang tinggi boleh menjadi agak sukar.

Tetapi untuk trip hujung minggu bersama keluarga, ruang but ini boleh memuatkan sekurang-kurangnya tiga atau empat bagasi dengan mudah. Kereta ini juga sesuai untuk sesi membeli-belah di Ikea kerana tempat duduk belakangnya boleh dibaringkan rata secara 40:20:40.

Karakter pemanduan yang ditunjukkan oleh iX2 adalah seperti yang boleh dijangka dari sebuah EV bertaraf premium – laju, selesa di atas jalan yang rata dan senyap.

Mungkin tidaklah terlalu senyap kerana setiap pecutan ditemani dengan bunyi efek (digelar Iconic Sound) yang dibangunkan dengan kerjasama komposer terkemuka, Hans Zimmer. Namun dari segi NVH, amat memuaskan.

Lebih menarik lagi, kereta ini didatangkan dengan pedal boost yang memberikan kuasa tambahan selama 10 saat namun output yang dibekalkan sebenarnya sudah cukup untuk kebanyakan situasi pemanduan harian.

Selain itu, iX2 boleh membantu mengurangkan beban pemandu menerusi sistem Driving Assistant Plus yang didatangkan standard dengan ciri-ciri seperti Lane Control Assistant, Automatic Speed Limit Assist, Autonomous Emergency Braking dan bermacam lagi.

Sepanjang empat hari memandunya, penulis merekodkan tahap penggunaan tenaga sekitar 15 hingga 16 kWh bagi setiap 100 km dengan gaya pemanduan normal, melibatkan 70% jalan bandar dan selebihnya lebuh raya.

Sudah tentu, mendapatkan jarak gerak seperti yang diiklankan oleh pengeluar boleh dikatakan sesuatu yang hampir mustahil namun dengan iX2, anda boleh memanjangkan jarak dengan menggunakan sistem brek janaan semula yang menawarkan empat tahap termasuk Adaptive.

Jalan bersimpang-siur tidak menjadi masalah untuk kereta ini kerana sistem suspensinya agak keras, bermakna ia cemerlang dalam bab mengurangkan olengan badan. Cuma, kadang-kala anda boleh merasakan yang berat bateri sedikit sebanyak menjejaskan pengendaliannya.

Walaupun keras, sistem suspensinya boleh dikatakan agak selesa untuk pemanduan di lebuh raya. Namun ketika melalui jalan-jalan di kawasan bandar yang berlubang dan tidak rata, setiap hentakan boleh dirasakan dengan jelas di dalam kabin.

Di bandar, iX2 secara keseluruhannya mudah dipandu cuma apabila mengundur, pandangan menerusi cermin pandang belakang sedikit terjejas disebabkan cermin belakang yang agak kecil. Nasib baik ada kamera 360 darjah yang sangat terang.

Kalau ini tidak mencukupi, anda juga boleh menggunakan Reversing Assistant dan Lateral Parking Aid untuk parkir dengan lebih mudah.

Konklusi

Adakah iX2 xDrive30 M Sport masuk akal dalam pasaran sekarang? Sejujurnya, pada harga hampir RM300,000, anda sebenarnya boleh mendapat sebuah EV lain yang menawarkan kuasa yang tinggi dan jarak yang lebih jauh iaitu Volvo C40.

Namun bagi penulis, iX2 ada tarikannya sendiri. Ia kelihatan jauh lebih menarik dan pengendaliannya juga cukup mengujakan, sesuatu yang tidak ada pada EV dari Sweden itu. Kadang kala, itu sudah cukup memadai.

Spesifikasi BMW iX2 xDrive30 M Sport

Harga: RM297,000
Kuasa: 313 PS (dengan boost)
Tork: 494 Nm
Bateri: 66.5kWj
Jarak gerak: 449 km (WLTP)

5 benda tak best tentang Mercedes-Benz EQS 500 4Matic

Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-Benz EQS 500 4Matic, bersama dengan versi SUV, merupakan penawaran flagship dalam barisan kenderaan elektrik jenama itu.

Ia dilancarkan buat pertama kali di Malaysia pada Julai 2022 dalam versi EQS 450+ yang diimport sepenuhnya. Tidak sampai setahun selepas itu, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memperkenalkan EQS 500 yang dipasang secara tempatan di Pekan, Pahang.

Tidak boleh dinafikan, sebagai varian tertinggi dalam barisannya, EQS 500 menawarkan kemewahan dan teknologi terbaik buat pelanggannya namun bagi penulis, ia masih mempunyai beberapa kekurangan.

Ia bukan S-Class

Ada yang menyangka bahawa EQS adalah S-Class versi elektrik. Ini tidak tepat kerana EQS adalah berasaskan platform Electric Vehicle Architecture (EVA) yang khusus untuk EV, manakala S-Class pula menggunakan platform Modular Rear Architecture (MRA2).

Ini memberikan EQS dimensi yang sedikit lebih kecil daripada S-Class dengan ukuran panjang 5,216 mm, lebar 1,926 mm dan tinggi 1,512 mm. Ukuran tapak rodanya juga lebih pendek sebanyak 6 mm pada 3,210 mm. Ruang dalamannya boleh dikatakan luas tetapi tidak seluas S-Class.

Reka bentuk tidak konvensional

Tidak seperti S-Class yang kelihatan segak dalam bentuk ‘tiga kotak’ tradisionalnya, penampilan EQS jauh lebih unik dengan bentuk yang bujur dan permukaan yang lembut. Menurut Mercedes, bentuk itu memainkan peranan penting dalam membantu EQS mencapai pekali seretan 0.20, menjadikannya antara kereta paling aerodinamik di dunia.

Ketika memandu uji kereta ini, rata-rata tertarik dengan penampilan futuristiknya namun bagi penulis, bentuknya tidak ubah seperti telur dengan empat roda.

MBUX Hyperscreen canggih tetapi…

Tarikan utama di dalam kabin EQS adalah sistem MBUX Hyperscreen yang menggabungkan tiga skrin iaitu kluster instrumen digital pemandu berukuran 12.3 inci, skrin sentuh OLED 17.1 inci pada bahagian tengah dan skrin sentuh OLED 12.3 inci untuk penumpang depan.

Ya, sekali imbas memang kokpit EQS nampak canggih dan futuristik namun lapisan kaca pada Hyperscreen cepat kotor dengan kesan cap jari.

Bye-bye butang fizikal

Kecuali butang penghidup dan butang lampu kecemasan, majoriti fungsi kenderaan, termasuk sistem pendingin hawa, hanya boleh diakses menerusi skrin sentuh tengah. Ini sudah tentu akan menjejaskan tumpuan pemandu.

Bukan itu sahaja, panel sentuh pada stereng juga tidak begitu mesra pengguna dan anda akan memerlukan masa untuk membiasakan diri.

Suspensi terlalu lembut

Di lebuh raya, EQS menunjukkan kenapa sistem suspensi udara Mercedes-Benz adalah antara yang terbaik dalam pasaran. Setiap permukaan yang beralun diserap dengan begitu lembut sekali sehinggakan perjalanan yang jauh tidak begitu terasa.

Namun di jalan biasa, penulis perlu berhati-hati kerana suspensinya agak lembut sehingga boleh menyebabkan bahagian bawah terhentak jika terlalu laju ketika melalui bonggol. Anda sebenarnya boleh meninggikan lagi sistem suspensi namun siapa yang ada masa untuk mengakses menu ketika sedang memandu?

Suzuki Gixxer 250, jentera ringkas untuk berseronok – Tunggang Uji

Pemilihan jentera streetfighter mampu milik yang bertepatan dengan jiwa merupakan satu perkara yang tidak boleh dipandang enteng.

Silap haribulan, anda mungkin terpaksa menjual kembali motosikal tersebut disebabkan ia tidak menetapi cita rasa peribadi.

Untungnya bagi para pemegang lesen B2 di Malaysia, kita disajikan dengan bermacam-macam jenis model motosikal di bawah sesaran 250 cc, baik dari negara Jepun, Sweden, India malah motosikal buatan China pun ada!

Suzuki Gixxer 250 telah pun memasuki pasaran Malaysia pada penghujung tahun lepas, dengan tag harga yang agak mencuri tumpuan – sekitar RM14,500.

Mungkin ketibaannya agak lewat, namun penulis berpendapat Suzuki Gixxer 250 mampu menjadi pencabar sengit kepada model-model 250 cc yang ada di luar sana.

Berikut merupakan ulasan ringkas kami setelah beberapa hari bercinta dengan jentera Suzuki Gixxer 250 ini:

 

1. Gaya streetfighter yang.. biasa-biasa je

Jika dibandingkan dengan pesaing lain dalam pasaran, Gixxer 250 tidaklah mempunyai rupa paras yang agresif.

Lampu utama LED berbentuk oval dengan pencahayaan tiga lapis itu memang nampak moden, cuma ia tidak diseimbangkan dengan lampu membelok LED, hanya guna mentol sahaja.

Samalah juga halnya dengan bahagian belakang.

Namun begitu, aspek pencahayaan motosikal ini cukup cemerlang ketika ditunggang pada waktu malam.

 

2. Posisi tunggangan yang lebih asli

Satu perkara yang penulis gemar pada mana-mana motosikal naked ialah posisi tunggangan yang lebih mesra tulang belakang.

Almaklumlah, usia dah masuk 30 siri, jadi posisi tunggangan yang sporti bukanlah satu pilihan untuk perjalanan merentas daerah dan negeri.

Jadi dengan Gixxer 250, ia menawarkan postur tunggangan yang lebih natural terima kasih kepada bar hendal yang lebih tegak, ditambah pula dengan tinggi pelana 795 mm yang lebih mesra individu kurang inci dan dimensi kusyen yang agak lebar.

Kesannya, lebih selesa untuk tunggangan jarak jauh.

Posisi tempat pemijak kaki juga memuaskan, cuma kedudukannya yang hampir dengan topang sisi membuatkan kaki kiri rasa terganggu saat mahu mengeluarkan topang sisi.

 

3. Kuasa kuda yang seronok untuk diperah

Secara standard, Suzuki Gixxer 250 dibekalkan dengan enjin 249 cc silinder tunggal yang mampu menjana kuasa 26.7 hp @ 9,300 rpm dan daya kilas 22.2 Nm @ 7,300 rpm.

Bunyi dia mungkin tidak seagresif pesaing-pesaing lain, namun berdasarkan pengalaman, Gixxer 250 ini mampu menawarkan tunggangan yang agak lincah dan bertenaga, terutama apabila memasuki julat pertengahan putaran enjin.

Untuk kegunaan dalam bandar memang tidak menjadi sebarang masalah, malah penulis juga seronok menunggang jentera ini merentas daerah untuk menghirup angin Selat Melaka.

Kotak gear enam nisbah kelajuan itu sayang sekali tidak diberikan ciri klac assist & slipper, namun usah risau kerana setiap penukaran gear dirasakan begitu lancar sepanjang perjalanan.

Gixxer 250 juga didatangkan dengan lampu indikasi penukaran gear yang akan memberikan peringatan kepada penunggang.

 

4. Jentera mesra selekoh

Tidak tergerak di hati untuk menguji kelajuan tertinggi jentera ini, memandangkan Gixxer 250 ini sebenarnya lebih seronok ditunggang di laluan-laluan yang jauh dari lebuh raya.

Walaupun datang dengan tetapan standard fork teleskopik konvensional dan penyerap hentak tunggal, akan tetapi tetapan inilah yang membuatkan Gixxer 250 sesuai dengan keadaan jalan raya di Malaysia.

Segala gegaran dan ketidakrataan jalan diserap dengan baik, dan masih lagi mampu mengekalkan kestabilan pergerakan sewaktu melayan selekoh-selekoh.

Tayar standard saiz 110/70 depan dan 150/60 di belakang juga sedikit sebanyak membantu Gixxer 250 ini melekat baik pada lapisan aspal jalan, diikuti dengan sistem brek ABS dua saluran yang membantu aspek pemberhentian jentera ini dengan lebih berkesan.

Atas kertas memang boleh nampak kekurangan yang wujud pada jentera ini, namun tidak saat anda membawanya keluar dari garaj untuk menikmati laluan yang sebenar.

 

5. Selesa? Ya!

Salah satu perkara yang membuatkan penulis berpuas hati dengan Gixxer 250 ialah keberkesanan sistem penyejukan enjin itu sendiri.

Secara standard, Gixxer 250 datang dengan sistem sejukan minyak/udara Suzuki Oil Cooling System (SOCS) untuk memastikan kaki kiri dan kanan kekal rasa selesa sepanjang perjalanan.

Sangat berbeza dengan sebuah lagi jentera 250 cc yang penulis pernah tunggang uji sebelum ini, di mana tenaga haba yang terhasil itu boleh membuatkan kaki rasa terbakar walaupun sekadar menempuh perjalanan jarak dekat.

Tapi tidak pada Gixxer 250, di mana penulis dapat membuat perjalanan yang lebih jauh berbanding kebiasaan tanpa perlu berhenti dengan kerap semata-mata untuk menyejukkan kaki.

 

6. Tidak banyak jajan tambahan

Dengan harga jualan sekitar RM14,500, Suzuki Gixxer 250 memang mempunyai beberapa kekurangan yang nyata.

Ciri yang anda mahukan seperti fork hadapan jenis terbalik, ciri penukaran gear pantas, lampu membelok LED, skrin paparan TFT berwarna dan sistem mula tanpa kunci memang tiada langsung dalam senarai spesifikasi jentera ini.

Apa yang anda akan dapat ialah sebuah jentera 250 cc mesra lesen B2 yang agak ringkas, namun masih lagi boleh digunakan untuk berseronok ketika ulang alik ke tempat kerja, atau menikmati oksigen segar bersama rakan-rakan di hujung minggu menuju ke kedai Lemang To’ Ki.

Dengan tangki bahan api sebesar 12 liter, ia sudah mencukupi untuk memastikan anda mencapai jarak tunggangan sejauh 400 km sebelum perlu singgah ke stesen minyak berikutnya.

Kesimpulannya, Suzuki Gixxer 250 mampu menawarkan pengalaman tunggangan dan pengendalian yang baik, dan dalam masa yang sama mengekalkan aspek keselesaan pada julat harga yang lebih mampu milik.

Baik beli motor lain? Itu terpulang kepada pendapat peribadi. Yang pasti, ini antara jentera 250 cc yang sangat seronok untuk ditunggang.

 

Spesifikasi ringkas Suzuki Gixxer 250

Enjin: silinder tunggal 249 cc sejukan udara/minyak
Kuasa: 26.7 hp @ 9,300 rpm
Daya kilas: 22.2 Nm @ 7,300 rpm
Transmisi: Enam nisbah kelajuan
Tangki bahan api: 12 liter
Tinggi pelana: 795 mm

 

Jauhkan diri anda dari Suzuki Jimny jika… – Pandu Uji

BAGI penulis, Suzuki Jimny adalah kenderaan yang cukup unik. Badannya yang bersegi-segi dan berkotak membuatkannya nampak gagah, namun dengan ukuran dimensi yang lebih kecil berbanding Perodua Axia, ia juga kelihatan comel pada masa yang sama.

Bukan itu sahaja, kedudukannya yang agak tinggi, dapra yang lebar dan tayar gantian yang digantung pada tailgate menunjukkan yang ia bersedia untuk menakluk apa sahaja bentuk muka bumi. Namun, adakah harga RM158,900 yang dikenakan itu sepadan dengan apa yang ditawarkan?

Jika anda bandingkan dengan kenderaan lain dalam lingkungan harga itu, jawapannya sudah tentulah tidak kerana untuk harga itu anda boleh mendapat kenderaan yang jauh lebih besar, lebih praktikal dan dilengkapi dengan lebih banyak teknologi terkini.

Tetapi jika anda lihat apa yang Jimny boleh lakukan, fikiran anda mungkin berubah. Seperti yang penulis katakan tadi, ia dilahirkan untuk dipandu di laluan yang tidak bertar, jalan berbatu atau berlumpur. Tidak syak lagi, ia adalah sebuah kenderaan off-road yang sebenar.

Ada banyak faktor yang menyumbang kepada kemampuan off-road yang dipamerkan oleh Jimny. Pertama sekali, seperti kebanyakan trak pikap dalam pasaran, Jimny dibina di atas kerangka jenis ladder frame yang lebih lasak dan lebih sesuai untuk off-road.

Kerangka itu dipadankan dengan rigid axle pada bahagian depan dan belakang. Gandar jenis ini mempunyai binaan yang lebih ringkas dan lebih kukuh. Ia juga menawarkan tahap cengkaman lebih baik dengan menekan satu tayar ke bawah apabila tayar yang satu lagi ditolak naik ke atas ketika melalui halangan.

Sudah tentu, sebuah off-roader bukanlah sebuah off-roader sebenar jika ia tidak mempunyai sistem pacuan empat roda dengan transfer case yang membolehkan anda keluar dari situasi mencabar dengan mudah.

Benar, mungkin tidak semua pemilik Jimny yang akan menggunakan ciri ini namun sekurang-kurangnya mereka akan rasa lebih yakin mengetahui yang kenderaan mereka sarat dengan kelengkapan yang berguna sekiranya keadaan memerlukan.

Ya, Jimny mempunyai segalanya jika anda seorang yang suka mengembara setiap kali tiba hujung minggu namun bagaimana pula untuk mereka yang lebih banyak menghabiskan masa di bandar?

Jimny adalah sebuah SUV yang kecil jadi janganlah harap praktikaliti sebagai salah satu kekuatannya seperti mana model-model SUV yang lain.

Ruang kabinnya sempit dan jika anda dan penumpang orang yang boleh dikategorikan sebagai ‘besar’ (bukan nak body shaming ya!), bersentuhan bahu itu perkara biasa. Nasib baik bumbungnya boleh dikatakan agak tinggi, jadi tidak rasa seperti duduk di dalam tin sardin.

Di belakang, ada dua tempat duduk tapi ia dilihat lebih sesuai untuk kanak-kanak. Jika tempat duduk ini berada dalam posisi normal, anda sebenarnya langsung tidak mempunyai ruang untuk meletakkan barang seperti bagasi atau stroller.

Oleh itu, jika anda ingin bercuti pada hujung minggu misalnya, anda tiada pilihan lain kecuali melipat kerusi belakang atau menambah rak bumbung. Ini bermakna tanpa rak bumbung, anda hanya ada ruang untuk seorang penumpang belakang sahaja atau tidak langsung, bergantung kepada berapa banyak barang yang dibawa.

Dengan enjin NA 1.5-liter yang menghasilkan hanya 100 hp dan 130 Nm, anda mungkin menyangka yang Jimny akan bergelut jika dipandu dengan muatan penuh. Ia tidaklah laju namun berdasarkan pengalaman penulis, Jimny tidak mempunyai masalah mendaki jalan berbukit seperti Lebuhraya Karak dan Jalan Genting Highlands – dengan syarat anda tidak memaksanya.

Penulis mendapati kelajuan paling ideal untuk Jimny adalah 110 km/j maksimum. Sebaik sahaja jarum speedometer melebihi angka tersebut, ia akan terus terasa tidak stabil. Apatah lagi dengan suspensi yang agak lembut dan stereng yang tidak begitu responsif, ini bukanlah kenderaan yang anda ingin guna untuk melayan selekoh.

Di jalan-jalan biasa, Jimny sebenarnya agak selesa cuma penggunaan ladder frame akan membuatkan keseluruhan kabin bergoyang sekiranya anda melanggar lubang. Tahap NVH agak memuaskan, sesuatu yang agak mengejutkan untuk sebuah kenderaan old-school seperti ini, namun harus diingat yang ia dipandu pada kelajuan bawah 100 km/j pada kebanyakan masa.

Jimny memang berjiwa old school namun untuk menarik minat pelanggan pada masa kini, Suzuki memberikannya beberapa ciri yang boleh dikatakan agak moden.

Ini termasuk lampu LED automatik, skrin sentuh tujuh inci dengan sambungan Bluetooth, Apple CarPlay dan Android Auto berwayar, port USB, kamera undur, Cruise Control dan butang kawalan audio pada stereng.

Untuk sistem keselamatan pula, terdapat ABS, Electronic Stability Program (ESP), Brake Assist, Hill Hold Control, Hill Descent Control, ISOFIX dan dua beg udara.

Bagaimanapun, selain daripada ciri-ciri yang disebutkan ini, Jimny tidak mempunyai sebarang ciri yang boleh dikategorikan sebagai premium atau mewah. Maksud penulis, setiap permukaan kecuali stereng adalah plastik keras, manakala kerusinya pula dibalut fabrik dan hanya boleh dilaras secara manual.

Sebagai alternatif, ada Jimny Black Edition yang menawarkan upholsteri kulit dan pelbagai aksesori lain namun anda perlu membayar tambahan sebanyak RM13,000. Ada juga Jimny Rhino yang nampak lebih menonjol namun ia RM16,000 lebih mahal berbanding varian standard ini.

Berbalik kepada persoalan tadi, adakah Jimny berbaloi untuk dimiliki? Jika anda seorang yang gemarkan aktiviti outdoor dan ingin mencari sebuah kenderaan yang bukan sahaja lasak tetapi cukup ikonik, Jimny dilihat sebagai pilihan yang masuk akal jika anda tidak kisah membayar harga yang agak tinggi itu.

Namun jika praktikaliti, keselesaan dan kemewahan menjadi keutamaan anda, jauhi Jimny kerana ada banyak lagi kenderaan lain dalam pasaran yang lebih sesuai untuk anda.

@engear.tv Suzuki Jimny ni boleh ke naik Genting Highland? #suzuki #jimny #suzukijimny #gentinghighlands #family #engeartv #malaysia #reels #fyp #carsoftiktok #tiktokmalaysia ♬ original sound – Engear TV

Spesifikasi Suzuki Jimny AllGrip

Harga: RM158,900 (OTR tidak termasuk insurans)
Enjin: 1.5-liter, empat silinder VVT
Kotak gear: Automatik empat kelajuan
Kuasa: 100 hp @ 6,000 rpm
Tork: 130 Nm @ 4,000 rpm

Chery Tiggo 8 Pro, bila nilai bertemu persepsi – Pandu uji

SUDAH setahun rupanya Chery Tiggo 8 Pro berada dalam pasaran Malaysia secara rasmi. Walaupun kami baru sahaja ambil unit pandu uji untuk penilaian, SUV segmen-D ini sebenarnya tidak asing buat Engear, kerana kami pernah memandu uji secara ringkas semasa awal kedatangan Chery ke Malaysia pada penghujung 2022.

Antara waktu itu hingga sekarang, entah kenapa kami memfokus kepada Omoda 5 dan Omoda E5. Tetapi sudah tentu belum terlambat untuk menguji Tiggo 8 Pro secara mendalam. Malah hingga kini, kami masih menerima pertanyaan mengenainya sama ada di DM media sosial atau semasa bersembang di kedai kopi.

Pakej cukup menarik, paling berbaloi?

Antara daya tarikan utama yang membuatkan anda memasukkan Tiggo 8 Pro dalam senarai ialah harganya yang cukup menarik. ’Hanya’ RM159,800 untuk sebuah SUV segmen-D tujuh tempat duduk.

Dan ia langsung tak terasa murah. Anda dapat semua kelengkapan bertaraf tinggi seperti enjin 2.0-liter turbo, tiga mod pemanduan, lampu LED penuh depan dan belakang, rim 19-inci, sepasang panel paparan lebar 24.6-inci yang mempunyai dua skrin, kemasan kayu dan krom, tempat duduk kulit, tombol gear elektronik, sambungan Apple Carplay dan Android Auto, dan pakej ADAS penuh.

Bukan itu sahaja, apa yang anda dapat lihat dan sentuh semuanya terasa premium dan lebih pada harganya, sebagai contoh kemasan kayu dan krom pada papan pemuka serta panel pintu, suis dan tombol dengan pergerakan cukup sedap, dan permainan lampu kabin.

Jika anda bawa kenalan membelek secara terperinci Chery Tiggo 8 Pro ini, kemudian beritahu ia berharga RM240,000 pun, rasanya orang masih boleh percaya.

Tidak cukup dengan itu, Tiggo 8 Pro ini boleh dilengkapi dengan pemijak sisi automatik dengan tambahan RM2,999. Ia terbuka secara automatik setiap kali anda membuka pintu, sama seperti Range Rover yang berharga tiga atau empat kali ganda darinya.

Ini ialah sebuah SUV segmen-D bukan-nasional paling murah, malah lebih murah dari sesetengah SUV segmen-C. Ini membuatkan penulis tertanya-tanya bagaimana mereka mampu menjual pada harga ini. Tiada untung langsungkah?

Persepsi jenama

Tetapi, tidak dinafikan ada satu isu besar yang memberi imbangan kepada nilai cukup baik pada pakej yang ditawarkan di atas, iaitu persepsi jenama.

Kita semua tahu Chery dari mana dan bagi anda yang sama umur dengan penulis membesar mendengar lagu Limp Bizkit dan memakai Adidas Superstar di hujung minggu, anda pasti tahu ini bukan kali pertama Chery hadir ke Malaysia.

Walaubagaimanapun, anda harus tahu industrialisasi di China berkembang begitu pesat. Mereka bermula lebih lewat dari kita Malaysia, tetapi lihat sahaja kemajuan teknologi mereka hari ini. Dan perkara ini juga menunjukkan kesan kepada industri permotoran.

Rasanya anda akan bersetuju jika penulis katakan kenderaan-kenderaan dari China bukan lagi boleh kita gelakkan dari dulu. Mereka kini serius dalam industri, berlumba-lumba ingin menjadi terbaik, dan berkembang cukup pesat.

Contoh lain, lihat pada industri telefon bimbit. Selain jenama mereka, terdapat jenama global terkemuka yang membuka kilang pengeluaran di China dan adakah kualitinya berbeza dengan pengeluaran dari negara-negara lain?

Jika anda benar-benar berminat dengan kenderaan seperti Chery Tiggo 8 Pro, bab persepsi jenama memang suatu perkara yang tidak dapat anda elakkan.

Ehem, Proton X90 macam mana?

Oh ya, bila bercakap mengenai Tiggo 8 Pro, anda tak boleh elakkan dari berbincang juga mengenai Proton X90. Harga cukup dekat, dari RM123,800 untuk Standard hingga RM152,800 untuk Flagship.

Enjin berbeza, dimana X90 mempunyai powertrain 1.5-liter turbo direct-injection (TGDI) bersama sistem hibrid, manakala Tiggo 8 Pro dengan 2.0-liter turbo. Output sudah tentu berbeza, X90 dengan 177hp dan 255Nm, sementara Tiggo 8 Pro sebanyak 257hp dan 390Nm tork.

Kedua-dua SUV ini dalam segmen yang sama, saiz hampir sama, dan kedua-duanya mampu memuatkan tujuh penumpang.

Yang mana perlu pilih? Sukar untuk beri keputusan kerana penulis sendiri belum pernah memandu X90, tetapi rakan penulis pernah mengujinya beberapa kali, anda boleh baca laporan di sini.

Dari segi reka bentuk, bagi penulis Tiggo 8 Pro lebih segak keseluruhan dan mempunyai perincian lebih cantik. Cuma anda sudah tentu dapat lebih nilai untuk X90, harganya lebih rendah kerana mempunyai kelebihan status kereta nasional (walaupun kedua-dua SUV ini direka dan dibangunkan di China).

Okay, X90 mungkin tidak 100 peratus dibangunkan di China kerana jurutera Proton ada memberikan input mereka untuk talaan suspensi. Sebab itu juga Proton X90 mendapat suspensi belakang multi-link berbanding Geely Haoyue.

X90 juga mempunyai kelebihan harga cukai jalan yang lebih rendah, tetapi jika anda perlukan kuasa dan sering membawa ramai penumpang, mungkin anda sanggup berbelanja lebih dan memilih Tiggo 8 Pro.

Rasa solid dan berkualiti

Lebih menarik lagi, Chery Tiggo 8 Pro terasa sangat solid, kukuh, dan berkualiti. Sama ada semasa membelek perincian di luar badan, duduk sahaja di dalam kabin, atau memandunya, semua aspek ini memberikan anda rasa premium.

Di bahagian luar contohnya, ada logo depan yang menyala, pemijak sisi automatik seperti dinyatakan awal tadi, dan kemasan krom yang cukup-cukup sahaja, tidak melebih. Kabinnya juga lapang, dan tempat duduk depan sangat empuk.

Saat pertama penulis duduk di tempat duduk pemandu semasa mengambil Tiggo 8 Pro ini, terasa seperti berada dalam kereta yang dua kali ganda harganya. Kemudian papan pemuka dan konsol tengahnya tinggi, mengukuhkan rasa premium SUV ini. Dalam pada masa yang sama, segala butang dan suis mudah dicapai.

Untuk pemanduan pula, penulis rasakan ia mempunyai lebih dari cukup kuasa untuk pemanduan harian. Penulis memperoleh keyakinan yang baik untuk mengendalikan Chery Tiggo 8 Pro ini walaupun di selekoh tajam.

Cuma sterengnya sedikit ringan, tetapi pedal minyak dan transmisi semua cukup responsif dan mempunyai talaan yang baik. Dari segi penggunaan bahan api, penulis merekodkan sekitar 9.9km per liter, dikira sangat okey dengan saiz dan gaya pemanduan Tiggo 8 Pro ini.

Sudah tentu penggunaan bahan api sebegini tidak begitu sesuai untuk pemanduan harian dalam bandar, melainkan anda mampu. Tetapi ia sempurna untuk membawa keluarga bersiar-siar hujung minggu keluar dari bandar.

Secara keseluruhan, pakej yang ditawarkan oleh Chery Tiggo 8 Pro cukup menarik dengan padanan saiz, kelengkapan, dan harga. Ini membuatkan penulis tidak sabar melihat model-model Chery yang akan datang. Mungkin kita akan pandu uji pula Tiggo 7 Pro yang dilancarkan baru-baru ini.

Spesifikasi Chery Tiggo 8 Pro

Harga: RM159,800
Enjin: 2.0-liter turbo petrol
Kotak gear: Automatik dwi-klac 7-kelajuan
Kuasa: 257hp @ 5,500rpm
Tork: 390Nm @ 2,000rpm

Lexus RZ 450e Luxury 2024 – Galeri Gambar & Ulasan Pandu Uji Ringkas

Lexus Malaysia telah pun selesai melancarkan SUV elektrik pertama jenama itu, Lexus RZ 450e 2024 untuk pasaran tempatan.

Ditawarkan dalam unit yang terhad, Lexus RZ450e hadir dengan spesifikasi tunggal Luxury, di mana ia didatangkan standard dengan tetapan motor elektrik berkembar.

Motor hadapan mampu menjana kuasa 204 hp/266 Nm, sementara motor gandar belakang pula 109 hp/169 Nm.

Secara keseluruhan, Lexus RZ 450e mampu menghasilkan kuasa setinggi 308 hp yang memacu sistem pacuan semua roda DIRECT4.

Pek bateri berkapasiti 71.4 kWh pula membenarkan jarak pemanduan sejauh 440 km untuk sekali cas penuh, selain menyokong pengecasan AC 11 kW dengan tempoh pengecasan penuh 6.5 jam, atau pengecasan pantas DC sehingga 150 kW (tempoh dipendekkan kepada 30 minit).

Antara ciri yang dimuatkan pada Lexus RZ 450e termasuklah sistem gantungan topang MacPherson/Double Wishbone, sistem stereng berkuasa elektronik (EPS), rim aluminium bersaiz 20 inci, lampu projektor Bi-AHS LED dengan fungsi suluhan tinggi adaptif, lampu belakang rekaan L-Bar, pemegang pintu e-Latch luar dan dalam, serta ‘jeriji hadapan’ Lexus Spindle Body.


Ruang kabin pula mendapat kelengkapan skrin kluster instrumen tujuh inci TFT, skrin infohibur sebesar 14 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk balutan Ultrasuede dengan larasan lapan tahap untuk pemandu dan penumpang, roda stereng balutan kulit sintetik, sistem pendingin hawa tiga zon, serta tombol penukaran gear jenis shift-by-wire.

Tidak ketinggalan, sepanjang perjalanan anda akan ditemani dengan alunan muzik daripada sistem bunyi keliling Mark Levinson Premium dengan 13 pembesar suara tersedia.

Selain daripada ciri keselamatan pasif seperti 7 beg udara, ABS, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TCS) dan bermacam-macam lagi, Lexus RZ 450e turut dilengkapi dengan Lexus Safety System+ yang merangkumi ciri berikut:
• Sistem Pra-Pelanggaran Hadapan (PCS)
• Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC) dengan fungsi Stop & Go dan Curve Speed Reduction
• Sistem Pengekalan Lorong (LKS) dengan fungsi Bantuan Pengesanan Lorong (LTA) dan Amaran Keluar Lorong (LDA)
• Bantuan Suluhan Tinggi Adaptif (AHS)

Terdapat juga dua ciri yang khusus untuk kenderaan Lexus, iaitu Lexus Parking Assist Monitor serta Lexus Teammate Advanced Park yang dibantu dengan fungsi kamera pemantauan keliling panorama (PVM).

Harga jualan Lexus RZ 450e 2024 bermula dari RM429,888.

 

Ulasan Pandu Uji Ringkas


Serentak dengan sesi pandu uji yang disediakan untuk Lexus LBX 2024 tempoh hari, kami turut diberikan peluang untuk merasai sendiri pemanduan SUV elektrik ini dalam perjalanan pulang dari Janda Baik ke Lexus Mutiara Damansara.

Impresi pertama kami, Lexus RZ 450e boleh dipertimbangkan sebagai satu alternatif jika anda tidak berminat untuk mendapatkan SUV elektrik buatan Jerman yang turut dijual dalam julat harga yang sama.

Prestasi pecutan yang ditawarkan oleh Lexus RZ 450e juga adalah apa yang anda harapkan daripada sebuah SUV dengan konfigurasi dua motor elektrik.

Ia tidaklah seagresif kereta elektrik yang memang ditala untuk prestasi, tapi memadai dan cukup untuk anda memalukan mana-mana kereta yang masih menggunakan bahan bakar fosil di persimpangan lampu isyarat.

Berdasarkan pemanduan di lebuh raya, anda boleh merasakan tahap NVH Lexus RZ 450e berada pada tahap yang selesa.

Cuma, kuasa 308 hp yang dihamburkan itu tidak diseimbangkan dengan talaan suspensi yang bersesuaian untuk laluan berliku, dan anda boleh rasa sendiri olengan badan SUV seberat 2 tan ini yang agak ketara bila mana Lexus RZ 450e ini dibawa dengan agresif.

Penulis faham, Lexus RZ 450e bukanlah sebuah SUV berprestasi tinggi bertaraf F-Sport, jadi kelemahan ini boleh dimaafkan memandangkan perasaan yang sama turut dialami ketika penulis pernah memandu uji sebuah SUV elektrik buatan Jerman yang bukan versi prestasi tinggi.

Untuk ruang kabin pula, pendekatan konsep Tazuna yang diterapkan itu sememangnya sangat membantu pemandu dalam menumpukan perhatian penuh pada pemanduan atas jalan. Gugusan butang operasi diminimumkan, di mana hanya butang penting sahaja yang masih dikekalkan.

Cuma, penulis rasa sedikit ralat kerana mana-mana kereta baharu Lexus kini (termasuklah RZ 450e ini) tidak lagi disertakan dengan jam analog di bahagian tengah.

Tidak banyak yang boleh dikongsikan buat masa ini memandangkan tempoh masa pandu uji yang sangat singkat. Mungkin lebih banyak info bakal kami ulas sekiranya ada peluang untuk memandu uji Lexus RZ 450e ini pada masa hadapan.

 

Lima Perkara Enak & Kurang Enak Pada Mercedes-Benz GLE 450 CKD – Pandu Uji

Selagi penulis belum dapat merasai sendiri pemanduan di dalam model GLS atau G-wagen, GLE 450 kekal menjadi SUV yang paling besar pernah penulis pandu dalam sejarah hidup.

SUV mewah dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk ini telah pun dikemas kini untuk model tahun 2024 beberapa bulan yang lepas.

Ia menampilkan beberapa perubahan bersifat kosmetik di bahagian luar, diikuti kemaskini pada ruang kabin serta naik taraf kuasa pada unit rangkaian kuasa sedia ada.

Jika anda lihat SUV ini sekali imbas di atas jalan, mungkin agak sukar untuk membezakannya dengan versi terdahulu.

Namun setelah memandu ujinya selama beberapa hari, ada beberapa perkara yang membuatkan penulis rasa GLE 450 CKD ini sukar untuk dipertimbangkan pembeliannya.

 

1. Unit pencahayaan lebih ringkas dan minimalis

Percaya atau tidak, lampu sebenarnya memainkan peranan penting dalam memastikan penampilan SUV ini lebih elegan di atas jalan raya.

Jika unit GLE terdahulu datang dengan grafik DRL berbentuk boomerang, kali ini GLE 450 datang dengan grafik yang lebih ringkas.

Samalah juga halnya dengan lampu belakang, di mana grafik LED menjadi lebih nipis.

Masih lagi nampak segak dan elegan di atas jalan, namun imejnya mungkin tenggelam jika duduk sebelah dengan GLE 450 yang lama.

 

2. Rupa masih sama

Jika sebelum ini anda mengharapkan GLE 450 membawakan perubahan yang lebih dramatik, lupakan saja niat itu, kerana GLE 450 tahun 2024 masih mengekalkan imej luaran yang hampir serupa.

Ya, anda boleh lihat bampar hadapan kini tampil lebih agresif, struktur jeriji hadapan juga yang lebih kemas, namun itu sahaja perubahan yang wujud.

Rekaan rim bersaiz 21 inci AMG itu masih lagi sama diguna pakai daripada model terdahulu, malah susun atur papan pemuka juga kekal tidak berubah.

 

3. Roda stereng kini mesra habuk, cap jari

Antara perkara yang penulis kurang gemar pada GLE 450 selain daripada dua poin yang disebutkan di atas ialah rekaan roda stereng.

Roda stereng GLE 450 kini lebih sporti dan canggih dengan operasi berasaskan sentuhan, namun ia bukanlah poin utama yang cuba diketengahkan.

Penulis cuma berharap agar Mercedes-Benz global dapat mengembalikan semula kemasan yang lebih premium pada roda stereng mana-mana model bagi menggantikan penggunaan plastik hitam.

Ini kerana apa yang penulis perasan plastik hitam tersebut lebih gemar memerangkap habuk dan cap jari, di mana pemilik/pemandu nampaknya perlu kerap mengelap bahagian tersebut dengan kain.

 

4. Enjin berkuasa, tapi transmisi ‘potong stim’

Mercedes-Benz GLE 450 masih lagi mengekalkan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo, namun dengan peningkatan kuasa kepada 375 hp @ 5,800 rpm dan daya kilas 500 Nm @ 1,800-5,000 rpm.

Ia juga turut mendapat sistem hibrid ringan 48 voltan, menampilkan sistem ISG generasi kedua yang mampu memberikan kuasa ekstra 20 hp dan 200 Nm.

Atas kertas, ia nampak mengujakan, namun ada kalanya transmisi automatik 9GTronic itu sedikit mengecewakan saat lampu merah bertukar hijau.

Bermula dengan gear pertama, ia tidak memberikan masalah untuk menggerakkan anak gajah seberat 2 tan ini, namun pemanduan dirasakan tidak begitu lancar dan sedikit tersengguk apabila sistem kotak gear mahu membuat penukaran gear yang berikutnya (dari gear satu ke gear dua).

 

5. Harga lebih mahal, walaupun status CKD

Apa yang pasti, Mercedes-Benz GLE 450 CKD ini tidak datang dengan harga yang lebih murah.

Model SUV yang dipasang di Pekan, Pahang ini dijual pada harga bermula dari RM528,888 atas jalan tanpa insurans, atau RM13 ribu lebih mahal berbanding model terdahulu.

Jika anda boleh berkompromi dengan lima perkara di atas, lima perkara berikutnya ini mungkin sekali akan membuatkan anda rasa ini sebuah SUV famili yang patut dipertimbangkan.

 

1. SUV yang selesa untuk seisi keluarga

 

GLE 450 membawakan kelebihan yang sukar untuk ditandingi – aspek keselesaan untuk seisi keluarga, terutama bila duduk di baris kedua.

Ini kerana GLE 450 menawarkan fungsi keselesaan yang hampir sama dengan penumpang hadapan, seperti corong pendingin hawa kiri, tengah dan kanan, kawalan iklim berasingan, tempat duduk yang boleh dilaras sudut sandarannya, serta ruang kepala dan kaki yang boleh tahan luasnya!

Bumbung panorama yang cukup besar membolehkan penumpang belakang menikmati pemandangan persekitaran yang cantik apabila pulang ke kampung halaman.

Tidak ketinggalan, terdapat slot pengecasan USB-C disediakan untuk kegunaan mengecas peranti pintar sepanjang perjalanan.

 

2. Berat, tapi lincah

Harus diingat, Mercedes-Benz GLE 450 sejak azali merupakan sebuah SUV dengan berat melebihi dua tan.

Memang berat, akan tetapi dengan sistem enjin dan pacuan semua roda yang cekap, sepanjang masa anda mungkin terlupa ia sebuah SUV yang berat.

Dengan kuasa enjin 381 hp dan 500 Nm, pecutan 0-100 km/j hanya memakan masa 5.6 saat sahaja, menjadikan ia sebuah SUV yang agak lincah terutama apabila dibelasah di laluan yang berselekoh.

Tayar Continental SportContact6 yang dibekalkan standard dari kilang juga sedikit sebanyak membantu memastikan SUV ini melekat dengan baik di atas pelbagai keadaan permukaan jalan.

Berdasarkan data, penulis berjaya mencapai kadar penggunaan bahan api serendah 9.0 liter/100 km.

 

3. Suspensi boleh laras tinggi rendah

Secara standard, Mercedes GLE 450 dibekalkan dengan sistem gantungan udara Airmatic yang dibantu dengan sistem peredam adaptif ADS+.

Bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih, sistem ini akan menaikkan atau merendahkan tetapan ketinggian jarak lega bumi, selain memudahkan anda untuk memuat naik barangan di ruang kargo sebesar 630 liter itu.

Sepanjang masa, penulis lebih gemar mengekalkan mod Comfort yang lebih sesuai dengan keadaan jalan raya Malaysia yang tidak sempurna ini, ia cukup selesa dan mampu menyerap segala ketidakrataan jalan tanpa memberikan efek negatif kepada pemandu dan penumpang.

Namun, anda juga boleh menetapkan mod pemanduan tersendiri dengan mengubah tetapan respons enjin, ESP dan suspensi supaya menjadi lebih sporti.

 

4. Mod pemanduan Off-road

Seperkara yang membuatkan GLE 450 unik ialah kehadiran mod pemanduan baharu Off-road.

Selain dengan tetapan suspensi yang lebih tinggi dan pemanduan yang mementingkan aspek cengkaman yang lebih optimum, ia turut memberikan amaran kepada pengguna supaya tidak menggunakan mod ini di atas jalan raya umum, dengan kelajuan dihadkan kepada 110 km/j sahaja.

Mod Off-road ini turut menyediakan paparan bawah kenderaan supaya pemandu dapat memeriksa kewujudan benda yang mampu menghalang pemanduan di hadapan, tapi terlindung di sebalik badan yang gedabak ini. Kucing contohnya.

 

5. Dari sudut pandang pemandu

Secara keseluruhannya, pemanduan GLE 450 model tahun 2024 ini tidak banyak membawakan perubahan yang ketara.

Ia menawarkan tempat duduk yang cukup selesa dan mampu memegang erat tubuh pemandu sepanjang perjalanan, dengan respons stereng yang memadai – tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan.

Aspek NVH juga cukup baik untuk sebuah Mercedes-Benz, di mana bunyi bising yang datang dari luar berjaya ditepis dan ditapis dengan berkesan.

Bunyi bising enjin hanya akan kedengaran apabila ia dikerah dengan kasar, namun tidaklah sampai boleh mengganggu pendengaran, samalah juga halnya dengan bunyi bising angin.

Berbanding dengan model-model SUV Mercedes lain yang menggunakan tetapan dua panel iPad yang serupa, penulis paling suka rekaan papan pemuka yang digunakan pada GLE 450, nampak seperti papan pemuka yang lebih konvensional.

GLE 450 juga masih lagi mengekalkan kewujudan butang fungsi fizikal yang diperlukan pada papan pemuka dan konsol tengah, dibantu dengan kehadiran pad sesentuh bagi memudahkan urusan mencari menu di dalam skrin tanpa perlu menekan skrin sentuh.

Untuk tidak memeningkan kepala, Mercedes-Benz Malaysia hanya menawarkan varian tunggal sahaja untuk GLE-Class, jadi anda hanya perlu berfikir dengan lebih panjang sebelum membuat keputusan untuk melabur wang bernilai lebih setengah juta untuk mendapatkan SUV yang selesa untuk kegunaan keluarga.

 

Spesifikasi ringkas Mercedes-Benz GLE 450 4MATIC 2024 CKD


Enjin: Enam silinder sebaris 3.0 liter turbo
Kuasa: 381 hp, 500 Nm
Elektrifikasi: Sistem hibrid ringan 48V, 20 hp/200 Nm
Transmisi: 9GTronic Automatik
Pacuan: Semua roda 4MATIC
Pecutan: 0-100 km/j 5.6 saat
Kelajuan Tertinggi: 250 km/j
Harga: RM528,888

 

Pandu Uji Lexus LBX 2024 Kali Pertama – Lima Perkara Yang Perlu Anda Tahu

Ini mungkin sekali kereta Lexus yang paling kecil pernah ditawarkan dan paling murah untuk sebuah kereta Lexus baharu yang wujud di pasaran.

Biarpun dengan ciri yang biasanya dikaitkan dengan kereta marhaen, namun Lexus LBX 2024 ini tetap menawarkan identiti yang tersendiri bagi menjadikannya sebahagian daripada keluarga kenderaan mewah Jepun yang ternama.

 

 

Baru-baru ini kami telah diberikan peluang untuk merasai sendiri pengalaman pertama memandu LBX merentas sempadan negeri Selangor-Pahang.

Walaupun jarak yang diberikan itu agak singkat, namun laluan yang telah ditetapkan itu merangkumi resepi yang diperlukan untuk kami menilai tahap pemanduan Lexus LBX atas jalan raya yang sebenar, bukan sekadar pusing-pusing mengelilingi pusat pameran semata-mata.

Berikut merupakan lima penemuan kami:

 

1. Platform Toyota, tapi dengan rekaan luaran identikal Lexus

 

Ini merupakan model Lexus pertama yang menggunapakai platform TNGA-B, menjadikan Lexus LBX model ‘kembar tidak seiras’ kepada model crossover Toyota Yaris Cross pasaran Eropah.

Dimensi ukuran LBX tidak jauh beza dengan ukuran Yaris Cross, namun LBX nampak lebih gagah duduk di atas jalan raya dengan struktur bahu yang lebih menonjol, diikuti dengan jeriji spindle tanpa rangka yang aerodinamik itu.

 

 

 

Malah, penampilan LBX lebih elegan dan ringkas di mana plastik pelindung gerbang roda lebih berbentuk bulat berbanding rekaan bersegi pada Yaris Cross.

Untuk rekaan belakang pula, LBX membawakan struktur lampu yang lebih ringkas yang dihubungkan dengan bar LED melintang. Logo L Lexus telah digantikan dengan perkataan L E X U S.

Bentuk cermin sisi LBX ini sebenarnya mengingatkan penulis pada sebuah lagi model Lexus yang lebih mahal dan berkongsi format nama tiga huruf, iaitu Lexus LFA.

 

2. Enjin hibrid tetapan tiga silinder sebaris

 

Secara standard, Lexus LBX hanya dilengkapi dengan enjin tiga silinder sebaris (kod M15A-FXS) yang dipadankan dengan sistem hibrid.

Enjin itu sahaja berupaya menjana kuasa 90 hp dan 120 Nm, sementara motor elektrik menyumbang 93 hp dan 185 Nm, dengan output keseluruhan dicatatkan sekitar 136 hp.

Mesti ramai yang skeptikal dengan enjin tiga dapur bukan? Geng Proton X50 mungkin dah lama buang perasaan tersebut jauh-jauh. Tak percaya, tengoklah model apa yang paling kerap kuasai laluan kanan lebuh raya pada ketika ini selain daripada model berkuasa rendah Perodua.

 

 

Walaupun dengan hanya enjin tiga silinder sebaris, tetapi bagi kami yang sudah merasai sendiri pemanduan LBX tempoh hari, boleh dikatakan respons yang diberikan sangat memuaskan hati.

Anda boleh menikmati pecutan yang menyeronokkan saat kereta beredar dari plaza tol atau lampu merah bertukar hijau di persimpangan lampu isyarat.

Kuasa yang dihamburkan itu sentiasa ada bila diperlukan pada kelajuan rendah, dibantu dengan kecekapan transmisi eCVT lapan kelajuan yang memastikan roda hadapan bergerak mengikut arahan pemandu.

Sama seperti mana-mana model hibrid Toyota (dan Lexus), Lexus LBX turut mempunyai mod EV bagi membolehkan crossover ini bergerak tanpa setitik minyak pada kelajuan yang rendah.

 

3. Tetapan suspensi ringkas, tapi sesuai dengan jalan raya Malaysia

 

Secara standard, Lexus LBX dipasangkan dengan topang MacPherson di hadapan, diikuti dengan torsion beam di bahagian belakang.

Nampak ringkas, dan sama saja macam model crossover segmen B yang ada di pasaran.

Namun, talaan yang diberikan pada sistem gantungan LBX ini menjadikannya seronok untuk dibelasah di laluan yang berliku, seperti contoh ‘litar kelajuan tinggi kegemaran ramai’ Lebuhraya KL-Karak.

 

 

Sepanjang pemanduan, SUV kecil ini rasa stabil dan melekat di setiap selekoh, dengan olengan badan yang terhasil apabila ia dipaksa secara agresif.

Untuk pemanduan yang biasa-biasa, olengan badan yang terhasil agak minimum, cukup sesuai dan selesa untuk kegunaan mereka yang tidak menggemari pemanduan yang bersemangat.

Paling penting, respons stereng itu sendiri yang sangat patuh pada setiap arahan pemandu, dan ia juga merupakan apa yang penulis harapkan pada sebuah Lexus setelah beberapa kali menguji model yang lebih besar dan mahal sebelum ini – Lexus ES, Lexus RX, dan Lexus NX.

 

 

Nak bercerita lebih, kami perlu pinjam LBX ini sekali lagi untuk ulasan yang lebih menyeluruh. Pendek kata, LBX merupakan salah sebuah Lexus yang seronok dipandu!

Dengan casis, enjin, transmisi, dan sistem gantungan yang mampu berkerja dengan harmoni, penulis rasa tidak sabar pula untuk menguji varian MORIZO RR yang datang dengan resipi  yang lebih istimewa – nadi tiga silinder sebaris GR Yaris dan transmisi manual!

Harapnya pihak Lexus Malaysia dapat mempertimbangkan varian ini kelak.

 

4. Konsep Tazuna yang menyenangkan pemandu

 

Sama seperti mana-mana model Lexus dalam pasaran, Lexus LBX turut mengutamakan konsep Tazuna pada rekaan kokpit pemandu.

Pada bahagian tersebut, Lexus telah meminimumkan kehadiran butang fungsi dan hanya mementingkan butang operasi yang penting sahaja, bertujuan untuk memaksimumkan tumpuan pemandu di atas jalan raya.

Skrin kluster digital 12.3 inci itu menawarkan informasi yang mudah untuk dibaca, samalah juga halnya dengan skrin tengah sebesar 9.8 inci yang turut menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Saat penulis memegang stereng, ia menawarkan perasaan yang sukar untuk diungkapkan, seolah-olah ia memang dicipta untuk mereka yang menghargai dan menikmati pemanduan sebuah Lexus.

 

 

Tempat duduk hadapan juga agak selesa dan mampu memegang erat pemandu sepanjang tempoh pemanduan, dibantu dengan fungsi larasan berkuasa elektrik.

Sayang sekali, tempat duduk penumpang hadapan hanya diberikan larasan manual. Tidak menjadi satu masalah, selesa juga bila duduk di sebelah pemandu.

Aspek NVH crossover ini juga sangat baik, di mana boleh dikatakan kurang gegaran, bunyi bising angin dan ‘nyanyian’ tayar yang terhasil menderu masuk ke dalam ruang kabin.

Bohonglah kalau kami katakan bunyi enjin tidak kedengaran, ia masih lagi wujud, cuma runut yang lebih agresif hanya akan terhasil saat pedal pendikit dipijak rapat ke lantai. Itu pun tidaklah sebising yang disangka.

 

5. Lexus LBX, sesuai untuk siapa?

 

Satu perkara yang membuatkan LBX kurang sesuai untuk kegunaan seisi keluarga ialah tempat duduk belakang yang agak sempit.

Keadaan ini mungkin disumbangkan oleh struktur tempat duduk hadapan itu sendiri yang agak berisi, di mana ruang kaki penumpang belakang yang terhasil itu lebih terhad.

Mungkin sekali sesuai untuk kanak-kanak kecil, atau orang dewasa yang memiliki fizikal remaja belasan tahun.

 

 

Bahagian kargo pula menyediakan ruang sebesar 315 liter, cukup besar untuk memuatkan barangan keperluan harian.

Jadi, kalau LBX ini tidak sesuai untuk kegunaan keluarga, siapa yang lebih sesuai?

Bagi kami, ia mungkin sekali boleh dipertimbangkan sebagai kereta kedua yang digunakan khusus untuk kegunaan dalam bandar oleh golongan yang tidak mementingkan ruang, atau diberikan kepada anak-anak dan isteri muda yang baru mula belajar memandu.

 

 

Fizikalnya yang kecil, selain mudah untuk dipandu menjadikan Lexus LBX salah sebuah kereta mewah yang patut diberikan peluang.

Di penghujung hari, tidak semua orang mahukan kereta spesifikasi mewah bersaiz besar, bukan?

Untuk pasaran Malaysia, Lexus LBX dijual pada harga bermula dari RM238,888, dan boleh didapati dalam dua varian, iaitu Premium dan Luxury.

 

Mazda CX-5 2.5T memang laju dan power, tapi ada 3 isu – Pandu uji

KAMI telah memandu uji varian prestasi CX-5 iaitu 2.5T dengan enjin petrol turbo berkuasa 228hpdan 420Nm tork, bersama sistem pacuan semua-roda AWD.

Memang satu penawaran unik dari Mazda, tiada pesaing rapat yang jelas, dan memberikan anda lebih pilihan selain petrol naturally-aspirated dan diesel.

Tetapi disebabkan permintaan, kami senaraikan pula beberapa isu atau masalah dengan Mazda CX-5 2.5T ini. Ya, sebagus-bagus kereta, walaupun canggih dan berkuasa, tetap boleh ada isu. Kami pilih tiga perkara utama.

1. Anda disayangi taukeh stesen minyak

Bila disayangi, selalunya benda yang positif, bukan? Tetapi itu kalau disayangi ibu bapa, disayangi isteri. Kalau disayangi oleh taukeh stesen minyak, tak berapa sedap.

Dengan CX-5 2.5T, anda akan kerap melawat stesen minyak kerana SUV ini memang kuat menelan petrol, kebanyakan pesaingnya yang lain hanya menghirup petrol.

Sepanjang penulis memandu CX-5 turbo ini sehingga lebih 1,000km, penulis hanya dapat purata 9.4km per liter. Puas penulis berhempas pulas hendak mendapatkan 10km per liter tetapi tidak berjaya.

Seronok juga menikmati tork 420Nm yang kuat seperti diesel, boleh didapati seawal 2,000rpm, tetapi dengan kuasa yang besar, ada pengorbanannya. Oh hidup…

Ditambah pula dengan kelengkapan AWD dan ’hanya’ enam kelajuan pada kotak gear, kedua-dua ini tidak membantu dalam penjimatan. Mungkin jika Mazda memberikan varian ini padanan kotak gear 8-kelajuan, boleh membantu mendapatkan angka penjimatan lebih baik.

2. Alamak, nampak sama je!

Isu kedua ialah versi petrol turbo 2.5T AWD ini nampak terlalu sama dengan varian-varian CX-5 yang lain. Sudah tentu kita mengenal pasti sesebuah kereta itu dari reka bentuk dan identiti luarannya.

Dengan CX-5 2.5 turbo ini, hanya emblem di belakang dengan huruf “T” berwarna merah menjadi penunjuk bahawa ini versi petrol turbo berprestasi tinggi. Anda nampak huruf “T” merah ini, batalkan sahaja hasrat anda untuk menyucuk CX-5 ini, silap hari bulan anda makan asap.

Cuma untuk pemilik yang mahu menunjuk sedikit, mereka mungkin rasa tidak berapa puas dengan penampilan CX-5 2.5T ini yang terlalu bersahaja.

Mungkin ia patut mendapat rim lebih besar dengan rekaan unik, stripe tambahan merah di gril depan, atau spoiler bumbung di belakang. Apa-apa lah yang boleh membuatkan SUV prestasi ini lebih menyerlah, Mazda lebih arif, penulis bukan pereka bentuk.

3. Sedikit kekeliruan identiti

Isu ketiga dan terakhir ialah ada sedikit kekeliruan identiti pada CX-5 2.5T ini. Bukanlah masalah terlalu besar, cuma pada penulis, CX-5 ini tidak terlalu SUV, dan tidak pula terlalu kereta sports.

Ia tidak begitu efisyen (penggunaan bahan api) berbanding SUV lain atau CX-5 varian lain, tetapi tidak pula memberikan kepuasan maksima seperti memandu Mazda MX-5 Miata atau Mazda3.

CX-5 2.5T ini terlalu di tengah-tengah. Tiada kepuasan SUV, tiada juga kepuasan kereta sports sejati. Jadi dengan ini, penulis katakan ia ada sedikit kekeliruan identiti, tidak tahu ia mahu jadi yang mana satu.

Kesimpulan

Itu sahaja tiga isu yang penulis rasakan dengan pengalaman pandu uji Mazda CX-5 2.5T AWD. Tetapi banyak lagi kebaikan lain mengenai model ini, anda boleh baca di sini.

Dan penulis tetap mahu berterima kasih kepada Mazda kerana menghasilkan SUV prestasi yang unik ini walaupun sebenarnya tiada keperluan. Ia menunjukkan kemampuan Mazda dan jati diri mereka yang tidak mempedulikan orang lain; hanya hasilkan kereta sedap dipandu, yang akan dihargai peminat mereka.

Apa yang kami suka dan tak suka tentang Range Rover Evoque – Pandu Uji

Jika anda sedang mencari sebuah SUV yang kompak mewah yang bukan sahaja boleh membantu dalam urusan harian tetapi juga cukup lasak untuk aktiviti luar, Range Rover Evoque boleh dipertimbangkan.

Pertama sekali, nama ‘Evoque’ boleh dikatakan agak besar di Malaysia, jadi anda sebenarnya bukan sahaja membeli sebuah kenderaan tetapi juga prestij yang datang dengan lencana Land Rover.

Ya, ia sememangnya nampak mewah dan bergaya tetapi Evoque juga mempunyai sisi ‘liar’nya yang ingin beraksi di atas permukaan yang tidak rata dan berturap.

Nasib baiklah semua itu boleh dilakukan dengan adanya pelbagai teknologi off-road yang sinonim dengan jenama British itu.

Pendek kata, Evoque boleh melakukan banyak benda untuk memenuhi keperluan kebanyakan pembelinya namun bagi penulis ada beberapa perkara yang masih boleh diperbaiki.

Enjin tak bermaya

Enjin Ingenium 2.0-liter empat silinder dengan pengecas turbo itu tidak sepadu yang diharapkan terutamanya pada RPM rendah. Ia terasa ‘malas’ dan penulis acap kali perlu berlaku sedikit agresif dengan pedal pemecut untuk bergerak.

Tetapi sebaik sahaja ia mencapai kelajuan meluncur (cruising), enjin itu menjadi lebih tenang dan senyap. Jelas sekali yang trenkuasa ini ditala untuk pemanduan yang lebih santai, sesuatu yang mungkin disukai oleh kebanyakan pembeli Evoque.

Minyak kuat

Masalah ini mungkin bukan sesuatu yang besar untuk mereka yang mampu membeli kereta seperti Evoque tetapi hakikatnya, enjin Ingenium itu menunjukkan kadar penggunaan bahan api yang agak tinggi untuk penggunaan di bandar dan lebuhraya.

Sepanjang beberapa hari memandunya, penulis hanya mampu mencapai bacaan sekitar 10.3 hingga 10.5 liter bagi setiap 100 km. Boleh tahan juga tetapi perlu diingat yang Evoque mempunyai berat sekitar 1.8 tan dan pacuan AWD.

Pivi-Pro yang tak berapa pro

Kemaskini pada awal tahun ini menyaksikan kabin Evoque menjadi lebih err…kemas dengan rekaan papan pemuka minimalis yang menempatkan sebuah skrin sentuh berukuran 11.4 inci.

Sistem infotainmen Pivi Pro menampilkan grafik yang tajam dan cantik tetapi sistem operasinya tidaklah begitu lancar seperti yang diharapkan. Adil rasanya jika penulis katakan yang ia ketinggalan di belakang jika dibandingkan dengan sistem infotainmen daripada jenama-jenama Jerman.

Ketiadaan tombol fizikal untuk kawalan sistem pendingin hawa pada model facelift ini bermakna suhu dan kelajuan kipas perlu dikawal menerusi skrin sentuh dan ini bukanlah cara yang terbaik.

Kabin tidak begitu mesra keluarga

Bagi mereka yang ingin jadikan Evoque sebagai kereta keluarga, pastikan anda tidak mempunyai lebih dari seorang anak kerana ruang di dalam kabin boleh dikatakan agak terhad, terutamanya untuk penumpang belakang.

Bukan itu sahaja, jika anda mempunyai keluarga yang besar, ada kemungkinan yang ruang but Evoque tidak mampu memuatkan semua bagasi anda untuk perjalanan ke destinasi percutian. 591 liter memang kedengaran besar tetapi di dalam Evoque, ia tidak terasa begitu luas.

Tetapi bukan semuanya buruk dengan Evoque. Ada beberapa perkara yang penulis cukup gemar tentang SUV ini.

SUV paling handsome?

Disebabkan saiznya, Evoque mungkin tidak nampak segah Range Rover tetapi bagi penulis, ia adalah antara SUV paling segak dalam segmennya. Rekaan ikonik pada bahagian luaran akan menarik perhatian sesiapa sahaja.

Untuk tahun 2024, Evoque diberikan beberapa perubahan halus yang membuatkan ia tampil lebih tajam dan segar berbanding sebelum ini. Antaranya termasuk lampu yang lebih langsing dan corak baharu pada gril.

Unit yang penulis pandu uji ini didatangkan dengan Black Exterior Pack yang membawakan kemasan hitam pada tulisan ‘RANGE ROVER’ di atas bonet, bampar depan, sisi dan belakang untuk penampilan yang lebih elegan.

Pemanduan cemerlang

Jika anda tidak terlalu agresif, Evoque sebenarnya sebuah kereta yang lancar terutamanya apabila meluncur di lebuh raya. Sistem suspensi yang agak lembut, ditambah pula dengan kabin yang kedap udara, membuatkan perjalanan jarak jauh terasa cukup selesa.

Di dalam bandar pula, jalan yang berlubang dan tidak rata adakalanya membuatkan badan Evoque agak bergoyang tetapi tidaklah sehingga menjejaskan keselesaan. Stereng agak ringan, tidak begitu digemari ketika memandu laju tetapi amat memudahkan ketika berada di dalam kawasan yang sempit.

Off-road? Tiada masalah!

Sejujurnya, kebanyakan, kalau tidak semua, pembeli Evoque hanya akan menggunakan kereta mereka untuk menghantar anak ke sekolah dan mengunjungi pusat membeli-belah.

Tetapi jika suatu hari mereka ingin berbuat demikian, Evoque sedia untuk berkhidmat. Ia mungkin tidak sehebat Defender namun untuk aktiviti pemanduan off-road kasual, ia tiada masalah melakukannya dengan adanya ciri-ciri seperti Terrain Response 2, All Terrain Progress Control, Hill Descent Control dan pelbagai lagi.

Banyak kelengkapan

Tidak kira bagaimana anda melihatnya, setengah juta ringgit bukanlah nilai yang kecil untuk sebuah kenderaan. Namun dengan Evoque, anda sebenarnya mendapat sebuah SUV mewah yang sarat dengan kelengkapan.

Selain ciri-ciri off-road yang disebutkan di atas, Evoque juga didatangkan dengan pelbagai ciri bantuan pemandu (Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking dan lain-lain), lampu Pixel LED, rim 21 inci, upholsteri kulit, pengecas tanpa wayar, cermin pandang belakang ClearSight, kamera 3D, dan pelbagai lagi kelengkapan lain yang membuatkan harganya terasa berbaloi.

Dalam erti kata lain, Land Rover memberikan anda banyak sebab untuk membeli Evoque. Lebih tinggi varian yang dipilih, lebih banyak sebab yang diberikan.

Kesimpulan

 

Jadi adakah Range Rover Evoque berbaloi untuk dibeli? Jika anda tidak kisah membelanjakan wang seperti itu untuk sebuah SUV kompak, teruskan. Tetapi jika anda mahukan sesuatu yang lebih luas, ada beberapa pilihan lain yang lebih murah yang boleh dipertimbangkan.

Spesifikasi Land Rover Range Rover Evoque P250 Dynamic HSE

Harga: RM565,800
Enjin: 2.0-liter, empat silinder turbo
Kotak gear: Automatik sembilan kelajuan
Kuasa: 249 PS @ 5,500 rpm
Tork: 365 Nm @ 1,300-4,500 rpm

Mazda CX-5 2.5T: Huruf T pengubah segalanya – pandu uji

PENULIS sebenarnya tak menyangka Mazda CX-5 facelift 2024 ini masih ditawarkan dengan varian 2.5T atau nama penuhnya CX-5 2.5G Turbo AWD.

Bukanlah penulis tidak mahu atau tidak suka, cuma tiada keperluan sebenarnya untuk varian prestasi tinggi untuk CX-5. Tetapi kenderaan prestasi biasanya memang hadir tanpa diminta dan tanpa disangka, itu yang menjadikannya menarik.

Penulis pernah memandu CX-5 2.5T yang lama beberapa tahun lepas, tetapi belum sempat berkongsi dengan anda di sini, jadi mari ikuti pengalaman penulis. Kita akan lihatkan juga pembaharuan dan adakah berbaloi untuk dibeli.

Penampilan bersahaja dengan senjata tersembunyi

Menariknya, begitu sukar untuk mengenal pasti sama ada CX-5 yang anda lihat ini versi biasa atau petrol turbo. Dari luar, hanya ada emblem di belakang bertulis “2.5T”. Tiada sirip, spoiler, pelekat, sticker, atau tulisan besar.

Ia ibarat senjata tersembunyi. Nampak biasa, tetapi kalau kau main-main, nah aku bagi! Perkara ini mungkin disukai sesetengah orang, tetepi tidak disukai pemilik Type R FK8. Yang tahu je tahu.

CX-5 ini tetap mendapat pembaharuan facelift seperti varian-varian lain, antaranya ‘muka’ depan baharu, gril baharu, paddleshift, dan paling ketara grafik lampu DRL berbentuk seperti dua L di setiap sisi.

Ia masih nampak kemas seperti CX-5 yang kita semua tahu, cuma pembaharuan yang disebut tadi menjadikannya lebih segar sedikit untuk 2024. Cukup lah kot untuk lawan bersaing dengan CR-V kan?

Varian 2.5T ini juga dilengkapi dengan paparan instrumen 7-inci dengan grafik baharu, tempat duduk dengan fungsi penyejuk, sambungan Android Auto dan Apple Carplay (tanpa-wayar), kamera 360-darjah, dan pengecas tanpa-wayar.

Penulis juga perasan ada mod pemanduan baharu Off-Road, tambahan kepada Normal dan Sport yang ada sebelum ini. Cuma skrin infotainmen di tengah dengan saiz 8-inci rasanya agak ‘kedekut’, terlalu kecil untuk kereta sebegini. Saiz 12.3-inci pasti lebih ngam.

Kuasa dalam fikiran sepanjang masa

Memandu Mazda CX-5 2.5 petrol turbo ini terus terang penulis katakan memang dalam kepala dia kuasa, kuasa, kuasa. Enjin 4-silinder DOHC ini menghasilkan 228hp pada 5,000rpm dan 420Nm pada 2,000rpm.

Ini memang kuasa yang tak kedekut, tuan-tuan. Kalau bab skrin infotainmen dia kedekut, kuasa pula memang melimpah ruah, jauh dibandingkan dengan 2.5 naturally-aspirated (192hp dan 258Nm) atau 2.0 (162hp dan 213Nm).

Tork 420Nm pada 2.5 petrol ini juga hampir menyamai tork dari enjin 2.2 diesel sebanyak 450Nm. Tetapi model diesel hanya 2WD, manakala 2.5 petrol ini AWD, bagi penulis lebih seimbang. Malah kuasa disalurkan dengan lebih efektif, gandar depan dan belakang sama-sama mendapat output enjin.

Pemanduan CX-5 2.5T ini cukup bersahaja. Ia senyap, duduk saja dalam mana-mana gear, biarpun gear 4 pada 2,000rpm, anda tekan minyak perlahan-lahan, ia tidak perlu downshift. Kereta akan terus dipacu ke depan.

Penulis sempat menguji di jalan berliku kelajuan tinggi di Karak dan selekoh kelajuan rendah sekitar Jengka, Pahang. Kuasa yang tinggi ini boleh ditafsirkan sebagai ciri keselamatan kerana memberikan anda keyakinan untuk memotong di jalan persekutuan.

Kurang masa diperlukan untuk duduk di lorong bertentangan. Amacam?

Pengendalian tidaklah sporti seperti Mazda MX-5 walaupun CX-5 ini jauh lebih berkuasa. Ia masih sebuah SUV.

Tetapi seronok juga mengawal badan berat dan besar membrek dengan lancar sambil downshift, masukkan input stereng sambil melepaskan stereng, kaki kanan duduk di pendikit untuk positive traction di selekoh, kemudian bila jalan mulai lurus, perlahan-lahan kaki dirapatkan ke lantai.

Upshift bila rpm merapati redline, kemudian ulang semula bila mendekati selekoh seterusnya.

Ya, Mazda semuanya dilengkapi dengan G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) dan falsafah Jinba-Ittai. Kedua-dua ini dalam erti kata mudah memberikan pemanduan yang terkawal, tepat, tetapi tenang dan tidak memenatkan bagi pendapat penulis.

Walaupun ‘cuma’ didatangkan dengan kotak gear enam-kelajuan, semua gear ini mempunyai nisbah yang cukup untuk pecutan bertenaga walaupun dengan beban berat (penumpang dan kargo), tetapi pada masa sama membolehkan enjin berada pada rpm yang munasabah semasa meluncur di lebuh raya.

Tetapi kompromi dari kuasa membuak-buak tadi, sudah tentu penggunaan petrolnya. Penulis boleh laporkan bahawa Mazda CX-5 2.5T ini tidak menjimatkan. Penulis ‘bergelut’ nak mendapatkan lebih 10km/liter. Selepas kira-kira 1,10km pemanduan, penulis hanya dapat 9.4km/liter (dan senyuman).

AWD jadi lebih bermakna

Tadi penulis ada berkata bahawa CX-5 2.5T kali ini mendapat mod pemanduan Off-Road. Walaupun versi sebelum facelift juga AWD, tetapi tiada mod Off-Road.

Penulis sempat menguji sebentar mod ini semasa di pasir pantai. Dapat dirasakan penghantaran kuasanya lebih lancar dan ‘malas’. Mod ini sepatutnya akan membantu anda melepasi off-road manja-manja tanpa ada insiden tayar ‘menggali’ tanah/pasir.

Boleh beli?

Jika anda mahukan sebuah SUV yang nampak bersahaja tetapi ada kemampuan kalahkan hot hatch di lampu isyarat, anda patut cuba tengok CX-5 2.5T AWD ini. Ia satu penawaran unik oleh Bermaz Auto Berhad, dan hampir tiada pesaing rapat.

Ia juga masih kekal berkuasa dan berkemampuan, tetapi ditambahbaik menjadikannya lebih terkini, lebih canggih, lebih mudah digunakan seharian, dan lebih selamat.

Kesemua varian Mazda CX-5 2024 di Malaysia hadir dengan jaminan 5-tahun atau 100,000km, dengan pakej penyelenggaraan percuma untuk tempoh dan jarak yang sama.

Spesifikasi Mazda CX-5 2.5T AWD

Harga: RM191,170.40
Enjin: 2.5-liter turbo petrol
Kotak gear: Automatik 6-kelajuan
Kuasa: 228hp @ 5,000rpm
Tork: 420Nm @ 2,000rpm

Volvo XC60 Recharge T8 kemuncak teknologi hibrid – Pandu uji

VOLVO pada 2021 pernah berkata kereta mereka akan menjadi elektrik sepenuhnya (EV) menjelang 2030. “No buts, no ifs”, orang putih kata. Tak ada tapi-tapi lagi. Dah nekad menghala ke arah itu.

Pada 2024 ini pun, sudah dapat dilihat inisiatif mereka untuk mencapai hala tuju itu. Semakin banyak model-model EV ditawarkan, dan ada model baharu yang terus EV tanpa sebarang model petrol.

Sebagai contoh model seperti XC90 dan XC40 ditawarkan dengan varian petrol dan hibrid, tetapi C40 hanya hadir dalam pilihan elektrik sepenuhnya. Begitu juga EX90 yang akan datang beberapa tahun lagi, langsung tiada penawaran enjin ICE (pembakaran dalaman).

Apa pun, untuk kali ini, kita ingin melihat Volvo XC60 Recharge T8 2024. XC60 merupakan SUV saiz pertengahan – di atas XC40 dan di bawah XC90 – dan Recharge T8 ialah penanda bahawa ianya versi plug-in hybrid (PHEV).

Dengan Volvo semakin ke arah elektrifikasi sepenuhnya dan kita melihat XC60 Recharge T8 2024, mungkinkah ini antara variasi terakhir hibrid mereka? Dan penulis dapat rasakan inilah kemuncak teknologi hibrid Volvo.

Nampak sama je, apa yang berbeza?

Ya, Volvo XC60 baharu ini nampak hampir serupa dengan versi sebelumnya kerana 2023 pun masih baharu. Jujur kata, terlalu sedikit perubahan kosmetik pada XC60 Recharge T8 ini, seolah-olah perbandingan iPhone 15 dengan iPhone 14 sahaja.

Ini pendekatan minimalis yang tidak menunjuk-nunjuk, sesuai sifat Volvo (dan pemilik mereka, mungkin). Tetapi perubahan sebegini pasti kurang disukai oleh kebanyakan pembeli biasa yang mahu mengumumkan kepada dunia bahawa mereka beli kereta terbaru.

Paling penting untuk 2024 adalah dari segi teknikal dimana sistem janaan kuasa XC60 ini ditambah baik. Bateri hibridnya kini lebih besar iaitu 19kWh dan mampu membekalkan pemanduan mod elektrik sehingga 81km.

Sistem pengecas bersepadunya menyokong sehingga 6.4kW, bermakna pengecasan penuh bateri dengan kabel luaran kini memerlukan tiga jam sahaja berbanding sebelumnya (lima jam).

Output keseluruhan dikekalkan pada 462hp dan 709Nm iaitu memasuki liga kereta sports, terima kasih kepada gabungan enjin petrol dan motor elektrik. Enjin itu sendiri menghasilkan 317hp dan 400Nm, manakala motor elektrik membekalkan tambahan 145hp dan 309Nm.

Secara keseluruhan, penulis sentiasa suka dengan rekaan dan pakej Volvo XC60 ini kerana ia di tengah-tengah. Tidak begitu kecil seperti XC40 dan tidak terlalu besar seperti XC90. Rupa juga cukup kemas, segak, dan menampakkan premium dan kelas.

Cuma unit pandu uji ini dengan warna Crystal White dan kabin kelabu sedikit membosankan. Jika anda beli sebarang model Volvo, ambillah warna selain putih, hitam, dan kelabu. XC60 2024 turut ditawarkan dengan Denim Blue dan Vapour Grey (baharu), mungkin warna-warna ini lebih menarik.

Seronok dipandu?

Anda pernah terfikir kenapa kereta seperti Rolls-Royce, Bentley, Range Rover Sport, atau Mercedes S-Class seronok dipandu walaupun berat? Kerana mendapat enjin berkuasa.

Walaupun tidak dipandu laju, enjin berkuasa pada badan berat menawarkan pengalaman pemanduan unik, begitu selesa untuk perjalanan jauh.

Beginilah juga pengalaman pemanduan Volvo XC60 Recharge T8, kuasa melebihi 400hp dan 700Nm bukanlah untuk ia menjadi lincah di selekoh, tetapi lebih kepada rasa premium, selesa dan empuk. Kuasa yang tinggi juga memberikan keyakinan sebagai contoh susur lebuh raya atau memotong.

Tetapi ini bukanlah bermakna XC60 PHEV ini tidak laju. Ia tetap mampu memecut ke 100km/j dalam masa 4.8 saat. Ya, lebih pantas dari kebanykana hot hatch. Jangan dilupa bahawa XC60 ini seberat 2,660kg ya…

Satu ‘masalah’ yang penulis hadapi sepanjang beberapa hari memandu Volvo XC60 baharu ini ialah kesukaran menghabiskan tangki minyaknya. Semasa mula mengambil kereta, bacaan komputer menjangkakan penulis akan dapat memandu 610km dengan tangki penuh dan bateri dicas penuh.

Tetapi selepas memandu 660km hujung minggu sekitar Kuala Lumpur dan hingga ke Sekinchan, penulis masih mempunyai baki 150km dalam tangki semasa memulangkan kereta ini kepada pihak Volvo Car Malaysia! Ini bermakna penulis mungkin dapat memandu sekurang-kurangnya 810km.

Penggunaan bahan api direkodkan pada 8.5 liter/100km, atau 11.8km per liter. Not bad untuk kereta berkuasa 400hp seberat 2.6 tan.

Membuatkan penulis merasa dunia ini tidak adil kerana orang yang mampu membeli kereta lebih RM350,000 mendapat penjimatan bahan api yang sama dengan pemandu Myvi, tetapi Volvo ini empat kali lebih berkuasa. Inilah teknologi namanya…

Maklumat-maklumat ini juga bermakna sistem hibrid pada Volvo XC60 Recharge T8 ini berkesan dalam memberikan imbangan antara kuasa, prestasi, dan penjimatan. Sistem hibrid ini mencukupkan kuasa di keadaan enjin memerlukan, dan tenaga kinetik kereta disalurkan semula ke dalam bateri untuk digunakan kemudian.

Dari aspek lain, impresi penulis terhadap Volvo XC60 masih sama iaitu ia kenderaan yang mudah dan selesa dipandu, baik untuk jarak dekat menguruskan aktiviti harian atau untuk perjalanan hujung minggu dengan keluarga.

Walaupun berat dan tidak lincah di selekoh, Volvo XC60 cukup stabil dan meyakinkan. Anda hanya perlu berikan input yang lembut dan lancar, pasti XC60 ini melalui jalan-jalan berliku dengan bersahaja tetapi pantas.

Oh ya, sistem audio Bowers & Wilkins High Fidelity harus diberikan pujian kerana menyumbang kepada muzik yang lunak sepanjang perjalanan anda. Antara yang terbaik dalam industri.

Berbaloi?

Volvo XC60 Recharge T8 2024 ini ditawarkan pada harga RM357,888 dan hadir dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Adakah ianya pembelian berbaloi? Jika anda mahu sebuah SUV premium dengan kelas tersendiri, padat teknologi keselamatan terkini, selesa, menjimatkan, dan anda belum bersedia beralih kepada elektrifikasi sepenuhnya, ini antara model paling sesuai.

Tetapi jika anda mencari pengalaman pemanduan sporti dan lincah, mungkin boleh beralih ke model lain.

Apa pun, bagi penulis, XC60 Recharge T8 ini ialah kemuncak kepada teknologi hibrid Volvo sebelum enjin ICE tidak lagi ditawarkan di bilik pameran mereka. Dan kemuncak ini boleh dikatakan sebagai sesuatu yang berjaya dan bermakna.

Spesifikasi Volvo XC60 Recharge T8 2024

Harga: RM357,888
Enjin: 2.0-liter turbo petrol
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 317hp @ 6,000rpm
Tork: 400Nm @ 3,000 hingga 4,500rpm
Motor elektrik: 145hp/309Nm
Output keseluruhan: 462hp/709Nm

Pengalaman Pandu Uji Proton S70 Flagship X Yang Kurang Memuaskan

Bila sebut pasal mana-mana kereta jenama Proton, ia akan menimbulkan sesi perdebatan yang tidak berkesudahan, lebih-lebih lagi bila melibatkan barisan model yang ditukarkan lencananya daripada pasaran Tanah Besar China.

Cakaplah apa sahaja yang anda mahu, kerana hakikatnya inilah pendekatan yang sesuai untuk Proton masa kini.

Lihat sahaja betapa banyak kelibat model-model SUV Proton di atas jalan raya pada masa kini.

 

 

Kalau dulu boleh tahan bersepah model X70, kini tempat SUV popular tempatan telah digantikan dengan model Proton X50 yang lebih lincah dan sporti. Bagaimana dengan Proton X90? Mungkin tak ramai yang pakai, tapi masih ada.

Tapi cerita kali ini penulis tidak akan menyentuh soal SUV, akan tetapi lebih berminat untuk berbicara tentang model kereta terbaharu Proton.

Lebih tepat lagi, sedan Proton S70 yang baru sahaja dilancarkan pada penghujung tahun yang lepas.

 

 

Hendak bercerita tentang spesifikasi, rasanya semua sudah arif dan tahu yang Proton S70 ini dibekalkan dengan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 150 PS @ 5,500 rpm dan 226 Nm @ 1,750-4,000 rpm.

Ia juga datang dengan kotak gear yang jauh lebih moden berbanding pesaing dalam segmen harga bawah RM100k, iaitu DCT tujuh nisbah kelajuan.

Selain itu, Proton S70 juga datang dengan rekaan sedan tiga kotak yang lebih tradisional, jauh lebih senonoh berbanding bentuk sedan yang digantikannya, iaitu Proton Preve dan adiknya Proton Persona.

Rekaan sisi sedan ini juga mengingatkan kita pada sebuah lagi sedan, iaitu Proton Waja (bak kata Amirul Hazmi).

 

Jika dibandingkan dengan model-model pesaing (tak kira segmen B atau C), Proton S70 boleh disifatkan sebagai sebuah sedan mampu milik yang menawarkan kelengkapan yang lebih menyeluruh dan premium.

Jadi, bagaimana pula dengan pengalaman pemanduan? Adakah ia mampu menjadi model Proton yang terbaik?

Adakah S70 ini satu model yang berbaloi jika mahu naiktaraf daripada sedan Proton sedia ada? Kami ada pendapat sebaliknya:

 

1. Sedan bertenaga, dengan kuasa yang sukar dikawal

Dalam banyak-banyak pesaing, Proton S70 datang dengan tetapan rangkaian kuasa yang agak unik – enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan kotak gear klac berkembar DCT tatkala model lain hanya dibekalkan dengan enjin 1.5 liter NA dan kotak gear CVT.

Canggih bermakna lebih baik?

Tidak juga. Walaupun S70 ini mampu menghasilkan kuasa pecutan yang agak baik di atas lebuh raya, lain pula ceritanya ketika ia mahu mula bergerak dari keadaan pegun.

 

Ini kerana ia mewarisi satu sifat malas bergerak yang hampir sama dengan abang besarnya Proton X70, walaupun kadar kemalasan itu kurang sedikit sahaja jika dibandingkan.

Lebih memburukkan keadaan, tayar hadapan Proton S70 ini ada kalanya gemar untuk berputar (buat aksi wheelspin) melebihi kadar cengkaman yang diperlukan sewaktu pedal pendikit ditekan agresif.

Ya, kedengaran cool bila dapat buat wheelspin depan orang ramai, tapi silap haribulan anda mungkin terpaksa mengira duit simpanan untuk melantak mee segera. Mungkin berpuasa lebih afdal.

 

2. Posisi pemanduan yang tidak selesa

Ini antara perkara yang membuatkan penulis bingung, kerana Proton sebelum ini sangat terkenal dengan penawaran tempat duduk yang selesa, jauh mengatasi keselesaan tempat duduk Perodua.

Tempat duduk hadapan balutan kulit palsu yang wujud pada S70 ini sukar menawarkan tahap keselesaan yang diperlukan, di mana kaki rasa agak tergantung bila ia diposisikan rendah. Keadaan ini lebih terasa sekiranya penulis terpaksa membuat perjalanan jarak jauh merentas negeri.

Acap kali juga penulis terpaksa mengubah kedudukan beberapa kali untuk mencapai posisi yang selesa dan ergonomik. Takkan la nak pandu sedan tapi posisi tempat duduk tinggi macam pandu SUV, kan?

Lebih aneh, penulis sebelum ini pernah duduk dalam varian Proton S70 yang dilengkapi dengan kerusi balutan fabrik, dan ia dirasakan jauh lebih selesa berbanding S70 Flagship X ini.

Untuk penumpang belakang, usah risau kerana tempat duduk baris kedua memang direka khas untuk anda menikmati keselesaan, dibantu dengan sistem pendingin hawa yang boleh tahan sejuk sepanjang masa.

 

3. Ciri shift-by-wire yang paling menyusahkan

Dalam dunia ini, terdapat pelbagai jenis sistem penukaran gear yang telah dicipta oleh pengeluar semata-mata untuk faktor cool di mata pengguna. Ada yang wujud dalam bentuk garis lurus, ada yang bengkang-bengkok, bersegi-segi dan ada yang mula menggunakan butang khas PRND.

Salah satu sistem yang menyusahkan pengguna sebenarnya wujud pada Proton S70.

Ciri penukaran gear shift-by-wire yang nampak ringkas ini memerlukan anda menarik dan menolak tuil gear berkali-kali untuk masuk ke dalam posisi gear yang diperlukan, dan ada kalanya ia langsung tidak masuk ke dalam posisi yang diinginkan.

Sistem yang rumit ini memang menyusahkan pemandu, terutama ketika sedang masuk parkir di kawasan yang sibuk waktu tengah hari, seperti contoh di kawasan sekitar Sunway Pyramid.

Bayangkan nak masuk petak parkir tapi tempoh masa yang diambil mengalahkan budak yang baru nak belajar memandu.

Lagi satu, sedan S70 ini langsung tiada paddle shifter! Jadi jika anda mahu menikmati penukaran gear secara manual pun kena tarik tolak tuil gear ke kiri atau ke kanan.

 

 

Ibarat abam Dominic Toretto acah tukar gear automatik Dodge Charger empat pintu dalam filem Fast Furious…

 

4. Kabin senyap, tapi luar bising macam trak pikap

Seperkara yang membuatkan Proton S70 ini terasa mahal dipandu ialah tahap kesenyapan kabin yang baik, walaupun ada kalanya diganggu dengan bunyi bising yang datang daripada golekan tayar Goodyear Assurance Triplemax 2 atas turapan jalan yang tidak berkualiti.

Bunyi bising angin yang datang dari arah luar tidak jelas kedengaran dari dalam kabin, malah bunyi bising enjin juga berjaya ditapis dengan baik bagi mengelakkan sebarang ketidakselesaan sepanjang pemanduan.

Setelah penat memandu, anda semestinya memerlukan masa untuk berehat.

Masa inilah anda boleh keluar dari kereta untuk menikmati bunyi enjin S70 melahu seakan bunyi trak pikap berenjin diesel. Orang sebelah pun mungkin terkejut bila mendengar S70 anda berperangai macam trak pikap.

 

5. Aspek pemanduan, bukan untuk mereka yang mahukan kepuasan

Usah salah sangka, penulis bukanlah bermaksud pemanduan Proton S70 ini langsung tidak sedap.

Berdasarkan pengalaman beberapa hari menguji, penulis juga amat suka dengan apa yang ditawarkan oleh S70.

Pertama, talaan respons stereng yang ringan dan mudah untuk dikawal, dan patuh pada setiap arahan pemandu, di mana maklum balas yang diterima agak baik.

Terdapat juga beberapa mod talaan termasuklah Comfort, Normal dan Sport untuk pemanduan yang lebih..err.. sporti!

 

Kedua, sistem suspensi yang telah diubah mengikut citarasa tempatan.

S70 secara standard datang dengan tetapan topang MacPherson di depan, dan torsion beam di belakang. Agak ringkas di situ. Menurut Proton, ia telah disesuaikan dengan keadaan jalan raya di Malaysia.

Berdasarkan pengalaman, sistem gantungan S70 ini dirasakan mampu menyerap segala hentakan dan ketidakrataan jalan dengan baik, tanpa menghasilkan gegaran dan bunyi bising ketara yang mampu mengganggu kesejahteraan penumpang.

 

Ketiga, casis Proton S70 yang memang mantap dan terasa mahalnya di situ.

Semasa menikmati jalan-jalan lama, boleh dirasakan casis S70 ini menghasilkan olengan badan yang terkawal, tidak terlalu agresif sehingga menyebabkan pemandu terpaksa bersilat dengan stereng.

Ketiga-tiga aspek ini bekerja dengan harmoni bagi memastikan pemanduan yang lebih mengujakan bagi kebanyakan pengguna di Malaysia, terutama di kawasan yang berselekoh.

Cuma, bagi jiwa-jiwa yang sensitif, aspek pemanduan dan pengendalian Proton S70 ini masih lagi belum cukup sifat seperti yang pernah ditawarkan pada model-model sedan Proton terdahulu (Waja, Preve, Persona).

Respons stereng bantuan elektrik tersebut dirasakan tidak cukup sensitif dan sporti (walaupun dalam mod Sport), dan had yang ditunjukkan oleh suspensi torsion beam belakang sewaktu kereta ini dibelasah di selekoh juga menyebabkan S70 ini rasa sedikit tidak sempurna.

 

Tapi untuk golongan kebanyakan, tetapan standard yang dibawakan pada Proton S70 ini rasa sudah pun memadai.

Cuma kalau ada bajet lebih, tukar sahaja tayar asal kepada tayar yang lebih berprestasi.

Tahukah anda, penulis tidak pernah menyukai pemanduan X70, tapi Proton sebenarnya berjaya menjadikan pemanduan SUV tersebut lebih dinamik dengan penggunaan tayar Continental UltraContact UC6.

 

6. Kokpit ringkas, dah macam Tesla Model 3

Antara perkara yang membuatkan pengalaman pemanduan penulis rasa tidak teruja ialah susun atur ruang kabin yang mengingatkan penulis pada EV Tesla Model 3.

Ya, jujur kami cakap, rekaan papan pemuka Proton S70 merupakan antara yang terkemas Proton pernah tawarkan kepada pengguna, dengan kehadiran butang fungsi yang agak minimum untuk penampilan yang minimalis.

Namun, terlalu ringkas mungkin akan menyusahkan pengguna di kemudian hari, terutama bagi mereka yang masih lagi rindukan butang kawalan fizikal.

 

Seperti contoh, untuk membuka bumbung kaca, anda perlu mencari fungsi tersebut di dalam skrin infohibur, memandangkan tiada langsung butang fungsi khas disediakan pada tempat yang sepatutnya.

Sistem arahan berbentuk suara ‘Hi Proton’ ada kalanya lambat untuk bertindak, mungkin sekali disebabkan oleh sistem terpaksa memahamkan loghat Nismilan yang tak sengaja dikeluarkan semasa bersuara.

Samalah juga halnya apabila pemandu mahu mengubah mod pemanduan, jari jemari terpaksa menari di skrin infohibur terlebih dahulu sebelum dapat mengubah mod yang diinginkan.

Jadi, kebanyakan masa penulis lebih gemar membiarkan mod pemanduan dikekalkan pada mod Comfort.

 

7. Skrin kluster digital, tapi masih lagi ada perangai X70

 

Ciri skrin kluster digital merupakan satu perkara yang normal untuk kereta-kereta baharu, di mana untuk S70 anda boleh mendapatkan ciri ini menerusi dua varian tertinggi, iaitu Flagship dan Flagship X.

Skrin ini membawakan antaramuka (UI) yang lebih ringkas, mudah untuk dibaca dengan dua mod paparan iaitu cerah atau gelap.

Biarpun jauh lebih ringkas berbanding skrin yang wujud pada X70, ia tetap mewarisi satu ciri yang biasa didapati pada kereta buatan China, iaitu masalah paparan info yang berterabur dan cenderung untuk membuatkan pemandu rasa serabut.

Selain itu, penulis mendapati tidak banyak penyesuaian yang boleh dibuat seperti memilih paparan meter kelajuan berbentuk analog, atau tema grafik yang mampu membuatkan pemandu rasa teruja.

Mujur juga skrin tersebut boleh ditetapkan mod paparannya mengikut masa, jadi untuk tidak menyakitkan mata pada waktu siang, ubah saja paparan kepada mod gelap yang lebih menyenangkan pemandangan.

 

Cukup sudah tujuh perkara yang kami kurang gemar, ini pula senarai lima perkara yang membuatkan S70 ini satu model yang berbaloi untuk anda miliki:

 

1. Kelengkapan keselamatan lebih menyeluruh untuk sebuah sedan Proton

Sejak bertahun-tahun lamanya penulis mengimpikan Proton untuk menaik taraf sedan Persona dan Saga dengan ciri keselamatan yang lebih maju.

Sayang sekali, impian tersebut sukar untuk direalisasikan walaupun sudah beberapa model facelift bertaraf lima bintang ASEAN NCAP itu dilancarkan.

Kekecewaan tersebut akhirnya terubat dengan kehadiran Proton S70 Flagship X, di mana secara standard ia didatangkan dengan bermacam-macam akronim yang boleh membuatkan lidah terbelit.

Paling penting, sedan S70 kini datang dengan ciri pengesanan titik buta yang diintegrasikan ke dalam fungsi Bantuan Penukaran Lorong (LCA) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Ciri lain termasuklah enam beg udara, Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Informasi Papan Tanda Trafik (TSI), Bantuan Suluhan Tinggi Pintar (IIHBC) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) membuatkan S70 ini satu model yang agak berbaloi untuk dipertimbangkan.

 

2. Sistem kamera keliling yang jelas, terang dan nyata

 

Terlupa pula, skrin infohibur sebesar 12.3 inci itu sebenarnya masih lagi tidak menawarkan sokongan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Nak bising lebih-lebih pun, memang Proton takkan buat untuk barisan model sedia ada. Tunggu sahaja kehadiran model baharu yang akan muncul kelak.

Cuma, penulis agak suka dengan tahap ketajaman grafik paparan yang wujud, ditambah pula dengan menu yang ringkas dan intuitif.

Walaupun ada kalanya rasa jengkel untuk tangan menari seketika pada skrin, sistem menu yang wujud pada skrin infohibur Proton S70 ini sebenarnya amat mudah untuk digunakan.

Selain itu, S70 juga datang dengan sistem kamera 360 darjah dengan paparan yang cukup jelas dan tajam, mengalahkan model pesaing yang lebih mahal harganya.

 

3. Sedan Proton yang paling jimat minyak?

Berdasarkan pengalaman memandu mana-mana sedan Proton (termasuklah sedan milik sendiri) sebelum ini, agak sukar untuk penulis mendapatkan satu bacaan yang positif.

Ini kerana Proton amat sinonim dengan barisan kereta yang sedap dipandu, akan tetapi pelahap bahan api. Sebut sahaja apa jua versi enjin empat silinder yang pernah Proton lancarkan sebelum ini.

Rata-rata model kereta Proton yang pernah penulis pandu uji sebelum ini sukar untuk melepasi angka 400 km untuk setangki minyak penuh, walaupun penulis sehabis baik memaksa kaki kanan untuk menjadi ringan semasa pemanduan.

Tapi dengan S70, penulis agak teruja kerana setangki penuh bahan api berkapasiti 50 liter itu membolehkan pemanduan melebihi 600 km berjaya dibuat tanpa perlu singgah stesen minyak dengan kerap.

Kadar penggunaan bahan api dicatatkan sekitar 8.5 liter untuk setiap 100 km. Jadi, jimat ke tak jimat?

 

4. Tidak kedekut ruang

 

Secara asasnya, Proton S70 merupakan sebuah sedan yang dibina atas pelantar segmen B, namun dengan dimensi yang mampu menyaingi sedan dalam segmen C yang lebih besar.

Ukuran panjang kali lebar kali tinggi memang jauh mengatasi mana-mana model sedan dalam segmen B (Toyota Vios, Honda City, Nissan Almera), malah dengan ruang kabin memang jauh lebih besar, luas dan selesa berbanding Proton Persona segmen B dan Persona segmen C.

Selain itu, Proton S70 mampu menawarkan ruang kargo yang jauh lebih praktikal di mana sehingga 500 liter muatan boleh diisi pada ruang but belakang.

Tidak cukup dengan itu, anda boleh mendapatkan ruang barangan ekstra untuk meletakkan peranti pintar atau barangan lain pada ruang bawah konsol tengah, terima kasih kepada penggunaan sistem shift-by-wire yang menyusahkan.

 

5. Harga jualan yang memang berbaloi-baloi

Proton S70 varian Flagship X yang kami pandu uji ini dijual pada harga bermula dari RM94,800 sahaja, di mana anda akan mendapat kelengkapan tambahan seperti bumbung suria dan alat perakam video digital (DVR) tunggal.

Jelas sekali di penghujung hari, Proton S70 Flagship X ini merupakan satu pembelian yang sangat berbaloi jika anda merasakan kereta-kereta segmen B pada julat harga tersebut tidak cukup premium, atau harga sedan segmen C Jepun yang masih lagi di luar kemampuan.

Namun jika anda langsung tidak mementingkan elemen moden, kemewahan dan keselamatan canggih yang wujud pada varian Flagship X, masih wujud varian asas Executive dengan harga bermula dari RM73,800.

Bagi penulis, varian standard ini sudah lebih daripada mencukupi di mana ia masih lagi didatangkan dengan lampu halogen, lampu DRL LED, rim 16 inci, kelengkapan keselamatan ADAS asas (RCW, LCA, DOW, & RCTA).

Paling penting, varian asas ini juga dirasakan lebih selesa untuk pemandu dengan kehadiran tempat duduk balutan fabrik yang lebih menyokong postur pemandu dan paling penting, paparan meter analog tradisional!

Kejap, ini ulasan S70 Flagship X atau S70 Executive?

 

Spesifikasi ringkas Proton S70 2024

Enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter turbo
Kuasa 150 PS @ 5,500 rpm
Daya kilas 226 Nm @ 1,750-4,000 rpm
Kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan
Sistem pacuan roda depan
Suspensi topang MacPherson hadapan/torsion beam belakang
Ruang kargo 500 liter
Tangki bahan api 50 liter
Harga RM94,800

 

Toyota Corolla GR Sport – Sekadar tepek emblem?

BAGUS sebenarnya sesebuah pengeluar mempunyai ‘halo car’ atau kereta yang terhebat dalam barisan model mereka. Sekurang-kurangnya ia boleh menjadi aspirasi pengguna yang belum cukup bajet dengan membeli model-model yang lebih mampu milik.

Sebagai contoh, Honda ada Civic Type R, maka peminat yang belum mampu boleh membeli Civic FE. Proton dulu ada Satria GTi, peminat boleh membeli Satria biasa. Dan Mazda dulu ada RX-7, peminat yang sedang menabung boleh membeli Mazda3 dahulu.

Toyota pula sekarang ada barisan kenderaan prestasi tinggi seperti GR Yaris, GR Corolla dan GR Supra. Jadi adakah ia mampu melariskan jualan Corolla dan Vios?

Eh ada juga model pertengahan, iaitu Corolla GR Sport. Ya, GR Sport sama seperti AMG Line untuk Mercedes atau M Sport untuk BMW; bukan all-out high performance, tetapi masih dapat ‘jajan’ sporti.

Kenapa perlu ada GR Sport?

Memandangkan Toyota Corolla sedan sudah berada dalam pasaran sejak 2019, maka bersesuaian untuk UMW Toyota memperkenalkan versi GR Sport sebagai pembaharuan atau facelift. Corolla GR Sport dilancarkan pada Ogos 2023, kira-kira empat tahun selepas pelancaran Corolla sedan.

Ini juga susulan pengenalan lima model GR secara serentak tahun lepas – GR86, GR Supra 6MT, GR Corolla, Hilux GR Sport, dan Corolla Cross GR Sport. Maka, Corolla sedan juga ibaratnya menunggu masa sahaja untuk di-GR-kan.

Dari sudut persaingan segmen-C pula, bagi penulis ini mungkin jawapan Toyota kepada Honda Civic FE di Malaysia. Jika dulu Honda Civic FC facelift pernah diberikan tayar Michelin Pilot Sport kerana Corolla mendapat Michelin Primacy, penulis anggap pengenalan GR Sport ini juga jawapan kepada Honda.

Sekadar tepek emblem?

Adakah ini sekadar tepek emblem GR? Tidak juga, lebih dari itu. Toyota Corolla GR Sport ini dilengkapi dengan bampar depan lebih agresif, bampar belakang dengan kemasan diffuser, tulisan-tulisan GR di merata badan luar dan dalam, dan grafik meter baharu yang lebih sporti.

Paling penting dan paling penulis suka, ialah rim lebih besar 18-inci, berbanding 17-inci pada model biasa. Kemudian tayar Dunlop SP Sport Maxx 225/40 yang nampak lebih sporti berbanding Michelin Primacy 225/45.

Akhir sekali ialah suspensi yang – menurut UMW Toyota – telah ditala semula penyerap hentak, spring, dan bar anti-olengnya.

Banyak juga ya? Cukup lazat? Oh ya, enjin tidak diusik, masih mengekalkan penggunaan 1.8-liter 2ZR-FE naturally-aspirated dengan 138hp dan 172Nm, dipadankan dengan CVT.

Kira ok juga lah, sebab harga pun bertambah RM5,000 sahaja berbanding Corolla biasa. Versi GR Sport ini dijual pada harga RM152,800. Bagi penulis, memberikan nilai wang yang cukup menarik jika dilihat perubahan dan talaan yang diberikan.

Cuma grafik meter ada satu perkara kurang memuaskan. Bila anda tukar mod, terdapat animasi Toyota Corolla bergerak tetapi dari rekaan rim yang dipaparkan, seperti Corolla biasa dan bukannya GR Sport. Sekadar komen untuk perkara yang tidak berapa penting.

Jadi, memang seronok dipandu?

Ya, seronok dipandu. Penulis masih ingat Toyota Corolla biasa dulu memang senyap, sangat refined, tetapi boleh dikerah laju jika anda mahu bergegas. Toyota Corolla GR Sport ini pula kebanyakan kawalannya lebih keras dan jitu.

Disebabkan suspensinya ditala semula pada agak banyak komponen, anda boleh terus merasainya. Sebagai contoh bila melalui bonggol, wah keras dan mantap juga serapan suspensinya.

Stereng juga sangat menerus atau direct. Sedikit input anda berikan ke kiri atau kanan, terus input ini dipindahkan ke badan kereta. Hampir tiada langsung free play di tengah stereng.

Talaan stereng yang tepat ini memberikan anda sensasi kepuasan semasa memandu di kelajuan tiga digit. Pada masa yang sama, ada rasa keyakinan memandu dan menjurus kepada meningkatnya tahap keselamatan.

Casis TNGA (Toyota New Global Architecture) pada Corolla biasa pun sudah boleh membuatkan kereta itu stabil dan senyap, dengan versi GR Sport ini ia menyerlahkan lagi kemampuan casis.

Cuma bila anda pandu Corolla GR Sport ini, jangan guna mod Sport kerana penulis dapati tetapan CVT-nya terlalu sensitif. Pedal minyak memang sedap dalam Sport. Tetapi untuk kepuasan dalam semua situasi, guna sahaja mod Normal.

Pedal minyak masih mengikut ‘input’ kaki, dan tindak balas CVT pula lebih semula jadi. Pemanduan secara keseluruhan lebih tenang tetapi kekal sporti.

Boleh pakai daily?

Dengan jiwa GR, sudah tentu Toyota Corolla ini masih boleh digunakan seharian! Ia bukanlah jentera prestasi tinggi yang terlalu fokus. Ia masih 80 peratus sedan keluarga, mungkin 20 peratus sahaja bersifat kereta sport.

Anda masih dapat praktikaliti harian sebuah sedan segmen-C. Seperti penulis katakan, kereta ini senyap, stabil, penulis berjaya pandu dengan lebih laju dari kebiasaan tetapi semua empat penumpang lena tidur. Magik casis TNGA dan input lancar penulis kot, ehem.

Corolla GR Sport masih sebuah sedan biasa, cuma pengalaman pemanduannya disuntik sedikit elemen sporti.

Dengan pemanduan seperti biasa, ada memecut, duduk dalam kesesakan trafik, bawa penumpang dan barangan, penulis masih dapat 9.0L per 100km, bersamaan 11.11km/liter.

Untuk siapa?

Bagi penulis, ada dua jenis pembeli sesuai untuk Toyota Corolla GR Sport ini. Pertama, mereka yang rasa segmen-C terlalu dibanjiri dengan Honda. Nak pilih Mazda, masih di luar bajet.

Jadi Corolla GR Sport di tengah-tengah. Sedikit kelainan, tetapi harga masih boleh tengok, orang kata.

Kedua, adalah jenis pembeli yang taksub dengan jenama Toyota atau Gazoo Racing. Pembeli ini berminat untuk menyambar GR Yaris bila harga terpakai kurang RM180,000 nanti, jadi sementara itu ambil Corolla GR Sport dahulu. Buat raso-raso

Spesifikasi Toyota Corolla GR Sport

Harga: RM152,800
Enjin: 2.0-liter naturally-aspirated 4-silinder
Kotak gear: CVT
Kuasa: 138hp @ 6,400rpm
Tork: 172Nm @ 4,000rpm