Tag Archives: elektrik

Volvo EX30 2023 didedah – SUV paling kecil, EV sahaja

VOLVO baru sahaja mendedahkan EX30, iaitu SUV terbaharu mereka. Ia juga merupakan SUV paling kecil, iaitu lebih kecil dari XC40, dan hanya ditawarkan dalam versi EV buat masa ini. Buat mereka yang berminat dengan XC40 tetapi rasa belum cukup bajet, mungkin EX30 boleh menjadi calon sesuai.

EX30 sudah boleh ditempah di beberapa pasaran seperti Eropah, dengan harga £33,795 (RM193,741) di UK. Volvo berkata harganya adalah dalam julat model SUV yang sama saiz dengannya.

Saiz kompak

Bercakap mengenai saiz, Volvo EX30 mempunyai ukuran 4,233mm panjang, 1,837mm lebar, 1,555mm tinggi, dengan jarak roda 2,650mm. Menurut Volvo, casisnya telah ditala untuk memanfaatkan saiznya yang kompak. Beratnya adalah 1,830kg.

EX30 mempunyai bahasa rekaan sama dengan EX90 yang lebih besar seperti gril bertutup, lampu Thor’s Hammer digital, lampu belakang terpisah, dan papan pemuka yang serupa.

Kabin minimalis serba baharu

Seperti Volvo sebelum ini, kabin EX30 cukup minimalis tetapi menggunakan rekaan baharu sepenuhnya. Papan pemuka mendapat skrin infotainmen menegak bersaiz 12.3-inci dengan perisian seperti Google, Apple, dan Qualcomm. Terdapat juga ECARX, dan semua ini boleh dikemas kini secara over-the-air.

EX30 juga didatangkan dengan kunci digital yang boleh diintegrasikan dengan pelbagai model telefon pintar, dengan aplikasi untuk fungsi seperti mengecas, lokasi, mengunci, dan memanas. Park Pilot Assist pada EX30 merupakan versi terkini.

AWD dwi-motor, Volvo paling pantas

Anda boleh memilih Volvo EX30 dengan dua pilihan iaitu Single Motor Extended Range dan Twin Motor Performance.

Yang pertama iaitu Single Motor Extended Range mendapat motor tunggal di belakang, dengan output 268hp dan 343Nm tork. Bateri 64kWh padanya direka untuk jarak pemanduan lebih jauh, iaitu sekitar 440km.

Untuk anda yang mahukan prestasi, boleh memilih varian Twin Motor Performance. Dua motor di depan dan belakang, menjadikannya AWD, memberikan output 422hp dan 543Nm tork. Walaupun output ini tidak setinggi XC40 EV atau C40 EV, EX30 mampu memecut 0-60 batu sejam (0-96km/j) dalam hanya 3.4 saat.

Mungkin kerana saiznya yang lebih kompak, lebih ringan, dan teknologi motor serta bateri yang lebih terkini. Untuk ini, kita harus tunggu hari pelancaran dan pandu uji untuk kami siasat. Harus diingat, pecutan 0-96 dalam 3.4 saat tadi menjadikan EX30 sebagai model Volvo paling pantas.

Untuk pengecasan pula, bateri NMC tadi boleh dicas menggunakan DC dengan kapasiti setinggi 153kW, bermakna 10-80 peratus dicapai dalam hanya 26.5 minit.

Cross Country

Oh ya, bermula 2024, Volvol EX30 juga akan ditawarkan dalam varian Cross Country yang lebih rugged dan sesuai untuk mengembara, mungkin.

Ia mendapat jarak kelegaan tanah lebih tinggi, pilihan rim 18- atau 19-inci, tayar all-terrain, skid plate, panel hitam khas pada bampar, dan tulisan Cross Country.

Honda e:Ny1 ialah EV dengan rupa seperti HR-V, jarak pemanduan 412km

HONDA baru melancarkan kenderaan elektrik (EV) kedua mereka di Eropah dengan satu nama yang agak sukar disebut, e:Ny1.

Lebih baik Honda panggil sahaja HR-V EV kerana memang nampak seperti crossover itu, tetapi mereka berkata ianya kereta yang berlainan sama sekali. Jika anda peka dengan pasaran EV China, anda perasan bahawa e:Ny1 mirip dengan e:NS1 dan e:NP1 yang dijual di sana.

Selain bab nama, e:Ny1 menjadi alternatif kepada Honda e yang merupakan kereta EV bandar. e:Ny1 juga bakal mempunyai sasaran pelanggan lebih besar memandangkan ia berada dalam segmen yang kompetitif.

EV ini dibina pada pelantar e:N Architecture F dengan pacuan motor di depan. Ia dibekalkan dengan pek bateri lithium-ion 68.8kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 412km (menurut kitaran WLTP).

Honda berkata dengan menggunakan pengecas pantas DC, e:Ny1 mampu dicas dari 10 ke 80 peratus dalam hanya 45 minit.

Bateri ini dihubungkan kepada unit pacuan berintegrasi, motor elektrik, dan kotak gear yang memberikan 201hp dan 310Nm tork.

Honda juga berkata e:Ny1 dibangunkan dari casis baharu khas untuk kenderaan EV yang mempunyai tahap ketegaran yang tinggi. Digabungkan dengan pelantar dan janaan kuasa baharu ini, casis ini dikatakan mampu memberi pemanduan dinamik yang menjadi identiti Honda; responsif dan selesa.

Tidak banyak yang dapat dikatakan untuk aspek penggayaan. e:Ny1 nampak sangat mirip dengan HR-V yang berkuasa petrol. Sedikit perbezaan termasuklah lencana H putih di beberapa bahagian kenderaan, dan tulisan “HONDA” di pintu but belakang.

Perkara utama di bahagian dalam adalah konsol tengah baharu dengan butang fizikal, beberapa pilihan ruang simpanan, pengecas tanpa-wayar, dan skrin sesentuh besar bersaiz 15.1-inci.

Honda e:Ny1 akan tiba di Eropah dalam masa terdekat, harga dikatakan bermula sekitar GBP30,000 (RM166,685) di UK. Ini meletakkan Honda e:Ny1 dalam persaingan bersama Peugeot e-2008, Jeep Avenger, Hyundai Kona Electric, dan Kia Niro EV.

Seong Hoe Premium Motors rasmi fasiliti pengecas MINI di Melaka – 40kW dan 22kW

SEONG Hoe Premium Motors, wakil pengedar paling lama di bawah BMW Group Malaysia di Melaka hari ini melancarkan fasiliti pengecasan MINI baharu di Kota Syahbandar.

Fasiliti itu hanya dua kilometer dari perkarangan Jonker Street yang strategik. Ia bakal memenuhi permintaan pengguna dari dalam dan luar negeri terhadap infrastruktur kenderaan elektrik (EV) yang sedang berkembang pesat.

Pusat pengecas MINI Seong Hoe Premium Motors terletak di Jalan KSB 1, Taman Kota Syahbandar. Ia dilengkapi dengan empat lot parkir terdiri daripada dua unit pengecas DC Stellar40 40kW dan dua unit pengecas AC Nexus 22kW – dikuasakan oleh ChargeSini.

Pengguna perlu membuat bayaran caj minimum sebanyak RM5 setelah tempahan bagi khidmat pengecasan tersebut disahkan.

Kadar penggunaan bagi unit pengecas DC tersebut ialah RM1.20 per kWh atau RM0.80 per minit, manakala kadar bagi unit pengecas AC pula bermula daripada RM0.07 per minit pada paras 3.7kW hingga ke RM0.40 per minit pada paras 22kW.

Fasiliti Pengecasan MINI yang baharu diperkenalkan oleh Seong Hoe Premium Motors merupakan sebahagian daripada 1,000+ fasiliti pengecasan yang terletak di bawah rangkaian BMW Group Malaysia setakat ini.

Lebih daripada 100 buah fasiliti pengecasan BMW i dan MINI juga disediakan di kebanyakan pusat pengedaran yang bertauliah, di samping lokasi-lokasi para rakan kongsi di serata negara, dan banyak lagi yang akan menyusul melalui pelan perluasan infrastruktur yang telah disasarkan untuk tahun hadapan.

Mini klasik boleh ditukar menjadi EV dengan mudah guna kit Electrogenic

ELECTROGENIC telah memperkenalkan kit modifikasi EV (elektrik) untuk Mini klasik. Syarikat British itu sebelum ini telah menawarkan kit elektrik untuk Citroen DS, Land Rover Defender dan Jaguar E-Type.

Kit pra-pemasangan itu akan mengubah Mini A-Series enjin kepada motor elektrik sejukan cecair yang mampu menghasilkan 60hp dan 136Nm tork yang disalurkan melalui kotak gear nisbah tetap.

Output ini setanding dengan enjin Rover 1997-2000 pada Mini A-Series yang menjana 63hp dan 95hp. Tetapi ia penambahan signifikan berbanding Mini klasik 1959 (34hp dan 60Nm) yang juga dikenali sebagai Austin Seven.

Berbalik kepada kit elektrik tadi, kuasa dibekalkan oleh bateri 20kWh yang memberikan 128km jarak pemanduan dalam bandar, dimana motornya boleh memperoleh semula tenaga secara berterusan dalam trafik berhenti-mula dan di kelajuan rendah.

Varian extended range akan diperkenalkan kemudian, dimana ia akan mendapat bateri kedua tambahan di but belakang. Untuk pengecasan, ia menggunakan port Type 2 yang boleh diakses melalui gril depan.

Kit ini tidak memerlukan sebarang modofikasi terhadap struktur Mini, menjadikannya boleh diubah semula. Ianya serupa dengan kit Electrogenic Porsche 911.

Hanya perlu ‘bawa keluar’ enjin dan masukkan kit elektrik. Mekanik hanya perlu memasang beberapa skru sub-rangka dan menyalurkan pendawaian kepada papan pemuka.

Pakej Electrogenic ini akan mula dijual pada musim luruh di UK, dengan harga bermula £15,000 (RM84,118) termasuk VAT.

Pengasas Electrogenic, Steve Drummond berkata: “Kami telah mengubah beberapa Mini dalam beberapa tahun kebelakangan ini kepada EV dan telah mendapat permintaan signifikan untuk solusi mudah serta mesra bajet.”

“Kit drop-in baharu kami ini menepati ciri-ciri itu dengan sempurna. Ianya jimat kos, mudah dipasang, tetapi masih memberikan presatsi elektrik menakjubkan, hasil dari teknologi EV generasi terkini.”

Balik beraya dengan EV? Kami cuba sendiri dengan Volvo C40 Recharge

DUA benda yang diketahui umum mengenai kenderaan elektrik bateri (BEV atau EV); pecutan luar biasa oleh respon motor elektrik, dan jarak pemanduan terhad kerana lokasi mengecas yang belum menyeluruh.

Kali ini kami akan fokuskan perkara kedua iaitu jarak pemanduan terhad, atau benarkah begitu? Dan untuk itu, kami uji sendiri dengan memandu Volvo C40 Recharge Pure Electric pulang ke kampung menyambut Hari Raya.

Mahu tahu juga bab pecutan? Baiklah, Volvo C40 EV dibekalkan dengan struktur bateri 400-volt berkapasiti 78kWh. Pakej ini menghasilkan 402hp dan 660Nm tork, dihantar ke semua roda melalui dua motor elektrik.

Disebabkan C40 EV ini telah menjadi sebuah SUV pacuan semua-roda (AWD), tork setinggi 660Nm itu mampu ‘melontarnya’ ke depan mencapai 100km/j dalam hanya 4.9 saat walaupun ia mempunyai berat hampir 2.2 tan termasuk pemandu.

Bagaimana rasanya? Ada sedikit rasa seperti kapal terbang hendak berlepas, malah pecutan maksima ini mampu membuatkan penumpang anda rasa sedikit pening. Itu yang dikomen oleh rakan penulis semasa beliau ‘dibelanja’ dengan tork jentera EV.

Baik, cukup setakat itu. Seterusnya, mari penulis kongsikan ‘pengembaraan’ memandu EV di musim perayaan. Kita akan lihat segalanya dari kerisauan jarak (range anxiety), pemanduan lebuh raya, kesesakan trafik, hinggalah pengecasan.

Pengembaraan (atau cabaran?) EV di musim perayaan

Sebenarnya semasa mula ditawarkan oleh Volvo Car Malaysia untuk memandu uji C40 EV ini semasa cuti Hari Raya, penulis agak keberatan memandangkan isu-isu yang bakal dihadapi. Penulis hampir memilih model PHEV sahaja, kemudian penulis terfikir, apa kata ambil saja C40 ini. Anggap ia sebagai cabaran.

Dengan bateri penuh 100%, penulis bergerak dari ibu pejabat Volvo Malaysia menuju ke rumah. Setelah menyelesaikan beberapa urusan, petang itu penulis memulakan perjalanan balik kampung dengan bateri 89%. Penulis turut membawa isteri, dua anak kecil, dan barangan penuh.

Anda semua tahu kan macam mana orang rumah angkut barang semasa balik kampung beraya.

Ini bukan kali pertama penulis memandu jarak jauh dengan EV, tetapi ini kali pertama bersendirian. Sebelum ini dengan sesi media, jadi perancangan mengecas diatur oleh penganjur.

Kali ini, semuanya terserah kepada penulis. Volvo C40 dilengkapi dengan Google Maps binaan dalam yang diintegrasikan dengan fungsi kereta. Menurut Google Maps, penulis akan sampai ke Kuantan dengan bateri berbaki kurang 10%. Ok, gementar juga.

Di lebuh raya, penulis cuba tetapkan Adaptive Cruise Control pada 110km/j kerana lebih dari itu, ia tidak begitu cekap. Kebanyakan EV kurang efisyen di kelajuan tinggi memandangkan tiada kotak gear, maka motor elektrik beroperasi dalam keadaan ‘direct drive’.

Sangat ideal di kelajuan rendah, sangat tidak ideal di kelajuan tinggi. Walaupun anda keluarkan semua 402hp dan 660Nm sebaik lampu isyarat bertukar hijau, ia masih jimat, asalkan kelajuan tidak terlalu tinggi dalam bandar. Jadi, drag race di lampu isyarat memang makanan EV seperti Volvo C40 ini.

Berbalik kepada perjalanan penulis tadi, hanya beberapa ketika penulis pergi ke kelajuan sehingga 125km/j untuk memotong, kemudian kembali ke 110km/j.

Akhirnya penulis sampai ke bandar Kuantan dengan bateri berbaki 11%. Bila difikirkan semula, tidaklah teruk mana. Hanya 78% bateri digunakan untuk jarak kira-kira 280km tanpa perlu berhenti mengecas dalam perjalanan.

Perjalanan pulang dari Kuantan ke Shah Alam juga tidak seteruk yang disangkakan. Mulanya Google Maps menunjukkan bateri akan berbaki 8% semasa sampai, tetapi disebabkan penulis hanya tetapkan Cruise Control pada 105km/j, anggaran baki bateri perlahan-lahan meningkat kepada 15%.

Akhirnya sampai ke Shah Alam dengan bateri berbaki 16%.

Secara kasar, pemanduan EV adalah terbalik dengan kereta petrol. EV tidak risau jika tersekat dalam kesesakan berjam-jam kerana motor elektrik tidak bergerak jika kereta tidak bergerak, berbanding kereta petrol yang tetap membakar bahan api semasa kereta tidak bergerak.

Bila meluncur di lebuhraya, kereta petrol akan lebih jimat jika memandu di kelajuan tinggi kerana adanya kotak gear yang membolehkan rpm enjin beroperasi pada kelajuan optimum, berbanding motor elektrik EV yang terpaksa berpusing di kelajuan tinggi selaras dengan kelajuan kenderaan.

Di dalam bandar, tiada langsung isu kerisauan jarak. Penulis sempat menyelesaikan urusan persiapan akhir menjelang raya, menyambut raya, dan bersiar-siar tanpa gelisah. Berhenti lama di lampu isyarat atau pecut laju untuk tukar lorong dan memotong, bacaan baki bateri tidak turun mendadak.

Bila bateri dicas sehingga 90% mengikut saranan komputer Volvo untuk menjaga ‘tahap kesihatan’ bateri, ia masih berbaki kira-kira 40% selepas dipandu beberapa hari untuk perjalanan jarak dekat.

Kebanyakan masa penulis mengecas C40 di pengecas pantas DC berkapasiti 60kW di tengah bandar Kuantan, kerana lokasi pengecasan yang lain hanya menawarkan kapasiti sekitar 20kW atau 30kW sahaja.

Kadar bayaran pengecas bergantung kepada operator penyedia mesin pengecas itu sendiri. Ada yang sekitar RM0.80 setiap minit, RM1.20 hingga RM1.60 seminit. Seingat penulis, ada juga pengecas yang menawarkan kadar mengikut kW. Apa pun, pengecas EV masih mengamalkan pasaran terbuka.

Berikut disenaraikan nota setiap sesi pengecasan sepanjang lebih seminggu dan lebih 1,600km penulis memandu Volvo C40 Recharge EV ini:

1.
Baki bateri dan jarak: 9%, 45km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh masa: 64 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 87%, 340km

2.
Baki bateri dan jarak: 33%, 120km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh masa: –
Peratus bateri dan jarak baharu: 90%, 350km

3.
Baki bateri dan jarak: 69%, 260km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh: 18 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 90%, 330km

4.
Baki bateri dan jarak: 13%, 60km
Kapasiti mengecas: 89kW
Tempoh: 27 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 65%, 250km

5.
Baki bateri dan jarak: 12%, 55km
Kapasiti mengecas: 57kW
Tempoh: 65 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 90%, 380km

6.
Baki bateri dan jarak: 28%, 110km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh: 40 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 93%, 410km

7.
Baki bateri dan jarak: 10%, 44km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh: 16 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 32%, 120km

Sepanjang tujuh kali penulis sampai ke tempat mengecas, mujurlah kebanyakannya kosong dan tiada kereta yang sedang dicas sebelum itu. Cuma sekali sahaja terdapat sebuah BMW iX, itupun ia sudah melebihi 97%, dan telah penuh beberapa minit selepas itu.

Hanya sekali sahaja penulis berdepan dengan mentaliti tipikal rakyat Malaysia, semasa di R&R Gambang Arah Timur. Masa itu Hari Raya kedua, penulis dalam perjalanan balik ke Kuantan selepas beraya di Temerloh dan Jengka di hari sebelumnya.

Hari Raya kedua biasalah kereta sudah banyak di jalan raya kerana orang mula keluar berziarah, stesen minyak pun penuh. Sesampainya penulis di pengecas Gentari di Petronas itu, terdapat sebuah kereta petrol biasa parkir di depan tempat mengecas. Bukan di dalam petak, tetapi ia tetap menghalang penulis dari memasuki tempat mengecas.

Terpaksalah penulis membunyikan satu hon pendek mesra di situ. Dia malu atau marah, penulis tak mahu ambil tahu.

EV lebih jimat berbanding petrol?

Ini satu topik yang luas, sebenarnya perlukan satu artikel lain untuk dikupas. Tetapi untuk pendekkan cerita, boleh jadi jimat dan tidak jimat berbanding petrol.

Paling penting ialah, untuk hari ini, April 2023, mentaliti pemilikan EV di Malaysia ialah, “Aku beli untuk cuba teknologi baharu, untuk memahami dan mempelajarai mobiliti elektrik, dan untuk mengurangkan pelepasan karbon ke alam sekitar.”

Bukan untuk jimat belanja petrol ya. Dan penulis ingin tekankan, mentaliti ini akan berubah bergantung kepada rangkaian pengecasan di negara ini, harga purata model-model EV, dan jarak pemanduan yang ditawarkan.

Pemanduan premium, rupa unik

Secara keseluruhan, C40 Recharge EV masih sebuah kenderaan yang selesa dan nyaman dipandu, seperti model-model Volvo lain. Ianya diasaskan dari XC40 iaitu SUV kompak mereka yang cukup popular, tetapi C40 hanya hadir sebagai model EV, dan tidak ditawarkan dengan pilihan petrol atau PHEV.

C40 menampilkan rekaan lebih sporti dengan rupa SUV coupe. Walaupun harganya RM288,888 iaitu sedikit lebih mahal berbanding XC40 EV (RM278,888), C40 sebenarnya mempunyai saiz kabin lebih kecil sedikit, tetapi itulah pengorbanan yang perlu kita bayar untuk rupa yang lebih unik, bukan?

Volvo XC40 masih sebuah SUV yang sangat segak di mata penulis, tetapi C40 jauh lebih ‘segar’. Dengan lampu depan yang lebih sepet, panel gril flat yang menunjukkan ia sebuah EV, bumbung yang menurun ke belakang lebih sporti, spoiler bumbung dan spoiler di hujung but, serta rekaan lampu belakang berbeza yang cukup cantik, membuatkan ia mudah menjadi perhatian orang.

Semasa mengecas, orang merenung C40 ini kerana melihat kenderaan EV sedang dicas bukanlah suatu pandangan yang begitu biasa lebih-lebih lagi di Pantai Timur buat masa ini. Semasa dipandu perlahan di kawasan perumahan dan kampung juga orang cenderung memandang ke gril depan untuk mengenalpasti kereta apa yang mereka sedang lihat.

Mujurlah penulis pandu C40 dengan warna Crystal White yang dikira agak biasa. Jika penulis dapat unit dengan warna Thunder Grey atau Sage Green, mungkin lebih menyerlah.

Khas untuk Volvo C40 Recharge EV ialah kemasan topografi di papan pemuka yang begitu cantik, lebih-lebih lagi bila menyala di waktu malam. Ia hanya panel plastik keras, tetapi rupa dan rasa padanya cukup unik, tak pernah penulis lihat di kereta lain.

Ini sedikit sebanyak menunjukkan pereka Volvo kreatif dan membezakan kemasan kabin kenderaan mereka yang kelihatan hampir sama. Ia tidak membosankan, tetapi tidak seperti terlalu menunjuk.

Kualiti pemanduan Volvo C40 Recharge EV ini juga berada di tahap yang tinggi. Ia disumbangkan oleh gabungan seperti tempat duduk selesa, pendingin hawa nyaman CleanZone dengan sistem penapis udara PM2.5, dan sistem audio Harman Kardon 600W.

Ditambah pula dengan segala butang kawalan yang sedap dipegang dan digunakan, stereng dengan berat yang secukup rasa, semuanya membuatkan pemanduan jauh langsung tidak memenatkan.

Cuma anda jangan harapkan pemanduan sporti dari C40 ini, kerana rata-rata kenderaan Volvo bukan direka untuk mengejar catatan masa di litar atau mengacah Volkswagen Golf GTi. Ia cuma menawarkan pemanduan selesa, laju jika anda mahu, dan tetap terkawal.

Saya akan beli satu?

Soalan bonus, adakah penulis akan beli sebuah Volvo C40? Jika mampu, tetapi hanya ada dua kereta di rumah, mungkin penulis tak akan jadikan ia kereta kedua. Tetapi jika garaj lebih besar dan mampu memuatkan empat kereta, mungkin penulis akan ‘sumbat’ C40 ini.

Akhir sekali, sebagai menjawab semula tajuk artikel ini, ya, boleh pandu kenderaan EV untuk balik kampung, asalkan anda rajin merancang. Tiada perjalanan tiba-tiba di saat akhir.

Adakah penulis akan lakukannya lagi? Mungkin tidak untuk Raya Haji tahun ini. Tetapi untuk Raya tahun depan, mungkin ya. Kerana dapat dilihat semakin banyak lokasi pusat pengecasan sedang dalam pembinaan dan akan ditambah.

Spesifikasi Volvo C40 Recharge Pure Electric

Harga: RM288,888
Bateri: 400 volt, 78kWh
Sokongan pengecasan: Sehingga 150kW
Kuasa: 402hp
Tork: 660Nm

Proton elektrik (EV) pertama seawal 2025 – Timbalan CEO

PROTON Holdings Bhd (Proton) bakal memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) pertama mereka seawal 2025, menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah. Ini bermakna perancangan itu dipercepatkan berbanding pelan awal pada 2027.

Roslan berkata langkah mempercepatkan pengenalan model EV pertama Proton adalah selaras dengan komitmen kerajaan yang memberi sokongan kukuh kepada perkembangan EV di Malaysia.

“Buat masa ini, Proton sedang giat mengenalpasti model yang bersesuaian untuk diperkenalkan bagi memenuhi keperluan pelanggan tanpa berkompromi dari aspek harga mampu milik dan praktikal,” katanya.

“EV menjadi antara tumpuan Proton. Justeru, kami sedang giat melaksanakan usaha untuk mempercepatkan pelancaran model EV Proton pertama seawal 2025.

“Kita sedang kenal pasti model supaya ia dapat ditawarkan pada harga mampu milik dan praktikal. Kedua-dua elemen ini penting untuk kereta EV Proton,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Kempen Proton Rahmah 2023.

Roslan ketika menjadi ahli panel sesi Pelaburan dalam EV – Peluang dan Cabaran pada forum Invest Malaysia Series 2: The Road to EV sebelum ini mendedahkan bahawa Proton memiliki dua model pembakaran dalaman (ICE) yang boleh ditukar kepada EV, namun pengeluar kereta nasional itu perlu memahami pasaran, teknologi dan pelaburan sebelum memutuskan untuk menjadi sebahagian pengeluar dalam industri alaf baharu itu.

Katanya, pelan hala tuju EV Proton sudah bermula hampir 10 tahun lalu, namun tidak dapat dilaksanakan selepas mengambil kira permintaan pasaran ketika itu.

Menurut Roslan, Proton perlu membuat perancangan rapi sebelum beralih kepada EV kerana perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk pengeluaran, pengedaran dan pemasaran.

Katanya, dari aspek ekonomi, apabila jualan kenderaan ICE Proton mencecah 150,000 unit setahun, ia cukup bagus untuk pengeluar kereta nasional itu mempertimbangkan peralihan kepada EV.

Jaguar I-Pace mendarat di Malaysia – 400hp, 0-100 4.8s, dari RM461k

JAGUAR elektrik sepenuhnya kini telah tiba di Malaysia. Perkenalkan Jaguar I-Pace baharu, kenderaan elektrik bateri (BEV) pertama dari jenama itu. Dan seperti biasa dengan jenama-jenama lain, Jaguar I-Pace ini juga hadir dalam bentuk SUV.

Walaupun berbentuk SUV, ia membekalkan kuasa dan kualiti pemanduan seperti kereta sports, menurut kata Jaguar. Tetapi ini pasti logik, memandangkan I-Pace mempunyai badan dari binaan aluminium dan ketegeran casis setinggi 36kNm/darjah. Senang cerita, memang keras casisnya.

Jaguar I-Pace didatangkan dengan dua motor elektrik (satu di gandar depan, satu di gandar belakang) dengan output keseluruhan 400hp dan 696Nm tork. Ini menjadikan I-Pace sebuah jentera AWD, dan pecutan 0-100km/j boleh dibuat dalam masa 4.8 saat sahaja.

Kuasa dibekalkan oleh bateri berkapasiti 90kW, dan ini membolehkan I-Pace mempunyai jarak pemanduan sehingga 470km (mengikut kitaran WLTP).

Dari segi pengecasan pula, I-Pace boleh disambungkan kepada pengecaj AC 11kWh dan sifar hingga 100 peratus bateri boleh dicapai dalam masa 8.6 jam. Tetapi dengan pengecasan pantas DC, ia hanya memerlukan 40 minit untuk dicaj dari sifar hingga 80 peratus.

Untuk maklumat tambahan, walaupun bateri Jaguar I-Pace terletak di tengah dan bawah kabin, SUV EV ini boleh meranduk air sehingga kedalaman 500mm. Jadi, tiada kerisauan jika berlakunya banjir kilat. Ia juga dilengkapi dengan suspensi udara, dan ketinggian boleh dilaras secara automatik.

Di bahagian dalam, Jaguar I-Pace menampilkan kluster instrumen digital 12.3-inci di depan pemandu. Di tengah pula, terdapat skrin infotainmen Pivi Pro bersaiz 10-inci, dan di bawahnya terdapat skrin ketiga bersaiz 5-inci untuk paparan sistem pendingin hawa digital.

Jaguar I-Pace dijual pada harga bermula RM460,800 untuk Black LE, dan RM498,800 untuk HSE. SUV ini hadir dengan jaminan 5-tahun atau 150,000km, pakej servis percuma 5-tahun, dan jaminan bateri sehingga 8-tahun atau 160,000km.

Jaguar Land Rover Malaysia juga memberikan kredit percuma RM1,000 dalam aplikasi DC GoToU mereka bagi tempahan yang diterima dalam tempoh pelancaran sehingga 28 Mei 2023, yang membolehkan pengguna meninjau lokasi pengecasan dengan mudah sepanjang perjalanan.

Porsche kata one-pedal driving dalam EV tidak begitu bagus

KEBANYAKAN kereta elektrik (EV) hari ini menawarkan fungsi yang dikenali sebagai one-pedal driving. Ia bermakna motor elektrik bertindak sebagai generator sebaik sahaja anda melepaskan pedal ‘minyak’, mmeperlahankan kereta dan menambah semula tenaga kepada bateri, lantas memberikan jarak tambahan tanpa perlu memasang kabel pengecaj.

Tetapi Porsche – yang mengeluarkan EV Taycan dan banyak model emisi sifar lain – mendakwa ianya tidak begitu cekap untuk jangka masa panjang. Mereka berkata ada cara lain untuk pergi lebih jauh dengan EV, iaitu dengan coasting sebanyak mungkin.

Semasa coasting, motor elektrik dipisahkan untuk mengurangkan seretan, membolehkan kereta terus bergerak dengan menggunakan tenaga minima. Porsche berkata ini “proses lebih semula jadi untuk membolehkan kereta terus bergerak tanpa sebarang kuasa”.

“Ini ialah cara lebih cekap untuk memandu, kerana ia mengekalkan tenaga kinetik dalam kenderaan,” kata Martin Reichenecker, Senior Manager Chassis Testing di Porsche Engineering, dalam satu kenyataan media.

Pengeluar Jerman itu menekankan one-pedal driving mengambil tenaga dahulu dan kemudian mengubahnya kepada tenaga gerak, menjurus kepada “dua kali kerugian”, kata Reichenecker.

Pendekatan ini agak jelas dalam barisan model Porsche, dimana Taycan atau Macan EV yang akan datang kedua-duanya tidak menampilkan ciri one-pedal driving. Mereka juga berpendapat cara pemanduan ini (coasting) memberikan karakter lebih mirip dengan kereta pembakaran dalaman (ICE).

Tetapi, brek regenerative masih menjadi sebahagian besar untuk Taycan. Malah, Porsche berkata sehingga 90 peratus dari brek harian boleh dibuat oleh motor elektrik sahaja, tanpa perlu mengaktifkan sistem brek hidraulik.

Brek geseran digunakan kebanyakannya pada kelajuan bawah 5km/j dimana motor elektrik tidak mempunyai kuasa nyahpecutan yang cukup.

Pada kelajuan tinggi, Porsche Taycan Turbo S menjana sehingga 290kW kuasa elektrik semasa membrek, cukup untuk mengisi semula bateri untuk tambahan 0.7km dalam hanya nyahpecutan selama dua saat.

Satu lagi kebaikan brek elektrik ialah kurangnya haus pada sistem brek hidraulik, jadi servis berkala cakera dan pelapik brek boleh dianjakkan, tidak sekerap kereta ICE.

Apa pendapat anda mengenai dakwaan Porsche ini?

Inilah Mercedes elektrik sepenuhnya yang pertama buatan Malaysia, EQS 500 4Matic!

SELEPAS pelancaran EQS 450+ tahun lepas, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini merasmikan pemasangan tempatan (CKD) model berkenaan.

Mercedes EQS 500 4Matic secara rasmi dipasang di kilang pemasangan MBM di Pekan, Pahang. Perasmian sedan EV premium itu dibuat oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Malaysia, sebagai salah satu hab pemasangan elektrik dan elektronik (E&E) di ASEAN, kini mengambil langkah memperkukuhkan posisinya dengan polisi, selain memantapkan ekosistem EV sedia ada,” kata Zafrul.

“Semua ini mendorong para pelabur membantu kita membangunkan industri EV di Malaysia, yang menyokong sasaran negara ini ke arah pelepasan GHG sifar menjelang 2050.

“Pelancaran kenderaan EV elektrik-bateri pertama versi CKD oleh MBM sesuatu yang dialu-alukan untuk Malaysia,” tambahnya.

Sagree Sardien, CEO dan Presiden MBM pula berkata: “Mercedes-Benz telah mencapai satu detik baharu dengan pelancaran kenderaan EV pertamanya, iaitu EQS 500 4Matic.

“Ini menyokong strategi perniagaan global kami dalam menawarkan rangkaian produk EQ yang komprehensif buat pelanggan kami dan menyumbang kepada penerimaan lebih baik di Malaysia,” kata Sardien.

Mercedes EQS 500 4Matic

Mercedes EQS merupakan sedan mewah EV pertama Mercedes. Varian EQS 500 4Matic menjadi model EQ pertama yang dipasang secara CKD di Malaysia. Ia hadir dengan silhouette berbentuk coupe, dengan garisan sisi berotot dan rekaan kemas serta elegan.

EQS 500 seperti pada namanya, merupakan model lebih berkuasa dari EQS 450+ yang dilancarkan di Malaysia tahun lepas. Varian ini menjana 300kW (443hp) dan 855Nm tork dari dua motor, dengan pacuan semua-roda. Pecutan ke 100km/j boleh dibuat dalam 4.8 saat sahaja.

EQS 500 4Matic ini mendapat kuasanya dari bateri lithium-ion berkapasiti 107.8kWh, dan ini menawarkan jarak pemanduan sehingga 696km.

Tidak seperti EQS 450+ yang mendapat kemasan AMG, EQS 500 pula diberikan kemasan Electric Art line yang memberikannya rupa dan penampilan lebih elegan. Ini termasuk star pattern pada gril, rim 5-bilah 20-inci, dan bumbung panoramik gelungsur.

Kelengkapan dalaman pula merangkumi lampu pencahayaan suasana, stereng balutan kulit Nappa, paddlshifter galvanised, kemasan kayu anthracite, kesemuanya memberikan gabungan keselesaan dan kemewahan.

Dari segi pengecasan, Mercedes EQS 500 menyokong sehingga 200kW untuk pengecasan pantas, membolehkannya dicaj dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 31 minit.

Ciri lain pada EQS 500 termasuklah Driving Assistance Plus Package, Active Distance Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, PRE-SAFE, URBAN GUARD, dan MBUX Hyperscreen.

Mercedes EQS 500 4Matic dijual pada harga RM648,888. Dalam majlis pelancaran yang sama, para pengamal media juga dibawa melawat fasiliti pemasangan CKD bagi model EQS.

Audi RS e-tron GT mendarat di Malaysia – 590hp/830Nm, dibuka untuk tempahan, tidak lebih RM769k

TAHUKAH anda kereta apa yang dinobatkan sebagai World Performance Car of the Year 2022? Ianya bukan jentera dengan enjin V10 atau V12, sebaliknya sebuah EV. Ya, kereta elektrik, iaitu Audi RS e-tron GT.

Dan hari ini menyaksikan perasmian RS e-tron GT ke pasaran Malaysia. EV berprestasi tinggi dengan badan sedan-fastback ini dibina dari pelantar J1 yang juga dikongsi dengan Porsche Taycan.

Dengan dua motor elektrik di gandar depan dan belakang, Audi RS e-tron GT ini mempunyai output berjumlah 590hp dan 830Nm tork. Dan apabila dalam mod Boost, output dilonjakkan menjadi 637hp.

Secara efektifnya, dengan dua motor elektrik, Audi RS e-tron GT ini merupakan kereta AWD. Ini membolehkannya memecut dari pegun ke 100km/j dalam hanya 3.3 saat, hingga ke kelajuan maksima 250km/j.

Kuasa dibekalkan oleh bateri lithium 85kW dan dengan caj penuh, e-tron GT ini boleh dipandu sehingga 487km. Ia menyokong pengecasan pantas DC 800volt, membolehkan ia dicaj dari 5 hingga 80 peratus dalam hanya 22.5 minit. Pengecasan AC Type 2 disokong sehingga 22kW.

Selain RS e-tron GT, PHS Automotive Malaysia (PHSAM) juga menawarkan e-tron GT standard, juga dengan konfigurasi dua motor. Output bagi model ini adalah 469hp dan 630Nm tork (523hp dalam mod Boost).

Pecutan 0-100 bagi e-tron GT ini ialah 4.1 saat, dengan kelajuan maksima sedikit rendah, pada 245km/j.

Sebagai tambahan, PHSAM juga memperkenalkan bahawa barisan model-model Q8 e-tron turut akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Harga adalah seperti berikut:

Q8 e-tron (SUV dan Sportback): RM369k hingga RM476k
e-tron GT quattro: RM559k hingga Rm643k
RS e-tron GT: RM749k hingga RM769k

Untuk tempoh terhad, Audi RS e-tron GT boleh dilihat dengan lebih dekat di bilik pameran Audi di Glenmarie, Juru dan Setia Alam. Ia juga akan dipamerkan pada acara Audi Showcase di 1Utama Shopping Centre hujung bulan ini iaitu bermula 22 hingga 26 Februari 2023.

Tempahan boleh dibuat di mana-mana Audi Centre. Maklumat lanjut, sila layari laman web Audi Malaysia.

Lima unit Toyota Mirai diserah kepada SEDC Sarawak, sedan RWD berkuasa hidrogen

UMW Toyota Motor telah menyerahkan empat unit Toyota Mirai kepada SEDC Energy. Serentak dengan itu juga, satu unit kenderaan sel bahan api hidrogen (FCEV) itu diserahkan kepada Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Ini menandakan satu langkah dalam insiatif Mobility For All dan Happiness For All oleh Toyota, ke arah sifar karbon menjelang 2050 berserta Green Mobility dan Green Energy Initiatives oleh kerajaan Sarawak.

Gambar oleh: Facebook SEDC Sarawak

Toyota Mirai itu merupakan model generasi kedua yang mula diperkenalkan di Jepun pada Disember 2020. Sedan pacuan roda-belakang (RWD) itu dibina pada pelantar TNGA (Toyota New Global Architecture) dengan konfigurasi longitudinal (GA-L).

Hidrogen disimpan di dalam tiga tangki kereta, pertambahan berbanding dua tangki pada model sebelumnya. Ini memberikan jarak pemanduan sehingga 850km.

“Untuk menyambung kemaraan kenderaan elektrik, Toyota telah melabur dalam R&D bagi mengkomersialkan kenderaan sel bahan api hidrogen. Dengan penyerahan Mirai kepada SDEC Energy, kedua-dua pihak dijangka mendapat peluang mengkaji potensi teknologi ke arah membangunkan ekonomi karbon rendah,” kata Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.

Tahun lepas, Petroleum Sarawak (Petros) melancarkan stesen pelbagai bahan api yang pertamanya pada April.

Ia menawarkan stesen pengisian hidrogen selain dari bahan api biasa seperti petrol dan diesel selain pengecaj EV dengan kapasiti 22kW dan 60kW.

Prototaip EV Lexus dengan transmisi manual tiruan, boleh ‘mati enjin’ jika silap ‘tukar gear’

TRANSMISI manual dikira hampir pupus. Malah jika anda tolak ke tepi kereta dengan kotak gear manual yang kini hanya berada kira-kira dua peratus dalam pasaran, anda harus terima bahawa EV akan mengambil alih kenderaan di atas jalan.

Tetapi Toyota nampaknya mahu mengubah hakikat ini, atau setidak-tidaknya melambatkan peralihan ke arah EV. Maka sebab itulah mereka kini sedang membangunkan prototaip EV dengan kotak gear manual tiruan.

Mereka baru-baru ini mempertontonkan kepada media di Eropah versi istimewa bagi Lexus UX300e. Crossover EV ini nampak biasa, tetapi ia dilengkapi dengan penukar gear dan klac tiruan untuk memberikan sensasi ‘hubungan’ kita dengan kereta secara old-school.

Pemandu akan dapat menukar gear berbeza apabila mereka sampai ke hujung redline tachometer tiruan. Malah, jika pemandu ‘tersilap menukar gear’ ia boleh menyebabkan EV itu terhenti.

Anda boleh tonton demonstrasi pemanduan EV dengan kotak gear manual ini oleh EVO:

Kenderaan elektrik (EV) jarang mempunyai lebih dari satu atau dua gear. Tetapi Lexus berkata mereka membangunkan konsep ini untuk pemanduan EV yang lebih menyeronokkan, dan mungkin menggunakannya pada model-model hibrid produksi jika mempunyai potensi.

Kami tidak pasti jika transmisi manual tiruan sebegini akan memberikan kepuasan seperti memandu manual sebenar, tetapi yang pasti kami mahu mencubanya!

BMW CE04 skuter EV dengan 42hp, jarak tunggangan 130km, harga anggaran RM60k

SERENTAK dengan pengenalan 3-Series G20 facelift, BMW Motorrad hari ini mendedahkan CE04, iaitu sebuah skuter elektrik (EV). Ianya sejajar dengan pelan mobiliti dalam bandar oleh BMW Malaysia, CE04 menampilkan teknologi terkini untuk permotoran moden.

Harganya dijangka pada sekitar RM60,000, tetapi harga rasmi hanya akan diumumkan pada Mac nanti. Skuter elektrik ini mempunyai kuasa 42hp dan 62Nm tork, dan mampu memecut dari pegun ke 50km/j dalam 2.6 saat, dengan kelajuan maksima 120km/j.

Output disalurkan ke roda belakang melalui lengan ayun tunggal dengan tali sawat bergigi dan transmisi tetap.

CE04 mendapat kuasanya dari unit bateri lithium-ion 8.9kWh, manakala motor elektriknya menggunakan sejukan cecair. Pakej bateri ini memberikan jarak tunggangan sehingga 130km.

Skuter ini akan mengambil masa lebih empat jam untuk pengecasan biasa 2.3kW, tetapi dengan pengecasan pantas 6.9kW, ia memerlukan satu jam 40 minit, atau 0 hingga 80 peratus dalam masa 65 minit.

CE04 hadir dengan rim 15-inci di depan dan belakang, manakala sistem brek adalah cakera 265mm di depan dan belakang, dengan ABS.

Terdapat empat mod tunggangan iaitu Eco, Rain, Road, dan Dynamic. Paparan di depan penunggang adalah skrin TFT 10.25-inci yang dilengkapi sistem navigasi, dan aplikasi BMW Motorrad Connected App.

Ciri lain termasuklah port USB, ruang simpanan dengan port USB dan soket 12 volt, ruang simpanan topi keledar, dan ruang simpanan berlampu.

Aion Hyper GT kereta EV paling aerodinamik di dunia, kalahkan Mercedes EQS

AION telah mendedahkan grand tourer EV baharu iaitu Hyper GT baru-baru ini di Guangzhou Auto Show 2022. Pengeluar yang juga di bawah jenama Guangzhou Automobile Group (GAC) memanggilnya sebagai “kereta produksi dengan rintangan udara paling rendah di dunia”.

Dengan beberapa teknik aerodinamik seperti “Wind Blade Grille” yang membuka ruang bawah bampar depan pada kelajuan tertentu untuk mengurangkan seretan, Aion Hyper GT mempunyai pekali seretan (drag coefficient) serendah 0.19 cd.

Berbanding EV-EV lain dalam pasaran, pekali seretan Aion Hyper GT adalah lebih rendah dari Lucid Air (0.21 cd), Tesla Model S (0.208 cd), dan Mercedes-Benz EQS (0.2 cd).

Tetapi angkanya masih tidak dapat menandingi Lightyear 0 yang akan datang (0.175 cd) dan Volkswagen XL1 yang telah dihentikan pengeluarannya (0.189 cd).

Harus diketahui Hyper GT ini masih dalam fasa konsep dan versi produksi kini dalam persiapan. Ia dijangka memasuki pasaran China pada pertengahan kedua tahun ini.

Apa pun, ia sebuah kereta yang kelihatan sangat cool. Dengan badan yang sleek, lampu belakang 3D, rim 19-inci, pembuka pintu boleh-disimpan, dan bumbung panoramik besar.

Terdapat juga Sky Doors iaitu pintu depan jenis scissor-action yang dibuka ke depan seperti supercar, dan spoiler belakang jenis terpisah ala Porsche Panamera Turbo S, yang naik secara automatik pada kelajuan melebihi 80km/j.

Hyper GT akan dibina berasaskan platform khas EV yang diberi nama AEP3.0, dan dijangka ditawarkan dengan pilihan motor tunggal atau berkembar. Selain itu, GAC tidak berkongsi perincian lebih.

Apa yang telah diketahui ialah motor tunggal menjana 335hp dan 434Nm, yang membolehkan ia memecut ke 100km/j dalam sekitar 4 saat. Jadi dengan setup motor berkembar, mungkin ia mampu mencapai 100km/j lebih pantas.

Aion Hyper GT juga akan menyokong pengecasan sehingga 480kW, dengan kebolehan menukar bateri. Tetapi tidak dinyatakan kapasiti baterinya.

Tiada juga gambaran jelas untuk ruang dalaman, tetapi dari gambar luaran yang ada, kita dapat lihat skrin sesentuh besar di tengah, dan paparan pemandu yang dekat dengan cermin depan. Dari segi dimensi, ura-ura mengatakan Hyper GT akan bersaing dengan Tesla Model 3.

EV terbaharu GAC ini juga akan dilengkapi dengan lambakan pengesan keselamatan, kamera, radar, LiDAR, dan infra-merah. Pengesan-pengesan ini akan terdapat pada bampar, cermin sisi, fender, dan bumbung.

Kumpulan pertama Ora Good Cat tiba di Malaysia – EV kompak bermula RM140k

PENANTIAN sudah berakhir untuk mereka yang menempah EV kompak Ora Good Cat, kerana kumpulan pertama kereta itu sudah mendarat di Malaysia.

Ia baru sahaja dilancarkan hujung bulan lepas dan kami juga telah memandunya pada Oktober lepas, boleh tonton video itu di sini.

Ora Good Cat juga baru-baru ini telah memenangi anugerah “Most Anticipated Newcomer of the Year” oleh rakan media kami di Carlist.my. Ianya sabahagian dari anugerah Car of the Year tahunan mereka.

EV kompak itu dijual pada harga RM139,800 untuk 400 Pro dan RM169,800 untuk 500 Ultra. Jika dilihat pada harga asasnya, Good Cat merupakan EV termurah dalam pasaran Malaysia buat masa ini.

Jaminan pada Ora Good Cat termasuklah 5-tahun atau 150,000km untuk kereta, dan 8-tahun atau 180,000km untuk bateri, selain lima kali upah percuma untuk penyelenggaraan.

Bergantung kepada varian, Ora Good Cat mempunyai dua pakej janaan kuasa. Yang pertama ialah bateri 48kWh dengan jarak pemanduan 400km, manakala versi lebih tinggi mendapat bateri 63kWh dengan jarak pemandua hingga 500km.

Output dan prestasi walaubagaiamanapun adalah sama, iaitu 143hp dan 210Nm tork, dihantar ke roda depan.

Dari segi pengecasan, varian asas Ora Good Cat akan menyokong sistem AC dan DC. Untuk AC, ia akan mengambil masa antara enam hingga lapan jam untuk caj penuh dengan 6.6kW. Sementara itu, pengecasan menggunakan DC hanya akan memerlukan 46 minit untuk 0 hingga 80 peratus.

Bagi varian Ultra dan Ultra G, ia mengambil masa 10 jam jika dicaj menggunakan AC, dan sepantas 40 minit untuk mencapai 80 peratus dengan pengecaj DC.

Ora Good Cat menampilkan rekaan retro moden yang memberikannya imej seperti MINI atau Beetle. Bergantung kepada varian, ia dilengkapi lampu LED sepenuhnya dengan DRL LED, keyless entry, kemasan kulit, panel skrin berkembar 10-inci untuk infotainmen dan 7-inci untuk instrumen, serta penghawa dingin dengan penapis PM2.5.

Kelengkapan keselamatan aktif juga agak banyak, antaranya Adaptive Cruise Control, Automatic Emergency Braking dengan Intersection Support, Front Collision Warning, Wisdom Dodge System, Lane Departure Warning, dan Lane Keeping Assist.

Volvo C40 Recharge kini di Malaysia, SUV kompak paling selamat di dunia – RM288,888

PERKENALKAN Volvo C40 Recharge, baru dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Apa dia C40 ini? Baik, ianya EV kedua Volvo selepas XC40 Recharge Pure Electric, dengan gaya SUV coupe. Lebih sporti dari XC40 biasa?

Untuk angka yang perlu anda tahu, ianya mampu dipandu sejauh 530km setiap caj, dengan pecutan 0-100 dalam hanya 4.7 saat. Cukup laju sebenarnya untuk sebuah SUV.

Pakej janaan kuasa adalah serupa dengan XC40 EV, iaitu dwi-motor P8 AWD, dengan output 408hp dan 660Nm tork. Kuasa ini dibekalkan oleh bateri lithium-ion 78kWh yang terletak di lantai.

Ia boleh dicaj dengan AC Type 2 biasa dan DC fast-charging. Pengecasan menggunakan DC fast-charging akan mengambil masa 40 minit dari 0 hingga 80 peratus.

Untuk penampilan, selain dari bumbung belakang Coupe, Volvo C40 EV ini boleh dikenalpasti dari lampu belakang LED yang direka semula, dan spoiler yang diintegrasi pada bumbung. Selain dari ini, muka depannya dikira serupa dengan XC40.

Bahagian dalaman lebih mirip dengan XC40, bermakna C40 mendapat kemasan kulit, paparan instrumen digital dan paparan sesentuh infotainment menegak. Ciri lain termasuklah Android Automotive OS serta servis Google binaan dalam seperti Maps, Assistant dan Play Store.

Volvo C40 Recharge ini juga hadir dengan kamera 360-darjah, pengecaj tanpa-wayar, Apple CarPlay, sistem audio premium Harman Kardon, dan penapis udara PM2.5.

C40 Recharge baharu ini dijual pada harga RM288,888, termasuk jaminan 5-tahun untuk kereta dan 8-tahun untuk bateri. Ia juga dilindungi oleh Volvo On Call 5-tahun, Volvo Service Inclusive 5-tahun dan Digital Service 4-tahun.

Hyundai Ioniq 5 N bakal mendapat gear palsu, siap dengan bunyi rev limiter

HYUNDAI kini sedang membangunkan versi N untuk model elektrik pertama mereka. Kenderaan yang memenangi banyak anugerah kereta terbaik itu bakal mendapat ‘jajan’ menjadikannya lebih berprestasi tinggi. Ia dikatakan berkongsi komponen dengan Kia EV6 GT.

Disebabkan peminat tegar kereta belum bersedia untuk melupakan jentera sports dengan sensasi enjin sebenar, Hyundai akan menampilkan bunyi tiruan.

Dalam satu temuramah dengan CarExpert, Penasihat Teknikal Eksekutif Hyundai, Albert Biermann berkata idea ini adalah untuk memberikan “sentakan dan gegaran downshift yang sama seperti dalam kereta-kereta N ICE kami”.

Dia menambah, “Ianya akan sangat mirip dengan rasa dan bunyi hot hatch i30 N dengan DCT.”

Berkenaan itu, Ioniq 5 N akan dilengkapi dengan teknologi yang dipanggil Virtual Grin Shift (VGN) yang boleh diaktifkan dengan menekan butang di roda stereng. Pemandu mesti menarik kedua-dua paddle untuk menghidupkan “mod pertukaran gear maya” untuk ‘menukar gear’.

VGN disokong oleh N Sound Plus yang akan memberikan bunyi-bunyi yang biasa kita dengar pada kereta berenjin petrol. Kemaskini over-the-air akan datang pula bakal memasukkan bunyi-bunyi tambahan, malah pemilik juga boleh menambah bunyi mereka sendiri.

Hyundai dilaporkan sedang memperhalusi bunyi-bunyi ini, termasuklah bunyi bila meter rpm menendang redline.

Satu lagi teknologi yang bakal diperkenalkan ialah mod drift dengan penghantaran kuasa lebih ke roda belakang. Mereka juga merancang untuk fungsi brek lebih kuat bagi sistem regenerative braking.

Untuk spesifikasi, kita boleh menjangkakan setup dua motor, yang mana Albert mendedahkan bakal memberikan Ioniq 5 N sekitar 600hp. Tiada maklumat mengenai tork, tetapi EV6 GT mempunyai 740Nm.

Gambar oleh: Motor1

5 ciri utama yang baharu untuk Volvo XC40 B5 Ultimate hibrid 2023

VOLVO Car Malaysia hari ini memperkenalkan naik taraf dan kemaskini bagi XC40 B5 Ultimate untuk tahun-model 2023.

XC40 B5 Ultimate merupakan model hibrid dengan enjin 4-silinder turbo berkuasa 263hp dan 390Nm tork. Ia dipakejkan bersama sistem hibrid dengan teknologi brek yang mampu menyimpan semula tenaga ke dalam bateri untuk sistem operasi lebih cekap.

Kuasa disalurkan ke roda melalui kotak gear automatik 8-kelajuan dari Geartronic. Berikut adalah lima ciri utama yang baharu pada Volvo XC40 B5 Ultimate 2023:

Warna baharu Fjord Blue
Sistem audio premium Harman Kardon
Kamera 360-darjah
Sistem infotainment Android dengan integrasi servis Google
Penapis udara dengan pra-pembersihan PM2.5

Volvo XC40 hibrid 2023 ini dijual pada harga RM268,888 dan boleh didapati dengan warna Black Stone, Crystal White, Silver Dawn, Thunder Grey dan Fjord Blue yang disebut tadi. SUV kompak ini juga hadir dengan pakej servis percuma selama lima tahun jika anda mendaftar kenderaan sebelum 31 Disember ini.

“Di samping kita mengadaptasi cara hidup yang lebih mapan, kami faham yang masyarakat mungkin perlu membiasakan diri dengan konsep elektrifikasi,” kata Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.

“Ini yang menjadikan kami memperkenalkan versi kemaskini untuk XC40 hibrid, sebagai satu langkah sesuai untuk pemandu yang mahukan cara hidup lebih mesra alam,” tambahnya.

Engear pernah memandu uji beberapa varian Volvo XC40 sebelum ini, anda boleh tonton di bawah untuk XC40 Recharge T5 R-Design.

Selain itu, kami juga pernah memandu uji Volvo XC40 Recharge EV yang merupakan model elektrik sepenuhnya. Anda boleh pandu kereta ini dengan satu pedal sahaja!

GWM Ora Good Cat rasmi dilancar – Dari RM140k, jaminan bateri 8 tahun

SETELAH sesi preview dan pandu uji media bulan lepas, Great Wall Motors (GWM) hari ini melancarkan Ora Good Cat secara rasmi. Hatchback EV (elektrik) ini ditawarkan dalam empat varian dengan harga seperti berikut:

Ora Good Cat 400 Pro: RM139,800
Ora Good Cat 500 Ultra: RM169,800

Kedua-dua varian hadir dengan pengecaj mudah-alih dan pengecaj rumah, jaminan kenderaan 5-tahun/150,000km, jaminan bateri 8-tahun/180,000km, dan lima servis penyelenggaraan percuma.

Bergantung kepada varian, Ora Good Cat mempunyai dua pakej janaan kuasa. Yang pertama ialah bateri 48kWh dengan jarak pemanduan 400km, manakala versi lebih tinggi mendapat bateri 63kWh dengan jarak pemandua hingga 500km.

Output dan prestasi walaubagaiamanapun adalah sama, iaitu 143hp dan 210Nm tork, dihantar ke roda depan.

Dari segi pengecasan, varian asas Ora Good Cat akan menyokong sistem AC dan DC. Untuk AC, ia akan mengambil masa antara enam hingga lapan jam untuk caj penuh dengan 6.6kW. Sementara itu, pengecasan menggunakan DC hanya akan memerlukan 46 minit untuk 0 hingga 80 peratus.

Bagi varian Ultra dan Ultra G, ia mengambil masa 10 jam jika dicaj menggunakan AC, dan sepantas 40 minit untuk mencapai 80 peratus dengan pengecaj DC.

Ora Good Cat menampilkan rekaan retro moden yang memberikannya imej seperti MINI atau Beetle. Bergantung kepada varian, ia dilengkapi lampu LED sepenuhnya dengan DRL LED, keyless entry, kemasan kulit, panel skrin berkembar 10-inci untuk infotainmen dan 7-inci untuk instrumen, serta penghawa dingin dengan penapis PM2.5.

Kelengkapan keselamatan aktif juga agak banyak, antaranya Adaptive Cruise Control, Automatic Emergency Braking dengan Intersection Support, Front Collision Warning, Wisdom Dodge System, Lane Departure Warning, dan Lane Keeping Assist.

Apa pendapat anda mengenai ‘kucing baik’ atau Ora Good Cat setakat ini? Berbaloi dijadikan EV pertama?

Pininfarinia Battista pecut 0-96km/j dalam 1.79 saat, cipta rekod baharu!

PININFARINA Battista sebuah hypercar elektrik (EV) yang laju, tetapi kini kita semua tahu berapa laju. Ia baru sahaja memecahkan rekod sebagai hypercar EV dengan pecutan terpantas di dunia. Dan untuk berhenti pula, Pininfarina berkata hypercar itu juga mencipta rekod baharu.

Battista memecut dari 0 ke 96km/j (60 batu sejam) dalam hanya 1.79 saat. Ia kemudian mampu mencapai 192km/j (120 batu sejam) dalam 4.49 saat.

Bayangkan, anda hendak habiskan perenggan di atas pun melebihi lima saat, tapi ia sudah memecut hampir ke 200km/j.

Untuk prestasi membrek, Battista mampu berhenti dari kelajuan 96km/j dalam hanya 101 kaki (30.7 meter).

Menurut Pininfarina, angka-angka di atas adalah rasmi dan merupakan rekod baharu untuk kenderaan produksi. Kelajuan maksima ialah 349km/j, bukanlah suatu rekod tetapi masih sangat laju. Inikan pula untuk sebuah EV.

“Dioptimakan khas untuk agihan berat dan titik graviti yang rendah menjadi perkara penting untuk hasil ini,” kata Ketua Pegawai Produksi dan Kejuruteraan Automobili Pininfarina, Paolo Dellacha.

“Kombinasi casis khas dan talaan suspensi, tayar yang terbukti dari ujian beribu kilometer, dan empat motor elektrik dengan torque vectoring memberikan kuasa menakjubkan yang membolehkan Battista menjadi kereta dengan pecutan terpantas di dunia.”

Bagi anda yang belum tahu, Battista menggunakan empat motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 1,900hp dan 2,300Nm tork.

Pek bateri 120kWh padanya dibekalkan oleh Rimac, disusun dalam bentuk T dan diletakkan rendah di bawah untuk agihan berat optima.

Setiap unit kereta dibina dengan tangan di Itali, mengambil masa 1,250 jam untuk disiapkan. 150 unit dirancang untuk pengeluaran, dengan harga bermula 2.2 juta Euro (RM10.34 juta).

Pengeluaran telah bermula pada Julai lepas, dan penyerahan kepada pelanggan kini akan dimulakan. Pininfarina memilih Arab Saudi untuk pendedahan Battista dan Emiriah Arab Bersatu untuk cubaan rekod dunia itu. Ia dibuat di Dubai Autodrome.