Tag Archives: SUZUKI

Jom ikut trend pandu SUV, ini senarai dengan bajet bawah RM30k

SEKARANG kan zaman SUV, jadi semua orang nak beli. SUV ni ada kelebihan berbanding kereta sedan biasa, contohnya ruang but lebih besar, dan kedudukan memandu lebih tinggi membolehkan kita melihat lebih jauh ke depan.

Dalam senarai kali ini, kami tak masukkan Honda CR-V kerana kalau dikira, memang model ini paling popular dalam pasaran. Kalau anda nak cari CR-V silakan, tapi kami nak senaraikan model selain CR-V untuk kali ini. Kita tengok SUV apa lagi yang menarik.

Nissan Murano 2.5 – RM26,888

Semasa ia baru dikeluarkan, bentuk Nissan Murano ini sangat luar biasa dan agak moden. Tapi hingga sekarang, ia tetap nampak agak baharu, mungkin kerana bentuknya yang tidak berpetak.

Murano ini tahun 2005, dan iklan berkata “satu pemilik cermat, perbatuan rendah, enjin lancar, suspensi ok, dalaman bersih,” macam biasalah.

Tapi memang nampak masih dalam keadaan baik, malah konsol tengah dan tempat duduk pun terjaga.

Ford Escape – RM23,800

Mungkin popular di Amerika Syarikat, tapi walaupun SUV ini model 2010 dan baru berusia 10-11 tahun, harganya dikira jatuh agak banyak.

Satu harga yang berbaloi kalau anda ada kenal pomen-pomen Ford yang baik untuk penjagaan kereta ini.

Admin pun suka sebenarnya. Model Escape ini ialah varian Premium High Spec dengan enjin 2.3-liter, ada beg udara, ABS, pemain CD. Cun?

Volvo XC90 2.5 – RM22,000

Ini dikatakan sebagai “grand daddy of the grand daddy”, sebab Volvo memang hasilkan XC90 khas untuk keluarga. Masa baru dikeluarkan, XC90 ini menjadi SUV paling selamat.

Yang kami jumpa ini ialah 2.5 Turbo, iaitu varian pertengahan. Yang penting rekabentuk XC90 ini memang sangat praktikal, dengan tempat duduk baris ketiga cukup lapang dan selesa.

Pada harga RM22k ini tidak terlalu tinggi, tidak terlalu rendah. Kalau minat, boleh periksa betul-betul kerana harga alat gantinya sedikit mahal.

Toyota Rush S Spec – RM25,500

Lebih mahal dari Ford Escape tadi walaupun saiznya lebih kecil. Biasalah, Toyota kan? Di Malaysia, Rush hadir dengan varian 2WD sahaja, kalau ada pilihan 4WD mungkin lebih menarik.

Tapi kira okey untuk penggunaan bandar, ada ke yang nak pandu Rush masuk hutan?

Kalau anda jumpa macam ni yang rupa luar dan dalam masih cantik, kira boleh dibeli lah sebab enjinnya sudah tentu tahan lasak.

Suzuki Grand Vitara 2.0 – RM24,300

Sebuah SUV yang cukup hensem dan segak, dengan rupa bersegi, garis lurus, tapi cantik. Harga dipinta lebih murah dari Toyota Rush tadi, tapi ini kereta tahun 2007.

Iklannya berkata, “Top spec, dijaga rapi, diservis selalu, penggunaan minyak yang baik, perbatuan rendah, dalam hitam sepenuhnya, rim 18-inci baharu dan tayar baharu.”

Cuma enjinnya ada brace bar, dan rim nampak agak sporti, mungkin orang muda pandu. Jadi kita kena teliti periksa keadaan dan rekod servis kereta ini.

BMW X3 – RM24,900

Yang ini agak mencurigakan sedikit, X3 tahun 2004 dengan harga lebih rendah dari Toyota Rush. “Satu pemilik, bebas kemalangan dan banjir,” katanya.

BMW X3 ini dilengkapi pacuan semua-roda AWD, kotak gear automatik 5-kelajuan, rim 19-inci original, auto cruise, dan tempat duduk pemandu dengan fungsi memori.

Dengan harga yang agak rendah ini, pastikan kita periksa sebaiknya.

Peugeot 3008 – RM22,500

Yang ini nampak macam MPV, tapi ada dalam senarai SUV. Dalam senarai ini, kereta yang paling buatkan keluarga anda tersenyum, selain dari XC90 tadi, Peugeot 3008 di tempat kedua.

Ini kerana kereta Perancis memang sukar ditandingi bab keselesaan. Pandu sedap, kabin pun senyap. Cuma macam biasa, kereta Perancis ni kita perlu cari kawan atau ‘pomen’ yang pandai selenggara. Lain pada itu, memang menarik.

Jemput tonton video di bawah untuk penerangan lebih lanjut. Selamat membeli!

Suzuki lebar sayap di Australia, perkenal model Jimny Lite 2021

PASARAN automotif Australia bakal menyaksikan model Suzuki Jimny 2021 tidak lama lagi.

Menyedari mendapat permintaan tinggi, model dikenali sebagai Jimny Lite 2021 dijangka dipasarkan pada 1 Ogos nanti.

Apa yang menarik, Jimny Lite 2021 didatangkan dengan pilihan manual atau automatik mengikut cita rasa pengguna.

Jimny Lite dilengkapi enjin K15B 1.5L naturally-aspirated empat-silinder dengan 105 PS dan tork 130 Nm pada 4,000 rpm.

Sistem pacuan empat-roda AllGrip Pro separuh masa juga ditawarkan serta menampilkan julat tinggi dan rendah (2H, 4H, dan 4L).

Jimny Lite 2021 sesuai untuk aktiviti lasak dan di dalam bandar. – Foto ihsan Facebook/Suzuki Australia

Antara ciri-ciri menarik lain terdapat pada Jimny Lite 2021 adalah:

  • Memiliki roda keluli gelap 15-inci
  • Penutup cermin sisi tekstur plastik
  • Lampu utama projektor halogen
  • Mempunyai pemain CD/radio in-dashyang lebih asas dengan Bluetooth
  • Sistem kawalan suhu manual

Sementara itu, Suzuki bertekad untuk terus mengukuhkan kedudukan mereka di pasaran Australia.

Setakat ini, harga bagi varian baharu Jimny Lite 2021 masih belum didedahkan kepada umum.

Memetik kenyataan Pengarah Urusan Suzuki Australia Michael Pachota, pihaknya akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Sedar mendapat permintaan tinggi, Suzuki Australia akan memastikan setiap tempahan pelanggan dikendalikan dengan sempurna.

MotoGP: Rins kian pulih, teruja beraksi di Sachsenring

PELUMBA MotoGP Alex Rins yang mengalami patah pergelangan tangan akibat kemalangan jalan raya mengakui bersedia untuk perlumbaan di Sachsenring, hujung minggu ini.

Pasukan perubatan mengesahkan Rins boleh menyertai perlumbaan jika tidak mengalami sebarang masalah atau kesakitan pada bahagian tangan yang cedera.

Jelas pelumba pasukan Suzuki Ecstar itu, kecederaan dialami semakin pulih walaupun masih merasai kesakitan.

“Saya telah bertemu doktor dan kecederaan semakin pulih. Doktor telah membuka jahitan di tangan dan semuanya tampak positif.

“Namun, tidak dinafikan saya masih merasai sedikit kesakitan pada pergelangan tangan. Itu adalah suatu yang saya perlu tangani segera,” katanya kepada media.

Rins semakin pulih daripada kecederaan pergelangan tangan dan bersedia untuk perlumbaan seterusnya di Sachsenring, Jerman. – Foto ihsan Facebook/Alex Rins

Minggu lalu, Rins terlibat dalam satu kemalangan jalan raya ketika menunggang basikal di Barcelona, Sepanyol.

Kemalangan berpunca daripada kelalaian Rins yang didakwa menggunakan telefon bimbit ketika menunggang basikal.

Mengikut fakta kes, Rins terlanggar sebuah kereta sebelum terjatuh dan mengalami patah pada bahagian pergelanggan tangan.

Terdahulu, Rins mengakui teruja untuk menyertai perlumbaan di Sachsenring selepas terlepas pusingan di Catalunya, Sepanyol.

Kebanyakan pelumba teruja untuk berlumba di Sachsenring memandangkan tiada perlumbaan di litar itu sejak tahun lalu akibat penularan pandemik Covid-19.

“Litar ini punya keunikan tersendiri antaranya selekoh ‘blind spot’ yang berbukit selain banyak selekoh kiri berbanding kanan,” katanya lagi.

Pelumba Suzuki Ecstar Alex Rins terkenal dengan sikap ‘pantang’ mengalah ketika dalam perlumbaan. – Foto ihsan Facebook/Alex Rins

Ketahui mengapa lima motosikal ini sering tarik perhatian polis?

AKTIVITI lumba haram sering kali mendapat ‘perhatian’ media sama ada secara dalam talian, televisyen atau di dada akhbar.

Dikaitkan dengan masalah moral, lumba haram bukan sahaja dikecam masyarakat malah dianggap sebagai satu ‘pembaziran’ bakat negara.

Penulis masih teringat ketika zaman persekolahan yang mana baru berjinak dengan ‘dunia’ motosikal.

Walaupun, bukan hardcore ‘Mat Rempit’ tetapi disebabkan penulis menunggang motosikal jenis Yamaha Y125Z maka, kerap kali ditahan polis dalam sekatan jalan raya.

Tidak berniat untuk mengaitkan mana-mana model motosikal dengan gejala lumba haram, tetapi itulah realitinya.

Bagaimanapun, adakah benar kebanyakan pemilik Y125Z adalah ‘Mat Rempit’? Bagaimana pula dengan motosikal jenama lain?

Untuk itu, jom kita semak antara beberapa motosikal yang sering dikaitkan dengan gejala ‘rempit’ sejak 90-an sehingga kini.

Senarai motosikal pilihan ‘Mat Rempit’

Terdapat lima motosikal yang penulis dapati sering kali diguna untuk tujuan lumba haram.

Motosikal ini akan diubahsuai pada bahagian enjin agar menghasilkan kelajuan luar biasa berbanding model asal keluaran kilang.

Jom kita semak satu per satu!

Suzuki Panther ‘Jerung’

Model Suzuki TXR150R atau dikenali sebagai ‘Panther Jerung’ antara yang popular suatu ketika dahulu dalam kalangan ‘kaki’ motor.

Mempunyai kapasiti enjin 150cc, motosikal ini tidak dinafikan mempunyai kelajuan luar biasa berbanding kebanyakan model setarafnya.

Apa yang menarik, kebanyakan anggota polis juga sering menggunakan motosikal ini untuk menahan ‘Mat Rempit’!

‘Panther Jerung’ telah ditamatkan pengeluaran sejak tahun 1997 atau bersamaan 24 tahun lalu.

Yamaha SS Two Racing Spirit

Motosikal Yamaha SS Two Racing Spirit dihentikan pengeluaran pada tahun 1998.

Desas-desus mengatakan model ini dihentikan pengeluaran kerana ia mempunyai spesifikasi ‘racing’ yang tidak sesuai untuk kegunaan di Malaysia.

Namun, tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran dakwaan ini.

Harga jualan motosikal ini adalah di antara RM 5,705 sehingga RM 6,020.

Maka, tidak hairan motosikal ini dianggap ‘kayangan’!

Yamaha Y125Z

Pengeluaran Yamaha Y125Z adalah kesinambungan bagi model Yamaha SS Two Racing Spirit yang dihentikan pengeluarannya.

Reka bentuk yang ‘garang’ dengan kelajuan super padu membuatkan ramai yang menggemari model ini.

Penulis sendiri memiliki sebuah Y125Z pada usia 16 tahun dan menggemari aktiviti modifikasi terhadap jentera ini.

Percaya atau tidak sehingga kini Y125Z masih banyak di atas jalan raya dan harganya masih maintain bro!

Suzuki RGV250

Pada tahun 1987 sehingga 1998, Suzuki RGV250 atau ‘Gamma’ antara model ‘laku keras’ di pasaran negara ini.

Melihat kepada kapasiti enjinnya, maka sudah boleh diagak sejauh mana kelajuan jentera ini.

Tambah gempak, motosikal ini semakin laju dengan beberapa modifikasi enjin meliputi komponen tertentu seperti carburettors, ekzos dan sebagainya.

Kelajuan maksima sebuah ‘Gamma’ standard boleh mencapai 209 km/j!

Yamaha RX-Z 135

Mempunyai kapasiti enjin 135, jangan dipertikai ‘kemampuan’ jentera Yamaha ini.

Ia bukan sahaja laju ‘membelah’ jalan raya namun, sering menjadi ‘barang panas’ jika tidak dijaga rapi.

Kebiasaannya, RX-Z yang dicuri akan dileraikan dan komponen tersebut akan dijual di pasaran gelap.

Sehingga ke hari ini, RX-Z masih mempunyai nilai tinggi sehingga mencecah RM70,000!

Tak percaya? Google la sendiri…

Berdasarkan kesemua motosikal disenaraikan, sekali lagi penulis ingatkan bahawa ia tidak bermaksud mengaitkan mana-mana motosikal dengan gejala lumba haram.

Mungkin secara kebetulan, model yang disenaraikan sering kali disalahgunakan bagi tujuan lumba haram.

Apa pun ingatlah, lumba haram tidak memberi sebarang faedah.

Hidup hanya sekali dan jika berminat sangat dengan sukan lumba, gunakan saluran sebetulnya.

#MajulahPermotoranDemiNegara