Tidak seperti enjin dan transmisi, sistem suspensi adalah antara komponen yang sering diabaikan oleh pemandu. Ini kerana ia tidak perlu diselenggara sekerap enjin dan bergantung kepada penggunaan, jarang memberikan masalah besar.
Namun perlu diingat bahawa seperti komponen-komponen lain, suspensi juga berpotensi mengalami kerosakan yang menelan belanja yang tinggi untuk dibaik pulih sekiranya anda tidak memberikan perhatian yang sewajarnya.
Bagi membantu anda untuk mengelakkan daripada dompet menipis di bengkel, di sini kami senaraikan lima tanda sistem suspensi anda sedang mengalami masalah:
Kereta bergerak ke kiri atau kanan apabila dipandu
Selain suspensi, simptom ini juga boleh berlaku sekiranya tayar kempis atau tidak sejajar. Bagaimanapun, jika tayar kereta anda berada dalam keadaan baik dan anda baru sahaja melakukan penjajaran, kemungkinan besar ia berpunca daripada suspensi yang rosak. Jangan bertangguh lagi dan segera bawa kereta anda ke bengkel.
Kereta melantun atau menjunam
Secara asasnya, suspensi direka untuk menyerap hentakan yang terhasil dari permukaan jalan yang tidak rata. Sekiranya kereta anda melantun-lantun ketika melalui bonggol atau bahagian depannya menjunam secara berlebihan ketika membrek, ini bermakna sistem suspensi anda bermasalah dan sudah tidak dapat menjalankan tugasnya dengan baik.
Stereng bergegar
Sistem suspensi dan sistem stereng berkait rapat antara satu sama lain. Sekiranya roda stereng anda bergegar ketika melalui jalan yang rata atau terasa longgar, ini bermakna terdapat kerosakan pada sistem suspensi.
Kereta senget sebelah apabila diparkir
Masih ingat babak lucu di kedai kereta terpakai dalam filem Senario Lagi? Secara mudahnya, itulah yang akan berlaku sekiranya salah satu daripada penyerap hentak atau spring kereta anda rosak. Biasanya ia ditemani dengan bunyi berdecit.
Bunga tayar haus tidak sekata
Apabila salah satu daripada penyerap hentak atau spring kereta anda rosak, berat kenderaan tidak lagi dapat diagihkan dengan sekata, sekali gus menyebabkan salah satu daripada tayar menanggung berat berlebihan. Kesannya, tayar tersebut akan haus lebih cepat berbanding tayar-tayar lain.
Kenderaan masa kini sarat dengan pelbagai jenis sistem keselamatan aktif dan pasif bagi memastikan pemandu serta pengguna jalan raya yang lain selamat.
Tetapi dalam banyak-banyak ciri keselamatan, hanya ada satu sahaja yang membolehkan anda memandu semasa hujan – pengelap cermin.
Ya, percaya atau tidak pengelap cermin merupakan sejenis sistem keselamatan pada kereta anda. Oleh itu, penjagaan komponen ini sangat penting bagi memastikan keselamatan anda dan juga pengguna jalan raya yang lain.
Tanpa berlengah lagi, berikut adalah beberapa tips memanjangkan hayat pengelap cermin kereta anda:
Jangan lap cermin semasa ia kering
Secara asasnya, pengelap cermin direka untuk menyingkirkan air atau lembapan daripada cermin penghadang angin. Jika anda menggunakannya semasa cermin kering, kotoran yang terdapat pada permukaan cermin bukan sahaja boleh merosakkan bilah getah pengelap cermin malah berpotensi mencalarkan cermin kereta anda.
Pastikan cermin sentiasa bersih
Seperti yang dikatakan, segala kotoran yang terdapat pada permukaan cermin kereta anda boleh menyebabkan kerosakan pada bilah pengelap dan juga cermin itu sendiri. Bagi mengelakkan hal ini daripada berlaku, lap cermin anda dengan kain mikrofiber dan cecair pencuci yang sesuai bagi membuang kotoran.
Pengelap cermin juga perlu dibersihkan
Selain cermin, anda juga perlu sentiasa membersihkan bilah pengelap cermin bagi memastikan ia beroperasi dalam keadaan optimum. Cara yang terbaik adalah dengan membasuh bilah pengelap dengan campuran air suam dan sabun (cecair pencuci cermin juga boleh digunakan), kemudian bilasnya dengan air bersih.
Sentiasa isi cecair pencuci cermin
Seperti namanya, cecair pencuci cermin diformulasi khas untuk membersihkan cermin daripada segala jenis habuk, kotoran dan najis binatang. Ini bermakna ia mengandungi bahan kimia khas untuk memastikan kotoran degil dapat dibuang dengan lebih mudah berbanding air biasa.
Letak kenderaan di kawasan teduh
Pendedahan kepada haba dalam tempoh yang berpanjangan boleh menyebabkan getah bilah reput lebih cepat. Jika tiada tempat yang teduh, pastikan pengelap cermin diangkat supaya ia tidak cair akibat bersentuhan dengan cermin yang panas.
Peugeot 408 membawakan format bentuk badan yang lari daripada kebiasaan, menggandingkan praktikaliti sebuah sedan serta elemen SUV/crossover dengan jarak lega bumi yang lebih tinggi.
Rojak istimewa dari Perancis yang mungkin tidak sesuai untuk selera orang kebanyakan.
Selain daripada bentuk yang terlebih berani, Peugeot 408 juga datang dengan rim Monolithe 20 inci yang membawakan rekaan yang tidak konvensional. Agak aneh juga bila dilihat sekilas pandang.
Jika diperhatikan dengan lebih teliti, rim 20 inci ini mempunyai satu struktur plastik tunggal yang menutupi lima lubang nat roda.
Cara untuk umpil plastik penutup nat ini anda boleh tonton pada pautan video dibawah:
Apabila bercakap tentang kenderaan elektrik (EV), terdapat tiga akronim yang kita mungkin akan temui iaitu WLTP, NEDC dan CLTC.
Apakah maksud ketiga-tiga akronim ini?
Untuk pengetahuan anda, akronim-akronim ini merujuk kepada piawaian ujian yang digunakan dalam pengiraan jarak gerak EV.
Apakah pula perbezaan antara WLTP, NEDC dan CLTC? Jom kita rungkaikan satu persatu.
WLTP (Worldwide Harmonised Light Vehicle Test Procedure)
Sistem WLTP diperkenalkan pada 2017 bagi menggantikan kaedah pengujian NEDC. Ia memperkenalkan prosedur baharu yang disasarkan untuk menguji kenderaan di bawah kondisi yang lebih realistik bagi mendapatkan keputusan yang lebih hampir dengan pemanduan dunia sebenar.
WLTP mengambil kira beberapa faktor termasuk kelajuan pemanduan yang berbeza, kadar pecutan dan suhu. Salah satu perbezaan utama antara WLTP dan NEDC adalah WLTP melibatkan kitaran pemanduan yang lebih lama, julat kelajuan yang lebih luas (47-132 km/j), serta penggunaan elektronik seperti pendingin hawa, radio dan sebagainya.
Ini menjadikan WLTP lebih tepat berbanding NEDC yang cenderung untuk memberikan anggaran jarak gerak berlebihan sebanyak 25% hingga 30%.
NEDC (New European Driving Cycle)
NEDC diperkenalkan pada sekitar 1980an dan dikemas kini kali terakhir pada 1997. Ya, kaedah pengujian ini sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Bukan itu sahaja, ia juga dianggap tidak tepat kerana pengumpulan data dilakukan di dalam kondisi yang ideal di dalam makmal.
Ia merangkumi dua bahagian. Bahagian pertama yang dijalankan selama 13 minit mensimulasikan pemanduan stop-and-go di dalam kawasan bandar. Bahagian kedua pula melibatkan pemanduan pada kelajuan maksimum 120 km/j.
Oleh kerana ujian NEDC dijalankan pada kelajuan lebih rendah dan tidak mengambil kira faktor-faktor seperti penggunaan pendingin hawa dan pemanduan mendaki, ramai pengguna mendapati jarak gerak NEDC lebih tinggi berbanding apa yang mereka dapat dalam situasi dunia sebenar.
CLTC (China Light-Duty Vehicle Test Cycle)
CLTC dibangunkan oleh Pusat Teknologi & Penyelidikan Automotif China (CATARC) bagi menggantikan prosedur pengujian Eropah. Ia direka berdasarkan tabiat pemandu di China dan kondisi di negara itu, dan sering mempunyai jarak yang lebih optimistik.
Ia merangkumi tiga fasa ujian iaitu pemanduan perlahan, sederhana dan laju. Proses pengujian dilakukan selama 30 minit dan kereta dipandu sejauh 14.5 km secara keseluruhan.
Terdapat beberapa perbezaan antara WLTP dan CLTC. Salah satunya, tempoh melaju dalam ujian CLTC dikatakan dua kali ganda lebih panjang berbanding WLTP. Bukan itu sahaja, kitaran ujian CLTC melibatkan lebih banyak hentian, manakala kelajuan maksimumnya juga lebih rendah iaitu 114 km/j.
Kereta adalah mesin kompleks yang direka untuk dipandu. Sekiranya ia tidak digunakan untuk tempoh jangka yang panjang, percaya atau tidak, ia akan lebih cepat rosak.
Bagi mereka yang perlu menyimpan kereta mereka untuk satu jangka masa yang panjang atas sebab-sebab tertentu seperti urusan kerja dan sebagainya, kami senaraikan beberapa tips yang berguna untuk anda:
Isi minyak
Jangan tinggalkan kereta anda dengan tangki yang kosong kerana lembapan yang terhasil boleh menyebabkan tangki bahan api berkarat. Cara yang terbaik adalah dengan mengisi minyak sehingga penuh, serta menambah aditif atau penstabil yang dapat membantu mengelakkan karat dan kakisan.
Tukar minyak hitam
Minyak enjin atau pelincir yang dibiarkan terlalu lama boleh mengakis komponen dalaman enjin. Sebelum meninggalkan kereta anda, lebih baik tukar minyak enjin terlebih dahulu dan jangan lupa untuk pandunya bagi memastikan ia meliputi semua komponen enjin.
Simpan bateri
Jika anda merancang untuk meninggalkan kereta anda tempoh yang lama, tanggalkan kabel daripada terminal (terminal negatif dahulu, diikuti dengan terminal positif) dan simpan bateri di tempat yang kering dan pastikan ia terdedah kepada cahaya matahari.
Bersihkan bahagian luaran dan dalaman
Pastikan bahagian luaran kereta anda bersih sebelum meninggalkannya kerana kotoran seperti debu, getah pokok dan najis burung boleh merosakkan cat jika dibiarkan terlalu lama. Untuk bahagian dalam, vakum karpet dan tempat duduk, serta buang sampah bagi mengelakkan daripada ‘tetamu’ yang tidak diundang seperti lipas dan tikus.
Parkir di tempat yang selamat
Tempat yang paling selamat untuk menyimpan kereta anda sudah tentulah di anjung (porch), garaj atau mana-mana sahaja tempat yang berbumbung. Elakkan daripada meletakkan kereta anda di luar rumah tetapi jika tiada pilihan lain, gunakan selimut kereta yang berkualiti.
Jangan guna brek parkir
Antara kesilapan yang paling kerap dilakukan adalah menggunakan brek parkir sebelum meninggalkan kereta untuk berbulan-bulan lamanya. Ini akan menyebabkan permukaan brek melekat pada cakera. Sebagai alternatif, guna chock atau bongkah kayu untuk menahan tayar. Pastikan juga anda parkir di tempat yang rata.
Jaga bilah pengelap cermin
Bilah getah pada pengelap cermin boleh melekat pada cermin sekiranya dibiarkan terlalu lama. Anda beberapa cara untuk mengelakkan hal ini daripada berlaku. Anda boleh membalut bilah tersebut dengan plastik atau kain, cabut bilah itu atau tegakkan sahaja pengelap cermin.
Guna jek untuk tinggikan kereta
Tayar yang ditinggalkan pada satu tempat untuk jangka masa yang panjang bukan sahaja akan kempis tetapi akan mengalami flat spot. Masalah ini boleh dielakkan dengan menggunakan jek untuk meninggikan kereta anda.
Tidak dapat dinafikan, memandu kereta manual memberikan kepuasan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Dengan kemampuan untuk menukar gear dengan sendiri bila-bila masa sahaja, transmisi manual akan memberikan anda rasa terkawal, keseronokan dan juga kebebasan.
Namun dengan kemajuan teknologi dan keadaan trafik yang semakin ‘menggila’ terutamanya di kawasan bandar, transmisi automatik dilihat sebagai pilihan yang lebih tepat untuk kegunaan harian. Ia bukan sahaja lebih mudah untuk dikendalikan, malah lebih lancar dan cekap.
Tahukah anda bahawa terdapat beberapa jenis transmisi automatik yang digunakan dalam kereta moden? Jom kita lihat:
Torque Converter
Ini adalah jenis transmisi automatik konvesional yang paling kerap ditemui dalam kereta. Torque converter merujuk kepada alat yang digunakan untuk menghantar kuasa dari enjin ke kotak gear dan seterusnya ke roda.
Tetapi tidak seperti klac mekanikal yang mempunyai hubungan fizikal, ia menggunakan bendalir hidraulik pekat untuk memastikan kuasa (atau tork) dari enjin sampai ke kotak gear. Bendalir inilah yang membolehkan gear ditukar dengan lancar.
Dahulunya, transmisi jenis ini tidak begitu cekap dari segi penghantaran kuasa namun dengan kajian dan pembangunan berterusan dari pengeluar, versi moden yang ada dalam pasaran hari ini lebih lancar.
Kalau tak, takkan BMW guna torque converter untuk kereta-kereta M mereka?
Dual-Clutch Transmission (DCT)
Transmisi klac berkembar atau lebih dikenali sebagai DCT mula diperkenalkan menerusi Volkswagen Golf R32 pada 2003. Seperti namanya, ia menggunakan dua klac iaitu satu untuk gear genap (2,4,6 dan seterusnya) dan satu lagi untuk gear ganjil (1,3,5,7 dan seterusnya).
Kenapa? Dalam erti kata mudah, jika anda sedang memecut dalam gear 4, DCT boleh menggunakan klac satu lagi untuk membuat persediaan untuk masuk ke gear 5. Jika anda sedang membrek dalam gear 4, ia akan bersedia untuk turun ke gear 3.
Ini membolehkan DCT menukar gear dengan pantas, tidak kira sama ada anda sedang memecut atau membrek. Bagaimanapun, ia cenderung untuk tersengguk terutamanya ketika kereta bergerak pada kelajuan rendah.
Continuously Variable Transmission (CVT)
Antara transmisi yang paling kerap menjadi bualan hari ini, CVT secara asasnya menggunakan sepasang takal berbentuk kon – satu disambungkan kepada enjin dan satu lagi kepada aci engkol. Kedua-dua takal ini pula dihubungkan antara satu sama lain dengan tali sawat.
Ini memberikan CVT nisbah gear yang tidak terkira, sekali gus membolehkan enjin kekal di dalam power band (julat kelajuan operasi di mana enjin menghasilkan kuasa paling banyak) apabila anda menekan pendikit.
Ini menghasilkan kuasa pecutan yang kuat dan lancar namun pada masa yang sama, CVT juga menghasilkan bunyi kuat yang boleh menjejaskan pengalaman pemanduan.
Automated Manual Transmission (AMT)
Juga dikenali dengan nama semi-automatic atau robotised manual gearbox, AMT secara asasnya berfungsi dan mempunyai mekanikal yang hampir sama seperti transmisi manual namun klac dioperasikan secara elektrohidraulik menggunakan actuator, sensor dan pelbagai lagi.
Ini bermakna AMT menawarkan kemudahan seperti kotak gear automatik konvensional dan pada masa yang sama membolehkan pemandu menukar gear sendiri jika mereka mahu.
Transmisi jenis ini menjadi popular sekitar 90an dan awal 2000an menerusi kereta-kereta berprestasi tinggi seperti Ferrari 355 dan BMW M3. Bagaimanapun, ia terkenal dengan isu tersengguk-sengguk dan tidak tahan lama jika kerap dilenjan.
Memandu kereta jenis convertible memberikan pengalaman unik dan mengujakan yang tidak dapat diberikan oleh mana-mana kereta lain.
Bumbung yang terbuka dan angin bermain dengan rambut akan membuatkan anda terasa seolah-olah sedang berlari dengan bebas di tepi pantai walhal hakikatnya anda sedang dikelilingi hutan konkrit.
Jika anda sedang mencari sebuah kereta convertible, anda mungkin perlu membuat pilihan antara hard top dan soft top. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing, namun mana satu pilihan yang lebih baik?
Jom kita lihat satu persatu:
Hard top
Seperti namanya, kereta convertible dengan bumbung hard top mempunyai bumbung keras (biasanya dengan panel logam atau komposit) yang boleh dilipat secara automatik ke dalam ruang simpanan di belakang kabin.
Namun, ada juga kereta hard top dengan panel bumbung yang perlu dibuka secara manual. Ya, pemandu dan penumpang perlu melakukan semuanya sendiri – keluar dari kereta, buka panel bumbung dengan tangan dan simpan panel itu di belakang. Dan ulang semula proses ini untuk memasangnya.
Walaupun bunyinya agak menyusahkan, bumbung jenis ini mempunyai beberapa kelebihan. Oleh kerana ia diperbuat daripada bahan yang sama dengan badan, ia mempunyai binaan yang lebih kukuh.
Ini bermakna memberikan penumpang perlindungan yang lebih baik terhadap elemen-elemen seperti cuaca dan bunyi bising. Ia juga lebih sukar untuk dipecah masuk dan lebih selamat sekiranya berlaku kemalangan.
Selain itu, bumbung hard top juga mempunyai struktur yang lebih tegar, sekali gus menjadikannya lebih lincah dan stabil di selekoh.
Walau bagaimanapun, binaan yang lebih kukuh itu bermakna bumbung hard top mempunyai lebih banyak komponen, bermakna ia lebih berat dan perlahan jika dibandingkan dengan bumbung soft top.
Bukan itu sahaja, ini juga bermakna yang bumbung hard top lebih cepat rosak dan lebih mahal untuk diselenggara. Satu lagi kekurangannya adalah kapasiti but perlu dikorbankan kerana ia memerlukan ruang simpanan yang lebih besar.
Antara model convertible dengan bumbung hard top yang popular adalah Ferrari 296 GTS, Lamborghini Aventador Roadster, Chevrolet Corvette Convertible C8 dan Mazda MX-5 RF.
Soft top
Berbeza dengan bumbung hard top, bumbung soft top menggunakan bumbung jenis fabrik yang lebih ringkas. Ia biasanya didatangkan dalam warna yang berbeza dengan warna badan, cuma pilihan warna agak terhad seperti hitam, maroon, krim, kelabu dan perang.
Bumbung jenis ini mempunyai banyak kelebihan. Dari segi penampilan, ia memberikan imej yang lebih klasik dan elegan.
Disebabkan binaannya tidak serumit bumbung hard top, ia juga lebih ringan dan mengambil masa yang lebih cepat untuk dilipat. Ini juga bermakna yang ia kurang cenderung untuk rosak dan jika ia memerlukan sebarang pembaikan, kosnya tidak setinggi bumbung hard top.
Bukan itu sahaja, bumbung soft top juga tidak mengambil begitu banyak ruang simpanan bermakna anda tidak perlu risau tentang bagasi untuk trip hujung minggu depan kereta jenis ini.
Sudah tentu, bumbung soft top juga mempunyai kelemahannya. Pertama sekali, perlindungan yang ditawarkan tidak semantap bumbung hard top, manakala tahap NVH juga terjejas.
Ia juga lebih cepat lusuh dan lebih terdedah kepada ancaman pencuri kereta memandangkan material fabrik yang digunakan boleh ditoreh dengan pisau dengan begitu mudah.
Mereka yang gemar memandu dengan agresif juga akan mendapati casis kereta jenis ini tidak setegar dan semantap kereta dengan bumbung hard top.
Berikut adalah antara kereta convertible yang menggunakan bumbung soft top: Mazda MX-5, Porsche 718 Boxster, Lexus LC Convertible, Ford Mustang Convertible dan MINI Convertible.
Mana yang lebih baik?
Sebagai pembeli, pilihan sebenarnya terletak di tangan anda. Bagi penulis, bumbung hard top lebih versatil kerana ia menawarkan kebebasan sebuah convertible dengan tahap keselamatan dan prestasi yang sama dengan kereta biasa.
Sementara itu, bumbung soft top pula nampak lebih sesuai untuk mereka yang mementingkan gaya klasik dan kesederhanaan. Dalam erti kata lain, ia lebih santai.
Apa pun pilihan kita, ketahuilah bahawa memandu kereta dengan bumbung yang boleh dibuka adalah satu nikmat permotoran yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
IDEA untuk mengisi minyak pelincir kereta ke dalam enjin motosikal bukanlah baharu. Kadang-kala kita hantar kereta untuk servis dan bengkel memulangkan lebihan minyak pelincir baharu di dalam botol, dan kita terfikir mungkin boleh guna untuk motosikal di rumah.
Gred minyak pelincir kedua-duanya sama, sebagai contoh kereta kita menggunakan minyak bergred 10W-30, dan motosikal kita pun sama.
Kelikatan suhu sejuk dan panas (mengikut piawaian SAE) dah sama, dua-dua pun tuang dalam enjin. Boleh?
Jawapan mudah ialah tidak boleh.
Tugas dan fungsi berbeza
Sebab utama kenapa tidak boleh ialah kerana dari segi tugasan. Minyak pelincir kereta dan motosikal mempunyai tugas yang sangat berbeza.
Untuk kereta, tugas minyak pelincir hanyalah untuk mengalas dua permukaan dalam enjin yang bersentuhan. Tujuan supaya komponen tidak calar dan tidak rosak.
Jika anda perasan, kereta moden sekarang menggunakan kelikatan minyak yang rendah. Sebagai contoh, Perodua Bezza menggunakan minyak bergred 0W-20, ini dikira minyak yang nipis.
Sebabnya ialah kereta zaman sekarang ditala untuk jimat minyak dan mengurangkan pencemaran udara. Minyak nipis memudahkan komponen bergerak, dan suhu enjin juga tidak tinggi macam kereta prestasi. Jadi, okey sahaja untuk pemanduan harian.
Minyak takkan menjadi terlalu panas atau cair walaupun kelikatannya rendah.
Minyak berbeza untuk sistem berbeza
Kemudian, kereta mempunyai minyak lain, sebagai contoh minyak transmisi atau kotak gear, yang sangat berbeza dari minyak enjin. Kemudian dalam sistem penyejuk ada cecair lain iaitu coolant.
Untuk kereta, sistem berbeza akan menggunakan cecair berbeza yang khusus. Minyak pelincir enjin tidak boleh digunakan dalam transmisi dan begitu juga sebaliknya.
Minyak lebih kritikal untuk motosikal
Untuk motosikal pula – terutamanya yang cc kecil – minyak enjin direka untuk lebih dari satu tugas. Minyak inilah yang melancarkan dan melindungi enjin, minyak yang sama juga diguna dalam transmisi, dan ia juga yang sejukkan enjin.
Motosikal juga biasanya rev pada tahap lebih tinggi. Enjin lebih panas, jadi perlukan gred lebih likat. Secara ringkasnya, minyak pelincir motosikal lebih kritikal, tugas lebih keras.
Saiz enjin juga lebih kecil, maka ruang untuk laluan minyak pun lebih sempit. Kerana itu anda lihat syarat atau kelayakan untuk minyak pelincir enjin kereta dan motosikal cukup berbeza.
Untuk fungsi dan tugasan khas, maka formula juga berbeza.
Sebagai contoh, walaupun kelikatan yang sama, minyak pelincir kereta mempunyai agen friction modifier. Jika dituang dalam enjin motosikal, klac boleh slip atau tergelincir, menyebabkan pemanduan tidak efisyen. Lebih buruk lagi, boleh merosakkan komponen transmisi motosikal.
Jadi, sekarang anda faham kenapa minyak pelincir kereta dan motosikal berbeza, dan kenapa tidak boleh suka-suka dituang ke tempat yang tidak betul. Janganlah kita risikokan enjin kita semata-mata untuk jimat.
Paling mudah adalah rujuk buku manual kerata atau motosikal kita. Ada simpan lagi tak? Buku manual memberikan panduan paling tepat untuk jentera kita.
Untuk motosikal biasanya ada spesifikasi lebih khusus yang tiada pada kereta. Sebagai contoh 4T untuk enjin empat-lejang, JASO MA untuk sistem klac basah, atau JASO MB untuk skuter.
Semoga artikel ini bermanfaat! Jika anda bersembang dengan rakan di kedai kopi tentang bab ini, kongsikan artikel ini untuk lebih kefahaman.
SPOILER memang cantik apabila dipasang pada kereta yang betul, namun tahukah anda yang komponen ini sebenarnya mempunyai fungsi lain selain menaikkan seri kereta?
Spoiler dinamakan sedemikian kerana tugasnya adalah untuk mengacau (spoil) aliran udara yang menjejaskan kestabilan kereta. Dalam erti kata lain, spoiler digunakan bagi mengurangkan kesan negatif aliran udara.
Populariti spoiler mula meningkat sekitar era 1960-an ketika pengeluar kenderaan sedang berlumba-lumba mencari jalan untuk meningkatkan aerodinamik kereta lumba.
Ia kemudiannya mula digunakan secara meluas pada kereta-kereta penumpang bagi membolehkan pengeluar mencapai tahap kecekapan bahan api yang lebih baik. Kereta pertama yang didatangkan dengan spoiler adalah Dodge Charger 1967.
Sebut sahaja perkataan spoiler, anda mungkin terbayangkan komponen yang nampak seperti sayap yang diletakkan pada bahagian belakang kereta.
Ya, itu memang spoiler tetapi spoiler juga datang dalam pelbagai bentuk dan saiz, serta boleh dipasang pada bahagian depan dan sisi kereta bagi meningkatkan kecekapan aerodinamik.
Semakin laju kereta bergerak, semakin kuat udara yang lalu pada bahagian badannya. Udara yang masuk ke bahagian bawah badan kenderaan akan menghasilkan daya angkat (lift) yang boleh menjejaskan tahap cengkaman sekali gus menjadikan kereta kurang stabil.
Fonemena ini boleh dihalang dengan memasang spoiler atau splitter pada bahagian bampar depan. Ia akan mengurangkan jumlah udara yang lalu di bahagian bawah kereta.
Di belakang, pergolakan udara lebih kuat jadi spoiler digunakan untuk menghasilkan downforce, satu daya yang akan ‘menekan’ kereta ke bawah. Ini akan memberikan kereta lebih cengkaman dan menjadikannya lebih stabil dan lincah di selekoh.
Bagaimanapun, memasang spoiler juga ada keburukannya. Selain berat tambahan, masalah paling utama spoiler adalah ia juga menghasilkan daya seret atau drag yang boleh menjejaskan kelajuan maksimum dan kecekapan bahan api.
Selain itu, spoiler yang tinggi boleh mengganggu penglihatan pemandu terutamanya ketika melihat cermin pandang belakang ketika mengundur.
Seiring dengan perkembangan teknologi, kini pengeluar kenderaan mula menawarkan sistem aerodinamik aktif pada kenderaan mereka. Kelebihan utama sistem ini adalah ia boleh mengubah ciri aerodinamik secara automatik berdasarkan kelajuan kenderaan.
Antara komponen utama aerodinamik aktif termasuk gril depan, splitter depan, diffuser dan spoiler. Kereta pertama yang mempunyai ciri aerodinamik aktif adalah Porsche 959, diikuti dengan Volkswagen Corrado.
ANDA pasti pernah terlihat huruf dan nombor yang tertulis pada bahagian tepi tayar kereta anda, bukan?
Untuk makluman, huruf dan nombor berkenaan bukan diletakkan secara suka-suka oleh pengeluar tayar. Setiap satu daripadanya mempunyai maksud tertentu yang boleh membantu anda mendapatkan tayar yang sesuai untuk kenderaan anda.
Apa yang anda perlu cari semasa memilih tayar?
Selain jenama dan model tayar itu sendiri, anda perlu memilih saiz tayar yang betul. Tayar tidak menggunakan Small, Medium atau Large seperti pakaian, sebaliknya anda perlu cari barisan angka yang mungkin tertulis seperti ini:
175/65 R14 82H
Ia mungkin nampak memeningkan untuk yang kurang biasa namun kod di atas sebenarnya amat mudah untuk dibaca.
Pertama sekali, nombor “175” adalah ukuran lebar tayar anda dalam milimeter. Oleh itu, tayar yang digunakan sebagai contoh ini mempunyai ukuran lebar 175 mm.
Selepas tanda palang, nombor yang anda lihat nisbah aspek (aspect ratio) iaitu ukuran tinggi profail tayar itu. Ia bukan dalam milimeter, tetapi dalam peratusan setelah ketinggian tayar dibahagikan dengan lebar tayar.
Jadi, “65” di sini bermaksud ketinggian tayar ini adalah 65% daripada lebarnya.
Seterusnya, huruf “R” merujuk kepada binaan tayar tersebut iaitu Radial. Ini adalah binaan yang paling biasa pada tayar kenderaan penumpang.
Nombor selepas R adalah ukuran rim diameter rim dalam inci. Ini bermakna, tayar yang mempunyai bacaan 195/55 R15 boleh memuatkan rim berukuran 15 inci.
Nombor yang seterusnya pula memberitahu indeks had muatan atau load index, berat beban maksimum yang boleh ditampung oleh tayar itu dengan isian angin penuh.
Setiap nombor dalam indeks had muatan mewakili berat (kg) tertentu. Sebagai contoh: “85” bermakna tayar itu boleh menampung beban sehingga 515 kg.
Huruf terakhir selepas indeks had muatan merujuk kepada had maksimum tayar itu. Huruf H bermakna tayar ini boleh mencapai kelajuan 210 km/j.
Selain itu, anda juga boleh mengetahui bilakah tayar itu dikilangkan. Anda hanya perlu mencari kod empat angka yang biasanya ditulis berdekatan dengan cop Department of Transport (DOT).
Dua nombor pertama menandakan minggu dan dua nombor terakhir adalah tahun pengeluaran. Jadi, kod “0523” bermakna tayar itu dikilangkan pada minggu ke-5 tahun 2023.
Apabila bercakap tentang enjin pembakaran dalaman, ada tiga terma yang paling kerap ditemui iaitu NA, turbocharger dan supercharger. Secara asasnya, ketiga-tiganya merujuk kepada bagaimana sesebuah enjin itu memasukkan udara ke kebuk pembakaran untuk menjana kuasa.
Enjin NA atau nama penuhnya naturally aspirated mendapat bekalan udaranya secara semula jadi menerusi tekanan atmosfera.
Sementara itu, kedua-dua turbocharger dan supercharger pula merupakan sistem induksi paksaan atau forced induction yang memampatkan udara untuk menghasilkan pembakaran yang lebih berkuasa.
Enjin NA paling meluas digunakan kerana kosnya lebih rendah dan lebih mudah dijaga, manakala turbocharger pula dikhaskan untuk model-model prestasi namun dengan perubahan lanskap automotif, lebih banyak pengeluar mula menggunakan sistem-sistem tersebut pada kenderaan mereka.
Selepas berakhirnya era enjin Kompressor Mercedes-Benz, enjin supercharger dilihat semakin tenggelam namun ada beberapa model semasa yang masih menggunakan sistem ini seperti Dodge Challenger/Charger dan semua model SVR dari Land Rover.
Bagaimana turbocharger berfungsi?
Menurut pengeluar turbo terkenal Garrett, turbocharger menggunakan gas ekzos untuk memacu roda turbin sehingga 350,000 rpm. Roda turbin itu kemudiannya menggerakkan roda pemampat menerusi aci.
Ketika kedua-dua roda itu berputar, sejumlah besar udara disedut dan dimampatkan sebelum disejukkan menerusi intercooler untuk meningkatkan lagi ketumpatannya sebelum ia memasuki enjin.
Udara termampat ini membolehkan bahan api dibakar dengan lebih efisien untuk mencapai kuasa yang lebih dan tahap penggunaan bahan api yang lebih tinggi.
Kelebihan dan kekurangan turbocharger
Dengan pengecas turbo, enjin menikmati peningkatan kuasa yang signifikan. Malah, enjin turbo boleh menghasilkan kuasa yang sama atau lebih tinggi berbanding enjin NA dengan kapasiti lebih besar.
Selain itu, enjin turbocharger juga dikatakan lebih cekap bahan api kerana ia boleh menjana kuasa lebih tinggi dengan lebih sedikit bahan api.
Walau bagaimanapun, prestasi yang tinggi menjadikan enjin turbo lebih cepat panas, manakala komponen dalaman pula terdedah kepada tekanan. Ini bermakna ia perlu diselenggara lebih kerap untuk memastikan ia berada dalam keadaan optimum.
Bagaimana supercharger berfungsi?
Jika turbocharger menggunakan gas ekzos untuk berputar, supercharger pula dikuasakan secara mekanikal menerusi tali sawat yang disambungkan terus ke aci engkol enjin.
Supercharger meningkatkan pengambilan dengan memampatkan udara di atas tekanan atmosfera tanpa mencipta vakum. Ini memaksa lebih banyak udara masuk ke dalam enjin. Dengan udara tambahan itu, enjin boleh menyuntik lebih banyak bahan api, sekali gus menghasilkan kuasa yang lebih tinggi.
Kelebihan dan kekurangan supercharger
Seperti turbocharger, supercharger membolehkan enjin menghasilkan kuasa dan tork yang lebih tinggi. Bagaimanapun, ia tidak menghadapi masalah turbo lag kerana supercharger dipacu oleh aci engkol enjin. Selain itu, supercharger memberikan tindak balas pendikit yang lebih baik pada julat RPM rendah.
Bagaimanapun, supercharger tidak secekap turbocharger kerana ia memerlukan kuasa dari enjin untuk menjana lebih kuasa. Bukan itu sahaja, komponen dalaman juga terdedahkan kepada tekanan dan haba yang lebih tinggi dan ini akan menjejaskan jangka hayat enjin.
Mana yang terbaik?
Jika prestasi bukan keutamaan anda, enjin NA sudah memadai kerana kuasa yang dihasilkan sebenarnya sudah cukup untuk kegunaan harian dan ia juga lebih murah untuk dioperasikan.
Bagi mereka yang kaki lenjan, enjin turbocharger dan supercharger adalah pilihan yang tepat. Bagaimanapun, enjin turbo dilihat lebih sesuai untuk penggunaan masa kini kerana ia juga lebih efisien dan lebih mudah didapati dalam pasaran. Tetapi jika anda tidak dapat memilih antara kedua sistem ini, ada beberapa pengeluar yang menawarkan enjin twincharger seperti Volkswagen, Audi dan Volvo.
JIKA anda memiliki kereta atau mempunyai lesen memandu, anda pasti tahu secara lazimnya ada dua jenis bahan api utama iaitu petrol dan diesel. Kedua-dua bahan api ini sangat berbeza dan menjadi bahan bakar untuk dua jenis enjin berbeza.
Walaubagaimanapun, kesilapan mengisi bahan api agak biasa berlaku, sebagai contoh terisi minyak petrol ke dalam kenderaan berenjin diesel. Atau sebaliknya.
Kesilapan ini boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti terlupa, sering bertukar kereta, tidak peka, atau apa sahaja sebab yang boleh menjadi punca.
Dalam artikel ini, kita akan lihatkan apa berlaku jika anda tersalah mengisi bahan api atau minyak ke dalam sesuatu kenderaan. Paling penting, kita akan lihatkan juga apa yang boleh dilakukan untuk ’memperbaiki’ kesilapan itu.
Apa akibat tersalah isi?
Gambar oleh: istock
Akibat atau kesan dari kesilapan ini secara kasarnya ialah, kerosakan kepada komponen enjin. Setiap enjin petrol atau diesel beroperasi dengan cara berbeza, dan minyak petrol dan diesel itu sendiri mempunyai sifat berbeza.
Ibarat anda patut mengisi gula dalam minuman, tetapi anda terisi tepung, pasti minuman itu ’rosak’, bukan?
Diesel dalam kereta petrol
Realitinya, sukar sebenarnya untuk termasuk diesel dalam kereta petrol. Ini kerana nozel diesel kebanyakannya tidak muat pada corong kereta petrol. Tetapi jika termasuk juga diesel, ia akan merosakkan komponen dalaman enjin dan sistem saliran bahan api.
Petrol lebih nipis dan diesel lebih pekat. Jika diesel termasuk dalam enjin petrol, ia akan membuatkan sistem tersumbat kerana enjin petrol tidak direka untuk menerima diesel yang pekat.
Kemudian, penyuntik bahan api akan tersumbat, palam pencucuh juga akan rosak. Enjin akan tersengguk dan mungkin ada asap putih, sebelum enjin mati dan tidak dapat dihidupkan.
Petrol dalam kereta diesel
Kemungkinan terisi petrol dalam kenderaan diesel lebih tinggi. Ini kerana muncung petrol lebih kecil dan lebih mudah muat pada corong tangki diesel. Malangnya, terisi petrol dalam tangki diesel juga akan menyebabkan kerosakan lebih besar pada enjin diesel.
Dalam enjin diesel, mampatan akan menyalakan bahan api. Maka, bahan api akan masuk ke bahagian dalam ruang enjin, bahan api juga bertindak sebagai pelincir.
Jadi, jika petrol memasuki enjin ini, sifatnya yang meruap boleh merosakkan komponen enjin. Pam penyuntik yang memerlukan pelincir juga tidak akan berfungsi dengan baik. Paling teruk ialah, tidak mudah untuk kita menyedari kehadiran petrol dalam enjin diesel.
Bila anda menyedarinya, kemungkinan besar ia sudah terlambat dan enjin rosak teruk.
Apa boleh buat jika tersalah isi?
Kini, kita lihat pula apa yang boleh dilakukan jika tersalah isi.
Diesel dalam kereta petrol
Jika anda tersedar semasa mengisi, jangan risau, jika masih sedikit, anda teruskan isi semula petrol ke dalam tangki. Jika diesel tercampur sedikit, anda masih boleh memandu kereta petrol dengan selamat.
Yang terbaik ialah anda buang semua diesel dari tangki, dan isi semula petrol hingga penuh.
Jika anda terisi penuh pula, jangan hidupkan enjin. Terus hubungi trak tunda untuk bawa kereta anda ke bengkel untuk tindakan selanjutnya.
Akhir sekali jika anda telah terhidupkan enjin, matikannya serta merta. Hubungi trak tunda dan bawa ke bengkel.
Jika anda telah memandu jauh, berhenti dan matikan enjin serta merta juga. Ini senario paling buruk, dan jika anda tersedar, sistem bahan api kereta perlu menjalani pemeriksaan dan pembersihan. Mungkin komponen seperti penapis petrol dan palam pencucuh perlu ditukar.
Petrol dalam kereta diesel
Cara menangani situasi ini adalah hampir sama dengan di atas. Bila anda tersedar anda telah mengisi petrol, segeralah tunda kenderaan supaya sistem bahan bakarnya boleh dibersihkan dan diisi semula dengan diesel.
Jika anda telah terhidupkan enjin, petrol mungkin telah mengalir lebih jauh ke dalam. Enjin diesel anda akan memerlukan pemeriksaan menyeluruh.
Situasi paling buruk ialah jika anda telah memandu kenderaan itu beberapa ketika. Petrol mungkin telah masuk ke segenap kawasan enjin dan banyak komponen akan rosak. Segera berhentikan kenderaan, matikan enjin, dan hubungi trak tunda untuk bawa kenderaan ke bengkel.
Tips untuk elakkan tersalah isi
Gambar oleh: dioramatoys
Beberapa tips untuk mengelakkan situasi-situasi di atas dari berlaku ialah:
Pasang pelekat bahan api – Ini bertindak sebagai peringatan ringkas agar anda tidak tersilap isi.
Periksa betul-betul semasa memasuki stesen minyak – Sentiasa peka dengan stesen dan pam yang anda masuki.
Turun dari kenderaan semasa mengisi minyak – Lebih baik turun dari kenderaan dari membiarkan pembantu pam melakukan semuanya untuk anda. Periksa juga bahawa mereka mengisi bahan api yang betul ke dalam kenderaan anda.
Bateri ‘kong’ atau bateri mati adalah satu perkara yang biasa dihadapi oleh mana-mana pemilik kereta. Ia memang menyusahkan, terutamanya jika anda perlu melakukan rutin harian, namun masalah ini boleh diselesaikan dengan cepat dan mudah jika anda tahu cara jump start yang betul.
Kenapa cara yang betul itu penting? Seperti yang anda mungkin tahu, kereta mempunyai pelbagai jenis komponen elektrik jadi sebarang kecuaian boleh menyebabkan kerosakan kepada komponen-komponen tersebut dan ini boleh menjurus kepada kos pembaikan yang lebih mahal.
Untuk jump start bateri kereta anda (kami namakannya Kereta A), anda memerlukan sebuah lagi kereta dengan bateri yang masih berfungsi dengan baik (Kereta B), serta kabel jumper yang elok.
Pertama sekali, parkir Kereta B berdekatan dengan Kereta A bagi memastikan kabel jumper dapat disambungkan pada terminal positif dan negatif pada kedua-dua kereta. Setelah mendapat posisi yang betul, matikan enjin Kereta B.
Seterusnya, sambungkan klip kabel merah ke terminal positif (biasanya bertanda ‘+’) pada bateri Kereta B. Kemudian sambungkan klip kabel merah yang satu lagi kepada terminal positif bateri Kereta A.
Pada ketika ini, anda mungkin sudah tahu apa yang perlu dilakukan dengan kabel hitam. Ya betul, sambungkan klip hitam ke terminal negatif (bertanda ‘-‘) bateri Kereta B.
Bagaimanapun, jangan sambungkan satu lagi klip hitam kepada terminal negatif bateri Kereta A. Sebaliknya, cari mana-mana objek yang tidak bercat seperti kepala skru suspension tower dan apit objek tersebut dengan klip hitam itu.
Setelah memastikan semua klip disambungkan dengan kemas, hidupkan Kereta B dan biarkan enjin dalam keadaan melahu selama beberapa minit.
Kemudian, cuba hidupkan Kereta A. Jika tidak berjaya, matikan enjin Kereta B, hidupkan semula dan biarkan enjin melahu lebih lama. Jika gagal lagi, kereta anda mungkin mempunyai masalah yang lebih besar berbanding bateri mati.
Jika enjin Kereta A berjaya dihidupkan, biarkan ia melahu buat beberapa ketika. Kemudian, mula tanggalkan kabel jumper tadi dalam urutan terbalik. Setelah itu, pandu kereta anda ke kedai bateri terdekat untuk menukarnya kepada yang baharu.
Enjin diesel dengan komponen mekanikalnya yang lebih ringkas, lebih lasak, dan mampu memberikan lebih tork menjadikannya pilihan sesuai untuk kenderaan berat.
Teknologi ini direka oleh pereka dan jurutera mekanikal Jerman, Rudolf Diesel, selepas melakukan banyak kajian dan ujian termodinamik bagi mendapatkan lebih kecekapan berbanding enjin petrol.
Enjin diesel menggunakan udara termampat untuk menyalakan bahan api, berbanding enjin petrol yang menggunakan sistem percikan atau cucuhan.
Kisah dan pembangunan ini tertulis dalam buku sejarah, namun inspirasi asal untuk Diesel mendapatkan idea teknologi ini masih tidak diketahui.
Dalam satu penemuan yang dilaporkan oleh New Straits Times, Diesel nampaknya mungkin mengambil inspirasi dari gobek api, iaitu satu alatan purba digunakan di rantau Asia Tenggara ini.
Ia mempunyai silinder atau corong yang tertutup di satu sisi dan terbuka di satu sisi lagi, dan sebatang omboh (piston) dengan pemegang yang boleh ditekan masuk ke dalam silinder.
Bahagian omboh yang masuk ke dalam silinder mesti berbentuk bulat dan kedap udara supaya ia mampu mewujudkan vakum yang mempunyai tekanan semasa omboh ditekan masuk atau ditarik keluar.
Di ‘muka’ omboh itu terdapat lekuk kecil yang boleh menempatkan bara api yang tidak akan dihancurkan semasa omboh ditekan masuk.
Gobek api pada awalnya diperbuat dari kayu, tanduk binatang atau buluh dan bersaiz kecil – 7cm hingga 15cm – agar boleh dimuatkan di dalam poket.
Mampatan udara semasa omboh ditekan dengan cepat dalam silinder menjadikan suhu ruang dalaman itu menaik dengan mendadak sehingga 260 darjah Celcius, cukup untuk bara api menyala dengan percikan.
Bara api ini kemudiannya boleh dipindahkan sebelum dikipaskan untuk menyalakan api lebih besar.
Jadi, apa kaitan cara kerja gobek api tradisional ini dengan enjin diesel moden yang kita ketahui hari ini?
Sejarah lewat kurun ke-19
Kita undur sedikit lagi, pada lewat kurun ke-19, Carl von Linde – seorang jurutera – baru pulang ke tanah airnya di Jerman selepas menjelajah sambal bersyarah. Dia pergi ke merata tempat, termasuklah semenanjung Tanah Melayu.
Sebagai seorang ahli fakulti di Munich Technical University yang tersohor, dia sepatutnya menjalankan pembentangan hasil dan dapatannya kepada seluruh fakulti dan pelajar.
Semasa syarahan itu, dia sempat berhenti sebentar dan mengeluarkan alat kayu kecil ini dari poketnya untuk menyalakan rokok.
Alat itu dia namakan sebagai “ein Feuerkoben” dan merupakan hadiah dari seseorang yang ditemuinya di Pulau Pinang. Dia menekan omboh itu dan bara di dalamnya menyala.
Dia ambil bara itu dan menyalakan rokoknya. Bagi kebanyakan pelajar di situ, perkara itu tidak lebih dari sekadar menyalakan api dari alat kayu.
Tetapi kepada Diesel, yang berada di situ dan merupakan salah seorang pelajar cemerlang dalam kelas von Linde, konsep itu membuatkannya tertanya-tanya jika prinsip termodinamik yang sama boleh diaplikasikan untuk menyalakan bahan api dalam enjin pembakaran.
Persamaan kimia yang melibatkan tekanan, isipadu, dan suhu menyatakan bahawa apabila tekanan meningkat dalam isipadu yang sama, suhunya akan meningkat.
Tindakbalas yang sama inilah menjadi prinsip operasi enjin diesel apabila udara dimampatkan untuk menyalakan bahan api, dan sebab itulah enjin ini tidak memerlukan palam pencucuh seperti enjin petrol.
Dari 1983 hingga 1987, Diesel terus membangunkan ideanya di Maschinenfabrik-Augsburg AG (kemudian dikenali sebagai Maschinenfabrik-Augsburg-Nürnberg atau MAN)
Dia mula menguji prototaip lalu berjaya mendemonstrasi enjin diesel yang berfungsi dengan kecekapan 26.2 peratus.
Jadi, adakah gobek api benar-benar menjadi ilham dan inspirasi untuk trak dan bas MAN serta enjin-enjin diesel lain yang kita kenali hari ini?
Ia masih samar-samar, tetapi yang jelasnya, Diesel merupakan orang yang bertanggung jawab menghubungkan konsep gobek api dengan enjin jentera berat.
Ada banyak faktor yang perlu dipertimbangkan oleh pembeli semasa hendak membeli kereta. Selain harga, saiz dan enjin, anda mungkin perlu memilih jenis pacuan yang paling sesuai untuk keperluan anda.
Secara asasnya, ada empat jenis pacuan yang anda perlu tahu iaitu pacuan roda depan (FWD), pacuan roda belakang (RWD), pacuan semua roda (AWD) dan juga pacuan empat roda (4WD). Apakah perbezaan antara keempat-empat pacuan ini?
Pacuan roda depan (FWD)
Ini adalah pacuan yang paling biasa digunakan pada kenderaan, tidak kira sama ada ia hatchback, sedan atau SUV. Ini kerana sistem FWD lebih ringkas, bermakna ia lebih ringan, dan ini menjadikan kereta lebih cekap tenaga dan murah untuk diselenggara. Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan RWD, ia kurang mengujakan kerana ia lebih cenderung untuk mengalami understeer.
Contoh: Perodua Myvi, Honda City dan BMW 2 Series Gran Coupe
Pacuan roda belakang (RWD)
Secara ringkasnya, RWD bertentangan dengan FWD kerana dalam sistem ini, kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi propeller shaft atau propshaft. Peminat kereta lazimnya lebih menggemari RWD kerana ia menawarkan tahap cengkaman lebih tinggi (berat kenderaan dipindahkan ke belakang apabila memecut) dan pengendalian yang lebih mengujakan di selekoh. Kereta RWD juga lebih mudah untuk drift berbanding yang lain.
Contoh: Ford Mustang, Mazda MX-5 dan Toyota GR86/Subaru BRZ
Pacuan semua roda (AWD)
Seperti yang boleh dilihat menerusi namanya, pacuan AWD bermakna kuasa daripada enjin disalurkan ke keempat-empat roda bagi membolehkan kereta bergerak dengan lebih mudah di atas permukaan jalan yang basah dan licin. Kebanyakan sistem AWD boleh membahagikan jumlah tork antara gandar depan dan belakang mengikut keperluan dan ada juga yang boleh bertukar ke mod pacuan dua roda (2WD) untuk menjimatkan bahan api.
Contoh: Honda CR-V, Toyota GR Yaris dan Subaru XV
Pacuan empat roda (4WD)
Jika dibandingkan dengan AWD, sistem 4WD lebih sesuai untuk digunakan dalam kondisi pemanduan off-road. Kebanyakan, kalau tidak semua, kenderaan 4WD mempunyai transfer case dengan mod 2H, 4H dan 4L. 2H adalah pacuan dua roda dengan nisbah gear tinggi untuk pemanduan biasa, 4H pula mod pacuan empat roda dengan nisbah gear tinggi untuk cengkaman lebih tinggi, manakala 4L adalah pacuan empat roda dengan nisbah gear rendah untuk membolehkan kenderaan ‘merangkak’ pada kelajuan rendah untuk membolehkan ia mengharungi permukaan muka bumi yang ekstrem.
Contoh: Ford Ranger, Jeep Wrangler dan Suzuki Jimny
ISU panaskan enjin ini telah diperdebatkan berkurun lamanya, dari sembang kedai kopi, semasa lepak TT, hinggalah dalam forum internet dan Group Facebook.
Kenapa perlu panaskan enjin? Sekadar ikut-ikutan atau ada fungsi sebenar? Kami akan cuba jelaskan dengan penerangan mudah serta kaitkan dengan beberapa situasi yang biasa kita hadapi.
Memanaskan enjin sebenarnya suatu amalan sejak zaman 30 hingga 40 tahun dahulu, dimana enjin jenis karburator menggunakan choke bagi mencampurkan udara dan petrol untuk pembakaran.
Semasa sejuk, petrol tidak meruap, karburator tidak mempunyai pengesan suhu jadi ia tidak dapat melaraskan pembakaran cekap dan sempurna, lebih banyak bahan api digunakan pada masa ini. Maka sebab itu enjin perlu dipanaskan terlebih dahulu sebelum dipandu.
Bagi kereta moden yang kebanyakan kita pandu hari ini, enjinnya telah dilengkapi dengan pengesan untuk mengira nisbah campuran udara dan petrol dengan tepat. Ia akan melaras nisbah campuran ini juga bergantung kepada suhu.
Jadi, semasa sejuk, enjin dengan suntikan bahan api elektronik akan memasukkan lebih bahan api (burning rich) agar pembakaran tetap sempurna sehingga enjin mencapai suhu ideal. Proses ini jauh lebih cepat berbanding enjin lama dengan sistem karburator.
Perlu tunggu berapa minit sebelum pandu?
Jawapan mudah; hidupkan enjin, tunggu beberapa ketika sahaja, terus pandu. Ya, anda sebenarnya tak perlu tunggu sehingga 15 atau 20 minit untuk panaskan enjin. Bazir minyak sahaja.
Anda poket tebal tak kisah dengan duit minyak? Baik, seorang jurutera mekanikal dari Argonne National Laboratory pernah melaporkan bahawa bahan api (petrol) merupakan pelarut, dan ia boleh menipiskan minyak enjin pada dinding silinder jika enjin dibiarkan melahu (idle) dalam tempoh yang lama.
Anda sendiri faham, jika minyak kurang dalam dinding silinder, akan berlaku lebih geseran, dan pelbagai komponen boleh rosak atau pendek jangka hayatnya jika kita memanaskan enjin terlalu lama.
Menurut sorang wakil Volvo yang melakukan ujian cuaca sejuk di Artik, katanya, kereta baharu tidak perlu dipanaskan enjinnya. “Paling baik ialah hidupkan enjin beberapa saat untuk ada tekanan bahan api, dan terus pandu seperti biasa,” katanya.
Tapi jangan pula hidupkan enjin dan terus tekan pedal rapat ke lantai. Selepas kira-kira 20 atau 30 saat hidupkan enjin di waktu pagi, anda boleh terus pandu perlahan-lahan keluar taman perumahan, lalu beberapa simpang sebelum pecut di jalan utama.
Kalau kereta tinggal lama, macam mana pula?
Ada masa kita tinggalkan sesebuah kereta itu tidak dipandu untuk tempoh masa yang lama, tidak kiralah apa sebab pun. Ini juga akan timbul persoalan panaskan enjin, iaitu hidupkan sebentar sebelum tinggalkan semula kereta itu.
Tapi, bagaimana cara betul untuk panaskan enjin, hidupkan dan biar idle 10 minit?
Jawapannya, cara di atas tidak tepat. Jika anda ada kereta yang jarang dipandu, untuk panaskan enjin sekali-sekala, cara terbaik ialah hidupkan enjin, dan bawa keluar rumah dan dipandu perlahan-lahan di kawasan sekitar. Tidak perlu lama. 10 atau 15 minit sudah cukup.
Cara ini lebih baik kerana bukan hanya komponen enjin dapat bergerak, tetapi bendalir dan minyak dalam sistem transmisi juga dapat bergerak ke seluruh kawasan, begitu juga tayar dan gandar, semuanya bergerak. Maka gris dan minyak pelincir dapat diratakan.
Berbalik kepada awal artikel tadi, jika kita sekadar panaskan enjin dengan duduk setempat, cara ini kurang berkesan malah boleh merisikokan beberapa komponen.
KALAU kita nak beli kereta second atau terpakai, mesti tak mahu terbeli yang dah pernah eksiden atau kemalangan. Tapi tak ramai juga yang pandai periksa.
Kalau anda tahu pernah eksiden, mesti tak mahu beli, bukan? Atau kalau mahu beli juga, mintalah diskaun kaw-kaw.
Jadi jom kita tengok lima tanda kereta itu pernah eksiden.
1. Jarak pada panel badan
Biasanya jarak panel ada tolerance, tidak lebih dari ukuran tertentu yang ditetapkan oleh bahagian kualiti. Dalam 5mm, dan ia perlu seragam di seluruh kereta.
Contoh kalau kereta pernah berlanggar di depan, periksa belah kiri dan kanan, adakah jarak panel ini sama lebar. Kalau tak sama, mungkin ini kereta yang pernah eksiden.
Bawa je pembaris, ukur semua, tiada siapa yang boleh halang kita. Biar kita yakin dan puas hati, baru beli.
2. Warna tak sekata
Seterusnya, warna tak sekata. Contoh antara pintu depan dengan fender depan, atau dengan hud. Paling ketara dan mudah ialah warna putih.
Jika warna ada tak sekata, mungkin ada panel yang pernah ditukar atau dicat semula. Nak lagi terer, bawa saja alat pengukur ketebalan cat.
3. Periksa jika ada karat
Kereta moden hari ini sangat susah berkarat, walaupun dah berumur 10 tahun. Ini kerana proses mengecat dengan undercoat (lapisan bawah) sudah cukup untuk melindungi komponen logam.
Jika kereta pernah kemalangan dan ada komponen bengkok, proses menarik dan meluruskan semula ini boleh menyebabkan karat pada bahagian tertentu.
Cuba periksa bahagian bingkai ruang enjin, jika terdapat karat, ada kemungkinan kereta ini pernah eksiden. Begitu juga pada pintu, cuba lihat di getah keliling, pastikan tiada kesan karat atau kesan perubahan di sini.
4. Banyak barang baharu pada kereta
Baik, tanda seterusnya ialah banyak barang baharu. Kereta terpakai yang berumur lima tahun contohnya, pasti ada komponen wear and tear yang ditukar. Tetapi jika tiba-tiba ada komponen seperti radiator atau hos dalam enjin yang baharu dan berkilat, anda perlu periksa lebih.
Jika pemilik atau penjual kata baru tukar radiator sebab rosak, minta resit bukti. Jika tiada, kemungkinan kereta ini pernah mengalami perlanggaran depan dan merosakkan tangki radiator, sebab itulah ia ditukar baharu.
5. Bunyi-bunyi pelik
Akhir sekali untuk tanda-tanda kereta pernah eksiden ialah bunyi-bunyi pelik yang datang entah dari mana. Contohnya, hendak tutup pintu, ada bunyi “krek” sebelum ia boleh ditutup.
Begitu juga bila hendak tutup hud depan, hempas beberapa kali baru ia tertutup kemas. Bila pandu uji pula, ada bunyi “nyet nyet” atau bunyi tikus dari ruang tayar atau suspensi.
Jadi, semasa pandu uji ini gunakan peluang yang ada untuk mengenal pasti bunyi atau rasa yang pelik. Tidak perlu laju, tetapi cukup untuk anda pandu di pelbagai permukaan jalan, masuk ke jalan tak rata, kemudian cuba di lebuh raya.
Tips tanda-tanda kereta kemalangan ini dikongsi oleh Hasbullah Syarah di laman Youtube beliau, anda boleh tonton video penuh di bawah:
Kredit gambar: Openbay Overdrive, Toyota FJ Cruiser Forum, Universal Technical Institute, Subaru Crosstrek and XV Forum, dan Still Running Strong.
TIDAK dinafikan ramai perokok gemar memandu sambil merokok, semacam menenangkan pula lebih-lebih lagi jika memandu santai berseorangan.
Tdak menjadi kesalahan untuk memandu sambil merokok asalkan ianya tidak menjejaskan tumpuan dan keselamatan semasa di jalan raya. Masalahnya, asap rokok yang terperangkap dalam kereta adalah merbahaya untuk pemandu dan penumpangnya.
Menurut kajian oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit dari Amerika Syarikat (AS), merokok dalam kereta memberikan risiko kesihatan jangka masa pendek dan panjang kepada penumpang.
Ini kerana ruang dalam kabin kereta yang sempit menyebabkan risiko meningkat dengan mendadak terhadap perokok kedua atau pasif.
Dari sudut kewangan pula, kajian mendapati merokok akan merendahkan nilai jualan semula kenderaan! Perkara ini salah satu elemen penting dalam keputusan pembelian kereta di Malaysia, bukan?
Saya perokok tegar, apa saya boleh lakukan?
Perkara paling bagus yang boleh dilakukan ialah berhenti terus, tapi kami faham ia sukar dilakukan. Anda boleh mulakan dengan tidak merokok semasa memandu. Jika dalam sesuatu perjalanan, anda boleh merokok semasa berhenti rehat sebagai contoh di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), dalam zon yang ditetapkan.
Satu lagi cara yang lebih bijak ialah gunakan alternatif bebas asap rokok seperti lil SOLID Ez. lil SOLID Ez, yang diperkenalkan oleh IQOS, merupakan pemanas tembakau yang tidak mengeluarkan asap, pada masa yang sama masih memberikan rasa tembakau sebenar.
Peranti ini tidak membakar tembakau seperti rokok biasa, jadi ia tidak mengeluarkan sebarang abu atau asap yang akan terperangkap dalam kereta yang boleh membahayakan penumpang. Ia juga menghasilkan sehingga 95 peratus kurang bahan kimia berbahaya*.
[MAKLUMAT PENTING: Ini tidak bermakna risikodikurangkan sebanyak 95 peratus. IQOS bukan bebas risiko.]
*“Pengurangan 95 peratus”mewakili penurunan tahap purata pelbagai bahan kimia berbahaya (tidak termasuk nikotin) berbanding dengan asap rokok rujukan. Lihat “MaklumatPenting” di IQOS.com.
Tekan terus ke pautan ini jika anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai lil SOLID Ez.
DUCATI Panigale sememangnya antara superbike paling digilai dan ditambah dengan jenama itu yang datang dari Itali, membuatkan ramai yang risau memilikinya memandangkan harga servis yang mungkin di luar kemampuan.
Tetapi seorang pemilik Ducati Panigale V4 mendedahkan sendiri, servis superbike itu tidaklah semahal yang disangka. Kadang-kadang kurang RM500 untuk servis biasa setiap 5,000km.
Jared Low mendedahkan kepada Engear dalam satu temu bual ringkas baru-baru ini, bahawa hanya kerana nama servis Desmo itu kedengaran asing dan glamour, ramai yang tidak berani membeli motosikal Ducati.
“Sebenarnya ia hanya major service, menurut mekanik dari Ducati Kuala Lumpur yang saya temui sendiri, kosnya lebih kurang sahaja dengan motosikal lain dalam kelasnya seperti BMW S1000rr, Aprilia RSV4 atau MV Agusta F4,” kata Jared.
Beliau bagaimanapun mempunyai latar belakang dan perkembangan agak menarik. Dari pembuat pembuat sistem ekzos superbike, pemilik superbike sendiri, hingga menjadi pemuzik.
Pakar sistem ekzos superbike
Jared berkongsi bahawa beliau menjalankan perniagaan Revoc Exhaust System yang fokus dalam pembuatan sistem ekzos motosikal berkuasa tinggi.
“Ekzos yang kami hasilkan bukan sahaja cantik dilihat, tetapi menambahkan prestasi motosikal. Harga juga tidak terlalu mahal, sepadan dengan kualiti dan jangkaan pemilik,” katanya.
“Sebagai contoh projek terbaharu kami, Yamaha R25 250cc telah kami tala untuk mendapat sehingga lebih 40hp, iaitu tambahan 7hp dari 33.6hp dalam keadaan asal.
“Ini merupakan tambahan signifikan sekitar 20 peratus, membuktikan kami mementingkan prestasi dan kuasa, bukan sekadar rupa,” terangnya.
Hasil kerja Revoc Exhaust System juga telah mendapat perhatian peminat motosikal dari seluruh dunia.
“Produk kami telah dieksport ke lebih 15 negara, termasuklah AS, Australia, Sepanyol, Itali, UK, Greece, India, Jerman, Filipina, dan Jepun.”
Menurut Jared, pelanggan luar negara telah lama bertanya sebelum ini, tetapi kesibukan memenuhi permintaan pasaran tempatan menghalangnya dari mengeksport ke luar.
“Walaubagaimanapun semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, ramai pelanggan tempatan tidak dapat datang ke kedai kami, maka kami mula berhubung dengan pelanggan dan pemilik motosikal di luar negara.
“Saya berbangga untuk mengatakan Revoc Exhaust System adalah produk Malaysia, hasil kerja tangan anak Malaysia,” kata Jared.
Untuk harga, ia bergantung sama ada ekzos itu jenis slip-on dan kapasiti enjin (bermula RM1,299) atau sistem penuh (bermula RM2,999).
Sebelum ini ride motor apa?
Jared telah telah mula menunggang sejak 2011, dan antara superbike yang pernah dimiliki adalah Yamaha TZM150, Honda CBR 929, MV Agusta Brutale 800, Yamaha R1, dan Ducati Panigale V4.
“Saya agak suka Ducati, dua sebab utama. Yang pertama, untuk perniagaan dan komersil. Semua pelanggan antarabangsa adalah untuk ekzos Ducati. Jadi, saya rasa perlu untuk memiliki sebuah Ducati untuk R&D dan fahami sendiri.
“Kedua, ia motosikal Continental paling boleh diharap, sangat berjaya, dari litar hingga ke jalanan. Dan menariknya, kos penyelenggaraan Ducati antara terendah berbanding pesaing terdekatnya.
“Untuk servis setiap 3,000 hingga 5,000km, hanya kira-kira RM435.”
“Servis major (Desmo service), ramai yang tersalah anggap, tidaklah semahal yang disangka. Menurut mekanik dari Ducati Kuala Lumpur yang saya temui sendiri, kosnya lebih kurang sahaja dengan motosikal lain dalam kelasnya.
Jared meminati muzik sejak kecil dan beberapa tahun lepas, telah mula menulis lagu. “Salah satunya adalah Jangan Gentar. Pada masa ini saya hanya menulis, langsung tidak merancang mengeluarkan klip video atau seumpamanya.”
Tambahnya, “Kemudian saya berjumpa dengan Andrea yang mempunyai perniagaan produksi dan Kit, yang rupanya seorang penerbit muzik.
Selepas mereka meneliti lirik yang ditulis, Kit pula mencipta lagu dan rentak untuk Jangan Gentar. Menariknya, ianya lagu Bahasa Melayu sepenuhnya, ditulis oleh bukan Melayu.
“Elemen rap dan rentak dalam klip video lagu ini pula sangat moden, sesuai dengan generasi muda, tetapi kami selitkan unsur dan mesej yang kuat berkenaan semangat Malaysia. Lagu ini akan membawakan nilai moral yang kukuh dan positif.”
“Disebabkan saya juga seorang penunggang dan peminat superbike, saya selitkan elemen superbike dengan muzik kerana superbike membawa imej kekuatan dan keberanian. Saya rasa ia bersesuaian dengan tema lagu Jangan Gentar,” terangnya.
RATA-rata rakyat Malaysia menghabiskan banyak masa di dalam kereta dan selain cantik, kita juga pasti mahukan kereta kita nyaman dan bebas dari bau busuk.
Bau-bau dalam kereta boleh disebabkan oleh makanan, hapak, atau bagi mereka yang merokok, terdapat bau asap rokok yang pasti kurang disenangi keluarga dan rakan-rakan.
Sebelum kereta kita berbau kurang enak, lebih baik kita hindarkan dari ia berlaku terlebih dahulu, terutamanya jika kereta kita baru dibeli.
Bagaimana cara memastikan kereta sentiasa berbau wangi dan terasa selesa? Ikuti tips-tips mudah ini:
1. Jangan tinggalkan sampah dalam kereta
Keluarkan semua sampah, sisa makanan atau benda-benda yang boleh meninggalkan bau setiap kali anda mahu keluar dari kereta. Bawa keluar dengan bekas sampah kecil atau guna sahaja tangan anda apabila sampai ke destinasi.
2. Gunakan lil SOLID
Bagi mereka yang merokok, memang biasa kena komplen pasal bau rokok dalam kereta. Asap dan abu sudah pasti akan melekat pada kerusi dan karpet kereta walaupun mereka tidak merokok di dalam kereta.
Satu alternatif yang lebih baik dan bersih adalah lil SOLID – peranti pemanas tembakau yang memberikan rasa tembakau sebenar tanpa mengeluarkan asap atau abu. Ini kerana lil SOLID yang diperkenalkan oleh IQOS tidak membakar tembakau seperti rokok biasa, jadi ia menghasilkan sehingga 95 peratus kurang bahan kimia berbahaya. Ini juga bermakna tiada abu atau habuk yang akan mengotorkan kerusi atau karpet kereta anda.
3. Pastikan kereta sentiasa kering
Sentiasa tutup rapat tingkap kereta anda kerana sekiranya air masuk, lembapan yang terperangkap akan memberikan bau hapak yang sukar dihilangkan.
4. Guna cawan anti-tumpah
Terdapat banyak jenis cawan anti-tumpah dalam pasaran yang boleh disesuaikan dengan kereta anda. Ini kerana ia dapat mengelakkan minuman seperti jus atau kopi dari tertumpah ke dalam kabin. Ini pun sama, pasti bau melekat!
5. Vakum dengan kerap
Vakum kereta dengan kerap akan memastikan tiada kotoran yang mungkin tertinggal dan dapat menjadi penyebab kepada bau kurang menyenangkan dalam kereta. Anda boleh guna vakum mini berkuasa bateri atau vakum rumah biasa, bergantung kepada lokasi kereta anda diparkir.
6. Bersihkan karpet kereta
Disebabkan ia di bawah, karpet juga menjadi tempat kotoran dan bauan terperangkap. Sentiasa bersihkan karpet dengan kerap sama ada tepukkan hingga tiada habuk atau basuh dengan air dan sabun jika perlu.
Mudah, bukan? Kesemua tips ini juga mesra poket dan berkesan memastikan kereta sentiasa berbau wangi dan tidak terdapat sebarang bauan kurang enak.
Tekan terus ke pautan ini jika anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai lil SOLID.