Category Archives: MEKANIK

Alamak! Drive Shaft rosak?, jangan terhantuk baru tengadah!

KEROSAKAN drive shaft atau aci pemacu tidak dinafikan mampu ‘memeningkan’ mana-mana pemilik kenderaan.

Apa tidaknya, selain menelan kos membaiki yang tinggi, kerosakan komponen ini juga dikhuatiri mengundang bahaya kepada pemandu dan penumpang kenderaan!

Justeru, bagaimana untuk mengesan kerosakan drive shaft sesebuah kenderaan?

Apakah tips untuk mengelak daripada berlaku kerosakan drive shaft?

Sebelum kami berkongsi kepada anda tips berharga ini, adalah lebih baik jika kita mengenali serba ringkas mengenai fungsi atau peranan drive shaft bagi sesebuah kenderaan.

Drive Shaft

Komponen drive shaft ternyata bukan suatu yang baharu apabila penggunaannya dalam kenderaan telah bermula sejak pertengahan kurun ke-19.

Seiring perkembangan teknologi automatif dunia, pelbagai jenama dan jenis kualiti komponen ini boleh didapati di pasaran.

Secara am, drive shaft bertindak sebagai alat untuk membekalkan kuasa dari transmisi ke roda kenderaan.

Terdapat dua drive shaft di bahagian roda hadapan kenderaan, sebelah kiri dan kanan tayar. Secara jelas komponen ini menjadi faktor utama yang memutarkan kedua-dua tayar kereta anda.

Maka, sudah pasti amat ‘menyeramkan’ jika berlaku kerosakan pada drive shaft apatah lagi ia mampu membawa kepada kegagalan mengawal stereng kenderaan.

Kesan sebelum terlambat

Terdapat pelbagai cara untuk anda mengesan kerosakan pada bahagian drive shaft sesebuah kereta. Berikut tips kami kongsikan untuk anda!

  • Lakukan pemeriksaan drive shaft untuk kereta yang berusia lebih lima tahun atau jarak tempuh (mileage) melebihi 100,000 kilometer. Ini kerana, kenderaan berusia dan mempunyai mileage yang tinggi boleh menyebabkan berlaku kehausan pada bahagian drive shaft.
  • Adakah kereta anda mengeluarkan bunyi agak ‘kasar’ pada bahagian depan terutama ketika memecut laju atau memusingkan stereng? Jika ya, berkemungkinan besar drive shaft kereta anda bermasalah. Apa yang anda perlu lakukan segera bawa kenderaan ke bengkel untuk tindakan lanjut.
  • Kereta mengalami kebocaran minyak grease. Jika anda mengalami situasi ini segera melakukan pemeriksaan pada kenderaan. Selain itu, kekeringan minyak greaseatau berlaku kerosakan pada pelindung (cover) getah juga antara tanda berlaku kerosakan pada drive shaft.
Keadaan aci pemacu atau drive shaft yang telah rosak.

Secara kesimpulan, drive shaft amat penting dan tidak keterlaluan jika ia boleh diibaratkan sebagai nadi untuk menggerakkan sesebuah kereta.

Walaupun drive shaft bukan sebuah komponen yang ‘manja’ sehingga memerlukan penjagaan rapi, namun adalah perlu untuk anda mengetahui peranan serta penjagaannya.

Apa yang pasti, jangan sampai duit ‘melayang’ dan paling penting sayangilah nyawa anda serta insan tersayang.

Semoga artikel ini memberi anda ilmu yang boleh dimanfaatkan untuk kesejahteraan kenderaan anda.

*Nota tambahan: Istilah drive shaft atau aci pemacu merujuk kepada roda bahagian hadapan kenderaan yang mana ia biasa diguna pakai oleh penutur bahasa Inggeris di United Kingdom (UK). Manakala di Amerika Syarikat (AS), drive shaft merujuk kepada bahagian gandar belakang kenderaan.

Gegar satu badan kerana engine mounting, perlu tukar atau tidak?

MASALAH gegaran pada enjin kereta bukan suatu perkara baharu lebih-lebih lagi jika kenderaan tersebut telah berusia atau pernah berdepan kemalangan jalan raya.

Situasi ini bukan sahaja menimbulkan rasa kurang selesa pada pemanduan tetapi lebih membimbangkan ia juga boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan.

Antara simptom atau ciri-ciri masalah enjin bergegar adalah:-

  • Gegaran kuat di bahagian enjin apabila dihidupkan
  • Kenderaan tersengguk-sengguk ketika gear dimasukkan
  • Kereta kurang ‘power’ diawal pemanduan

Mengapa perkara ini berlaku? Menerusi pengalaman serta pemerhatian kami, tidak mustahil ia adalah berpunca daripada masalah engine mounting.

Apakah itu engine mounting?

Engine mounting adalah komponen yang ‘memegang’ enjin kereta. Bagi kebanyakan kereta, enjin dan transmisi ‘dipegang’ bersama. Satu bahagian pelekap enjin dilekatkan pada badan atau bingkai kereta sementara bahagian lain pula akan memegang enjin.

Untuk pengetahuan anda, enjin adalah sumber getaran terbesar di dalam kenderaan kerana sentiasa bergerak dan berputar. Oleh itu, engine mounting bukan sahaja bertindak ‘memegang’ enjin tetapi turut mengurangkan getaran dihasilkan.

Walaupun fungsi engine mounting tidak kurang pentingnya kepada sesebuah kereta, komponen ini bagaimanapun tidak memerlukan penyelenggaraan secara kerap.

Namun, atas faktor itulah ramai pemilik kenderaan terlepas pandang terhadap kepentingan komponen ini sehingga kadang kala berlaku kerosakan yang tidak disangka-sangka.

Jadi, sebelum berlaku masalah pada engine mounting, jom ketahui masalah yang sering berlaku pada bahagian komponen ini.

  • Enjin bergegar teruk. Ini adalah simptom biasa untuk masalah engine mounting terutama jika kenderaan berada dalam keadaan statik. Anda juga akan dapat merasai gegaran di bahagian stereng kereta yang sangat ketara.
  • Engine Mounting yang tidak berfungsi dengan baik akan menyebabkan berlaku masalah pada pembahagian berat enjin. Ini akan menyebabkan berlaku ketidakseimbangan beban (alignment) pada tayar kereta. Dalam jangka masa panjang, tidak mustahil tayar pula yang rosak. Duit lagi…
  • Kerosakan kotak gear. Engine mounting terdiri daripada beberapa bahagian yang terletak berhampiran dengan kotak gear. Sekiranya engine mounting tidak berfungsi dengan baik, ia akan memberi impak kepada kotak gear melalui gegaran yang berterusan. Perlu diingat, kotak gear adalah antara bahagian paling mahal bagi mana-mana jenis kereta!
  • Kerosakan engine mounting akan menyebabkan bunyi bising di bahagian enjin. Lebih parah akan terdapat bunyi di bahagian belakang kereta.
  • Terdapat sentakan ketika menukar gear. Gegaran atau sentakan ini akan lebih ketara ketika melakukan perjalanan pada kelajuan tinggi kerana enjin perlu ‘bekerja’ lebih keras.
Engine mounting yang mengalami kerosakan boleh menyebabkan kenderaan mengalami gegaran teruk pada bahagian enjin. – Foto ihsan Facebook/Engine Mounting System Rubber

Berdasarkan apa yang dikongsi, semoga tips ini dapat membantu anda menambah serba sedikit ilmu automobil mengenai engine mounting.

Kami juga menasihati anda untuk memantau keadaan engine mounting kereta terutama bagi yang telah melangkau usia lima sehingga tujuh tahun.

Mungkin anda terpaksa mengeluarkan sedikit wang untuk membuat penukaran komponen ini, tetapi ia lebih baik daripada terpaksa berbelanja lebih untuk menggantikan bahagian lain yang rosak akibat gegaran engine mounting!

Wiper berbunyi, jangan sampai hilang fokus pemanduan

Faktor wiper berbunyi

Pada kebiasaannya, masalah wiper berbunyi berpunca daripada tiga faktor utama. Ketiga-tiga faktor ini termasuk masalah kerosakan bilah, cermin atau teknikal. Jom kita semak satu demi satu!

1. Jenis bilah wiper

Wiper jenis getah mempunyai kebarangkalian tinggi untuk mudah rosak. Pemilik kenderaan dinasihatkan untuk menukar wiper jenis ini setidak-tidaknya dalam tempoh enam bulan sekali. Jika malas, tukar sahaja kepada wiper jenis silikon kerana ia bukan sahaja lebih tahan lama tetapi tidak mudah lentur.

2. Cermin

Cermin kotor mempunyai kebarangkalian tinggi menyebabkan wiper kenderaan mengeluarkan bunyi bising. Hal ini mungkin disebabkan terdapat kesan kotoran yang tidak tertanggal seperti tar, minyak dan sebagainya. Cara mudah untuk mengatasi masalah ini adalah dengan mencuci menggunakan ejen pencuci khas.

3. Kerosakan mekanikal

Masalah wiper berbunyi mungkin juga disebabkan daripada kerosakan motor. Salah satu cara mengatasi adalah dengan mengenakan gris pada bahagian mekanikal atau menggunakan cecair pencuci karat. Jika masih juga berbunyi, tukar sahaja komponen motor yang baharu.

Demikian antara perkongsian mengenai masalah wiper berbunyi. Semoga informasi ringkas ini membantu anda…jumpa lagi!

Sukar tukar tayar pancit? Ini yang anda perlu tahu

PERNAHKAH anda berdepan situasi tayar pancit ketika memandu? Tahukah anda apakah yang perlu dilakukan?

Pengalaman berdepan situasi tayar pancit tidak dinafikan menjadi antara ‘mimpi’ buruk bagi seseorang pemandu atau penumpang.

Apatah lagi ia berlaku ketika cuaca panas terik, hujan lebat atau paling menakutkan di kawasan sunyi sepi.

Jangan risau, kami di EnGear ada beberapa tips berguna untuk anda jika berdepan situasi tayar pancit!

1. Sediakan peralatan lengkap dalam kenderaan

Ramai di kalangan kita sering mengambil ringan mengenai keperluan peralatan mekanikal dalam kenderaan. Apa yang lebih parah apabila ada yang tidak mengetahui di mana alat perkakas mekanik diletakkan dalam kenderaan mereka.

Jadi, pastikan beberapa peralatan berikut berada dalam ‘boot tray’ kereta anda:-

  • Safety triangle 
  • Jack
  • Tow hook
  • L Handle atau Wrench Nut
  • Anchor
2. Lokasi tukar tayar

Keselamatan adalah aspek paling utama yang perlu dititiberatkan dalam setiap pemanduan. Makanya, sudah pasti anda tidak boleh berhenti di mana-mana lokasi sesuka hati untuk menukar tayar kenderaan.

Apa yang anda perlu lakukan adalah tidak panik dan terus memperlahankan kenderaan sebaik mengetahui tayar kenderaan pancit.

Sebaik-baiknya, berhenti di jalan lurus serta tidak berbukit dan meletakkan safety triangle sekurang-kurangnya 50 – 100 meter di belakang kenderaan agar ia dapat dilihat jelas oleh pengguna jalan raya lain.

Perlu diingat, elak berhenti di kawasan selekoh kerana ia menyukarkan pemandu lain melihat kenderaan anda dengan jelas.

Oh ya! Jangan lupa hidupkan juga lampu kecemasan (hazard light) terutama di waktu malam.

3. Jom tukar tayar!

Terdapat beberapa langkah utama yang perlu anda lakukan untuk menukar tayar pancit. Berikut turutan langkah-langkah menukar tayar:-

  • Longgarkan skru nut di bahagian tengah rim kenderaan dengan memusing mengikut arah jam
  • Keluarkan tayar simpanan dan letakkan di bawah kenderaan. Ini penting bagi tujuan keselamatan jika berlaku situasi ‘jack collapse
  • Pasangkan jack pada bahagian railing atau besi berlekuk di bawah kenderaan. Anda diingatkan untuk memastikan jack berada pada kedudukan lekuk sebelum menaikkan kenderaan
  • Pusing jack menggunakan anchor mengikut arah jam sehingga tayar kereta terangkat dan tidak mencecah permukaan jalan
  • Buka semua skru nut pada rim dan masukkan tayar simpanan
  • Pasangkan semua skru nut kembali dan jangan ketatkan selagi jack tidak diturunkan
  • Turunkan jack dengan memusing arah lawan jam sehingga tayar mencecah permukaan jalan
  • Ketatkan skru nut menggunakan wrench nut

Sebaik anda menukar tayar kenderaan, adalah dinasihatkan agar tidak memandu laju.

Ini kerana tayar simpanan kebiasaannya cepat panas dan boleh menyebabkan ia pecah.

Sebaik-baiknya, anda segera ke kedai tayar berdekatan dan kembali menukar kepada tayar baharu.

Semoga apa yang dikongsikan dapat membantu anda jika berdepan masalah tayar pancit di masa hadapan.

Selamat mencuba!