Category Archives: TIPS

Kenapa skor ASEAN NCAP penting untuk pilih kereta keluarga yang selamat?

Di sekolah, markah ujian dalam sesebuah peperiksaan merupakan penentu prestasi yang dicapai oleh seseorang pelajar.

Samalah juga halnya dengan skor yang diperoleh menerusi Program Penilaian Kenderaan Baharu (NCAP).

Dalam ASEAN NCAP, sesebuah kereta moden dinilai menerusi empat skop utama, iaitu Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP), Bantuan Keselamatan (SA) dan Keselamatan Penunggang Motosikal (MS).

Ini bermakna, selain daripada aspek keselamatan melibatkan casis kenderaan, pihak ASEAN NCAP juga turut menilai tahap keberkesanan sistem bantuan keselamatan termaju yang turut dimuatkan.

Markah yang lebih tinggi menunjukkan tahap keselamatan yang lebih menyeluruh ditawarkan oleh sesebuah pengeluar.

Skor yang dikeluarkan oleh ASEAN NCAP boleh dijadikan sebagai petunjuk oleh golongan pengguna untuk menentukan model kenderaan yang lebih bernilai untuk setiap wang ringgit yang dibelanjakan.

Apatah lagi pada masa kini, golongan pembeli sudah mula menunjukkan tahap kesedaran yang cukup tinggi untuk mempertimbangkan pembelian kereta yang lebih selamat.

Tahukah anda, salah satu kereta bertaraf lima bintang ASEAN NCAP yang sangat berbaloi untuk dimiliki ialah Chery Omoda 5?

Sejak diperkenalkan pada Julai 2023, Omoda 5 merupakan model Chery yang paling laris terjual di pasaran Malaysia.

Dengan pakej spesifikasi lengkap berserta harga yang lebih mampu milik (dari RM108,800), Chery Omoda 5 turut menawarkan senarai ciri keselamatan yang lebih menyeluruh secara standard untuk semua varian.

Ciri keselamatan pasif dimuatkan seperti ABS, EBD, Bantuan Brek, Program Kestabilan Elektronik (ESP), Kawalan Cengkaman (TC), Bantuan Mula Mendaki (HAC), Bantuan Menurun Cerun (HDC) serta tidak ketinggalan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

Lebih menarik, kedua-dua varian juga dilengkapi dengan sistem ADAS Tahap 2, merangkumi fungsi berikut:
• Amaran Keluar Lorong (LDW)
• Pemantauan Titik Buta (BSD)
• Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
• Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dengan fungsi Low Speed Follow (LSF)
• Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
• Pengelakan Keluar Lorong (LDP)
• Bantuan Kesesakan Trafik (TJA)

Dengan ciri keselamatan termaju yang disebutkan itu tadi, tidak menghairankan apabila SUV pilihan ramai ini berjaya meraih penarafan lima bintang ASEAN NCAP seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, Chery Omoda 5 juga meraih skor yang tertinggi di dalam segmennya, dengan markah terkumpul 88.64 mata merangkumi empat skop penilaian iaitu:
• Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) – 36.77/40.00
• Perlindungan Kanak-Kanak (COP) – 17.36/20.00
• Bantuan Keselamatan (SA) – 19.51/20.00
• Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) – 15.00/20.00

Chery Omoda 5 menunjukkan prestasi cemerlang dalam ujian impak pelanggaran hadapan dan sisi bagi memastikan tahap keselamatan penumpang dewasa dan kanak-kanak.

Ciri keselamatan termaju yang wujud pada SUV ini juga terbukti dapat menjamin keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Selain daripada ASEAN NCAP, Chery Omoda 5 juga turut diterima baik dengan penarafan lima bintang daripada Euro NCAP dan Australia NCAP.

Ini membuktikan komitmen Chery dalam menghasilkan sebuah kenderaan yang lebih selamat, boleh dipercayai dan dalam masa yang sama lebih mampu milik untuk kegunaan harian.

Mulakan langkah pertama untuk melindungi keselamatan diri dan keluarga anda dengan melayari laman web Chery Omoda 5 di https://www.chery.my/model/omoda-5/

 

Cara mendapatkan postur yang betul semasa memandu

MUNGKIN ramai di antara anda yang tidak menyedari perkara ini namun postur duduk yang betul semasa memandu adalah sangat penting.

Dengan postur yang betul, anda bukan sahaja mengurangkan risiko mengalami sakit belakang dan kelesuan, malah anda sebenarnya juga boleh mengawal kenderaan dengan lebih baik sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Bagaimanakah caranya mendapatkan posisi memandu yang betul? Mereka yang sudah terbiasa duduk seperti Dominic Toretto mungkin akan rasa agak janggal untuk kali pertama kerana posisinya sedikit tegak seperti pelumba.

Jangan ikut cara ini

Sebelum melabuhkan punggung di tempat duduk pemandu, kosongkan poket seluar anda terutamanya poket belakang. Kehadiran objek tebal seperti dompet boleh menjejaskan posisi pemanduan.

Sebaik sahaja duduk di kerusi pemandu, pastikan bahagian punggung dan belakang anda rapat dengan penyandar. Kemudian laraskan kerusi supaya tulang belakang dan tulang pinggul anda berada dalam satu garisan lurus.

Sekiranya anda perlu mendongak atau menunduk untuk melihat ke hadapan, ubah ketinggian kerusi anda.

Selain itu, jangan lupa laraskan perehat kepala supaya ia sama tinggi dengan bahagian atas kepala anda. Ini juga penting kerana perehat kepala berfungsi untuk mengehadkan pergerakan kepala bagi mengelakkan berlakunya whiplash dalam kemalangan.

Langkah seterusnya adalah memastikan kedudukan anda tidak terlalu jauh atau terlalu dekat dengan stereng dan pedal. Sekiranya kaki anda sedikit bengkok ketika pedal (pendikit, brek atau klac) ditekan sepenuhnya, anda berada pada kedudukan yang betul.

Imej: axa.co.uk

Begitu juga dengan lengan anda. Ia juga sepatutnya bengkok sedikit ketika anda memegang stereng pada kedudukan 9-3. Selain itu, anda sepatutnya boleh merehatkan pergelangan tangan pada bahagian atas stereng tanpa perlu mengalihkan bahu daripada penyandar kerusi.

Panduan ini mungkin kedengaran agak rumit bagi mereka yang tidak biasa tetapi jika diamalkan, anda pasti dapat merasakan perbezaan terutamanya dari segi keselesaan dan kawalan.

Cermin sisi vs kamera sisi, lebih canggih bermakna lebih baik?

Jika anda perasan, ada beberapa buah model kereta yang wujud di pasaran Malaysia yang sudah pun dilengkapi dengan opsyen kamera sisi bagi menggantikan peranan cermin sisi.

Sekali imbas, memang nampak canggih kereta-kereta yang dilengkapi dengan unit kamera sisi. Futuristik, macam kereta yang datang dari zaman masa depan pun ada.

Ada juga model yang diimport masuk seperti Honda e yang didatangkan standard dengan ciri kamera sisi.

Menurut pengeluar, penggunaan kamera sisi memberikan beberapa manfaat terutama untuk kenderaan elektrik.

Antaranya ialah aspek aerodinamik yang lebih baik, dan jarak gerak yang lebih jauh mampu dicapai.

Selain itu, ia juga dapat membantu mengurangkan kesan bunyi bising angin dan mengelakkan titik buta yang lebih besar seperti yang terdapat pada kereta konvensional.

Namun, adakah lebih canggih bermakna ia jauh lebih baik berbanding cermin sisi?

Penulis sebelum ini pernah berkesempatan menguji sebuah kereta baharu yang dilengkapi dengan kamera sisi.

Tiada cara yang lebih sesuai untuk menguji keberkesanan sistem canggih ini melainkan dengan memasuki kotak parkir secara mengundur.

Berbeza dengan model yang dilengkapi cermin sisi, penulis mengambil masa yang agak lama untuk membiasakan diri dengan kereta yang ada kamera sisi.

Satu sebab ialah kedudukan skrin paparan pada panel pintu, di mana ia secara langsung mengubah tabiat pemerhatian kita memandang kedudukan cermin sisi yang asal kepada posisi pandangan baharu.

Bayangkan untuk mengagak jarak di bahagian sisi kenderaan, kita terpaksa melihat paparan tersebut di dalam kereta dan bukannya di luar kereta.

Sudut pandangan yang dipaparkan pada skrin tersebut tidak begitu meluas berbanding penggunaan cermin sisi.

Keadaan pencahayaan yang kurang mencukupi juga mampu memberikan kesan kepada imej yang dipaparkan pada skrin.

Sekarang, cuba bayangkan jika anda memandu di atas jalan raya, dan kamera sisi tersebut menjadi mangsa perbuatan penunggang motosikal yang tidak bertanggungjawab.

Suka atau tidak, anda mungkin perlu memperuntukkan belanja yang besar untuk menggantikan kamera sisi yang rosak, berbanding menggantikan cermin sisi konvensional.

Tidak semua kemajuan teknologi itu memudahkan, namun terpulang kepada poket masing-masing untuk menentukan mana satu yang terbaik untuk kegunaan peribadi.

Trend automotif yang perlu dihapuskan

Selain rumah yang selesa, kita juga memerlukan sebuah mod pengangkutan yang dapat menyenangkan segala urusan perjalanan dari titik A ke titik B.

Dengan kemajuan teknologi, kereta-kereta moden kini jauh lebih selesa dan selamat jika dibandingkan dengan kereta yang diguna pakai oleh golongan bapa dan atuk kita.

Namun, dengan kemajuan teknologi yang terlalu pantas jugalah menyebabkan perubahan yang mendadak terhadap cara kita mengoperasikan kereta setiap hari.

Berikut merupakan beberapa trend automotif yang seharusnya dihapuskan daripada kereta-kereta moden:

 

1. Minimalis yang menyusahkan

Ini adalah trend yang kita boleh lihat pada kereta-kereta baharu.

Kebanyakan pengeluar mula mengurangkan butang fungsi dan menghimpunkan segala operasi penting ke dalam skrin infohibur.

Kesannya, susun atur papan pemuka menjadi lebih ‘bersih’, namun ia mendatangkan satu masalah yang cukup besar – tumpuan pemandu terganggu dengan lebih kerap.

Kalau dulu, anda hanya memerlukan satu butang khas untuk membuka bumbung kaca panorama, tapi kini anda terpaksa menekan skrin tengah beberapa kali semata-mata untuk melakukan operasi yang sama. Menyusahkan bukan?

 

2. Arahan suara yang tidak mesra loghat tempatan

Satu lagi trend yang menyusahkan selepas poin nombor satu tadi ialah pengeluar berlumba-lumba untuk hadir dengan sistem arahan berbentuk suara yang tersendiri.

Dengan fungsi ini, anda boleh mengarahkan sistem untuk membuka tingkap, menurunkan suhu, dan bermacam-macam perkara lagi sekiranya sistem tersebut hadir dengan ciri kepintaran buatan (AI).

Untuk pengguna yang mempunyai lidah lembut, tiada sebarang masalah untuk membiasakan diri dengan sistem berbentuk arahan suara itu.

Bagaimana pula dengan pengguna lain? Penulis pun boleh bilang pakai jari kekerapan menggunakan sistem ini sepanjang memandu uji pelbagai jenis kereta moden.

 

3. Terlalu banyak skrin dalam kabin

Kalau dulu, kita mungkin dihidangkan dengan satu skrin yang kecil untuk paparan informasi penting.

Lama kelamaan, skrin infohibur kenderaan semakin membesar saiznya, dan tidak cukup dengan itu, ada pula skrin tambahan yang dipasangkan pada papan pemuka.

 

4. Lampu kabin macam kedai tomyam

Ini juga satu trend yang patut dihapuskan, kerana sistem pencahayaan ambien serupa kedai tomyam ini sebenarnya mampu memberikan kesan kepada tumpuan pemanduan terutama pada waktu malam.

Kesan pantulan cahaya pencahayaan ambien yang terdapat pada tingkap itu boleh mengelirukan tumpuan pemandu.

Ada juga sesetengah pengeluar yang sengaja meletakkan jalur pencahayaan ambien sama aras dengan medan penglihatan pemandu.

Pada pendapat penulis, sistem pencahayaan ambien ini satu ciri yang bagus untuk menyerikan kabin pada waktu malam, namun berpada-padalah. Jangan sampai ia boleh mengganggu pemanduan.

 

5. Trend bagi ‘Signal’ pakai niat

Apa tujuan tuil lampu membelok dicipta? Untuk memberikan amaran kepada pengguna jalan raya lain tentang niat kita untuk menukar haluan atau memasuki mana-mana simpang di hadapan.

Jadi, apa pula manfaat yang kita dapat sekiranya kita tidak langsung menggunakan fungsi tersebut untuk menukar laluan?

Tiada manfaat, bahkan anda mungkin akan mendapat maki hamun dan hon yang berpanjangan dari arah belakang.

Jadi tolonglah jangan tergolong dalam kumpulan yang suka menyusahkan orang lain.

5 EV menarik berharga antara RM100,000 hingga RM150,000

FAKTOR-faktor seperti pengecualian duti, cukai jualan dan cukai jalan, serta kemasukan pelbagai model menarik ke pasaran tempatan menjadikan kenderaan elektrik (EV) semakin popular di Malaysia.

Menurut laporan Berita Harian, pendaftaran EV baharu di negara ini mencapai 10,700 unit pada separuh pertama tahun ini, menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding 4,400 unit yang dicapai pada tempoh sama tahun lalu.

EV secara umumnya adalah teknologi yang masih baru namun dengan pengecualian duti dan cukai yang disebutkan tadi, harga yang ditawarkan boleh dikatakan agak berpatutan iaitu bermula dari RM100,000.

Bagi mereka yang ingin beralih ke EV tanpa mengeluarkan belanja yang terlalu besar, di sini kami senaraikan lima EV menarik yang berharga antara RM100,000 hingga RM150,000:

BYD Dolphin

Dolphin dilancarkan di Malaysia pada Julai tahun lalu dengan dua pilihan varian iaitu Dynamic Standard Range (SR) dan Premium Extended Range (ER). Harga OTR tidak termasuk insurans bermula dari RM100,530 untuk SR dan RM125,530 untuk ER, menjadikannya pilihan yang menarik untuk mereka yang ingin mencuba keseronokan EV.

Perbezaan antara kedua varian berkenaan terletak pada jarak gerak dan pengecasan. SR menawarkan jarak gerak sehingga 410 km (kitaran WLTP), manakala ER pula mempunyai boleh dipandu sehingga 490 km dengan satu cas penuh.

GWM Ora Good Cat

Mereka yang inginkan EV dengan rekaan cukup bergaya boleh mempertimbangkan Ora Good Cat yang dibawa masuk secara rasmi oleh GWM Malaysia. Terdapat dua varian yang ditawarkan iaitu 400 Pro (RM113,800) dan 500 Ultra (RM143,800).

Ragu-ragu dengan kualiti kereta buatan China? Usah risau kerana Ora Good Cat didatangkan dengan jaminan 5 tahun/150,000 km untuk kenderaan dan jaminan 8 tahun/180,000 km untuk bateri, motor elektrik, dan unit kawalannya.

MG4

MG4 merupakan salah satu daripada dua EV yang dilancarkan oleh SAIC Motor Malaysia Sdn. Bhd pada Mac tahun ini. Ia merupakan sebuah hatchback dengan rekaan yang cukup garang, sesuai untuk golongan muda yang ingin menonjol di jalan raya.

Apa yang menarik, MG4 boleh didapati dalam varian Standard, Lux dan Lux Extended Range, dengan harga bermula dari RM103,900 hingga RM148,900. Ada satu lagi varian berprestasi tinggi bergelar XPower cuma harganya melebihi sedikit tanda RM150,000.

GAC Aion Y Plus

Dilancarkan oleh WTC Automotif di Malaysia Autoshow 2024 pada Mei lalu, Aion Y Plus adalah sebuah SUV namun rekaan ruang dalamannya yang begitu luas, ditambah pula dengan kerusi depan yang boleh dibaringkan sepenuhnya, membuatkan ia seolah-olah sebuah MPV.

Terdapat dua varian untuk dipilih iaitu Elite dan Premium, dengan harga jualan bermula dari RM119,800 hingga RM135,800. Kedua-dua varian menggunakan bateri jenis LFP (digelar Magazine Battery 2.0) berkapasiti 63.2 kWj yang menawarkan jarak gerak sejauh 490 km.

Chery Omoda E5

Satu lagi SUV elektrik yang boleh didapati pada harga bawah RM150,000 adalah Chery Omoda E5, yang dijual pada harga RM146,800. Ia secara asasnya adalah Omoda 5 versi elektrik, jadi anda sebenarnya mendapat kenderaan dengan penggayaan dan ukuran yang hampir sama cuma dengan motor elektrik yang memacu roda depan.

Omoda E5 didatangkan dengan bateri 61 kWj yang memberikan jarak pemanduan sehingga 430 km. Bateri itu boleh dicas dari 30 hingga 80% dalam masa 28 minit sahaja. Lebih menarik lagi, Chery Malaysia menawarkan penggantian bateri percuma bila Battery Health menurun kepada 70%.

Cuaca panas bahang: Tips menunggang dengan selamat

Tidak semua orang suka menunggang di atas jalan raya Malaysia, apatah lagi ditambah dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Selain hujan lebat, ada kalanya kita mungkin terpaksa berdepan dengan cuaca yang panas membahang demi mencari sesuap nasi yang halal.

Terdapat beberapa tips yang anda boleh amalkan:

1. Sediakan air sebelum pengsan

Ini ialah tips yang paling penting, kerana cuaca panas akan menyebabkan badan kehilangan kandungan air disebabkan oleh air peluh yang dirembes keluar.

Sekiranya terlalu banyak air yang dikeluarkan dari badan, ia akan menyebabkan ketidakseimbangan elektrolit.

Jadi, sebelum memulakan perjalanan, pastikan stok air minuman sentiasa ada dalam bakul motosikal/beg anda.

Cuba elakkan minum air bergula dan kafein, kerana ia akan membuatkan anda cenderung membuang air dengan kerap.

 

2. Rancang perjalanan

Tips ini sesuai diamalkan sekiranya anda perlu ke satu-satu tempat dan terpaksa menunggang di bawah sinaran mentari yang terik untuk satu jangka masa yang lama.

Seboleh-bolehnya, rancang perjalanan terlebih dahulu dan tentukan tempat yang sesuai untuk berehat seketika.

Elakkan menunggang terlalu lama ketika suhu persekitaran paling panas, ini kerana keadaan tersebut boleh mengganggu kadar tumpuan penunggang.

 

3. Pakai kelengkapan menunggang yang sesuai

Menunggang di bawah cuaca panas tidak bermakna anda perlu mengorbankan aspek keselamatan sepanjang perjalanan.

Pemilihan mesh jacket dan helmet yang mempunyai sistem aliran udara yang baik dapat membantu mengurangkan haba yang terperangkap.

Tidak dilupakan, pakai juga sarung tangan dan bandana di sekeliling lehar untuk mengurangkan kesan selaran matahari.

Pastikan juga visor helmet berada dalam keadaan baik, dan jika perlu pakai cermin mata yang dilengkapi dengan penapis sinaran UV.

 

4. Ada tanda kepenatan? Berhenti rehat!

Sekiranya anda terlalu banyak berpeluh, rasa sakit dan pening kepala, hilang tumpuan dan mengantuk, itu adalah petanda anda sudah terlalu lama menunggang di bawah cuaca panas.

Sekiranya anda kehilangan fokus, keadaan ini mampu membahayakan nyawa diri sendiri dan pengguna lain atas jalan.

 

5. Pilih laluan yang teduh

Lorong motosikal biasanya menyediakan ruang yang lebih teduh disebabkan berhampiran dengan pokok-pokok di tepi jalan, berbanding terpaksa menyelit di tengah-tengah lebuh raya.

Untuk perjalanan jauh merentas negeri dan mahu mengelak lebuh raya yang panas membahang, anda mungkin boleh mencuba laluan yang mempunyai banyak pokok dan kawasan yang lebih teduh.

 

6. Pastikan jentera berada dalam keadaan baik

Perkara yang paling utama perlu dititikberatkan ialah keadaan motosikal anda itu sendiri yang ‘tiptop’ dan bebas daripada sebarang masalah.

Sebelum membuat perjalanan, periksa dahulu beberapa bahagian yang penting termasuklah sistem brek, tayar, serta sistem penyejukan enjin.

Adakah SUV jauh lebih selamat berbanding kereta kecil?

Dengan pelaksanaan undang-undang yang lebih ketat, kita seharusnya beruntung kerana terdapat pelbagai pilihan kereta keluarga yang lebih selamat untuk dipertimbangkan.

Namun, seperkara yang harus kita semua maklum, jumlah kereta di atas jalan raya juga semakin meningkat saban tahun.

Ini bermakna, kadar kemalangan juga tidak mungkin akan turun secara mendadak.

Perdebatan soal keselamatan antara kereta dan SUV juga sekali-sekala menghiasi ruangan Group FB, forum dan Whatsapp.

Ada yang mendakwa kereta yang lebih besar mempunyai tahap keselamatan yang lebih baik.

Dakwaan ini turut diperkukuhkan dengan data rasmi di mana kadar kematian pemandu adalah yang tertinggi di kalangan kenderaan kecil, berbanding kenderaan bersaiz besar.

Apabila kita melihat dari sudut fizik, kenderaan yang lebih besar mempunyai daya momentum yang lebih tinggi berbanding kenderaan yang ringan.

Jadi, apabila berlaku pelanggaran antara kenderaan yang tidak sama saiz, sudah pasti kenderaan yang lebih kecil akan merasai impak yang lebih hebat saat kedua-dua kenderaan nyahpecut secara mendadak.

Jadi, adakah SUV dan kenderaan bersaiz besar lain seperti trak pikap jauh lebih selamat berbanding kereta kecil?

Tidak juga, sekiranya anda mengambil kira ciri tipikal yang wujud pada mana-mana SUV/trak pikap, iaitu jarak kelegaan tanah yang tinggi.

Disebabkan ciri ini, kebanyakan SUV dan trak pikap mempunyai titik graviti yang lebih tinggi dan lebih berisiko untuk terlibat dalam kemalangan disebabkan oleh keadaan cuaca atau kemalangan olengan (rollover).

Kes-kes kemalangan melibatkan SUV dan trak pikap yang dipandu pada kelajuan tinggi juga kerap berlaku, disebabkan ada di kalangan pemandu itu sendiri yang tidak memahami had dan batasan yang ada pada kenderaan dengan jarak lega bumi yang tinggi.

Janganlah disebabkan anda memandu kenderaan yang lebih tinggi, ego juga naik sama tinggi dan langsung tidak mengendahkan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Akhir sekali, tanpa mengira apa jua jenis kenderaan yang anda pandu, pastikan ia berada dalam keadaan yang baik dan diselenggara secara berkala.

Paling mustahak, pastikan juga anda faham dengan keadaan kesihatan diri, dan berhenti rehat sekiranya anda sendiri perasan petanda diri sudah kepenatan semasa memandu.

 

Kenali jenis-jenis transmisi automatik, torque converter, DCT, CVT dan AMT

Tidak dapat dinafikan, memandu kereta manual memberikan kepuasan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Dengan kemampuan untuk menukar gear dengan sendiri bila-bila masa sahaja, transmisi manual akan memberikan anda rasa terkawal, keseronokan dan juga kebebasan.

Namun dengan kemajuan teknologi dan keadaan trafik yang semakin ‘menggila’ terutamanya di kawasan bandar, transmisi automatik dilihat sebagai pilihan yang lebih tepat untuk kegunaan harian. Ia bukan sahaja lebih mudah untuk dikendalikan, malah lebih lancar dan cekap.

Tahukah anda bahawa terdapat beberapa jenis transmisi automatik yang digunakan dalam kereta moden? Jom kita lihat:

Torque Converter

Ini adalah jenis transmisi automatik konvesional yang paling kerap ditemui dalam kereta. Torque converter merujuk kepada alat yang digunakan untuk menghantar kuasa dari enjin ke kotak gear dan seterusnya ke roda.

Tetapi tidak seperti klac mekanikal yang mempunyai hubungan fizikal, ia menggunakan bendalir hidraulik pekat untuk memastikan kuasa (atau tork) dari enjin sampai ke kotak gear. Bendalir inilah yang membolehkan gear ditukar dengan lancar.

Dahulunya, transmisi jenis ini tidak begitu cekap dari segi penghantaran kuasa namun dengan kajian dan pembangunan berterusan dari pengeluar, versi moden yang ada dalam pasaran hari ini lebih lancar.

Kalau tak, takkan BMW guna torque converter untuk kereta-kereta M mereka?

Dual-Clutch Transmission (DCT)

Transmisi klac berkembar atau lebih dikenali sebagai DCT mula diperkenalkan menerusi Volkswagen Golf R32 pada 2003. Seperti namanya, ia menggunakan dua klac iaitu satu untuk gear genap (2,4,6 dan seterusnya) dan satu lagi untuk gear ganjil (1,3,5,7 dan seterusnya).

Kenapa? Dalam erti kata mudah, jika anda sedang memecut dalam gear 4, DCT boleh menggunakan klac satu lagi untuk membuat persediaan untuk masuk ke gear 5. Jika anda sedang membrek dalam gear 4, ia akan bersedia untuk turun ke gear 3.

Ini membolehkan DCT menukar gear dengan pantas, tidak kira sama ada anda sedang memecut atau membrek. Bagaimanapun, ia cenderung untuk tersengguk terutamanya ketika kereta bergerak pada kelajuan rendah.

Continuously Variable Transmission (CVT)

Antara transmisi yang paling kerap menjadi bualan hari ini, CVT secara asasnya menggunakan sepasang takal berbentuk kon – satu disambungkan kepada enjin dan satu lagi kepada aci engkol. Kedua-dua takal ini pula dihubungkan antara satu sama lain dengan tali sawat.

Ini memberikan CVT nisbah gear yang tidak terkira, sekali gus membolehkan enjin kekal di dalam power band (julat kelajuan operasi di mana enjin menghasilkan kuasa paling banyak) apabila anda menekan pendikit.

Ini menghasilkan kuasa pecutan yang kuat dan lancar namun pada masa yang sama, CVT juga menghasilkan bunyi kuat yang boleh menjejaskan pengalaman pemanduan.

Automated Manual Transmission (AMT)

Juga dikenali dengan nama semi-automatic atau robotised manual gearbox, AMT secara asasnya berfungsi dan mempunyai mekanikal yang hampir sama seperti transmisi manual namun klac dioperasikan secara elektrohidraulik menggunakan actuator, sensor dan pelbagai lagi.

Ini bermakna AMT menawarkan kemudahan seperti kotak gear automatik konvensional dan pada masa yang sama membolehkan pemandu menukar gear sendiri jika mereka mahu.

Transmisi jenis ini menjadi popular sekitar 90an dan awal 2000an menerusi kereta-kereta berprestasi tinggi seperti Ferrari 355 dan BMW M3. Bagaimanapun, ia terkenal dengan isu tersengguk-sengguk dan tidak tahan lama jika kerap dilenjan.

Kereta convertible hard top vs soft top, mana yang lebih baik?

Memandu kereta jenis convertible memberikan pengalaman unik dan mengujakan yang tidak dapat diberikan oleh mana-mana kereta lain.

Bumbung yang terbuka dan angin bermain dengan rambut akan membuatkan anda terasa seolah-olah sedang berlari dengan bebas di tepi pantai walhal hakikatnya anda sedang dikelilingi hutan konkrit.

Jika anda sedang mencari sebuah kereta convertible, anda mungkin perlu membuat pilihan antara hard top dan soft top. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing, namun mana satu pilihan yang lebih baik?

Jom kita lihat satu persatu:

Hard top

Seperti namanya, kereta convertible dengan bumbung hard top mempunyai bumbung keras (biasanya dengan panel logam atau komposit) yang boleh dilipat secara automatik ke dalam ruang simpanan di belakang kabin.

Namun, ada juga kereta hard top dengan panel bumbung yang perlu dibuka secara manual. Ya, pemandu dan penumpang perlu melakukan semuanya sendiri – keluar dari kereta, buka panel bumbung dengan tangan dan simpan panel itu di belakang. Dan ulang semula proses ini untuk memasangnya.

Walaupun bunyinya agak menyusahkan, bumbung jenis ini mempunyai beberapa kelebihan. Oleh kerana ia diperbuat daripada bahan yang sama dengan badan, ia mempunyai binaan yang lebih kukuh.

Ini bermakna memberikan penumpang perlindungan yang lebih baik terhadap elemen-elemen seperti cuaca dan bunyi bising. Ia juga lebih sukar untuk dipecah masuk dan lebih selamat sekiranya berlaku kemalangan.

Selain itu, bumbung hard top juga mempunyai struktur yang lebih tegar, sekali gus menjadikannya lebih lincah dan stabil di selekoh.

Walau bagaimanapun, binaan yang lebih kukuh itu bermakna bumbung hard top mempunyai lebih banyak komponen, bermakna ia lebih berat dan perlahan jika dibandingkan dengan bumbung soft top.

Bukan itu sahaja, ini juga bermakna yang bumbung hard top lebih cepat rosak dan lebih mahal untuk diselenggara. Satu lagi kekurangannya adalah kapasiti but perlu dikorbankan kerana ia memerlukan ruang simpanan yang lebih besar.

Antara model convertible dengan bumbung hard top yang popular adalah Ferrari 296 GTS, Lamborghini Aventador Roadster, Chevrolet Corvette Convertible C8 dan Mazda MX-5 RF.

Soft top

Berbeza dengan bumbung hard top, bumbung soft top menggunakan bumbung jenis fabrik yang lebih ringkas. Ia biasanya didatangkan dalam warna yang berbeza dengan warna badan, cuma pilihan warna agak terhad seperti hitam, maroon, krim, kelabu dan perang.

Bumbung jenis ini mempunyai banyak kelebihan. Dari segi penampilan, ia memberikan imej yang lebih klasik dan elegan.

Disebabkan binaannya tidak serumit bumbung hard top, ia juga lebih ringan dan mengambil masa yang lebih cepat untuk dilipat. Ini juga bermakna yang ia kurang cenderung untuk rosak dan jika ia memerlukan sebarang pembaikan, kosnya tidak setinggi bumbung hard top.

Bukan itu sahaja, bumbung soft top juga tidak mengambil begitu banyak ruang simpanan bermakna anda tidak perlu risau tentang bagasi untuk trip hujung minggu depan kereta jenis ini.

Sudah tentu, bumbung soft top juga mempunyai kelemahannya. Pertama sekali, perlindungan yang ditawarkan tidak semantap bumbung hard top, manakala tahap NVH juga terjejas.

Ia juga lebih cepat lusuh dan lebih terdedah kepada ancaman pencuri kereta memandangkan material fabrik yang digunakan boleh ditoreh dengan pisau dengan begitu mudah.

Mereka yang gemar memandu dengan agresif juga akan mendapati casis kereta jenis ini tidak setegar dan semantap kereta dengan bumbung hard top.

Berikut adalah antara kereta convertible yang menggunakan bumbung soft top: Mazda MX-5, Porsche 718 Boxster, Lexus LC Convertible, Ford Mustang Convertible dan MINI Convertible.

Mana yang lebih baik?

Sebagai pembeli, pilihan sebenarnya terletak di tangan anda. Bagi penulis, bumbung hard top lebih versatil kerana ia menawarkan kebebasan sebuah convertible dengan tahap keselamatan dan prestasi yang sama dengan kereta biasa.

Sementara itu, bumbung soft top pula nampak lebih sesuai untuk mereka yang mementingkan gaya klasik dan kesederhanaan. Dalam erti kata lain, ia lebih santai.

Apa pun pilihan kita, ketahuilah bahawa memandu kereta dengan bumbung yang boleh dibuka adalah satu nikmat permotoran yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Fahami weight transfer, anda boleh jadi pemandu lebih baik, lebih laju, lebih selamat

TOPIK kali ini sedikit teknikal, iaitu weight transfer atau perpindahan berat. Tapi sepanjang artikel ini kita akan gunakan istilah weight transfer kerana ia lebih mudah difahami oleh kaki kereta.

Tetapi apa itu weight transfer? Perpindahan berat dari mana ke mana? Dan bagaimana pula ia boleh beri kesan kepada pemanduan, sehingga boleh membezakan prestasi?

Weight transfer secara ringkasnya ialah agihan berat kenderaan semasa anda memecut, membrek, atau membelok. Ia sentiasa bertindak balas, tidak kira semasa anda memandu laju atau perlahan, sama ada anda memandu kereta prestasi atau kereta harian biasa.

Cuma weight transfer mungkin tidak terlalu kritikal pada pemanduan biasa, tetapi semasa anda memandu kereta sports, pemahaman dan kawalan weight transfer boleh menjadi perbezaan antara pemanduan lancar dan terkawal, dengan pemanduan yang boleh mencemaskan penumpang di sebelah.

Fizik di sebalik weight transfer – pusat graviti

Setiap objek mempunyai titik pusat graviti. Di sini, semua berat tertumpu. Dalam sesebuah kereta, pusat graviti biasanya terletak di sekitar tengah-tengah kereta, tetapi lokasi tepatnya bergantung kepada jenis kereta itu.

Sebagai contoh, Aston Martin DB12. Dengan konfigurasi front mid-engine dan pacuan roda-belakang, pusat gravitinya sedikit ke depan. Tetapi kereta seperti Ferrari F8 Tributo dengan rear mid-engine, pusat gravitinya agak seimbang di tengah.

Kereta-kereta dengan enjin di depan seperti Toyota Vios, Perodua Myvi, Mercedes A-Class dan Audi A5 mempunyai pusat graviti agak ke depan. Tetapi Mazda MX-5 walaupun berenjin depan, mempunyai pusat graviti di tengah kerana menggunakan pacuan roda-belakang.

Semasa anda memecut, membelok atau membrek, daya yang dikenakan membuatkan berat kereta beralih di sekitar pusat graviti. Inilah weight transfer.

Kesan pecutan terhadap weight transfer

Bayangkan anda memandu sebuah kereta sports. Semasa memecut dan pedal kaki ditekan rapat ke lantai, anda akan perasan bahagian belakang kereta ditekan menjadi rendah, dan depan mendongak. Situasi ini ialah squat, disebabkan oleh weight transfer dari depan ke belakang.

Untuk kereta pacuan roda-belakang atau pacuan semua-roda, squat ini akan menambah berat ke roda belakang, membolehkan kereta memecut dengan lebih baik. Berat yang tertumpu ke roda belakang memberikannya lebih cengkaman.

Tetapi untuk kereta pacuan roda-depan, weight transfer semasa memecut ini tidak memberikan terlalu banyak kesan.

Prinsip yang sama diaplikasikan semasa membrek. Weight transfer membuatkan berat tertumpu ke depan, dan ini juga dikenali sebagai dive.

Kemudian semasa membelok, weight transfer memindahkan berat ke sisi luar; sebagai contoh belokan ke kanan akan menyebabkan berat beralih ke bahagian kiri kereta. Weight transfer ini juga menyebabkan body roll atau olengan badan.

Pemahaman konsep ini penting dan akan membantu anda memandu dengan lebih baik, terutamanya semasa pemanduan sporti di litar.

Berikut adalah kesan lebih khusus weight transfer:

Pecutan – Semasa memecut, berat banyak berpindah ke belakang, meningkatkan cengkaman di tayar belakang tetapi ini juga mengurangkan cengkaman tayar depan, dan kereta cenderung untuk oversteer.

Membrek – Bila anda membrek, berat berpindah ke tayar depan, meningkatkan cengkaman dan prestasi brek. Kereta boleh membelok dengan lebih responsif tetapi berat yang kurang di tayar belakang boleh membuatkan kereta lebih cenderung oversteer.

Membelok – Semasa membelok, tayar bahagian luar mempunyai lebih cengkaman. Tetapi kereta masih boleh understeer atau oversteer bergantung kepada konfigurasi kereta, jenis differential, dan input dari pemandu.

Dengan mengetahui dan memahami konsep weight transfer tidak akan membuatkan anda menjadi lebih laju secara automatik.

Sebaliknya, anda harus lebih peka dengan keadaan kereta pada setiap masa. Berikan input yang linear (pecutan, brek, stereng) dan elakkan input mengejut. Input yang agresif boleh membuatkan kereta hilang keseimbangan dan tayar hilang cengkaman.

Semakin tinggi kelajuan kenderaan, anda perlu semakin lancar dan berhati-hati memberi input. Kereta akan bertindak balas dengan baik dalam hadnya, dan hasilnya, anda akan menjadi lebih laju dan lebih selamat.

Isi minyak pelincir kereta dalam enjin motosikal, kenapa tak boleh? – Sembang Engear

IDEA untuk mengisi minyak pelincir kereta ke dalam enjin motosikal bukanlah baharu. Kadang-kala kita hantar kereta untuk servis dan bengkel memulangkan lebihan minyak pelincir baharu di dalam botol, dan kita terfikir mungkin boleh guna untuk motosikal di rumah.

Gred minyak pelincir kedua-duanya sama, sebagai contoh kereta kita menggunakan minyak bergred 10W-30, dan motosikal kita pun sama.

Kelikatan suhu sejuk dan panas (mengikut piawaian SAE) dah sama, dua-dua pun tuang dalam enjin. Boleh?

Jawapan mudah ialah tidak boleh.

Tugas dan fungsi berbeza

Sebab utama kenapa tidak boleh ialah kerana dari segi tugasan. Minyak pelincir kereta dan motosikal mempunyai tugas yang sangat berbeza.

Untuk kereta, tugas minyak pelincir hanyalah untuk mengalas dua permukaan dalam enjin yang bersentuhan. Tujuan supaya komponen tidak calar dan tidak rosak.

Jika anda perasan, kereta moden sekarang menggunakan kelikatan minyak yang rendah. Sebagai contoh, Perodua Bezza menggunakan minyak bergred 0W-20, ini dikira minyak yang nipis.

Sebabnya ialah kereta zaman sekarang ditala untuk jimat minyak dan mengurangkan pencemaran udara. Minyak nipis memudahkan komponen bergerak, dan suhu enjin juga tidak tinggi macam kereta prestasi. Jadi, okey sahaja untuk pemanduan harian.

Minyak takkan menjadi terlalu panas atau cair walaupun kelikatannya rendah.

Minyak berbeza untuk sistem berbeza

Kemudian, kereta mempunyai minyak lain, sebagai contoh minyak transmisi atau kotak gear, yang sangat berbeza dari minyak enjin. Kemudian dalam sistem penyejuk ada cecair lain iaitu coolant.

Untuk kereta, sistem berbeza akan menggunakan cecair berbeza yang khusus. Minyak pelincir enjin tidak boleh digunakan dalam transmisi dan begitu juga sebaliknya.

Minyak lebih kritikal untuk motosikal

Untuk motosikal pula – terutamanya yang cc kecil – minyak enjin direka untuk lebih dari satu tugas. Minyak inilah yang melancarkan dan melindungi enjin, minyak yang sama juga diguna dalam transmisi, dan ia juga yang sejukkan enjin.

Motosikal juga biasanya rev pada tahap lebih tinggi. Enjin lebih panas, jadi perlukan gred lebih likat. Secara ringkasnya, minyak pelincir motosikal lebih kritikal, tugas lebih keras.

Saiz enjin juga lebih kecil, maka ruang untuk laluan minyak pun lebih sempit. Kerana itu anda lihat syarat atau kelayakan untuk minyak pelincir enjin kereta dan motosikal cukup berbeza.

Untuk fungsi dan tugasan khas, maka formula juga berbeza.

Sebagai contoh, walaupun kelikatan yang sama, minyak pelincir kereta mempunyai agen friction modifier. Jika dituang dalam enjin motosikal, klac boleh slip atau tergelincir, menyebabkan pemanduan tidak efisyen. Lebih buruk lagi, boleh merosakkan komponen transmisi motosikal.

Jadi, sekarang anda faham kenapa minyak pelincir kereta dan motosikal berbeza, dan kenapa tidak boleh suka-suka dituang ke tempat yang tidak betul. Janganlah kita risikokan enjin kita semata-mata untuk jimat.

Paling mudah adalah rujuk buku manual kerata atau motosikal kita. Ada simpan lagi tak? Buku manual memberikan panduan paling tepat untuk jentera kita.

Untuk motosikal biasanya ada spesifikasi lebih khusus yang tiada pada kereta. Sebagai contoh 4T untuk enjin empat-lejang, JASO MA untuk sistem klac basah, atau JASO MB untuk skuter.

Semoga artikel ini bermanfaat! Jika anda bersembang dengan rakan di kedai kopi tentang bab ini, kongsikan artikel ini untuk lebih kefahaman.

Lima cara mudah hilangkan bau durian melekat dalam kereta

Jika anda perasan, gerai-gerai menjual durian muncul bak cendawan hidup selepas hujan tanpa mengira mana sahaja tempat yang anda pergi.

Hajat di hati mahu menjamah raja buah-buahan tersebut, namun mungkin ada di antara kita yang gusar dengan bauan yang mungkin akan melekat dalam ruang kabin kereta.

Apatah lagi jika anda baru sahaja membawa pulang sebuah kereta yang masih lagi mempunyai bau kedai. Sudah pasti anda tidak mahu bau kedai tersebut hilang dikalahkan oleh bau buah durian, kan?

Ada beberapa tips yang boleh anda amalkan untuk mengelakkan bau durian melekat pada kereta anda.

 

1. Beli dan makan di luar

sumber: FB Durian Brother Jalan Kebun

Ini merupakan cara yang paling afdal dan harus dilakukan sekiranya anda sayang untuk merosakkan aroma bau kedai kereta baharu anda.

Atau beli durian di kedai kegemaran anda, dan minta tauke kedai untuk bungkus durian tersebut terus dalam bekas kedap udara. Bauan tersebut mungkin wujud, namun ia tidaklah sekuat jika anda bawa seguni durian dalam ruang kargo kereta.

 

2. Balut buah durian

Sekiranya anda seorang yang gemarkan cabaran untuk mengopek buah durian di rumah, usah risau.

Setelah selesai urusan pembelian durian, anda boleh balut buah berduri tersebut dengan beberapa beg plastik dan ikat seketat-ketatnya supaya bauan tersebut tidak terkeluar.

Atau mungkin boleh gunakan beberapa helai kain basah, atau apa-apa daun seperti daun pandan yang mampu menyerap bau durian tersebut daripada menusuk hidung penumpang.

 

3. Gunakan bahan yang ada di rumah untuk serap bau durian

Terdapat beberapa bahan makanan yang ada di rumah yang boleh digunakan untuk menyerap segala bau yang mungkin melekat selepas anda membawa pulang seguni durian.

Antaranya ialah roti putih, biji atau serbuk kopi, soda bikarbonat, cuka, serta buah nenas.

 

4. Arang untuk serap bau

Ya, selain daripada bahan-bahan yang disebutkan tadi, anda juga boleh menggunakan batu/kayu arang yang ada dijual di kedai runcit untuk menyerap bau durian.

Selain arang biasa, terdapat juga arang khas yang dijual untuk menghilangkan bauan yang kurang menyenangkan.

 

5. Gunakan tangkai durian itu sendiri

Tips ini banyak kali dikongsi oleh netizen, di mana anda boleh menggunakan tangkai buah durian untuk menyerap bauan buah tersebut.

Caranya, potong dahulu tangkai daripada buah sebelum meletakkan tangkai tersebut pada corong pendingin hawa kereta.

Kalau anda letakkan tangkai tersebut dengan buah durian sekali, poin nombor lima ini akan menjadi satu tips yang tidak berguna langsung.

Tips memandu dengan selamat semasa musim hujan

Ada di antara kita yang sudah pakar dalam hal ehwal memandu di atas jalan raya, tahu serba serbi teknik dan skill yang diperlukan untuk mengelak segala macam halangan.

Tapi, apabila tiba musim hujan, anda sebenarnya memerlukan kemahiran memandu pada aras yang lebih tinggi, disebabkan situasi yang semakin mencabar seperti penglihatan yang lebih terhad, serta keadaan jalan yang licin.

Namun, anda tidak perlu pun memiliki kemahiran memandu seperti Lewis Hamilton atau Max Verstappen semasa musim hujan.

Berikut merupakan beberapa tips pemanduan selamat yang boleh anda amalkan sepanjang musim hujan yang tidak menentu ini:

 

1. Jaga jarak

Di sekolah memandu, kita sudah diajar untuk menjaga jarak antara kita dengan kenderaan di hadapan, dan perkara tersebut menjadi lebih penting terutama ketika hujan lebat.

Ditambah pula dengan faktor jalan raya yang lebih licin berbanding biasa, dan penglihatan yang terhad disebabkan oleh percikan air dari kereta hadapan, anda mungkin tidak mempunyai masa dan ruang yang mencukupi untuk memberhentikan kereta dengan selamat.

Jadi, cara yang paling afdal ialah dengan menjaga jarak yang selamat dengan kenderaan di hadapan.

 

2. Pandu perlahan

Teknik memandu atas jalan raya yang kering tidak akan sama dengan teknik yang diperlukan untuk mengendalikan kereta atas jalan basah.

Jika tidak yakin, pandu sahaja kereta pada kelajuan yang mudah untuk dikawal dengan selamat, dan paling penting anda masih lagi mempunyai kadar cengkaman yang diperlukan untuk bergerak ke hadapan dengan lancar.

 

3. Lampu kecemasan tidak perlu dinyalakan, kecuali semasa berhenti

Dah nama pun lampu kecemasan, ia hanya perlu digunakan dalam situasi yang tidak diduga.

Seperti contoh, jika terdapat trafik di hadapan yang berhenti secara tiba-tiba, nyalakan lampu kecemasan untuk memberikan amaran kepada pengguna di belakang.

Atau semasa anda berhenti di lorong kecemasan.

Mohon biasakan perkara yang betul, dan betulkan ‘kebiasaan’ anda semasa musim hujan ini. Terima kasih.

 

4. Nyalakan lampu kereta anda

Satu lagi perkara yang patut anda biasakan ialah dengan menyalakan lampu utama kereta semasa bergerak di bawah hujan lebat.

Ini kerana semasa hujan lebat, ia akan menenggelamkan kewujudan kereta yang mempunyai warna yang hampir serupa, dan boleh meningkatkan risiko pelanggaran.

Kalau kena hon dari pengguna lain sebab terlupa nyalakan lampu, anggaplah ia sebagai satu teguran supaya anda amalkan pemanduan yang lebih selamat.

 

5. Elakkan lopak air seboleh mungkin

Ada di antara kita yang gemar melanggar lopak air semata-mata untuk melihat percikan air yang terhasil.

Namun tahukah anda, percikan air yang terhasil itu mampu ‘membutakan’ penglihatan anda untuk beberapa saat, dan keadaan boleh menjadi buruk sekiranya anda tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk mengelak kereta hadapan yang mungkin berhenti secara tiba-tiba.

Seperkara lagi, lopak air juga turut memberikan petanda kewujudan lubang-lubang jalan yang mampu mengoyakkan poket anda semasa tengah bulan. Tayar pancit boleh ditampal, tapi kalau tayar koyak?

 

6. Bilakah kali terakhir anda tukar pengelap cermin?

Pengelap cermin/penyeka kaca/wiper merupakan satu komponen penting yang sangat berguna semasa musim hujan.

Dalam hal ini, cuba cari produk pengelap cermin yang berkualiti dan berkesan untuk memastikan cermin hadapan bebas daripada sebarang kekotoran semasa musim hujan.

Pastikan juga getah pengelap cermin itu berada dalam keadaan baik untuk mengelakkan bunyi bising yang mungkin akan membuatkan mood anda tidak baik sepanjang perjalanan.

 

7. Dapatkan info trafik semasa

Ada yang suka dengar info trafik daripada radio tempatan walaupun tidak gemar DJ yang suka buat lawak ketawa sendiri, namun ada juga pengguna yang lebih gemar memasang aplikasi navigasi pemetaan pada peranti pintar mereka.

Apa pun cara yang digunakan, ia merupakan salah satu cara yang bagus untuk mengetahui keadaan semasa seperti contoh kesesakan trafik, kawasan banjir kilat atau kemalangan yang mungkin baharu sahaja berlaku.

 

8. Berhenti rehat seketika

Samalah juga halnya dengan memandu pada waktu malam, memandu dalam musim hujan juga akan menghauskan tenaga dan tahap tumpuan anda dengan lebih cepat.

Lebih-lebih lagi semasa hujan turun bertambah lebat, dan penglihatan yang semakin terhad disebabkan oleh kehadiran kabus dan cuaca yang gelap.

Jika anda memandu di lebuh raya, boleh singgah di kawasan rehat & rawat (R&R) untuk menghilangkan kepenatan sambil menunggu hujan reda.

 

9. Pastikan kereta berada dalam keadaan baik

Selain daripada fizikal pemandu yang perlu berada dalam keadaan sihat walafiat, keadaan kereta juga perlu dipastikan berada dalam keadaan baik untuk apa jua musim yang melanda.

Pastikan komponen seperti brek berada dalam keadaan baik, serta ketebalan bunga tayar yang masih mampu meyakinkan pemandu, bukannya dah rupa macam cermin baru tersedar tayar perlu ditukar.

Tidak dilupakan, periksa juga lampu depan dan belakang dan gantikan mana-mana mentol yang sudah terbakar dengan unit baharu.

Apa fungsi spoiler pada kereta?

SPOILER memang cantik apabila dipasang pada kereta yang betul, namun tahukah anda yang komponen ini sebenarnya mempunyai fungsi lain selain menaikkan seri kereta?

Spoiler dinamakan sedemikian kerana tugasnya adalah untuk mengacau (spoil) aliran udara yang menjejaskan kestabilan kereta. Dalam erti kata lain, spoiler digunakan bagi mengurangkan kesan negatif aliran udara.

Populariti spoiler mula meningkat sekitar era 1960-an ketika pengeluar kenderaan sedang berlumba-lumba mencari jalan untuk meningkatkan aerodinamik kereta lumba.

Ia kemudiannya mula digunakan secara meluas pada kereta-kereta penumpang bagi membolehkan pengeluar mencapai tahap kecekapan bahan api yang lebih baik. Kereta pertama yang didatangkan dengan spoiler adalah Dodge Charger 1967.

Sebut sahaja perkataan spoiler, anda mungkin terbayangkan komponen yang nampak seperti sayap yang diletakkan pada bahagian belakang kereta.

Ya, itu memang spoiler tetapi spoiler juga datang dalam pelbagai bentuk dan saiz, serta boleh dipasang pada bahagian depan dan sisi kereta bagi meningkatkan kecekapan aerodinamik.

Semakin laju kereta bergerak, semakin kuat udara yang lalu pada bahagian badannya. Udara yang masuk ke bahagian bawah badan kenderaan akan menghasilkan daya angkat (lift) yang boleh menjejaskan tahap cengkaman sekali gus menjadikan kereta kurang stabil.

Fonemena ini boleh dihalang dengan memasang spoiler atau splitter pada bahagian bampar depan. Ia akan mengurangkan jumlah udara yang lalu di bahagian bawah kereta.

Di belakang, pergolakan udara lebih kuat jadi spoiler digunakan untuk menghasilkan downforce, satu daya yang akan ‘menekan’ kereta ke bawah. Ini akan memberikan kereta lebih cengkaman dan menjadikannya lebih stabil dan lincah di selekoh.

Bagaimanapun, memasang spoiler juga ada keburukannya. Selain berat tambahan, masalah paling utama spoiler adalah ia juga menghasilkan daya seret atau drag yang boleh menjejaskan kelajuan maksimum dan kecekapan bahan api.

Selain itu, spoiler yang tinggi boleh mengganggu penglihatan pemandu terutamanya ketika melihat cermin pandang belakang ketika mengundur.

Seiring dengan perkembangan teknologi, kini pengeluar kenderaan mula menawarkan sistem aerodinamik aktif pada kenderaan mereka. Kelebihan utama sistem ini adalah ia boleh mengubah ciri aerodinamik secara automatik berdasarkan kelajuan kenderaan.

Antara komponen utama aerodinamik aktif termasuk gril depan, splitter depan, diffuser dan spoiler. Kereta pertama yang mempunyai ciri aerodinamik aktif adalah Porsche 959, diikuti dengan Volkswagen Corrado.

Tips memandu pada waktu malam

Keadaan cuaca siang yang agak membahang, dan trafik yang sesak membuatkan segelintir kita lebih gemar untuk memandu pada waktu malam.

Cuma, memandu pada waktu malam tidak serupa dengan keadaan memandu pada waktu siang.

Ada banyak faktor yang mampu mengehadkan tahap penglihatan kita, sekaligus meninggikan risiko terdedah kepada kemalangan.

Jika anda mahu memandu pada waktu malam, berikut ada beberapa tips yang boleh diamalkan:

 

1. Pastikan tubuh badan cukup rehat

Faktor pencahayaan akan membuatkan anda lebih menumpukan perhatian kepada apa yang datang dari arah hadapan.

Kesannya, otak akan menjadi lebih penat, dan keadaan bakal menjadi buruk sekiranya anda tidak sedar anda sebenarnya mengalami keadaan tidur mikro.

Apa yang penulis amalkan, tidur lebih awal untuk mendapatkan rehat yang cukup sebelum membuat perjalanan pada waktu tengah malam.

 

2. Pastikan lampu depan berfungsi dengan baik

Kebanyakan masa, kita akan bergantung kepada lampu hadapan untuk menentukan jarak dan objek yang ada di depan.

Jika lampu tidak berada dalam keadaan baik atau posisi suluhan terlalu rendah, ia mampu mengehadkan medan penglihatan yang jelas.

Posisi lampu yang tinggi juga boleh membahayakan pemandu yang datang dari arah hadapan disebabkan masalah silau yang melampau, apatah lagi lampu kereta moden rata-rata menggunakan LED.

 

3. Pastikan cermin hadapan & cermin sisi bersih daripada kotoran

Cermin hadapan yang bersih akan menyediakan medan penglihatan yang lebih jelas, dan lebih selamat terutama pada waktu malam.

Jika cermin hadapan kotor atau berminyak, keadaan ini akan membuatkan cahaya berserakan, sekaligus memburukkan lagi kesan silau lampu kereta dari arah hadapan.

Cari surat khabar lama yang tidak digunakan untuk mengelap bahagian tersebut.

 

4. Elakkan lampu ambien yang mampu mengganggu pemanduan

Kereta-kereta moden kini sudah dilengkapi dengan sistem pencahayaan ambien ala kedai tomyam tepi jalan.

Ada yang menawarkan grafik pencahayaan yang cantik, ada yang mampu mengganggu pemanduan pada waktu malam.

Jika perkara tersebut berlaku, cuba laraskan kembali kecerahan lampu ambien kabin pada tahap minimum, atau padamkan sahaja. Tiada orang mahu melihat kondisi kedai tomyam kereta anda dari luar pun.

 

5. Pandu pada kelajuan yang boleh dikawal

Antara kelebihan pemanduan pada waktu malam ialah keadaan jalan yang tenang, namun ia bukanlah lesen untuk anda memandu melebihi had laju yang telah ditetapkan.

Memandu dengan lebih berhati-hati adalah cara yang terbaik bagi memastikan anda mempunyai masa yang secukupnya untuk bereaksi dengan apa jua situasi yang tidak dijangka.

Seperti contoh binatang yang melintas di hadapan, kereta terbabas, atau penghujung jalan yang langsung tidak mempunyai sistem pencahayaan yang sempurna.

Masih ingat lagi peraturan jarak yang diajar di sekolah memandu? Amalkan.

Satu petua yang biasa penulis amalkan ketika memandu pada waktu malam ialah memasang aplikasi navigasi pemetaan sepanjang masa terutama ketika memandu di laluan yang kita tidak biasa, supaya kita dapat mengagak struktur jalan yang ditempuh dan mengetahui laporan insiden jalan rosak/kemalangan yang dimuat naik oleh pengguna lain.

 

6. Elakkan memandu melebihi tempoh tertentu

Memandu pada waktu malam akan membuatkan badan anda lebih penat daripada biasa.

Jadi, anda dinasihatkan supaya berhenti rehat setiap satu atau dua jam di tempat yang selamat untuk mendapatkan udara segar, selain melakukan senaman regangan badan yang ringkas, atau menghirup kopi panas untuk menyegarkan kembali otak.

Kalau dah mengantuk sangat, tidur sebentar, namun pastikan tingkap kereta anda tidak tertutup dengan rapat bagi mengurangkan risiko keracunan gas monoksida.

Cara mudah baca kod pada tayar

ANDA pasti pernah terlihat huruf dan nombor yang tertulis pada bahagian tepi tayar kereta anda, bukan?

Untuk makluman, huruf dan nombor berkenaan bukan diletakkan secara suka-suka oleh pengeluar tayar. Setiap satu daripadanya mempunyai maksud tertentu yang boleh membantu anda mendapatkan tayar yang sesuai untuk kenderaan anda.

Apa yang anda perlu cari semasa memilih tayar?

Selain jenama dan model tayar itu sendiri, anda perlu memilih saiz tayar yang betul. Tayar tidak menggunakan Small, Medium atau Large seperti pakaian, sebaliknya anda perlu cari barisan angka yang mungkin tertulis seperti ini:

175/65 R14 82H

Ia mungkin nampak memeningkan untuk yang kurang biasa namun kod di atas sebenarnya amat mudah untuk dibaca.

Pertama sekali, nombor “175” adalah ukuran lebar tayar anda dalam milimeter. Oleh itu, tayar yang digunakan sebagai contoh ini mempunyai ukuran lebar 175 mm.

Selepas tanda palang, nombor yang anda lihat nisbah aspek (aspect ratio) iaitu ukuran tinggi profail tayar itu. Ia bukan dalam milimeter, tetapi dalam peratusan setelah ketinggian tayar dibahagikan dengan lebar tayar.

Jadi, “65” di sini bermaksud ketinggian tayar ini adalah 65% daripada lebarnya.

Seterusnya, huruf “R” merujuk kepada binaan tayar tersebut iaitu Radial. Ini adalah binaan yang paling biasa pada tayar kenderaan penumpang.

Nombor selepas R adalah ukuran rim diameter rim dalam inci. Ini bermakna, tayar yang mempunyai bacaan 195/55 R15 boleh memuatkan rim berukuran 15 inci.

Nombor yang seterusnya pula memberitahu indeks had muatan atau load index, berat beban maksimum yang boleh ditampung oleh tayar itu dengan isian angin penuh.

Setiap nombor dalam indeks had muatan mewakili berat (kg) tertentu. Sebagai contoh: “85” bermakna tayar itu boleh menampung beban sehingga 515 kg.

Huruf terakhir selepas indeks had muatan merujuk kepada had maksimum tayar itu. Huruf H bermakna tayar ini boleh mencapai kelajuan 210 km/j.

Selain itu, anda juga boleh mengetahui bilakah tayar itu dikilangkan. Anda hanya perlu mencari kod empat angka yang biasanya ditulis berdekatan dengan cop Department of Transport (DOT).

Dua nombor pertama menandakan minggu dan dua nombor terakhir adalah tahun pengeluaran. Jadi, kod “0523” bermakna tayar itu dikilangkan pada minggu ke-5 tahun 2023.

Enjin NA vs turbocharger vs supercharger, mana yang patut anda pilih?

Apabila bercakap tentang enjin pembakaran dalaman, ada tiga terma yang paling kerap ditemui iaitu NA, turbocharger dan supercharger. Secara asasnya, ketiga-tiganya merujuk kepada bagaimana sesebuah enjin itu memasukkan udara ke kebuk pembakaran untuk menjana kuasa.

Enjin NA atau nama penuhnya naturally aspirated mendapat bekalan udaranya secara semula jadi menerusi tekanan atmosfera.

Sementara itu, kedua-dua turbocharger dan supercharger pula merupakan sistem induksi paksaan atau forced induction yang memampatkan udara untuk menghasilkan pembakaran yang lebih berkuasa.

Enjin NA paling meluas digunakan kerana kosnya lebih rendah dan lebih mudah dijaga, manakala turbocharger pula dikhaskan untuk model-model prestasi namun dengan perubahan lanskap automotif, lebih banyak pengeluar mula menggunakan sistem-sistem tersebut pada kenderaan mereka.

Selepas berakhirnya era enjin Kompressor Mercedes-Benz, enjin supercharger dilihat semakin tenggelam namun ada beberapa model semasa yang masih menggunakan sistem ini seperti Dodge Challenger/Charger dan semua model SVR dari Land Rover.

Bagaimana turbocharger berfungsi?

Menurut pengeluar turbo terkenal Garrett, turbocharger menggunakan gas ekzos untuk memacu roda turbin sehingga 350,000 rpm. Roda turbin itu kemudiannya menggerakkan roda pemampat menerusi aci.

Ketika kedua-dua roda itu berputar, sejumlah besar udara disedut dan dimampatkan sebelum disejukkan menerusi intercooler untuk meningkatkan lagi ketumpatannya sebelum ia memasuki enjin.

Udara termampat ini membolehkan bahan api dibakar dengan lebih efisien untuk mencapai kuasa yang lebih dan tahap penggunaan bahan api yang lebih tinggi.

Kelebihan dan kekurangan turbocharger

Dengan pengecas turbo, enjin menikmati peningkatan kuasa yang signifikan. Malah, enjin turbo boleh menghasilkan kuasa yang sama atau lebih tinggi berbanding enjin NA dengan kapasiti lebih besar.

Selain itu, enjin turbocharger juga dikatakan lebih cekap bahan api kerana ia boleh menjana kuasa lebih tinggi dengan lebih sedikit bahan api.

Walau bagaimanapun, prestasi yang tinggi menjadikan enjin turbo lebih cepat panas, manakala komponen dalaman pula terdedah kepada tekanan. Ini bermakna ia perlu diselenggara lebih kerap untuk memastikan ia berada dalam keadaan optimum.

Bagaimana supercharger berfungsi?

Jika turbocharger menggunakan gas ekzos untuk berputar, supercharger pula dikuasakan secara mekanikal menerusi tali sawat yang disambungkan terus ke aci engkol enjin.

Supercharger meningkatkan pengambilan dengan memampatkan udara di atas tekanan atmosfera tanpa mencipta vakum. Ini memaksa lebih banyak udara masuk ke dalam enjin. Dengan udara tambahan itu, enjin boleh menyuntik lebih banyak bahan api, sekali gus menghasilkan kuasa yang lebih tinggi.

Kelebihan dan kekurangan supercharger

 

Seperti turbocharger, supercharger membolehkan enjin menghasilkan kuasa dan tork yang lebih tinggi. Bagaimanapun, ia tidak menghadapi masalah turbo lag kerana supercharger dipacu oleh aci engkol enjin. Selain itu, supercharger memberikan tindak balas pendikit yang lebih baik pada julat RPM rendah.

Bagaimanapun, supercharger tidak secekap turbocharger kerana ia memerlukan kuasa dari enjin untuk menjana lebih kuasa. Bukan itu sahaja, komponen dalaman juga terdedahkan kepada tekanan dan haba yang lebih tinggi dan ini akan menjejaskan jangka hayat enjin.

Mana yang terbaik?

Jika prestasi bukan keutamaan anda, enjin NA sudah memadai kerana kuasa yang dihasilkan sebenarnya sudah cukup untuk kegunaan harian dan ia juga lebih murah untuk dioperasikan.

Bagi mereka yang kaki lenjan, enjin turbocharger dan supercharger adalah pilihan yang tepat. Bagaimanapun, enjin turbo dilihat lebih sesuai untuk penggunaan masa kini kerana ia juga lebih efisien dan lebih mudah didapati dalam pasaran. Tetapi jika anda tidak dapat memilih antara kedua sistem ini, ada beberapa pengeluar yang menawarkan enjin twincharger seperti Volkswagen, Audi dan Volvo.

Apa jadi kalau tersalah isi minyak petrol atau diesel?

JIKA anda memiliki kereta atau mempunyai lesen memandu, anda pasti tahu secara lazimnya ada dua jenis bahan api utama iaitu petrol dan diesel. Kedua-dua bahan api ini sangat berbeza dan menjadi bahan bakar untuk dua jenis enjin berbeza.

Walaubagaimanapun, kesilapan mengisi bahan api agak biasa berlaku, sebagai contoh terisi minyak petrol ke dalam kenderaan berenjin diesel. Atau sebaliknya.

Kesilapan ini boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti terlupa, sering bertukar kereta, tidak peka, atau apa sahaja sebab yang boleh menjadi punca.

Dalam artikel ini, kita akan lihatkan apa berlaku jika anda tersalah mengisi bahan api atau minyak ke dalam sesuatu kenderaan. Paling penting, kita akan lihatkan juga apa yang boleh dilakukan untuk ’memperbaiki’ kesilapan itu.

Apa akibat tersalah isi?

Gambar oleh: istock

Akibat atau kesan dari kesilapan ini secara kasarnya ialah, kerosakan kepada komponen enjin. Setiap enjin petrol atau diesel beroperasi dengan cara berbeza, dan minyak petrol dan diesel itu sendiri mempunyai sifat berbeza.

Ibarat anda patut mengisi gula dalam minuman, tetapi anda terisi tepung, pasti minuman itu ’rosak’, bukan?

Diesel dalam kereta petrol

Realitinya, sukar sebenarnya untuk termasuk diesel dalam kereta petrol. Ini kerana nozel diesel kebanyakannya tidak muat pada corong kereta petrol. Tetapi jika termasuk juga diesel, ia akan merosakkan komponen dalaman enjin dan sistem saliran bahan api.

Petrol lebih nipis dan diesel lebih pekat. Jika diesel termasuk dalam enjin petrol, ia akan membuatkan sistem tersumbat kerana enjin petrol tidak direka untuk menerima diesel yang pekat.

Kemudian, penyuntik bahan api akan tersumbat, palam pencucuh juga akan rosak. Enjin akan tersengguk dan mungkin ada asap putih, sebelum enjin mati dan tidak dapat dihidupkan.

Petrol dalam kereta diesel

Kemungkinan terisi petrol dalam kenderaan diesel lebih tinggi. Ini kerana muncung petrol lebih kecil dan lebih mudah muat pada corong tangki diesel. Malangnya, terisi petrol dalam tangki diesel juga akan menyebabkan kerosakan lebih besar pada enjin diesel.

Dalam enjin diesel, mampatan akan menyalakan bahan api. Maka, bahan api akan masuk ke bahagian dalam ruang enjin, bahan api juga bertindak sebagai pelincir.

Jadi, jika petrol memasuki enjin ini, sifatnya yang meruap boleh merosakkan komponen enjin. Pam penyuntik yang memerlukan pelincir juga tidak akan berfungsi dengan baik. Paling teruk ialah, tidak mudah untuk kita menyedari kehadiran petrol dalam enjin diesel.

Bila anda menyedarinya, kemungkinan besar ia sudah terlambat dan enjin rosak teruk.

Apa boleh buat jika tersalah isi?

Kini, kita lihat pula apa yang boleh dilakukan jika tersalah isi.

Diesel dalam kereta petrol

Jika anda tersedar semasa mengisi, jangan risau, jika masih sedikit, anda teruskan isi semula petrol ke dalam tangki. Jika diesel tercampur sedikit, anda masih boleh memandu kereta petrol dengan selamat.

Yang terbaik ialah anda buang semua diesel dari tangki, dan isi semula petrol hingga penuh.

Jika anda terisi penuh pula, jangan hidupkan enjin. Terus hubungi trak tunda untuk bawa kereta anda ke bengkel untuk tindakan selanjutnya.

Akhir sekali jika anda telah terhidupkan enjin, matikannya serta merta. Hubungi trak tunda dan bawa ke bengkel.

Jika anda telah memandu jauh, berhenti dan matikan enjin serta merta juga. Ini senario paling buruk, dan jika anda tersedar, sistem bahan api kereta perlu menjalani pemeriksaan dan pembersihan. Mungkin komponen seperti penapis petrol dan palam pencucuh perlu ditukar.

Petrol dalam kereta diesel

Cara menangani situasi ini adalah hampir sama dengan di atas. Bila anda tersedar anda telah mengisi petrol, segeralah tunda kenderaan supaya sistem bahan bakarnya boleh dibersihkan dan diisi semula dengan diesel.

Jika anda telah terhidupkan enjin, petrol mungkin telah mengalir lebih jauh ke dalam. Enjin diesel anda akan memerlukan pemeriksaan menyeluruh.

Situasi paling buruk ialah jika anda telah memandu kenderaan itu beberapa ketika. Petrol mungkin telah masuk ke segenap kawasan enjin dan banyak komponen akan rosak. Segera berhentikan kenderaan, matikan enjin, dan hubungi trak tunda untuk bawa kenderaan ke bengkel.

Tips untuk elakkan tersalah isi

Gambar oleh: dioramatoys

Beberapa tips untuk mengelakkan situasi-situasi di atas dari berlaku ialah:

  1. Pasang pelekat bahan api – Ini bertindak sebagai peringatan ringkas agar anda tidak tersilap isi.
  2. Periksa betul-betul semasa memasuki stesen minyak – Sentiasa peka dengan stesen dan pam yang anda masuki.
  3. Turun dari kenderaan semasa mengisi minyak – Lebih baik turun dari kenderaan dari membiarkan pembantu pam melakukan semuanya untuk anda. Periksa juga bahawa mereka mengisi bahan api yang betul ke dalam kenderaan anda.

Tayar kereta pecah tiba-tiba, apa nak buat?

Memandu di atas jalan raya Malaysia yang tercinta ini merupakan satu bentuk perjudian yang sangat berisiko.

Nasib baik, anda mungkin akan sampai ke destinasi dengan selamat. Nasib kurang baik, anda mungkin sangkut di pertengahan jalan/lebuh raya disebabkan oleh tayar pancit atau pecah.

Masalah tersebut boleh terjadi akibat beberapa faktor seperti contoh tercucuk bendasing yang tajam, dinding sisi yang mungkin terkoyak akibat impak pelanggaran jalan kawah bulan atau mungkin sekali masalah kebocoran pada struktur injap itu sendiri.

 

Sekiranya masalah ini terjadi, anda mungkin sekali akan berdepan dengan situasi seperti respons stereng yang semakin berat, kesukaran untuk mula bergerak, serta bunyi tayar yang semakin bising.

Kereta anda juga mungkin cenderung untuk melencong ke kiri atau ke kanan, atau hilang kawalan walaupun sedang melalui jalan yang lurus.

Sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini (seperti tayar pecah), usah panik dan cuba ikuti lima langkah yang perlu anda buat:

 

1. Kawal daya brek

Menekan brek secara mengejut mungkin akan membuatkan kenderaan anda hilang kawalan dan mampu membahayakan bukan sahaja nyawa diri sendiri, malah nyawa pengguna lain atas jalan.

Jadi perkara pertama yang perlu anda buat ialah dengan menekan dan mengepam pedal brek dengan perlahan sehingga kenderaan berada pada kelajuan yang boleh dikawal.

Untuk pemilik kereta non-ABS, masa inilah anda merealisasikan ABS – Aku Brek Sendiri!

 

2. Kawal arah stereng dengan lembut

Dalam situasi kecemasan, anda mungkin dapat rasa kereta cenderung untuk ditarik ke kiri atau ke kanan bergantung kepada kedudukan tayar mana yang pecah.

Sama halnya dengan brek, roda stereng juga perlu dikawal dengan baik dan lembut berlawanan dengan arah kecenderungan kereta, dan paling penting pastikan kereta berada dalam laluan yang sepatutnya.

Memulas roda stereng dengan agresif akan membuatkan kereta anda berpusing dan hilang kawalan.

 

3. Gunakan gear rendah

Salah satu cara yang boleh dibuat untuk memperlahankan pergerakan kereta adalah dengan menggunakan teknik brek enjin (engine braking).

Pemilik kereta bertransmisi manual pasti sudah arif dengan teknik ini – tukar sahaja kepada posisi gear yang lebih rendah.

 

4. Nyalakan lampu kecemasan

Pastikan lampu kecemasan dihidupkan semasa dalam proses mengawal dan memberhentikan kereta bagi memberikan amaran kepada pengguna jalan raya yang lain.

Kereta-kereta moden masa kini sudah pun mempunyai ciri nyalaan lampu kecemasan automatik saat berlakunya situasi yang mencemaskan.

Jika anda tergolong dalam kategori pemilik kereta yang olskool, usah risau dan panik kerana lampu kecemasan kereta anda juga boleh diaktifkan secara manual. Anda hanya perlu tahu di mana letaknya butang lampu kecemasan itu pada kereta anda.

Yang anda perlu risau ialah golongan pemandu yang sengaja menyalakan lampu kecemasan sewaktu memandu dalam hujan.

 

5. Segi tiga amaran – mana nak letak?

Semasa berhenti di lorong kecemasan, pastikan anda meletakkan segi tiga amaran pada jarak 45 meter dari belakang kereta yang rosak.

Kebanyakan kereta baharu kini sudah pun dilengkapi dengan kit kecemasan ini, jadi ia bukanlah satu alasan untuk anda mengabaikan aspek keselamatan sewaktu menunggu bantuan tiba.

 

Ini cara jump start bateri kereta yang betul

Bateri ‘kong’ atau bateri mati adalah satu perkara yang biasa dihadapi oleh mana-mana pemilik kereta. Ia memang menyusahkan, terutamanya jika anda perlu melakukan rutin harian, namun masalah ini boleh diselesaikan dengan cepat dan mudah jika anda tahu cara jump start yang betul.

Kenapa cara yang betul itu penting? Seperti yang anda mungkin tahu, kereta mempunyai pelbagai jenis komponen elektrik jadi sebarang kecuaian boleh menyebabkan kerosakan kepada komponen-komponen tersebut dan ini boleh menjurus kepada kos pembaikan yang lebih mahal.

Untuk jump start bateri kereta anda (kami namakannya Kereta A), anda memerlukan sebuah lagi kereta dengan bateri yang masih berfungsi dengan baik (Kereta B), serta kabel jumper yang elok.

Pertama sekali, parkir Kereta B berdekatan dengan Kereta A bagi memastikan kabel jumper dapat disambungkan pada terminal positif dan negatif pada kedua-dua kereta. Setelah mendapat posisi yang betul, matikan enjin Kereta B.

Seterusnya, sambungkan klip kabel merah ke terminal positif (biasanya bertanda ‘+’) pada bateri Kereta B. Kemudian sambungkan klip kabel merah yang satu lagi kepada terminal positif bateri Kereta A.

Pada ketika ini, anda mungkin sudah tahu apa yang perlu dilakukan dengan kabel hitam. Ya betul, sambungkan klip hitam ke terminal negatif (bertanda ‘-‘) bateri Kereta B.

Bagaimanapun, jangan sambungkan satu lagi klip hitam kepada terminal negatif bateri Kereta A. Sebaliknya, cari mana-mana objek yang tidak bercat seperti kepala skru suspension tower dan apit objek tersebut dengan klip hitam itu.

Setelah memastikan semua klip disambungkan dengan kemas, hidupkan Kereta B dan biarkan enjin dalam keadaan melahu selama beberapa minit.

Kemudian, cuba hidupkan Kereta A. Jika tidak berjaya, matikan enjin Kereta B, hidupkan semula dan biarkan enjin melahu lebih lama. Jika gagal lagi, kereta anda mungkin mempunyai masalah yang lebih besar berbanding bateri mati.

Jika enjin Kereta A berjaya dihidupkan, biarkan ia melahu buat beberapa ketika. Kemudian, mula tanggalkan kabel jumper tadi dalam urutan terbalik. Setelah itu, pandu kereta anda ke kedai bateri terdekat untuk menukarnya kepada yang baharu.