Category Archives: TIPS

Teknologi diesel berasal dari Gobek Api? – Sembang Engear

Enjin diesel dengan komponen mekanikalnya yang lebih ringkas, lebih lasak, dan mampu memberikan lebih tork menjadikannya pilihan sesuai untuk kenderaan berat.

Teknologi ini direka oleh pereka dan jurutera mekanikal Jerman, Rudolf Diesel, selepas melakukan banyak kajian dan ujian termodinamik bagi mendapatkan lebih kecekapan berbanding enjin petrol.

Enjin diesel menggunakan udara termampat untuk menyalakan bahan api, berbanding enjin petrol yang menggunakan sistem percikan atau cucuhan.

Kisah dan pembangunan ini tertulis dalam buku sejarah, namun inspirasi asal untuk Diesel mendapatkan idea teknologi ini masih tidak diketahui.

Dalam satu penemuan yang dilaporkan oleh New Straits Times, Diesel nampaknya mungkin mengambil inspirasi dari gobek api, iaitu satu alatan purba digunakan di rantau Asia Tenggara ini.

Ia mempunyai silinder atau corong yang tertutup di satu sisi dan terbuka di satu sisi lagi, dan sebatang omboh (piston) dengan pemegang yang boleh ditekan masuk ke dalam silinder.

Bahagian omboh yang masuk ke dalam silinder mesti berbentuk bulat dan kedap udara supaya ia mampu mewujudkan vakum yang mempunyai tekanan semasa omboh ditekan masuk atau ditarik keluar.

Di ‘muka’ omboh itu terdapat lekuk kecil yang boleh menempatkan bara api yang tidak akan dihancurkan semasa omboh ditekan masuk.

Gobek api pada awalnya diperbuat dari kayu, tanduk binatang atau buluh dan bersaiz kecil – 7cm hingga 15cm – agar boleh dimuatkan di dalam poket.

Mampatan udara semasa omboh ditekan dengan cepat dalam silinder menjadikan suhu ruang dalaman itu menaik dengan mendadak sehingga 260 darjah Celcius, cukup untuk bara api menyala dengan percikan.

Bara api ini kemudiannya boleh dipindahkan sebelum dikipaskan untuk menyalakan api lebih besar.

Jadi, apa kaitan cara kerja gobek api tradisional ini dengan enjin diesel moden yang kita ketahui hari ini?

Sejarah lewat kurun ke-19

Kita undur sedikit lagi, pada lewat kurun ke-19, Carl von Linde – seorang jurutera – baru pulang ke tanah airnya di Jerman selepas menjelajah sambal bersyarah. Dia pergi ke merata tempat, termasuklah semenanjung Tanah Melayu.

Sebagai seorang ahli fakulti di Munich Technical University yang tersohor, dia sepatutnya menjalankan pembentangan hasil dan dapatannya kepada seluruh fakulti dan pelajar.

Semasa syarahan itu, dia sempat berhenti sebentar dan mengeluarkan alat kayu kecil ini dari poketnya untuk menyalakan rokok.

Alat itu dia namakan sebagai “ein Feuerkoben” dan merupakan hadiah dari seseorang yang ditemuinya di Pulau Pinang. Dia menekan omboh itu dan bara di dalamnya menyala.

Dia ambil bara itu dan menyalakan rokoknya. Bagi kebanyakan pelajar di situ, perkara itu tidak lebih dari sekadar menyalakan api dari alat kayu.

Tetapi kepada Diesel, yang berada di situ dan merupakan salah seorang pelajar cemerlang dalam kelas von Linde, konsep itu membuatkannya tertanya-tanya jika prinsip termodinamik yang sama boleh diaplikasikan untuk menyalakan bahan api dalam enjin pembakaran.

Persamaan kimia yang melibatkan tekanan, isipadu, dan suhu menyatakan bahawa apabila tekanan meningkat dalam isipadu yang sama, suhunya akan meningkat.

Tindakbalas yang sama inilah menjadi prinsip operasi enjin diesel apabila udara dimampatkan untuk menyalakan bahan api, dan sebab itulah enjin ini tidak memerlukan palam pencucuh seperti enjin petrol.

Dari 1983 hingga 1987, Diesel terus membangunkan ideanya di Maschinenfabrik-Augsburg AG (kemudian dikenali sebagai Maschinenfabrik-Augsburg-Nürnberg atau MAN)

Dia mula menguji prototaip lalu berjaya mendemonstrasi enjin diesel yang berfungsi dengan kecekapan 26.2 peratus.

Jadi, adakah gobek api benar-benar menjadi ilham dan inspirasi untuk trak dan bas MAN serta enjin-enjin diesel lain yang kita kenali hari ini?

Ia masih samar-samar, tetapi yang jelasnya, Diesel merupakan orang yang bertanggung jawab menghubungkan konsep gobek api dengan enjin jentera berat.

Pacuan FWD, RWD, AWD dan 4WD: Apa bezanya?

Ada banyak faktor yang perlu dipertimbangkan oleh pembeli semasa hendak membeli kereta. Selain harga, saiz dan enjin, anda mungkin perlu memilih jenis pacuan yang paling sesuai untuk keperluan anda.

Secara asasnya, ada empat jenis pacuan yang anda perlu tahu iaitu pacuan roda depan (FWD), pacuan roda belakang (RWD), pacuan semua roda (AWD) dan juga pacuan empat roda (4WD). Apakah perbezaan antara keempat-empat pacuan ini?

Pacuan roda depan (FWD)

Ini adalah pacuan yang paling biasa digunakan pada kenderaan, tidak kira sama ada ia hatchback, sedan atau SUV. Ini kerana sistem FWD lebih ringkas, bermakna ia lebih ringan, dan ini menjadikan kereta lebih cekap tenaga dan murah untuk diselenggara. Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan RWD, ia kurang mengujakan kerana ia lebih cenderung untuk mengalami understeer.

Contoh: Perodua Myvi, Honda City dan BMW 2 Series Gran Coupe

Pacuan roda belakang (RWD)

Secara ringkasnya, RWD bertentangan dengan FWD kerana dalam sistem ini, kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi propeller shaft atau propshaft. Peminat kereta lazimnya lebih menggemari RWD kerana ia menawarkan tahap cengkaman lebih tinggi (berat kenderaan dipindahkan ke belakang apabila memecut) dan pengendalian yang lebih mengujakan di selekoh. Kereta RWD juga lebih mudah untuk drift berbanding yang lain.

Contoh: Ford Mustang, Mazda MX-5 dan Toyota GR86/Subaru BRZ

Pacuan semua roda (AWD)

Seperti yang boleh dilihat menerusi namanya, pacuan AWD bermakna kuasa daripada enjin disalurkan ke keempat-empat roda bagi membolehkan kereta bergerak dengan lebih mudah di atas permukaan jalan yang basah dan licin. Kebanyakan sistem AWD boleh membahagikan jumlah tork antara gandar depan dan belakang mengikut keperluan dan ada juga yang boleh bertukar ke mod pacuan dua roda (2WD) untuk menjimatkan bahan api.

Contoh: Honda CR-V, Toyota GR Yaris dan Subaru XV

Pacuan empat roda (4WD)

Jika dibandingkan dengan AWD, sistem 4WD lebih sesuai untuk digunakan dalam kondisi pemanduan off-road. Kebanyakan, kalau tidak semua, kenderaan 4WD mempunyai transfer case dengan mod 2H, 4H dan 4L. 2H adalah pacuan dua roda dengan nisbah gear tinggi untuk pemanduan biasa, 4H pula mod pacuan empat roda dengan nisbah gear tinggi untuk cengkaman lebih tinggi, manakala 4L adalah pacuan empat roda dengan nisbah gear rendah untuk membolehkan kenderaan ‘merangkak’ pada kelajuan rendah untuk membolehkan ia mengharungi permukaan muka bumi yang ekstrem.

Contoh: Ford Ranger, Jeep Wrangler dan Suzuki Jimny

Kereta anda dilanggar dari belakang? Ini apa yang anda perlu lakukan

Bayangkan anda sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat. Tak ada hujan tak ada ribut, tiba-tiba sahaja anda terdengar bunyi dentuman kuat dari belakang dan pada masa yang sama, anda terasa seperti tercampak ke depan, namun dihalang oleh tali pinggang keledar.

Rupa-rupanya, kereta anda ‘dicium’ oleh sebuah lagi kereta dari arah belakang. Apa yang anda patut lakukan dalam situasi ini? Berikut adalah beberapa tips yang mungkin berguna untuk anda.

  • Pertama sekali, jangan panik dan bawa bertenang. Jangan lupa untuk tarik nafas dan periksa sekiranya anda atau penumpang mengalami sebarang kecederaan.
  • Pandu kereta anda ke bahu jalan untuk mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas. Pastikan keadaan selamat untuk berhenti.
  • Jika kereta yang melanggar anda juga berhenti di tepi jalan, ambil telefon pintar anda dan keluar dari kereta.

  • Jangan bawa apa-apa objek yang boleh dianggap sebagai senjata  kerana anda boleh dituduh cuba untuk melakukan serangan dan kecederaan kepada orang lain dan harta benda awam.
  • Ambil gambar nombor pendaftaran dan cukai jalan kereta yang langgar anda tadi.
  • Sekiranya pemandu tadi keluar daripada kenderaannya, elakkan daripada melakukan sebarang provokasi atau mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh menyebabkan pertengkaran.

  • Minta izin pemandu itu untuk melihat dan mengambil gambar kad pengenalan atau lesen memandunya. Dapatkan juga butiran hubungan seperti nombor telefon atau alamat emel.
  • Jika pemandu berkenaan tidak mengaku bersalah, jangan paksa dia berbuat demikian atau minta sebarang bayaran daripadanya.
  • Maklumkan kepadanya yang dari sisi undang-undang, kebiasaannya pemandu kereta yang melanggar dari belakang itu yang akan dipersalahkan.
  • Jika dia mengaku bersalah, minta dia tanggung kos pembaikan kereta anda. Tetapi jangan minta wang daripadanya. Ajak dia ke bengkel untuk menilai kerosakan kereta anda.

  • Jika dia berkeras tak mahu mengaku bersalah dan tidak mahu tanggung kos pembaikan kereta anda, terus pergi buat laporan polis di balai polis berdekatan.
  • Bawa laporan tadi ke mana-mana cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melakukan pencarian kenderaan bagi mengetahui syarikat insuran kenderaan yang melanggar itu.
  • Pergi ke bengkel panel syarikat insurans tersebut dan minta mereka uruskan tuntutan pihak ketiga (third party claim) untuk membaiki kerosakan kereta anda.

Ini 8 cara untuk menjimatkan penggunaan bahan api

PENYASARAN subsidi bahan api yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan ada kebaikannya. Pertama, cara ini boleh memastikan lebih banyak subsidi dapat dinikmati oleh golongan layak.

Kedua, penjimatan daripada penyasaran subsidi boleh digunakan untuk menambahbaik kualiti perkhidmatan dan kemudahan yang diperlukan rakyat.

Yang ketiga, ia secara tidak langsung ‘mendidik’ pemandu (terutamanya mereka yang tidak lagi layak mendapat subsidi) mengenai nilai setitis bahan api, sekali gus membuatkan mereka memandu dengan lebih berhemah bagi menjimatkan bahan api.

Bagi membantu anda, di sini kami kongsikan lapan tips mudah untuk menjimatkan penggunaan bahan api:

1. Pastikan tekanan angin tayar cukup

Sumber gambar: SoyaCincau

Kekurangan angin di dalam tayar akan menyebabkan rintangan golekan yang lebih tinggi atau dalam erti kata lain, kereta akan terasa lebih berat kerana geseran juga meningkat.

2. Keluarkan barang dari but

Lebih banyak barang di dalam but, lebih berat kereta anda. Lebih berat kereta anda, lebih banyak bahan api yang diperlukan untuk bergerak.

3. Guna je air-cond tu

Benar, menggunakan pendingin hawa semasa memandu akan meningkatkan sedikit tahap penggunaan bahan api. Tetapi tiada bezanya jika anda membuka tingkap ketika bergerak pada kelajuan 80 km/j ke atas – rintangan angin yang terhasil akan mengganggu aerodinamik seterusnya menjejaskan pengunaan bahan api.

4. Matikan enjin apabila kereta tidak bergerak

Ketika menunggu di tepi jalan, jangan biarkan enjin berada dalam keadaan melahu untuk lebih daripada beberapa minit. Anda mungkin tidak ke mana-mana tetapi petrol di dalam tangki semakin lama semakin berkurang.

5. Pecut dengan cermat

Jika anda sedang memandu di jalan raya, anda sebenarnya tidak perlu memecut secara agresif kerana tidak ada orang yang peduli pun. Tekan pedal dengan lembut tetapi berterusan untuk pecutan yang paling menjimatkan.

6. Meluncur di dalam gear paling tinggi

Jika anda sedang meluncur (cruising) di lebuh raya, pastikan kereta anda menggunakan gear paling tinggi. Ini akan memastikan enjin berputar pada RPM paling optimum untuk mencapai tahap penggunaan bahan api yang terbaik.

7. Rancang perjalanan

Perjalanan yang dirancang dengan baik bukan sahaja dapat mengurangkan stress anda, tetapi juga dapat mengurangkan beban trenkuasa seterusnya menjimatkan bahan api.

8. Pastikan kereta diselenggara

Penapis udara yang kotor dan palam pencucuh yang lama adalah antara beberapa faktor yang menyukarkan enjin kereta anda untuk beroperasi pada tahap optimum.

Pemandu warga emas berisiko tingkatkan kemalangan, apa tindakan pihak berkuasa? – Suara Engear

SATU kajian mendapati kira-kira 30 peratus warga emas berusia 60 tahun ke atas masih memandu secara aktif dan berpotensi meningkatkan kadar kemalangan jalan raya negara ini.

Kajian ini dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Jun tahun lalu.

Majoriti pemandu lanjut usia didapati memandu berseorangan dengan kekerapan sekurang-kurangnya satu hingga dua kali seminggu, menurut kajian itu lagi.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof Madya Dr Law Teik Hua, berkata dalam keadaan usia yang semakin meningkat, risiko mereka menjadi mangsa atau punca kemalangan adalah lebih tinggi.

“Berdasarkan kajian kami yang tertumpu di Semenanjung dengan menemu bual responden di pekan kecil dan bandar menunjukkan banyak kes kemalangan berlaku di luar bandar.

“Di bandar, kemalangan mungkin kurang sedikit mengambil kira jumlah (warga emas) yang memandu sendiri agak kurang, kecuali di lokaliti tertentu, misalnya di Kampung Pandan dan Cheras yang segelintir lagi masih memandu.

Situasi luar bandar

Namun, Teik Hua berkata, berbeza di pekan kecil atau kawasan kampung kebanyakan warga emas masih memandu dengan ada antara mereka melakukan perjalanan sekurang-kurangnya sekali sehari pergi dan balik.

“Di pekan kecil dan kawasan kampung kita dapati sekurang-kurangnya 30 peratus warga emas masih memandu secara aktif, kebanyakannya menggunakan motosikal.

“Ada banyak faktor mendorong mereka terus memandu dan satu daripadanya adalah psikologi, iaitu ada yang rasa masih berupaya memandu.

“Ini berkait dengan ego walaupun mereka sedar sudah lanjut usia dan hadapi pelbagai kekangan fizikal, misalnya pergerakan yang lambat, penglihatan kabur terutama waktu malam atau hujan, pendengaran makin terjejas dan tubuh tidak lagi sihat seperti dulu.

“Justeru, dengan peratusan warga emas yang memandu masih tinggi, tidak hairanlah golongan ini yang banyak terbabit dalam kemalangan, malah ramai warga emas yang juga dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) jadi penyebab nahas lebih tinggi,” katanya.

Jadi, apa solusi pihak berwajib?

Tambahnya, meskipun banyak nahas membabitkan warga emas secara realitinya ia tidak dilaporkan atas faktor simpati dan enggan memanjangkan kes.

Malah, beliau berkata, banyak kes kemalangan juga membabitkan warga emas yang turut membawa kepada kematian, namun belum ada langkah yang benar-benar proaktif bagi menangani masalah itu.

“Sehingga kini, belum ada dasar kerajaan yang benar-benar serius untuk menangani isu membabitkan pemandu warga emas, malah lebih membimbangkan, kita ketika ini menuju ke arah negara menua.

Mengulas sama ada kerajaan wajar mengetatkan permohonan atau pembaharuan lesen warga emas, Teik Hua berkata, ia hanya boleh dilakukan jika kerajaan bersedia dengan kemudahan pengangkutan alternatif khusus untuk pemandu lanjut usia.

Kami di Engear pernah menulis pada tahun lepas agar kerajaan dan pihak berkuasa boleh mempertimbangkan untuk mewajibkan warga emas menjalani pemeriksaan kesihatan berkala sebelum memperbaharui lesen memandu.

Malah pada September 2021, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman pada masa itu, Datuk Azisman Alias mengesyorkan syarat khas dikenakan untuk pemegang lesen memandu dalam kalangan warga emas sebelum mereka dibenarkan memperbaharui dokumen itu.

Cadangan memperkenalkan syarat khas itu katanya adalah untuk tujuan menjaga keselamatan golongan berkenaan sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Ini kerana, menurutnya, keadaan kesihatan tubuh badan juga menjadi antara faktor kemalangan dengan penyakit seperti alzheimer dan masalah mata akan dihadapi warga emas.

“Kita lihat kes-kes memandu melawan arus sudah menjadi seperti satu trend pula, ada juga kes melibatkan orang tua berusia 60 dan 70 tahun ke atas. Ia secara tidak langsung boleh menyebabkan kemalangan di jalan raya,” kata Azisman.

Tetapi sudah tentu perkara ini tidak boleh dijalankan secara mendadak. Ia perlu disokong dengan aspek-aspek seperti pengangkutan awam yang baik.

Infrastruktur jalan raya juga perlulah dalam keadaan baik bagi membolehkan warga emas berjalan menuju ke stesen bas/LRT terdekat misalnya.

Pada pendapat kami, masih jauh untuk Malaysia mencapai tahap ini, tetapi langkah beransur-ansur boleh dibuat. Dan ia perlulah dimulakan sekarang. Jika tidak, bila lagi?

Cara tangani isu haiwan ternakan berkeliaran

Dua hari lepas, seorang pemandu kereta jenis Toyota GT86 dilaporkan maut selepas melanggar seekor lembu yang berada di lorong kanan KM24.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Menurut laporan, lembu tersebut dipercayai terlepas daripada sebuah lori sebelum dilanggar oleh kereta yang dipandu lelaki berusia 30 tahun di lorong paling kanan lebuh raya tersebut.

 

 

Kes-kes kemalangan melibatkan haiwan ternakan ini bukanlah satu perkara baharu di Malaysia, namun sekiranya tidak ditangani dengan berkesan ia juga mampu menjadi salah satu punca kemalangan jalan raya yang serius.

Jika anda membuat carian ringkas di internet, akan terpapar beberapa pautan berita yang melaporkan kes-kes kemalangan dari seluruh Malaysia untuk tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Kebanyakan haiwan yang berkeliaran ini sebenarnya bertuan, namun pemilik haiwan tersebut akan lesap secara automatik ibarat menggunakan ilmu gerak sejenak Son Goku sekiranya haiwan ternakannya itu terbabit dalam kemalangan.

 

Denda yang berat sahaja tidak cukup untuk membendung sikap lepas tangan sebilangan besar pemilik haiwan yang tidak mahu bertanggungjawab ini.

Pihak berkuasa juga boleh terus menerus melakukan operasi menangkap haiwan yang berkeliaran dan kemudian melelongnya kepada umum.

Pemakaian tag khas juga perlu diwajibkan untuk memudahkan pihak berwajib mengesan pemilik yang tidak bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

Terdapat juga cadangan untuk mempertingkatkan lagi infrastruktur sedia ada seperti memasang pagar keselamatan, membina terowong atau jejambat khas untuk haiwan ternakan dan memasang penghadang jalan raya bagi mengelakkan haiwan tersebut berkeliaran sehingga boleh membahayakan nyawa pengguna jalan/lebuh raya.

 

 

Kesemua cadangan tersebut boleh dipertimbangkan, diusulkan, dibincangkan di meja mesyuarat dan kemudian dilaksanakan secara berterusan atau bermusim bagi membendung masalah yang semakin meruncing ini.

Namun, itu semua berbalik kepada satu perkara utama yang perlu kita tekankan – kesedaran diri dalam kalangan tuan empunya haiwan ternakan itu sendiri.

Adakah mereka semua ini sudah bersedia untuk bertanggungjawab di atas dunia? Adakah mereka fikir puluhan ekor haiwan ternakan yang terkorban sehingga mengorbankan nyawa manusia lain itu mampu menyelamatkan mereka daripada soalan-soalan panas di akhirat kelak?

Berlumba kereta RC untuk kali pertama, ini pengalaman kami!

BAGAIMANA kalau kami beritahu bahawa berlumba kereta RC (kawalan radio/kawalan jauh) sama mengujakan dan memerlukan kemahiran teknikal serupa dengan berlumba kereta sebenar?

Ya, berlumba kereta RC memerlukan anda mahir mengambil selekoh mengikut racing line, tahu di mana untuk memecut atau membrek, dan mempunyai pemahaman teknikal seperti talaan suspensi dan penggunaan tayar sesuai mengikut litar.

Baru-baru ini, penulis menyertai satu perlumbaan RC dan mari kami bawakan perjalanan serta kongsikan pengalaman. Untuk pengetahuan, penulis telah berkecimpung dalam RC secara serius sejak lima tahun lepas (helikopter), dan melibatkan diri dalam RC buggy sejak 2021.

Penulis lebih cenderung terhadap RC off-road buggy dengan litar tidak berturap, biasanya tanah merah, rumput, atau pasir. Buggy yang penulis miliki buat masa ini terdiri dari jenis 4WD dan 2WD.

Perlumbaan santai ‘invitational’ AZRC

Penulis dijemput dalam satu perlumbaan santai yang dianjurkan oleh ScotTuned Acadamy di litar AZRC, Galaxy Mall, Ampang. Perlumbaan invitational ini sebahagian dari sesi latihan atau ‘panas enjin’ sebelum perlumbaan besar-besaran hujung Jun nanti.

Penulis biasa berlumba dengan dua atau tiga rakan terdekat sahaja sebelum ini, dengan catatan masa yang diambil dengan telefon pintar sahaja. Aktiviti riadah petang sahaja senang cerita.

Kali ini di AZRC, dalam acara sebenar, kali pertama kereta RC penulis dipasang dengan transponder iaitu peranti untuk mengira catatan masa dengan tepat hingga 1/1000 saat. Jadi, terasa sangat berbeza semangat dan suasana malam itu. Berdebar pun ada.

Perlumbaan ini adalah kategori street buggy – buggy dengan tayar street untuk permukaan simen dan karpet, dan peserta yang bertanding memandu buggy skala 1/10, 1/12, dan paling kecil 1/14.

DT-02 2WD (kiri), TT-02B 4WD.

Penulis membawa kit 1/10 4WD (Tamiya TT-02B) dan 2WD (Tamiya DT-02), tetapi memilih untuk bersaing dengan kit 4WD. Ini kerana kenderaan 4WD lebih mudah dipandu dan kit TT-02B penulis telah dinaik taraf dengan komponen prestasi, lebih tahan lasak, dan mempunyai lebih banyak alat ganti dalam pasaran.

Masa untuk beraksi

Format perlumbaan santai ini ialah satu sesi latihan, tiga sesi kelayakan, dan tiga sesi perlumbaan. Setiap sesi adalah lima minit.

Dalam sesi latihan, para pelumba akan membiasakan diri dengan litar serta tetapan kereta, sebelum menala kereta untuk kelayakan jika perlu.

Purata catatan masa penulis adalah sekitar 21 saat untuk satu pusingan. Catatan masa terpantas litar AZRC ialah 17 saat, dipandu oleh pelumba berpengalaman yang berlatih di sini beberapa kali seminggu, menggunakan kit perlumbaan khas.

Kemudian dalam sesi kelayakan, catatan masa setiap pelumba akan menentukan grid permulaan dan kumpulan mereka. Kumpulan untuk perlumbaan RC kali ini ialah A-Main dan B-Main.

A-Main untuk empat atau lima pemandu terpantas, dan B-Main untuk baki empat atau lima pelumba lain.

Dalam sesi kelayakan pertama, penulis berjaya mencatatkan masa terpantas 19.387 yang menjadi rekod terbaik penulis secara peribadi. Masalahnya, ini ‘mencampakkan’ penulis dalam A-Main, dan penulis perlu bersaing dengan pelumba-pelumba pro.

Penulis menjadi pelumba paling perlahan dalam A-Main. “Aku dah tempah tempat akhir,” kata penulis berseloroh kepada rakan-rakan pelumba.

Jika penulis termasuk dalam B-Main pasti lebih selesa berlumba.

Tetapi biarlah, penulis ambil ini semua sebagai satu cabaran, pengalaman, dan pembelajaran. Tidak mengharap untuk menang, sekadar menyokong.

Hanya penulis seorang menggunakan kit Tamiya dalam A-Main, lain-lain pelumba menggunakan kit HSP, dan kit-kit perlumbaan khas seperti Schumacher, Associated, dan Yokomo (tidak sempat bertanya model spesifik).

Jika anda dalam dunia RC, anda akan tahu kebanyakan kit Tamiya bukan direka untuk perlumbaan, sebaliknya model yang seronok dipasang dan dipandu santai litar off-road. Jika berlumba pun, kereta-kereta Tamiya RC lebih sesuai berlumba sesama Tamiya, ini lebih seronok.

Kembali ke perlumbaan, selesai sesi latihan dan tiga sesi kelayakan, tibalah masa perlumbaan. Seperti dijangka, penulis tamat di tempat kelima setiap kali.

Dalam setiap sesi lima minit, pemandu terpantas berjaya memperoleh 16 pusingan dengan purata catatan masa 18.347 saat. Tempat kedua dengan 15 pusingan dan tempat ketiga dengan 14 pusingan.

Penulis memperoleh 12 pusingan selepas lima minit dengan catatan masa terpantas 21.257 saat.

Duduk di posisi marshal, memantau kereta yang berlumba sambil makan ais-krim.

Oh ya, satu perkara dalam perlumbaan RC ialah bab marshalling. Kereta biasa terbabas ke luar litar atau terbalik, jadi akan perlukan marshal untuk mengangkat dan meletakkan semula kereta dengan pantas kerana pemandu berdiri di driver stand sahaja.

Biasanya marshal terdiri dari kumpulan yang tidak berlumba pada masa itu. Sebagai contoh, semasa perlumbaan A-Main, pelumba dari B-Main akan menjadi marshal, dan begitulah sebaliknya.

Marshal biasanya akan duduk bersedia di lokasi-lokasi yang kerap berlaku kemalangan seperti di ramp lompatan atau di kawasan selekoh mencabar.

Aspek teknikal perlumbaan RC

Seperti dikatakan tadi, perlumbaan RC juga memerlukan kemahiran dan pemahaman teknikal seperti kereta sebenar. Bukan sekadar guna bateri lebih besar, motor lebih berkuasa, terus kereta akan laju.

Keseimbangan paling penting. Dengan kuasa lebih besar, mampukah tayar, suspensi, dan casis kereta itu mengawalnya? Serupa dengan kereta sebenar. Tiada guna anda sumbat enjin V12 6.0-liter pada Proton Wira jika casis dan tayar tidak dapat menghantar kuasa dengan baik ke jalan.

Aspek-aspek seperti camber dan toe boleh ditala pada buggy RC seperti yang penulis pandu. Tayar juga perlu sesuai dengan litar. Penulis menggunakan all-rounder tayar yang sesuai untuk off-road dan simen, tetapi sudah tentu tidak sebagus tayar khas yang digunakan pelumba lain.

Suspensi juga boleh ditala seperti kekerasan spring dimana anda boleh tukar dengan set lebih keras atau lembut, kemudian penyerap hentak itu sendiri boleh dilaras dengan menukar minyak (kelikatan berbeza) dan omboh (bilangan lubang berbeza).

Untuk lebih penelitian, anda juga boleh melaras differential (pembeda) dengan kelikatan minyak atau keketatan berbeza, bergantung kepada jenis. Untuk kereta yang menggunakan slipper clutch, anda boleh melarasnya untuk disesuaikan dengan cara pemanduan, tahap cengkaman, dan kuasa kereta.

Kesemua talaan ini memberikan respon berbeza terhadap kereta dari segi cara mengambil selekoh, kecenderungan understeer/oversteer, cara melalui permukaan tidak rata, keseimbangan mendarat dari lompatan, atau cara cengkaman keluar selekoh.

Pada alat kawalan jauh pula, sistem radio mempunyai pelbagai lagi talaan yang boleh disesuaikan dengan keadaan litar, jenis kereta, dan cara pemanduan setiap pemandu.

Berapa bajet diperlukan untuk bermain RC?

Perkara yang sering ditanya untuk bermain kereta RC (atau sebarang hobi) pastinya kos. Berapa pengeras diperlukan.

Untuk buggy sebegini, harga adalah antara RM250 untuk skala 1/14 hingga RM3,000 untuk skala 1/8. Penulis menggunakan buggy skala 1/10 yang berharga antara RM500 hingga RM1,000 sebuah.

Tetapi biasanya kereta lebih murah boleh dibeli siap untuk dipandu, lengkap semuanya. Hanya tunggu cas bateri dan anda boleh terus lenjan.

Untuk kit-kit lebih serius seperti yang digunakan untuk perlumbaan, anda perlu memasangnya mengikut manual yang disediakan, kemudian anda boleh masukkan kombinasi motor, ESC, dan sistem radio mengikut spesifikasi dan bajet anda.

Secara umumnya, untuk off-road buggy, penulis sarankan anda membeli skala 1/10 dari jenama pengeluar ternama seperti WL Toys, HSP, Tamiya, Schumacher, Yokomo, Kyosho, Team Associated, Gforce, Armaa, dan Traxxas.

Skala 1/10 kerana pergerakannya lebih realistik dan memuaskan. Pemilihan dari jenama terkemuka kerana anda tidak perlu risau isu alat ganti.

Kesimpulannya, penulis tetap berseronok dari perlumbaan di AZRC tadi. Walaupun tidak menang, penulis telah menimba pengalaman baharu menyertai perlumbaan yang dikawal selia oleh profesional dengan sistem catatan masa sebenar.

Penulis juga rasakan pencapaian ini tidak begitu teruk walaupun kereta penulis bukan ditala khas untuk litar sebegini. Dengan buggy khas off-road, penulis terasa seperti memandu Porsche 911 Dakar berlumba dengan jentera GT3 khas seperti Aston Martin Vantage AMR GT3, Ferrari 488 GT3, atau Lamborghini Huracan GT3.

Anda dapat kereta ‘lemon’? Ini cara buat aduan Tribunal Tuntuan Pengguna

MEMANG mengecewakan jika kereta kita yang baru dibeli, belum hilang bau kedai, sudah bermasalah. Lebih memburukkan keadaan jika pihak pengeluar atau wakil jualan tidak mahu bertanggung jawab, kita rasakan ibarat “menabur garam di atas luka”.

Jangan risau, jangan rasa keseorangan. Tahukah anda bahawa anda sebenarnya boleh membuat laporan atau tuntutan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna?

Gambar oleh: Torque

Mungkin ramai yang pernah mendengar mengenai tribunal ini, tetapi ramaikah yang mengetahui cara sebenar membuat tuntutan? Kita sebenarnya sebagai pengguna atau pembeli mempunyai hak tersendiri di sisi undang-undang.

Jadi dalam artikel ini mari kita lihatkan soalan-soalan lazim berkenaan tribunal pengguna dan bagaimana anda boleh menuntut hak anda sebagai seorang pembeli tersakiti.

Objektif Tribunal Tuntutan Pengguna, menurut laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), adalah seperti berikut:

  1. Menyediakan forum alternatif kepada mahkamah sivil untuk pengguna membuat tuntutan tebus rugi berkenaan dengan barang atau perkhidmatan secara murah, mudah dan cepat.
  2. Mendengar dan mengadili tuntutan dengan bebas, adil dan saksama.
  3. Membangunkan undang-undang berhubung perlindungan pengguna.

Bagaimana cara membuat tuntutan sekiranya kereta atau produk yang anda beli mempunyai masalah yang bukan disebabkan anda?

Ada dua cara, iaitu hadir sendiri ke mana-mana kaunter Tribunal Tuntutan Pengguna di seluruh negara, atau memfailkan secara online melalui portal https://ttpm.kpdn.gov.my.

Setiap permohonan yang difailkan akan dikenakan bayaran RM5.00.

Menurut laman web itu lagi, tribunal mempunyai bidang kuasa mendengar:

  1. Tuntutan untuk tebus rugi bagi pembelian barang dan perkhidmatan yang dibenarkan di bawah bidang kuasa Tribunal sepertimana diperuntukkan di bawah Akta 599;
  2. Tuntutan yang jumlah amaunnya tidak melebihi RM50,000.00; dan
  3. Tuntutan yang terakru dalam masa tiga tahun dari tuntutan itu.

Adakah tribunal mempunyai kuasa perundangan untuk menyiasat aduan pengguna?

Tribunal Tuntutan Pengguna tidak mempunyai bidang kuasa perundangan di bawah Akta 599 untuk bertindak atas sesuatu aduan.

Tribunal adalah forum alternatif kepada mahkamah sivil untuk pengguna membawa tindakan tuntutan tebus rugi terhadap penjual/pengilang dan pemberi perkhidmatan untuk pembelian barang dan perkhidmatan untuk hal perkara yang dibenarkan di bawah Akta 599.

Apakah semakan kehakiman?

Setiap award yang dibuat oleh Tribunal di bawah subseksyen 112 (2) dan 107 (3) Akta 599 adalah muktamad dan mengikat semua pihak kepada prosiding itu sepertimana yang dinyatakan di bawah seksyen 116 Akta 599.

Walau bagaimanapun, pihak yang tidak berpuas hati dengan award Tribunal boleh memohon Semakan Kehakiman di Mahkamah tinggi.

Diharapkan maklumat yang kami kongsi ini dapat membantu sedikit sebanyak bagi anda yang berhadapan dengan isu kepenggunaan. Sama-sama kita perjuangkan hak kita sebagai pengguna!

Pemilik terkejut, lepas 3 tahun resale value Proton X70 tinggal kurang 50 peratus

PEMILIK Proton X70 rata-rata terkejut bila mendapat nilai jualan semula (resale value) kereta mereka kurang 50 peratus hanya selepas tiga tahun dibeli.

Tangkap layar skrin dari laman web jualan kenderaan itu dikongsi di beberapa forum dan Group Facebook.

Tinjauan ringkas Engear juga mendapati Proton X70 tahun 2018 dijual semula pada harga bawah RM50,000, kira-kira RM47,800. Model 2019 pula diiklankan pada sekitar RM59,000, dengan perbatuan antara 50,000 hingga 94,000.

Bagi kami, susut nilai ini tidaklah begitu teruk, masih agak normal. Cuma hanya sesetengah unit Proton X70 tahun 2020 dijual pada harga serendah RM56,700 untuk varian 1.8 Executive AWD.

Model ini berharga RM115,800 semasa pelancarannya, jadi benarlah susut nilainya tinggal kurang 50 peratus dalam masa tiga tahun. Tetapi, bukanlah semua unit. Masih ada model tahun 2020 dengan harga lebih RM80,000.

Sebenarnya susut nilai kenderaan bergantung kepada banyak faktor, antaranya umur kenderaan, keadaan, rekod kemalangan, rekod servis, perbatuan, dan mungkin aksesori. Harga juga berbeza antara jualan terus dari pemilik atau kedai kereta terpakai.

Satu lagi perkara ialah, kalau betul susut nilai banyak pun, kenapa? Adakah anda beli kereta semata-mata untuk jual semula? Jika kereta dibeli itu rasa berbaloi, dapat berkhidmat dengan baik kepada kita, sedap dipandu, dan kita berpuas hati dengan pembelian, rasanya itu sudah cukup.

Bukan semua orang beli kereta untuk dijual semula.

Beli motosikal ‘panas’? Ini 5 benda kena beli untuk elakkan dicuri

Tidak dinafikan, kes kecurian motosikal kerap berlaku setiap tahun dengan beberapa model sering menjadi sasaran terutamanya melibatkan kapcai. 

Antara model popular di mata pencuri adalah Yamaha 135LC, 125Z dan Y15ZR serta beberapa model lain termasuk Honda Wave yang sering dicuri kemudian dijual di negara jiran ekoran terdapat permintaan tinggi.

Untuk itu, kami senaraikan lima benda yang anda boleh beli untuk kurangkan risiko motosikal anda dilarikan.

  1. Handle lock

Seperti namanya, pengunci handle berfungsi dengan mengunci ‘lever’ brake bagi memastikan motosikal tidak mudah dialihkan ketika berada dalam keadaan pegun.

Jenama aksesori motosikal terkenal di Malaysia, GIVI turut memperkenalkan pengunci handle TL12 yang berkualiti dengan harga mampu milik.

  1. GPS Tracker

GPS Tracker merupakan antara komponen yang wajib dipertimbang ketika membeli motosikal. 

Motosikal yang dipasang dengan GPS Tracker dapat dikesan dengan mudah menggunakan telefon pintar sekiranaya dicuri.

 Selain itu, ada juga GPS tracker yang dilengkapi sistem immobilzer yang membolehkan pemilik mematikan motosikal dari jarak jauh sekiranya didapati telah dicuri. 

  1. Special nut lock

Selain motosikal, antara komponen yang sering dilarikan adalah kaliper brek terutamanya yang berjenama seperti Brembo, Nissin dan Tokico. 

Dengan adanya special nut lock, usaha untuk mencuri kaliper adalah lebih sukar dan memakan masa yang lama. 

  1. Disk brake lock

Satu lagi aspek yang perlu diberi perhatian adalah pengunci cakera brek yang boleh membantu dalam menggagalkan percubaan curi motosikal. 

Alat ini wajib ada bagi semua jenis motosikal dari kapcai sehinggalah ke jentera berkuasa tinggi.

  1. Penutup motosikal

Pemilik motosikal jarang memberi perhatian pada penutup motosikal meskipun ianya membantu dalam menyukarkan pencuri mengenal pasti model motosikal berkenaan. 

Terdapat banyak kes dimana pencuri mensasarkan motosikal di dalam rumah selama beberapa hari lebih awal kerana dapat mengenal pasti model dan jenis sebelum melakukan kecurian. 

Demikian lima benda yang kami rasa mampu membawa manfaat kepada pemilik motosikal ‘panas’ yang ada di Malaysia. Walaupun sedikit pelaburan perlu dilakukan namun kami berasakan ianya lebih berbaloi berbanding dari perlu menggantikan motosikal yang telah dicuri. 

Jika boleh bertukar-tukar coverset, cermin sisi dan master pump jenis botol hampir setiap bulan apa salahnya kali ini membeli sesuatu yang boleh mengelakkan daripada jentera kesayangan dicuri supaya tidak menyesal di kemudian hari.

Lampu hazard waktu hujan suatu kesalahan – JSPT

ANDA pasti biasa jumpa kereta yang menyalakan lampu kecemasan ‘double signal’ atau lampu hazard semasa hujan lebat, bukan? Tetapi adakah cara ini betul dan selamat?

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, perbuatan menyalakan lampu hazard adalah dibenarkan untuk waktu kecemasan sahaja.

Lampu hazard dalam hujan. Gambar oleh: FOX 13 Tampa Bay

“Di Malaysia, perkara ini masih samar-samar disebabkan tiada yang disebutkan dengan jelas dan spesifik tentang penggunaan lampu hazard.

“Namun, sekiranya pemandu dalam konteks kecemasan (akibat hujan lebat), mereka perlu menghentikan pemanduan jika darjah penglihatan terhad dan tidak berupaya mengawal kenderaan.

“Lampu hazard ini adalah bertujuan untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain serta menarik perhatian kenderaan yang mengekori untuk mengambil tindakan segera dan selamat bagi mengelak pelanggaran,” katanya.

Menurut Mohd Azman, selain penggunaan lampu hazard ketika hujan lebat, ia juga sering dilihat digunakan ketika konvoi mengiringi kenderaan jenazah, konvoi rombongan kahwin, konvoi kelab bermotor atau semasa kenderaan ditunda dan kenderaan kecemasan seperti ambulans.

“Penggunaan lampu hazard ketika kenderaan bergerak akan mengelirukan pengguna lain khususnya sewaktu hujan lebat.

“la sukar dibezakan sama ada kenderaan tersebut sedang berhenti atau bergerak. Seterusnya, ia sangat berbahaya jika kenderaan yang disangkakan sedang bergerak rupa-rupanya sedang rosak atau tersadai di tengah laluan.

“Jika lampu hazard dipasang, bagaimana kita (pemandu) ingin memberitahu pengguna jalan raya yang lain arah mana kita ingin membelok?” tambahnya.

Tip berguna untuk tingkatkan pengalaman memandu anda

Adakah anda berfikir tentang membeli kereta baharu?

Jika anda sering membawa keluarga pulang ke kampung atau bercuti, kereta itu harus mempunyai ciri-ciri tertentu bagi memastikan seisi sekeluarga sentiasa selesa sepanjang perjalanan.

Berikut adalah tip-tip penting yang anda perlu ambil perhatian sebelum menjenguk showroom terdekat.

Sistem navigasi

Yang pertama, pastikan kereta tersebut mempunyai sistem navigasi GPS. Ia boleh menjadikan perjalanan anda lebih lancar, terutamanya jika menuju ke tempat yang belum pernah dikunjungi.

Selain itu, GPS boleh memberikan anda maklumat terkini mengenai keadaan trafik dan laluan perjalanan terpantas.

Tempat duduk yang selesa

Jika mampu, dapatkan kereta yang mempunyai kerusi ergonomik dan sokongan lumbar.

Untuk tempat duduk penumpang belakang, pastikan kerusi mereka tidak terlalu tegak. Sokongan peha yang cukup juga sangat dihargai!

Sistem hiburan

Untuk perjalanan yang aman, anda juga memerlukan sumber hiburan. Ada model kereta yang mempunyai skrin belakang untuk menonton video atau disambungkan ke permainan.

Selain itu, sistem audio yang bagus boleh membuatkan anda terhibur sepanjang perjalanan. Carilah kenderaan yang mempunyai port USB pada setiap barisan tempat duduk.

Teknologi canggih (tip bonus untuk perokok dewasa sahaja)

Jika anda merokok, jangan sesekali nyalakan rokok di dalam kereta. Bau asap rokok sudah tentu akan ‘merosakkan’ mood penumpang, lebih lagi kalau bini duduk di sebelah!

Alternatif tanpa asap seperti peranti pemanas tembakau IQOS ILUMA mungkin jawapannya.

Dengan menggunakan teknologi SMARTCORE INDUCTION SYSTEM™, peranti IQOS ILUMA memanaskan tembakau sehingga 365°C tanpa membakarnya. Anda masih menikmati kepuasan rasa tembakau sebenar – tanpa sebarang asap dan abu.

Sudah tentu, anda harus menggunakan IQOS ILUMA semasa berehat di R&R, dan bukan semasa memandu.

Oleh kerana IOQS tidak membakar tembakau, anda tidak perlu bimbang tentang bau rokok mengganggu sesiapa sahaja di sekeliling anda.

Bukan itu sahaja, IQOS ILUMA juga tidak menghasilkan abu atau sebarang sisa tembakau, jadi pengguna tidak lagi perlu membersihkan peranti setiap kali ia digunakan.

Jika dibandingkan dengan peranti IQOS generasi terdahulu dan lil, IQOS ILUMA menampilkan rekaan tanpa bilah, jadi pengguna tidak lagi perlu menghadapi masalah bilah patah.

Ciri-ciri yang di atas adalah penting untuk menjadikan kereta anda selesa untuk pemandu dan penumpang sekalian, terutamanya bagi perjalanan jarak jauh. Selamat jalan!

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang IQOS ILUMA, sila layari laman web rasmi mereka.

IQOS ILUMA™ direka khas untuk digunakan bersama SMARTCORE STICKS™ sahaja. Sila pastikan bahawa IQOS ILUMA™ dan SMARTCORE STICKS™ tidak digunakan dengan IQOS generasi terdahulu atau mana-mana peranti lil kerana ianya boleh menyebabkan kerosakan pada peranti anda. Maklumat lanjut di iqos.com.

Produk ini bukan bebas risiko dan memberikan nikotin yang menyebabkan ketagihan. Hanya untuk kegunaan orang dewasa yang masih ingin terus merokok atau menggunakan produk nikotin yang lain.

Perihal panaskan enjin, adakah anda buat dengan betul?

ISU panaskan enjin ini telah diperdebatkan berkurun lamanya, dari sembang kedai kopi, semasa lepak TT, hinggalah dalam forum internet dan Group Facebook.

Kenapa perlu panaskan enjin? Sekadar ikut-ikutan atau ada fungsi sebenar? Kami akan cuba jelaskan dengan penerangan mudah serta kaitkan dengan beberapa situasi yang biasa kita hadapi.

Memanaskan enjin sebenarnya suatu amalan sejak zaman 30 hingga 40 tahun dahulu, dimana enjin jenis karburator menggunakan choke bagi mencampurkan udara dan petrol untuk pembakaran.

Semasa sejuk, petrol tidak meruap, karburator tidak mempunyai pengesan suhu jadi ia tidak dapat melaraskan pembakaran cekap dan sempurna, lebih banyak bahan api digunakan pada masa ini. Maka sebab itu enjin perlu dipanaskan terlebih dahulu sebelum dipandu.

Bagi kereta moden yang kebanyakan kita pandu hari ini, enjinnya telah dilengkapi dengan pengesan untuk mengira nisbah campuran udara dan petrol dengan tepat. Ia akan melaras nisbah campuran ini juga bergantung kepada suhu.

Jadi, semasa sejuk, enjin dengan suntikan bahan api elektronik akan memasukkan lebih bahan api (burning rich) agar pembakaran tetap sempurna sehingga enjin mencapai suhu ideal. Proses ini jauh lebih cepat berbanding enjin lama dengan sistem karburator.

Perlu tunggu berapa minit sebelum pandu?

Jawapan mudah; hidupkan enjin, tunggu beberapa ketika sahaja, terus pandu. Ya, anda sebenarnya tak perlu tunggu sehingga 15 atau 20 minit untuk panaskan enjin. Bazir minyak sahaja.

Anda poket tebal tak kisah dengan duit minyak? Baik, seorang jurutera mekanikal dari Argonne National Laboratory pernah melaporkan bahawa bahan api (petrol) merupakan pelarut, dan ia boleh menipiskan minyak enjin pada dinding silinder jika enjin dibiarkan melahu (idle) dalam tempoh yang lama.

Anda sendiri faham, jika minyak kurang dalam dinding silinder, akan berlaku lebih geseran, dan pelbagai komponen boleh rosak atau pendek jangka hayatnya jika kita memanaskan enjin terlalu lama.

Menurut sorang wakil Volvo yang melakukan ujian cuaca sejuk di Artik, katanya, kereta baharu tidak perlu dipanaskan enjinnya. “Paling baik ialah hidupkan enjin beberapa saat untuk ada tekanan bahan api, dan terus pandu seperti biasa,” katanya.

Tapi jangan pula hidupkan enjin dan terus tekan pedal rapat ke lantai. Selepas kira-kira 20 atau 30 saat hidupkan enjin di waktu pagi, anda boleh terus pandu perlahan-lahan keluar taman perumahan, lalu beberapa simpang sebelum pecut di jalan utama.

Kalau kereta tinggal lama, macam mana pula?

Ada masa kita tinggalkan sesebuah kereta itu tidak dipandu untuk tempoh masa yang lama, tidak kiralah apa sebab pun. Ini juga akan timbul persoalan panaskan enjin, iaitu hidupkan sebentar sebelum tinggalkan semula kereta itu.

Tapi, bagaimana cara betul untuk panaskan enjin, hidupkan dan biar idle 10 minit?

Jawapannya, cara di atas tidak tepat. Jika anda ada kereta yang jarang dipandu, untuk panaskan enjin sekali-sekala, cara terbaik ialah hidupkan enjin, dan bawa keluar rumah dan dipandu perlahan-lahan di kawasan sekitar. Tidak perlu lama. 10 atau 15 minit sudah cukup.

Cara ini lebih baik kerana bukan hanya komponen enjin dapat bergerak, tetapi bendalir dan minyak dalam sistem transmisi juga dapat bergerak ke seluruh kawasan, begitu juga tayar dan gandar, semuanya bergerak. Maka gris dan minyak pelincir dapat diratakan.

Berbalik kepada awal artikel tadi, jika kita sekadar panaskan enjin dengan duduk setempat, cara ini kurang berkesan malah boleh merisikokan beberapa komponen.

Jangan beli kereta kalau ada 5 tanda ini, mungkin pernah eksiden!

KALAU kita nak beli kereta second atau terpakai, mesti tak mahu terbeli yang dah pernah eksiden atau kemalangan. Tapi tak ramai juga yang pandai periksa.

Kalau anda tahu pernah eksiden, mesti tak mahu beli, bukan? Atau kalau mahu beli juga, mintalah diskaun kaw-kaw.

Jadi jom kita tengok lima tanda kereta itu pernah eksiden.

1. Jarak pada panel badan

Biasanya jarak panel ada tolerance, tidak lebih dari ukuran tertentu yang ditetapkan oleh bahagian kualiti. Dalam 5mm, dan ia perlu seragam di seluruh kereta.

Contoh kalau kereta pernah berlanggar di depan, periksa belah kiri dan kanan, adakah jarak panel ini sama lebar. Kalau tak sama, mungkin ini kereta yang pernah eksiden.

Bawa je pembaris, ukur semua, tiada siapa yang boleh halang kita. Biar kita yakin dan puas hati, baru beli.

2. Warna tak sekata

Seterusnya, warna tak sekata. Contoh antara pintu depan dengan fender depan, atau dengan hud. Paling ketara dan mudah ialah warna putih.

Jika warna ada tak sekata, mungkin ada panel yang pernah ditukar atau dicat semula. Nak lagi terer, bawa saja alat pengukur ketebalan cat.

3. Periksa jika ada karat

Kereta moden hari ini sangat susah berkarat, walaupun dah berumur 10 tahun. Ini kerana proses mengecat dengan undercoat (lapisan bawah) sudah cukup untuk melindungi komponen logam.

Jika kereta pernah kemalangan dan ada komponen bengkok, proses menarik dan meluruskan semula ini boleh menyebabkan karat pada bahagian tertentu.

Cuba periksa bahagian bingkai ruang enjin, jika terdapat karat, ada kemungkinan kereta ini pernah eksiden. Begitu juga pada pintu, cuba lihat di getah keliling, pastikan tiada kesan karat atau kesan perubahan di sini.

4. Banyak barang baharu pada kereta

Baik, tanda seterusnya ialah banyak barang baharu. Kereta terpakai yang berumur lima tahun contohnya, pasti ada komponen wear and tear yang ditukar. Tetapi jika tiba-tiba ada komponen seperti radiator atau hos dalam enjin yang baharu dan berkilat, anda perlu periksa lebih.

Jika pemilik atau penjual kata baru tukar radiator sebab rosak, minta resit bukti. Jika tiada, kemungkinan kereta ini pernah mengalami perlanggaran depan dan merosakkan tangki radiator, sebab itulah ia ditukar baharu.

5. Bunyi-bunyi pelik

Akhir sekali untuk tanda-tanda kereta pernah eksiden ialah bunyi-bunyi pelik yang datang entah dari mana. Contohnya, hendak tutup pintu, ada bunyi “krek” sebelum ia boleh ditutup.

Begitu juga bila hendak tutup hud depan, hempas beberapa kali baru ia tertutup kemas. Bila pandu uji pula, ada bunyi “nyet nyet” atau bunyi tikus dari ruang tayar atau suspensi.

Jadi, semasa pandu uji ini gunakan peluang yang ada untuk mengenal pasti bunyi atau rasa yang pelik. Tidak perlu laju, tetapi cukup untuk anda pandu di pelbagai permukaan jalan, masuk ke jalan tak rata, kemudian cuba di lebuh raya.

Tips tanda-tanda kereta kemalangan ini dikongsi oleh Hasbullah Syarah di laman Youtube beliau, anda boleh tonton video penuh di bawah:

Kredit gambar: Openbay Overdrive, Toyota FJ Cruiser Forum, Universal Technical Institute, Subaru Crosstrek and XV Forum, dan Still Running Strong.

Perubahan drastik KLIA untuk jadi lapangan terbang terbaik dunia, perlu ke? – Suara Engear

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 akan diberikan perubahan drastik dengan pelaksanaan beberapa usaha termasuk menaik taraf sistem penggerak penumpang automasi atau aerotrain dan sistem pengendalian bagasi.

Menurut laporan oleh Free Malaysia Today, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata insiatif itu akan mengambil masa tiga tahun.

Gambar oleh: Malay Mail

Katanya, usaha itu dijangka mampu mengembalikan kedudukan KLIA Terminal 1 sebagai lapangan terbang terbaik di dunia, yang kini berada di tangga ke-67 berbanding ke-62 pada 2022.

Kedudukan terbaik yang pernah dicapai oleh KLIA Terminal 1 adalah di tangga kedua pada 2001. Ia kemudian merosot ke kedudukan ke-14 pada 2013 dan ke-44 pada 2018.

“Kita melihat kedudukan semakin merosot itu merupakan satu kebimbangan kerana hilang daya tarikan di KLIA Terminal 1,” kata Anthony.

“Kita perlu kembalikan kedudukan KLIA Terminal 1 kerana ia merupakan lapangan terbang penting untuk negara dan melambangkan imej negara,” tambahnya.

Loke berkata mutu perkhidmatan serta ekosistem termasuk mesra kepada sektor peruncitan untuk melabur dalam pelbagai kemudahan dan perkhidmatan, perlu bergerak seiring untuk menjadikan KLIA Terminal 1 hebat semula di dunia.

KLIA dapat anugerah lapangan terbang terbaik, pentingkah?

Gambar oleh: Wikipedia

Kami menghargai usaha memberikan perubahan mencantikkan KLIA, tetapi pentingkah semata-mata untuk menjadi lapangan terbang terbaik di dunia? Sekiranya KLIA berjaya menduduki tempat pertama sekalipun, apakah makna atau manfaat untuk rakyat?

Bagi penulis, sekiranya tiada keperluan mendesak, lebih baik dana serta belanjawan negara difokuskan untuk perkara-perkara yang lebih memberi impak terus kepada rakyat, sebagai contoh menaik taraf jalan raya sekitar Sepang, misalnya. Atau mana-mana jalan raya yang memerlukan.

Jika anda biasa memandu di sekitar KLIA dan KLIA 2, anda akan perasan walaupun jalan rayanya luas sehingga empat lorong, terdapat kawasan berlubang dan beralun. Ini pastinya boleh mempengaruhi keselamatan pengguna jalan raya.

Lampu dan pencahayaan mencukupi di sepanjang jalan raya juga boleh menjadi satu aspek untuk dilihat oleh pihak bertanggungjawab.

Satu lagi perkara yang penulis rasakan cukup penting adalah untuk menyediakan ruang parkir berdekatan KLIA yang luas dan mencukupi untuk pemandu menunggu.

Ini bagi mengelakkan kesesakan melampau di pintu ketibaan serta berlepas. Sudah habis buku saman dikeluarkan pun, pemandu seakan tiada pilihan tetapi masih selamba double parking atau menghalang laluan mereka yang mengejar masa.

Bagi penulis, penyelenggaraan dan naik taraf KLIA pastinya penting untuk keselesaan semua pengguna tetapi tidak perlulah sekadar menggunakan matlamat untuk menjadi mengejar tangga kedudukan lapangan terbang terbaik.

Anugerah yang boleh dipamer di peringkat antarabangsa bukanlah sesuatu yang akan dihargai rakyat, tetapi sebaliknya penambahbaikan kemudahan yang diguna setiap hari pasti lebih dihargai. Sebagai contoh, turapan jalan besar-besaran di Selangor yang dijalankan bulan lepas. Kami yakin ini lebih memberi impak positif kepada rakyat.

Atau adakah inisiatif ini lebih kepada untuk dijadikan peninggalan legasi bagi kerajaan sekarang?

Jika KLIA tidak berada di kedudukan 10 teratas sekalipun, ia masih akan menjadi persinggahan dan destinasi pilihan syarikat penerbangan kerana lokasinya yang strategik. Dan kami sebagai rakyat Malaysia akan sentiasa tahu bahawa KLIA merupakan lapangan terbang terbaik dan tercantik dalam negara ini.

5 aksesori kereta yang menarik dan berguna

SUDAH menjadi satu kebiasaan pemilik-pemilik kereta di Malaysia untuk mendapatkan pelbagai jenis aksesori tambahan untuk kereta mereka.

Secara umumnya, ada tiga tujuan utama pemilik kereta membeli aksesori-aksesori ini. Tujuan yang pertama adalah untuk mencantikkan lagi penampilan kereta mereka, sama ada pada bahagian luaran atau dalaman.

Tujuan yang kedua pula ialah untuk kemudahan mereka sendiri, manakala tujuan yang ketiga ialah untuk keselamatan.

Berikut kami senaraikan lima aksesori yang menarik dan sangat berguna untuk kereta anda:

1. Dashcam

Jika kereta anda tidak didatangkan standard dengan dashcam, pastikan anda memasangnya terlebih dahulu sebelum membeli aksesori-aksesori lain.

Ini kerana dashcam sangat penting memandangkan rakamannya boleh dijadikan sebagai bahan bukti sekiranya berlaku sebarang kejadian melibatkan anda sendiri mahupun pengguna jalan raya yang lain.

Dengan adanya rakaman tersebut, pihak berkuasa boleh melakukan siasatan dengan lebih mudah dan terperinci. Bukan itu sahaja, ia juga membantu mempercepatkan proses tuntutan insurans.

2. Peranti pemanas tembakau

Jika anda masih merokok, sebaiknya anda berhenti terus. Tetapi jika anda belum bersedia, anda boleh cuba beralih ke peranti pemanas tembakau seperti lil SOLID Ez by IQOS.

Ini kerana lil SOLID Ez boleh memberikan rasa tembakau sebenar tanpa proses pembakaran seperti rokok biasa. Teknologi pintar ini bukan sahaja tidak menghasilkan abu yang membuatkan kabin kereta kotor dan berbau, malah ia melepaskan 95 peratus kurang bahan kimia berbahaya berbanding selepas rokok*.

[MAKLUMAT PENTING: Ini tidak bermakna risiko dikurangkan sebanyak 95 peratus. IQOS bukan bebas risiko.]

*“Pengurangan 95%”mewakili penurunan tahap purata pelbagai bahan kimia berbahaya (tidak termasuk nikotin) berbanding dengan asap rokok rujukan. Lihat “Maklumat Penting” di IQOS.com.

Lebih menarik lagi, lil SOLID Ez boleh dicas menggunakan pengecas yang sedia ada di dalam kereta atau dok pengecas bergaya yang boleh didapati menerusi laman sesawang iQOS.

Ikuti IQOS di Facebook dan Instagram untuk maklumat terkini.

3. Tukul multifungsi

Aksesori ini mungkin bersaiz kecil namun ia mampu memberikan manfaat yang sangat besar kepada pemilik kereta terutamanya dalam situasi kecemasan.

Seperti namanya, tukul multifungsi mempunyai pelbagai kegunaan. Ini termasuklah memecahkan cermin dan juga memotong tali pinggang keledar. Malah, ada juga yang didatangkan dengan lampu suluh.

Harganya tidak terlalu mahal dan boleh dibeli sama ada di kedai-kedai aksesori dan hardware berdekatan atau menerusi platform e-dagang.

4. Pemegang telefon

Rata-rata pemandu di Malaysia pastinya pernah menggunakan telefon bimbit semasa memandu untuk melihat arah jalan di dalam aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Maps.

Perbuatan ini sudah tentu menyalahi undang-undang serta boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan orang lain.

Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, segeralah dapatkan pemegang telefon kerana ia amat memudahkan dan boleh membantu anda mengekalkan tumpuan di jalan raya.

5. Lampu ambien

Lampu ambien biasanya disertakan pada kereta-kereta keluaran jenama Eropah yang bernilai ratusan ribu atau jutaan ringgit. Namun ini tidak bermakna pemilik kereta ‘marhaen’ tidak boleh menikmati ciri yang menarik ini.

Terima kasih kepada perkembangan teknologi, banyak kedai aksesori sudah mula menjual jalur lampu LED untuk pencahayaan di dalam kabin pada harga yang mampu milik.

Ia mudah dipasang dan pelanggan juga boleh memilih warna serta bahagian-bahagian yang ingin dipasang. Barulah suasana di dalam kereta bertambah meriah, bukan?

Cara kekalkan resale value kereta untuk perokok

TIDAK dinafikan ramai perokok gemar memandu sambil merokok, semacam menenangkan pula lebih-lebih lagi jika memandu santai berseorangan.

Tdak menjadi kesalahan untuk memandu sambil merokok asalkan ianya tidak menjejaskan tumpuan dan keselamatan semasa di jalan raya. Masalahnya, asap rokok yang terperangkap dalam kereta adalah merbahaya untuk pemandu dan penumpangnya. 

Menurut kajian oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit dari Amerika Syarikat (AS), merokok dalam kereta memberikan risiko kesihatan jangka masa pendek dan panjang kepada penumpang.

Ini kerana ruang dalam kabin kereta yang sempit menyebabkan risiko meningkat dengan mendadak terhadap perokok kedua atau pasif.

Dari sudut kewangan pula, kajian mendapati merokok akan merendahkan nilai jualan semula kenderaan! Perkara ini salah satu elemen penting dalam keputusan pembelian kereta di Malaysia, bukan?

Saya perokok tegar, apa saya boleh lakukan?

Perkara paling bagus yang boleh dilakukan ialah berhenti terus, tapi kami faham ia sukar dilakukan. Anda boleh mulakan dengan tidak merokok semasa memandu. Jika dalam sesuatu perjalanan, anda boleh merokok semasa berhenti rehat sebagai contoh di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), dalam zon yang ditetapkan.

Satu lagi cara yang lebih bijak ialah gunakan alternatif bebas asap rokok seperti lil SOLID Ez. lil SOLID Ez, yang diperkenalkan oleh IQOS, merupakan pemanas tembakau yang tidak mengeluarkan asap, pada masa yang sama masih memberikan rasa tembakau sebenar.

Peranti ini tidak membakar tembakau seperti rokok biasa, jadi ia tidak mengeluarkan sebarang abu atau asap yang akan terperangkap dalam kereta yang boleh membahayakan penumpang. Ia juga menghasilkan sehingga 95 peratus kurang bahan kimia berbahaya*.

[MAKLUMAT PENTING: Ini tidak bermakna risiko dikurangkan sebanyak 95 peratus. IQOS bukan bebas risiko.]

*“Pengurangan 95 peratus”mewakili penurunan tahap purata pelbagai bahan kimia berbahaya (tidak termasuk nikotin) berbanding dengan asap rokok rujukan. Lihat “MaklumatPenting” di IQOS.com.

Tekan terus ke pautan ini jika anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai lil SOLID Ez.

Ikuti IQOS di Facebook dan Instagram untuk maklumat terkini.

Pemilik Ducati Panigale ini dedahkan servis rupanya tak mahal mana pun!

DUCATI Panigale sememangnya antara superbike paling digilai dan ditambah dengan jenama itu yang datang dari Itali, membuatkan ramai yang risau memilikinya memandangkan harga servis yang mungkin di luar kemampuan.

Tetapi seorang pemilik Ducati Panigale V4 mendedahkan sendiri, servis superbike itu tidaklah semahal yang disangka. Kadang-kadang kurang RM500 untuk servis biasa setiap 5,000km.

Jared Low mendedahkan kepada Engear dalam satu temu bual ringkas baru-baru ini, bahawa hanya kerana nama servis Desmo itu kedengaran asing dan glamour, ramai yang tidak berani membeli motosikal Ducati.

“Sebenarnya ia hanya major service, menurut mekanik dari Ducati Kuala Lumpur yang saya temui sendiri, kosnya lebih kurang sahaja dengan motosikal lain dalam kelasnya seperti BMW S1000rr, Aprilia RSV4 atau MV Agusta F4,” kata Jared.

Beliau bagaimanapun mempunyai latar belakang dan perkembangan agak menarik. Dari pembuat pembuat sistem ekzos superbike, pemilik superbike sendiri, hingga menjadi pemuzik.

Pakar sistem ekzos superbike

Jared berkongsi bahawa beliau menjalankan perniagaan Revoc Exhaust System yang fokus dalam pembuatan sistem ekzos motosikal berkuasa tinggi.

“Ekzos yang kami hasilkan bukan sahaja cantik dilihat, tetapi menambahkan prestasi motosikal. Harga juga tidak terlalu mahal, sepadan dengan kualiti dan jangkaan pemilik,” katanya.

“Sebagai contoh projek terbaharu kami, Yamaha R25 250cc telah kami tala untuk mendapat sehingga lebih 40hp, iaitu tambahan 7hp dari 33.6hp dalam keadaan asal.

“Ini merupakan tambahan signifikan sekitar 20 peratus, membuktikan kami mementingkan prestasi dan kuasa, bukan sekadar rupa,” terangnya.

Hasil kerja Revoc Exhaust System juga telah mendapat perhatian peminat motosikal dari seluruh dunia.

“Produk kami telah dieksport ke lebih 15 negara, termasuklah AS, Australia, Sepanyol, Itali, UK, Greece, India, Jerman, Filipina, dan Jepun.”

Menurut Jared, pelanggan luar negara telah lama bertanya sebelum ini, tetapi kesibukan memenuhi permintaan pasaran tempatan menghalangnya dari mengeksport ke luar.

“Walaubagaimanapun semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020, ramai pelanggan tempatan tidak dapat datang ke kedai kami, maka kami mula berhubung dengan pelanggan dan pemilik motosikal di luar negara.

“Saya berbangga untuk mengatakan Revoc Exhaust System adalah produk Malaysia, hasil kerja tangan anak Malaysia,” kata Jared.

Untuk harga, ia bergantung sama ada ekzos itu jenis slip-on dan kapasiti enjin (bermula RM1,299) atau sistem penuh (bermula RM2,999).

Sebelum ini ride motor apa?

Jared telah telah mula menunggang sejak 2011, dan antara superbike yang pernah dimiliki adalah Yamaha TZM150, Honda CBR 929, MV Agusta Brutale 800, Yamaha R1, dan Ducati Panigale V4.

“Saya agak suka Ducati, dua sebab utama. Yang pertama, untuk perniagaan dan komersil. Semua pelanggan antarabangsa adalah untuk ekzos Ducati. Jadi, saya rasa perlu untuk memiliki sebuah Ducati untuk R&D dan fahami sendiri.

“Kedua, ia motosikal Continental paling boleh diharap, sangat berjaya, dari litar hingga ke jalanan. Dan menariknya, kos penyelenggaraan Ducati antara terendah berbanding pesaing terdekatnya.

“Untuk servis setiap 3,000 hingga 5,000km, hanya kira-kira RM435.”

“Servis major (Desmo service), ramai yang tersalah anggap, tidaklah semahal yang disangka. Menurut mekanik dari Ducati Kuala Lumpur yang saya temui sendiri, kosnya lebih kurang sahaja dengan motosikal lain dalam kelasnya.

@jaredfsl

Replying to @sendukkayu27 Jom tgk brapa kos servis DESMO bersama @Jang_SuperQuadro #steady #ducati #desmoservice #desmo #valveclearance #ducatipanigale #matmoto #horsepower #lelakisejati #jangangentar #bikerstiktok #bikersmalaysia #bikersindonesia #ducatikualalumpur #panigaleofficial #malaysia #malaysianbikers #topspeed #lajulajunakkemana #panigalekingdom #panigale #rxz

♬ original sound – jaredlow – jaredlow

Menyanyi pula?

Jared meminati muzik sejak kecil dan beberapa tahun lepas, telah mula menulis lagu. “Salah satunya adalah Jangan Gentar. Pada masa ini saya hanya menulis, langsung tidak merancang mengeluarkan klip video atau seumpamanya.”

Tambahnya, “Kemudian saya berjumpa dengan Andrea yang mempunyai perniagaan produksi dan Kit, yang rupanya seorang penerbit muzik.

Selepas mereka meneliti lirik yang ditulis, Kit pula mencipta lagu dan rentak untuk Jangan Gentar. Menariknya, ianya lagu Bahasa Melayu sepenuhnya, ditulis oleh bukan Melayu.

“Elemen rap dan rentak dalam klip video lagu ini pula sangat moden, sesuai dengan generasi muda, tetapi kami selitkan unsur dan mesej yang kuat berkenaan semangat Malaysia. Lagu ini akan membawakan nilai moral yang kukuh dan positif.”

“Disebabkan saya juga seorang penunggang dan peminat superbike, saya selitkan elemen superbike dengan muzik kerana superbike membawa imej kekuatan dan keberanian. Saya rasa ia bersesuaian dengan tema lagu Jangan Gentar,” terangnya.

Ini cara nikmati Tol Rahmah Percuma sempena Aidilfitri

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyambut baik pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 April 2023 berhubung pemberian Tol Rahmah Percuma kepada rakyat bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Penawaran Tol Rahmah Percuma tersebut boleh dinikmati selama 4 hari mulai 12:01 pagi, 19 April sehingga 11:59 malam, 21 April 2023 dan mulai 12:01 pagi, 24 April hingga 11:59 malam.

“Sehubungan dengan itu, PLUS mengambil peluang ini untuk menjelaskan bagaimana pemberian Tol Rahmah Percuma tersebut boleh dinikmati di rangkaian lebuh raya PLUS,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

Pengguna dinasihatkan supaya masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan mod pembayaran tol yang sama. Sebagai contoh, jika pengguna masuk ke lebuh raya menggunakan kad Touch ‘n Go, mereka juga perlu keluar dari lebuh raya menerusi lorong Touch ‘n Go. Namun begitu, tiada bayaran tol akan dikenakan atau ditolak daripada kad Touch ‘n Go tersebut.

Mereka yang menggunakan RFID masih perlu masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID yang disediakan. Sepertimana kad Touch ‘n Go dan SmartTAG, tiada bayaran tol dikenakan atau ditolak daripada eWallet Touch ‘n Go mereka.

Pengguna lebuh raya akan menikmati Tol Rahmah Percuma ketika melalui plaza tol keluar sepanjang tempoh yang ditetapkan.

Pengguna kad Touch ‘n Go dinasihatkan unutk memeriksa status kad mereka sebelum memulakan perjalanan. Ini bagi mengelakkan kesulitan di plaza tol jika menggunakan kad Touch ‘n Go yang tidak aktif dan telah dinyahaktif.

Pengguna juga dinasihatkan supaya keluar di plaza tol terdekat sekiranya mereka menghampiri tempoh berakhirnya pemberian Tol Rahmah Percuma tersebut.

Kos servis Toyota Vios 2023 sehingga perbatuan 100,000 km

SEPERTI yang anda sedia maklum, Toyota Vios 2023 telah dilancarkan ke pasaran Malaysia baru-baru ini.

Untuk model generasi keempat, sedan segmen B itu ditawarkan dalam dua varian sahaja iaitu 1.5E pada harga RM89,600 dan 1.5G yang berharga RM95,500.

Model serba baharu itu membawakan pembaharuan menyeluruh yang melibatkan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), serta trenkuasa yang menampilkan gandingan enjin 2NR-VE 1.5-liter Dual VVTi dan transmisi D-CVT.

Dalam artikel ini, kami akan menunjukkan kos penyelenggaran atau servis Vios serba baharu untuk perbatuan sehingga 100,000 km.

Servis pertama – 1,000 km

Untuk 1,000 km pertama, servis melibatkan minyak enjin sintetik 4 liter (RM139), cecair pencuci cermin hadapan (RM3), pembasmi kuman Noviruclean 3471 (RM12.11), penapis minyak hitam (RM38.60) dan gasket palam (RM2.80).

Jika diikutkan, jumlah sebenar adalah RM195.51 namun dengan harga pakej, pelanggan hanya perlu membayar sebanyak RM185 atau RM215 jika memilih minyak enjin sintetik penuh.

10,000 km-30,000 km, 50,000 km-70,000 km & 90,000-100,000 km

Untuk makluman anda, UMW Toyota Motor menawarkan beberapa pakej servis untuk Vios. Bagi perbatuan 10,000 km, 20,000 km, 30,000 km, 50,000 km, 60,000 km, 70,000 km, 90,000 km dan 100,000 km, ia ditawarkan di bawah pakej Advance.

Servis untuk perbatuan-perbatuan ini sama sahaja seperti servis 1,000 km. Ia melibatkan penukaran minyak enjin, cecair pencuci cermin hadapan, pembasmi kuman, penapis minyak hitam gasket palam. Cuma, tidak seperti servis pertama itu, pelanggan akan dikenakan kos buruh (RM97.50) dan cukai perkhidmatan 6 peratus (RM5.85).

Jumlah akhir yang perlu dibayar oleh pelanggan adalah RM298.86, namun dengan harga pakej Advance, harga dikurangkan kepada RM295. Mereka yang memilih minyak enjin sintetik penuh perlu membuat bayaran tambahan sebanyak RM30.

Bagaimanapun, untuk servis 100,000 km, pelanggan perlu menukar minyak CVT (RM280, harga pakej termasuk gasket, palam, kos buruh dan cukai perkhidmatan), dan palam pencucuh iridium (RM270, 4 biji).

40,000 km & 80,000 km

Servis untuk 40,000 km dan 80,000 km ditawarkan di bawah pakej Advance Plus. Secara umumnya, komponen yang ditukar sama sahaja seperti pakej Advance, cuma dengan penambahan bendalir brek (RM40) dan penapis pembersih udara (RM118.35).

Selain itu, kos buruh juga meningkat kepada RM130. Untuk servis 40,000 km, pelanggan hanya dikenakan bayaran sebanyak RM485 atau RM515 jika memilih minyak enjin sintetik penuh.

Untuk servis 80,000 km pula, pelanggan perlu menggantikan penapis minyak pada harga RM270.75. Ia melibatkan dua komponen iaitu penapis (RM258.15) dan cincin O (RM12.60).

Maklumat lanjut mengenai kos penyelenggaran Vios serba baharu boleh didapati di laman web UMWT.