All posts by Amirul Hazmi

Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.

Bateri Proton X50 ‘kong’ dua kali dalam 3 bulan, SC masih mahu cas

SEORANG pemilik Proton X50 telah mengalami kehabisan bateri untuk kali kedua dalam masa tiga bulan memiliki SUV itu.

Menurut pemilik yang tidak memaparkan namanya itu, semasa kali pertama kehabisan bateri, dia telah menghantar X50 miliknya ke pusat servis (SC) di Cyberjaya. Untuk kali kedua baru-baru ini, dia menghantar ke SC lain kerana cawangan di Cyberjaya tiada stok bateri.

“Pertama kali flat, hantar SC Cyberjaya untuk cas semula kerana prosedur katanya,” tulisnya di dalam forum Proton X50 Community Malaysia (PX50CM) di Facebook.

“Kali kedua flat kena pagi ini, simptomnya tiga hari lepas tingkap belah pemandu tidak boleh dibuka. Sudah buat temujanji hantar hari ini, tetapi habis (bateri) dulu.

“Minggu depan nak raya, telefon SC Cyberjaya yang cas dulu kata bateri tiada stok. Sekarang hantar ke SC lain.

Menurutnya, dia tidak mempunyai kereta lain, dan hanya bergantung kepada X50 itu. Kos ketiadaan kereta untuk dua kali ini juga sudah melebihi kos membeli bateri baharu.

“Kereta masih di SC, bila dah petang dah tak dapat hubungi untuk tanya perkembangan. Risau tak dapat balik raya,” luahnya.

“Nak tukar sendiri bateri baharu pun SC cakap nanti ada masalah lain,” tambahnya.

Rata-rata komen mencadangkan pemilik itu untuk terus tukar sendiri bateri tanpa pengetahuan pihak Proton memandangkan proses di SC terlalu rumit dan memakan masa.

Menariknya, ada juga yang berkongsi memorandum rasmi pihak Proton berkenaan penggantian bateri Camel X50 tanpa membuat proses cas semula bateri.

Memorandum itu dikeluarkan oleh bahagian teknikal Proton, bertarikh 27 Mac 2023 lepas.

Tidak dapat dipastikan apakah solusi terkini pihak SC untuk bateri Proton X50 ini, tetapi tidak mungkin mereka perlu cas semula memandangkan telah keluar memo untuk mengganti terus bateri itu.

Bomba lancar ambulans udara pertama di Malaysia

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melancarkan helikopter ambulans udara pertama yang dinamakan Emergency Medical Air Rescue Services (EMARS). Pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, EMARS ialah permulaan terbaik dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada setiap lapisan masyarakat selari dengan hasrat kerajaan yang menitikberatkan ketersampaian perkhidmatan agensi kerajaan ke akar umbi.

“EMARS akan digunakan untuk pemindahan mangsa dari hospital ke hospital dan memudahkan ketersampaian perkhidmatan kepada penduduk di kawasan pedalaman khususnya komuniti Orang Asli yang diketahui sukar untuk menggunakan laluan darat,” katanya.

Menurutnya, ketika ini JBPM memiliki sembilan helikopter pelbagai jenis terdiri daripada Mil Mi-17, Agusta A109E, AgustaWestland AW139 serta AW189 dan sebuah helikopter Agusta A109E akan diubah suai bagi dilengkapkan dengan kemudahan perubatan awal pesakit bagi pelaksanaan EMARS.

Turut menyerikan majlis adalah dengan kehadiran YB Dr. Zaliha binti Mustafa, Menteri Kesihatan Malaysia dan YBhg. Datuk M Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.

Pelbagai aktiviti menarik yang diadakan sempena kempen keselamatan tersebut antaranya, pameran kebombaan, program mewarna Kelab 3K, agihan bubur lambuk, pameran serta pertunjukan Helikopter Bomba serta tidak lupa agihan kuih raya kepada semua Pengarah Bomba .

Sebagai tanda simbolik kempen musim perayaan, YB Tuan Nga Kor Ming telah membuat sesi pelepasan ke atas pasukan ‘Kesiapsiagaan Musim Perayaan JBPM’ yang akan bertugas di musim perayaan ini nanti.

Elak ‘jem’ balik Raya dengan ikut cadangan waktu oleh PLUS

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan balik kampung dan kembali ke Lembah Klang sempena cuti perayaan Aidilfitri di Lebuhraya Utara-Selatan pada 19 April hingga 1 Mei 2023.

Berikut adalah cadangan waktu perjalanan yang dibahagikan mengikut destinasi;

Perjalanan balik ke kampung, menuju:

A) Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kuala Kangsar-Bukit Merah, Johor – sebelum 9 pagi

B) Perak (Tanjung Malim-Ipoh), Negeri Sembilan, Melaka – antara 12 tengahari hingga 3 petang

Perjalanan pulang ke Lembah Klang, dari:

Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor – sebelum 9 pagi

Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, “Saranan tersebut diberikan berikutan jangkaan sebanyak dua juta kenderaan sehari bakal menggunakan Lebuhraya PLUS pada hari-hari puncak pada musim perayaan yang akan datang.

“Oleh itu, sila jangkakan kesesakan yang mungkin memanjangkan tempoh perjalanan anda.”

TTA merupakan salah satu daripada strategi pengagihan trafik yang digunakan oleh PLUS pada musim perayaan bagi membantu orang ramai merancang perjalanan seterusnya menikmati perjalanan yang lebih selamat dan selesa.

“Namun begitu, kelancaran perjalanan trafik turut bergantung kepada kejadian-kejadian luar jangka seperti kemalangan dan sebagainya yang boleh mengganggu perjalanan di lebuh raya.

“Oleh itu, kami menggesa orang ramai supaya menyusun jadual perjalanan mereka berdasarkan TTA yang dikeluarkan bukan sahaja bagi perjalanan untuk keluar dari Lembah Klang sebelum cuti perayaan Aidilfitri, tetapi juga bagi perjalanan kembali ke Lembah Klang selepas bercuti,” tambah Datuk Zakaria.

Di samping jadual TTA, pengguna lebuh raya juga disaran untuk menggunakan Aplikasi PLUS, Waze atau Google Map untuk mendapatkan pelan perjalanan yang lebih baik dan maklumat trafik terkini di lebuh raya.

Sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini, semua kemudahan awam seperti surau, tandas dan stesen minyak di kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah dibuka 24 jam setiap hari untuk kemudahan dan keselesaan pengguna lebuh raya.

Kebakaran motosikal di KLCC bukan berpunca dari skuter elektrik – Beam

PENYEDIA mobiliti elektrik, Beam Malaysia berkata pihaknya sedia maklum mengenai beberapa skuter elektrik (e-skuter) miliknya musnah dalam kebakaran yang berlaku di depan pusat beli-belah Suria KLCC, Jalan Ampang petang semalam.

Menurut Beam, kemas kini susulan siasatan oleh pihak berkuasa, e-skuter mereka bukan punca kepada kebakaran itu.

“Beam lega kerana tiada pejalan kaki atau pengguna jalan raya tercedera dalam insiden itu. Kami ingin memaklumkan hasil dari siasatan pihak berkuasa terlibat, kenderaan kami tidak menjadi punca kebakaran itu,” kata Beam dalam satu kenyataan.

“Kami menzahirkan rasa simpati terhadap pemilik-pemilik motosikal persendirian lain yang musnah akibat kebakaran.

“Kami berterima kasih kepada pihak berkuasa atas tindakan pantas mereka membendung kebakaran, mengelakkannya dari merebak dan menyebabkan lebih kerosakan,” tambah Beam.

Menurutnya, keselamatan menjadi keutamaan untuk Beam, dan mereka menggunakan bahan dan teknologi dari gred tertinggi (aluminium gred pesawat) bagi memastikan ketahannya.

“Bateri-bateri yang dipasang pada setiap e-skuter Beam juga mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa bagi memastikan standard tertinggi bagi keselamatan.”

Dalam kejadian semalam, sebanyak 13 buah motosikal dan empat e-skuter terbakar di kawasan parkir pusat beli-belah Suria KLCC,.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Iqbal Khan Malek Khan berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada jam 3:46 petang.

“Seramai 15 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Iqbal Khan berkata, setibanya pasukan bomba dan penyelamat di lokasi kejadian mendapati sebanyak 13 motosikal dan empat buah e-skuter terbakar.

Beliau berkata, operasi pemadaman menggunakan teknik offensive dan defensive untuk memadam kebakaran.

Sumber gambar: Facebook Inforoadblock dan Malaysian Land Public Transport Fans (MLPTF).

Acura Integra Type-S 2024 dengan enjin Civic Type-R, manual 6-kelajuan

ACURA Integra Type-S 2024 membuat kemunculan awalnya di Amerika Syarikat (AS) sebelum mula dijual pada Jun ini. Orang awam kini dapat melihat sedan sport itu buat pertama kali di Acura Grand Prix of Long Beach hujung minggu ini. Harga belum didedahkan.

Integra Type-S dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo dari Civic Type-R, dengan output 320hp dan 420Nm tork. Ini menjadikan model ini sebagai Integra paling berkuasa pernah dihasilkan. Hanya satu kotak gear boleh dipilih, iaitu manual 6-kelajuan dengan fungsi rev-matching dan LSD.

Sistem suspensi menampilkan penyerap hentak adaptif dengan mod Comfort, Sport, dan Sport+. Sementara itu, bar anti-oleng depannya berukuran 1.14-inci, iaitu 0.08-inci lebih tebal dari Integra biasa.

Brek pula adalah Brembo empat-pot di depan, dengan corong udara di bampar depan yang akan mengalirkan udara untuk penyejukan. Integra Type-S mendapat rim 19-inci dengan warna Shark Gray, dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 4S 265/30.

Warna Tiger Eye Pearl adalah eksklusif untuk model ini. Integra Type-S juga datang dengan panel badan baharu di depan tiang-A, yang merangkumi bampar depan baharu, fender lebih lebar, serta hud aluminium dengan bahagian berongga.

Di belakang, sedan ini dilengkapi dengan diffuser dan tiga ekzos di tengah, sama seperti Civic Type-R FK8. Acura akan menawarkan beberapa aksesori tambahan seperti cermin sisi gentian karbon, lip belakang gentian karbon, rim berwarna gangsa, dan lencana Acura bercahaya.

Di dalam pula, Integra Type-S datang standard dengan tempat duduk depan lebih sporti, kemasan Ultrasuede, dan berserta pemanas. Di depan pemandu ialah kluster instrumen digital 10.2-inci, manakala di tengah terdapat paparan 9-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa-wayar.

Ciri lain termasuklah head-up display, sistem stereo 3D ELS Studio dengan 16 pembesar suara, dan pengecaj tanpa-wayar. Tombol gear aluminium juga ditawarkan sebagai aksesori tambahan.

Proton elektrik (EV) pertama seawal 2025 – Timbalan CEO

PROTON Holdings Bhd (Proton) bakal memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) pertama mereka seawal 2025, menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah. Ini bermakna perancangan itu dipercepatkan berbanding pelan awal pada 2027.

Roslan berkata langkah mempercepatkan pengenalan model EV pertama Proton adalah selaras dengan komitmen kerajaan yang memberi sokongan kukuh kepada perkembangan EV di Malaysia.

“Buat masa ini, Proton sedang giat mengenalpasti model yang bersesuaian untuk diperkenalkan bagi memenuhi keperluan pelanggan tanpa berkompromi dari aspek harga mampu milik dan praktikal,” katanya.

“EV menjadi antara tumpuan Proton. Justeru, kami sedang giat melaksanakan usaha untuk mempercepatkan pelancaran model EV Proton pertama seawal 2025.

“Kita sedang kenal pasti model supaya ia dapat ditawarkan pada harga mampu milik dan praktikal. Kedua-dua elemen ini penting untuk kereta EV Proton,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Kempen Proton Rahmah 2023.

Roslan ketika menjadi ahli panel sesi Pelaburan dalam EV – Peluang dan Cabaran pada forum Invest Malaysia Series 2: The Road to EV sebelum ini mendedahkan bahawa Proton memiliki dua model pembakaran dalaman (ICE) yang boleh ditukar kepada EV, namun pengeluar kereta nasional itu perlu memahami pasaran, teknologi dan pelaburan sebelum memutuskan untuk menjadi sebahagian pengeluar dalam industri alaf baharu itu.

Katanya, pelan hala tuju EV Proton sudah bermula hampir 10 tahun lalu, namun tidak dapat dilaksanakan selepas mengambil kira permintaan pasaran ketika itu.

Menurut Roslan, Proton perlu membuat perancangan rapi sebelum beralih kepada EV kerana perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk pengeluaran, pengedaran dan pemasaran.

Katanya, dari aspek ekonomi, apabila jualan kenderaan ICE Proton mencecah 150,000 unit setahun, ia cukup bagus untuk pengeluar kereta nasional itu mempertimbangkan peralihan kepada EV.

Solat hormat waktu semasa kesesakan jalan raya: UAI beri penjelasan

ANDA yang beragama Islam pasti pernah dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan terperangkap dalam kesesakan jalan raya, tetapi waktu hampir Maghrib dan anda belum sempat menunaikan solat Asar.

Gambar oleh: MalayMail

Kesesakan jalan raya merupakan suatu perkara yang biasa dihadapi oleh pemandu-pemandu di Malaysia, tidak kira sama ada ke tempat kerja setiap hari atau semasa musim perayaan.

Malah, ia juga sukar dijangka, kerana terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepadanya seperti bencana alam, kemalangan jalan raya, atau pembinaan.

Jadi, antara persoalan yang timbul adalah; bolehkah kita menunaikan solat hormat waktu dengan isyarat di dalam kereta?

Gambar oleh: Youtube

Baru-baru ini, penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus menjawab persoalan ini yang diajukan oleh hadirin. Menurutnya, jika kita terpaksa solat isyarat hormat waktu kerana tidak dapat keluar dari kereta dan kita mempunyai wuduk, ianya sah dan tidak wajib qada.

“Solat fardhu tidak dibenarkan menggunakan isyarat dalam kereta, melainkan tidak boleh turun,” katanya.

“Tetapi kalau boleh turun (keluar dari kereta), wajib berhenti sama ada di R&R atau tepi jalan. Hanya solat sunat dibolehkan dengan isyarat,” tambah beliau.

Dalam situasi terperangkap kesesakan jalan raya dan ada wuduk, ianya sah dan bukan solat hormat waktu.

“Solat hormat waktu ialah ketika tiada wuduk dan tidak boleh keluar dari kereta. Sebelum habis waktu tanpa menunaikan solat, dikerjakan juga solat dalam keadaan tidak cukup syarat, maka solat itu kerana menghormati waktu.

“Sampai di rumah, ambil wuduk, wajib ulang,” terangnya.

Diharapkan ini sedikit sebanyak dapat membantu memberi penjelasan memandangkan kita bakal pulang ke kampung menyambut lebaran dan jalan raya juga dijangka sesak.

Kempen Proton Rahmah 2023 – Servis berpatutan untuk model baharu dan lama

PROTON hari ini melancarkan Kempen Proton Rahmah 2023 sebagai menyahut inisiatif kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah.

Dilancarkan secara rasmi oleh Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kempen itu menggalakkan pemilik Proton menghantar kenderaan mereka ke pusat servis yang bertauliah untuk pemeriksaan keselamatan 40 mata percuma dan pakej servis berharga RM150.

“Dengan pelancaran Kempen Rahmah, pemilik Proton akan dapat memeriksa kereta mereka secara percuma dan membeli pakej perkhidmatan mampu milik, yang akan meringankan beban mereka menjelang sambutan Hari Raya yang bakal datang,” kata Tengku Zafrul.

Menurutnya, Proton merupakan syarikat automotif pertama yang menyokong inisiatif kerajaan, dan beliau berharap jenama lain akan mengikutinya untuk mengurangkan kos sara hidup mereka yang paling memerlukannya.

Berikutan kejayaan pelaksanaan inisiatif menu Rahmah yang dilancarkan pada Januari 2023, kerajaan sedang berusaha untuk mengembangkannya ke sektor lain yang boleh membuat perubahan nyata untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata: “Keputusan Proton untuk melancarkan Kempen Rahmah adalah selaras dengan usaha kami untuk menawarkan nilai tambahanan kepada pelanggan dan adalah penting untuk menyediakan produk dan perkhidmatan mampu milik kepada orang ramai.

“Mulai hari ini hingga 31 Mei 2023, pelanggan boleh menikmati pemeriksaan keselamatan 40 mata percuma dan menikmati pakej perkhidmatan berharga hanya RM150.

“Kempen inklusif ini memastikan kos dikongsi secara sama rata antara Proton Edar dan pengedar kami sebagai sebahagian daripada aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kami dan kami berharap dengan kempen ini, pemilik digalakkan servis kereta mereka di pusat servis yang bertauliah sebelum memulakan perjalanan balik kampung semasa tempoh perayaan.”

Kempen Proton Rahmah 2023 bermula pada 12 April sehingga 31 Mei 2023. Ia disasarkan kepada pemilik Proton Persona, Proton Iriz, Proton Exora, Proton Saga, serta model terdahulu termasuk Proton Inspira, Proton Waja dan Proton Wira.

DUKE jadi lebuh raya kedua untuk sistem pembayaran tol terbuka

LEBUHRAYA Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE) menjadi syarikat konsesi lebuh raya terkini yang bakal melaksanakan sistem pembayaran terbuka di plaza tol bermula September 2023 ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata persetujuan yang dicapai hasil perbincangan di antara Kementerian Kerja Raya dan DUKE menjadikan keseluruhan jumlah lebuh raya yang bakal terlibat dalam pelaksanaan sistem pembayaran terbuka kepada 12.

Katanya lebuh raya terlibat termasuklah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie, Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth-Kulim, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART serta Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX).

Beliau memaklumkan Lebuhraya DUKE juga telah dipilih sebagai lokasi kedua pelaksanaan Proof of Concept (POC) selepas Lebuhraya Sungai Besi bagi menilai sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) sebelum ia dilaksanakan di semua lebuhraya di dalam negara.

“Seperti yang diketahui umum, pelaksanaan sistem pembayaran tol terbuka ini merupakan persediaan awal peralihan ke arah MLFF sebelum dilaksanakan sepenuhnya secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024,” katanya.

Nanta berkata pada ketika ini, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka, POC dan MLFF masih mengikut jadual dan kementeriannya sedang giat berusaha memastikan kesemua perancangan dapat dijayakan dengan lancar.

“Saya memohon kerjasama semua pihak agar dapat bersabar dan memberikan sedikit masa kepada pasukan di kementerian ini yang komited dalam melaksanakan sistem pembayaran terbuka ini, sekali gus memastikan transisi MLFF ini dapat dilaksanakan,” tambahnya.

Hap Seng Star Autohaus dibuka di Bukit Tinggi, bilik pameran luas dan mewah

MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) dan Hap Seng Star meneruskan kerjasama mereka dengan merasmikan Autohaus terbaharu di Bukit Tinggi, Klang. Ia menawarkan pengalaman gaya hidup mewah eksklusif di kawasan itu.

Autohaus tersebut yang juga pusat sehenti mempunyai keluasan 49,543 kaki persegi dan dibina di tanah berkeluasan 142,000 kaki persegi. Ia boleh menempatkan sehingga 45 kereta dalam satu masa.

Hap Seng Start Bukit Tinggi Autohaus ini dilengkapi Star Lounge, kafe layan diri, ruang permainan kanak-kanak, dan bilik solek mewah untuk wanita. Bahagian jualan gaya hidup pula menampilkan butik koleksi dan aksesori mewah Mercedes, dengan pelbagai rangkaian produk.

Dari segi servis, Autohaus ini mampu menjalankan servis sehingga 300 kereta sebulan, dan mampu ditambah di masa depan. Servis penyelenggaraan berkala dan baik pulih dijalankan oleh juruteknik terlatih dengan alatan lengkap oleh Mercedes-Benz.

Autohaus ini juga sedia menampung keperluan pelanggan Mercedes EQ dengan kemudahan empat pengecaj pantas DC berkapasiti 120kW.

Perkhidmatan lain termasuklah Express Service 2.0, pick-up dan penyerahan, tempahan servis drop-and-go, penjajaran dan imbangan tayar, baik pulih dan diagnosis elektrik, perlindungan cat, tint cermin, serta tuntutan jaminan dan insurans.

Selain itu, bangunan Autohaus ini menerima penarafan anugerah Bronze oleh GreenRE. Ia juga mempunyai kemampuan mapan seperti sistem penuaian air hujan.

Hap Seng Star Bukit Tinggi Autohaus terletak di Lot 168853, Jalan Jed 2/KS09, Bandar Parklands, 42100 Klang, Selangor.

Kumpulan Hap Seng Group kini mengoperasikan Sembilan Autohaus termasuk di Kuala Lumpur, Kinrara, Balakong, Jalan Ipoh, Setia Alam, Bukit Tinggi, dan Melaka.

JLG dan Gentari bekerjasama untuk ekosistem mesra alam, bakal perkenal langganan EV

JLAND Group Sdn. Bhd. (JLG) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Gentari Sdn Bhd (Gentari), sebagai usaha untuk menyepadukan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui dan mobiliti hijau di negara ini.

Pakatan strategik ini bertujuan membangunkan ekosistem mesra alam meliputi semua projek kediaman, komersial dan perindustrian JLG.

Di majlis tandatangan tersebut, JLG diwakili oleh Yang Berbahagia Datuk Sr Akmal Ahmad, Pengarah, Bahagian Hartanah & Infrastruktur, JCorp / Timbalan Pengerusi, JLG manakala Gentari diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sushil Purohit.

Berasaskan MoU yang ditandatangani, JLG dan Gentari akan melaksanakan kajian boleh laksana terhadap penyepaduan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui Gentari bagi aset dan taman perindustrian strategik di bawah JLG, manakala pelaksanaan ekosistem mobiliti hijau dalam projek yang dipilih JLG akan bermula pada suku ketiga 2023.

Datuk Sr Akmal berkata: “Kerjasama kami dengan Gentari menandakan satu mercu jaya penting dalam usaha kami melaksanakan inisiatif penyahkarbonan dan meningkatkan keupayaan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

“Menerusi usaha sama dengan Gentari, kami kini bersedia memenuhi komitmen kami ke arah pertumbuhan lestari.”

Sebagai sebahagian daripada pakatan, JLG dan Gentari juga akan meneroka potensi pembinaan sebuah hab pengecasan (EV) di Ibrahim Technopolis (IBTEC) dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui bagi taman-taman perindustrian JLG.

Datuk Sr Akmal menambah, “Usaha ke arah mencapai sasaran pengeluaran karbon bersih sifar di Malaysia memerlukan penglibatan seluruh masyarakat.

Sushil Purohit, Ketua Pegawai Eksekutif Gentari pula berkata, “Bersama JLand Group, kami dapat meneroka inisiatif secara serentak di bawah tunggak teras kami, iaitu Tenaga Boleh Diperbaharui, Hidrogen dan Mobiliti Hijau di seluruh rantaian nilai elektron dalam usaha mencapai matlamat karbon bersih sifar.”

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Gentari akan menyediakan kemudahan Kenderaan sebagai Perkhidmatan (VaaS) dalam bentuk perkhidmatan langganan pengangkutan hijau di pembangunan kediaman, komersial dan perindustrian JLG, demi menggalakkan penggunaan EV.

Dengan memperkenalkan khidmat langganan kenderaan EV menerusi Gentari, JLG bertekad menggiatkan peralihan kepada EV menerusi pelaburan kos rendah.

BYD YangWang U9 ini supercar boleh menari dan melompat [+video]

SYARIKAT gergasi China, BYD bakal mempertontonkan supercar elektrik (EV) mereka kepada awam minggu depan, yang akan menampilkan sistem suspensi baharu. Menariknya, suspensi ini mempunyai trick unik.

Dalam satu video yang disiarkan di Youtube, BYD YangWang U9 dilihat menari dan melompat setempat di atas pentas. Ianya suatu demonstrasi mengenai kuasa suspensi udaranya.

Sistem suspensi udara ini yang dinamakan DiSus System didakwa oleh BYD sebagai “sistem kawalan badan kenderaan paling canggih dalam industri di seluruh dunia”.

YangWang U9 dikuasakan oleh empat motor elektrik yang menjana kuasa gabungan setinggi 1,099hp dan 1,680Nm tork. Ini cukup untuk membolehkannya memecut ke 100km/j dalam hanya dua saat.

Spesifikasi U9 belum diumumkan, tetapi media-media China mengatakan supercar itu akan mempunyai keupayaan jarak pemanduan sehingga 700km untuk sekali caj penuh.

Supercar ini dijangka dijual pada harga 1 juta Yuan (RM641k), tetapi tiada maklumat lanjut mengenai pasaran eksport untuknya.

BYD YangWang U9 akan dipamerkan di Shanghai Motor Show minggu depan.

Kes basikal lajak: Sam Ke Ting bebas tuduhan sebabkan kematian 8 remaja

MAHKAMAH Rayuan memutuskan untuk membebaskan kerani, Sam Ke Ting atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah membuat keputusan secara sebulat suara sekali gus mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi terhadap Ke Ting, 28, selaku perayu.

Sam Ke Ting. Gambar oleh: Malay Mail

Semasa membaca keputusan penghakiman, Hadhariah berkata, hakim Mahkamah Tinggi hanya memfokuskan pada pemandu tapi bukan kepada kumpulan lajak basikal itu.

“Berlainan dengan Mahkamah Majistret yang membuat penilaian secara maksimum dengan memfokuskan semua sudut yang mana kemalangan ini mustahil dapat dielakkan.

“Satu cara untuk mengelak kemalangan adalah kereta itu ‘terbang’ ketika melalui kumpulan basikal lajak,” katanya.

Beliau berkata, dapatan Mahkamah Majistret adalah tepat kerana tiada cara lain hendak mengelak kemalangan itu.

Dalam prosiding ini, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik hadir bagi mewakili Ke Ting manakala pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.

Pada 18 Febuari 2017, lapan remaja lelaki berusia 13 hingga 17 tahun yang menunggang basikal lajak, maut dirempuh kereta di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru.

28 Mac 2017, pemandu wanita itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal.

Ke Ting ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada jam 3:20 pagi, 18 Februari 2017.

Rider Foodpanda menangis, dakwa dizalimi dan dipotong gaji RM300

SEORANG rider (penghantar makanan) Foodpanda meluahkan kekecewaan dan kesedihan apabila mendakwa telah dizalimi oleh syarikat berkenaan berhubung soal pembayaran gaji.

Menerusi rakaman yang dimuat naik di TikTok, lelaki berkenaan mendakwa gaji yang sepatutnya diterima berjumlah RM800 pada minggu itu. Bagaimanapun dia mendakwa hanya menerima bayaran berjumlah RM500.

Menurutnya, perkara itu berpunca akibat tindakan membatalkan pesanan selain menyatakan ID akaun juga telah digantung syarikat selama beberapa hari menyebabkan dia tidak dapat bekerja.

“Dahlah nak dekat raya, RM300 itu terlalu besar, buat saya lebih-lebih dalam keadaan sekarang ini memang memerlukan duit,” katanya dalam rakaman itu.

“Rumah sewa saya di kampung sudah enam bulan tak dibayar, saya terpaksa pinjam RM1,000 daripada mak angkat untuk beli motosikal dan buat pekerjaan penghantar makanan,” luahnya.

Menurutnya, persoalan itu telah diajukan kepada Foodpanda, tetapi syarikat itu menyatakan soal pembayaran gaji dibuat dengan secukupnya selain isu penggantungan akaun (ID) adalah disebabkan kekerapan membuat pembatalan penghantaran.

“Saya dah emel Foodpanda maklumkan gaji saya tidak cukup dan tanyakan kenapa gantung akaun saya (ID).

“Dia (Foodpanda) memberi balasan, pendapatan tiada yang tidak cukup semua dibayar secukupnya… saya dah sertakan semua bukti tetapi dia maklumkan akaun digantung sebab selalu ‘cancel order’,” tambahnya.

Individu berkenaan yang baharu sahaja pulih daripada penyakit kanser tahap tiga mengharapkan rakaman berdurasi 180 saat itu mendapat perhatian syarikat terbabit.

Video yang dimuat naik di aplikasi TikTok menggunakan akaun @saifulxander_ itu juga setakat ini telah mendapat lebih 860,000 tontonan semasa artikel ini ditulis.

Berdasarkan kajian ringkas oleh Engear, dilihat ramai rakyat Malaysia yang bersimpati dengan nasib beliau dan telah membuat sumbangan dan derma ke akaun bank miliknya.

Kami akan laporkan berita susulan sekiranya terdapat sebarang kenyataan rasmi dari pihak Foodpanda.

@saifulxander_ Tolong bantu saya gunakan kuasa viral, sbb dah rmai rider yg kene, tapi mreka tk viral. Terima Kasih dan Salam Ramadan !🥲 #viral #foodpanda #foodelivery #rider #fyp #fypシ #fypdongggggggg ♬ Muhammad Nabina Binuru Hadina – Hidayat

Audi A3 Sedan S Line dan QS S Line kini dapat Audi Assurance Package

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini mengumumkan bahawa model A3 Sedan dan Q2 akan datang secara standard dengan Audi Assurance Package (AAP).

AAP menawarkan pembeli dengan pilihan penyelenggaraan selama tiga tahun, merangkumi servis yang dijalankan sepanjang penyelenggaraan berkala mengikut garis panduan pengeluar. Sementara jaminan pengilang pula dilanjutkan dari dua kepada lima tahun.

Pakej yang ditambah baik ini merupakan bukti usaha berterusan Audi dalam menyediakan pengalaman pemilikan dan servis yang lebih baik kepada pelanggannya.

Penyelenggaraan berkala, pemeriksaan oleh juruteknik terlatih dan pembaikan menggunakan alat ganti tulen akan membantu kenderaan beroperasi dengan lancar, sekali gus memberi kemudahan kepada pemilik.

Bermula 1 April 2023, harga runcit cadangan untuk A3 Sedan S Line adalah RM325,990 seunit, manakala Q2 S Line ditawarkan pada harga RM275,990.

Audi A3 Sedan dikuasakan oleh enjin 2.0-liter TFSI yang menghasilkan 190hp dan 320Nm tork. Bahagian hadapannya didominasi oleh Singleframe besar dengan gril sarang lebah yang disempurnakan lagi bersama lampu utama.

Ia juga hadir dengan ruang kabin lebih luas berbanding sebelumnya dan bahagian dalaman menggabungkan aspek kemewahan dengan teknologi terkini. Ciri-ciri seperti kokpit maya Audi, paparan sentuh MMI navigation plus bersaiz 10.1-inci dan perkhidmatan Audi connect plus hadir sebagai standard.

Audi Q2 1.4-litre TFSI pula ialah sebuah crossover mewah kompak yang terkenal dengan reka bentuk bergaya dan pelbagai teknologi canggih.

Q2 menawarkan dinamik pemanduan mengagumkan, terima kasih kepada nisbah stereng boleh ubah dan bantuan stereng yang bergantung kepada kelajuan. Ia nyata menyempurnakan janaan kuasa 150PS dan 250Nm tork daripada enjin berkenaan.

Maklumat lanjut mengenai Audi A3 Sedan, Audi Q2 serba baharu atau Audi Assurance Package, sila layari www.audi.com.my atau hububngi Audi Centre berhampiran.

Perodua catat rekod jualan dan pengeluaran untuk Mac 2023, tempoh menunggu kini berkurang

MOMENTUM pengeluaran dan jualan Perodua kekal kukuh apabila mencatatkan rekod tertinggi pengeluaran iaitu sebanyak 33,666 unit sementara divisyen jualannya pula mencatatkan pendaftaran sebanyak 32,179 unit pada bulan Mac.

Pada asas suku tahunan, pengeluaran meningkat 33.9 peratus kepada 84,800 unit berbanding 63,325 unit yang dikeluarkan pada suku yang sama tahun 2022.

Bagi aspek jualan, pendaftaran meningkat sebanyak 27.5 peratus kepada 78,564 unit dalam tempoh tiga bulan pertama 2023 berbanding 61,624 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pada asas bulanan, Perodua merekodkan peningkatan sebanyak 20.2 peratus kepada 32,179 unit berbanding 26,759 unit yang dijual pada Mac tahun lalu. Jumlah itu juga meningkat sebanyak 29 peratus berbanding 24,936 unit yang dijual pada Februari tahun ini.

“Pencapaian ini disumbangkan oleh beberapa faktor, antaranya adalah menerusi usaha kami untuk memenuhi tempahan PENJANA sebelum 31 Mac 2023, selain penambahbaikan pengeluaran di seluruh ekosistem pembekal dan penyelarasan yang lebih baik dalam rangkaian jualan kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

“Di sebalik pencapaian berkenaan, terdapat sejumlah kecil tempahan PENJANA yang tidak dapat kami penuhi dan kepada pelanggan yang terlibat, kami akan meneruskan jumlah pengecualian jualan sebagaimana yang dijanjikan di bawah inisiatif terbabit.

“Kami juga memohon maaf di atas tempoh menunggu yang lama,” tambah Dato’ Sri Zainal.

Mengulas lanjut, Dato’ Sri Zainal berkata prestasi Perodua dijangka terus meningkat di masa hadapan memandangkan jumlah tempahan bagi model keluarannya terus kukuh.

“Malah, bagi sesetengah model kami, tempoh menunggu telah berkurangan dengan signifikan, hanya beberapa model seperti Bezza, Axia dan Alza yang mempunyai tempoh menunggu yang lebih panjang, bergantung kepada pilihan varian dan warna,” kata Dato’ Sri Zainal.

Nak balik kampung? Periksa dulu kenderaan anda di Puspakom, percuma je!

PUSAT Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menganjurkan kempen Pemeriksaan Kenderaan Sukarela Secara Percuma kepada semua pemandu dan pemilik kenderaan persendirian bermula esok hingga 20 April.

Inisiatif ini adalah sebagai langkah memastikan keselamatan pemanduan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammed Shukor Ismail berkata: “Pemilik kenderaan yang ingin mendapatkan pemeriksaan percuma boleh hadir secara terus ke mana-mana cawangan Puspakom di seluruh negara kecuali Shah Alam (Selangor), Taman Bukit Maluri (Kuala Lumpur) dan Pasir Gudang (Johor) dari 8 pagi hingga 5 petang.”

Beliau berkata Unit Pemeriksaan Bergerak juga ditawarkan bagi pemeriksaan percuma di beberapa lokasi terpilih yang disenaraikan dalam laman web www.puspakom.com.my atau Facebook, Puspakom Sdn Bhd.

Foto oleh: Facebook/Puspakom Sdn Bhd

Menurut Mohammed Shukor pemeriksaan secara sukarela itu tertumpu kepada aspek keselamatan termasuk pemeriksaan brek, pelincir sisi, tayar, asap, lampu, bahagian bawah dan atas kenderaan serta cermin gelap.

“Kempen ini bertujuan membantu pemilik kenderaan mengetahui kondisi kenderaan mereka melalui pemeriksaan yang menggunakan peralatan komputer, yang seterusnya maklumat ini mereka boleh gunakan sebagai rujukan untuk melakukan penyelenggaraan yang sewajarnya,” katanya.

Mercedes E-Class 2023 akan dapat aplikasi TikTok dan Zoom

MERCEDES-Benz E-Class 2023 generasi baharu dijangka membuat pelancaran globalnya pada 25 April ini, pengeluar itu mengumumkan. Sementara itu, Mercedes turut membekalkan imej menunjukkan profil sisi E-Class W214 itu.

Sama seperti ruang dalaman yang didedahkan awal tahun ini, kita jangkakan rekaan luar E-Class 2023 generasi baharu ini juga mendapat elemen dari kembar elektriknya. Sebaliknya, sedan ini nampaknya membawakan bentuk lebih tradisional berbanding bentuk melengkung EQE.

Tetapi cermin belakang nampaknya akan lebih condong disebabkan bumbungnya yang lebih kemas dan sleek. Kita dapat lihat juga garisan karakter di sepanjang sisi kereta yang menghubungkan lampu depan dan belakang.

Tiada sebarang spesifikasi teknikal diumumkan, tetapi kita boleh jangkakan barisan elektrifikasi sepenuhnya, bermakna sama ada mendapat mild hybrid atau PHEV. Hal ini juga serupa untuk GLS dan GLC.

Walaubagaimanapun kita tidak perlu berteka-teki akan rupa dalamannya, kerana Mercedes telah mendedahkan rupa kabinnya awal tahun ini.

Ia akan mendapat rekaan Superscreen, pengganti kepada Hyperscreen dalam EQS dan EQE. Perbezaan utamanya adalah ia menampilkan skrin berlainan untuk kluster instrument, dan posisi lebih menegak untuk lebih mudah dilihat semasa memandu.

Sistem operasi MBUX juga telah dikemas kini untuk menyokong aplikasi-aplikasi seperti TikTok, Zoom dan Angry Birds. Dua aplikasi pertama (TikTok dan Zoom) akan menggunakan kamera binaan dalam kereta di atas papan pemuka untuk merakam video semasa tidak bergerak.

The MBUX operating system has also been updated to support downloadable apps including TikTok, Zoom, and Angry Birds among others – the first two will utilise a new in-car camera perched atop the dashboard for video while the car is stationary.

Tesla Malaysia kini buka peluang pekerjaan di Kuala Lumpur!

DAPAT dilihat di laman LinkedIn dan web Tesla di bawah ruangan Career, sah bahawa Tesla Malaysia kini membuka peluang pekerjaan. Jawatan-jawatan yang ditawarkan merangkumi bidang IT, rekrut, penasihat jualan, dan operasi tempahan.

Pada 1 Mac lepas, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia mengumumkan bahawa Tesla akan masuk ke negara ini secara rasmi dengan operasi jualan, servis, dan rangkaian supercharger.

Tesla Services Sdn Bhd telah ditubuhkan berserta jabatan perakaunan, pembiayaan dan sokongan IT. Dan nama syarikat itu baru-baru ini telah ditukar kepada Tesla Sdn Bhd.

Apa yang menarik, bentuk perniagaan yang tertulis dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ialah “Wholesale and retail of new motor vehicles” atau pemborongan dan jualan kenderaan baharu.

Dua lagi bentuk perniagaan adalah ‘perkhidmatan lain berkaitan pengangkutan darat NEC’ serta ‘penyelenggaraan dan baik pulih kenderaan bermotor’.

Dokumen SSM itu juga menunjukkan pemegang saham utama ialah Tesla International BV dengan 3,598,308 saham, dan syarikat itu berpangkalan di Amsterdam, Belanda.

Mana yang sedang mencari kerja bolehlah mencuba nasib, mana tahu dapat jadi staf Tesla Malaysia kan! Anda boleh lihat senarai jawatan yang ditawarkan itu di sini.

Peugeot 2008 SE dapat kemasan hitam dan dekal khas, tambah RM2,900 sahaja

PEUGEOT 2008 merupakan antara SUV segmen-B paling bergaya dalam pasaran Malaysia. Tetapi Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd telah memperkenalkan pakej SE dan menjadikan 2008 ini lebih bergaya dan eksklusif lagi.

Peugeot 2008 SE didatangkan dengan dekal grafik unik di bonet depan dan sisi. Kemudian, bampar depan dan belakang serta trim sisi diberikan warna Matte Black. Pelengkap kepada pakej SE ini adalah kemasan Piano Black pada rim 17-inci padanya.

Peugeot 2008 SE ditawarkan dengan harga tambahan sebanyak RM2,900 berbanding model biasa, dan hadir bersama jaminan aksesori tulen Peugeot selama satu tahun dari tarikh pemasangan.

Produksi model Peugeot 2008 SE telah dilakukan bulan lepas dan penyerahan kenderaan dijangka bermula hujung bulan ini. Versi SE ini hanya hadir untuk warna Orange Fusion dan Pearl White.

Aspek lain pada Peugeot 2008 SE ini adalah serupa dengan model biasa, bermakna SUV ini dilengkapi lampu LED dengan DRL menyerupai taring, rekaan i-Cockpit dengan paparan instrumen digital 10-inci hologram, dan unit infotainmen 7-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Peugeot 2008 dikuasakan oleh enjin 1.2-liter PureTech tiga-silinder petrol turbo yang cukup untuk menghasilkan 130hp dan 230Nm tork.

Kotak gear pula ialah automatik 6-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda depan. Terdapat tiga mod pemanduan boleh dipilih iaitu Eco, Normal dan Sport.

Peugeot 2008 SE kini dibuka untuk tempahan melalui semua cawangan pengedar rasmi seluruh negara.