All posts by Amirul Hazmi

Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.

Barisan enjin 6-silinder baharu akan jadi ICE terakhir dari Mazda

MAZDA yang terbiasa melawan arus, kini memperkenalkan barisan enjin pembakaran dalaman (ICE) enam-silinder sebaris.

Barisan enjin ini hadir dalam bentuk petrol dan diesel, malah langsung tidak mengikut trend dalam industri yang mengecilkan kapasiti enjin.

Nampaknya syarikat Zoom-Zoom ini telah ‘menyimpan’ benda terbaik untuk yang terakhir kerana enjin petrol 3.0-liter dan diesel 3.3-liter ini berkemungkinan menjadi enjin ICE terakhir mereka.

Joachim Kunz dari pasukan pembangunan teknikal Mazda Eropah berkata kepada Automotive News Europe, “Ini berkemungkinan menjadi generasi enjin ICE terakhir, jadi kami telah bersiap sedia dengan sasaran paling ketat.”

Kemudian solusi dan penyelesaian tambahan akan dilakukan bagi membolehkan enjin-enjin itu mematuhi piawaian emisi yang semakin ketat.

Mazda yakin enjin diesel itu akan menepati Euro 7 walaupun piawaian ini hanya akan siap menjelang akhir dekad ini (2030).

Banyak pengeluar telah pun menzahirkan kegusaran mereka berkenaan standard baharu nanti yang akan menjadikan kenderaan-kenderaan ICE lebih mahal berbanding kos terlibat dalam menjadikannya lebih bersih.

Mazda percaya masih terdapat tempat dalam dunia automotif untuk enjin enam-silinder. Salah satu sebab kenapa Mazda menggunakan kapasiti besar adalah untuk memberikan sedikit ruang kepada jurutera mereka.

“Mempunyai enjin diesel 3.3-liter bermakna kami mahu mempunyai ruang yang selamat untuk penghasilan tork dan kuasa,” kata Mazda.

Kunz berkata piawaian yang semakin ketat untuk enjin ICE biasanya menyebabkan penurunan kuasa dan tork, tetapi dengan enjin 3.3-liter ia dapat membantu Mazda mencapai output yang dikehendaki sambil menepati standard Euro 7.

Perincian mengenai berapa kuasa enjin petrol 3.0-liter tidak didedahkan, tetapi kami ada mendapat angka-angka untuk diesel.

Enjin SkyActiv-D itu akan menjana sekitar 228hp dan 500Nm tork dalam versi standard. Terdapat juga varian e-SkyActiv-D dengan padanan hibrid, versi ini akan menghasilkan 251hp dan 550Nm tork.

Kes basikal lajak: Petisyen bebaskan Sam Ke Ting raih lebih 700,000 tandatangan

BEBERAPA petisyen mendesak agar Sam Ke Ting yang dijatuhi hukuman penjara enam tahun atas kematian lapan remaja berbasikal lajak dibebaskan dilancarkan sejak semalam dan terus mendapat sambutan.

Petisyen yang dilancarkan oleh seorang individu dikenali sebagai Wan Junaida meletakkan sasaran awal untuk mendapatkan 300,000 tandatangan. Ia kini mendapat lebih 328,000 tandatangan.

Sam Ke Ting. Gambar oleh: Malay Mail

Setakat ini terdapat empat petisyen serupa dibuat di Change.org, dan dua daripadanya telah melepasi angka 300,000 tandatangan (setakat jam 1 petang, 14 April 2022).

Jika sesebuah petisyen mencapai angka 500,000 tandatangan, ia akan dikira sebagai ‘petisyen tertinggi’ di laman web itu.

“Kami rakyat Malaysia berasa ngeri dengan hukuman baharu Sam, di mana fakta menyokong bahawa dia adalah pemandu yang bertanggungjawab, mangsa sebenar dalam kemalangan ini.

“Kegagalan keibubapaan ibu bapa bakal mat rempit yang membenarkan anak-anak mereka berkeliaran di jalan dengan basikal yang diubah suai atau ‘basikal lajak’ pada pukul 3 pagi,” menurut petisyen itu.

Gambar oleh: Harian Metro

Mahkamah Tinggi semalam menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 ke atas Sam, 27, selepas didapati bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak lima tahun lalu.

Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru jam 3:20 pagi 18 Feb 2017.

Insiden kereta api langgar Axia cetus perdebatan

KEJADIAN kereta api melanggar kereta bukan sesuatu yang biasa berlaku di Malaysia kerana kebanyakan lintasan mempunyai palang dan lampu amaran.

Bagaimanapun, baru-baru ini sebuah Perodua Axia dilanggar oleh kereta api setelah pemandunya dikhabarkan cuba melintasi landasan.

Insiden ini dirakam oleh perakam papan pemuka (dashcam) dari kenderaan di belakang dan dilaporkan berlaku di Johor Port.

Di awal rakaman, Axia putih terbabit bersama-sama sebuah trak pikap dan motosikal mula bergerak selepas lampu isyarat bertukar dari merah kepada hijau.

Axia itu memecut sebelum tiba ke lintasan dan kelihatan seorang penjaga memberi isyarat suruh memberhentikan kenderaan untuk memberi laluan kepada sebuah kereta api terlebih dahulu.

Malah, penjaga itu bergerak hingga ke tengah jalan apabila melihat Axia seperti tidak memperlahankan kenderaan.

Disebabkan bahagian kereta sudah memasuki landasan dan pemandu Axia itu tidak sempat mengundurkan kenderaannya, bahagian kanan kereta api itu telah ‘tersangkut’ pada bahagian hadapan Axia dan menyeretnya perlahan-lahan sehingga ke bahu jalan.

Pemandu Axia itu segera mengundurkan kereta bagi mengelakkan kerosakan yang lebih teruk pada kenderaannya.

Netizen memberikan pelbagai reaksi terhadap insiden ‘rare’ ini. Mereka juga menyatakan jika pemandu Axia tidak ‘terlalu nekad’ dan lebih patuh kepada amaran penjaga itu, pasti insiden ini tidak berlaku.

Bagaimanapun, ramai bersependapat bahawa oleh kerana tiada tanda amaran, lampu isyarat dan palang berhampiran landasan tersebut menyebabkan kereta Axia tersebut terkeliru sehingga menyebabkan insiden tersebut terjadi.

Semasa membaca komen-komen yang dikongsikan, ada seorang pengguna Facebook memaklumkan bahawa laluan tersebut sedang dibuat semula, oleh sebab itulah tiada palang dan lampu isyarat untuk mengawal pergerakan kenderaan di laluan terbabit.

Apa pendapat anda? Bagi kami, ia kesalahan pemandu Axia itu sendiri kerana tidak peka dengan arahan dan situasi sekeliling.

Toyota Vios D92A akan dilancar di Thailand Q3 2022 – platform DNGA, enjin petrol dan hibrid

BARU sahaja kami melaporkan senarai kereta paling laris di ASEAN beberapa hari lepas yang menyaksikan Honda City kini lebih laris dari Toyota Vios untuk 2021, kebetulan pula Toyota ‘menjawab’ dengan pengumuman Vios serba baharu.

Menggunakan namakod D92A, Vios serba baharu akan diperkenalkan di Thailand dahulu pada suku ketiga tahun ini.

Vios yang dikenali dengan nama Yaris Ativ di sana akan dibina dari pelantar DNGA (Daihatsu New Global Platform) yang juga menjadi asas kepada model-model seperti Perodua Ativa/Daihatsu Rocky/Toyota Raize dan Toyota Avanza/Toyota Veloz/Daihatsu Xenia.

Pelantar baharu ini bakal memberikan beberapa kelebihan kepada Vios nanti iaitu berat yang lebih rendah, casis lebih tegar, dan keselamatan yang ditambah baik.

Penggunaan DNGA juga membolehkan Vios menerima janaan kuasa elektrik yang bakal memberi saingan kepada City e:HEV.

Untuk Toyota, mereka dijangkan menggunakan enjin 1.5-liter dengan bantuan motor elektrik, sebahagian dari Toyota Hybrid System II (THS II).

Enjin lain adalah 1.2-liter naturally-aspirated (dan bukan turbo seperti yang diwar-warkan sebelum ini. Transmisi pula dijangka kekal dengan CVT.

Dari segi rupa, dapat dilihat ia mengambil inspirasi Daihatsu DN F Sedan yang mula membuat penampilan pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) pada 2017.

Dengan badan ala coupe, konsep ini berukuran 4,200mm panjang, 1,695mm lebar, 1,430mm tinggi dan mempunyai jarak roda 2,510mm.

Menarik setakat ini? Apa pun kita harus tunggu rupa sebenar apabila ia dilancarkan di Thailand nanti, dikatakan sekitar Ogos.

Isuzu D-MAX terjual 1,233 unit pada Mac 2022, rekod jualan terbaik sejak 2005

ISUZU D-Max generasi ketiga serba baru mencatatkan jualan tertinggi untuk pasaran tempatan pada bulan Mac 2022, mengatasi jualan bulanan tertinggi yang pernah dicapai sejak Isuzu Malaysia mula beroperasi di sini pada 2005.

Angka rasmi menunjukkan yang Isuzu Malaysia mencatatkan 1,233 pendaftaran bagi Isuzu D-Max terbaru sepanjang Mac, didorong oleh serahan kenderaan yang kembali meningkat bertujuan untuk memenuhi pesanan tertangguh sebelum ini.

Angka baharu ini mengatasi rekod Isuzu yang sebelumnya, dengan 885 unit terjual pada Disember 2014 selepas pengenalan varian 3.0-liter V-Cross yang sangat popular ketika itu.

Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo memaklumkan, peningkatan serahan dari kilang telah membolehkan syarikat itu memendekkan penantian pelanggan bagi mendapatkan kenderaan baru mereka.

“Sebagai sebuah jenama yang mementingkan pelanggan, dan faham bahawa pemilik kenderaan kami sangat bergantung kepada kenderaan Isuzu mereka untuk selalu bersedia berkhidmat bagi segala urusan, keutamaan kami adalah untuk meningkatkan bekalan bagi memenuhi permintaan yang juga semakin bertambah terhadap trak pikap pelbagai guna ini,” ujarnya.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua pelanggan yang sabar menunggu ketibaan D-Max terbaru mereka. Kami akan terus meningkatkan bekalan bagi bulan-bulan mendatang bagi mengurangkan lagi tempoh menunggu untuk pelanggan mendapatkan kenderaan mereka,” tambahnya.

Peningkatan bekalan berkenaan dapat dicapai melalui peruntukan tambahan dari kilang dan menyaksikan varian paling banyak diserahkan sepanjang Mac adalah varian 1.9 Premium Auto dengan sejumlah 350 unit.

Sebagai pilihan popular warga Malaysia, varian 1.9 Premium Auto menawarkan rekaan bergaya, prestasi pemanduan cemerlang, ciri dalaman premium dan cukai jalan paling rendah bagi segmennya; mempertemukan semua perkara yang diidamkan dari sebuah trak pikap dalam satu pakej.

Permintaan terhadap varian flagship X-Terrain juga memperlihatkan peningkatan kepada 163 unit serahan, walaupun model ini – yang merupakan model popular di peringkat global – turut mengalami kekurangan bekalan.

Varian berkenaan yang dilengkapi aspek keselamatan canggih dan ciri untuk keselesaan telah terbukti menjadi pilihan terbaik bagi pelanggan yang mahukan sebuah trak pikap yang memberikan nilai terbaik untuk semua lapisan pengguna.

Bakal Ketua Pegawai Eksekutif terkini Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe menggariskan keperluan untuk mengutamakan kepuasan pelanggan melalui usaha jualan dan lepas jualan yang diperbaik lagi.

Okazoe pernah memikul tanggungjawab di peringkat antarabangsa di Jepun, Amerika, India dan Thailand, beliau telah menyandang beberapa kedudukan dalam lapangan korporat dan perancangan jualan, beliau menekankan bahawa keutamaannya ketika bertugas di Malaysia adalah untuk memperkukuh rangkaian Isuzu dan memberikan lebih kepuasan kepada pelanggan.

Perodua Kancil The Grasshopper jentera drag dengan kos modifikasi RM75k

BAGI peminat sukan perlumbaan drag, Perodua Kancil masih menjadi buruan kerana beberapa faktor seperti harga alat ganti yang masih berpatutan dan casis yang ringan.

Dipadankan dengan enjin yang telah dimodifikasi, ia memberikan prestasi keseluruhan yang menarik untuk sukan ini.

Kancil berwarna hijau ini dimiliki oleh saudara Che Mat dari CMT Garage Performance. Diberi nama The Grasshopper, modifkasi dan naiktaraf jentera ini dibuat olehnya sendiri dan dibantu tenaga kerja CMT Garage Performance.

Proses pembentukan semula casis boleh dikatakan agak ekstrim, melibatkan kerja-kerja pemotongan dan pematerian pada bahagian-bahagian tertentu bagi mendapatkan berat yang minima. Roll-cage kustom juga ditambah untuk mengekalkan keteguhan casis.

Di bahagian enjin pula, bloknya ditukar sebelum melalui proses rebore dengan memasukkan omboh Wilson Forged. Ia kemudian diberikan intake manifold dari Velocity, throttle body Mitsubishi Evo 3, paip intercooler jenis stainless steel, dan injap blow-off Tial Sport 50mm.

Pelaras bahan api adalah dari AVS dan kesemua ini disempurnakan dengan sistem ekzos saluran terus bersaiz 3-inci. ‘Otak’ kepada sistem enjin adalah ECU Link Monsoon manakala kotak gear jenis dogbox dibangunkan khas oleh Che Mat sendiri.

Untuk menyalurkan kuasa ke jalan dengan sebaiknya, Kancil The Grasshopper ini dipasang dengan suspensi Traction Pro, dan tayar slick Mickey Thompson serta rim bersaiz 13-inci.

Akhir sekali, ruang kabin dipasang dengan meter tambahan Racedash, stereng OMP, dan beberapa komponen keselamatan penting untuk perlumbaan.

Pembangunan Kancil hijau ini menelan belanja hampir RM75,000 dan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk disiapkan.

Pencapaian terbaik The Grasshopper ialah 7.5 saat untuk drag 200 meter kategori 2WD Pro Drag.

Berminat membina dan kustom sendiri jentera drag anda? Boleh hubungi dan CMT Garage Performance dan berbincang dengan saudara Che Mat.

Gambar oleh: Raziman Sipico

Kerusi bekas diduduki Lewis Hamilton di Petronas ada dijual di Shopee

BOLEH dikatakan hampir semua jenis barang ada dijual di Shopee, termasuklah kerusi plastik yang biasa digunakan di warung jalanan. Tetapi siapa menyangka ada kerusi plastik ini yang dijual pada harga RM2,888!

Ini kerana ia pernah diduduki oleh juara dunia Formula 1 tujuh kali, Sir Lewis Hamilton.

Iklan bertajuk “Kerusi Bekas Tempat Duduk Pelumba Dunia F1 Lewis Hamilton (Rare Item)” itu dimuatnaik oleh limabintangautoparts, penjual di Shopee bertaraf Preferred dengan penilaian pembeli setinggi 4.9 bintang.

Malah, kerusi tersebut menerima jaminan Shopee 100% asli, di mana ia menjanjikan pulangan wang jika barangan tersebut tidak asli. Tetapi, bagaimana boleh kita sahkan ia adalah kerusi yang pernah diduduki oleh Lewis sendiri?

Pemandu pasukan Mercedes-AMG Petronas ini telah dikesan berada di Kuala Lumpur awal minggu ini bersama rakan sepasukannya, George Russell. Mereka berdua dilihat berada di stesen minyak Petronas, mungkin atas urusan penggambaran untuk Petronas.

Beberapa foto peminat berkaitan Lewis kelihatan berlegar di media sosial dan antaranya menunjukkan beliau duduk di kerusi plastik.

Di bahagian spesifikasi, tertulis beberapa kenyataan seperti “ada bekas punggung Lewis Hamilton”, “kerusi rare satu dalam Malaysia”, dan “lepas dia duduk terus kami ambil dan balut biar segar lagi kesan punggung dia”.

Jika anda benar-benar mahu membelinya, penjual ada juga menyatakan bahawa harganya boleh dirunding menerusi Live Chat.

Anda juga boleh membelinya menggunakan baucar kedai bernilai RM20, serta menebus Shopee Coins. Pembelian juga boleh dibuat secara ansuran sehingga 18 bulan menggunakan kad kredit Maybank.

Macam-macam!

Gambar oleh: Soya Cincau

Honda City Hatchback terima varian baharu V-Sensing – RM92k

HONDA Malaysia telah memperkenalkan varian baharu untuk City Hatchback, iaitu V-Sensing. Ini akan membawakan pakej ciri keselamatan maju Honda Sensing yang merangkumi:

  1. Adaptive Cruise Control (ACC)
  2. Collision Mitigation Braking System (CMBS)
  3. Forward Collision Warning (FCW)
  4. Lane Keep Assist System (LKAS)
  5. Road Departure Mitigation (RDM)
  6. Lane Departure Warning (LDW)
  7. Auto High Beam (AHB)

City Hatchback V-Sensing akan ‘menyertai’ varian tertinggi RS e:HEV yang mendapat Honda Sensing.

Pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata, “Selama ini, City terkenal dengan keselamatan dan teknologinya. Kami memperkenalkan V-Sensing kepada varian City pada November 2021 dan rekod kami menunjukkan ia mendapat sambutan yang baik.”

“Untuk suku pertama 2022, City V-Sensing adalah 34 peratus dari keseluruhan jualan City, menunjukkan trend positif dan juga perakuan terhadap Honda Sensing.

“Kini kami teruja untuk memperkenalkannya pula kepada City Hatchback serba baharu. Kami percaya ia akan memberikan lebih nilai kepada pelanggan dan menaikkan tanda aras segmen ini,” kata Yoshimura.

Sama seperti varian V, Honda City Hatchback V-Sensing dikuasakan enjin 1.5-liter DOHC i-VTEC yang menjana 121PS dan 145Nm tork, serta dipadankan dengan transmisi CVT.

Kelengkapan luaran termasuklah lampu LED depan dan belakang, DRL LED, lampu kabus LED, spoiler belakang, dan rim 16-inci.

Bahagian dalaman pula mendapat kemasan kulit hitam dengan jahitan kelabu, tempat duduk ULTRA Seats dengan empat mod, paparan tengah 8-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta paparan instrumen 7-inci TFT.

Selain dari Honda Sensing, ciri keselamatan standard pada model ini adalah Vehicle Stability Assist (VSA), Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Brake Distribution (EBD), Brake Assist (BA), Emergency Stop Signal (ESS), Hill Start Assist (HSA), Rear Seat ISOFIX I‑SIZE Type, Rear Seatbelt Reminder dan enam beg udara.

Untuk maklumat lanjut, layari www.honda.com.my.

Perodua Myvi, Axia antara 10 kereta paling laris di ASEAN untuk 2021

PERODUA Myvi dan Axia tersenarai antara 10 kereta paling laris di Asia Tenggara (ASEAN) untuk tahun 2021, masing-masing di tempat keenam dan kesembilan.

Perodua Axia

Dalam laporan oleh Focus2move itu, Perodua Myvi dan Axia masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 82,351 dan 67,267 unit, iaitu 2.8 dan 2.3 peratus dari keseluruhan jualan di rantau ini.

‘King’ atau tempat teratas untuk kereta paling laris di ASEAN masih lagi dipegang oleh Toyota Hilux dengan 176,062 unit terjual pada 2021, iaitu 6.2 peratus.

Ini diikuti oleh Isuzu D-MAX di tempat kedua (163,137 unit) dan Honda City di tempat ketiga (88,590 unit).

Menurut laporan itu lagi, posisi Perodua Myvi sebenarnya turun dua tempat berbanding 2020, manakala posisi Axia jatuh empat tempat.

Honda City pula naik tiga tempat, Mitsubishi Xpander di tempat keempat naik tiga tempat berbanding 2020, dan Toyota Vios di tempat kelima turun dua tempat.

Nampaknya Honda City naik mengalahkan Toyota Vios untuk 2021.

Tetapi lain pula ceritanya di Malaysia, Toyota Vios merupakan model segmen-B bukan nasional paling laris untuk 2021 mengalahkan Honda City.

Tetapi kini Honda Malaysia menambah penawaran City Hatchback yang dilancarkan pada Disember lepas, bagaimana rasanya segmen ini untuk tahun 2022?

Yamaha Y16ZR World GP 60th Anniversary diperkenal, hanya 5,000 unit, RM11,688

HONG Leong Yamaha mengumumkan satu edisi khas untuk Y16ZR iaitu World GP 60th Anniversary. Hanya 5,000 unit akan dihasilkan dan ia akan hadir dengan beberapa aksesori seperti berikut:

Sijil penghargaan
Tumbler premium World GP 60th Anniversary
Pin edisi khas
Keychan premium

Kesemua aksesori ini juga akan diisi dalam kotak premium khas.

Yamaha Y16ZR World GP 60th Anniversary ini tampil dengan livery ikonik merah putih untuk gaya sporti. Skema warna ini dipadankan pula dengan rim berwarna emas yang didatangkan dengan emblem 60th Anniversary.

Yamaha Y16ZR ini dikuasakan oleh enjin 155cc 4-silinder 4-lejang SOHC dengan Variable Valve Actuation (VVA). Ia menjana 17.7hp pada 9,500rpm dan 14.4Nm tork pada 8,000rpm. Output disalurkan melalui transmisi 6-kelajuan.

Sama seperti model-model terkini, Y16ZR juga mendapat sistem klac Assist and Slipper untuk tunggangan dan penukaran gear lebih lancar terutamanya semasa downshifting.

Turut diperkenalkan ialah koleksi pakaian World GP 60th Anniversary yang juga boleh didapati di Genblu Online Shop untuk anda memadankan gaya dengan motosikal ini.

Yamaha Y16ZR World GP 60th Anniversary dijual pada harga cadangan RM11,688 tidak termasuk pendaftaran dan insurans. Anda boleh mula melihat motosikal ini di semua pengedar sah Yamaha seluruh negara.

Seperti biasa, anda juga akan mendapat kunci brek cakera untuk setiap pembelian Yamaha Y16ZR ini.

Lotus Emira dipertonton di Malaysia – 3.5 supercaj V6, 400hp, pilihan manual 6-kelajuan, RM1.13 juta

LOTUS Emira akhirnya mendarat di Malaysia. Ia bukan pelancaran rasmi, tetapi sesi pratonton yang dibuat oleh Lotus Cars Malaysia hujung minggu ini (9 dan 10 April) di bilik pameran mereka di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Lotus Emira ditawarkan dengan dua pilihan enjin di peringkat global iaitu unit 3.5-liter V6 supercaj (dari model Exige dan Evora sebelum ini) dan enjin 2.0-liter turbo 4-silinder dari AMG.

Tetapi buat masa ini, pasaran Malaysia mendapat Lotus Emira First Edition dengan enjin V6, dengan harga RM1,131,800.

Mahal? Anda harus faham Lotus Emira kini bukan lagi kereta sports “toy” yang sangat hardcore seperti Elise dan Exige, tetapi kini sebuah jentera lebih “matang” seperti Porsche Cayman dan BMW M2.

Lotus Emira juga merupakan model terakhir dengan enjin pembakaran dalaman (ICE), kerana syarikat itu akan semakin fokus ke arah elektrifikasi selepas ini.

Di belakang kabin Emira ini ialah enjin 3.5-liter V6 dengan supercharger Edelbrock 1740, menjana 400hp dan 420Nm tork. Kotak gear adalah manual 6-kelajuan sebagai standard.

Mahu automatik? Anda akan dapat automatik 6-kelajuan (tambahan RM15,000) berserta lebih tork iaitu 430Nm.

Lotus Emira mampu memecut ke 100km/j dalam masa 4.3 saat (4.2 saat untuk automatik) manakala kelajuan maksima ialaha 290km/j.

Pilihan powertrain AMG 2.0-liter turbo dengan kotak gear DCT dilaporkan akan tiba ke sini kemudian.

Emira dibangunkan dari casis baharu Lotus Sports Car Architecture yang juga menggunakan teknologi aluminium bonded extruded seperti Elise. Ia menggunakan suspensi double-wishbone untuk semua penjuru dan stereng berkuasa hidraulik.

Jentera sports ini mendapat lampu depan dan belakang LED dengan DRL, tip ekzos titanium, rim bilah-V 20-inci (berwarna perak atau hitam), dan boleh dipilih dengan empat pakej kemasan luaran.

Bahagian dalaman Emira tidak begitu “kosong” seperti Exige dan Elise, sebaliknya mendapat pilihan balutan kulit atau Alcantara, stereng flat-bottom, paparan instrumen TFT 12.3-inci, dan unit infotainmen 10.25-inci.

Terdapat juga tempat duduk berkuasa 12-arah dengan fungsi memori, sistem pendingin hawa automatik, keyless start, cruise control, dan pilihan mod pemanduan.

Seperti disebut tadi, First Edition hadir dengan beberapa pakej iaitu:

Design Pack: cermin privasi, pedal sports, balutan siling Alcantara, pilihan warna untuk angkup brek.
Convenience Pack: pengesan parkir depan, kamera undur, penggilap cermin auto, jaring ruangan kargo, lencana FE.
Drivers Pack (Tour): Tayar Goodyear Eagle F1  Supersport.
Drivers Pack (Sport): Tayar Michelin Pilot Sport Cup 2.

Oh ya, Lotus Emira juga hadir dengan ADAS yang merangkumi sistem seperti adaptive cruise control, anti-collision system, fatigue alert, road sign information, vehicle speed limiter, lane departure warning, rear cross-traffic alert, dan lane change assist.

Jika anda ingin melihat Lotus Emira dengan lebih dekat pada hujung minggu ini, bolehlah ke 43, Jalan Astaka U8/84A, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Hyundai mula buat serahan Kona Electric di Malaysia

Hyundai-Sime Darby Motors Sdn Bhd (HSDM) baru-baru ini membuat serahan pertama Kona Electric untuk 13 pelanggan pertama di Malaysia.

Dengan beberapa varian Kona Electric Lite (e-Lite), Kona Electric Plus (e-Plus) dan Kona Electric Max (e-Max), crossover elektrik itu diserahkan kepada kumpulan pemilik-pemilik di bilik pameran Sime Darby Auto Hyundai di Ara Damansara.

Hyundai Kona Electric merupakan satu tawaran agak menarik dalam segmen EV segmen-B disebabkan harganya yang kompetitif. Kumpulan pertama 100 unit habis terjual tidak lama selepas pelancaran pada November lepas.

Bergantung kepada varian, Hyundai Kona Electric menawarkan jarak pemanduan antara 300km hingga 480km.

Terdapat dua pakej powertrain untuk Kona Electric ini. Pertamanya untuk Lite dan Plus – 39.2kWh dengan 100kW (136hp) dan 395Nm yang mampu mencapai jarak pemanduan sekitar 305km.

Versi yang lebih berkuasa iaitu Max mendapat 64kWh yang manjana 150kW (204hp) dan 395Nm, jarak pemanduannya mencapai 484km.

Dari segi prestasi, versi 39.2kWh (Lite dan Plus) mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam 9.9 saat dan mempunyai kelajuan maksima 155km/j.

Untuk 64kWh (Max) pula, pecutan ke 100km/j dicapai dalam 7.9 saat dan kelajuan maksima lebih tinggi sedikit iaitu 167km/j.

Bagi pengecasan, menggunakan pengecas pantas DC dengan 50kW akan mengecaj bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam masa 48 minit untuk model 39.2kWh, dan 64 minit untuk versi 64kWh.

Sementara itu, pengecaj AC biasa akan mengambil masa lebih lama untuk mencapai 80 peratus, iaitu kira-kira enam jam untuk 39.2kWh dan sembilan jam untuk 64kWh.

Untuk maklumat lanjut mengenai Hyundai Kona Electric, anda boleh baca di sini.

Warga Singapura isi RON95, kita tekan butang Emergency Stop?

BEBERAPA hari ini tular gambar-gambar dikongsi netizen berkenaan warga Singapura yang mengisi bahan api RON95 untuk kereta mereka.

Warga Singapura telah banyak dilihat memasuki negara kita berikutan pembukaan sempadan darat kedua-dua negara bermula 1 April dengan sebahagian besar Prosedur Operasi Standard (SOP) dilonggarkan.

Jadi, apa kita boleh buat jika melihat situasi ini?

Seorang pengguna Facebook menulis dan mencadangkan agar kita menekan butang Emergency Stop (E-STOP).

Mohd Anshahrizat Aluhar walaubagaimanapun menulis agar cuba menegur dahulu, diikuti memberitahu kepada petugas stesen minyak. Jika dua langkah ini tidak berjaya, barulah kita boleh mengambil langkah menekan butang E-STOP.

Langkah tambahan adalah mengambil butiran kenderaan, lokasi dan gambar untuk dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Anshahrizat membuat perkongsian berkenaan di Group Facebook KHAS PENDUDUK KOTA TINGGI.

Menurutnya, apabila menekan butang E-STOP, proses pengisian akan terhenti malah pihak juruwang akan mendapat amaran dari pam tersebut melalui skrin pendaftaran pembelian di kaunter.

Adakah anda setuju dengan cara dan langkah-langkah ini? Beberapa komen ada mengatakan agar cara ini agak agresif atau kurang sopan.

Menurut kami, cara ini agak berhemah kerana kita telah bertindak menegur dan cuba untuk melaporkan kepada petugas pam stesen minyak.

Pada masa ini harga petrol RON95 di Malaysia dijual pada RM2.05 seliter dan antara yang terendah dan termurah berban­ding di negara-negara pengeluar seperti Arab Saudi, Bahrain, Qatar dan Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Harga RON95 yang ditawarkan di Malaysia juga lebih murah jika dibandingkan di Singapura yang dijual pada SGD3.02 (RM9.37) seliter manakala RON97 dijual SGD3.51 (RM10.90) seliter berbanding di negara ini jenis yang sama dijual RM3.91 seliter.

Hanya RON97 dibenarkan dijual kepada kenderaan asing manakala RON95 dilarang kerana ia bahan api subsidi dan tertakluk di bawah Akta Kawalan Bekalan.

SEJAK pintu sempadan Malaysia-Singapura dibuka 1 April lalu, ratusan ribu rakyat kedua-dua negara mula menikmati kehidupan normal tanpa peraturan yang ketat.

Tiada lagi arahan kuarantin di pintu masuk, malah prosedur operasi standard (SOP) juga diberikan kelonggaran, sejajar dengan matlamat mahu merancakkan semula ekonomi. Pendek kata kebebasan kunjung-mengunjung tidak mempunyai noktah lagi.

Pembukaan sempadan Malaysia menyaksikan ribuan warga yang terkandas di Singapura memanjat rasa syukur kerana Kembali bertaut bersama keluarga yang ditinggalkan sejak dua tahun lalu. Tambak Johor meriah bagaikan sambutan pesta.

Tidak kurang juga warga seberang yang turut bergembira, bukan untuk berjumpa keluarga tetapi lebih banyak mene­roka peluang-peluang yang terhidang di negara ini termasuklah memenuhkan tangki kereta dengan petrol subsidi pada harga murah.

Pada masa ini harga petrol RON95 di Malaysia dijual RM2.05 seliter dan antara yang rendah dan murah berban­ding di negara-negara pengeluar seperti Arab Saudi, Bahrain, Qatar dan Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Harga RON95 yang ditawarkan di Malaysia lebih murah jika dibandingkan di Singapura yang dijual S$3.02 (RM9.37) seliter manakala RON97 dijual S$3.51 (RM10.90) seliter berbanding di negara ini jenis yang sama dijual RM3.91 seliter.

Hanya RON97 dibenarkan dijual kepada kenderaan asing manakala RON95 dilarang kerana ia bahan api subsidi dan tertakluk di bawah Akta Kawalan Bekalan.

Dengan mengambil kira subsidi RON95 lebih kurang RM1.70 seliter, seorang warga asing yang mengisi 40 liter petrol dapat menjimatkan RM68 yang mana ia merupakan satu kerugian kepada kerajaan dan rakyat negara ini yang membayar cukai.

Haramkan kapcai prestasi tinggi – Ketua Polis Negara

KETUA Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani menyarankan model kapcai lincah yang berkemampuan tinggi yang ditunggang melebihi had laju dilarang berada di jalan raya serta penjualannya di pasaran diharamkan.

Menurut laporan Free Malaysia Today, beliau melahirkan kebimbangan terhadap lambakan motosikal “kapcai” lincah berprestasi tinggi sejak akhir-akhir ini.

Menurutnya, kehadiran kapcai laju itu adalah antara punca utama peningkatan kadar nahas jalan raya.

“Inilah (kapcai laju) antara penyumbang kepada tingginya kemalangan dan kematian dalam kalangan penunggang motosikal dan (kegiatan) merempit,” kata Acryl Sani.

Saranan itu adalah selepas pendedahan beberapa portal berita automotif tempatan yang melaporkan keterujaan peminat permotoran terhadap motosikal tersebut.

Ia susulan tersebarnya video mengenai model keluaran terbaharu, iaitu Suzuki Raider R150 Fi, juga dikenali dalam kalangan peminat motosikal sebagai ‘Si Belang’, yang mencecah kelajuan 177km/j melalui ujian dyno.

“Kenderaan (kapcai) seperti ini wajib diharamkan di Malaysia (kerana) tidak ada relevensi kelajuan 177km/j di jalan raya sedangkan had laju maksimum adalah 110km/j (di lebuh raya),” tegas Acryl Sani.

Menerusi ujian teliti pada mesin dyno, motosikal kapcai yang dipasarkan dengan harga RM8,173 itu mampu merekodkan kelajuan maksimum antara 150km/j hingga 160km/j.

Dalam pada itu, Acryl Sani menggesa Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) memainkan peranan utama mengkaji arah tuju permotoran serta merangka polisi motosikal selamat pada masa hadapan.

“MIROS hendaknya jadi badan pendesak,” tambahnya.

Sejak 2019, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melancarkan “perang” ke atas kapcai popular Yamaha 15ZR atau lebih dikenali sebagai Y-Suku yang dikatakan mampu mencecah kelajuan 160 km/j setelah diubah suai dan kerap digunakan sebagai kenderaan lumba haram.

Pada mesyuarat agung tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya tiga tahun lalu, seorang pegawai kanan JSPT mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan agar kategori pelesenan motosikal B3 yang baharu diwujudkan untuk golongan belia dengan hanya dibenarkan menunggang motosikal elektrik berkuasa rendah atau motosikal berenjin 100cc ke bawah menjelang 2025.

“Jika kita mempunyai kategori pemegang lesen baharu ini, ia boleh menyelamatkan banyak nyawa. Ia akan memanfaatkan negara. Jika kita mempunyai dasar jangka panjang bagi mengawal kumpulan sasaran 16 hingga 25 tahun dan membentuk budaya baharu untuk mereka hanya menunggang motosikal berkuasa rendah,” kata Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) JSPT Bakri Zainal Abidin.

Sementara itu enam bulan lalu, seorang perancang pengangkutan menyarankan agar motosikal kapcai underbone dihentikan penjualannya di pasaran secara berperingkat dan digantikan dengan motosikal elektrik berkuasa rendah untuk membendung kematian dan nahas jalan raya yang tinggi dalam kalangan pengguna motosikal.

Volvo XC40 Recharge EV: Alkisah pemanduan satu-pedal – Pandu uji

BEBERAPA minggu lepas, Volvo Car Malaysia (VCM) melancarkan SUV terkini mereka yang juga sebuah EV atau kenderaan elektrik sepenuhnya.

Perkenalkan XC40 Recharge Pure Electric P8, ya suatu nama yang agak panjang, ia merupakan EV pertama dari Volvo. XC40 ini juga dipasang di Malaysia, jadi ia juga EV CKD pertama negara ini!

Sehari selepas pelancaran, kami telah dijemput oleh VCM untuk memandu uji SUV bergaya ini. Ia pemanduan ringkas satu hari, jadi saya tidak akan bercerita terlalu menyeluruh.

Sebaliknya saya akan ulas tanggapan pertama memandu EV ini, terutamanya mengenai pemanduan satu-pedal (one-pedal driving) dan kerisauan jarak pemanduan (range anxiety).

Latar belakang Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8

Untuk yang belum tahu, VCM pada awalnya memperkenalkan XC40 T5 iaitu versi enjin petrol biasa. Kemudian varian XC40 Recharge T5 ditambah iaitu versi plug-in hybrid (PHEV) gabungan enjin pembakaran dalaman dan sistem janaan elektrik.

Jadi untuk XC40 Recharge Pure Electric, ia menampilkan pek bateri lithium-ion 78kWh yang menghantar kuasa ke dua motor elektrik (satu di gandar depan, satu lagi di gandar belakang), menjadikan jentera ini sebuah all-wheel drive (AWD).

Kuasa oleh motor elektrik adalah setinggi 402hp (300kW) dan 660Nm tork, membolehkan SUV ini memecut dari 0 ke 100km/j dalam hanya 4.9 saat. Kelajuan maksima pula – seperti semua model Volvo terkini – dihadkan pada 180km/j.

Dari segi rekabentuk luaran, XC40 Recharge EV ini nampak hampir serupa dengan versi petrol biasa, kecuali pada beberapa bahagian.

Pertamanya, gril depan rata yang bertutup, kemudian tulisan “RECHARGE” pada tiang-C kiri dan kanan, serta tempat mengecaj pada fender depan kiri.

Bahagian dalaman juga serupa dengan XC40 T5, tetapi Recharge EV ini ‘kehilangan’ butang penghidup enjin. Bukan kerana ia tiada enjin, tetapi anda tidak perlu menghidupkannya, XC40 ini terus dalam keadaan bersedia dan ‘hidup’ sebaik sahaja anda masuk ke dalam dengan kunci bersama.

Untuk spesifikasi lanjut, jemput baca di sini.

Sekarang, kita terus ke bab pemanduan.

Sama tapi berbeza

Masuk ke dalam, walaupun ruang kabin dan segala butang kawalan nampak sama, tetapi tidak 100 peratus serupa. Paling ketara seperti dinyatakan di atas, tiada butang penghidup enjin.

Sebaik anda masuk ke dalam, XC40 ini sedia dipandu. Hanya perlu tunggu tukar gear kepada Drive sahaja. Jadi, tiada istilah ‘panaskan enjin’ di sini. Anda nak terus tekan pedal rapat ke lantai pun tiada masalah.

Semasa mula memandu, saya pada awalnya agak berhati-hati dan sentiasa mengingatkan diri bahawa XC40 ini mempunyai lebih 400hp dan 660Nm tork.

Tetapi selepas mengemudi kesesakan trafik keluar dari The Saujana memasuki NKVE, ternyata kuasa dan outputnya mudah dikawal. Ia terasa lancar dan kita boleh hampir terlupa bahawa ia mempunyai kuasa yang mampu menyaingi kereta sports.

Yang pasti, kuasa memang sepantas kilat; tekan sahaja bila-bila masa, anda dapat daya tujahan maksima. Tidak perlu tunggu turbo boost, tidak perlu tunggu rpm tertentu, tork maksima boleh didapati dari 0 rpm.

Ya, itulah magik sebuah kereta elektrik. Cuma Volvo XC40 setakat ini berjaya menyampaikannya dalam satu pakej praktikal dan mudah dipandu.

Tahukah anda kuasa yang tinggi juga meningkatkan keselamatan? Anda dapat pecut dengan mudah untuk susur masuk lebuhraya tanpa pemandu di lorong utama brek, maka aliran trafik lebih lancar, pemandu di sekeliling juga akan lebih tenteram maka semua orang gembira.

Keyakinan untuk memotong juga meningkat, seperti semasa kami di laluan berliku dan berselekoh di Janda Baik. Tork yang tinggi memudahkan kereta keluar dan memecut, maka proses memotong di jalan sempit mengambil masa kurang 10 saat.

Volvo XC40 pada asalnya sudahpun cukup selesa tetapi dengan versi Recharge EV ini, tiada gegaran enjin maka tahap NVH (noise, vibration dan harshness) adalah lebih rendah. Pemanduan jarak jauh pasti lebih nyaman untuk semua.

Cuma disebabkan XC40 Recharge EV ini kira-kira 440kg lebih berat dari versi petrol, penyelenggaraan komponen getah pasti meningkat seperti bushing pada suspensi dan terutamanya tayar. Kenderaan lebih berat bermakna tayarnya lebih cepat haus.

Ya, sememangmanya penyelenggaraan di bahagian lain terutamanya sistem janaan jauh lebih rendah dalam kenderaan EV kerana kurangnya komponen bergerak seperti dalam enjin.

Pemanduan satu-pedal

Satu perkara menarik dengan kereta elektrik ialah anda boleh melakukan pemanduan satu-pedal. Bergantung kepada tetapan dan mod, kereta elektrik mempunyai fungsi regenerative dimana daya kinetik atau haba boleh ditukar semula kepada tenaga elektrik untuk disimpan ke dalam bateri.

Bila diaktifkan, fungsi regenerative akan membantu memperlahankan kenderaan tanpa perlu menggunakan brek kaki.

Tetapi dengan Volvo XC40 Recharge EV ini, sensasi regenerative padanya adalah paling ketara dan paling kuat paling saya pernah rasa sepanjang pengalaman saya bersama kenderaan elektrik hinggakan hampir tidak perlu langsung menekan pedal brek.

Malah, semasa turun dari Genting Highlands selepas makan tengahari di Janda Baik, rasanya kurang dari lima kali saya menekan pedal brek! Ya benar, untuk memasuki selekoh sambil menuruni bukit, jarang perlu menekan brek.

Bagaimana?

Mod pemanduan satu-pedal ini aktif secara default dalam XC40 (anda boleh padamkannya jika mahu) dan jika pada kelajuan 90km/j misalnya dan anda mahu memperlahankan kenderaan, anda tidak perlu mengangkat kaki sepenuhnya dari pedal ‘minyak’.

Apa yang perlu dilakukan ialah angkat kaki mungkin suku sahaja, dan ia sudah cukup untuk memperlahankan kenderaan secara berkadar, dan lampu brek sudahpun menyala.

Mengangkat kaki kanan sepenuhnya dari pedal pendikit akan menyebabkan XC40 ini seolah-olah membrek dengan agak mengejut, malah cukup kuat untuk membrek susur keluar dari jalan utama dan memasuki simpang.

Jadi anda mengawal daya ‘brek’ Volvo XC40 Recharge EV ini dengan melaras input pada pedal pendikit minyak, masuk akal?

Ianya satu pengalaman dan sensasi unik, ada beberapa rakan media tidak menyukainya. Saya secara peribadi lebih gemar pemanduan satu-pedal ini mungkin kerana saya memandu kereta dengan transmisi manual, saya kurang gemar kereta coasting atau meluncur ‘kosong’ seperti tiada gear.

Jadi dengan pemanduan satu-pedal seolah-olah ada rasa dan kesan brek enjin.

Kerisauan jarak pemanduan?

Baik, satu lagi perkara utama memandu kereta elektrik ialah range anxiety, risau adakah bekalan kuasa cukup hingga sampai ke destinasi.

Jika perjalanan harian ke tempat kerja mungkin tidak menjadi isu, tetapi jika bercuti hujung minggu atau pulang ke kampung, pasti akan timbul perasaan ini.

Volvo XC40 Recharge EV dengan bateri 78kWh menawarkan jarak pemanduan sehingga 418km. Perjalanan kami pada hari itu sebenarnya kira-kira separuh sahaja dari jangkauannya.

Tetapi walaupun memandu dengan tidak berhati-hati dan ada beberapa kali menekan pendikit rapat ke lantai (untuk menguji pecutan dan merasai torknya), saya masih dapat pulang ke the Saujana dengan bateri berbaki lebih 40 peratus.

Dari pemanduan singkat sehari ini, saya boleh simpulkan bahawa XC40 ini cukup cekap penggunaan kuasanya dan saya yakin boleh mendapat lebih 418km dengan cara memandu dan pengurusan tenaga yang betul.

Paling menarik, integrase Google Maps dalam sistem infotainmen XC40 ini membolehkannya memaparkan bukan sahaja lokasi-lokasi pengecaj berdekatan, tetapi juga anggaran peratusan bateri yang tinggal semasa anda sampai ke destinasi.

Ini sememangnya satu fungsi yang sangat berguna dalam pemanduan seharian XC40 Recharge EV ini.

Kesimpulan

Adakah saya akan beli Volvo XC40 Recharge EV ini? Jika saya berada dalam pasaran untuk mencari SUV berharga antara RM250,000 hingga RM300,000, saya akan memilih versi EV ini.

Jika dulu mungkin agak keberatan, setelah merasainya dan menilai praktikaliti XC40 ini, saya rasa SUV EV sesuatu yang sangat dekat dengan kita lebih dari kita menyedarinya. Yang penting kita ada pengecaj pantas DC di rumah.

Oh ya, kenderaan petrol biasa sekarang dengan kecekapan anggaran 12km/liter dan harga semasa RON95 pada RM2.05 seliter akan memerlukan 33.33 liter atau RM68.33 untuk jarak pemanduan 400km.

Tetapi bagi Volvo XC40 Recharge EV ini dengan kadar bil elektrik semasa 37.45 sen untuk setiap 1kWh akan memerlukan hanya RM29.21 untuk ‘isian penuh’ 78kWh dan memperoleh 418km.

Amacam?

Spesifikasi Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8

Harga: RM262,459.75
Kapasiti bateri: 78kWh
Kuasa: 300kW (402hp)
Tork: 660Nm

Proton Iriz RX untuk rallycross didedah, enjin 2.0 turbo dengan 600hp, kotak gear sequential

PROTON Iriz paling berkuasa di dunia telah didedahkan, iaitu Proton Iriz RX yang dibangunkan khas untuk acara rallycross.

Ia dibina berasaskan jentera Iriz R5 oleh Mellors Elliot Motorsport (MEM) tetapi telah dikonfigurasikan semula untuk menepati piawaian FIA RX1.

Iriz RX baharu ini akan dipandu oleh bekas pemenang podium British Rallycross dan European Rallycross, Ollie O’Donovan dalam acara-acara tempatan dan antarabangsa pada tahun ini.

Mewakili pasukan Team RX Racing, jentera ini akan berentap dalam British Rallycross Championship 5 Nations Trophy dan FIA European Rallycross Championship.

Walaupun dibina berasaskan Iriz R5 (kini Rally2) yang mula membuat kemunculan pada 2017, Iriz RX ini mendapat badan baharu sepenuhnya.

MEM tidak mendedahkan sebarang angka teknikal, tetapi menurut FIA, spesifikasi jentera RX1 secara umumnya perlu dijana enjin 2.0-liter turbo dengan kuasa sekitar 600hp, dan menggunakan kotak gear sequential 6-kelajuan, pacuan semua-roda dan berat sekitar 1,300kg.

Proton Iriz RX ini mendapat kit badan lebar pada kesemua fender depan dan belakang, lampu depan dummy, ruang kemasukan udara lebih besar, dan spoiler besar dua-tingkat gentian karbon.

Terdapat juga liang kemasukan udara di pintu belakang, malah penutup but belakang juga ditebuk untuk aliran keluar udara.

Kesemua ini adalah untuk sistem penyejukan Iriz RX kerana radiator jentera rallycross biasanya dialihkan ke bahagian belakang untuk lebih perlindungan.

Jentera Proton Iriz RX ini akan membuat kemunculan umum di hari media dan ujian pada 14 April depan di Lydden Hill.

Dalam saingan rallycross nanti, Team RX Racing akan berentap di litar-litar di Hungary, Norway, Sweden, Portugal, Latvia, dan Belgium.

Ollie O’Donovan, prinsipal dan pemandu utama Team RX Racing berkata: “Melihat Iriz RX keluar dari treler buat pertama kali merupakan satu saat bermakna untuk saya dan pasukan.”

“Dan duduk di dalam terasa serasi, satu perasaan istimewa. Telah banyak usaha dilakukan untuk projek ini. Iriz RX telahpun terasa seperti satu langkah besar untuk kami dan dalam ujian pertamanya, kami masih jauh dari potensi sebenarnya.”

“Saya tidak sabar ntuk memandu di Nyriad, Hungary untuk kali pertama dan memberikan Iriz RX kemunculan umunya yang pertama!” kata Ollie.

Tony Bardy, ketua jurutera Team RX Racing pula berkata, “Kereta ini mempunyai banyak cengkaman, dan begitu banyak potensi yang belum diterokai. Kami semua tidak sabar untuk acara pertama nanti!”

Sementara itu, Chris Mellors, prinsipal Proton Motorsport Team menambah, “Gembira dapat bekerja dengan program berbeza dan orang berbeza, dan menerokai dunia rallycross. Kami berpuas hati dengan hasil kereta ini.”

“Ada beberapa perkara perlu dilakukan sebelum pusingan pembukaan nanti, tapi kami sangat teruja untuk melihat bagaimana kereta ini beraksi dalam situasi kompetitif.”

 

Jualan suku pertama 2022 Perodua meningkat, fokus percepat serahan kereta pelanggan

PERODUA mencatatkan pertumbuhan positif untuk suku pertama 2022 dengan 61,624 kenderaan telah didaftarkan, peningkatan sebanyak 6.4 peratus daripada sejumlah 57,909 kenderaan untuk tempoh sama pada 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata, “Kesan daripada Covid-19 dan isu bekalan komponen masih ada, namun kami telah bekerjasama dengan para pembekal dan pengedar kami untuk mengurangkan impak tersebut.”

“Fokus kami kini adalah untuk mempercepatkan penghantaran kenderaan kepada para pelanggan kami sebelum berakhirnya tarikh pengecualian cukai jualan pada 30 Jun 2022.

“Perodua turut bersama MAA (Persatuan Automotif Malaysia) dalam rayuan bagi  melanjutkan tarikh pengecualian cukai jualan kerana faktor seperti gangguan bekalan semikonduktor global dan kes Covid-19 masih memberi kesan kepada industri,” katanya.

Dato’ Zainal berkata industri automotif, termasuk ekosistem tempatan amat berterima kasih kepada kerajaan atas inisiatif (pengecualian cukai jualan) tersebut kerana ia mampu meraih permintaan yang tinggi sekaligus memajukan industri di sepanjang pandemik terburuk ini berlaku.

“Pada masa ini, ekosistem automotif tempatan mulai pulih secara beransur-ansur dan lanjutan pengecualian cukai jualan adalah rangsangan yang diperlukan oleh industri demi pertumbuhan yang mampan terutamanya dalam tempoh pemulihan,” kata Dato’ Zainal.

Pada Mac 2022, Perodua telah mencatatkan 26,759 kenderaan, peningkatan sebanyak 9.5 peratus berbanding 24,433 unit yang dijual pada Mac tahun lalu . Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan Mac melonjak 53.2 peratus daripada 17,421 unit yang didaftarkan pada Februari 2022.

Pencapaian jualan bulanan tertinggi Perodua dicatatkan pada Oktober 2021 dengan 27,858 unit didaftarkan.

“Kami menjangka suku kedua 2022 akan menjadi kemuncak bagi industri automotif dimana jenama-jenama lain juga akan menghantar seberapa banyak kenderaan yang mereka mampu dalam tempoh tiga bulan tersebut.”

“Walaupun bekalan cip semikonduktor dan Covid-19 masih mampu mempengaruhi pengeluaran, kami menjangkakan pengeluaran dan pendaftaran akan bertambahbaik. Kami tidak melihat faktor lain seperti konflik antara Rusia dan Ukraine akan memberi kesan yang besar kepada pengeluaran Perodua pada masa akan datang.”

“Berdasarkan faktor-faktor ini, kami akan mengekalkan sasaran jualan 247,000 kami untuk tahun ini,” kata Dato’ Zainal.

Berangan panjat batu dengan Axial SCX24 Ford Bronco RC ini

JIKA anda berangan memiliki dan memandu Ford Bronco, anda kini boleh memandu versi kawalan radio (RC) skala 1/24 ini!

Axial memperkenalkan model terbaharu dalam siri crawler SCX24 mereka, iaitu Ford Bronco. Ianya merupakan kali pertama Axial SCX24 diperkenalkan dengan badan jenis plastic keras kerana model-model sebelum ini adalah jenis polycarbonate (bahan lembut fleksibel).

Axial SCX24 Ford Bronco ini juga merupakan model rasmi yang dilesenkan oleh Ford Motor Company.

Casis SCX24 menampilkan konfigurasi pacuan empat roda (4WD) sepenuh masa dengan suspensi tiga-link di depan dan empat-link di belakang dan solid axle untuk kedua-dua gandar sama seperti kenderaan sebenar.

Sudah tentu tarikan utama SCX24 Ford Bronco kali ini adalah badannya itu sendiri. Dengan bahan plastik keras, Axial telah meningkatkan tahap realistik untuk skala 1/24.

Pada badannya terdapat pembuka pintu, cermin sisi, rel bumbung, pengelap cermin, lampu, ruangan kabin penuh, malah terdapat patung pemandu dengan topi koboi!

Badan berskala penuh ini dipasang pada casis dengan rekaan engsel khas untuk memudahkan akses kepada bateri, elektronik dan komponen-komponen lain.

SCX24 Ford Bronco hadir dengan pakej Ready To Run, istilah dunia RC yang bermaksud semuanya lengkap termasuklah radio 2.4GHz, bateri LiPo 2S 7.4V 350mAh, dan pengecaj USB.

Ciri lain adalah motor jenis brushed 88T untuk aksi memanjat realistik, gear jenis cacing dalam gandar depan dan belakang, link suspensi jenis besi, penyerap hentak coilover, lampu LED, dan bearing bebola sepenuhnya.

Axial SCX24 Ford Bronco ini juga mendapat rim Wildtrak rasmi berserta tayar Nitto Trail Grappler M/T, kedua-duanya berlesen dari produk sebenar!

Tiga warna ditawarkan untuk crawler skala 1/24 ini iaitu merah, kelabu dan biru, kesemuanya warna kilang untuk Ford Bronco sebenar.

Axial SCX24 dijual dengan harga USD159.99 (RM674.76).

Harga Volvo XC40 Recharge Pure Electric diumum: RM262k, jaminan 5-tahun

VOLVO Car Malaysia (VCM) beberapa minggu lepas telah melancarkan XC40 Recharge Pure Electric yang merupakan SUV elektrik sepenuhnya.

Walaupun spesifikasinya telah diperincikan, harganya belum didedahkan pada masa itu. Pagi ini, VCM secara rasmi mengumumkan harga XC40 ini iaitu pada RM262,459.75.

Harga ini juga termasuk dengan dengan jaminan kenderaan selama 5 tahun, jaminan bateri HV selama 8 tahun, dan pakej bantuan tepi jalan selama 5 tahun.

Volvo XC40 Recharge EV ini dipasang di Malaysia (CKD) dan menariknya, ia merupakan kenderaan EV CKD pertama di negara ini.

XC40 Recharge EV dilengkapi pek bateri lithium-ion 78kWh yang boleh memberikan jarak pemanduan sehingga 418km. Pecutan ke 100km/j pula boleh dilakukan dalam 4.9 saat sahaja, sementara kelajuan maksima dihadkan kepada 180km/j.

Untuk pengecasan, tahap bateri boleh mencapai 80 peratus dalam hanya 40minit menggunakan pengecaj pantas DC. Jika menggunakan pengecaj AC biasa dengan kapasiti 11kW, pengecasan ke tahap 80 peratus akan mengambil masa kira-kira 7 jam setengah.

Volvo XC40 Recharge EV boleh dibezakan dari varian-varian lain melalui satu ciri unik di luar iaitu gril depannya yang bertutup. Bahagian lain nampak serupa dengan varian bukan EV, dimana slot pengecajnya di lokasi sama dengan XC40 Recharge T5 PHEV.

Volvo XC40 Recharge EV dilengkapi dengan navigasi yang dikatakan terbaik dalam kelasnya. Google Maps akan diintegrasi sepenuhnya dan disokong oleh Google Assistant yang akan memberikan maklumat seperti trafik dalam masa sebenar.

Dengan semangat mapan dan mesra alam, Volvo XC40 Recharge EV dibina menggunakan bahan-bahan yang boleh diberbaharui. Sebagai contoh, karpet di dalam kabin adalah dari plastik kitar semula.

Dari sudut praktikaliti, Volvo XC40 versi elektrik ini membawakan rekaan ruang simpanan pintar di dalam kabin. Anda akan jumpa ruang-ruang simpanan ini untuk botol air, beg gymnasium, telefon pintar, komputer riba, makanan bungkus, malah ruang untuk wayar-wayar pengecaj.

Bahagian lain adalah sama dengan XC40 versi enjin biasa, dimana Recharge EV didatangkan dengan panel instrumen digital 12.3-inci, paparan infotainmen Android Automotive OS dan disokong oleh fungsi-fungsi keterhubungan seperti Volvo On Call.

Ciri lain pula adalah sistem pendingin hawa dwi-zon dengan Clean Zone, kemasan kulit Nubuck dan Nappa, bumbung panoramic, dan sistem audio Harman Kardon 600-watt dengan Quantum Logic.

Aston Martin Vantage AddArmor versi kali peluru, tambahan RM137k dari harga kereta

SEKALI pandang, Aston Martin Vantage ini nampak seperti mana-mana Vantage yang keluar dari kilang Gaydon namun tahukah anda, unit ini berupaya menahan peluru jenis magnum .44 magnum .357, serta parabellum 9mm?

Supercar kalis peluru ini menggunakan sistem perlindungan B4 daripada AddArmor, sebuah syarikat penghasilan perisai kenderaan dari Amerika Syarikat yang diasaskan oleh bekas penguatkuasa undang-undang dan pakar Operasi Khas.

Sistem perlindungan berkenaan merangkumi kaca kalis peluru yang digunakan pada cermin penghadang angin dan cermin sisi, bahan kevlar seberat 204kg, serta keluli yang diperkuatkan bagi tujuan melindungi bumbung dan tangki bahan api. Turut disertakan adalah material komposit pada firewall.

Perlindungan yang ada pada Vantage ini tidak terhenti di situ sahaja kerana AddArmor turut memasang alat perenjat elektrik pada pemegang pintu yang boleh diaktifkan dengan menekan butang dari dalam kereta.

Bukan itu sahaja, jentera ini juga dilengkapi dengan tayar jenis run-flat bagi membolehkan pemandu meloloskan diri dari situasi berbahaya, manakala lubang ekzosnya ditutup dengan pelindungan khas bagi menghalang musuh daripada memasukkan sebarang objek asing.

Selain itu, berat tambahan daripada kevlar dan plat besi di bawah badan Vantage ini memaksa AddArmor untuk menaik taraf sistem suspensi asal.

Bagaimanapun, syarikat itu mendakwa modifikasi-modifikasi tersebut tidak menjejaskan prestasinya kerana perisai yang digunakan lebih ringan berbanding keluli balistik konvensional.

Tiada sebarang talaan yang dilakukan pada enjin, bermakna unit 4.0-liter twin-turbo V8 yang diperoleh daripada Mercedes-AMG itu kekal dengan 510PS dan 685Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang ditugaskan untuk memacu roda belakang.

Vantage standard mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 3.6 saat namun versi AddArmor ini mungkin memerlukan masa yang lebih lama disebabkan berat tambahan yang dibawanya.

Menurut AddArmor, kos pakej perlindungan ini mencecah $32,500 (RM136,840) tidak termasuk kereta itu sendiri.