WTC Automotif (WTCA) telah merasmikan pembukaan pusat pengedaran terbarunya iaitu pusat 3S GAC Melaka yang dioperasikan oleh Waritan Automobile Sdn Bhd.
Pusat ini akan menempatkan jenama GAC Motor dan AION di bawah satu bumbung, lengkap dengan elemen identiti penjenamaan masing-masing.
Menurut WTCA, pembukaan GAC Melaka telah memperkukuhkan lagi rangkaian GAC dan AION di kawasan selatan dan memberikan sokongan selepas jualan yang mantap untuk pemilik kenderaan kedua-dua jenama itu yang semakin bertambah.
“Pembukaan pusat 3S GAC dan AION Melaka adalah kunci bagi melengkapkan liputan rangkaian di wilayah selatan. Kami mengalu-alukan pelanggan untuk berkunjung dan merasai sendiri hospitaliti GAC Motor,” kata Tan Keng Meng, Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings Bhd.
Terletak di lokasi strategik dalam bandar Melaka, GAC Motor Melaka menyediakan ruang pameran berkeluasan 443 meter persegi dan pusat servis berkeluasan 335 meter persegi dengan empat ruang servis.
Selain itu, pelanggan juga menikmati ruang istirahat yang luas, serta ruang kerja lengkap dengan akses WiFi sambil menunggu kereta mereka siap diselenggara. Makanan dan minuman turut disediakan.
Bilik pameran dibuka setiap hari dengan waktu operasi dari 9.00 pagi hingga 7.00 petang untuk Isnin hingga Jumaat, 9.00 pagi hingga 6.00 petang untuk Sabtu, dan 9.00 pagi hingga 5.00 petang untuk cuti umum.
Pusat servis pula beroperasi dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang dari Isnin hingga Jumaat, dan tutup pada Ahad dan cuti umum.
Sempena dengan kejayaan projek CKD pertamanya, WTCA telah melancarkan kempen ‘Rev Up with Emzoom’ di mana pelanggan berpeluang menikmati rebat tunai bernilai RM5,000 untuk varian Exclusive dan RM7,000 untuk varian Premium R.
Dengan rebat tunai ini, harga promosi untuk GS3 Emzoom Exclusive dan Premium R masing-masing bermula dari RM111,800 dan RM119,800.
WTCA turut menawarkan pilihan perkhidmatan penyelenggaraan percuma dan kunci jam pintar bernilai RM1,388 sebagai alternatif kepada rebat tunai yang lebih rendah.
DHL Supply Chain telah dilantik oleh Stellantis sebagai rakan logistik untuk mengurus pusat pengedaran alat ganti serantau yang terletak di Malaysia.
Pelantikan ini akan menyokong strategi Stellantis untuk meningkatkan kehadirannya di seluruh rantau Asia Pasifik dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab automotif penting.
Terletak dalam Zon Perdagangan Bebas Malaysia di Pelabuhan Klang, gudang seluas 18,000 meter persegi itu direka untuk mengedarkan alat ganti dan memberikan sokongan selepas jualan yang lancar di 20 negara di kawasan India dan Asia Pasifik, termasuk pasaran utama seperti Malaysia.
Ia juga bertujuan untuk mengurangkan masa penghantaran dan meningkatkan ketersediaan alat ganti untuk semua jenama Stellantis, termasuk Peugeot, Citroen, Alfa Romeo, Jeep, RAM dan banyak lagi.
Olivier Torchet, Ketua Bahagian & Perkhidmatan, India & Asia Pasifik, Stellantis berkata pihaknya berbangga dapat menyambut DHL sebagai rakan logistik dan berbesar hati mempunyai peneraju logistik yang diiktiraf di peringkat global untuk operasi pergudangan.
“Tahap kecemerlangan dan kebolehpercayaan DHL dalam logistik dan pergudangan sejajar dengan matlamat kami untuk pengedaran bahagian yang boleh dipercayai dan pantas, membolehkan kami menyediakan standard tertinggi sokongan selepas jualan kepada rantau ini,” kata Torchet.
Mario Lorenz, Pengarah Urusan, DHL Supply Chain Malaysia pula berkata pihaknya menyaksikan pertumbuhan dan transformasi yang ketara dalam industri automotif Malaysia, kini pasaran kedua terbesar di Asia Tenggara.
“Pertumbuhan ini memberikan peluang kepada DHL untuk memainkan peranan penting dalam mengukuhkan rantaian bekalan bagi pengeluar automotif di negara ini. Dengan komitmen Malaysia terhadap Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA), hab serantau di sini memberikan pelanggan kami struktur kos yang kompetitif dan infrastruktur yang maju untuk mencapai pasaran ASEAN lain yang menguntungkan,” jelas Lorenz.
DHL Supply Chain Malaysia komited untuk memacu masa depan sektor mobiliti automotif, menyokong pengeluar kenderaan, pembuat komponen, pembuat tayar, dan penyedia selepas jualan.
Komitmen ini sejajar dengan agenda pertumbuhan DHL, dengan pelaburan €131 juta (RM613 juta) di Malaysia untuk memperluas kapasiti dan membangunkan bakat terkemuka, memastikan sokongan yang lancar bagi keperluan dan hasrat pertumbuhan pelanggan yang sentiasa berubah.
Ini adalah sebahagian daripada strategi pelaburan divisi yang lebih luas di pasaran utama, dengan pelaburan strategik DHL Supply Chain sepanjang tahun lalu berjumlah €1.35 billion (RM6.31 bilion) secara global.
Malaysia mempunyai lebih daripada 640 pengeluar utama dalam sektor automotif, yang meliputi pelbagai komponen. Insentif Kenderaan Elektrik (EV) kerajaan juga sejajar dengan Strategi 2030 Kumpulan DHL, di mana tenaga baharu, termasuk pengangkutan EV, merupakan kawasan pertumbuhan utama bagi syarikat.
Hyundai Motor dilaporkan akan membuka kilang pertamanya di Malaysia pada tahun depan menerusi pelaburan bernilai RM2.16 bilion.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz, ia bakal menjadi pelaburan terbesar pengeluar kereta itu di negara ini dan menyediakan banyak peluang pekerjaan.
“Pelaburan berjumlah RM2.16 bilion dari Hyundai Motor ini akan membuka peluang kepada rakyat Malaysia mendapatkan kenderaan dikeluarkan Hyundai Motor pada harga lebih kompetitif.
Tambah Tengku Zafrul, kerajaan ada menetapkan beberapa syarat kepada Hyundai Motor untuk menggunakan komponen domestik dalam kenderaan yang dihasilkan.
“Dengan cara ini, Hyundai Motor dapat mengeluarkan kenderaan pada harga lebih kompetitif,” katanya.
Kilang Hyundai Motor di Kulim, Kedah itu dijangka memulakan pengeluaran pada pertengahan 2025.
Ia melibatkan tujuh model kenderaan meliputi enjin hibrid dan enjin pembakaran dalaman (ICE).
“Sebagai permulaan, mereka akan menghasilkan tujuh model kenderaan dengan keupayaan hibrid dan ICE bagi tempoh lima tahun ini.
“Namun, dalam jangka masa panjang ia juga mungkin melibatkan pengeluaran kenderaan elektrik (EV),” katanya.
Baru-baru ini, penulis berkesempatan memandu uji sedan segmen B yang menjadi topik bualan hangat netizen sejak beberapa bulan lalu iaitu MG5.
Sejujurnya, penulis tidak mempunyai harapan yang tinggi terhadap MG5, apatah lagi apabila ia diselubungi isu keselamatan yang boleh dikatakan agak serius.
Tetapi setelah memandunya sejauh kira-kira 800 km dari Kuala Lumpur ke Desaru dan balik, penulis mendapati kereta ini ada kelebihannya yang tersendiri dan wajar dipertimbangkan sekiranya anda ingin sedang mencari sedan segmen B.
Walau bagaimanapun, semasa sesi pandu uji tersebut, penulis juga menemui tiga perkara yang kurang enak mengenai kereta ini:
Lampu belakang
Secara peribadinya, penulis cukup menggemari rekaan bahagian depan MG5 yang kelihatan tidak ubah seperti Maserati Quattroporte atau Ghibli. Rekaan bumbung ala coupe pula memberikan sedan ini profil sisi yang menarik cuma rim aloi ‘Tomahawk’ berukuran 17 inci nampak agak kecil untuk kereta dengan saiznya.
Dari belakang, pinggul yang lebar (boleh dilihat dari cermin sisi) pula membuatkan MG5 nampak tegap dan stabil di atas jalan raya.
Bagaimanapun, penulis kurang berkenan dengan rekaan lampu belakangnya yang jelas ditiru dari Peugeot. Ia tidaklah hodoh cuma entah mengapa lampu belakang ini sedikit sebanyak mencacatkan penampilan kereta ini.
Ergonomik dan keterlihatan
Di dalam, butang dan skrin sentuh bukan sahaja diletakkan pada posisi yang mudah untuk dicapai, malah dihalakan ke arah pemandu. Namun oleh kerana stereng tidak mempunyai pelarasan teleskopik dan ketinggian kerusi juga tidak boleh diubah, penulis memerlukan masa untuk mencari posisi pemanduan paling ergonomik sebelum memandu.
Bukan itu sahaja, penulis juga mengalami sedikit kesukaran untuk melihat keadaan trafik menerusi cermin pandang belakang kerana bumbung coupenya membuatkan cermin belakang kereta ini agak kecil. Ini diburukkan lagi dengan tiga perehat kepala kerusi belakang yang agak tinggi.
Sistem pendingin hawa
Untuk sebuah kereta berharga RM87,000 (selepas diskaun), penulis berpendapat yang kelengkapan yang disertakan pada MG5 agak berbaloi dan mampu memenuhi keperluan pelanggan.
Cuma, penulis kurang gemar yang kelajuan kipas pendingin hawa hanya boleh dilaraskan menerusi skrin sentuh. Bukan itu sahaja, hanya ada satu corong pendingin hawa untuk penumpang belakang. Ini tidak menjadi masalah bagi mereka yang mempunyai seorang anak sahaja tetapi bagi mereka yang mempunyai dua atau tiga, perebutan mungkin berlaku.
Pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia dimeriahkan lagi dengan kehadiran pesaing terbaru iaitu Dongfeng Box. Ia diedarkan secara rasmi oleh Central Auto Distributors Sdn Bhd, sebuah subsidiari PEKEMA.
Seperti yang anda boleh lihat, Box merupakan sebuah hatchback kompak dengan rekaan segar yang mampu menarik minat golongan muda. Dengan harga bermula dari RM100,700, ia adalah pesaing terdekat BYD Dolphin sebagai antara EV paling mampu milik di negara ini.
Dalam artikel ini, kami akan bandingkan Box dan Dolphin bagi membantu anda membuat pilihan yang terbaik:
Saiz
Box mempunyai ukuran panjang 4,020 mm, bermakna ia 270 mm lebih pendek berbanding Dolphin. Bagaimanapun, ia 40 mm lebih lebar berbanding Dolphin 1,810 mm, manakala ketinggian kedua-dua model ini adalah sama iaitu 1,570 mm.
Sementara itu, badan Dolphin lebih panjang memberikannya kelebihan dari segi ukuran jarak roda dengan ukuran 2,700 mm berbanding 2,650 mm yang dimiliki oleh Box.
Satu lagi kelebihan Dolphin adalah ia mempunyai ruang but yang lebih besar 345 liter, 19 liter lebih besar berbanding ruang but Box.
Kelengkapan
Untuk bahagian luaran, Box didatangkan dengan lampu LED depan dan belakang, serta rim 17 inci bagi kedua-dua varian iaitu E2 dan E3. Dolphin juga dilengkapi dengan lampu LED automatik bersama DRL, pemanas cermin sisi dan rim berukuran 16 inci untuk varian Dynamic Standard Range dan 17 inci untuk Premium Extended Range.
Di dalam, terdapat beberapa persamaan antara Box dan Dolphin di mana kedua-dua model menampilkan upholsteri kulit sintetik, kluster instrumen digital lima inci, skrin sentuh 12.8 inci dengan Apple CarPlay/Android Auto, enam pembesar suara dan pengecas tanpa wayar (50W untuk Box).
Bagaimanapun, Dolphin dilihat mempunyai kelebihan di sini kerana ia juga dilengkapi dengan pelarasan elektrik untuk tempat duduk depan dan bumbung suria panoramik.
Keselamatan
Untuk Box, hanya varian E3 dilengkapi dengan ADAS, manakala Dolphin mendapat sistem bantuan pemandu secara standard. Kedua-dua model mempunyai kamera 360 darjah.
Walau bagaimanapun, untuk sistem keselamatan pasif, Box agak mengecewakan kerana ia mempunyai dua beg udara sahaja, manakala Dolphin mempunyai enam.
Prestasi, jarak & pengecasan
Box dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menghasilkan 95 PS dan 160 Nm, membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 140 km/j.
Dolphin pula mempunyai 95 PS/180 Nm untuk varian Dynamic Standard Range dan 204 PS/310 Nm untuk Premium Extended Range.
Sejauh mana kedua-dua EV ini boleh dipandu? Box E2 yang dilengkapi dengan bateri 31.45 kWj menawarkan jarak pandu 330 km, manakala Box E3 dengan 42.3 kWj pula menawarkan jarak 430 km. Angka-angka ini adalah berdasarkan kitaran CLTC.
Box menyokong pengecasan AC (3.3 kW untuk E2, 6.6 kW untuk E3), serta pengecasan pantas DC yang boleh memulihkan kuasa bateri dari 30-80% dalam 30 minit.
Untuk Dolphin, varian Dynamic Standard Range dilengkapi dengan bateri LFP 44.92 kWj tang menawarkan jarak 340 km. Varian Premium Extended Range pula mempunyai bateri lebih besar dengan kapasiti 60.48 kWj yang membolehkan ia dipandu sejauh 427 km. Angka-angka ini adalah berdasarkan kitaran WLTP yang lebih realistik.
Model ini menyokong pengecasan AC 7 kW, manakala untuk pengecasan DC pula, kapasiti antara varian berbeza iaitu 60 kW untuk Dynamic Standard Range dan 80 kW untuk Premium Extended Range yang boleh melakukan pengecasan 30-80% dalam kurang 30 minit.
Harga
Jika anda sedang mencari EV mampu milik sebagai permulaan untuk menjejaki dunia EV, Box dan Dolphin adalah antara calon paling sesuai tetapi yang manakah yang lebih mesra poket?
Box dijual pada harga (OTR tidak termasuk insurans) bermula dari RM100,700 untuk E2 dan RM113,700 untuk E3. Ia didatangkan dengan waranti kenderaan selama lima tahun/150,000 km dan waranti bateri selama lapan tahun/150,000 km.
Sementara itu, harga Dolphin pula bermula dari RM100,530 untuk Dynamic Standard Range dan RM125,530 untuk Premium Extended Range.
Sime Darby Motors menawarkan waranti kenderaan selama enam tahun/150,000 km, waranti bateri selama lapan tahun/160,000 km dan waranti unit pacuan selama lapan tahun/150,000 km.
PHS Automotive Malaysia, pengedar rasmi kenderaan Audi di Malaysia, telah mengumumkan harga terkini untuk Audi Q5 Sportback.
Ditawarkan dalam varian S-Line TFSI 2.0 Quattro, Q5 Sportback kini dijual pada harga RM370,223.60 atas jalan tidak termasuk insurans. Ini menjadikannya RM145,000 lebih murah berbanding sebelum ini.
Untuk ketenangan minda, pelanggan boleh mendapatkan Audi Assurance Package yang menawarkan waranti tambahan selama tiga tahun (menjadikannya lima tahun/150,000 km) dan pakej servis selama tiga tahun/45,000 km. Semua kenderaan Audi didatangkan dengan pakej bantuan tepi jalan selama lima tahun.
Q5 Sportback tampil dengan enjin TFSI 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 249 PS dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan 370 Nm dari 1,600 hingga 4,500 rpm.
Dengan transmisi S tronic tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda Quattro, SUV ini mampu mencapai kadar penggunaan bahan api serendah 8.0 L/100 km.
Rekaan bahagian luaran Q5 Sportback diserlahkan dengan kit S-line yang memberikannya penampilan maskulin, gril Singleframe yang unik, lampu utama LED dengan pembasuh lampu, serta rim aloi berukuran 20 inci.
Masuk ke ruang kabin, anda akan menemui upholsteri kulit Nappa, sistem audio premium Bang & Olufsen dengan 19 pembesar suara dan amplifier 16 saluran, 12 tetapan elektrik untuk tempat duduk depan, sokongan lumbar dan fungsi memori untuk tempat duduk pemandu, serta sistem kawalan suhu tiga zon.
Sistem keselamatan dan bantuan pemandu pula terdiri daripada ciri-ciri seperti kawalan jelajah adaptif, amaran menukar lorong, bantuan menukar lorong, bantuan parkir dan kamera 360 darjah. Di belakang, terdapat ruang but sebesar 510 liter.
Untuk pasaran Malaysia, Q5 Sportback boleh didapati dalam enam warna iaitu hitam (Mythos Black), biru (Navarra Blue), putih (Glacier White), kelabu (Chronos Grey), kelabu (Daytona Grey) dan perak (Floret Silver).
SAIC Motor Malaysia telah mengumumkan harga rasmi bagi SUV yang dipertontonkan pada Ogos lalu iaitu MG HS.
Untuk pasaran Malaysia, MG HS akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Standard dan Lux, dengan harga masing-masing bermula dari RM129,900 dan RM145,900.
Ia didatangkan dengan waranti kenderaan selama lima tahun tanpa had perbatuan, dan waranti untuk rangkaian kuasa selama tujuh tahun tanpa had perbatuan.
Sempena ulang tahun MG yang ke-100, SAIC Motor Malaysia menawarkan diskaun pengenalan eksklusif sebanyak RM5,000.
Dari segi kelengkapan, HS tampil dengan lampu utama LED dengan DRL, lampu belakang LED, muncung ekzos berkembar, dan rim aloi 17 inci untuk varian Standard dan rim ‘Diamond Cut’ berukuran 18 inci untuk Lux.
Turut disertakan adalah sentuhan sporty berbentuk angkup brek merah, spoiler belakang, rel bumbung yang boleh menampung beban sehingga 50 kg dan mod pemanduan Super Sport.
Pelanggan boleh memilih daripada empat warna luaran iaitu Black Pearl, Arctic White, Camden Grey, dan Dynamic Red.
Di dalam, HS menampilkan upholsteri kulit berwarna hitam, panel instrumen digital 12.3 inci dan skrin infohibur 10.1 inci dengan kamera 360 darjah, Apple CarPlay, Android Auto dan sambungan pelbagai fungsi MG iSmart.
Di belakang, terdapat ruang kargo sebesar 463 liter yang boleh diperluaskan hingga 1,287 liter dengan membaringkan kerusi belakang. Ruang ini boleh diakses menerusi pintu tailgate berkuasa.
Memacu HS adalah enjin turbo 1.5-liter yang menghasilkan 162 PS pada 5,600 rpm dan 250 Nm dari 1,700 hingga 4,400 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan.
Bagi sistem keselamatan, HS dilengkapi dengan sistem Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) di bawah jenama MG Pilot.
Antara ciri utama termasuk Amaran Perlanggaran Depan (FCW), Brek Kecemasan Automatik (AEB) dengan pengesanan pejalan kaki dan basikal, Adaptive Cruise Control (ACC), Bantuan Kesesakan Lalu Lintas (TJA), serta Amaran dan Bantuan Lorong (LDW & LKA).
Ia juga dilengkapi dengan Blind Spot Detection (BSD), Lane Change Assist (LCA), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), dan Intelligent High Beam Assist.
Di Malaysia, jika bercakap tentang MPV mewah, suka atau tidak suka model-model yang akan terlintas di fikiran adalah Toyota Alphard dan Vellfire.
Sekali sekala, Mercedes-Benz Vito dan Lexus LM akan meniti di bibir mereka yang bercitarasa kayangan tetapi selain daripada itu, memang Alphard dan Vellfire sentiasa menjadi sebutan.
Tiada salahnya kerana penulis pasti kedua-dua model berkenaan memang hebat dan berbaloi untuk dibeli tetapi jika anda inginkan kelainan, pesaing terdekat mereka iaitu Kia Carnival memang berbaloi untuk dimiliki.
Kenapa?
Pertama sekali, saiz. Penulis berpendapat mereka yang membeli MPV biasanya meletakkan ‘saiz’ sebagai antara kriteria tertinggi sebelum membuat keputusan.
Oleh itu jika anda inginkan sebuah kenderaan yang cukup besar dan luas, dapatkan Carnival kerana ia sebenarnya lebih besar berbanding Alphard/Vellfire.
Sebagai perbandingan, Carnival mempunyai ukuran panjang 5,155 mm, lebar 1,995 mm, tinggi 1,740 mm dan jarak roda 3,090 mm.
Kembar Alphard/Vellfire pula berukuran panjang 5,010 mm (5,005 mm untuk Vellfire), lebar 1,850 mm, dan tinggi 1,950 mm, dengan jarak roda 3,000 mm.
Dari segi reka bentuk pula, Carnival membawakan rekaan lebih sporty yang nampak lebih seperti sebuah wagon panjang kerana badannya yang rendah dan lebar. Ini diserlahkan lagi dengan rim aloi 19 inci berwarna hitam, yang menggantikan rim 18 inci sebelum ini.
MPV-MPV Toyota itu pula tidaklah hodoh tetapi rekaan berkotaknya membuatkan kedua-duanya nampak sedikit konvensional jika diletakkan bersebelahan lawannya dari Korea itu.
Untuk ruang dalaman, penulis boleh katakan yang kualiti dan ciri-ciri yang ditawarkan oleh Carnival setanding dengan model-model Jepun itu walaupun hakikatnya perbezaan harga antara model-model ini mencecah hampir RM300,000!
Ya, harus diakui bahawa Alphard/Vellfire terasa lebih mewah sedikit memandangkan ia menampilkan sentuhan Lexus dan material lebih premium seperti balutan kulit Nappa, namun Carnival juga tidak kurang hebatnya.
Material yang membaluti tempat duduk, papan pemuka dan panel pintu dirasakan cukup berkualiti, begitu juga dengan segala butang fizikal yang ada.
Kelengkapan yang ada juga cukup banyak. Antaranya termasuk kluster instrumen digital 12.3 inci, skrin sentuh 12.3 inci, Apple CarPlay dan Android Auto, sistem pendingin hawa tiga zon, fungsi pemanas dan ventilasi tempat duduk pemandu dan penumpang depan, serta sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara.
Bukan itu sahaja, Carnival varian High juga mendapat sistem Blind Spot View Monitor (BVM) yang berfungsi untuk memaparkan paparan video dari kamera cermin sisi pada kluster instrumen digital. Ciri ini boleh diaktifkan dengan menggunakan lampu isyarat membelok.
Secara ringkasnya, penulis boleh katakan kualiti dan kelengkapan yang ditawarkan oleh Carnival berbaloi dengan harganya yang hampir mencecah RM250,000.
Unit yang penulis pandu uji baru-baru ini adalah varian 8 tempat duduk yang mempunyai konfigurasi 2-3-3. Kerusi tengah pada tempat duduk barisan kedua cukup besar untuk penumpang dewasa tetapi jika ia tidak digunakan, ia boleh dilipat menjadi meja kecil, lengkap dengan dua pemegang cawan.
Apa yang lebih menarik, kerusi itu juga boleh dipusingkan ke belakang bagi menghadap tempat duduk barisan ketiga atau ditanggalkan terus.
Bagi mana-mana MPV pun, tempat terbaik untuk duduk adalah di belakang sebagai penumpang. Sama sahaja dengan Carnival, di mana keselesaan penumpang terjamin dengan adanya kawalan pendingin hawa sendiri pada bahagian bumbung, penghadang cahaya matahari dan bumbung suria.
Tidak cukup dengan itu, anak-anak juga tidak perlu berebut port untuk mengecas gajet masing-masing kerana di dalam Carnival, setiap tempat duduk mempunyai port USB masing-masing.
Menjadi perkara lazim bagi mana-mana kenderaan tiga barisan tempat duduk mempunyai ruang kargo yang terhad apabila semua kerusi dinaikkan. Dengan Carnival, ini bukan satu masalah kerana di bawah tempat duduk barisan ketiga adalah ruang storan yang besar dan dalam.
Bagaimana dengan prestasi pemanduannya?
Carnival dikuasakan oleh enjin turbodiesel Smartstream 2.2-liter empat silinder yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang ditugaskan untuk menggerakkan roda depan.
Enjin ini menghasilkan 202 PS pada 3,800 rpm dan 440 Nm yang boleh diakses sepenuhnya seawal 1,750 rpm. Jika dibandingkan dengan enjin turbo 2.4-liter pada Alphard, kuasa kudanya lebih rendah namun jumlah torknya lebih tinggi sedikit sebanyak 10 Nm.
Seperti yang boleh dijangka dari enjin diesel, ketersediaan tork pada julat rpm rendah membuatkan Carnival terasa lancar sewaktu mula bergerak. Malah cara ia memecut langsung bukan seperti sebuah kenderaan dengan berat melebihi dua tan.
Ketika menyusuri lebuh raya, enjin terasa begitu senyap. Jika anda perlu memotong, jangan risau tentang kuasa kerana ia sentiasa terasa cukup walaupun dalam mod Normal.
Kotak gear agak responsif, bermakna anda boleh tekan pedal bila-bila masa sahaja dan ia akan segera menurunkan gear bagi memberikan hamburan kuasa yang diperlukan bagi membolehkan Carnival memotong dengan mudah.
Dengan penyelarasan harga diesel, mungkin ada di antara anda yang khuatir tentang kadar penggunaan bahan api Carnival.
Untuk pengetahuan anda, penulis mencatat penggunaan bahan api sekitar 15 km/l atau 6.7 l/100 km untuk pemanduan bercampur iaitu di bandar dan lebuh raya.
Carnival mempunyai tangki bahan api sebesar 72 liter, bermakna secara teorinya, penulis boleh memandu sejauh kira-kira 1,080 km sebelum perlu membuat pengisian semula.
Sekiranya anda membayar harga diesel tanpa subsidi iaitu RM3.35 seliter, anda perlu membelanjakan sebanyak RM241.20 untuk isian penuh. Adakah berbaloi membayar RM241.20 untuk jarak pemanduan melebihi 1,000 km? Terpulang kepada anda.
Akhir sekali, talaan suspensi dan NVH Carnival juga patut dipuji. Suspensinya agak lembut, bermakna anda boleh melalui permukaan tidak rata dengan yakin dan tanpa perlu menekan brek dengan terlalu kerap.
Walaupun begitu, ada sesuatu pada talaan suspensi yang membuatkan ia Carnival terasa cukup kukuh dan stabil pada kelajuan tinggi. Ini sebenarnya yang membuatkan MPV ini sedap untuk dilenjan.
Aspek NVH dijaga rapi dan sebagai penumpang, anda pastinya akan mengalami perjalanan yang selesa kerana bunyi angin dan tayar diminimumkan dengan cemerlang. Bunyi enjin diesel itu juga jarang kedengaran, kecuali jika anda berdiri di luar.
Konklusi?
Tidak banyak perkara yang penulis boleh katakan tentang Carnival kecuali ia cukup bagus, seronok untuk dipandu dan ada segalanya untuk memenuhi keperluan pembeli. Dan yang paling bagus, harganya yang kompetitif bermakna ia lebih mudah diakses oleh lebih ramai pembeli dalam segmen MPV.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan yang penyelarasan harga diesel mungkin membuatkan sesetengah pihak berfikir dua kali untuk mendapatkan kereta ini.
Tetapi bagi penulis, jika anda boleh berkira-kira untuk membeli sebuah MPV besar dengan harga melebihi RM200,000, anda sebenarnya sudah mampu untuk membayar bahan api tanpa subsidi.
Perodua Sales Sdn Bhd (Perodua Sales) baru-baru ini telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Petronas Dagangan Berhad (Petronas Dagangan) dan anak syarikat Gentari Sdn Bhd (Gentari) bagi meningkatkan pengalaman pelanggan melalui integrasi pelbagai perkhidmatan.
MoU pertama yang ditandatangani adalah antara Perodua Sales dan Petronas Lubricants Marketing Sdn Bhd (PLMMSB), Mesra Retail & Cafe Sdn Bhd (Mesra), dan Setel Ventures Sdn Bhd (Setel), di mana Perodua akan menyediakan akses perkhidmatan baharu di pusat servis buat para pelanggannya.
Ini termasuk integrasi ciri pembayaran digital Setel ke dalam aplikasi UFirst Perodua, penubuhan Mesra untuk kemudahan tambahan, serta pembukaan pusat servis Perodua di stesen-stesen Petronas terpilih.
“Perodua Sales dan PLMMSB telah bekerjasama lebih 20 tahun, dan kerjasama ini terbukti memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Kami akan terus mengembangkan kerjasama ini untuk memberi manfaat kepada pelanggan-pelanggan setia kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.
PLMMSB merupakan pembekal eksklusif minyak pelincir kenderaan kepada Perodua Sales sejak tahun 2004. Selari dengan peralihan negara ke arah mobiliti hijau, Perodua Sales dan PLMMSB akan bekerjasama untuk mengukuhkan komitmen terhadap amalan kelestarian.
Kerjasama dengan Gentari pula akan membolehkan syarikat itu menyediakan kemudahan pengecasan di pusat-pusat servis Perodua sebagai persediaan kepada pengenalan kenderaan elektrik (EV) Perodua akan datang dan menyokong pelanggannya dalam peralihan kepada EV.
“Secara keseluruhan, MoU ini akan melancarkan lagi kerjasama antara kedua-dua syarikat nasional untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggan kami,” kata Dato’ Sri Zainal Abidin.
Sementara itu, MoU kedua yang ditandatangani antara Perodua Sales dan Gentari melalui Gentari Green Mobility Sdn Bhd akan menyaksikan pemasangan kemudahan pengecasan di pusat-pusat servis Perodua sebagai persediaan kepada pengenalan kenderaan elektriknya (EV) seterusnya memudahkan para pelanggan mereka di dalam proses peralihan kepada EV.
Petronas mempunyai lebih daripada 1,000 stesen di seluruh negara, manakala Perodua mempunyai 194 pusat jualan dan 209 pusat servis di seluruh Malaysia. Dengan lebih daripada 175 titik pengecasan DC, Gentari kini mengendalikan rangkaian pengecasan arus terus (DC) berlesen terbesar di Malaysia.
Sambutan ulang tahun ke-30 BYD menjadi lebih bermakna apabila syarikat itu mengeluarkan kenderaan tenaga baharu (NEV) ke-10 juta di kilang pengeluaran Xiaomo, Shenzhen.
Menurut BYD, pencapaian ini adalah bukti komitmennya terhadap pembangunan mampan. Syarikat itu berkata mereka merupakan pengeluar kenderaan pertama di dunia yang mencapai angka berkenaan.
BYD mengambil masa 15 tahun untuk menghasilkan lima juta unit pertama dan mencapai lima juta lagi masa 15 bulan, menunjukkan tumpuan strategik syarikat pada NEV dan kemajuan teknologi berterusan.
Kenderaan yang ke-10 juta itu adalah sebuah Denza Z9 milik Feng Ji, pengasas dan ketua pegawai eksekutif Game Science, syarikat yang bertanggungjawab menghasilkan permainan video Black Myth: Wukong.
Z9 ditawarkan dalam versi shooting brake (digelar sebagai GT) dan sedan, dengan pilihan trenkuasa PHEV atau EV. Versi PHEV menggabungkan enjin 2.0-liter empat silinder dan tiga motor elektrik untuk menghasilkan 870 PS.
Versi EV pula mempunyai 965 PS yang dibekalkan oleh tiga motor elektrik, serta bateri berkapasiti 100 kWj yang memberikan jarak pandu sekitar 630 km.
Berkenaan perancangan untuk masa depan, BYD berkata mereka akan membuat pelaburan bernilai 100 bilion yuan (RM62 bilion) dalam pembangunan teknologi pintar yang mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) ke dalam sistem automotif.
Sime Darby Berhad (Sime) telah melancarkan pembaharuan jenamanya, menandakan mercu jaya penting dalam proses transformasinya.
Perubahan identiti kepada “Sime” mencerminkan wawasan masa depan dan tumpuan strategik baharu kumpulan sebagai kuasa besar terkhusus dalam segmen automotif dan peralatan perindustrian.
Evolusi ini sejajar dengan matlamat baharu kumpulan untuk menampilkan produk dan penyelesaian terbaik dalam menggerak dan memajukan Asia Pasifik.
Seiring dengan itu, Sime juga memperkenalkan cogan kata baharu “Bridging Opportunities” (Merintis Peluang), yang menekankan peranan utamanya iaitu memacu pertumbuhan dan menjana nilai lestari meliputi pasaran-pasaran paling dinamik di rantau ini.
Dato’ Jeffri Salim Davidson, Ketua Pegawai Eksekutif Sime, berkata,”Selama lebih 100 tahun kami beroperasi, kami terus menyesuaikan diri mengikut perkembangan dinamik pasaran yang berubah, dan evolusi jenama kami kali ini membuktikan ketangkasan dan daya tahan kami. Kami amat teruja dengan prospek cerah di Asia Pasifik, serta potensi pertumbuhan yang luas. Transformasi ini membolehkan Sime memenuhi keperluan pihak-pihak berkepentingan sambil menampilkan identiti yang lebih tersendiri di pasaran.
“Identiti baharu kami memenuhi matlamat untuk membawakan produk dan penyelesaian terbaik bagi membolehkan Asia Pasifik untuk bergerak dan berkembang maju. Malah ia juga menyerlahkan personaliti kami sebagai sebuah jenama.
“Sebagai rakan kerjasama yang diyakini dan didukung oleh kepercayaan yang dibina menjangkau lebih berabad lamanya, kami menggabungkan pengetahuan mendalam tentang pasaran dengan penyelesaian inovatif. Pendekatan kami yang sentiasa prihatin memastikan kami terus memenuhi keperluan insan, masyarakat tempatan dan alam sekitar, sambil bekerjasama dengan rakan-rakan niaga kami untuk memacu pertumbuhan lestari demi kejayaan bersama,” kata Dato’ Jeffri.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1910, Sime terus berkembang maju. Beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan telah menumpukan perhatian terhadap perniagaan teras dalam bidang peralatan perindustrian dan automatif, dengan menyelaraskan portfolio menerusi pelupusan pelaburan secara strategik.
Kini, dengan sokongan lebih daripada 30,000 kakitangan yang berdedikasi meliputi 18 negara dan wilayah, Sime menjadi peneraju industri, yang sedia merebut peluang baharu sambil memanfaatkan daya tahan yang dibina dan semangat keusahawanan.
“Identiti visual serba baharu ini mencerminkan perjalanan transformasi kami, dengan reka bentuk moden yang mengangkat warisan kecemerlangan Sime sambil mengetengahkan estetika reka bentuk yang menyerlah dan bertumpukan masa depan.
“Tanda jenama baharu melambangkan daya pergerakan dan inovasi, memperlihatkan peranan syarikat sebagai pemangkin kemajuan di seluruh rantau Asia Pasifik. Penjenamaan semula ini memaparkan identiti kami pada masa kini dan mendukung cita-cita tinggi kami untuk masa depan.
“Dengan memanfaatkan warisan kami selama seabad dan komitmen tidak berbelah bahagi kepada kecemerlangan, kami akan terus menghubungkan peluang untuk mempelopori inovasi dan menjana nilai bagi pihak-pihak berkepentingan,” tambah Dato’ Jeffri.
Identiti baharu jenama akan diperkenalkan secara beransur-ansur di semua operasi dan titik perhubungan Sime pada bulan-bulan akan datang.
Dinamikjaya Motors (DJM), pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia, mengesahkan bahawa Kia Sportage generasi kelima akan membuat kemunculan sulungnya pada Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 pada Disember ini.
Menurut syarikat itu, SUV segmen C itu dipasang secara tempatan (CKD) di Kulim, Kedah. Tempahan juga telah dibuka di semua wakil pengedar sah Kia di seluruh negara, namun harga masih belum diumumkan.
Seperti yang boleh dilihat, Sportage yang akan dilancarkan ini adalah versi pra-facelift dan bukannya versi facelift yang diperkenalkan baru-baru ini.
Dalam satu FAQ, DJM berkata buat masa ini Sportage facelift hanya dijual di Korea Selatan namun SUV itu dijangka tiba ke pasaran tempatan dalam masa dua tahun lagi.
Sportage akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu enjin Smartstream 2.0-liter (156 hp/192 Nm) yang dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan, dan enjin Gamma II 1.5-liter turbo (177 hp/265 Nm) bersama DCT tujuh kelajuan.
Dari segi kelengkapan, model ini akan didatangkan dengan kluster instrumen digital 12.3 inci, Apple CarPlay dan Android Auto, serta pencahayaan ambien, sistem pendingin hawa dua zon dan sistem audio Harman Kardon untuk varian-varian lebih tinggi.
Sistem keselamatan pula merangkumi Forward-Collision Avoidance Assist (FCA), Lane Keeping Assist (LKA), Blind-Spot Collision-Avoidance (BCA), Rear Cross-Traffic Collision Avoidance (RCCA) dan pelbagai lagi.
Akhir sekali, DJM akan menawarkan waranti selama lima tahun dan pakej servis percuma selama lima tahun.
Boon Siew Honda baru-baru ini merasmikan pembukaan pusat pengedaran Honda BigWing Melaka.
Menurut syarikat itu, ini merupakan cawangan BigWing yang keenam di Malaysia sejak ia dilancarkan buat pertama kali pada 2018.
BigWing merupakan cawangan pengedar yang mengkhususkan model-model berkapasiti tinggi daripada Honda. Antara model yang ditawarkan termasuk GL1800, XL750, CB750, CBR250RR, CB350RS, ADV350 dan NSS250.
Dengan konsep ‘destinasi untuk penunggang’, Honda BigWing Melaka menampilkan ruang pameran yang luas, ruang istirahat pelanggan, sudut barangan serta tidak dilupakan pusat servis yang serba lengkap.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Mitsuharu Funase berkata, “Pembukaan Honda BigWing Melaka menandakan dedikasi kami untuk memenuhi keperluan komuniti motosikal besar Malaysia.”
Kami yakin lokasi baharu ini akan menjadi tempat di mana penunggang Honda boleh mengukuhkan ikatan mereka dan mengalami intipati sebenar semangat Honda.”
Goh Mang Phooh, Pengarah M.P. Goh Motor Sdn Bhd pula berkata, “Honda BigWing Melaka akan memberikan pengalaman yang tiada tandingan, mengukuhkan kedudukan Boon Siew Honda sebagai peneraju dalam industri motosikal besar di Malaysia. Kami tidak sabar untuk mengalu-alukan penunggang ke lokasi baharu ini.”
Honda BigWing Melaka terletak di No. 1-3, Jalan Kerambit 2, Bandar Baru Sungai Udang, Sungai Udang, Melaka. Ia dibuka dari Isnin hingga Sabtu dari jam 9.00 pagi hingga 6.30 petang, dan Ahad dari 10.00 pagi hingga 5.00 petang.
Kerajaan berkata insentif untuk pembangunan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik (EV) akan diteruskan walaupun perkara itu tidak dinyatakan secara khusus di dalam Belanjawan 2025.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), antara insentif yang diberikan ialah program Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) di mana pengendali tapak pengecasan (CPO) yang memenuhi kriteria galakan cukai boleh mendapat pengecualian cukai dalam bentuk Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100% selama lima tahun.
Katanya, elaun ini boleh digunakan untuk ditolak sehingga 100% daripada pendapatan berkanun bagi setiap tahun taksiran cukai.
“Di samping itu, insentif dalam bentuk pengecualian cukai pendapatan juga sedang ditawarkan kepada syarikat pengeluar peralatan pengecasan EV iaitu dalam bentuk pengecualian sepenuhnya cukai pendapatan ke atas pendapatan berkanun mulai tahun taksiran 2023 sehingga tahun taksiran 2032,” kata MITI.
Kementerian itu berkata demikian dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen pada Isnin bagi menjawab soalan yang dikemukakan Tan Kok Wai (PH-Cheras) berhubung bentuk peruntukan khusus untuk pembangunan infrastruktur pengecas EV dalam Belanjawan semasa.
MITI juga berkata kerajaan menjangkakan jumlah terkumpul kenderaan jenis elektrifikasi (xEV) di atas jalan raya akan mencecah sekurang-kurangnya 400,000 unit kenderaan penumpang dan perdagangan dalam tahun 2030.
Setakat 30 September, kadar jumlah jualan tahunan bagi kenderaan merangkumi hibrid, hibrid plug in, kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) dan kenderaan elektrik sel bahan bakar (FCEV) ialah 33,319 unit manakala bagi keseluruhan tahun 2023, kadarnya ialah 4.12% atau 35,723 unit.
Dalam pada itu, dalam menyokong pembangunan petak pengecasan EV (EVCB), kementerian berkata anak syarikat Petronas iaitu Gentari dan Tenaga Nasional Bhd juga telah memberi komitmen pelaburan dan membelanjakan kira-kira RM76 juta sehingga Jun 2024.
Melalui penglibatan kedua-dua syarikat ini dengan suntikan dana yang besar, lebih banyak EVCB dapat dibina di seluruh Malaysia yang turut disokong oleh CPO lain yang turut menyediakan perkhidmatan pengecas EV kepada pengguna awam.
“Perkembangan yang positif ini membantu meningkatkan keyakinan peminat EV untuk membeli dan menggunakan kenderaan jenis ini,” menurut MITI.
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), dengan kerjasama rakan pengedar Auto Pacifica Sdn Bhd, telah melancarkan pusat 4S kedua Mitsubishi di Sarawak.
Dengan pembukaan kemudahan terbaharu ini, MMM kini mempunyai lapan pusat 4S di seluruh negara.
Beralamat di Lot 4168, Block 24, Jalan Datuk Mohd Musa, Kota Samarahan, pusat 4S ini terletak secara strategik di sepanjang jalan yang menghubungkan Kota Samarahan dan Kuching, memberikan akses mudah kepada pelanggan di kawasan sekitar.
Pusat yang berkeluasan 21,700 kaki persegi ini menampilkan identiti korporat Mitsubishi Motors yang selari dengan mesej global jenama iaitu ‘Drive Your Ambition’.
Ia juga mempunyai pelbagai kemudahan seperti pusat servis, pusat cat dan badan, ruang rehat lengkap dengan Wi-Fi, serta ruang bermain-kanak.
“Pembukaan bilik pameran baharu di Kota Samarahan ini merupakan satu langkah strategik ke arah mencapai lokasi yang belum diterokai dan meluaskan perkhidmatan kami,” kata Shinya Ikeda, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.
Tambah Ikeda lagi, Auto Pacifica telah menjadi rakan kongsi Mitsubishi yang dipercayai sejak 2009, dan ini
merupakan cawangan ketiga syarikat itu di Bumi Kenyalang.
“Dengan bilik pameran moden dan kelengkapan servis yang canggih, kami yakin bahawa pelanggan Mitsubishi di Kota Samarahan akan menerima perkhidmatan dan sokongan luar biasa,” katanya lagi.
Dengan rekaan yang agresif serta ekzos yang mampu mengeluarkan bunyi ‘letup-letup’, Hyundai Elantra N sebenarnya sudah cukup menonjol walaupun dalam versi standard.
Namun mungkin kerana merasakan sedan berprestasi tinggi ini masih mempunyai potensi untuk dipertingkatkan, Hyundai telah memperkenalkan model edisi istimewa yang dikenali sebagai Elantra N TCR Edition.
Diinspirasikan daripada kereta lumba yang bertanding dalam kejohanan TCR World Tour, Elantra N TCR Edition tampil dengan beberapa penambahbaikan.
Sudah tentu, penambahan yang paling ketara di sini adalah spoiler jenis leher angsa (swan neck) yang diperbuat daripada karbon yang boleh dilaraskan untuk pelbagai kondisi pemanduan.
Tidak cukup dengan itu, Elantra N TCR Edition mendapat rim tempaan 19 inci yang lebih ringan berbanding rim standard. Tersembunyi di sebalik rim ini adalah sistem brek N Performance dengan angkup empat piston.
Entah apa sebabnya, livery TCR Edition berwarna biru, merah dan putih, dengan huruf ‘N’ bersaiz besar ini hanya ditawarkan untuk pasaran Korea Selatan.
Ruang dalaman pula menampilkan stereng yang dibalut Alcantara dengan penanda pukul 12 berwarna Performance Blue pada stereng, tali pinggang keledar berwarna Performance Blue dan lencana eksklusif TCR Edition.
Sayangnya, enjin tidak disentuh bermakna seperti versi standard, Elantra N TCR Edition mempunyai 280 PS dan 392 Nm yang dibekalkan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder.
Elantra N ditawarkan dengan dua jenis transmisi iaitu automatik klac berkembar (DCT) lapan kelajuan dan transmisi manual. Gambar-gambar rasmi yang disiarkan oleh Hyundai menunjukkan versi DCT, namun tidak dapat dipastikan jika kereta ini juga boleh didapati dalam versi manual.
Elantra N TCR Edition akan dilancarkan di Korea Selatan pada Disember dan akan disusuli dengan pasaran global bermula tahun depan.
Kereta mempunyai banyak ruang-ruang kecil dan sempit yang boleh dijadikan sebagai tempat berlindung oleh pelbagai jenis makhluk yang tak diundang.
Perkara ini sering terjadi kepada pemilik kereta tetapi dalam kebanyakan kes, mereka tidak akan mengetahuinya sehinggalah bau busuk memenuhi kereta mereka.
Inilah yang berlaku kepada seorang wanita di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini. Dalam satu video TikTok yang dimuat naik oleh Baihaki Automotive, dikatakan seorang wanita telah datang ke bengkel mereka untuk mencari punca bau busuk di dalam keretanya.
Menurut video itu, bau itu sangat meloyakan sehinggakan salah seorang pekerja bengkel itu hampir pitam.
Namun itu tidak menghalang mereka untuk terus mencari punca bau tersebut. Setelah dua hari meleraikan kereta itu, sumber sebenar aroma yang tidak menyelerakan itu akhirnya berjaya ditemukan.
Rupanya terdapat sekeluarga tupai yang selesa bersarang di dalam rangka sebelah kiri kereta itu. Mereka perlu menggunakan kamera borescope untuk melihat keadaan di dalam.
Menurut Baihaki Automotive, punca sebenar bau busuk itu adalah daripada bangkai tupai yang terbiar di dalam ruang itu.
Kejadian seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, terutamanya mereka yang meletakkan kereta mereka di luar pagar kediaman.
Beberapa langkah boleh diambil untuk mengelakkan peristiwa seperti ini daripada berlaku. Antaranya adalah dengan meletakkan kereta di dalam garaj, menutup tingkap dan memastikan tidak ada sebarang sampah atau makanan di dalam kereta.
Honda bukanlah jenama pertama yang terlintas di fikiran apabila bercakap tentang off-road namun syarikat itu berharap dapat mengubahnya dengan Passport generasi keempat baharu.
Seperti model-model generasi terdahulu, Passport hanya akan dijual di pasaran Amerika Utara. Untuk model tahun 2026, ia akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu RTL, TrailSport dan TrailSport Elite, dengan harga jualan bermula dari pertengahan $40,000 (RM178,708).
Setiap varian diberikan penampilan berbeza. RTL menampilkan trim dan gril berwarna hitam, spoiler bumbung dan skid plate perak pada bahagian depan. Ia memakai rim 18 inci dalam warna Shark Grey dan tayar all-season berukuran 265/60 R18.
TrailSport dan TrailSport Elite pula boleh dibezakan menerusi penampilan lebih rugged dan kelengkapan off-road seperti cangkuk tunda berwarna oren, skid plate keluli yang lebih tebal dan tayar all-terrain General Grabber dalam saiz 275/60 R18.
Jika dibandingkan dengan model generasi ketiga, Passport baharu mempunyai jarak roda yang lebih panjang (+2.75 inci) untuk pemanduan yang lebih selesa, serta track yang lebih lebar (+1.3 inci di depan, +1.5 inci di belakang) untuk prestasi lebih stabil di selekoh.
Apa yang menarik, terdapat kemasan hitam matte pada bahagian belakang yang membolehkan pemilik menyandarkan segala jenis barang tanpa perlu risau tentang calar atau kerosakan.
Untuk ruang dalaman, Honda berkata ia sedia untuk rutin harian atau pun aktiviti kembara hujung minggu. RTL didatangkan dengan upholsteri kulit, manakala varian-varian TrailSport mendapat upholsteri kulit sintetik yang mudah untuk dibersihkan.
Syarikat itu berkata Passport 2026 mempunyai ruang kargo terbesar dalam sejarah model itu, dengan ruang sebesar 83.5 kaki padu di belakang tempat duduk barisan pertama dan 44 kaki padu di belakang barisan kedua.
Ruang kargo juga lebih luas dan boleh memuatkan beg golf bersaiz penuh, stroller besar atau dua buah basikal (tayar depan dicabut) jika tempat duduk belakang dibaringkan sepenuhnya.
Dari segi kelengkapan, terdapat panel instrumen digital 10.2 inci dan skrin sentuh 12.3 inci (54% lebih besar berbanding sebelum ini) yang menawarkan sistem Google, serta Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Passport dikuasakan oleh enjin 3.5 liter V6 yang menghasilkan 285 hp dan 355 Nm, mewakili peningkatan kuasa sebanyak 5 hp. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik 10 kelajuan baharu yang ditala khas untuk Passport.
Selain itu, SUV ini juga mendapat sistem pemvektoran tork i-VTM4 generasi kedua yang boleh menampung 40% lebih kapasiti tork dan mempunyai tindak balas 30% lebih cepat. Ini memberikan tahap cengkaman yang optimum dalam semua senario pemanduan.
Turut dipertingkatkan adalah sistem suspensi, yang kini mempunyai lengan keluli dan knuckle besi tuang yang lebih kuat, serta topang MacPherson dan multilink baharu untuk pemanduan yang lebih meyakinkan. Nisbah stereng ditala semula untuk pengendalian yang lebih responsif.
Musim hujan tiba lagi dan melihat kepada kekerapan hujan yang turun sejak beberapa hari kebelakangan ini, sudah tentunya jalan raya sentiasa basah dan licin.
Bukan itu sahaja, kehadiran lopak-lopak air pada permukaan jalan boleh menyebebkan terjadinya fenomena yang dikenali hydroplaning jika anda tidak berhati-hati.
Sekiranya anda menjadi mangsa hydroplaning, kemungkinan untuk berlaku kemalangan sangat tinggi memandangkan anda akan hilang kawalan ke atas kenderaan anda.
Oleh itu, dalam artikel ini, kami akan membincangkan cara-cara untuk mengelakkan hydroplaning dan apa yang anda perlu lakukan sekiranya ia terjadi kepada anda.
Namun sebelum itu, fahami dulu apa itu hydroplaning. Juga dikenali sebagai aquaplaning, ia merupakan keadaan di mana tayar kehilangan sentuhan dengan permukaan jalan apabila melalui jalan yang basah.
Keadaan ini berlaku apabila tayar tidak dapat menyingkirkan air dengan cepat, menyebabkan air masuk di antara permukaan tayar dan jalan.
Ini akan menyebabkan tayar tidak dapat mencengkam jalan dengan baik dan anda pula tidak lagi boleh mengawal kenderaan anda.
Bagaimanakah hydroplaning dapat dielakkan?
Pertama sekali, pastikan tayar kenderaan anda berada dalam keadaan yang baik sebelum memulakan pemanduan. Bunga tayar yang dalam dapat mengeluarkan air dengan lebih berkesan jadi jika tayar sudah botak, kemungkinan untuk berlaku hydroplaning menjadi lebih tinggi.
Pastikan juga anda sentiasa menukar kedudukan (rotate) tayar anda agar bagi memastikan ia haus secara sekata.
Jangan lupa untuk periksa juga tekanan angin tayar anda. Tekanan angin yang terlalu tinggi akan menyebabkan permukaan sentuhan menjadi semakin kecil dan ini sudah tentu akan meningkatkan risiko hydroplaning.
Selain itu, anda boleh terus mengurangkan risiko dengan memandu lebih perlahan ketika hujan. Jika boleh, elakkan daripada melalui lopak air.
Tetapi bak kata pepatah, malang tidak berbau. Sekiranya berlaku hydroplaning ketika memandu, perkara pertama dan terbaik yang anda boleh lakukan adalah bertenang dan jangan panik.
Seterusnya, lepaskan kaki dari pedal pendikit bagi membolehkan kenderaan berhenti secara perlahan-lahan. Jangan tekan pedal brek kerana ia boleh memburukkan lagi kenderaan.
Akhir sekali, cuba kawal arah pergerakan kereta dengan memusingkan stereng secara perlahan-lahan. Jangan pusing stereng dengan agresif kerana boleh menyebabkan kereta berpusing.
Pengedar rasmi jenama Nissan iaitu Edaran Tan Chong Motor (ETCM) agak senyap sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Model serba baharu terakhir yang dilancarkan oleh syarikat itu adalah Almera sekitar penghujung 2020. Selepas itu, Nissan seolah-olah hilang dari radar.
Usah ditanya apa yang terjadi sepanjang tempoh itu kerana apa yang lebih penting adalah untuk terus melihat ke depan.
Ini kerana ETCM nampaknya masih belum berputus asa dan sebagai ‘penjaga’ jenama Nissan di Malaysia sejak lebih 60 tahun lalu, syarikat itu bertekad bahawa mereka akan terus berada di sini.
Langkah pertama dalam usaha untuk bangkit semula ini adalah dengan membawa masuk crossover segmen B yang diperkatakan sejak dahulu lagi iaitu Nissan Kicks e-Power.
Kicks e-Power untuk pasaran Malaysia akan diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand. Ini bermakna kita akan mendapat model generasi pertama versi facelift yang sebenarnya telah dilancarkan di negara itu empat tahun lalu.
Ya, kereta yang anda lihat ini bukanlah produk yang paling segar di pasaran namun sekurang-kurangnya bagi jenama Nissan, ia menawarkan sesuatu yang baharu iaitu trenkuasa e-Power.
Lebih menarik lagi, model facelift ini dilengkapi dengan sistem e-Power generasi kedua yang telah dipertingkatkan.
Namun sebelum penulis ulas lebih lanjut tentang e-Power, berapa besar saiz Kicks sebenarnya? Ia mempunyai ukuran panjang 4,290 mm, lebar 1,760 mm dan tinggi 1,605 mm, hampir 100 mm lebih pendek berbanding Honda HR-V.
Dari segi reka bentuk, ada yang mengatakan ia tampak seperti Nissan X-Trail versi mini namun apa-apa pun, penulis merasakan Kicks nampak sudah agak ‘berusia’ walaupun belum lagi dilancarkan ke pasaran.
Jangan salah sangka, penampilannya bukan tidak menarik tetapi ia tidak mempunyai sebarang elemen yang boleh membuatkannya kelihatan lebih menonjol di bilik pameran.
Namun seperti yang anda sedia maklum, penampilan, reka bentuk dan hal-hal yang sewaktu dengannya adalah subjektif. Tidak semua mahukan kereta yang terlampau flashy – ada yang lebih gemar tampil lebih kasual dan bersahaja.
Ruang dalaman Kicks tampil kemas dan ringkas tetapi seperti bahagian luarannya, ia sudah mula menampakkan usianya.
Ini kerana susun aturnya boleh dikatakan 95% hampir sama dengan ruang kabin Almera cuma Kicks mempunyai tombol gear yang nampak lebih canggih tetapi terasa agak janggal digunakan.
Antara kelengkapan yang diberikan secara standard termasuk kerusi Zero Gravity, skrin sentuh lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, paparan meter TFT tujuh inci, tiga port USB dan pelarasan manual tempat duduk pemandu dan penumpang depan.
Varian tertinggi iaitu VLT mendapat sentuhan premium dalam bentuk upholsteri kulit dua tona yang membaluti tempat duduk dan papan pemuka.
Namun masih ada sudut-sudut tertentu yang membuatkan Kicks nampak dan rasa murah. Salah satunya adalah kemasan plastik keras pada panel pintu. Rekaan suis kawalan pendingin hawa juga perlukan kemaskini segera.
Walaupun ukuran jarak rodanya 5 mm lebih panjang berbanding HR-V, ruang dalaman Kicks, terutamanya untuk penumpang belakang, dirasakan sedikit sempit. Ini diburukkan lagi dengan tempat duduk yang agak tegak.
Namun ruang butnya agak besar, dengan kapasiti mencecah 423 liter. Menurut Nissan, ia mampu memuatkan dua buah beg golf bersaiz standard, sebuah bagasi besar dan sebuah bagasi sederhana.
Kicks mungkin tiba agak lewat ke pasaran namun seperti yang penulis katakan, ia membawakan sesuatu yang mungkin dapat menarik minat pembeli iaitu trenkuasa e-Power.
Apakah itu e-Power?
Nissan berkeras untuk tidak memanggilnya hibrid namun trenkuasa ini menggabungkan enjin pembakaran dalaman (ICE), motor elektrik dan bateri. Jadi secara teknikalnya, ia sebuah hibrid.
Namun tidak seperti sistem hibrid konvensional, enjin ICE di dalam sistem e-Power tidak menggerakkan tayar. Tugasnya adalah untuk mengecas bateri berkapasiti 2.1 kWj itu. Tayar dipacu oleh motor elektrik yang mendapat kuasanya daripada bateri tersebut.
Dalam erti kata lain, tayar digerakkan 100% oleh motor elektrik, memberikan feel pemanduan yang seakan-akan kenderaan elektrik. Namun ini lebih baik kerana anda tidak perlu risau tentang pengecasan.
Bagaimana dengan prestasinya dalam dunia sebenar?
Sebaik sahaja pedal pendikit ditekan, penulis boleh rasakan kuasa pecutan yang lancar tanpa deruman enjin yang sudah biasa didengari pada kereta-kereta ICE.
Seperti sebuah EV sebenar, trenkuasa ini memberikan pendikit yang responsif dan tujahan tork segera, memudahkan penulis memotong kenderaan-kenderaan lain walaupun dengan ruang agak terhad.
Namun jangan terlalu berharap kerana kuasa pecutannya tidaklah seperti EV berprestasi tinggi. Kicks e-Power hanya mempunyai 129 PS dan 280 Nm – tidak tinggi tetapi bagi penulis sudah cukup untuk memenuhi keperluan pengguna dalam segmen ini.
Kicks e-Power mempunyai tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport. Berdasarkan pengalaman penulis, mod Normal sudah cukup bagus untuk pemanduan biasa namun jika anda perlukan lebih kuasa, mod Sport cukup berguna.
Satu lagi kelebihan e-Power adalah sistem pemanduan pedal tunggal iaitu e-Pedal Step. Sistem ini diaktifkan dalam mod Eco dan Sport sahaja, di mana daya brek janaan semula (regenerative braking) lebih tinggi bagi membolehkan pemandu memperlahankan kenderaan tanpa perlu menekan pedal brek.
Bukan itu sahaja, dengan daya brek janaan semula yang lebih tinggi, bateri juga akan dicas dengan lebih cepat. Dengan bateri penuh, anda boleh mengatifkan mod EV di mana kereta boleh bergerak dengan kuasa elektrik sejauh 2.5 km pada kelajuan 40 km/j, dengan enjin dimatikan.
Selain pemanduan yang lancar, Kicks juga seronok untuk dipandu terutamanya di jalan-jalan berliku. Entah apa resepi yang digunakan oleh jurutera Nissan untuk menala sistem suspensi namun crossover ini terbukti begitu cekap apabila berhadapan dengan selekoh-selekoh tajam.
Aspek NVH juga sangat memuaskan. Bergerak pada kelajuan yang agak tinggi, bunyi angin dan tayar dapat dihalang dengan baik. Cuma kadang-kala bunyi enjin bekerja keras mengecas bateri ketika pedal ditekan dengan agresif akan didengari.
Konklusi
Sama ada model ini mampu membantu ETCM bangkit semula atau tidak, masih sukar untuk dikatakan namun dengan Kicks, syarikat itu mempunyai produk yang cukup mantap walaupun sudah sedikit berusia.
Penulis percaya, dengan menguar-uarkan kelebihan e-Power dan strategi harga yang berkesan, ETCM mungkin mempunyai peluang untuk mendapatkan semula tempatnya di hati pembeli.