All posts by Amirul Mukminin

BMW iX dikemaskini – varian xDrive50 Sport dan M60, harga dari RM466k

BMW Malaysia hari ini mengumumkan kemaskini untuk BMW iX bagi model tahun 2024.

Mulai sekarang, SUV elektrik sepenuhnya itu akan ditawarkan dalam dua varian sahaja iaitu xDrive50 Sport dan M60. Ini bermakna varian xDrive40 dan xDrive40 Sport telah digugurkan.

Menerusi kemaskini ini, iX xDrive50 Sport mendapat ciri AC Charging Professional yang menawarkan kapasiti pengecasan 22 kW yang lebih pantas.

AC Charging Professional membolehkan bateri iX xDrive50 Sport dicas dari 0 hingga 100% dalam masa kurang 5 jam 30 minit, sama seperti iX M60 yang memang sudah didatangkan dengan ciri tersebut.

Di samping itu, kedua-dua varian berkenaan mempunyai fungsi pengecasan pantas sehingga 195 kW yang boleh melakukan pengecasan 0-80% dalam hanya 35 minit.

Selain pengecasan lebih pantas, varian xDrive50 Sport juga mendapat sistem suspensi udara untuk pemanduan yang lebih selesa dan lancar. Turut disertakan secara standard adalah BMW Iconic Sounds Electric.

Tiada perubahan dari segi prestasi dan jarak pandu. iX xDrive50 Sport yang mempunyai 523 hp/765 Nm dari motor elektrik berkembar boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.6 saat. Jarak pandu berdasarkan kitaran WLTP adalah 630 km.

Sementara itu, iX M60 juga mempunyai motor elektrik berkembar namun dengan kuasa yang lebih tinggi iaitu 619 hp/1,015 Nm (1,100 Nm dengan Launch Control). Ia memerlukan 3.8 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j dan boleh dipandu sejauh 561 km dengan satu cas penuh.

Ruang kabin iX kini menampilkan Live Cockpit Professional yang dikuasakan oleh BMW Operating System 8.5, kluster instrumen berukuran 12.3 inci dan skrin sentral 14.9 inci, set kerusi multifungsi, pengecasan tanpa wayar, dan penyaman udara automatik empat zon.

Bagaimanapun, sistem audio Bower & Wilkins Diamond dengan 30 pembesar suara yang sebelum ini terdapat pada M60 nampaknya telah digantikan dengan sistem audio Harman Kardon yang membawakan 18 pembesar suara sahaja.

Satu lagi ciri yang disertakan secara standard bersama kemaskini ini adalah ciri Comfort Access yang kini menampilkan BMW Digital Key Plus. Kunci digital ini boleh dikongsi dengan lima peranti bagi memudahkan lagi pengalaman pemilikan.

Untuk pilihan warna, iX boleh didapati dalam warna Alpine White, Mineral White Metallic, Black Sapphire Metallic, Sophisto Grey Metallic dengan Brilliant Effect, Phytonic Blue Metallic, Oxide Grey Metallic dan Blue Ridge Mountain Metallic.

Dengan tambahan RM6,200, pelanggan boleh mendapatkan warna Aventurine Red Metallic dan Individual Storm Bay Metallic.

Untuk ruang dalaman pula, BMW Malaysia menawarkan upholsteri Interior Design Atelier dalam warna Mocha atau Black secara standard. Dua lagi warna iaitu Amido dan Castanea boleh didapati dengan bayaran tambahan sebanyak RM17,300.

Harga jualan bermula dari RM465,800 untuk varian xDrive50 Sport dan RM579,800 untuk M60. Pakej waranti lanjutan selama lima tahun dan servis ditawarkan pada harga RM33,200.

Taktik menyamar JPJ berhasil, 24 pemandu bas ekspres disaman

SERAMAI 24 pemandu bas ekspres dikenakan saman dalam Ops Penyamaran yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sempena sambutan Tahun Baru Cina dari 1 Februari lalu.

Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, sepanjang ops itu berlangsung, pihaknya mengesan pemandu bas ekspres itu melakukan 64 kesalahan.

Beliau berkata, antara kesalahan dilakukan termasuk memandu di lorong kanan (12 saman) dan tiada pemandu kedua atau memandu secara berterusan bagi perjalanan melebihi 300 km atau perjalanan selama empat jam secara berterusan (tujuh saman).

“Selain itu, kesalahan pemandu yang merokok (dua saman), tidak selenggara buku log (sembilan saman), abai isyarat lalu lintas (tujuh sama) dan lain-lain kesalahan (27 saman),” katanya.

Tambah Hanif lagi, menerusi operasi setiap kali musim perayaan, anggota jabatan itu akan menyamar sebagai penumpang bas bagi perjalanan ke seluruh negara untuk mengambil tindakan terhadap pemandu bas eskpres yang meletakkan nyawa penumpang di hujung tanduk.

“Teknik penyamaran sebagai penumpang bas dilihat sangat efektif dalam mengesan kesalahan yang dilakukan pemandu, selain menasihati mereka tidak mengabaikan keselamatan penumpang, namun masih ada yang berdegil.

“Setiap peraturan yang ditetapkan bertujuan untuk menjaga keselamatan penumpang dan pemandu itu sendiri termasuk penggun jalan raya lain. Pengabaian peraturan ini merisikokam nyawa penumpang,” katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pemandu dan pemilik bas yang tidak mematuhi peraturan Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Kaedah-kaedah di bawahnya dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Volvo P1800 Cyan GT adalah jentera grand tourer untuk abah-abah

PADA 2020, Cyan Racing memperkenalkan Volvo P1800 Cyan sebagai interpretasi moden kepada model P1800 yang popular pada era 60-an.

Namun dengan kerusi jenis bucket dan sangkar keselamatan titanium, kereta tersebut dilihat lebih sesuai untuk beraksi di litar dan mungkin terlalu hardcore untuk sesetengah pembeli.

Kini, Cyan Racing kembali dengan versi baharu yang masih lincah di jalan-jalan berliku namun lebih selesa untuk perjalanan jarak jauh.

Dikenali sebagai P1800 Cyan GT, ia tampil dengan beberapa penambahbaikan bagi menjadikannya sebuah kereta grand tourer yang sebenar.

Pertama sekali, jentera ini menggunakan sistem suspensi boleh laras sepenuhnya yang lebih lembut. Ia juga dilengkapi dengan sangkar keselamatan titanium berbeza yang dikatakan lebih selesa.

Ruang kabin pula tidaklah nampak seperti kereta lumba dengan adanya upholsteri kulit dan fabrik berwarna perang, serta tempat duduk yang lebih mesra pemandu. Tidak cukup dengan itu, bahan kedap bunyi juga ditambah untuk kabin yang lebih senyap.

Seperti versi standard, P1800 Cyan GT dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang dipadankan dengan kotak gear manual Holinger lima kelajuan.

Bagaimanapun, kuasa telah dikurangkan sedikit dari 414 hp kepada 345 hp. Menurut Cyan Racing, hal ini kerana trenkuasa tersebut ditala untuk pemanduan yang lebih menyeronokkan dan bukannya untuk mendapatkan kuasa tinggi semata-mata.

P1800 Cyan GT akan ditawarkan dalam jumlah yang terhad, dengan setiap unit mengambil masa kira-kira 12 hingga 15 bulan untuk disiapkan.

Pekerja p-hailing bakar kereta polis bantuan ditahan

SEORANG lelaki yang merupakan pekerja p-hailing ditahan polis selepas didapati membakar kereta polis bantuan di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara di Petaling Jaya, awal pagi ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 1.52 pagi tadi.

“Susulan laporan itu, polis menahan lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan di rumahnya di Flora Damansara, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

“Suspek disyaki menggunakan bom petrol yang dibaling ke arah kenderaan itu sebelum terbakar,” katanya kepada Harian Metro, hari ini

Mohd Fakhrudin berkata, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan suspek dalam kes berkenaan.

Siasatan awal dilakukan mendapati suspek juga ada melakukan vandalisme dengan menconteng dinding hentian bas.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan ia disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang lelaki dikesan memuat naik video mendakwa bertindak membakar sebuah kenderaan polis bantuan di laman sosial TikTok.

Lelaki terbabit memuat naik rakaman video berdurasi lima saat yang memaparkan dia bersama kenderaan sedang terbakar.

Lelaki itu turut membuat hantaran ‘berpuas hati dapat membakar kereta polis #polistakdekeje’.

JPJ terima 3,440 aduan menerusi aplikasi MyJPJ dan e-mel

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima 3,440 aduan daripada orang ramai membabitkan pelbagai kesalahan jalan raya yang disalurkan menerusi aplikasi MyJPJ dan e-mel sepanjang Op Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina bermula 1 hingga 13 Februari.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan, kesalahan tertinggi yang dilaporkan menerusi dua saluran itu ialah menggunakan laluan kecemasan, melanggar lampu isyarat serta memotong di garisan berkembar.

Beliau berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis temu siasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dalam tempoh tiga hari waktu bekerja kepada pemilik yang dikenal pasti supaya hadir ke pejabat JPJ untuk prosedur serta penyelesaian kes.

“Mana-mana pemilik yang gagal hadir dalam tempoh 14 hari notis Seksyen 114 dikeluarkan, pemilik akan dikenakan saman P (22). Sekiranya gagal menjelaskan dalam tempoh yang ditetapkan termasuk gagal hadir ke mahkamah, mereka akan disenarai hitam,” katanya.

Sementara itu, Op Khas Musim Perayaan Tahun Baharu Cina menyaksikan JPJ mengeluarkan 27,339 notis saman membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang pelaksanaan operasi itu di seluruh negara.

Lebih 72% kesalahan yang direkodkan adalah memandu melebihi had laju dengan 19,722 notis dikeluarkan.

“Kesalahan melanggar lampu isyarat melibatkan 4,283 notis, tidak memakai topi atau tali pinggang keledar (1,700), muatan berbahaya (681), memandu di lorong kecemasan (277), menggunakan telefon bimbit (263), memotong barisan (190), memotong garisan berkembar (171) dan memandu kenderaan berat di laluan laju (42),” katanya.

Rezvani Beast adalah jelmaan Corvette C8 dengan 1,000 hp, badan kalis peluru

PERNAH dengar nama Rezvani? Bagi mereka yang tidak tahu, Rezvani adalah pengeluar kenderaan berprestasi tinggi dari California yang diasaskan pada 2013.

Model pertama Rezvani adalah jentera berasaskan Ariel Atom yang dikenali sebagai Beast. Kini, syarikat itu telah memperkenalkan rekaan terbaharu mereka yang menggunakan nama yang sama namun yang ini jauh lebih berkuasa.

Tidak seperti yang asal, Beast edisi kedua ini dibina menggunakan Chevrolet Corvette C8 sebagai asas. Bagaimanapun, dengan lampu hadapan yang nipis, pintu dehidral dan muncung ekzos yang bertindih, ia langsung tidak nampak seperti Corvette.

Menurut Rezvani, Beast mempunyai panel badan gentian karbon dan resin suhu tinggi seperti yang digunakan pada jet pejuang Amerika Syarikat seperti F-35. Ini menyumbang kepada pengurangan berat hampir 300 kg dengan berat keseluruhan sekitar 1,352 kg.

Di dalam, panel yang menampilkan barisan butang kawalan dibuang, manakala bahagian atas stereng dipotong untuk membuatkannya nampak seperti stereng kapal terbang.

Enjin 6.2-liter V8 yang asal tidak dibuang namun untuk mengekstrak kuasa yang lebih besar, Rezvani telah memasang sepasang pengecas turbo. Hasilnya, Beast mempunyai 1,000 hp (1,014 PS) dan 1,190 Nm.

Dengan transmisi klac berkembar (DCT) lapan kelajuan, Beast boleh memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam hanya 2.5 saat. Untuk pecutan suku batu pula,  ia hanya memerlukan 9.6 saat.

Angka-angka prestasi tersebut memang mengagumkan namun apa yang lebih menarik, pelanggan boleh mendapatkan pakej 007 yang mengandungi pelbagai jenis gajet.

Ini termasuk skrin asap, tayar runflat, sistem penglihatan malam termal, perlindungan nadi elektromagnet, pengesan peranti letupan, pemegang pintu elektrik, sistem interkom, topeng gas, kit bantuan kecemasan, kit hipotermia, penyembur lada dan lampu strob.

Tidak cukup dengan itu, Rezvani turut menawarkan pakej badan dan tingkap kalis peluru. Mereka yang mempunyai ramai musuh wajib mendapatkan kedua-dua pakej ini.

Hanya 20 unit Rezvani Beast akan dihasilkan dan setiap satu dijual pada harga bermula dari $485,000 (RM2.3 juta) atau $585,000 (RM2.8 juta) dengan pakej 007 dan kalis peluru.

Scarbo SV Rover – trak kustom dengan pilihan enjin V8 atau motor elektrik

ANDA masih ingat dengan Porsche 911 bergelar Hoonipigasus milik mendiang Ken Block? Syarikat yang bertanggungjawab membina jentera itu iaitu Scarbo Vintage kini kembali dengan trak off-road yang dikenali sebagai SV Rover.

Seperti yang boleh dilihat, rekaan badan trak ini tidak ubah seperti Land Rover Defender klasik yang dikacuk dengan dapra lebar daripada Lamborghini LM002. Menurut Scarbo Vintage, panel badannya diperbuat menggunakan aluminium dan gentian karbon.

Ruang kabinnya tidak kurang hebatnya. Anda akan menemui kemasan Alcantara dan aksen billet aluminium, serta beberapa kelengkapan moden seperti kluster instrumen digital 12.3 inci, paparan multimedia 12.8 inci, paddle shifter, butang penghidup enjin.

Apa yang menarik, pelanggan boleh memilih sama ada enjin V8 supercharged dengan 1,100 hp dan transmisi automatik lapan kelajuan ataupun trenkuasa elektrik dengan bateri 75 kWj yang mampu menjana 1,005 hp.

Kedua-dua trenkuasa berkenaan didatangkan dengan sistem pacuan empat roda (4WD), transfer case high range dan low range serta locking differential pada gandar hadapan dan belakang.

Untuk casis, Scarbo Vintage menggunakan sistem suspensi jenis inboard pushrod pada bahagian hadapan dan belakang yang memberikan jarak pergerakan sebanyak 30 inci.

Selain itu, trak ini didatangkan dengan rim tempaan berukuran 20 inci dan tayar 40 inci, kawalan ketinggian dan injap boleh laras. Sistem brek pula terdiri daripada gandingan cakera karbon seramik berukuran 400 mm dan angkup Brembo enam piston.

Sudah tentu, trak unik seperti ini bukanlah murah untuk dibeli. Menurut Scarbo, harga SV Rover bermula dari $1.5 juta (RM7.2 juta) seunit.

Mercedes-AMG A45 S Limited Edition tampil warna Green Hell Magno

GREEN Hell Magno merupakan warna yang dihasilkan oleh Mercedes-AMG sebagai penghormatan atau homage kepada litar Nurburgring Nordschleife yang terkenal dengan jolokan “Green Hell”.

Warna hijau unik itu diperkenalkan buat pertama kali pada 2018 menerusi Mercedes-AMG GT R. Kini, rona yang sama akan ditawarkan pada A45 S Limited Edition.

Menariknya, walaupun bergelar ‘Limited Edition’, pengeluaran model ini tidak akan dihadkan tetapi ia hanya akan dijual pada tahun ini sahaja.

Apa yang membuatkan A45 S Limited Edition lebih menonjol berbanding versi standard? Selain warna berkenaan, model edisi terhad ini juga tampil dengan aksen kuning, kemasan hitam berkilat dan grafik ’45 S’ pada bahagian pintu.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan rim aloi 19 inci dalam rekaan eksklusif. Jika itu tidak mencukupi, pelanggan juga boleh mendapatkan AMG Night Package, AMG Night Package II dan AMG Aerodynamics Package.

AMG Night Package membawakan elemen-elemen berwarna hitam dan hitam berkilat seperti splitter hadapan, cermin sisi, beltline serta filem cermin gelap.

AMG Night Package II pula menambah perincian berwarna hitam pada trim radiator, serta kemasan krom hitam pada fender hadapan, but, logo bintang Mercedes, pemegang pintu dan hub cap.

AMG Aerodynamics Package nampak lebih menarik kerana ia mengandungi elemen-elemen aerodinamik dan sayap belakang yang dibangunkan di dalam terowong angin. Menurut Mercedes, pakej ini boleh meningkatkan prestasi pada kelajuan tinggi.

Di dalam, anda akan menemui tema hitam dan kuning yang sama seperti bahagian luaran, serta upholsteri kulit Artico dan mikrofiber Microcut yang membaluti kerusi AMG Performance dan stereng. Perehat kepala kerusi tersebut juga mempunyai sulaman 4S S.

Sayangnya, aspek prestasi tidak mendapat sebarang sentuhan. Enjin turbo 2.0-liter empat silinder itu terus menghasilkan 421 hp dan 500 Nm, menjadikan A45 S hot hatch paling berkuasa di dunia.

Dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic+, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 27o km/j.

Daihatsu umum pelantikan kepimpinan baharu berikutan skandal ujian keselamatan

DAIHATSU Motor Co. Ltd, yang diselubungi isu penyelewengan ujian keselamatan sejak tahun lalu, telah mengumumkan struktur baharu yang akan mengambil alih kepimpinan syarikat itu bermula 1 Mac ini.

Struktur kepimpinan baharu ini akan menyaksikan pengerusi Daihatsu iaitu Sunao Matsubayashi dan presidennya iaitu Soichiro Okudaira meletakkan jawatan masing-masing.

Matsubayashi akan digantikan oleh Masahiro Inoue yang merupakan ketua pegawai eksekutif Toyota Motor Corporation Amerika Latin dan Caribbean, manakala tempat Okudaira akan diambil alih oleh ketua projek promosi elektrifikasi Lexus di Lexus International Co iaitu Masanori Kuwata.

Sementara itu, timbalan ketua pegawai di kumpulan Toyota Customer First iaitu Keiko Yanagi akan menggantikan Masahiro Yamamoto sebagai pengarah bukan residen Daihatsu.

Daihatsu dan Toyota, dalam satu kenyataan bersama berkata mereka akan melaksanakan langkah-langkah yang menyeluruh untuk mencegah penyelewengan itu daripada berulang dan berusaha ke arah pemulihan Daihatsu.

“Kami sekali lagi ingin memohon maaf yang sedalam-dalamnya kepada pelanggan, pembekal, peniaga, komuniti di mana kilang kami berada, dan banyak pihak berkepentingan kami yang lain atas kesulitan dan kebimbangan yang disebabkan oleh isu penyelewengan pensijilan baru-baru ini.

“Walaupun semua kilang Daihatsu di Jepun menggantung operasi berikutan pengumuman kami yang dibuat pada 20 Disember, kami dapat menyambung semula pengeluaran dan penghantaran beberapa kenderaan setakat semalam,” kata syarikat itu.

Pesawat ringan terhempas di Kapar, Klang

SEBUAH pesawat ringan terhempas dan terbakar di sekitar kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Sekolah Kebangsaan Tok Muda, Kapar, Klang hari ini.

Kejadian itu disahkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.56 tengah hari tadi.

“Kita sampai di lokasi kejadian dan mengesahkan pesawat ringan jenis ‘Air Craft Aviation Safety Technology’ itu terhempas dan terbakar.

Tambah beliau lagi, dua jentera serta empat anggota keluaran Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kapar digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kerja mencari mangsa sedang dijalankan dan jumlah mangsa masih belum diketahui,” katanya.

Tesla jual seunit kereta sahaja di Korea pada Januari

DI Malaysia, Tesla nampaknya disanjung tinggi oleh pengguna dan peminat kenderaan elektrik (EV) namun di Korea Selatan, lain pula ceritanya.

Menurut Free Malaysia Today, pengeluar EV dari Texas itu hanya berjaya menjual seunit Model Y pada Januari lalu berikutan kebimbangan mengenai keselamatan, harga dan infrastruktur pengecasan.

Data daripada badan penyelidik yang berpangkalan di Seoul, Carisyou dan kementerian perdagangan Korea menunjukkan penjualan pada bulan itu merupakan prestasi terburuk Tesla sejak Julai 2022.

Menurut Carisyou lagi, jumlah pendaftaran EV baharu di negara itu pada Januari 2023 merudum sebanyak 80% berbanding Disember 2022.

Difahamkan, sambutan untuk EV di Korea Selatan perlahan akibat kadar faedah dan inflasi yang lebih tinggi yang memaksa pengguna untuk mengekang perbelanjaan.

Selain itu, kebimbangan tentang kebakaran bateri dan kekurangan pengecas pantas turut menjadi faktor penyumbang kepada penurunan permintaan EV di sana.

Lee Hang-Koo, ketua Institut Teknologi Konvergensi Automotif Jeonbuk berkata kebanyakan orang Korea yang inginkan keret Tesla sudah pun membelinya.

Malah beliau mendakwa, sesetengah orang Korea tidak menyukai Tesla dan bimbang tentang kualiti pengeluaran selepas mendapat tahu sebahagian daripadanya dibuat di China.

Lee juga berkata bahawa ramai orang mengelak daripada membeli kenderaan pada bulan Januari kerana mereka mahu menunggu pengumuman subsidi daripada kerajaan.

Aston Martin Vantage 2025 lebih berkuasa, lincah dan tangkas

SETELAH enam tahun berada di pasaran, Aston Martin Vantage kini diberikan kemaskini yang meliputi aspek dari segi reka bentuk, prestasi dan casis.

Untuk bahagian luaran, Vantage dikatakan mengambil inspirasi daripada One-77 dengan badan yang lebih lebar (+30 mm) dan rekaan bahagian hadapan baharu yang menampilkan gril yang lebih besar.

Menurut Aston Martin, gril berkenaan meningkatkan aliran udara sebanyak 29% untuk membantu penyejukan, dibantu dengan liang udara pada bahagian kiri dan kanan bampar. Splitter baharu pula meningkatkan kestabilan pada kelajuan tinggi.

Ruang dalaman pula menampilkan susun atur serba baharu yang menampilkan corong pendingin hawa yang lebih langsing dan skrin sentuh berukuran 10.25 inci yang sama seperti yang terdapat pada DB12.

Selain itu, terdapat juga sistem audio Aston Martin dengan 11 pembesar suara dan suis kawalan untuk casis, ESP, ekzos serta sistem bantuan pemandu seperti Lane Assist dan Park Distance Control.

Sebagai alternatif, pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan sistem audio Bowers & Wilkins berkapasiti 1,170 watt yang mempunyai 15 pembesar suara, termasuk subwoofer dan tweeter aluminium.

Vantage masih kekal dengan enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang dihasilkan oleh Mercedes-AMG namun enjin berkenaan kini menjana 665 PS dan 800 Nm, mewakili peningkatan sebanyak 155 PS dan 115 Nm berbanding sebelum ini.

Output yang lebih tinggi ini dicapai menerusi ubahsuai terhadap cam profile dan nisbah mampatan, serta penggunaan pengecas turbo yang lebih besar.

Digandingkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dari ZF, kereta sport dua tempat duduk itu boleh memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 3.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum 325 km/j.

Aston Martin berkata prestasi pecutan itu dibantu oleh sistem Launch Control baharu yang bertindak untuk menyalurkan sebanyak mungkin tork ke roda belakang, dengan E-Diff, ESP dan pengurusan tork enjin membantu mengekalkan kegelinciran pada tahap optimum.

Selain enjin yang lebih berkuasa, Vantage turut mendapat manfaat daripada struktur aluminium terikat yang memberikan kereta itu pengagihan berat 50:50 dan ketegaran kilasan yang lebih tinggi.

Selain itu, sistem stereng bantuan kuasa elektronik (EPAS) juga telah ditala semula untuk memberikan pemandu respon yang lebih segera dan tepat.

Kenderaan rasmi ekori rapat ambulans, Nga Kor Ming sedia bayar kompaun

PADA 3 Februari lalu, tular gambar yang menunjukkan sebuah Toyota Vellfire yang dikatakan kenderaan rasmi seorang menteri mengekori rapat sebuah ambulans ketika kesesakan lalu lintas.

Berikutan kejadian itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming telah tampil memberi penjelasan menerusi satu hantaran di akaun rasmi Facebook beliau.

Menurut Nga, kejadian tersebut berlaku sewaktu beliau sedang dalam perjalanan untuk menghadiri program rasmi di Ipoh.

Beliau berkata pemandu beliau sedar bahawa terdapat sebuah ambulans swasta mengekori kenderaannya untuk ke lokasi kemalangan. Pemandunya telah memberi laluan kepada ambulans tersebut bagi memberi keutamaan kepada usaha penyelamatan.

“Memandangkan keadaan jalan raya yang sesak, pemandu saya terpaksa mengekori ambulan tersebut sementara mencari ruang untuk meneruskan perjalanan ke Ipoh setelah kereta ambulans sudah beredar,” tulisnya.

Nga menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk melanggar undang-undang dan sentiasa memberi keutamaan kepada usaha penyelamatan sepertimana yang ditetapkan oleh undang-undang.

“Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak yang berkuasa dan bersedia untuk membayar kompaun kesalahan bagi pemandu saya sekiranya beliau didapati bersalah,” katanya lagi.

Aveta Malaysia lantik 8 stokis baharu, mudahkan pelanggan dapat alat ganti tulen

AVETA Malaysia telah melantik lapan stokis baharu di enam negeri, sebagai sebahagian daripada usahanya untuk memberi pelanggan akses yang lebih cepat dan mudah kepada alat ganti tulen Aveta di seluruh Malaysia.

Perlantikan stokis baharu ini selari dengan Program Perkhidmatan Pelanggan Aveta yang diumumkan semasa pelancaran Aveta Ranger Max Explorer pada tahun 2023.

Perlantikan Stokis Aveta diumumkan pada tahun lalu dan kini dalam persiapan untuk beroperasi dengan jumlah keseluruhan 10 stokis sepanjang tahun 2024.

Perlantikan stokis ini adalah penting bagi memastikan pemilik motosikal Aveta mendapat akses segera kepada alat ganti apabila diperlukan dan memastikan bahawa semua alat ganti adalah tulen dan sesuai dengan motosikal Aveta.

Lapan stokis yang dilantik adalah:

  • Kedah – Boon Lee Auto Sdn Bhd
  • Kuala Lumpur – DS Cycle Parts Sdn Bhd
  • Selangor – Yong Xin Auto Parts Sdn Bhd
  • Pahang – T.T. Cycle Parts Sdn Bhd
  • Pahang – Sing Yie Motor Sdn Bhd
  • Sabah – Eko Ken Motor Sdn Bhd
  • Sarawak – Ji Yun Resources
  • Sarawak – Ghee Yong Enterprise Sdn Bhd

Berkuat kuasa dengan serta-merta, kesemua stokis tersebut kini sudah mula beroperasi untuk pelanggan mendapatkan bekalan alat ganti tulen bila-bila masa.

Pelanggan juga boleh menghubungi talian khidmat pelanggan alat ganti Aveta di +012 686 8753 pada hari Isnin hingga Jumaat (8.30am – 5.30pm).

smart #1 lulus ujian perjalanan jarak jauh KL-Pulau Pinang – Pandu Uji

BEBERAPA tahun yang lalu, Mercedes-Benz menerusi Daimler AG telah menandatangani perjanjian bersama Geely untuk pemilikan 50:50 jenama smart.

Dengan termeterainya perjanjian tersebut, smart telah memasuki era kenderaan elektrik (EV) di mana setiap produk keluarannya akan menggunakan teknologi Geely dan reka bentuk Mercedes-Benz.

Model pertama yang terhasil daripada gabungan unik Jerman-China ini adalah smart #1. Ia telah dilancarkan di Malaysia pada November 2023 dengan anak syarikat Proton iaitu Pro-Net (smart Malaysia) sebagai pengedar rasmi.

Baru-baru ini, saya telah dijemput oleh pihak smart Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman memandu uji EV berkenaan dari Selangor ke Pulau Pinang.

Secara ringkasnya, terdapat dua varian yang disediakan iaitu Premium dan Brabus dengan pihak media berpeluang memandu kedua-dua varian berkenaan secara bergilir-gilir. Berikut adalah pendapat saya mengenai smart #1:

Ia mungkin antara EV tercantik dalam segmennya

Jika anda inginkan sebuah EV yang rendah dan kelihatan agresif seperti sebuah kereta sport, #1 bukan untuk anda. Ini kerana ia merupakan sebuah SUV dengan bumbung yang agak tinggi dan garisan-garisan badannya juga agak lembut.

Bagaimanapun, terima kasih kepada Mercedes-Benz, ada beberapa elemen reka bentuk yang berjaya menarik perhatian saya. Ini termasuk lampu depan dan belakang yang mempunyai bentuk ‘X’, efek bumbung terapung dan tingkap sisi tidak berbingkai.

Bukan itu sahaja, #1 juga mempunyai party trick yang boleh digunakan untuk menarik perhatian orang. Apa yang saya maksudkan adalah logo pada bahagian sisi akan bercahaya apabila kereta dicas, manakala lampu hadapan akan memainkan welcome sequence setiap kali butang unlock ditekan.

Rekaan kabin minimalis dan futuristik

Jika anda suka rekaan luaran #1, ruang dalamannya yang ringkas tetapi bergaya pasti akan membuatkan anda teruja. Pemandu dan penumpang hadapan dipisahkan oleh papan pemuka berbentuk T yang menampilkan warna hitam pada bahagian bawah dan putih pada bahagian atas.

Anda tidak akan menemui banyak butang di sini kerana majoriti fungsi yang ada boleh diakses menerusi skrin sentuh 12.8 inci yang terletak di atas corong pendingin hawa tengah. Untuk pemandu, terdapat paparan 9.2 inci yang sebenarnya agak nipis namun mujurlah ada head-up display 10 inci yang sangat membantu.

Selain itu, terdapat pelbagai ciri premium yang bagi penulis membuatkan tanda harga #1 rasa lebih berbaloi. Antaranya adalah sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna, pengecas wayarles, empat port USB, bumbung panoramic, penyejuk tempat duduk hadapan dan yang paling menarik, sistem audio Beats dengan 13 pembesar suara.

 Ruang dalamannya luas dan praktikal tetapi…

Dengan ukuran tapak roda 2,750 mm (lebih panjang berbanding Kia Niro EV dan Mercedes-Benz EQA), serta ditambah pula dengan bumbung yang agak tinggi, tidak dinafikan ruang kabin #1 memang terasa cukup luas dan selesa untuk perjalanan jauh.

Tidak cukup dengan itu, anda juga mendapat banyak ruang storan. Kereta ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan pemegang cawan dan di bawah papan pemuka, terdapat ruang storan yang cukup luas untuk menyimpan beg kecil dan sebagainya. Masih tidak mencukupi? Terdapat satu lagi ruang storan di bawah perehat tangan.

Bagaimanapun, jika anda ingin membawa seisi keluarga bercuti, anda mungkin perlu fikir dua kali kerana kapasiti but #1 agak kecil iaitu 411 liter sahaja. Di bawah hud, terdapat frunk 15 liter yang cukup-cukup untuk memuatkan kabel pengecas.

Kuasa dan pengendalian? #1 tak kurang hebatnya

Sebelum bertolak ke Pulau Pinang, kami sempat mencuba keupayaan dinamik #1 di litar go-kart Pinnacle Kart USJ. Litar ini agak mencabar kerana laluannya agak sempit dan terdapat banyak selekoh tajam atau hairpin turn.

Di laluan lurus, varian Premium menunjukkan yang ia mempunyai prestasi pecutan setanding kebanyakan hot hatch dengan enjin pembakaran dalaman. Bagaimanapun, ia tidak begitu mengujakan seperti varian Brabus.

Ini kerana varian berkenaan mempunyai output yang jauh lebih tinggi dan ini sudah tentu menjadikan pecutan lebih pantas dan sedikit menakutkan. Bukan itu sahaja, bunyi enjin palsu juga akan disalurkan ke dalam kabin setiap pendikit ditekan dengan agresif bagi menjadikan pemanduan lebih seronok.

Dari segi pengendalian pula, jelas sekali yang #1 tidak direka untuk pemanduan agresif kerana saya dapat merasakan olengan badan yang ketara terutamanya apabila ia ‘dipaksa’ di selekoh-selekoh tajam yang ada di litar go-kart tersebut.

Di sini, #1 Brabus lebih cemerlang kerana ia mempunyai peredam yang lebih keras, menjadikan badan lebih stabil. Kehadiran motor elektrik pada setiap gandar pula memberikan varian ini kelebihan dari segi cengkaman.

Tiada lagi ‘range anxiety’

Dengan #1, penyakit range anxiety yang tidak asing lagi dalam kalangan pemandu EV sedikit sebanyak dapat diubati dengan adanya ciri Charging Map yang membolehkan anda mencari stesen pengecas terdekat dengan mudah.

Menurut smart Malaysia, ciri ini memberikan akses kepada 70% stesen pengecasan awam yang terdapat di seluruh negara.

Bukan itu sahaja, ciri ini juga boleh memaparkan peta yang menunjukkan sejauh mana #1 boleh dipandu dengan tenaga bateri yang masih ada, serta baki tenaga yang akan tinggal setelah sampai di destinasi. Pendek kata, perancangan perjalanan menjadi lebih mudah dengan adanya ciri ini.

Infrastruktur pengecasan EV kita masih belum bersedia

Secara keseluruhannya, perjalanan dari USJ ke Hotel Angsana pada hari itu lancar sahaja walaupun pemanduan dimulakan dengan kapasiti bateri sekitar 85% dengan jarak pandu kira-kira 360 km sahaja.

Kami berhenti di stesen pengecas pantas (DC) 100 kW Gentari di Sunway X Park, Ipoh dengan kapasiti bateri berbaki 30%. Walaupun terdapat sebuah lagi #1 yang sedang menggunakan pengecas tersebut ketika itu, bateri berjaya dicas sehingga 80% dalam masa kurang 30 minit.

Seperti yang dikatakan, semuanya berjalan lancar bagi pihak kami. Namun, ada rakan media lain yang menghadapi masalah teknikal dengan pengecas sehingga mereka terpaksa mencari stesen lain dengan kapasiti bateri berada pada tahap membimbangkan.

Bagaimanapun ketika dalam perjalanan pulang, giliran kereta kami pula berdepan dengan isu pengecasan. Pengecas pantas yang sepatutnya boleh menyalurkan kuasa sehingga 40 kW hanya mampu ‘menyuntik’ 8 hingga 10 kW walaupun tiada EV lain ketika itu.

Ini menyebabkan kami terpaksa menunggu lebih lama dari yang sepatutnya. Dengan kuasa bateri berbaki kurang 50%, kami tekad untuk meneruskan perjalanan ke ibu pejabat Proton di Shah Alam. Kami tiba ke destinasi dengan bateri berbaki 8% dan jarak pandu pula hanya tinggal 32 km.

Kesimpulannya…

Apa yang saya ingin sampaikan di sini adalah kebanyakan yang ada EV di pasaran ketika ini tidak mempunyai masalah untuk melakukan perjalanan jarak jauh. Dengan sedikit perancangan dan gaya pemanduan yang berhemah, perjalanan dari ibu kota ke Utara atau Selatan dengan satu cas penuh bukanlah sesuatu yang mustahil.

Isu utama di sini adalah infrastrukur pengecasan. Di samping bilangannya yang masih rendah, saya berpendapat bahawa penyedia solusi pengecasan EV perlu lebih proaktif dalam memastikan kemudahan mereka sentiasa berada dalam keadaan yang baik bagi memastikan kelancaran kepada pengguna.

Kia Carnival 2024 kini dibuka untuk tempahan – 3 varian, harga dari RM199k

DINAMIKJAYA Motors Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Kia di Malaysia, telah memperkenalkan Kia Carnival model tahun 2024.

Seperti sebelum ini, Carnival dipasang secara tempatan dan boleh didapati dalam konfigurasi tujuh, lapan dan 11 tempat duduk. Bagaimanapun, bilangan varian yang ditawarkan telah dikurangkan daripada empat kepada tiga iaitu:

  • 2.2L 11 tempat duduk – RM198,500
  • 2.2L 8 tempat duduk – RM245,888
  • 2.2L 7 tempat duduk – RM259,888

Ketiga-tiga varian dikuasakan oleh enjin 2.2-liter turbodiesel yang menghasilkan 199 hp pada 3,800 rpm dan 440 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm.

Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda hadapan.

Apa yang baharu dengan model tahun 2024 ini? Menurut Dinamikjaya, penampilan Carnival tujuh dan lapan tempat duduk kini dipertingkatkan dengan rim aloi 19 inci berwarna hitam dan upholsteri leatherette hitam dan kelabu.

Selain itu, kedua-dua varian berkenaan mengekalkan ciri-ciri premium yang ditawarkan sebelum ini seperti lampu nyalaan siang LED, bumbung suria berkembar, Smart Power Sliding Door dan Smart Power Tailgate.

Bukan itu sahaja, ciri pemanas dan penyejuk tempat duduk, lampu dalaman LED dan Surround View Monitor turut dikekalkan. Bagaimanapun, kerusi Premium Relaxation hanya tersedia pada varian tujuh tempat duduk yang mempunyai konfigurasi 2-2-3.

Sementara itu, Carnival 11 tempat duduk terus menawarkan empat barisan tempat duduk dengan konfigurasi 2-3-3-3, sesuai untuk mereka yang mempunyai keluarga yang besar.

Untuk sistem infohibur, Carnival didatangkan dengan skrin sentuh berukuran 12.3 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta beberapa ciri kemudahan lain seperti pengecas wayarles, Bluetooth dan tujuh port pengecas USB.

Sistem keselamatan untuk varian tujuh dan lapan tempat duduk telah dipertingkatkan menerusi penambahan satu ciri baharu iaitu Blind-Spot View Monitor (BVM).

Untuk makluman, Carnival dipasang secara tempatan di kilang pemasangan Inokom di Kulim, Kedah. Untuk model tahun 2024, terdapat empat warna yang boleh dipilih iaitu Astra Blue, Snow White Pearl, Meteor Gray dan Jet Black.

Tempahan untuk MPV ini telah pun dibuka dan setiap pembelian didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima tahun/100,000 km dan pakej penyelenggaran berjadual percuma selama lima tahun/100,000 km.

Off The Grid 2024 acara khas untuk pencinta gaya hidup outdoor

PADA 23 hingga 25 Februari ini, Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) akan dimeriahkan dengan acara Off The Grid (OTG) yang dibawakan khas untuk pencinta gaya hidup outdoor.

Acara yang dianjurkan oleh Art of Speed (AOS) itu diinspirasikan daripada acara gaya hidup outdoor tahunan terbesar di Jepun iaitu Fieldstyle dan menyasarkan kira-kira 30,000 pelawat.

Bakal diadakan di Dewan A MAEPS yang menawarkan keluasan 150,000 kaki persegi, OTG 2024 menampilkan lima tarikan utama seperti berikut:

  • Pameran vendor gaya hidup outdoor yang melibatkan jenama-jenama terkemuka seperti Montanic Adventure Store, Anbot Store, Campguru, Eiger Adventure, Pahlawan Store, Outside Malaysia, EcoFlow, dan banyak lagi.
  • Brew Festa memperkenalkan konsep slow bar di mana barista meluangkan masa mereka untuk membuat kopi secara cermat khas untuk pencinta kopi yang ingin mengaktifkan neuron di otak mereka.
  • BBQ Showdown adalah mimpi ngeri buat vegan kerana ia merupakan acara memanggang daging yang akan dihoskan oleh MeatXpert Premium Butcher.
  • Makers Jamboree & Pasor Dinda Ladies Market adalah tempat terbaik untuk pemburu item vintaj dan rare.
  • Aktiviti-aktiviti menarik untuk seisi keluarga termasuk skimpoolsurf skate, Roller Disko, perlumbaan strider dan cabutan bertuah setiap jam untuk memerka yang membelanjakan RM100 dalam satu resit.

Di samping lima tarikan utama ini, pengunjung juga boleh menyaksikan persembahan tradisional dan akustik, serta menyertai meet up van camper, penggemar MINI RC Crawler dan banyak lagi.

Para peniaga di OTG 2024 juga berpeluang menyertai pertandingan reruai (booth) terbaik yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Booth Penjual Terbaik (Makanan dan Komuniti) dan Booth Jenama Terbaik.

Pemenang bagi setiap kategori akan memenangi tiket perjalanan untuk seorang ke Jambori Fieldstyle 2024 di Nagoya, Jepun pada 18  dan 19 Mei 2024.

Mereka yang berminat untuk mengunjungi OTG 2024 boleh mendapatkan pas hujung minggu secara dalam talian pada harga RM35 atau RM50 jika dibeli di lokasi. Pas ini sah untuk kemasukan selama tiga hari.

Selain itu, terdapat juga pas hari berharga RM15 jika dibeli secara dalam talian atau RM20 jika dibeli secara terus di lokasi. Kemasukan adalah percuma untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan pemegang kad OKU.

Tiket boleh dibeli melalui laman web rasmi https://otg.artofspeedmy.com/ticket/. Sebarang pembelian dalam talian hanya akan dikenakan bayaran RM3 untuk yuran pemprosesan bagi setiap tiket.

Tol percuma pada 8 dan 9 Februari sempena Tahun Baru Cina

MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberikan kemudahan tol percuma selama dua hari bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina.

Menurut beliau, pengecualian tol itu diberikan kepada pengguna lebuh raya membabitkan Kenderaan Kelas 1 (Kenderaan Persendirian).

Ia bermula pada jam 12.01 tengah malam 8 Februari hingga jam 11.59 malam 9 Februari di semua plaza tol kecuali di sempadan negara, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

“Tol percuma oleh kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia yang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina kali ini.

“Pendekatan pemberian tol percuma ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan implikasi kewangan bagi pemberian tol percuma itu dianggarkan berjumlah RM42.99 juta.

Dengan pengecualian bayaran tol itu, Nanta berkata, pengguna lebuh raya diharap dapat merancang perjalanan serta mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan (TTA) yang disyorkan dalam tempoh berkenaan.

Beliau juga menasihati pengguna untuk memandu dengan selamat dan memastikan baki kad Touch ‘n Go serta eWallet mencukupi untuk perjalanan yang lancar.

Sewa BMW iX dari RM550 sehari dengan Auto Bavaria, Sime Darby Rent-A-Car – Hertz Malaysia

SIME Darby Auto Bavaria (SDAB) kini menjalinkan kerjasama dengan Sime Darby Rent-A-Car (SDRAC) – Hertz Malaysia untuk memperkenalkan perkhidmatan sewa kenderaan elektrik (EV).

Sempena dengan kerjasama ini dan sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi, SDAB dan SDRAC merangka satu tawaran eksklusif kepada mereka yang berminat untuk merasai pengalaman memandu BMW iX. SUV elektrik itu kini boleh disewa dengan kadar yang bermula dari RM550 sehari dan RM5,500 sebulan.

Vi Thim Juan, Pengarah Urusan Auto Bavaria, berkata, “Auto Bavaria komited sepenuhnya mahu merintis penggunaan EV di Malaysia. Kali ini, kami memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk memandu BMW iX kami untuk menikmati gaya dan keunikan yang tiada tandingan yang membawakan trend terkini dalam teknologi EV.”

Harun Mohd Joned, Pengarah Urusan SDRAC, menambah, “Objektif kami ialah menyediakan penyelesaian pengangkutan optimum kepada rakan niaga kami, SDAB, dan memberikan pengalaman kenderaan elektrik yang benar-benar mewah dan moden kepada pelanggan sewa kenderaan Hertz Malaysia.”

Para pelanggan yang berminat untuk menikmati pengalaman memandu BMW iX boleh membuat tempahan dan mendapatkan maklumat lanjut di www.simedarbycarrental.com atau kunjungi cawangan Hertz Malaysia yang turut serta di Lembah Klang, Pulau Pinang atau Johor Bahru.

Yamaha TMax Tech Max kini dalam warna Dark Magma, Tech Black

YAMAHA TMax Tech Max, yang dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2022, kini boleh didapati dalam dua warna baharu bagi model tahun 2024 iaitu Dark Magma dan Tech Black.

Selain daripada itu, tiada sebarang perubahan mekanikal dilakukan pada skuter maxi ini. Ia masih dikuasakan oleh enjin 562 cc, silinder berkembar DOHC bertaraf Euro 5 yang menghasilkan 46.9 hp pada 7,500 rpm dan 55.7 Nm tork pada 5,250 rpm.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi jenis V-belt automatik.

Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk lampu LED depan dan belakang, penghadang angin dan tempat duduk boleh laras, serta penutup tangki minyak pintar.

Skuter ini juga didatangkan dengan skrin TFT berukuran tujuh inci yang mempunyai tiga mod paparan serta boleh disambungkan dengan telefon pintar menerusi aplikasi MyRide-Link untuk memainkan muzik dan menggunakan sistem navigasi.

Selain itu, terdapat juga teknologi Yamaha Chip Controlled Throttle (Y-CCT) berserta Accelerator Position Sensor Grip (APSG) yang memberikan respon pendikit yang lebih lancar.

Harga jualan TMax Tech Max baharu tidak berubah iaitu RM74,998 tidak termasuk insurans dan pendaftaran. Setiap pembelian didatangkan dengan kunci brek cakera bernilai RM100 secara percuma.