All posts by Amirul Mukminin

Rasakan sendiri kehebatan Triton di Mitsubishi Triton Champion Xperience, 24-25 Jun

JIKA anda merasai sendiri kehebatan Mitsubishi Triton, ini peluang keemasan anda kerana Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) akan mengadakan acara Mitsubishi Triton Champion Xperience.

Acara yang mengujakan ini akan diadakan di Tanamera Experience, Shah Alam pada 24 dan 25 Jun dari 9 pagi hingga 6 petang. Masuk adalah percuma.

Diinspirasikan daripada kejayaan di Asia Cross Country Rally (AXCR) baru-baru ini, acara ini membolehkan pengunjung melihat sendiri kehebatan pengendalian, ketahanan, kuasa dan kebolehpercayaan Triton menerusi sesi taxi ride.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh menyertai sesi pandu uji di kawasan off-road yang direka khusus untuk menguji ciri Super-Select 4WD II dan mod Off-Road yang merangkumi Gravel, Sand, Muddy dan Rock.

Pelanggan terawal yang mendaftar untuk sesi pandu uji berkenaan di laman web MMM akan mendapat hadiah berupa baju-T Champion Xperience, pin Touch N Go bernilai RM20 dan peluang untuk memenangi beg North Face Explore Bardu II menerusi cabutan bertuah.

Bukan itu sahaja, pelanggan yang menempah Triton sepanjang acara ini berlangsung juga akan menikmati promosi eksklusif yang sah sehingga 30 Jun 2023, selain mendapat tumbler Stanley.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans) Triton bermula dari RM105,000 manakala harga jualan Xpander bermula dari RM99,980.

Brixton Cromwell 1200 motosikal cruiser bergaya vintaj – RM58,888

MFORCE Bike Holdings, selaku pengedar rasmi jenama Brixton di Malaysia, telah melancarkan sebuah model dengan enjin bersesaran 1,222 cc iaitu Cromwell 1200.

Harga jualannya bermula dari RM58,888 tidak termasuk insurans dan cukai jalan, namun untuk 100 pelanggan pertama, syarikat itu menawarkan harga istimewa iaitu RM55,888.

Cromwell 1200 ditawarkan dalam dua warna iaitu Backstage Black dan Cargo Green. Ia boleh didapati sekarang di mana-mana pengedar sah Brixton di seluruh Malaysia.

Untuk kuasa, ia dibekalkan oleh enjin dua silinder selari, empat lejang yang mampu menghasilkan 83 hp pada 6,550 rpm dan 108 Nm tork maksimum pada 3,100 rpm.

Ia mempunyai dua mod tunggangan iaitu Eco untuk penjimatan bahan api dan Sport untuk prestasi tunggangan yang agresif dengan pendikit yang lebih responsif.

Untuk sistem suspensi, motosikal jenis cruiser seberat 235 kg ini menggunakan fork teleskopik KYB pada bahagian dan suspensi berkembar boleh laras pada bahagian belakang.

Tayar yang digunakan adalah jenis Pirelli Phantom Sportscomp bersaiz 100/90 R-18 di depan dan 150/70 R-17 di belakang.

Sistem keselamatan yang ada pada model ini termasuk ABS dwi-saluran dan Traction Control. Turut disertakan adalah ciri Cruise Control yang boleh diaktifkan dengan menekan butang pada sebelah kiri bar hendal.

Walaupun mempunyai reka bentuk vintaj, Cromwell 1200 tetapi hadir dengan ciri-ciri moden seperti lampu LED, lampu isyarat membelok LED, port USB dan paparan TFT berwarna.

Selain itu, terdapat juga pad lutut pada tangki bahan api, skid plate aluminium untuk melindungi enjin dan beg pelana 10 liter yang diperbuat daripada bahan kalis air 100 peratus.

Brixton Cromwell 1200 didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau perbatuan 20,000 km, selain perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings.

Rider Grab dakwa hilang pekerjaan selepas tular tegur warga Singapura

PENGHANTAR makanan yang tular kerana menegur dua warga Singapura mengisi minyak menggunakan tong, mendakwa kehilangan kerja selepas akaun Grab miliknya digantung sejak semalam.

Menerusi perkongsi video di laman Tiktok atas nama matkibot, lelaki tempatan berusia 44 tahun itu berkata, akaun aplikasi pintar telah digantung sejak pukul 6 petang semalam.

“Selepas video ini viral di media sosial, Grab telah suspended (gantung) pada pukul 6 petang hari ini (semalam), saya segera menghubungi perkhidmatan pelanggan Grab. Saya diberitahu akan dihubungi pihak atasan Grab dalam masa 24 jam.

“Selepas 20 minit saya telah dihubungi pihak Grab, saya diberitahu ada orang membuat laporan.

“Melaporkan saya mengeluarkan skru driver (pemutar skru) untuk melawan, CCTV (rakaman televisyen litar tertutup) ada, boleh la check (semak),” katanya.

Lelaki itu berkata, dia mengambil pendirian berani kerana benar selain mendakwa tidak bersalah selain periuk nasinya dihalang dua individu.

Katanya, dia tidak dapat mengambil tempahan semalam dan tidak tahu bila ia akan berakhir.

“Saya dapat RM100, kena hantar RM50 untuk isi perut anak bini, begitulah kita di Malaysia, okey tak kalah pun, tak takut pun, akhirnya kita mati juga begitulah nasib rakyat Malaysia,” jelasnya.

Berang ditegur isi minyak ke dalam tong, dua warga Singapura tunjuk samseng

RASANYA tidak keterlaluan jika penulis katakan yang sesetengah warga Singapura cenderung mempamerkan perangai pelik ketika berada di Malaysia.

Terbaru, dua warga negara itu tidak semena-mena ‘naik hantu’ dengan seorang penghantar makanan di sebuah stesen minyak di sekitar Iskandar Puteri, Johor Bahru.

Menurut laporan, kedua-dua lelaki itu bertindak berang setelah ditegur rider terbabit ketika cuba mengisi minyak ke dalam tong dipercayai hendak digunakan untuk aktiviti ‘go-kart’.

Menerusi video berdurasi satu minit 40 saat yang tular di media sosial, kedua-dua lelaki itu dilihat bertengkar dengan rider tersebut sambil ditenangkan oleh dua anggota polis bantuan yang berada di tempat kejadian.

Salah seorang daripada lelaki itu juga bertindak membuka bahagian belakang kenderaan utiliti sukan (SUV) sebelum mengeluarkan sebatang pengunci stereng dipercayai cuba melakukan provokasi kepada rider berkenaan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak Sunway Box di Iskander Puteri pada jam 8.37 malam, 16 Jun lalu.

Laporan polis telah dibuat pada hari yang sama oleh rider berusia 44 tahun itu.

Honda CBR150R kini dalam warna Pearl Nightfall Blue, harga RM13,299

BOON Siew Honda (BSH) telah mengumumkan pilihan warna baharu untuk Honda CBR150R iaitu Pearl Nightfall Blue.

Menurut syarikat itu, CBR150R dengan skema warna biru kuning itu akan tersedia di semua pengedar sah Honda di seluruh negara bermula 22 Jun 2023. Harga jualan bermula dari RM13,299 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Spesifikasi tidak berubah, bermakna ia masih dilengkapi dengan lampu LED penuh, panel meter digital yang memaparkan pelbagai informasi penting dan brek cakera beralun dengan ABS dwi saluran.

‘Nadi’ jentera ini adalah enjin sejukan cecair DOHC silinder tunggal bersesaran 150cc yang menghasilkan 16 hp pada 9,000 rpm dan 13.7 Nm pada 7,000 rpm. Enjin ini dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api Programmed Fuel Injection (PGM-Fi).

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan dengan klac jenis ‘slipper’ yang dikatakan mempunyai operasi yang lebih mudah dan selesa.

Untuk sistem suspensi, CBR150R dilengkapi dengan fork teleskopik terbalik dan penyerap hentak Pro-Link. Rim yang digunakan adalah berukuran 17 inci, dibalut tayar bersaiz 100/80 di depan dan 130/70 di belakang.

Bagi model ini, Boon Siew Honda menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Toyota Innova Zenix dilancarkan di Malaysia sebagai MPV premium – harga dari RM165k

SELEPAS dilancarkan di Indonesia pada November tahun lalu, Toyota Innova Zenix serba baharu kini memasuki pasaran Malaysia pula.

Di sini, Innova Zenix boleh didapati dalam dua varian iaitu 2.0V dengan lapan tempat duduk dan 2.0 HEV dengan tujuh tempat duduk. Harga jualan (on-the-road tidak termasuk insurans) bermula dari RM165,000 untuk varian 2.0V dan RM202,000 untuk HEV.

Seperti yang anda mungkin sudah tahu, Innova Zenix dibina di atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang menggantikan kerangka jenis ladder frame pada model generasi terdahulu.

Ia mempunyai ukuran panjang 4,760 mm, lebar 1,850 mm, tinggi 1,795 mm, bermakna ia sedikit lebih panjang dan lebar berbanding model sedia ada. Bukan itu sahaja, ukuran tapak roda turut bertambah sebanyak 100 mm dari 2,750 mm sebelum ini kepada 2,850 mm.

Dibangunkan sebagai model premium, Innova Zenix didatangkan standard dengan lampu LED pada bahagian depan dan belakang, lampu nyalaan siang LED, dan rim 18 inci dengan tayar berukuran 255/50.

Untuk pasaran Malaysia, terdapat lima warna yang boleh dipilih iaitu Metallic Gray, Attitude Black, Avantgarde Broze, Silver dan Platinum White Pearl. Sebagai tambahan, UMW Toyota Motor turut menawarkan warna Super White untuk pelanggan fleet.

Masuk ke dalam, anda akan menemui skrin sentuh berukuran 10.1 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, paparan multi-info bersaiz tujuh inci, dan sistem pendingin hawa automatik dengan corong pada barisan kedua dan ketiga.

Menariknya, penumpang pada barisan kedua boleh mengubah suhu dan kelajuan kipas menerusi panel kawalan yang terdapat pada bahagian belakang kotak konsol. Selain itu, terdapat empat port pengecas USB (dua di depan, dua di belakang) dan dua soket 12V.

Sebagai model tujuh tempat duduk, Innova Zenix 2.0 HEV mendapat kerusi kapten pada barisan kedua dan juga bumbung suria panoramik.

Innova Zenix 2.0V dikuasakan oleh enjin petrol M20A-FKS 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 174 PS dan 205 Nm. Kuasa disalurkan ke roda depan oleh transmisi jenis Direct Shift CVT dengan 10 kelajuan.

Sementara itu, Innova Zenix 2.0 HEV pula menampilkan gabungan enjin M20A-FXS 2.0-liter empat silinder, sebuah motor elektrik, bateri jenis Ni-Mh dan transmisi e-CVT.

Gandingan ini memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 186 PS. Selain tiga mod pemanduan standard, varian hibrid ini juga mempunyai mod EV yang membolehkan kereta dipandu menggunakan kuasa elektrik sahaja dalam jarak dekat.

Untuk sistem suspensi, Innova Zenix menggunakan topang MacPherson pada bahagian depan dan torsion beam pada bahagian belakang. Toyota mendakwa sistem suspensi ini ditala khusus mengikut keadaan jalan raya di Malaysia.

Untuk sistem keselamatan pula, kedua-dua varian dilengkapi dengan Toyota Safety Sense (TSS) 3.0 yang menggunakan sensor kamera dengan sudut pengesanan yang lebih luas dan jarak pengesanan lebih jauh.

TSS 3.0 merangkumi sistem-sistem keselamatan aktif seperti Pre-Collision System, Dynamic Radar Cruise Control, Auto High Beam, Lane Departure Alert, Lane Tracing Assist dan Road Sign Assist.

Turut disertakan adalah Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert, Vehicle Stability Control, Hill Start Control, Emergency Stop Signal, Tyre Pressure Monitoring System dan enam beg udara.

Seperti model-model lain yang ditawarkan oleh UMW Toyota Motor, Innova Zenix didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Untuk varian 2.0 HEV, ia juga mendapat jaminan berasingan selama lapan tahun, tanpa had perbatuan untuk pek bateri, inverter dan Power Management Control.

Proton X90 catat 5,000 tempahan sejak dilancarkan, varian Flagship laku keras

PROTON mengesahkan bahawa ia telah menerima hampir 5,000 tempahan untuk Proton X90 sejak ia dilancarkan pada Mei lalu.

Perkara ini diumumkan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah selepas majlis pelancaran pusat pengalaman digital Proton DX di Quill City Mall, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Roslan berkata, sambutan yang diterima untuk model SUV itu sangat menggalakkan dan sehingga ke hari ini, sudah lebih 500 unit diserahkan kepada pelanggan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah

“Kami menjangkakan penghantaran kepada pelanggan akan bertambah pada Julai nanti dan tempoh menunggu kini juga adalah kurang daripada enam bulan untuk mendapatkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-D ini,” katanya.

Tambahan Roslan lagi, varian Flagship muncul sebagai pilihan utama pembeli. X90 juga membantu menambah jumlah sasaran jualan Proton pada tahun ini melebihi yang dicatatkan pada tahun lalu iaitu 141,432 unit.

Selain itu, model Saga terus menjadi model paling laris jualannya selain X50 yang menjadi pilihan utama pembeli Proton di negara ini.

X90, yang merupakan kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama Proton, dilancarkan ke pasaran tempatan pada 7 Mei lalu. Ia boleh didapati dalam empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship, dengan harga bermula dari RM123,800.

Suzuki Jimny Rhino Edition dilancarkan di Malaysia – 30 unit sahaja, RM175k

NAZA Eastern Motors Sdn Bhd, pengedar rasmi kereta Suzuki di Malaysia, telah melancarkan Suzuki Jimny Rhino Edition yang ditawarkan dalam bilangan yang terhad iaitu 30 unit sahaja.

Dengan harga jualan bermula dari RM174,900, Jimnya Rhino Edition didatangkan dalam satu warna sahaja iaitu Pure Pearl White. Warna ini dipadankan dengan grafik berwarna merah, kelabu dan hitam, serta tulisan “Real Offroader” pada bahagian sisi.

Selain itu, model ini juga tampil dengan logo ikonik Rhino sebagai penghormatan kepada Jimny generasi kedua (siri SJ) yang diperkenalkan buat pertama kali pada 1981.

Sebagai pelengkap pakej, Jimny Rhino Edition turut mendapat gril Suzuki Heritage, kemasan krom pada cermin sisi, under garnish pada bahagian sisi dan bampar depan, pelindung lumpur berwarna merah serta penutup tayar ganti belakang lengkap dengan logo Rhino.

Turut disertakan untuk memberi perlindungan tambahan adalah pelindungan differential depan dan belakang, serta penghadang hujan dan angin.

Walaupun Jimny Rhino Edition ini terhad kepada 30 unit sahaja, pemilik Jimny sedia ada yang mahukan penampilan agresif yang sama boleh mendapatkan kit Rhino Edition pada harga RM15,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza Automotive, Mohd Rizal Jailan berkata, “Inisiatif ini mempamerkan komitmen kami untuk meningkatkan pengalaman pemilikan dimana kesemua pelanggan kami mendapat peluang untuk memberi sentuhan peribadi kepada kenderaan mereka mengikut citarasa mereka.”

Jimny Rhino Edition kini boleh didapati di bilik pameran Suzuki Cars di Naza Automall, Petaling Jaya. Untuk maklumat lanjut mengenai Suzuki Jimny edisi Rhino atau  menempah sesi pandu uji, sila hubungi wakil Naza Eastern Motors di talian +6010 274 4480 (Faiz) atau +60 12 584 0068 (Khairul).

Suzuki GSX-8S dilancarkan di Malaysia – harga dari RM50,800

SELAIN V-Strom 800DE, Suzuki Motor Sdn Bhd (SMSB) turut melancarkan satu lagi model menarik ke pasaran Malaysia iaitu Suzuki GSX-8S.

Jentera naked saiz pertengahan ini membuat kemunculan sulungnya di EICMA 2022 dan hadir ke pasaran motosikal tempatan sebagai model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

Ia dijual pada harga RM50,800 untuk 50 unit pertama, bersama jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Pelanggan boleh memilih dari tiga warna yang ditawarkan iaitu Pearl Cosmic Blue, Pearl Tech White dan Metallic Mat Black No. 2/Glass Sparkle Black.

Sama seperti V-Strom 800DE, GSX-8S dikuasakan oleh enjin 776 cc parallel twin DOHC baharu yang mempunyai susun atur aci engkol 270 darjah dan teknologi Suzuki Cross Balancer.

Kuasa yang dihasilkan oleh enjin berkenaan dikawal menerusi sistem elektronik yang terdiri daripada Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.), pendikit elektronik Ride-by-Wire, Suzuki Traction Control System, Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) dan Low RPM Assist.

Untuk Traction Control, terdapat tiga mod dengan sensitivi yang berbeza iaitu Mode 1, Mode 2 dan Mode 3. Bukan itu sahaja, penunggang juga boleh memilih mod Off untuk mendapatkan kawalan sepenuhnya ke atas pendikit.

Selain itu, terdapat juga quickshifter dua arah yang membolehkan penunggang menaikkan atau menurunkan gear dengan lancar tanpa menggunakan klac.

Untuk sistem suspensi, GSX-8S menggunakan fork terbalik 41 mm dan penyerap hentak tunggal, kedua-duanya keluaran Kayaba, manakala tugas membrek pula diserahkan kepada cakera 310 mm di depan dan 240 mm di belakang, berserta angkup Nissin.

Satu lagi kelengkapan yang tersedia adalah skrin TFT LCD berwarna lima inci yang memaparkan pelbagai jenis informasi termasuk speedometer, tachometer, posisi gear dan status quickshifter.

Suzuki V-Strom 800DE masuk pasaran Malaysia pada harga RM60,800

SUZUKI Motor Sdn. Bhd. (SMSB) telah melancarkan motosikal adventure baharu ke pasaran tempatan iaitu Suzuki V-Strom 800DE. Ia hadir sebagai model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

Bersempena dengan pelancaran ini, SMSB menawarkan harga istimewa bermula dari RM60,800 tetapi promosi ini adalah untuk 50 unit pertama sahaja. Ia didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Diperkenalkan buat pertama kali di EICMA 2022, V-Strom 800DE menampilkan enjin parallel twin bersesaran 776 cc dengan susun atur aci engkol 270 darjah dan sistem Suzuki Cross Balancer.

Enjin ini dikatakan mempunyai 84.3 hp pada 8,500 rpm dan 78 Nm pada 6,800 rpm, disalurkan ke roda belakang oleh transmisi enam kelajuan dengan Suzuki Clutch Assist System (SCAS) untuk penukaran gear yang lebih lancar.

Untuk sistem suspensi, V-Strom 800DE menggunakan sistem keluaran Showa dengan stroke dan jarak gerak (travel) yang lebih panjang pada bahagian depan dan belakang – 220 mm.

Rim yang digunakan pula adalah jenis lidi berukuran 21 inci di depan dan 17 di belakang, sekaligus memberikan motosikal ini jarak lega tanah setinggi 220 mm.

Selain itu, ia dilengkapi dengan tangki bahan api besar berkapasiti 20 liter untuk memberikan keyakinan terutamanya untuk tunggangan jarak jauh.

Antara sistem elektronik yang terdapat pada V-Strom 800 DE adalah Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.) dengan Suzuki Drive Mode Selector (SDMS), Quickshifter dua arah, pendikit elektronik Ride-by-Wire dan Suzuki Traction Control dengan mod Gravel.

Turut disertakan adalah mod Rear ABS Cancel yang sesuai digunakan ketika menunggang di atas permukaan tidak berturap. Semua sistem elektronik tersebut boleh diakses menerusi paparan TFT LCD berukuran lima inci.

Untuk pasaran Malaysia, V-Strom 800DE boleh didapati dalam dua warna iaitu Champion Yellow No. 2 dan Glass Mat Mechanical Gray.

Proton DX tawar pengalaman digital kepada peminat kereta dan teknologi

ACO Tech, sebuah syarikat yang bernaung di bawah kumpulan Proton, hari ini melancarkan pusat pengalaman digital pertamanya yang dikenali sebagai Proton DX (Digital Experience).

Terletak di Quill City Mall, Kuala Lumpur, Proton DX dibuka untuk menarik peminat kereta dan teknologi dari semua peringkat usia, selain menjadi platform untuk mengembangkan minat generasi muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pusat berkeluasan 5,275 kaki persegi ini menawarkan pengalaman yang unik menerusi gabungan elemen teknologi interaktif, rekreasi dan gaya hidup. Ia mempunyai enam zon iaitu Kokpit Virtual, Zon Aktiviti, Aico Cafe, Zon Gaya Hidup, ATLAS Mall dan Delivery Bay.

Sebagai tumpuan utama, Kokpit Virtual membolehkan pengunjung mengalami mobiliti pintar menerusi pemanduan maya di dalam sebuah ruang seakan teater tertutup.

Zon Aktiviti pula merupakan satu ruang interaktif di mana pengunjung boleh menikmati permainan pengesan pergerakan secara individu atau bersama keluarga dan rakan-rakan.

Selepas melakukan pelbagai aktiviti, pengunjung boleh berehat dan menikmati pelbagai minuman dan makanan di Aico Cafe.

Selain itu, pengunjung boleh membeli aneka barangan cenderahati di Zon Gaya Hidup yang menampilkan pakaian aktif unik dan barangan gaya hidup hasil kolaborasi antara Proton DX dan Joma.

Tidak cukup dengan itu, pengunjung juga boleh mendapatkan produk yang dijual di dalam aplikasi ATLAS Auto, serta barangan rasmi daripada jenama lain dalam Kumpulan Geely seperti Lynk & Co dan Zeekr di ATLAS Mall.

Akhir sekali, Proton DX juga mempunyai perkhidmatan penghantaran kereta khas di Delivery Bay bagi meningkatkan keterujaan pelanggan.

Proton DX dibangunkan oleh ACO Tech dengan kerjasama Proton dan China Construction Bank (CCB). Ia dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam dan terletak di Tingkat Bawah (Ground Floor), Quill City Mall, 1018, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Budak lima tahun maut dirempuh Lamborghini Urus dipandu Youtuber

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut, manakala adik dan ibunya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka dirempuh oleh sebuah Lamborghini Urus dalam kejadian di Rom, Itali.

Menurut laporan media tempatan, Urus berwarna biru itu dipandu oleh pempengaruh media sosial, Matteo Di Pietro. Turut berada di dalam SUV berprestasi tinggi itu adalah empat lagi rakannya.

Tiga daripada mereka merupakan Youtuber daripada saluran “TheBorderline” yang mempunyai lebih 600,000 pengikut di platform media sosial itu.

Ketika kejadian, Di Pietro dan rakan-rakannya itu dipercayai sedang membuat rakaman cabaran memandu Urus tersebut secara berterusan selama 50 jam.

Beberapa jam sebelum kejadian, salah seorang daripada mereka iaitu Vito Loiacono dilaporkan telah memuat naik satu video yang menunjukkan dia sedang mengejek seorang wanita kerana memandu kereta murah.

Loiacono bagaimanapun telah menafikan dia sedang memandu ketika kemalangan itu berlaku. Polis juga telah mengesahkan Di Pietro sebagai pemandu, dengan faktor kelajuan sebagai punca kemalangan.

Saksi memberitahu media bahawa pemandu dan penumpang di dalam Urus itu menyindir pemandu lain, serta memandu secara melulu sambil membuat rakaman. Seketika kemudian, SUV itu merempuh kereta jenis smart forfour yang dipandu mangsa.

Mangsa dikenali sebagai Manuel Proietti, 5, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala adik dan ibunya, masing-masing berusia 4 dan 35 tahun, dikejarkan ke hospital. Keadaan mereka tidak diketahui.

Di Pietro, 20, disiasat kerana membunuh, manakala empat lagi rakannya disiasat bersubahat menyebabkan kematian.

TotalEnergies, Li-Ning lancar kejohanan badminton 3v3 pertama di Malaysia

TotalEnergies Malaysia dan Li-Ning Malaysia telah melancarkan kejohanan rasmi 3V3 TotalEnergies x Li-Ning Cup 2023 untuk pemain bukan profesional di Malaysia.

Ini adalah kejohanan badminton 3V3 (tiga lawan tiga) pertama yang dianjurkan secara bersama kedua-dua syarikat itu di Asia Tenggara.


3V3 TotalEnergies x Li-Ning Cup akan memulakan perlawanan pertama di Kuala Lumpur pada 15 September 2023, diikuti Johor, Pulau Pinang dan Kuching, Sarawak. Pemenang-pemenang dari setiap negeri kemudiannya akan bertanding di Grand Finale pada 18 dan 19 November 2023 di Kuala Lumpur.

Berikut adalah kategori-kategori yang dipertandingkan:

  • Pasukan Lelaki dengan dua kumpulan umur – bawah 30 dan ke atas 30 tahun
  • Pasukan Terbuka Campuran (Mixed Open Team) dengan sekurang-kurangnya seorang pemain wanita
  • Pasukan Keseronokan Campuran (Mixed Fun Team) dengan sekurang-kurangnya seorang pemain di bawah umur 15 tahun

Yuran pendaftaran RM300 akan dikenakan bagi setiap pasukan, dengan cenderahati bernilai RM900 dihadiahkan kepada setiap pasukan yang bertanding. Selain itu, terdapat hadiah berjumlah RM338,800 untuk dibawa pulang oleh pemenang kejohanan ini.

Kejohanan ini terbuka kepada warganegara Malaysia sahaja. Pemain kebangsaan atau profesional telah menyertai kejohanan antarabangsa di bawah Badminton Asia dan BWF dalam tempoh lima tahun yang lalu (2018-2023) tidak layak menyertai kejohanan tersebut.

Untuk pengetahuan anda, kejohanan badminton TotalEnergies Li-Ning Li Yongbo Cup 3V3 dipertandingkan di lebih 20 bandar di seluruh China setiap tahun sejak 2017 lagi.

TotalEnergies juga merupakan penaja utama serta Rakan Tenaga Rasmi dan Rakan Minyak Pelincir Rasmi Kejohanan Utama Persekutuan Badminton Dunia (BWF) termasuk Kejohanan Dunia BWF, Kejohanan Akhir BWF Piala Thomas dan Uber, dan Kejohanan Akhir BWF Piala Sudirman.

TotalEnergies telah menandatangani memorandum persefahaman dengan S-OIL TotalEnergies Lubricants Co., Ltd untuk menjadi rakan rasmi Persatuan Badminton Korea dan rakan penaja kejohanan badminton antarabangsa yang diadakan di Korea.

PUSPAKOM perkenal program PAR untuk cegah manipulasi orang tengah

DALAM usaha untuk memperkukuhkan integriti dan mengekalkan tahap amalan tertinggi di dalam semua urusan perniagaan, PUSPAKOM Sdn Bhd telah melancarkan program Wakil Pelanggan Yang Diluluskan oleh PUSPAKOM atau PUSPAKOM Approved Customer Representative (PAR).

Syarikat itu berkata, lazimnya ramai pelanggan mereka menggunakan khidmat orang tengah atau runner bagi urusan pemeriksaan kenderaan.

Bagaimanapun, ada segilintir runner yang memanipulasi, mengenakan caj perkhidmatan yang tinggi dan memberi maklumat palsu kepada pelanggan.

Pelanggan kemudiannya membuat aduan dan ini telah memberi persepsi buruk terhadap imej PUSPAKOM.

Menerusi pengenalan PAR, syarikat itu berharap dapat mengatasi isu-isu negatif dan amalan tidak beretika oleh sesetengah runner ini.

Dengan kerjasama pihak berkuasa, PUSPAKOM akan menjalankan saringan latar belakang bagi semua runner dan hanya mereka yang lulus saringan akan didaftar sebagai PAR.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Shukor Ismail berkata, “Program PAR ini adalah satu inisiatif bagi mewujudkan suatu persekitaran yang positif dan situasi yang telus dan beretika bagi pihak-pihak yang berurusan di PUSPAKOM.

Walau bagaimanapun, beliau masih mengalu-alukan orang ramai untuk hadir sendiri ke pusat pemeriksaan PUSPAKOM kerana inisiatif ini tidak berniat untuk menafikan hak pelanggan untuk hadir sendiri.

Pelanggan yang ingin menggunakan khidmat orang tengah digalakkan untuk mendapatkan khidmat PAR melalui senarai PAR di www.puspakom.com.my.

Yamaha Tracer 9 GT kini dalam dua warna baharu – harga RM70k

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) telah mengumumkan pengenalan dua warna baharu bagi model Yamaha Tracer 9 GT, iaitu Pure White dan Midnight Black.

Menurut syarikat itu, Tracer 9 GT dalam pilihan warna baharu itu tersedia di semua wakil pengedar Yamaha Big Bike bertauliah di seluruh negara bermula hari ini, 16 Jun.

Harga jualan (tidak termasuk pendaftaran dan insurans) bermula dari RM69,998, menunjukkan peningkatan sebanyak RM500 berbanding ketika ia dilancarkan pada November 2021.

Seperti biasa, setiap pembelian didatangkan dengan kunci cakera brek bernilai RM100 secara percuma.

Tiada perubahan dari spesifikasi, bermakna Tracer 9 GT kekal dengan enjin 889 cc tiga silinder yang menjana 117 hp pada 10,000 rpm dan 93 Nm pada 7,000 rpm.

Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan klac jenis slip and assist.

Tracer 9 GT menggunakan kerangka aluminium Deltabox yang dipadankan dengan sistem suspensi elektronik Kayaba. Sistem brek terdiri daripada cakera hidraulik berkembar di depan dan cakera tunggal hidraulik tunggal di belakang.

Untuk sistem elektronik pula, terdapat Inertial Measurement Unit (IMU) 6-paksi, Quickshift System, Yamaha Chip Controlled Throttle (YCC-T) dengan Accelerator Position Grip Sensor (APSG), dan Cruise Control.

Selain itu, turut disertakan adalah lampu LED sepenuhnya pada bahagian depan dan belakang, LED Cornering Light dan paparan TFT berkembar berukuran 3.5 inci.

Kuala Lumpur Bike Show 2023 bakal diadakan 24-27 Ogos – pameran motosikal, basikal, aksesori dan konsert menanti pengunjung

KUALA Lumpur Bike Show 2023 (KLBS ’23) akan diadakan buat julung kalinya di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL) dari 24 hingga 27 Ogos ini.

Dianjurkan oleh Moventuum Sdn Bhd dan Majalah RodaRoda (Bayu D Enterprise Sdn Bhd), KLBS ’23 akan menjadi pameran pertama seumpamanya di Malaysia yang memfokuskan kepada industri dua roda.

Farouk Nurish, Pengarah Moventuum Sdn Bhd berkata, “Direka untuk menarik perhatian pengunjung antarabangsa, KLBS ’23 akan menjadi acara utama untuk dua roda di rantau ini. Kami bercita-cita terus mengembangkan acara ini untuk tahun-tahun akan datang.”

KLBS ’23 bagaimanapun tidak hanya akan menumpukan kepada pameran motosikal dan basikal sahaja semata-mata. Menurut pihak penganjur, pelbagai program menarik telah diatur untuk acara yang akan diberlangsung selama empat hari itu.

Antaranya adalah pelancaran model-model baharu, pasaran aksesori, sesi pandu uji dan pertunjukan fesyen. Akan turut diadakan adalah sesi perbincangan meja bulat bertemakan ‘The New Era of Road Safety’ dan ‘Environmental,
Social and Governance (ESG) and Mobility’.

Bukan itu sahaja, KLBS ’23 juga akan menyajikan konsert yang menampilkan kumpulan rock terkemuka negara iaitu Wings. Tiket untuk konsert ini akan dibuka untuk jualan bermula 1 Julai.

Pengarah Bayu D Enterprise (penerbit Majalah RodaRoda), Dr Yusseri Yusoff berkata, “Kuala Lumpur Bike Show, dalam tahun pertamanya, bakal menjadi platform yang sangat diperlukan oleh jenama dan pemain industri untuk mengetengahkan teknologi terkini dan pembangunan produk.”

Tiket early bird KLBS’ 23 boleh dibeli bermula sekarang hingga 30 Jun. Harga tiket harian adalah RM18 untuk dewasa dan RM13 untuk kanak-kanak. Untuk pas 4 hari pula, tiket berharga RM45 untuk dewasa dan RM25 untuk kanak-kanak. Bermula 1 Julai, tiket akan dijual pada harga biasa.

Perodua Axia E dilancarkan – nah versi Rahmah manual, RM22k sahaja

SEPERTI yang dijanjikan, Perodua akhirnya melancarkan Axia versi manual yang dikenali secara rasmi sebagai Axia E. Seperti yang boleh dilihat, varian ini tidak menggunakan badan Axia generasi baharu yang dilancarkan pada Februari lalu, sebaliknya ia adalah berasaskan model tahun 2017.

Disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah dan juga sekolah-sekolah memandu, Axia E dijual pada harga RM22,000 tidak termasuk insurans.

Ia boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Ivory White, Glittering Silver dan warna baharu yang dikenali sebagai Granite Grey.

“Perodua Axia E adalah sebahagian daripada objektif asal kami untuk menyediakan mobiliti yang mampu milik dan berkualiti untuk semua rakyat Malaysia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Tambah beliau lagi, berdasarkan perbincangan dengan institusi-institusi kewangan tempatan, kos ansuran bulanan untuk memiliki Axia E hanya sekitar RM300, sama yang perlu dibayar oleh seseorang untuk membeli motosikal baharu.

Dari segi spesifikasi, Axia E dikuasakan oleh enjin 1KR-VE 1.0-liter tiga silinder, iaitu enjin sama yang boleh ditemui pada Axia generasi baharu. Enjin ini menghasilkan 67 hp dan 91 Nm, yang disalurkan ke roda depan oleh transmisi manual lima kelajuan.

Selain itu, ia didatangkan dengan dua beg udara, sistem peringatan tali pinggang keledar untuk pemandu dan jaminan selama lima tahun. Ia juga mendapat penarafan 4-bintang ASEAN NCAP oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

“Walaupun kami tidak menentukan siapa pelanggan kami, kami percaya bahawa model ini menjadi pilihan yang dialu-alukan oleh majoriti rakyat Malaysia.

“Perodua Axia E telah diuji dan terbukti dalam pasaran selama bertahun-tahun dan kami percaya varian ini akan memenuhi peranan semasanya untuk member peluang kepada pemilik motosikal bagi memiliki kereta baharu,” tambah Dato’ Zainal.

Triumph Street Triple 765 Moto2 Edition – hanya 6 unit untuk Malaysia, harga RM90k

TRIUMPH Motorcycles Malaysia, yang kini berada di bawah naungan Didi Group, baru-baru ini mengumumkan kehadiran model edisi Triumph Street Triple 765 Moto2 Edition ke pasaran tempatan.

Daripada 765 unit yang dihasilkan untuk pasaran global, hanya enam unit yang berjaya dibawa masuk oleh Triumph Motorcycles Malaysia. Harga jualan bermula dari RM89,900.

Bagaimanapun, jika anda membaca artikel ini bermakna anda sudah terlambat kerana menurut syarikat itu, keenam-enam unit telah pun dijual.

Street Triple 765 Moto2 Edition dihasilkan sempena penglibatan Triumph sebagai pembekal enjin bagi kejohanan Moto2. Ia dilengkapi dengan spesifikasi tertinggi pernah ditawarkan pada model Street Triple.

Pertama sekali, jentera ini didatangkan dengan panel badan yang diperbuat daripada gentian karbon serta logo Moto2 bahagian badan, bar hendal dan skrin TFT. Setiap unit juga mempunyai nombor siri pengeluaran bagi menekankan statusnya sebagai model edisi terhad.

Ia menggunakan sistem suspensi boleh laras Öhlins yang merangkumi fork NIX30 dan penyerap hentak tunggal STX40, manakala untuk brek pula, terdapat cakera berkembar berukuran 310 mm dan angkup Brembo Stylema pada bahagian depan.

Selain itu, model ini juga mempunyai bar hendal jenis clip-on yang lebih rendah berbanding varian RS. Tayar yang digunakan pula adalah jenis Pirelli Diablo Supercorsa V3.

Untuk sistem elektronik pula, terdapat Cornering ABS, Cornering Traction Control dengan empat tahap, Front Wheel Lift Control dan lima mod tunggangan iaitu Rain, Road, Sport, Track dan Rider.

Street Triple 765 Moto2 Edition dikuasakan oleh enjin 765 cc tiga silinder yang ditala bagi menghasilkan 130 PS pada 12,000 rpm dan 80 Nm pada 9,500 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dengan ciri quickshifter.

Model ini diperkenalkan semasa majlis pembukaan bilik pameran Triumph Motorcycles Penang baru-baru ini. Merupakan salah satu daripada tiga bilik pameran yang dilancarkan oleh Didi Group, Triumph Motorcycles Penang dioperasikan oleh GB Motorcycles Sdn Bhd.

Penunggang Ducati maut jatuh ‘flyover’ SUKE akibat elak motosikal lawan arus

SEORANG lelaki meninggal dunia selepas tercampak dari motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya sebelum jatuh dari jejambat Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE).

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang kini tular di media sosial, penunggang motosikal jenis Ducati itu dilihat cuba mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus.

Mangsa kemudiannya gagal mengawal motosikal lalu terbabas dan merempuh pembahagi jalan sebelum terjatuh ke bawah jejambat.

Mangsa dikatakan mengalami kecederaan parah sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat selepas hasil siasatan awal diperoleh daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Ampang Jaya.

Gracshaw Gennex Japan Edition tawar 6 rekaan unik dari anak tempatan – RM420 seunit

GRACSHAW telah melancarkan barisan topi keledar edisi khas yang dikenali sebagai Japan Edition. Terdapat enam rekaan unik yang boleh dipilih, setiap satu dengan tema dan cerita yang tersendiri.

Model Japan Edition adalah berasaskan model Gennex yang mempunyai rekaan open-face dan double visor. Ia dijual pada harga RM420 seunit dan setiap topi keledar didatangkan dengan beg galas eksklusif.

Menurut Gracshaw, setiap topi keledar Japan Edition menampilkan elemen Jepun yang dikategorikan kepada tiga tema iaitu cerita rakyat, budaya pop dan catatan sejarah.

‘Kurita’ mendapat ilham reka bentuk daripada sotong gergasi dari kisah dongeng Jepun yang popular, manakala ‘Tsuru’ menampilkan burung jenjang bermahkota merah, spesis burung yang paling jarang ditemui dan dipercayai membawa tuah.

Sementara itu, ‘Japop’ diinspirasikan oleh budaya anime dan manga, menampilkan karakter-karakter menarik termasuk Astro Boy. ‘Tengu’ pula merupakan makhluk sakti nakal bermuka merah dan berhidung panjang yang dikatakan memiliki kuasa mengawal angin.

Rekaan ‘Oda’ memberi pengiktirafan kepada Nobunaga Oda, hulubalang Jepun yang berani semasa zaman Sengoku, manakala ‘Karasu’ pula menampilkan senjata yang digunakan oleh para ninja seperti shuriken, kunai dan kusarigama.

Farizan bin Md Akir dari Bahagian Pemasaran, Double Site Marketing, berkata model Japan Edition idireka bentuk di Pulau Pinang dan dibuat di Jitra, Kedah.

“Ini merupakan rangkaian topi keledar paling unik dan menarik daripada Gracshaw dan kami mengambil masa hampir lapan bulan untuk membangunkannya daripada peringkat konsep hinggalah kepada pengeluaran.” katanya lagi.

Topi keledar Gracshaw Japan Edition boleh dibeli secara dalam talian melalui https://shop.gracshaw.com, Kedai Rasmi Gracshaw di Shopee https://shopee.com.my/gracshaw.os dan melalui laman Facebook https://www.facebook.com/gracshaw.