All posts by Amirul Mukminin

Hantar pelajar ke sekolah guna helikopter, polis rujuk CAAM untuk tindakan lanjut

POLIS akan merujuk laporan berhubung sebuah helikopter yang mendarat di kawasan lapang Bukit Bandaraya Seksyen U11, Shah Alam kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk tindakan lanjut.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu susulan tular di media massa.

Katanya, sebuah helikopter didapati mendarat di lokasi berkenaan untuk menghantar seorang pelajar sekolah dari sebuah sekolah swasta di Setia Eco Park, Shah Alam.

“Helikopter itu mendarat kira-kira 15 minit sekitar jam 8 pagi di kawasan tanah lapang berhampiran Jalan U11/11D, Bukit Bandaraya Seksyen U11, di sini, hari ini.

“Susulan itu, satu laporan polis dibuat oleh Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

“Kes itu diklasifikasikan sebagai Refer Other Agency (ROA) kepada CAAM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Free Malaysia Today melaporkan seorang penduduk telah berkongsi video yang memaparkan helikopter itu berlepas dari sebuah kawasan lapang berdekatan kawasan perumahan di Shah Alam itu.

Terdapat juga gambar menunjukkan seorang kanak-kanak berjalan meninggalkan helikopter itu dengan juruterbang berdiri di tepi pesawat.

Kawasaki Ninja ZX-6R dapat kemaskini menyeluruh untuk 2024

SEGMEN motosikal supersport mungkin tidak serancak segmen-segmen lain namun ia tidaklah ‘mati’ sepenuhnya. Kawasaki, salah satu pengeluar yang masih bersaing dalam pasaran ini, baru-baru ini telah mengemaskini Ninja ZX-6R bagi model tahun 2024.

Dari segi penampilan, ZX-6R mendapat ‘wajah’ baharu menerusi cowling depan dan lampu LED yang direka semula, serta cermin penghadang angin yang lebih rendah. Tidak seperti sebelum ini, bahagian di sekeliling RAM Air Intake dicat sepenuhnya.

Jentera ini masih lagi dikuasakan oleh enjin DOHC 636 cc empat silinder sebaris cuma cam profile-nya telah dikemas kini untuk mendapatkan prestasi rpm julat rendah yang lebih baik dan membantu mematuhi piawaian emisi yang lebih ketat.

Selain itu, Kawasaki turut menala semula penyuntik untuk pengabusan (atomisation) bahan api yang lebih tepat dan mereka bentuk semula corong kemasukan kotak udara untuk meningkatkan pecutan pada rpm julat pertengahan.

Satu lagi penambahbaikan yang telah dilakukan adalah pada sistem ekzos. Menurut syarikat itu, paip header kini mempunyai susun atur baharu untuk mencapai emisi yang lebih bersih serta meningkatkan respon dari sensor O2.

Sistem suspensi terdiri daripada Showa Separate Function Fork—Big Piston (SFF-BP) pada bahagian depan dan penyerap hentak Showa dengan fungsi pelarasan sepenuhnya pada bahagian belakang.

Untuk kuasa membrek, ZX-6R menggunakan cakera berkembar 310 mm dengan angkup monobloc empat piston pada bahagian depan. Bahagian belakang pula dilengkapi dengan cakera 220 mm dan angkup tunggal. Tayar yang digunakan adalah jenis Pirelli Diablo Rosso IV.

Sistem elektronik juga telah dipertingkatkan menerusi penambahan Kawasaki Intelligent Anti-Lock Brake System (KIBS) dan tiga mod tunggangan iaitu Sport, Road dan Rain. Ciri-ciri seperti Kawasaki TRaction Control (KTRC), Power Mode Selection dan Quickshifter masih tersedia seperti sebelum ini.

Sistem-sistem ini boleh diakses menerusi paparan TFT berwarna 4.3 inci baharu yang turut memuatkan speedometer digital, tachomoter jenis bar, posisi gear, lampu penukaran gear, tolok bahan api, meter perjalanan, kadar penggunaan bahan api dan pelbagai lagi.

Bukan itu sahaja, penunggang kini boleh menyambungkan telefon pintar mereka menerusi Bluetooth dan menggunakan aplikasi Rideology untuk mengakses fungsi-fungsi seperti info kenderaan, log tunggangan dan panggilan.

Di Amerika Syarikat, harga jualan Ninja ZX-6R bermula dari USD11,299 (RM52,173) hingga USD12,299 (RM56,790).

Mitsubishi Colt 2023 diperkenalkan untuk pasaran Eropah, rebadge dari Renault Clio

COLT bukanlah satu nama yang asing bagi peminat Mitsubishi. Kini, setelah beberapa tahun menghilang dari pasaran, Colt kembali ke pasaran Eropah sebagai sebuah model hatchback lima pintu yang bergaya.

Jika anda fikir model ini nampak saling tak ubah dengan Renault Clio facelift yang diperkenalkan pada April lalu, anda sebenarnya tidak salah. Colt baharu ini sememangnya adalah versi rebadge kepada Clio dan ia juga dibina menggunakan platform CMF-B yang dibangunkan oleh perikatan Renault-Nissan-Mitsubishi.

Walaupun begitu, Colt mempunyai elemen reka bentuknya yang tersendiri seperti rekaan gril Dynamic Shield, lampu nyalaan siang LED berbentuk L serta tulisan ‘MITSUBISHI’ pada bahagian tailgate.

Ruang dalamannya menampilkan rekaan papan pemuka yang serupa dengan Clio, dengan paparan berukuran tujuh atau 9.3 inci berserta Apple CarPlay/Android Auto dan kluster instrumen digital sebagai antara ciri utama.

Bergantung kepada varian, Colt juga didatangkan dengan sistem audio premium Bose, serta pelbagai jenis sistem bantuan pemandu termasuk Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go, Lane Departure Prevention, Forward Collision Mitigation, Lane Departure Warning, Auto High Beam, Traffic Sign Recognition, Blind Spot Warning dan Rear Cross Traffic Alert.

Untuk enjin pula, Colt akan ditawarkan dengan trenkuasa hibrid yang menampilkan gabungan enjin petrol 1.6-liter, dua motor elektrik (alternator-starter dan motor utama), transmisi automatik dan bateri 1.2 kWj.

Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh mendapatkan versi enjin turbo 1.0-liter dengan transmisi manual enam kelajuan atau versi 1.0-liter naturally aspirated yang dipadankan dengan transmisi automatik lima kelajuan.

Triumph Batu Caves dilancarkan, pusat penjualan pertama di bawah Didi Automotive

TRIUMPH Motorcycles Malaysia akan merasmikan tiga pusat jualan baharu sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk memperkembangkan rangkaian pengedaran dan memperkukuhkan jenama motosikal itu di negara ini.

Nampaknya Batu Caves menjadi lokasi pilihan pertama untuk pusat penjualan Triumph di bawah kendalian Didi Automotive. Ia dioperasikan oleh Gene Advance Sdn Bhd yang telah dilantik sebagai rakan pengedar rasmi.

Menurut Didi Automotive, fasiliti baru di pusat pameran Triumph ini menyediakan pengalaman terbaik dalam industri kepada pelanggan, menawarkan kemudahan bertaraf dunia, kakitangan yang terlatih, serta servis selepas jualan dan khidmat pelanggan yang terbaik.

“Semangat Gene Advance terhadap motosikal dan dedikasi mereka yang teguh untuk menyampaikan pengalaman pelanggan yang cemerlang sepadan dengan nilai-nilai Triumph Motorcycles. Kecekapan mereka akan meningkatkan keupayaan kami untuk menyampaikan kegembiraan, kepuasan, dan kejayaan kepada peminat motosikal di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Bersempena dengan pelancaran ini, syarikat itu turut mengumumkan harga rasmi Triumph Trident 660 versi 2023 iaitu RM45,900.

Jentera naked ini dikuasakan oleh enjin sejukan cecair tiga silinder bersesaran 660 cc yang menghasilkan 81 PS pada 10,250 rpm dan 63.7 Nm pada 6,250 rpm. Ia dilengkapi dengan fork terbalik 41 mm dan penyerap hentak RSU dengan pelarasan pramuatan, kedua-duanya dari Showa.

Mereka yang berminat untuk melihat dengan lebih dekat barisan motosikal Triumph, boleh mengunjungi Triumph Batu Caves di No 1-3, Jalan Sri Batu Caves 9, Taman Sri Batu Caves, 68100 Batu Caves, Selangor.

Jualan UMW Toyota Motor meningkat 8 peratus pada Mei

UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan prestasi jualan mereka bagi bulan Mei 2023, di mana syarikat itu berjaya menjual sebanyak 7,875 unit kenderaan Toyota dan 129 unit kenderaan Lexus.

Angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 8,004 unit, 8 peratus lebih tinggi berbanding 6,767 unit yang dicatatkan pada April 2023.

Bagi jualan semasa bagi 2023 (YTD), jualan terkumpul UMWT telah mencecah sebanyak 39,990 unit dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, menunjukkan pertumbuhan sebanyak 8 peratus berbanding 36,972 unit yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Bulan Mei 2023 juga menyaksikan UMWT mengambil pendekatan proaktif dalam memenuhi tanggungjawabnya untuk menyediakan solusi pengangkutan rendah karbon bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia.

Sebagai contoh, syarikat itu membawa masuk beberapa unit contoh model kenderaan elektrik Toyota bZ4X untuk menjalankan penyelidikan pasaran dan penilaian teknikal dengan keadaan jalan raya tempatan.

Langkah ini selaras dengan strategi Toyota yang mensasarkan untuk mencapai neutraliti karbon dengan menawarkan pelbagai jenis pilihan, termasuk kenderaan elektrik bateri (BEV), kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV) dan kenderaan elektrik hibrid (HEV).

Dalam perkembangan lain, Lexus baru-baru ini membuka bilik pameran mesra eko pertamanya di Klang, membuktikan komitmennya dalam mengurangkan jejak karbon dan mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.

Pengedar rasmi, PCM Klang Motor pula menawarkan peluang kepada pemilik Toyota untuk menaik taraf kenderaan mereka kepada model Lexus menerusi program tukar-beli mereka.

Selain itu, Lexus RX generasi kelima telah dilancarkan dalam varian RX 350 Luxury, pada harga RM468,888 tidak termasuk insurans.

Akhir sekali, UMWT mengadakan promosi Toyota Extra Mile pada bulan ini di mana pelanggan berpeluang menikmati promosi bernilai sehingga RM8,000. Corolla ditawarkan dengan ansuran bulanan bermula RM1,108, manakala Vios pula boleh dimiliki dari RM688 sebulan.

Konvoi BMW dari Singapura terima 16 saman halang lalu lintas di jambatan kedua Pulau Pinang

POLIS telah mengeluarkan sebanyak 16 saman terhadap sekumpulan pemandu kereta yang berkonvoi sehingga menghalang lalu lintas di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) pada 9 Jun lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, bertindak atas maklumat pihaknya telah mengesan kesemua pemandu berkenaan menginap di sebuah hotel di Batu Ferringhi.

“Pegawai penyiasat telah ke hotel berkenaan semalam kira-kira jam 2.12 petang sebelum meminta kesemua pemandu yang terlibat tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan untuk tindakan lanjut.

“Susulan itu, seramai 12 pemandu telah hadir hari ini dan kita mengeluarkan 16 saman terhadap kesemua mereka.

“12 saman dikeluarkan atas kesalahan halang lalu lintas manakala empat lagi atas kesalahan nombor pendaftaran fancy,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Difahamkan, mereka yang disaman terdiri daripada warga tempatan dan Singapura.

Tindakan sekumpulan pemandu itu tular menerusi satu rakaman video TikTok berdurasi 2 minit 50 saat. Video itu memaparkan lebih daripada 10 buah kenderaan mewah dipandu secara beriringan dalam tiga barisan.

Untuk pengetahuan pembaca, JSAHMS atau lebih dikenali sebagai Jambatan Kedua hanya mempunyai dua lorong, bermakna peserta konvoi tersebut bukan sahaja telah menghalang laluan malah turut menggunakan lorong kecemasan.

Tesla Malaysia adakan sesi temuduga terbuka pada 17 Jun di Cyberjaya

IA bukanlah satu rahsia bahawa Tesla akan beroperasi secara rasmi di Malaysia dengan perkhidmatan jualan, servis dan rangkaian pengecas supercharger-nya yang tersendiri.

Pada April lalu, Tesla Malaysia telah menawarkan jawatan kosong dalam beberapa bidang termasuk IT, jualan dan operasi tempahan.

Dalam perkembangan terbaru, tular sebuah iklan di media sosial mengenai sesi temuduga terbuka di Tesla Malaysia untuk lima jawatan iaitu:

  • Penasihat jualan/penasihat jualan dalaman
  • Penasihat jualan perusahaan
  • Penasihat penghantaran
  • Pakar sokongan pelanggan
  • Penasihat servis

Sesi temuduga ini akan diadakan pada 17 Jun, dari 12 tengahari hingga 4 petang di Cyberview, Aras 4, Blok 3759, Persiaran Apec, Cyber 8, 63000 Cyberjaya, Selangor.

Calon yang berminat hanya perlu membawa salinan resuma ke lokasi temuduga. Pra-pendaftaran tidak perlu dilakukan, menurut iklan yang tersebar itu.

Ford Mustang GT3 bakal gegar 24 Hours of Le Mans 2024!

PERLUMBAAN 24 Hours of Le Mans 2024 bakal menyaksikan kemunculan jentera lumba terbaru dari Ford iaitu Mustang GT3.

Jentera ini akan menyertai perlumbaan endurance terkemuka itu dengan livery baharu dengan gabungan warna oren, biru, ungu dan merah yang direka oleh pereka terkenal iaitu Troy Lee. Ini merupakan kali pertama Lee terlibat dalam penghasilan livery untuk jenama itu.

Selain itu, ia juga menampilkan logo terkini Ford Performance yang lebih ringkas yang akan digunakan pada semua jentera lumba Ford selepas ini.

Menurut Ford Performance, Mustang GT3 dibina menggunakan Mustang Dark Horse sebagai asas. Ia memakai kit badan agresif yang merangkumi splitter dan canard pada bahagian depan, fender yang lebih lebar, spoiler gergasi dengan tiang jenis swan neck, serta diffuser pada bahagian belakang.

Untuk projek ini, Ford Performance meneruskan kerjasama mereka dengan Multimatic dan M-Sport. Multimatic, yang sebelum ini terlibat dengan projek Ford GT, akan membina Mustang GT3 ini, manakala M-Sport pula bertanggungjawab memasang enjin Coyote 5.4-liter V8 yang merupakan nadi jentera ini.

Kuasa tidak didedahkan, namun Ford memberitahu bahawa Mustang GT3 ini dilengkapi dengan suspensi lengan pendek-panjang, kotak gear transaxle pada gandar belakang, panel badan gentian karbon dan pakej aerodinamik yang mematuhi piawaian GT3.

Sebelum ke Le Mans yang akan berlangsung pada Jun 2024, Mustang GT3 akan bersaing dalam pelbagai siri perlumbaan GT3 di seluruh dunia menerusi pasukan pelanggan.

Pasukan pertama yang akan mempertaruhkan kereta ini adalah Proton Competition yang berpangkalan di Ehingen, Jerman. Pasukan itu akan mempertandingkan dua buah Mustang GT3 dalam kejohanan FIA World Endurance Championship bermula tahun depan.

Bukan itu sahaja, Ford Performance dan Multimatic Sports juga akan menyertai kelas GTD Pro IMSA dengan dua buah Mustang GT3.

Lexus GX (2024) jentera off-road mewah dengan platform TNGA, suspensi E-KDSS

NAMPAKNYA Lexus sedang rancak menyegarkan barisan SUV dan crossover-nya dengan model-model terkini. Selepas memperkenalkan LBX tempoh hari, jenama mewah Jepun itu kini mempersembahkan pula model kedua terbesarnya iaitu GX.

Kini dalam generasi ketiga, GX dibina di atas platform GA-F yang turut digunakan oleh LX dan Toyota Land Cruiser. Ia mempunyai kerangka ladder frame yang dipadankan dengan suspensi jenis double wishbone di depan dan multi-link di belakang.

Dari segi saiz, SUV ini mempunyai ukuran panjang 4,950 mm, lebar 1,980 mm, tinggi 1,865 mm dan tapak roda 2,850 mm. Berat keseluruhan tidak diketahui namun kenderaan sebesar ini beratnya melebihi dua tan.

GX generasi baharu akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin petrol iaitu enjin 3.5-liter twin-turbo V6 dan enjin hibrid 2.4-liter turbo. Kuasa yang dihasilkan tidak dinyatakan di dalam siaran media, namun kedua-duanya dipadankan dengan pacuan 4WD.

Menurut Lexus, gabungan enjin berkuasa dan sistem pacuan empat roda itu membolehkan GX dengan enjin V6 itu mencapai kapasiti menunda seberat 3,629 kg.

Selain 4WD, kemampuan off-road model ini diserlahkan lagi dengan limited-slip differential Torsen pada bahagian tengah, serta buat pertama kalinya bagi Lexus, sistem Electronic-Kinetic Dynamic Suspension System (E-KDSS) yang dikatakan mampu meningkatkan cengkaman di atas pelbagai jenis permukaan.

Lexus GX Overtrail

Turut diperkenalkan buat kali pertama adalah varian Overtrail yang hadir dengan pelbagai kelengkapan tambahan untuk pemanduan yang di dalam persekitaran yang lebih ekstrem.

Untuk bahagian luaran, varian ini didatangkan dengan kombinasi warna dwi tona dengan bumbung hitam, rim 18 inci dengan tayar jenis all-terrain berukuran 33 inci, overfender hitam dan skid plate aluminium.

Ruang dalamannya pula menampilkan reka bentuk tempat duduk eksklusif yang dikatakan dapat mengurangkan pergerakan kepala ketika pemanduan off-road, sekaligus membantu mengurangkan keletihan pemandu dan penumpang.

Selain E-KDSS, GX Overtrail juga didatangkan standard dengan Multi-Terrain Select (MTS), Crawl Control, Downhill Assist Control (DAC) dan 3D Multi-Terrain Monitor. Varian ini juga mendapat locking differential pada gandar belakang.

Menurut Lexus, GX baharu akan dilancarkan ke pasaran bermula hujung tahun ini.

Abang ‘sado’ tunjal kepala wanita dihukum penjara 7 hari

AKIBAT menunjal kepala dan mengugut untuk mencederakan seorang pemandu beberapa hari yang lalu, seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Tapah hari ini.

Tertuduh, Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, mengaku bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan dan mengugut seorang pemandu wanita. Video insiden itu tular di media sosial.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati menakutkan secara jenayah terhadap Amiera Atiqah Shahrizan, 24, di Lata Iskandar Kilometer 22 Jalan Tapah-Cameron Highland pada 5 Jun lalu, 5.33 petang dengan kata ugutan ‘pecah muka kau sat lagi’.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohammad Zaim Faiz didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa di lokasi dan masa yang sama atas kesalahan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara tujuh hari bagi kedua-dua pertuduhan itu. Mahkamah bagaimanapun menetap hukuman itu dijalankan serentak.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya J Geetha, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh memohon hukuman paling ringan memandangkan dia perlu menanggung isteri yang hamil lapan bulan dan anak berusia empat tahun dengan pendapatan bulanan RM4,000.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh disabitkan kedua-dua kesalahan.

BMW R 18 Edisi 100 Tahun masuk pasaran Malaysia – 10 unit sahaja, RM159,500

SELEPAS M 1000 R, BMW Motorrad Malaysia kini melancarkan satu lagi model motosikal iaitu BMW R 18 100 Years.

Daripada 1,923 unit yang dihasilkan (sempena tahun pengasasan BMW Motorrad), hanya 10 unit model ini disediakan untuk pasaran Malaysia.

Dari segi penampilan, R 18 100 Years menampilkan gabungan warna hitam dan krom berglos tinggi, jalur halus berkembar dalam warna putih, jata “100 Years” serta sentuhan krom pada pelitup roda belakang.

Selain itu, motosikal ini juga mempunyai tempat duduk Option 719 yang diselubungi dengan upholsteri berwarna hitam dan oxblood, dengan corak berlian.

Sentuhan krom juga boleh didapati komponen-komponen seperti bar hendal, pengapit bar hendal, penganjak gear, tuil brek kaki, cermin, silinder utama brek, angkup brek, pelitup selongsong enjin, pelitup kepala silinder dan komponen salur masuk.

Saduran krom juga dapat dilihat pada peredam Akrapovič di belakang, yang hadir dengan paip berleliang dalam corak bebaling (propeller) yang diinspirasikan daripada logo BMW.

Untuk kelengkapan pula, R 18 100 Years didatangkan dengan meter baharu yang mempunyai paparan multifungsi, di samping lampu depan, lampu belakang dan lampu brek LED, Automatic Stability Control (ASC), tiga mod tunggangan (Rock, Roll dan Rain) serta ciri tunggangan tanpa kunci.

Menariknya, model edisi terhad ini juga mendapat beberapa kelengkapan yang sebelum ini ditawarkan secara opsyen. Ini termasuk lampu depan adaptif, pemanas penggenggam, Hill Start Control, Cruise Control, gear mengundur, penutup tangki yang boleh dikunci dan panel pemijak berwarna hitam.

Seperti versi standard, R 18 dikuasakan oleh enjin boxer sejukan udara/minyak bersesaran 1,802 cc yang menghamburkan 91 hp pada 4,750 rpm dan 158 Nm pada 3,000 rpm.

Harga jualan R 18 100 Years bermula dari RM159,500, dengan jaminan selama tiga tahun dan program bantuan tiga tahun oleh BMW Motorrad Malaysia.

Mercedes-AMG EQE 53, EQS 53 dilancarkan di Malaysia – harga dari RM650k

MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) hari ini melancarkan dua model elektrik berprestasi tinggi dari portfolio Mercedes-AMG iaitu EQE 53 4Matic+ dan EQS 53 4Matic+.

Kedua-dua model ini diimport sepenuhnya (CBU) dari Jerman, dan dijual pada harga bermula dari RM649,888 bagi EQE 53 dan RM798,888 bagi EQS 53.

Dari segi trenkuasa, EQE 53 dan EQS 53 kedua-duanya dilengkapi dengan dua motor elektrik, iaitu satu pada gandar depan dan satu lagi pada gandar belakang. EQE 53 mempunyai 625 hp dan 950 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.5 saat.

Jika pelanggan mendapatkan pakej AMG Dynamic Plus, kuasa ditingkatkan sehingga 687 hp dan 1,020 Nm, sekaligus mengurangkan masa pecutan sebanyak 0.2 saat.

 

Sementara itu, EQS 53 pula mempunyai 658 hp dan 950 Nm, dan ia mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.8 saat. Pakej AMG Dynamic Plus memberikan model ini kuasa yang lebih tinggi iaitu 761 hp dan 1,020 Nm, serta pecutan 0-100 km/j dalam 3.4 saat.

Kelajuan maksimum bagi kedua-dua model ini adalah sama iaitu 250 km/j.

Untuk jarak gerak pula, bateri berkapasiti 90.6 kWj membolehkan EQE 53 dipandu sejauh 527 km dengan satu cas penuh. EQS 53, dengan bateri 108.4 kWj, menawarkan jarak gerak sehingga 571 km.

Kedua-dua model menyokong pengecasan AC sehingga 11 kW, namun untuk pengecasan pantas DC, EQE 53 hanya mampu menampung kapasiti sehingga 170 kW manakala EQS 53 boleh mencapai 200 kW.

Menurut MBM, pengecasan dari 10 hingga 80 peratus hanya mengambil masa selama 32 minit bagi EQE 53 dan 31 minit bagi EQS 53.

Dari segi kelengkapan pula, kedua-dua model ini diberikan ciri-ciri yang sama termasuk kit badan AMG Line bersama AMG Night Package, rim aerodinamik berukuran 21 inci (rekaan berbeza) serta lampu depan Digital Light.

Turut disertakan adalah sistem suspensi udara dengan peredam adaptif yang dikawal secara elektronik, serta sistem brek AMG lengkap dengan angkup brek berwarna merah.

Di dalam, terdapat MBUX Hyperscreen yang menggabungkan bukan satu atau dua, tetapi tiga skrin iaitu kluster instrumen digital 12.3 inci, skrin sentuh OLED tengah 17.7 inci dan skrin sentuh OLED 12.3 inci yang diletakkan pada papan pemuka penumpang.

Ciri-ciri lain yang tersedia termasuk Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Burmester 3D dan pakej bantuan pemandu Driving Assistant Plus.

 

Disaman hampir RM600k akibat langgar had laju? Ini bukan cerita dongeng

SEORANG usahawan di Finland telah dikenakan tindakan saman 121,000 euro (RM596,416) kerana memandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan.

Menurut laporan, Anders Wiklöf yang merupakan pengerusi Wiklöf Holding AB, telah memandu pada kelajuan 82 km/j di zon 50 km/j.

Wiklöf mendakwa dia telah memperlahankan kenderaannya ketika memasuki zon itu namun mungkin tindakannya itu sudah terlambat.

“Saya amat kesal dengan perkara ini dan berharap agar wang itu digunakan untuk perkhidmatan kesihatan melalui perbendaharaan kerajaan,” katanya.

Kadar saman yang tinggi itu mungkin akan dianggap tidak masuk akal di negara ini namun di Finland, ia bukanlah sesuatu yang pelik kerana mengamalkan sistem di mana kadar saman ditentukan berdasarkan pendapatan pesalah.

Selain saman, pihak berkuasa negara itu turut menggantung lesen memandu Wiklöf memandangkan ini bukanlah kesalahan lalu lintas pertamanya.

Sebelum ini, dia pernah dikenakan saman bernilai 95,000 euro (RM468,261) dan 63,680 euro (RM313,882) pada 2013 dan 2018 bagi kesalahan yang sama.

P/S: Bayangkan jika Malaysia mengamalkan sistem yang sama. Sudah pasti jumlah kesalahan lalu lintas akan semakin berkurangan.

7 kereta ikonik dari dunia filem Hollywood

BAGI kebanyakan kaki kereta, minat terhadap dunia empat roda mula timbul selepas didedahkan (biasanya oleh rakan atau ahli keluarga) kepada permainan seperti Hot Wheels dan Tamiya atau permainan video seperti Gran Turismo.

Namun, tidak kurang juga ada yang menjadi petrolhead selepas menonton filem-filem tertentu. Dalam artikel ini, penulis senaraikan tujuh kereta paling ikonik dari filem Hollywood yang dipilih oleh penulis sendiri.

Sebelum itu, penulis ingin memohon maaf awal-awal kepada peminat Fast & Furious kerana tiada satu pun kereta dari francais itu yang tersenarai.

Aston Martin DB5 – Goldfinger

Gambar oleh: Eon Productions

Sejujurnya, penulis tidak begitu meminati siri filem James Bond namun DB5 yang dipandu oleh Sean Connery dalam Goldfinger ini dipilih kerana ia menggabungkan reka bentuk klasik dengan gajet-gajet canggih seperti mesingan, penyembur minyak, penghadang kalis peluru dan lain-lain. Pada 2020, Aston Martin menghasilkan 25 unit DB5 yang diinspirasikan daripada filem itu.

Ferrari 250 GT California Spyder – Ferris Bueller’s Day Off

Gambar oleh: carscoops.com

250 GT California Spyder adalah antara kereta paling mahal pernah dihasilkan Ferrari, dengan harga bidaan mencecah belasan juta euro! Oleh itu tidak hairanlah pihak produksi mengambil keputusan untuk menggunakan tiga buah model replika yang dihasilkan oleh Modena Design & Development. Kalau berlaku kerosakan semasa penggambaran, siapa nak bayar?

6000 SUX – RoboCop (1987)

Gambar oleh: reddit

6000 SUX bukanlah model kereta sebenar, sebaliknya ia direka khusus untuk filem ini menggunakan Oldsmobile Cutlass Supreme. Sebenarnya tiada apa yang istimewa mengenai kereta ini cuma penulis merasakan namanya agak kelakar kerana ia berbunyi seperti sucks.

MINI Cooper – The Italian Job (2003)

Gambar oleh: MINI

Tahukah anda, MINI Cooper S yang digunakan dalam filem aksi ini sebenarnya mempunyai trenkuasa elektrik? Ini kerana pihak berkuasa Los Angeles tidak membenarkan pihak produksi menggunakan kereta dengan enjin pembakaran dalaman untuk penggambaran di stesen kereta api LA Metro. Jadi secara teknikalnya, ini adalah MINI Electric yang pertama.

DeLorean DMC-12 – Back to the Future

Gambar oleh: Petersen Automotive Museum

Siapa sangka, kereta yang futuristik ini sebenarnya gagal di pasaran disebabkan beberapa faktor seperti strategi perniagaan yang lemah dan kes dadah melibatkan pengasasnya, John Delorean. Namun, terima kasih kepada trilogi Back to the Future, peminatnya semakin lama semakin bertambah dan ini menyebabkan harganya terus meningkat.

Chevrolet Camaro Replica – Transformers

Gambar oleh: camaro5.com

Sebenarnya Camaro tidaklah begitu diminati sebelum ia muncul dalam filem Transformers sebagai Bumblebee pada 2007. Untuk filem ini, pihak produksi sebenarnya menggunakan versi replika yang direka berdasarkan Camaro Concept keluaran 2006 kerana Camaro generasi kelima masih belum dikeluarkan pada ketika itu.

Batmobile – Batman & Batman Returns

Gambar oleh: Petersen Automotive Museum

Bagi penulis, ini adalah Batmobile yang paling cantik pernah dihasilkan. Direka oleh Julian Caldow dan dibina oleh John Evans, Batmobile ini sebenarnya dibina menggunakan casis Chevrolet Impala dan dikuasakan oleh enjin V8. Antara cirinya yang paling menarik adalah ekzos after-burner dan perisai yang boleh diaktifkan menerusi arahan suara.

Mati kerana merempit haram hukumnya, ibarat bunuh diri – Ustaz Azhar Idrus

SUKA atau tidak, kejadian kemalangan maut melibatkan mat rempit sudah menjadi satu kebiasaan di negara kita. Ini kerana ia sudah terlalu kerap berlaku dan golongan ini pula tidak pernah insaf walaupun yang terkorban itu adalah rakan atau ahli keluarga sendiri.

Kes terkini melibatkan mat rempit berlaku Ahad lalu (4 Jun 2023) di Lebuhraya Tun Dr. Lim Choong Eu berhampiran Astaka Seagate di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Mangsa, seorang remaja berusia 18 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian selepas merempuh bahagian sisi sebuah Proton Persona yang sedang membelok.

Kejadian menyanyat hati ini dirakam oleh sekumpulan penonton yang berkumpul di sepanjang lebuh raya itu. Berdasarkan video yang tular di media sosial, mangsa dilihat melakukan aksi ‘Superman’ dan sedang berlumba bersama seorang rakannya.

Bukanlah niat penulis untuk menghukum, namun perbuatan sedemikian adalah sia-sia dan tidak ubah seperti membunuh diri.

Sumber gambar: widerimage.reuters.com

Malah, perkara ini sebenarnya sudah dijelaskan oleh penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menerusi satu video yang dimuat naik ke akaun Youtube miliknya.

Dalam video berdurasi 2 minit 39 saat itu, UAI berkata hukum mati kerana merempit adalah haram dan ada sesetengah ulama menfatwakan perbuatan itu sebagai bunuh diri.

“Contohnya, dia berlumba dengan keadaan ada lori di hadapan. Maka haram kerana dia bukan hendak mengejar masa untuk sampai cepat di destinasi, tetapi berlumba secara bersuka-suka yang merosakkan nyawanya sendiri,” katanya.

Beliau turut memberikan pesanan dengan memetik hadis yang bermaksud: “Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

Dengan itu, jelaslah bahawa perbuatan merempit ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah haram di sisi agama.

Bagi mereka yang betul-betul minat berlumba motosikal, gunakan saluran yang betul. Misalnya, mengikuti aktiviti track day di litar-litar yang telah disediakan. Tidak dinafikan kosnya lebih tinggi tetapi sekurang-kurangnya keselamatan anda lebih terjamin dan anda tidak membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Lexus LBX crossover kompak mewah yang sarat dengan pelbagai ciri

LEXUS telah memperkenalkan model terkecilnya setakat ini iaitu LBX. Direka khusus untuk pasaran Eropah, ia menggunakan platform GA-B yang sama dengan Toyota Yaris Cross dan hanya akan ditawarkan dengan enjin hibrid.

Dari segi saiz, LBX mempunyai ukuran panjang 4,190 mm, lebar 1,825 mm, tinggi 1,545 mm dan tapak roda 2,580 mm, bermakna ia sedikit lebih besar jika dibandingkan dengan ‘kembar’ Toyota-nya. Rim standard adalah berukuran 18 inci.

Crossover kompak ini didatangkan dengan trenkuasa hibrid yang merangkumi enjin petrol 1.5-liter tiga silinder, bateri NiMH dan transmisi jenis E-CVT.

Ia menghasilkan kuasa sebanyak 136 PS dan 185 Nm, membolehkan LBX memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.2 saat.

Menurut Lexus, model ini boleh didapati dalam versi pacuan roda depan (FWD) atau pacuan semua roda (E-Four AWD).

Kedua-duanya dilengkapi dengan topang MacPherson pada bahagian depan namun untuk bahagian belakang, versi AWD menggunakan torsion beam manakala E-Four AWD mendapat double wishbone.

Ruang dalaman LBX mengetengahkan rekaan yang ringkas dan elegan, digabungkan dengan konsep Tazuna yang mengutamakan pemandu.

Untuk itu, terdapat kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci dan skrin sentuh 9.8 inci pada konsol tengah. Apple CarPlay dan Android Auto disertakan, namun sambungan tanpa wayar hanya tersedia untuk sistem Apple itu.

Seperti model-model Lexus yang lain, LBX menggunakan sistem Mark Levinson yang merangkumi 13 pembesar suara, termasuk sebuah subwoofer yang terintegrasi di pintu belakang.

Untuk ruang but, versi FWD menawarkan ruang berkapasiti 332 liter, cukup besar untuk dua buah bagasi 75 liter, menurut Lexus.

Untuk sistem bantuan pemandu pula, terdapat Lexus Safety System+ yang merangkumi ciri-ciri seperti Pre-Collision System, Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist, Road Sign Assist, Rear Cross Traffic Alert dan Blind Spot Monitor.

Pelanggan juga boleh mendapatkan ciri-ciri tambahan termasuk Front Cross Traffic Alert, Panoramic View Monitor dan sistem parkir kawalan jauh yang membolehkan pemandu meletakkan kenderaan menggunakan telefon pintar mereka.

LBX akan memasuki pasaran Eropah dan pasaran-pasaran global terpilih mulai awal tahun depan.

Toyota Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition bukti kereta hibrid pun boleh jadi sporty

TOYOTA Prius bukanlah kereta pertama yang terlintas di fikiran apabila bercakap tentang sukan permotoran. Namun, model itu menunjukkan yang ia tidak boleh dipandang enteng menerusi penyertaan dalam siri perlumbaan Super GT sejak 2012.

Untuk 2023, kereta eko itu terus sisi sporty-nya dengan menerusi model konsep yang dikenali sebagai Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition. Model ini diperkenalkan di Litar de la Sarthe bersempena dengan ulang tahun ke-100 Le Mans.

Eh apa kaitan Prius dengan perlumbaan Le Mans? Untuk pengetahuan pembaca, Prius banyak membantu Gazoo Racing dalam pembangunan sistem hibrid untuk kereta lumbanya, dari TS030, TS040, TS050 hinggalah ke jentera sekarang iaitu GR010 Hybrid.

Untuk model 24h Le Mans Centennial GR Edition, Toyota tidak menyatakan jika enjinnya telah ditala namun syarikat itu mendakwa bahawa kereta ini “mencapai prestasi pemanduan yang cemerlang” dengan rim eksklusif dan bahagian aerodinamik yang diinspirasikan oleh GR010 Hybrid.

Apa-apa pun, Prius ini memang nampak sedia untuk beraksi di litar lumba. Ia memakai bampar depan yang lebih agresif dengan lampu LED ’empat mata’, dua pasang canard dan splitter, serta bonet yang diperbuat daripada gentian karbon.

Sementara itu, profil sisinya diserlahkan dengan gerbang roda berwarna hitam, skirt sisi dan pelekat GR dan Racing Hybrid. Bahagian belakang pula menampilkan diffuser, spoiler yang tinggi dan sambungan gerbang roda.

Ia dilengkapi dengan rim aloi aerodinamik 18 inci yang dipadankan dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S berukuran 235/50 R18, dan sistem suspensi wide-track yang dikatakan mampu meningkatkan aspek pengendalian.

Buat masa ini, Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition nampak akan kekal sebagai model konsep. Tetapi siapa tahu suatu hari nanti Toyota akan menawarkan Prius generasi kelima dengan kit badan Gazoo Racing?

Kawasaki Z900 dan Z900 SE dipasang di Kedah, harga bermula RM44k

Pengedar rasmi motosikal Kawasaki di Malaysia iaitu Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) secara rasminya melancarkan model Kawasaki Z900 dan Z900 SE ke pasaran tempatan.

Apa yang menarik, Z900 kini dipasang di kilang Modenas di Gurun, Kedah, menjadikannya model Kawasaki berkapasiti tinggi yang pertama dipasang oleh jenama itu.

Z900 boleh didapati dalam dua warna iaitu Metallic Matte Graphenesteel Grey dan Metallic Black Spark, dengan harga jualan bermula dari RM43,900.

Manakala Z900 SE yang merupakan model edisi khas pula ditawarkan dalam warna Candy Lime Green pada harga RM55,900.

Kedua-dua model ini dikuasakan oleh enjin penyejukan cecair DOHC empat silinder sebaris bersesaran 948 cc yang mematuhi piawaian emisi Euro 5.

Enjin itu mampu menjana 123.6 hp pada 9,500 rpm dan 98.6 Nm pada 7,700 rpm, yang disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan.

Ciri-ciri baharu lain yang dibawakan oleh Z900 dan Z900 SE termasuk kerangka yang diperkuat pada bahagian lengan ayun dan pivot, reka bentuk Sugomi baharu, lengan ayun lebih kompak, pelindung pivot dan tayar Dunlop Sportmax Roadsport 2.

Dari segi elektronik pula, model-model ini menampilkan Kawasaki Traction Control (KTRC) dengan tiga tetapan, Power Mode Selection dengan mod tunggangan Sport, Rain, Road dan Rider, serta paparan TFT berwarna berukuran 4.3 inci dengan Bluetooth.

Sebagai model edisi khas, Z900 SE mendapat beberapa kelengkapan tambahan seperti fork Showa 41 mm boleh laras, penyerap hentak tunggal Öhlins S46, serta angkup Brembo M4.32 dengan silinder induk Nissin.

Z900 dan Z900 SE boleh didapati di semua pengedar sah Kawasaki bermula minggu kedua bulan ini.

Honda RS150R kini dalam warna Mat Charcoal Gray Metallic – RM8,299

BOON Siew Honda baru-baru ini memperkenalkan pilihan warna baharu untuk Honda RS150R iaitu Mat Charcoal Gray Metallic.

Menurut syarikat itu, RS150R dalam warna baharu itu akan tersedia di semua pengedar Honda sah dan terpilih di seluruh negara mulai 3 Jun 2023, dengan harga bermula RM8,299 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Dilancarkan ke pasaran Malaysia pada Januari 2020, RS150R versi facelift dikuasakan oleh enjin sejukan cecair, silinder tunggal bersesaran 149.2 cc yang mampu menghasilkan 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm.

Enjin itu digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan, klac manual dan pacuan rantai untuk prestasi tunggangan yang baik sama ada di lebuh raya atau di kawasan bandar.

Untuk model berwarna Charcoal Gray Metallic ini, ciri-ciri lain masih sama iaitu lampu depan LED, panel meter digital dan brek cakera pada bahagian depan dan belakang.

Seperti sebelum ini, RS150R didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua  tahun atau 20,000 km.

Polis buru tiga lelaki menyamar sebagai polis di Lebuhraya Utara-Selatan

SEKUMPULAN individu berdepan situasi cemas apabila dikejar tiga lelaki dipercayai menyamar sebagai anggota polis di Lebuhraya Utara-Selatan.

Kejadian itu dirakam oleh salah seorang mangsa dan dimuat naik ke akaun Facebook bernama ‘Freeman Gan WT’. Video berdurasi 27 saat itu menunjukkan kereta mangsa dikejar sebuah Honda City ketika dalam perjalanan dari Singapura ke Genting Highlands.

Dalam video tersebut, salah seorang suspek yang berpakaian seperti anggota polis menggunakan lampu beacon dan membuat isyarat tangan agar mangsa memberhentikan kenderaannya.

Seorang lagi suspek yang berada di tempat duduk belakang dilihat memakai pelitup muka dan menyuluh lampu ke arah kenderaan mangsa.

Menurut laporan, kejadian itu berlaku di Kilometer 41.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar Sedenak di Kulai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung video berdurasi 27 saat itu daripada seorang anggota polis pada jam 1.52 tengah hari.

Beliau berkata, bagaimanapun, mangsa belum hadir ke balai polis untuk membuat laporan mengenai kejadian itu.

Yusof berkata, polis masih mengesan pemilik kedua-dua kenderaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai atau menghubungi talian 07-6637 222 atau pegawai penyiasat di talian 010-7647 789.