All posts by Amirul Mukminin

Lexus RX 350 generasi baharu dilancarkan di Malaysia – RM469k

LEXUS Malaysia telah melancarkan Lexus RX generasi kelima ke pasaran tempatan, di mana ia ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu RX 350 Luxury.

Harga jualan bermula dari RM468,888 (atas jalan tidak termasuk insurans) dan model ini datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan. Tempahan dibuka bermula hari ini.

Dari segi penampilan, RX 350 hadir dengan rekaan menonjol dan segar dengan gril baharu yang lebih halus dan bersahaja. Bucu bonet juga dinaikkan, manakala bucu tingkap belakang direndahkan bagi memberikan SUV ini postur yang lebih rendah.

Melengkapkan imej serba baharu model ini adalah pilihan warna metalik yang direka menggunakan teknologi sonik khusus Lexus.

Dari segi saiz, RX yang menggunakan platform GA-K ini lebih lebar sebanyak 25 mm, manakala jarak antara rodanya juga bertambah sebanyak 60 mm.

Ruang dalaman RX mengetengahkan konsep Tazuna yang memfokuskan untuk memberi hubungan yang lebih rapat antara kenderaan dan pemandu.

Navigasi, radio dan pelbagai fungsi lain boleh diakses menerusi paparan berukuran 14 inci, manakala suis di stereng disepadukan dengan paparan head-up bagi membolehkan pemandu memberi perhatian sepenuhnya terhadap pemanduan.

Turut disertakan adalah ciri Active Noise Control (ANC) yang membantu mengurangkan bunyi bising di dalam kabin.

Kuasa dibekalkan oleh enjin turbo 2.4-liter empat silinder yang menghasilkan 279 PS pada 6,000 rpm dan 430 Nm dari 1,700 hingga 3,600 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem AWD.

Selain itu, RX 350 juga dilengkapi dengan sistem suspensi Adaptive Variable Suspension (AVS) SUV yang dikatakan boleh membantu mengawal daya hentakan untuk memberikan lebih keselesaan.

Untuk sistem keselamatan, terdapat Lexus Safety System+ (LSS+) yang merangkumi Panoramic View Monitor, Rear Cross Traffic Alert, Blind Spot Monitor dan Safe Exit Assist. Seperti NX, RX 350 juga mempunyai sistem operasi pintu E-Latch.

Renault Zoe dilancarkan secara rasmi – 2 varian, harga dari RM165k

SELEPAS dipertontonkan pertama kali pada Ogos tahun lalu, Renault Zoe baharu kini dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia menerusi TC Euro Cars (TCEC) selaku pemegang francais tunggal Renault di negara ini.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Zoe ditawarkan dalam dua varian iaitu R110 dan R135. Harga jualan (atas jalan, tidak termasuk insurans) bermula dari RM165,000 untuk R110 dan RM179,000 untuk R135.

Kedua-dua varian hadir dengan jaminan tiga tahun/100,000 km untuk kenderaan dan rangkaian kuasa elektrik. Bateri EV dilindungi jaminan selama lapan tahun/160,000 km dengan kapasiti minimum 70 peratus.

Apa yang menarik, EV ini juga dibuka untuk langganan menerusi Fixed Plan yang menawarkan pelan untuk setahun, dua tahun dan tiga tahun. Berikut adalah kadar langganan bagi setiap pelan mengikut varian:

Menurut TCEC, proses kelulusan Renault Subscription biasanya mengambil masa selama tiga hari bekerja, sekiranya semua dokumen dan syarat dipenuhi.

Zoe menggunakan bateri Z.E. 50 generasi seterusnya yang sama dengan model terdahulu, tetapi mempunyai kapasiti tenaga lebih tinggi iaitu 52 kWh. Hasilnya, jarak pemanduan meningkat lebih 20 peratus iaitu 395 km untuk R110 dan 386 km untuk R135.

Varian R110 dilengkapi motor berkuasa 80 kW yang menawarkan kuasa 110 PS dan 225 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 11.4 saat dengan pecutan maksimum 135 km/j.

Sementara itu, R135 pula dipacu oleh motor 100 kW yang berupaya menghasilkan kuasa 135 PS dan 245 Nm. Ia boleh memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 9.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 140 km/j.

Zoe menyokong pengecasan pantas DC sehingga 50 kW yang membolehkan pengecasan dari 10 hingga 80 peratus dalam masa 70 minit. Pengecasan AC berkapasiti 22 kW pula boleh memulihkan tenaga bateri dari 0 hingga 100 peratus dalam tiga jam.

Setiap unit didatangkan dengan kabel pengecas 22 kW Type 2. Pelanggan juga boleh memasang pengecas wallbox Vestel 7 kW pada harga RM6,250 atau 22 kW dengan harga RM6,950 di rumah atau pejabat mereka. Kos termasuk kabel sepanjang 15 meter.

Satu lagi teknologi yang tersedia adalah brek janaan semula Mode B yang berfungsi untuk menukar tenaga kinetik menjadi tenaga elektrik untuk meningkatkan jarak perjalanan.

Dari segi penampilan, walaupun dimensi Zoe kekal sama, ia tampil lebih maskulin dengan bonet dan bampar yang direka semula. Terletak di tengah gril adalah logo holografik Renault yang menyembunyikan port pengecasan.

Kelengkapan yang ada termasuklah lampu LED sepenuhnya, lampu nyalaan siang berbentuk C, rim aloi bersaiz 16 inci dan brek cakera depan dan belakang.

Untuk pasaran Malaysia, Zoe R110 ditawarkan dalam warna solid hitam dan putih, manakala Zoe R135 boleh didapati dalam warna hitam, biru, merah dan ungu.

Di dalam, anda akan menemui panel instrumen digital berukuran 10 inci, skrin sentuh 9.3 inci dengan Android Auto/Apple CarPlay, Bluetooth, dua port USB dan enam pembesar suara.

Sebagai varian tertinggi, Zoe R135 mendapat tambahan sistem navigasi offline, dua port USB, cermin pandang belakang elektrokromik, kamera undur dan sensor parkir hadapan.

Untuk keselamatan dan sistem bantuan pemandu, kedua-dua varian didatangkan dengan empat beg udara, Lane Departure Warning, Electronic Stability Control, Anti-Slip Regulation, ABS, EBA dan Hill Start Assist.

Varian R135 mendapat beberapa ciri tambahan iaitu Adaptive High Beam, Blind Spot Warning dan Hands-Free Park Assist.

Tamiya Wild One MAX – kereta RC yang anda boleh pandu!

DILANCARKAN pada 1985, Wild One merupakan antara model kereta kawalan jauh (RC) paling popular pernah dihasilkan Tamiya. Malah, ia cukup diminati ramai sehinggakan Tamiya melancarkannya sekali lagi pada tahun 2012.

Kini, selepas lebih sedekad, jentera buggy itu akan membuat kemunculan semula namun kali ini, ia akan tampil sebagai sebuah kenderaan berskala penuh yang boleh dipandu.

Dikenali sebagai Wild One MAX, ia dibangunkan oleh The Little Car Company dengan kerjasama Tamiya. Reka bentuknya tidak ubah seperti versi RC namun oleh kerana ia didatangkan dalam saiz sebenar, Wild One MAX boleh memuatkan dua penumpang.

Bercakap tentang saiz, Wild One MAX mempunyai ukuran panjang 3.6 meter dan lebar 1.9 meter, dengan berat sekitar 500 kg.

Jarak lega tanah buggy ini ialah 270 mm, manakala sudut mendekat, breakover dan pelepasan masing-masing ialah 34.1 darjah, 28.4 darjah dan 50.8 darjah.

Kuasa pula dibekalkan oleh lapan pek bateri yang boleh ditanggalkan yang mampu menjana kuasa keseluruhan sebanyak 14.4 kWh. Kuasa ini disalurkan ke sebuah motor elektrik pada gandar belakang, membolehkan ia memecut sehingga 96 km/j.

Untuk pemanduan off-road, Wild One MAX dilengkapi dengan peredam Bilstein yang dipadankan dengan gegelung Eibach, berserta tayar Maxxis Bighorn. Kelengkapan lain yang tersedia termasuklah kerusi bucket Cobra dengan abah-abah empat poin, skrin digital lima inci dan cakera brek Brembo.

Bagi mereka yang ingin memandu kereta ini di jalan raya, The Little Car Company akan menawarkan pakej khusus bagi memastikan ia boleh digunakan di UK dan Eropah di bawah peraturan quadricycle L7e.

Harga masih belum diumumkan namun orang ramai yang berminat boleh membuat pra-tempahan secara dalam talian dengan bayaran £100 (RM564). Syarikat itu akan menghasilkan 100 unit Launch Edition terlebih dahulu, diikuti dengan versi-versi lain pada masa akan datang.

Empat sekeluarga maut dalam nahas di Lebuhraya PLUS

KEMALANGAN melibatkan sebuah kereta dan sebuah lori tanah di Kilometer 310.2 Lebuh Raya Utara Selatan menyebabkan empat sekeluarga maut manakala seorang lagi cedera parah.

Dalam kejadian yang berlaku awal pagi Selasa itu, Azriyani Abdul Latif, 45 tahun, dan tiga anaknya, Muhammad Azib Nasaruddin, 23 tahun, Siti Nur Aminah, 8 tahun, dan Ahmad Uwais Qorni, 5 tahun meninggal dunia.

Sementara itu, seorang lagi anaknya yang dikenali sebagai Muhammad Fawwaz, 7 tahun, cedera parah.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Perak Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 2.06 pagi.

Beliau berkata kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga yang melanggar bahagian belakang lori muatan tanah jenis Volvo. Impak pelanggaran menyebabkan kereta itu terbakar di bahagian bonet.

Katanya, terdapat dua mangsa yang tersepit dan kebakaran dipadamkan oleh orang awam menggunakan alat pemadam api.

“Mangsa yang terlibat adalah enam orang. Empat disahkan maut oleh pegawai Kementerian Kesihatan manakala seorang dibawa ke Hospital Tapah oleh anggota EMRS Gopeng.

“Terdapat mangsa yang maut telah melecur di bahagian anggota badan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya lagi, anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat dan menyerahkannya kepada pihak polis dan ambulans. Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kampar untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar Supt Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan awal mendapati, kereta tersebut dipandu Muhammad Azib dari arah Ipoh ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, apabila sampai ditempat kejadian kereta berkenaan telah melanggar bahagian belakang lori di lorong sebelah kiri.

Bedah siasat akan dilakukan di Hospital Kampar pagi ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Honda CR-V generasi ke-6 dilancarkan di Eropah dengan enjin hibrid plug-in

HONDA CR-V generasi keenam telah dilancarkan ke pasaran Eropah dalam satu majlis khas yang diadakan di Offenbach, Jerman.

Dari segi reka bentuk, model untuk pasaran Eropah ini sama sahaja seperti versi Amerika Syarikat yang diperkenalkan pada tahun lalu, cuma apa yang membezakan adalah pilihan enjinnya.

Pembeli CR-V di benua itu mempunyai dua pilihan trenkuasa iaitu hibrid penuh e:HEV atau hibrid plug-in e:PHEV. Kedua-duanya dikuasakan oleh enjin petrol 2.0-liter empat silinder kitaran Atkinson yang telah dikemas kini untuk meningkatkan kecekapan dan prestasi dinamik.

Jumlah kuasa tidak didedahkan namun menurut Honda, CR-V e:HEV menggunakan trenkuasa hibrid yang sama dengan Civic e:HEV, bermakna ia mempunyai bateri litium-ion dan sepasang motor elektrik yang membantu enjin bertukar antara mod EV, Hybrid dan Engine Drive dengan lancar.

Sementara itu, versi e:PHEV pula dipacu oleh motor elektrik yang sama dengan versi e:HEV bagi membolehkannya bergerak sejauh 82 km dalam mod elektrik. Apabila suhu bateri berada pada 25 darjah Celsius, ia boleh dicas dari 0 hingga 100 peratus dalam masa 2.5 jam sahaja.

Dari segi penampilan luaran, versi e:HEV dan e:PHEV masing-masing mempunyai rekaan gril yang tersendiri untuk membezakan antara satu sama lain.

Ia mempunyai ukuran dimensi yang lebih lebar, panjang dan tinggi berbanding model generasi kelima. Tapak rodanya lebih panjang sebanyak 40 mm, sekaligus menghasilkan ruang kaki belakang yang lebar (+16 mm) dan ruang but yang lebih besar (+18 peratus).

Untuk kelengkapan pula, CR-V serba baharu ini merupakan model Honda pertama yang dilengkapi dengan Honda Sensing 360 yang mana menurut Honda, “menyingkirkan titik buta di sekeliling kenderaan dan menyumbang kepada pengelakan perlanggaran dengan mengurangkan beban pemandu.”

Sengaja hempaskan pesawat, Youtuber berdepan penjara 20 tahun

UMUM tahu bahawa Youtuber zaman kini sering mencuba pelbagai cara bagi mendapatkan tontonan (atau views) yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, seorang Youtuber dari California melakukan sesuatu yang boleh dianggap melampaui batas apabila sengaja merakam dirinya melompat dari sebuah pesawat dan membiarkan pesawat itu terhempas.

Perbuatan ekstrem dan tidak bertanggungjawab itu mengundang padah apabila dia mungkin berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Dalam satu video bertajuk “I Crashed My Airplane”, Trevor Jacob dilihat kononnya menghadapi masalah enjin ketika sedang terbang di ruang udara selatan California pada November 2021.

Rakaman tersebut menunjukkan pemuda berusia 29 tahun itu melompat keluar dari pesawatnya sambil memegang kayu swafoto. dia menggunakan payung terjun dan mendarat di Taman Negara Los Padres.

Menerusi beberapa kamera yang sudah siap dipasang, pesawat tanpa juruterbang itu dilihat menjunam dan terhempas di dalam kawasan hutan tersebut.

‘Lakonan’ Jacob tidak berakhir di situ. Dia kemudiannya merakam aksinya mendaki ke lokasi pesawat itu terhempas, di mana dia kelihatan kecewa apabila mendapati air yang dibawanya hilang.

Akhirnya, Jacob berhenti untuk minum dari anak sungai. Tidak lama kemudian, dia bertembung pula dengan sebuah kenderaan yang menyelamatkannya.

Beberapa minggu selepas kejadian, penyiasat dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) melancarkan siasatan ke atas nahas itu. Jacob diarahkan memberitahu lokasi nahas namun dia tidak dibenarkan mengganggu bukti nahas itu.

Jacob memberitahu pihak berkuasa dia tidak tahu di mana pesawat itu terhempas. Bagaimanapun, menurut rayaun yang difailkan di Los Angeles, dua minggu selepas ‘drama’ itu, Jacob dan rakannya mengangkut keluar bangkai pesawat itu dengan menggunakan sebauh helikopter.

Dalam beberapa hari berikutnya, dia memotong bangkai pesawat itu menjadi kepingan kecil dan membuangnya ke dalam tong sampah di sekitar Lapangan Terbang Lompoc City.

Youtuber itu mengakui bahawa dia membuang bangkai pesawat itu bagi mengganggu siasatan pihak berkuasa dan video tersebut dirakam untuk menjana pendapatan menerusi tajaan dengan sebuah syarikat dompet.

Jacob bersetuju untuk membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan sengaja memusnahkan dan menyembunyikan untuk menghalang siasatan, kesalahan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Bagaimanapun, dia dijangka membuat rayuan di Los Angeles dalam beberapa minggu akan datang.

AC Cobra GT Roadster – lagenda ‘hidup’ kembali

KIRA-kira 62 tahun selepas ia diperkenalkan buat pertama kali, kereta sport bertaraf lagenda iaitu AC Cobra telah dihidupkan semula menerusi versi terbaharu yang lebih moden dan lebih berkuasa.

Dikenali sebagai Cobra GT Roadster, jentera ini tampil dengan enjin Ford Coyote 5.0-liter V8 yang boleh didapati dalam versi naturally aspirated atau supercharged.

Versi NA mempunyai 454 hp dan 569 Nm, manakala versi supercharged pula menghasilkan 654 hp dan 780 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum 278 km/j.

Untuk transmisi pula, pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan sama ada transmisi manual enam kelajuan atau automatik 10 kelajuan dengan paddle shifter.

Ia didatangkan dengan empat mod pemanduan (Street, Track, Race dan Wet), tiga mod stereng, kawalan kestabilan, ABS serta limited slip differential (LSD). Pelanggan yang inginkan tahap cengkaman lebih tinggi boleh mendapatkan Torsen LSD.

Reka bentuk luarannya mungkin tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan model asal namun Cobra GT Roadster sebenarnya dibina menggunakan platform aluminium dengan tapak roda berukuran 2,570 mm, iaitu 284 mm lebih panjang berbanding Cobra Mk. VI.

Sementara itu, setiap panel badan pula diperbuat daripada karbon komposit. Ini membolehkan AC Cars mengekalkan berat keseluruhan kereta ini di bawah 1,450 kg.

Untuk ruang dalaman, Cobra GT Roadster menampilkan campuran elemen klasik dan moden menerusi gugusan meter analog pada papan pemuka dan skrin sentuh berukuran 10.25 inci pada konsol tengah. Turut disertakan adalah paparan kaca digital di belakang stereng.

Berminat? AC Cars kini membuka tempahan untuk pelanggan dari seluruh dunia dari pasaran pemanduan kanan dan kiri, dengan harga bermula dari 285,000 pound (RM1.6 juta). Menurut syarikat itu, mereka boleh menghasilkan sehingga 250 unit setahun.

Ital Auto pengedar rasmi baharu Ferrari di Malaysia

SEPERTI yang anda mungkin sedia maklum, Naza Italia kini bukan lagi pengedar eksklusif Ferrari di Malaysia. Kerjasama antara kedua syarikat itu tamat berkuat kuasa 8 April lalu setelah hampir 15 tahun menjalin hubungan sebagai rakan perniagaan.

Kini, Ferrari telah mengumumkan bahawa peranan itu akan diambil alih oleh Ital Auto Malaysia Sdn Bhd bermula 5 Mei 2023. Ital Auto Malaysia adalah anak syarikat Ital Auto Pte Ltd yang merupakan pengimport dan pengedar rasmi Ferrari di Singapura sejak 2009.

Ital Auto pula merupakan sebahagian daripada Kumpulan Komoco yang turut bertanggungjawab mengendalikan beberapa jenama automotif lain termasuk Hyundai dan Maserati di negara republik itu.

Dalam satu kenyataan, Ferrari berkata Ital Auto Malaysia akan mengambil alih deposit dan tempahan sedia ada dari Naza Italia.

Seluruh pasukan operasi dari Naza Italia juga telah dipindahkan ke Ital Auto Malaysia bagi memastikan kesinambungan kepada pelanggan dan permulaan operasi yang lancar.

Selain itu, sebuah pusat servis sementara di Glenmarie juga sedang dalam proses pembinaan dan dijangka sedia untuk memberikan khidmat aftersales menjelang Jun 2023. Ini akan diikuti dengan sebuah bilik pameran sementara di Hotel Four Seasons Kuala Lumpur menjelang Ogos tahun yang sama.

Pusat 3S rasmi akan dibuka kepada pelanggan pada suku pertama tahun 2025.

Kini anda boleh beli Land Rover Defender dengan bumbung convertible

JIKA anda ingin mendapatkan Land Rover Defender dengan bumbung yang boleh dibuka, anda sebenarnya boleh memilih opsyen ‘folding fabric roof’ dengan harga tambahan.

Walau bagaimanapun, ia tidak akan menjadikan Defender anda sebuah kereta convertible sebenar kerana secara asasnya, bumbung fabrik itu fungsinya tidak ubah seperti bumbung panoramik dan hanya sebahagiannya sahaja yang boleh dibuka.

Bagi pemilik Defender yang mahukan pengalaman memandu convertible yang sebenar, mereka boleh menghubungi Heritage Customs yang berpengkalan di Belanda kerana syarikat itu boleh memberikan SUV anda bumbung convertible jenis soft-top seperti dari kilang.

Menurut syarikat itu, pengubahsuaian ini tersedia untuk varian 90 sahaja. Seperti yang boleh dilihat, tiang C dan bumbung akan dipotong dan dikeluarkan, dan digantikan dengan bumbung fabrik yang dibuat dengan tangan, serta roll cage sebagai langkah keselamatan.

Bumbung berkenaan dioperasikan secara separa elektrik, bermakna ia boleh dibuka dan dilipat secara automatik namun pemandu perlu membuka selak secara manual. Ia boleh didapati dalam pelbagai warna.

Sebagai sebahagian daripada pakej ubah suai, Heritage Customs turut menyediakan pelbagai komponen kustom termasuk rim berukuran 20 atau 22 inci, pakej Magic Metal (kemasan ala logam pada bahagian luaran), tempat duduk sport, upholsteri kulit sepenuhnya dan pelbagai lagi.

Sudah tentu, projek convert seperti ini tidak murah. Ia bermula dari 82,500 euro (RM403,220), tidak termasuk barangan kustom yang lain serta harga Defender 90 itu sendiri. Di Malaysia, model tiga pintu itu dijual pada harga bermula dari RM838,000.

Nissan Almera facelift 2023 masuk pasaran Thailand – harga dari RM73k

ENAM bulan selepas diperkenalkan di Amerika Syarikat, Nissan Almera facelift (atau dikenali sebagai Versa di AS) kini dilancarkan pula untuk pasaran Thailand.

Dari segi reka bentuk, sedan kompak ini menampilkan gril V-Motion generasi baharu yang lebih besar dan lebar berbanding sebelum ini.

Seperti Versa, Almera untuk pasaran Thailand mendapat susunan bar melintang yang disudahi dengan kemasan krom pada bahagian hujung. Turut disertakan adalah logo baharu Nissan.

Model facelift ini turut membawakan pilihan warna baharu yang dikenali sebagai Gray Sky Pearl. Menurut Nissan, warna ini boleh berubah mengikut keadaan dan sudut pandangan.

Dalam keadaan cahaya rendah, warna itu akan nampak keunguan manakala di bawah sinaran matahari, ia bertukar menjadi warna biru.

Lebih menarik lagi, warna itu nampak seperti warna solid apabila dilihat dari jauh tetapi apabila diamati dari dekat, ia akan mula menunjukkan efek mutiara.

Untuk ruang dalaman pula, Almera facelift mengekalkan rekaan yang sedia ada, cuma kali ini ia dikemaskan lagi dengan warna biru pada papan pemuka dan panel pintu.

Antara kelengkapan yang tersedia termasuklah skrin sentuh berukuran lapan inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem pengecaman suara dan pengecas wayarles.

Bergantung pada varian, Almera facelift kini dilengkapi dengan Tire Pressure Monitoring System (TPMS), High Beam Assist (HBA) dan Lane Departure Warning (LDW) sebagai ciri keselamatan baharu.

Ciri-ciri lain yang sedia ada seperti Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Intelligent Around View Monitoring (IAVM), Moving Object Detection (MOD), Intelligent Forward Collision Warning (IFCW), Blind Spot Warning (BSW) dan Hill Start Assist (HSA).

Seperti sebelum ini, Almera facelift dikuasakan oleh enjin 1.0-liter turbo tiga silinder dengan 100 PS dan 152 Nm. Dipadankan dengan transmisi Xtronic CVT, ia dikatakan mempunyai kadar penggunaan bahan api sekitar 23.3 km/liter.

Berikut adalah harga jualan Almera facelift di Thailand mengikut varian:

  • E – 549,000 baht (RM72,586)
  • EL – 589,000 baht (RM77,874)
  • V – 659,000 baht (RM87,129)
  • VL – 699,000 baht (RM92,418)

Tiada unsur mistik dalam kes budak 6 tahun pandu kereta sendiri

POLIS menolak dakwaan bahawa terdapat unsur mistik yang mendorong seorang kanak-kanak memandu kereta sehingga kemalangan di Langkawi baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari, kanak-kanak berusia enam tahun itu didapati mengetahui cara memandu kenderaan dan mampu menunjukkannya kepada pihak polis ketika siasatan.

Shariman berkata, kanak-kanak itu juga mengetahui fungsi pedal minyak dan gear automatik, selain memiliki keyakinan dan menunjukkan bagaimana cara untuk menurunkan brek tangan.

Malah, dia juga boleh menunjukkan dengan betul cara menghidupkan enjin dan berjaya menghidupkannya apabila diminta pegawai penyiasat.

Sumber gambar: Media sosial

“Pemeriksaan terhadap rakaman kamera papan pemuka atau dashcam kenderaan menunjukkan pemanduannya tidak stabil, kadang kala memasuki lorong bertentangan dan ada ketika ke kiri dan ke kanan,” katanya.

“Justeru, kita menolak sebarang unsur mistik dalam kes kemalangan ini seperti mana yang didakwa dan ditularkan oleh pihak tertentu menerusi pelbagai medium media sosial.

“Kanak-kanak terbabit dibawa ibu bapa mereka ketika memberi keterangan di Balai Polis Trafik Langkawi, jadi polis telah menemubual awal mereka sebagai sebahagian siasatan,” katanya.

Beliau berkata, dalam proses temubual itu, kanak-kanak lelaki itu mampu menunjukkan cara bagaimana dia memandu pada malam kejadian, memberi penerangan fungsi gear D dan R kepada pegawai penyiasat.

“Malah dia mengaku telah berjaya mengundur kereta terlebih dahulu sebelum memandu keluar rumah pada pada malam kejadian.

“Difahamkan jarak rumah ke kedai yang ingin dituju oleh dua beradik itu adalah lima kilometer (km), tapi separuh jalan mereka kemalangan,” katanya.

Aston Martin DBX707 AMR23 Edition tampil dengan gaya F1

PASUKAN Aston Martin Aramco Cognizant memulakan saingan Formula 1 musim 2023 dengan baik apabila berjaya mengumpul 102 mata dari lima perlumbaan setakat ini, 122 mata di belakang pendahulu iaitu Red Bull Racing Honda.

Walaupun masih di awal musim, Aston Martin mengambil keputusan untuk meraikan pencapaian itu dengan melancarkan model eksklusif DBX707 AMR23 Edition.

Jika dibandingkan dengan versi standard, AMR23 Edition tampil dengan skema warna yang diinspirasikan daripada jentera lumba pasukan itu. Tiada sebarang penambahbaikan mekanikal memandangkan DBX707 adalah antara SUV paling berkuasa di dunia.

Rona hijau gelap yang dikenakan pada model ini digelar sebagai Podium Green dan dihasilkan oleh divisyen kustom Q by Aston Martin. Ia dipadankan dengan perincian Lime pada bahagian lip, skirt sisi dan diffuser, serta kaliper berwarna Aston Martin Green.

Turut disertakan sebagai pelengkap imej adalah lencana ‘Q by Aston Martin’ pada fender hadapan, berdekatan dengan liang udara.

Untuk ruang dalaman, DBX707 AMR23 Edition menggunakan jahitan kontras Lime untuk menaikkan seri upholsteri yang didatangkan dalam warna Onyx Black/Eifel Green. Kemasan gentian karbon dan satin gelap menghiasi konsol tengah, manakala logo AMR23 pula diletakkan pada ambang pintu.

Kuasa masih dibekalkan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8 keluaran Mercedes-AMG yang mampu menghasilkan 707 PS dan 900 Nm, iaitu 157 PS dan 200 Nm lebih tinggi berbanding DBX.

Dengan transmisi automatik sembilan kelajuan, SUV ini hanya memerlukan 3.3 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j. Kelajuan maksimum pula dikatakan boleh mencapai 310 km/j.

Harga dan jumlah unit yang akan dikeluarkan tidak diumumkan namun apa yang pasti, ia sudah tentu lebih mahal daripada DBX707 standard.

Jutawan Australia angkat McLaren Senna GTR ke ‘penthouse’ guna kren

BENARLAH kata orang, kalau ada duit semua boleh jadi.

Baru-baru ini, seorang ahli perniagaan terkemuka dari Melbourne iaitu Adrian Portelli berjaya memindahkan sebuah McLaren Senna GTR miliknya ke sebuah penthouse mewah menggunakan kren.

Menurut laporan, hypercar bernilai kira-kira AUD3 juta (RM9 juta) itu diangkat setinggi 57 tingkat sebelum disimpan di dalam penthouse tersebut.

Sumber gambar: Adrian Portelli/Instagram

Menurut Portelli, Senna GTR itu akan dijadikan sebagai perhiasan memandangkan ia sebuah kereta lumba dan tidak boleh didaftarkan untuk dipandu di jalan raya.

Penthouse berkenaan merupakan yang termahal di bandar Melbourne, dengan harga jualan mencecah AUD39 juta (RM118 juta).

Portelli bersama McLaren Senna GTR miliknya

Tambah Portelli, ia merupakan sebahagian daripada pakej yang ditawarkan.

“Saya beritahu mereka, jika saya beli penthouse ini, saya ingin letakkan kereta di dalamnya. Mereka kata, ‘baiklah, serahkan sahaja kepada kami,’ dan mereka berjaya melakukannya.”

Buat masa ini, Senna GTR itu diletakkan di atas lantai konkrit kerana seperti yang boleh dilihat, penthouse itu masih dalam proses pembinaan. Ia dijangka siap dalam masa 12 hingga 18 bulan.

Berusia 34 tahun, Portelli bukanlah nama yang asing dalam kalangan peminat kereta di Australia. Beliau merupakan pengasas LMCT+ Group, sebuah platform promosi dan giveaway yang memfokuskan kepada industri automotif.

Selain itu, beliau juga pernah menyertai rancangan televisyen realiti bertajuk The Block, di mana beliau diberi jolokan “Lambo Guy”.

12 konsesi lebuh raya akan laksana sistem pembayaran terbuka

MENTERI Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sebanyak 12 syarikat konsesi lebuh raya telah bersetuju untuk melaksanakan sistem pembayaran tol terbuka mulai September ini.

“Setakat ini, ini adalah syarikat konsensi yang setuju melaksanakan sistem pembayaran terbuka, yang lain rundingan masih dibuat dan kita berharap ada lagi yang tampil untuk bersama mengambil bahagian,” katanya.

Berikut adalah 12 syarikat konsesi lebuh raya yang bersetuju untuk melaksanakan sistem pembayaran tol terbuka:

  • Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE)
  • Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP)
  • Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT)
  • Lebuhraya Shah Alam (KESAS)
  • Terowong SMART
  • Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX)
  • Lebuhraya Sungai Besi
  • Lebuhraya Baru Pantai (NPE)
  • Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH)
  • Lebuhraya Koridor Guthrie
  • Jambatan Pulau Pinang
  • Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE)

Tambah Nanta, perbincangan dengan syarikat konsensi mengambil masa yang lama kerana perlu meneliti risiko keselamatan yang akan ditanggung oleh pengguna kad kredit atau debit untuk pembayaran tol.

“Kita nak pastikan semua isu-isu keselamatan itu tidak berlaku jadi kita tidak boleh buat tergesa-gesa pelaksanaannya,” katanya.

Sistem pembayaran tol terbuka yang akan bermula pada pertengahan September ini adalah inisiatif kerajaan untuk memberikan pilihan cara pembayaran tol kepada pengguna selain daripada menggalakkan kaedah pembayaran secara Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), kad Touch n Go dan SmartTag.

BMW R 1250 R, R 1250 RS masuk pasaran Malaysia

BMW Motorrad Malaysia terus memperluaskan penawaran mereka dalam pasaran motosikal premium tempatan, kali ini dengan pelancaran dua model baharu iaitu BMW R 1250 R dan R 1250 RS.

Secara asasnya, kedua-dua model ini menampilkan enjin dan ciri yang sama, cuma apa yang membezakan adalah bentuk badan. Model R merupakan motosikal jenis roadster manakala RS pula adalah jentera jelajah sport atau sport tourer.

Bercakap tentang enjin, R 1250 R dan R 1250 RS bernadikan enjin boxer dua silinder bersesaran 1,254 cc yang mampu memberikan kuasa sebanyak 136 PS dan 143 Nm.

Selain teknologi penyejukan udara/cecair, enjin berkenaan juga dilengkapi dengan tekonologi BMW ShiftCam yang membolehkan kuasa dibekalkan dengan lancar, sambil memelihara corak penggunaan bahan api dan emisi.

Teknologi lain yang terdapat pada jentera-jentera ini ialah sistem brek BMW Integral ABS Pro dan Dynamic Brake Control (DBC) yang bertindak untuk memberikan sokongan tambahan semasa pembrekan kecemasan.

Selain itu, kedua-duanya juga dilengkapi dengan Dynamic Traction Control (DTC) dan Riding Modes Pro yang menawarkan beberapa mod tunggangan seperti Pro dan Eco.

Kesemua ciri elektronik ini boleh diakses menerusi skrin TFT berwarna. Terdapat beberapa pilihan paparan yang disediakan, termasuk skrin Sports yang memaparkan maklumat masa nyata seperti sudut sendengan, ABS Pro dan DTC.

Turut disertakan adalah soket kuasa 12 volt bersepadu dan juga soket USB-A berkuasa 5 volt dengan ciri pengecasan pantas untuk peranti mudah alih. Ciri Intelligent Emergency Call juga merupakan fungsi standard bagi memastikan bantuan segera dapat diberikan dalam situasi kecemasan.

Sebagai pelengkap, kedua-dua model ini didatangkan dengan pakej Comfort, Touring dan Dynamic. Pakej Comfort merangkumi ciri Keyless Ride, peredam khas, kepala ekzos bersadur krom, pemanas pemegang dan kawalan tekanan tayar.

Pakej Touring pula membawakan GPS, Cruise Control, tongkat utama serta pendakap kotak simpanan, manakala pakej Dynamic mengandungi ciri-ciri keselamatan dan prestasi seperti Dynamic ESA dan Shift Assistant Pro.

R 1250 R dan R 1250 RS ditawarkan dalam varian Sport dan Triple Black, masing-masing dengan skema warna unik. Bagi R 1250 R, varian Sport didatangkan dalam warna Racingblue, manakala varian Triple Black dalam warna Blackstorm.

Sementara itu, varian Sport bagi R 1250 RS hadir dalam warna Lightwhite, Racingblue dan Racingred, manakala varian Triple Black membawakan warna Blackstorm.

 

Harga (atas jalan, tidak termasuk insurans) bagi R 1250 R adalah RM114,500, manakala harga R 1250 RS pula ialah RM118,500. Harga yang disebutkan termasuk waranti tiga tahun serta program bantuan tepi jalan tiga tahun oleh BMW Motorrad Malaysia.

Pro-Net lantik Hap Seng Smart sebagai pengedar

SEBAGAI persediaan untuk pelancaran kenderaan elektrik smart #1 pada penghujung tahun ini, Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (Pro-Net) mengumumkan pelantikan Hap Seng Smart Sdn. Bhd. sebagai pengedar sah pertama smart di Malaysia.

Pro-Net merupakan anak syarikat Proton yang bertanggungjawab menguruskan penjualan dan pengedaran kenderaan smart di Malaysia dan Thailand.

Konsep dalaman Hap Seng Smart KL

Hap Seng Smart pula anak syarikat Hap Seng Group yang mempunyai pengalaman lebih 50 tahun dalam bidang penjualan automotif, khususnya kenderaan Mercedes-Benz.

Bilik pameran pertama Hap Seng Smart akan dibuka pada suku keempat di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur diikuti sebuah lagi bilik pameran di Balakong, Selangor.

Konsep luaran Hap Seng Smart Balakong

“Pro-Net percaya kecemerlangan automotif bukan hanya setakat mencipta kenderaan terbaik malah turut menyediakan kemudahan yang komprehensif dan pengalaman yang unik kepada pelanggan,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net.

“Jalinan kerjasama antara Kumpulan Hap Seng melalui Hap Seng Smart dan Pro-Net mencerminkan bukan sahaja keyakinan kami terhadap daya tarikan universal jenama smart malah turut memperlihatkan komitmen kami di dalam menyokong agenda mobiliti hijau bagi mencapai matlamat mobiliti rendah karbon di Malaysia,” jelas Harald Behrend, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Hap Seng Consolidated Berhad dan Ketua Eksekutif Bahagian Automotif Hap Seng.

Kerjasama dengan Hap Seng Smart menjadi titik mula kemasukan Pro-Net ke dalam pasaran automotif premium di Malaysia. smart akan bekerjasama dengan rakan kongsi perniagaan yang terbaik di dalam industri untuk memperkenalkan produk, perkhidmatan dan pengalaman jenama premium.

Beberapa pengedar sah smart yang lain akan dilantik dan bakal diumumkan kelak.

Ini 8 kelab kereta antarabangsa bertaraf ‘kayangan’

Kelab kereta merupakan platform yang terbaik untuk peminat kereta berhimpun dan mengeratkan ikatan silaturahim sesama ahli menerusi pelbagai jenis aktiviti yang dijalankan.

Ini termasuk sesi ‘teh tarik’ (sering disebut TT) dan konvoi beramai-ramai ke lokasi yang menarik pada hujung minggu.

Bahkan, menerusi aktiviti-aktiviti ini juga, ahli kelab kereta berpeluang untuk bertukar ilmu dan pendapat tentang jentera masing-masing.

Gambar oleh: The Thermal Club

Di Malaysia, kelab kereta kebiasaannya bersifat santai dan tidak mempunyai ‘markas’ tetap untuk dijadikan lokasi berkumpul setiap hujung minggu.

Namun di luar negara, ada kelab-kelab eksklusif yang bukan sahaja mempunyai café khas untuk ahli-ahli mereka, malah mempunyai litar lumba untuk kegunaan sendiri!

Sudah tentu, untuk menyertai kelab-kelab seperti ini bukan mudah kerana kebanyakannya hanya terbuka kepada pemilik kereta-kereta supercar atau klasik yang bernilai, selain mengenakan yuran pendaftaran yang tinggi. Dengan cara inilah kelab-kelab tersebut dapat menjaga status eksklusif mereka.

 

Classic Car Club Manhattan

Dianggap antara kelab kereta yang paling berprestij di dunia, Classic Car Club Manhattan beroperasi sebagai skim perkongsian kereta (carsharing scheme) di mana para ahli boleh memandu mana-mana kereta dari fleet kelab itu.

Keahlian dibahagikan kepada tiga peringkat, dengan yuran pendaftaran bermula dari $5,000 kepada $15,000 dan yuran bulanan berjumlah $180.

 

Supercar Club Arabia

Bukanlah satu rahsia yang negara-negara Arab mempunyai koleksi kereta-kereta eksotik terbesar di dunia dan oleh itu, tidak hairanlah jika terdapat banyak kelab kereta di sana.

Salah satu daripadanya adalah Supercar Club Arabia (SCCA) yang terletak di UAE. Diasaskan pada 2014, keunikan kelab ini adalah ia sering mengadakan konvoi-konvoi rentas benua seperti dari Pergunungan Alp ke Teluk Oman.

 

Club Sportiva

Dibuka pada 2003, Club Sportiva menggunakan konsep ‘timeshare’ di mana ia mempunyai fleet supercar tersendiri yang boleh digunakan oleh ahli mahupun mereka yang bukan ahli.

Antara aktiviti yang ditawarkan termasuk pemanduan sejauh 200 km di jalan-jalan pergunungan di sekitar California, menaiki kapal layar serta pelbagai aktiviti lain yang tidak terhad kepada automotif.

 

P1 International Supercar Club

Seperti kebanyakan kelab-kelab kereta eksklusif yang lain, ahli P1 International Supercar Club mempunyai akses kepada pelbagai jenis kereta bertaraf supercar dan eksotik.

Kelab ini dibuka pada 2000 dan beroperasi menerusi dua cawangan di United Kingdom dan satu di Switzerland, namun ahli boleh menggunakan kereta kelab P1 di mana mana lokasi di seluruh dunia termasuk Singapura. Yuran keahlian juga tidak begitu tinggi iaitu sekitar $1,000 setahun.

 

Lou La Vie Members Club

Seperti Club Sportiva, Lou La Vie beroperasi menggunakan konsep ‘timeshare’ bagi memenuhi permintaan sewa kereta mewah yang semakin meningkat di sekitar Miami.

Untuk ahli, mereka bukan sahaja dapat memandu bermacam-macam jenis supercar, malah kereta itu boleh dihantar dan diambil dari mana-mana lokasi, pada bila-bila masa sahaja. Kelab ini menggunakan sistem mata yang boleh dibeli oleh ahli dan ditebus apabila menggunakan kereta.

 

McLaren F1 Owners Club

Sudah tidak perlu diperkatakan lagi yang McLaren F1 merupakan antara supercar yang paling berprestij pernah dihasilkan. Namun jangan salah sangka keahlian kelab ini tidak terhad kepada pemilik model F1 sahaja.

Mana-mana pemilik jentera McLaren boleh menyertainya, asalkan ia tergolong daripada Ultimate Series seperti Elva, Senna, Senna GTR dan juga Speedtail.

 

California Four-Wheel Drive Association

Diakui, kelab-kelab yang disenaraikan setakat ini terhad kepada kereta-kereta mewah, supercar dan eksotik sahaja, namun ini tidak bermakna kelab-kelab untuk SUV dan trak off-road tidak wujud.

Salah satu daripada kelab off-road yang terkenal di Amerika Syarikat merupakan California Four-Wheel Drive Association. Saban tahun, kelab ini menganjurkan aktiviti pemanduan lasak kepada 8,000 ahlinya di California.

 

The Thermal Club

Bayangkan jika terdapat litar lumba di dalam kawasan perumahan anda sendiri. Itulah keistimewaan yang ditawarkan oleh The Thermal Club. Untuk menjadi ahli, anda bukan sahaja perlu membeli hartanah malah perlu membayar yuran pendaftaran bermula dari $85,000 hingga $200,000. Yuran tahunan pula adalah sekitar $20,000.

Memang mahal namun sebagai ahli, anda dapat memandu di litar persendirian serta menikmati pelbagai kemudahan seperti garaj dan juga pusat talaan.

Mercedes-AMG GT 63 S E Performance dilancarkan – RM2.09 juta

MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) baru-baru ini melancarkan kereta produksi Mercedes-AMG paling berkuasa pernah dihasilkan setakat ini iaitu GT 63 S E Performance.

Ia juga merupakan model paling mahal dalam barisan MBM, dengan harga jualan (OTR dengan insurans) bermula dari RM2,088,888.

Apa yang menjadikan ia begitu mahal? Pertama sekali, GT 63 S E Performance menggunakan trenkuasa hibrid plug-in E Performance yang dihasilkan menggunakan teknologi Formula 1.

Trenkuasa itu terdiri daripada enjin 4.0-liter biturbo V8 yang digandingkan dengan motor elektrik. Secara sendirinya, enjin itu menghasilkan 639 hp dan 900 Nm, manakala motor elektrik tersebut menjana 201 hp (150 kW) dan 320 Nm.

Apabila digabungkan, enjin dan motor elektrik berkenaan menghamburkan kuasa keseluruhan berjumlah 843 hp dan lebih dari 1,400 Nm.

Dengan transmisi MCT sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic+, jentera ini mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 2.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 316 km/j.

Tugas pengendalian pula diserahkan kepada sistem suspensi AMG Ride Control+ yang berfungsi untuk melaraskan daya redaman pada setiap tayar mengikut situasi dalam beberapa milisaat.

Ini dibantu dengan AMG Dynamic Select yang membolehkan pemandu memilih mod pemanduan dari Comfort hingga Sport+, serta sistem kawalan AMG Dynamics untuk talaan sistem pacuan, limited-slip differential elektronik dan pelbagai lagi.

Untuk sistem brek pula, GT 63 S E Performance menggunakan cakera seramik yang dikatakan lebih ringan, lebih stabil dan mempunyai sela masa servis yang lebih panjang.

Untuk pasaran Malaysia, model ini didatangkan standard dengan rim AMG berukuran 21 inci, AMG Aerodynamics Package, AMG Exterior Carbon Package serta AMG Night Package.

Terdapat beberapa warna eksklusif untuk dipilih termasuk Manufaktur Kalahari Gold dan AMG Green Hell Magno, serta set pelekat untuk skirt sisi. Upholsteri kulit Nappa pada bahagian dalaman juga boleh didapati dalam pelbagai warna mengikut citarasa pelanggan.

Porsche Malaysia naik taraf pengecas DC, kini berkapasiti 350 kW

PENGEDAR rasmi kenderaan Porsche di Malaysia iaitu Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah menaik taraf kemudahan pengecasan berprestasi tingginya sehingga 350 kW.

Menurut syarikat itu, kemudahan pengecasan di semua Porsche Centre di seluruh Malaysia kini dilengkapi dengan dua pengecas arus terus (DC) yang membolehkan dua buah Porsche Taycan dicas secara serentak pada kadar 175 kW.

Dengan naik taraf ini, Porsche Malaysia mensasarkan untuk meningkatkan lagi pengalaman pemilikan EV di kalangan pelanggan mereka.

Apabila mengecas pada kadar maksimum, pemulihan kuasa bateri dari 5 hingga 80 peratus pada Taycan mengambil masa kurang dari 23 minit.

“Sejak kami memperkenalkan kereta sport elektrik pertama kami, Porsche Taycan, di samping pengecasan berprestasi tinggi 175 kW di pengedar kami pada 2020, kami melihat peningkatan permintaan dan bilangan peminat kereta sport EV di Malaysia,” kata Christopher Hunter, Ketua Pegawai Eksekutif SDAP.

Pengecas berprestasi tinggi 350 kW itu kini tersedia di Porsche Centre Ara Damansara dan Porsche Centre Penang. Ia juga akan dipasang di Porsche Centre Sungai Besi dan Porsche Centre Johor Bahru pada Jun tahun ini.

Sementara itu, Porsche Malaysia juga telah memasang solar panel di ruang parkir terbuka Porsche Centre Penang dalam usahanya untuk  mengurangkan jejak karbon.

Dengan 151 panel yang mampu menjana sehingga 81.51 kWp, ruang parkir itu dikatakan mampu mengurangkan purata penggunaan elektrik sebanyak 30 peratus.

“Dengan inisiatif yang inovatif dan berpandangan ke hadapan seperti konsep carport solar baharu di Porsche Centre Penang, kami menemui cara yang lebih baik untuk mendapatkan tenaga boleh diperbaharui, dan menyediakan perniagaan kami untuk peningkatan permintaan tenaga yang akan kami hadapi pada tahun-tahun akan datang,” kata Hunter.

JPJ tetap ambil tindakan terhadap pemegang lesen 10 tahun yang ingkar

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke berkata walaupun pemegang lesen sudah memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk tempoh 10 tahun, tindakan penguatkuasaan tetap akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan jalan raya.

Menurut Loke, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai sistem yang mampu mengesan pesalah dan tindakan seperti penggantungan lesen atau menarik lesen bagi kesalahan tertentu tetap dilakukan.

“Walaupun ada pihak mendakwa dengan cara ini orang tidak bayar saman dan sebagainya, kami ada cara lain iaitu digital. Kalau mereka ada kesalahan seperti kes kemalangan, hukuman gantung lesen mereka tetap dilakukan, bukan bermaksud pemegang lesen itu sudah bayar (lesen) tidak akan digantung,” katanya.

Loke sebelum ini telah mengumumkan rakyat Malaysia boleh memperbaharui LMM untuk tempoh sehingga 10 tahun di pejabat atau kaunter JPJ.

Pemegang LMM yang memperbaharui lesen memandu mereka untuk tempoh maksimum itu akan menikmati diskaun 10 peratus.

“Cuma bayar RM270 berbanding RM300. Itu adalah dasar baharu yang kami perkenalkan untuk memudahkan orang ramai. Saya banyak mendapat maklum balas dan permintaan daripada orang ramai tempoh untuk memperbaharui lesen memandu dipanjangkan,” katanya.