All posts by Amirul Mukminin

Bilik pameran Das WeltAuto sendiri pertama di Malaysia dibuka

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan rakan pengedar, MHV Autohaus hari ini melancarkan bilik pameran Das WeltAuto ‘standalone’ yang pertama di Malaysia.

Dilancarkan di Malaysia pada 2019, Das WeltAuto merupakan program kereta terpakai global Volkswagen. Ia menawarkan kereta terpakai yang diperakui serta disokong dengan kepakaran pengetahuan, standard dan proses jenama Volkswagen.

Terletak di Jalan Gombak, bilik pameran Das WeltAuto ini mempunyai kawasan seluas 18,500 kaki persegi dan boleh menempatkan sehingga 55 unit kereta. Ia juga mempunyai dua ruang parkir tambahan bagi tujuan penyerahan.

Selain menawarkan pelbagai pilihan kereta terpakai, pelanggan juga boleh memanfaatkan pembiayaan menarik, jaminan lanjutan dan bantuan tepi jalan selama setahun apabila membeli kereta Volkswagen daripada Das WeltAuto.

Menurut VPCM, semua model diterima untuk tujuan tukar-beli dan setiap kenderaan akan menjalani pemeriksaan 133 poin yang teliti dan menyeluruh sebelum disahkan oleh juruteknik Volkswagen.

Ketenangan minda juga terjamin kerana semua kereta Das WeltAuto menggunakan alat ganti tulen, bebas kemalangan dan banjir, serta hadir dengan bukti servis yang lengkap di pusat servis sah Volkswagen.

Sebagai tambahan, pelanggan Volkswagen yang ingin menjual kereta mereka boleh berbuat demikian di laman web Das WeltAuto dengan mengklik butang ‘Sell Your Car’.

Satu lagi ciri menarik pada laman web ini ialah bahagian ‘Nearly New Cars’ yang menyenaraikan kereta-kereta yang telah diperakui dengan jarak perbatuan kurang 12,000 km dan didaftarkan dalam tempoh setahun.

Das WeltAuto terdapat di 11 pengedar Volkswagen: Volkswagen Setia Alam, Volkswagen Puchong, Volkswagen Tebrau, Volkswagen Skudai, Volkswagen Gombak, Volkswagen Juru, Volkswagen Alor Setar, Volkswagen Seremban, Volkswagen Glenmarie, Volkswagen Ipoh dan Volkswagen Melaka.

Tiga pusat 3S BYD dibuka di Lembah Klang

SIME Darby Motors telah mengumumkan pembukaan bukan satu atau dua, tetapi tiga pusat 3S BYD di Lembah Klang.

Terletak di lokasi strategik di Ara Damansara, Glenmarie dan Cheras, pusat-pusat tersebut menyediakan akses, kemudahan serta perkhidmatan jualan dan selepas jualan untuk pelanggan BYD di sekitar Lembah Klang.

Pusat 3S BYD di Ara Damansara dilancarkan oleh anak syarikat Sime Darby Motors iaitu Sime Darby Beyond Auto (SDBA). Majlis pelancaran dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi termasuk Pengerusi dan Presiden BYD, Wang Chuanfu.

Dengan kos pelaburan kira-kira RM11 juta, pusat yang terletak di atas kawasan berkeluasan 19,375 kaki itu menampilkan konsep runcit jenama BYD serta pelbagai kemudahan terkini termasuk pusat servis yang mempunyai empat ruang kerja dengan kapasiti sehingga 270 unit kenderaan sebulan.

Pusat 3S BYD di Glenmarie pula dikendalikan oleh BYD Sisma Auto. Berukuran kira-kira 21,527 kaki persegi, ia mempunyai bilik pameran yang mampu memuatkan sehingga sembilan kenderaan dan pusat servis dengan 10 ruang kerja.

Sementara itu, pusat 3S BYD di Cheras kendalian Millenium Autobeyond pula mempunyai keluasan kira-kira 21,323 kaki persegi. Bilik pamerannya mampu memaparkan sehingga empat kenderaan manakala pusat servisnya mempunyai lima ruang kerja.

Selain kemudahan bilik pameran dan pusat servis, pelanggan juga boleh menikmati ruang istirahat yang selesa, perkhidmatan WiFi percuma, ruang pengecasan, serta hidangan kopi dan snek tanpa had.

Dato’ Jeffri Salim Davidson, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad berkata, “Pembukaan tiga pusat BYD 3S adalah bukti komitmen kami ke arah memacu lebih banyak kenderaan elektrik (EV) diterima pakai di kalangan rakyat Malaysia dan pada masa yang sama kami berusaha untuk menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan bertaraf dunia kepada pelanggan BYD kami.”

BYD Ara Damansara
Alamat : Block 1, Sime Darby Motors City, 6, Jalan PJU 1A/7, Ara Damansara, 47301 Petaling Jaya, Selangor
No telefon : 1300-38-1888
Waktu operasi: : Isnin – Sabtu: 8:30PG – 5:30PTG
Ahad & Cuti Umum: 10:00PG – 5:00 PTG
Laman Web : https://byd.simedarbymotors.my

BYD Sisma Auto
Alamat : 19, Jalan Perintis U1/52, Section U1 Temasya, 40150 Shah Alam, Selangor
No telefon : 03-5569 2260
Waktu operasi : Isnin – Jumaat: 9:00PG to 6:00 PTG
Sabtu: 10:00PG to 5:00 PTG
Ahad: 10:00PG to 5:00 PTG
Laman web : https://byd.sismaauto.com/

Millenium Autobeyond
Alamat : No 691, Batu 5, Jln Cheras, Taman Mutiara Barat, 56100 Kuala Lumpur
No telefon : 03-9133 7228
Waktu operasi : Isnin – Sabtu: 8:30PG to 5:30PTG
Ahad: 10:00PG to 5:00PTG

Neta V kereta elektrik termurah di Malaysia – RM99,800

NETA, pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China yang bernaung di bawah Hozon Auto, secara rasminya memasuki pasaran Malaysia dengan model Neta V sebagai penawaran pertama.

Diedarkan oleh Intro Synergy Sdn Bhd, anak syarikat GoAuto Group, Neta V tampil sebagai EV paling mampu milik di negara ini dengan harga jualan serendah RM99,800.

Lebih menarik lagi, 100 pelanggan pertama yang membuat tempahan secara dalam talian akan mendapat rebat tunai berjumlah RM10,000.

Model ini didatangkan dengan waranti selama lima tahun atau 150,00 km dan waranti bateri selama lapan tahun atau 180,000 km. Jualan dijangka bermula suku ketiga tahun ini.

Dari segi spesifikasi, Neta V mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar hadapan yang mampu menjana 95 PS dan 150 Nm. Pecutan 0 hingga 50 km/j boleh dilakukan dalam 3.9 saat, manakala kelajuan maksimum adalah sekitar 120 km/j sahaja.

Ia menggunakan bateri berkapasiti 38.54 kWj yang mampu memberikan jarak pemanduan sejauh 380 km dengan satu cas penuh berdasarakan kitaran NEDC.

Untuk pengecasan pula, bateri tersebut boleh menampung pengecasan AC sehingga 6.6 kW yang akan mengambil masa selama lapan jam untuk pengecasan penuh.

Ia juga menyokong pengecasan pantas DC sehingga 100 kW yang berupaya memulihkan tenaga bateri dari 30 hingga 80 peratus dalam 30 minit.

Seperti model-model EV yang lebih mahal seperti Hyundai Ioniq 5 dan Kia EV6, Neta V didatangkan dengan ciri Vehicle-to-Load (V2L) yang boleh digunakan untuk mengecas pelbagai perkakasan elektrik.

Antara kelengkapan lain yang disertakan pada model ini termasuklah lampu LED, lampu nyalaan siang LED, rim aloi 16 inci, upholsteri kulit, kluster instrumen digital 12 inci, skrin sentuh 14.6 inci, pendingin hawa automatik dan penapis udara HEPA N95.

Sistem keselamatan pula terdiri daripada dua beg udara, ABS, EBD, Cruise Control, parkir sensor, kamera undur, Hill Start Assist dan Tyre Pressure Monitoring System. Sistem bantuan pemandu ADAS tidak disertakan.

Untuk pasaran Malaysia, Neta V ditawarkan dalam lima warna iaitu White Storm, Midnight Grey, Cyan, Sky Blue dan Sakura Pink. Ruang dalaman didatangkan dalam warna hitam sahaja.

Yamaha Y16ZR ‘Tech Art’ Doxou – 5,000 unit sahaja, RM11,818

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan model edisi terhad Yamaha Y16ZR ‘Tech Art’ Doxou ke pasaran tempatan. Hanya 5,000 unit motosikal ini akan ditawarkan, dengan harga jualan bermula dari RM11,818.

Buat pengetahuan pembaca, Doxou berasal dari perkataan Jepun “Dokusou” yang bermaksud ‘menjadi kreatif dan mendahului yang lain’.

Sesuai dengan namanya, model Y16ZR ini tampil dengan livery eksklusif di keseluruhan bahagian badan, ‘sports fender’, serta rim dalam warna cyan pada bahagian hadapan dan belakang.

Tidak cukup dengan itu, setiap pembelian juga didatangkan dengan lencana nombor siri produksi dan sijil penghargaan sebagai tanda terima kasih kepada pelanggan.

Tiada sebarang penambahbaikan dari segi mekanikal untuk model ini, bermakna ia masih dikuasakan ole enjin 155 cc SOHC penyejukan cecair dengan Variable Valve Actuation (VVA) yang menghasilkan 17.7 hp pada 9,500 rpm dan 14.4 Nm pada 8,000 rpm.

Enjin ini digandingkan dengan transmisi enam kelajuan baharu yang mempunyai pemetaan pencucuhan yang berbeza untuk setiap gear dan klac jenis ‘Assist & Slipper’ untuk penukaran gear yang lebih mudah.

Bukan itu sahaja, tuil klacnya juga 10 mm lebih pendek berbanding Y15ZR.

“Yamaha Y16ZR Doxou 2023 edisi terhad merupakan bukti komitmen HLYM terhadap kecemerlangan dan semangat kami untuk mencipta pengalaman bermotosikal yang luar biasa untuk pelanggan kami,” kata Dato’ Dr. Jim Khor Mun Wei, Pengarah Urusan Kumpulan, Hong Leong Industries Berhad.

Menurut HLYM, Yamaha Y16ZR ‘Tech Art’ Doxou akan berada di semua cawangan pengedar sah Yamaha di seluruh negara bermula 8 Mei 2023.

Turapan jalan besar-besaran di Selangor akan dilaksanakan dua minggu lagi

KERJA menurap jalan rosak secara besar-besaran di Selangor membabitkan kos RM50 juta akan dilaksana serentak dua minggu lagi.

Menurut Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Ir Izham Hashim, projek tersebut melibatkan lebih 20 kontraktor dan dijangka mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan.

Tambah beliau lagi, projek itu menumpukan kawasan yang menghadapi masalah jalan rosak teruk serta lokasi yang tidak mendapat perhatian.

“Kita juga akan utamakan jalan yang dicadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT), majlis daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya seperti dilaporkan Selangor Kini pada Ahad.

Beliau berkata, jumlah kerja penurapan berbeza bagi setiap daerah bergantung kepada laporan yang dibuat agensi terlibat.

Terdahulu, menerusi Bajet 2023, kerajaan negeri Selangor mengumumkan peruntukan sebanyak RM145 juta untuk meningkatkan sistem jaringan jalan raya di negeri berkenaan.

Ia termasuk kerja penurapan mega melibatkan jalan-jalan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Susulan itu, Izham telah meminta PBT di Selangor mengenal pasti dan menyenaraikan jalan-jalan kritikal di kawasan pentadbiran masing-masing bagi tujuan tersebut.

Tayar Cooper kini boleh didapati menerusi Goodyear Autocare di Malaysia

BERIKUTAN pengambilalihan syarikat Cooper Tire & Rubber Company pada tahun lalu, Goodyear Tire & Rubber Company mengumumkan bahawa pemilik trak pikap di Malaysia kini boleh mendapatkan tayar berjenama Cooper menerusi kedai Goodyear Autocare di seluruh negara.

Ditubuhkan pada tahun 1914, Cooper Tire mengkhususkan dalam pebuatan tayar berkualiti tinggi untuk trak pikap dan 4X4.

“Kami meramalkan sinergi antara kedua-dua jenama ini akan membawakan penawaran produk yang lebih meluas kepada pengguna,” kata Alex Ng, Pengarah Urusan Goodyear Malaysia.

Bersempena dengan gabungan ini, Goodyear Malaysia mengadakan promosi Cooper Tires di mana pelanggan akan menerima Kad Hadiah Petronas bernilai RM40 unutk setiap pembelian empat unit tayar Cooper. Promosi sah sehingga 31 Mei 2023.

Bukan itu sahaja, tayar Cooper juga didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima tahun bermula dari tarikh pembelian untuk memberikan pelanggan ketenangan minda apabila memandu di jalan raya.

“Apabila bercakap mengenai pemanduan off-road dan di atas jalan, kami yakin kepada ketahanan dan kualiti Cooper Tire, itulah sebabnya kami berbangga untuk meneruskan legasi Cooper Tire dengan  menggalakkan pemandu trak pikap di Malaysia untuk memilih tayar kami untuk pengembaraan seterusnya,” kata Alex lagi.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.goodyear.com.my/cooper/.

BMW i4 M50 di Malaysia Autoshow 2023 – 544 PS, jarak 510 km

HAMPIR dua tahun selepas ia diumumkan untuk pasaran Malaysia, model BMW M elektrik sepenuhnya yang pertama iaitu BMW i4 M50 akhirnya membuat kemunculan sulungnya secara menerusi acara Malaysia Autoshow 2023 di MAEPS, Serdang.

Untuk pasaran tempatan, i4 M50 didatangkan standard dengan logo 50 Tahun BMW M, diserlahkan lagi dengan pakej M Aerodynamics, spoiler belakang, dan diffuser berwarna hitam. Ia menggunakan rim aloi berukuran 20 inci.

Di dalam, EV sporty ini menampilkan trim dalaman M, kemasan gentian karbon, kemasan Sensatec pada panel instrumen, bumbung kaca elektrik, serta kerusi M Sport lengkap dengan tali pinggang keledar M.

Pacuan dibekalkan oleh sepasang motor elektrik (satu pada setiap gandar) yang mampu menjana kuasa keseluruhan sebanyak 544 PS dan 795 Nm mod Sport Boost.

Gandingan ini membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 225 km/j.

Dengan bateri berkapasiti 83.9 kWh, i4 M50 boleh dipandu sejauh 510 km (berdasarkan kitaran WLTP) dengan satu cas penuh. Pengecasan AC 11 kW dari 0 hingga 100 peratus mengambil masa 8 jam 15 minit, manakala pengecasan DC 200 kW berupaya memulihkan kuasa bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam 31 minit.

Untuk pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan, model ini didatangkan dengan ciri BMW IconicSounds Electric yang mampu menghasilkan bunyi ala enjin BMW M.

Dari segi keselamatan, pemandu boleh berlapang dada dengan adanya sistem keselamatan yang canggih seperti Acoustic Protection for Pedestrians, Active Protection for Pedestrians, Driving Assistant Professional, Parking Assistant Plus serta Active Protection.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans) i4 M50 dengan Waranti Lanjutan dan Inklusif Servis & Pembaikan BMW adalah RM445,800.

Kini anda boleh perbaharui lesen memandu sehingga 10 tahun

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan dua inisiatif yang akan akan memudahkan urusan pemegang lesen memandu di Malaysia.

Pertama sekali, bermula 8 Mei rakyat Malaysia boleh memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk tempoh sehingga 10 tahun.

“Mana-mana pemegang LMM yang memperbaharui lesen mereka untuk tempoh 10 tahun sekali gus hanya akan dikenakan bayaran untuk tempoh sembilan tahun sahaja,” kata Loke.

Ini bermakna pemegang LMM yang memperbaharui lesen memandu mereka untuk tempoh 10 tahun hanya perlu membayar RM270 dan menikmati penjimatan sebanyak RM30.

Menurut Loke lagi, mereka yang berminat perlu memastikan baki tempoh sah laku LMM semasa adalah tidak melebihi satu tahun.

Anthony Loke. Gambar oleh: Malay Mail

Beliau memaklumkan, inisiatif ini hanyalah untuk warganegara Malaysia sahaja. Pembaharuan untuk tempoh 10 tahun ini juga hanya boleh dilakukan di pejabat atau kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja.

Inisiatif kedua yang diumumkan adalah semua pemandu dengan LMM yang tamat tempoh sah laku bermula 1 Januari 2018 boleh melakukan pembaharuan tanpa perlu mengambil semula ujian.

Loke berkata inisiatif ini mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19 dan kekangan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia di luar negara yang tidak dapat memperbaharui LMM mereka kerana tidak dapat pulang ke tanah air.

“MOT akan memberi kebenaran khas kepada mana-mana pemegang LMM yang telah tamat tempoh sah laku untuk memperbaharui LMM masing-masing tanpa perlu menjalani semula ujian,” beliau berkata kepada pemberita.

Inisiatif ini sah sehingga 31 Disember tahun ini dan peraturan sedia ada akan berkuat kuasa semula pada 1 Januari 2024.

Modenas Dominar D400 Adventure, D250 dilancarkan – harga dari RM14k

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat milikan penuh Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) hari ini melancarkan dua model baharu iaitu Modenas Dominar D400 Adventure dan Dominar D250.

Dominar D400 Adventure merupakan model kembara yang sebelum ini sudah dilancarkan di India. Ia tampil dengan cermin penghadang angin yang lebih tinggi, pelindung tangan dan kaki, ‘bash plate’ enjin dan perehat belakang untuk pembonceng.

Bukan itu sahaja, model ini juga didatangkan dengan cagak untuk telefon pintar atau sistem navigasi dengan port pengecas USB yang boleh diakses.

Seperti Dominar D400, versi Adventure ini juga dikuasakan oleh enjin 373 cc, DOHC suntikan bahan api yang menghasilkan 39.4 hp dan 35 Nm.

 

Casisnya terdiri daripada fork jenis terbalik (SUD) dan penyerap hentak tunggal Nitrox, manakala sistem brek pula merangkumi cakera berukuran 320 mm di hadapan dan 230 mm di belakang. Turut disertakan adalah sistem ABS dwi saluran.

Ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Savanna Green dan Charcoal Black. Harga jualan bermula dari RM15,797 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Sementara itu, Dominar D250 pula mempunyai reka bentuk dan ukuran dimensi yang sama dengan ‘abangnya’ iaitu Dominar D400.

Apa yang membezakan antara dua model ini adalah enjin, di mana Dominar D250 mempunyai ‘nadi’ silinder tunggal bersesaran 249 cc dengan kuasa sebanyak 26.6 hp pada 8,500 rpm dan 23.5 Nm pada 6,500 rpm.

Enjin ini digandingkan dengan transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan klac jenis ‘slipper’.

Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan fork USD 37 mm dan penyerap hentak tunggal Nitrox boleh laras. Sistem brek juga sama iaitu cakera 320 mm dan 230 mm, serta ABS dwi saluran.

Penggunaan enjin yang lebih kecil menjadikan Dominar D250 7 kg lebih ringan, dengan berat keseluruhan mencecah 180 kg.

Dominar D250 boleh didapati dalam tiga warna iaitu Sparkling Black, Racing Red dan Citrus Rush. Ia dijual pada harga RM13,797 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

MINI Electric Resolute Edition – 90 unit sahaja, RM211,164

MINI Malaysia telah melancarkan model edisi terhad MINI Electric Resolute Edition di Malaysia Autoshow 2023 yang berlangsung di MAEPS, Serdang hari ini.

Terhad kepada 90 unit sahaja, model Resolute Edition membawakan rekaan serta ciri-ciri kefungsian eksklusif yang menjadikan EV itu lebih menarik secara visual.

Di samping penawaran warna Rebel Green yang ditampilkan ini, MINI Electric Resolute Edition juga boleh didapati dalam warna Enigmatic Black dan Nanuq White.

Setiap warna dipadankan dengan kemasan Resolute Bronze pada lampu hadapan, gril, lampu belakang, serta hendal pintu dan but. Juga tidak dilupakan kemasan Piano Black pada bingkai dalaman gril, logo dan lencana model.

Imej model edisi terhad ini dilengkapkan dengan set roda aloi Electric Collection Spoke berukuran 17 inci.

Di dalam, elemen yang paling menonjol adalah upholsteri fabrik/kulit Black Pearl Light Chequered yang diperbuat daripada botol-botol PET yang dikitar semula.

Selain itu, terdapat juga balutan kulit Nappa dan lencana Resolute pada stereng, serta corak garisan-garisan halus yang melengkung dalam warna emas pada papan pemuka dan ambang sisi.

Kelengkapan yang disertakan termasuklah kluster instrumen digital berukuran lima inci, skrin sentuh 8.8 inci dengan Apple CarPlay, sistem audio Harman Kardon, pengecas wayarles, paparan ‘head up’ dan kemasukan tanpa kunci.

Seperti versi standard, MINI Electric Resolute Edition dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pada gandar hadapan yang menghasilkan 184 PS dan 270 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 150 km/j.

Model ini menggunakan bateri berkapasiti 32.6 kWh yang memberikan jarak pemanduan sejauh 232 km dengan satu cas penuh.

Untuk pengecasan pula, bateri tersebut mengambil masa 2 jam 30 minit untuk cas penuh dengan pengecas AC 11 kW, atau 36 minit dari 10 hingga 80 peratus dengan menggunakan pengecas DC 50 kW.

Harga jualan bermula dari RM 211,164. Ia hadir dengan waranti tanpa had perbatuan selama empat tahun, waranti bateri selama lapan tahun atau 100,000 km, serta servis berjadual percuma.

Proton X50 R3 Concept buat kemunculan mengejut

MALAYSIA Autoshow 2023 yang membuka tirainya hari ini untuk pengamal media menyaksikan kemunculan sebuah model yang langsung tidak disangka-sangka iaitu Proton X50 R3 Concept.

Adakah ia sekadar model konsep yang dihasilkan untuk Malaysia Autoshow semata-mata?

Tidak. Menurut Proton, X50 R3 Concept ini dibangunkan sebagai tanda meraikan ulang tahun divisyen R3 yang ke-20 dan ia akan ditawarkan kepada pembeli yang berminat.

Walau bagaimanapun, pengeluaran model ini akan dihadkan kepada 200 unit sahaja bagi mengekalkan keeksklusifannya.

Harga rasmi masih belum diumumkan namun tempahan sudah pun dibuka. Pelancaran pula dijangka berlaku suku ketiga tahun ini.

Jadi, apa yang menarik?

Pertama sekali, harus diingat bahawa X50 R3 Concept menggunakan varian Flagship sebagai asas dan ia mendapat sentuhan dari segi aspek kosmetik sahaja.

Ia dilengkapi dengan aerokit R3 (depan, sisi, belakang dan spoiler bumbung) dan perincian berwarna kuning di sekeliling badan.

Walaupun suspensi tidak ditala, rim R3 ‘flow formed’ berukuran 18 inci yang dipakai ini lebih ringan dan kukuh berbanding rim standard. Menurut R3, penggunaan rim ini mengurangkan berat keseluruhan kenderaan sebanyak 10 kg.

Ruang dalaman tidak didedahkan namun menurut apa yang diberitahu, terdapat plat nombor siri pengeluaran, logo R3 pada perehat kepala dan karpet R3 dengan rekaan 3D.

Dari segi prestasi, penulis dimaklumkan bahawa X50 R3 Concept menggunakan enjin 1.5 TGDi yang sama dengan varian Flagship. Ini bermakna ia mempunyai 177 PS dan 255 Nm, serta transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.

Berminat? Segeralah ke ruang pameran Proton di Malaysia Autoshow 2023 di MAEPS, Serdang dari 4 hingga 7 Mei 2023.

Volkswagen Arteon R-Line 4MOTION kini dengan IQ.DRIVE

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah melancarkan Arteon R-Line 4MOTION baharu yang kini dilengkapi dengan teknologi IQ.DRIVE.

Teknologi berkenaan membawakan dua ciri bantuan pemandu iaitu Bantuan Hadapan (Front Assist) dan Kawalan Jelajah Adaptif (Adaptive Cruise Control) untuk pemanduan yang lebih selesa dan selamat.

Selain itu, sedan fastback itu juga dilengkapi dengan port pengecasan tanpa wayar.

Aspek prestasi tidak berubah, di mana Arteon R-Line dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder TSI yang menghasilkan 280 PS dan 350 Nm.

Dengan kotak gear DSG tujuh kelajuan dan sistem pacuan 4Motion, ia boleh memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 5.6 saat. Ia juga menawarkan penjimatan bahan api sekitar 7.4 liter/100 km.

Kelengkapan yang disertakan pada model ini termasuk Lampu Membelok Dinamik (Dynamic Cornering Lights), serta lampu belakang LED 3D yang hadir dengan lampu membelok jenis ‘sequential’.

Turut disertakan adalah ciri All Weather Light yang memberikan pencahayaan lebih luas bagi meningkatkan pandangan sewaktu cuaca buruk dan gelap.

Di dalam, terdapat Digital Cockpit bersaiz 11.7 inci yang memaparkan pelbagai maklumat penting, serta sistem infohibur Discover Pro dengan skrin bersaiz 9.2 inci yang hadir dengan kawalan suara dan gerakan, serta ketersambungan tanpa wayar App-Connect untuk Apple Car Play dan Android Auto.

Pemandu boleh mengubah suai pemanduan mereka dengan ciri Dynamic Chassis Control (DCC) yang menawarkan lima mod pemanduan iaitu Eco, Comfort, Normal, Sport dan Individual, serta sehingga 15 tetapan tertentu.

Dari segi keselamatan, Arteon hadir dengan Bantuan Sisi (Side Assist), Rear Cross Traffic Alert dan Bantuan Lorong (Lane Assist), sistem 360 Area View, Post Collision Braking System, Intelligent Crash Response System (ICRS) dan Electronic Different Lock (XDS).

Harga cadangan Arteon R-Line 4MOTION dengan IQ.DRIVE adalah RM299,900. Ia disertakan dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

Ia boleh didapati dalam lima warna iaitu Manganese Grey, Lapiz Blue, Pyrite Silver, Deep Black dan Oryx White.

MIROS akan nilai tahap keselamatan Perodua Axia walau tiada aduan

INSTITUT Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengesahkan ia akan menjalankan penilaian ke atas Perodua Axia susulan laporan pemalsuan ujian keselamatan oleh Daihatsu Motor Co Ltd di Jepun, walaupun belum menerima sebarang aduan berkaitan keselamatan dari pemilik model itu.

Bercakap kepada Free Malaysia Today, Pengerusi MIROS, Prof Dr Wong Shaw Voon berkata, “Kami tidak menerima sebarang aduan, namun kami akan meneliti dakwaan Perodua.”

Ini susulan kenyataan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad yang menyatakan model itu selamat untuk dipandu dan tiada panggilan semula akan dibuat.

Pengeluar kenderaan itu juga tidak akan menghentikan penghantaran kenderaan model baharu ini kepada pelanggan.

Axia merupakan salah satu daripada empat model yang terlibat dalam “ketidakaturan prosedur” ujian keselamatan yang dilakukan oleh Daihatsu. Tiga model lagi ialah Toyota Vios, Toyota Agya dan satu lagi model yang belum dilancarkan.

Semalam, UMW Toyota Motor mengeluarkan kenyataan bahawa penjualan Toyota Vios 2023 akan diteruskan kerana tiada isu dari segi standard keselamatan dan kualiti kenderaan berkenaan.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, “Bagi pelanggan yang telah menempah Toyota Vios serba baharu atau berminat untuk membelinya, kami ingin memberi jaminan bahawa model berkenaan mematuhi semua peraturan keselamatan dan tiada kompromi terhadap kualitinya.”

Polis buru 14 kereta potong barisan di Kota Tinggi

SERAMAI 14 pemilik kenderaan sedang dikesan polis akibat tindakan mereka memotong barisan di sepanjang Jalan Kota Tinggi-Kluang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, tindakan itu diambil selepas perbuatan mereka tular di Facebook.

Katanya, nombor pendaftaran kenderaan terbabit ialah JNA 2863, JVS 2930, MBG 4188, RAM 3334, UiTM 6686, JQK 153, JPE 6058, RS 8079, JPJ 899, VJC 3572, JQN 5554, JTF 7772, JUW 7269 dan VCQ 6740.

“Polis mendapati kesalahan ini menjejaskan aliran trafik dan secara tidak langsung boleh mencetuskan kemalangan jalan raya.

“Pemandu kenderaan ini digesa tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Kota Tinggi bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan berasingan, Hussin berkata, dua pemandu kereta dikenakan tindakan selepas bertindak memotong garisan berkembar.

Katanya, polis mengesan penyebaran video dirakam orang awam dan dimuat naik ke Facebook yang memaparkan dua kejadian secara berasingan.

“Kejadian ini itu membabitkan pemandu Toyota Alphard di Jalan Kulai-Kota Tinggi berhampiran loji rawatan air Semanggar dan seorang lagi, pemandu Kia Carnival di Jalan Johor Bahru-Mersing iaitu berhampiran Felcra Sungai Ara.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah Kota Tinggi berjaya mengesan dan tindakan ke atas kedua-dua pemandu sudah diambil.

“Polis mengingatkan masyarakat supaya lebih peka dengan kesan pemanduan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain dan menyarankan mengubah cara pemanduan bagi kebaikan bersama,” katanya.

Toyota Vios akan terus dijual, tiada isu dari segi keselamatan

UMW Toyota Motor dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa penjualan Toyota Vios serba baharu akan diteruskan kerana tiada isu dari segi standard keselamatan dan kualiti kenderaan berkenaan.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, “Bagi pelanggan yang telah menempah Toyota Vios serba baharu atau berminat untuk membelinya, kami ingin memberi jaminan bahawa model berkenaan mematuhi semua peraturan keselamatan dan tiada kompromi terhadap kualitinya.”

Ini berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Daihatsu Co Ltd. pada 28 April 2023 yang mengetengahkan “ketidakaturan prosedur” dalam ujian yang melibatkan empat model iaitu Toyota Vios, Perodua Axia, Toyota Agya dan satu lagi model yang belum dilancarkan.

Ujian seterusnya telah mengesahkan bahawa Vios memenuhi pensijilan UN-R95 dan tidak ada keperluan untuk sedan itu dipanggil semula.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami pelanggan dan kami ingin memberi jaminan kepada semua keselamatan dan kualiti kenderaan kami. Komitmen kami terhadap keselamatan pelanggan kami sentiasa dan kekal yang paling utama,” katanya.

Volvo EX90 terlalu laku, tempahan dihentikan sementara waktu

NAMPAKNYA SUV elektrik flagship keluaran Volvo iaitu EX90 mendapat sambutan yang terlalu menggalakkan, sehinggakan syarikat itu terpaksa berhenti mengambil tempahan buat sementara waktu.

Volvo dalam satu kenyataan berkata langkah itu diambil kerana permintaan untuk model itu telah melepasi unjuran syarikat dan kelompok pertama produksi telah pun habis dijual.

Walau bagaimanapun, pengeluar kereta dari Sweden itu berkata tempahan untuk EX90 akan dibuka semula, namun tidak menyatakan bila ia akan berbuat demikian.

Diperkenalkan di peringkat global pada November tahun lalu, EX90 mempunyai reka bentuk seakan XC90 namun ia dibina menggunakan platform serba baharu untuk trenkuasa elektrik sepenuhnya.

Ia dilengkapi dengan sepasang motor elektrik, iaitu satu pada setiap gandar. Varian Twin Motor mempunyai kuasa keseluruhan berjumlah 408 PS dan 770 Nm, manakala varian Twin Motor Performance mempunyai 517 PS dan 910 Nm.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan bateri berkapasiti 111 kWh yang menawarkan jarak sehingga 600 km bagi Twin Motor dan 590 km bagi Twin Motor Performance. Pengecasan dari 10 hingga 80 peratus mengambil masa kira-kira 30 minit menerusi pengecas pantas DC.

Untuk keselamatan pula, EX90 tampil dengan kamera, radar dan sensor LiDAR yang membolehkan SUV itu ‘melihat’ keadaan sekeliling secara 360 darjah, di samping meningkatkan keupayaan sistem bantuan pemandu iaitu Pilot Assist.

EX90 akan dihasilkan di kilang Volvo di Charleston, South Carolina, Amerika Syarikat dan juga di Chengdu, China.

Suami isteri buat aksi ‘wheelie’ ditahan polis

SELEPAS dua hari menghilangkan diri, pasangan suami isteri yang terlibat dalam aksi menunggang motosikal secara berbahaya Isnin lepas akhirnya tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada Khamis (27 April).

Menurut Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, pasangan yang berusia 17 dan 16 tahun itu hadir ke IPD berkenaan pada jam 10 pagi dan kemudian ditahan Unit 42 Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang dengan aksi berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini pasangan itu diburu polis selepas video berdurasi 28 saat yang menunjukkan mereka membuat aksi ‘wheelie’ tular di media sosial. Kejadian itu dipercayai berlaku di Jalan Pasir Puteh, Kampung Peringat di Kota Bharu.

Hyundai Creta dilancarkan di Malaysia – RM149,888

PESAING terbaru dalam pasaran SUV segmen B iaitu Hyundai Creta telah pun dilancarkan di Malaysia oleh Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) selaku pengedar rasmi jenama itu.

Untuk pasaran tempatan, Creta ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu Plus, dengan harga bermula dari RM149,888. Apa yang menarik, 150 pembeli pertama akan mendapat pakej waranti lanjutan selama 5 tahun/300,000 km dan pakej servis percuma selama 3 tahun/50,000 km.

Saiz Creta sedikit lebih besar jika dibandingkan dengan satu lagi SUV segmen B dalam barisan HSDM iaitu Kona. Ia mempunyai ukuran panjang 4,315 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,630 mm dan tapak roda 2,610 mm.

Model ini menampilkan ‘wajah’ Parametric Jewel seperti Tucson, di mana lampu nyalaan siang LED digabungkan dengan gril. Lampu projektor LED pula diletakkan pada bahagian kiri dan kanan bampar.

 

Varian Plus didatangkan dengan rim 17 inci, serta lima pilihan warna iaitu Dragon Red Pearl, Galaxy Blue Pearl, Titan Grey Metallic, Midnight Black Pearl dan Creamy White Pearl.

Masuk ke dalam, anda akan menemui upholsteri fabrik serba hitam pada tempat duduk dan kemasan kulit pada stereng dan tombol gear.

Kelengkapan yang disertakan termasuklah kluster instrumen TFT LCD berukuran 10.25 inci, skrin sentuh sistem infohibur 8 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, ciri pengecaman suara, pendingin hawa automatik dengan corong belakang, Keyless Entry dan brek parkir elektronik dengan Auto Hold.

Creta menampilkan ruang but sebesar 416 liter, atau 1,384 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan.

Untuk trenkuasa pula, ia hadir dengan enjin petrol Smartstream G 1.5-liter empat silinder yang menghasilkan 115 PS pada 6,300 rpm dan 144 Nm tork pada 4,500 rpm. Ia dipadankan dengan Intelligent Variable Transmission (IVT) yang memacu roda hadapan.

Pemandu boleh memilih daripada empat mod pemanduan yang disediakan (Eco, Normal, Sport dan Smart) dengan menggunakan tombol pada konsol tengah.

Dari segi keselamatan, Creta mempunyai enam beg udara serta sistem Hyundai SmartSense yang merangkumi Forward and Blind Spot Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Lane Following Assist, Leading Vehicle Departure Alert, Rear Cross Traffic Collision-Avoidance Assist, Safe Exit Warning dan High Beam Assist.

Volkswagen ID.7 ada 286 PS, mampu bergerak sejauh 700 km

VOLKSWAGEN telah memperkenalkan model terbaru dalam barisan kenderaan elektrik mereka iaitu ID.7. Merupakan EV Volkswagen pertama dalam kelas saiz pertengahan atas, ID.7 akan dilancarkan pada tahun ini untuk pasaran Eropah dan China, dan tahun hadapan untuk Amerika Utara.

Seperti model-model ID yang lain, ID.7 dibina berasaskan platform Modular Electric Drive Matrix (MEB). Walau bagaimanapun, ia didatangkan dengan trenkuasa elektrik generasi baharu dikenali sebagai AP550 yang menawarkan output sehingga 286 PS.

Mengenai jarak pula, model ini dikatakan mampu bergerak sehingga 700 km dengan satu cas penuh, bergantung kepada saiz bateri yang dipilih. Ia juga menyokong ciri pengecasan pantas dengan kapasiti sehingga 200 kW.

Selain bateri, Volkswagen mendakwa jarak pemanduan itu disokong oleh faktor reka bentuk ID.7 yang panjang (hampir lima meter) dan bumbung ala coupe yang memberikannya kadar pekali seret serendah 0.23.

Di dalam, ID.7 membawakan konsep operasi dan paparan baharu. Ia merangkumi skrin sistem infohibur berukuran 15 inci, paparan head-up dengan realiti terimbuh (AR), sistem kawalan baharu untuk pendingin hawa dan butang “Favourite” yang b0leh dikonfigurasikan.

Selain itu, terdapat juga bumbung panoramik yang boleh dimalapkan yang boleh dikawal sama ada menerusi panel sentuh atau arahan suara.

Volkswagen turut menawarkan beberapa ciri opsyen seperti fungsi Climatronic dengan ciri penyejukan, pemanas dan pengering untuk tempat duduk hadapan, fungsi urut, serta sistem audio Harman Kardon 700 watt dengan 14 pembesar suara.

Sistem bantuan pemandu menampilkan ciri Travel Assist yang mempunyai keupayaan untuk membantu pemandu menukar lorong di lebuh raya pada kelajuan melebihi 90 km/j. Ciri ini dikatakan dapat mengurangkan tekanan pemandu dengan ketara.

Kereta ini juga didatangkan dengan sistem bantuan parkir dengan fungsi memori sehingga 50 meter. Pemandu boleh duduk di dalam kereta atau memantau proses ini dari luar kenderaan menerusi aplikasi telefon pintar.

ID.7 akan dihasilkan di kilang Volkswagen di Emden, Jerman untuk pasaran Eropah dan Amerika Utara. Untuk pasaran China pula, sedan ini akan dipasang secara tempatan.

14,514 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan JPJ dalam 8 hari

PROGRAM Advokasi dan Op Motosikal sempena Aidilfitri 2023 menyaksikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 14,514 notis pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dari 18 hingga 25 April.

Bukan itu sahaja, jabatan itu turut menyita 500 unit motosikal dalam tempoh yang sama.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, notis dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 51,039 motosikal manakala sitaan kerana kesalahan tiada perlindungan insurans, lesen memandu dan lain-lain membabitkan 291 lokasi Point of Duty (POD) di seluruh negara.

Enam kesalahan utama yang dikesan ialah tiada lesen memandu (4,583 notis), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (2,600 notis), tiada insurans (2,364 notis), lesen memandu tamat tempoh (168 notis), tidak memakai topi keledar (160 notis) dan tidak mematuhi lampu isyarat (120 notis).

Tambah Lokman, kajian menunjukkan penggunaan topi keledar yang betul dapat mengurangkan kecederaan sehingga 25 peratus kepada pengguna motosikal.

Sumber gambar: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia

“Oleh itu, langkah-langkah advokasi dan penguatkuasaan tegas akan terus dilaksanakan JPJ dari semasa ke semasa bagi menurunkan kadar kemalangan dan kemalangan maut membabitkan pengguna motosikal,” katanya.

Bagi Op Khas Motosikal Perak dari 18 hingga 25 April, Lokman berkata sebanyak 7,146 motosikal diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,313 motosikal diambil tindakan di bawah Akta 333.

Sementara itu, Lokman berkata dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan dan kemalangan maut pada musim perayaan ini, tindakan advokasi serta penguatkuasaan secara bersasar difokuskan kepada penunggang atau pembonceng motosikal di seluruh negara.

Katanya, ia berdasarkan rekod kemalangan maut pengguna motosikal bagi tempoh 2010 hingga 2022 adalah paling tinggi jika dibandingkan dengan pengguna kenderaan lain iaitu melebihi 60 peratus.

Justeru, katanya, melalui Op Bersepadu peringkat kebangsaan 2023, JPJ melaksanakan strategi penguatkuasaan dan advokasi khas kepada pengguna motosikal bagi membudayakan pematuhan undang-undang jalan raya serta penerapan rasa bersalah apabila melakukan pelanggaran peraturan khususnya punca kemalangan maut serta membahayakan pengguna lain.