All posts by Amirul Mukminin

McLaren 750S tampil sebagai pengganti 720S

SETELAH enam tahun berada di pasaran, supercar flagship keluaran McLaren iaitu 720S akhirnya mendapat pengganti yang lebih ringan, lebih berkuasa dan lebih canggih. Memperkenalkan, McLaren 750S yang hadir dalam versi Coupe dan Spider.

Anda mungkin sudah dapat mengagak jumlah kuasa yang jentera ini ada menerusi namanya. Ya, 750S mempunyai 750 PS dan 800 Nm yang dibekalkan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8.

Jumlah itu lebih tinggi berbanding enjin P1 yang menghasilkan 737 PS dan 720 Nm, tidak termasuk kuasa tambahan daripada sistem hibrid.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik tujuh kelajuan dengan nisbah pacuan akhir yang lebih pendek, membolehkan 750S memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 2.8 saat. Kelajuan maksimum adalah 332 km/j bagi Coupe dan Spider.

Menurut McLaren, 30 peratus daripada komponen 750S adalah baharu atau telah dipertingkatkan. Hasilnya, 750S adalah 30 kg lebih ringan berbanding 720S dengan berat keseluruhan hanya 1,277 kg.

Sementara itu, versi Spider yang mempunyai struktur gentian karbon pada bahagian atas dan bumbung jenis hard top hanya 49 kg lebih berat berbanding versi Coupe.

Casis pula menampilkan sistem suspensi Proactive Chassis Control III dengan geometri baharu serta gegelung yang lebih lembut (3 peratus) pada gandar hadapan dan lebih keras (4 peratus) pada gandar belakang.

Stereng bantuan hidraulik ditala semula dengan nisbah lebih pantas, manakala jarak antara roda kiri dan kanan pada gandar hadapan bertambah sebanyak 6 mm. Turut disertakan adalah sistem lift yang boleh menaikkan ketinggian suspensi dalam hanya empat saat, enam saat lebih pantas berbanding 720S.

Untuk sistem brek pula, McLaren kini menawarkan pakej naik taraf yang merangkumi cakera karbon seramik dan angkup monobloc seperti yang digunakan oleh Senna. Apa yang menarik, cakera tersebut mengambil masa selama tujuh bulan untuk dihasilkan.

Walaupun begitu, ia dikatakan 60 peratus lebih kuat dan mempunyai empat kali ganda kekonduksian termal jika dibandingkan dengan cakera konvensional.

Penampilan luaran 750S mungkin tidak ubah seperti model yang digantikannya, namun McLaren mendakwa jentera baharu ini lebih cekap dari segi aerodinamik.

Sebagai contoh, bampar hadapan direka semula bagi membolehkan udara menghala ke arah liang intake dan seterusnya ke radiator bagi tujuan penyejukan.

Splitter pada bahagian hadapan pula bertindak untuk memberikan kestabilan aerodinamik, bersama dengan spoiler aktif pada bahagian belakang yang mempunyai permukaan yang lebih besar sebanyak 20 peratus. Ia boleh dinaikkan dalam masa setengah saat untuk meningkatkan downforce ketika membrek.

Di dalam, terdapat paparan baharu untuk pemandu yang dipasang pada kolum stereng. Butang untuk mod Handling dan Power diletakkan pada bahagian kiri dan kanan bagi membolehkan pemandu menukar mod tanpa perlu melepaskan stereng.

Satu lagi ciri yang disertakan adalah McLaren Control Launcher (MCL), yang membolehkan pemandu menyimpan tetapan aerodinamik, suspensi, enjin dan transmisi kegemaran mereka. Sistem infohibur boleh diakses menerusi skrin menegak pada konsol tengah yang menawarkan grafik yang lebih tajam dan terperinci.

Tempahan untuk 750S kini dibuka, dengan harga bermula dari $324,000 (RM1.44 juta) untuk Coupe dan $345,000 (RM1.53 juta) untuk Spider.

Land Rover Defender 130 dapat versi Outbound dan enjin V8

LAND Rover telah mengemaskini barisan Defender untuk model tahun 2024, di mana varian 130 kini ditawarkan dalam versi Outbound dan V8, manakala varian 110 boleh didapati dengan County Exterior Pack.

Untuk Defender 130 Outbound, model edisi terhad ini hanya ditawarkan dalam konfigurasi lima tempat duduk, dengan dua pilihan enjin Ingenium iaitu petrol P400 dan diesel D300.

Menurut Land Rover, Defender 130 Outbound dibangunkan untuk mereka yang ingin mengembara dalam keadaan yang selesa namun sebahagian besar pembaharuan adalah dari aspek kosmetik sahaja.

Ini termasuk kemasan Shadow Atlas Matt pada bahagian bampar dan gril, manakala liang udara sisi diberi kemasan Anthracite. Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan rim 20 inci berwarna Gloss Black atau rim 22 inci berwarna Shadow Atlas Matt.

Terdapat empat warna luaran untuk dipilih iaitu Fuji White, Santorini Black, Carpathian Grey dan Eiger Grey. Turut ditawarkan adalah Satin Protective Film untuk perlindungan terhadap kesan calar.

Di dalam, pelanggan boleh mendapatkan upholsteri kulit Windsor yang serba mewah atau fabrik Resist yang tahan lasak. Kedua-duanya didatangkan dalam warna Ebony, dengan pelapik bumbung, Ebony Morzine, veneer Robustec dan kemasan Satin Black Powder Coat Brushed pada papan pemuka.

Defender 130 V8

Sebagai pelengkap pakej, Land Rover turut menyertakan pelapik lantai getah, jaring kargo dan lashing points bagi memastikan muatan dapat diikat dengan selamat.

Selain versi Outbound, Defender 130 kini juga mendapat pilihan enjin supercharged 5.0-liter V8 yang menjana 500 PS dan 610 Nm. Ini membolehkannya melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 5.7 saat.

Defender 110 County Exterior Pack

Sementara itu, pembeli Defender 110 boleh memesan County Exterior Pack yang diinspirasikan daripada Defender Country. Pakej itu merangkumi grafik retro pada bahagian sisi kenderaan, treadplate pada bahagian hadapan, serta rim 20 inci dalam dua kemasan termasuk Gloss White.

Pakar keselamatan jalan raya gesa kerajaan henti beri diskaun saman trafik

DISKAUN saman trafik bukanlah satu perkara yang asing di negara ini. Malah, ia sudah menjadi sesuatu yang sering ditunggu-tunggu oleh pengguna jalan raya terutamanya mereka yang memiliki banyak saman tertunggak.

Amalan ini perlu dihentikan segera kerana menurut dua pakar jalan raya, ia hanya akan menyebabkan pengguna bersikap acuh tak acuh terhadap undang-undang.

Bercakap kepada FMT, Law Teik Hua dari Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata “budaya” menawarkan diskaun untuk saman mengurangkan impak penguatkuasaan undang-undang.

“Tiada siapapun akan menghormati undang-undang jika mereka tahu bahawa kerajaan akhirnya akan memberikan diskaun,” katanya.

Tambah Law, kerajaan melihat saman sebagai kaedah meraih pendapatan dan bukannya penalti bagi mereka yang melanggar undang-undang. Bagaimanapun, katanya, saman sepatutnya bersifat tegas supaya mengekang pesalah melanggar peraturan.

Law turut berkata sistem demerit yang kini digunakan juga wajar dikuatkuasakan dengan lebih meluas untuk mengekang kesalahan jalan raya.

Katanya, kesukaran akibat lesen memandu digantung atau ditarik balik mampu menjadi pengajaran yang memastikan pematuhan peraturan lalu lintas.

Gambar oleh: MalayMail

Sementara itu, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud, ahli bersekutu Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) bersetuju dengan Law bahawa sistem demerit patut lebih dikuatkuasakan.

Malah beliau berkata, pemberian diskaun bagi saman lalu lintas tidak diamalkan di negara maju.

“Di UK, orang ramai mematuhi peraturan lalu lintas kerana sedar walaupun mampu membayar saman, mereka tidak dapat mengelak sistem markah demerit.

“Jadi orang kaya sekalipun tidak sanggup melanggar peraturan kerana tahu sebaik kehilangan markah kerana kesalahan dilakukan, lesen mereka akan ditarik balik atau dibatalkan pihak berkuasa,” katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar khas bayaran saman berjumlah hanya RM50 bagi semua saman trafik PDRM yang dikeluarkan pada tahun 2022 dan sebelumnya. Tawaran ini bermula dari 21 April hingga 21 Mei 2023.

Isteri halang kereta suami di lampu isyarat, rupanya drama rumah tangga

BARU-baru ini telah tular video yang menunjukkan seorang wanita menghalang sebuah kereta yang sedang bergerak di hadapan lampu isyarat di Batu 1, Port Dickson.

Rupa-rupanya, kedua-dua mereka adalah pasangan suami isteri warga Indonesia yang sedang bertengkar.

Menurut laporan, wanita berusia 32 tahun itu telah tampil membuat laporan polis bersama suaminya di Balai Polis Port Dickson. Wanita itu merupakan suri rumah, manakala suaminya yang berusia 58 tahun bekerja sebagai buruh bangunan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata hasil temu bual oleh pihak polis mendapati kedua-dua mereka merupakan pasangan suami isteri yang tinggal di rumah beralamat di Port Dickson.

“Sebelum kejadian, mereka bertengkar kerana suaminya hendak keluar rumah untuk pergi ke rumah anak mereka di Telok Kemang di sini, tetapi dihalang isteri kerana bimbang kesihatannya yang baharu mendapat rawatan di Hospital Port Dickson setelah enam hari umat Islam berpuasa,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Muhamad Mustafah, tanpa menghiraukan isteri, lelaki itu terus keluar dari rumah dan memandu kereta dari rumahnya ke Telok Kemang.

“Isterinya dengan bantuan jiran telah membonceng motosikal jiran dan dapat mengesan suami di lampu isyarat Batu 1, Pantai Port Dickson, di sini dan bertindak menghalang Proton Wira dipandu suami meneruskan perjalanan,” katanya.

Jelas Muhamad Mustafah, suami isteri itu telah mengakui kesilapan mereka dan hadir ke balai polis setelah mengetahui kes berkenaan tular di media sosial serta bagi memberi penjelasan sebenar berhubung kejadian tersebut.

Mereka juga memohon maaf atas perbuatan yang diakui membahayakan diri sendiri dan orang awam.

BMW K 1600 GT, K 1600 GTL dilancarkan di Malaysia

SEGMEN motosikal touring tempatan kini menjadi lebih hangat dengan kehadiran dua model baharu daripada BMW Motorrad Malaysia iaitu BMW K 1600 GT dan K 1600 GTL.

Kedua-dua model berkenaan hadir dengan ciri-ciri kefungsian yang dikemas kini, serta enjin sebaris enam silinder langsing yang menawarkan keupayaan jelajah yang luar biasa.

BMW K 1600 GTL

K 1600 GT merupakan varian yang tangkas dan dinamik, tampil dengan lampu hadapan LED yang telah dinaik taraf sepenuhnya, manakala K 1600 GTL pula dibangunkan khas untuk tunggangan berdua bersama pembonceng.

Kedua-duanya dilengkapi dengan komponen pelindung enjin, penghadang angin rendah yang boleh dilaras secara elektrik, lampu membelok adaptif, lampu nyalaan siang, lampu tambahan LED, serta lampu kabus tambahan.

Untuk pilihan warna, K 1600 GT ditawarkan dalam warna Black Storm Metallic dan Style Sport yang menggabungkan warna putih, biru metalik, merah dan kemasan emas pada angkup brek hadapan.

K 1600 GTL pula tersedia dalam warna Black Storm Metallic dan Gravity Blue Metallic (Style Exclusive). Turut ditawarkan adalah untuk GT dan GTL adalah warna Option 719 Meteoric Dust edisi khas yang baharu.

Selain itu, terdapat empat butang “Favourite” yang boleh dikonfigurasikan, dan skrin paparan TFT berwarna 10.25 inci dengan aplikasi BMW Motorrad Connected, fungsi Bluetooth dan juga sambungan Wifi untuk navigasi.

K 1600 GT dan GTL dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris bersesaran 1,649 cc yang mampu menghasilkan 160 hp pada 6,750 rpm dan 180 Nm pada 5,250 rpm.

Enjin empat lejang dengan teknologi penyejukan minyak/air itu digandingkan dengan transmisi klac multicakera enam kelajuan. Menurut BMW, kelajuan maksimum jentera-jentera ini mencecah 200 km/j manakala kadar penggunaan bahan api adalah 5.9 liter bagi setiap 100 km.

Sistem suspensi K 1600 GT terdiri daripada BMW Motorrad Duolever di hadapan, dan lengan ayun aluminium tunggal berserta BMW Motorrad Paralever di belakang.

Untuk K 1600 GTL pula, ia mendapat BMW Motorrad Duolever yang sama, cuma pada bahagian belakang terdapat spring sentral dengan fungsi peredam lantunan dan pra-beban.

Di samping BMW Motorrad Integral ABS Pro, kedua-dua model ini turut didatangkan dengan mod tunggangan Rain, Road dan Dynamic. Ciri-ciri elektronik lain seperti kawalan cengkaman, kawalan brek enjin, Hill Start Control dan Dynamic ESA Next Generation turut disertakan.

Aspek keselesaan turut diberi naik taraf menerusi fungsi penghangat pada bar hendal dan tempat duduk, brek tangan dan tuil klac boleh laras serta ciri Cruise Control. Untuk hiburan pula, K 1600 GTL dilengkapi dengan Audio System 2.0 dengan pembesar suara pada fairing hadapan.

Apa yang menarik, ciri-ciri yang sebelum ini ditawarkan sebagai opsyen kini dijadikan standard bagi kedua-dua varian. Ia termasuk tunggangan tanpa kunci, sistem pengunci sentra, Gear Shift Assist Pro dan penggera antikecurian.

Harga jualan (atas jalan, dengan waranti serta program bantuan tepi jalan tiga tahun oleh BMW Motorrad Malaysia, tanpa insurans) bermula dari RM174,500 untuk K 1600 GT dan RM183,500 untuk K 1600 GTL.

Honda S2000 akhirnya dapat versi Type R

TANYA sahaja mana-mana peminat Honda sekalipun, pasti ramai yang bersetuju bahawa S2000 merupakan antara model paling mengujakan pernah dihasilkan jenama itu.

Namun, entah mengapa sepanjang sembilan tahun ia dipasarkan, model roadster itu tidak pernah mendapat versi Type R seperti Civic atau Accord.

Jentera yang anda lihat ini secara asasnya layak digelar sebagai S2000 Type R atau S2000R namun ia bukanlah model rasmi yang dibangunkan oleh Honda. Sebaliknya, ia adalah hasil tangan Evasive Motorsports yang berpangkalan di California.

Sudah tentu, modifikasi pertama yang dilakukan melibatkan enjin. ‘Nadi’ asal F20 telah dikeluarkan dan digantikan dengan enjin turbo K20 2.0-liter empat silinder yang diambil daripada Civic Type R FK8.

Proses penukaran enjin tersebut turut melibatkan komponen-komponen lain termasuk intake manifold yang dihasilkan oleh Evasive, downpipe, intake gentian karbon keluaran Mugen dan sistem pengurusan enjin MoTec M140.

Seperti versi standard, kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi manual enam kelajuan. LSD dinaik taraf untuk pengurusan kuasa yang lebih baik, manakala angkup Brembo enam omboh dipasang pada gandar hadapan bagi memastikan ia boleh berhenti dalam jarak terdekat.

Sistem suspensi turut dipertingkatkan menerusi set coilover KW, sway bar Eibach dan bushing khas.

Seterusnya, penampilan jentera ini diberi sentuhan agresif menerusi bampar S2000 20th Anniversary, fender hadapan lebar, rim aloi 18 inci serta pelbagai bahagian gentian karbon seperti bonet, but, penutup tonneau dan spoiler belakang.

Warna pilihan? Apa lagi kalau bukan Championship White.

Tema Type R diteruskan pada bahagian dalaman dengan kerusi Recaro berwarna merah, balutan Alcantara pada papan pemuka dan stereng Momo, tombol gear FK8 serta panel gentian karbon. Apa yang menarik, kluster instrumen asal digantikan dengan paparan digital MoTec.

Evasive berkata mereka akan menghasilkan S2000R untuk mereka yang berminat namun harga untuk keseluruhan modifikasi masih belum diumumkan.

Buat ‘wheelie’ pakai baju Melayu, mat rempit diburu polis

POLIS sedang giat mengesan seorang penunggang motosikal yang melakukan aksi ‘wheelie’ sambil membonceng seorang wanita.

Ini berikutan tularnya video berdurasi 29 saat yang menunjukkan penunggang tersebut melakukan aksi berbahaya itu sambil lengkap berbaju Melayu. Dia dilihat membonceng seorang wanita yang memakai baju kurung.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dalam kenyataan hari ini berkata kejadian itu dipercayai berlaku di Jalan Pasir Puteh, Kg Peringat, Kota Bharu, Kelantan.

“JSPT Bukit Aman telah mengarahkan JSPT Kontinjen Kelantan untuk mengesan penunggang motosikal tersebut bagi siasatan lanjut,” katanya.

Aksi berbahaya itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis meminta penunggang motosikal itu untuk hadir ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu juga boleh menyalurkan maklumat kepada JSPT Kontinjen Kelantan atau mana-mana balai polis dengan kadar segera.

Honda Civic Type R kereta FWD terpantas di Nurburgring

HONDA dengan bangganya mengumumkan bahawa Civic Type R FL5 telah muncul sebagai kereta pacuan roda hadapan (FWD) terpantas di Nurburgring Nordschleife dengan catatan masa 7 minit 44.881 saat.

Dengan catatan masa ini, hot hatch generasi baharu itu telah berjaya mengalahkan pemegang rekod terdahulu iaitu Renault Megane R.S. Trophy R yang merekodkan masa 7 minit 45.39 saat pada 2019.

Anda pasti ingat bahawa Civic Type R FK8 pernah membuat catatan masa 7:43.8 pada 2017, bukan?

Benar, tetapi FL5 masih dianggap lebih pantas kerana pada 2019, litar Nurburgring telah menetapkan peraturan baharu di mana peserta perlu melengkapkan pusingan sejauh 20.832 km berbanding 20.600 km sebelum itu.

Untuk rekod baharu ini, Honda menggunakan versi lebih ringan yang dikenali sebagai Civic Type R S yang akan dijual di pasaran pemanduan sebelah kiri (LHD) di Eropah.

Bukan itu sahaja, tayar Michelin Pilot Sport 4 S yang didatangkan standard juga telah digantikan dengan tayar Pilot Sport Cup 2 Connect yang dikatakan mampu meningkatkan prestasi jentera itu dengan tahap cengkaman yang lebih tinggi.

Menurut Honda, tayar Pilot Sport Cup 2 Connect ditawarkan sebagai opsyen dan boleh dipesan menerusi wakil pengedarnya.

Tiada sebarang modifikasi dilakukan pada enjin untuk catatan masa ini. Civic Type R, dengan ‘nadi’ 2.0-liter turbo empat silindernya, mempunyai 330 PS pada 6,500 rpm dan 420 Nm dari 2,600 hingga 4,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan oleh transmisi manual enam kelajuan.

Jika dibandingkan dengan versi terdahulu, model FL5 menikmati peningkatan kuasa sebanyak 10 PS dan 20 Nm. Sebahagian besar daripadanya disumbangkan oleh pengecas turbo yang direka semula, serta intake dan ekzos yang dipertingkatkan.

Kurang oksigen, empat sekeluarga pengsan dalam Proton Exora

EMPAT sekeluarga termasuk dua kanak-kanak ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta yang merempuh pintu Plaza Tol Bentong, arah barat, pada Selasa (24 April).

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar, kejadian berlaku pada 2.40 petang dan disedari anggota polis yang menjalankan rondaan Op Selamat serta kakitangan tol.

Kesemua mangsa kemudiannya dikeluarkan daripada kereta jenis Proton Exora itu dengan bantuan orang awam.

“Mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Tok Bali, Kelantan ke Balakong, Selangor dan pemeriksaan perubatan mengesahkan mereka tidak sedarkan diri akibat kekurangan oksigen dalam badan.

“Keadaan itu seterusnya mengakibatkan kenderaan terlibat melanggar pintu tol tersebut,” katanya menerusi kenyataan ringkas.

Semua mangsa, bagaimanapun, difahamkan telah sedarkan diri dan berada dalam keadaan selamat.

Ini cara nikmati Tol Rahmah Percuma sempena Aidilfitri

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyambut baik pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 April 2023 berhubung pemberian Tol Rahmah Percuma kepada rakyat bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Penawaran Tol Rahmah Percuma tersebut boleh dinikmati selama 4 hari mulai 12:01 pagi, 19 April sehingga 11:59 malam, 21 April 2023 dan mulai 12:01 pagi, 24 April hingga 11:59 malam.

“Sehubungan dengan itu, PLUS mengambil peluang ini untuk menjelaskan bagaimana pemberian Tol Rahmah Percuma tersebut boleh dinikmati di rangkaian lebuh raya PLUS,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

Pengguna dinasihatkan supaya masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan mod pembayaran tol yang sama. Sebagai contoh, jika pengguna masuk ke lebuh raya menggunakan kad Touch ‘n Go, mereka juga perlu keluar dari lebuh raya menerusi lorong Touch ‘n Go. Namun begitu, tiada bayaran tol akan dikenakan atau ditolak daripada kad Touch ‘n Go tersebut.

Mereka yang menggunakan RFID masih perlu masuk dan keluar dari lebuh raya menggunakan lorong RFID yang disediakan. Sepertimana kad Touch ‘n Go dan SmartTAG, tiada bayaran tol dikenakan atau ditolak daripada eWallet Touch ‘n Go mereka.

Pengguna lebuh raya akan menikmati Tol Rahmah Percuma ketika melalui plaza tol keluar sepanjang tempoh yang ditetapkan.

Pengguna kad Touch ‘n Go dinasihatkan unutk memeriksa status kad mereka sebelum memulakan perjalanan. Ini bagi mengelakkan kesulitan di plaza tol jika menggunakan kad Touch ‘n Go yang tidak aktif dan telah dinyahaktif.

Pengguna juga dinasihatkan supaya keluar di plaza tol terdekat sekiranya mereka menghampiri tempoh berakhirnya pemberian Tol Rahmah Percuma tersebut.

Fasiliti pengecasan MINI dibuka di Sanctuary Mall, Kota Kemuning

WHEELCORP Premium telah melancarkan sebuah fasiliti pengecasan terbaharu untuk kenderaan jenama MINI di Kota Kemuning, menawarkan pemilik kenderaan elektrik (EV) di kawasan ini akses yang lebih baik ke atas infrastruktur pengecasan.

Terletak di Sanctuary Mall @ Eco Sanctuary, fasiliti baharu yang dikuasakan oleh JomCharge ini menampilkan dua lot parkir, seunit pengecas DC 50 kW dengan dua pendakap DC, serta seunit pengecas AC 22 kW.

Ia kini dibuka untuk kegunaan awam dengan kadar pengecasan berjumlah RM1.20 bagi setiap minit penggunaan.

Jayden Liew, Pengarah Urusan Wheelcorp Premium menyatakan, “Sejajar dengan kenaikan penerimagunaan kenderaan berelektrik di Malaysia, kita, selaku pembekal kenderaan ini, memiliki satu tanggungjawab yang besar untuk menampung permintaan dengan menyediakan infrastruktur yang bersesuaian.”

Sementara itu, Max Leong Yew Mun, Pembantu Pengurus Besar di Eco Sanctuary pula berkongsi, “Dengan menyokong usaha Wheelcorp Premium dalam menggiatkan pengerahan fasiliti pengecasan, kami juga dapat maju ke arah sasaran ESG kami, iaitu untuk memastikan kesemua projek EcoWorld sekurang-kurangnya didatangkan bersama satu stesen pengecasan EV.”

Fasiliti pengecasan baharu ini juga merupakan sebahagian daripada strategi BMW Group Malaysia untuk membangunkan infrastruktur yang diperlukan bagi pengecasan EV.

Setakat ini, lebih daripada 670 buah fasiliti pengecasan telah disediakan oleh BMW Group Malaysia buat para pemilik EV di Malaysia, di mana lebih 70 daripadanya ditawarkan menerusi usaha sama dengan JomCharge.

Smart #3 didedahkan di Auto Shanghai, akan dilancarkan di Malaysia kelak

PAMERAN Industri Automobil Antarabangsa Shanghai ke-20 atau Auto Shanghai 2023 menyaksikan kemunculan Smart #3 sebagai Sports Utility Coupe pertama jenama itu.

Menurut Proton, yang mengimport dan mengedar kenderaan jenama smart di Malaysia dan Thailand melalui anak syarikatnya PRO-NET, model terbaru ini akan menuju ke Malaysia selepas ia dilancarkan di China dan Eropah.

Buat masa ini, Proton masih dalam persiapan untuk pelancaran Smart #1 di Malaysia pada suku keempat tahun ini.

“Proton akan memasuki pasaran NEV di Malaysia tidak lama lagi menyahut seruan kerajaan untuk memajukan negara menjadi hab serantau untuk kenderaan generasi akan datang (NxGV),” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton, dan Pengerusi, PRO-NET.

Setakat ini, spesifikasi Smart #3 masih samar-samar namun menurut laporan, ia dibina berasaskan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) milik Geely yang turut digunakan oleh Smart #1.

Ia lebih panjang, lebar dan rendah berbanding Smart #1, dengan ukuran panjang 4,400 mm, lebar 1,844 mm, tinggi 1,556 mm, serta tapak roda 2,785 mm.

Bentuk kedua-dua model ini tidak jauh berbeza namun Smart #3 mempunyai profil fastback yang menjadikan ia lebih menonjol.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan lampu LED Cybersparks, gril berbentuk A dan bumbung hitam yang boleh dipadankan dengan pilihan warna baharu termasuk Photon Orange Metallic dan Electric Blue Matte.

Ruang dalaman pula menampilkan reka bentuk sporty dengan motif bujur yang diinspirasikan daripada intake turbin. Jika diperhatikan dengan teliti, rekaan papan pemukanya yang bujur tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan model Mercedes-Benz.

Antara kelengkapan yang disertakan pada Smart #3 adalah skrin tengah berukuran 12.8 inci, sistem audi Beats dengan 13 pembesar suara dan pencahayaan ambien pelbagai warna.

Maklumat mengenai motor elektrik dan bateri juga masih belum didedahkan, namun tidak mustahil jika ia ditawarkan dengan pilihan motor elektrik tunggal pada gandar belakang dan motor elektrik berkembar.

Untuk perbandingan, Smart #1 didatangkan dengan motor elektrik gandar belakang dengan 268 hp dan 343 Nm, serta bateri 66 kWh yang memberikan jarak pemanduan antara 535 km hingga 560 km. Bateri itu menyokong pengecasan DC 150 kW.

Rider didakwa bakar motosikal, skuter elektrik depan KLCC

AZRIL Kamarunzaman didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membakar 11 motosikal dan empat skuter elektrik di luar pusat beli-belah Suria KLCC minggu lepas.

Penghantar makanan berusia 34 tahun ini bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan api iaitu membakar kenderaan terbabit di parkir motosikal di hadapan Suria KLCC, Jalan Ampang pada 3.30 petang, 13 April lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Amalina Abu Hanifah menawarkan jaminan RM12,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Azril, Muhamad Ridzuan Umar merayu supaya jumlah ikat jamin itu dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri serta ibu bapanya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Toyota bZ3 terima 5,000 tempahan pada hari pertama jualan

MODEL kedua dalam siri kenderaan elektrik bZ (beyond Zero) iaitu Toyota bZ3 mendapat sambutan yang amat menggalakkan di China apabila menerima lebih 5,000 tempahan pada hari pertama ia dibuka untuk jualan, lapor CarNewsChina.

Dibangunkan bersama oleh Toyota, BYD Toyota EV Technology (BTET) dan FAW Toyota, sedan elektrik itu dijual pada harga bermula dari 169,800 yuan (RM109,395) untuk varian asas hingga 199,800 yuan (RM128,720) untuk varian tertinggi.

bZ3 dibina menggunakan platform e-TNGA yang menawarkan pusat graviti yang rendah untuk pengendalian yang lebih responsif, stabil serta selesa.

Ia juga mempunyai profil ala fastback, selain mempunyai kadar pekali seretan (Cd) 0.28 yang disumbangkan oleh elemen-elemen seperti pemegang pintu yang rata, tirai udara dan bampar, serta rim aluminium yang direka secara aerodinamik.

Di China, bZ3 ditawarkan dengan dua pilihan jarak pemanduan. Varian asas mempunyai motor elektrik tunggal dengan 174 hp dan 303 Nm, dengan bateri 49.92 kWh yang membolehkan ia dipandu sejauh 517 km.

Varian Long Range pula dilengkapi dengan motor elektrik yang lebih berkuasa dengan output mencecah 241 hp dan 303 Nm. Kapasiti baterinya juga lebih besar iaitu 65.3 kWh yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 616 km.

Apa yang menarik, bZ3 menggunakan sistem elektrik yang terdiri daripada bateri LFP (ion litium fosfat) keluaran BYD, teknologi Toyota dan motor elektrik keluaran anak syarikat BYD iaitu Fudi Motor.

Polestar 4 – SUV coupe EV dengan 544 hp, jarak 600 km

POLESTAR secara rasminya memperkenalkan model keempat dalam barisan kenderaan elektrik (EV) mereka iaitu Polestar 4.

Menurut syarikat itu, Polestar 4 diposisikan antara Polestar 2 dan Polestar 3 dari segi saiz dan harga. Ia juga merupakan model SUV kedua jenama itu selepas Polestar 3 yang didedahkan pada tahun lalu.

Bercakap tentang saiz, SUV coupe segmen D itu mempunyai ukuran panjang 4,839 mm, lebar 2,139 mm, tinggi 1,544 mm, dengan tapak roda 2,999 mm. Ia dibina menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang dibangunkan oleh Geely.

Dari segi reka bentuk, Polestar 4 tampil dengan elemen-elemen yang ‘dipinjam’ dari kereta konsep Polestar Precept seperti lampu hadapan berbentuk bilah berkembar dengan signatur unik Polestar.

Jika anda perasan, kereta ini tidak mempunyai cermin belakang bagi memberikan penumpang pengalaman yang lebih imersif. Namun pemandu tidak perlu risau kerana sebuah kamera yang terletak di atas bumbung akan memberikan suapan langsung kepada skrin definisi tinggi pada cermin pandang belakang.

Antara teknologi lain yang disertakan pada Polestar 4 termasuklah skrin sentuh 15.4 inci yang dikuasakan oleh sistem operasi Android Automotive dan Snapdragon Cockpit Platform. Sistem ini juga mengandungi pelbagai ciri Google lain seperti Google Assistant, Google Maps dan Google Play.

Seperti kereta-kereta Polestar yang lain, kemas kini secara atas udara (OTA) membolehkan ciri-ciri baharu dan penambahbaikan dihantar kepada Polestar 4 tanpa perlu ke pusat servis.

Untuk trenkuasa pula, Polestar 4 akan ditawarkan dalam versi Single Motor dan Dual Motor. Versi Long Range Dual Motor mempunyai 544 hp dan 686 Nm, dengan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.8 saat. Ini menjadikannya model produksi Polestar terpantas setakat ini.

Versi Single Motor pula dilengkapi dengan motor elektrik berkuasa 272 hp dan 343 Nm pada gandar belakang.

Untuk jarak pemanduan pula, bateri berkapasiti 102 kWh menawarkan jarak sehingga 560 km untuk versi Dual Motor dan 600 km untuk Single Motor. Bateri itu menyokong pengecasan DC 200 kW dan AC 22 kW, serta fungsi Vehicle-to-Load (V2L).

Terdapat juga fungsi pengoptimuman pemanduan yang membolehkan pemandu memilih antara mod Range atau Performance di dalam versi Dual Motor.

Mod Performance menjadikan motor elektrik lebih responsif dan menggunakan sepenuhnya kuasa daripada kedua-dua motor, manakala mod Range pula mengutamakan kecekapan dengan menarik kuasa dari motor belakang sahaja untuk gaya pemanduan yang lebih santai.

Sudah tentu, aspek keselamatan juga menjadi keutamaan Polestar. Untuk model ini, ia didatangkan dengan sembilan beg udara serta sistem bantuan pemandu tercanggih SuperVision yang merangkumi 12 kamera, satu radar dan 12 sensor ultrasonik.

Selain itu, pelanggan boleh mendapatkan Pilot Pack yang membawakan ciri Pilot Assist dengan bantuan menukar lorong.

Polestar 4 akan dilancarkan pada tahun ini di China terlebih dahulu, diikuti dengan pasaran Eropah, Amerika Utara dan Asia Pasifik menjelang awal 2024. Harga jualan dijangka bermula dari 60,000 euro (RM291,640).

Diskaun saman dari 21 April hingga 21 Mei, bayar RM50 sahaja

SELAIN tol percuma dan cuti am tambahan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan kadar khas bayaran saman berjumlah hanya RM50 bagi semua saman trafik PDRM.

Tawaran ini bermula dari 21 April hingga 21 Mei 2023 dan hanya terpakai untuk saman yang dikeluarkan pada 2022 dan tahun-tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, PDRM akan melaksanakan Op Lancar pada 18 dan 19 April dengan memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan.

Menurut Anwar, ini bagi memastikan kelancaran perjalanan serta keselamatan pengguna jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri.

Ini akan diikuti dengan Op Selamat 20 selama tujuh hari bermula Khamis ini (20 April) dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.

“PDRM juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Jabatan Sukarelawan (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk memastikan laluan-laluan ‘hotspots’ seperti susur masuk dan keluar di plaza tol tidak mengalami kesesakan lalu lintas,” katanya.

PM umum tol percuma selama 4 hari, cuti am tambahan sempena Aidilfitri

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memberikan pengecualian bayaran tol selama empat hari bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menurut beliau, inisiatif Tol Rahmah itu akan ditawarkan bermula 19 April hingga 21 April 2023, dan pada 24 April ini. Ia melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan.

“Ikhtiar ini akan dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing, serta memudahkan perancangan perjalanan,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Dalam pengumuman sama, Anwar berkata kerajaan turut bersetuju untuk memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat untuk membuat perancangan sewajarnya untuk pulang ke kampung.

Sumber gambar: Facebook Anwar Ibrahim

“Sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada Jumaat, 21 April, maka kerajaan menetapkan hari Isnin, 24 April sebagai hari kelepasan am tambahan berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Bagaimanapun, sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada Sabtu, 22 April, maka kerajaan menetapkan hari Jumaat, 21 April sebagai hari kelepasan am tambahan.

Tambah beliau, bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan negeri boleh mengisyitiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.

Sime Darby kini jadi pengedar BMW, MINI di Indonesia

SIME Darby Berhad mengumumkan bahawa ia telah menembusi pasaran Indonesia dalam usahanya untuk memperluaskan perniagaan automotifnya di kawasan serantau.

Syarikat itu akan memasuki pasaran automotif negara itu menerusi PT Performance Motors Indonesia, sebuah usaha sama antara anak syarikatnya iaitu Sime Singapore Ltd. dan Galeon Group.

PT Performance Motors Indonesia, yang menandakan usaha sama pertama Sime Darby Motors di Indonesia, akan beroperasi di Jakarta dan Medan menerusi dua pengedar mewakili jenama BMW dan MINI.

Ia juga akan menjadi batu loncatan untuk pengembangan usaha sama itu ke wilayah lain di Jawa dan Sumatra, selaras dengan sasaran BMW Group untuk mengembangkan rangkaiannya di Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Dato’ Jeffri Salim Davidson berkata usaha sama baharu itu merupakan sebahagian daripada strategi Sime Darby Berhad untuk mengembangkan operasi automotif mereka di Asia Pasifik.

“Indonesia, sebagai sebuah negara dengan salah satu pasaran automotif terbesar di rantau ini, serta dengan kelas pertengahan dan menengah atas yang besar dan berkembang pesat – merupakan pasaran yang sangat penting bagi kami.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Galeon Group untuk merealisasikan rancangan pengembangan kami. Galeon, yang telah berkecimpung dalam perniagaan automotif sejak 1989, mempunyai kepakaran kritikal dan
pemahaman senario automotif tempatan,” katanya.

“Ini adalah tanda keyakinan yang jelas terhadap kehadiran BMW Group Indonesia di sini dan prestasi jualan kukuh jenama BMW dan MINI di pasaran ini, yang mana kedua-duanya mencatat rekod baharu pada 2022,” kata Pengarah Presiden BMW Group Indonesia, Ramesh Divyanathan.

Sementara itu, Ketua Galeon Group, Leonel Gozali berkata usaha sama dengan Sime Darby membolehkan pihaknya mempercepatkan pertumbuhan menerusi pengembangan jenama untuk memasukkan jenama MINI dan meluaskan jangkauan wilayah di luar lokasi semasa.

Jualan Mitsubishi Motors meningkat 27 peratus pada 2022

JUALAN Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) terus menunjukkan trend peningkatan bagi tahun kewangan 2022 (April 2022 hingga Mac 2023) dengan 27 peratus lebih banyak kenderaan dijual berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut MMM, mereka berjaya menjual sebanyak 24,315 unit kenderaan dengan pegangan pasaran 3.2 peratus, sekaligus membolehkannya mengekalkan kedudukan tiga teratas dalam senarai jualan automotif bukan nasional.

Ini juga merupakan pencapaian jualan tertinggi MMM sejak penubuhannya pada tahun 2005.

Xpander kekal sebagai MPV bukan nasional paling popular di Malaysia dengan pertumbuhan jualan sebanyak 52.2 peratus berbanding tahun kewangan 2021. Sebanyak 13,794 unit model itu terjual, menyumbang 57 peratus kepada jualan keseluruhan MMM.

Sementara itu, Triton turut menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan peningkatan jualan sebanyak 12 peratus berbanding tahun kewangan sebelum ini. MMM menjual sebanyak 10,520 unit trak pikap itu dan mengekalkan pegangan pasaran sebanyak 18 peratus.

Shinya Ikeda, Ketua Pegawai Eksekutif MMM berkata, “Triton dan Xpander menjadi pemangkin kepada pertumbuhan jualan syarikat pada tahun kewangan 2022. Kami akan terus memfokuskan kepada penambahbaikan pengalaman membeli dan servis untuk memenuhi keperluan pelanggan kami.”

Mengenai perkembangan di peringkat global, Mitsubishi Motors Corporation (MMC) baru-baru ini memperkenalkan Mitsubishi XRT di Bangkok International Motor Show. Kereta konsep itu merupakan bayangan Triton generasi keenam yang bakal dilancarkan ke pasaran tahun ini.

Honda Civic kemalangan di Genting Highlands ada 11 saman rupanya…

POLIS mengesahkan bahawa pemandu Honda Civic yang terbabas ketika dalam perjalanan ke sebuah pusat peranginan terkenal baru-baru ini telah pun dipanggil untuk tindakan selanjutnya.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata siasatan mendapati pemandu itu dalam perjalanan dari Serdang, Selangor menuju ke Genting Highlands, Pahang.

“Apabila sampai di selekoh pemandu tersebut telah memotong sebuah kenderaan lain lalu hilang kawalan dan terbabas sendiri di sebelah kiri jalan,” katanya sambil menambah pemandu berusia 27 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Zaiham lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Semakan ke atas kenderaan terbabit juga mendapat ia mempunyai 11 rekod saman.

Kemalangan itu berlaku pada Ahad (16 April) kira-kira jam 7.25 pagi di KM 14.6 Jalan Genting Highlands, Bentong, Pahang.

Video kejadian dimuat naik di Facebook oleh pemilik akaun bernama ‘Joekim Mako’ dan telah menerima pelbagai reaksi daripada netizen termasuk yang mempersoalkan kemahiran pemandu Civic itu.