All posts by Amirul Mukminin

Tengku Zafrul terima GWM Ora Good Cat untuk pandu uji

GREAT Wall Motor (GWM) Malaysia telah menyerahkan sebuah Ora Good Cat kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz.

Kenderaan elektrik (EV) itu akan digunakan untuk pandu uji lanjutan dan sepanjang tempoh itu, jabatan berkaitan di bawah MITI akan mengkaji corak penggunaan harian EV. Inisiatif ini bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan EV selaras dengan keutamaan semasa.

Dalam rancangannya untuk mendorong pasaran EV, Menteri Tengku Zafrul berkata kerajaan menyasarkan untuk menarik pelaburan EV sebanyak RM20 bilion menjelang 2025.

Sebagai hab pembuatan elektrik dan elektronik terkemuka di ASEAN, Malaysia mempunyai tenaga kerja berbakat, dasar NAP dan ekosistem EV sedia ada. Ini menjadikan Malaysia pasaran yang ideal untuk pembangunan industri EV yang mampan.

GWM Malaysia, menerusi EV flagship-nya iaitu Ora Good Cat, komited untuk menyokong usaha kerajaan Malaysia untuk menjadi negara bebas pelepasan gas rumah hijau.

Tengku Zafrul dalam satu kenyataan berkata industri EV mesti dilihat secara holistik, termasuk faktor-faktor seperti perisian, teknikal, kelengkapan, kejuruteraan dan lain-lain. Ini kerana ia memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran sifar pelepasan gas rumah hijau menjelang 2050.

Sementara itu, presiden rantau ASEAN Great Wall Motor, Elliot Zhang berkata bahawa beliau menyokong sepenuhnya kenyataan Tengku Zafrul mengenai potensi membina asas EV yang kukuh di negara ASEAN dan khususnya di Malaysia.

“Kerjasama strategik dengan kerajaan Malaysia akan membantu mempercepatkan pertumbuhan dan penggunaan pengangkutan mampan di rantau ini,” katanya.

GWM telah mengumumkan komitmennya untuk mempromosikan solusi mobiliti mampan di negara ini dan bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk memperkenalkan kenderaan yang lebih mesra alam ke pasaran.

Mitsubishi XRT Concept prebiu Triton generasi keenam

MITSUBISHI Motors Corporation telah mempertontonkan Mitsubishi XRT Concept di Bangkok International Motor Show 2023.

Menariknya, kereta konsep ini tidak akan kekal sebagai kereta konsep kerana ia merupakan prebiu kepada Triton generasi keenam yang bakal dilancarkan ke pasaran pada tahun ini.

Menurut Mitsubishi Motors, trak pikap saiz sederhana itu akan dilancarkan di Thailand terlebih dahulu memandangkan ia dipasang di kilang Mitsubishi di Laemchabang. Ia kemudian diikuti dengan negara-negara rantau ASEAN yang lain, Ocenia serta pasaran global.

Walaupun masih memakai pelekat penyamaran, jelas kelihatan bahawa Triton serba baharu yang akan datang ini mempunyai wajah yang lebih garang dan rugged berbanding model sedia ada.

Ia masih menggunakan lampu depan jenis terpisah, namun lampu nyalaan siang pada bahagian atas dilihat lebih langsing manakala lampu utama diberi bentuk baharu.

Turut direka semula adalah gril, di mana ia kini tampil lebih bersegi serta mempunyai dua palang mendatar dan tulisan ‘MITSUBISHI’ di atasnya.

Dari sisi, Triton baharu tampak gagah dengan adanya overfender dan tayar M/T, sementara bahagian belakang turut diberi sentuhan segar menerusi lampu baharu dan spoiler pada bahagian tailgate.

“Fiskal 2023 ialah tahun yang penting bagi Mitsubishi Motors untuk memacu perniagaan kami di rantau ASEAN, dengan pelancaran Triton yang diubah suai sepenuhnya dan SUV kompak serba baharu,” kata Takao Kato, presiden dan ketua pegawai eksekutif Mitsubishi Motors.

Tambah beliau lagi, Triton serba baharu telah menjalani ujian ketahanan di seluruh dunia dan kini sedang dalam fasa persiapan akhir sebagai persediaan untuk pelancarannya.

BMW XM buat kemunculan di Malaysia – pelancaran rasmi Jun ini

BMW Malaysia hari ini mempertontonkan BMW XM serba baharu, iaitu model Sports Activity Vehicle (SAV) dengan pacuan berelektrik pertama dari divisyen BMW M.

Model ini diperkenalkan di peringkat global pada September tahun lalu dan untuk pasaran Malaysia, pratempahannya telah pun dibuka pada Oktober dengan harga bermula dari RM1.4 juta. Ia dijangka tiba ke pasaran tempatan pada Jun ini.

Sebagai standard, XM didatangkan dengan Pakej M Aerodynamics dan M High-Gloss Shadow Line, dengan Konten Lanjutan disediakan untuk profil Shadow Line. Lampu hadapan Adaptive LED dengan ciri bantuan lampu puncak juga disertakan sebagai standard.

Dari sudut hadapan, XM menampilkan gril ‘kidney’ bercahaya dan set lampu hadapan yang terbahagi kepada dua modul yang berasingan iaitu satu untuk pencahayaan waktu siang dan satu lagi untuk lampu rendah/puncak.

Dari sisi, profilnya diserlahkan menerusi rim 23 inci M Star Spoke 923 M dalam warna Bicolour Nightgold atau rim 23 inci M Law Star Spoke 923 M dalam warna Bicolour Black untuk mereka yang memilih profil Shadow Line.

Bahagian belakang pula menampilkan lampu belakang berbentuk L yang menyerlahkan lagi kelebaran kenderaan ini, serta dua paip ekzos berkembar berbentuk heksagon yang disusun secara menegak.

Ruang dalaman XM dihias dengan trim bermaterialkan gentian karbon serta kulit vintaj Walknappa pada panel pintu dan bahagian atas panel instrumen.

Dari segi sistem infohibur, terdapat BMW Live Cockpit Professional dengan Paparan Informasi 12.3 inci, Paparan Kawalan 14.9 inci, Head-up Display dan BMW Intelligent Personal Assistant – kesemuanya dikuasakan oleh Sistem Operasi BMW 8.

Kelengkapan lain yang tersedia termasuklah stereng kulit M, tali pinggang keledar M dan kerusi multifungsi M. Turut disertakan adalah sistem audio Bowers & Wilkins Diamond serta ciri BMW Iconic Sounds Electric yang memperkayakan lagi suasana ruang kabin dengan bunyi pecutan elektrik.

XM dikuasakan oleh sistem pacuan M Hybrid plug-in yang menampilkan gandingan enjin 4.4-liter biturbo V8 dan sebuah motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 653 PS dan 800 Nm. Dengan bantuan Launch Control, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.3 saat.

Kelajuan maksimum jentera ini adalah 270 km/j dengan M Driver’s Package. Dalam mod EV pula, ia boleh dipandu sejauh 88 km dan mencapai kelajuan maksimum yang dihadkan pada 140 km/j.

Tenaga elektrik dibekalkan oleh pek bateri berkapasiti 25.7 kWj yang boleh dicas dari 0 hingga 100 peratus dalam 4 jam 15 minit menggunakan pengecas AC 7.4 kW.

Pacuan M xDrive disertakan secara standard, begitu juga dengan Adaptive M Suspension Professional, peredam elektronik, Active Roll Stabilisation dan Integral Active Steering. Untuk brek pula, model ini menggunakan sistem brek M Sport dengan cakera depan berukuran 508 mm.

Sistem bantuan pemandu terdiri daripada Driving Assistant Professional yang merangkumi Distance Control (ACC), Automatic Speed Limit Assist, Steering dan Lane Control Assistant, Lane Change Assistant, Lane Keeping Assistant, Lane Change Warning, Front/Rear Crossing-traffic Warning, Rear Collision Prevention, Exit Warning dan pelbagai lagi.

Turut disertakan adalah Sistem Parking Assistant Plus yang membawakan Reversing Assist Camera, Lateral Parking Aid, Park Assist, Active Park Distance Control, Reversing Assistant, Parking View, Surround View System, Remote 3D View, Drive Recorder dan Anti-theft Recorder.

Kos servis Toyota Vios 2023 sehingga perbatuan 100,000 km

SEPERTI yang anda sedia maklum, Toyota Vios 2023 telah dilancarkan ke pasaran Malaysia baru-baru ini.

Untuk model generasi keempat, sedan segmen B itu ditawarkan dalam dua varian sahaja iaitu 1.5E pada harga RM89,600 dan 1.5G yang berharga RM95,500.

Model serba baharu itu membawakan pembaharuan menyeluruh yang melibatkan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), serta trenkuasa yang menampilkan gandingan enjin 2NR-VE 1.5-liter Dual VVTi dan transmisi D-CVT.

Dalam artikel ini, kami akan menunjukkan kos penyelenggaran atau servis Vios serba baharu untuk perbatuan sehingga 100,000 km.

Servis pertama – 1,000 km

Untuk 1,000 km pertama, servis melibatkan minyak enjin sintetik 4 liter (RM139), cecair pencuci cermin hadapan (RM3), pembasmi kuman Noviruclean 3471 (RM12.11), penapis minyak hitam (RM38.60) dan gasket palam (RM2.80).

Jika diikutkan, jumlah sebenar adalah RM195.51 namun dengan harga pakej, pelanggan hanya perlu membayar sebanyak RM185 atau RM215 jika memilih minyak enjin sintetik penuh.

10,000 km-30,000 km, 50,000 km-70,000 km & 90,000-100,000 km

Untuk makluman anda, UMW Toyota Motor menawarkan beberapa pakej servis untuk Vios. Bagi perbatuan 10,000 km, 20,000 km, 30,000 km, 50,000 km, 60,000 km, 70,000 km, 90,000 km dan 100,000 km, ia ditawarkan di bawah pakej Advance.

Servis untuk perbatuan-perbatuan ini sama sahaja seperti servis 1,000 km. Ia melibatkan penukaran minyak enjin, cecair pencuci cermin hadapan, pembasmi kuman, penapis minyak hitam gasket palam. Cuma, tidak seperti servis pertama itu, pelanggan akan dikenakan kos buruh (RM97.50) dan cukai perkhidmatan 6 peratus (RM5.85).

Jumlah akhir yang perlu dibayar oleh pelanggan adalah RM298.86, namun dengan harga pakej Advance, harga dikurangkan kepada RM295. Mereka yang memilih minyak enjin sintetik penuh perlu membuat bayaran tambahan sebanyak RM30.

Bagaimanapun, untuk servis 100,000 km, pelanggan perlu menukar minyak CVT (RM280, harga pakej termasuk gasket, palam, kos buruh dan cukai perkhidmatan), dan palam pencucuh iridium (RM270, 4 biji).

40,000 km & 80,000 km

Servis untuk 40,000 km dan 80,000 km ditawarkan di bawah pakej Advance Plus. Secara umumnya, komponen yang ditukar sama sahaja seperti pakej Advance, cuma dengan penambahan bendalir brek (RM40) dan penapis pembersih udara (RM118.35).

Selain itu, kos buruh juga meningkat kepada RM130. Untuk servis 40,000 km, pelanggan hanya dikenakan bayaran sebanyak RM485 atau RM515 jika memilih minyak enjin sintetik penuh.

Untuk servis 80,000 km pula, pelanggan perlu menggantikan penapis minyak pada harga RM270.75. Ia melibatkan dua komponen iaitu penapis (RM258.15) dan cincin O (RM12.60).

Maklumat lanjut mengenai kos penyelenggaran Vios serba baharu boleh didapati di laman web UMWT.

Yamaha YZF-R25 kini dalam warna ungu dan biru – RM22,998

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) telah memperkenalkan dua pilihan warna baharu untuk Yamaha YZF-R25 bagi memastikannya kekal segar di pasaran.

Dilancarkan di Malaysia buat pertama kali pada 2019, YZF-R25 boleh didapati dalam warna ungu Midnight Star dan biru Racing Blue bermula 23 Mac 2023.

Harga jualan kekal seperti sebelum ini iaitu RM22,998 tidak termasuk pendaftaran dan insurans. Setiap pembelian didatangkan dengan kunci cakera bernilai RM100 secara percuma.

Turut tidak berubah adalah ciri-ciri dan spesifikasi jentera ini. Kuasa masih dibekalkan oleh enjin 249 cc silinder berkembar selari yang menjana 35.4 hp pada 12,000 rpm dan 22.6 Nm pada 10,000 rpm.

Kuasa disalurkan ke roda belakang oleh kotak gear enam kelajuan dengan klac basah.

R25 dilengkapi dengan suspensi jenis fork teleskopik pada bahagian hadapan dan penyerap hentak monocross pada bahagian belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera hadapan dan belakang, berserta ABS.

Untuk tayar, model ini menggunakan tayar bersaiz 110/70 di depan dan 140/40 di belakang.

Selain itu, ia juga mempunyai lampu LED, panel instrumen LCD dan tangki bahan api berkapasiti 14.3 liter. Ketinggian tempat duduk adalah 780 mm, manakala berat keseluruhan R25 adalah 169 kg.

Sistem pembayaran terbuka dilaksana di 5 lebuh raya selewatnya September 2023

MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Alexandar Nanti Linggi mengumumkan bahawa sistem kutipan tol baharu akan dilancarkan September ini bagi membolehkan pengguna membayar tol menggunakan kad debit dan kredit.

Sistem baharu ini akan dilaksanakan di lima lebuh raya iaitu Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Jambatan Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan, Nanta berkata kementeriannya sedang dalam proses peralihan kepada sistem aliran bebas pelbagai Lorong (MLFF).

“Sejak awal tahun ini, saya sudah mengarahkan perancangan serta perbincangan bersama pihak-pihak terlibat serta syarikat konsesi lebuhraya diadakan bagi mengorak langkah ke arah pelaksanaan open payment system (sistem pembayaran terbuka).

“Hasil perbincangan ini, sukacita ingin saya memaklumkan bahawa beberapa lebuhraya akan melaksanakan open payment system selewat-lewatnya pada September 2023,” katanya di Facebook.

Menurut beliau lagi, Proof of Concept (POC) MLFF akan dilaksanakan sebelum penghujung Oktober 2023 bagi tujuan penilaian seblum ini dilaksanakan di kesemua lebuh raya di Malaysia.

Nanta berkata lokasi POC masih dalam rundingan dan berjanji pelaksanaan sepenuhnya MLFF akan dijalankan secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024.

Plaza tol ERP di Singapura. Gambar oleh: Malay Mail

Langkah ini dilihat akan membuka peluang kepada lebih ramai penyedia kemudahan eWallet untuk turut serta, selain menghapuskan monopoli oleh pihak Touch N Go (TnG).

Katanya lagi, persaingan sihat antara pemain industri akan membuka lebih banyak pilihan kepada pengguna lebuh raya untuk membuat pembayaran tol.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata monopoli TnG terhadap pembayaran tol lebuh raya akan dikaji semula.

Pusat 4S Kawasaki Shah Alam kini dibuka

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat milik penuh Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), baru-baru ini merasmikan pembukaan pusat 4S pertamanya iaitu Kawasaki Shah Alam.

Majlis dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kawasaki Shah Alam, Chear Kin Keong, sementara EMOS diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Roslan Roskan dan Ketua Pegawai Pemasaran, George Kashiwagi.

“Melihat sekitar Kawasaki Shah Alam, saya mendapat inspirasi bahawa kedai yang pertama seumpamanya ini akan menjadi platform bagi komuniti Kawasaki untuk mendapatkan pelbagai produk inovatif Kawasaki,” kata Roslan.

Kawasaki Shah Alam merangkumi empat aspek perniagaan iaitu jualan, alat ganti, servis dan bilik pameran.

Apa yang menarik, pusat 4S flagship ini juga dikategorikan sebagai Kawasaki All Star, di mana peminat motosikal boleh menemui semua model Kawasaki terkini, dari model kapasiti kecil hingga besar, termasuk model-model off-road.

George Kashiwagi berkata semua outlet Kawasaki All Star menggunakan reka bentuk Kawasaki Plaza di Jepun yang mengetengahkan paparan produk dan perdagangan visual.

“Kami percaya dengan berkongsi aspek reka bentuk dan kepercayaan yang sama, bilik pameran ini akan membuatkan pengunjung berpuas hati. Dalam erti kata lain, ia memberikan mereka pengalaman Kawasaki di mana budaya bertemu dengan minat,” katanya.

Skuter elektrik Blueshark R1 dilancar – harga dari RM7,190, RM59 sebulan untuk bateri

BLUESHARK, anak syarikat Sharkgulf Technologies Group telah melancarkan siri skuter elektrik Blueshark R yang terdiri daripada R1 dan R1 Lite ke pasaran Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (ASEAN) Blueshark Ecosystem Sdn Bhd, Jin Chan berkata skuter Blueshark R merupakan kemuncak usaha pihaknya untuk membawakan solusi lestari dan inovatif ke pasaran mobiliti urban.

“Berbekalkan teknologi penukaran bateri serta aneka teknologi perintis, kami sedang memperkenalkan sebuah produk yang lebih hebat, namun mampu milik, bagi meluaskan aksesibiliti skuter elektrik pintar untuk seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Blueshark R1 dipacu oleh sebuah motor elektrik dengan output 5kW dan tork puncak 201 Nm, yang membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 80 km/j.

Untuk tenaga pula, R1 mendapat bekalannya daripada dua pek bateri litium besi fosfat (LFP) yang menawarkan jarak tunggangan sejauh 110 km (berdasarkan kitaran NEDC).

Bateri-bateri tersebut boleh ditukar ganti dengan segera di mana-mana stesen penukar bateri BlueStation atau dicas penuh dalam masa 3.5 jam.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan lim mod tenggangan termasuk Walk Assist Mode (WAM) dan Turbo, serta sistem operasi pintar ArkRide yang menyediakan sambungan Bluetooth, GPS, pemain media, kemas kini perisian secara OTA dan perakam tunggangan.

Apa yang menarik, semua ciri berkenaan boleh diakses menerusi papan pemuka HD IPS berukuran 10.4 inci.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans dan dengan pengecualian SST) bermula dari RM7,190 untuk R1 Lite dan RM9,390 untuk R1.

Pek bateri tersebut pula boleh dilanggan menerusi pakej-pakej yang ditawarkan iaitu Lite (RM59/sebulan, 36 pertukaran), Standard (RM99/sebulan, 70 pertukaran), Pro (RM139/sebulan, 120 pertukaran) dan Flex (RM1.95 untuk setiap pertukaran).

CFMoto 450SR dah masuk pasaran Malaysia – 49 hp, brek Brembo, ABS, RM28,888

SELEPAS dipertontonkan di MotoGP Malaysia pada Oktober tahun lalu, CFMoto 450SR kini secara rasminya dilancarkan ke pasaran tempatan pada harga RM28,888 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).

Menurut CFMoto Malaysia, model sport ini ditawarkan dalam warna hitam atau putih, dan boleh didapati di semua wakil pengedar bertauliah CFMoto di seluruh negara bermula minggu ini.

Dibangunkan berasaskan prototaip SR-C21, 450SR tampil dengan enjin silinder berkembar selari bersesaran 449 cc yang mampu menghasilkan 49.6hp pada 9,500 rpm dan tork maksimum 39 Nm pada 7,600 rpm.

Enjin itu mempunyai aci imbangan berganda untuk mengurangkan kesan getaran serta diposisikan pada kedudukan penting di pusat graviti motosikal bagi meningkatkan kestabilan tunggangan.

Ukuran dimensi jentera ini adalah 1,990 mm panjang, 735 mm lebar, 1,130 mm tinggi dan 1,370 mm bagi jarak roda. Kapasiti tangki bahan api adalah 14 liter, manakala berat mencecah 168 kg.

Untuk casis, 450SR menggunakan fork terbalik 37 mm dan penyerap hentak tunggal (monoshock), berserta tayar berukuran 110/70-R17 di hadapan dan 150/60-R17 di belakang.

Sistem brek pula merangkumi cakera tunggal berukuran 320 mm dengan angkup Brembo empat omboh di hadapan dan cakera tunggal 220 mm di belakang. ABS juga tersedia.

Antara kelengkapan yang disertakan pada model ini termasuklah paparan TFT melengkung berukuran lima inci dengan sistem navigasi dan memori. Turut disertakan adalah sistem T-Box yang mempunyai modul 4G terbina dalam dan sensor 6D.

Sensor tersebut membolehkan sambungan telefon pada kenderaan, di samping menyediakan fungsi seperti naik taraf perisian secara Over-the-Air, unit pengukuran inersia (IMU), rekod prestasi, anti-kecurian dan sebagainya.

Setiap pembelian 450SR didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km.

Toyota Vios terima lebih 5,000 tempahan dalam tempoh sebulan

UMW Toyota Motor (UMWT) memaklumkan bahawa Toyota Vios 2023 yang baru sahaja dilancarkan telah menerima tempahan melebihi 5,000 unit sejak tempahannya dibuka pada 24 Februari lalu.

Presiden UMWT, Ravindran K berkata maklum balas luar biasa terhadap Vios adalah bukti populariti model itu di pasaran Malaysia.

“Kami sangat teruja untuk memulakan tahun ini dengan pelancaran Toyota Vios serba baharu, yang mewakili komitmen kami dalam menyediakan kenderaan dan perkjidmatan berkualiti terbaik kepada pelanggan.

“Kami tidak sabar untuk mengharungi tahun penuh dengan peluang ini untuk memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya.

Kini dalam generasi keempat, Vios serba baharu ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5E dan 1.5G, dengan harga bermula dari RM89,600 hingga RM95,900.

Ia dibina menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), serta menampilkan enjin 2NR-VE 1.5-liter empat silinder Dual VVTi yang digandingkan bersama transmisi D-CVT.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi ciri-ciri seperti Pre-Collision System, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Adaptive Cruise Control, Lane Keeping Control dan Auto High Beam.

Turut disertakan adalah 3D Panoramic View Monitor, Blind Spot Monitor serta Rear Cross Traffic Alert.

Model ini dikilangkan di kilang pemasangan Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) di Bukit Raja, Klang, di mana ia memenuhi standard kualiti dalam seluruh proses pemasangan sejajar dengan “Toyota Way”.

Kerajaan akan kaji semula monopoli Touch ‘n Go dalam sistem kutipan tol lebuh raya

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu melibatkan monopoli Touch ‘n Go (TnG) bagi sistem kutipan tol lebuh raya akan dikaji semula.

Menurut Anwar, TnG telah beroperasi lebih daripada dua dekad dan tidak ada kemajuan meyakinkan dalam sistem tersebut.

“Saya rasa anda betul, kita akan mempertimbangkannya semula,” kata Anwar ketika menjawab soalan semasa sesi dialog program Youth Empowerment Fair 2023 (YE F2023) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Dalam sesi dialog itu, Anwar turut berkongsi bayangan bagaimana pentadbirannya akan beroperasi. Beliau menyentuh isu seperti pengangkutan awam, aktivisme pelajar, serta berjanji memansuhkan peruntukan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang mengehadkan autonomi pelajar dan pensyarah.

Sebelum ini, bekas Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membenarkan orang ramai membayar tol lebuh raya menggunakan pembayaran digital alternatif, bukan hanya TnG.

BMW X7 xDrive40i Pure Excellence versi facelift kini di Malaysia – RM655k

SELEPAS melancarkan M340i xDrive dan 330Li M Sport tempoh hari, BMW Malaysia kini melancarkan pula model terbesar dalam barisannya iaitu X7 xDrive40i Pure Excellence.

Model facelift atau Life Cycle Impulse (LCI) ini menampilkan rekaan terbaharu persis 7 Series, serta trenkuasa mild-hybrid baharu yang lebih berkuasa.

Dari segi penampilan, X7 didatangkan dengan lampu LED terpisah yang merangkumi lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu isyarat membelok pada bahagian atas dan lampu utama pada bahagian bawah.

Apron hadapan turut direka semula dengan gril kidney double-slat dan elemen krom pada liang bawah. Bahagian belakang pula menampilkan lampu dengan rekaan 3D dan jalur krom yang menghubungkan kedua-dua lampu berkenaan.

Ia ditawarkan dalam lima warna iaitu Sparkling Copper Grey Metallic, Blue Ridge Mountain Metallic, Skyscraper Grey Metallic, Mineral White Metallic, dan Black Sapphire Metallic.

Di dalam, terdapat BMW Curved Display yang terdiri daripada paparan informasi 12.3 inci dan skrin sentuh 14.9 inci. Sistem ini dikuasakan oleh BMW Operating System 8.

Ciri mewah ditonjolkan menerusi trim kayu Lindenwood Fineline, stereng sport dengan balutan kulit, pelapik bumbung Alcantara dan pencahayaan ambien.

Untuk pasaran Malaysia, X7 didatangkan dalam versi enam tempat duduk dengan kerusi individu pada barisan tengah. Setiap kerusi dibalut upholsteri Sensafin dengan jahitan dekoratif, dalam warna hitam atau Cognac.

Selain itu, model ini juga didatangkan dengan bumbung kaca panoramik, selain menawarkan ruang but berkapasiti 750 liter jika tempat duduk barisan ketiga dilipat.

X7 xDrive40i masih dikuasakan oleh enjin 3.0-liter enam silinder turbo namun output telah dipertingkatkan dari 333 PS/450 Nm kepada 380 PS/520 Nm. Kuasa disalurkan ke roda oleh transmisi automatik Steptronic Sport lapan kelajuan.

Enjin tersebut digandingkan dengan teknologi mild-hybrid dengan starter generator 48V yang mampu menjana 12 PS dan 200 Nm. Dari segi prestasi, model ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.8 saat, 0.3 saat lebih pantas berbanding sebelum ini.

Untuk sistem bantuan pemandu pula, X7 disertakan dengan Parking Asistant Professional dan Driving Assistant. Parking Assistant Professional menggunakan sistem kamera dan ultrabunyi bagi membolehkan ia parkir secara automatik. Ia didatangkan bersama Reversing Assistant Professional.

Semetnara itu, Driving Assistant pula merangkumi ciri-ciri seperti Lane Departure Warning, Lane Change Warning dengan intervensi stereng aktif, Front Collision Warning dengan intervensi brek, Rear Crossing Traffic Warning, Rear Collision Prevention, Speed Limit Info dan Speed Limit Assist manual.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans) BMW X7 xDrive40i Pure Excellence adalah RM 654,800. Ia didatangkan dengan waranti lanjutan lima tahun dan pakej servis.

Toyota Vios 2023 dipandu uji di Pulau Langkawi – Ini pandangan awal kami

PERCAYA atau tidak, tahun ini merupakan tahun ke-20 Toyota Vios berada di pasaran Malaysia. Sedan segmen B ini merupakan salah satu model terpenting bagi UMW Toyota Motor, dengan jualan melebihi setengah juta unit dalam tempoh tersebut.

Bagaimanapun, adil jika dikatakan bahawa kehadiran Vios dalam segmen berkenaan sentiasa ‘dibayangi’ oleh pesaing terdekatnya iaitu Honda City. Adil juga jika penulis katakan bahawa taruhan Toyota ini hanya mampu mengekori pesaingnya itu dari belakang sejak beberapa tahun yang lalu.

Untuk tahun 2023, Vios telah memasuki generasi keempat dengan pembaharuan yang menyeluruh bagi membolehkan ia memberi saingan yang lebih sengit kepada City. Mampukah ia berbuat demikian?

Baru-baru ini penulis diterbangkan ke Pulau Langkawi untuk menguji Vios serba baharu ini. Ini adalah pendapat ringkas penulis mengenai model berkenaan:

Reka bentuk jauh lebih menonjol

Tidak dinafikan lagi, Vios generasi keempat tampil lebih segar berbanding model-model generasi terdahulu. Malah, dengan rekaan yang serba tajam serta bukaan gril yang begitu besar, ramai yang mengatakan ia kelihatan tidak ubah seperti ‘baby Camry’.

Apa yang lebih menarik, buat pertama kali dalam sejarahnya, Vios didatangkan dengan rekaan garis bumbung fastback yang secara tidak langsung membuatkannya kelihatan lebih premium.

Bodykit didatangkan standard

Buat sementara ini, Vios generasi keempat ditawarkan dalam varian 1.5E dan 1.5G. Kedua-duanya didatangkan standard dengan kit badan yang merangkumi skirting depan, sisi dan belakang, diffuser serta spoiler. Ya, walaupun anda membeli varian 1.5E, anda masih akan mendapat kit badan yang bergaya ini.

Tidak cukup dengan itu, ia juga mempunyai beberapa komponen aerodinamik yang berfungsi termasuk penjana vortex pada bampar hadapan dan belakang.

Ruang kabin lebih premium

Jujur penulis katakan bahawa penulis terasa seperti berada di dalam sebuah kereta Perodua apabila pertama kali masuk ke dalam Vios. Ini kerana terdapat beberapa bahagian yang dikongsikan antara dua jenama ini termasuk stereng.

Namun ini tidak bermakna yang kualiti ruang dalaman Vios jatuh. Tidak sama sekali. Malah, dengan penggunaan bahan-bahan berkualiti seperti balutan kulit dan sentuhan lembut pada papan pemuka, ia terasa lebih premium berbanding sebelum ini.

Rekaan dalaman yang lebih ergonomik

Antara kekurangan terbesar Vios generasi terdahulu adalah konsol tengah yang langsung tidak ergonomik. Perkara ini nampaknya telah diperbaiki dengan ruang penyimpanan barang yang terletak di hadapan tuil gear.

Bukan itu sahaja, rekaan konsol tengah secara keseluruhannya lebih ringkas dan kemas menerusi penggunaan brek parkir elektronik dan dengan model ini, anda juga mendapat banyak pemegang cawan dan juga corong pendingin hawa belakang.

Kelengkapan? Macam-macam ada

Dengan varian 1.5G, anda sudah tentu mendapat tahap kelengkapan tertinggi yang sepadan dengan harganya. Ini termasuk skrin sentuh 9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto versi wayarles, serta kluster instrumen digital TFT 7 inci.

Selain itu, terdapat juga ciri-ciri lain seperti pengecas wayarles, pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna (macam kereta Jerman!) dan sistem Toyota Safety Sense dengan fungsi ADAS yang lengkap.

Sentuhan DNGA yang menjadi

Penggunaan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) bukan sahaja memberikan Vios generasi keempat reka bentuk yang lebih segak, malah ia juga membuatkan sedan ini lebih mantap di jalan raya.

Ia bukanlah suatu rahsia yang kekuatan DNGA adalah dari segi ‘ride and handling’, dan ini sudah dirasakan pada model-model DNGA yang lain termasuk Perodua Alza dan Toyota Veloz.

Sama sahaja ceritanya dengan Vios serba baharu ini. Pemanduannya terasa lebih lincah di selekoh, disumbangkan oleh talaan stereng dan juga pengurangan berat sebanyak 110 kg berbanding model sebelum ini.

Dari segi keselesaan, sistem suspensi dan kerangka Vios serba baharu ini boleh dikatakan cemerlang di permukaan jalan yang rata dan tidak rata. Walaupun berdepan dengan jalan yang beralun-alun ketika mendaki Gunung Raya, setiap lantunan diserap dengan begitu baik.

Gandingan enjin dan transmisi yang serasi

Vios dikuasakan oleh enjin 2NR-VE 1.5-liter empat silinder Dual VVTi yang menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 138 Nm pada 4,200 rpm. Ia bukanlah angka yang menggunung tingginya, namun talaan transmisi D-CVT membuatkan model ini mampu memecut lebih cepat dari yang disangka.

Tidak dinafikan, efek ‘rubber band’ masih boleh dirasakan terutamanya apabila pedal ditekan dengan agresif ketika mendaki namun ia tidaklah begitu serius. Bunyi ngauman juga boleh didengar dengan jelas namun dalam situasi pemanduan biasa, trenkuasa ini sebenarnya agak senyap.

Menariknya, Vios kini mempunyai tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan mod baharu iaitu Power. Jika anda memerlukan tindak balas yang responsif, tekan sahaja butang Drive pada sebelah kanan stereng.

Kekurangan? Pasti ada

Bagi penulis, tidak ada kereta yang benar-benar sempurna. Untuk Vios, secara keseluruhannya ia merupakan sedan yang lengkap dari pelbagai aspek namun ini tidak bermakna ia tidak mempunyai kekurangan.

Pertama, tempat duduk belakang tidak boleh dilipat. Menurut jurutera Vios, ini kerana kapasiti but 475 liter sudah dianggap cukup besar untuk kegunaan seharian. Bukan itu sahaja, bumbung fastback juga menjadikan ruang kepala agak terhad.

Kekurangan yang kedua adalah ketiadaan tayar ganti. Pengurangan berat serta penjimatan ruang adalah antara sebab yang diberikan namun penulis secara peribadi merasakan ia adalah antara kelengkapan yang wajib disertakan. Lainlah kalau model ini didatangkan dengan rim 20 inci.

Konklusi

Terima kasih kepada platform DNGA dan talaan kotak gear yang mantap, Toyota Vios generasi keempat membawakan perubahan yang amat ketara jika dibandingkan dengan model generasi sebelum ini.

Bagi penulis, rekaan luaran dan dalamannya lebih menyerlah, manakala pemanduannya juga bertambah baik. Dari segi kelengkapan pula, ia mempunyai segalanya yang diperlukan oleh pemilik dalam segmen ini. Namun adakah ia berbaloi dengan harga yang ditawarkan? Semuanya terpulang kepada anda.

Toyota Vios 2023 dilancarkan di Malaysia – 2 varian, harga bermula RM90,000

KEMAS KINI: Harga jualan rasmi Toyota Vios adalah RM89,600 bagi 1.5E dan RM95,500 bagi 1.5G.

TIDAK sampai sebulan selepas tempahannya dibuka, Toyota Vios 2023 kini dilancarkan ke pasaran Malaysia. Majlis pelancaran rasmi bakal berlangsung pada Isnin (20 Mac 2023), jam 8.00 malam.

Untuk pasaran tempatan, Vios serba baharu ini ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5E dan 1.5G, dengan harga anggaran bermula dari RM90,000 hingga RM96,000. Harga rasmi akan kami kongsikan selepas majlis pelancaran tersebut.

Kedua-dua varian menampilkan enjin 2NR-VE 1.5-liter empat silinder Dual VVTi yang menghasilkan 106 PS dan 138 Nm. Seperti Veloz, enjin ini digandingkan dengan transmisi jenis D-CVT dan mempunyai mod pemanduan Eco, Normal dan Power.

Dari segi penampilan, Vios dengan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) ini diberikan perubahan reka bentuk yang menyeluruh dengan rekaan lampu yang tajam, bukaan gril yang besar serta buat pertama kalinya, garis bumbung gaya fastback yang lebih rendah.

Sedan segmen B ini juga didatangkan standard dengan kit badan yang merangkumi skirting, diffuser dan spoiler, serta rim aloi berukuran 17 inci dengan tayar bersaiz 205/50 untuk varian 1.5G dan 16 inci untuk 1.5E.

Untuk pengetahuan anda, kedua-dua varian tidak mempunyai tayar gantian. Ia digantikan dengan kit pembaikan tayar.

Lampu hadapan LED automatik berserta lampu nyalaan siang LED adalah standard, begitu juga dengan lampu belakang LED. Bagaimanapun, hanya varian 1.5G mendapat lampu isyarat jenis sequential.

Terdapat lima warna untuk dipilih iaitu Silver Metallic, Nebula Blue Metallic, Spicy Scarlet, Attitude Black dan Platinum White Pearl.

Seperti bahagian luaran, ruang dalaman juga menampilkan reka bentuk baharu sepenuhnya, dengan stereng sama seperti yang terdapat pada Perodua Ativa dan panel kawalan pendingin hawa digital Veloz. Satu lagi ciri baharu yang diberikan adalah corong pendingin hawa belakang.

Dari segi kelengkapan, kedua-dua varian mendapat skrin sentuh berukuran 9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto versi wayarles, namun kluster instrumen digital TFT 7 inci hanya tersedia untuk varian 1.5G.

Varian teratas itu juga didatangkan dengan sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna, brek parkir elektronik dan paddle shifter. Pengecas wayarles yang terletak di dalam kotak simpanan konsol tengah disertakan secara standard pada kedua-dua varian.

Untuk sistem bantuan pemandu pula, terdapat Toyota Safety Sense yang merangkumi Lane Departure Prevention, Lane Departure Warning, Front Departure Alert, Pre-Collision System, Lane Keeping Control, Adaptive Cruise Control dan Auto High Beam.

Panoramic View Monitor 3D, Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert turut disertakan. Untuk varian 1.5E, tiga ciri tidak diberi iaitu Lane Keeping Control, Auto High Beam dan Adaptive Cruise Control.

Ciri-ciri keselamatan lain termasuklah enam beg udara, cagak ISOFIX, Immobiliser dan Vehicle Telematics System dengan langganan percuma selama tiga tahun. Perakam video digital belakang ditawarkan secara opsyen.

Bentley Continental GT S V8 – RM1.06 juta, 0-100 km/j dalam 4.0 saat

SERENTAK dengan pelancaran Bentayga EWB Azure, Bentley Kuala Lumpur turut memperkenalkan model coupe dua pintu berprestasi tinggi iaitu Continental GT S V8.

Seperti yang tertera pada namanya, ia mempunyai ‘nadi’ 4.0-liter twin-turbo V8 yang mampu menjana 550 PS pada 6,000 rpm dan 770 Nm dari 2,000 hingga 4,500 rpm.

Enjin berkenaan digandingkan bersama transmisi ZF klac berkembar lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda (AWD) yang menyalurkan 38 peratus tork ke roda hadapan dalam mod Comfort, dan 17 peratus dalam mod Sport.

Dari segi prestasi, Continental GT S V8 mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.0 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 318 km/j.

Casis terdiri daripada sistem suspensi udara dengan Continuous Damping Control, berserta Active Anti-Roll Bar 48V pada gandar hadapan dan belakang.

Untuk brek, jentera ini dilengkapi dengan cakera 42o mm dengan angkup 10 piston di hadapan, dan cakera 380 mm dengan angkup empat piston di belakang.

Unit ini didatangkan dalam warna hijau British Racing Green 4, iaitu versi yang lebih gelap kepada British Racing Green 2. Ia juga memakai rim berukuran 22 inci dengan kemasan Pale Brodgar Satin dan pakej Styling Specification.

Di dalam, terdapat upholsteri dua tona Cumbrian Green dan Portland, serta trim Piano Black yang menghiasi papan pemuka dan konsol tengah.

Kelengkapan yang disertakan termasuklah Bentley Rotating Display dengan skrin sentuh 12.3 inci, sistem audio Naim, serta ciri-ciri bantuan pemandu seperti Head-Up Display, Night Vision, Lane Assist, Traffic Sign Recognition dan banyak lagi.

Harga jualan Continental GT S V8 bermula dari RM1,059,000 tidak termasuk cukai, insurans dan pendaftaran.

Bentley Bentayga EWB Azure kini di Malaysia – harga dari RM1.09 juta

BENTLEY Kuala Lumpur telah melancarkan model SUV terbarunya iaitu Bentayga Extended Wheelbase (EWB) Azure ke pasaran tempatan. Secara asasnya, ia adalah versi tapak roda lebih panjang kepada Bentayga.

Oleh itu, Bentayga EWB Azure mempunyai ukuran tapak roda sepanjang 3,175 mm, iaitu 180 mm lebih panjang berbanding model standard. Ukuran panjang keseluruhan pula adalah 5,322 mm.

Unit yang dipertontonkan di bilik pameran Bentley Kuala Lumpur ini didatangkan dalam warna hitam Onyx dan rim 22 inci. Ruang dalaman pula dihiasi dengan upholsteri kulit dua tona Camel dan Beluga, serta trim kayu Koa.

Apa yang lebih menarik, ia dispesifikasikan dengan kerusi belakang Airlines Seat yang mempunyai pelarasan 22 cara, sistem pengesan suhu dan teknologi pelarasan postur badan automatik.

Sistem infotainment pula terdiri daripada skrin sentuh 10.9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, dan sistem audio Naim dengan 20 pembesar suara.

Turut disertakan adalah Touring Specification yang merangkumi ciri-ciri bantuan pemandu termaju termasuk Adaptive Cruise Control, Lane Assist, Night Vision dan paparan Head-Up.

Bentayga EWB Azure dikuasakan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang mampu menghasilkan 550 PS pada 6,000 rpm dan 770 Nm dari 2,000 hingga 4,5000 rpm.

Dengan transmisi ZF automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda (AWD), ia hanya memerlukan 4.6 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j. Kelajuan maksimum adalah 290 km/j.

Untuk sistem suspensi, SUV seberat 3.2 tan ini menggunakan suspensi udara dengan Continuous Damping Control. Ia juga didatangkan dengan Bentley Dynamic Ride yang merupakan teknologi Active Anti-Roll Bar 48V pada bahagian depan dan belakang.

Di Malaysia, harga Bentayga EWB Azure bermula dari RM1,091,000 tidak termasuk cukai insurans dan pendaftaran.

Proton X90 dipertonton buat julung kali, produksi kini bermula di Tg Malim

BUKANLAH suatu rahsia bahawa Proton akan mengembangkan rangkaian modelnya tahun ini dengan model SUV yang ketiga selepas X70 dan X50.

Model berkenaan, yang dijangka dinamakan sebagai Proton X90, telah pun dipertontonkan kepada pihak media sejurus selepas majlis pelancaran rangkaian stamping baharu di kilang Proton di Tanjung Malim.

Spesifikasi rasmi masih belum didedahkan namun menurut Proton, X90 bakal menjadi model pertamanya yang menawarkan teknologi hibrid.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, SUV tiga tempat itu berkemungkinan menggunakan gabungan enjin 1.5-liter turbo dan teknologi BSG (belt starter generator) yang dibangunkan oleh Geely.

BSG berfungsi memberi bantuan kuasa sementara semasa pecutan untuk merendahkan penggunaan bahan api, selain mengembalikan kuasa semasa coasting (meluncur).

Gabungan tersebut dikatakan mampu menghasilkan output berjumlah 190 PS dan 300 Nm. Untuk transmisi, ia dijangka menggunakan kotak gear dwi-klac 7 kelajuan seperti yang terdapat pada X50 dan X70 MC2.

Dari segi reka bentuk, gambar rasmi tunggal yang disiarkan menunjukkan bahawa model itu mempunyai reka bentuk gril yang berbeza daripada X50 dan X70. Sekilas pandang, ia tidak ubah seperti gril Mercedes-Benz dengan pin berlian yang mengelilingi logo jenama.

Selain itu, unit yang dipertontonkan itu juga dilihat menggayakan warna biru gelap baharu (berkemungkinan warna Deep Marine Blue).

Timbalan Ketua Eksekutif Pegawai, Proton, Roslan Abdullah berkata pihaknya akan mengadakan pratonton media dan sesi suai kenal pelanggan sebelum melancarkan SUV baharu itu ke pasaran.

“Ini merupakan langkah penting dalam perjalanan NEV (Kenderaan Tenaga Baharu) kami yang akan secara beransur memberi penekanan pada teknologi hibrid sebelum kami melancarkan Proton EV yang pertama,” tambah beliau.

Pesawat angkasa lepas ini boleh capai kelajuan Mach 5.4

PESAWAT komersial terakhir yang mampu mencapai kelajuan supersonik adalah Concorde, namun perkhidmatannya dihentikan pada 2003 atas beberapa faktor termasuk kos operasi yang tinggi dan kemalangan pada 2003 yang menyaksikan 109 nyawa terkorban.

Bagaimanapun, peluang untuk menaiki penerbangan komersial supersonik mungkin akan muncul semula seawal tahun 2030. Ini kerana Agensi Angkasa Lepas United Kingdom telah mengesahkan bahawa ia sedang membangunkan pesawat angkasa lepas yang mencapai kelajuan penerbangan sehingga Mach 5.4 (lebih 6,600 km/j).

Menurut laporan, pesawat tersebut akan menggunakan enjin SABRE (Synergetic Air-Breathing Rocket Engine) yang dibangunkan oleh Reaction Engines, sebuah firma kejuruteraan yang berpangkalan di United Kingdom.

Enjin tersebut boleh mencapai kelajuan Mach 5.4 ketika melakukan penerbangan komersial (lima kali ganda kelajuan bunyi) atau Mach 25 ketika bergerak di angkasa. Ia juga dikatakan lebih mesra alam dan murah berbanding penerbangan udara sedia ada.

Bagi memastikan ia dapat menahan haba ketika mencapai kelajuan supersonik, enjin SABRE dilengkapi dengan tiub helium yang berfungsi untuk menyejukkan udara yang masuk ke dalam enjin. Haba yang diperangkap kemudiannya akan digunakan untuk menjana enjin.

Shaun Driscoll dari Reaction Engines mendakwa teknologi pra-penyejukan itu boleh menyejukkan udara pada suhu 1,000 Celsius kepada 0 dalam hanya 0.05 saat.

Ia bukan sekadar cakap kosong kerana Reaction Engines telah pun berjaya melakukan enjin pra-penyejukan berkenaan pada kelajuan simulasi Mach 3.3, iaitu 50 peratus lebih pantas berbanding Concorde dan setara dengan Lockheed SR-71 Blackbird.

Reaction Engines akan terus menjalankan ujian sebagai persediaan untuk memasuki peringkat komersial pada 2030. Kerajaan UK dikatakan sudah pun membuat pelaburan sebanyak £60 juta, bersama-sama dengan Rolls-Royce, BAE Systems dan Boeing.

WMoto Bobbie VII – bobber klasik berharga RM35,888

MFORCE Bike Holdings baru-baru ini melancarkan WMoto Bobbie VII ke pasaran tempatan dengan harga jualan bermula dari RM35,888 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).

Menurut syarikat itu, ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Matte Black dan Metallic Black, dan didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Bobbie VII dikuasakan oleh enjin dua silinder empat lejang bersesaran 693 cc yang turut dilengkapi dengan sistem penyejukan cecair.

Enjin berkenaan mampu menghasilkan output berjumlah 74 hp pada 8,500 rpm dan 64 Nm pada 6,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Dari segi dimensi, model ini mempunyai ukuran panjang 2,240 mm, lebar 865 mm, dan tinggi 1,065 mm. Berat keseluruhan adalah 211 kg, manakala kapasiti tangki bahan api adalah 15 liter.

Sistem suspensi yang digunakan merangkumi fork teleskopik dan cantilever, dipadankan dengan tayar berukuran 120/80-17 di hadapan dan 150/80-16 di belakang.

Untuk brek, ia dilengkapi dengan cakera tunggal pada bahagian depan dan belakang, ditemani dengan ABS dwi-saluran.

Walaupun mempunyai penampilan serba klasik, Bobbie VII sebenarnya sarat dengan ciri-ciri moden. Ini termasuk lampu LED untuk lampu utama, belakang serta lampu isyarat, dan juga panel meter jenis digital. Turut disertakan adalah pengecas USB.

Nissan LEAF 2023 – RM168,888, jarak 311 km dengan satu cas penuh

Jualan Nissan LEAF di seluruh dunia telah melebihi angka 600,000 unit sejak ia diperkenalkan buat pertama kali pada 2010.

Kini, untuk tahun 2023, model itu diberikan facelift dan ia telah pun memasuki pasaran Malaysia dengan satu varian pada harga bermula dari RM168,888.

LEAF baharu ini menggunakan motor elektrik tunggal yang mampu menjana output sebanyak 110 kW (150 PS) dan 320 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.9 saat.

Dilengkapi dengan bateri litium-ion berkapasiti 40 kWh, ia menawarkan jarak pemanduan sejauh 311 km bagi setiap pengecasan penuh berdasarkan kitaran ujian NEDC.

Menurut Edaran Tan Chong Motor (ETCM) selaku pengedar rasmi Nissan di Malaysia, jarak itu lebih daripada mencukupi untuk kegunaan kebanyakan pemandu Malaysia di bandar dan pinggir bandar setiap hari.

Untuk pengecasan, pelanggan boleh menggunakan pengecas Type 2 (sebelum ini Type 1) untuk pengecasan AC mudah alih menerusi soket elektrik 3-pin yang mengambil masa kira-kira 7 jam.

Selain itu, LEAF juga didatangkan dengan penyambung CHAdeMo untuk pengecasan pantas DC dengan kadar cas maksima 50 kW. Kaedah ini mengambil masa kira-kira 60 minit untuk pengecasan dari 0 hingga 100 peratus.

Seperti sebelum ini, ia dilengkapi dengan teknologi e-Pedal membolehkan pemandu menggerakkan kereta, memecut, memperlahan dan memberhentikan kenderaan hanya dengan cara menambah atau mengurangkan tekanan ke atas pedal pecutan.

Turut disertakan adalah rangkaian teknologi Nissan Intelligent Mobility (NIM). Ia merangkumi ciri-ciri keselamatan seperti Intelligent Lane Intervention & Intelligent Lane Departure Warning, High Beam Assist, serta Intelligent Rear View Mirror.

Untuk pasaran Malaysia, LEAF didatangkan dengan jaminan selama tiga tahun atau 100,000 km, serta jaminan selama lapan tahun atau 160,000 km khusus untuk bateri litium-ion. Dengan selang servis berjadual 20,000 km, kos penyelenggaraan model ini adalah sekitar RM300 setahun.

Sebagai alternatif, EV ini juga boleh didapati menerusi Program Langganan LEAF yang tidak memerlukan sebarang bayaran pendahuluan. Pemilik hanya perlu membayar ansuran bulanan sebanyak RM1,800 untuk kontrak selama tiga tahun.

Bukan itu sahaja, ETCM turut menawarkan keahlian JomCharge selama 12 bulan secara percuma (bernilai RM600) serta filem penapis haba percuma bernilai RM2,200.

Pemilik LEAF juga boleh menggunakan model Nissan terpilih (X-Trail, Serena atau Navara) selama 23 hari setahun secara percuma dalam tempoh tiga tahun pertama pemilik. Ini bagi membolehkan pemilik melakukan perjalanan jarak jauh seperti pulang ke kampung dan sebagainya.