All posts by Amirul Mukminin

Takut JPJ punya pasal, lelaki tinggalkan tunang di Jambatan Pulau Pinang

“LAUTAN api sanggup diredah konon, baru jumpa abang JPJ dah lari lintang-pukang.”

Itulah kejadian yang mencuit hati yang berlaku Rabu lalu apabila seorang lelaki meninggalkan tunangnya ketika melarikan diri daripada sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, wanita berkenaan yang berusia 20-an itu mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan kaki.

Bagaimanapun, belum sempat pihak JPJ memberikan rawatan awal kepadanya, wanita itu bertindak melarikan diri.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, pasangan yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 diarahkan berhenti untuk pihaknya melakukan pemeriksaan menerusi Op Motosikal Khas di lorong motosikal Jambatan Pulau Pinang sempena Tahun Baharu Cina.

Sumber gambar: Facebook JPJ Pulau Pinang

Tambahnya, ketika pihak penguat kuasa mengarahkan penunggang membuat lencongan untuk pemeriksaan lanjut, lelaki tersebut bertindak melarikan diri dengan membuat pusingan U secara mengejut, sekaligus mengakibatkan tunangnya terjatuh dari motosikal.

“Lelaki itu tidak peduli dengan wanita berkenaan dan terus memecut laju motosikal menghala ke bahagian Pulau,” katanya.

Ketika ditanya, wanita itu mengakui lelaki itu adalah tunangnya dan mereka dalam perjalanan dari Seberang Perai menuju ke pusat bandar.

Beliau berkata, lelaki berkenaan mungkin tiada lesen memandu atau cukai jalan tamat tempoh hingga menyebabkan dia nekad melarikan diri.

Akio Toyoda letak jawatan sebagai presiden dan CEO Toyota bermula 1 April

PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Toyota Motor Corporation, Akio Toyoda akan melepaskan jawatannya bermula 1 April ini dan akan digantikan oleh Ketua Pegawai Penjenamaan Toyota, Presiden Lexus International Co. dan GAZOO Racing Company, Kaji Sato.

Sato, 53, telah mengetuai divisyen Toyota Lexus dan GAZOO Racing Company sejak 2020.

Dari kiri: Akio Toyoda, Koji Sato dan Takeshi Uchiyamada

Toyoda masih akan kekal bersama TMC namun akan menyandang jawatan pengerusi lembaga, manakala pengerusi sedia ada iaitu Takeshi Uchiyamada akan meneruskan tugas sebagai ahli lembaga.

Kini berusia 66 tahun, Toyoda merupakan cucu kepada pengasas Toyota, Kiichiro Toyoda dan telah berkhidmat sebagai ketua eksekutif sejak Jun 2009.

“Saya fikir cara terbaik untuk meneruskan transformasi Toyota ialah dengan saya menjadi pengerusi bagi menyokong presiden baharu, dan ini telah membawa kepada keputusan hari ini. Pengerusi Uchiyamada telah lama menyokong saya dalam semua cara yang boleh dibayangkan,” kata Toyoda.

“Jika diimbas kembali, 13 tahun ini adalah tempoh bergelut untuk bertahan satu hari selepas yang berikutnya, dan itulah perasaan jujur ​​saya,” tambah beliau.

Sementara itu, Uchiyamada pula berkata peletakan jawatannya telah mencetuskan perubahan struktur dalam Toyota, sambil menambah bahawa beliau telah lama mempertimbangkan untuk bersara bagi memberi ruang kepada generasi baharu.

Ini kos ganti tayar Kia EV6 di Malaysia, jangan terkejut pula

ORANG ramai sering mengganggap kos penyelenggaraan kenderaan elektrik (EV) adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan kereta enjin pembakaran dalaman (ICE).

Ini mungkin benar untuk penyelenggaraan komponen-komponen tertentu namun untuk penukaran tayar, pemilik sebenarnya perlu mengeluarkan belanja yang lebih tinggi.

Menurut perkongsian Alexander Wong dari SoyaCincau, salah sebiji tayar Kia EV6 yang dipandu beliau pancit dalam perjalanan ke utara baru-baru ini.

Sumber gambar: Alexander Wong/SoyaCincau

Oleh kerana EV6 tidak didatangkan dengan tayar ganti dan kit pembaikan tayar sekali guna yang dibekalkan tidak dapat membantu akibat saiz lubang yang terlalu besar, kereta terpaksa ditunda ke Kuala Lumpur.

Berdasarkan sebut harga daripada Kia Malaysia, sebiji tayar Continental PremiumContact 6 berukuran 255/45 R20 berharga RM2,412, hampir RM1,000 lebih mahal berbanding tayar yang sama bagi kereta bukan EV.

Sementara itu, kos sealant adalah RM251.50 dan kos buruh adalah RM130, menjadikan kos keseluruhan penukaran sebiji tayar kepada RM2,793.50. Untuk penukaran keempat-empat tayar, rasanya anda sendiri boleh kira kos yang diperlukan.

Sumber gambar: Alexander Wong/SoyaCincau

Kenapa mahal sangat?

Apa yang menarik, tayar PremiumContact 6 merupakan tayar OEM untuk EV6 bukan sahaja untuk pasaran Malaysia, malah juga untuk pasaran-pasaran negara lain.

Dibangunkan khusus untuk kegunaan EV, tayar PremiumContact 6 didatangkan dengan teknologi ContiSilent yang menggunakan busa polyurethan pada bahagian dalaman untuk mengurangkan bunyi golekan tayar di dalam kabin sehingga 9 dB.

Selain itu, ia juga menawarkan rintangan golekan yang rendah bagi membantu EV6 mencapai jarak pemanduan yang lebih jauh, serta mempunyai kompaun bunga yang dioptimumkan untuk prestasi brek di atas jalan basah.

Menurut Alexander, Continental bukanlah satu-satunya jenama yang mengenakan harga melebihi RM2,000 untuk sebiji tayar 20 inci. Pemeriksaannya mendapati tayar Michelin Pilot Sport EV yang digunakan oleh Hyundai Ioniq 5 Max dijual pada harga kira-kira RM2,400 sebiji.

Perdana Menteri Britain disaman kerana tidak pakai tali pinggang keledar

PERDANA Menteri Britain, Rishi Sunak telah disaman kerana tidak memakai tali pinggang keledar di dalam kereta yang sedang bergerak.

Menurut polis Lancashire, pihaknya telah “mengeluarkan satu notis penalti bersyarat kepada seorang lelaki berusia 42 tahun dari London”.

Pejabat Downing Street memaklumkan bahawa Sunak “menerimanya dengan hati terbuka dan telah meminta maaf” atas kesalahan tersebut, sambil menambah bahawa beliau akan membayar saman berkenaan.

Sunak didapati tidak memakai tali pinggang keledar dalam satu video Instagram untuk mempromosi satu dana ketika lawatannya ke utara England baru-baru ini. Video tersebut telah pun dipadam.

Jumlah saman tidak didedahkan namun di Britain, penumpang yang didapati gagal memakai tali pinggang keledar boleh dikenakan denda £100 (RM527). Jumlah tersebut boleh meningkat sehingga £500 (RM2,635) jika kes dibawa ke mahkamah.

Sementara itu di Malaysia, mana-mana pemandu atau penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Polestar 2 facelift lebih berkuasa, boleh capai jarak 635 km

TIGA tahun selepas ia diperkenalkan kepada dunia buat pertama kali, Polestar 2 kini menerima versi facelift yang tampil dengan motor elektrik yang lebih berkuasa, pek bateri yang lebih besar serta varian pacuan roda belakang (RWD) baharu.

Dari segi penampilan, fastback lima pintu ini mendapat gril baharu yang diinspirasikan daripada Polestar 3. Digelar sebagai SmartZone, panel ini menempatkan ciri-ciri keselamatan aktif termasuk kamera dan radar.

Selain itu, rim aloi 20 inci dalam Performance Pack juga mendapat sentuhan segar dengan rekaan yang lebih sporty seperti Polestar 3.

Untuk model tahun 2024, semua varian motor tunggal adalah RWD dan bukannya pacuan roda hadapan (FWD) seperti sebelum ini. Varian ini mempunyai output sehingga 299 PS dan 490 Nm, naik dari 231 PS dan 330 Nm sebelum ini, sekaligus mengurangkan masa pecutan 0-100 km/j dari 7.4 saat kepada 6.2 saat.

Sementara itu, varian motor berkembar kini ditala semula bagi menjadikan ia lebih cenderung kepada RWD untuk pemanduan yang lebih mengujakan. Motor belakang kini lebih berkuasa dan menjadi sumber utama pacuan, disokong oleh motor jenis ‘asynchronous’ pada gandar hadapan.

Gabungan ini menghasilkan output maksimum mencecah 421 PS dan 740 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.5 saat. Jika dilengkapi dengan Performance Pack, kuasanya meningkat kepada 476 PS dan masa pecutan pula dikurangkan sebanyak 0.3 saat.

Menurut Polestar, motor hadapan boleh dilepaskan sepenuhnya apabila tidak diperlukan bagi meningkatkan lagi kecekapan trenkuasa elektrik. Ia akan disambungkan semula sekiranya pemandu menekan pendikit untuk memandu lebih laju.

Untuk bateri pula, varian Long Range tampil dengan bateri lithium ion berkapasiti dengan 27 modul yang dibekalkan oleh CATL, manakala varian Standard Range mendapat bateri keluaran LG Chem berkapasiti 69 kWh dengan 24 modul.

Bagi varian motor tunggal, versi Standard Range boleh mencapai jarak pemanduan sehingga 518 km, naik sebanyak 40 km, manakala versi Long Range kini boleh dipandu sejauh 635 km dengan satu cas penuh, iaitu 84 km lebih jauh berbanding sebelum ini.

Varian motor berkembar Long Range pula menyaksikan peningkatan jarak pemanduan sebanyak 105 km, menjadikan angka terkini 592 km.

Bateri-bateri baharu ini boleh menerima pengecasan pantas DC sehingga 205 kW untuk versi Long Range dan 135 kW bagi versi Standard Range.

Harga Polestar 2 facelift bermula dari 50,190 euro (RM232,994) untuk versi Standard Range motor tunggal sehingga 64,690 euro (RM300,306) untuk Long Range motor berkembar dengan Performance Pack.

 

Proton Global Services lantik Industrial Labs sebagai pembekal sistem PV

Proton Global Services Sdn. Bhd. (PGS), anak syarikat milik Proton Edar, telah melantik Industrial Laboratories Sdn. Bhd. (Industrial Labs) sebagai pembekal sistem solar fotovoltaik (PV) yang kedua untuk mengembangkan penggunaan tenaga solar dalam rangkaian pengedar dan vendornya.

Pelantikan itu adalah sebahagian daripada inisiatif kelestarian tenaga pembuat kereta nasional yang berusaha untuk menurunkan pelepasan karbonnya untuk meningkatkan skor ESG.

Semasa majlis menandatangani perjanjian yang diadakan baru-baru ini, kedua-dua pihak menerangkan tentang usaha kerjasama untuk mengembangkan penggunaan tenaga solar di Malaysia. Selain menceburi pelbagai aktiviti perniagaan, PGS juga melaksanakan pengoptimuman tenaga dan solusi tenaga lestari untuk Proton.

Industrial Labs ialah pembekal utama dan pembekal perkhidmatan solusi tenaga yang boleh diperbaharui di Malaysia dengan pengalaman di seluruh Asia Tenggara.

“Tenaga baharu adalah salah satu aktiviti perniagaan teras untuk PGS. Selain daripada mempromosi dan melaksanakan penggunaan tenaga solar kepada pengedar dan vendor kami, kami juga telah menyelia pemasangan sistem solar di kilang Proton di Tanjung Malim yang mampu menghasilkan 12MWp dan menjana potensi penjimatan bil tenaga sehingga RM3.5 juta setahun untuk Proton selama 25 tahun.

“Dengan penambahan Industrial Labs sebagai pembekal sistem PV, kami sedang berusaha untuk mempercepatkan penggunaan tenaga solar dalam rangkaian pengedar dan vendor Proton pada tahun 2023 untuk mengurangkan lagi pelepasan karbon syarikat,” kata Lee Yeet Chuan, Ketua Pegawai Eksekutif PGS.

Sementara itu, Shamsul Azhar Bin Zainuddin, Pengasas Bersama dan Pengarah Industrial Labs berkata, “Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP27) di Mesir tahun lalu menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan peningkatan suhu global diminimumkan berbanding tahap pra-industri.

Penyahkarbonan pengeluaran tenaga adalah salah satu inisiatif yang dipromosikan, dan itulah sebabnya kami gembira dapat bekerjasama dengan PGS kerana mempromosikan tenaga bersih seperti solar adalah satu langkah menuju ke arah yang betul,” katanya.

Di peringkat nasional, Malaysia telah komited untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050 dan oleh itu, pengeluar seperti Proton akan memainkan peranan penting untuk membantu mengurangkan tahap pelepasan karbon negara.

“Dengan parameter ESG yang semakin popular setiap tahun, semua entiti korporat mesti berusaha untuk meningkatkan markah mereka dalam bidang ini. Di samping itu, Proton sebagai jenama automotif nasional mempunyai tanggungjawab untuk memainkan peranan aktif dalam membantu Malaysia mencapai matlamat neutral karbonnya menjelang tahun 2050. Itulah sebabnya kami akan terus mempromosikan lebih banyak inisiatif hijau dalam syarikat dan ekosistem kami pada masa akan datang yang terdekat,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

BMW M3 CS diperkenalkan dengan 550 PS, 650 Nm, kelajuan maksimum 302 km/j

BMW telah memperkenalkan varian M3 yang paling hardcore dalam barisannya iaitu M3 CS. Secara asasnya, ia sama sahaja seperti M4 CSL yang muncul tahun lalu cuma model ini mempunyai tempat duduk belakang dan M xDrive.

Seperti M4 CSL, kuasa untuk M3 CS dibekalkan oleh enjin 3.0-liter twin-turbo enam silinder sebaris yang telah ditala bagi menghasilkan 550 PS pada 6,250 rpm dan 650 Nm dari 2,750 rpm hingga 5,950 rpm. Untuk perbandingan, ia 40 PS lebih tinggi berbanding M3 Competition.

Dengan transmisi M Steptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda M xDrive, ia hanya memerlukan 3.4 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j, iaitu 0.3 saat lebih pantas berbanding M4 CSL. Oleh kerana M Driver’s Package disertakan secara standard, jentera ini boleh mencapai kelajuan maksimum 302 km/j.

Di samping peningkatan kuasa, pengurangan berat turut memainkan peranan dalam prestasi M3 CS. Bagi tujuan ini, BMW menggunakan CFRP untuk menghasilkan bonet, splitter hadapan, saluran udara, cermin sisi, diffuser dan spoiler.

Selain itu, ia juga mempunyai bumbung karbon manakala konsol tengah, paddle shifter dan trim dalaman turut diperbuat daripada CFRP. Ditambah dengan tempat duduk karbon dan penyenyap titanium, M3 CS berjaya mengurangkan berat sebanyak 20 kg jika dibandingkan dengan M3 Competition.

Setiap aspek casis telah ditala semula untuk prestasi enjin dan pembahagian berat M3 CS. Ini termasuk tetapan spesifik untuk sistem DSC dan M Dynamic Mode untuk pemanduan agresif di litar. Turut diberi sentuhan semula adalah suspensi dan stereng.

Untuk brek, M3 CS didatangkan standard dengan cakera M Compound namun pelanggan boleh menaik taraf dengan cakera seramik M Carbon dengan angkup berwarna emas atau merah. Ia menggunakan rim aloi berukuran 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang yang boleh didapati dalam warna Gold Bronze atau hitam matte.

BMW berkata M3 CS akan ditawarkan dalam jumlah yang terhad namun angka sebenar tidak didedahkan. Harga bermula dari $118,700 (RM507,264).

Proton Wira kereta kegemaran pencuri 11 tahun berturut-turut

SIAPA sangka, kereta yang dilancarkan kira-kira 30 tahun lalu masih lagi dianggap sebagai ‘barang panas’.

Kereta yang dimaksudkan adalah Proton Wira, yang mana menurut Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia (VTREC), mengekalkan statusnya sebagai kenderaan paling kerap dicuri untuk 11 tahun berturut-turut.

Menurut penyelarasn VTREC, Mas Tina Abdul Hamid, senarai yang dikeluarkan itu adalah berdasarkan tuntutan yang diterima oleh syarikat insurans.

Katanya lagi, sebanyak 131 unit Wira telah dicuri pada 2021, diikuti dengan Iswara dengan 75 kes. Sementara itu, Myvi pula berada pada tangga keenam.

Bagi kereta buatan jenama asing, Toyota Hilux muncul sebagai kenderaan yang paling banyak dicuri dengan 65 kes pada 2021. Ini meletakkannya di tangga keempat senarai itu, di belakang Perodua Kancil.

“Terdapat kereta Mercedes-Benz curi yang dijual pada harga serendah RM10,000, atau Hilux pada harga RM12,000, dan Wira pada hanya RM3,000,” kata Mas Tina.

Menurut beliau lagi, acap kali pencuri kereta adalah pembekal alat ganti Wira. Pencuri selalunya menyasarkan model kereta yang lebih tua dan lebih popular, dan beliau percaya Myvi akan menjadi sasaran seterusnya.

Untuk motosikal pula, data yang dibekalkan kepada The Star menunjukkan sebuah Yamaha 135LC dicuri setiap hari, sekaligus menjadikannya model motosikal paling kerap dicuri pada 2021.

Di tangga kedua adalah Yamaha Y15ZR dengan 165 kes, diikuti dengan Honda C100 di tempat ketiga dengan 151 kes.

“Kebiasaannya, pencuri akan menyasarkan model terkini, leraikannya dan jual alat ganti. Mereka juga menjual Yamaha 125Z pada harga RM1,500, Yamaha 135LC pada harga RM500, serta Honda EX5 dan Honda Wave pada harga RM300,” kata Mas Tina.

Untuk transaksi, pelanggan yang bersetuju dengan tawaran akan mendepositkan wang ke akaun milik sindiket sebelum kenderaan atau komponen curi tersebut dihantar kepada mereka menggunakan khidmat pos berdaftar.

Tambah Mas Tina lagi, sukar bagi pihak berkuasa untuk membanteras sindiket tersebut kerana mereka mempunyai kumpulan yang berbeza untuk mencuri dan membawanya ke Thailand. Di sana, ia akan dijual oleh pihak lain.

MAA unjur jualan kenderaan elektrik meningkat lebih tinggi tahun ini

PRESIDEN Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata pihaknya mengunjurkan jualan kenderaan elektrik (EV) yang jauh lebih tinggi tahun ini berbanding 2,631 unit yang terjual pada 2022.

Menurut Datuk Aishah, ini disebabkan oleh pengenalan pelbagai model EV baharu di pasaran, ditambah dengan insentif cukai jualan yang memberangsangkan.

Di Malaysia, EV yang diimport sepenuhnya (CBU) dikecualikan daripada duti eksais dan import sehingga akhir tahun 2023, manakala EV pemasangan tempatan (CKD) menikmati pengecualian duti eksais dan import, serta pengecualian SST sehingga akhir tahun 2025.

Sementara itu, pembeli EV pula tidak perlu membayar cukai jalan dan akan menikmati pengecualian cukai peribadi sehingga RM2,500 untuk kos berkaitan pengecasan EV, sehingga akhir tahun ini.

Berbalik kepada unjuran jualan EV, Datuk Aishah berkata jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 650,000 unit bagi 2023 akan merangkumi jualan kenderaan hibrid dan EV.

 

MAA juga akan membuat rayuan kepada kerajaan untuk mempertimbankan pelanjutan insentif EV untuk tempoh yang lebih lama sehingga 2030 dan bukan secara tahunan.

“Kami berpendapat pelanjutan insentif berdasarkan dari tahun ke tahun tidak mencukupi (kerana) anda perlu membuat banyak pelaburan dan semua pelabur perlu yakin bahawa EV akan terus dijual,” katanya.

Tahun lalu menyaksikan kemunculan beberapa model EV menarik ke pasaran tempatan termasuk BYD Atto 3, GWM Ora Good Cat, Volvo C40 Recharge Pure Electric, BMW iX dan barisan Mercedes-EQ.

Harley-Davidson lelong 2 unit Low Rider El Diablo untuk tujuan amal

HARLEY-Davidson Petaling Jaya baru-baru ini mengadakan majlis lelongan amal di mana dua unit Harley-Davidson Low Rider El Diablo telah berjaya dibida oleh dua pembida tertinggi.

Buat pengetahuan anda, Low Rider El Diablo merupakan model daripada program Icon Collections yang terhad kepada 1,500 unit sahaja untuk pasaran global. Dua unit berkenaan diperoleh oleh Harley-Davidson Petaling Jaya dan Harley-Davidson Penang melalui proses undian yang melibatkan semua wakil pengedar di Malaysia.

Dalam majlis tersebut, dua model edisi terhad tersebut berjaya dilelong masing-masing pada harga RM183,900 dan RM179,900 selepas bidaan dibuka pada harga RM172,900.

Daripada jumlah tersebut, H-D PJ dan H-D PG berjaya meraih kutipan sebanyak RM14,880 yang akan disalurkan kepada dua organsasi amal iaitu Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Hospital Lam Wah Ee.

“Terima kasih kepada semua pembida kerana menyokong lelongan amal Low Rider El Diablo dan tahniah kepada kedua-dua yang berjaya kerana mereka bukan sahaja menyumbang kepada kebajikan tetapi juga memperoleh motosikal edisi terhad yang akan meningkat nilainya,” kata Rewi Hamid Bugo, Pengerusi Kumpulan Didi.

Berasaskan model Low Rider ST, versi El Diablo tampil dengan skema warna yang dihasilkan oleh Gunslinger Custom Paint. Ia dimulakan dengan warna El Diablo Bright Red untuk lapisan pertama dan Bright Red Sunglo untuk lapisan kedua.

Untuk efek yang lebih mendalam, warna El Diablo Dark Red dan Dark Red Pearl juga dikenakan pada sekeliling panel, sebelum disudahi dengan pinstripe Pale Gold yang dicat menggunakan tangan dan cat hitam pada enjin dan ekzos.

Aston Martin DBS 770 Ultimate – edisi terakhir, 499 unit habis ditempah

ASTON Martin telah memperkenalkan DBS 770 Ultimate, edisi terakhir bagi DBS generasi semasa yang sudah berada dalam pasaran sejak 2018.

Seperti yang dijangka, model ini bukan calang-calang kerana ia bukan sahaja DBS yang terpantas dan paling berkuasa setakat ini, malah merupakan model produksi Aston Martin paling berkuasa pernah dihasilkan.

Namun hanya segelintir pelanggan yang bertuah berpeluang memiliki DBS 770 Ultimate kerana Aston Martin hanya akan menawarkan 300 unit bagi versi Coupe dan 199 unit bagi Volante, dengan semuanya sudah pun habis ditempah.

Seperti yang tertera pada namanya, DBS 770 Ultimate mempunyai 770 PS dan 900 Nm yang dibekalkan oleh enjin 5.2 liter V12. Dengan peningkatan turbo boost sebanyak 7 peratus dan transmisi automatik lapan kelajuan yang dikalibrasi semula, ia mampu memecut sehingga mencapai kelajuan maksimum 340 km/j.

Model ini masih kekal dengan brek seramik karbon berukuran 410 mm (hadapan) dan 360 mm (belakang) seperti yang terdapat pada DBS. Namun untuk pengendalian, Aston Martin menggunakan kolum stereng baharu yang dikatakan dapat meningkatkan tindak balas stereng.

Selain itu, casis DBS 770 Ultimate lebih keras dan Adaptive Damping System (ADS) yang terdapat padanya telah ditala dengan perisian baharu yang memfokuskan kepada kawalan tanpa menjejaskan kualiti.

Dari segi penampilan, jentera edisi terhad ini boleh dibezakan dengan rim 21 inci yang diinspirasikan daripada Valkyrie, splitter hadapan baharu, lubang udara ‘horseshoe’ dan diffuser yang lebih agresif. Di dalam, terdapat kerusi Sport Plus dengan balutan kulit dan Alcantara, logo eksklusif dan plak nombor sisi pengeluaran.

Sudah tentu, pelanggan boleh menyesuaikan supercar mereka dengan pelbagai jenis warna, livery, grafik, kemasan dan trim mengikut citarasa sendiri menerusi program Q by Aston Martin.

Lee Motors laksana majlis pecah tanah bilik pameran baharu di Alor Setar

LEE Motors baru-baru ini mengadakan upacara memecah tanah bagi bilik pameran Auto Care baharu miliknya di Alor Setar, Kedah yang dijangka mula beroperasi menjelang suku pertama tahun 2024.

Fasiliti berkeluasan 50,000 kaki persegi ini memiliki ruang yang bersaiz dua kali ganda lebih besar berbanding lokasi mereka yang sebelumnya dan akan direka suai berdasarkan konsep BMW Retail NEXT terkini. Ia beralamat di 218, Jalan Gangsa, Kawasan Perusahaan Mergong II, 05150, Alor Setar, Kedah.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia menyatakan, “Kami berasa amat teruja untuk mengalu-alukan pembangunan bilik pameran Lee Motors di Alor Setar, serta penyebarluasan rangkaian infrastruktur pengecasan kita melalui fasiliti-fasiliti BMW i Charging baharu yang telah didirikan di Kelab Kedah Diraja.

Pembangunan bilik pameran Lee Motors yang baharu dan bersaiz lebih besar juga merupakan bukti pertumbuhan pasaran yang kukuh bagi segmen premium di rantau ini. Sehubungan itu, kami yakin bahawa Lee Motors dapat membekalkan standard Pengalaman Pemilikan Premium yang tertinggi bagi para pelanggan kita di sini.”

Bilik pameran Lee Motors Auto Care yang baharu dapat mempamerkan sebanyak 16 buah kenderaan baharu dan terpakai daripada portfolio BMW dan BMW Premium Selection.

Ia juga menempatkan dua ruang penghantaran, lapan ruang kerja (berpotensi untuk ditingkatkan kepada 12 ruang pada masa akan datang) serta dua ruang untuk khidmat resepsi di kereta (RATC).

Dikuasakan oleh RExharge, fasiliti-fasiliti BMW i Charging baharu di Kelab Kedah Diraja kini dibuka untuk kegunaan awam. Ia menampilkan pengecas AC 11 kW berserta dua fasiliti pengecasan pantas DC, masing-masing membawakan output berjumlah 60 kW.

Kos pengecasan yang dibuat melalui pengecas pantas DC adalah berkadar RM 1.40 per minit, manakala kos pengecas AC pula berkadar RM 0.15 per minit, bersamaan dengan RM 9.00 sejam.

Tol percuma 20-21 Januari sempena Tahun Baharu Cina

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian bayaran tol di lebuh raya pada 20 dan 21 Januari ini bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina.

Bercakap dalam sidang akhbar hari ini, Anwar berkata perkara itu diputuskan selepas Menteri Pengangkutan dan Menteri Kerja Raya mengambil inisiatif berbincang dengan syarikat konsesi lebuhraya terlibat.

Menurut laporan, pengecualian ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM40 juta.

“Kami berharap dengan mengetepikan caj tol selama dua hari, ia akan membolehkan semua rakyat Malaysia menikmati perjalanan semasa Tahun Baharu Cina. Nasihat saya kepada pengguna jalan raya adalah supaya berhati-hati di jalan raya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet.

Kos operasi makin tinggi, Litar Antarabangsa Sepang mungkin akan naikkan kadar sewa

KADAR sewa Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mungkin akan dinaikkan bagi menampung kenaikan kos operasi dan penyelenggaran yang telah mengurangkan margin keuntungan litar itu, lapor New Straits Times.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman mendedahkan bahawa kadar baharu bagi sewaan litar itu berkemungkinan akan berkuat kuasa mulai pertengahan tahun ini.

“Pasukan SIC masih membuat semakan secara keseluruhan tetapi paling awal mungkin menjelang pertengahan tahun atau suku ketiga tahun ini, jika tidak tahun depan,” kata beliau.

Perlumbaan terakhir F1 di Sepang pada 2017. Gambar oleh: The Independent

Tambah Shafriman lagi, sudah 10 tahun kadar sewa litar Sepang tidak disemak. Kadar semasa adalah RM55,000 sehari untuk hari minggu dan RM65,000 untuk hujung minggu.

“Kos kami telah meningkat dua atau tiga kali ganda dan kami tidak dapat bertahan dengan kadar semasa kerana margin kami sangat tipis. Ini termasuk kos seperti logistik untuk membawa peralatan masuk dan keluar dari trek, kos pembersihan dan juga landskap.

“Kami berterima kasih kepada pelanggan sedia ada kami yang telah menyokong kami selama ini tetapi mereka perlu memahami bahawa semua orang telah terjejas dengan peningkatan kos,” katanya.

Menufut Shafriman, trek hampir ditempah sepenuhnya untuk sesi hujung minggu namun slot untuk hari minggu masih tersedia.

Antara acara besar yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang tahun ini termasuk Grand Prix MotoGP Malaysia Petronas, ujian musim sejuk MotoGP, Kejohanan Superbike Malaysia, Malaysia Championship Series dan Sepang 1000km.

MAN Malaysia serah trak dengan enjin Euro V kepada empat pelanggan baharu

Selepas menyerahkan 41 unit trak kepada FGV Transport Services Sdn Bhd pada bulan lalu, MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia) telah menerima empat pelanggan kali pertama di majlis penyerahan terbaru di Pelabuhan Klang baru-baru ini.

Artha Logistics Sdn Bhd, Mawar Movers Sdn Bhd, Transprompt Cargo Logistics Sdn Bhd dan Vertex Mission Sdn Bhd masing-masing menerima unit pertama mereka manakala Timur Permai Haulage Sdn Bhd menyempurnakan penerimaan unit kedua MAN TGS baharunya dengan enjin pelepasan rendah Euro V.

Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O’Brooks mengucapkan terima kasih kepada pelanggan atas keputusan bijak mereka dalam mengembangkan kumpulan kenderaan mereka dengan trak MAN.

“Kami gembira melihat semakin banyak syarikat pengangkutan di Malaysia memainkan peranan mereka dalam mengurangkan jejak karbon kumpulan kenderaan masing-masing dengan Trak MAN dengan pelepasan yang lebih rendah.

Tahun 2022 merupakan tahun pertumbuhan yang menakjubkan bagi kami dan dengan peningkatan sokongan daripada pemain industri, kami menantikan tahun yang lebih menarik di hadapan,” kata beliau.

O’Brooks menambah bahawa MAN Malaysia telah bersedia untuk memenuhi permintaan kumpulan pelanggan yang semakin meningkat di negara ini.

Selepas hampir tiga dekad di Rawang, syarikat telah memindahkan ibu pejabatnya ke kemudahan bersepadu yang moden dan luas di Shah Alam. Kemudahan ini akan menempatkan keseluruhan operasi syarikat, termasuk pemasangan kenderaan, di bawah satu bumbung.

Pengarah Urusan Vertex Mission Soo Chee Yeong berkata pendekatan inovatif MAN Malaysia termasuk mengatur pandu uji dan lawatan ke ibu pejabat dan kilang pemasangannya adalah penting dalam meyakinkan syarikatnya untuk melabur dalam Trak MAN buat kali pertama.

“MAN Malaysia jelas memahami cabaran yang dihadapi oleh industri pengangkutan. Mereka secara proaktif menghubungi syarikat pengangkutan seperti kami dan menawarkan produk cemerlang yang dibangunkan semula sepenuhnya untuk membantu perniagaan mencapai matlamat keuntungan dan kemampanan,” beliau berkata.

BMW M2 (G87) dah masuk pasaran Malaysia – harga dari RM598,800, siap ada Pro Package

HANYA beberapa bulan selepas ia diperkenalkan di peringkat global, BMW M2 serba baharu akhirnya dilancarkan di pasaran Malaysia.

Menurut BMW Malaysia, model generasi G87 itu kini boleh ditempah secara dalam talian pada harga bermula dari RM598,800 untuk versi standard dan RM642,800 bagi versi Pro Package.

Tidak seperti M3 dan M4 yang mendapat gril besar, M2 masih memakai gril ‘kidney’ bersaiz biasa cuma ia telah direka semula dan mempunyai bilah-bilah mendatar. Bahagian bampar pula menampilkan apron dan salur masuk udara berbentuk segi empat bagi membantu penyejukan enjin dan brek.

Selain itu, M2 didatangkan dengan lampu LED adaptif, sayap depan yang diperbuat daripada aluminium dan ‘kubah kuasa’ (power dome) pada bonet. Gerbang roda yang lebar diisi dengan roda aloi dwiwarna 930 M berukuran 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang.

Di belakang pula terdapat bibir spoiler yang meningkatkan ‘downforce’ serta ‘diffuser’ yang menempatkan paip ekzos berkembar.

Dari segi dimensi, M2 mempunyai ukuran panjang 4,580 mm, lebar 1,877 mm dan tinggi 1,403 mm, bermakna ia 119 mm lebih panjang, 33 mm lebih lebar dan 11 mm lebih rendah berbanding model generasi sebelum ini. Ukuran jarak roda pula bertambah sebanyak 54 mm kepada 2,747 mm.

Ruang kokpitnya pula menampilkan BMW Curved Display yang merangkumi paparan kawalan 14.9 inci dan panel instrumen digital 12.3 inci. Ia mempunyai paparan spesifik M yang memuatkan BMW M iDrive generasi terkini.

Turut disertakan adalah kerusi M Sport, logo M yang bercahaya pada penyandar kepala tempat duduk hadapan, stereng M dengan balutan kulit, pedal penukar gear, butang mod M berwarna merah dan ‘head-up display’.

M2 dikuasakan oleh enjin TwinPower Turbo 3.0 liter enam silinder sebaris yang mampu menghasilkan 453 hp dan 550 Nm. Dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan, jentera pacuan roda belakang ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Jika ini tidak mencukupi, pelanggan boleh mendapatkan M Driver’s Package yang akan meningkatkan kelajuan maksimum kepada 285 km/j. Pakej ini boleh dipasang di mana-mana wakil pengedar BMW di seluruh negara.

Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh mendapatkan Pro Package yang membawakan penambahan seperti berikut:

  • sistem brek M Compound dengan angkup merah
  • roda aloi berwarna hitam
  • pakej M High-gloss Shadowline dengan konten lanjutan
  • M Lights Shadowline
  • bumbung karbon
  • tali pinggang keledar M
  • trim gentian karbon
  • sistem audio Harman Kardon
BMW M2 dengan Pro Package

Pilihan warna luaran bagi M2 dan M2 Pro Package terdiri daripada Zandvoort Blue, Alpine White, Brooklyn Grey, Black Sapphire dan Toronto Red.

Untuk bahagian dalaman pula, pelanggan boleh mendapatkan Leather Vernasca berwarna hitam, Leather Vernasca hitam dengan sulaman biru dan Leather Vernasca berwarna cognac dengan sulaman dekor.

Had laju Jalan Persekutuan dikurangkan 10 km/j sehingga 27 Januari

Bermula 18 hingga 27 Januari ini, had laju di Jalan Persekutuan di seluruh negara akan dikurangkan daripada 90 km/j kepada 80 km/j sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi, perwartaan pengurangan had laju sementara itu adalah antara langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil kerajaan bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang kerap berlaku di musim perayaan.

“Justeru itu, Kementerian Kerja Raya turut bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah-langkah awal mengadakan program pemantauan jalan raya secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan di kawasan Rehat & Rawat Dengkil (Arah Utara).

 

AFP PHOTO / Jimin LAI

Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan bermula dari 18 hingga 28 Januari ini dengan melibatkan pelbagai agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Ia termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ); Jabatan Kerja Raja (JKR); Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM); dan PLUS Malaysia.

Tambah beliau lagi, KKR melalui JKR juga akan sentiasa memantau lokasi ‘blackspots’ yang dikenal pasti bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

Setakat ini, sebanyak 76 lokasi kerap berlaku kemalangan dikenal pasti sepanjang tahun ini. Sebanyak 53 lokasi ‘blackspots’ melibatkan Jalan-jalan Persekutuan di seluruh negara juga telah dibaiki pada tahun lalu dengan kos berjumlah RM17.2 juta.

Edaran Tan Chong tawar penjimatan sehingga RM9,950 sempena Tahun Baru Cina

BERSEMPENA dengan sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengumumkan promosi “The Most Exciting Ang Pao Yet!” di mana pelanggan yang membeli Nissan Serena, Navara, X-Trail dan Almera berpeluang menikmati penjimatan sehingga RM9,950.

Bermula dari 1 hingga 31 Januari 2023, promosi ini juga termasuk tambahan pakej aksesori kustom bernilai RM1,000 bagi model-model berikut:

  • Navara 2.5L Turbo VL – Pakej Perlindungan (jimat sehingga RM9,950)
  • Almera 1.0L Turbo VL – Pakej Aero Tomei (jimat sehingga RM7,000)
  • Serena 2.0L Highway Star – Kerusi leatherette dan filem penapis Ice Cool (jimat sehingga RM4,600)
  • X-Trail 2.0L Standard – IMPUL Aerokit (jimat sehingga RM4,600)

Bermula 1 Januari hingga 28 Februari 2023, pelanggan yang menghantar kereta mereka ke mana-mana cawangan Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn. Bhd. (TCEAS) atau wakil pengedar Nissan berpeluang untuk membawa pulang hadiah bernilai sehingga RM388,000.

Pelanggan hanya perlu berbelanja minimum RM388 dalam satu bil untuk melayakkan diri memenangi baucar tunai bernilai RM8, RM18, RM88, RM188, RM288 atau RM888 dalam cabutan bertuah.

Mereka yang aktif dalam media sosial pula berpeluang untuk memenangi baucar Watsons menerusi peraduan “Count & Hop Into Prosperity” sepanjang bulan Januari. Peraduan ini diadakan di laman Facebook dan Instagram Nissan Malaysia dan terbuka kepada orang ramai tanpa perlu membuat sebarang pembelian.

Bukan itu sahaja, mereka yang memandu uji model-model yang terpilih di semua bilik pameran Nissan juga akan mendapat baucar Watson bernilai RM20.

Pekerja rajin terima hadiah sebuah Proton Saga dari majikan

SEORANG majikan menghadiahkan seorang pekerja asingnya yang berbangsa Indonesia sebuah Proton Saga sebagai tanda penghargaan atas kegigihannya.

Menerusi satu video Tiktok yang dimuat naik oleh seorang perunding jualan Proton menerusi akaun @viviproton, pekerja berkenaan dilihat tiba ke bilik pameran bersama majikannya.

@viviproton 很有福气的一位员工 老板送大礼给他作为奖励🎁🎁 顾客说 这是他一位很好地员工 👍#viviproton #汽车销售顾问 #congratulations #proton #sales #advisor #johor #送员工的礼物 ♬ 原聲 – Hs Vivi Proton

Beliau kemudiannya menunjukkan reaksi teruja dan terharu sebaik sahaja menyedari kereta yang dihiasi dengan reben merah itu adalah pemberian daripada majikannya. Beliau juga dirakam memeluk kereta baharunya itu dan menghidupkan enjin sambil tersenyum lebar.

Menurut laporan, Xu Hui Xing merupakan seorang majikan di sebuah syarikat pengeluar pakaian di Pontian, Johor, manakala Yanto merupakan kakitangannya yang telah berkhidmat di syarikat itu selama 10 tahun.

Berdasarkan video Tiktok itu, Xu dikatakan telah menghubungi perunding jualan tersebut untuk bertanya jika mereka mempunyai stok Saga yang tersedia kerana beliau mahu menghadiahkannya kepada seorang pekerjanya.

Xu berkata bahawa Yanto merupakan seorang pekerja yang sangat rajin dan beliau memutuskan untuk menghadiahkan sebuah kereta sebagai ganjaran.

Sementara itu, China Press berkata Xu telah membuat pembayaran penuh untuk Saga berkenaan dan mendaftarkannya di bawah nama Yanto memandangkan pekerja asing tidak dibenarkan untuk membuat pinjaman sewa beli kenderaan di Malaysia.

Peugeot Landtrek sah akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi

BERITA gembira untuk mereka yang menantikan Peugeot Landtrek. Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd, selaku pengedar rasmi jenama itu di Malaysia, mengesahkan bahawa trak pikap berkenaan akan tiba di pasaran tidak lama lagi.

Ini bakal menjadikan Malaysia negara pertama di Asia Pasifik yang menerima ketibaan model itu. Landtrek sebenarnya versi rebadge Kaicheng F70 yang dibangunkan secara bersama oleh Changan Automobile dan Kumpulan PSA.

Namun anda mungkin tidak perasan kerana Landtrek dengan gril menegak dengan logo singa Peugeot, dan lampu LED yang dicantikkan lagi dengan lampu nyalaan siang LED signatur.

Ruang dalaman menampilkan beberapa ciri unik jenama Perancis itu seperti stereng bersaiz kompak, suis ala kekunci piano dan skrin HD berukuran 10 inci di atas papan pemuka yang turut terdapat pada Peugeot 508.

Untuk pasaran Malaysia, Landtrek didatangkan dalam bentuk Double Cab dengan kapasiti lima penumpang dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat.

‘Nadi’ trak pikap ini berupa enjin turbodiesel 1.9 liter yang menghasilkan 150 hp dan 350 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan dan sistem pacuan empat roda berserta differential gandar belakang.

Setakat ini masih belum ada tarikh sebenar pelancaran Peugeot Landtrek namun ia kini dibuka untuk tempahan dengan harga anggaran RM123,000.