All posts by Amirul Mukminin

Apa yang anda perlu tahu tentang titik buta

Apakah itu titik buta

Semasa memandu di jalan raya, anda sepatutnya boleh melihat dengan jelas bahagian hadapan, sisi serta belakang kenderaan.

Tetapi tahukah anda, terdapat kawasan-kawasan tertentu di sekeliling kenderaan anda yang tersembunyi dari sudut pandangan anda dan tidak boleh dilihat menerusi cermin. Kawasan ini dikenali sebagai titik buta.

Di manakah titik buta?

Setiap kenderaan mempunyai titik buta namun saiznya berbeza mengikut jenis kenderaan. Kenderaan yang lebih besar seperti trak, lori dan bas lazimnya mempunyai kawasan titik buta yang lebih besar berbanding kenderaan kecil seperti sedan dan hatchback.

Lazimnya, titik buta terletak di belakang cermin sisi dan bersebelahan dengan pintu depan dan belakang kenderaan.

Imej: GoodCar

Kenapa titik buta bahaya?

Seperti namanya, titik buta menghalang anda daripada melihat kenderaan dan pengguna jalan raya yang lain. Ini sudah tentu sangat berbahaya dan meningkatkan risiko kemalangan terutamanya jika anda menukar lorong tanpa memeriksa titik buta terlebih dahulu.

Bagaimana cara mengelakkan titik buta?

Secara asasnya, anda tidak akan dapat menghapuskan titik buta melainkan anda makhluk asing yang mempunyai sepasang lagi mata di belakang kepala anda.

Dalam erti kata lain, titik buta akan sentiasa anda tetapi sebagai pemandu, anda boleh mengurangkannya dengan mengikuti langkah-langkah berikut:

  1. Pastikan cermin pandang belakang dan cermin sisi berada dalam posisi yang betul.

Ketika mengubah suai cermin, pastikan anda duduk dalam keadaan normal di tempat duduk pemandu. Cermin pandang belakang sepatutnya menampakkan keseluruhan bahagian belakang, manakala cermin sisi pula menampakkan sebahagian kecil bahagian sisi kereta anda.

  1. Gunakan teknik SMOG ketika hendak menukar lorong.

S untuk signal – gunakan lampu isyarat semasa hendak menukar lorong
M untuk mirrors – periksa cermin sisi dan cermin pandang belakang
O untuk over your shoulder – toleh di sebalik bahu
G untuk go – tukar lorong sekiranya keadaan selamat

  1. Dapatkan aksesori tambahan

Anda boleh dapatkan cermin titik buta (biasanya kecil dan berbentuk bulat) untuk dilekatkan pada cermin sisi kereta anda. Jika anda mempunyai bajet lebih, anda juga boleh dapatkan sistem pemantauan titik buta sekiranya kereta anda tidak mempunyai ciri tersebut.

 

MODA Sporter-S adalah skuter maxi jenama tempatan – RM17,888

Mdua Motor Sdn. Bhd., anak syarikat kepada AFY Mobility Industries (AMI) hari ini telah melancarkan sebuah jenama motosikal tempatan baharu yang dikenali sebagai MODA.

Produk pertama MODA yang dilancarkan ke pasaran tempatan merupakan skuter maxi Sporter-S yang berharga RM17,888.

Boleh didapati dalam warna Sporty Red dan Meteor Grey, Sporter-S dikuasakan oleh enjin silinder tunggal bersesaran 250 cc dengan teknologi suntikan bahan api elektronik (EFI) Bosch.

Hasilnya, enjin tersebut mampu menghasilkan 24.8 hp pada 8,500 rpm dan 22.5 Nm pada 6,500 rpm, serta mematuhi piawaian emisi Euro 4.

Skuter ini mempunyai jarak roda berukuran 1,538 mm dan jarak lega tanah 165 mm, manakala beratnya adalah 186 kg. Bahan api disimpan di dalam tangki berkapasiti 13 liter.

Dari segi kelengkapan, Sporter-S didatangkan dengan lampu LED pada bahagian depan dan belakang, penghadang angin boleh laras, cermin sisi boleh lipat dan ruang simpanan bawah tempat duduk sebesar 10 liter.

Selain itu, terdapat paparan warna TFT berukuran 6.2 inci dengan sambungan Bluetooth dan aplikasi Carbit Ride, port pengecas USB dan sistem Keyless Smart Key.

Untuk suspensi, Sporter-S menggunakan fork terbalik (USD) di depan. dan penyerap hentak berkembar di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada brek cakera berkembar berukuran 260 mm di depan, brek cakera tunggal 240 mm di belakang.

Turut disertakan adalah ABS dwi saluran dan Traction Control System (TCS) yang memastikan kestabilan semasa membelok.

BYD jual 4.27 juta kenderaan pada 2024, naik 41.3% berbanding 2023

BYD menutup tirai 2024 dengan cemerlang apabila ia buat pertama kalinya berjaya menjual lebih 4 juta unit kenderaan dalam tempoh setahun.

Menurut syarikat itu, sebanyak 514,809 unit kenderaan tenaga baharu (NEV) dijual pada Disember lalu, menjadikan jumlah jualan terkumpul bagi tahun 2024 mencecah 4,272,145 unit, naik 41.3% berbanding 3 juta unit yang direkodkan pada 2023.

Daripada jumlah tersebut, 1,764,992 unit merupakan kenderaan elektrik bateri (BEV) penumpang, 2,485,378 unit merupakan kenderaan plug-in hybrid (PHEV), manakala selebihnya iaitu 21,775 unit adalah kenderaan komersial.

Jika dibandingkan dengan prestasi 2023, jualan BEV bagi 2024 meningkat 12% dari 1.6 juta unit, manakala jualan PHEV naik 72.8% dari 1.4 juta. BEV mewakili 41.5% daripada jumlah jualan keseluruhan BYD tahun lalu, manakala PHEV mewakili 58.5%.

Pasaran eksport BYD turut menyaksikan pertumbuhan menggalakkan dengan 57,154 unit dijual pada Disember, naik 58% berbanding bulan sama tahun sebelumnya. Ini melonjakkan jumlah keseluruhan kenderaan dieksport bagi tahun 2024 kepada 417,204 unit, iaitu 71.9% lebih tinggi berbanding 2023.

Selain menghasilkan kenderaan, BYD juga merupakan pembekal bateri kedua terbesar di China. Antara pelanggan BYD termasuk nama-nama besar seperti Tesla, Toyota dan Nio.

Secara keseluruhan, syarikat itu memasang 23.5 GWh kapasiti bateri pada Disember (32% lebih tinggi berbanding 2023) atau 194.7 GWh sepanjang 2024 (naik 29% berbanding 2023). Ini termasuk bateri yang dipasang pada EV dan unit storan tenaga pegun.

Percubaan penggunaan kod QR di T1, T2 KLIA bermula bulan ini

Percubaan penggunaan kod Respons Pantas (QR) khusus untuk rakyat Malaysia akan dilaksanakan bermula bulan ini bagi melancarkan sistem pelepasan imigresen khusus di 40 lorong khas Terminal 1 (T1) dan T2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, penggunaan kod QR di kawasan ketibaan serta pelepasan T1 dan T2 itu adalah langkah penyelesaian terhadap isu kesesakan yang sering berlaku di pintu masuk negara termasuk di KLIA terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.

Antara kelebihan penggunaan kod QR adalah tempoh pelepasan imigresen yang singkat iaitu antara lima hingga tujuh saat berbanding 15 hingga 25 saat menggunakan pintu automatik konvensional.

Selain itu, kod QR juga dapat meningkatkan aspek keselamatan dan kecekapan perkhidmatan menerusi penggunaan teknologi terkini serta mengurangkan ketirisan.

“Melalui sistem kod QR ini, pengembara tidak perlu lagi mengeluarkan pasport semasa pelepasan imigresen, namun mereka diwajibkan untuk sentiasa membawa pasport sepanjang perjalanan,” katanya.

Saifuddin berkata walaupun pelepasan imigresen kini dilaksanakan menggunakan kod QR, namun kemudahan kaunter manual dan sistem pagar automatik konvensional akan terus tersedia serta masih boleh digunakan seperti biasa.

Pada Disember lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dilaporkan berkata kerajaan sedang mempertimbangkan penggunaan sistem baharu berasaskan kod QR bertujuan mempercepat proses pemeriksaan di kaunter imigresen, khususnya di KLIA sebagai usaha mengurangkan kesesakan.

Sistem itu akan membolehkan pengembara mengimbas kod QR yang mengandungi maklumat peribadi dan butiran perjalanan mereka.

Tesla Cybertruck meletup di hadapan hotel Trump di Las Vegas

Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan tujuh lagi cedera apabila sebuah Tesla Cybertruck tiba-tiba meletup di luar Trump International Hotel di Las Vegas, Nevada.

Menurut laporan, letupan itu berlaku sejurus selepas trak pikap elektrik itu diparkir di hadapan lobi hotel tersebut pada pagi Rabu.

Polis berkata kejadian itu menyebabkan seorang yang berada di dalam trak itu maut manakala tujuh lagi cedera.

Setakat ini punca letupan masih belum diketahui dan polis masih menyiasat sama ada ia berpunca daripada trak itu sendiri atau pun faktor luaran.

Bagaimanapun, terdapat laporan yang mengatakan bahawa Cybertruck itu sedang membawa mercun ketika letupan itu terjadi. Laporan tersebut berkata penyiasat sedang berusaha mendapatkan motif dan sama ada letupan itu disengajakan atau pun tidak.

Susulan kejadian, semua tetamu yang menginap di Trump International Hotel telah dipindahkan ke Resorts World Las Vegas.

Sementara itu, dalam ciapannya di X, CEO Tesla Elon Musk berkata,”Seluruh pasukan senior Tesla sedang menyiasat perkara ini sekarang. Kami akan menyiarkan maklumat lanjut sebaik sahaja kami mengetahui punca. Kami tidak pernah melihat perkara seperti ini.”

JPJ Perak kutip RM2.36 juta hasil bidaan nombor pendaftaran ‘ANU’

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak berkata ia mengutip hasil sebanyak RM2.36 juta bagi nombor pendaftaran kenderaan siri ‘ANU’ sepanjang lima hari dibuka untuk bidaan.

Menurut Pengarahnya Mohammad Yusoff Abustan, bidaan dibuka melalui sistem JPJeBID bermula 19 hingga 23 Disember lepas menerusi notis awam yang dikeluarkan.

“Sepanjang tempoh lima hari itu juga merekodkan lebih 1,768 pembida daripada 1.99 juta pembida berdaftar seluruh negara. Harga bidaan tertinggi ialah RM269,000 untuk ‘ANU 1’,” katanya.

Tambah beliau, baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada orang awam mengikut harga minimum ditetapkan.

Setakat ini, katanya nombor plat ‘AMG’ khusus kepada peminat kereta Mercedes-Benz AMG masih berada di kedudukan pertama jualan plat JPJ Perak.

“Sebelum ini ‘AMG’ mencatatkan jualan keseluruhan lebih daripada RM6 juta dan ke atas dan masih memegang rekod tertinggi nombor popular dibida,” katanya.

Kereta mampu milik, jimat bahan api jadi sasaran pembeli pada 2025

Jumlah keseluruhan industri (TIV) pasaran automotif Malaysia dijangka mencecah paras 805,000 unit pada 2025, sedikit peningkatan daripada anggaran 800,000 unit pada tahun ini.

Menurut penganalisis Kenanga Investment Bank Bhd, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz, jangkaan itu disokong oleh beberapa faktor utama termasuk dorongan dari segi jumlah segmen mampu milik seperti baki pesanan sihat kenderaan Perodua yang kekal melebihi 90,000 unit.

Selain itu, pelancaran baharu yang menarik, serta trend peralihan ke model lebih murah oleh pembeli segmen pertengahan terutamanya ke arah kenderaan yang cekap bahan api seperti kereta hibrid, kenderaan elektrik bateri (BEV) dan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Selain itu, peningkatan bahagian pasaran kenderaan jenama China melalui program pemindahan pengeluaran tempatan, seperti jenama Jaecoo dan Chery dari kilang pemasangan Chery di Shah Alam, serta jenama GWM dan BAIC dari kilang pemasangan EP Manufacturing Bhd (EPMB) di Melaka turut menjadi penyumbang.

Wan Mustaqim berkata, permintaan terhadap pasaran kereta dalam segmen mampu milik adalah seperti biasa kerana pelanggan sasarannya, iaitu kumpulan B40 dan lapisan bawah kumpulan M40, tidak akan terkesan dengan rasionalisasi subsidi bahan api yang bakal dilaksanakan, selain berpotensi mendapat manfaat daripada pengenalan model gaji progresif.

Menurutnya, Kenanga Investment Bank juga menjangkakan penangguhan sekali lagi peraturan duti eksais baharu, yang boleh menyebabkan harga kenderaan yang dipasang secara tempatan (CKD) meningkat sebanyak lapan hingga 20%.

Katanya, pengumuman rasmi mengenai penangguhan mungkin akan dibuat bagi mengelakkan kenaikan mendadak inflasi, memandangkan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 dijangka dilaksana pada Jun 2025.

Suzuki Swift 2024 hanya terima satu bintang dalam ujian ANCAP

Di Eropah, Suzuki Swift model tahun 2024 mendapat penarafan tiga bintang dari Program Penilaian Kereta Baharu Eropah (Euro NCAP).

Namun lain pula ceritanya di Australia apabila hatchback itu diberikan penarafan satu bintang sahaja dari Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP) selepas prestasi buruk dalam ujian pelanggaran yang dijalankan oleh badan itu.

Swift generasi keempat itu mendapat 47% dalam kategori Perlindungan Penumpang Dewasa, 59% dalam Perlindungan Penumpang Kanak-kanak, 76% dalam Perlindungan Pengguna Jalan Raya dan 54% dalam Bantuan Keselamatan.

Menurut ANCAP, Suzuki Australia sebelum ini telah menyatakan bahawa Swift yang dijual di Australia dan New Zealand berbeza secara fizikal dengan unit pasaran Eropah.

“Berbanding dengan penarafan tiga bintang yang dicapai oleh Swift yang dijual di Eropah, unit yang dijual di Australia dan New Zealand menunjukkan prestasi yang berbeza apabila diuji.

“Reka bentuk beberapa elemen struktur dan sekatan dalam Swift yang dijual dalam pasaran tempatan nampaknya tidak mempunyai keteguhan yang membawa kepada variasi dalam prestasi kemalangan,” kata Carla Hoorweg, ketua pegawai eksekutif ANCAP.

Laporan ANCAP berkata bahawa perbezaan prestasi antara Swift Australia/NZ dan Eropah boleh dilihat dalam ujian pelanggaran offset hadapan dan full-width.

Ujian pelanggaran offset hadapan menunjukkan terdapat beban dada dan risiko kecederaan kaki yang lebih tinggi kepada pemandu, manakala dalam ujian pelanggaran full-width pula, ukuran mampatan dada penumpang belakang jauh lebih tinggi dan melebihi had yang dibenarkan.

Oleh itu, Swift diberikan penilaian Lemah (Poor) dan markah sifar untuk perlindungan dada, iaitu bahagian badan yang kritikal.

Selain itu, penilaian Lemah juga dicatatkan untuk kepala dan dada patung kanak-kanak dalam senario ujian pelanggaran hadapan (head-on) dan sisi. ANCAP berkata 59% untuk Perlindungan Penumpang Kanak-kanak adalah markah yang paling rendah setakat ini.

Swift merupakan model terbaru yang memasuki pasaran Australasian yang mempunyai penarafan keselamatan yang berbeza dengan model pasaran Eropah, selepas Honda Civic, CR-V dan ZR-V.

Radar King Kong adalah trak pikap EV dari Geely, harga dari RM60k

Radar Auto, satu lagi jenama yang bernaung di bawah Geely, telah melancarkan trak pikap elektrik yang dikenali sebagai King Kong di China.

Menggantikan model terdahulu iaitu RD6, Radar King Kong ditawarkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar belakang dan motor elektrik berkembar untuk pacuan empat roda (4WD).

Versi motor tunggal mempunyai 245 PS dan 309 Nm yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.1 saat. Ia boleh didapati dengan bateri LFP berkapasiti 42 kWj, 55 kWj, 73 kWj dan 86 kWj, dengan jarak pandu CLTC dari 310 km hingga 605 km.

Sementara itu, versi motor elektrik berkembar pula menghasilkan kuasa sebanyak 381 PS dan 485 Nm, dan boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 5.7 saat. Terdapat tiga pilihan pek bateri iaitu 55 kWj, 73 kWj dan 86 kWj, dengan jarak dari 330 km hingga 520 km.

Selain konfigurasi motor elektrik dan pilihan pek bateri yang pelbagai, King Kong menunjukkan versatilitinya dengan menawarkan jarak roda standard dan panjang.

Versi jarak roda standard mempunyai ukuran panjang 5,260 mm, lebar 1,900 mm dan tinggi 1,865 mm dengan jarak roda 3,120 mm. Versi jarak roda panjang pula berukuran 5,500 mm panjang dan jarak roda 3,310 mm.

Dari segi reka bentuk, King Kong kelihatan tidak terlalu jauh berbeza dengan RD6 dan masih mengekalkan penggayaan luaran dan dalaman yang diinspirasikan daripada Geely Haoyue iaitu kembar kepada Proton X90.

Di China, King Kong boleh didapati dalam tujuh tahap trim iaitu empat untuk versi motor tunggal dan tiga untuk 4WD.

Versi motor tunggal dijual pada harga antara 99,800 hingga 149,800 yuan (RM60,982-RM91,525), manakala versi 4WD pula berharga dari 119,800 hingga 159,800 yuan (RM73,196-RM97,635).

Sebagai perbandingan, harga RD6 sebelum ini bermula dari 136,800 hingga 209,800 yuan (RM83,590-RM128,196).

Prototaip kereta api CR450 dari China Railway boleh capai kelajuan 450 km/j

China State Railway Group (China Railway) telah mendedahkan rekaan prototaip kereta api peluru komersial generasi seterusnya, yang mana menurut syarikat itu bakal menjadi kereta api terpantas di dunia.

Kereta api yang dikenali sebagai CR450 itu dikatakan mampu beroperasi pada kelajuan 400 km/j namun boleh mencapai kelajuan maksimum 450 km/j.

China Railway berkata, pendedahan prototaip itu merupakan kejayaan terkini dalam projek CR450 yang dilancarkan pada 2021 bagi membangunkan kereta api yang “lebih selamat, lebih mesra alam, lebih cekap tenaga dan lebih pintar.”

 

Kereta api baharu ini bakal menggantikan CR400 dalam siri kereta api laju Fuxing yang mampu beroperasi pada kelajuan 350 km/j.

Jika CR450 mula beroperasi seperti yang dijangkakan, ia boleh memendekkan masa perjalanan antara Beijing dan Shanghai dari empat jam setengah kepada tiga jam 18 minit.

Menurut laporan media tempatan, kereta api CR450 mempunyai berat keseluruhan sekitar 10 tan, menjadikan ia 10% lebih ringan berbanding kereta api terdahulu.

Penunjuk rintangan operasi dan penggunaan tenaga masing-masing telah dikurangkan sekitar 20%, manakala prestasi brek juga meningkat kira-kira 20%.

Langkah seterusnya adalah meletakkan prototaip itu dalam satu siri ujian dan penilaian untuk menilai prestasinya.

China Railway tidak menyatakan tarikh CR450 boleh mula beroperasi namun menurut laporan-laporan terdahulu, ia mungkin berlaku seawal awal tahun depan.

Satu jalan utama di Bukit Bintang mungkin ditutup, bantu kurangkan kesesakan trafik

Pihak berkuasa sedang mempertimbangkan cadangan untuk menutup satu laluan utama di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur bagi melancarkan aliran trafik di lokasi tumpuan ramai itu.

Ia susulan jumlah kenderaan yang tinggi menggunakan jalan terbabit sehingga menyebabkan kesesakan ketika waktu puncak.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, perbincangan dan kajian lanjut bersama pihak berkaitan akan diadakan berhubung cadangan penutupan dan lencongan bagi mengurangkan kesesakan.

Namun ia perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk kemudahan tempat letak kenderaan, selain kedudukan hotel dan kediaman di sekitar kawasan itu.

“Dilencongkan bagi kita menutup terus kenderaan bagi memasuki kawasan ini, kita nak jadikan sebagai tempat pejalan kaki.

“Jadi saya rasa kalau kita buat ini dengan penerangan yang jelas sampai maklumat ini kepada orang ramai, kepada pihak berkenaan, saya rasa cadangan ini boleh dipertimbangkan. Kita boleh cuba dulu,” katanya kepada Buletin TV3.

Polis juga akan meningkatkan pemasangan dan keupayaan penggunaan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di Bukit Bintang bagi pemantauan serta pelaksanaan tindakan undang-undang tanpa kehadiran pihak berkuasa.

Tambah Datuk Rusdi lagi, terdapat pelbagai punca yang menyumbang kepada kesesakan itu. Antaranya adalah sikap pemandu yang memberhentikan kenderaan atau meletaknya sesuka hati hingga menghalang lalu lintas dan pejalan kaki.

Selain itu, pemandu teksi dan e-hailing yang berhenti mengambil dan menurunkan penumpang, serta persembahan muzik jalanan yang menarik perhatian ramai turut menjadi faktor penyumbang.

Mazda MX-5 35th Anniversary Edition, hanya 1,000 unit dihasilkan untuk Jepun

Mazda MX-5, yang juga dikenali sebagai Roadster atau Miata, tidak syak lagi merupakan antara kereta paling ikonik dalam dunia automotif dengan lebih 1.2 juta unit terjual sejak diperkenalkan buat pertama kali pada 1989.

Bagi meraikan ulang tahunnya yang ke-35, Mazda akan menawarkan model edisi terhad yang dikenali sebagai MX-5 35th Anniversary Edition.

Menurut Mazda, hanya 1,000 unit akan dihasilkan dan semuanya akan dijual di Jepun bermula Februari 2025. Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan versi soft top atau hard top RF.

Apa yang menjadikan model ulang tahun ini lebih istimewa berbanding versi standard?

Untuk bahagian luaran, MX-5 35th Anniversary Edition tampil dalam warna Artisan Red Premium Metallic yang diaplikasikan menggunakan teknologi ‘Takuminuri’ bagi menonjolkan lagi garisan-garisan dan lengkungan badan MX-5.

Selain itu, ia didatangkan dengan bumbung berwarna beige, rim aloi 17 inci dan lencana ’35th Anniversary’ lengkap dengan nombor siri pengeluaran yang diletakkan berdekatan dengan tayar belakang.

Di dalam, terdapat upholsteri kulit Nappa berwarna tan yang dipadankan dengan karpet beige, serta cetakan timbul logo ’35th Anniversary’ pada perehat kepala.

Tiada sebarang perubahan dari segi mekanikal. Versi soft top menampilkan enjin 1.5-liter empat silinder yang menghasilkan 136 PS dan 152 Nm, dan transmisi manual enam kelajuan.

Sementara itu, versi RF pula dikuasakan oleh enjin 2.0-liter empat silinder dengan 184 PS dan 205 Nm, dan boleh didapati dengan transmisi manual atau automatik.

Harga jualan bermula dari 3,753,200 yen (RM106,402) untuk versi soft top, 4,354,900 yen (RM123,460) untuk RF manual dan 4,382,400 yen (RM124,240) untuk RF automatik.

850i E31 kuning berharga RM85k ini adalah mimpi ngeri peminat BMW

Golongan purist, alihkan pandangan anda sekarang kerana kami akan menunjukkan sebuah BMW 8 Series (E31) yang boleh mendatangkan kemurungan dan membuatkan anda tidak dapat tidur malam.

Ya, objek berwarna kuning radioaktif dengan empat roda dan kit badan yang cukup hodoh ini adalah sebuah 850i Coupe keluaran tahun 1990. Dan percaya atau tidak, ia boleh menjadi milik anda pada harga £14,995 (RM84,715) sahaja.

Walau bagaimanapun, laman web Signature Motor Company, di mana kereta ini diiklankan, tidak menyatakan sebarang perincian penting mengenai kereta ini seperti sejarah pemilikan mahu pun perbatuannya.

Menurut syarikat itu, ia merupakan 850i standard yang menampilkan enjin 5.0-liter V12 yang mampu menghasilkan 296 hp. Dikeluarkan dari 1990 hingga 1994, 850i ditawarkan dengan pilihan transmisi automatik empat kelajuan dan manual enam kelajuan. Unit ini adalah versi manual.

Tidak dinafikan lagi, enjin V12 dan transmisi manual adalah gandingan yang cukup menggoda bagi mana-mana peminat kenderaan namun untuk unit ini, kit badannya terlalu buruk dan boleh merosakkan penglihatan sesiapa sahaja yang melihatnya.

Ini kerana rekaan bampar depan dan belakang, serta skirting sisi terlalu bersegi dan mempunyai terlalu banyak lubang. Menjadikan keadaan lebih buruk adalah spoiler belakang yang gedabak dan rim krom yang langsung tidak sepadan dengan bentuk kereta ini.

Nasib baiklah kereta ini masih boleh dikenal pasti menerusi gril kidney dan lampu pop-up pada bahagian depan. Dari belakang, anda pasti tidak dapat cam ini E31 kerana lampu asalnya telah digantikan dengan enam lampu berbentuk bulat yang dibeli dari kedai aksesori murahan.

Seperti yang dijangka, ruang dalamannya telah ‘dinodai’ dengan upholsteri kulit palsu berwarna hitam dan kuning, serta stereng dan tombol gear aftermarket. Sesiapa yang membeli kereta ini nampaknya perlu berbelanja besar untuk mengembalikannya kepada keadaan asal.

Sime Motors perkukuh sokongan selepas jualan BYD, kini ada 21 pusat servis

Sime Motors terus memperluaskan jaringan jenama BYD di negara ini sebagai sebahagian daripada usahanya untuk memenuhi permintaan EV yang semakin meningkat.

Menurut syarikat itu, BYD kini mempunyai 21 pusat servis di seluruh negara, dengan fokus untuk memberikan akses mudah kepada pelanggan di kawasan-kawasan seperti Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor Bahru, Pantai Timur, Sarawak dan Sabah.

17 daripada 21 pusat servis BYD di Semenanjung dan Malaysia Timur mempunyai pusat badan dan cat (B&P) yang menyediakan perkhidmatan pembaikan badan menggunakan peralatan terkini. Ia disokong oleh juruteknik terlatih bagi memastikan setiap kerja pembaikan mematuhi piawaian asal pengeluar.

Kenderaan pelanggan diselenggara oleh pasukan juruteknik voltan tinggi (HV) BYD yang menjalani latihan berbagai peringkat secara berterusan bagi memastikan pensijilan 100%.

Selain kelengkapan khusus untuk penyelenggaraan EV, semua pusat servis BYD menyediakan ruang istirahat premium dan ruang kerja untuk pelanggan berehat atau membuat kerja sementara menunggu kereta mereka siap diselenggara.

BYD juga mempunyai pusat pengedaran alat ganti berpusat (PDC) yang diuruskan secara digital bagi memastikan alat ganti dapat dihantar ke pusat servis di seluruh negara dengan cepat.

Dengan inventori yang dioptimumkan dan sistem pengedaran yang diperkemas, BYD menjamin masa henti minimum untuk pembaikan kenderaan.

Selain itu, setiap kenderaan baharu akan melalui pemeriksaan kualiti yang ketat di pusat pemeriksaan pra-penghantaran (PDI) bagi memastikan ia berada dalam keadaan terbaik sebelum diserahkan kepada pelanggan.

PDI dilengkapi dengan sistem parkir mekanikal tiga tingkat bagi mengoptimumkan kecekapan ruang semasa proses pemeriksaan dan persiapan.

Setiap kenderaan BYD didatangkan dengan waranti enam tahun/150,000 km untuk kenderaan, lapan tahun/160,000 km untuk bateri (bateri akan diganti jika tahap kesihatan melepasi paras 70%), dan lapan tahun/150,000 km untuk unit pacuan.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklum balas, pelanggan boleh menghubungi BYD Customer Care Line di 1300-38-1888 dari Isnin hingga Jumaat, dari 8 pagi hingga 5 petang. Perkhidmatan bantuan tepi jalan 24/7 di seluruh Malaysia turut disediakan.

Di samping itu, BYD juga menawarkan pakej servis dengan pilihan tiga, enam atau lapan tahun, serta peringkat Standard dan Plus, untuk memenuhi keperluan pelanggan yang pelbagai. Ia boleh dibeli berasingan atau disertakan sekali dengan pinjaman kenderaan.

5 EV terbaik berharga antara RM200,000 hingga RM250,000

Pilihan EV dalam pasaran Malaysia agak menarik jika anda mempunyai bajet antara RM150,000 hingga RM200,000 namun bagi mereka yang rela berbelanja lebih besar, secara spesifiknya antara RM200,000 hingga RM250,000, ‘calon-calon’ yang ada lebih hebat terutamanya dari segi prestasi.

Manakan tidaknya, dua dari lima model yang kami senaraikan ini mempunyai ‘Performance’ pada namanya dan satu adalah sebuah Brabus, sekali gus mengesahkan yang prestasi pecutan adalah fokus utama dalam julat harga ini.

Tanpa berlengah lagi, jom kita lihat apakah model-model tersebut. Mana tahu, ada yang dapat memikat hati anda?

Volvo EX30 Ultra Twin Performance (RM228,888)

Jika anda boleh hidup tanpa butang fizikal, Volvo EX30, kembar kepada smart #1 dan Zeekr X, patut dipertimbangkan. Walaupun agak kecil, ia tampil gagah dan tegap, sepadan dengan tahap prestasi yang dibawakan oleh varian Ultra Twin Performance.

Seperti yang boleh dilihat pada namanya, varian ini menampilkan sepasang motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 428 PS dan 543 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat sahaja. Ia menggunakan bateri NMC 69 kWj yang sama seperti varian-varian EX30 yang lain, dengan jarak pandu sejauh 450 km – hanya 26 km lebih pendek berbanding varian Ultra.

Tesla Model 3 Performance AWD (RM243,700)

Dengan RM243,700, peminat Elon Musk boleh membuktikan kesetiaan mereka kepada CEO Tesla itu dengan mendapatkan Model 3 Performance AWD. Harganya tidak jauh berbeza dengan varian Long Range AWD (RM218,000) tetapi anda akan dapat banyak kelebihan.

Sudah tentu, kelebihan yang dimaksudkan adalah dari segi prestasi, di mana varian ini mempunyai 460 PS dan 723 Nm. Dengan pecutan 0-100 km/j dalam 3.1 saat dan kelajuan maksimum 261 km/j, ini mungkin kereta yang paling pantas yang anda boleh beli pada harga sebegini. Jarak pandunya juga tidak kurang hebat iaitu 529 km.

Tesla Model Y Long Range AWD (RM246,000)

Mereka yang tidak meminati sedan boleh mendapatkan Model Y Long Range AWD. Ia RM42,000 lebih murah berbanding varian Performance AWD, namun prestasi crossover kompak ini tidak boleh dipandang rendah.

Dua motor elektrik (satu pada setiap gandar) bergabung untuk memberikan Model Y kuasa keseluruhan mencecah 444 hp dan 559 Nm. Sudah tentu, ia tidak sepantas saudara sedannya namun bagi kebanyakan pemandu, 5.0 saat untuk mencapai 100 km/j sudah cukup memadai. Dengan bateri 78.1 kWj, ia boleh dipandu sejauh 533 km dengan satu cas penuh.

smart #1 Brabus (RM249,000)

Adakah 0-100 km/j dalam 3.9 saat cukup laju untuk anda? Jika jawapannya ya, smart #1 Brabus pasti menarik perhatian anda. Ya, ini merupakan varian tertinggi dalam barisan #1 tetapi jangan risau kerana jarak pandunya tidak begitu terjejas – ia boleh dipandu sejauh 400 km, hanya 40 km berbeza dengan varian Premium.

Selain prestasi yang mengujakan, model ini juga cukup menonjol di jalan raya dengan adanya elemen-elemen penggayaan Brabus dan bahagian-bahagian berwarna merah. Tidak cukup dengan itu, sistem suspensinya juga ditala semula untuk memberikan pengendalian yang lebih lincah di selekoh.

Hyundai Ioniq 6 Lite RWD & Plus RWD (RM219,888 & RM249,888)

Dilancarkan pada September tahun lalu, Ioniq 6 Lite RWD dan Plus RWD tampil sebagai alternatif yang lebih mampu milik berbanding varian Max RWD dan AWD.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan motor elektrik pada gandar belakang yang menghasilkan 151 PS dan 350 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 8.8 saat dan kelajuan maksimum 185 km/j, sama dengan varian-varian Max. Jarak pandu jauh lebih pendek berbanding Max RWD (614 km) dan AWD (519 km), namun pada pendapat penulis, 429 km sudah cukup memadai. Tambahan pula, anda mendapat EV dengan bentuk yang lain dari yang lain.

7 ciptaan terpenting dalam industri automotif

Sejak kemunculan kereta pertama di dunia iaitu Benz-Patent Motorwagen pada 1886, industri automotif telah ‘melahirkan’ beribu-ribu inovasi atau ciptaan bagi menjadikan kereta sebagai satu mod pengangkutan yang lebih selamat, selesa dan canggih.

Berikut adalah 7 ciptaan terpenting dalam industri automotif:

Suntikan bahan api

Percaya atau tidak, teknologi suntikan bahan api atau fuel injection dalam bentuk paling asas sudah wujud selama kira-kira lebih 120 tahun. Henry Ford menggunakan sistem suntikan mekanikal pada kereta lumba ‘Sweepstakes’ pada 1901 dan sekitar 1920an, teknologi itu digunakan secara lebih meluas pada enjin diesel. Pada 1955, Mercedes-Benz memperkenalkan suntikan bahan api terus gasolin menerusi 300 SL. Dua tahun kemudian, Chevrolet memperkenalkan sistem suntikan port pada Bel Air dan Corvette.

Pengecas turbo

Peranti yang cukup popular dalam kalangan peminat kereta ini dicipta seorang jurutera Switzerland bernama Alfred Büchi pada 1905. Dia dikatakan mendapat idea itu ketika sedang mengkaji turbin wap. Apa yang menarik, teknologi ini digunakan oleh pesawat dalam Perang Dunia terlebih dahulu sebelum diaplikasikan secara meluas pada kereta. Kereta pertama yang menggunakan enjin turbo adalah Oldsmobile Jetfire Rocket dan Chevrolet Corvair Monza, kedua-duanya diperkenalkan pada 1962.

Cruise Control

Sistem yang direka oleh seorang jurutera yang buta iaitu Ralph Teetor pada tahun 1948. Idea ini tercetus akibat rasa bengang terhadap pemandunya yang gemar memecut dan memperlahankan kereta dinaiknya. Secara asasnya, Cruise Control membolehkan pemandu mengekalkan kelajuan kereta tanpa menggunakan pedal minyak. Kereta pertama yang didatangkan dengan sistem ini adalah Chrysler Imperial, yang menggelarnya sebagai Auto Pilot.

Brek anti-kunci (ABS)

ABS atau nama panjangnya Anti-lock Braking System menggunakan sensor untuk memantau kelajuan roda apabila pedal brek ditekan. Sekiranya ia mengesan tayar yang akan terkunci, ia akan mencengkam brek dan melepaskannya dalam kadar yang lebih laju daripada manusia. Ini bagi mengelakkan kereta daripada tergelincir serta membolehkan pemandu mengawal kereta.

Penukar bermangkin

Lebih dikenali sebagai catalytic converter, alat ini dipasang pada sistem ekzos kenderaan bagi menukarkan kandungan bahan toksik di dalam asap seperti karbon monoksida dan nitrogen oksida kepada carbon dioksida, nitrogen dan air yang lebih selamat. Ini dicapai menerusi reaksi kimia yang terjadi menerusi penggunaan mangkin seperti platinum yang tahan kakisan tetapi juga mahal. Sebab itulah alat ini selalu menjadi sasaran pencuri.

Beg udara

Beg udara mula dipatenkan untuk penggunaan automotif pada sekitar awal 1950an sebagai ciri keselamatan pasif yang hanya akan berfungsi apabila berlaku kemalangan. Bagaimanapun, penggunaannya tidak begitu meluas sehinggalah sekitar era 70an apabila GM menawarkan ciri berkenaan pada Chevy Impala yang dihasilkan untuk flit kerajaan. Kini, beg udara bukan sahaja keluar dari stereng dan papan pemuka, malah pada pintu, tiang dan bumbung.

Tali pinggang keledar

Mana-mana artikel mengenai ciri keselamatan kenderaan tidak akan lengkap tanpa menyebut alat ini. Tali pinggang keledar dalam bentuk terawalnya mula muncul pada pertengahan abad ke-19 namn versi tiga poin yang digunakan pada semua kereta hari ini dibangunkan dan disempurnakan oleh Nils Bohlins untuk Volvo, yang mula memperkenalkannya pada 1958. Menyedari kepentingan ciri ini, Volvo memberikan kebenaran kepada pengeluar-pengeluar kenderaan lain untuk menggunakannya secara percuma.

MAN serah trak elektrik eTGX kepada pakar logistik automotif Duvenbeck

MAN Truck & Bus meraih satu lagi pencapaian dalam pengelektrikan pengangkutan barang menerusi penyerahan trak elektrik MAN pertama kepada Kumpulan Duvenbeck.

Traktor semitreler Ultra Low Liner eTGX, yang dibangunkan khas untuk keperluan volum pemuatan logistik automotif, bakal menjadikan keperluan logistik kilang Volkswagen lebih mesra iklim pada masa hadapan.

Selaras dengan surat hasrat (LOI) yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak, Duvenbeck bercadang untuk menggunakan sehingga 120 unit eTGX menjelang tahun 2026.

Duvenbeck akan menggunakan trak elektrik MAN di pelbagai kawasan di wilayah penghantaran barang Rhine-Ruhr dan BeNeLux sebagai sebahagian daripada keperluan logistik kilang VW.

“Dengan eTruck Ultra Low Liner, MAN telah membangunkan penyelesaian yang disesuaikan dengan sempurna mengikut keperluan industri automotif. Tiada siri traktor semitreler elektrik lain yang dihasilkan yang boleh menarik treler dengan ketinggian dalaman tiga meter. Ini menjadikannya pilihan ideal untuk pengangkutan dengan keperluan volum yang tinggi,” jelas Friedrich Baumann, Ketua Pegawai Jualan & Penyelesaian Pelanggan di MAN Truck & Bus.

“Kami berbesar hati mempunyai dua rakan kongsi yang kukuh di sisi kami, Duvenbeck dan Volkswagen, untuk membawa inovasi ini ke jalan raya.”

Trak elektrik Ultra Low Liner MAN eTGX mempunyai dengan ketinggian semitreler 950 mm, jarak roda yang pendek iaitu 3.75 meter dan bateri yang mampu menawarkan jarak perjalanan sekitar 500 km.

Ini menjadikannya sesuai untuk digunakan dalam logistik automotif, di mana volum beban maksimum sehingga tiga meter dalam ketinggian dalaman adalah lebih penting berbanding berat beban.

Dengan konsep bateri modularnya dengan pilihan empat, lima atau enam pek bateri dan tahap kuasa 449 dan 544 hp, trak ini oleh disesuaikan secara optimum untuk sebarang tugas pengangkutan.

Selain teknologi pengecasan CCS standard (sehingga 375 kW), ia juga boleh ditempah dengan piawaian MCS baharu dengan kuasa pengecasan sehingga satu megawatt, yang membolehkan pengecasan perantaraan yang lebih pantas semasa pemandu berhenti rehat.

Kia Syros adalah ‘adik’ EV9 versi ICE untuk pasaran India

Kia telah memperkenalkan crossover kompak terbarunya yang akan bersaing dalam pasaran India iaitu Syros. Ia mungkin kelihatan mirip dengan EV9 namun model ini menggunakan enjin pembakaran dalaman yang digandingkan dengan transmisi manual.

Ia juga jauh lebih kecil berbanding SUV elektrik itu, dengan ukuran panjang 3,995 mm, lebar 1,800 mm dan tinggi 1,665 mm, dengan jarak roda 2,550 mm. Syros dibina di atas platform K1 yang turut digunakan oleh Hyundai Casper.

Walaupun saiznya begitu berbeza, Syros menampilkan beberapa elemen reka bentuk yang terdapat pada EV9 seperti lampu LED kiub ais, lampu belakang LED Starmap dan Digital Tiger Face.

Penampilan futuristiknya dilengkapkan lagi dengan dengan rim aloi Crystal Cut berukuran 17 inci, pemegang pintu tersembunyi serta lampu lopak dengan pancaran logo Kia.

Susun atur ruang dalamannya juga hampir sama dengan EV9 namun dalam skala yang lebih kecil. Menurut Kia, Syros dilengkapi dengan pelbagai ciri yang pertama dalam segmennya. Ini termasuk paparan Trinity Panoramic berukuran 30 inci yang sebenarnya terdiri daripada dua skrin 12.3 inci dan paparan kawalan iklim lima inci.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas telefon tanpa wayar, sistem audio Harman Kardon dengan lapan pembesar suara dan sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna.

Kia berkata model ini juga dilengkapi dengan sistem navigasi yang dibantu oleh pusat panggilan, membolehkan pemandu mendapat bimbingan dalam masa sebenar. Perisian dan sistem ketersembungan akan dikemas kini secara atas udara (OTA).

Satu lagi ciri pertama yang dibawa oleh Syros dalam segmennya adalah kerusi belakang yang boleh digelongsor dan dibaringkan secara 60:40, serta mempunyai fungsi ventilasi. Di belakang kerusi belakang adalah ruang but berkapasiti 465 liter.

Untuk sistem keselamatan pula, Syros diberikan enam beg udara serta sistem ADAS Tahap 2 yang merangkumi 16 ciri termasuk Front Collision Warning , Forward Collision Avoidance Assist, Lane Keep Assist, Lane Departure Warning, Lane Follow Assist, Smart Cruise Control dengan Stop & Go dan bermacam lagi.

Pelanggan boleh memilih antara dua enjin yang ditawarkan iaitu Smartstream 1.0-liter turbo petrol dengan 120 PS/172 Nm, atau CRDi 1.5-liter diesel dengan 116 PS/250 Nm. Selain transmisi manual, pilihan transmisi automatik juga tersedia – kedua-duanya ditugaskan untuk memacu roda depan.

Chery Malaysia terima pensijilan SIRIM untuk bateri EV

Chery Malaysia mengumumkan bahawa ia telah menerima pensijilan SIRIM bagi pek bateri litium EV, menjadikannya jenama automotif pertama di negara ini yang diberikan pensijilan tersebut.

Syarikat itu berkata pengiktirafan daripada SIRIM QAS International ini adalah bukti komitmennya terhadap kualiti dan pematuhan kepada prestasi dan standard keselamatan tertinggi.

“Menjadi jenama automotif pertama di Malaysia yang menerima pensijilan bateri EV adalah penghormatan yang luar biasa dan peristiwa penting bagi kami di Chery Malaysia,” kata Michael Chew, naib presiden Chery Malaysia.

“SIRIM QAS berbesar hati untuk memainkan peranan dalam menyokong perjalanan Chery Malaysia ke arah penyelesaian mobiliti mampan,” kata Nur Fadhilah binti Muhammad, ketua pegawai eksekutif SIRIM QAS International.

Menurut Chery Malaysia, bateri EV tersebut telah disaksikan menjalani ujian ketat di China mengikut Standard UN R100 untuk memastikan pematuhan kepada piawaian keselamatan dan prestasi antarabangsa untuk kebolehpercayaan, kecekapan dan ketahanan.

Chery Malaysia berkata ia juga menyasarkan untuk memperoleh pensijilan SIRIM untuk bateri EV untuk model-model yang akan ditawarkan pada masa depan.

Buat masa ini, satu-satunya EV keluaran Chery yang ditawarkan di negara ini adalah Omoda E5, yang dijual pada harga RM146,800. Ia menampilkan bateri litium ion fosfat (LFP) 61 kWj yang mampu memberikan jarak pandu sejauh 430 km berdasarkan kitaran WLTP.

Dalam usahanya untuk meningkatkan lagi usaha mobiliti elektronya di negara ini, Chery Malaysia berkata ia merancang untuk memperluaskan lagi penawaran elektrfikasinya dengan model-model PHEV bermula tahun depan.

Tiada model spesifik yang dinyatakan namun antara model yang berkemungkinan besar akan dilancarkan adalah Tiggo 8 Pro e+.

Pengusaha stesen minyak rugi RM181 juta sejak penyasaran subsidi diesel

Pada Jun lalu, kerajaan telah melaksanakan penyasaran subsidi diesel dalam usahanya untuk membendung ketirisan yang semakin berleluasa.

Walau bagaimanapun, langkah itu nampaknya mendatangkan kesan negatif kepada pengusaha stesen minyak di Semenanjung yang mendakwa mereka mengalami kerugian mencecah RM181 juta sejak ia dilaksanakan.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda), Hanny Julia Haron, hampir 3,500 stesen minyak kini mencapai tahap kritikal setelah menanggung kerugian hampir setiap bulan.

Tambah beliau, ia berlaku setelah pengusaha terpaksa membeli bahan api pada harga tinggi tetapi menjual pada harga lebih rendah.

“Sebanyak 98.3 peratus daripada stesen-stesen ini melaporkan kerugian daripada jualan petrol dan diesel menyebabkan ramai pengusaha beralih kepada jualan kedai serbaneka sebagai strategi untuk mengimbangi penurunan pendapatan bahan api.

“Tanpa campur tangan, kesan ekonomi jangka panjang boleh menjadi parah, berpotensi meningkatkan kadar pengangguran dan mengurangkan hasil kerajaan daripada cukai dan levi akibat penutupan stesen atau pengurangan operasi,” katanya.

Awal bulan ini, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying mendedahkan bahawa penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan pada Jun tahun ini membolehkan kerajaan menjana penjimatan sebanyak RM600 juta sebulan.