All posts by Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

Harman Kardon perkenal siri Flow/Feel, nikmati audio kualiti konsert dalam kereta

Harman Kardon memperkenalkan sistem audio terbaharu siri Flow dan Feel yang dikhususkan untuk mereka yang mahu menikmati kualiti audio bertaraf konsert di dalam kereta.

Siri Flow menampilkan produk pembesar suara Flow 600CF dan Flow 601CFS 165 mm berkuasa 360W yang lengkap dengan tweeter 19 mm, midrange woofer Flow 300S 180W, serta dome tweeter saiz 19 mm Flow 75T 360W.

Terdapat juga penawaran subwoofer saiz 200 mm bawah tempat duduk Flow 80 berkuasa 375W yang direka khusus sebagai penyelesaian naik taraf untuk subwoofer kilang BMW, dan boleh disesuaikan untuk pelbagai model Audi dan Porsche.

Sementara mereka yang mahukan bunyi bass tanpa mengambil ruang besar boleh mendapatkan Feel 700, sebuah subwoofer bersaiz kecil (165 mm) yang sangat sesuai diletakkan di bawah tempat duduk.

Feel 700 mempunyai prestasi berkuasa dengan penguat terbina dalam RMS 125W yang ditempatkan dalam kepungan aluminium die-cast yang dibalut fabrik gred automotif.

Sistem pembesar suara Harman Kardon Flow bakal dijual di kedai dalam talian https://my.harmankardon.com/.

Alternatifnya, anda boleh mendapatkan produk tersebut di kedai aksesori kereta terpilih bermula 17 Oktober 2024.

Berikut merupakan senarai harga jualan bagi setiap produk Harman Kardon Flow/Feel:

• Harman Kardon Flow 75T –       RM580
• Harman Kardon Flow 80 –         RM1,480
• Harman Kardon Flow 300S –     RM2,180
• Harman Kardon Flow 600CF –  RM4,280
• Harman Kardon Flow 601CFS – RM3,480
• Harman Kardon Feel 700 –         RM2,280

Toyota percaya majoriti pembeli akan pilih GR Corolla 2025 manual

Untuk mereka yang terlepas kapal, Toyota sebelum ini mengemaskini penawaran model hot hatch GR Corolla 2025 dengan menambah pilihan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan sebagai alternatif kepada model bertransmisi manual.

Trend peralihan kepada model automatik yang biasa kita lihat sebelum ini nampaknya sukar untuk menjangkiti para peminat GR Corolla.

Menurut laporan CarBuzz, Toyota menjangkakan 80 peratus pembeli akan memilih model GR Corolla manual, manakala selebihnya akan membeli model yang dilengkapi Direct Automatic Transmission (DAT).

Ini membuktikan pembeli GR Corolla merupakan golongan peminat yang masih mendambakan pengalaman pemanduan setulen mungkin.

Ada sedikit perbezaan antara transmisi auto yang wujud pada GR Corolla berbanding model GR Supra dan GR86.

Menurut Toyota, kotak gear GR Corolla akan menggunakan input daripada pedal brek dan pendikit untuk mengira masa optimum untuk membuat penukaran gear.

GR Corolla versi auto juga kini didatangkan dengan fungsi launch control yang tidak tersedia pada model manual.

Toyota GR Corolla 2025 kini tersedia dengan transmisi auto!

 

Ferrari F80, hypercar dengan nadi V6 hibrid turbo berkembar, 1,184 hp!

Ferrari akhirnya membuka tirai bagi hypercar F80, pewaris kepada model-model bertaraf mercu seperti GTO, F40, F50, dan Enzo setelah lebih sedekad melancarkan model mercu LaFerrari.

Biarpun tanpa enjin ikonik V12, Ferrari F80 tetap menjadi model yang paling berkuasa pernah dibina oleh jenama Prancing Horse, dengan kuasa keseluruhan mencecah 1,184 hp.

Lebih daripada separuh kuasa kuda itu disumbangkan oleh enjin bentangan V6 120 darjah, di mana komponen ICE itu sahaja mampu menghamburkan kuasa setinggi 888 hp dan 740 Nm, jauh lebih tinggi berbanding model 296 GTB.

Enjin itu dibantu dengan tetapan tiga motor elektrik, dua di hadapan berkuasa 282 hp dan motor ketiga di belakang berkuasa 80 hp.

Ini menjadikan F80 model hypercar Ferrari pertama yang hadir dengan sistem pacuan semua roda (AWD). Sayang sekali, tiada mod EV dibekalkan walaupun ia mempunyai tiga motor elektrik.

Sebaliknya, pemandu boleh memilih tiga mod pemanduan, iaitu Hybrid yang mengutamakan pemulihan tenaga dan pengecasan bateri, Performance dan Qualify untuk kuasa sepenuhnya.

Terdapat teknologi yang dinamakan sebagai Boost Optimization di mana sistem akan mengenalpasti seksyen yang memerlukan tujahan tenaga tambahan dan kemudian sedia untuk melampiaskan kuasa tersebut bila diperlukan.

Untuk model bertaraf mercu ini, Ferrari F80 menampilkan casis monocoque gentian karbon, diikuti sub-rangka depan dan belakang diperbuat daripada aluminium.

Struktur rekaan yang tidak simetri ini menyediakan konfigurasi tempat duduk 1+1, di mana tempat duduk pemandu boleh dilaras posisinya manakala kedudukan tempat duduk penumpang pula tidak boleh dilaras.

Bahagian luar F80 turut menampilkan rujukan elemen rekaan daripada model-model Ferrari yang terdahulu.

Seperti contoh, visor hadapan yang diinspirasikan daripada model Daytona diikuti dengan fender hadapan bersegi dan fender belakang yang mengingatkan kita pada model F40 yang sangat seksi itu.

Aspek aerodinamik F80 banyak diambil daripada pengetahuan Ferrari di dalam sukan Formula 1, di mana secara keseluruhan mampu menjana daya mendap seberat 1,000 kg pada kelajuan 249 km/j.

Sistem brek CCM-R Plus yang dibangunkan bersama Brembo menawarkan kekuatan mekanikal 100 peratus lebih baik berbanding brek gentian karbon biasa, dan 300 peratus kadar kekonduksian haba yang lebih baik.

Terdapat dua pilihan tayar iaitu Michelin Pilot Sport Cup 2s atau Pilot Sport Cup 2Rs dengan saiz 285/30 di depan dan 345/30 di belakang.

Selain berkongsi enjin yang sama dengan 296 GTB, F80 sebenarnya turut berkongsi tetapan sistem suspensi yang sama seperti Purosangue.

Sistem peredam spool-valve Multimatic ini mampu menawarkan keseimbangan antara pengendalian berprestasi dan pemanduan yang berkualiti, dalam masa yang sama mengenepikan penggunaan bar anti-oleng tradisional.

Tidak ketinggalan, sistem keselamatan aktif termasuklah brek kecemasan automatik, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong, bantuan suluhan tinggi automatik dan sistem pengecaman papan tanda trafik.

Hanya 799 unit Ferrari F80 yang akan diproduksikan bermula akhir tahun 2025, setiap satu memiliki tanda harga bermula €3.6 juta (RM16.87 juta).

 

GR GT Cup Asia 2024: Taj Aiman muncul juara, wakili Asia ke peringkat global Disember ini

Pusingan akhir Toyota Gazoo Racing (GR) GT Cup Asia 2024 melabuhkan tirainya pada hujung minggu yang lepas, menyaksikan Taj Izrin Aiman muncul juara mengalahkan 14 peserta yang lain dari lima negara Asean.

Dengan jumlah pungutan mata 65 poin, Taj Aiman dinobatkan sebagai juara individu GR GT Cup Asia 2024 membawa pulang hadiah tunai US$8,000, diikuti Andika Rama dari Indonesia selaku juara kategori individu tahun 2023 dengan jumlah 57 poin dan hadiah US$4,500.

Rakan seperjuangannya Moreno Pratama menduduki tempat ketiga podium dengan 48 poin dan hadiah wang tunai US$3,000.

Ini bermakna, Taj Aiman dan Andika Rama akan mewakili Asia ke GR GT Global Finals pada 6 Disember ini di Amsterdam.

Sebanyak tiga perlumbaan disediakan, bermula dengan aksi jentera GR Yaris di litar rali Sardegna Windmills, diikuti GR Corolla Morizo Edition dalam litar Nurburgring GP yang basah, dan akhir sekali jentera GR010 Hybrid di Fuji International Speedway.

“Saya benar-benar kehilangan kata-kata. Walaupun berdepan dengan kesukaran teknikal dan tidak mampu menghabiskan perlumbaan tahun lepas, saya amat berbangga dengan dedikasi dan latihan yang membuahkan hasil,” ujar Taj Aiman.

“Saya amat teruja untuk meneruskan latihan dengan Andika Rama sebagai persiapan untuk ke Global Cup di Amsterdam.”

Andika Rama yang mewakili Asia untuk kali kedua tahun ini menambah, “saya amat berbesar hati untuk mewakili Asia sekali lagi tahun ini. Bertanding dengan Taj Aiman merupakan satu cabaran yang luar biasa.

“Saya memaksa diri, namun konsistensi dan strategi Aiman dalam ketiga-tiga perlumbaan sukar untuk diatasi. Saya teruja mempunyai Aiman sebagai rakan sepasukan ketika kami membuat persiapan untuk ke pusingan akhir, dan tidak sabar untuk membanggakan nama Asia.

Tiga anugerah khas turut diberikan sebagai pengiktirafan kepada prestasi luar biasa peserta seperti berikut:
• Driver of the Day – Taj Izrin Aiman (MY)
• Best Racecraft Driver – Russel Reyes (PH)
• Fastest Race Pace – Andika Rama (ID)

GR GT Cup Asia 2024 turut mengalu-alukan Razer Inc. sebagai rakan rasmi yang menaja set kepala Razer BlackShark V2 X yang mampu memastikan komunikasi yang lancar, jelas dan selesa antara pelumba.

EV Honda bakal tampilkan bunyi enjin kereta ikonik S2000, NSX, serta HondaJet!

Pemanduan sesebuah kenderaan elektrik (EV) yang terlalu senyap dan lancar tanpa sebarang gegaran mekanikal itu mungkin tidak sesuai untuk semua orang, lebih-lebih lagi mereka yang berjiwa olskool.

Jadi, Honda mahu memastikan model EV mereka akan datang mempunyai ciri dan pengalaman pemanduan yang unik.

Bertempat di 0 Tech Meeting 2024 yang berlangsung baru-baru ini, Honda memperlihatkan konsep pemanduan bersimulasi yang mampu meniru karakteristik model-model ikonik berprestasi tinggi jenama itu.

Antaranya ialah generasi pertama Honda NSX, hot hatch Civic Type R, roadster S2000, jentera F1, Honda CRX serta tidak ketinggalan jet peribadi HondaJet!

Selain memaparkan panel meter mengikut tema jentera yang dipilih, sistem Honda e Digital UX Concept ini boleh mensimulasikan not enjin model-model yang disebutkan tadi.

Peminat deruman enjin VTEC yang nyaring pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba ciri ini apabila ia ditawarkan kelak.

Honda juga akan menggunakan sistem gegaran dalam kabin untuk menghasilkan pengalaman pemanduan seakan kereta berenjin pembakaran dalaman.

Menurut laman The Drive, selain daripada paparan tema meter panel dan runut bunyi enjin, Honda juga sedang bereksperimen untuk menawarkan pengalaman yang lebih menyeluruh, termasuklah memperkenalkan talaan yang berbeza pada roda stereng, pemetaan pedal pendikit serta ketinggian sistem suspensi.

Tidak ketinggalan, ciri penukaran gear bersimulasi menggunakan paddle shifter seperti yang telah wujud pada model Hyundai Ioniq 5 N.

Tesla Robotaxi & Robovan, kereta swapandu tanpa stereng dan pedal kaki

Elon Musk akhirnya mengotakan ‘janji’ untuk membawakan model kereta Tesla tanpa pedal dan stereng menerusi pengenalan Robotaxi, atau lebih dikenali dengan nama Cybercab.

Sekali imbas, Robotaxi merupakan sebuah kereta coupe dua pintu dengan hanya memuatkan dua orang sahaja pada satu-satu masa, dan menawarkan ruang kargo yang agak besar.

Menerusi bukaan pintu dihedral ala rama-rama, anda akan mendapati ruang kabin Cybercab ini sememangnya tidak mempunyai roda stereng dan pedal kaki.

Menurut Elon Musk, Robotaxi tidak mempunyai port pengecasan yang tradisional kerana ia bergantung sepenuhnya kepada cara pengecasan tanpa wayar (induktif).

Tiada sebarang butiran terperinci berkenaan spesifikasi unit pacuan elektrik yang digunakan pada Robotaxi.

Menariknya, Elon Musk mendakwa harga sebuah Robotaxi bakal bermula bawah $30,000 (~RM130 ribu), dengan perancangan produksi bermula tahun 2026 atau 2027.

Sebuah lagi model konsep tanpa stereng yang dipamerkan ialah Robovan dengan rupa paras seperti sebuah pembakar roti yang beroda.

Ia tidak mempunyai sebarang cermin hadapan, sebaliknya digantikan dengan skrin paparan yang besar di bahagian dalam.

Robovan mampu memuatkan sehingga 20 orang pada satu-satu masa.

Kedua-dua Robotaxi dan Robovan bakal bergantung kepada perisian pemanduan autonomi penuh Full Self-Driving untuk beroperasi atas jalan raya sebenar.

Hanya masa yang akan menentukan sama ada perisian ini boleh dipercayai ataupun tidak memandangkan Tesla sudah pun mempunyai rekod buruk untuk sistem Full Self-Driving yang wujud pada model sedia ada.

Mitsubishi Triton 2025, platform & enjin baharu, lima varian, dari RM102k

Mitsubishi Motors Malaysia selesai melancarkan trak pikap generasi baharu Mitsubishi Triton untuk pasaran tempatan.

Ia boleh didapati dalam lima varian utama, terdiri daripada empat varian kabin berkembar dan satu varian kabin tunggal yang dikhaskan untuk kerja-kerja berat.

Menggunakan platform serba baharu yang lebih tegar, Triton 2025 menawarkan ukuran dimensi yang lebih besar, dengan panjang 5,360 mm (+55 mm), lebar 1,930 mm (+115 mm), tinggi 1,815 mm (+35 mm) dan jarak antara roda 3,130 mm (+130 mm).

Secara standard, Triton didatangkan dengan suspensi jenis double wishbone di depan, diikuti spring dedaun di belakang yang dibantu dengan talaan untuk aspek pengendalian dan keselesaan yang lebih baik.

Selain platform baharu, Triton juga hadir dengan enjin diesel baharu MIVEC kod 4N16, dengan kuasa 181 hp @ 3,500 rpm dan daya kilas 430 Nm @ 2,250-2,500 rpm.

Varian tertinggi Athlete mendapat tetapan turbo dua tahap dengan piawaian Euro 5, dengan kuasa setinggi 204 PS @ 3,500 rpm dan daya kilas 470 Nm @ 1,500-2,750 rpm.

Selain itu, varian Athlete turut mendapat sistem stereng elektronik (EPS) dan juga sistem 4WD Super Selec II yang menawarkan sehingga tujuh mod pemanduan (Normal, Eco, Gravel, Sand, Mud, Snow, Rock).

Hanya dua varian terendah (termasuk varian kabin tunggal) dilengkapi dengan kotak gear manual enam kelajuan, manakala selebihnya hadir dengan kotak gear automatik 6-kelajuan.

Triton baharu kini menampilkan bahasa rekaan Dynamic Shield yang dipertingkatkan dengan pendekatan “Beast Mode”.

Ciri luaran termasuklah lampu utama LED, lampu nyalaan siang (DRL) LED, rim 18 inci (16 inci untuk varian rendah), diikuti dengan grafik berbentuk T pada lampu belakang.

Ruang kabin pula menggunakan konsep Horizontal Axis yang lebih moden, menampilkan meter analog, skrin MID LCD tujuh inci, skrin sentuh tengah dengan sokongan Apple CarPlay/Android Auto, enam pembesar suara kawalan iklim dua zon, corong penyejuk udara untuk penumpang baris kedua, tempat duduk balutan leatherette premium, roda stereng balutan kulit, serta tombol gear balutan kulit.

Varian asas mendapat sistem audio yang lebih ringkas dengan 4 pembesar suara, tempat duduk fabrik, diikuti dengan roda stereng dan tombol gear urethane.

Dari segi keselamatan, Mitsubishi Triton mendapat sehingga tujuh beg udara, ABS, EBD, Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Kestabilan Aktif, Bantuan Menurun Cerun (HDC), serta kelengkapan keselamatan termaju seperti Sistem Mitigasi Pelanggaran Hadapan, Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Amaran Titik Buta (BSM), Amaran Penukaran Lorong (LCA), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) dan Bantuan Suluhan Tinggi (AHB).

Untuk pasaran tempatan, harga jualan Mitsubishi Triton 2025 adalah seperti berikut:
Triton Single Cab (MT) – RM101,980
Triton GL (MT) – RM114,980
Triton GL (AT) – RM116,980
Triton Premium (AT) – RM145,980
Triton Athlete (AT) – RM165,980

Secara standard, Mitsubishi Triton 2025 datang dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau had perbatuan 200,000 km (yang mana tiba dahulu), kecuali Mitsubishi Triton Athlete yang hadir dengan jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun, sah untuk pendaftaran sehingga 31 Disember 2024 sahaja.

Mitsubishi Triton Single Cab 2025

Kami dah cuba Apple CarPlay pada Proton X70!

Seperti yang semua maklum, dalam kemaskini terbaharu SUV segmen C Proton X70 akan ditawarkan dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto secara standard untuk model tahun 2025.

Berdasarkan laporan pandu uji ringkas oleh rakan penulis beberapa minggu yang lepas, ciri tersebut nampaknya masih belum tersedia untuk digunakan.

Semalam (15 Oktober 2024), kami berpeluang untuk mencuba sendiri sambungan Apple CarPlay yang dinanti-nantikan ramai itu pada Proton X70 untuk kegunaan pandu uji media.

Setakat penggunaan dalam tempoh masa yang singkat, tiada perbezaan yang ketara dirasakan berbanding sistem sama yang termuat pada kereta-kereta moden lain.

Menu dan aplikasi seperti Google Maps atau Waze boleh diakses pada skrin infohibur 12.3 inci itu dengan mudah tanpa sela masa yang lama, malah pemilik juga boleh memilih untuk menggunakan kata sapaan “Hi Proton” atau “Hi Siri” untuk mengarahkan sistem melakukan operasi tertentu semasa memandu.

Siapa yang sudah terbiasa dengan penggunaan Apple CarPlay sudah pasti faham betapa pentingnya kewujudan sistem ini dalam kereta baharu terutama ketika sedang memandu di dalam bandar.

Untuk makluman, ciri sambungan Apple CarPlay secara nirwayar ini akan mula ditawarkan HANYA kepada model Proton X70 2025 menerusi kemaskini over-the-air (OTA) yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Kehadiran ciri Android Auto pula akan diumumkan kelak.

Bermaz tawar diesel RM1.05/liter selama 5 tahun untuk pembeli baharu Kia Carnival

Dinamikjaya Motors Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kenderaan jenama Kia di Malaysia melancarkan kempen terbaharu khusus untuk para pemilik baharu model Kia Carnival.

Kempen “Fuel-on-Us” yang bermula dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2024 ini membolehkan pemilik baharu Kia Carnival menikmati harga diesel bersubsidi RM1.05/liter untuk tempoh lima tahun tanpa perlu risau akan perubahan harga bahan api setiap minggu.

Untuk menyertai kempen ini, para pelanggan perlulah mendaftarkan pembelian Kia Carnival menerusi mana-mana pengedar sah Kia sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Setiap pembelian hanya layak untuk satu permohonan sahaja.

Kia Carnival didatangkan dengan nadi diesel 2.2 liter turbo berkuasa 202 PS dan 440 Nm.

Dengan tangki bahan api sebesar 72 liter, Kia Carnival menawarkan kadar penggunaan bahan api 6.5 liter/100 km, atau jarak sehingga 850 km untuk setangki bahan api penuh.

Di Malaysia, Kia Carnival ditawarkan dalam tiga varian utama dan harga jualan bermula dari RM198,500.

Mitsubishi Malaysia buka pusat 3S ketiga di Terengganu

Mitsubishi Motors Malaysia secara rasmi membuka pusat 3S (Jualan, Servis & Alat Ganti) Mitsubishi yang ketiga di negeri Terengganu.

Pembukaan pusat 3S baharu ini menjadikan jaringan rangkaian pengedar Mitsubishi Motors meningkat kepada 61 buah di seluruh negara.

Dikendalikan oleh Lajina Motors Sdn Bhd, pusat 3S ini turut menampilkan identiti jenama Mitsubishi Motors, selari dengan mesej global “Drive Your Ambition”.

Dengan keluasan 3,600 kaki persegi, pusat 3S turut menempatkan ruang menunggu pelanggan lengkap dengan sambungan Wi-Fi, ruang khas kanak-kanak, serta pusat servis yang serba lengkap dengan beberapa ruang servis tersedia.

Pusat 3S ini terletak di Lot 3309-3310, Jalan Padang Luas, Taman Pelangat 2, 22000 Jerteh, dibuka dari hari Sabtu hingga Khamis (8.45 pagi-5.15 petang) dan ditutup setiap hari Jumaat.

Menurut CEO Mitsubishi Motors Malaysia, Shinya Ikeda berkata, “Memandangkan MMM sedang dalam perancangan melancarkan beberapa model baharu, kami mahu memastikan para pelanggan kami mempunyai liputan dan kebolehcapaian yang lebih meluas untuk pusat pameran dan pusat servis berdekatan dengan mereka.

“Lajina Motors telah bersama dengan Mitsubishi sejak 2015, dan ini merupakan outlet 3S kedua mereka di Terengganu. Dengan fasiliti yang selesa dan kelengkapan canggih, saya pasti pelanggan kami di Jerteh berada di tangan yang baik,” ujarnya lagi.

Honda ADV160, CRF1000L Africa Twin dapat warna baharu

Boon Siew Honda mengemaskini penawaran dua model popular, iaitu Honda ADV160 dan Honda CRF1000L Africa Twin Adventure Sports ES dengan pilihan warna baharu.

Untuk Honda ADV160, skuter itu kini boleh dipilih dengan warna Matte Green dan Matte Red sebagai alternatif kepada warna putih dan kelabu sedia ada.

Sementara untuk Honda CRF1000L Africa Twin, pembeli boleh mendapatkan warna Matte Iridium Gray Metallic, serta warna Pearl Glare White menampilkan grafik yang telah dikemaskini.

 

Spesifikasi asas kedua-dua jentera masih lagi sama seperti model terdahulu.

Honda ADV160 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 157 cc berkuasa 15.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 14.7 Nm @ 6,500 rpm, dibantu dengan sistem brek ABS dan Honda Selectable Torque Control (HSTC).

Harga jualan bermula dari RM13,549 untuk dua warna baharu, sementara warna sedia ada kekal dengan harga RM13,249.

Honda CRF1000L Africa Twin Adventure Sports ES menggunakan enjin kembar selari 1,084 cc sejukan cecair berkuasa 100.6 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 112 Nm @ 5,500 rpm, dengan peningkatan tork sebanyak 7 peratus berbanding penawaran terdahulu.

Selain itu, ia turut menampilkan roda hadapan 19 inci untuk pengendalian atas jalan dan off-road yang lebih baik, ketinggian pelana boleh laras (820 mm atau 840 mm) serta bentuk kusyen yang telah diubah untuk sokongan tunggangan yang lebih baik.

Harga jualan bermula dari RM119,388 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

 

Honda ADV160 2024

 

Honda CRF1000L Africa Twin Adventure Sports ES

Zeekr 009: Perbandingan dengan 4 model MPV premium popular di Malaysia

Zeekr Malaysia baru-baru ini mengumumkan kemunculan model MPV premium yang bakal dilancarkan kelak, iaitu Zeekr 009.

Ia bakal memberikan saingan sengit kepada segmen MPV premium, terutama sekali model kembar Alphard/Vellfire yang sangat terkenal di kalangan rakyat Malaysia.

Untuk artikel kali ini kami akan kongsikan perbezaan spesifikasi antara model Zeekr 009 bila dibandingkan dengan MPV premium seperti Alphard/Vellfire, Lexus LM dan Kia Carnival.

 

Dimensi

Majoriti model yang kami sebutkan tadi mempunyai dimensi melebihi 5 meter.

Bermula dengan Alphard/Vellfire, ia membawakan ukuran sepanjang 5,010 mm, lebar 1,850 mm, tinggi 1,950 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,000 mm.

Sebuah lagi kembar, Lexus LM membawakan dimensi yang lebih panjang (5,125 mm), lebih lebar (1,890 mm) namun dengan jarak antara roda yang sama panjang.

Kia Carnival pula menampilkan ukuran dimensi yang jauh lebih besar, sepanjang 5,155 mm, lebar 1,995 mm, jarak antara roda 3,090 mm namun lebih rendah (1,740 mm).

Yang paling besar? Sudah tentu Zeekr 009.

Dengan dimensi sepanjang 5,209 mm, ia juga lebih lebar (2,024 mm) dengan jarak antara roda yang lebih panjang (3,205 mm). Ketinggian pula sekitar 1,848 mm, bermakna ia sedikit rendah berbanding Alphard/Vellfire.

 

Enjin

Ini merupakan satu perbandingan yang cukup menarik, memandangkan kelima-lima model MPV premium ini dilengkapi dengan nadi penggerak yang berbeza.

Yang paling lemah kuasanya sudah tentu Toyota Vellfire dengan enjin 2.5 liter NA berkuasa 180 hp dan 235 Nm.

Toyota Alphard pula hadir dengan enjin 2.4 liter turbo berkuasa 274 hp dan 430 Nm, sementara Lexus LM hadir dengan enjin berkapasiti serupa namun dengan tetapan hibrid, kuasa keseluruhan mencecah 371 hp dan 550 Nm.

Kia Carnival hadir dengan enjin diesel 2.2 liter turbo yang telah ditawarkan sejak sekian lama, menghasilkan 199 hp dan 440 Nm.

Sementara Zeekr 009 pula merupakan sebuah EV dengan dua motor elektrik berkuasa 603 hp dan 693 Nm, sistem pacuan semua roda, serta pek bateri 116 kWh dengan jarak gerak sejauh 582 km (data WLTP).

Disebabkan motor elektrik yang cukup berkuasa, MPV ini mampu memecut sepantas 4.5 saat dari 0-100 km/j. Sesuai sangat digunakan untuk mengangkut para VIP yang sukar menepati masa di Malaysia.

 

Harga

Salah satu aspek yang dipertimbangkan oleh golongan pembeli (baca: baik beli) di Malaysia ialah harga jualan.

Yang paling murah dalam senarai ini sudah pasti Kia Carnival, di mana varian paling asas boleh didapati dengan harga jualan serendah RM198,500 sahaja. Carnival yang paling mahal mempunyai tanda harga RM259,888.

Beralih kepada trio Toyota/Lexus.

Yang paling murah antara ketiga-tiga model tersebut ialah Toyota Vellfire dengan harga jualan paling rendah, sekitar RM438,000.

Toyota Alphard pula sedikit mahal, berharga RM538,000 sementara Lexus LM yang jauh lebih premium pula boleh didapati dari RM1,228,000 hingga RM1,468,000!

Zeekr 009 pula nampaknya lebih selesa duduk di tengah-tengah, dengan harga jualan anggaran bawah RM370,000. Harga jualan sebenar hanya bakal diketahui selepas ia rasmi dilancarkan kelak.

Baik beli?

Pusat pameran Honda BigWing Damansara PJ kini rasmi dibuka

Boon Siew Honda mengumumkan pembukaan rasmi pusat pameran Honda BigWing Damansara di Petaling Jaya pada 12 Oktober yang lalu.

Dikendalikan oleh Fast Bikes Sdn Bhd, pusat pameran eksklusif untuk motosikal besar Honda ini menggunakan konsep terbuka yang menawarkan pelbagai jenis model Big Bike Honda termasuklah motosikal touring sehinggalah kepada model adventure.

Fasiliti Honda BigWing yang kelima ini juga menempatkan pusat servis dan ruang menunggu yang selesa, menjadikannya pusat sehenti yang cukup lengkap untuk para peminat dan pemilik Honda Big Bike.

Honda BigWing Damansara terletak di alamat 3, Jalan 13/1, Seksyen 13, 46200 Petaling Jaya, Selangor dan dibuka setiap hari dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang.

Pelanggan dialu-alukan untuk berkunjung dan melihat model yang dipamerkan, atau menempah temujanji slot servis menerusi platform Honda X atau hubungi sahaja 03-79609007 untuk sebarang bantuan.

JAC i40 kini di Malaysia, trak elektrik 141 hp, 300 Nm, jarak gerak 300 km, dari RM156k

R&A Greentech Solutions Sdn Bhd, sebuah subsidiari di bawah Sendok Group memperkenalkan sebuah lagi trak komersial berkuasa elektrik, JAC i40 untuk pasaran tempatan.

JAC i40 boleh didapati dalam empat binaan badan, iaitu kargo kayu, kotak peti sejuk, kotak corrugated serta van kotak standard.

Dari segi dimensi, i40 membawakan ukuran sepanjang 5,300 mm, lebar 1,750 mm, tinggi 1,990 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,100 mm serta berat kasar kenderaan (GVW) sekitar 3,700 kg.

Ia dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 141 hp dan daya kilas 300 Nm, di mana sumber kuasa diperoleh daripada pek bateri berkapasiti 63.75 kWh.

Jarak gerak adalah sekitar 230 km mengikut data WLTP, atau sehingga 300 km pada kelajuan maksimum 60 km/j.

JAC i40 menyokong pengecasan AC (20-100 peratus dalam masa 8.5 jam, serta pengecasan pantas DC 90 kW membolehkan bateri dicas 20-80 peratus dalam masa 40 minit sahaja.

Untuk ruang kabin, JAC i40 membawakan ciri seperti skrin kluster TFT lima inci, skrin tengah sebesar tujuh inci dengan sokongan Bluetooth dan kamera undur, serta tombol rotari di bahagian tengah.

Ciri keselamatan termasuklah ABS, EBS, Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Kestabilan Elektronik, serta Sistem Amaran Kelajuan Rendah untuk Pejalan Kaki.

Untuk pasaran Malaysia, harga jualan JAC i40 bermula dari RM155,600 (atas jalan tanpa insurans) untuk versi asas, dan boleh mencecah RM223,800 untuk versi kotak peti sejuk.

Hot Wheels umum Proton Saga varian warna putih, pelancaran minggu ini

Berita baik buat para pengumpul kereta berskala 1:64, ini kerana Hot Wheels baru sahaja mengumumkan kemunculan varian baharu untuk model Proton Saga.

Kereta berwarna putih itu diletakkan dalam siri Case B 2025 dan dijangka akan memasuki pasaran dalam masa terdekat.

Berdasarkan hantaran di Facebook, Hot Wheels turut menganjurkan sesi buka kotak bertempat di LG2 Blue Concourse Sunway Pyramid bermula 11-13 Oktober ini.

Ini merupakan varian kedua yang dihasilkan oleh Hot Wheels setelah varian pertama berwarna merah mula dijual sejak tahun lepas.

Saga berwarna putih ini masih lagi menampilkan ciri rekaan yang wujud pada Saga merah, seperti logo asli Saga, logo Hot Wheels dan juga ret roda Aerodisc.

Dapatkan kereta pra-milik Volvo SELEKT, harga serendah RM165k 19-20 Oktober ini

Volvo Car Malaysia akan menganjurkan acara Volvo Executive Car Sales bertempat di Sympony Square, Petaling Jaya pada 19 dan 20 Oktober ini, 10 pagi hingga 6 petang.

Sebanyak lebih daripada 50 buah kereta Volvo SELEKT akan dipamerkan dengan harga jualan bermula serendah RM165,000, termasuklah unit yang digunakan secara eksklusif oleh pihak pengurusan.

Menariknya, semua kereta yang dijual mempunyai jarak perbatuan tidak melebihi 15,000 km, dengan yang paling rendah dicatatkan sekitar 1,200 km sahaja.

Namun begitu, semua model kereta hadir dengan jaminan kenderaan tanpa had jarak perjalanan, Volvo Service Inclusive untuk model EV, perkhidmatan digital, bantuan tepi jalan 24 jam serta jaminan bateri voltan tinggi sama seperti kereta baharu.

Ini juga merupakan peluang terakhir bagi para peminat wagon untuk mendapatkan model Volvo V60 Recharge, memandangkan pengeluarannya telah pun dihentikan oleh Volvo Car Malaysia.

Model wagon ini menawarkan kuasa 462 hp dengan kadar penggunaan bahan api serendah 1.4 liter/100 km dalam mod hibrid, selain menawarkan jarak gerak elektrik sehingga 90 km.

Dua EV Volvo juga akan turut dipamerkan di acara Volvo Executive Car Sales, iaitu Volvo C40 dan Volvo XC40 Recharge Pure Electric.

Anda boleh membuat temujanji menerusi laman web https://bit.ly/VolvoMY-ExecutiveSales

Masalah stereng, Honda USA panggil semula 1.7 juta kenderaan

Di Amerika Syarikat, Honda dan Acura melaksanakan kempen panggil semula melibatkan sejumlah 1,693,199 unit kenderaan, menurut laman Automotive News.

Berdasarkan info daripada agensi NHTSA, terdapat masalah pada proses pemasangan komponen stereng yang mengakibatkan berlakunya geseran dalaman yang berlebihan.

Keadaan ini boleh menyebabkan sesetengah pemilik berdepan kesukaran untuk mengendalikan kenderaan.

Honda mengesyaki masalah rak stereng tersebut hanya melibatkan satu peratus kenderaan sahaja, atau sekitar 17,000 unit daripada jumlah yang dipanggil semula.

Masalah pada stereng ini mula dikesan sejak September 2021, di mana sehingga kini sebanyak 10,328 tuntutan waranti telah diterima oleh Honda.

Agensi NHTSA turut menerima 13 laporan kemalangan berkaitan dengan masalah stereng, termasuk 11 kes yang diadu oleh pemandu yang tidak dapat mengawal kenderaan dengan baik. Mujur tiada sebarang insiden kecederaan dilaporkan.

Antara model yang terjejas termasuklah Acura Integra (model tahun 2023-2025), Honda Civic (2023-2025, termasuk model hibrid), Honda Civic Type R (2023-2025), Honda CR-V (2023-2025 termasuk CR-V FCEV 2025) dan juga Honda HR-V (2023-2025).

Honda USA merancang untuk menggantikan komponen worm gear spring dengan komponen baharu, dan menambah gris untuk mengurangkan geseran pada setiap kereta yang dipanggil semula tanpa sebarang kos tambahan.

Haval H6 HEV 2024 rasmi, 243 PS/530 Nm, dari RM139,800

Great Wall Motors Malaysia (GWM) Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model SUV hibrid Haval H6 HEV 2024.

Ia dikuasakan oleh unit rangkaian kuasa hibrid, terdiri daripada enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo (150 PS/230 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik (177 PS/300 Nm), menghasilkan kuasa keseluruhan 243 PS dan 530 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua nisbah kelajuan.


Hanya ada satu varian sahaja ditawarkan, iaitu H6 HEV Ultra dengan kelengkapan seperti struktur jeriji ‘Star Matrix’, unit lampu LED matriks, serta rim aloi 19 inci kemasan hitam berkilat.

Sementara ruang kabin pula mendapat ciri seperti skrin infohibur 12.3 inci, kawalan iklim dua zon, corong pendingin hawa baris kedua, tempat duduk balutan kulit, pintu tailgate berkuasa, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, bumbung kaca panorama, skrin paparan head-up serta sistem audio dengan lapan pembesar suara.

Ruang kargo adalah sebesar 560 liter dan mampu mencapai kapasiti sehingga 1,485 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.

Dari segi keselamatan, Haval H6 HEV datang dengan enam beg udara, sistem kamera keliling 360 darjah, brek kecemasan autonomi, kawalan jelajah adaptif, bantuan kesesakan trafik, amaran lintasan trafik belakang, bantuan penukaran lorong serta sistem bantuan parkir.

Harga jualan Haval H6 HEV 2024 bermula dari RM139,800, lengkap dengan jaminan penuh kenderaan selama tujuh tahun/200,000 km, jaminan enjin selama 10 tahun atau satu juta km had perbatuan, serta jaminan lapan tahun atau satu juta km had perbatuan untuk komponen HEV.

Selain daripada tawaran pakej servis percuma selama lima tahun dan rebat RM3,000 untuk tempahan selewat-lewatnya 20 Oktober 2024, pemilik kenderaan GWM sedia ada juga boleh menikmati rebat tambahan bernilai RM3,000.

TASKL 2024 bakal pamer lebih 300 kereta ubahsuai termasuk 15 kereta khas dari Jepun!

Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2024 bakal berlangsung pada 8 hingga 10 November ini bertempat di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC).

Untuk penganjuran tahun ini, penganjur akan menyediakan ruang seluas 170,000 kaki persegi untuk mempamerkan lebih daripada 300 buah kereta ubahsuai, termasuk 15 buah kereta yang dibawa khas dari Jepun.

Acara TASKL 2024 akan menyaksikan kemunculan semula ikon Top Secret, iaitu Smoky Nagata, serta beberapa penala terkenal seperti Veilside, Trust/Greddy, Option, San Ei Corporation dan juga pengeluar diecast Tomica.

 

Selain daripada barangan eksklusif, TASKL 2024 akan turut menampilkan model Nissan GT-R R33 Nismo 400R skala 1:64 berwarna chameleon keluaran Inno64 yang boleh dibeli dalam talian dengan setiap pembelian tiket, atau semasa acara berlangsung (sementara stok masih tersedia).

Seperti yang telah kami laporkan sebelum ini, para pengunjung berpeluang untuk membawa pulang hadiah cabutan bertuah berupa sebuah Honda Civic Type R FK8 Mugen.

Caranya mudah sahaja, pengunjung hanya perlu membuat pembelian tiket dan pembayaran tambahan sebanyak RM28 untuk layak masuk ke dalam sesi cabutan.

Untuk mengetahui harga tiket TASKL, sila klik pautan dibawah:

TASKL 2024 umum Honda Civic Type R FK8 Mugen sebagai hadiah cabutan bertuah!

Restomod Kia Pride EV ini siap dengan kotak gear manual 5-kelajuan!

Bersempena dengan sambutan ulang tahun yang ke-80, Kia UK tampil dengan sebuah projek restomod hatchback kecil tahun 90-an keluaran jenama itu, Kia Pride EV.

Kereta kompak ini asalnya merupakan versi tukar lencana daripada Ford Festiva, dan turut dipasarkan sebagai model Mazda 121.

Jika dulu ia dilengkapi dengan enjin pembakaran dalaman 1.1 dan 1.3 liter, projek restomod terbaharu ini telah menggantikan peranan nadi tersebut dengan unit rangkaian kuasa sifar emisi berkuasa 107 hp dan 235 Nm.

Menggunakan kepakaran Electrogenic, Kia turut mengekalkan padanan transmisi manual lima nisbah kelajuan yang asal, namun dengan kit klac berorientasikan prestasi.

Biarpun dengan perubahan yang dinyatakan, berat keseluruhan Pride EV ini cuma 870 kg sahaja, atau 20 kg lebih berat berbanding model asal.

Sebagai perbandingan, EV moden Kia EV6 dengan motor elektrik tunggal 225 hp mempunyai berat badan sekitar 2,065 kg.

Kia Pride turut menawarkan beberapa pilihan mod pemanduan.

Dalam mod Eco, ia mengehadkan kuasa kepada 60 hp/118 Nm dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 11.8 saat, sama seperti model ICE yang asal.

Mod pemanduan Auto (80 hp/176 Nm) pula menawarkan pengalaman pemanduan EV yang lebih moden, serta fungsi brek regeneratif yang cukup sesuai digunakan di dalam bandar.

Mod Sport pula membolehkan pecutan 0-100 km/j diselesaikan dalam tempoh lapan saat.

Karakteristik yang sporti itu berjaya disembunyikan dengan baik menerusi pengekalan ciri tayar saiz 12 inci lengkap dengan plastik pelindung rim yang asli.

Malah soket pengecasan juga turut disorok di sebalik penutup corong pengisian bahan api asal yang boleh dikunci dari luar.

Selain rupa paras yang standard, Kia hanya menaik taraf beberapa aspek seperti contoh cat luaran White Pearl, lampu depan dan belakang, diikuti dengan balutan fabrik baharu untuk ruang kabin.

Malah, kluster meter instrumen yang asal masih lagi dikekalkan, melainkan tolok bahan api telah diubah menjadi meter indikasi kapasiti bateri.

Satu kekurangan ketara Kia Pride EV ini ialah jarak gerak yang agak terhad, sekitar 193 km sahaja.

Ini kerana tidak seperti EV moden, Kia Pride EV ini telah dipasang dengan dua unit pek bateri kecil, masing-masing berkapasiti 10 kWh (satu di hadapan dan satu lagi di bawah lantai trunk).

Dengan kuasa pengecasan 3.3 kW, ia mengambil masa kira-kira enam jam untuk siap cas sepenuhnya.

Melihatkan kepada tahap kekemasan yang ditunjukkan oleh Kia Pride EV, tidak salah rasanya untuk pengeluar tempatan untuk tampil dengan projek restomod binaan sekali menggunakan model ikonik seperti Proton Saga Knight atau Perodua Kancil.