All posts by Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

Land Rover hidupkan kembali generasi Defender klasik, enjin V8 405 hp, 515 Nm

Disebabkan sukar untuk memenuhi keperluan undang-undang keselamatan dan emisi, Jaguar Land Rover membuat keputusan untuk menghentikan terus produksi Defender klasik pada tahun 2016.

Kehadiran model Defender generasi baharu pada tahun 2019 membawakan perubahan yang cukup besar, di mana ia kini menggunakan casis monocoque aluminium berbanding binaan body-on-frame pada model terdahulu.

Perubahan teknologi yang dibawakan itu tidak bermakna Land Rover akan terus mengenepikan generasi Defender klasik.

Menerusi divisyen Works Bespoke, Land Rover mengumumkan projek kemunculan semula SUV off-road klasik yang lengkap dengan penawaran enjin bentangan V8.

Ia bukanlah model yang dipasang serba baharu, sebaliknya ia merupakan projek restomod berdasarkan model penderma tahun 2012-2016 dan boleh didapati dalam versi jarak roda pendek 90 atau 110 yang lebih praktikal.

Enjin V8 yang dimaksudkan itu mampu menghasilkan kuasa setinggi 405 hp dan 515 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik ZF lapan kelajuan.

Aspek gantungan dinaiktaraf dengan penggunaan peredam Bilstein, spring Eibach serta bar anti-oleng, sementara sistem brek pula menggunakan angkup empat omboh Alcon dengan rotor bersaiz 335 mm di depan diikuti rotor 300 mm di belakang.

Untuk ruang kabin, Land Rover masih lagi mengekalkan susun atur papan pemuka yang olskool, namun dengan penambahan skrin sentuh sekecil 3.5 inci yang lengkap dengan navigasi satelit dan radio digital.

Selain itu, terdapat tempat duduk hadapan Recaro, serta pilihan kemasan kulit dengan lima warna tona tunggal atau lapan kemasan warna dual tona.

Land Rover turut menawarkan pakej penyesuaian bermula dengan pemasangan khemah bumbung dan tangga sehinggalah kepada ubahsuai menjadi sebuah kenderaan pekhemah.

Harga untuk sebuah model Land Rover Defender 90 bermula dari £190,000 (RM1.08 juta) sementara versi lima tempat duduk 110 pula bermula dari £199,000 (RM1.13 juta).

Terdapat varian 110 dengan tujuh tempat duduk tersedia, di mana anda perlu membayar wang sebanyak £204,000 (RM1.16 juta).

Jika kos yang dinyatakan itu terlalu mahal, terdapat alternatif yang lebih murah.

Di UK, anda boleh mendapatkan SUV off-road Ineos Grenadier yang diinspirasikan daripada Land Rover Defender, dengan harga jualan bermula dari £65,015 (RM398,875).

Ia dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris 3.0 liter dengan output 282 hp/450 Nm untuk versi petrol, atau 245 hp/550 Nm untuk versi diesel, dipadankan dengan transmisi automatik ZF lapan-kelajuan.

 

Crossover elektrik smart #5 2025 debut, tawar jarak pemanduan sejauh 740 km

Beberapa bulan selepas model Concept #5 diperlihatkan, smart akhirnya memperkenalkan model crossover baharu #5 2025.

smart #5 secara asasnya merupakan sebuah SUV saiz pertengahan premium yang membawakan bentuk badan berkotak dengan saiz yang menyamai sebuah SUV GLC-Class.

Berikut merupakan informasi yang perlu anda tahu tentang smart #5:

 

1. Dimensi

smart #5 berukuran 4,705 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,705 mm tinggi dengan jarak antara roda sepanjang 2,900 mm.

Sebagai perbandingan, smart #5 membawakan saiz yang lebih besar berbanding Mercedes-Benz GLB-Class, namun kecil sedikit berbanding GLC-Class.

 

2. Ruang storan

Disebabkan saiz yang lebih besar berbanding smart #1 dan #3, smart #5 mampu menawarkan lebih banyak ruang storan dalam ruang kabin, dengan kapasiti kargo mampu mencecah sehingga 1,530 liter.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga ruang ‘frunk’ di hadapan yang lebih sesuai digunakan untuk meletakkan barangan yang lebih kecil saiznya.

 

3. Kabin premium

Antara ciri mewah yang dimuatkan pada ruang kabin termasuklah tempat duduk graviti sifar, balutan kulit premium, trim kayu oak, sistem audio Sennheiser dengan 21 pembesar suara serta sistem pencahayaan ambien dengan 256 pilihan warna tersedia.

Papan pemuka menempatkan skrin kluster digital 10.3 inci, diikuti dua skrin sebesar 13 inci yang turut menampilkan avatar AI Leo, dan paparan head-up realiti terimbuh sebesar 25.6 inci.

Selain itu, terdapat juga tempat duduk baris belakang dengan fungsi pemanasan dan sudut sandaran boleh laras, penghadang cahaya matahari berkuasa elektrik, lampu bacaan LED ala kabin kelas pertama, dan mod selesa khas yang menyediakan lebih banyak ruang kaki.

Tempat duduk baris belakang juga boleh dilipat untuk menyediakan ruang tidur yang selesa.

 

4. Boleh gerak sejauh 740 km

smart #5 dibekalkan dengan pek bateri berkapasiti 100 kWh dengan jarak pemanduan sejauh 740 km (data CTLC).

Teknologi pengecasan 800 voltan juga membolehkan pengecasan pantas DC di mana bateri boleh dicas dari 10-80 peratus dalam tempoh 15 minit.

Berdasarkan info daripada laman web kementerian China, smart #5 bakal ditawarkan dengan versi RWD berkuasa 335 hp atau 358 hp, sementara versi pacuan semua roda (AWD) pula menggandingkan motor elektrik gandar depan berkuasa 221 hp dengan pilihan motor elektrik 358 hp atau 416 hp pada gandar belakang.

 

5. Ciri luaran

Tidak seperti smart #1 dan #3 yang nampak lebih bulat, smart #5 pula membawakan penampilan yang lebih gagah dan lasak.

Unit lampu utama membawakan bentuk yang lebih bersegi, diikuti padanan plastik pelindung keliling badan, pemegang pintu tertanam dalam badan, serta rim aerodinamik dengan penutup tengah jenis terapung.

Pemilik yang mahukan versi lebih lasak boleh mendapatkan varian Summit Edition yang menambah bar lampu pada bumbung, tempat pemijak sisi, tangga, perlindungan bawah badan, rim lebih agresif, cangkuk trailer serta kotak storan yang boleh dipasangkan pada tiang C/D.

Mitsubishi Malaysia rai pemilik Xpander yang ke-40,000

Mitsubishi Motors Malaysia selaku pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia baru-baru ini mengumumkan pencapaian penting di mana pengeluaran MPV tujuh tempat duduk Xpander sudah mencecah angka 40,000 unit.

Pemilik Xpander yang ke-40,000, Puan Zaty Ewany, seorang guru dan ibu kepada lima orang anak yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu diraikan dalam satu majlis yang diadakan di pengedar sah MMM, RIF Auto Sdn Bhd.

CEO MMM, Shinya Ikeda menyampaikan sendiri baucer percutian bernilai RM10,000 kepada Puan Zaty Ewany.

“Apabila kami melancarkan Xpander pada lewat tahun 2020, visi kami adalah untuk mencipta sebuah kenderaan yang bukan sahaja dapat memenuhi pelbagai keperluan pelanggan, tetapi juga dapat memperkayakan gaya hidup mereka,” ujarnya.

Di peringkat Asia Tenggara, Mitsubishi Xpander telah dikemaskini pada tahun 2021 dengan membawakan rupa paras yang lebih garang, namun ia masih kekal dengan enjin 1.5 liter 4A91 menghasilkan 105 PS dan 141 Nm.

Awal tahun yang lalu, versi hibrid dilancarkan di pasaran Thailand di mana ia kini dilengkapi dengan enjin 1.6 liter 4A92 berkuasa 95 PS/134 Nm yang dipadankan dengan motor elektrik 116 PS/255 Nm.

Toyota Camry 2025 masih lagi ditawarkan dengan enjin petrol di Timur Tengah

Untuk pasaran tertentu seperti Amerika Utara dan Eropah, generasi kesembilan sedan segmen D Toyota Camry merupakan model hibrid semata-mata dan tidak lagi tersedia dengan enjin petrol konvensional.

Namun, ia bukanlah petanda Toyota terus mengabaikan unit rangkaian kuasa tradisional tersebut.

Di Timur Tengah, pembeli masih lagi boleh mendapatkan Camry generasi baharu dengan enjin petrol tulen berserta varian hibrid.

Ia masih lagi dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 2.5 liter berkuasa 201 hp dan 240 Nm yang sama seperti digunakan oleh generasi terdahulu.

Enjin tersebut dipadankan dengan dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.

Reka bentuk luaran Camry 2025 tidak banyak beza dengan apa yang ditawarkan di pasaran Amerika Syarikat.

Varian aras mula mendapat rim keluli bersaiz 16 inci, sementara versi tertinggi pula mendapat rim aloi sebesar 18 inci.

Susun atur ruang kabin juga adalah sama sahaja, di mana varian asas dibekalkan dengan skrin infohibur sebesar 8 inci, manakala skrin 12.3 inci pula dikhaskan untuk trim yang lebih mahal.

Untuk makluman, generasi baharu Toyota Camry 2025 mengekalkan asas platform TNGA-K yang sama digunakan pada Camry generasi kelapan, dengan beberapa perubahan dibuat terhadap aspek keselesaan dan pengendalian.

Di UAE, Toyota Camry 2025 dijual pada harga bermula dari AED 109,900 (RM129,996) dan dari AED 123,900 (RM146,555) untuk versi hibrid.

Himpunan 370 buah model VW Golf masuk Malaysia Book of Records

Bertempat di Litar Antarabangsa Sepang, sebanyak 370 unit model Volkswagen Golf telah berjaya dihimpunkan dalam acara Golf Fan Fest 2024 yang berlangsung pada 24 Ogos yang lepas.

Kejayaan ini sekaligus meletakkan nama Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dalam Malaysia Book of Records.

Golf Fan Fest 2024 dianjurkan bersempena dengan sambutan ulang tahun Golf yang ke-50 di mana ia berjaya mengumpulkan para pemilik dan peminat Volkswagen dari seluruh negara.

VW Golf merupakan salah satu kereta produksi yang paling berjaya pernah dihasilkan, dengan lebih daripada 37 juta unit telah diedarkan di lebih 70 buah negara.

Sebagai sebahagian daripada sambutan tersebut, VPCM turut memperlihatkan model eksklusif Golf GT Edition 50 dengan angka produksi dihadkan kepada 50 unit sahaja dan harga jualan RM267,990.

VW Golf GTI Edition 50 dipasang sepenuhnya di kilang Pekan dengan membawakan ciri unik seperti kit badan Oettinger, rim baharu bersaiz 18 inci berserta penutup tengah dinamik, grafik badan sisi, emblem 50 pada bahagian luar dan dalam, serta pilihan warna Oryx White atau Moonstone Grey.

Selain daripada itu, Golf Fan Fest 2024 turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuklah cabaran pemanduan gymkhana, sesi ‘drift taxi ride’ dalam Golf R, sesi litar terbuka, pameran lapan generasi Golf, sesi pandu uji serta bengkel yang merangkumi pelbagai aspek pemilikan model Golf.

Xpeng G6 Ultra Smart Coupe SUV 2024 rasmi, dua varian, dari RM165k

Bermaz XPeng Sdn Bhd selaku pengedar rasmi kenderaan berjenama XPeng di Malaysia melancarkan model SUV elektrik pertama, iaitu Xpeng G6 2024.

Crossover saiz pertengahan dengan reka bentuk badan coupe ini ditawarkan dalam dua varian utama, iaitu 580 Pro dengan jarak gerak 435 km dan 755 Pro dengan jarak gerak 570 km.

Berikut merupakan beberapa fakta menarik yang anda perlu tahu pasal Xpeng G6 Ultra Smart Coupe 2024.

 

1. Platform SEPA 2.0

XPeng G6 merupakan model kelima yang diperkenalkan oleh XPeng, namun ia adalah model produksi pertama yang dibina berdasarkan platform Smart Electric Platform Architecture 2.0 (SEPA 2.0) dengan senibina elektrik 800 voltan dan kelebihan ruang kabin yang lebih luas.

Selain itu, ia turut menawarkan titik graviti yang lebih rendah, menyumbang kepada kawalan dinamik pemanduan yang lebih baik.

Binaan badan XPeng G6 pula menggandingkan bahan aluminium dan keluli.

 

2. Kuasa

Dua varian ditawarkan iaitu G6 580 Pro dan G6 755 Pro.

G6 580 Pro dikuasakan oleh motor elektrik 255 hp/440 Nm yang dipadankan dengan pek bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) 66 kWh.

Ia mampu bergerak sejauh 435 km untuk sekali cas penuh, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.6 saat.

Sementara G6 755 Pro pula mendapat motor elektrik 282 hp/440 Nm yang dipadankan dengan pek bateri Nickel Manganese Cobalt (NMC) 87.5 kWh yang membenarkan jarak gerak sejauh 570 km.

Pecutan 0-100 km/j pula memakan masa 6.2 saat.

Kedua-dua varian mempunyai kelajuan maksimum 200 km/j.

 

3. Pengecasan sepantas 20 minit

XPeng G6 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 215 kW untuk varian 580 Pro, atau sehingga 280 kW untuk varian 755 Pro.

Ini bermakna, pengecasan bateri dari 10-80 peratus boleh diselesaikan sepantas 20 minit.

 

4. Keselamatan

XPeng G6 secara standard dibekalkan dengan fungsi keselamatan XPILOT 2.5  yang merangkumi 7 beg udara, serta ciri keselamatan termaju seperti berikut:
-Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dengan Stop & Go
-Kawalan Pengekalan Pusat Lorong (LCC)
-Bantuan Penukaran Lorong Aktif (ALC)
-Bantuan Parkir Auto (EAP 2.0)
-Bantuan Keluar Parkir Auto (AEP)
-Pemantauan Keadaan Pemandu (DSM)
-Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
-Bantuan Suluhan Tinggi (IHB)
-Amaran Keluar Lorong (LDW)
-Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
-Pengekalan Lorong Kecemasan (ELK)
-Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
-Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)

Kesemua fungsi diatas dibantu dengan kelengkapan seperti radar gelombang milimeter, radar ultrabunyi, serta kamera HD 360 darjah yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Nvidia Orin-X.

 

5. Ruang kabin

XPeng G6 menerapkan konsep ‘Circle of Life’ pada ruang kabin bagi memastikan penumpang duduk dengan selesa.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah tempat duduk pemandu dan penumpang balutan leatherette dengan fungsi larasan enam tahap, fungsi pengudaraan dan pemanasan, dan sokongan tulang lumbar empat tahap, sementara tempat duduk baris kedua juga turut dilengkapi dengan fungsi pemanasan.

Selain itu, terdapat juga pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W, kawalan iklim dua zon automatik, sistem penapisan udara XFreeBreath, skrin digital 10.2 inci, skrin infohibur 14.96 inci dengan Xmart OS 5.0, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sokongan kemaskini over-the-air (OTA).

Melengkapi pengalaman unik dalam kabin ialah sistem bunyi keliling XOpera 960W dengan 18 pembesar suara, teknologi bunyi panorama dan algoritma akustik yang dibangunkan sendiri oleh XPeng.

 

6. Harga

XPeng G6 Ultra Smart Coupe SUV 2024 merupakan unit import penuh (CBU) dari China dengan lima pilihan warna iaitu Midnight Black, Silver Frost, Artic White, Graphite Gray, dan Fiery Orange.

Harga jualan bermula dari RM165,000 untuk varian G6 580 Pro, sementara varian 755 Pro pula berharga RM185,000.

XPeng G6 didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau jarak perbatuan 120,000 km, serta jaminan pek bateri bervoltan tinggi selama lapan tahun atau had perbatuan 160,000 km (yang mana tiba dahulu).

Carbon Piranha, projek restomod guna casis Ford Sierra Cosworth RS500 #148

Sekumpulan syarikat OEM Britain bakal bergabung tenaga di bawah nama Vision 148 untuk melaksanakan projek restomod super saloon era 80-an yang dinamakan sebagai projek Carbon Piranha.

Menggunakan casis Ford Sierra Cosworth RS500 bernombor #148, Carbon Piranha bakal mempamerkan teknologi termaju serta proses pengeluaran yang masih belum digunakan pada mana-mana projek.

Kondisi kereta yang asal tidak didedahkan, namun berdasarkan gambar ia menunjukkan jentera klasik itu mungkin sudah lama tersadai dan tidak dipandu untuk tempoh yang agak lama.

Kereta tersebut akan dihantar ke ASM Auto Recycling untuk proses peleraian di mana setiap satu panel akan diimbas menggunakan 3D-scan.

Hasil daripada proses pengimbasan tersebut akan digunakan oleh Yasid Design untuk mencipta templat kerangka badan gentian karbon serba baharu.

Jentera ikonik ini kemudian akan dibina oleh Digital Manufacturing Centre (DMC), sebuah syarikat pembekal komponen untuk industri sukan permotoran dan aeroangkasa, dengan sasaran untuk mencapai berat sekitar 1,000 kg, atau 210 kg lebih ringan berbanding model asal.

Akhir sekali, enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo itu akan dibina semula oleh pembekal asal Cosworth.

Rekaan luaran Carbon Piranha ini menampakkan penguasaan bahan binaan gentian karbon, diikuti unit lampu yang lebih moden, serta gerbang roda yang lebih besar.

Ia juga turut mengekalkan struktur spoiler ekor paus, diikuti dengan spoiler boot lid yang telah direka semula untuk penampilan yang lebih agresif.

Buat pertama kalinya BMW atasi jualan EV Tesla di Eropah

Tesla kini bukan lagi kuasa besar dalam segmen kenderaan elektrik, sekurang-kurangnya di benua Eropah.

Berdasarkan data yang diperoleh daripada JATO Dynamics, BMW telah berjaya menjual sebanyak 14,869 unit EV sepanjang Julai 2024.

Untuk perbandingan, Tesla telah menjual sebanyak 14,561 unit untuk tempoh yang sama.

Biarpun dengan perbezaan yang kecil, ini menunjukkan pengeluar Jerman itu kini berjaya mengatasi jualan EV Tesla walaupun dalam masa yang sama masih lagi menawarkan pilihan kenderaan berkuasa petrol serta hibrid kepada pengguna.

Analisis JATO Dynamics menunjukkan prestasi jualan bagi dua model penting Tesla (Model Y dan Model 3) menurun pada bulan lepas, di mana jualan Model Y menurun 16 peratus kepada 9,544 unit manakala Model 3 pula jatuh 17 peratus kepada 4,694 unit.

Tesla mungkin masih boleh berbangga kerana Model Y masih lagi merupakan EV yang paling laris terjual, mengalahkan Volvo EX30 (6,573 unit) dan Volkswagen ID.4 (5,295 unit).

Walaupun berjaya memegang gelaran EV paling laris terjual, angka tersebut sebenarnya masih lagi jauh ketinggalan berbanding prestasi jualan model yang paling laris terjual di Eropah, iaitu Dacia Sandero.

Sepanjang tempoh Julai, Dacia Sandero berjaya menduduki tangga pertama dengan jualan sebanyak 22,398 unit, diikuti Volkswagen T-Roc (19,254 unit) dan Toyota Yaris Cross (17,314 unit).

Toyota rancang produksi Century SUV GRMN

Genre SUV berprestasi tinggi kini bukan lagi satu keanehan, memandangkan sudah banyak pengeluar berlumba-lumba menghasilkan produk yang tersendiri.

Tidak terhad kepada pengeluar seperti Audi RS, Mercedes-AMG dan BMW M, malah terdapat juga SUV pantas daripada jenama automotif premium seperti Aston Martin, Bentley dan Lotus.

Bagaimana pula dengan Toyota?

Untuk makluman, Toyota masih lagi belum mempunyai barisan SUV berprestasi tinggi, namun pengeluar itu dikatakan merancang ntuk menghasilkan sebuah model berlencana Gazoo Racing dalam masa terdekat.

Ketika melakukan lawatan ke China untuk berjumpa sendiri dengan para pemilik Century SUV, pengerusi Toyota Akio Toyoda mendedahkan perancangan untuk menghasilkan model Century SUV GRMN supaya “lebih ramai orang dari seluruh dunia dapat menikmati model tersebut.”

Dibina berdasarkan platform TNGA-K, Century SUV dibekalkan dengan enjin bentangan V6 3.5 liter plug-in hybrid menghasilkan kuasa setinggi 406 hp.

Ketika pelancaran model Century SUV, Toyota turut memperlihatkan sebuah model binaan khas Century SUV GRMN dengan penampilan yang lebih sporti, serta rekaan pintu belakang jenis gelangsar.

Untuk model Century SUV varian Gazoo Racing Meister of Nurburgring ini, kita boleh jangkakan naik taraf spesifikasi yang jauh lebih tinggi berbanding model standard GR Sport dan model-model GR (GR Yaris, GR Corolla, GR Supra).

Model Century SUV GRMN tersebut dimiliki oleh Akio Toyoda, di mana beliau juga turut mempunyai sebuah model sedan Century GRMN dengan penampilan yang jauh lebih radikal berbanding sedan Century standard di luar sana.

MG HS 2024 – SUV segmen C, enjin 1.5L turbo, dua varian, harga anggaran RM130k-RM150k

Selain model sedan fastback MG5, SAIC Motor Malaysia turut melancarkan sebuah lagi model baharu, iaitu SUV segmen C MG HS 2024.

Untuk pasaran Malaysia, MG HS boleh didapati dalam dua varian utama, iaitu HS Standard dan HS Lux.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Kuasa

MG HS dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo TGI dengan kuasa 162 PS @ 5,600 rpm dan daya kilas 250 Nm @1,700-4,400 rpm.

Kuasa itu disalurkan ke roda menerusi transmisi klac berkembar automatik (DCT) tujuh nisbah kelajuan.

Untuk keseronokan pemanduan, terdapat Super Sport Mode yang menyediakan respons pendikit yang lebih pantas, penukaran gear pada RPM yang lebih tinggi dan talaan stereng yang lebih jitu.

 

2. Luaran

Secara standard, MG HS mendapat ciri seperti lampu LED automatik, DRL, lampu belakang LED, rel bumbung, spoiler belakang, serta rim aloi bersaiz 17 inci.

Sementara varian Lux pula mendapat ciri tambahan seperti rotor brek berliang berserta angkup merah, bumbung panorama, pintu tailgate berkuasa, dan rim aloi belahan berlian 18 inci.

 

3. Kabin

Ruang kabin MG HS dilengkapi dengan upholsteri balutan kulit hitam, tempat duduk pemandu larasan enam tahap (sokongan lumbar manual), diikuti dengan tempat duduk penumpang larasan empat tahap.

Terdapat juga skrin Multi Info Display bersaiz tujuh inci, skrin infohibur 10.1 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan iklim zon tunggal, penapis udara PM2.5, corong pendingin hawa baris kedua serta kamera undur.

Varian Lux pula mendapat ciri tambahan seperti skrin kluster 12.3 inci, MG iSMART, kamera keliling 360 darjah, kawalan iklim dua zon, sistem pencahayaan ambien 64 warna, tempat duduk sports, paddle shifter, pedal sports, penyeka kaca sensitif hujan serta enam pembesar suara.

Ruang kargo sebesar 463 liter dan boleh dibesarkan sehingga 1,287 liter.

 

4. Keselamatan

Varian Standard dilengkapi dengan enam beg udara, brek ABS, Pengagihan Daya Brek Elektronik, Kawalan Dinamik Kenderaan, Kawalan Brek Selekoh, Perlindungan Olengan Aktif, Bantuan Mula Mendaki dan Kawalan Menurun Cerun.

Sementara varian Lux pula mendapat kelengkapan MG PILOT yang merangkumi Amaran Pelanggaran Hadapan, Kawalan Jelajah Adaptif, Bantuan Kesesakan Trafik, Amaran Keluar Lorong, Bantuan Kekal Lorong, Pengesanan Titik Buta, Bantuan Penukaran Lorong, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Amaran Bukaan Pintu.

 

5. Harga

Untuk pasaran Malaysia, MG HS 2024 dijual pada harga anggaran bermula bawah RM130,000 hingga RM150,000.

IM Motors pamer kebolehan parkir sisi, pergerakan macam ketam

Kebanyakan kereta moden yang dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu Tahap 2 sudah mempunyai fungsi bantuan parkir kereta secara automatik.

Namun, pengeluar kereta China IM Motors memperlihatkan teknologi baharu yang mampu menjadikan urusan parkir kereta lebih mudah.

Video yang dimuat naik ke laman media sosial memaparkan seorang wanita yang keluar dari kereta dengan membawa sejambak bunga di sebuah lot parkir kenderaan.

Selepas pintu sebelah pemandu ditutup, kereta tersebut bergerak memasuki petak parkir sisi.

Pergerakan seakan ketam ini boleh dicapai dengan sistem stereng semua roda, di mana roda depan dan belakang dipusingkan menghala arah yang berbeza serta kawalan daya kilas motor elektrik yang tepat untuk memutarkan roda mengikut arah yang berlawanan.

Sistem ini juga membolehkan kereta IM Motors ini membuat radius putaran sekecil 4.99 meter sahaja.

Sedan yang penuh dengan pelekat samaran itu dilihat menyerupai model sedan saiz pertengahan IM L6 yang mula dijual di pasaran China pada tahun ini.

Tiada sebarang info berkenaan perancangan IM Motors untuk menawarkan penyelesaian parkir ini kepada model-model lain kelak.

MG Cyberster EV 2024 buat kemunculan pertama di Malaysia

Serentak dengan pelancaran dua buah model ICE, MG Malaysia turut membuat kejutan dengan memperlihatkan sebuah model roadster berkuasa elektrik, iaitu MG Cyberster EV 2024.

Tiada sebarang info berkenaan harga jualan serta spesifikasi didedahkan buat masa ini.

Di sini kami kongsikan serba sedikit informasi berdasarkan spesifikasi model MG Cyberster yang dijual di pasaran global.

 

1. Dua pilihan pacuan: RWD atau AWD

MG Cyberster EV boleh didapati dalam versi motor elektrik tunggal pacuan roda belakang, menghasilkan kuasa 310 hp/475 Nm, atau output yang lebih tinggi 335 hp/475 Nm. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat.

Sementara versi motor elektrik berkembar dengan sistem pacuan semua roda pula mampu menjana kuasa setinggi 536 hp dan 725 Nm, di mana ia mampu  memecut sepantas 3.2 saat dari pegun ke 100 km/j.

 

2. Jarak gerak cecah 580 km

Terdapat dua pilihan kapasiti pek bateri tersedia, iaitu 64 kWh dengan jarak gerak mampu mencecah 501 km, atau 77 kWh dengan jarak gerak mencecah 580 km (520 km untuk versi AWD).

 

3. Roadster sifar emisi dengan rekaan sporti

Apa yang mencuri tumpuan ialah rekaan luaran roadster yang mampu mencuri tumpuan orang ramai.

Ia membawakan rekaan hadapan seakan hidung jerung, diikuti unit lampu LED, bukaan pintu scissor ala Lamborghini, rim 20 inci, serta rekaan lampu belakang membawakan motif bendera Union Jack dan anak panah.

 

4. Kabin

Ruang kabin MG Cyberster ini hanya mampu memuatkan dua orang sahaja pada satu-satu masa.

Antara kelengkapan yang wujud termasuklah tempat duduk sports balutan kulit Nappa/Alcantara, roda stereng sports, skrin digital 10.25 inci, dua skrin tambahan sebesar tujuh inci, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

 

5. Ruang kargo

MG Cyberster menyediakan ruang kargo belakang sebesar 249 liter.

Di pasaran Thailand, MG Cyberster versi AWD dijual pada harga THB 2,499,000 (RM317,949). Agak-agak, berapa harga jualan yang bakal diletakkan untuk pasaran Malaysia? RM200,000?

MG5 GT 2024 – sedan fastback, nadi 1.5L NA, 114 PS, 150 Nm, harga anggaran bawah RM100k

SAIC Motor Malaysia memperlihatkan model terbaharu MG5 GT 2024 di mana ia bakal memberi saingan terus kepada model sedan segmen B di Malaysia seperti Honda City, Toyota Vios dan Proton Persona.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Dimensi

MG5 GT membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,675 mm, lebar 1,842 mm, tinggi 1,480 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,680 mm.

Menurut SAIC Motor, MG5 GT merupakan sedan segmen B yang paling panjang dan lebar, selain menampilkan bentuk badan sedan fastback coupe untuk mereka yang mahukan kelainan.

 

2. Nadi aspirasi semula jadi

Sedan ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter aspirasi semula jadi (NA) berkuasa 114 PS @ 6,000 rpm dan daya kilas 150 Nm @ 4,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi iCVT lapan nisbah kelajuan.

Komponen ini dikatakan telah menjalani ujian kelasakan dan ketahanan sejauh 2.35 juta km.

 

3. Ciri luaran

Selain bentuk badan yang sporti, MG5 GT 2024 membawakan ciri seperti spoiler ekor itik, jeriji hadapan 3D agresif, bumbung suria, lampu nyalaan siang DRL LED, dan rim aloi Tomahawk bersaiz 17 inci.

 

4. Ruang kabin

Masuk ke dalam ruang kabin, MG5 GT memperlihatkan ciri moden seperti skrin digital LCD tujuh inci, skrin infohibur terapung 10.25 inci, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara standard.

Selain itu, terdapat tempat duduk balutan kulit merah/hitam, sistem pendingin hawa zon tunggal berserta corong baris kedua, penapis udara PM2.5, enam pembesar suara, tiga slot pengecasan USB, serta tidak ketinggalan sistem kamera keliling 360 darjah.

 

5. Keselamatan

Secara standard, MG5 GT 2024 dilengkapi dengan MG Pilot yang merangkumi Amaran Keluar Lorong, Bantuan Penukaran Lorong, Sistem Pemantauan Titik Buta, Amaran Pelanggaran Belakang dan Amaran Lintasan Trafik Belakang.

Ditawarkan dalam 1 varian tunggal, MG5 GT 2024 dijual pada harga anggaran bermula bawah RM100,000 dan bakal dijual pada suku keempat tahun ini (Q4 2024).

Skoda bina wagon sleeper one-off, kuasa 470 hp, 662 Nm!

Skoda UK memperlihatkan sebuah model station wagon serba hijau yang cukup unik dan mampu memalukan mana-mana kereta sports di luar sana.

Digelar sebagai Skoda Superb Sleeper Edition, ia merupakan sebuah wagon yang telah ditala supaya mempunyai prestasi yang setara dengan supercar.

Projek ini dikendalikan oleh RE Performance, di mana enjin asal 2.0 liter turbo itu telah dinaik taraf beberapa komponennya.

Seperti contoh unit turbo Garrett Powermax, intercooler yang lebih besar, sistem bahan api serta sistem perpaipan ekzos yang telah digantikan dengan komponen yang dibuat khas.

Disebabkan itu, kuasa asal 270 hp/350 Nm itu berjaya ditingkatkan kepada 470 hp dan 662 Nm.

Untuk menampung peningkatan prestasi itu tadi, RE Performance turut memasang sistem gantungan gegelung KW (lebih rendah 50 mm), serta sistem brek AP Racing.

Selain daripada warna Royal Green, penampilan asal Skoda Superb Estate ini tidak banyak berubah, malah ia turut mengekalkan corong ekzos standard kilang.

Kelengkapan dalam kabin juga masih lagi mengikut spesifikasi trim tertinggi Laurin & Kelement yang membawakan upholsteri kulit, sistem pendingin hawa tiga zon automatik, dan sistem bunyi Canton.

Skoda Superb Estate Sleeper Edition ini merupakan model binaan sekali dan tidak akan dijual kepada umum.

Dongfeng Box EV versi RHD diperlihatkan, 94 PS, jarak gerak 430 km, pelancaran Oktober ini

Persatuan Pengimpot dan Perniagaan Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) menerusi anak syarikat Central Auto Distributors Bhd (CADB) baru-baru ini memperlihatkan sebuah kenderaan elektrik kompak yang bakal dilancarkan pada bulan Oktober tahun ini.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu berkenaan Dongfeng Box EV:

 

1. Dimensi

Dongfeng Box EV dibina berdasarkan platform Quantum Architecture S3.

Ia membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,020 mm, lebar 1,818 mm, tinggi 1,570 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,663 mm.

Untuk pasaran Malaysia, Dongfeng Box EV bakal bersaing secara terus dengan model BYD Dolphin.

 

2. Ciri unik

EV comel ini membawakan beberapa ciri yang unik di dalam kelasnya.

Antaranya ialah rekaan bumbung terapung, pintu tanpa bingkai, serta pemegang pintu yang tersorok kemas dalam panel badan.

Penampilan Dongfeng Box diserikan dengan struktur lampu LED tiga dimensi, serta rim dua tona bersaiz 17 inci.

 

3. Kabin nampak mewah

Unit pra-produksi yang dipamerkan ini menampilkan penggunaan bahan yang tampak mewah dan premium, dengan upholsteri balutan kulit, kemasan papan pemuka dan panel pintu dua tona.

Antara ciri lain termasuklah skrin kluster digital lima inci, skrin infohibur sebesar 12.8 inci dengan paparan yang boleh dikustom, cermin pandang belakang tanpa bingkai, sistem pencahayaan ambien 32 warna, pengecas peranti pintar tanpa wayar, kamera 360 darjah, dan sistem pendingin hawa automatik.

 

4. Kuasa dan jarak gerak

Dongfeng Box EV secara standard datang dengan motor elektrik tunggal pacuan depan berkuasa 95 PS dan 160 Nm, dengan halaju maksimum 140 km/j.

Terdapat dua kapasiti bateri tersedia, iaitu 31.45 kWh dengan jarak gerak 330 km atau 42.3 kWh dengan jarak gerak sejauh 430 km untuk sekali cas penuh.

EV ini turut menyokong pengecasan pantas di mana bateri boleh dicas dari 30-80 peratus dalam masa 30 minit sahaja.

Fungsi V2L juga turut tersedia bagi membolehkan pengguna mengecas perkakasan elektrik semasa membuat aktiviti luar.

 

5. Harga

Harga jualan hanya akan diumumkan menjelang pelancaran rasmi pada bulan Oktober tahun ini, dengan julat sekitar RM100,000 hingga RM120,000.

Chery Tiggo 7 Sport, ‘kembar’ Range Rover Evoque yang bakal dilancarkan bulan depan di China

Ramai orang berpendapat Jaecoo J7 yang baru dilancarkan di Malaysia bulan lepas memiliki persamaan rekaan dengan model SUV premium Range Rover Evoque.

Jadi, apa pula pendapat anda tentang rupa paras sebuah lagi SUV buatan Chery yang dipaparkan dalam artikel ini?

Model SUV yang dimaksudkan ini ialah Chery Tiggo 7 Sport, dan berdasarkan laporan media dari Tanah Besar China, model ini telah pun mendarat di beberapa bilik pameran menjelang pelancaran rasmi yang bakal dibuat pada September ini.

Dari sudut pandang depan, Chery Tiggo 7 Sport membawakan rekaan muka yang diinspirasikan terus daripada SUV off-road Britain tersebut, terutama pada bahagian jeriji, liang kemasukan udara serta kehadiran skid plate.

Difahamkan unit lampu nyalaan siang juga menyamai struktur yang terdapat pada Range Rover Evoque.

Selain daripada itu, Chery Tiggo 7 Sport membawakan ciri-ciri rekaan yang serupa dengan model Jaecoo J7/Chery Tansuo 06, seperti pemegang pintu tersorok, rak bumbung, serta aksesori kotak storan antara tiang C dan D.

Susun atur ruang kabin juga tidak banyak berubah, di mana Tiggo 7 Sport turut menampilkan skrin infohibur tengah yang besar, panel instrumen terapung, tombol penukaran gear yang besar di tengah, serta upholsteri kulit dua tona.

Chery Tiggo 7 Sport dijangka mengekalkan penawaran enjin 1.6 liter turbo berkuasa 197 hp dan 290 Nm yang dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh nisbah kelajuan.

Untuk makluman, Chery telah membentuk syarikat kerjasama 50:50 dengan Jaguar Land Rover yang berpangkalan di Changshu, China sejak tahun 2012 bagi membolehkan produksi kenderaan Jaguar dan Land Rover berjalan di Tanah Besar China.

Zeekr 007 2025, EV dengan tempoh pengecasan bateri paling pantas di dunia

Zeekr melancarkan model sedan elektrik 007 2025 dengan membawakan beberapa penambahbaikan seperti bateri generasi baharu dengan tempoh pengecasan yang lebih pantas, sistem pemanduan pintar serta serta sistem operasi kokpit pintar.

Tiada sebarang perubahan dari segi kuasa, di mana versi standard pacuan roda belakang masih mampu menghasilkan kuasa setinggi 415 hp, sementara versi pacuan semua roda berupaya menjana 636 hp.

Namun begitu, Zeekr telah membuat talaan semula terhadap algoritma di mana pecutan 0-100 km/j kini sepantas 5.0 saat untuk versi RWD.

Sementara versi AWD pula kekal dengan pecutan sepantas 2.84 saat.

Zeekr 007 boleh dilengkapi dengan pek bateri ternary lithium CATL Qilin 100 kWh dengan pengecasan pantas 5C.

Terdapat juga bateri lithium iron phosphate generasi kedua Golden Brick Battery berkapasiti 75 kWh dengan kelajuan pengecasan ditambah baik dari 4.5C kepada 5.5 C, di mana secara teorinya pengecasan 10-80 peratus SoC boleh dicapai dalam masa 10.5 minit.

Zeekr mendakwa bateri Golden Brick itu merupakan bateri produksi massa dengan pengecasan terpantas di dunia, selain menawarkan jarak gerak sejauh 688 km.

Untuk ruang kabin, Zeekr telah menaik taraf sistem operasi kepada Zeekr OS AI yang mampu memberikan cadangan secara aktif berdasarkan senario semasa.

Zeekr 007 juga dilengkapi dengan sistem pemanduan pintar Haohan 2.0 yang dibantu dengan penderia LiDAR, cip pemprosesan Nvidia Orin X dan lebih 30 unit penderia bagi membolehkannya mengendalikan pelbagai situasi trafik jalan raya.

 

Koenigsegg Jesko Attack pecah rekod pusingan terpantas di Litar Laguna Seca

Koenigsegg berjaya memecahkan rekod terbaharu pusingan terpantas di litar Laguna Seca dengan menggunakan jentera Jesko Attack.

Kereta hiper itu mengelilingi Laguna Seca Raceway dengan catatan masa 1:24.86, sekaligus memadamkan catatan pemegang rekod terdahulu, iaitu Czinger 21C (1:25.44).

Ia merupakan satu pencapaian yang cukup impresif memandangkan pemandu uji Koenigsegg Markus Lundh sebenarnya tidak pernah menjejakkan kaki ke litar terkenal tersebut sebelum ini.

Malah, ia juga merupakan kali pertama prestasi Jesko diuji di litar Laguna Seca.

Koenigsegg Jesko dikuasakan oleh nadi 5.0 liter bentangan V8 yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 1,600 hp menggunakan bahan api E85.

Berbanding varian Absolute yang lebih mementingkan kelajuan tertinggi, varian Attack yang digunakan dalam catatan masa tersebut mempunyai pakej aerodinamik yang lebih agresif, diikuti dengan talaan suspensi khusus dan nisbah gear yang lebih pendek.

Sebagai perbandingan, beberapa kereta produksi berprestasi tinggi turut merekodkan catatan masa terpantas di litar tersebut, termasuklah McLaren 765LT (1:27.50), McLaren Senna (1:27.62) dan Porsche Taycan Turbo GT (1:27.87).

Cuaca panas bahang: Tips menunggang dengan selamat

Tidak semua orang suka menunggang di atas jalan raya Malaysia, apatah lagi ditambah dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Selain hujan lebat, ada kalanya kita mungkin terpaksa berdepan dengan cuaca yang panas membahang demi mencari sesuap nasi yang halal.

Terdapat beberapa tips yang anda boleh amalkan:

1. Sediakan air sebelum pengsan

Ini ialah tips yang paling penting, kerana cuaca panas akan menyebabkan badan kehilangan kandungan air disebabkan oleh air peluh yang dirembes keluar.

Sekiranya terlalu banyak air yang dikeluarkan dari badan, ia akan menyebabkan ketidakseimbangan elektrolit.

Jadi, sebelum memulakan perjalanan, pastikan stok air minuman sentiasa ada dalam bakul motosikal/beg anda.

Cuba elakkan minum air bergula dan kafein, kerana ia akan membuatkan anda cenderung membuang air dengan kerap.

 

2. Rancang perjalanan

Tips ini sesuai diamalkan sekiranya anda perlu ke satu-satu tempat dan terpaksa menunggang di bawah sinaran mentari yang terik untuk satu jangka masa yang lama.

Seboleh-bolehnya, rancang perjalanan terlebih dahulu dan tentukan tempat yang sesuai untuk berehat seketika.

Elakkan menunggang terlalu lama ketika suhu persekitaran paling panas, ini kerana keadaan tersebut boleh mengganggu kadar tumpuan penunggang.

 

3. Pakai kelengkapan menunggang yang sesuai

Menunggang di bawah cuaca panas tidak bermakna anda perlu mengorbankan aspek keselamatan sepanjang perjalanan.

Pemilihan mesh jacket dan helmet yang mempunyai sistem aliran udara yang baik dapat membantu mengurangkan haba yang terperangkap.

Tidak dilupakan, pakai juga sarung tangan dan bandana di sekeliling lehar untuk mengurangkan kesan selaran matahari.

Pastikan juga visor helmet berada dalam keadaan baik, dan jika perlu pakai cermin mata yang dilengkapi dengan penapis sinaran UV.

 

4. Ada tanda kepenatan? Berhenti rehat!

Sekiranya anda terlalu banyak berpeluh, rasa sakit dan pening kepala, hilang tumpuan dan mengantuk, itu adalah petanda anda sudah terlalu lama menunggang di bawah cuaca panas.

Sekiranya anda kehilangan fokus, keadaan ini mampu membahayakan nyawa diri sendiri dan pengguna lain atas jalan.

 

5. Pilih laluan yang teduh

Lorong motosikal biasanya menyediakan ruang yang lebih teduh disebabkan berhampiran dengan pokok-pokok di tepi jalan, berbanding terpaksa menyelit di tengah-tengah lebuh raya.

Untuk perjalanan jauh merentas negeri dan mahu mengelak lebuh raya yang panas membahang, anda mungkin boleh mencuba laluan yang mempunyai banyak pokok dan kawasan yang lebih teduh.

 

6. Pastikan jentera berada dalam keadaan baik

Perkara yang paling utama perlu dititikberatkan ialah keadaan motosikal anda itu sendiri yang ‘tiptop’ dan bebas daripada sebarang masalah.

Sebelum membuat perjalanan, periksa dahulu beberapa bahagian yang penting termasuklah sistem brek, tayar, serta sistem penyejukan enjin.

Lamborghini Temerario, HPEV pengganti Huracan dengan 920 hp!

Ucapkan selamat datang kepada Lamborghini Temerario, pengganti kepada Lamborghini Huracan yang sebelum ini dibekalkan dengan nadi V10.

Dari sudut luaran, Temerario nampak seakan gandingan rekaan antara model Revuelto dan Huracan.

Unit lampu hadapan nampak lebih nipis berbanding Huracan, sementara bahagian belakang pula dihiasi dengan struktur LED berbentuk heksagon.

Secara standard, Temerario dipasangkan dengan rim bersaiz 20 dan 21 inci, diikuti dengan aspek aerodinamik yang mampu  meningkatkan daya mendap sebanyak 103 peratus berbanding Huracan Evo.

Lamborghini turut menawarkan pakej Allegerita, merangkumi sayap belakang, bampar yang unik dan rim gentian karbon dengan penjimatan berat sehingga 25 kg dan menambah daya mendap sebanyak 158 peratus.

Terdapat juga Carbon Pack yang mengurangkan lagi berat sebanyak 1.81 kg menerusi padanan komponen karbon seperti peredam belakang, perumah cermin sisi dan liang kemasukan udara sisi.

Untuk model HPEV (High Performance Electrified Vehicle) ini, Lamborghini telah memadankan unit rangkaian kuasa yang dibangunkan baharu sepenuhnya.

Enjin bentangan V8 4.0 liter dengan sudut 90 darjah mempunyai konfigurasi Hot V, aci engkol satah rata dan dua unit pengecas turbo dengan tekanan maksimum 36 psi.

Ia juga turut mempunyai kepala silinder aloi aluminium tuang dan rod penyambung titanium untuk mengurangkan berat.

Dengan garis merah yang mampu mencecah sehingga 10,000 rpm, enjin tersebut dipadankan dengan tiga motor elektrik axial-flux sejukan minyak dengan kuasa keseluruhan mencecah 920 hp.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 2.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 340 km/j.

Satu motor elektrik tunggal berkuasa 150 hp/300 Nm disumbatkan antara enjin dan kotak gear klac berkembar, sementara dua lagi motor diposisikan pada gandar depan, setiap satu berkuasa 82 hp.

Pek bateri 3.8 kWh pula boleh dicas selama 30 minit menerusi pengecasan AC 7 kW, atau menerusi fungsi brek regeneratif, atau secara terus menggunakan kuasa enjin V8 sepantas enam minit.

Menariknya, Lamborghini Temerario boleh dipandu dalam mod elektrik menggunakan dua motor elektrik pada gandar depan, walaupun tidak diberitahu seberapa jauh supercar ini boleh pergi dalam mod sifar emisi.

Casis Temerario ini dibangunkan sepenuhnya menggunakan bahan aluminium bagi mengekalkan berat pada tahap minimum, dengan peningkatan kakuan kilasan sebanyak 20 peratus.

Sementara ruang kabin pula menampilkan rekaan ala kokpit yang diserikan dengan elemen reka bentuk heksagon, dengan skrin tengah sebesar 8.4 inci, skrin kluster digital 12.3 inci dan skrin tambahan 9.1 inci untuk penumpang.

Ruang kepala juga dikatakan lebih besar berbanding model Huracan, diikuti dengan ruang kaki, di mana Lamborghini mendakwa pemain bola keranjang NBA setinggi 198 cm boleh memakai topi keledar apabila duduk dalam kabin Temerario ini.

Buat masa ini, tiada sebarang tanda harga diumumkan.