All posts by Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

Toyota turunkan sasaran produksi EV global 2026 sebanyak 30 peratus

Seperti pengeluar yang lain, Toyota juga turut terkesan dengan penurunan permintaan terhadap kenderaan elektrik.

Menurut laporan terbaharu daripada akhbar Jepun The Mainichi, Toyota telah menurunkan sasaran produksi global bagi kenderaan elektrik menjelang tahun 2026 sebanyak 30 peratus.

Pengeluar tersebut kini menyasarkan produksi sekitar 1 juta unit, berbanding 1.5 juta unit EV dalam perancangan asal.

Toyota yang sebelum ini disifatkan sebagai pengeluar yang ‘degil’ telah mengubah strategi elektrifikasi mereka awal tahun lepas, di mana presidennya Koji Sato mengumumkan sasaran jualan EV sebanyak 1.5 juta unit menjelang tahun 2026.

Pasaran EV global pada mulanya menikmati pertumbuhan rancak, terima kasih kepada model popular yang dihasilkan oleh Tesla dan BYD.

Namun, jualan dalam segmen sifar emisi tersebut bergerak perlahan memandangkan ia gagal untuk menarik minat golongan selain pengguna terawal disebabkan kos yang tinggi serta masalah kekurangan infrastruktur pengecasan.

Sepanjang tahun 2023, Toyota berjaya menjual sebanyak 104,000 unit EV dengan peningkatan sebanyak empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Angka tersebut dilihat sangat kecil jika dibandingkan dengan jumlah jualan kenderaan secara keseluruhan melebihi 10 juta unit.

Berbanding EV, kenderaan hibrid Toyota dilihat mendapat sambutan yang cukup hangat disebabkan ia menawarkan penyelesaian yang lebih praktikal dalam memacu misi neutral karbon.

Disebalik perancangan untuk mengurangkan produksi EV, Toyota akan bertindak balas terhadap permintaan pasaran semasa dengan meningkatkan angka produksi bagi kenderaan plug-in hybrid.

Perlumbaan Super GT kembali gegarkan Litar Sepang tahun 2025

Mungkin tidak ramai yang tahu, Malaysia sebenarnya pernah menjadi lokasi rasmi perlumbaan Super GT bermula dari tahun 2000 dan berakhir pada tahun 2013.

Setelah 11 tahun menyepi, perlumbaan Super GT bakal kembali menggegarkan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang untuk tiga musim, bermula tahun 2025 hingga tahun 2027.

Sehubungan dengan itu, satu majlis tandatangan perjanjian telah berlangsung siang tadi antara HARO Sports & Entertainment selaku pemegang hak dan promosi untuk Super GT pusingan Malaysia serta GT Association (GTA) selaku pemegang hak untuk Super GT.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Fahrizal Hasan (HARO Sports & Entertainment) dan Masaaki Bandoh (Presiden & CEO GTA) yang turut disaksikan oleh YB Khairul Firdaus Akbar Khan selaku Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Turut hadir dalam acara tandatangan tersebut ialah CEO Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, Azhan Shafriman Hanif serta Setiausaha Agung Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), S. N. Nanthan.

Malaysia kekal menjadi satu-satunya lokasi perlumbaan di luar Jepun untuk musim perlumbaan 2025 selepas kali terakhir Super GT dianjurkan di negara Thailand pada tahun 2019.

Berikut merupakan lokasi perlumbaan Autobacs Super GT 2025:

Pusingan Pembukaan (12-13 April) – Okayama International Circuit
Pusingan Kedua (3-4 Mei) – Fuji Speedway
Pusingan Ketiga (27-28 Jun) – Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang
Pusingan Keempat (2-3 Ogos) – Fuji Speedway
Pusingan Kelima (23-24 Ogos) – Suzuka Circuit
Pusingan Keenam (20-21 September) – Sportsland Sugo
Pusingan Ketujuh (18-19 Oktober) – Autopolis International Racing Course
Pusingan Kelapan (1-2 November) – Mobility Resort Motegi


Dua kelas utama Super GT, iaitu GT500 yang menampilkan pengeluar seperti Toyota, Honda dan Nissan sementara peserta kelas GT300 terdiri daripada Subaru dan Lexus.

Perlumbaan berprestij ini sepatutnya membuat kemunculan kembali pada tahun 2020, namun ia terpaksa dibatalkan akibat pandemik COVID-19 yang melanda global pada ketika itu.

Menariknya, rata-rata pasukan dan pelumba Super GT menyifatkan pusingan Malaysia sebagai satu pengalaman yang unik dan agak mencabar dalam perlumbaan litar disebabkan oleh panas ekstrem dan hujan lebat yang sukar untuk diduga, tidak seperti kebiasaan yang dialami di Jepun.

Super GT 2025 akan membawakan pelbagai jenis daya tarikan seperti Race Ambassadors, sesi pit terbuka, pit walk, grid walk, serta Circuit Safari di mana peminat berpeluang untuk merasai aksi dalam litar dengan lebih dekat.

 

JPJ perkenal siri pendaftaran “EV”, rekaan plat khas untuk kenderaan elektrik

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini memperkenalkan rekaan plat khas JPJePlate yang dikhususkan untuk kenderaan sifar emisi (ZEV).

Menurut JPJ, tiga piawaian telah ditetapkan untuk rekaan plat khas yang diinspirasikan daripada negara Eropah, seperti:

1. Ciri retro-reflektif untuk meningkatkan keterlihatan pada waktu malam, dan mengurangkan kadar kemalangan

2. Pelekat hologram anti-klon untuk meminimumkan risiko kecurian dan penipuan

3. Teknologi RFID terintegrasi yang menyokong pembayaran tol dan parkir kenderaan.

Pelaksanaan JPJePlate ini akan berkuatkuasa bermula hari ini (9 September 2024) untuk kenderaan elektrik baharu, di mana tempahan boleh dibuat menerusi laman sesawang jpjeplate.jpj.gov.my.

Rekaan plat baharu ini tidak akan diwajibkan untuk kenderaan ZEV yang sudah berdaftar, namun pemilik masih boleh membuat tempahan seawal November ini.

Set lengkap JPJePlate berharga RM98/set merangkumi plat hadapan, plat belakang, pelekat cermin RFID dan kos penghantaran standard.

Selain itu, JPJ turut melancarkan bidaan nombor pendaftaran istimewa (NPI) dengan tanda indeks “EV” melalui Sistem JPJeBid bermula hari ini dan berakhir 13 September 2024 jam 10.00 malam.

Nombor pendaftaran “EV” ini akan dikhususkan untuk kenderaan ZEV sahaja dan tidak boleh didaftarkan pada kenderaan bukan ZEV.

Seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini, sebahagian pendapatan daripada NPI ini akan disalurkan kepada inisiatif rakyat seperti program penukaran topi keledar percuma dan latihan lesen B2 untuk golongan B40.

Hiroshi Tamura, Bapa GT-R Moden bakal meriahkan GT-R Festival 4-6 Oktober ini

Para peminat dan pemilik Nissan GT-R di Malaysia dijemput untuk menyertai acara GT-R Festival yang akan berlangsung di Crowne Plaza Penang Straits City pada 4-6 Oktober ini.

Acara 3 hari 2 malam itu disasarkan untuk menjadi perhimpunan terbesar model-model GT-R untuk diabadikan dalam Malaysia Book of Records.

Selain daripada itu, GT-R Festival juga memberikan peluang kepada para pemilik GT-R untuk berjumpa sendiri dengan Hiroshi Tamura yang lebih dikenali sebagai ‘Bapa GT-R Moden’.

Insan berusia 62 tahun itu menyertai Nissan pada tahun 1984, dan sempat bekerja selama tiga tahun sebelum berpindah ke Autech, sebuah subsidiari yang bertanggungjawab membina jentera-jentera GT-R.

Beliau menyertai semula Nissan pada tahun 1993 dalam bahagian perancangan produk, di mana ia membuka peluang untuk membangunkan model Nissan Skyline GT-R R34.

Pada tahun 2006, Hiroshi Tamura dinamakan sebagai Ketua Pakar Produk, dan sejak daripada itu lebih dikenali sebagai Bapa GT-R Moden.

Untuk GT-R Festival, terdapat dua kategori yang dibuka kepada semua pemilik GT-R seperti berikut:

1. Elite

Bernilai RM1,999, kategori ini akan terbuka kepada 250 orang peserta merangkumi penginapan 3 hari 2 malam, acara makan malam, konvoi, sesi bersama Hiroshi Tamura, sesi bergambar, t-shirt eksklusif GT-R Festival dan 2 tiket ke Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur.

2. Ultimate Elite

Dengan harga RM3,499, kategori ini akan dihadkan kepada 20 peserta sahaja, di mana setiap peserta akan menerima manfaat yang sama seperti kategori Elite.

Istimewanya, peserta kategori ini akan turut mendapat jaket eksklusif GT-R Festival, dua tiket VIP ke Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2024, serta sesi makan malam eksklusif bersama Hiroshi Tamura di Crown Plaza Penang Straits City.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web https://www.tokyoautosalonkl.com/gtrfest

Kotak gear berbilang kelajuan untuk kereta elektrik, perlu atau tidak?

Transmisi, atau kotak gear merupakan salah satu komponen penting dalam sesebuah kenderaan bagi memastikan setiap kuasa kuda yang dihasilkan oleh enjin dapat disalurkan ke jalan raya dengan sebaiknya.

Ini kerana enjin pembakaran dalaman (ICE) hanya mampu menjana kuasa yang cekap pada julat putaran enjin tertentu, dan setiap nisbah kelajuan telah dikira dan ditetapkan mengikut output enjin oleh pengeluar untuk memaksimumkan pengedaran kuasa yang cekap pada setiap gear.

Lain pula ceritanya dengan EV.

Tidak seperti ICE, motor elektrik mampu menjana daya kilas maksimum dengan konsisten pada mana-mana julat putaran per minit (RPM).

Boleh dikatakan kebanyakan EV dalam pasaran mempunyai transmisi nisbah tunggal, di mana nisbah gear tersebut telah ditentukan dan dikira dengan teliti bagi memaksimumkan tahap kecekapan motor elektrik.

Disebabkan sistem operasi yang sudah sedia cekap, kebanyakan pengeluar berpendapat penggunaan transmisi berbilang kelajuan hanya akan menambah ketidakcekapan seperti penambahan berat dan kos produksi yang semakin meningkat.

Namun begitu, ada model EV yang lebih premium seperti Porsche Taycan menggunakan kotak gear dua nisbah kelajuan.

Kotak gear tersebut memiliki gear pertama yang direka untuk memaksimumkan pecutan, sementara nisbah gear kedua pula direka untuk memastikan kadar kecekapan dan rizab kuasa yang tinggi walaupun pada pemanduan berkelajuan tinggi.

Kereta lumba Formula E pula ada yang menggunakan transmisi tiga nisbah kelajuan!

Jadi, apa pula perkara yang dibuat oleh sesetengah pengeluar seperti Hyundai dan Toyota?

Hyundai memperkenalkan ciri N e-shift di mana ia membolehkan pemandu membuat simulasi penukaran gear seakan menggunakan transmisi DCT lapan-kelajuan pada model Ioniq 5 N.

Toyota pula melakukan eksperimen dengan memadankan kotak gear manual pada model AE86 BEV, lengkap dengan klac kaki!

Semua ini dibuat demi memastikan seni pemanduan dan penukaran gear kendiri ini tidak akan pupus walaupun dunia sudah beralih kepada EV sepenuhnya satu hari nanti.

 

BYD Seal 2024, varian Dynamic RWD dengan jarak gerak 510 km, dari RM163,800

Sime Darby Motors selaku pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia melancarkan BYD Seal 2024 varian Dynamic sebagai pelengkap kepada penawaran sedan elektrik Seal sedia ada.

Dengan harga jualan bermula dari RM163,800, jaminan pengeluar enam-tahun atau perbatuan 150,000 km, jaminan bateri 8-tahun (atau 160,000 km), serta jaminan unit pacuan 8-tahun atau 150,000 km, BYD Seal Dynamic ini mampu menjadi pilihan yang lebih mampu milik.

Selain itu, BYD turut menawarkan unit pengecas Wall Box Home secara percuma untuk 100 unit tempahan pertama.

Berikut merupakan spesifikasi ringkas BYD Seal varian Dynamic yang perlu anda tahu:

 

1. Dua pilihan warna

BYD Seal Dynamic RWD boleh didapati dalam dua pilihan warna, iaitu Cosmos Black dan Aurora White.

2. Kuasa

Dengan motor elektrik pacuan roda belakang, BYD Seal Dynamic RWD mampu menghasilkan kuasa 201 hp dan 310 Nm.

Pecutan 0-100 km/j boleh diselesaikan dalam masa 7.5 saat.

3. Jarak gerak 510 km

Pek bateri berkapasiti 61.44 kWh mampu menawarkan jarak gerak sejauh 510 km untuk sekali cas penuh (data NEDC).

Sebagai perbandingan, BYD Seal Premium boleh bergerak sejauh 650 km, sementara varian Performance pula sekitar 580 km.

4. Pengecasan pantas DC

BYD Seal Dynamic RWD dibekalkan dengan teknologi pengecasan pantas DC 110 kW, selain fungsi vehicle-to-load (V2L) yang mampu meningkatkan lagi aspek praktikaliti sedan elektrik ini terutama ketika melakukan aktiviti luar rumah.

5. Ciri standard

Secara standard, BYD Seal Dynamic RWD menyediakan ruang kargo sebesar 400 liter, diikuti ruang kargo depan (frunk) sebesar 50 liter.

Selain itu, ia turut mempunyai rekaan rim unik bersaiz 18 inci yang dibaluti tayar 225/50 R18.

Serentak dengan pelancaran BYD Seal Dynamic RWD, BYD Malaysia turut mengemaskini penawaran SUV elektrik BYD Atto 3 (harga RM149,800) dengan ciri yang dipertingkatkan seperti berikut:

-saiz kapasiti bateri meningkat kepada 60.48 kWh
-jarak gerak kini cecah 480 km (data NEDC)
-pecutan 0-100 km/j dalam 7.3 saat
-pintu tailgate automatik
-penapis udara PM2.5
-sistem lampu ambien ikut rentak muzik
-lapan pembesar suara

Untuk 300 unit tempahan pertama, pembeli BYD Atto 3 2024 akan dibekalkan dengan Wallbox Home Charger, pakej servis 3-tahun dan cukai jalan percuma 4-tahun.

 

BYD Seal Dynamic RWD 2024

BYD Atto 3 2024

Nissan sedang bangunkan kereta sports Silvia!

Masih ingatkah anda dengan kereta sports konsep Nissan IDx yang diperlihatkan sebelas tahun yang lepas?

Ia merupakan antara model konsep yang cukup mencuri tumpuan, namun sayang sekali ia tidak direalisasikan disebabkan oleh kos pembangunan yang agak mahal, ditambah pula dengan permintaan pada ketika itu yang tidak memberangsangkan.

Namun begitu, pada tahun 2024 Nissan dilapor akan membangunkan kereta sports ketiga berprestasi tinggi selepas model Z dan GT-R.

Bercakap kepada media, naib presiden strategi produk global Nissan, Ivan Espinosa berkongsi tentang perancangan untuk menghidupkan semula model ikonik Silvia, biarpun pasaran kereta sports semakin mengecil.

“Saya cuba untuk merealisasikannya. Ia bukan mudah, kerana pasaran kereta sports semakin menguncup.

Beliau mendedahkan bayangan di mana Silvia akan lahir menjadi sebuah kereta sports berelektrik (diposisikan antara Z dan GT-R) supaya model baharu ini dapat memenuhi undang-undang emisi di seberapa banyak negara yang mungkin.

Dengan cara ini, Nissan dapat meningkatkan angka produksi untuk mencapai skala ekonomi yang diperlukan.

Selain itu, Nissan juga tidak akan mengikut jejak langkah pengeluar bekerjasama untuk membangunkan kereta sports seperti Toyota GR Supra/BMW Z4, dan Toyota GR86/Subaru BRZ.

Sebaliknya, Nissan mahu bersendirian membangunkan model Silvia baharu ini tanpa bantuan daripada mana-mana pihak.

Espinosa juga yakin Nissan dapat bergerak solo membangunkan model Silvia ini, walaupun mengakui projek ini sukar dan memperlukan pelaburan yang serius.

Apa yang pasti, Nissan Silvia pada masa hadapan tidak akan menjadi satu model yang terasing, memandangkan model itu bakal berdepan saingan sengit daripada pengeluar Jepun lain.

Seperti contoh, Mazda sedang membangunkan generasi baharu MX-5, Honda pula hadir dengan kereta sports Prelude, manakala Toyota GR86 pula mungkin akan dikemaskini dengan pakej enjin hibrid.

 

Peugeot Malaysia umum promosi pakej servis 5-tahun percuma untuk semua model

Stellantis Malaysia mengumumkan promosi pakej penyelenggaraan servis percuma selama lima tahun bermula efektif 1 September 2024.

Promosi terbaharu ini tertakluk kepada semua model dan varian Peugeot, termasuklah model 408, 2008, 3008, 5008 dan trak pikap Landtrek.

Pelanggan yang mendaftarkan kenderaan Peugeot bermula 1 September dan ke atas layak untuk menikmati promosi servis percuma lima-tahun yang merangkumi kos alat ganti untuk 10 kali servis dalam masa lima tahun, berdasarkan selang setiap 10,000 km atau enam bulan, yang mana tiba dahulu.

Pelanggan hanya perlu membayar kos upah sahaja.

Pengarah Urusan Stellantis Malaysia, Jamie Francis Morais berkata, “pelanggan merupakan keutamaan kami, dan kami teruja untuk memperkenalkan promosi servis lima-tahun percuma sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan pengalaman pemilikan Peugeot.

“Penjimatan daripada pakej servis lima-tahun percuma berserta jaminan menyeluruh tujuh-tahun sedia ada ini sudah pasti dapat memberikan ketenangan minda kepada para pemilik Peugeot untuk tempoh yang lebih panjang.

Tawaran terhad ini boleh didapati di semua pusat pengedar sah Peugeot di seluruh negara.

Untuk makluman, semua kenderaan Peugeot datang dengan jaminan tujuh-tahun atau jarak perbatuan 200,000 km (yang mana tiba dahulu) sebagai pakej standard.

Ia terdiri daripada jaminan pengeluar 3-tahun dan tambahan perlindungan 4-tahun yang sama seperti jaminan pengeluar.

 

Hyundai Ioniq 5 2025 facelift dapat varian off-road XRT, jarak lega bumi lebih tinggi

Faktor trend pemilikan EV yang semakin sendu tidak menghalang Hyundai untuk mengemaskini penawaran bagi model SUV elektrik Ioniq 5.

Versi facelift untuk model tahun 2025 telah pun dilancarkan, di mana Ioniq 5 akan menjadi model pertama yang dipasang di Metaplant Georgia.

Hyundai Ioniq 5 2025 membawakan perubahan bersifat kosmetik, seperti contoh bampar baharu, spoiler yang telah disemak semula, rim yang lebih aerodinamik serta penawaran warna baharu.

Perubahan pada ruang kabin pula bersifat minima, di mana terdapat roda stereng rekaan baharu, konsol tengah yang telah dinaik taraf, serta kehadiran butang fizikal untuk fungsi yang kerap digunakan.

Hyundai Ioniq 5 2025 turut mendapat pek bateri berkapasiti lebih besar.

Varian Standard Range kini dilengkapi dengan bateri 63 kWh (berbanding bateri lama 58 kWh), dengan jarak gerak bertambah kepada 386 km berbanding 354 km pada model terdahulu.

Sementara varian Long Range pula menerima bateri 84 kWh yang menjanjikan jarak gerak lebih 499 km untuk versi RWD, atau 451 km untuk versi AWD.

Hyundai Ioniq 5 juga merupakan model Hyundai pertama yang datang standard dengan port NACS (North American Charging Standard), membolehkan pemilik Ioniq 5 menggunakan jaringan Supercharger Tesla tanpa memerlukan penyesuai.

Akhir sekali, terdapat varian off-road baharu XRT yang lebih ranggi rekaannya, di mana ia boleh dibezakan dengan muka hadapan yang unik, aksen hitam, corak samaran digital pada bampar dan fender flare, serta rim 18 inci hitam kusam yang dibaluti tayar all-terrain.

Bukan itu sahaja, Ioniq 5 XRT kini menawarkan jarak lega bumi 23 mm lebih tinggi, cangkuk tunda berwarna merah, upholsteri H-Tex, serta logo XRT pada tempat duduk.

Volvo akui sasaran jadi jenama EV 2030 sukar dicapai

Tahukah anda, Volvo merupakan antara pengeluar automotif terawal di dunia yang mengumumkan strategi untuk menawarkan portfolio EV sepenuh masa menjelang 2030.

Malah, pada akhir Mei 2024, CEO-nya Jim Rowan menjelaskan sasaran tersebut masih lagi boleh dicapai, dan beliau turut yakin Volvo mampu akhiri jualan kenderaan berenjin pembakaran dalaman dalam tempoh masa lima tahun lagi.

Namun, dalam satu acara yang dianjurkan bersama pelabur pada lewat Julai lalu, CEO tersebut akhirnya mengakui “ia memerlukan masa bagi menghubungkan beberapa bahagian dalam dunia untuk mencapai elektrifikasi penuh.”

Dengan erti kata lain, sasaran awal untuk menjadi jenama EV tulen menjelang 2030 mungkin sukar untuk dicapai.

Melihatkan kepada perkembangan terkini, Volvo membuat keputusan untuk melaraskan kembali sasaran jualan, di mana pengeluar itu menyasarkan 90-100 peratus jualan terdiri daripada EV dan PHEV menjelang akhir dekad ini.

Sementara kenderaan hibrid yang tidak memerlukan port pengecasan pula akan kekal dijual untuk tempoh yang lebih lama berbanding jangkaan awal.

Pengeluar Sweden itu percaya beberapa faktor yang menyumbang kepada peralihan penggunaan EV yang kian perlahan, seperti pembangunan infrastruktur yang agak lembab, diikuti pengurangan insentif jualan EV serta pengenalan tarif baru untuk EV di sesetengah pasaran.

Selain Volvo, beberapa pengeluar utama dunia turut menyemak semula strategi elektrifikasi yang agresif, seperti Porsche, Mercedes-Benz, Bentley serta Ford.

Peugeot 408 GT, sang singa untuk sang pemberani – Pandu Uji

Satu fakta perit yang perlu kita hadam pada masa kini ialah semua orang sekarang mahukan kereta spesifikasi redah banjir.

SUV. Crossover. Atau apa jua akronim tiga huruf yang diperkenalkan oleh setiap pengeluar bagi membezakan produk mereka dengan produk lain.

Disebabkan itu, kita sekarang boleh lihat pelbagai jenis model crossover SUV yang wujud di pasaran tempatan, dan yang menjadi mangsa, sudah tentu model sedan.

Peugeot 408 terbaharu yang ada di pasaran Malaysia ini tidak terkecuali daripada menjadi mangsa peng-SUV-an ini.

Adakah ia satu model yang terbaik untuk dibeli? Jemput baca ulasan ringkas kami sampai habis.

 

Reka bentuk luaran

Jika dua generasi terdahulu menampilkan bentuk badan sedan, generasi baharu Peugeot 408 kini merupakan sebuah kereta rojak moden yang dibina untuk mereka yang rasa berani untuk memandunya atas jalan.

Secara asasnya 408 masih lagi mengekalkan bentuk badan sedan, namun dengan rekaan belakang jenis liftback sebelum diserikan dengan elemen crossover keliling badan.

Ia bukanlah satu perkara yang baharu, memandangkan beberapa pengeluar lain juga menggunakan format rekaan yang sama, seperti contoh Citroen dengan C3X, serta Toyota menerusi model Crown Crossover.

Tidak semua orang suka akan format sebegini, namun ia boleh jadi satu model yang sesuai untuk mereka yang inginkan kelainan.

Atas jalan, Peugeot 408 GT memang nampak agresif dengan rekaan lampu utama berbentuk taring singa, lampu belakang dengan grafik kuku singa, serta rim 20 inci Monolithe berwarna hitam dengan rekaan yang sedikit.. aneh.

Dengan dimensi yang sedikit tinggi berbanding sedan dalam segmennya, diikuti dengan jarak kelegaan tanah 189 mm, susah untuk mengklasifikasikan Peugeot 408 ini sebagai sebuah crossover SUV. Penulis lebih senang menggelarkannya sebagai crossover sedan.

Seperti yang telah ditekankan, rekaan yang dibawakan oleh Peugeot 408 ini memang bukan untuk semua orang, hanya untuk sang pemberani sahaja.

 

Kabin serba moden, tapi…

Peugeot 408 GT membawakan susun atur Peugeot i-Cockpit tiga dimensi yang jauh lebih moden berbanding 408 yang terdahulu.

Terdapat roda stereng jenis atas dan bawah rata, skrin kluster digital 10 inci dengan paparan grafik tiga dimensi, skrin infohibur sebesar 10 inci, serta skrin i-Toggles di mana pemandu boleh menetapkan sehingga lima fungsi pintas yang berbeza mengikut keperluan peribadi.

Secara standard, varian Peugeot 408 GT yang kami pandu uji ini turut dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit Nappa yang telah mendapat pengiktirafan daripada badan bebas Aktion Gesunder Rücken (AGR) yang mempromosikan kesihatan tulang belakang.

Ada juga fungsi urut terbina dengan beberapa mod yang diinspirasikan oleh haiwan seperti kucing dan ular yang tersedia untuk pemandu dan penumpang hadapan.

Dengan ciri moden yang disebutkan itu tadi, aspek keselesaan sememangnya bukanlah satu masalah utama.

Biarpun dengan kehadiran panel butang fungsi pintas yang boleh dikustom, penulis tetap berpendapat fungsi-fungsi yang kerap digunakan seperti kawalan iklim tidak perlu disumbatkan ke dalam skrin utama.

Skrin infohibur yang dibekalkan dari kilang itu menawarkan paparan grafik yang agak jelas dan tajam, cuma boleh ditambahbaik dengan pergerakan grafik yang lebih cepat dan lancar.

Agak menjengkelkan apabila kita mahu cepat untuk menurunkan suhu kabin, akan tetapi anda perlu menunggu dalam masa beberapa saat sehingga grafik ‘loading’ tersebut habis dimainkan.

Mujur juga Peugeot 408 datang standard dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar, jadi kebanyakan masa mata hanya perlu memerhati paparan peta nagivasi serta pemilihan muzik yang bersesuaian dialunkan oleh sistem Audio Focal dengan 10 pembesar suara itu.

 

Enjin bertenaga

Untuk pasaran Malaysia, Peugeot 408 hanya didatangkan dengan satu pilihan enjin sahaja, iaitu nadi empat silinder sebaris 1.6 liter turbo PureTech.

Ia mampu menghamburkan kuasa setinggi 218 hp @ 5,750 rpm dan daya kilas 300 Nm @ 2,000 rpm yang disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan.

Pecutan di persimpangan lampu isyarat bukanlah satu kelemahan bagi crossover sedan ini, malah atas lebuh raya Peugeot 408 ini mampu untuk memalukan mana-mana sedan berenjin aspirasi semula jadi.

Untuk setangki penuh, penulis berjaya mencatatkan angka perbatuan sejauh 510 km.

 

Pemanduan

Dari tempat duduk pemandu, penulis sebenarnya perlu mengambil masa untuk membiasakan diri dengan susun atur i-Cockpit 3D Peugeot 408 GT ini.

Ini kerana berbanding kereta-kereta lain, anda perlu membaca skrin kluster digital daripada atas roda stereng. Jika ditetapkan terlalu tinggi posisinya, anda mungkin sukar melihat panel meter tersebut.

Sama seperti skrin infohibur, skrin kluster digital ini juga memaparkan pergerakan grafik yang agak lambat untuk sebuah kereta moden.

Ia masih lagi menawarkan paparan meter stail analog, namun dengan antara muka yang lebih ringkas.

Biarpun datang dengan rekaan roda stereng yang tidak simetri, Peugeot 408 masih lagi menawarkan respons pengendalian yang secukup rasa, tidaklah terlalu sporti namun masih lagi sedap untuk dinikmati terutama apabila bertembung dengan selekoh.

Aspek gantungan Peugeot 408 yang terdiri daripada topang MacPherson dan multilink di belakang itu memadai apabila kereta ini dipandu pada permukaan jalan yang mahal buatannya di mana olengan badan dirasakan pada tahap yang boleh diterima. Almaklumlah, kereta tinggi.

Musuh utama Peugeot 408 ialah permukaan jalan raya yang tidak rata, terutama apabila bertembung dengan lubang jalan serta tahi simen.

Lebih menjengkelkan apabila kita sedang sedap layan selekoh, ada lubang atau tahi simen bertompok di atas jalan di mana sedan ini amat senang untuk meloncat dan ‘keluar dari landasan’ yang ditetapkan oleh pemandu.

Tidak semua perkara negatif dirasakan pada Peugeot 408 ini.

Yang paling dihargai ialah aspek NVH ruang kabin yang agak baik, di mana sebarang kekasaran dan bunyi bising enjin berjaya ditapis dengan baik supaya tidak mengganggu ketenteraman pemandu dan penumpang sepanjang perjalanan.

 

Praktikal

Peugeot 408 GT masih lagi menawarkan ruang kabin yang praktikal untuk seisi keluarga, biarpun kini dengan bentuk badan crossover sedan yang agak berani itu.

Seperti contoh pada konsol tengah, terdapat slot khas untuk pengecasan peranti pintar tanpa wayar, diikuti ruang di bawah untuk meletakkan peranti pintar lain dan ada lubang khas yang boleh digunakan untuk meletakkan peranti SmartTag.

Tuil transmisi yang comel itu turut menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas.

Terdapat juga ruang storan di bawah tempat merehatkan tangan di tengah dengan bukaan terpisah, sementara untuk keselesaan penumpang belakang terdapat corong pendingin hawa baris kedua disediakan.

Walaupun dari luar nampak macam sempit, ruang kabin Peugeot 408 sebenarnya menyediakan ruang kepala dan ruang kaki yang cukup selesa untuk penumpang dewasa.

Cuma, struktur cermin belakang yang agak kecil itu menyukarkan mana-mana pemandu olskool untuk memandang ke belakang sewaktu meletakkan kereta dalam kotak parkir.

Mujur juga Peugeot 408 ini ada kamera keliling 360 darjah yang cukup jelas untuk kita memerhatikan kehadiran bendasing yang wujud di persekitaran.

Tidak cukup dengan itu, Peugeot 408 menawarkan kapasiti ruang kargo sebesar 536 liter, dan boleh mencapai sehingga 1,538 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

 

Harga yang… agak mahal

Disebalik rupa paras yang berani dan ciri-ciri yang serba moden disebutkan tadi, seperkara yang membuatkan Peugeot 408 ini nampak tidak menyelerakan ialah tanda harga yang ditetapkan.

Untuk pasaran Malaysia, anda boleh dapatkan Peugeot 408 versi asas Allure dengan harga jualan bermula dari RM146,055.

Kedengaran munasabah bukan?

Cuma, untuk varian GT yang dilengkapi dengan tambahan ciri yang lebih premium, harga jualan yang ditetapkan ialah bermula dari RM196,055.

Geng baik beli mungkin akan mencadangkan supaya lebih baik tambah duit sikit dan beli sedan segmen D yang jauh lebih besar dan selesa.

Sebab itu penulis lebih gemar untuk mengulangi hujah yang disebutkan di awal penulisan, “Peugeot 408: Sebuah ‘Singa Perancis’ untuk Sang Pemberani”.

 

Spesifikasi Peugeot 408 GT

Enjin: empat silinder sebaris 1.6 liter turbo
Kuasa: 218 hp @ 5,750 rpm, 300 Nm @ 2,000 rpm
Transmisi: Automatik 8-kelajuan
Pacuan: Roda depan
Suspensi: Topang MacPherson/Multilink
Saiz tayar: 245/40 R20
Harga: RM196,555 OTR

Toyota GR Yaris TGR Italy Limited Edition, 51 unit khas raikan kemenangan pertama WRC

Toyota meraikan ulang tahun kemenangan pertama World Rally Championship (WRC) yang ke-51 dengan melancarkan model GR Yaris edisi terhad.

Dengan angka produksi dihadkan sebanyak 51 unit dan khusus untuk pasaran Itali, Toyota GR Yaris TGR Italy Limited Edition didatangkan dengan pakej spesifikasi yang lebih unik.

Seperti contoh, ia membawakan rekaan grafik decal merah yang diinspirasikan daripada jentera Corolla 1600 Coupe yang memenangi kejuaraan rali Press On Regardless Rally 1973 di Michigan.

Selain itu, GR Yaris edisi terhad ini turut dipadankan dengan emblem TGR Italy pada luar dan dalam kabin, lengkap dengan nombor siri produksi.

Keempat-empat sudut gerbang roda dihiasi dengan rim tempa bersaiz 18 inci warna Heritage Gold yang dibaluti tayar Pirelli P Zero Trofeo R.

Disebalik perubahan bersifat kosmetik itu tadi, tiada sebarang sentuhan dibuat ke atas nadi tiga silinder sebaris 1.6 liter turbo G16E-GTS yang berupaya menghasilkan 276 hp.

Kesemua 51 unit GR Yaris TGR Italy Limited Edition ini ditawarkan dengan kotak gear automatik lapan nisbah kelajuan.

Tempahan bagi model edisi terhad ini akan mula dibuka di laman web Toyota Itali pada 9 September ini, setiap satu dijual pada harga €67,500 (RM325,917).

Pembeli yang berminat perlu membayar deposit bernilai €2,000 (RM9,657) dan menariknya Toyota turut menyediakan sesi pandu uji dalam jentera lumba, dua pas VIP untuk TGR Italy 2025, pelindung kereta khas dan pakaian sukan berjenama Gazoo Racing.

Toyota Hilux Champ diubah jadi motorhome, harga dari RM254k di Thailand

Di pasaran Thailand, syarikat Carryboy mula menawarkan pakej motorhome spesifikasi penuh untuk pemilik model trak pikap Hilux Champ yang mementingkan aspek keselesaan semasa mengembara.

Modul yang sama juga sebenarnya boleh dimuatkan pada trak pikap yang lebih besar seperti Toyota Hilux dan Mitsubishi Triton.

Bergantung kepada spesifikasi yang dipilih, motorhome ini mampu memuatkan sehingga enam orang pada satu-satu masa.

Ia menyediakan ruang tamu yang boleh diubah menjadi tempat tidur, selain kemudahan lain seperti sistem pencahayaan LED, ruang storan, peti sejuk 80 liter, dapur memasak, TV 32 inci dan unit pendingin hawa.

Di bahagian luar, Carryboy turut memasang tempat pemijak sisi berkuasa elektrik, bumbung awning dan opsyen dapur memasak yang boleh ditarik keluar.

Terdapat tangki air bersih sebesar 100 liter untuk kegunaan bilik air dan tandas.

Motorhome ini turut didatangkan dengan bateri berkapasiti 9,600 Wh yang boleh dinaik taraf kepada 19,200 Wh atau 28,800 Wh untuk mereka yang mahu bertahan di luar grid untuk tempoh masa yang lebih lama.

Pemilik juga boleh memanfaatkan cuaca panas dengan memasang panel solar pada bumbung untuk memanjangkan tempoh hayat bateri.

Kuasa enjin masih lagi standard, di mana nadi diesel 2.4 liter itu berupaya menjana kuasa setinggi 148 hp dan 343 Nm yang memacu roda belakang menerusi kotak gear automatik.

Namun begitu, pihak Carryboy turut menawarkan opsyen naik taraf sistem gantungan dengan penyerap hentak baharu yang dapat meninggikan lagi jarak kelegaan tanah Hilux Champ.

 

Untuk mereka yang mahukan pakej lebih ringkas, Carryboy menawarkan Touring Package, merangkumi modul belakang yang menempatkan ruang storan tersusun, serta khemah bumbung yang boleh membuatkan dua orang dewasa.

Harga untuk Touring Package ini bermula dari THB 450,000 (RM57,298) untuk modul belakang, serta TBH 32,500 (RM4,138) untuk khemah bumbung.

Yang mana mahukan pakej motorhome yang lebih lengkap itu tadi boleh menyediakan wang bermula dari THB 1,997,000 hingga THB 2,389,000 (RM254k-RM304k).

Walaupun menggunakan nama Hilux, Hilux Champ sebenarnya memiliki saiz yang lebih kecil, dan diposisikan di bawah model trak pikap tersebut sebagai satu alternatif yang lebih ringkas dan mampu milik (harga dari THB 459,000 atau RM58,444).

Motosikal 150 cc ke atas wajib ada ABS mulai tahun depan

Bermula 1 Januari 2025, semua motosikal baharu berkapasiti 150 cc dan ke atas perlu dilengkapi dengan sistem brek anti kunci (ABS), lapor Bernama.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Malaysia Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan Lalu Lintas berkata ABS boleh mengurangkan kematian dalam kalangan penunggang motosikal sebanyak 31 peratus semasa kemalangan berdasarkan kepada laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Saya yakin inisiatif ini akan mengurangkan kematian pengguna jalan raya di Malaysia dan memberi inspirasi kepada negara ASEAN lain untuk melaksanakan langkah yang sama, menjadikan motosikal lebih selamat di seluruh rantau ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS).

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Ahmad Zahid turut mencadangkan supaya sistem penarafan Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP) dapat diperluaskan ke luar Malaysia untuk meningkatkan keselamatan motosikal di seluruh benua.

“Dengan ini kita boleh tahu motosikal dari syarikat mana yang lebih selamat dan mana yang sebaliknya,” katanya.

Mercedes-Benz EQS sempat bertahan satu generasi sahaja

Tempoh hayat sedan elektrik mewah Mercedes-Benz EQS mungkin tidak akan bertahan lebih lama daripada yang dijangkakan.

Ini kerana berdasarkan laporan terbaharu Autocar, CEO Mercedes-benz Ola Källenius mengesahkan sedan elektrik tersebut akan digantikan dengan model S-Class versi elektrik.

“Pada masa depan, akan ada dua versi S-Class, iaitu ICE dan elektrik,” ujarnya.

Tidak seperti pendekatan yang diguna pakai ketika ini, Mercedes-Benz akan menggunakan rekaan yang sama untuk kedua-dua model, walaupun tidak dibina berdasarkan platform yang sama.

Menurut laporan itu lagi, sedan elektrik S-Class akan dibangun berdasarkan platform EV yang spesifik, manakala versi ICE pula akan terus menggunakan senibina MRA yang telah ditambah baik.

Pendekatan rekaan yang sama untuk dua model berbeza unit rangkaian kuasa ini telah pun digunakan oleh pesaingnya BMW pada model 5-Series dan 7-Series generasi baharu.

Nama EQS juga berkemungkinan besar akan digugurkan, merujuk kepada nama panjang yang digunakan oleh G-wagen berkuasa elektrik yang telah dilancarkan sebelum ini (G580 with EQ Technology).

Porsche umum kasut sniker eksklusif Turbo No. 1, Turbo 930, 150 unit terhad

Bersempena dengan sambutan ulang tahun model pertama 911 Turbo yang ke-50, Porsche memperkenalkan sehingga 12 rekaan kasut sniker untuk dimiliki.

Kesemua 12 rekaan kasut sniker itu dihasilkan menerusi kerjasama dengan pengeluar pakaian sukan Puma, dan dihadkan sebanyak 911 unit per model.

Sesuai dengan tema yang dibawakan, dua model daripada siri kasut sniker itu mempunyai kaitan sejarah dan diinspirasikan daripada rekaan ikonik model-model Porsche.

Rekaan sniker Turbo No. 1 dihasilkan berdasarkan model lagenda Porsche yang dipersembahkan kepada Louise Piëch semasa ulang tahun yang ke-70.

Menggunakan bahan kulit jenis full-grain, sniker Turbo No. 1 membawakan warna perak metalik di bahagian luar, diikuti dengan corak tartan merah/biru pada bahagian dalam, merujuk kepada kemasan kabin model pertama 911 Turbo.

Manakala rekaan sniker Turbo 930 pula merupakan satu penghormatan kepada model turbo Dr. Ferry Porsche dari tahun 1976.

Sniker Turbo 930 pula menggunakan bahan kulit nubuck yang ditampilkan dengan warna Oak Green Metallic, sementara kemasan dalaman kasut pula membawakan corak tartan hijau.

Untuk pasaran tempatan, kasut sniker Turbo No. 1 dan Turbo 930 dengan warna eksklusif polar blue boleh didapati bermula 29 Ogos 2024 di semua Porsche Centre dan dihadkan kepada 150 pasang sahaja.

Pembeli akan turut menerima tambahan set tali kasut serta beg sports hitam Porsche Puma eksklusif.

Cermin sisi vs kamera sisi, lebih canggih bermakna lebih baik?

Jika anda perasan, ada beberapa buah model kereta yang wujud di pasaran Malaysia yang sudah pun dilengkapi dengan opsyen kamera sisi bagi menggantikan peranan cermin sisi.

Sekali imbas, memang nampak canggih kereta-kereta yang dilengkapi dengan unit kamera sisi. Futuristik, macam kereta yang datang dari zaman masa depan pun ada.

Ada juga model yang diimport masuk seperti Honda e yang didatangkan standard dengan ciri kamera sisi.

Menurut pengeluar, penggunaan kamera sisi memberikan beberapa manfaat terutama untuk kenderaan elektrik.

Antaranya ialah aspek aerodinamik yang lebih baik, dan jarak gerak yang lebih jauh mampu dicapai.

Selain itu, ia juga dapat membantu mengurangkan kesan bunyi bising angin dan mengelakkan titik buta yang lebih besar seperti yang terdapat pada kereta konvensional.

Namun, adakah lebih canggih bermakna ia jauh lebih baik berbanding cermin sisi?

Penulis sebelum ini pernah berkesempatan menguji sebuah kereta baharu yang dilengkapi dengan kamera sisi.

Tiada cara yang lebih sesuai untuk menguji keberkesanan sistem canggih ini melainkan dengan memasuki kotak parkir secara mengundur.

Berbeza dengan model yang dilengkapi cermin sisi, penulis mengambil masa yang agak lama untuk membiasakan diri dengan kereta yang ada kamera sisi.

Satu sebab ialah kedudukan skrin paparan pada panel pintu, di mana ia secara langsung mengubah tabiat pemerhatian kita memandang kedudukan cermin sisi yang asal kepada posisi pandangan baharu.

Bayangkan untuk mengagak jarak di bahagian sisi kenderaan, kita terpaksa melihat paparan tersebut di dalam kereta dan bukannya di luar kereta.

Sudut pandangan yang dipaparkan pada skrin tersebut tidak begitu meluas berbanding penggunaan cermin sisi.

Keadaan pencahayaan yang kurang mencukupi juga mampu memberikan kesan kepada imej yang dipaparkan pada skrin.

Sekarang, cuba bayangkan jika anda memandu di atas jalan raya, dan kamera sisi tersebut menjadi mangsa perbuatan penunggang motosikal yang tidak bertanggungjawab.

Suka atau tidak, anda mungkin perlu memperuntukkan belanja yang besar untuk menggantikan kamera sisi yang rosak, berbanding menggantikan cermin sisi konvensional.

Tidak semua kemajuan teknologi itu memudahkan, namun terpulang kepada poket masing-masing untuk menentukan mana satu yang terbaik untuk kegunaan peribadi.

Trend automotif yang perlu dihapuskan

Selain rumah yang selesa, kita juga memerlukan sebuah mod pengangkutan yang dapat menyenangkan segala urusan perjalanan dari titik A ke titik B.

Dengan kemajuan teknologi, kereta-kereta moden kini jauh lebih selesa dan selamat jika dibandingkan dengan kereta yang diguna pakai oleh golongan bapa dan atuk kita.

Namun, dengan kemajuan teknologi yang terlalu pantas jugalah menyebabkan perubahan yang mendadak terhadap cara kita mengoperasikan kereta setiap hari.

Berikut merupakan beberapa trend automotif yang seharusnya dihapuskan daripada kereta-kereta moden:

 

1. Minimalis yang menyusahkan

Ini adalah trend yang kita boleh lihat pada kereta-kereta baharu.

Kebanyakan pengeluar mula mengurangkan butang fungsi dan menghimpunkan segala operasi penting ke dalam skrin infohibur.

Kesannya, susun atur papan pemuka menjadi lebih ‘bersih’, namun ia mendatangkan satu masalah yang cukup besar – tumpuan pemandu terganggu dengan lebih kerap.

Kalau dulu, anda hanya memerlukan satu butang khas untuk membuka bumbung kaca panorama, tapi kini anda terpaksa menekan skrin tengah beberapa kali semata-mata untuk melakukan operasi yang sama. Menyusahkan bukan?

 

2. Arahan suara yang tidak mesra loghat tempatan

Satu lagi trend yang menyusahkan selepas poin nombor satu tadi ialah pengeluar berlumba-lumba untuk hadir dengan sistem arahan berbentuk suara yang tersendiri.

Dengan fungsi ini, anda boleh mengarahkan sistem untuk membuka tingkap, menurunkan suhu, dan bermacam-macam perkara lagi sekiranya sistem tersebut hadir dengan ciri kepintaran buatan (AI).

Untuk pengguna yang mempunyai lidah lembut, tiada sebarang masalah untuk membiasakan diri dengan sistem berbentuk arahan suara itu.

Bagaimana pula dengan pengguna lain? Penulis pun boleh bilang pakai jari kekerapan menggunakan sistem ini sepanjang memandu uji pelbagai jenis kereta moden.

 

3. Terlalu banyak skrin dalam kabin

Kalau dulu, kita mungkin dihidangkan dengan satu skrin yang kecil untuk paparan informasi penting.

Lama kelamaan, skrin infohibur kenderaan semakin membesar saiznya, dan tidak cukup dengan itu, ada pula skrin tambahan yang dipasangkan pada papan pemuka.

 

4. Lampu kabin macam kedai tomyam

Ini juga satu trend yang patut dihapuskan, kerana sistem pencahayaan ambien serupa kedai tomyam ini sebenarnya mampu memberikan kesan kepada tumpuan pemanduan terutama pada waktu malam.

Kesan pantulan cahaya pencahayaan ambien yang terdapat pada tingkap itu boleh mengelirukan tumpuan pemandu.

Ada juga sesetengah pengeluar yang sengaja meletakkan jalur pencahayaan ambien sama aras dengan medan penglihatan pemandu.

Pada pendapat penulis, sistem pencahayaan ambien ini satu ciri yang bagus untuk menyerikan kabin pada waktu malam, namun berpada-padalah. Jangan sampai ia boleh mengganggu pemanduan.

 

5. Trend bagi ‘Signal’ pakai niat

Apa tujuan tuil lampu membelok dicipta? Untuk memberikan amaran kepada pengguna jalan raya lain tentang niat kita untuk menukar haluan atau memasuki mana-mana simpang di hadapan.

Jadi, apa pula manfaat yang kita dapat sekiranya kita tidak langsung menggunakan fungsi tersebut untuk menukar laluan?

Tiada manfaat, bahkan anda mungkin akan mendapat maki hamun dan hon yang berpanjangan dari arah belakang.

Jadi tolonglah jangan tergolong dalam kumpulan yang suka menyusahkan orang lain.

Seksyen 1 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat dibuka bermula tengah malam ini

Seksyen 1 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) melibatkan laluan Persimpangan Bertingkat Banting ke Persimpangan Bertingkat SKVE akan dibuka secara rasmi kepada pengguna lebuh raya bermula 12.01 tengah malam ini (31 Ogos 2024).

Pembukaan Seksyen 1 WCE itu dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam satu acara yang dianjurkan sebentar tadi di Plaza Tol Banting.

Seksyen 1 ini melibatkan jajaran sepanjang 12.5 km menghubungkan Jalan Dengkil-Banting (FT31) ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan ia dijangka akan memberikan manfaat kepada penduduk di sekitar Banting ke bandar-bandar utama di selatan Lembah Klang seperti Putrajaya, Bangi dan Kajang.

Ia juga akan menghubungkan pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Lumut dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dijangka dapat meningkatkan kecekapan perjalanan bagi sektor pengangkutan barangan serta menjimatkan kos operasi bagi syarikat perindustrian yang menjalankan operasi dalam jangkauan lebuh raya ini.

Bersempena dengan pembukaan rasmi, Menteri Kerja Raya turut mengumumkan pengecualian bayaran tol selama satu bulan bermula 31 Ogos 2024 sehingga 29 September 2024 jam 11.59 malam.

‘Makmal bergerak’ Hyundai N Vision 74 sah masuk produksi, pelancaran menjelang 2030

Biarpun segmen kenderaan elektrik (EV) berdepan dengan masa depan yang tidak menentu, ia tidak menghalang Hyundai daripada terus mengorak langkah berikutnya.

Dalam acara CEO Investor Day 2024 yang dianjurkan baru-baru ini, Hyundai mengesahkan tidak kurang dari 21 model EV baharu akan dilancarkan menjelang tahun 2030 merangkumi model mampu milik sehinggalah model berprestasi tinggi.

Menariknya, Hyundai turut merancang untuk menjadikan model konsep N Vision 74 menjadi satu realiti.

Hyundai N Vision 74 merupakan konsep yang dibangunkan oleh Hyundai berdasarkan model coupe Pony 1974 yang direka oleh pereka lagenda Giorgetto Giugiario.

Tidak seperti Pony, N Vision 74 membawakan elemen retro moden dengan struktur badan berbentuk baji, spoiler belakang yang besar, serta unit lampu digital pada bahagian depan dan belakang.

Buat masa ini, Hyundai tidak mendedahkan unit rangkaian kuasa yang bakal digunakan pada N Vision 74 versi produksi sebenar.

Namun untuk makluman, N Vision 74 Concept merupakan sebuah kenderaan hibrid yang menggandingkan sistem sel bahan api hidrogen dan rangkaian kuasa elektrik bateri.

Unit pacuan elektrik 800 voltan tersebut merangkumi dua motor elektrik berkuasa 670 hp/900 Nm yang memacu roda belakang.

Pek bateri berkapasiti 62.4 kWh digunakan untuk membekalkan tenaga kuasa yang diperlukan oleh motor elektrik itu tadi.

Di bahagian hadapan, Hyundai memasang sistem sel bahan api hidrogen 114 hp dengan dua tangki hidrogen dengan kapasiti keseluruhan 4.2 kg yang boleh diisi penuh dalam masa lima minit sahaja.

Secara keseluruhan, N Vision 74 mampu bergerak sejauh hampir 600 km dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa empat saat.

Selain nama sebenar, Hyundai juga tidak mendedahkan garis masa spesifik pelancaran model produksi N Vision 74.

Apa yang diketahui pada masa ini, N Vision 74 merupakan salah satu daripada 21 model EV baharu yang bakal dilancarkan oleh Hyundai menjelang 2030.

Hyundai turut menyasarkan angka jualan keseluruhan mencecah 5.55 juta unit menjelang tahun yang sama, di mana 2 juta daripadanya terdiri daripada model EV.