All posts by Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

Honda CB1000F Concept muncul di Osaka Motorcycle Show 2025

Bertempat di acara pameran Osaka Motorcycle Show 2025 yang ke-41 di INTEX Osaka, Honda memperlihatkan model CB1000F Concept buat kali pertama.

Biarpun masih lagi menggunakan nama konsep, reka bentuk Honda CB1000F ini menampakkan ia sudah sedia untuk diproduksikan secara besar-besaran.

Malah, ia juga turut mengingatkan kita kepada rekaan model CB-F Concept yang diperlihatkan lima tahun lalu.

Namun tidak seperti CB-F yang dibina berdasarkan platform CB1000R, CB1000F ini berkongsi pelantar yang sama digunakan oleh CB1000 Hornet.

Bezanya? CB1000F menggunakan kerangka jenis keluli serta lengan ayun berkembar berbanding CB-F yang menggunakan kerangka aluminium dan lengan ayun tunggal.

Selain itu, CB1000F dibekalkan dengan enjin empat silinder sebaris berkuasa 150 hp berdasarkan jentera Fireblade, diikuti dengan fork hadapan Showa SFF-BP dan brek Nissin yang sama digunakan oleh model Hornet.

Honda CB1000F juga mendapat subrangka baharu untuk disesuaikan dengan perkadaran retro, diikuti dengan set peredam ekzos besar berwarna krom.

Biarpun berpegang dengan konsep retro, Honda CB1000F turut mendapat ciri moden seperti penyerap hentak tunggal di belakang, fork jenis terbalik, brek radial, lampu LED serta skrin paparan TFT.

Honda CB1000F apabila diproduksikan kelak mampu memberikan saingan hebat kepada barisan jentera neo-retro yang wujud di pasaran, seperti Kawasaki Z900RS dan Yamaha XSR900.

30 sekolah bakal sertai Toyota Eco Youth 2025 untuk rebut ganjaran RM167,000

UMW Toyota Motor mengumumkan pembukaan rasmi pendaftaran bagi acara tahunan Toyota Eco Youth 2025.

Inisiatif yang disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (MOE) ini menggalakkan pelajar sekolah menengah di seluruh negara untuk membangunkan penyelesaian isu alam sekitar dengan cara inovatif dan mampan.

Edisi ke-24 tahun ini menggandakan jumlah penyertaan kepada 30 buah sekolah, dan menaikkan jumlah dana kepada RM167,000 di mana setiap sekolah terpilih akan menerima geran bernilai RM3,000.

Para pelajar juga berpeluang untuk merebut hadiah wang tunai RM77,000 dalam pelbagai kategori juara (RM30,000), naib juara (RM20,000), tempat ketiga (RM10,000), sub-kategori (RM5,000 setiap satu) seperti Kempen Media Sosial Terbaik, Pembentangan Terbaik serta Pameran Terbaik, dan tidak ketinggalan kategori Guru Penasihat Terbaik (RM2,000).

Sejak diperkenalkan pada tahun 2001, TEY telah memberi manfaat kepada hampir 600 buah sekolah dan lebih 300,000 orang pelajar di seluruh Malaysia dalam membimbing mereka membangunkan kemahiran kritikal untuk memacu perubahan dalam komuniti.

Keberkesanan program tahunan ini terbukti apabila para peserta TEY berjaya membentangkan idea inovatif yang boleh diterjemahkan menjadi projek nyata yang dapat memberikan kesan kepada masyarakat.

Seperti contoh, sekumpulan pelajar telah mencipta sistem yang bukan sahaja dapat mengurangkan sisa pertanian, tetapi juga memperbaiki aspek pelupusan sampah tempatan yang dapat meningkatkan tahap kesihatan komuniti dan kelestarian alam sekitar di Kuala Bikam.

Di Pulau Pinang, masalah pencemaran laut dapat ditangani dengan program pembersihan berasaskan komuniti yang dapat membantu memulihkan ekosistem marin.

Di Sarawak, sekumpulan pelajar memperkenalkan amalan pertanian lestari yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada bahan kimia berbahaya, serta memacu usaha ke arah pemuliharaan alam sekitar jangka panjang.

Semua kejayaan ini adalah hasil daripada pendekatan unik Metodologi Penyelesaian Masalah 8 Langkah Toyota (PSM) yang diguna pakai untuk membekalkan kemahiran penyelesaian masalah secara sistematik selain melatih pelajar mengenal pasti isu dengan lebih mendalam, memahami punca utama permasalahan dan seterusnya merangka penyelesaian yang praktikal dan lestari.

“Toyota Eco Youth bukan sekadar meningkatkan kesedaran terhadap isu alam sekitar—ia adalah tentang tindakan yang diambil.

“Dengan menggandakan jumlah penyertaan sekolah dan menyalurkan dana yang lebih besar, kami menawarkan lebih banyak peluang kepada pelajar untuk merangka penyelesaian inovatif yang mampu menggerakkan Malaysia ke arah masa depan yang lebih lestari.

“Kami teruja untuk menyaksikan bagaimana peserta tahun ini akan mencipta perubahan dan menginspirasi masyarakat dengan idea-idea mereka,” kata Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.

Sekolah-sekolah yang berminat boleh mendaftar di pautan https://bit.ly/TEY2025_RegisterNow sebelum 3 April 2025, sementara majlis pelancaran rasmi, bengkel dan upacara pembukaan akan berlangsung dari 28 April hingga 30 April 2025.

Toyota GR Supra edisi penamat ini ada banyak jajan berbanding Supra spesifikasi Malaysia

Diperlihatkan buat kali pertama pada November tahun lepas, Toyota Gazoo Racing akhirnya mengumumkan penjualan model GR Supra A90 Final Edition untuk pasaran Jepun.

Hanya 300 unit model edisi pengakhiran ini akan diproduksikan, di mana 150 unit diperuntukkan untuk negara Matahari Terbit, selebihnya akan dijual di pasaran Eropah.

Apa yang membuatkan GR Supra A90 Final Edition ini lebih istimewa, ialah kelengkapan yang dibawakan secara standard dari kilang berbanding GR Supra versi biasa.

Dari segi prestasi, GR Supra A90 Final Edition ini menampilkan enjin B58 yang telah dinaik taraf kuasa kuda kepada 441 PS dan 571 Nm berbanding 387 PS/500 Nm.

Toyota juga turut mengoptimasikan sistem kemasukan dan sistem penyejukan, sebelum diakhiri dengan unit peredam ekzos titanium Akrapovic.

Tidak cukup dengan itu, casis GR Supra ini telah diperkuatkan dengan pemasangan struktur pendakap pada beberapa tempat, diikuti dengan bar penstabil depan dan belakang menggunakan kurungan yang diperbuat daripada bahan aluminium bertetulang.

Sistem suspensi KW boleh laras digunakan pada keempat-empat sudut, di mana sudut camber bagi roda depan dan belakang turut diubah sama.

Menyumbang kepada pengendalian yang lebih baik ialah kawalan pembeza aktif dan sistem stereng elektronik yang telah dioptimasikan.

Rim aluminium bersaiz 19 inci depan dan 20 inci belakang itu dibaluti dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang lebih lebar 10 mm berbanding tetapan sedia ada.

Penampilan luaran GR Supra A90 Final Edition ini diserikan dengan penggunaan komponen gentian karbon seperti spoiler dan canard hadapan, diikuti dengan sayap belakang leher angsa.

Untuk ruang kabin pula, terdapat tempat duduk bucket penuh Recaro Podium CF, tali pinggang keledar merah, serta kemasan gentian karbon dan balutan bahan Alcantara yang menguasai ruang tersebut.

Dengan penambahbaikan yang ditawarkan pada model ini, tidak menghairankan apabila Toyota mengumumkan harga jualan sekitar 15,000,000 yen (RM443 ribu), lebih mahal berbanding GR Supra gred RZ.

Pihak yang berminat boleh mendaftarkan diri di semua lokasi GR Garage di seluruh Jepun bermula 13 April ini, namun pembeli akan dipilih berdasarkan cabutan undi. Pemenang (merangkap pemilik sah) hanya akan diumumkan pada 9 Mei ini.

 

Proton e.MAS7 berkonvoi 9,000 km rentas 9 negara ASEAN sempena Malaysia Autoshow 2025

Konvoi Proton e.MAS7 berserta empat buah kenderaan Siri X yang dibawakan oleh Proton dan Pro-Net memulakan perjalanan sejauh 9,000 km pada Khamis lalu (20 Mac).

ASEAN Unity Drive 2025 (AUD 2025) merupakan satu inisiatif yang menggariskan kepimpinan Malaysia dalam memacu mobiliti hijau, kerjasama rentas sempadan dan inovasi automotif di seluruh Asia Tenggara.

Proton e.MAS7 dipilih sebagai kenderaan rasmi AUD 2025 yang melambangkan komitmen Malaysia kepada mobiliti elektrik, menyokong agenda EV negara dan matlamat kelestarian ASEAN secara lebih meluas.

Dua laluan utama dirancang, iaitu:
• Laluan Utara: bermula di Hanoi, Vietnam melalui Laos, Kemboja, Thailand sebelum tiba di Malaysia.
• Laluan Selatan: Bermula di Manila, Filipina, melalui Sabah, Brunei, Sarawak, Indonesia, Singapura sebelum tiba di Malaysia.

Konvoi AUD 2025 ini akan bertemu di Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) yang akan berlangsung di MAEPS, Serdang pada 9-15 Mei ini.

Majlis pelepasan telah diadakan di Menara MITI dan dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“ASEAN Unity Drive 2025 melambangkan kekuatan kolektif rantau ini dalam memajukan mobiliti lestari seiring memperkukuhkan integrasi ekonomi dan pengurusan alam sekitar.

“Malaysia, melalui inisiatif seperti ASEAN Automotive Institute Alliance, komited kepada membentuk ekosistem mobiliti bersatu yang mempercepatkan inovasi, menyelaraskan piawaian, dan mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai peneraju global dalam pengangkutan generasi baharu.

“Inisiatif ini adalah langkah penting ke arah industri automotif yang bersedia untuk masa depan dan membawa manfaat kepada seluruh rantau ini,” ujarnya lagi.

Selain daripada pelancaran model baharu serta pameran teknologi EV & ICE, MAS 2025 pada tahun ini akan menampilkan segmen Wanita dalam Automotif, pameran Hari Kerjaya serta Debat Automotif ASEAN.

Sebanyak 55 buah jenama terkemuka akan menyertai acara Malaysia Autoshow 2025 yang dijangka menarik kehadiran pengunjung yang lebih besar berbanding edisi sebelumnya.

 

Mitsubishi XForce HEV debut di Thailand – bakal masuk Malaysia?

Mitsubishi Motors baru sahaja melancarkan varian baharu XForce HEV, membawakan tetapan enjin hibrid yang sama wujud pada MPV Xpander HEV.

Unit rangkaian kuasa e:Motion ini menampilkan motor elektrik yang mampu menjana kuasa 116 hp dan 255 Nm, dibantu dengan enjin 1.6 liter kitaran Atkinson (4A92) yang telah ditala semula untuk menjana kuasa 107 hp dan 134 Nm.

Menurut Mitsubishi, XForce HEV ini menampilkan transaxle dua-kelajuan yang dibangunkan serba baharu, serta fungsi pemutus sambungan motor elektrik kepada gandar pacuan pada kelajuan tinggi.

Ciri baharu ini bertujuan untuk mengurangkan kadar kehilangan tenaga, selain menyumbang kepada kadar penggunaan bahan api 24.4 km/liter (4.1 liter/100 km).

Sama seperti sistem hibrid moden yang ada di pasaran, XForce HEV juga turut menyediakan mod pemanduan EV.

Terdapat juga mod pemanduan lain termasuklah Normal, Wet, Gravel, Tarmac, Mud serta mod khas EV Charge yang boleh digunakan untuk mengecas kembali bateri.

Tidak banyak perbezaan yang dibawakan pada XForce HEV jika dibandingkan dengan varian ICE, melainkan kehadiran lencana HEV dengan aksen berwarna biru, lampu belakang diberikan lensa jernih, dan perkataan XFORCE pada hud enjin.

Selain daripada itu, ia juga hadir dengan rim aloi aerodinamik bersaiz 18 inci, dan duduk lebih rendah (183 mm) berbanding XForce standard (222 mm).

Untuk ruang kabin, terdapat skrin paparan digital saiz 8 inci dan skrin Display Audio 12.3 inci yang diletakkan dalam satu panel tunggal, diikuti sistem audio premium Yamaha dengan lapan pembesar suara dan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Fabrik mélange digunakan pada papan pemuka untuk penampilan yang lebih mewah.

Dari segi keselamatan, XForce HEV dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu termaju termasuklah kawalan jelajah adaptif (ACC), sistem mitigasi pelanggaran hadapan (FCM), bantuan suluhan tinggi automatik (AHB), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), bantuan penukaran lorong (LCA) serta amaran titik buta (BSW).

Tidak ketinggalan, sistem Active Yaw Control (AYC) yang dapat memberikan kelebihan dari segi pengendalian di atas jalan raya.

Di pasaran Thailand, XForce HEV dijual pada harga bermula dari THB899,000 (RM117,502).

Persoalannya, adalah varian HEV ini akan ditawarkan sekali untuk pasaran Malaysia pada tahun ini?

Pendaftaran Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2025 kini dibuka

Porsche Malaysia yang diwakili oleh Sime Darby Auto Performance mengumumkan penganjuran Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia untuk tahun kedua yang terbuka kepada bakat-bakat muda.

Terdapat tiga kategori umur yang dipertandingkan di mana pelumba sim seawal usia 10 tahun hingga 24 tahun layak untuk menyertai cabaran ini.

Tiga pusingan kalah mati akan menentukan pelumba terpantas yang layak untuk ke pusingan berikutnya, di mana pusingan akhir akan berlangsung serentak dengan perlumbaan Porsche Carrera Cup Asia pada 8 Jun 2025.

Pendaftaran dalam talian akan dibuka bermula 20 Mac hingga 16 April ini menerusi laman web https://pescm.porsche.com.my/, di mana setiap peserta perlu memilih lokasi Porsche Centre sekiranya layak mara ke Pusingan 2.

Untuk tahun 2025, Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2025 akan menggunakan platform RaceRoom Racing Experience di Steam, menampilkan litar lumba yang digunakan oleh Porsche Carrera Cup Asia.

Pusingan pertama kelayakan (time-trial 10 minit) akan berlangsung secara dalam talian dan di Porsche Centre seluruh Malaysia bermula 12 April hingga 20 April di mana peserta boleh memilih untuk menyertai cabaran ini di rumah masing-masing.

Pusingan 2 pula akan berlangsung di lokasi berikut:

• Porsche Centre Ara Damansara: 26 – 27 April 2025
• Porsche Centre Johor Bahru: 3 – 4 May 2025
• Porsche Centre Penang: 10 – 11 May 2025
• Porsche Centre Sungai Besi: 17 – 18 May 2025

Dalam Pusingan 2, setiap peserta akan menerima sesi bimbingan peribadi, diikuti sesi latihan selama 10 minit.

10 peserta terbaik dari setiap kategori yang mencatatkan pusingan terpantas di setiap Porsche Centre akan mara ke pusingan kelayakan akhir pada 25-26 Mei 2025 di Bangsar Shopping Centre.

10 finalis terbaik dari setiap kategori akan mara ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 8 Jun 2025, menggunakan format perlumbaan pecut di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS secara maya.

Tiga pelumba yang berjaya mendapatkan kedudukan podium semasa kejohanan akhir berpeluang untuk merasai pengalaman memandu sebuah Porsche sebenar di dalam litar Sepang.

Pemenang di bawah umur 18 tahun boleh berkongsi pengalaman bermakna ini bersama seorang ibu/bapa atau penjaga.

Peserta yang berminat untuk mendaftar atau mengetahui dengan lebih lanjut boleh melayari laman web ini: https://bit.ly/pescm-registration.

CFMoto 700MT mendarat di Malaysia – harga RM33,888

CFMoto Malaysia baharu sahaja melancarkan jentera adventure touring terbaharu 700MT untuk pasaran Malaysia, membawakan tanda harga RM33,888 (tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran).

Dari segi kuasa, 700MT 2025 dijana dengan enjin dua silinder 693 cc yang mampu menghasilkan kuasa 67 hp @ 9,500 rpm dan daya kilas 60 Nm @ 6,000 rpm.

CFMoto 700MT dilengkapi dengan sistem suspensi boleh laras yang terdiri daripada fork hadapan 43 mm jenis terbalik dengan jarak pergerakan roda 150 mm, diikuti dengan penyerap hentak tunggal dengan jarak pergerakan roda 148 mm.

Sistem brek pula menggunakan khidmat rotor berkembar 300 mm di depan, dibantu dengan rotor brek tunggal 240 mm di belakang.

Ciri bantuan tunggangan yang disertakan termasuklah ABS dua saluran, kawalan cengkaman (TCS), dan sistem pemantauan tekanan tayar.

Terdapat skrin paparan TFT sebesar lima inci yang turut menyokong navigasi pemetaan Google Maps.

Ciri lain termasuklah skrin penghadang angin boleh laras, fungsi pemanas untuk pelana dan pemegang bar hendal, pelana setinggi 800 mm dan tangki bahan api sebesar 20 liter untuk perjalanan sejauh 400 km.

Cruiser Benda Chincilla 500 rasmi di Malaysia – RM27,888

MForce Bike Holdings Sdn Bhd selaku pengedar sah motosikal jenama Benda melancarkan cruiser terbaharu Chinchilla 500, menyertai dua model cruiser yang sudah tersedia ada di sini.

Berbeza dengan Napoleon Bob 500 yang telah dilancarkan sebelum ini, Chincilla 500 membawakan rupa cruiser yang lebih konvensional, lengkap dengan tempat duduk untuk memuatkan pembonceng.

Benda Chinchilla 500 dikuasakan oleh enjin V-twin SOHC sejukan cecair bersesaran 475.6 cc yang mampu menjana kuasa 47 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 42 Nm @ 7,200 rpm.

Enjin itu tadi dipadankan dengan transmisi enam nisbah kelajuan, sistem pacuan akhir tali sawat serta klac slipper.

Casis cruiser ini disokong dengan sistem gantungan yang terdiri daripada fork 41 mm jenis terbalik di depan (jarak pergerakan roda 129 mm) dan penyerap hentak berkembar di belakang dengan larasan pra-muatan (jarak pergerakan roda 65 mm).

Sistem brek pula menggunakan angkup empat omboh dan rotor brek terapung tunggal saiz 320 mm di depan, sementara bahagian belakang pula menggunakan angkup dua omboh dan rotor bersaiz 260 mm.

Secara standard, Chinchilla 500 ini hadir dengan unit pencahayaan LED, serta ciri keselamatan seperti ABS dua saluran dan kawalan cengkaman.

Selain itu, terdapat skrin kluster berbentuk bulat yang ringkas bertenggek di atas bar hendal, tangki bahan api sebesar 16 liter dan pelana berketinggian 705 mm.

Untuk pasaran Malaysia, Benda Chincilla 500 dijual pada harga RM27,888.

 

Honda CBR150R 2025 tiba di Malaysia dengan warna baharu Honda Tricolor – RM13,399

Boon Siew Honda mengumumkan penawaran CBR150R dengan warna baharu Honda Tricolor yang diinspirasikan daripada DNA Honda Racing yang wujud pada CBR1000RR-R, CBR650R dan CBR250RR.

Selain daripada Honda Tricolor, CBR150R juga boleh didapati dalam pilihan warna Silver yang dikemaskan dengan aksen warna kuning terang.

Dari segi spesifikasi, Honda CBR150R dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 149.2 cc, menghasilkan kuasa 16 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 13.7 Nm @ 7,000 rpm yang digandingkan dengan transmisi enam-kelajuan dan klac assist & slipper.

Ia juga masih mengekalkan tetapan suspensi fork hadapan jenis terbalik, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang, rim 17 inci, brek cakera depan dan belakang, sistem ABS dua saluran, panel meter digital dan lampu LED.

Ciri lain termasuklah tangki bahan api sebesar 12 liter, serta tinggi pelana 788 mm.

Honda CBR150R 2025 boleh didapati bermula 19 Mac di semua pengedar sah Honda dan IMPIAN X di seluruh negara, dengan tanda harga RM13,399 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran).

 

Honda NSS250 2025 rasmi di Malaysia dengan skrin TFT lima inci – harga RM25,888

Boon Siew Honda mengumumkan kehadiran model skuter bersesaran 250 cc yang telah dikemas kini, iaitu Honda NSS250 2025 untuk memeriahkan lagi pasaran skuter tempatan.

Tidak seperti penawaran terdahulu, NSS250 2025 kini dilengkapi dengan skrin paparan TFT berwarna sebesar lima inci yang boleh dikawal menerusi suis bercahaya.

Dengan integrasi Honda RoadSync, penunggang boleh mengakses fungsi navigasi, panggilan suara, serta muzik menerusi sambungan Bluetooth.

Honda NSS250 2025 dikuasakan oleh enjin 249.5 cc yang mampu menjana kuasa 23 hp @ 7,750 rpm dan daya kilas 24 Nm @ 6,250 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT automatik.

Casis kerangka keluli tubular NSS250 ini digandingkan dengan fork teleskopik hadapan 33 mm dan penyerap hentak berkembar di belakang untuk tunggangan yang lebih lincah di dalam laluan urban.

Ciri lain termasuklah skrin penghadang angin boleh laras elektronik (julat 180 mm), unit lampu utama LED, sistem Smart Key, ruang storan yang luas di bawah pelana, serta ruang glovebox berkembar di hadapan.

Selain daripada sistem ABS dua saluran, NSS250 ini turut mendapat ciri Emergency Stop Signal, dan juga Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang boleh dinyahaktif.

Lima warna baharu yang ditawarkan untuk NSS250 termasuklah Pearl Smoky Gray, Matte Gun Powder Black Metallic, Candy Rosy Red, Pearl Jubilee White dan Pearl Shining Black.

Harga jualan Honda NSS250 2025 bermula dari RM25,888.

Honda X-ADV 2025 V3 rasmi di Malaysia – dari RM69,999

Boon Siew Honda mengumumkan ketibaan generasi baharu skuter kembara Honda X-ADV 750 2025 untuk pasaran tempatan.

Jentera kegemaran ramai ini dilihat masih lagi mengekalkan enjin parallel-twin 745 cc SOHC yang mampu menjana kuasa 58 hp @ 6,750 rpm dan daya kilas 69 Nm @ 4,750 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan sistem DCT (klac berkembar) yang telah dinaik taraf untuk pengedaran kuasa yang lebih lancar, lengkap dengan mod manual atau automatik serta fungsi rev-match automatik semasa downshift.

Berbeza dengan model terdahulu, X-ADV 750 baharu ini membawakan rupa paras yang lebih agresif, terima kasih kepada unit lampu nyalaan siang (DRL) yang mengintegrasikan fungsi lampu membelok.

Perumah lampu utama projektor LED sengaja digelapkan untuk efek yang lebih menonjol.

Dari segi praktikaliti, X-ADV menampilkan skrin penghadang angin yang boleh dilaras tiga tahap menggunakan satu tangan, slot pengecas USB-C, ruang glovebox, serta sistem kunci pintar.

Ruang storan bawah pelana adalah sebesar 22 liter, lengkap dengan sistem pencahayaan LED dan pembahagi ruang untuk mengelakkan barangan daripada bergerak sewaktu tunggangan.

Terdapat skrin paparan TFT lima inci berwarna penuh dengan integrasi peranti pintar menerusi Honda RoadSync untuk kawalan navigasi dan muzik dengan menggunakan sambungan Bluetooth.

Melengkapi penawaran X-ADV ialah sistem Throttle-by-Wire, Automatic Turn Signal Canceller, ABS dua saluran, serta sistem kawalan jelajah berasaskan Human Machine Interface (HMI) untuk mengurangkan kepenatan sewaktu perjalanan jauh.

Ciri lain termasuklah fork hadapan terbalik 41 mm SFF-CA, penyerap hentak tunggal di belakang, rotor brek berkembar 296 mm berserta angkup empat omboh di depan, rotor brek tunggal 240 mm berserta angkup omboh tunggal di belakang, tangki bahan api sebesar 13.2 liter serta tinggi pelana 790 mm.

Terdapat tiga warna pilihan, iaitu Matte Deep Mud Gray, Pearl Glare White dan Graphite Black yang boleh dibeli pada harga RM69,999, serta warna istimewa Matte Goldfinch Yellow pada harga RM70,999.

Royal Enfield Classic 350 2025 dikemas kini untuk pasaran Malaysia – harga RM23,700

Selain daripada pelancaran model baharu Guerilla 450, Royal Enfield Malaysia turut sama mengemas kini penawaran model Classic 350 untuk tahun 2025.

Untuk pasaran tempatan, Classic 350 boleh didapati dalam empat varian, iaitu:
• Heritage Premium (warna Medallion Bronze)
• Signal (warna Commando Sand)
• Dark (warna Gun Grey dan Stealth Black)
• Chrome (warna Emerald)

Selain itu, ia turut mendapat perubahan seperti lampu LED, penunjuk posisi gear pada meter kluster, serta kehadiran slot pengecasan jenis USB-C.

Varian tertinggi Emerald dan Dark akan ditawarkan dengan sistem navigasi Tripper secara standard, tuil brek dan klac boleh laras dan lampu membelok jenis LED.

Dari segi kuasa, Classic 350 dijana dengan enjin silinder tunggal sejukan udara-minyak bersesaran 349 cc, menghasilkan 20.2 hp @ 6,100 rpm dan daya kilas 27 Nm @ 4,000 rpm.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik 41 mm dengan jarak pergerakan roda 130 mm, diikuti penyerap hentak berkembar dengan larasan pra-beban enam tahap dan jarak pergerakan roda 90 mm.

Classic 350 dibekalkan dengan brek cakera 300 mm dan angkup omboh berkembar jenis terapung pada roda depan, serta rotor 270 mm dan angkup omboh tunggal.

Ciri lain termasuklah sistem ABS dua saluran, tangki bahan api sebesar 13 liter, rim bersaiz 19 inci depan dan 18 inci belakang, serta tinggi pelana 805 mm.

Harga jualan Royal Enfield Classic 350 bermula dari RM23,700.

Kenderaan berat dilarang guna lorong kanan lebuh raya

Kementerian Pengangkutan (MOT) bakal melaksanakan peraturan yang lebih ketat membabitkan kenderaan perdagangan iaitu bas dan juga lori, lapor Berita Harian.

Lima penambahbaikan yang bakal dikuatkuasakan termasuklah larangan penggunaan lorong kanan di lebuh raya, mewajibkan pemasangan alat kawalan kelajuan, pemasangan alat GPS, pemasangan alat pengesan muatan High Speed-Weigh in Motion (HS-WIM) di 11 lokasi dan penambahan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan berkata, peraturan larangan bas dan lori di lorong kanan sudah diwartakan sejak 2015 lagi, namun masih belum dikuatkuasakan.

“Di bawah peraturan ini, lori atau bas mesti kekal di lorong kiri dan tidak boleh dipandu laju. Jika ingin memotong, ia dibolehkan bertukar ke lorong kedua dan kembali semula ke kiri.

“Namun, mereka sama sekali tidak boleh berada di lorong ketiga pada bila-bila masa. Justeru, kita akan usulkan semula perkara ini kepada menteri supaya dapat dikuatkuasakan membabitkan kenderaan berat di lebuh raya,” katanya kepada Berita Harian.

Buat masa ini, pemasangan alat kawalan had laju diwajibkan kepada semua lori baharu, manakala kenderaan lama diberikan kebebasan untuk memasangnya sendiri.

Peraturan pemasangan alat GPS pula dijangka akan bermula bulan ini bagi membolehkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memantau dan mengambil tindakan secara terus.

Menurut Jana Santhiran, pemeriksaan setiap enam bulan akan dibuat di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi memastikan pihak yang terbabit mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk alat kawalan kelajuan dan GPS.

Permit syarikat lori atau bas boleh digantung atau dibatalkan sekiranya berlaku sebarang perlanggaran peraturan jalan raya.

Sementara itu, pemasangan sistem HS-WIM di 11 lokasi lebuh raya dijangka siap sepenuhnya menjelang suku pertama tahun hadapan.

Malaysia Airlines larang guna bank kuasa dalam penerbangan bermula 1 April ini

Minggu ini, syarikat Malaysia Airlines mengemas kini peraturan berhubung penggunaan pengecas mudah alih (bank kuasa) bagi penumpang penerbangan Malaysia Airlines, Firefly dan juga MASwings untuk menjamin keselamatan bersama.

Bermula 1 April 2025, setiap bank kuasa perlu disimpan dengan penumpang sepanjang masa, sama ada di dalam beg carry-on yang diletakkan di bawah tempat duduk, atau poket tempat duduk di hadapan.

Penumpang dilarang menyimpan bank kuasa atau bateri ganti lithium-ion di dalam beg bagasi atau beg kabin yang diletakkan di dalam ruang penyimpanan atas kepala.

sekadar hiasan

Penggunaan atau pengecasan bank kuasa tidak dibenarkan ketika taxi, berlepas atau ketika lampu peringatan tali pinggang keledar dihidupkan.

Akhir sekali, setiap penumpang hanya dibenarkan membawa dua unit bank kuasa, dengan kapasiti 100-160 Wh.

Selain Malaysia Airlines, beberapa syarikat penerbangan lain turut sama mengumumkan peringatan yang serupa, seperti Batik Airlines dan juga Singapore Airlines.

Royal Enfield Guerilla 450 2025 rasmi masuk pasaran Malaysia dengan harga RM28,700

Royal Enfield Malaysia secara rasmi melancarkan model roadster Guerilla 450 serba baharu.

Jentera ini dibangun menggunakan asas platform yang sama dengan model touring Himalayan 450, namun dengan tetapan yang berbeza.

Seperti contoh, ia mendapat suspensi fork teleskopik hadapan 43 mm (jarak pergerakan roda 140 mm) dan penyerap hentak tunggal belakang (jarak pergerakan roda 150 mm).

Tetapan ini menjadikan tinggi pelana Guerilla 450 menjadi lebih rendah, iaitu sekitar 780 mm sahaja berbanding Himalayan 450 (825 mm).

Selain itu, Guerilla 450 didatangkan dengan rekaan panel badan yang berbeza termasuklah struktur tangki bahan api sebesar 11 liter dan bar hendal, diikuti dengan rim 17 inci yang dibaluti getah bersaiz 120/70 depan dan 160/60 belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada rotor tunggal 310 mm di depan dan angkup dua omboh, diikuti rotor tunggal 270 mm di belakang, dibantu dengan sistem brek ABS dua saluran.

Namun dari segi kuasa, Guerilla 450 mengekalkan tetapan enjin Sherpa 452 cc DOHC sejukan cecair yang mampu menjana kuasa 40 PS @ 8,000 rpm dan daya kilas 40 Nm @ 5,500 rpm.

Terdapat dua mod tunggangan disediakan, iaitu Eco dan Performance.

Ciri lain termasuklah skrin paparan TFT berbentuk bulat Tripper Dash yang boleh dihubungkan kepada peranti pintar, selain menyokong sistem navigasi pemetaan.

Untuk pasaran Malaysia, harga jualan Royal Enfield Guerilla 450 bermula dari RM28,700.

adidas & pasukan F1 Mercedes-AMG PETRONAS lancar koleksi pertama untuk atlet dan peminat

Jenama barangan sukan terkemuka adidas dengan kerjasama pasukan F1 Mercedes-AMG PETRONAS melancarkan koleksi pertama yang menampilkan rangkaian serba lengkap yang dihasilkan untuk atlet dan peminat, membawakan gaya segar yang menggabungkan elemen sukan dan budaya F1.

Pelancaran koleksi ini menzahirkan komitmen adidas selama 75 tahun dalam memahami keperluan atlet sukan permotoran.

Dengan mengimaginasikan semula rekaan fesyen dan gaya hidup sukan, pakaian pasukan baharu ini direka dengan potongan spesifik, teknologi prestasi, fungsi, serta padanan warna ikonik pasukan F1 Mercedes-AMG PETRONAS.

Selain daripada pakaian yang dihasilkan khas untuk pelumba George Russel dan Kimi Antonelli, mekanik dan jurutera, peminat juga boleh mendapatkan koleksi adidas ini yang terdiri daripada pakaian lounge, hoodie, baju, t-shirt, serta pakaian edisi pelumba yang akan dilancarkan pada hujung tahun ini.

Koleksi ini menggabungkan elemen gaya serta fungsi yang mengutamakan prestasi dalam setiap pakaian, kasut, dan aksesorinya, menampilkan rangkaian yang serba lengkap untuk salah satu pasukan terkemuka dalam sukan permotoran, termasuk: –

Untuk menyempurnakan koleksi terbaharu ini, adidas menawarkan kasut sukan edisi khas Ultraboost 5 dan Supernova, kasut sneaker adiracer dan Feroza, serta pilihan topi gaya hidup dan teknikal.

Ketua Produk adidas, Bianca Mast berkata, “Koleksi ini adalah hasil usaha gigih serta komitmen pasukan pereka kami dalam menghasilkan koleksi yang menyokong prestasi kesukanan keseluruhan pasukan dalam setiap peranan mereka. Peminat juga boleh menggayakan koleksi ini dengan bangga, sama ada di jalanan mahupun di litar perlumbaan.”

“Kami percaya bahawa sukan permotoran adalah untuk semua orang, tanpa mengira peringkat, sama seperti mana-mana sukan yang lain. Kerjasama dengan Pasukan F1 Mercedes-AMG PETRONAS membuka peluang untuk membawa sukan ini kepada peminat baharu, sesuatu yang benar-benar mengujakan bagi kami. Kami tidak sabar untuk melihat logo tiga jalur ikonik kami di padok pada musim perlumbaan kali ini.”

Koleksi terbaharu adidas x F1 Mercedes-AMG PETRONAS ini boleh didapati di Pusat Jenama adidas terpilih, atau secara dalam talian di laman web www.adidas.com.my/motorsport.

Hong Leong Yamaha lancar kempen keselamatan jalan raya bertemakan ‘Terang Dalam Gelap’

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan kerjasama Persatuan Pengedar Motosikal & Skuter Malaysia (MMSDA) melancarkan kempen keselamatan tahunan bertemakan ‘Terang Dalam Gelap’ bertempat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, baru-baru ini.

Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan menunggang pada waktu malam, selain menawarkan inisiatif keselamatan termasuklah program penukaran helmet, pemeriksaan keselamatan motosikal dan aktiviti interaktif awam.

HLYM menggunakan pendekatan baharu dengan mengadakan kempen pada waktu petang, selari dengan aktiviti komuniti tempatan dan kawasan bazar yang sibuk.

 

Selain daripada itu, ia juga menggunakan pendekatan cerita yang kreatif menggunakan watak bergambar dan penglibatan digital yang interaktif untuk mengukuhkan mesej keselamatan jalan raya.

Dengan cara ini, HLYM berharap kempen yang dilaksanakan ini dapat memberikan impak yang lebih berkesan, selain memastikan motosikal untuk perjalanan balik kampung yang lebih selamat dan lancar.

Menurut Dato’ Professor Dr. Jim Khor, Pengarah Urusan Kumpulan, Hong Leong Industries Berhad berkata, “Di HLYM, peranan kami lebih dari sekadar membekalkan motosikal, kami prihatin terhadap keselamatan penunggang kami.

“‘Terang Dalam Gelap’ lebih dari sekadar kempen, ia adalah cara kami menjaga komuniti dan membekalkan mereka dengan pengetahuan serta alat yang betul untuk menunggang dengan selamat,” ujarnya.

HLYM turut meneruskan inisiatif kempen keselamatan ini dengan menganjurkan Kempen Pemeriksaan Motosikal Percuma di semua pengedar Yamaha yang sah di seluruh negara bermula 20 hingga 27 Mac 2025.

Penunggang motosikal yang menyertai kempen ini akan menerima pemeriksaan motosikal secara percuma dan berpeluang memenangi hadiah menarik yang ditaja oleh Genblu Reward.

Mercedes-Benz CLA 2026 muncul sebagai sebuah sedan elektrik, versi hibrid menyusul

Memandangkan sedan A-Class tidak lagi akan ditawarkan, generasi ketiga sedan coupe CLA-Class kini menggalas tugas berat sebagai sedan aras mula Mercedes-Benz.

Pesaing kepada BMW 2 Gran Coupe itu membawakan ukuran dimensi yang lebih besar, dengan panjang 4,722 mm (+41 mm) dan jarak antara roda kini bertambah 61 mm kepada 2,789 mm.

Namun, perubahan dimensi tersebut hanya memberikan manfaat kepada pemandu dan penumpang belakang, di mana ruang kaki kini bertambah luas.

Penumpang belakang nampaknya perlu menerima hakikat bahawa ruang kaki menjadi lebih sempit.

Untuk permulaan, CLA-Class boleh didapati dalam versi elektrik penuh (EV) dengan dua varian tersedia.

Mercedes-Benz CLA 250+ with EQ Technology didatangkan dengan motor elektrik pacuan belakang berkuasa 268 hp/335 Nm, membolehkan pecutan 0-96 km/j dalam masa 6.6 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 209 km/j.

Sementara varian CLA 350 4MATIC with EQ Technology pula menerima tetapan dua motor elektrik (349 hp/515 Nm) dan sistem pacuan semua roda, membenarkan pecutan 4.8 saat dari pegun ke 96 km/j.

Dengan pek bateri lithium-ion 85 kWh, sedan elektrik aras mula Mercedes ini mampu bergerak sejauh 672-771 km, atau sehingga 694-792 km untuk varian 250+.

Senibina elektrik 800 voltan pula menyediakan keupayaan pengecasan pantas DC sehingga 320 kW, bermakna pemilik boleh menambah jarak sehingga 325 km dalam tempoh masa 10 minit sahaja.

Terdapat juga varian hibrid yang bakal muncul kelak, dengan enjin 1.5 liter yang dipadankan dengan pek bateri 1.3 kWh, teknologi 48 voltan, dan motor elektrik yang disumbatkan ke dalam transmisi klac berkembar 8-kelajuan.

Daripada segi rekaan luaran, varian EV CLA mempunyai panel jeriji yang dihiasi bintang tiga bucu yang bercahaya manakala varian hibrid mempunyai struktur jeriji yang lebih tradisional.

Elemen bintang Mercedes itu juga boleh didapati pada unit lampu utama depan dan belakang.

Berbanding CLA generasi terdahulu, CLA 2026 kini mempunyai kadar pekali seretan serendah 0.21, terima kasih kepada pemegang pintu yang tertanam, garis bumbung yang lebih melandai ke belakang dan rekaan rim yang lebih aerodinamik (saiz 17 hingga 19 inci).

Untuk menjadikan ruang kabin lebih ‘nampak mewah’, Mercedes menawarkan sistem MBUX Superscreen, terdiri daripada skrin kluster 10.25 inci dan skrin berkembar 14 inci.

Sistem MBUX Superscreen ini bergantung kepada Mercedes-Benz Operating System, selain menawarkan ciri kepintaran buatan (AI) yang menampilkan ChatGPT4o, Microsoft Bing dan Google Gemini.

Selain daripada obsesi terhadap skrin, CLA 2026 juga akan dilengkapi dengan roda stereng sports balutan kulit, pemanas tempat duduk hadapan, bumbung kaca panorama kekal dan sistem kawalan iklim zon tunggal.

Buat pertama kalinya, sebuah kereta Mercedes menawarkan ruang kargo hadapan (frunk) sebesar 71 liter sebagai pelengkap kepada ruang kargo belakang sebesar 405 liter.

Buat geng pencinta ICE, maaf. Anda tidak akan dapat menikmati kelebihan yang ada pada varian EV CLA ini.

Toyota Crown Estate HEV & PHEV rasmi dijual di pasaran Jepun

Keluarga generasi keenam belas Toyota Crown sudah boleh didapati dalam versi Sedan, Crossover dan juga Sport.

Sekiranya anda mahukan sebuah Crown yang jauh lebih praktikal, Crown Estate adalah jawapan yang anda inginkan.

Toyota Jepun secara rasmi memulakan penjualan bagi model Crown Estate yang didatangkan dengan pilihan rangkaian kuasa hibrid (HEV) atau plug-in hybrid (PHEV).

Kedua-dua sistem ini menggunakan nadi 2.5 liter (kod A25A-FXS) yang dipadankan dengan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda E-Four.

Dalam Crown Estate HEV, output motor hadapan dipertingkatkan sebanyak 50 peratus berbanding model Crossover dan Sport, bertujuan untuk membantu daripada aspek pecutan terutama ketika membawa muatan penumpang.

Sementara versi Estate PHEV pula dibekalkan dengan pek bateri lithium-ion yang membenarkan jarak pandu sifar emisi sejauh 89 km.

Dibina berdasarkan platform TNGA-K, Toyota Crown Estate membawakan ukuran sepanjang 4,930 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,625 mm dengan jarak antara roda 2,850 mm.

Sistem suspensi terdiri daripada topang MacPherson di hadapan diikuti tetapan Multi-link di belakang.

Aspek pemanduan ditambah baik dengan ciri sistem stereng roda belakang (Dynamic Rear Steering, DRS) untuk pengendalian yang lebih dinamik, serta Adaptive Variable Suspension (AVS) untuk memastikan penumpang kekal selesa dan dapat menikmati perjalanan berkualiti tinggi.

Reka bentuk luaran Crown Estate dilihat mengikut pendekatan bahasa rekaan yang dibawakan oleh adik-beradiknya yang lain.

Muka depan menampilkan elemen ikan yu kepala tukul namun dengan lampu nyalaan siang yang lebih nipis, struktur jeriji yang diintegrasikan kemas pada bampar, serta rim bersaiz 21 inci.

Susun atur ruang kabin juga dilihat menyamai apa yang dibawakan pada model-model Crossover, Sport dan juga Sedan, dengan skrin kluster bersaiz 12.3 inci yang dipadankan dengan skrin infohibur bersaiz serupa.

Dengan menggunakan senibina pulau, susun atur papan pemuka direka bertujuan untuk meminimumkan pergerakan mata semasa pemanduan.

Ruang kargo Crown Estate boleh memuatkan barangan sehingga 570 liter, atau sehingga 1,470 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.

Toyota turut menyediakan barangan istimewa untuk model ini berupa alas tempat duduk dan meja kecil untuk digunakan pada ruang tersebut, terutama ketika melakukan aktiviti outdoor.

Di Jepun, Toyota Crown Estate dijual pada harga bermula 6,350,000 yen (RM190,457) untuk versi HEV, atau mencecah sehingga 8,100,000 yen (RM242,945) untuk versi PHEV.

Stesen pengecasan DC 180 kW Shell Recharge kini tersedia di R&R Paka LPT2

Pengguna Lebuhraya Pantai Timur yang mahu menuju ke Kelantan dan Terengganu, terutama pemilik EV kini boleh menggunakan stesen pengecasan berprestasi tinggi (HPC) Shell Recharge di dua lokasi baharu di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Lokasi HPC yang dimaksudkan itu ialah di Shell R&R Paka (kedua-dua arah Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu).

Dengan kemudahan pengecasan pantas sehingga 180 kW, ia mampu menjadikan perjalanan ke Pantai Timur yang lebih lancar dan boleh mengurangkan isu kebimbangan jarak untuk komuniti EV yang semakin berkembang.

 


Buat masa ini, pihak Shell masih lagi berusaha untuk menyiapkan stesen pengecasan di Shell R&R Temerloh (Arah KL), Lebuhraya Pantai Timur 1.

Apabila stesen ini siap kelak, ia bakal melengkapkan lagi rangkaian stesen HPC yang terdiri daripada 13 buah stesen di Semenanjung Malaysia, membolehkan EV yang serasi dicas 0-80 peratus dalam tempoh 30 minit.

Selain infrastruktur pengecasan, Shell juga mahu memastikan pemilik dan pemandu EV mempunyai akses kepada kemudahan penting seperti ruang rehat, kedai serbaneka, serta pilihan makanan dan minuman di Shell Café untuk perjalanan yang lebih menyenangkan.

Bersempena dengan musim perayaan Aidilfitri, Shell menawarkan rebat kredit eksklusif untuk pemilik EV yang menggunakan Shell Recharge di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur.

Bermula 24 Mac hingga 4 April, pemandu EV yang menggunakan aplikasi ParkEasy di lokasi HPC akan menerima ganjaran seperti berikut:
• Rebat kredit 100 peratus untuk ahli Platinum
• Rebat kredit 50 peratus untuk ahli Gold dan Standard (pay-per-use)

Rebat tersebut akan dikreditkan dalam tempoh tujuh hari selepas kempen berakhir, tertakluk kepada terma dan syarat.

Berikut merupakan senarai stesen pengecasan HPC Shell Recharge di seluruh negara:

1. Highlands Hotel, Genting Highlands
2. Shell R&R Tangkak PLUS (arah Selatan)
3. Shell R&R Pagoh PLUS (arah Utara)
4. Shell R&R Seremban PLUS (arah Utara)
5. Shell R&R Seremban PLUS (arah Selatan)
6. Shell RTC, Simpang Pulai PLUS
7. Shell R&R Tapah (arah Selatan)
8. Shell D’Alpinia LDP
9. Shell R&R Temerloh LPT1 (arah Timur)
10. Shell R&R Paka LPT2 (arah Kuala Terengganu)
11. Shell R&R Paka LPT2 (arah KL)
12. Shell R&R Perasing LPT2
13. Shell R&R Temerloh LPT1 (arah KL) – bakal dibuka