All posts by Zulkifli Mhd

LETEN 190 pendatang baharu segmen kapcai ‘adventure’

Jenama baharu dari China, LETEN, telah melancarkan model terbaru berupa sebuah kapcai dengan gaya ‘adventure’ menerusi LETEN 190 di negara itu. 

Sekali imbas, LETEN 190 ini jelas mengambil inspirasi dari Honda CT125 Hunter Cub dan beberapa model lain termasuk Yamaha PG-1. 

Berbanding CT125 dan PG-1 yang masing-masing dikuasakan enjin 125cc dan 115cc, LETEN 190 ini hadir dengan platform lebih besar.

LETEN 190 ini dipacu enjin satu silinder 190cc 4-valve DOHC dengan sistem penyejukan air yang menjana 20.1hp pada 8,250rpm dan 18Nm pada 6,250rpm. 

Kelengkapan ditawarkan juga agak mengagumkan termasuk tangki bahan api berkapasiti 10L, lampu LED penuh, ABS dwi-saluran, TPMS (sistem pemantauan tekanan tayar) dan traction control. 

Atas kertas, LETEN 190 ini mampu mencapai kelajuan 120km/j dan menawarkan penggunaan bahan api 2.3L/100km. 

Polis KLIA bakal guna ‘e-scooter’ untuk rondaan

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkhidmat di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan mengguna pakai skuter elektrik (e-scooter) tidak lama lagi. 

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, penggunaan ‘e-scooter’ berkenaan akan membantu polis melakukan rondaan dengan lebih efisien. 

“Dengan ‘e-scooter’, kami boleh memberi respon dengan lebih cepat selain lebih banyak tempat dapat di awasi, jelasnya. 

Difahamkan, penggunaan ‘e-scooter’ tersebut telah pun dirancang awal tahun ini dengan kerajaan Selangor bersetuju untuk membuat pembelian. 

Dalam pada itu, Datuk Hussein Omar Khan turut menjelaskan bahawa kawalan di Terminal 1 akan diperketatkan susulan daripada insiden tembak yang berlaku baru-baru ini. 

“Kami akan perketatkan tahap kawalan dan sekuriti. 

“Laluan bahagian dalam yang dekat dengan pintu Ketibaan dan Pelepasan juga akan ditutup kepada orang ramai kerana sangat berisiko,” tambahnya. 

MotoGP: Lin Jarvis tinggalkan Yamaha 

Pengendali pasukan Yamaha di Kejuaraan Dunia MotoGP, Lin Jarvis akan meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim ini. 

Memetik laporan Autosport, Jarvis akan bersara pada hujung musim 2024 sekaligus menamatkan karier 25 tahun selaku Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing. 

Difahamkan, Jarvis memberitahu Autosport bahawa punca utama dia mahu bersara adalah kepenatan mengembara ke serata dunia bagi Kejuaraan Dunia MotoGP. Musim ini sahaja, Jarvis akan terbang ke 21 destinasi berbeza termasuk ke Litar Antarabangsa Sepang sempena MotoGP Malaysia. 

Walaupun berita ini mengejutkan apatah lagi Yamaha baru sahaja mengikat pelumba tonggak, Fabio Quartararo untuk tempoh dua tahun lagi namun Yamaha dijangka mencari pengganti sesuai untuk meneruskan cabaran pasukan itu di MotoGP. 

Menurut Autosport, Yamaha berkenan melantik Paolo Pavessio yang ketika ini menggalas tugas Pengarah Pemasaran Yamaha Motor Racing. 

Op Rempit: Tiada brek belakang, JPJ Pulau Pinang sita 11 motosikal 

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang telah mengeluarkan 197 saman terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan menerusi operasi khas Op Rempit yang dilaksanakan di Plaza Tol Sungai Dua dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada Ahad. 

Menurut JPJ Pulau Pinang, operasi khas itu telah dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). 

Operasi yang bertujuan mencegah kegiatan lumba haram dan modifikasi haram itu turut menyaksikan sebanyak 11 motosikal telah disita. 

“JPJ Pulau Pinang mengeluarkan 197 notis saman dan menyita 11 motosikal. JSPT Bukit Aman mengeluarkan 34 saman dan lima kompaun manakala JAS pula 18 notis uji semula,” maklum JPJ Pulau Pinang berdasarkan hantaran di akaun rasmi di Facebook. 

Antara kesalahan dikesan termasuk penggunaan tayar sotong, ketiadaan brek belakang, tidak mempamer nombor plat dan mengubah suai ekzos. 

Dalam pada itu, kesalahan lain yang turut dikenal pasti termasuk menunggang tanpa lesen serta lesen kenderaan motor tamat tempoh. 

Ducati perbaharui kerjasama teknikal dengan Shell

Ducati telah memperbaharui kerjasama teknikal dengan Shell sekaligus meneruskan kerjasama dalam penggunaan minyak pelincir. 

Menurut Ducati dalam satu kenyataan, kerjasama itu akan diteruskan untuk tempoh tiga tahun lagi. 

Untuk rekod, kerjasama antara Ducati dan Shell telah pun termeterai sejak 1999 di Kejuaraan Dunia Superbike sebelum dikembangkan ke MotoGP apabila Ducati menyertai kelas utama pada 2003. 

Pembaharuan ini menyaksikan Shell kekal sebagai pembekal minyak pelincir kepada fasiliti pengeluaran Ducati di Itali dan Thailand termasuk membekal kepada jaringan pengedar di seluruh dunia. 

Difahamkan, Shell akan membekalkan pengedar dengan minyak enjin Advance Ducati dan produk terbaru, Ducati Corse Performance Oil oleh Shell Advance. 

Ducati Corse Performance Oil merupakan minyak enjin dibangunkan khas untuk enjin Desmosedici Stradale R yang terdapat pada jentera Panigale V4, Streetfighter V4 dan Multistrada V4 RS. 

MotoGP: Fabio Quartararo kekal dua musim lagi bersama Yamaha

Meskipun mengeluarkan beberapa kenyataan yang jelas tidak berpuas hati dengan prestasi jentera Yamaha YZR-M1 namun Fabio Quartararo masih bersetuju untuk kekal untuk pasukan kilang Yamaha itu untuk tempoh dua musim lagi. 

Ini bermakna, Quartararo yang menjuarai MotoGP pada musim 2021 akan kekal bersama pasukan Monster Energy Yamaha bagi musim 2025 dan 2026.

 

Meskipun dikaitkan dengan berita perpindahan namun lanjutan kontrak dua tahun ini secara langsung menepis segala khabar angin yang berlegar di kem Yamaha sebelum ini. 

Menariknya, pada penghujung 2026, Quartararo akan melengkapkan musim keenam di MotoGP sekaligus muncul pelumba ketiga paling lama beraksi di kejuaraan itu selepas Valentino Rossi (15 musim) dan Jorge Lorenzo (sembilan musim). 

Sementara itu, kesetiaan Quartararo bersama Yamaha memberi bayangan bahawa kilang Iwata mempunyai perancangan besar untuk kembali memberi saingan pada jentera Eropah terutamanya Ducati, KTM dan Aprilia. 

Litar Pasir Gudang bakal dibangunkan semula dengan bantuan Petronas

Umum sedia maklum bahawa Petronas bakal menaja pasukan JDT Racing Team di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC). 

Dalam perkembangan terbaru, Petronas dilaporkan akan menjalinkan kerjasama secara menyeluruh bersama JDT termasuk membantu membangunkan semula Litar Pasir Gudang.

Perkara itu didedahkan prinsipal Pasukan JDT Racing Team, Steven Tan kepada Flash Sukan. 

“Memang benar saya sudah membawa Petronas untuk menghadap Pemangku Sultan Johor dan semuanya baik serta pihak kami sedang dalam proses melengkapkan kertas kerja untuk mendapatkan kelulusan daripada ahli lembaga pengarah mereka.

“Mereka berminat untuk menaja dan menjalin kerjasama dengan JDT Racing Team dan mereka juga kini sedar nilai pasukan ini terutama selepas melihat penglibatan Tunku Ismail secara langsung dalam projek ini yang boleh saya gambarkan sebagai impak jenama Tunku dan JDT itu sendiri. 

“Kerjasama ini turut akan melibatkan pembangunan semula Litar Pasir Gudang dan juga akademi permotoran JDT sekali gus bakal melihat Tunku Mahkota Ismail sekali lagi mencipta sejarah kali ini dalam sukan permotoran dua roda pula,” jelasnya. 

Difahamkan, pembangunan Litar Pasir Gudang yang ditutup sejak 2016 itu akan membantu melahirkan bakat baharu sukan permotoran bagi akademi JDT Racing Team. 

Pemilik F1 ambil alih MotoGP dengan nilai EUR4.2 bilion

Pemilik sukan permotoran Formula 1, Liberty Media dengan rasminya menjadi pemilik baharu Kejuaraan Dunia MotoGP. 

Liberty Media kini menjadi pemegang syer terbesar MotoGP dengan pegangan 86 peratus sementara Dorna mengekalkan 14 peratus pegangan. 

Menurut laporan, perjanjian antara Liberty Media dan Dorna ini melibatkan EUR4.2 bilion dan ekuiti saham berjumlah EUR3.5 bilion. 

Dalam pada itu, pengambilalihan ini dijangka akan membawa perubahan besar terhadap MotoGP terutamanya melibatkan penganjuran, promosi, hak penyiaran dan harga tiket. 

Bagaimanapun, Liberty Media dalam satu kenyataan memaklumkan tiada perubahan ketara terhadap regulasi semasa MotoGP. 

Pusat pameran Kawasaki All-Star keempat dibuka di Johor Bahru

Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) memperkenalkan pusat pameran All-Star Kawasaki yang keempat di Johor Bahru. 

Menempatkan kesemua model Kawasaki yang ditawarkan di Malaysia, pusat pameran baharu ini juga menawarkan pelbagai perkhidmatan lain termasuk servis selepas jualan dan alat ganti.

 

Juga tidak dilupakan, Kawasaki Johor Bahru ini juga menawarkan pelbagai aksesori tambahan termasuk helmet pelbagai jenama. 

Meraikan majlis pembukaan ini termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan, Ketua Pegawai Pemasaran, George Kashiwagi dan  Pengarah Kawasaki Johor Baharu, Qbee Ng.  

Dalam pada itu, turut memeriahkan majlis adalah acara penyerahan tiga motosikal jenis Kawasaki Ninja ZX-25RR yang baru sahaja diperkenalkan untuk pasaran tempatan. 

Sementara itu, EMOS cadang buka lapan lagi pusat pameran bertaraf All-Star Kawasaki menjelang Disember tahun ini. 

Felo TOOZ dilancarkan di Thailand – tawar jarak pergerakan 720km

Jenama motosikal elektrik dari China, Felo telah melancarkan TOOZ ketika di Bangkok International Motor Show yang berlangsung ketika ini.

Ditawarkan sebagai motosikal kembara (tourer), Felo TOOZ ini hadir dengan reka bentuk yang besar mirip Honda GL1800 Goldwing. 

Rupa bentuk yang besar itu berpunca daripada penggunaan bateri yang lebih besar. Menurut Felo, TOOZ ini menawarkan jarak pergerakan 720 kilometer di samping mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 200km/j. 

Berdasarkan angka itu, tidak hairanlah TOOZ ini bersaiz besar bagi memuatkan kapasiti bateri yang agak besar. 

Selain itu, turut mencuri tumpuan adalah kelengkapan yang ditawarkan termasuk panel meter TFT 12-inci dan sistem pembesar suara 6-saluran. 

Menurut Felo, panel meter TFT itu (selain boleh disambungkan ke telefon pintar) turut menawarkan fungsi navigasi dan sistem kamera 360-darjah. Selain itu, turut ditawarkan fungsi TPMS, ABS dan sistem ‘traction control’. 

Felo TOOZ ini juga menyokong pengecasan TYPE2 (hanya memerlukan masa 20 minit untuk cas dari 20 hingga 80 peratus). Felo turut menawarkan ‘cooling box’ berkapasiti 8-liter yang boleh dipasang pada salah satu ‘panniers’.

 

Tidak cukup dengan itu, TOOZ juga menawarkan teknologi V2L yang bermakna anda boleh menggunakan bateri pada motosikal tersebut untuk menyalur kuasa pada kelengkapan elektrik lain. 

Berdasarkan info dikongsikan, kami jangkakan bateri yang diguna pakai adalah cukup berkuasa meskipun tidak dinyatakan secara spesifik. 

Pemilik F1 hampiri pembelian MotoGP bernilai RM19.6 bilion 

Pemilik Formula 1, Liberty Media kini berada dalam peringkat akhir pembelian Kejuaraan Dunia MotoGP dari Dorna Sports. 

Financial Times melaporkan bahawa perjanjian antara Liberty dan Dorna kini semakin hampir untuk direalisasikan sekaligus bakal meletakkan dua sukan permotoran terbesar dunia bawah payung yang sama. 

FT turut mendakwa bahawa pembelian bernilai EUR4 bilion (RM19.6b) itu akan diumumkan seawal minggu hadapan. 

Menariknya, Liberty bukan satu-satunya pihak yang berminat mendapatkan MotoGP selepas berjaya menewaskan bidaan dari TKO, syarikat pemilik kepada UFC dan WWE.

Turut menyuarakan minat sebelum ini adalah Qatar Sports Investments yang merupakan pemilik pasukan bola sepak Paris-Saint Germain. 

Meskipun begitu, perjanjian antara Liberty dan Dorna dijangka berdepan penelitian terperinci dari badan perundangan dunia. 

Suzuki kembali sertai EWC dengan GSX-R1000

Suzuki membuat kejutan apabila menghidupkan semula jabatan perlumbaan dengan kembali menyertai Suzuka 8 Hours yang merupakan sebahagian daripada Kejuaraan Dunia Endurance (EWC). 

Kilang Hamamatsu akan kembali bersaing di pentas EWC mengguna pakai jentera kebanggaan, Suzuki GSX-R1000. 

Bagaimanapun, Suzuki akan bersaing dalam ‘Experimental Class’ dengan menurunkan GSX-R1000 yang mengguna pakai bahan api bukan fosil Moto R40 FIM 40 dari jenama Elf. 

Meskipun begitu, setakat hari ini, Suzuki belum lagi mengesahkan barisan pelumba yang akan beraksi di Litar Suzuka pada Julai nanti. 

Untuk rekod, Suzuki telah pun menarik diri dari sebarang kejuaraan dunia bermula dengan MotoGP dan EWC pada 2021 bagi memfokuskan perbelanjaan ke sektor lain yang lebih menguntungkan. 

Menurut Ketua Projek Shinichi Sahara yang juga merupakan bekas ketua projek MotoGP sebelum ini, dia menjelaskan bahawa entri Suzuka 8 Hours adalah bertujuan mempercepatkan pembangunan teknologi prestasi tinggi yang mesra alam. 

Triumph lancar Trident 660 dengan livery ‘Slippery Sam’

Triumph memberi penghormatan terhadap motosikal perlumbaan terkenalnya dengan melancarkan Trident 660 edisi khas yang menampilkan livery Slippery Sam. 

Triumph mencipta nama pada era 70an menerusi jentera Trident 750cc yang merangkul pelbagai kejuaraan pada waktu itu dan dikenali sebagai Slippery Sam. 

Sebagai penghargaan, Trident 660 bukan sahaja tampil dengan warna Slipper Sam malah turut dilengkapi dengan komponen tambahan yang tidak ada pada model Trident 660 biasa. 

Ini kerana Trident 660 edisi khas ini dilengkapi dengan Triumph Shift Assist (quickshifter), ‘belly pan’ serta ‘fly screen’. 

Untuk rekod, Triumph Slipper Sam yang berlumba pada era 70an itu beraksi dalam pelbagai litar pendek termasuk di Isle Of Man TT. Jolokan Slippery Sam itu diberi kerana jentera lumba pada waktu itu sering kebocoran minyak sehinggakan bahagian ‘fairing’ dan pelumba dipenuhi minyak di hujung perlumbaan. 

MV Agusta kini jadi milik KTM

Pada November 2022, Pierer Mobility Group selaku syarikat induk KTM AG telah memperoleh pengangan saham 25.1 peratus MV Agusta.

Perolehan itu menyaksikan KTM AG mempunyai campur tangan dalam beberapa aspek pengurusan MV Agusta. Kemudian pada Oktober 2023, KTM AG mengambil alih pengurusan pembelian dan rantaian bekalan syarikat berpangkalan di Varese, Itali itu. 

Terbaru, KTM AG mengumumkan perolehan 50.1 peratus pemilikan saham MV Agusta sekaligus memiliki pengangan majoriti jenama motosikal mewah Itali itu. 

Pengumuman itu walaupun sudah dijangka namun dianggap sebagai satu kejutan kerana KTM AG sebelum ini berpeluang menjadi pemegang majoriti pada Disember 2025 namun membuat keputusan untuk percepatkan perolehan tersebut. 

Susulan perkembangan terbaru ini, KTM AG akan mengambil alih pengurusan syarikat dan merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran MV Agusta kepada lebih 10,000 unit. 

Italjet Dragster edisi Gresini akan diperkenal 

Jenama skuter premium Itali, Italjet telah menjalinkan kerjasama dengan pasukan Gresini Racing-MotoGP bagi memperkenalkan Italjet Dragster edisi khas. 

Dragster edisi Gresini itu dijangka akan lebih menonjol dengan gabungan warna korporat Gresini yang merangkumi biru dan merah yang sama terdapat pada jentera GP23 yang ketika ini ditunggang Marc Marquez dan Alex Marquez.

Untuk rekod, Italjet Dragster ditawarkan dalam dua varian, 125 dan 200 di pasaran global termasuk di Malaysia. 

Presiden dan CEO Italjet, Massimo Tartarini, turut berkongsi keterujaan atas usahama baharu ini. 

“Bagi kami ini adalah satu penghargaan untuk menjadi penaja teknikal pasukan Gresini yang merupakan antara pesaing utama di MotoGP. 

“Kami terikat dengan Gresini menerusi kerjasama erat dan kerjasama ini akan membawa kepada pembangunan Dragster Replica dengan warna Gresini,” jelasnya. 

HLYM panggil semula Yamaha NVX dan R15M

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah memanggil semula dua model popular, Yamaha NVX dan R15M berdasarkan pengumuman terbaru.

Cyan

Pengumuman tersebut mendedahkan bahawa panggilan semula itu adalah bagi proses menaik taraf Communication Control Unit (CCU) bagi model yang dihasilkan dari 2021 hingga 2023. 

Dalam pada itu, HLYM meminta pemilik yang terlibat dengan panggilan semula itu untuk menghubungi pusat servis dan pengedar rasmi terdekat untuk menetapkan janji temu. 

Sementara itu, pemilik NVX terkesan boleh merujuk kepada nombor casis berikut, PMYSG7410L0000011 – P 0039700 hingga PMYSG7420L0000011 – P0026367 sementara pemilik R15M pula boleh merujuk nombor berikut PMYRG7910N0000011 – N0002990 hingga PMYRG7910P0002991 – P0005190 dan PMYRG7910P0004991. 

Ducati Malaysia umum Waranti Kilang 3 Tahun Ever Red

Berita baik bagi bakal pemilik motosikal Ducati yang dibeli selepas 1 Mac 2024 apabila Ducati Malaysia mengumumkan waranti kilang Ever Red tiga tahun. 

Pengumuman terbaru itu menyaksikan kesemua model Ducati termasuk Scrambler Ducati keluaran 2024 antaranya Panigale V4 dan Scrambler termaktub dalam waranti kilang tiga tahun tersebut. 

Menurut Ducati, waranti kilang tiga tahun ini adalah khas untuk pemilik Ducati di Malaysia. 

Antara ditawarkan menerusi waranti tiga tahun Ever Red ini termasuk perbatuan tanpa had dan pindah milik waranti sekiranya motosikal masih berada dalam lindungan waranti tiga tahun. 

Bajaj Pulsar 160 berwajah baru, ciri dipertingkat

Pengeluar motosikal India, Bajaj Auto baru-baru ini telah memperkenalkan Pulsar 160 generasi baharu yang dinaik taraf dengan pelbagai ciri terkini. 

Pertamanya, Pulsar 160 kini tampil dengan pencahayaan LED menggantikan halogen sementara reka bentuk lampu juga berbeza. 

Selain itu, Bajaj turut menaik taraf panel meter kepada digital sepenuhnya yang juga boleh disambungkan kepada telefon pintar bagi mengakses fungsi navigasi jenis ‘turn-by-turn’. 

Menariknya, ABS dwi-saluran juga didatangkan secara standard meskipun masih lagi dilengkapi dengan cakera brek tunggal dan fork teleskopik di bahagian depan serta tangki berkapasiti 12L.

Bagaimanapun, Pulsar 160 ini masih lagi dikuasakan enjin satu silinder 160.3cc dengan sistem penyejukan minyak yang berupaya menjana 17hp dan 14.6Nm pada 7,250rpm. 

Bagi pasaran India, Pulsar 160 ini dipasarkan pada harga jualan INR145,792 (RM8.2k). 

Untuk rekod, Pulsar 160 turut ditawarkan di Malaysia oleh Modenas selaku pengedar rasmi. Bagaimanapun, tiada kepastian sama ada model baharu ini akan turut diperkenalkan disini. 

Sanggup belanja hampir setengah juta demi Yamaha RXZ

Seorang peminat Yamaha RX-Z di Malaysia baru-baru ini mendedahkan bagaimana di sanggup membelanjakan hampir setengah juta demi motosikal tersebut. 

Wan Noor Azmirullah Wan Noor Abidin mendedahkan sanggup mengeluarkan belanja besar demi memenuhi impiannya untuk memiliki kesemua edisi RX-Z yang ada bermula dari keluaran pertama hingga yang terakhir. 

Disebabkan itu, Wan Noor, juga seorang mekanik telah menjadikan garajnya di Kampung Gong Badak, Terengganu sebagai lokasi tumpuan yang bertindakan seakan muzium mini bagi peminat motosikal RX-Z tersebut. 

“Saya mempunyai lebih 25 unit Yamaha RX-Z termasuk edisi Boss, Catalyzer dan Millennium,” jelas Wan Noor. 

Memetik laporan The Star, dia memberitahu bahawa minat mengumpul itu berlaku pada 2013 selepas menyedari terdapat permintaan bagi motosikal berkenaan selepas dihentikan pengeluarkan pada 2010. 

“Motosikal ini akan menjalani modifikasi bagi meningkatkan kelajuan dan kos belanja ubah suai boleh mencecah RM40,000 sekaligus menjadikan pasaran motosikal ini lebih tinggi berbanding motosikal baharu,” tambah Wan Noor. 

“Cikgu Off-Road” terima hadiah Aveta Ranger Max Explorer

Sebagai penghargaan terhadap jasa Cikgu Ben Zaid dan dua rakan pengajar, Aveta Malaysia telah menghadian tiga unit Aveta Ranger Max Explorer. 

Motosikal berkenaan diserahkan dalam satu majlis “Off-Road Education Outreach: Teachers Rally with Aveta” yang berlangsung di Kuala Lumpur, pada Rabu. 

Cikgu Ben Zaid dan rakan-rakannya yang sanggup menempuh perjalanan lebih 60km mengharungi laluan berlumpur dan berbukit untuk tiba di Sekolah Kebangsaan Balar, Gua Musang, Kelantan bagi menyampaikan ilmu kepada anak-anak Orang Asli telah mencuri perhatian orang ramai termasuk pihak Aveta sendiri. 

Untuk itu, Aveta berasakan sumbangan berupa Aveta Ranger Max Explorer yang didatangkan dengan ciri lasak akan membantu memudahkan perjalanan Cikgu Ben Zaid bersama rakan-rakannya untuk ke sekolah berkenaan.

 

Difahamkan, jika cuaca baik, perjalanan ke sekolah hanya memakan masa 3 jam namun perjalanan tersebut akan menjadi hampir 10 jam jika cuaca buruk. 

Terkenal dengan jolokan “Cikgu Off-Road” di media sosial, Cikgu Ben sering berkongsi video perjalanan ulang alik ke perkampungan Orang Asli.