Bridgestone Tyre Malaysia merancakkan lagi arena e-sports Malaysia dengan menganjurkan “Bridgestone Rivals: Race to the Top” pada 26 Jun hingga 5 Julai yang lepas.
Kejohanan perlumbaan simulasi itu telah diadakan di beberapa pusat pengajian tinggi termasuklah Segi University Kota Damansara, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Sungai Long dan Asia Pasific University (APU), TPM Bukit Jalil, di mana ia berjaya menarik lebih 2,000 orang pengunjung, dengan kehadiran lebih 530 orang peserta untuk memeriahkan suasana.
Bridgestone merupakan pengeluar tayar pertama untuk bekerjasama dengan Forza Motorsport, salah satu platform perlumbaan simulasi terkemuka di mana peserta diberikan peluang berlumba menggunakan Lamborghini Huracan STO di dalam litar Hakone Grand Prix.
Pusingan akhir kejohanan berlangsung di APU pada 5 Julai lepas, di mana ia menampilkan 45 orang pelajar yang berjaya mencatatkan pusingan masa terbaik.
Ia turut menampilkan sesi khas untuk para pengamal media serta Kejohanan Kumpulan Terbuka untuk 20 orang peserta awam terbaik.
Michael Chung, Pengarah Urusan Bridgestone Tyre Sales (Malaysia) berkata, “kami amat teruja untuk membawakan keseronokan perlumbaan simulasi kepada para pelajar universiti dan peminat sukan permotoran.
“Pertandingan ini bukan sahaja menghubungkan jurang antara alam fizikal dan digital, malah memberikan inspirasi dan menghubungkan orang ramai menerusi minat bersama untuk sukan permotoran.
Dalam cabaran tersebut, tiga orang pelajar iaitu Brandon Ho, Chuo Chung Zhi, dan Bryan Wong muncul sebagai tiga pelumba terbaik dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, RM800 dan RM500 berserta trofi dan barangan Bridgestone.
PROTON hari ini mengumumkan bahawa Proton X70 2025 kini sudah boleh ditempah.
Mereka yang berminat boleh membuat tempahan dengan bayaran deposit RM500 di mana-mana bilik pameran 3S dan 4S Proton.
Versi facelift ini menampilkan bahagian luar yang diperbaharui dengan ketara serta prestasi yang lebih baik, sekali gus menjadikannya lebih menarik.
Hampir enam tahun selepas ADAS diperkenalkan untuk SUV segmen C premium, X70 2025 kini dilengkapi dengan sistem ADAS tahap 2 yang dipertingkatkan untuk keselamatan dan kemudahan yang lebih baik.
Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan dengan Android Auto dan Apple CarPlay yang boleh diakses menerusi skrin infohibur berukuran 12.3 inci.
Aplikasi PROTON Link juga menerima fungsi tambahan untuk menghidupkan enjin dan menyejukkan kenderaan dari jarak jauh.
Selain itu, bahagian dalaman dikemas kini dengan tempat duduk kulit Nappa berwarna kelabu batu dan lampu suasana berirama yang pelbagai warna.
Proton berkata maklumat tambahan akan didedahkan semasa pelancaran rasmi tidak lama lagi.
Sama seperti X50 2024, Proton akan menawarkan harga dan pakej istimewa untuk pelanggan awal X70 2025 sebagai tanda penghargaan atas kepercayaan dan sokongan terhadap syarikat itu.
SELAIN barisan SUV dan beberapa sedan yang ditawarkan hari ini, Proton juga pernah mengeluarkan model-model limousine.
Limousine seperti yang kita semua tahu adalah versi sedan lebih panjang, dan diasaskan dari model-model sedan yang dijual Proton pada masa itu.
Harus diingat juga limousine adalah berbeza dari versi Executive yang pernah dikeluarkan Proton. Executive juga mempunyai jarak roda lebih panjang, tetapi pintu belakang dipanjangkan dan masih bersambung dengan pintu depan.
Limousine mempunyai pintu belakang bersaiz biasa, jadi dengan jarak roda lebih panjang, ia terpisah dari pintu depan. Ada juga model-model limousine yang mempunyai enam pintu, bermakna dua pintu tambahan antara depan dan belakang.
Jadi dalam artikel ini, mari kita lihatkan model-model Proton limousine yang wajib anda tahu.
Proton Saga dan Iswara Limousine
Disebabkan Saga dan Iswara adalah dua model yang hampir sama dengan penawaran enjin sama, kita masukkan kedua-dua model ini di bawah satu sub-topik.
Saga dan Iswara Limousine dikeluarkan sekitar tahun 90-an dan ditawarkan dengan beberapa saiz panjang, iaitu 4.8 meter, 5.1 meter, dan 5.5 meter. Menarik, bukan?
Lebih menarik lagi ialah harganya sekitar RM69,800 hingga RM165,000 sahaja, jauh lebih murah berbanding limousine-limousine jenama mewah lazim yang berharga dua atau tiga kali ganda lebih.
Model Limousine mendapat ciri premium seperti bumbung dengan lapisan vinil, rim aloi 14-inci, unit penghawa dingin depan dna belakang, dan tingkap berkuasa. Terdapat juga pelindung angin, perehat tangan tengah untuk penumpang belakang, kemasan krom, bumbung baldu, dan karpet mewah.
Proton Saga Grand Limousine dipertontonkan buat pertama kali pada Julai 1990 di Pameran Perdagangan Antarabangsa Shah Alam.
Proton Wira Grand Limousine
Mungkin Proton Wira Grand Limousine ini jawapan bagi mereka yang merasakan Wira Executive tidak cukup panjang. Ini kerana Wira Grand Limousine mempunyai jarak roda tambahan 915mm dari model sedan standard.
Hanya 25 unit pernah dikeluarkan, menjadikan Wira ini lebih rare dari Satria R3! Malah Wira Grand Limousine juga dibina di Australia dan bukannya di Malaysia.
Wira Limo ini dilengkapi dengan ciri-ciri seperti televisyen dengan pemain video, antena boomerang, kemasan kulit Connolly, meja dengan laci, cermin privasi antara depan dengan belakang, dan sistem intercom dengan pemandu.
Ia juga dilengkapi karpet lantai dari bulu biri-biri, kemasan kayu di papan pemuka, lampu bacaan di belakang, lampu ambien, dan bumbung balutan PVC lembut. Cukup mewah, bukan? Lebih-lebih lagi semasa tahun keluarannya pada 1996 itu.
Wira Grand Limousine dipacu enjin 1.6-liter 4-silinder dengan 113hp dan 137Nm tork. Harganya pada masa itu ialah RM108,358.97.
Proton Perdana Limousine
Ini ialah Perdana generasi lama, sebelum keluaran model V6. Tidak banyak info yang dapat kami kumpulkan melainkan gambar-gambar risalah rasmi.
Kami syak ia menggunakan enjin 4-silinder yang sama dengan Perdana SEi, iaitu 2.0-liter 4G63.
Proton Perdana (Accordana) Limousine
Untuk Perdana yang direbadge dari model Honda Accord, terdapat beberapa versi limousine. Yang pertama ialah versi lebih ‘marhaen’ untuk kegunaan para menteri kabinet dengan tambahan panjang 457mm, tiada perubahan yang banyak.
Kemudian terdapat tiga yang dibina khas untuk Najib Razak, Muhyiddin Yassin, serta satu unit pemanduan sebelah kiri untuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Satu lagi versi adalah lebih mewah dengan pengeluaran lebih terhad. Perdana Limousine ini dihasilkan khas hanya untuk bekas Perdana Menteri Malaysia ketujuh, Tun Dr Mahathir.
Unit ini menerima sentuhan peribadi Tun, bermula dengan rim OZ Racing Italia 150 dan kabin belakang khas berwarna merah, lengkap dengan mesin kopi Nespresso.
Kedua-dua tempat duduk individu di belakang mempunyai pelarasan elektrik dengan kawalan yang dipasang pada panel pintu ala Mercedes-Benz. Sistem audio teater rumah Bose juga dapat dilihat.
Di bahagian depan pula, ia mempunyai butang push-start yang diletakkan di tengah, brek parkir elektronik, dan sesuatu yang agak luar biasa, iaitu tombol gear berputar ala Jaguar.
Proton Chancellor
Proton Chancellor diasaskan dari Waja, dengan tambahan panjang sebanyak 250mm. Ia mendapat enjin berbeza, menggunakan V6 2.0-liter dari Perdana V6 dengan gandingan kotak gear automatik 4-kelajuan. Enjin ini menghasilkan 150hp dan 179Nm tork.
Perkara menarik mengenai Proton Chancellor ialah prototaipnya pernah dihantar ke Sepanyol untuk ujian sejauh 220,000km di atas permukaan tidak rata Belgian Pave. Menurut Proton, ujian yang sama ini dilalui oleh kenderaan-kenderaan Lotus.
Terdapat juga penambahan struktur di casis dan bumbung, menjadikan Proton Chancellor lebih keras berbanding Perdana Executive. Ia direka untuk pegawai tinggi kerajaan dan golongan atasan syarikat. Harga jualannya ketika itu (2005) ialah RM138,000.
Tetapi bagi kami, Proton Chancellor lebih kepada Waja Executive. Hasil kajian kami, terdapat juga Waja Limousine sebenar yang panjang. Tetapi tiada info lanjut mengenainya, kami syak ia menggunakan enjin 1.6-liter Campro standard.
Sumber gambar: Stail.my, Harian Metro, Motoqar, Pandulaju, Wayne Phang, Kereta.info, Wapcar
Cycle & Carriage, salah satu jenama automotif terkenal dengan legasi selama 125 tahun itu mengumumkan kerjasama dengan Stellantis Malaysia untuk menambah jenama Peugeot di bawah portfolio produknya.
Untuk permulaan, dua bilik pameran Cycle & Carriage sedia ada yang terletak di Cheras dan Batu Caves akan digunakan untuk mempamerkan kenderaan jenama Peugeot di bawah satu bumbung dengan kehadiran khidmat jualan dan selepas jualan menjelang suku keempat tahun ini (Q4 2024).
Kerjasama dengan Cycle & Carriage ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengembangkan lagi jaringan pengedar Stellantis Malaysia.
Ia bukan sahaja bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan dalam negara, malah untuk mengenal pasti lokasi penting dalam menawarkan perkhidmatan yang berkualiti dan mudah dicapai kepada pelanggan di dalam komuniti.
Selain itu, terdapat juga perancangan untuk memperkenalkan lebih banyak jenama di bawah Stellantis Malaysia, selain mengembangkan jaringan ke utara dan selatan Semenanjung Malaysia bermula tahun 2025.
Menurut Thomas Tok selaku CEO Cycle & Carriage berkata, “kami amat teruja untuk memulakan lembaran baru dengan Stellantis Malaysia, untuk menawarkan barisan produk yang lebih meluas, dibantu dengan kepakaran Cycle & Carriage dalam industri ini selama 125 tahun.
“Ini adalah sejajar dengan strategi kami untuk menawarkan pengalaman yang luar biasa kepada pangkalan pelanggan yang lebih meluas, mengembangkan capaian pasaran dan memacu nilai pemegang kepentingan. Kami percaya pelanggan sedia ada dan pelanggan baru akan mendapat manfaat daripada kerjasama ini,” ujarnya lagi.
Jamie Morais, Pengarah Urusan Stellantis Malaysia berkata, “hari ini menandakan satu pencapaian penting buat Stellantis Malaysia, dan kami teruja untuk mengalu-alukan kehadiran rakan pengedar baharu kami ke dalam jaringan pengedar yang sedang berkembang.
“Reputasi Cycle & Carriage untuk kecemerlangan adalah selari dengan nilai kami, dan kami berharap agar dapat menetapkan piawaian baharu di dalam industri dalam menawarkan pengalaman pelanggan yang tiada tandingannya.
BATIK Air telah mengumumkan laluan baharu dari Kuala Lumpur ke empat destinasi di Indonesia, sekali gus mengembangkan rangkaiannya ke lapan bandar di negara itu.
Menurut syarikat itu, penerbangan ke pulau peranginan Lombok sudah bermula hari ini (31 Julai 2024), diikuti laluan ke Surabaya pada keesokan hari iaitu 1 Ogos.
Sementara itu, penerbangan ke Pekanbaru dan Padang pula akan bermula pada 10 Ogos 2024.
Batik Air berkata, laluan baharu itu akan meningkatkan lagi hubungan antara Malaysia dan Indonesia, menyediakan lebih banyak pilihan kepada pelancong untuk menerokai pelbagai tarikan di Indonesia.
Tambah syarikat itu lagi, ia akan mengendalikan 14 penerbangan mingguan ke Surabaya, empat penerbangan mingguan ke Lombok, dan tujuh penerbangan mingguan setiap satu ke Pekanbaru dan Padang.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata laluan baharu ini akan memupuk hubungan yang lebih kukuh antara Malaysia dan Indonesia dengan mempromosikan pertukaran budaya dan ekonomi yang lebih besar.
“Memperluaskan rangkaian kami bukan sahaja memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perjalanan tetapi juga menyokong pertumbuhan ekonomi dengan memudahkan transaksi perniagaan dan perkongsian yang lebih lancar,” tambah beliau.
Beliau turut menekankan peranan strategik KLIA sebagai hab umrah yang berfungsi sebagai titik transit untuk jemaah yang melancong ke Arab Saudi, terutamanya mereka dari Asia Tenggara.
Pada masa ini, Batik Air mengendalikan penerbangan terus ke Jeddah dan akan memulakan penerbangan ke Madinah pada Ogos.
“Dengan penambahan laluan baharu ini, ketersambungan dan kapasiti KLIA dipertingkatkan lagi, menawarkan pilihan yang lebih mudah untuk jemaah haji dan meningkatkan statusnya sebagai hab transit antarabangsa utama,” katanya.
WMoto ES250i Special Edition diperkenalkan untuk pasaran Malaysia dengan harga jualan rasmi RM14,508.
Menurut MForce dalam satu kenyataan, skuter maxi 250cc itu ditawarkan dengan warna putih dan hitam bagi tahun 2024 sementara perincian lain masih dikekalkan sama seperti sebelum ini.
Antaranya, ES250i SE kekal dikuasakan enjin satu silinder 244.3cc (Euro4) yang mampu menghasilkan 20.9hp pada 8,500rpmm dan 21Nm pada 6,500rpmm dan dipadankan bersama transmisi automatik CVT.
SALAM sejahtera para pembaca dan rakan-rakan Engear, kami memulakan segmen baharu dalam laman web ini, iaitu kisah-kisah mistik yang sering menjadi buah mulut dalam kalangan pemandu-pemandu di Malaysia.
Sesekali selain membaca mengenai pandu uji kereta, berita semasa, dan tips, apa kata kita baca bahan-bahan santai seperti ini, kan?
Untuk episod pertama, kami bawakan kisah Jalan Kuala Klawang-Genting Peras. Rasanya kisah ini tidak begitu diketahui umum, malah penulis sendiri pertama kali mendengar mengenainya.
Laluan ini merupakan laluan wajib bagi peserta Le Tour de Langkawi disebabkan ia sebuah laluan berbukit dan mempunyai lebih 240 selekoh yang menjadikannya sangat mencabar.
Disebabkan laluan ini berada di kawasan berbukit, keadaannya pada waktu malam memang sangat gelap dan sunyi.
Banyak buah mulut daripada para penunggang motor dan pemandu yang menggunakan jalan tersebut pada waktu malam yang menyatakan kewujudan makhluk-makhluk halus seperti pontianak dan langsuir yang kerap mengganggu mereka.
Menurut beberapa penulisan di media sosial, “Kau tak akan berseorangan di Genting Perez.”
Berikut adalah kisah penuh untuk laluan ini:
Pernah korang dengan Genting Peras? Bukan Genting Highlands, ini jalan belakang boleh tembus Semenyih, Hulu Langat, dari Kuala Klawang lalu Bukit Tangga.
Waktu tu jam 3:30 pagi, melepasi Masjid Sungai Tekali Ulu Langat tu, kabus tebal, jarak pandangan dalam tiga meter je. Aku pun bawakla slow je motor cub ni nek bukit dgn penuh hati-hati takut ada binatang melintas ke apa ke.
Tiba di satu selekoh, aku terhidu satu bau busuk. Macam bau bangkai, masam baunya. Macam bau muntah pun ye juga.
Aku buat tak tau je la sebab kat tepi-tepi jalan tu selalu je nampak ada bangkai tupai, kucing, burung, perabot pun ada orang buang.
Tapi, bau ni makin lama makin kuat sampai aku terloya pulak, tersedak aku. Orang tua pesan jangan tegur kalau ada pelik-pelik.
Setelah aku terbatuk tu, tiba-tiba jalan dpn aku jadi clear. Wah! Senyum aku sorang-sorang.
Tapi sebenarnya, jalan tu jadi clear sebab Tuhan nak tunjukkan aku makhluk ciptaan-Nya yang lain!
Di tepi jalan belah kanan, lereng bukit, aku nampak susuk tubuh macam orang perempuan rambut panjang berdiri dalam semak separas pinggang.
Aku tengok betul-betul, orang atau daun pisang. Ternyata makhluk berupa manusia!
Tapi, masa tu aku rilek je sebab tak yakin sangat dengan pandangan mata aku ni. Takpe, teruskan perjalanan. Dalam hati, ya Allah tak tahu nak cakap.
Jalan masih clear, aku bolehlah bawa laju sikit. Lampu depan aku terang, selamba je ambil selekoh cecah stand. Sebenarnya takut tak fikir dah apa yang melintas waktu tu, sampailah aku di jalan turun bukit sebelum simpang Empangan Semenyih.
Aku perlahankan motor sebab brek aku kurang makan, di situ aku nampak lagi!
Di kiri jalan pula. Lagi dekat. Tadi jauh sikit dalam 50 meter, yang kali ni dekatnya dalam 10 meter. Jelas sangat dah aku nampak kilat rambutnya!
Confirm, makhluk tu. Aku dah takut, habis meremang segala bulu, jelas aku nampak. Aku tawakal je.
Setelah takut sekejap tadi, aku pun sampailah ke kampung orang asli selepas Empangan Semenyih itu. Kabus menebal balik, aku dah takut semula.
Aku minta pada Tuhan, jauhilah hamba-Mu ini dari sebarang malapetaka. Tapi Tuhan nak uji aku lagi sekali!
Masa aku naik bukit yang menghampiri papan tanda sempadan Jelebu-Kajang itu, makhluk tu muncul lagi!
Kali ini di belah kiri, betul-betul atas jalan. Aku nampak kainnya penuh tanah. Tak nampak kaki sebab kain labuh. Tangan dia panjang sampai ke lutut, rambut panjang mengurai sampai ke dada. Tak nampak muka.
Aku tergamam, aku lalu je sebelah dia dengan perlahan. Lampu motor terang, jelas aku nampak. Bau sangat busuk.
Bila aku betul-betul di sebelahnya, dia terus hilang sekelip mata. Masa itu aku tak ingat apa yang aku fikir, rasa macam kosong. Mungkin tergamam.
Aku pandang depan semula, bawa motor macam biasa.
Sesampainya di rumah, sambil berehat, aku terfikir mungkin boleh kemalangan jika aku panik. Mata aku melilau tengok keliling rumah, rasa sedikit seram.
Selepas masuk waktu subuh, aku jumpa mak aku. Aku ceritakan padanya apa yang aku jumpa, kemudian mak aku suruh aku pergi mandi untuk hilangkan takut.
Ini kali pertama aku alaminya. Macam-macam juga aku dengar dari kawan aku dari jalan Kuala Klawang-Genting Peras ini.
Sekian sahaja kisah pertama yang kami kongsikan. Anda pernah alami sebarang pengalaman pelik di jalan ini? Atau jika anda ada kisah lain dari jalan-jalan Malaysia, boleh kongsikan kepada kami di: ask@engear.tv
Porsche Malaysia menerusi Sime Darby Auto Performance (SDAP) baru-baru ini menganjurkan kejohanan perlumbaan simulasi Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2024 bersempena dengan penganjuran Porsche Carrera Cup Asia (PCCA) yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada bulan depan.
Kejohanan tersebut terbuka kepada semua rakyat Malaysia bertujuan untuk mencari 10 pelumba simulasi terpantas menerusi format perlumbaan catatan masa terpantas.
Terdapat sehingga tiga kategori umur yang dipertandingkan, iaitu 10-14 tahun, 15-17 tahun, serta 18 tahun dan ke atas, di mana setiap peserta diberikan peluang mengendalikan jentera lumba 911 GT3 Cup generasi 992 menerusi platform Assetto Corsa.
Pusingan kelayakan pertama telah dianjurkan sebelum ini di mana hanya 30 pelumba terpantas akan dipilih berdasarkan format time-trial lima pusingan di Litar Buriram.
Pusingan kelayakan kedua pula baharu sahaja berlangsung di Porsche Centre Ara Damansara pada 27-28 Julai yang lalu, di mana setiap peserta diberikan kelas bimbingan perlumbaan khas, diikuti sesi latihan selama 20 minit di Litar Suzuka.
10 orang finalis dengan catatan masa pusingan terpantas akan mara ke peringkat akhir bertempat di Litar Antarabangsa Sepang pada 9-11 Ogos ini, serentak dengan perlumbaan PCCA 2024 yang akan berlangsung pada tarikh yang sama.
Di sana, kesemua peserta akan diberikan peluang untuk membiasakan diri dengan Litar Sepang ketika sesi latihan bebas selama 30 minit, sebelum cubaan untuk merebut petak pertama dalam sesi kelayakan 15 minit dan berpeluang untuk menambah 10 mata perlumbaan untuk kedudukan keseluruhan.
Kami di Engear.tv turut berkesempatan untuk menyertai sendiri sesi kelayakan kedua yang dianjurkan baru-baru ini di Porsche Centre Ara Damansara.
Sebelum dibenarkan ‘memandu’, kami dibawa menyertai satu kelas bimbingan perlumbaan simulasi oleh pelumba muda Mika Hakimi, merangkumi teknik-teknik pemanduan yang perlu diamalkan semasa di Litar Suzuka.
Selain itu, peserta juga diajar cara untuk menyerang setiap selekoh yang wujud di dalam litar tersebut, bermula dari T1 hinggalah ke selekoh terakhir T18.
Kami juga turut diberikan peluang untuk merasai sendiri berlumba menggunakan rig perlumbaan simulasi taraf T20 yang disediakan di Porsche Centre Ara Damansara.
Biarpun tidak berjaya merekodkan catatan masa yang lebih pantas, pengalaman berharga yang diperoleh sepanjang seharian berkampung di sana tidak akan dapat dilupakan.
Puas hati juga bila dapat mencuba sendiri setup rig simulasi perlumbaan yang jauh lebih mahal berbanding apa yang penulis ada di rumah. Diharapkan lebih banyak acara sebegini dapat dianjurkan pada masa hadapan demi merancakkan lagi arena e-sports Malaysia pada masa akan datang.
CONTINENTAL Tyre Malaysia mengumumkan pengembangan teknologi ContiSeal kepada set produk dan saiz rim yang lebih luas.
Continental menyasarkan untuk menggabungkan sepenuhnya teknologi ContiSeal menjelang Julai 2024 merentas model UltraContact UC7, PremiumContact C dan UltraContact UC6 SUV, dalam saiz antara 16 hingga 20 inci.
Diperkenalkan buat kali pertama pada 2003, teknologi ContiSeal membolehkan pengedapan segera sebanyak 80% daripada semua tusukan, dan 99.9% daripada tayar pancit sehingga diameter 5 mm apabila tusukan berlaku.
Melalui proses pemvulkanan, ketahanan dan keanjalan tayar ContiSeal dipertingkatkan, lantas mengurangkan bunyi rongga (cavity noise) sehingga 3dB melalui ruang jisim yang diminimumkan di dalam tayar.
Menurut syarikat itu, lapisan pengedap pada bahagian dalam tayar di kawasan bunga memastikan tayar mengekalkan integriti dan prestasinya walaupun dalam keadaan mencabar.
Oleh itu, walaupun ditusuk benda asing seperti paku, pengguna tidak perlu segera menukar tayar di tepi jalan, dan lubang tetap tertutup walaupun objek yang menusuk itu tercabut.
Sebagai bukti kepada kebolehpercayaan tayarnya, prestasi teknologi pengedap kendiri tidak terjejas oleh faktor persekitaran, dengan hayat perkhidmatan yang melebihi tayar itu sendiri, sekali gus memberikan perlindungan yang berterusan sepanjang jangka hayat tayar.
Berlawanan dengan tayar run flat, tayar ContiSeal berfungsi seperti tayar standard tanpa mengorbankan keselesaan dan tidak memerlukan pengubahsuaian kenderaan khusus. Ia juga mengekalkan integriti dan prestasi walaupun selepas pancit, sekali gus membolehkan pemanduan tanpa had dan boleh dibaiki jika perlu.
Walaupun ContiSeal menawarkan pembaikan segera, penyelenggaraan susulan akan memastikan keselamatan dan prestasi jangka panjang. Ramai pemandu mungkin tidak menyedari sebarang tusukan atau objek tajam menembusi tayar ContiSeal disebabkan keupayaan pengedap kendiri yang berkesan.
Tayar ContiSeal dijamin di bawah waranti pembuatan standard syarikat itu, di mana bayaran balik waranti pro rata akan diberikan sekiranya berlaku sebarang kecacatan prestasi pengedap untuk tusukan dalam lingkungan 5 mm di kawasan bunga.
Selain itu, setiap pembelian didatangkan dengan Total Confidence Plan (TCP), yang menyediakan penggantian tayar satu sama satu untuk kerosakan jalan yang tidak dijangka dalam tahun pertama, dengan tuntutan diuruskan dengan mudah melalui aplikasi Conti TCP.
KITA semua kenal dan sukakan Suzuki Jimny – sebuah kenderaan pacuan empat-roda kompak yang ringkas dan sempurna untuk gaya hidup outdoor. Kini, ada satu pilihan lagi iaitu Jimny 5-Door. Ya, versi 5-pintu.
Ia ’ditarik’ sebanyak 340mm dari versi 3-door, menjadikan ukuran panjangnya kini 3,985mm. Jarak roda juga bertambah, kini pada 2,590mm. Ini bermaksud ruang kaki lebih besar untuk penumpang belakang, manakala ruang kargo meningkat dari 85 liter kepada 211 liter.
Dari segi mekanikal, tiada perubahan, bermakna ia masih dipacu enjin 1.5-liter naturally-aspirated 4-silinder petrol, dengan 102hp dan 130Nm tork. Pilihan transmisi pula ialah manual 5-kelajuan dan automatik 4-kelajuan.
Sistem pacuan juga sama, iaitu AllGrip Suzuki yang merupakan 4WD separuh-masa dengan transfer case untuk julat rendah (low range).
Jimny 5-Door masih mempunyai jarak kelegaan tanah 210mm, tetapi sudut approach, departure, dan break-over semua dikurangkan.
Untuk penggayaan, Jimny 5-Door mendapat gril berbeza dengan lima slot. Kelengkapan lain adalah serupa, seperti lampu LED bulat, fender kembang, lampu belakang pada bampar, rim 15-inci, dan tayar ganti tambahan di pintu but belakang.
Bahagian kabin pula dilengkapi papan pemuka menegak yang rugged seperti model 3-door, konfigurasi empat tempat duduk, dan panel instrumen lebih besar iaitu 9-inci.
Berapa pengeras untuk Suzuki Jimny 5-Door baharu ini? Sedikit ‘keras’, harganya RM199,950. Apa pendapat anda?
Selepas pelancaran smart #3 di Pavilion Bukit Jalil dan juga di Pusat Konvensyen Setia Alam (EVx), smart Malaysia mengumumkan smart Tour kali ini akan diadakan di Bangsar Shopping Centre hujung minggu ini, dari 31 Julai hingga 4 Ogos 2024.
smart Tour Brand Roadshow ini adalah sebuah pameran kenderaan smart yang membawa kenderaan inovatif smart #1 dan #3 lebih dekat kepada anda bakal pemilik.
Pameran ini akan menyediakan maklumat yang mendalam dan demonstrasi langsung mengenai ciri-ciri terkini kenderaan smart termasuk keupayaan V2L dan fungsi Aplikasi Hello smart.
smart Malaysia menjemput semua peminat kenderaan elektrik untuk melihat dan merasai sendiri kecanggihan smart #1 dan #3 Pro, Premium, dan BRABUS.
Selain itu, anda berpeluang mendapat tawaran istimewa Brabus Fever dan nikmati ganjaran bernilai sehingga RM30,000 untuk smart #1 Brabus.
Berikut adalah jadual lokasi dan tarikh smart Tour Brand Roadshow:
Untuk rujukan, berikut adalah harga model-model terkini smart:
Kerajaan bakal mengumumkan keputusan mengenai cadangan menaik taraf lesen motosikal B2 kepada B secara automatik tidak lama lagi.
Perkara itu disahkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke ketika menjawab pertanyaan media ketika sesi tinjaun pembinaan LRT3 di Stesen Pasar Jawa.
“Nanti saya akan umumkan, sudah ada keputusan (B2 kepada B penuh). Tetapi saya akan umumkan hari kemudian bukan hari ini,”jelasnya.
Menurut Anthony Loke, pihak kementerian sudah pun mempunyai keputusan mengenai cadangan yang pernah dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid Hamidi sebelum ini pernah menyatakan bahawa tiada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen Kelas B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.
ART Of Speed 2024, acara Kustom Kulture melabuhkan tirainya semalam selepas berlangsung selama dua hari (Sabtu dan Ahad).
Sambutan hangat seperti tahun-tahun sebelumnya dengan tetamu dan rakan-rakan kustom antarabangsa.
Antara tetamu dan pempamer yang memeriahkan Art Of Speed 2024 termasuklah Shige Suganuma, Shinotsuka “NATQQ” Michihisa dan Hey Murakamii (MOONEYES), Daigo Saito (Fat Five Racing), Stoop Motorcycles, Nigel Petrie (Engineered To Slide), Spinny, Dino Dalle Carbonare dan Alexander (Speedhunters), Tengku Djan, Makato (M&K Custom Signs), Burnout Magazine, Fahmi Freeflow, dan ramai lagi.
AOS Invitational Build-Off tahun ini menampilkan 10 pembina automotif bertanding untuk hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.00 (pilihan awam).
Kesemua pilihan juri dan pilihan umum telah sebulat suara menobatkan Irwann Cheng dari FNG Works sebagai pemenang, dengan binaan RXZ Twin Boss V2.
Beliau membawa pulang hadiah wang tunai tersebut dan akan menghantar motosikal kustom mereka ke Jepun untuk 32nd Annual MOONEYES Yokohama Hot Rod Custom Show bagi pemenang pilihan juri.
The Official Hot Wheels Collectors Convention Malaysia kembali lagi ke Dewan C untuk peminat-peminat dan pengumpul jenama die-cast untuk kali kedua.
AOS 2024 merasmikan pelancaran modal die-cast eksklusif konvensyen pertama dari Mattel untuk Malaysia bersama-sama Pengurus Pereka – Kenderaan Hot Wheels, Dwayne Vance.
AOS 2024 juga berkolaborasi bersama Selangor FC (SFC) dalam menyokong kempen SFC yang sedang berjalan; “Stop The Violence”, melayari daripada bola sepak kepada gaya hidup automotif.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hadir pada hari Ahad untuk merasmikan kolaborasi itu dan diberi lawatan khas AOS 2024.
Aktiviti tambahan AOS 2024 merangkumi:
Roda Rumble 2024 – Two Wheels Gathering & Outdoor Festival yang dianjurkan oleh Retro Mania
La Cultura – Malaysia’s Chicano Culture Appreciation Gathering, merangkumi persembahan fesyen gaya Cholo dan Chicano, persembahan Tarian dan DJ, dan lain-lain lagi.
Food Park – Vendor dan foodtrucks
Bazar vintaj automobil
Pelancaran produk di atas pentas
Test Ride Zone untuk motorsikal (Royal Enfield, Vespa, Aprilia, Triumph, Lambretta, Harley-Davidson, dan lain-lain)
SoundCircus Takeover oleh Art of Speed kali ini berbeza dari tahun sebelumnya. Bukan lagi festival di luar dewan, SoundCircus mengambil alih Dewan A.
Kugiran musik seperti Spider, Gerhana Ska Cinta, Salam Musik, Jemson X Forcesparkbois, Slatan, 53 Universe dan ramai lagi telah menggegar AOS kali ini.
Akhir sekali, pengunjung diberi peluang untuk merasai peluang cabutan bertuah. Pada hari Sabtu, hadiah cabutan bertuah adalah untuk SATU (1) perjalanan berbayar ke Jepun untuk menghadiri Annual MOONEYES Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 ke-32. Pemenang bertuah perjalanan ke Jepun ini telah dianugerahkan kepada Fitri Wahyudi B Suparno.
Pada hari Ahad pula. Hadiah utama untuk AOS 2024 kali ini adalah SATU (1) Honda Jazz yang telah dimodifikasi hasil kerjasama antara AOS X QARTEL TV. Pemenang cabutan bertuah tahun ini adalah Muhammad Farish B Mohd Fadzil.
Pemenang-pemenang kategori Best of Show untuk kereta dan motosikal telah memenangi hadiah pakej pelancongan sebagai Tetamu Khas ke Annual MOONEYES Yokohama Hot Rod Custom Show.
ANUGERAH KHAS AOS
BEST OF SHOW MOTORCYCLE
Pemenang: PA’DIN MUSA – Malaysia
Model kenderaan: HARLEY-DAVIDSON SHOVELHEAD 1969
INVITATIONAL BIKE BUILD OFF
Abah & Sons (Padin Musa)
Nodie Cycles
Acid Welding
Zuhalfast
RGF
Flying Loser
Chaos Customs
FNG Works
Hills Angels
Son of Abdul
PUBLIC CHOICE AWARD
Pemenang: FNG WORKS – IRWANN CHENG
Model kenderaan: RXZ TWIN BOSS V2
JURY PICK WINNER
Pemenang: FNG WORKS – IRWANN CHENG
Model kenderaan: RXZ TWIN BOSS V2
CUSTOM KINGS BY HARLEY-DAVIDSON
Naib Johan: Norkhairi – Malaysia
Pemenang: Khairul Azimin – Malaysia
Senarai pemenang-pemenang AOS2024:
BEST MARKETPLACE
Pemenang: NANOSTIX – Malaysia
BEST DISPLAY CAR
Pemenang: BWB – Malaysia
BEST DISPLAY MOTORCYCLE
Pemenang: HILLS ANGELS – Malaysia
Pilihan Tetamu Jemputan
MOONEYES PICK
Pemenang: ART GARAGE – Malaysia
EVILACT PICK & KUSTOMFEST PICK
Pemenang: HILLS ANGEL – Invitational Bike Build Off – Malaysia
STOOP MC PICK, LITTLE BOY CYCLES PICK, CHOPPAJOOP PICK, MASANARI PICK, ROUGH CRAFT PICK & BANGKOK HOT ROD PICK
Pemenang: PA’DIN MUSA – Malaysia
KATIE’S CUSTOM PICK
Pemenang: FNG WORKS – RXZ TWIN BOSS V2 – Malaysia
ONE LOW PICK
Pemenang: ASEP AHMAD ISKANDAR – ART OF SPEED FESTIVAL DIRECTOR
Didi Group selaku pengimport dan pengedar tunggal motosikal jenama Royal Enfield di Malaysia telah pun selesai melancarkan model Himalayan bertempat di Art Of Speed 2024 baru-baru ini.
Ia dikuasakan oleh enjin Sherpa 452 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 40 PS @ 8,000 rpm dan daya kilas maksimum 40 Nm @ 5,500 rpm.
Dengan jarak lega bumi yang agak tinggi (230 mm), Royal Enfield Himalayan turut mempunyai suspensi jenis long travel terdiri daripada fork hadapan Showa 43 mm jenis terbalik dan penyerap hentak tunggal belakang untuk memudahkan urusan menawan pelbagai bentuk muka bumi.
Royal Enfield Himalayan mengekalkan kombinasi rim aloi aluminium bersaiz 21 inci depan/17 inci belakang, dengan saiz tayar belakang 140/80 yang lebih lebar untuk memberikan lebih cengkaman.
Tangki bahan api sebesar 17 liter itu telah direka semula untuk memberikan keselesaan kepada penunggang, diikuti dengan pilihan tinggi pelana bermula serendah 805 mm dan boleh diubah kepada 845 mm bergantung kepada ketinggian penunggang.
Segala info penting boleh dibaca menerusi skrin paparan berbentuk bulat TripperDash yang turut menawarkan fungsi navigasi pemetaan menggunakan Google Maps Platform, dan bimbingan audio lebih daripada 130 bahasa dunia.
Penunggang boleh memilih untuk menetapkan mod tunggangan Performance atau Eco menerusi tetapan pendikit ride-by-wire, serta mematikan fungsi ABS roda belakang untuk pengalaman tunggangan off-road yang lebih mengujakan.
Royal Enfield Malaysia turut menawarkan lebih daripada 30 pilihan aksesori asli untuk Himalayan, termasuklah kotak storan aluminium, penghadang angin yang lebih tinggi, lampu kabus LED, mudguard, pelana rali, beg lembut dan bermacam-macam lagi.
Terdapat tiga varian ditawarkan, iaitu Base (warna Kaza Brown), Pass (Slate Himalayan Salt atau Slate Poppy Blue), serta Summit (Hanle Black atau Kamet White) dengan harga jualan bermula dari RM30,600 hingga RM32,200.
Boon Siew Honda (BSH) mengumumkan pilihan warna baharu bagi motosikal grand tourer ikonik, Honda GL1800 Gold WIng Tour.
Bagi tahun 2024, GL1800 Gold Wing Tour kini hadir dengan warna Heavy Gray Metallic dan akan mula tiba di pusat pameran rasmi Honda bermula Ogos 2024 dengan harga jualan RM212,888.
Atas kertas, Gold Wing Tour merupakan varian perdana (flagship) dan hadir dengan tiga ruang simpanan dan penyandar untuk pembonceng.
Gold Wing Tour ini menawarkan 125hp pada 5,500rpm da 170Nm pada 4,500rpm yang terhasil dari enjin 6-silinder 1,833cc SOHC 24-valve. Model ini juga dipadankan dengan transmisi DCT (dual-clutch transmission) generasi ketujuh yang menjanjikan pengalaman menunggang yang lebih efisien ekoran ketiadaan klac tangan.
Antara perincian lain ditawarkan termasuk:
storan 61L
panel meter TFT 7-inci denan Apple CarPlay dan Android Auto
Throttle-By-Wire dengna 4 mod; Tour, Sport, Econ dan Rain
pencahayaan LED
Integrated Starter Generator
Setiap pembelian Honda GL1800 Gold Wing Tour ini didatangkan dengan waranti kilang dua tahun atau 20,000km (mana yang sampai dulu).
PROTON baru-baru ini telah mengadakan upacara pecah tanah untuk tambahan baharu ke fasiliti stamping di Tanjong Malim.
Dikenali sebagai stamping E dan F, rangkaian baharu itu dikatakan akan meningkatkan jumlah pengeluaran Proton sementara syarikat itu membuat persediaan memindahkan pengeluaran Proton Saga dari Shah Alam menjelang 2026.
Sejumlah RM253 juta telah diperuntukkan untuk projek ini, yang dijangka juga akan menampung peningkatan jumlah pengeluaran keseluruhan serta model-model baharu yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat.
Ini adalah penambahan kedua yang dirancang untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran alat ganti Proton selepas perasmian kilang rangkaian stamping D pada 14 Mac 2023 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurut Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, penambahan ini adalah penting bagi rancangan pengembangan volum pengeluaran masa depan syarikat itu kerana ia memberi lebih banyak fleksibiliti untuk meningkatkan pengeluaran dan memenuhi permintaan pasaran.
“Sepanjang tahun 2023 sehingga Jun 2024, kilang Tanjong Malim telah menghasilkan sebanyak 6,067,064 komponen, di mana 395,211 daripadanya adalah dari rangkaian D. Jumlah ini akan berkembang dengan pesat apabila pengeluaran untuk Proton Saga dipindahkan ke sini pada tahun 2026,” tambah beliau.
Rangkaian E akan mempunyai proses pengecapan empat peringkat dengan mesin pengecapan 1600 tan dan tiga mesin 800 tan, manakala rangkaian F akan menggunakan proses pengecapan lima peringkat dengan mesin pengecapan 2000 tan, 1200 tan, dan tiga mesin dengan daya pengecap 1000 tan.
Selain mesin pengecapan, robot juga akan digunakan untuk memindahkan alat ganti antara stesen kerja, manakala teknologi IR 4.0 akan dilaksanakan dengan menggunakan data secara langsung dan pembelajaran mesin untuk meningkatkan kualiti alat ganti yang dihasilkan.
Selain itu, rangkaian baharu ini akan membantu mengurangkan lagi kebergantungan Proton terhadap alat ganti import untuk model-modelnya. Ini akan melindungi syarikat daripada kemungkinan gangguan dalam perdagangan global, dan menambahbaik bekalan alat ganti tempatan.
Pada masa yang sama, pelaburan ini akan meningkatkan kecekapan yang sedia ada di Tanjong Malim dan akan menyumbang kepada pembangunan berterusan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).
Kadang-kala anda tidak perlu memilih varian tertinggi untuk mendapatkan yang terbaik semasa membeli kenderaan. Isuzu membuktikan ini ada benarnya menerusi D-Max 1.9L Premium yang mampu memenuhi keperluan pengguna dengan enjin yang cukup lasak dan pelbagai kelengkapan berguna.
‘Nadi’ penggerak D-Max 1.9L Premium adalah enjin turbodiesel RZ4E-TC 1.9-liter empat silinder yang mampu menghasilkan 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm tork dari 1,800 hingga 2,600 rpm.
Angka tersebut mungkin tidak begitu besar namun ia sebenarnya sudah cukup untuk membantu pengguna melakukan urusan harian, terutamanya apabila dibantu dengan transmisi automatik enam kelajuan yang ditala untuk memberikan pecutan yang lancar.
D-Max 1.9L Premium juga cukup sesuai untuk mereka yang mementingkan bajet. Bukan sahaja cukai jalannya rendah iaitu RM399.20, ia juga cekap bahan api. Kami berjaya merekodkan catatan sekitar 15.5 km/l untuk pemanduan di kawasan bandar dan lebuh raya, bermakna trak pikap ini boleh mencapai jarak pandu sejauh lebih 1,100 km dengan satu tangki penuh!
Untuk peminat pemanduan off-road, D-Max 1.9L Premium sedia untuk mengharungi pelbagai bentuk muka bumi yang mencabar dengan adanya Rough Terrain Mode baharu, Terrain Command dan Differential Lock pada gandar belakang.
Malah, anda juga tidak perlu sekiranya berhadapan dengan banjir kerana trak pikap ini mampu mengharungi air dengan kedalaman sehingga 800 mm. Pendek kata, D-Max 1.9L Premium boleh membawa anda ke mana-mana sahaja.
Untuk bahagian luaran, D-Max 1.9L Premium bukan sahaja nampak bergaya tetapi juga mempunyai banyak ciri premium termasuk lampu projektor Bi-LED, lampu belakang Combi LED dan rim aloi 18 inci dengan rekaan terkini. Membuka tailgate juga menjadi lebih mudah dengan adanya ciri Tailgate Assist.
Ruang dalaman pula tampil lebih kemas menerusi upholsteri kulit kombinasi berwarna hitam serta corak Miura baharu yang menghiasi papan pemuka dan panel pintu.
Keselesaan pemandu dan penumpang sentiasa terjamin dengan busa elastik anti-getaran pada tempat duduk serta ciri sokongan lumbar kuasa lapan hala pada tempat duduk pemandu.
Tidak cukup dengan itu, D-Max 1.9L Premium juga didatangkan dengan skrin sentuh sistem infotainment berukuran sembilan inci, paparan multi-info tujuh inci, Apple CarPlay, Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar, port pengecas USB Type-C, pendingin hawa dua zon, sistem audio lapan pembesar suara dan cermin pandang belakang dengan pemalapan automatik.
Sudah tentu, ciri keselamatan turut dititikberatkan dengan penambahan Around View Monitor (AVM) dan perakam video digital (DVR) baharu. Bukan itu sahaja, bilangan beg udara telah bertambah iaitu dari dua sebelum ini kepada enam.
Dengan harga bermula dari RM134,649.20, D-Max 1.9L Premium dilihat sebagai pilihan yang amat berbaloi untuk mereka yang inginkan sebuah trak pikap yang serba boleh dan cukup lengkap. Untuk ketenangan minda pelanggan, Isuzu Malaysia menawarkan waranti selama lima tahun atau 150,000 km, yang mana tiba dahulu.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Isuzu D-Max, layari laman web rasmi Isuzu Malaysia atau membuat pendaftaran di pautan ini.
PASARAN kenderaan elektrik (EV) bawah RM150,000 semakin hangat, kini Neta X pula memasuki persaingan. Dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2024 baru-baru ini, Neta X kini dilancarkan secara rasmi dengan varian dan harga seperti berikut:
Neta X 400 Comfort: RM119,888
Neta X 400 Luxury: RM127,888
Neta X 500 Luxury: RM135,888
Semua varian dipacu oleh satu motor elektrik di depan, menjadikannya SUV FWD. Output adalah 120kW (163hp) dan 210Nm, cukup untuk pecutan 0-100 dalam masa 9.5 saat.
Untuk dua varian 400, baterinya berkapasiti 52kWh manakala varian 500 dilengkapi bateri 62kWh. Ini memberikan jarak pemanduan sehingga 323km untuk varian 400, dan 410km untuk varian 500.
Dari segi pengecasan pula, Neta X boleh diisi baterinya pada kadar 6.6kW untuk AC, sembilan jam diperlukan untuk penuh. Dengan pengecasan pantas DC pada kadar 65kW, pengecasan dari 30 hingga 80 peratus memerlukan 30 minit. Terdapat juga fungsi V2L untuk mengecas perkakas luaran.
Neta X mempunyai ukuran 4,619mm panjang, 1,860mm lebar, dan 1,628mm tinggi. Jarak roda pula ialah 2,770mm.
Kelengkapan standard pada Neta X termasuklah lampu LED, bumbung panoramik, rak bumbung, cermin sisi berkuasa, dan rim 18-inci.
Di dalam pula, EV ini mendapat skrin sesentuh 15.6-inci untuk infotainmen, fungsi kemaskini perisian over-the-air (OTA), arahan suara, sambungan Bluetooth, dan sistem audio lapan pembesar suara. Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Comfort, dan Sport, serta fungsi pemanduan satu-pedal.
Ciri keselamatan merangkumi Forward Collision Warning, Autonomous Emergency Braking, Lane Departure Warning, Lane Change Assist dengan Blind Spot Detection. Terdapat juga Rear Cross Traffic Alert, Adaptive Cruise Control, Traffic Sign Recognition, dan High Beam Assist.
Neta X boleh didapati dengan lima pilihan warna iaitu Pearl White, Sky Grey, Jet Black, Glacier Blue, dan Amber Brown. Anda juga boleh memilih dua warna untuk kabin iaitu hitam atau coklat.
UMW Toyota Motor menjemput rakyat Malaysia yang berminat dengan perlumbaan simulasi Gran Turismo 7 untuk menyaksikan sendiri pusingan akhir Toyota Gazoo Racing GT Cup 2024 musim ketujuh yang akan berlangsung di Sunway University Campus 27 hingga 28 Julai ini.
Acara selama dua hari itu terbuka kepada umum, di mana pusingan separuh akhir akan berlangsung pada 27 Julai untuk memilih pelumba simulasi terpantas akan akan bertempur pada 28 Julai untuk merebut hadiah terkumpul bernilai RM120,500.
Peringkat separuh akhir bakal menyaksikan 20 pelumba memandu Toyota GR Corolla MORIZO Edition di litar Alsace, Perancis, serta Toyota GR Supra RZ di litar Deep Forest Raceway, Switzerland.
10 peserta terpantas akan mara ke peringkat akhir untuk mengendalikan jentera prototaip GR010 di Litar Monza, Itali dan jentera lumba GR Supra Racing Concept di litar Circuit De La Sarthe Le Mans, Perancis.
Antara yang bakal mencuri tumpuan umum pada tahun ini ialah Taj Izrin Aiman Taj Madira yang sedang memburu gelaran juara untuk kali keempat menentang naib juara tahun lalu Danesh Wigneswaran dan Chong Kai Chang, serta Muhammad Iqbal selaku juara tahun 2022.
Pusingan akhir GR GT Cup ini juga bakal menampilkan perlumbaan khas melibatkan TGR Rookies, para pengamal media, serta 10 pelumba terpantas dari GR Tour yang terdiri daripada pelajar Sunway University, USM Nibong Tebal, MMU, UKM dan UiTM Pasir Gudang.
Orang ramai juga dijemput untuk mencabar kemahiran diri berlumba dan berpeluang membawa pulang hadiah istimewa.
Terdapat juga pameran model kenderaan diecast Tomica serta barangan eksklusif Gazoo Racing untuk dibeli, serta pameran kenderaan-kenderaan terkini Toyota.
Menurut Presiden UMW Toyota, Datuk Ravindran K berkata, “perlumbaan simulasi terus berkembang di peringkat global, dan kini diiktiraf sebagai langkah penting untuk mana-mana individu yang berhasrat untuk beralih kepada perlumbaan sebenar.
“Ia juga turut menjadi pra-syarat penting dalam pemilihan dan latihan calon yang mahu menyertai Program Pembangunan Pelumba Muda Gazoo Racing untuk peluang bertempur sebagai seorang Rookie dalam GR Vios Challenge,” ujarnya lagi.
Boon Siew Honda (BSH) memperkenalkan dua pilihan warna baharu bagi motosikal gaya cruiser CMX500 Rebel.
BSH dalam satu kenyataan memaklumkan CMX500 Rebel kini hadir dengan warna Mat Laurel Green Metallic dan Seal Silver Metallic.
Seal Silver Metallic
Mat Laurel Green Metallic
Atas kertas, Rebel dikuasakan enjin 471cc ‘parallel-twin’ dengan PGM-Fi yang menawarkan 45.6hp pada 8,500rpm dan 43Nm pada 6,500rpm.
Antara ciri utama ditawarkan motosikal ini adalah tangki bahan api berkapasiti 11.2L yang menawarkan penjimatan minyak efisien sesuai untuk kegunaan harian mahupun tunggangan di hujung minggu.
Meskipun bergaya retro, CMX500 Rebel dilengkapi dengan ciriterkini antaranya ABS dwi-saluran, pencahayaan LED penuh depan dan belakang serta panel meter LCD yang memaparkan maklumat seperti petunjuk gear dan penggunaan bahan api.
Menurut BSH, Honda CMX500 Rebel ini ditawarkan pada harga RM33,899 dengan setiap pembelian disertakan dengan waranti dua tahun atau 20,000km (mana yang sampai dulu).