JUMLAH jualan kenderaan di Malaysia dicatatkan sebanyak 68,665 unit pada Mei 2024. Ini adalah lonjakan 18 peratus berbanding 57,991 yang dicatatkan pada April, menurut Malaysia Automotive Association (MAA).
Mengikut perbandingan tahunan, jumlah keseluruhan industri (TIV) pada bulan lalu meningkat sembilan peratus berbanding Mei 2023 yang mencatatkan 63,158 unit.
Persatuan itu berkata, jualan yang dicatatkan pada Mei 2024 itu berikutan bulan bekerja lebih lama pada Mei 2024 dan prestasi mantap oleh pengeluar tempatan.
“TIV dari awal tahun hingga Mei 2024 adalah lapan peratus lebih tinggi kepada 328,901 unit berbanding 303,575 tempoh sama 2023,” kata MAA dalam satu kenyataan.
Pada Mei 2024, kenderaan penumpang mencatatkan jualan sebanyak 62,862 unit, meningkat 11 peratus berbanding 56,448 unit bulan sama pada 2023.
Jualan kenderaan komersial bagaimanapun merosot 14 peratus kepada 5,803 unit pada Mei 2024 berbanding 6,710 unit bulan sama 2023.
Dari segi pengeluaran kenderaan, perangkaan terkini MAA itu menunjukkan 74,174 unit kenderaan dikeluarkan pada Mei 2024, meningkat 14 peratus berbanding 64,930 unit pada bulan sama tahun lalu.
Pada bulan itu, pengeluaran kenderaan penumpang adalah sebanyak 70,132 unit, 16 peratus lebih tinggi berbanding 60,391 unit pada bulan sama tahun lalu.
SELEPAS beberapa bulan pengenalan GLA200 facelift, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) kini melancarkan pula GLA250 4Matic AMG Line. Ianya versi yang lebih berkuasa dengan penggayaan lebih sporti.
Seperti biasa, berbanding GLA200 yang mendapat enjin Renault 1.3-liter turbo, varian GLA250 ini dikuasakan enjin Mercedes sendiri – 2.0-liter 4-silinder turbo dengan output 224PS dan 350Nm tork.
Output ini disalurkan ke semua roda melalui kotak gear dwi-klac 8-kelajuan dan sistem pacuan 4Matic. Apa yang baharu ialah GLA250 juga mendapat sistem mild-hybrid yang terdiri dari belt starter generator (BSG) 48-volt, menyumbang kepada tambahan kuasa 14PS dan 150Nm.
Hasilnya, prestasi pecutan 0-100 ialah 6.8 saat, lebih satu saat lebih pantas dari GLA200. Kelajuan maksima pula ialah 240km/j.
Dari segi kelengkapan luaran, Mercedes GLA250 4Matic baharu ini didatangkan dengan bampar AMG sporti, lampu LED High Performance dengan grafik baharu, lampu belakang baharu, diffuser, dan rim AMG 19-inci 5-bilah. Terdapat juga brek sport dengan cakera berongga.
Ciri standard lain termasuklah rel bumbung, suspensi sport, keyless entry, sistem pendingin hawa satu-zon, lampu ambien 64-warna, pengecas tanpa wayar Qi, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kamera undur, dan pintu but berkuasa.
Bahagian kabin pula menampilkan stereng baharu dengan kawalan sesentuh, MBUX dikemaskini dengan skrin 10.25-inci, dan paparan instrumen 10.25-inci.
Jajan AMG pada GLA250 adalah tempat duduk sports, kemasan kulit Artico dengan Microcut, kemasan aluminium berusan, pedal aloi, siling hitam, dan pemijak sisi bernyala.
Ciri keselamatan terdiri dari Autonomous Emergency Braking, Blind Spot monitoring, Door Opening Warning, dan Park Assist.
Mercedes GLA250 4Matic AMG Line ditawarkan pada harga RM295,888 tanpa insurans. Ini termasuk dengan jaminan empat-tahun tanpa had perbatuan.
DARI jauh, Toyota Alphard ini kelihatan seperti kenderaan peronda polis atau ambulans, tetapi bila didekati, tulisan di badannya bertulis POLITE, bukannya POLICE.
MPV di Singapura ini menarik perhatian netizen dan telah dikongsi di laman Facebook SG Road Vigilante.
Bila diimbas kod QR pada badan Alphard ini, ia akan membawa anda ke laman web kedai ais krim.
Netizen mempunyai pelbagai komen dan pendapat di ruangan komen. Ada yang beranggapan ianya idea menarik, ada juga yang berkata “misleading” kerana menyerupai kenderaan penguasa.
Pemiliknya, Goh Yong Wei berkata kepada The Straits Times, beliau menghiasai Toyota Alphard miliknya sejak Mei lepas, dan pengguna jalan raya sering memperlahankan kenderaan mereka untuk memberi laluan.
Katanya, “Sebagai pemandu dan penunggang motosikal di Singapura, saya dapati budaya memandu di sini tidak cukup bagus, terutamanya di waktu puncak.
“Saya mahu dilihat, saya mahu perhatian, saya mahu orang lihat saya dan memperlahakankan kenderaan untuk mengelakkan perlanggaran.”
Goh berkata dia pernah terlibat dalam lebih 10 kemalangan kereta dan motosikal sejak empat tahun lepas, dan dekal pada Alphard ini membantu mengelakkan kemalangan padanya.
“Saya rasa lebih selamat, lebih mudah memandu sekarang. Ramai orang dalam kereta tersenyum dan menunjukkan isyarat bagus kepada saya.
“Ini memberikan pengalaman memandu yang menarik buat saya,” tambahnya.
Walaubagaimanapun, pihak polis Singapura berkata mereka menerima laporan berkenaan hal ini, dan perkara ini sedang disiasat.
VOLVO S60 di Amerika menjadi alternatif yang sepi kepada BMW 3-Series dan Mercedes-Benz C-Class. Kini sedan eksekutif itu tiba ke akhir hayatnya.
Volvo mengesahkan bahawa jualan S60 akan ditamatkan di Amerika Syarikat (AS) selepas 24 tahun, merangkumi tiga generasi.
“Selepas lima tahun Volvo Cars mengakhiri pengeluaran sedan S60 di Ridgeville, South Caroline pada Jun 2024 untuk AS dan beberapa pasaran untuk memberi fokus kepada EX90 serba baharu,” jurucakap Volvo memberitahu Motor1.
Volvo S60 generasi ketiga mula dilancarkan sebagai model tahun 2019 dan dikeluarkan di fasiliti South Carolina. Beberapa varian ditawarkan sepanjang pengeluaran, dari versi asas T5 berkuasa 252hp hinggalah model prestasi Polestar Engineered.
Berbanding pesaing-pesaingnya, jualan Volvo S60 agak sendu di AS. Jualannya tidak pernah melebihi 20,000 unit setahun. Secara purata ia dijual sekitar 10,000 hingga 12,000 unit setahun.
Sebagai perbandingan, BMW dan Mercedes masing-masing menjual 33,000 unit 3-Series dan C-Class tahun lepas.
Pada masa yang sama, penamatan Volvo S60 diharapkan membuka ruang kepada lebih banyak keuntungan buat Volvo apabila mereka memperkenalkan EX90 nanti.
EX90 ialah SUV elektrik sepenuhnya (EV) tiga-baris pertama Volvo, dibekalkan dengan bateri 111kWh dengan output 496hp dan jarak pemanduan sehingga 480km.
TESLA telah membuka dan mengaktifkan stesen Supercharger di Kuantan, Pahang. Terletak di premis Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), ianya menjadi Tesla Supercharger pertama di pantai timur Semenanjung Malaysia.
Menurut Josh KY Chua yang berkongsi beberapa gambar dalam laman Facebook Warga Kuantan, stesen itu boleh digunakan oleh orang awam 24 jam sehari.
Terdapat empat ruang pengecas di lokasi ini. Sama seperti stesen-stesen Supercharger lain di seluruh negara, stesen baharu di Kuantan ini juga mempunyai kadar caj RM1.25 per kWh.
Terdapat juga bayaran melahu RM4.00 seminit sekiranya stesen itu penuh.
Walaupun Tesla telah mula membuka rangkaian Supercharger V4 di Malaysia, stesen di MBK walaubagaimanapun adalah Supercharger V3.
Pembukaan Supercharger baharu ini adalah selari dengan apa yang diumumkan oleh Pengarah Rantau Tesla, Isabel Fan pada Mac bahawa Supercharger di Kuantan akan dibuka menjelang penghujung suku kedua tahun ini.
Lokasi-lokasi lain untuk suku kedua ini adalah Supercharger pertama di Pulau Pinang yang terletak di Prai.
PERKHIDMATAN teksi udara elektrik yang pertama seumpamanya di dunia akan mula diuji untuk pengangkutan jemaah antara tapak suci Mina, Muzdalifah dan Arafah tahun ini.
Ia dilancarkan Menteri Pengangkutan dan Logistik dan Pengerusi Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam (GACA) Eng. Saleh Al-Jasser di Mekah.
Teksi udara ialah pesawat komersial kecil yang membuat penerbangan pendek atas permintaan. Ianya dikatakan yang pertama di dunia, dan dilesenkan oleh GACA.
Pesawat tanpa pemandu itu akan digunakan pada musim haji tahun ini terutamanya untuk perkhidmatan kecemasan, serta pengangkutan barangan dan bekalan perubatan kepada para jemaah.
Kementerian Pengangkutan dan Logistik pada masa sama sedang berusaha untuk mempertingkat bidang mobiliti pintar dan membangunkan undang-undang dan peraturan yang membolehkan penggunaan teknologi moden, selain menyediakan persekitaran eksperimen untuk mengembangkan pengenalan pelbagai teknologi pengangkutan masa hadapan.
Sebelum ini, Saudi Arabian Airlines (Saudia) mendedahkan rancangan untuk mengendalikan teksi terbang pada masa hadapan untuk mengangkut jemaah haji antara Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah dan hotel di Mekah.
Saudia juga bercadang untuk membeli sekitar 100 pesawat untuk mengendalikan perkhidmatan tersebut.
Sebagai generasi yang sempat merasa zaman Friendster dan Myspace, ini mengingatkan penulis kepada konsep Proton EMAS dari lebih sedekad lalu.
Proton EMAS ialah konsep yang mendapat sentuhan rekaan dari firma Italdesign Giugiaro. Nama EMAS membawa maksud Eco Mobility Advance Solution. Ia juga sudah tentu bermaksud emas atau “gold” dalam Bahasa Inggeris.
Eco Mobility Advance Solution juga dari segi teknikal bermakna EMAS direka untuk solusi kenderaan jimat tenaga.
Maka sebab itu ia mempunyai enjin 1.2-liter 3-silinder yang menjana 20hp pada 1,500rpm dan 47hp pada 3,500rpm. Tork pula ialah 107Nm pada 2,500rpm.
Enjin yang hanya seberat 56kg ini digandingkan dengan pek bateri 16.5kWh dan sel bateri 370 volt. Ini menjadikan Proton EMAS sebuah hibrid range extender.
EMAS mampu memecut dari 0 ke 96km/j dalam 14 saat dan mencapai kelajuan maksima 169km/j. Ia mampu dipandu sejauh 563km setiap tangki.
Rekaan EMAS berasaskan pelantar Toyota iQ termasuk suspensi dan stereng, tetapi bahagian lain-lain smeuanya adalah baharu dari Proton. Ia mempunyai suspensi MacPherson di depan, dengan torsion beam di belakang.
Proton mendedahkan konsep EMAS buat pertama kali kepada umum di acara Geneva Motor Show 2010, salah satu pameran automotif paling berprestij di dunia.
Proton EMAS juga hadir dengan beberapa varian. Standard EMAS ialah versi 5-pintu dengan empat tempat duduk, kemudian EMAS3 ialah 3-pintu dengan konfigurasi 3+1 tempat duduk.
Terdapat juga EMAS Country dengan gaya SUV dan suspensi lebih tinggi. Jika anda perasan, EMAS Country ini nampak mirip seperti Iriz Active, bukan? Penulis percaya Iriz Active mengambil dan meneruskan inspirasi dari EMAS Country.
Penulis masih ingat membaca dan melihat konsep EMAS ini semasa zaman belajar di universiti dan sangat berharap ia menjadi model realiti yang dijual kepada umum. Mungkin EMAS boleh menjadi pesaing kepada Myvi?
Di Geneva Motor Show, Pengarah Urusan Proton waktu itu, Dato Syed Zainal berkata: “Matlamatnya ialah untuk menghasilkan kereta global untuk pasaran dunia.”
Menurutnya, hanya tinggal antara 17 hingga 24 bulan sahaja sebelum memasuki produksi, bermakna ia sepatutnya mula dikeluarkan pada 2012 atau 2013.
Tetapi Proton EMAS tidak pernah menjadi realiti.
Adakah anda pernah tahu mengenai Proton EMAS ini? Penulis yakin generasi Tiktok tidak pernah mengetahuinya.
PROTON hari ini memperkenalkan e.MAS sebagai sub-jenama model-model elektrik sepenuhya (EV) mereka.
Sebelum kita pergi dengan lebih lanjut, cara sebutan e.MAS ialah “imas”, seperti abjad ‘e’ disambung dengan perkataan ‘mas’. Ianya bermaksud Electrifying Malaysia.
Proton juga memperkenalkan logo e.MAS iaitu paparan kepala harimau tetapi ‘tidak berkurung’. Menurut Proton, ianya selaras dengan aliran reka bentuk semasa untuk jenama EV yang cenderung kepada grafik yang lebih bersih dan kurang rumit.
“Pelancaran jenama dan logo e.MAS hari ini menandakan satu langkah penting dalam perjalanan Proton ke arah melancarkan model EV kami sendiri,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.
“Sebagai sebuah syarikat yang terikat dengan perindustrian Malaysia, kami sedar bahawa kami bertanggungjawab untuk menyediakan penyelesaian mobiliti yang relevan dan mampu dimiliki kepada semua rakyat Malaysia.
“Oleh itu, Proton telah mempertimbangkan pendekatan nya terhadap EV dengan teliti untuk membangunkan pangkalan pengetahuan dan memastikan kami mempunyai pemahaman yang menyeluruh tentang produk, teknologi dan keperluan pengguna sebelum jualan bermula,” tambahnya.
Turut diumumkan pada majlis ini ialah pelantikan 17 pengedar EV Proton pertama yang telah memeterai perjanjian mereka pada awal hari ini.
Li Chunrong turut menambah, “Sebagai jenama automotif pertama di Malaysia, adalah penting bagi Proton untuk melabur dalam infrastruktur bagi menawarkan rangkaian perkhidmatan penuh kepada pembeli EV dan bukannya hanya menjual produk.
“Oleh itu, apabila model Proton e.MAS mula dijual, pelanggan boleh yakin bahawa setiap keperluan mereka akan diuruskan sama seperti pembeli model Proton semasa.”
Proton turut berkongsi kepada pengamal media bahawa semasa permulaan kerjasama dengan Geely pada 2017, rancangan telah dibuat untuk memperkenalkan model Proton EV.
Walaupun rancangan tertunda semasa pandemik, aktiviti disambung semula dengan bertungkus-lumus dengan upcara menandatangan Memorandum Perjanjian (MOA) antara Proton dan smart pada 19 Januari 2022.
Ini diikuti dengan pemeteraian Perjanjian Pengedaran Am (GDA) antara kedua-dua pihak pada 18 Ogos serta pembentukan PRO-NET pada 9 September untuk menerajui jualan dan pengedaran kenderaan smart dan tawaran EV masa hadapan daripada Proton.
Langkah seterusnya ialah tandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Gentari di bulan Oktober untuk bekerjasama dalam pengasasan infrastruktur mengecas.
Ini diikuti dengan penghantaran 16 jurutera ke China pada Disember 2022 untuk Latihan Dalam Kerja (OJT) dalam EV dan bidang berkaitan seperti pengecasan dan servis.
Pada tahun 2023, Proton telah melantik pengedar untuk smart dan mengambil pekerja dari pelbagai industri untuk memperkuatkan pasukan pekerja untuk menguruskan jenama itu.
Mengulas mengenai jenama EV baharu, Dr Li Chunrong menambah, “Jenama e.MAS dan produknya adalah lanjutan daripada tiga nilai teras Proton iaitu teknologi inovatif, kebolehpercayaan dan antarabangsa.
“Ini adalah langkah seterusnya dalam evolusi syarikat dan pada beberapa bulan yang akan datang, kami akan membuat pengumuman baru untuk membina pengiktirafan jenama dan promosi produk menjelang pelancaran Proton e.MAS EV pertama pada Disember tahun ini.”
PENGELUAR kenderaan hari ini meletakkan semakin banyak skrin dalam kereta mereka, ada yang sehinga tiga atau empat skrin.
Kali ini, ZF pula akan ‘menyertai’ penambahan skrin dalam kenderaan. Rekaan terbaharu dengan nama ZF Lifetec akan mempunyai satu skrin pada stereng. Beg udara dikekalkan, tetapi ia tidak keluar dari tengah, sebaliknya dari bahagian atas stereng.
Dengan cara ini, ia akan memberi ruang di tengah-tengah stereng untuk “paparan seperti telefon pintar”, kata ZF. Syarikat itu menimbang untuk meletakkan skrin di tengah atau beberapa paparan.
Ini memberikan lebih kebebasan untuk pengeluar mereka bentuk roda stereng tanpa mengabaikan keselamatan.
Pasukan di belakang projek ini menerangkan, tidak semestinya ia perlu skrin sepenuhnya di ruang stereng. Boleh juga konfigurasi campuran seperti beberapa suis fizikal.
Ruang yang ada pada tengah roda stereng ini juga membolehkan jurutera meletakkan pengesan-pengesan tambahan dalam kereta yang dilengkapi dengan sistem pemanduan autonomi. Pengesan sebegini boleh mengetahui sama ada anda memberi tumpuan kepada pemanduan atau tidak.
Bagaimana pula jika berlaku kemalangan semasa tangan kita di posisi jam 12? Sepatutnya, tangan kita sepatutnya berada pada jam 9 dan 3 atau 10 dan 2.
Ada yang berkata kita bukanlah pemandu Formula Satu yang perlu melaras pelbagai tetapan di stereng semasa memandu. Ada juga yang berkata, lebih baik jurutera fokus di aspek lain daripada mereka bentuk semula roda stereng.
Dengan paparan instrumen depan stereng, infotainmen di konsol tengah, rasanya kita sudah ada cukup banyak skrin. Apa pendapat anda?
KEMENTERIAN Pengangkutan menyifatkan kenaikan tambang bas sekolah tidak seharusnya berlaku memandangkan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 bagi kenderaan pengangkutan awam darat kekal pada harga RM1.88 seliter.
Menterinya, Anthony Loke menegaskan ketetapan itu juga terpakai kepada pengusaha bas ekspres yang tidak boleh sesuka hati menaikkan kadar tambang memandangkan tindakan itu memerlukan kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Ini tidak sepatutnya berlaku (kerana) subsidi diesel ini terus diberikan kepada pengusaha bas ekspres dan bas sekolah.
“Maksudnya, mereka tak ada kesan daripada segi kenaikan harga diesel sebab sudah sedia menerima subsidi dan tidak ada perubahan daripada segi itu.
“Jadi apa yang mendorong mereka hendak menaikkan harga kalau soal ini (kenaikan diesel) digunakan alasan untuk menaikkan harga,” katanya kepada pemberita semalam.
Bas sekolah. Gambar oleh: Malay Mail
Loke menyarankan meskipun kerajaan tidak mengawal kadar tambang bas sekolah, pengusaha seharusnya mengadakan perbincangan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dengan kementerian turut sedia membantu pelbagai sudut untuk meringankan beban pihak terlibat.
“Kita menggalakkan perbincangan antara pengusaha dengan pihak PIBG… memang saya tahu ada juga kekangan dan cabaran kepada mereka dan kita cuba bantu dari pelbagai sudut untuk meringankan beban mereka,” katanya.
Sebelum ini, ada ura-ura kemungkinan berlaku kenaikan tambang bas ekspres, bas sekolah dan bas persiaran selepas pengumuman kenaikan harga diesel di Semenanjung daripada RM2.15 seliter kepada RM3.35 berkuat kuasa kelmarin.
BAGUS sebenarnya sesebuah pengeluar mempunyai ‘halo car’ atau kereta yang terhebat dalam barisan model mereka. Sekurang-kurangnya ia boleh menjadi aspirasi pengguna yang belum cukup bajet dengan membeli model-model yang lebih mampu milik.
Sebagai contoh, Honda ada Civic Type R, maka peminat yang belum mampu boleh membeli Civic FE. Proton dulu ada Satria GTi, peminat boleh membeli Satria biasa. Dan Mazda dulu ada RX-7, peminat yang sedang menabung boleh membeli Mazda3 dahulu.
Toyota pula sekarang ada barisan kenderaan prestasi tinggi seperti GR Yaris, GR Corolla dan GR Supra. Jadi adakah ia mampu melariskan jualan Corolla dan Vios?
Eh ada juga model pertengahan, iaitu Corolla GR Sport. Ya, GR Sport sama seperti AMG Line untuk Mercedes atau M Sport untuk BMW; bukan all-out high performance, tetapi masih dapat ‘jajan’ sporti.
Kenapa perlu ada GR Sport?
Memandangkan Toyota Corolla sedan sudah berada dalam pasaran sejak 2019, maka bersesuaian untuk UMW Toyota memperkenalkan versi GR Sport sebagai pembaharuan atau facelift. Corolla GR Sport dilancarkan pada Ogos 2023, kira-kira empat tahun selepas pelancaran Corolla sedan.
Ini juga susulan pengenalan lima model GR secara serentak tahun lepas – GR86, GR Supra 6MT, GR Corolla, Hilux GR Sport, dan Corolla Cross GR Sport. Maka, Corolla sedan juga ibaratnya menunggu masa sahaja untuk di-GR-kan.
Dari sudut persaingan segmen-C pula, bagi penulis ini mungkin jawapan Toyota kepada Honda Civic FE di Malaysia. Jika dulu Honda Civic FC facelift pernah diberikan tayar Michelin Pilot Sport kerana Corolla mendapat Michelin Primacy, penulis anggap pengenalan GR Sport ini juga jawapan kepada Honda.
Sekadar tepek emblem?
Adakah ini sekadar tepek emblem GR? Tidak juga, lebih dari itu. Toyota Corolla GR Sport ini dilengkapi dengan bampar depan lebih agresif, bampar belakang dengan kemasan diffuser, tulisan-tulisan GR di merata badan luar dan dalam, dan grafik meter baharu yang lebih sporti.
Paling penting dan paling penulis suka, ialah rim lebih besar 18-inci, berbanding 17-inci pada model biasa. Kemudian tayar Dunlop SP Sport Maxx 225/40 yang nampak lebih sporti berbanding Michelin Primacy 225/45.
Akhir sekali ialah suspensi yang – menurut UMW Toyota – telah ditala semula penyerap hentak, spring, dan bar anti-olengnya.
Banyak juga ya? Cukup lazat? Oh ya, enjin tidak diusik, masih mengekalkan penggunaan 1.8-liter 2ZR-FE naturally-aspirated dengan 138hp dan 172Nm, dipadankan dengan CVT.
Kira ok juga lah, sebab harga pun bertambah RM5,000 sahaja berbanding Corolla biasa. Versi GR Sport ini dijual pada harga RM152,800. Bagi penulis, memberikan nilai wang yang cukup menarik jika dilihat perubahan dan talaan yang diberikan.
Cuma grafik meter ada satu perkara kurang memuaskan. Bila anda tukar mod, terdapat animasi Toyota Corolla bergerak tetapi dari rekaan rim yang dipaparkan, seperti Corolla biasa dan bukannya GR Sport. Sekadar komen untuk perkara yang tidak berapa penting.
Jadi, memang seronok dipandu?
Ya, seronok dipandu. Penulis masih ingat Toyota Corolla biasa dulu memang senyap, sangat refined, tetapi boleh dikerah laju jika anda mahu bergegas. Toyota Corolla GR Sport ini pula kebanyakan kawalannya lebih keras dan jitu.
Disebabkan suspensinya ditala semula pada agak banyak komponen, anda boleh terus merasainya. Sebagai contoh bila melalui bonggol, wah keras dan mantap juga serapan suspensinya.
Stereng juga sangat menerus atau direct. Sedikit input anda berikan ke kiri atau kanan, terus input ini dipindahkan ke badan kereta. Hampir tiada langsung free play di tengah stereng.
Talaan stereng yang tepat ini memberikan anda sensasi kepuasan semasa memandu di kelajuan tiga digit. Pada masa yang sama, ada rasa keyakinan memandu dan menjurus kepada meningkatnya tahap keselamatan.
Casis TNGA (Toyota New Global Architecture) pada Corolla biasa pun sudah boleh membuatkan kereta itu stabil dan senyap, dengan versi GR Sport ini ia menyerlahkan lagi kemampuan casis.
Cuma bila anda pandu Corolla GR Sport ini, jangan guna mod Sport kerana penulis dapati tetapan CVT-nya terlalu sensitif. Pedal minyak memang sedap dalam Sport. Tetapi untuk kepuasan dalam semua situasi, guna sahaja mod Normal.
Pedal minyak masih mengikut ‘input’ kaki, dan tindak balas CVT pula lebih semula jadi. Pemanduan secara keseluruhan lebih tenang tetapi kekal sporti.
Boleh pakai daily?
Dengan jiwa GR, sudah tentu Toyota Corolla ini masih boleh digunakan seharian! Ia bukanlah jentera prestasi tinggi yang terlalu fokus. Ia masih 80 peratus sedan keluarga, mungkin 20 peratus sahaja bersifat kereta sport.
Anda masih dapat praktikaliti harian sebuah sedan segmen-C. Seperti penulis katakan, kereta ini senyap, stabil, penulis berjaya pandu dengan lebih laju dari kebiasaan tetapi semua empat penumpang lena tidur. Magik casis TNGA dan input lancar penulis kot, ehem.
Corolla GR Sport masih sebuah sedan biasa, cuma pengalaman pemanduannya disuntik sedikit elemen sporti.
Dengan pemanduan seperti biasa, ada memecut, duduk dalam kesesakan trafik, bawa penumpang dan barangan, penulis masih dapat 9.0L per 100km, bersamaan 11.11km/liter.
Untuk siapa?
Bagi penulis, ada dua jenis pembeli sesuai untuk Toyota Corolla GR Sport ini. Pertama, mereka yang rasa segmen-C terlalu dibanjiri dengan Honda. Nak pilih Mazda, masih di luar bajet.
Jadi Corolla GR Sport di tengah-tengah. Sedikit kelainan, tetapi harga masih boleh tengok, orang kata.
Kedua, adalah jenis pembeli yang taksub dengan jenama Toyota atau Gazoo Racing. Pembeli ini berminat untuk menyambar GR Yaris bila harga terpakai kurang RM180,000 nanti, jadi sementara itu ambil Corolla GR Sport dahulu. Buat raso-raso…
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyarankan kerajaan persekutuan agar mencari dan meneroka tenaga alternatif yang murah serta mampan bagi menggantikan penggunaan diesel di seluruh Malaysia.
Beliau berkata, usaha jangka panjang itu akan turut menghapuskan subsidi diesel yang perlu ditanggung oleh negara.
Abang Johari. Gambar oleh: Malay Mail
“Kalau (rakyat) masih menggunakan diesel dan minta subsidi, nanti bila harga naik rakyat minta lagi… jadi mengapa tiada tenaga alternatif supaya tidak perlu lagi guna diesel,” katanya dalam sidang media semalam.
Abang Johari berkata, sebagai contoh, kerajaan boleh meneroka penggunaan tenaga boleh baharu seperti hidrogen yang giat dilaksana oleh kerajaan Sarawak.
Pada Ahad, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 12.01 tengah malam Isnin.
Di bawah Budi Madani, bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan diberikan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.
Pendaftaran bagi Budi Madani dibuka mulai 28 Mei lepas susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan sebanyak 30,000 pemilik kenderaan diesel menerima bantuan itu bermula hari ini.
TAMIYA pakar dalam menghasilkan model kenderaan kawalan radio (RC) dengan perincian halus seperti model skala untuk hiasan. Begitu juga dengan model terbaharu dari siri trak skala 1/14 mereka, iaitu Volvo FH16 Globetrotter XL 750 4×2.
Trak sebenar yang mempunyai enjin 16.1-liter 6-silinder turbo sebaris dengan kuasa 750hp ini dihasilkan semula dalam bentuk model RC dengan badan yang realistik. Casisnya mendapat pelbagai komponen besi dan kotak gear dengan tiga-kelajuan.
Model FH16 ini berukuran 462mm panjang, 193mm lebar, dan 309mm tinggi dan seberat kira-kira 3.5kg. Ia juga dilengkapi dengan penyerap hentak aluminium dengan leaf spring.
Perincian pada cab (kepala kabin) termasuklah deflektor udara, gril stainless steel, lampu depan LED dengan lampu kabus, antena, set lampu LED bumbung, cermin sisi, kotak bateri dan tangki udara, serta coupler untuk menyambungkannya dengan treler.
Untuk lebih realistik lagi, anda boleh mendapatkan Tamiya Multi-Function Control Unit (dijual berasingan) yang menawarkan bunyi, lampu, dan gegaran.
Bunyi digital adalah direkodkan dari trak sebenar, berserta dengan hon udara dan bunyi pertukaran gear. Malah segala operasi lampu, signal, termasuk pertukaran gear 3-kelajuan juga boleh dibuat dari kawalan jauh.
Model RC Volvo FH16 Globetrotter ini boleh didapati di kedai-kedai dan pengedar rasmi Tamiya seluruh dunia.
PERODUA hari ini menandatangani satu memorandum persafahaman (MoU) dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan Kuantan Port Consortium bagi meneroka potensi perkhidmatan pengangkutan East Coast Rail Link (ECRL) yang akan beroperasi pada Januari 2027.
MoU ini juga dikatakan bagi menggalakkan pelbagai industri di negara ini untuk beralih dari pengangkutan kargo jalan raya kepada rel. Ini kerana jalinan ECRL sepanjang 665km akan memudahkan pengangkutan antara pantai barat dan pantai timur Semenanjung Malaysia.
Perodua khasnya akan meneroka potensi membawa produk-produknya ke pantai timur Semenanjung Malaysia bagi memenuhi keperluan kenderaan kompak itu yang meningkat untuk sokongan lojistik.
“MoU ini mempunyai makna yang signifikan untuk MRL kerana kami membuka nilai ECRL, bukan hanya sebagai pengangkutan untuk orang awam tetapi juga sebagai perkhidmatan logistik yang cekap untuk perniagaan tempatan dan antarabangsa,” kata CEO MRL, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak.
Tambahnya, “ECRL berfungsi sebagai penyedia untuk meningkatkan jaringan rantau ini dan pembangunan ekonomi, dengan menghubungkan Kuantan Port kepada Northport dan Westport di Pelabuhan Klang.
“Jaringan ‘last-mile’ ini penting dan akan memudahkan pergerakan barangan antara pelabuhan-pelabuhan.”
Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad pula berkata: “Kami sedang melihat untuk mempelbagaikan cara kami menghantar produk kami, dan ECRL merupakan satu pilihan realisitik.
“MoU ini akan membolehkan kami meneroka dengan lebih terperinci semua peluang untuk kedua-dua pihak,” kata Zainal.
MoU hari ini juga disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook.
MRL ialah pemilik perojek ECRL sepanjang 665km yang akan melalui pantai timur dari Kelantan, Terengganu, dan Pahang sebelum dihubungkan dengan Lembah Klang di pantai barat.
BOLEH dikatakan peralihan ke arah elektrik sepenuhnya (EV) tidak berjalan seperti apa yang sesetengah pengeluar jangkakan. Beberapa pengeluar telah menunda matlamat mereka untuk elektrifikasi ini.
Baru sahaja tahun lepas, Volkswagen mengjankakan EV akan meliputi sehingga 80 peratus jualan kenderaan di Eropah menjelang hujung dekad ini. Tetapi penerimaan suam-suam model ID mereka menyebabkan VW mengkaji semula strategi mereka.
Dari 180 bilion Euro (RM914 bilion) bajet diperuntukkan pada 2023 untuk EV generasi baharu, pengeluar Jerman itu kini akan menggunakan satu pertiga darinya untuk pembangunan enjin pembakaran.
Pengumuman ini datang dari Arn Antlitz, Chief Financial Officer dan Chief Operating Officer di Volkswagen Group. “Syarikat mahu membelanjakan kira-kira 60 bilion Euro (RM304 bilion) untuk memastikan kereta pembakaran kami kompetitif.”
Tambahnya, “Masa depan ialah elektrik, tetapi masa lampau belum berakhir.”
Tahun lepas, bos VW, Thomas Schäfer merujuk kepada ICE sebagai “teknologi lama” dalam konteks e-fuel. Dia berkata bahan api sintetik hanyalah “bunyi yang tidak diperlukan”, walaupun Porsche yang juga dalam kumpulan sama sedang giat terlibat dalam bahan api sintetik di kilang di Chile.
Satu lagi jenama premium dalam VW juga sedang meneliti bagaimana bahan api mampan berevolusi. Bugatti merancang membina stesen minyak yang boleh dipasang di rumah-rumah pemilik dan diisi dengan bahan api sintetik.
Lamborghini pula percaya enjin pembakaran boleh diselamatkan dengan membuatkannya menggunakan bahan selain minyak fosil. Bentley juga sedang meneroka bahan api dengan pelepasan karbon hampir sifar.
Jelas bahawa semakin banyak pengeluar kereta menilai semula strategi EV mereka memandangkan pengguna belum bersedia melepaskan enjin ICE.
Pengeluar agak agresif kerana piawaian pelepasan semakin ketat, menyebabkan keperluan pelaburan untuk enjin petrol berfungsi dengan lebih bersih. Pada masa yang sama, lambakan kereta EV dari China juga merisaukan pengeluar-pengeluar utama.
KES penyeludupan bahan api RON95 dilaporkan meningkat selepas kerajaan mengumumkan penyasaran subsidi diesel, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata hasil pemantauan dilakukan pegawai penguat kuasa yang ditempatkan di lapan pintu masuk utama di Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis mendapati penyeludup mula mengubah strategi mereka.
“Kementerian mendapati modus operandi penyeludupan yang digunakan melibatkan taktik pembelian petrol berulang di stesen minyak sekitar negeri bersempadan.
“Sebelum ini, mereka menggunakan kereta pacuan empat roda bagi menyeludup petrol kini mereka mengubah suai tangki kereta sedan untuk mengisi petrol,” katanya pada sidang media khas selepas mengadakan rondaan di sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok, Pengkalan Kubor, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Armizan berkata kementerian mengeluarkan Arahan Pengawal Bekalan kepada pemilik stesen minyak untuk memantau dan melaporkan kenderaan yang dikesan melakukan pembelian berulang serta arahan itu berkuat kuasa esok sebaik sesi libat urus pemilik stesen minyak di seluruh Kelantan diadakan.
“Selain itu, kementerian saya juga akan memperkukuh kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan dalam melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan bagi mengesan kenderaan yang telah diubah suai,” katanya.
Armizan berkata ini meliputi pengubahsuaian kenderaan bagi tujuan penyeludupan merentasi sempadan dan penyelewengan melibatkan penjualan diesel bersubsidi kepada industri penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mengulas mengenai Ops Tiris 3.0, beliau berkata ops ini diteruskan sehingga hujung tahun ini.
FORD sedang menjalankan panggilan semula (recall) bagi Mustang 2024 berikutan isu hos klac yang mungkin cair, menyebabkan kebocoran dan menghalang model manual dari membuat pertukaran gear.
Ya, ini bermakna hanya Ford Mustang versi manual yang terlibat dalam recall ini. Sebanyak 1,861 unit terlibat berkemungkinan tidak mempunyai nat khas atau ianya dipasang dengan cara tidak betul. Nat tersebut menyambungkan hos klac kepada bahagian firewall.
Jika hos itu bersentuhan dengan komponen ekzos, ia boleh cair lalu membocorkan bendalir klac di dalamnya. Jika ianya berlaku di bawah hud berdekatan sumber haba, bendalir itu juga boleh berasap dan menyebabkan kebakaran, menurut laporan recall.
Pemandu-pemandu mungkin mengalami kesukaran menukar gear, dan enjin boleh tersengguk, dan ini boleh menjurus kepada kemalangan.
Ford mula mengesan isu ini pada 30 April 2024 apabila menyiasat dua laporan kebakaran dari ruang enjin untuk model-model manual.
Pasukan Critical Concern Review Group dari Ford memeriksa kedua-dua kenderaan dan menemui puncanya. Ford berkata mereka sedar akan laporan kemungkinan kebakaran atau berasap, tetapi tiada sebarang kecederaan atau kemalangan dilaporkan berkaitan isu ini.
Ford akan mula menghubungi pemilik-pemilik pada 17 Jun ini. Mereka akan meminta pemilik membawa Mustang mereka ke pengedar berhampiran, juruteknik akan memerika dan membaiki komponen berkaitan jika perlu.
LANZANTE kembali dengan sebuah lagi projek 930 Turbo. Kali ini, projek TAG Championship adalah lebih ringan dan lebih berkuasa dari sebelumnya.
Projek restomod terbaharu dari syarikat UK ini hanya akan menghasilkan tiga unit 911 dengan enjin F1, setiap satunya mewakili tiga kemenangan F1 oleh McLaren pada tahun 1980-an.
Setiap 930 Turbo akan disumbat dengan enjin 1.5-liter twin-turbo V6 TAG TTE P01. Enjin F1 ini ditala semula oleh Cosworth dengan komponen dinaik taraf seperti omboh, injap, dan sesondol.
Ia juga mendapat turbo titanium lebih ringan, yang disahkan oleh McLaren. Selain itu, ia diberikan kotak udara baharu, penyejukan lebih baik, dan sistem ekzos lebih mantap.
Bagi mengawal penghantaran kuasa optima, enjin ini dikawal oleh ECO serba baharu dari Cosworth dan ini memberikannya 625hp, dan mampu berputar sehingga 10,250rpm.
Kuasa akan disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear 993 asal dengan enam kelajuan, tetapi dengan nisbah khas. Ini membolehkan 911 restomod ini mencapai kelajuan 320km/j.
Sementara itu, sistem brek pula dibekalkan oleh cakera karbo-seramik dengan empat omboh di depan dan belakang. Rim adalah magnesium bersaiz 18-inci, dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 4.
Tidak cukup dengan enjin berkuasa, Lanzante ‘membuang’ lagi berat dari 911 ini. Mereka menggantikan komponen asal hud, pintu, spoiler, bumbung, bampar, dan splitter depan dengan bahan gentian karbon. Ia kini 430kg lebih ringan dari asal.
Bahagian dalam juga diberikan diet. Tiada lagi cermin dan tingkap berkuasa elektrik. Tetapi aspek keselesaan lain tidak diabaikan, terdapat sistem penghawa dingin jenis ringan. Tempat duduk juga adalah Recaro ringan dengan harness enam-poin.
Tiada sebarang harga didedahkan, tetapi dengan projek restomod tiga unit bersama komponen bertaraf perlumbaan, sudah tentu ia tidak murah.
HONDA Prelude membuat kemunculan mengejut di Tokyo Motor Show tahun lepas. Menurut Honda, model coupe itu akan menjadi realiti, dan ia terus menyemarakkan lagi spekulasi dalam kalangan peminat dan pemerhati automotif.
Berikut adalah beberapa perincian baharu yang kami ketahui. Jom lihatkan!
Tidak begitu sporti
Honda Prelude generasi baharu mungkin tidak begitu sporti seperti yang disangkakan. Malah, ia akan dipacu enjin hibrid.
Output adalah sekitar 200hp. Dan ketua jurutera Honda, Tomoyuki Yamagami berkata, Prelude baharu ini “tidak akan menjadi kereta paling sporti, paling lincah”.
Guna nama apa?
Kereta coupe sports ini akan terus menggunakan nama Prelude. Honda menggunakan nama ini untuk model coupe sports dua-pintu sejak 1978 hingga 2001.
Prelude baharu ini akan menggantikan Civic Coupe dan Accord Coupe. Ia juga akan menjadi antara model terawal untuk EV Honda akan datang.
Cantik ke?
Model konsep dalam gambar ini memberi gambaran jelas untuk kedatangan semula Honda dalam segmen coupe dua-pintu. Jika dilihat pada sejarah seperti model Civic, ia tidak lari jauh dari model konsep.
Jadi, kita boleh jangkakan perkara sama untuk Prelude ini.
Model konsep ini menampilkan rupa klasik hud depan yang panjang dan bahagian belakang pendek. Gril depan diapit oleh lampu yang nipis, manakala lampu belakang adalah jenis bar memanjang, terletak di bawah spoiler hitam.
Seperti biasa, perangai Honda tidak menunjukkan bahagian dalam kereta mereka. Begitu juga dengan Prelude ini, cerminnya digelapkan. Kami bayangkan kabinnya mempunyai papan pemuka seperti Civic FE.
Guna enjin apa?
Seperti disebut tadi, Prelude baharu akan menjadi model hibrid. Honda mengesahkan bahawa coupe ini bakal dilengkapi dengan enjin 2.0-liter 4-silinder yang sama seperti Civic e:HEV RS, tetapi ditambah dengan dua motor elektrik.
Bila mula dijual?
Honda dijangka mengeluarkan model ini pada pertengahan atau lewat 2025, sebab itu sesetengah pasaran melabelkan model ini sebagai Prelude 2026. Masih ada masa untuk kumpul duit!
Berapa harganya?
Bercakap pasal duit, berapa pula harganya nanti? Menurut laporan-laporan media antarabangsa, Honda mahu meletakkan Prelude lebih premium dari Civic dan Toyota GR86.
Civic paling mahal di Malaysia berharga RM167,900 untuk e:HEV RS. Toyota GR86 pula berharga hampir RM300,000. Kami syak Honda Prelude ini akan berharga antara RM290,000 hingga RM350,000.
Apa pendapat anda mengenai Prelude setakat ini, menarik? Atau lebih baik tambah sikit dan terus ambil Civic Type R FL5?
CHERY Auto Malaysia mengembangkan lagi kehadiran mereka di negara ini dengan pengenalan bilik pameran dan pusat servis terbaharu mereka di Nilai, Negeri Sembilan.
Dimiliki dan dioperasikan oleh SS Mobile Sdn Bhd, pusat servis 3S itu menampilkan ruang pameran kenderaan-kenderaan Chery, ruang lounge untuk pelanggan, pusat servis, serta bengkel.
Pusat servis juga mempunyai ruang mencukupi dan kenderaan anda diservis oleh juruteknik Chery yang terlatih.
“Dengan pembukaan Chery Nilai, kami kini dapat berkhidmat kepada pelanggan di Negeri Sembilan dengan lebih baik, kata Soon Boon Ping, Pengarah Jaringan Chery Auto Malaysia.
“Pelanggan-pelanggan yang sebelum ini terpaksa memandu dari Nilai ke Seremban bagi menghantar kenderaan mereka untuk servis tidak perlu lagi berbuat demikian,” tambahnya.
Bilik pameran baharu ini terletak di PT 10848, Jalan Desa Cempaka, Taman Desa Cempaka, 71800 Nilai, Negri Sembilan dan mempunyai keluasan 310 meter persegi.
Bilik pameran dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang termasuk Ahad dan cuti umum. Tetapi pusat servis dibuka dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 6 petang. Untuk Sabtu, ia dibuka separuh hari sahaja, iaitu 9 pagi hingga 1 petang.