All posts by Amirul Mukminin

Denza D9 sah masuk pasaran Malaysia suku pertama 2025

Pada Oktober lalu, sub-jenama premium di bawah naungan BYD iaitu Denza telah disahkan bakal memasuki pasaran Malaysia, dengan Sime Darby Auto Imports sebagai pengimport rasmi dan BYD Malaysia sebagai pengedar rasmi.

Model pertama yang akan ditawarkan adalah Denza D9, yang akan tiba ke pasaran tempatan sekitar suku pertama 2025. Ia akan bersaing dengan model-model seperti Zeekr 009, Maxus Mifa 9 dan juga duo Toyota Alphard/Vellfire.

Spesifikasi untuk pasaran Malaysia masih belum diketahui namun kami boleh sahkan yang BYD Malaysia akan membawa masuk versi elektrik-bateri (BEV) memandangkan setakat ini hanya model itu yang boleh didapati dalam versi pemanduan sebelah kanan.

Di China, selain versi BEV, D9 juga boleh didapati dalam versi PHEV yang menampilkan enjin 1.5-liter.

Untuk versi BEV, terdapat dua konfigurasi trenkuasa iaitu pacuan roda depan (FWD) dan pacuan semua roda (AWD). Varian FWD menampilkan motor elektrik tunggal yang menghasilkan 313 PS (230 kW) dan 360 Nm, dan boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.5 saat.

Sementara itu, varian AWD dengan motor elektrik berkembar mempunyai 374 PS (275 kW) dan 470 Nm, membolehkan ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 6.9 saat sahaja.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan bateri LFP berkapasiti 103 kWj yang menawarkan jarak gerak WLTP sejauh 520 km untuk FWD dan 480 km untuk AWD.

Dari segi saiz, D9 mempunyai ukuran panjang 5,250 mm, lebar 1,960 mm, tinggi 1,920 mm dan tapak roda 3,110 mm. Ini menjadikannya lebih panjang berbanding Zeekr 009 tetapi tapak rodanya 95 mm lebih pendek berbanding pesaing terdekatnya itu.

MPV elektrik itu mampu memuatkan sehingga tujuh orang penumpang (dengan ketinggian sehingga 180 cm) dengan konfigurasi tempat duduk 2-2-3 yang menampilkan kerusi kapten yang boleh digelongsor di barisan kedua.

Ruang kargonya pula dikatakan boleh memuatkan tujuh beg pakaian berukuran 20 inci dan tujuh beg galas.

Sesuai dengan statusnya sebagai MPV premium, D9 menampilkan pelbagai ciri mewah seperti upholsteri kulit Nappa, fungsi penyejuk dan pemanas, fungsi urut, bumbung kaca panoramik, dan peti sejuk kecil berkapasiti 7.5 liter.

Untuk sistem infohibur pula, terdapat panel instrumen digital 10.25 inci, skrin sentuh 15.6 inci, sistem Dynaudio dengan 14 pembesar suara dan tiga pengecas tanpa wayar 50W.

Harga untuk pasaran Malaysia juga belum diumumkan. Di China, D9 BEV dijual pada harga antara 379,800 yuan dan 469,800 yuan (RM233,648 hingga RM289,015).

Apakah itu WLTP, NEDC dan CLTC?

Apabila bercakap tentang kenderaan elektrik (EV), terdapat tiga akronim yang kita mungkin akan temui iaitu WLTP, NEDC dan CLTC.

Apakah maksud ketiga-tiga akronim ini?

Untuk pengetahuan anda, akronim-akronim ini merujuk kepada piawaian ujian yang digunakan dalam pengiraan jarak gerak EV.

Apakah pula perbezaan antara WLTP, NEDC dan CLTC? Jom kita rungkaikan satu persatu.

WLTP (Worldwide Harmonised Light Vehicle Test Procedure)

Sistem WLTP diperkenalkan pada 2017 bagi menggantikan kaedah pengujian NEDC. Ia memperkenalkan prosedur baharu yang disasarkan untuk menguji kenderaan di bawah kondisi yang lebih realistik bagi mendapatkan keputusan yang lebih hampir dengan pemanduan dunia sebenar.

WLTP mengambil kira beberapa faktor termasuk kelajuan pemanduan yang berbeza, kadar pecutan dan suhu. Salah satu perbezaan utama antara WLTP dan NEDC adalah WLTP melibatkan kitaran pemanduan yang lebih lama, julat kelajuan yang lebih luas (47-132 km/j), serta penggunaan elektronik seperti pendingin hawa, radio dan sebagainya.

Ini menjadikan WLTP lebih tepat berbanding NEDC yang cenderung untuk memberikan anggaran jarak gerak berlebihan sebanyak 25% hingga 30%.

NEDC (New European Driving Cycle)

NEDC diperkenalkan pada sekitar 1980an dan dikemas kini kali terakhir pada 1997. Ya, kaedah pengujian ini sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Bukan itu sahaja, ia juga dianggap tidak tepat kerana pengumpulan data dilakukan di dalam kondisi yang ideal di dalam makmal.

Ia merangkumi dua bahagian. Bahagian pertama yang dijalankan selama 13 minit mensimulasikan pemanduan stop-and-go di dalam kawasan bandar. Bahagian kedua pula melibatkan pemanduan pada kelajuan maksimum 120 km/j.

Oleh kerana ujian NEDC dijalankan pada kelajuan lebih rendah dan tidak mengambil kira faktor-faktor seperti penggunaan pendingin hawa dan pemanduan mendaki, ramai pengguna mendapati jarak gerak NEDC lebih tinggi berbanding apa yang mereka dapat dalam situasi dunia sebenar.

CLTC (China Light-Duty Vehicle Test Cycle)

CLTC dibangunkan oleh Pusat Teknologi & Penyelidikan Automotif China (CATARC) bagi menggantikan prosedur pengujian Eropah. Ia direka berdasarkan tabiat pemandu di China dan kondisi di negara itu, dan sering mempunyai jarak yang lebih optimistik.

Ia merangkumi tiga fasa ujian iaitu pemanduan perlahan, sederhana dan laju. Proses pengujian dilakukan selama 30 minit dan kereta dipandu sejauh 14.5 km secara keseluruhan.

Terdapat beberapa perbezaan antara WLTP dan CLTC. Salah satunya, tempoh melaju dalam ujian CLTC dikatakan dua kali ganda lebih panjang berbanding WLTP. Bukan itu sahaja, kitaran ujian CLTC melibatkan lebih banyak hentian, manakala kelajuan maksimumnya juga lebih rendah iaitu 114 km/j.

Ducati Panigale V4 generasi ketujuh tiba di Malaysia – RM182,900

Ducati Panigale V4 generasi ketujuh, yang diperkenalkan buat pertama kali di acara World Ducati Week di Misano, Itali pada Julai lalu, kini sudah pun tiba di pasaran Malaysia.

Hadir dengan pelbagai pembaharuan yang melibatkan aspek kosmetik, prestasi, dan teknikal, Panigale V4 dijual pada harga RM182,900.

Memacu Panigale V4 adalah enjin Desmosedici Stradale 1,103 cc V4 90 darjah yang dibangunkan dengan teknologi dari MotoGP. Ia mampu menjana 216 hp pada 13,500 rpm dan 120.9 Nm pada 11,250 rpm, 0.5 hp lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Menurut Ducati, enjin baharu ini bukan sahaja lebih ringan sebanyak 1 kg, malah mematuhi piawaian Euro 5+ yang lebih ketat.

Lengan ayun sebelah yang menjadi identiti Panigale V4 sejak 2018 kini digantikan dengan Ducati Hollow Symmetrical Swingarm yang mengurangkan ketegaran sisi (lateral stiffness) sebanyak 37%, memberikan cengkaman mekanikal dan kestabilan lebih baik.

Untuk suspensi, Panigale V4 dilengkapi dengan Showa Big Piston Fork (BPF) yang digandingkan dengan peredam stereng dan penyerap hentak Sachs.

Panigale V4 S pula mendapat sistem Ducati Electronic Suspension (DES) 3.0 yang merangkumi fork Öhlins NPX-30, penyerap hentak Öhlins TTX36 dan peredam stereng Öhlins.

Sistem brek terdiri daripada angkup monobloc Brembo Hypure yang merupakan evolusi kepada Stylema. Ia 60 gram lebih ringan dan mempunyai ciri pelepasan haba yang lebih baik.

Untuk sistem elektronik pula, terdapat platform enam paksi dikenali sebagai Ducati Vehicle Observer (DVO) yang merangkumi ciri-ciri seperti berikut:

  • Ducati Traction Control (DTC) DVO
  • Ducati Wheelie Control (DWC) DVO
  • Ducati Slide Control (DSC)
  • Ducati Power Launch (DPL) DVO
  • Engine Brake Control (EBC)

Turut disertakan adalah sistem pengurusan brek Race e-CBS, Ducati Quick Shift (DQS) 2.0 dan paparan warna berukuran 6.9 inci dengan resolusi 1280 x 480.

Dari segi penggayaan, Ducati berkata fairing rekaan baharu ini dapati mengurangkan rintangan aerodinamik sebanyak 4% serta meningkatkan aliran udara ke radiator.

Tangki turut direka semula, menampilkan pad sisi untuk membantu penunggang mengekalkan posisi mereka semasa beraksi di litar, manakala pelana dipanjangkan sebanyak 35 mm bagi tujuan yang sama.

Aprilia RS 457 dilancarkan di Malaysia, harga dari RM33,900

Pasaran motosikal bersaiz sederhana di Malaysia kini semakin menarik dengan kehadiran pesaing terbaru iaitu Aprilia RS 457.

Diperkenalkan di peringkat global pada September tahun lalu, RS 457 dibangunkan dengan formula yang sama dengan RS 660.

Ini boleh dilihat dengan jelas menerusi reka bentuknya, di mana RS 457 diberikan elemen-elemen yang sama seperti RS 660 seperti tiga lampu LED yang mengintegrasikan lampu nyalaan siang LED dan lampu isyarat membelok, double fairing dan ekzos pada bahagian ‘perut’.

Nadi RS 457 adalah enjin silinder kembar selari DOHC bersesaran 457 cc yang menghasilkan kuasa sebanyak 47 hp dan 43.5 Nm. Antara teknologi yang ditampilkan adalah sistem penyejukan cecair dan empat injap bagi setiap silinder.

Seperti RS 660, model ini dibina menggunakan kerangka aluminium dengan crankcase yang berfungsi sebagai elemen penggalas beban. Selain memberikan prestasi tunggangan dinamik, ini memastikan berat RS 457 kekal pada 175 kg.

Kerangka itu digandingkan dengan fork 41 mm dengan jarak pergerakan 120 mm di hadapan, serta penyerap hentak tunggal dengan jarak pergerakan 130 mm di belakang. Kedua-duanya mempunyai pelarasan pra-muatan.

Untuk brek, RS 457 menggunakan cakera berukuran 320 mm di depan dan 220 mm di belakang, digandingkan dengan angkup radial empat piston keluaran ByBre.

Untuk tayar pula, ia didatangkan dengan rim berukuran 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang.

Ciri elektronik pula terdiri daripada kluster instrumen TFT lima inci, ABS dwi saluran, sistem Ride-by-Wire, tiga mod tunggangan, Traction Control dengan tiga tahap pelarasan. Quickshifter ditawarkan sebagai pilihan pada harga RM399.

Harga jualan bermula dari RM33,900 untuk warna Prismatic Dark dan Opalescent Light, dan RM35,900 untuk Racing Stripes.

Triumph Trident 660 versi 2025 masuk pasaran Malaysia, harga RM46,900

Diperkenalkan kali pertama kepada dunia pada awal bulan ini, Triumph Trident 660 baharu kini sudah pun memasuki pasaran Malaysia dengan harga jualan bermula dari RM46,900.

Model tahun 2025 ini tampil dengan pelbagai penambahbaikan yang melibatkan teknologi berfokuskan penunggang, sistem suspensi dan juga pilihan warna dan grafik.

Sebagai maklum balas kepada permintaan pelanggan, Trident 660 kini tampil standard dengan Optimised Cornering ABS, Traction Control, Triumph Shift Assist dan Cruise Control.

Sementara itu, paparan TFT berwarna dengan sambungan Bluetooth kini dilengkapi dengan sistem navigasi dan kefungsian telefon bagi memudahkan lagi penunggang.


Di samping pendikit ride-by-wire dan mod tunggangan Road dan Rain yang sedia ada, Trident 660 turut mendapat mod ketiga iaitu Sport yang memberikan prestasi yang lebih responsif.

Untuk sistem suspensi, fork Showa 41 mm pada bahagian depan kini dinaik taraf dengan redaman ‘piston besar’ Showa SFF-BF yang memberikan keselesaan dan kawalan yang lebih tinggi.

Untuk bahagian belakang, Trident 660 menggunakan penyerap hentak monoshock RSU dengan pelarasan pra-muatan, juga dari Showa. Turut disertakan adalah sistem brek Nissin dengan cakera berkembar 310 mm dan tayar Michelin Road 5.

Akhir sekali, Triumph memperkenalkan tiga pilihan warna dan grafik baharu untuk Trident 660 iaitu Cosmic Yellow, Cobalt Blue dan Diablo Red. Ia diserlahkan lagi dengan trim Sapphire Black dan jalur berwarna putih.

Selain itu, terdapat juga top yoke dan pedal brek baharu yang diperbuat daripada aluminium tempaan.

Tiada perubahan untuk enjin. Seperti sebelum ini, Trident 660 dikuasakan oleh enjin tiga silinder DOHC bersesaran 660 cc yang menghasilkan 81 PS pada 10,250 rpm dan 64 Nm pada 6,250 rpm.

MG5, ada buruk dan baiknya – Pandu Uji Ringkas

Dari pertama kali ia dipertontonkan di Malaysia pada Ogos lalu, hingga ke pelancarannya kira-kira dua bulan kemudian, MG5 dilihat menjadi buah mulut netizen.

Ada yang memuji reka bentuknya, ada juga tertarik dengan harganya yang setanding dengan sedan-sedan segmen B walaupun mempunyai saiz yang lebih hampir dengan sedan segmen C.

Walau bagaimanapun, majoriti komen yang dilontarkan adalah mengenai aspek keselamatan kereta ini. Bagi mereka yang terlepas, MG5 menerima penarafan sifar bintang dari Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP) pada tahun lalu.

Ketua Pemasaran SAIC Motor Malaysia, Phang Rick Kee baru-baru ini tampil memberikan penjelasan mengenai isu ini. Menurutnya, model yang diuji oleh ANCAP berbeza dengan model yang dijual di Malaysia.

Untuk pasaran Australia, MG5 diimport dari China dan tidak dilengkapi dengan pre-tensioner, manakala pasaran Malaysia mendapat MG5 dari Thailand dan versi ini didatangkan dengan pre-tensioner bagi kesemua tali pinggang keledar.

Sejujurnya, penulis tidak mempunyai harapan yang tinggi terhadap MG5, apatah lagi apabila ia diselubungi isu keselamatan yang boleh dikatakan agak serius ini.

Tetapi setelah memandunya sejauh kira-kira 800 km dari Kuala Lumpur ke Desaru dan balik, penulis mendapati kereta ini ada kelebihannya yang tersendiri dan wajar dipertimbangkan sekiranya anda ingin sedang mencari sedan segmen B.

Yang pertama, mereka yang sudah bosan dengan jenama T, H mahupun N, wajar melihat MG5 dengan lebih dekat. Penulis mendapati ia nampak lebih cantik ketika menyusur di jalan raya berbanding di atas pentas pelancaran atau di bilik pameran, terutamanya dalam warna Nuclear Yellow yang kelihatan sangat memukau di bawah sinaran matahari.

Penulis secara peribadi begitu tertarik dengan rekaan bahagian depannya yang kelihatan tidak ubah seperti sedan sport dari Maserati. Rekaan bumbung ala coupe pula memberikan sedan ini profil sisi yang menarik cuma rim aloi ‘Tomahawk’ berukuran 17 inci nampak agak kecil untuk kereta dengan saiznya.

Dari belakang, pinggul yang lebar (boleh dilihat dari cermin sisi) membuatkan MG5 nampak tegap dan stabil di atas jalan raya. Bagaimanapun, penulis kurang berkenan dengan rekaan lampu belakangnya yang jelas ditiru dari Peugeot.

Di dalam, butang dan skrin sentuh bukan sahaja diletakkan pada posisi yang mudah untuk dicapai, malah dihalakan ke arah pemandu. Cuma sebelum memandu, penulis memerlukan masa untuk mencari posisi pemanduan paling ergonomik kerana stereng tidak mempunyai pelarasan teleskopik dan ketinggian kerusi tidak boleh diubah.

Bukan itu sahaja, penulis juga mengalami sedikit kesukaran untuk melihat keadaan trafik menerusi cermin pandang belakang kerana bumbung coupenya membuatkan cermin belakang kereta ini agak kecil. Ini diburukkan lagi dengan tiga perehat kepala yang tersembul keluar.

Sebagai penumpang belakang, penulis boleh katakan yang kerusi belakang selesa, tidak terlalu tegak dan menawarkan sokongan peha yang cukup. Kaki juga boleh dilunjurkan ke depan dengan mudah, terima kasih kepada tapak rodanya yang agak panjang iaitu 2,680 mm.

Senarai kelengkapannya agak memuaskan. Selain skrin sentuh, anda mendapat kluster instrumen digital, Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar, pendingin hawa automatik dengan corong belakang, pelarasan enam hala untuk tempat duduk pemandu dan bumbung suria.

Dari segi keselamatan, terdapat enam beg udara dan sistem MG Pilot yang merangkumi ciri-ciri seperti Amaran Keluar Lorong, Bantuan Penukaran Lorong, Sistem Pemantauan Titik Buta, Amaran Pelanggaran Belakang dan Amaran Lintasan Trafik Belakang. Malangnya, tiada Brek Kecemasan Autonomi.

Pada pendapat penulis, kelengkapan yang diberikan agak berbaloi untuk sebuah kereta yang berharga RM87,000 selepas diskaun. Cuma ada beberapa perkara yang penulis tidak begitu gemar. Contohnya, kelajuan kipas pendingin hawa hanya boleh dilaraskan menerusi skrin sentuh.

Selain itu, hanya ada satu corong pendingin hawa untuk penumpang belakang. Ini tidak menjadi masalah bagi mereka yang mempunyai seorang anak sahaja tetapi bagi mereka yang mempunyai dua atau tiga, perebutan mungkin berlaku.

Bagaimana pula dengan pemanduannya? 114 PS dan 150 Nm bukanlah angka yang boleh dilabel sebagai ‘mengagumkan’ dan ini terbukti benar kerana MG5 jelas terasa perlahan dan berat ketika mula bergerak. Mereka yang kurang sabar akan menekan pedal dengan agresif dan ini akan menghasilkan ngauman yang agak kurang enak didengari.

Namun selepas jarum melepasi angka 60 km/j, pecutan terasa lebih lancar dan kereta serta merta terasa lebih ringan. Menerusi pengalaman penulis, MG5 tidak ada masalah untuk mencapai kelajuan tinggi cuma anda perlu sabar sedikit.

Di sini jelaslah yang karakter pemanduan MG5 lebih sesuai untuk pemandu yang santai dan tenang. Jika anda tidak tergolong dalam kumpulan ini, lebih baik tunggu kehadiran versi turbo. Ya, ia akan tiba ke pasaran Malaysia namun tarikh sebenar masih belum diketahui.

Walaupun prestasi pecutannya tidak mengujakan, ada tiga perkara berkaitan pemanduan MG5 yang mengejutkan penulis.

Pertama sekali, kadar Noise, Vibration and Harshness (NVH). Walaupun pada kelajuan melebihi hadlaju kebangsaan, penulis mendapati bunyi angin dari luar, terutamanya pada cermin sisi dan bahagian atas bingkai tingkap, dihalang dengan baik.

Walau bagaimanapun, tayar Maxxis yang dibekalkan agak bising terutamanya ketika melalui permukaan jalan yang tidak rata. Gantikannya dengan tayar yang lebih berkualiti dan anda pasti boleh merasai perbezaannya.

Yang kedua adalah ride and handling. Bagi penulis, jurutera MG nampaknya berjaya mencapai keseimbangan antara keselesaan dan prestasi.

Ketika melalui Lebuhraya Desaru yang agak berombak dan kurang rata, penulis mendapati sistem suspensi kereta ini berupaya meminimumkan hentakan atau lantunan dengan baik. Kawalan badannya juga amat memuaskan ketika kereta dipandu pada kelajuan tinggi – tidak ada sebarang ketidakstabilan yang boleh membuatkan pemandu rasa kurang yakin.

Di selekoh, penulis boleh merasakan sedikit olengan badan tetapi ia masih pada tahap yang boleh diterima. Sekali lagi, MG5 nampaknya cukup sesuai untuk mereka yang suka memandu secara santai.

Yang terakhir adalah kadar kecekapan bahan apinya. Boleh dikatakan 70% daripada perjalanan pergi dan pulang dipandu pada kelajuan melebihi 110 km/j, namun enjin NA 1.5-liter empat silinder itu masih mampu memberikan bacaan sekitar 7.5 l/100 km. Penulis dan dua rakan media lain tiba di Kuala Lumpur dengan jarak berbaki hampir 200 km.

Konklusi

Seperti yang penulis katakan, MG5 ada kelebihannya yang tersendiri dan wajar diberi pertimbangan bagi mereka yang sedang mencari sedan segmen B dengan harga berpatutan. Namun harus diakui bahawa persaingan dalam segmen ini sangat sengit dan berdasarkan pemerhatian penulis, isu berkaitan penarafan ANCAP membuatkan keadaan lebih sukar untuk MG5.

Bilik pameran flagship Neta dibuka di Ampang

Neta Auto dan KCM Group baru-baru ini merasmikan pelancaran bilik pameran flagship pertama Neta di Malaysia yang terletak di Ampang.

Bilik pameran ini merupakan sebahagian daripada misi Neta untuk menjadikan EV pintar lebih mudah diakses, sambil meningkatkan pengalaman pembelian kereta secara keseluruhan.

Terletak di tengah-tengah kawasan kedutaan Kuala Lumpur, bilik pameran berkeluasan 2,322 meter persegi ini menampilkan rekaan minimalis dengan dinding kaca dan kemasan dalam warna kelabu dan tona kayu Nordic.

Selain ruang pameran kenderaan yang menempatkan model-model terkini Neta, ia juga mempunyai pelbagai kemudahan lain termasuk bahagian ruangan, lounge, serta perkhidmatan selepas jualan yang serba lengkap.

Menurut Neta Auto, pembukaan bilik pameran flagship Ampang ini menandakan satu kejayaan dalam strategi pengembangannya untuk pasaran Malaysia.

Syarikat itu merancang untuk membuka 20 cawangan pengedar menjelang akhir tahun ini, merangkumi kawasan-kawasan penting seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Malaysia Timur.

Di samping itu, Neta juga sedang menaik taraf cawangan pengedar sedia ada kepada kemudahan 3S bagi meningkatkan pengalaman pelanggan dalam saluran jualan dan servis mereka.

“Setiap lokasi baharu mewakili langkah penting dalam mencapai matlamat kami: untuk menjadikan mobiliti pintar boleh diakses oleh semua orang,” kata Zhou Jiang, Naib Presiden Neta Auto.

Bersempena dengan pelancaran bilik pameran ini, Neta Auto turut mengadakan majlis penyerahan 50 unit pertama Neta X kepada pelanggan di Malaysia.

Dilancarkan pada Julai lalu, Neta X boleh didapati dalam tiga varian iaitu 400 Comfort (RM119,888), 400 Luxury (RM127,888) dan 500 Luxury (RM135,888).

Varian-varian 400 didatangkan dengan bateri berkapasiti 52 kWj yang memberikan jarak pandu sehingga 323 km, manakala varian 500 dengan bateri 62 kWj boleh dipandu sejauh 410 km dengan satu cas penuh.

Pelanggan yang memilih Neta X mendapat pengecas Neta Wallbox secara percuma atau kredit pengecasan percuma selama setahun oleh chargeEV.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan pakej servis percuma selama dua tahun atau 40,000 km. Promosi istimewa ini sah sehingga 31 Oktober 2024.

Jaecoo Malaysia jelaskan kelebihan PHEV berbanding HEV

Jaecoo Malaysia baru-baru ini mempertontonkan SUV off-road premium Jaecoo J7 Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV), dengan lebih daripada 3,000 pengunjung direkodkan dalam tempoh hanya lima hari.

Walaupun PHEV dan kenderaan elektrik hibrid (HEV) adalah perkara biasa, interaksi Jaecoo dengan pengunjung di acara pra-tonton itu menunjukkan masih terdapat peluang untuk meningkatkan pemahaman tentang PHEV bagi membantu pemandu membuat keputusan yang bijak.

Walaupun kedua-dua teknologi PHEV dan HEV menyumbang kepada mobiliti dengan pelepasan karbon yang lebih rendah, PHEV direka untuk memberikan fleksibiliti, kecekapan, dan pengalaman pemanduan yang lebih baik.

Jarak lebih jauh dengan kuasa elektrik

PHEV menawarkan perjalanan yang lebih panjang menggunakan tenaga elektrik sahaja berbanding HEV, yang bergantung pada kapasiti bateri yang jauh lebih kecil.

Sebagai contoh, dalam perjalanan harian atau pemanduan di bandar, PHEV boleh bergerak sehingga 40 hingga 50 km (bergantung kepada model) tanpa menggunakan satu titis petrol. Ini bermakna pemandu dapat mengalami pemanduan tanpa pelepasan yang lebih senyap dan lebih efisien untuk sebahagian besar perjalanan, menjadikannya ideal untuk persekitaran bandar. Jarak bateri J7 PHEV adalah 88 km berdasarkan piawaian WLTP.

Kemudahan mengecas di rumah

PHEV menawarkan fleksibiliti untuk mengecas kenderaan di rumah atau di stesen pengecasan awam. HEV, sebaliknya, hanya boleh mengecas bateri mereka melalui brek janaan semula atau kuasa enjin, sekaligus menghadkan potensi pemanduan elektrik mereka.

Dengan PHEV, pemilik boleh bangun setiap pagi dengan bateri yang sudah penuh, membolehkan mereka melakukan urusan harian hanya dengan menggunakan elektrik. Ini dapat membantu mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan dengan ketara.

Prestasi ditingkatkan dengan kuasa berganda

PHEV membolehkan pertukaran lancar antara kuasa elektrik dan petrol apabila perlu, menawarkan pecutan dan prestasi yang lebih baik berbanding HEV. Dalam situasi di mana tork segera diperlukan, seperti memotong atau mendaki bukit, motor elektrik PHEV boleh memberikan kuasa tambahan dengan segera, menjadikannya pilihan yang lebih versatil untuk pemanduan bandar dan perjalanan jarak jauh.

Tidak perlu bergantung pada bahan api untuk perjalanan jarak pendek

Berlainan dengan HEV, yang perlu menggunakan petrol selepas pemanduan elektrik yang singkat, PHEV boleh beroperasi dengan kuasa elektrik untuk kebanyakan perjalanan harian yang lebih pendek, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada bahan api secara signifikan. Ini memberikan kebebasan kepada pemandu untuk memilih elektrik untuk perjalanan jarak pendek dan petrol untuk perjalanan jarak jauh, tanpa mengorbankan prestasi.

Impak alam sekitar

Oleh kerana PHEV boleh beroperasi untuk tempoh yang panjang tanpa bergantung pada enjin pembakaran dalaman, ia menyumbang kepada pengurangan pelepasan. HEV, walaupun cekap bahan api, masih memerlukan penglibatan enjin yang berterusan, menjadikan PHEV pilihan yang lebih bersih dalam banyak senario pemanduan.

J7 PHEV bakal dilancarkan pada tahun ini, dengan harga anggaran RM170,000 bagi varian pacuan dua roda dan RM180,000 bagi pacuan semua roda.

Stellantis bina hub alat ganti serantau di Malaysia, dijangka beroperasi 2025

Stellantis telah mengumumkan penubuhan Hub Alat Ganti Serantau di Malaysia. Hub itu merupakan komponen penting dalam strategi Stellantis untuk mempergiatkan usaha lokalisasi serta mengukuhkan kehadirannya dalam jangka masa panjang di rantau India dan Asia Pasifik, termasuklah Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Stellantis ASEAN, Daniel Gonzalez berkata, “Rantau India dan Asia Pasifik merupakan enjin pertumbuhan ketiga bagi Stellantis. Hub Alat Ganti Serantau ini bakal menjadi satu aset penting dalam strategi rantaian bekalan serantau kami.”

“Pelaburan ini membuktikan komitmen jangka panjang Stellantis dalam mengukuhkan pertumbuhan dan kehadiran kami bukan sahaja di rantau ini, malah menyumbang kepada memperkasakan kedudukan Malaysia sebagai satu hub automotif serantau,” tambah beliau.

Dijadual memulakan operasi pada suku pertama 2025, hub baharu itu direka untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat dari 20 buah negara di rantau ini, termasuk pasaran-pasaran penting seperti Malaysia.

Hub ini juga merupakan sebahagian daripada strategi Stellantis untuk meningkatkan perkhidmatan selepas jualannya dengan mengurangkan tempoh tidak dapat beroperasi, selain memastikan akses yang efisien serta kebolehdapatan alat ganti otomotif serta komponen kepada para pengedar dan pelanggan.

Hub itu akan menempatkan alat ganti otomotif serta komponen untuk semua jenama Stellantis seperti Peugeot, Citroën, Alfa Romeo, Jeep, RAM, Leapmotor dan banyak lagi.

“Pembukaan gudang alat ganti serantau kami di Malaysia mencipta satu pencapaian yang signifikan dalam komitmen kami kepada pelanggan, ketika kami ingin terus memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan di rantau India dan

“Asia Pasifik. Terletak di Zon Perdagangan Bebas yang strategik di Malaysia, gudang alat ganti serantau ini akan membolehkan kami untuk menambah baik aspek kebolehdapatan alat ganti, mengurangkan tempoh menunggu dan meningkatkan servis secara keseluruhannya,” kata Ketua Alat Ganti & Servis Stellantis India & Asia Pasifik, Olivier Torchet.

Pakar ekonomi cadang penyasaran subsidi RON95 mengikut kapasiti enjin

Kerajaan disaran melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 mengikut jenis kenderaan berbanding pendapatan isi rumah atau individu.

Menurut Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, konsep itu seperti pengelasan kenderaan untuk bayaran tol di lebuh raya.

Tambah beliau lagi, dalam konteks subsidi petrol, pengkelasan dibuat mengikut kapasiti enjin kenderaan.

“Lumrah orang pendapatan rendah akan guna motosikal sebagai kenderaan harian sementara kebanyakan individu lebih kaya akan menggunakan kenderaan dengan kapasiti enjin lebih besar.

“Sekiranya orang kaya menggunakan Perodua Kancil, mereka layak mendapat subsidi disebabkan menggunakan minyak yang lebih sedikit.

“Sudah tentu dalam setiap pengelasan akan ada ketirisan, namun ia boleh dikurangkan,” katanya pada sidang akhbar khas Belanjawan 2025 pada Khamis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2025 pada Jumaat menyatakan penyasaran subsidi petrol RON95 bakal diadakan pada pertengahan 2025.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan disaran membantu orang susah menggunakan kaedah lain tanpa mengganggu pasaran harga.

“Saya lebih cenderung harga pasaran dikekalkan dan kita tak boleh hidup dalam kepura-puraan.

“Jika terus tekan harga ke tahap rendah dalam tempoh yang lama akan menyebabkan beban.

“Jika berlaku perang di negara teluk memang akan menyebabkan kenaikan harga petrol, rakyat perlu dimaklumkan dan kerajaan perlu bantu guna kaedah lain tanpa ganggu harga pasaran,” katanya.

Brabus Rocket GTS adalah SL63 dengan badan shooting brake, boleh capai 317 km/j!

Tidak pernah penulis terfikir yang sebuah roadster seperti Mercedes SL boleh dijelmakan semula sebuah menjadi shooting brake namun nampaknya tidak ada yang mustahil dengan Brabus.

Ya, percaya atau tidak, jentera yang dikenali sebagai Rocket GTS ini asalnya adalah sebuah Mercedes-AMG SL63 S E Performance.

Anda mungkin tidak mengenalinya kerana bumbung soft top convertible-nya telah digantikan dengan bumbung tetap, cermin yang condong dan tailgate.

Apa yang lebih mengagumkan, keseluruhan badan, ini termasuk hud, bampar, dapra, tiang dan bumbung, diperbuat dari gentian karbon.

Tidak cukup dengan itu, apron depan, diffuser belakang, bilah aero pada rim Monoblock P Platinum Edition, serta muncung ekzos juga dihasilkan dari bahan ringan itu demi menjaga berat.

Bercakap tentang berat, Brabus tidak menyatakan berat keseluruhannya namun tekaan kami ia jauh lebih ringan berbanding kereta asal yang mempunyai berat sekitar 2,195 kg.

Menurut syarikat itu lagi, Rocket GTS telah menjalani ujian terowong angin bagi memastikan ia kekal stabil pada kelajuan 300 km/j dan ke atas.

Apron depan bertindak untuk mengurangkan daya angkat, manakala bumbung yang rata, spoiler ekor itik dan rekaan diffuser belakang yang agresif membantu meningkatkan downforce pada kelajuan tinggi.

Corong pengambilan udara yang besar pula membantu menghalakan aliran udara ke arah radiator dan brek depan bagi membantu penyejukan.

Seperti SL 63, bahagian dalaman Rocket GTS masih mampu memuatkan empat penumpang dengan konfigurasi 2+2.

Bukan itu sahaja, dengan membuang mekanisma bumbung convertible, Brabus berjaya menghasilkan ruang kargo yang lebih besar di belakang ruang kabin.

Seperti kebanyakan rekaan Brabus yang lain, bahagian kokpit dinaik taraf dengan kemasan gentian karbon, upholsteri Alcantara dan kulit lembut, serta logo Brabus.

Sesuai dengan namanya, Rocket GTS dipacu oleh enjin hibrid twin-turbo V8 SL 63 yang telah diperbesarkan dari 4.0 liter kepada 4.5 liter. Apabila digabungkan dengan motor elektrik pada gandar belakang, jentera ini mempunyai 1,000 PS dan 1,820 Nm!

Namun bagi menjaga transmisi, Brabus mengambil keputusan untuk mengurangkan jumlah tork kepada 1,620 Nm ‘sahaja’.

Walaupun begitu, kereta ini masih mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.6 saat, 0 hingga 200 km/j dalam 9.5 saat dan 0 hingga 300 km/j dalam 23.6 saat. Kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik 317 km/j – adakah ini bermakna ia boleh pergi lebih laju?

Setakat ini, harga serta jumlah yang akan dihasilkan tidak diketahui.

Proton e.MAS 7 – spesifikasi didedahkan, harga anggaran RM120k

Pro-Net akhirnya mendedahkan perincian dan spesifikasi bagi kenderaan elektrik nasional pertama iaitu Proton e.MAS 7.

Kita sudah tahu bahawa e.MAS 7 dibangunkan menggunakan platform Global Modular Architecture (GMA) dan mempunyai ukuran panjang 4,615 mm, lebar 1,901 mm, tinggi 1,670 mm, dan jarak roda 2,750 mm.

Hasil ujian yang dilakukan baru-baru ini menunjukkan yang e.MAS 7 mampu meredah air dengan kedalaman sehingga 400 mm, lebih tinggi berbanding Geely Galaxy E5.

Kini, Pro-Net telah mengesahkan terdapat dua varian e.MAS 7 yang akan ditawarkan iaitu Prime dan Premium. Kedua-duanya didatangkan dengan motor elektrik yang sama namun dengan kapasiti bateri dan kelengkapan yang sedikit berbeza.

e.MAS 7 dipacu oleh motor elektrik “12 dalam 1” pada gandar depan yang menghasilkan 218 PS (160 kW) dan 320 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 175 km/j.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, e.MAS 7 dilengkapi dengan bateri Aegis short blade yang dikatakan mempunyai ketumpatan tenaga lebih tinggi, lebih selamat dan tahan lebih lama.

Varian Prime dilengkapi dengan versi 49.52 kWj yang menawarkan jarak gerak sejauh 345 km, manakala Premium mendapat pek 60.22 kWj dengan jarak mencecah 410 km. Kedua-dua angka ini adalah mengikut piawaian WLTP.

Untuk pengecasan, e.MAS 7 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 80 kW untuk Prime dan 100 kW untuk Premium – kedua-duanya memerlukan 20 minit untuk pengecasan dari 30% hingga 80%.

Terdapat juga pengecasan AC 11 kW yang boleh mengecas bateri dari 30% hingga 80% dalam 4.9 jam untuk Prime dan 6.1 jam untuk Premium.

Senarai kelengkapan bagi kedua-dua varian boleh dikatakan hampir sama. e.MAS 7 didatangkan standard dengan lampu LED dengan ciri Follow-me Home dan Active High Beam Control, rel bumbung, tingkap kuasa dengan ciri anti-trap, sensor hujan, cermin sisi elektrik dengan pelarasan elektrik dan pemanas.

Saiz roda berbeza, di mana varian Prime didatangkan dengan rim 18 inci dengan tayar Giti bersaiz 225/55, manakala Premium dilengkapi dengan rim 19 inci dan tayar Goodyear 235/50. Selain itu, bumbung panoramik, tailgate kuasa dan Active Grille Shutter hanya terdapat pada varian Premium.

Di dalam, kluster instruman LCD 10.2 inci, stereng multifungsi, upholsteri leatherette, pelarasan kuasa enam hala untuk kerusi pemandu didatangkan standard pada kedua-dua varian.

Varian Premium mendapat beberapa ciri tambahan berbentuk cermin pandang belakang auto dimming, fungsi memori untuk kerusi pemandu, pelarasan kuasa empat hala untuk kerusi penumpang depan, fungsi ventilasi untuk kerusi depan dan pencahayaan ambien 256 warna.

Fungsi-fungsi kemudahan yang disertakan termasuk Intelligent Keyless Entry and Start, Walk Away Auto Lock, pengecas tanpa wayar, pendingin hawa automatik dengan penapis N95 dan Vehicle-to-Load (V2L).

Untuk sistem infohibur, e.MAS 7 didatangkan standard dengan sistem Flyme Auto bersama skrin sentuh 15.4 inci dengan resolusi 2.5K, namun hanya Premium yang mendapat head-up display (HUD) dan sistem audio Wanos dengan 16 pembesar suara.

Dari segi keselamatan pula, ADAS adalah ciri standard pada e.MAS 7. Ia merangkumi ciri-ciri seperti berikut:

  • Intelligent Cruise Control (ICC)
  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Automatic Emergency Braking (AEB)
  • Forward Collision Warning (FCW)
  • Dynamic Brake Support (DBS)
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Lane Departure Prevention (LDP)
  • Emergency Lane Keeping Assist (ELKA)
  • Rear Collision Warning (RCB)
  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Rear Cross Traffic Braking (RCTB)
  • Lane Change Assist (LCA)
  • Blind Spot Detection (BSD)
  • Door Open Warning (DOW)
  • Traffic Sign Identification (TSI)

Turut disertakan pada kedua-dua varian adalah kamera 360 darjah dan radar belakang. Radar depan hanya terdapat pada varian Premium.

Proton e.MAS 7 bakal dilancarkan ke pasaran pada suku keempat tahun ini. Ia kini dibuka untuk tempahan dengan harga anggaran RM120,000. Pelanggan terawal yang membuat tempahan akan menikmati potongan harga sebanyak RM500 dan pakej hadiah bernilai RM1,000.

Suzuki GSX-S1000GX dilancarkan untuk pasaran Malaysia – RM89,900

Setelah membuat kemunculan di Malaysia Autoshow 2024 pada Mei lalu, Suzuki GSX-S1000GX kini sudah pun dilancarkan secara rasmi ke pasaran tempatan.

Model ini menggabungkan teknologi terkini dengan tunggangan kembara dan peluncuran setaraf superbike.

Ia dikuasakan oleh enjin  999 cc, DOHC empat silinder yang menghasilkan 152 PS pada 11,000 rpm dan 106 Nm pada 9,250 rpm. Untuk pengetahuan, ini adalah enjin sama yang digunakan oleh superbike GSX-S1000.

Apa yang lebih menarik, GSX-S1000GX menjadi motosikal Suzuki pertama yang dilengkapi dengan Suzuki Advanced Electronic Suspension (SAES).

Terdiri daripada fork teleskopik terbalik Showa SFF-CA dan penyerap hentak mono BFRC-lite, sistem ini mampu membuat pelarasan suspensi secara automatik untuk dipadankan dengan kondisi tunggangan semasa.

Suzuki Road Adaptive Stabilization (SRAS) pula diaktifkan secara automatik apabila menunggang di atas permukaan tidak rata bagi memberikan tunggangan yang lebih lancar dan tindak balas pendikit yang lebih terkawal.

Turut disertakan adalah Suzuki Floating Ride Control (SFRC) yang berfungsi untuk meningkatkan keselesaan dengan memastikan pelana dan bar hendal berada dalam keadaan stabil ketika tayar menyerap hentakan.

Ciri-ciri elektronik lain yang turut disertakan di bawah Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) termasuk Suzuki Drive Mode Selector Alpha (SDMS-α), Smart TLR Control, Active Damping Control, Ride-by-Wire, Quick Shift, Smart Cruise Control, Slope Dependent Control, Suzuki Easy Start dan Low RPM Assist.

Semua ciri boleh dikawal menerusi paparan TFT LCD berukuran 6.5 inci. Ia juga boleh disambungkan kepada telefon pintar menerusi aplikasi Suzuki MySPIN untuk memberikan penunggang akses kepada sistem navigasi, muzik, panggilan dan kalendar.

Suzuki GSX-S1000GX kini boleh didapati di semua pengedar Suzuki Big Bike World di seluruh Malaysia pada harga RM89,900 (tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans). Terdapat dua warna untuk dipilih iaitu Metallic Triton Blue dan Glass Sparkle Black.

MG Cyberster kini boleh ditempah, harga bawah RM350,000

SAIC Motor Malaysia mengumumkan bahawa tempahan untuk MG Cyberster kini dibuka dengan anggaran harga di bawah RM350,000.

Roadster elektrik itu akan ditawarkan dalam satu varian yang dikuasakan oleh dua motor elektrik dengan kuasa keseluruhan berjumlah 503 PS (375 kW) dan 725 Nm. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.2 saat.

Dengan bateri berkapasiti 77 kWj, Cyberster dikatakan mampu bergerak sejauh 446 km dengan satu cas penuh berdasarkan kitaran WLTP.

Pengecasan dari 10% hingga 80% mengambil masa 38 minit menerusi pengecas pantas DC 150 kW. Pengecas AC 7 kW pula memerlukan kira-kira 10.5 jam untuk cas dari 10% hingga penuh.

Dari segi reka bentuk, Cyberster tampil dengan siluet rendah dan lebar serta bumbung jenis soft top yang boleh dibuka. Kelengkapan termasuk rim aloi Jetstream 20 inci, angkup brek berwarna merah dan lampu depan LED automatik dengan DRL.

Di dalam, terdapat tempat duduk sport yang dihiasi sisipan Alcantara, stereng berbalut kulit Nappa, skrin sentuh berukuran tujuh inci, panel instrumen 10.25 inci, dua skrin tambahan sebesar tujuh inci dan sistem audio Bose dengan lapan pembesar suara.

Untuk keselamatan, Cyberster didatangkan dengan ADAS di bawah jenama MG Pilot. Ia merangkumi ciri-ciri berikut:

  • Front Collision Warning (FCW)
  • Automatic Emergency Braking (AEB) dengan Pedestrian and Bicycle Detection
  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Traffic Jam Assistance (TJA)
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Lane Keeping Assistance (LKA)
  • Blind Spot Detection (BSD)
  • Lane Change Assist (LCA)
  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Intelligent High Beam Assist

Cyberster boleh didapati dalam empat warna iaitu Dynamic Red, Camden Grey, Inca Yellow, dan English White. Dynamic Red dan Camden Grey mempunyai bahagian dalam hitam dan merah, sementara Inca Yellow dan English White dilengkapi dengan bahagian dalam kelabu. Semua pilihan warna dipadankan dengan bumbung hitam.

HKS R35 NEO GT1000+ Concept bakal curi tumpuan di Tokyo Auto Salon KL

Walaupun dalam versi standard, Nissan GT-R NISMO sebenarnya sudah cukup menggerunkan tetapi HKS seperti biasa telah memberikan suntikan steroid kepada “Godzilla” itu, membolehkan ia menghamburkan lebih 1,000 PS!

Dipertontonkan buat pertama kali di Tokyo Auto Salon Japan pada Januari lalu, jentera yang dikenali sebagai HKS R35 NEO GT1000+ Concept itu bakal menggegarkan Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur dari 8 hingga 10 November ini di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Menurut HKS, kereta ini adalah berdasarkan HKS R35 GT1000+ yang dibangunkan untuk time attack. Ia dikuasakan oleh enjin VR38 3.8-liter twin-turbo V6 yang telah dipertingkatkan dengan pelbagai komponen HKS.

Ini termasuk turbin ball bearing HKS GT5565 yang baru, sistem ekzos HKS dan transmisi HKS GR6. Untuk suspensi, ia menggunakan sistem HKS Hipermax (Proto), rim Advan Racing GT Beyond berukuran 2o inci dan tayar Advan A052 bersaiz 285/30R20.

TAS KL ialah satu-satunya acara permotoran jenama itu yang dibuat di luar Jepun. Harga tiket ialah RM60 pada hari acara, dan RM120 untuk pas tiga hari.

Tiket untuk kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun pula ialah RM25 untuk early bird, RM30 pada harga acara, dan RM60 untuk pas tiga hari. Kanak-kanak bawah enam tahun masuk percuma.

Untuk lebih eksklusif, anda boleh mendapatkan Black Tag pada harga RM1,500. Dengan pas ini, anda mampunyai keistimewaan seperti:

  • Akses ke semua tiga hari acara
  • Parkir valet percuma
  • Akses ke lounge Black Tag
  • Makanan dan minuman percuma
  • Akses ke Japan Pavillion Cars
  • Barangan eksklusif TAS KL 2024
  • Meet and greet dengan pelbagai individu
  • Keutamaan untuk bidaan
  • Lounge khas tanpa media dan jurugambar

Untuk maklumat lanjut, layari www.tokyoautosalonkl.com atau platform sosial media Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur di Facebook, Instagram dan TikTok.

Tiket boleh dibeli di https://tickets.tokyoautosalonkl.com.

DMM Sales labur RM6.4 juta untuk pusat 3S Perodua pertama di Pantai Timur

DMM Sales Sdn Bhd, anak syarikat Daihatsu Malaysia Group dan wakil pengedar Perodua terbesar di Malaysia, telah merasmikan majlis pecah tanah untuk pusat 3S Perodua DMM Sales di Pasir Mas, Kelantan.

Pusat 3S baharu ini akan menjadi outlet DMMS yang ke-18 di seluruh negara dan pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) pertama di kawasan Pantai Timur.

Dengan keluasan 84,506 kaki persegi dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Hab Halal Pasir Mas, pelaburan sebanyak RM6.4 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan pusat 3S ini.

Pengarah Urusan Daihatsu (Malaysia) Sdn Bhd, Arman Mahadi berkata pusat 3S ini akan menyediakan pelanggan baharu dan sedia ada akses lebih mudah kepada kenderaan berkualiti tinggi Perodua, perkhidmatan selepas jualan dan alat ganti tulen di bawah satu bumbung.

“Dengan kemudahan baharu ini, bukan sahaja ia akan memenuhi keperluan automotif rantau ini, tetapi ia juga akan mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran sedia ada, dan meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi di Pasir Mas dan kawasan sekitarnya,” tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk JH Rozman Bin Jaafar berkata pusat 3S ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk membawa Perodua lebih dekat dengan rakyat.

“Perodua selalu memberi penekanan yang kuat untuk hadir di setiap pelusuk negara. Visi kami bukan semata-mata untuk menjadi peneraju pasaran tetapi untuk menjadi jenama yang dipercayai oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Projek ini dijangka siap menjelang Ogos 2025. Setakat ini, DMMS mengendalikan 17 outlet jualan, 13 pusat servis dan dua pusat cat dan badan di seluruh negara.

Ini sebab kenapa anda perlu elak dari beli kereta sambung bayar

Semalam tular di media sosial satu video yang menunjukkan seorang wanita memecahkan cermin sebuah Honda City ketika ia sedang ditarik oleh pihak yang dipercayai ejen penarik kereta.

Turut kelihatan dalam video berdurasi 63 saat itu seorang lelaki merosakkan kereta berkenaan menggunakan sepana.

Cerita sebenar di sebalik kejadian ini masih menjadi tanda tanya namun rata-rata netizen mendakwa kereta itu ditarik kerana pemiliknya gagal membayar ansuran bulanan selama lapan bulan.

Namun menurut pengguna Facebook, Rasis Jalil, kereta tersebut dibeli secara ‘sambung bayar’.

“Keluarga ni dah bayar pemilik asal tapi pemilik asal tak bayar ke bank. Puas dah pesan jangan beli kereta sambung bayar,” katanya.

Apakah itu sambung bayar?

Secara ringkasnya, sambung bayar adalah apabila pemilik sesebuah kenderaan yang masih membayar ansuran bulanan menjual kereta tersebut kepada pihak ketiga (pembeli) tanpa membuat pertukaran hak milik.

Pembeli akan membuat bayaran muka kepada pemilik asal dan mereka akan meneruskan bayaran ansuran seperti biasa kepada pihak bank bagi pihak pemilik asal sehingga tamat tempoh perjanjian sewa beli.

Tidak dinafikan ia memang nampak seperti situasi menang-menang kerana pemilik asal mendapat wang tunai segera, manakala pembeli pula mendapat kereta tanpa perlu membayar harga penuh.

Walau bagaimanapun, anda perlu tahu bahawa sebarang urusan sambung bayar haram dan tidak sah dari segi undang-undang.

Menurut asklegal.my, perjanjian sambung bayar adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 38 Akta Sewa Beli 1967. Akta tersebut menyatakan bahawa mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bukan itu sahaja, sambung bayar juga mempunyai pelbagai risiko yang boleh membuat anda menyesal di kemudian hari. Pertama sekali, oleh kerana kereta masih di bawah nama pemilik asal, skor kredit mereka akan terjejas sekiranya pembeli gagal membuat bayaran ansuran bulanan.

Pemilik asal juga perlu bertanggungjawab terhadap semua saman yang dikeluarkan terhadap kereta tersebut, walaupun ia dipandu oleh pembeli pada ketika itu. Lebih teruk lagi, pemilik asal boleh dituduh bersubahat sekiranya kereta tersebut terlibat dalam kes jenayah.

Bagi pembeli pula, mereka berdepan dengan risiko dianiaya pemilik asal. Walaupun mereka membayar ansuran bulanan, pemilik asal boleh menuntut balik kereta pada bila-bila masa kerana kereta masih di bawah nama mereka.

Oleh kerana sambung bayar adalah salah di sisi undang-undang, sebarang kontrak atau perjanjian antara pemilik asal dan pembeli adalah tidak sah. Ini bermakna pembeli tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik asal.

Situasi akan menjadi lebih rumit sekiranya pemilik asal meninggal dunia. Sekiranya ini berlaku, hak milik kereta akan dipindahkan kepada waris secara automatik. Pewaris boleh menuntut semula kereta dan mereka tidak diwajibkan untuk meneruskan atau mematuhi apa-apa perjanjian antara pemilik asal dan pembeli.

MITI bantu Perodua hasilkan EV pertama Malaysia bawah RM100k

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kementeriannya akan membantu Perodua mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) pertama di Malaysia berharga di bawah RM100,000.

Menurut Tengku Zafrul lagi, kementerian itu yakin Perodua akan dapat mencapai sasaran tersebut menjelang akhir 2025.

“Tujuan kami ingin membantu dan memudahkan Perodua adalah kerana kami ingin menjadikan EV sebagai kenderaan mampu milik.

“Perodua telah berbincang dengan MITI, dan kami optimis dengan rancangannya untuk mencapai sasaran tersebut menjelang akhir 2025,” katanya.

Perincian mengenai EV Perodua itu masih belum diumumkan. Bagaimanapun, prototaip emo-1 (Electric Motion Online) yang dipertontonkan pada Mei lalu memberikan sedikit sebanyak bayangan spesifikasi akhir EV berkenaan.

Model prototaip yang dibina menggunakan Myvi sebagai asas itu dilengkapi dengan pek bateri 55.7 kWj yang memberikannya jarak pemanduan sehingga 350 km. Ia mempunyai satu motor elektrik di roda depan dengan output 161 hp dan 220 Nm.

Tambah Tengku Zafrul, sehingga September 2024, hampir 16,000 kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) didaftarkan di Malaysia, melebihi kira-kira 13,000 unit yang didaftarkan sepanjang 2023.

“Momentum positif ini telah membawa kita lebih dekat kepada sasaran 20 peratus EV daripada jumlah jualan keseluruhan industri menjelang 2030,” katanya.

Bercakap mengenai infrastruktur pengecasan, beliau berkata dalam tempoh tiga bulan sahaja, 565 pengecas baharu telah ditambah, menjadikan jumlah keseluruhan stesen pengecas awam kepada hampir 3,200 pada akhir September.

“Kita menyasar untuk mempunyai 10,000 pengecas awam, mengurangkan nisbah pengecas EV kepada 1:9 menjelang akhir 2025,” katanya.

Scrambler Ducati 10° Anniversario Rizoma Edition – 500 unit sahaja

Bagi meraikan ulang tahun ke-10 Scrambler, Ducati bekerjasama dengan pengeluar aksesori motosikal terkenal Rizoma untuk menghasilkan model edisi terhad yang dikenali sebagai Scrambler Ducati 10° Anniversario Rizoma Edition.

Terhad kepada 500 unit sahaja, Scrambler Rizoma boleh dibezakan dengan varian-varian Scrambler yang lain menerusi livery unik yang menggabungkan warna Stone White pada tangki dan penghadang lumpur belakang, dengan warna hitam pada komponen casis, enjin dan ekzos.

Penampilan motosikal ini diserlahkan lagi menerusi kemasan Metal Rose yang meliputi penghadang angin, panel sisi dan tempat letak kaki, serta kemasan hitam anodised pada penutup tangki, master cylinder brek depan, tuil dan cermin sisi.

Scrambler Rizoma dikuasakan oleh enjin Desmodue dua silinder L bersesaran 803 cc yang mampu menghasilkan 73 hp pada 8,250 rpm dan 65.2 Nm pada 7,000 rpm, dengan transmisi enam kelajuan.

Kelengkapan standard termasuk pendikit Ride-by-Wire, Quickshifter, Riding Modes, ABS Cornering, Traction Control dan paparan TFT berukuran 4.3 inci.

Sistem suspensi terdiri daripada fork terbalik Kayaba 41 mm dan penyerap hentak berkembar Kayaba dengan pelarasan pra-muatan, manakala untuk brek pula terdapat cakera 330 mm dengan angkup empat piston dan cakera 245 mm dengan angkup satu piston di belakang.

Untuk tayar, Scrambler Rizoma didatangkan dengan rim aloi ringan 18 inci di depan dan 17 inci, bersama tayar Pirelli MT 60 RS.

Proton juarai jualan sedan di Malaysia, 3.85 juta unit terjual sejak 1985

Proton dalam satu kenyataan berkata ia kekal sebagai jenama terlaris bagi sedan di Malaysia, dengan 3.85 juta unit terjual sejak penubuhannya kira-kira 40 tahun lalu.

Menurut pengeluar kereta nasional itu, kejayaan ini disumbangkan oleh ikon-ikon negara seperti Saga, Wira, Waja, yang pernah digunakan sebagai kereta polis di Humberside County, UK, dua generasi Persona, Prevé, dan penawaran terbarunya iaitu S70.

Dilancarkan pada bulan November tahun lalu, S70 menjadi pilihan utama dalam kategori sedan-C dengan jumlah jualan tahun-ke-tahun mencecah 14,877 unit sehingga bulan September.

Jualan keseluruhan telah mengatasi pesaing lain dalam kategori yang sama, dengan purata 1,640 unit terjual sebulan sejak bulan Januari tahun ini. Model ini mendahului jualan dalam segmennya, dengan tiga negeri teratas iaitu Selangor, Johor, dan Pulau Pinang.

Namun, penyumbang terbesar ialah Saga dengan jualan melebihi 2 juta unit sejak pelancarannya pada 9 Julai 1985 hingga bulan September tahun ini. Model ini telah melalui perubahan besar menerusi tiga generasi, dengan peningkatan dari segi keselamatan, reka bentuk, prestasi, keselesaan dalaman dan ciri-ciri, pembangunan platform dan casis, serta badan yang lebih kukuh.

Bagi sedan Proton, pengalaman pemanduan yang responsif, rekod keselamatan, serta keseronokan di belakang stereng memainkan peranan besar dalam menarik minat pembeli kereta.

Seiring dengan perubahan zaman, model-model ini turut memperkenalkan peningkatan keselamatan yang relevan, seperti sistem brek anti-kunci (ABS), beg udara, pretensioner tali pinggang keledar, serta struktur badan yang dibentuk dengan hot-press form.

Dengan S70, ciri-ciri ADAS (Advanced Driver Assistance Systems) tahap 2 seperti bantuan pertukaran lorong, brek kecemasan automatik, kawalan pemanduan pintar, serta maklumat papan tanda trafik untuk memastikan sedan Proton kekal di barisan hadapan teknologi keselamatan.

Tinjauan terbaru oleh Insight Asia yang melibatkan 277 peserta berumur antara 22 hingga 59 tahun mendedahkan bahawa pembeli mengutamakan kemampuan, keselesaan, dan keselamatan, bersama dengan reka bentuk yang bergaya dan moden.

Sebab-sebab utama untuk memilihnya termasuk estetika yang menarik, kuasa yang baik, dan nilai keseluruhan yang berbaloi, bermula dari lebih RM70,000. Ramai pemilik telah naik taraf dari segmen yang lebih kecil dan tidak mempertimbangkan model lain, melihat model ini sebagai unik dalam kelasnya.

Secara keseluruhan, pemilik S70 menyatakan kepuasan tinggi terhadap keselesaan kabin, ruang penyimpanan, dan ciri keselamatan. Ada yang mengalami masalah bunyi, getaran, dan kekerasan (NVH) yang kecil tetapi ia tidak menjejaskan pengalaman keseluruhan mereka.

Cadangan untuk penambahbaikan termasuk pengenalan ciri seperti pengelap cermin automatik dan tempat duduk berventilasi, menurut Insight Asia.