Proton telah memperkenalkan kereta lumba Proton S70 R3 yang akan bertanding di perlumbaan 1000km Sepang 2024 yang akan berlangsung dari 22 hingga 24 November depan.
Gambar-gambar rasmi yang disiarkan oleh pengeluar kereta nasional itu menunjukkan S70 R3 sedang menjalani persiapan akhir dan hanya menunggu untuk dipakaikan livery perlumbaan sahaja.
Spesifikasi tidak didedahkan namun berdasarkan ngauman nyaring yang jelas kedengaran menerusi video yang dikongsi pada 1 Oktober lalu, terdapat kemungkinan kereta ini menggunakan nadi Campro 1.6 liter seperti yang digunakan oleh kereta-kereta lumba Proton sebelum ini.
Ditubuhkan pada tahun 2003, Proton R3 adalah bahagian sukan permotoran yang disokong oleh kilang Proton, dengan singkatan yang bermaksud Race, Rally, Research.
Sepanjang dua dekad yang lalu, R3 telah berjaya membawa model Proton dalam acara perlumbaan dan rali di peringkat domestik dan antarabangsa. Pengetahuan yang diperoleh dimanfaatkan untuk membangunkan kepelbagaian komponen peningkatan prestasi dan model edisi terhad untuk dijual kepada pelanggan.
Bukan itu sahaja, baru-baru ini, mereka juga telah menceburi bidang pelincir dengan menggunakan jenama R3.
S70 R3 adalah yang terbaru dalam barisan model Proton yang dibangunkan untuk sukan permotoran. Dengan penampilan sulungnya, Proton dan bahagian sukan permotorannya menerokai bidang baru, bertanding dengan kereta yang dibangunkan bersama Geely dan hanya setahun selepas pelancarannya di pasaran.
Proton merupakan OEM paling berjaya dalam sejarah 1000km Sepang dengan enam kemenangan, manakala R3 adalah pasukan paling berjaya dengan lima kemenangan, termasuk tiga kemenangan berturut-turut dari 2017 hingga 2019.
Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata, “Setelah tidak bertanding dalam tiga perlumbaan 1000km Sepang yang lalu, Proton teruja untuk kembali ke grid permulaan pada 2024. Proton S70 R3 menandakan satu pencapaian baru bagi jenama ini apabila kita membawa model yang dibangunkan bersama Geely ke dalam persaingan buat kali pertama.”
“Walaupun ia merupakan kereta baru, Proton menyahut cabaran untuk menempatkan dua unit S70 R3 dalam perlumbaan dan bukannya menggunakan model lama yang terbukti sebagai pilihan alternatif. Kami bertekad untuk membuktikan kemampuan model sedan Proton terbaru di litar perlumbaan,” tambah beliau.
Denza, sub-jenama premium di bawah naungan BYD, akan memasuki pasaran Malaysia menerusi Sime Darby Auto Imports sebagai pengimport rasmi dan BYD Malaysia yang menggalas tanggungjawab sebagai pengedar rasmi.
Satu majlis tandatangan perjanjian pengimportan dan pengedaran Denza telah diadakan semalam antara BYD Auto Industry dan kedua-dua syarikat berkenaan.
Perjanjian ini menandakan perjalanan baharu dan memperkukuh hubungan antara BYD dan Sime Darby sebagai satu kumpulan, mengembangkan kerjasama dengan Sime Darby sebagai pengimport rasmi.
Ia juga akan menjadi langkah pertama Denza untuk memasuki Malaysia, di mana jenama itu akan membawa dimensi baharu ke pasaran EV tempatan dengan teknologi, ciri serta pengalaman pemanduan yang premium.
Menerusi Denza, BYD mensasarkan untuk menyediakan pengalaman EV yang lebih meluas, inovatif dan premium kepada rakyat Malaysia.
Liu Xueliang, Pengarah Urusan Bahagian Jualan Auto Asia-Pasifik BYD berkata pihaknya teruja dapat bekerjasama dengan Sime Darby Auto Imports untuk membawa Denza ke pasaran Malaysia, menandakan pencapaian penting BYD dalam usahanya untuk memperkembangkan penawaran EV di Asia Tenggara.
“Sebagai peneraju inovasi, kami bangga dapat membawa teknologi EV canggih kami ke Malaysia di mana permintaan untuk mobiliti mampan terus berkembang.
“Dengan Denza, kami boleh menawarkan pelanggan kami pengalaman yang lebih baik menerusi teknologi dan ciri premium di dalam industri EV. Kami percaya Denza akan mentakrifkan semula pengalaman premium EV dan menetapkan penanda aras baharu untuk pemandu Malaysia,” katanya.
Dennis Ho, Pengarah Urusan Pemasangan dan Perniagaan Strategik Sime Darby Motor menambah, “Kami komited untuk memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pertumbuhan kenderaan elektrik di Malaysia dan kami percaya membawa masuk Denza akan menjadi sebahagian besar daripada perjalanan ini,” katanya.
Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia pula berkata jenama itu komited dalam meningkatkan lanskap EV di Malaysia.
“Misi BYD sentiasa untuk menjadikan kenderaan elektrik mudah diakses oleh lebih ramai orang, dan dengan pengenalan Denza, kami menawarkan pemandu Malaysia pilihan premium yang merangkumi kemewahan dan kemampanan. Penerimaan pantas EV di Malaysia adalah bukti kemajuan negara dalam menerima masa depan yang lebih bersih dan hijau,” jelas beliau.
Aveta Global Marketing Sdn Bhd, pengeluar, pemasang, dan pengedar motosikal jenama Aveta, telah melancarkan model VTM 250 sebagai tambahan terbaru dalam rangkaian motosikal adventure mereka.
Motosikal jenis dual purpose itu didatangkan dalam dua varian, setiap satunya direka untuk memenuhi keperluan pembeli yang berbeza.
Varian LX, yang akan tersedia pada hujung bulan Oktober, direka khas untuk peminat enduro yang bersedia untuk meneroka pelbagai jenis permukaan dan laluan mencabar.
Varian M, yang akan memasuki pasaran pada Disember ini, menawarkan pengalaman supermoto yang sesuai untuk kegunaan harian.
Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin 250 cc silinder tunggal SOHC dengan sistem penyejukan minyak dan transmisi manual 6-kelajuan. Enjin itu menghasilkan 18.8 hp pada 8,500 rpm dan 16 Nm pada 6,500 rpm.
Perbezaan utama adalah jarak ketinggian tanah dan saiz roda. LX memiliki jarak kelegaan tanah lebih tinggi iaitu 305 mm, dengan rim depan 21-inci dan rim belakang 18-inci.
Varian M pula menawarkan jarak ketinggian tanah 290 mm dengan rim aluminium 17 inci pada bahagian depan dan belakang.
Menurut Aveta, rim aluminium untuk varian M bukan hanya meningkatkan daya ketahanan tetapi juga mengurangkan berat keseluruhan motosikal, menambah baik ketangkasan dan pengendalian untuk tunggangan di jalan raya.
Sebagai tambahan, skim warna juga berbeza, LX ditawarkan dengan pilihan Arsenal Red atau Army Green, dan M hadir dengan pilihan Blazing Red atau Admiral Blue.
VTM 250 LX ditawarkan pada harga RM12,988 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) manakala varian M akan dijual pada harga runcit RM13,388. Kedua-dua varian itu didatangkan dengan jaminan satu tahun atau 10,000 km, yang mana tiba dulu.
Untuk menggalakkan pembelian lebih awal, Aveta menawarkan set eksklusif Pembelian dengan Hadiah (GWP) untuk 50 pelanggan pertama setiap varian VTM 250 (LX dan M).
Ducati World Premiere 2025 menyaksikan kemunculan dua jentera Scrambler yang diberikan kemas kini iaitu Scrambler Icon Dark dan Scrambler Full Throttle.
Scrambler Icon Dark mempunyai penampilan serba gelap yang agresif menerusi tangki berwarna hitam matte dan logo Scrambler moden. Panel sisi dan fairing pada bahagian ekor membuatkan jentera ini kelihatan lebih ringan.
Sementara itu, Scrambler Full Throttle diinspirasikan daripada motosikal flat tracker era 70an. Ini boleh dilihat menerusi livery hitam dan gangsa, serta panel sisi dengan nombor 62 yang merujuk kepada tahun Scrambler diperkenalkan buat pertama kali iaitu 1962.
Selain itu, rupanya diserlahkan lagi dengan bar hendal yang lebih rendah, mudguard depan yang lebih pendek, ekzos Termignoni dan lampu isyarat LED Ducati Performance. Turut disertakan adalah ciri Quickshifter.
Seperti sebelum ini, Scrambler dikuasakan oleh enjin sejukan udara 803 cc, silinder berkembar yang mampu menghasilkan 73 hp pada 8,250 rpm dan 65.2 Nm pada pada 7,000 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.
Sistem suspensi terdiri daripada fork terbalik KYB di depan dan penyerap hentak monoshock dengan pelarasan pra-muatan di belakang. Rim yang digunakan adalah bersaiz 18 inci di depan dan 17 inci di belakang.
Ciri-ciri lain yang turut dikekalkan termasuk skrin TFT 4.3 inci, pendikit Ride-by-Wire, Riding Modes, dan Cornering ABS.
Menurut Ducati, Scrambler Icon Dark akan memasuki pasaran bermula bulan ini, diikuti dengan Full Throttle pada Disember.
Proton mencatatkan jualan sebanyak 11,269 unit bagi domestik dan eksport pada bulan September, menjadikan jumlah jualan tahun hingga kini (YTD) sebanyak 112,758 unit.
Pencapaian ini membolehkan pengeluar kereta nasional itu kekal di kedudukan kedua dalam carta jualan automotif nasional dengan bahagian pasaran dianggarkan sebanyak 20.1% untuk bulan September dan angka YTD sebanyak 19.1% untuk keseluruhan tahun 2024.
Jumlah jualan bagi industri automotif menurun pada bulan September dengan jumlah volum industri (TIV) dianggarkan menurun ke tahap terendah dalam tempoh 17 bulan.
Anggaran awal menunjukkan angka tersebut hanya mencapai 56,067 unit, iaitu pengurangan sebanyak 22.2% berbanding bulan sebelumnya. Namun, jumlah anggaran YTD untuk TIV masih lebih baik berbanding 2023, dengan jumlah volum hampir 590,000 unit, iaitu 3% lebih baik daripada tahun lepas.
Dilancarkan pada 19 Ogos tahun ini, Proton X70 2025 meraih semula gelaran sebagai SUV segmen C terlaris dengan jualan sebanyak 1,466 unit pada September. Ini merupakan volum jualan tertinggi untuk X70 sejak Disember 2022.
Selain itu, dua lagi model SUV Proton juga muncul sebagai peneraju jualan bagi bulan tersebut. X50 yang dikemas kini pada Jun lalu menunjukkan prestasi jualan yang kukuh dengan 1,771 unit terjual, manakala X90 kembali meraih kedudukan teratas dalam jualan segmen D dengan 217 unit terjual.
Model lain yang mendahului segmennya untuk jualan YTD adalah Proton S70 yang mencatat jualan sebanyak 1,013 unit, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 14,768 unit dalam tahun penuh pertama jualannya.
Walaupun terkeluar dari kedudukan teratas dalam senarai jualan bulanan, ia akan mendapat dorongan dengan pelancaran Proton S70 R3 yang dijadualkan untuk bersaing dalam Sepang 1000KM pada bulan November.
Saga kekal sebagai model paling popular dengan 5,162 unit terjual bulan lepas, menempatkannya di tempat kedua bagi sedan segmen A.
Sime Darby Motors (SDM) mengumumkan ia telah berjaya menjual lebih 10,000 kenderaan BYD di seluruh negara sejak dilantik sebagai pengedar rasmi jenama itu pada September 2022.
Bagi meraikan pencapaian ini, Sime Darby Motors baru-baru ini menganjurkan konvoi ‘BYD Dream Drive Melaka 2024’ yang disertai lebih 60 kenderaan BYD.
Menurut syarikat itu, Melaka dipilih sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. Ini sekaligus menjadikan negeri bersejarah itu destinasi yang sesuai memandangkan sejarah hubungannya dengan China yang terjalin sejak abad ke-15.
Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara, Sime Darby Motors berkata pencapaian ini mencerminkan penggunaan EV yang semakin meningkat di rantau ini serta kedudukan kukuh Sime Darby sebagai peneraju segmen EV.
“Komitmen kami dalam menyediakan pengalaman dan perkhidmatan terbaik menerusi kerjasama strategik dengan BYD telah menyumbang kepada kejayaan ini,” katanya.
Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia pula berkata, “Pencapaian ini mencerminkan kepercayaan dan sokongan pelanggan kami yang menerima masa depan mobiliti dengan BYD. Ia telah menjadi perjalanan yang luar biasa dengan Sime Darby Motors dan kami berharap dapat meningkatkan pengalaman memandu lestari di Malaysia.”
BYD Malaysia berkata ia mensasarkan untuk menjual 10,000 kenderaan yang seterusnya dalam jangka masa yang lebih singkat.
Sime Darby Motors pula merancang untuk memperluaskan jaringan BYD di Malaysia kepada 30 bilik pameran menjelang akhir tahun ini. Buat masa ini, terdapat 26 bilik pameran BYD di seluruh negara, yang merangkumi 19 rakan kongsi peniaga, dengan 16 pusat 3S dan 10 pusat 1S.
Kebiasaannya, kereta yang ditinggalkan untuk jangka masa yang lama akan mengalami pelbagai masalah termasuk tidak boleh dihidupkan. Tetapi tidak bagi Perodua Myvi.
Selain mempunyai kelebihan untuk ‘terbang’ dan ‘mencucuk’ supercar di lebuh raya, Myvi juga boleh dihidupkan seperti biasa walaupun setelah tersadai bertahun-tahun lamanya. Tidak hairanlah kereta ini mendapat gelaran ‘King’.
Keunikan luar biasa Myvi ini ditunjukkan sendiri oleh seorang pemiliknya dari United Kingdom dalam satu video yang kini tular di media sosial.
Lelaki itu merakam video tersebut sebagai tanda ucapan selamat tinggal kepada Myvi miliknya itu sebelum melupuskannya. Namun beliau amat terkejut apabila kereta yang dibiarkan terabai selama hampir lima tahun itu berjaya dihidupkan dengan mudah.
Bukan itu sahaja, bunyi enjin Myvi itu juga kedengaran masih elok seperti seolah-olah ia dipandu seperti biasa selama ini.
Dalam video itu, pemilik Myvi itu kedengaran agak menyesal kerana terpaksa melupuskan kereta lamanya itu.
“Saya menyesal tapi anda tak akan mengubah fikiran saya,” katanya.
“Daripada membuangnya, lebih baik hantarnya ke MOT (Kementerian Pengangkutan). Ada orang menjualnya pada harga 2,000,” katanya lagi.
Kereta adalah mesin kompleks yang direka untuk dipandu. Sekiranya ia tidak digunakan untuk tempoh jangka yang panjang, percaya atau tidak, ia akan lebih cepat rosak.
Bagi mereka yang perlu menyimpan kereta mereka untuk satu jangka masa yang panjang atas sebab-sebab tertentu seperti urusan kerja dan sebagainya, kami senaraikan beberapa tips yang berguna untuk anda:
Isi minyak
Jangan tinggalkan kereta anda dengan tangki yang kosong kerana lembapan yang terhasil boleh menyebabkan tangki bahan api berkarat. Cara yang terbaik adalah dengan mengisi minyak sehingga penuh, serta menambah aditif atau penstabil yang dapat membantu mengelakkan karat dan kakisan.
Tukar minyak hitam
Minyak enjin atau pelincir yang dibiarkan terlalu lama boleh mengakis komponen dalaman enjin. Sebelum meninggalkan kereta anda, lebih baik tukar minyak enjin terlebih dahulu dan jangan lupa untuk pandunya bagi memastikan ia meliputi semua komponen enjin.
Simpan bateri
Jika anda merancang untuk meninggalkan kereta anda tempoh yang lama, tanggalkan kabel daripada terminal (terminal negatif dahulu, diikuti dengan terminal positif) dan simpan bateri di tempat yang kering dan pastikan ia terdedah kepada cahaya matahari.
Bersihkan bahagian luaran dan dalaman
Pastikan bahagian luaran kereta anda bersih sebelum meninggalkannya kerana kotoran seperti debu, getah pokok dan najis burung boleh merosakkan cat jika dibiarkan terlalu lama. Untuk bahagian dalam, vakum karpet dan tempat duduk, serta buang sampah bagi mengelakkan daripada ‘tetamu’ yang tidak diundang seperti lipas dan tikus.
Parkir di tempat yang selamat
Tempat yang paling selamat untuk menyimpan kereta anda sudah tentulah di anjung (porch), garaj atau mana-mana sahaja tempat yang berbumbung. Elakkan daripada meletakkan kereta anda di luar rumah tetapi jika tiada pilihan lain, gunakan selimut kereta yang berkualiti.
Jangan guna brek parkir
Antara kesilapan yang paling kerap dilakukan adalah menggunakan brek parkir sebelum meninggalkan kereta untuk berbulan-bulan lamanya. Ini akan menyebabkan permukaan brek melekat pada cakera. Sebagai alternatif, guna chock atau bongkah kayu untuk menahan tayar. Pastikan juga anda parkir di tempat yang rata.
Jaga bilah pengelap cermin
Bilah getah pada pengelap cermin boleh melekat pada cermin sekiranya dibiarkan terlalu lama. Anda beberapa cara untuk mengelakkan hal ini daripada berlaku. Anda boleh membalut bilah tersebut dengan plastik atau kain, cabut bilah itu atau tegakkan sahaja pengelap cermin.
Guna jek untuk tinggikan kereta
Tayar yang ditinggalkan pada satu tempat untuk jangka masa yang panjang bukan sahaja akan kempis tetapi akan mengalami flat spot. Masalah ini boleh dielakkan dengan menggunakan jek untuk meninggikan kereta anda.
Kalau anda ingat pada Ogos lalu, kami telah menyenaraikan lima kenderaan elektrik terbaik yang anda boleh beli pada harga antara RM100,000 hingga RM150,000.
Jika anda perasan, kelima-lima EV yang disenaraikan adalah daripada jenama China. Tetapi itu bukanlah benda yang tidak bagus kerana kebanyakan EV dari negara itu menawarkan prestasi, teknologi dan senarai kelengkapan yang baik pada harga mampu milik.
Untuk senarai lima EV terbaik yang berharga antara RM150,000 hingga RM200,000, masih terdapat ‘calon-calon’ daripada jenama China tetapi kali ini ada berita baik untuk mereka yang ingin mencuba EV daripada jenama Eropah kerana terdapat tiga model yang mungkin dapat memenuhi citarasa mereka:
Volvo EX30 Plus (RM188,888)
Baru sahaja dilancarkan di pasaran Malaysia, Volvo EX30 mungkin bukan 100% Eropah kerana ia menggunakan platform buatan Geely yang turut digunakan oleh smart #1 dan Zeekr X, serta dipasang di China, tetapi tidak dapat dinafikan lagi yang ia adalah kereta Volvo yang sebenar.
Lampu LED tukul Thor menunjukkan yang ia adalah sebuah Volvo, begitu juga dengan ruang dalaman yang minimalis yang menampilkan pelbagai jenis bahan lestari. Jika anda mementingkan prestasi, jangan risau kerana varian Plus boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.3 saat sahaja. Ingin lebih pantas? Anda boleh mendapatkan varian Ultra Twin Performance tetapi ia berharga lebih RM200,000.
BYD Seal (RM163,800-RM199,800)
Bagi penulis, mana-mana senarai EV tidak akan lengkap tanpa BYD. Untuk julat harga RM150,000 hingga RM200,000, anda boleh mendapatkan sedan flagship Seal yang ditawarkan dalam tiga varian iaitu Dynamic, Premium dan Performance.
Ketiga-tiga ini berbeza dari segi prestasi (Performance paling laju dengan pecutan 0-100 km/j dalam 3.8 saat) dan jarak (Premium boleh pergi paling jauh iaitu 570 km) namun apa yang menariknya, tidak kira varian apa yang dipilih, anda mendapat senarai kelengkapan dan ciri yang hampir sama.
XPeng G6 (RM165,000-RM185,000)
XPeng merupakan jenama EV baharu dari China yang dibawa masuk oleh Bermaz, jadi anda tidak perlu risau tentang aftersales kerana Bermaz sememangnya berpengalaman dalam hal itu.
G6 adalah model pertama XPeng yang ditawarkan di Malaysia, menawarkan reka bentuk SUV coupe yang premium serta pelbagai teknologi canggih seperti Smart Electric Platform Architecture 2.0 dengan senibina 800V, sistem bunyi keliling XOpera dan fungsi keselamatan XPILOT 2.5 pada harga bawah RM200,000.
smart #3 Pro (RM175,000)
Seperti Volvo EX30, smart #3 boleh dikatakan sebagai anak campuran Eurasia kerana ia menggabungkan teknologi daripada syarikat Asia (Geely) dan reka bentuk Eropah (dalam kes #3, Jerman kerana ia direka oleh Mercedes-Benz).
Pro adalah varian pemula dalam barisan #3, dan pada harga RM175,000, ia menawarkan nilai untuk wang yang baik untuk mereka yang meminati jenama smart. Ia mempunyai 272 PS dan 343 Nm, boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.8 saat dan boleh dipandu sejauh 325 km dengan satu cas penuh, 10 km lebih jauh berbanding #1 Pro.
MINI Electric Cooper SE (RM193,888)
Penulis yakin ramai dalam kalangan pembaca Engear TV adalah peminat MINI. Untuk generasi kedua, MINI Cooper elektrik dilihat lebih berbaloi untuk dimiliki kerana ia bukan sahaja tampil dengan penggayaan lebih moden, malah lebih berkuasa dan jarak geraknya juga bertambah sekali ganda berbanding sebelum ini.
Dilancarkan di Malaysia pada Julai lalu, Cooper SE baharu dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menghasilkan 218 PS dan 330 Nm (34 PS dan 60 Nm lebih tinggi), membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.7 saat. Bateri dengan kapasiti lebih besar iaitu 54.2 kWj pula memberikannya jarak gerak sejauh 402 km dengan satu cas penuh.
Nampaknya barisan kenderaan elektrik BYD di Malaysia bakal diperluaskan lagi menerusi model baharu yang dikenali sebagai M6.
Dalam satu sesi soal jawab bersama media di Changsha, China baru-baru ini, Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pasifik, Liu Xueliang mengesahkan bahawa MPV elektrik itu akan memasuki pasaran Malaysia tahun ini.
Walau bagaimanapun, tarikh sebenar pelancarannya masih belum diketahui, begitu juga dengan spesifikasi dan varian yang akan ditawarkan.
Namun penulis menjangkakan yang spesifikasi untuk pasaran Malaysia tidak jauh berbeza dengan apa yang pasaran Indonesia dan Thailand dapat.
Di Indonesia, M6 ditawarkan dengan konfigurasi enam atau tujuh tempat duduk, manakala di Thailand, ia hanya boleh didapati dalam versi enam tempat duduk.
Dari segi trenkuasa pula, kedua-dua pasaran itu menawarkan dua varian dengan kuasa yang berbeza. Varian asas yang dipacu oleh motor elektrik gandar depan mempunyai 163 PS/310 Nm, manakala varian lebih berkuasa (dikenali sebagai Superior di Indonesia dan Extended di Thailand) mempunyai 204 PS/310 Nm.
Seperti EV BYD yang lain, kuasa elektrik dibekalkan oleh pek bateri LFP dengan kapasiti 55.4 kWj untuk varian asas, dan 71.8 kWj untuk Superior/Extended. Ini memberikan jarak gerak NEDC sejauh 420 km untuk varian asas dan 530 km untuk varian Superior/Extended.
Varian asas M6 menyokong pengecasan pantas DC 85 kW, manakala varian Superior/Extended pula boleh menampung sehingga 115 kW, sekali gus membolehkan tenaga bateri dipulihkan dari 10% hingga 80% dalam masa 40 minit. Sementara itu, pengecasan AC pula terhad kepada 7 kW sahaja untuk kedua-dua varian.
Untuk pengetahuan anda, M6 boleh dikatakan sebagai pengganti e6 yang sepatutnya dilancarkan ke Malaysia selepas Atto 3. Jika dibandingkan dengan e6, rekaan bahagian hadapan M6 lebih selaras dengan model-model semasa BYD, dengan kemasan berwarna perak bertindak sebagai penghubung kepada lampu projektor LED.
Pada bahagian sisi, trim krom digunakan secara meluas pada bingkai tingkap dan skirt sisi, manakala di belakang, terdapat lampu yang melintang sepenuhnya yang ditemani jalur krom. Tidak seperti Atto 3, M6 menggunakan lencana ‘BYD’ yang lebih ringkas.
Ruang dalamannya lebih konvensional jika dibandingkan dengan Atto 3 atau Dolphin, namun M6 menawarkan senarai kelengkapan yang cukup meluas dengan ciri-ciri seperti skrin berputar 12.8 inci, pengecas tanpa wayar berkembar, kemasukan tanpa kunci, bumbung kaca panoramik, pendingin hawa automatik dan pelbagai lagi.
Dari segi keselamatan, terdapat enam beg udara serta ciri ADAS yang merangkumi Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Emergency Lane Keeping Assist dan Blind Spot Monitoring.
Bagaimana pula dengan harga? Di Indonesia, M6 dijual pada harga 379 juta rupiah hingga 429 juta rupiah (RM102,968-RM116,481), manakala di Thailand pula, harganya bermula dari 829,900 baht hingga 929,900 baht (RM106,014-RM118,788).
Subaru Chiffon merupakan kei car berasaskan Daihatsu Tanto yang telah berada dalam pasaran Jepun sejak 2016 lagi.
Kini, dengan minat yang semakin meningkat dalam gaya hidup outdoor, Subaru memperkenalkan versi lebih ruggedyang dikenali sebagai Chiffon Try.
Bentuk asas Chiffon masih dikekalkan namun seperti yang boleh dilihat, versi Try ini tampil lebih lasak dengan skid plate, serta kemasan plastik hitam pada bahagian bampar depan, bampar belakang dan sisi.
Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapi dengan rel bumbung. Untuk warna pula, terdapat 11 pilihan yang ditawarkan termasuk lima warna baharu iaitu Black Mica Metallic/Lake Blue Metallic, Black Mica Metallic/Sand Beige Metallic, Black Mica Metallic/Forest Khaki Metallic, Lake Blue Metallic dan Forest Khaki Metallic.
Dengan ukuran panjang kira-kira 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,755 mm dan tapak roda 2,460 mm, Chiffon Try sememangnya kecil namun penumpang boleh masuk ke dalam dengan mudah kerana ia tidak mempunyai tiang B.
Rekaan ini digelar sebagai ‘Miracle Open Door’ dan ia turut menggabungkan pintu gelongsor elektrik untuk memudahkan lagi penumpang masuk dan keluar.
Rekaan ruang dalaman tidak jauh berbeza dengan versi asas namun sebagai model yang dikhususkan untuk aktiviti luar, Chiffon Try didatangkan dengan upholsteri kalis air pada kesemua tempat duduk.
Selain itu, Chiffon Try juga menawarkan konfigurasi tempat duduk yang fleksibel di mana kerusi hadapan boleh digelongsorkan ke belakang sehingga 540 mm.
Bukan itu sahaja, kerusi hadapan juga boleh dibaringkan sepenuhnya bagi membolehkan penumpang beristirehat serta memasukkan barangan yang panjang seperti papan luncur air.
Untuk memaksimumkan ruang kaki belakang atau ruang kargo, kerusi belakang juga boleh digelongsorkan sehingga 240 mm.
Chiffon Try dikuasakan oleh enjin 660 cc tiga silinder yang mampu menjana 52 PS dan 60 Nm. Transmisi jenis CVT ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda hadapan. Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh mendapatkan versi pacuan semua roda (AWD).
Harga jualan di Jepun bermula dari 1,665,000 yen (RM48,171) untuk versi 2WD dan 1,765,000 (RM51,064) untuk versi AWD.
Kebakaran sebuah bas sekolah di Wilayah Pathum Thani di pinggir Bangkok meragut 25 nyawa yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan guru.
Menurut jurucakap pihak berkuasa, bas itu antara tiga bas yang disewa oleh Sekolah Wat Khao Phaya Sangkharam di Uthai Thani, untuk membawa pelajar sekolah rendah dan guru bersiar-siar ke Ayutthaya.
Tambah beliau, mereka menemui 22 mayat pelajar dan tiga mayat guru selepas kebakaran berjaya dipadamkan. 19 individu lain yang turut menaiki bas itu dilaporkan terselamat.
Timbalan Pesuruhjaya Biro Polis Wilayah 1, Mejar Jeneral Sipakhom Iamwong, mengesahkan bas berkenaan membawa 38 pelajar dan enam guru.
Beliau berkata, usaha mengeluarkan mayat agak mencabar kerana kerosakan besar yang disebabkan oleh kebakaran itu.
Foto: Sakchai Lalit/AP
Sementara itu, CNN melaporkan bahawa polis Thailand telah berjaya menahan pemandu bas yang terbakar itu. Pemandu yang dikenali pasti sebagai Saman Chanput itu menyerah diri pada Selasa beberapa jam selepas kejadian tersebut.
Chayanont Meesati, timbalan ketua polis wilayah berkata, bas itu tiba-tiba hilang keseimbangan pada tayar hadapan sebelah kanan, menyebabkan ia terbabas lalu merempuh kereta di hadapan dan mengikis penghadang konkrit.
Percikan api yang terhasil daripada pelanggaran itu menjadi punca kebakaran bas tersebut. Pemandu itu berkata dia cuba memadamkan kebakaran tersebut menggunakan pemadam api yang diambil daripada bas lain tetapi gagal dan dia kemudiannya melarikan diri akibat panik.
Polis Thailand berkata Chanput ditahan atas dakwaan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan, gagal berhenti untuk membantu orang lain dan gagal melaporkan kemalangan.
Polis berkata mereka juga sedang menyiasat sama ada syarikat bas itu mematuhi semua piawaian keselamatan.
Selepas dipertontonkan pada Ogos lalu, MG5 kini dilancarkan secara rasmi ke pasaran tempatan.
Ia didatangkan dalam satu varian sahaja dengan harga jualan bermula dari RM93,900.
Bagaimanapun, sempena kempen ulang tahun ke-100 MG, SAIC Motor Malaysia menawarkan rebat bernilai RM7,000, menjadikan harga jualan pengenalan RM86,900.
Untuk ketenangan minda, MG5 didatangkan dengan waranti tanpa had perbatuan selama lima tahun dan waranti tanpa had perbatuan selama tujuh tahun untuk enjin dan transmisi.
Dari segi saiz, MG5 sebenarnya lebih dekat dengan sedan segmen C dengan ukuran panjang 4,675 mm, lebar 1,842 mm, tinggi 1,480 mm, dan jarak antara roda sepanjang 2,680 mm.
Bagaimanapun, SAIC Motor Malaysia selaku pengedar rasmi jenama MG berkata MG5 akan dipasarkan sebagai sedan segmen B, menjadikannya yang terbesar dalam segmennya.
Jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing terdekatnya seperti Honda City dan Toyota Vios, MG5 mempunyai profil yang lebih menonjol dengan rekaan fastback coupe yang sporty.
Antara ciri yang disertakan termasuk lampu nyalaan siang LED, gril 3D, rim aloi Tomahawk bersaiz 17 inci, bumbung suria dan spoiler jenis ekor itik pada bahagian belakang.
Terdapat lima warna luaran untuk dipilih iaitu Nuclear Yellow, Dynamic Red, Arctic White, Black Pearl dan Camden Grey.
Masuk ke dalam, anda akan menemui upholsteri kulit hitam dengan jahitan kontras merah, serta ciri-ciri moden seperti panel instrumen digital tujuh inci, serta skrin infohibur 10.25 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk sistem pendingin hawa zon tunggal berserta corong baris kedua, penapis udara PM2.5, enam pembesar suara, tiga slot pengecasan USB, dan sistem kamera keliling 360 darjah.
Memacu MG5 adalah enjin DVVT 1.5-liter empat silinder yang mampu menjana kuasa sebanyak 114 PS pada 6,000 rpm dan 150 Nm pada 4,500 rpm.
Dengan transmisi jenis iCVT dengan lapan nisbah kelajuan yang menggerakkan roda hadapan, MG5 mampu mencapai tahap penggunaan bahan api 17.5 km/l.
Menurut SAIC Motor Malaysia, trenkuasa ini telah menjalani ujian kelasakan dan ketahanan sejauh 2.35 juta km.
Untuk sistem keselamatan pula, MG5 didatangkan dengan MG Pilot yang merangkumi Amaran Keluar Lorong, Bantuan Penukaran Lorong, Sistem Pemantauan Titik Buta, Amaran Pelanggaran Belakang dan Amaran Lintasan Trafik Belakang.
Pro-Net baru-baru ini mengumumkan pelantikan sebanyak 36 buah pengedar Proton e.MAS iaitu melebihi dua kali ganda berbanding 17 pengedar yang diumumkan pada Jun lalu.
Menurut syarikat itu, pelantikan ini menekankan komitmennya dalam meningkatkan pasaran EV di Malaysia serta memperluaskan keupayaan perkhidmatan pelanggannya.
Peningkatan jumlah pengedar Proton e.MAS ini disertai dengan lawatan ke Institut Penyelidikan Geely (GRI) di Hangzhou, China, yang disertai lebih daripada 40 eksekutif dan pengurus pengedar dari Malaysia.
Lawatan selama tiga hari ini bertujuan untuk memberikan peluang untuk merasai teknologi canggih Geely dalam mendapatkan input mengenai cara pengendalian operasi jualan dan servis model EV premium dari rangkaian pengedar di bawah syarikat Geely.
“Sejak pelancaran jenama Proton e.MAS pada bulan Jun yang lalu, kecepatan pembangunan menjelang pelancaran model pertama kami harus diberi pujian. Penambahan 19 buah pengedar baru ke dalam ekosistem kami menunjukkan semangat juang yang tinggi terhadap ketibaan EV nasional pertama Proton,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net.
Lawatan ke GRI di Teluk Hangzhou membolehkan pengedar Pro-Net mendalami dengan lebih lanjut mengenai teknologi canggih dan inovasi di dalam model Proton e.MAS 7.
Selain sesi perkongsian teknologi, para pengedar juga berpeluang untuk merasai sendiri teknologi tersebut dengan pandu uji Geely E5 di litar percubaan.
Selain itu, mereka turut singgah di Pusat Pengesahan Kenderaan Tenaga Baharu untuk melihat bagaimana Geely menjalankan ujian pra-pengeluaran, penilaian dan pengesahan bagi pembuatan dan teknologi kenderaan EV.
Lawatan ke pelbagai pengedar premium di bawah rangkaian luas Geely juga diatur sebagai sebahagian daripada usaha dalam meningkatkan tanda aras piawaian yang telah ditetapkan kepada pengedar dan prosedur-prosedur mengenai perkhidmatan pelanggan, strategi jualan dan latihan kepada kakitangan.
“Kesempatan kami untuk melawat GRI sangat membuka mata. Merasai pengalaman teknologi canggih yang sedang dibina, diuji, dan disahkan mengukuhkan lagi keyakinan kami terhadap teknologi dan inovasi global yang dibangunkan bersama Geely dan Proton yang akan digunakan di dalam kenderaan elektrik pertama Malaysia,” kata Abdul Hakim Bin Basri, Pengurus Pengedar Proton e.MAS Kota Bharu – JM Otomobil (EV).
Dengan revolusi EV yang semakin pesat membangun, misi Pro-Net bukan sahaja mempeluas penerimaan EV tetapi juga menyediakan laluan kerjaya bagi mereka yang berminat untuk membangunkan dan memelihara ekosistem EV tempatan dengan matlamat mobiliti lestari.
Mereka yang berminat untuk menyertai rangkaian pengedar Proton e.MAS yang semakin berkembang boleh menghubungi Proton melalui emel Zhaole@proton.com/affendyk@proton.com.
Mitsubishi telah memperkenalkan Outlander PHEV versi dinaik taraf yang akan mula dijual di Jepun pada musim luruh ini, diikuti dengan 20 pasaran Eropah pada musim bunga tahun depan.
Menurut Mitsubishi lagi, varian petrol pula akan dilancarkan pada 2025. Kedua-dua versi akan memasuki pasaran Amerika Utara, Australia dan New Zealand tidak lama lagi.
Seperti sebelum ini, Outlander PHEV dikuasakan oleh enjin petrol 2.4-liter empat silinder yang menghasilkan 134 hp dan 203 Nm. Ia dibantu oleh motor elektrik depan yang menjana 114 hp/255 Nm, dan motor elektrik belakang yang menyumbang sebanyak 134 hp/195 Nm.
Gabungan enjin pembakaran dalaman dan motor elektrik berkembar ini memberikan Outlander PHEV kuasa keseluruhan sebanyak 302 hp, membolehkan SUV itu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.9 saat.
Dengan tangki bahan api yang lebih besar iaitu 53 liter, Mitsubishi mendakwa model ini mampu mencapai jarak pandu hibrid sejauh 844 km. Ujian juga menunjukkan yang ia mempunyai tahap penggunaan bahan api serendah 0.8 l/100 km dan emisi 18 g/km.
Apa yang baharu pada trenkuasa Outlander PHEV adalah pek bateri litium-ion, kini 40% lebih besar dengan kapasiti 22.7 kWj, memberikan jarak pandu elektrik sejauh 86 km berdasarkan kitaran WLTP.
Kecekapan dan prestasinya boleh dimaksimumkan lagi dengan tiga mod trenkuasa iaitu EV, Series Hybrid dan Parallel Hybrid.
Mod EV bermakna kereta bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya, manakala mod Series Hybrid pula menyaksikan enjin menjana kuasa elektrik apabila perlu. Dalam mod Parallel Hybrid, motor elektrik dan enjin beroperasi secara serentak.
Selain itu, Outlander PHEV juga didatangkan dengan mod Normal, EV, Save dan Charge. Dalam mod EV, ia boleh mencapai kelajuan maksimum 135 km/j.
Pek bateri berkenaan boleh dicas menggunakan pengecas Type 2 dan CHAdeMO. Ia juga menyokong fungsi pengecasan kenderaan-ke-rumah yang boleh digunakan dalam situasi kecemasan.
Untuk casis, Mitsubishi berkata ia telah menala tayar, penyerap hentak dan kadar spring itu meningkatkan keselesaan, manakala sistem stereng kuasa elektrik diberi penambahbaikan untuk memperbaiki pengendalian.
Selain itu, sistem pacuan S-AWC (Super All Wheel Control) kini menawarkan lebih cengkaman dalam semua situasi pemanduan. Terdapat tujuh mod yang boleh dipilih iaitu Normal, Eco, Power, Tarmac, Gravel, Snow dan Mud.
Dari segi penampilan, tidak banyak yang berubah untuk model tahun 2025 kecuali gril dan penambahan rim 20 inci. Di dalam, Outlander PHEV kini mendapat panel instrumen digital dan skrin sentuh 12.3 inci, serta sistem audio Dynamic Sound dengan 12 pembesar suara dari Yamaha.
Sistem keselamatan pula terdiri daripada ciri-ciri seperti Forward Collision Mitigation, Rear Automatic Emergency Braking, Blind Spot Warning dengan Lane Change Assist, Lane Departure Warning, Lane Keeping Assist, Adaptive Cruise Control, Traffic Sign Recognition dan Driver Monitoring System.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa orang ramai tidak perlu menggunakan MyDigital ID untuk mendaftar masuk aplikasi MyJPJ bermula 10 Oktober ini.
Loke berkata, pengguna aplikasi MyJPJ boleh mendaftar masuk aplikasi berkenaan seperti biasa.
“Orang ramai tidak perlu ada kebimbangan bahawa selepas 10 Oktober ini tidak boleh pakai MyJPJ. Itu tidak wujud. MyJPJ boleh terus diakses dengan mudah dengan cepat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan bahawa pengguna MyJPJ perlu mendaftar masuk aplikasi itu menggunakan MyDigital ID bermula 10 Oktober ini.
MyDigital ID adalah satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.
Menurut Loke, arahan berhubung keperluan penggunaan MyDigital ID dalam MyJPJ dikeluarkan menerusi pengumuman tetingkap timbul (‘pop-up announcement’) dalam aplikasi itu.
Loke berkata arahan yang dikeluarkan itu bukan pengumuman rasmi daripada Kementerian Pengangkutan atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan telah diturunkan serta-merta.
“Maklumat yang disalurkan melalui ‘pop-up’ MyJPJ telah memberikan maklumat yang mungkin mengelirukan orang ramai.
“Saya lihat dalam banyak komen media (sosial) yang bimbang dan memberikan maklum balas berkenaan (maklumat tersebut),” katanya sambil menambah MyJPJ ketika ini mempunyai 10.5 juta pengguna.
Beliau berkata, kementerian menyokong penggunaan MyDigital ID namun proses pengintegrasian dengan aplikasi MyJPJ perlu dibuat secara ‘back-end’.
“Kita telah mengadakan perbincangan dan mencapai persetujuan supaya penggunaan MyDigital ID sebagai ‘log in’ kepada aplikasi MyJPJ perlu dilaksanakan dengan mudah.
“Ia supaya tidak memberikan apa-apa masalah kepada pihak pengguna MyJPJ dan kita akan mengambil sedikit masa untuk pengintegrasian secara ‘back-end’,” katanya.
SAIC Motor Malaysia telah mengumumkan pelantikan Emory QiFeng sebagai Pengarah Urusan baharu syarikat itu.
Emory Qi, yang mempunyai pengalaman selama lebih 25 tahun dalam industri automotif global, akan menerajui SAIC Motor Malaysia dalam usahanya untuk terus mengembangkan jenamanya di pasaran Malaysia.
Dengan kerjaya yang menjangkau sejak 1998, Emory Qi telah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti kepimpinan di SAIC-Volkswagen Sales Co., Ltd, di mana beliau mempunyai rekod cemerlang dalam Perancangan dan Pembangunan Rangkaian, serta Strategi Selepas Jualan.
Pada 2023, beliau dilantik sebagai Pengarah Perniagaan Global di SAIC Motor International Co., Ltd, di mana beliau menyumbang kepada strategi pertumbuhan antarabangsa jenama itu.
Tahun ini, beliau menyertai SAIC Motor Malaysia sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan kini telah dilantik sebagai Pengarah Urusan yang akan menyaksikan beliau menyelia semua aspek operasi syarikat, termasuk jualan, pemasaran dan strategi produk.
Bercakap mengenai pelantikannya, Emory Qi berkata, “Fokus saya adalah untuk meneruskan momentum yang telah kami bina dalam pasaran ini, mengembangkan penawaran produk kami, dan memberikan pengalaman pelanggan yang unggul.
“Saya harap dapat bekerjasama dengan pasukan berbakat di sini untuk memastikan SAIC Motor Malaysia kekal sebagai pemain utama dalam industri automotif.”
Pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia iaitu Sime Darby Motors dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa model BYD yang dijual di negara ini tidak terlibat dalam kempen panggilan semula yang diumumkan oleh BYD di China.
Menurut Sime Darby Motors, panggilan semula itu terhad kepada kenderaan yang dijual di negara itu sahaja.
Dalam pengumuman berkenaan, BYD Auto Industry Co., Ltd. and BYD Automobile Co., Ltd. berkata ia sedang memanggil semula unit-unit tertentu Dolphin dan Yuan Plus (juga dikenali sebagai Atto 3) yang dipasang secara domestik.
“Kelompok dan model yang dipanggil balik dalam wilayah tanah besar China tidak berkaitan dengan pasaran di luar wilayah tanah besar China,” kata syarikat itu.
Pada 30 September lalu, CarNewsChina melaporkan bahawa BYD telah memanggil semula 96,714 unit Dolphin dan Yuan Plus akibat kemungkinan risiko kebakaran.
Daripada jumlah tersebut, 87,762 unit dipasang antara 4 Februari 2023 dan 26 Disember 2023, manakala selebihnya iaitu 8,952 unit dipasang dipasang antara 2 November 2022 hingga 19 Jun 2023.
Menurut portal China itu, terdapat kecacatan dalam proses pembuatan pengawal pemasangan kolum stereng kuasa elektrik (CEPS).
Apabila penutup komponen tersebut ditutup, ia mungkin mengganggu kapasitor pada papan litar pengawal yang akan menyebabkan keretakan kecil di dalam kapasitor.
Keretakan ini boleh menjadi lebih besar, sekali gus menyebabkan litar pintas dan berpotensi menyebabkan kebakaran.
Bagi menghapuskan risiko keselamatan, wakil pengedar BYD akan memasang pad penebat pada komponen pengawal berkenaan secara percuma.
Barisan telefon pintar flagship Xiaomi 14T Series telah dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Menurut Xiaomi, siri ini direka khusus untuk peminat fotografi dengan fokus kepada penggambaran waktu malam.
Barisan Xiaomi 14T terdiri daripada:
14T 12GB+256GB (RM1,899)
14T 12GB+512GB (RM2,199)
14T Pro 12GB+256GB (RM2,599)
14T Pro 12GB+512GB (RM2,999)
14T Pro 12GB+1TB (RM3,499)
Kedua-dua 14T dan 14T Pro menggunakan kamera Leica yang dikuasakan oleh Xiaomi AISP yang berfungsi untuk meningkatkan julat dinamik dan mengurangkan hingar walaupun dalam pencahayaan mencabar.
Selain itu, siri ini juga menyokong format UltraHDR dan mod Master Portrait yang menghasilkan gambar potret terperinci dengan kejelasan yang dipertingkatkan dan efek bokeh semula jadi.
14T Pro mempunyai sistem tiga kamera dengan kamera utama 50MP dengan apertur ƒ/1.6, lensa optikal Leica Summilux dan sensor imej Light Fusion 9000. 14T turut menggunakan sistem tiga kamera yang sama tetapi dengan apertur ƒ/1.7 dan sensor Sony IMX906.
Selain itu, siri 14T didatangkan dengan ciri-ciri AI untuk memudahkan tugasan harian seperti AI Interpreter, AT Notes, AI Recorder, AI Image Editing, AI Eraser Pro, AI Film dan AI Portrait.
Menerusi kerjasama Google, siri 14T juga menjadi antara peranti pertami Xiaomi yang memperkenalkan ciri Circle to Search. Turut disertakan adalah aplikasi Google Gemini.
Untuk perkakasan pula, siri 14T menampilkan paparan AMOLED CrystalRes berukuran 6.67 inci yang menawarkan resolusi 1.5K (2712 x 1220) dengan ketumpatan piksel 446 ppi. 14T menggunakan pemproses MediaTek Dimensity 8300-Ultra, manakala 14T Pro mendapat pemproses MediaTek Dimensity 9300+.
Kedua-dua model menggunakan bateri 5000mAh tetapi dengan kapasiti pengecasan yang berbeza iaitu 67W HyperCharge untuk 14T dan 120W HyperCharge untuk 14T Pro. Bukan itu sahaja, versi Pro juga didatangkan fungsi pengecas tanpa wayar 50W.
14T boleh didapati dalam warna Titan Blue, Titan Black dan Lemon Green, manakala 14T Pro didatangkan dalam warna Titan Gray, Titan Blue dan Titan Black.
Minggu lalu, Proton Centre of Excellence (COE) menjadi destinasi penamat bagi siri jelajah dunia Geely Galaxy E5 yang bermula dari China.
Walaupun digelar sebagai ‘siri jelajah dunia’, konvoi yang terdiri daripada beberapa unit Galaxy E5 pemanduan sebelah kiri itu sebenarnya hanya merentasi tiga negara Asia Tenggara iaitu Laos, Thailand dan Malaysia.
Biar pun begitu, perjalanan sejauh 3,700 km itu dilihat sudah cukup untuk membuktikan kemampuan dan ketahanan Galaxy E5 dalam dunia sebenar.
Menurut wakil dari Geely, konvoi tersebut berjaya melengkapkan perjalanan yang panjang itu tanpa sebarang masalah dan setiap unit berjaya tiba di COE dalam keadaan elok walaupun berhadapan dengan banjir di Laos yang diakibatkan oleh Taufan Yagi.
Mengambil kesempatan yang ada, Proton telah menjemput pihak media untuk memandu uji kembar kepada Proton e.MAS 7 itu di litar ujiannya di COE. Bukan itu sahaja, beberapa media terpilih juga berpeluang untuk memandu EV itu di jalan raya untuk pengalaman pemanduan yang lebih realistik.
Apa yang penulis boleh katakan, sesi pandu uji ini memberikan bayangan yang agak jelas mengenai reka bentuk, teknologi dan prestasi e.MAS 7 yang akan dilancarkan ke pasaran tempatan tidak lama lagi.
Reka bentuk luaran sama sahaja?
Proton sebelum ini menekankan bahawa e.MAS 7 bukanlah model rebadge Galaxy E5. Dari sudut teknikal, dakwaan ini benar kerana e.MAS 7 sememangnya dibangunkan serentak dengan Galaxy E5. Menurut Proton, lebih 100 jurutera mereka terlibat dalam projek ini.
Walau bagaimanapun, dari segi reka bentuk luaran, kami tidak rasa Proton boleh membuat terlalu banyak perubahan pada e.MAS 7 kecuali menukar logo dan lencana asal. Elemen Infinite Weave seperti yang digunakan pada model-model lain juga tidak boleh diterapkan kerana e.MAS 7 tidak mempunyai gril.
Cuma, apa yang penulis nampak, e.MAS 7 menggunakan rim satu inci lebih kecil iaitu 18 inci berbanding Galaxy E5 yang didatangkan dengan rim 19 inci.
Ruang dalaman minimalis tetapi mewah
Seperti bahagian luaran, rekaan ruang kabin e.MAS 7 juga dijangka tidak jauh berbeza dengan Galaxy E5. Tetapi ini adalah benda bagus kerana rekaan ruang dalaman EV dari China ini agak mengagumkan, sama ada dari segi susun atur atau bahan yang digunakan.
Upholsteri kulit yang digunakan kelihatan begitu mewah dan terasa cukup lembut pada sentuhan. Paling penting, ia diaplikasikan secara meluas bukan sahaja pada tempat duduk, tetapi bahan itu juga membaluti sebahagian besar papan pemuka dan panel pintu.
Selain daripada warna putih, Geely turut menawarkan pilihan warna merah perang dan biru gelap. Adakah Proton akan menawarkan pilihan warna yang sama? Sama-sama kita nantikan.
Luas dan praktikal, sesuai untuk rakyat Malaysia
Dengan tapak roda berukuran 2,750 mm, Galaxy E5 menawarkan ruang kabin yang luas dan selesa. Penulis amat kagum dengan ruang kaki penumpang belakang yang setanding dengan kereta segmen D walaupun ini merupakan SUV segmen C.
Tempat duduk belakang menawarkan sokongan peha yang mencukupi tetapi apa yang lebih menarik adalah kerusi penumpang hadapan yang didatangkan dengan fungsi Ottoman – satu ciri yang biasanya terdapat pada MPV mewah sahaja.
Bagi mereka yang sering membawa barangan yang banyak, jangan gusar kerana Galaxy E5 mempunyai 33 ruang storan termasuk laci di bawah kerusi belakang. Untuk sebuah SUV, ruang butnya tidaklah begitu besar (461 liter) namun terdapat ruang simpanan tambahan sebesar 51 liter di bawah lantai but.
Sarat dengan teknologi
Galaxy E5 dan e.MAS 7 menggunakan sistem operasi yang sama iaitu Flyme Auto yang dikuasakan oleh cip Longying One Chip 7 nm yang didakwa sebagai cip kokpit pintar pertama dari China. Selain integrasi telefon pintar, sistem operasi ini juga menawarkan ciri arahan suara untuk melakukan pelbagai perkara. Anggap sahaja ia seperti pembantu peribadi anda.
EV ini juga menggunakan sistem audio Flyme Sound berkapasiti 1,000 watt dengan 16 pembesar suara, termasuk pada perehat kepala. Bukan itu sahaja, terdapat juga pembesar suara pada bahagian luar yang berguna jika anda mahu memainkan muzik ketika berparti.
Anda juga boleh menggunakan pembesar suara luaran tersebut untuk membunyikan amaran kepada pejalan kaki atau pengguna jalan raya yang lain. Yang menariknya, pilihan bunyi yang disediakan boleh dikatakan sangat tidak konvensional. Ia termasuk bunyi “Hi”, ngauman harimau, kucing mengiau, deruman enjin supercar dan pelbagai lagi.
Galaxy E5 jelas ditala untuk keselesaan, bagaimana pula dengan e.MAS 7?
Biarpun agak singkat, sesi pemanduan di litar ujian Proton dan di jalan raya berjaya mendedahkan karakter Galaxy E5. Penulis dapat merasakan yang EV ini memang ditala untuk pemanduan yang lebih santai, berbeza dengan EV China lain yang penulis pernah cuba seperti smart #1.
Galaxy E5 didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menjana 218 PS dan 320 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 184 km/j.
Pada zaman kini, di mana EV sudah mampu menandingi supercar dengan mudah, angka ini tidaklah begitu mengagumkan namun penulis merasakan yang Galaxy E5 sebenarnya sudah cukup pantas untuk kebanyakan pemandu di luar sana. Cuma, tindak balas pendikitnya tenang dan tidak terburu-buru, walaupun ditekan dengan agresif.
Selain itu, sistem suspensi Galaxy E5 juga boleh dikatakan sangat lembut. Dalam perjalanan menuju ke Puncak Alam, kereta ini membuktikan yang ia mampu menyerap hentakan dari permukaan berlubang dengan cukup baik sehinggakan ia hampir tidak terasa di dalam kabin. Walau bagaimanapun, penulis dapat merasakan ada sedikit lantunan ketika bergerak pada kelajuan tinggi atau melalui jalan yang beralun.
Konklusi
Seperti yang dikatakan, sesi pandu uji ini sangat berharga kerana ia dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran mengenai Proton e.MAS 7.
Dari segi reka bentuk luaran dan dalaman, serta sistem infotainment dan teknologi, penulis tidak mengharapkan perubahan yang terlalu ketara kerana pakej yang dibawakan oleh Galaxy E5 sudah cukup menarik.
Bagaimanapun, dari segi pemanduan terutamanya tindak balas pendikit dan talaan suspensi, Proton pastinya akan menggunakan kepakaran mereka bagi memastikan e.MAS 7 sesuai dengan keadaan permukaan jalan raya di Malaysia, selain dapat memenuhi permintaan pembeli EV tempatan.